Sunday, November 04, 2018

Saintis Berjaya Cipta Batu-batu Dari Air Kencing Manusia!

Saintis Berjaya Cipta Batu-batu Dari Air Kencing Manusia!

Sepasukan penyelidik di Afrika Selatan mendakwa berjaya mencipta batu-bata dengan menggunakan air kencing manusia menerusi proses yang melibatkan koloni bakteria.

Dr Dyllon, Suzanne and Vukheta.jpg

Reuters melaporkan, penyelidik itu percaya penemuan itu suatu hari nanti mampu mengurangkan kesan pemanasan global kerana menggunakan semula bahan kumuh.

Batu-bata kelabu itu dihasilkan dalam makmal selama lapan hari menggunakan air kencing, kalsium, pasir dan bakteria. Baja juga terhasil semasa proses pembuatan dan yang penting, batu bata itu tidak berbau.

Batu-bata itu dibuat menggunakan bahan urea, sejenia bahan kimia yang ditemui secara semula jadi dalam urin dan juga disintesis di seluruh dunia untuk membuat baja.

Proses mencipta batu-bata daripada urea telah diuji di Amerika Syarikat dengan penyelesaian sintetik, namun penemuan terbaru ini menggunakan air kencing (urin) manusia buat kali pertama.

“Kita lazimnya membuang air seperti ini setiap hari dan menjirusnya ke dalam rangkaian sistem pembetung.

"Apa salahnya menggunakannya untuk hasilkan pelbagai produk?" ujar pensyarah kanan bahagian kejuruteraan awam di Universiