Jambatan bengkok atau dalam perancangan mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah merupakan struktur jambatan sepanjang 1.4 kilometer yang diimpikan bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang sudah digunakan sejak tahun 1923.
Idea pembinaan jambatan lurus telah dicetuskan dan kemudian diubah menjadi 'bengkok' kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.
Persetujuan Singapura pada awalnya tentang projek tersebut dikatakan diberikan secara ‘tidak rela hati sepenuhnya’ dan dilakukan hanya sekadar berdasarkan pendekatan berpakej.
MANFAAT PEMBINAAN JAMBATAN BENGKOK
1. Melancarkan aliran lalu lintas ke Singapura dan sebaliknya.
2. Kapal dagang atau pasukan keselamatan boleh belayar melalui Selat Tebrau (Selat Melaka ke Laut China Selatan dan ini akan merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara iaitu Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.
3. Kelancaran aliran air di Selat Tebrau mampu meningkatkan kualiti air dan juga alam sekitar.
4. Pembukaan laluan air itu boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan Iskandar Malaysia dan negeri Johor secara keseluruhan.
KRONOLOGI JAMBATAN BENGKOK
5 Julai 1996
Tun Mahathir Mohamad telah mencetuskan idea untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan sebuah jambatan baharu.
8 Julai 1996
Perdana Menteri Singapura ketika itu, Goh Chok Tong menganggap cadangan Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baharu tidak mengejutkan republik itu.
1 Ogos 1996
Mahathir umumkan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura, namun tiada perjanjian secara rasmi dimeterai.
31 Julai 1997
Sebuah perbincangan telah berlangsung di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor.
4 September 2001
Kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.
13 Jun 2004
Malaysia yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan fasa awal kemudiannya menghentikan sementara pembinaan bagi membolehkan rundingan lanjut dibuat dengan Singapura.
24 Januari 2005
Keputusan untuk membatal atau meneruskan pembinaan jambatan bernilai RM2 bilion itu terus berlarutan dan bergantung kepada hasil rundingan dengan Singapura.
27 Ogos 2005
Tiada kata putus dibuat oleh Singapura berkaitan projek berkenaan, namun Malaysia bertegas mahu meneruskannya.
6 Februari 2006
Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.
9 Mac 2006
Malaysia meneruskan kerja-kerja awal pembinaan jambatan bengkok atau ‘Jambatan Indah’ berikutan Singapura tidak memberikan kata putus mengenai projek jambatan lurus.
Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi dan membolehkan kapal-kapal kecil melepasinya namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.
12 April 2006
Perdana Menteri selepas Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi memutuskan bahawa Malaysia menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama sekali berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.
"Kerajaan juga membuat keputusan untuk menghentikan semua rundingan bersabit jambatan tersebut.” ~ Tun Abdullah Ahmad Badawi, 12 April 2006.
26 Jun 2010
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar cadangan pembinaan jambatan bengkok dipertimbangkan semula.
"Saya yakin seluruh rakyat Johor berasa gembira dengan terbinanya bangunan JB Sentral yang serba lengkap dan indah ini, namun masih terdapat kekurangan dan kecacatannya apabila komponen utamanya iaitu jambatan masih belum dilaksanakan hingga hari ini.
"Sekali lagi, saya ingin menyeru kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor." - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, 26 Jun 2010.
17 April 2014
Mahathir sekali lagi membuat kenyataan mengenai mengapa pentingnya jambatan itu dibina sewaktu menghadiri sebuah acara di Iskandar Malaysia.
“Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor. Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru kerana jambatan tidak dibina." - Tun Mahathir Mohamad, 17 April 2014
16 Oktober 2018
Kerajaan Negeri Johor dalam usaha merealisasikan impian tertunda Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membina jambatan bengkok yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura.
Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mengatakan perancangan pembinaan jambatan berkenaan telah ditolak oleh dua perdana menteri terdahulu.
ISU LAIN MENGENAI PEROBOHAN TAMBAK JOHOR
1. Laluan Kapal Dagang
Terbinanya jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor akan membolehkan bot-bot kecil dan kapal bersaiz sederhana merentasi Selat Tebrau dengan mudah.
Selama ini kapal-kapal yang dalam pelayaran jauh perlu mengelilingi Singapura.
Kemungkinan pengurangan kapal yang singgah ke pelabuhan di republik itu difahamkan menjadi perkara yang ‘dibimbangi’ pihak Singapura.
2. Laut Bersih
Dengan pembinaan jambatan bengkok, aliran air di Selat Tebrau dijangka bertambah baik kerana selama ini ia terhalang struktur Tambak Johor.
Aliran air laut yang lebih terbuka secara tidak langsung memberi kelebihan kepada kualiti air dan beberapa pihak menjangkakan ekosistem laut di Selat Tebrau akan menunjukkan penambahbaikan.
3. Bantahan Pengusaha Kupang
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan kecil di kalangan pengusaha penternakan kupang sangkar di beberapa kampung nelayan berdekatan terutamanya di Kampung Senibong.
Mereka mengatakan bahawa keadaan air di Selat Tebrau sekarang ini yang tenang dan penuh nutrien membolehkan benih kupang hidup subur.
Jika aliran Selat Tebrau sudah bebas dibuka, mereka bimbang benih kupang akan hanyut dan tidak melekat pada sangkar.
Lagipun, para penternak kupang di kampung tersebut percaya bahawa benih induk kupang kebanyakannya berada di Tambak Johor.
TIADA PERJANJIAN
Walau apapun yang didebatkan mengenainya, sebenarnya tidak ada sebarang perjanjian yang ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan bengkok tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara Malaysia mendapati bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan berkenaan secara bersendirian (unilateral) kerana terikat dengan Perjanjian Air Johor-Singapura, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan 1965.
PAK LAH U-TURN
Sebelum Pak Lah membuat keputusan pada 12 April 2006 membatalkan Projek Jambatan di Tebrau bagi menggantikan Tambak Johor yang sudah pun bermula itu, Pak Lah terlebih dahulu membuat kenyataan pada 10 Februari 2006 selepas merasmikan Memorial Tun Hussein Onn, di Jalan Dato’ Onn Kuala Lumpur seperti berikut:
“Pendirian kita mengenai Tambak Johor ialah kita hendak jambatan baru sama ada bengkok, lurus atau herot”.
Kemudian kenyataan pada 3 Mac 2006 seperti berikut:
“Pembinaan jambatan separuh bagi menggantikan Tambak Johor tidak akan menimbulkan sebarang masalah walaupun Singapura mendakwa ia boleh mendatangkan implikasi yang serius.
"Sebaliknya, pembinaan jambatan separuh itu akan menjadikan perhubungan Malaysia-Singapura lebih baik.”
Demikian kata Abdullah Ahmad Badawi selepas kempen Buku Hijau Peringkat Kebangsaan di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor ketika mengulas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Singapura George Yeo di Parlimen Singapura pada 2 Mac 2006.
Kedua-dua kenyataan Pak Lah ini cukup tegas. Rakyat juga tidak pernah membantah terhadap projek Jambatan Johor yang sudahpun mula dilaksanakan itu.
Malah rakyat cukup sedar bahawa pembinaan Jambatan itu akan membawa faedah yang besar kepada negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya.
Tetapi, 22 hari selepas kenyataan yang tegas pada 3 Mac 2006 itu, Pak Lah telah membuat kenyataan yang memeranjatkan semua rakyat pada 12 April 2006 seperti berikut:
“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama sekali berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.
"Kerajaan juga membuat keputusan untuk menghentikan semua rundingan bersabit jambatan tersebut.”
Putrajaya 12 April 2006
Pada hari yang sama juga Pak Lah telah buat satu lagi kenyataan iaitu:
“Malaysia tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana implikasi dan komplikasi undang undang yang akan berbangkit kelak dan kalau kita teruskan juga, ia akan menjadi projek yang tidak disenangi rakyat dan selama-lamanya menjadi projek yang dipertikaikan malah kita buat keputusan, ia keputusan politik.
"Kita tidak boleh mengenepikan perasaan rakyat kerana kita dipilih oleh rakyat untuk rakyat.”
Pengumuman Pak Lah membatalkan projek jambatan bengkok pada 12 April 2006 itu bercanggah dengan pendiriannya pada 10 Februari dan 3 Mac 2006, hanya 22 hari sebelum itu.
Keputusan Pak Lah membatalkan projek jambatan itu kemudian mengundang pelbagai kontroversi terutama sekali apabila ditegur oleh Tun Mahathir Mohamad hingga mencetuskan perbalahan yang berpanjangan.
26 Jun 2009 Tun Pernah Mengulas Mengenai Tambak Johor
1. Saya siarkan dokumen berkenaan pembiayaan pembinaan Tambak Johor kerana ada Menteri di dalam pentadbiran Tun Abdullah yang mendakwa Tambak Johor milik bersama antara kita dan Singapura. Sebab itu Singapura harus bersetuju sebelum apa-apa tindakan (meroboh) dapat dilakukan terhadap tambak tersebut.
2. Tidak terdapat apa-apa persetujuan mahupun perjanjian yang mengatakan Tambak Johor milik bersama. Jika ada pun 2/3 daripada tambak tersebut adalah milik Johor. Dan bahagian 2/3 tersebut sudah semestinya yang berakhir di Johor Bahru kerana sempadan di Selat Tebrau merupakan laluan air yang paling dalam, kira-kira separuh dari selat tersebut antara Singapura dan Johor. Ini mestilah juga sempadan tambak. Dengan itu separuh tambak di bahagian utara adalah hak Malaysia, satu negara yang berdaulat dan merdeka.
3. Cadangan yang mengatakan kita tidak boleh sentuh tambak tanpa kebenaran Singapura bukan merupakan sebahagian daripada apa-apa perjanjian dengan Singapura. Apa yang kita buat pada bahagian tambak di sebelah kita adalah hak kita sebagai satu negara yang berdaulat. Tidak melaksanakan hak kedaulatan kita samalah dengan menganggap diri kita dijajah.
4. Kenapa kita perlu bina jambatan untuk gantikan tambak? Jalanraya di Johor Baru di mana lalu lintas dari dan ke arah tambak bertemu dengan lalu lintas menghala ke arah timur dan barat seringkali sesak. Di masa hadapan apabila lebih banyak kenderaan menggunakan jalan tersebut, kesesakan tentu akan bertambah buruk.
5. Jambatan akan disambung ke jalan jejambat dari dan ke kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), dan ini akan benarkan lalulintas dari timur ke barat untuk bergerak lancar.
6. Selain masalah trafik, laluan air di selat juga tidak mengalir. Jika tambak dibuka, air akan bebas mengalir di kedua-dua arah, dan akan membersihkan perairan di selat.
7. Ketiadaan tambak juga akan benarkan bot dan kapal layar belayar pergi balik di kedua-dua arah. Pengangkutan barangan dan penumpang di antara pelabuhan Pasir Gudang dan pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan dipermudahkan. Ini akan membantu pertumbuhan kedua-dua pelabuhan – sesuatu yang mungkin Singapura tidak suka lihat.
8. Laluan tanpa halangan bot-bot sepanjang selat juga akan mewujudkan peluang perniagaan. Jambatan akan lebih lebar daripada tambak dan akan mempercepatkan aliran lalulintas. Bangunan CIQ juga direkabentuk untuk menampung jumlah trafik yang lebih tinggi.
9. Saya ditanya kenapa ianya tidak dibina semasa 22 tahun pentadbiran saya, jawapannya ialah keperluan untuk jambatan hanya jadi lebih jelas di akhir jangka waktu pentadbiran saya. Walau bagaimanapun, saya telah luluskan projek tersebut sebelum saya berundur. Kerja-kerja pembinaan juga bermula semasa saya masih lagi mentadbir. Jika Abdullah tidak berhentikan, jambatan sudah tentu akan hampir siap sekarang.
10. Oleh kerana Singapura hanya akan setuju untuk membina jambatan lurus jika satu bilion metre padu pasir dijual kepadanya; oleh kerana rakyat Johor membantah penjualan pasir dan kebenaran bagi pesawat pejuang Singapura berlatih di ruang udara Johor, pilihan yang ada bagi Kerajaan Malaysia hanyalah untuk kembali pada pembinaan jambatan bengkok (indah) di perairan wilayah kita. Ini adalah hak sebuah negara berdaulat yang merdeka.
11. Sebaliknya Abdullah putuskan untuk bukan sahaja tidak bina jambatan di perairan kita tetapi juga untuk berhenti berunding berkenaan semua perkara lain termasuk keengganan Singapura meluluskan dana CPF (Central Provident Fund) yang dicarum pekerja dari semenanjung Malaysia, tanah keretapi, harga air mentah 3 sen untuk 1,000 gelen yang dibayar Singapura (Melaka bayar 30 sen untuk 1,000 gelen).
12. Kesemua isu ini memberi keuntungan pada Singapura dan dengan menghentikan rundingan untuk mendapatkan hak yang lebih baik dalam masalah tersebut kononnya kerana orang Johor menolak penjualan pasir yang rugi ialah kita. Yang kalah adalah kita. Saya rasa ini satu cara bodoh untuk hukum Singapura. Ataupun adakah ianya satu hukuman bagi orang Johor kerana tidak setuju jual pasir (ada orang yang akan buat banyak duit) dan menolak cadangan supaya ruang udara Johor Baru dijadikan tempat pesawat pejuang Singapura berlatih berperang dan mengebom.
Jambatan Bengkok Tidak Perlu Kelulusan Singapura
Malaysia tidak perlu mendapatkan sebarang kelulusan daripada kerajaan Singapura untuk membina jambatan bengkok.
Tun Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat untuk melaksanakan projek itu langsung tidak membabitkan Singapura.
Namun begitu, Tun Mahathir menegaskan Malaysia masih perlu mendapatkan kelulusan Singapura jika ingin membina jambatan ketiga menghubungkan Johor Bahru dan Republik itu.
Untuk pembinaan jambatan ketiga kena minta kebenaran daripada Singapura tetapi Singapura mungkin tak benarkan kerana pembinaan jambatan bengkok langsung tidak membabitkan Singapura.
Jadi, Malaysia boleh membina jambatan bengkok pada bila-bila masa, namun bagi jambatan ketiga kena minta (kebenaran) Singapura, katanya.
Kenapa Singapura begitu takut dengan idea Tun Dr Mahathir?
Pada persepsi Singapura, meruntuhkan Tambak Johor walaupun dibahagian Johor sekalipun adalah dipercayai akan membawa kemudaratan yang cukup besar kepada mereka. Kenapa?
Tambak Johor yang dibina British telah menyebabkan adanya sekatan laluan bagi sebarang pergerakan kapal kecil mahupun besar.
Rahsia tersuratnya disini:-
"Seandainya separuh daripada tambak Johor diruntuh dan digantikan dengan sebuah jambatan baru yang akan bercantum kembali dibahagian tambak disebelah Singapura, maka laluan Selat Tebrau akan terbuka dan bersedia untuk dilalui oleh kapal-kapal perdagang!
Ekonomi Singapura yang terkenal sebagai pusat pelabuhan antarabangsa akan tergugat.
Kapal-kapal besar yang melalui Selat Melaka dan ingin menuju ke Laut China Selatan akan dapat memendekkan tempoh perjalanan dengan mengambil 'jalan pintas' di Selat Tebrau tanpa perlu mengelilingi Pulau Singapura yang kecil itu!
Tun melihat dengan pemotongan Tambak Johor itu akan menguntungkan ekonomi Malaysia dengan berkembangnya aktiviti-aktiviti di Pelabuhan Pasir Gudang dan juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Semoga memberi manfaat.
BACA INI JUGA:
sumber:
astroawani |
musramrakunman |
darah-satria |
astroawani2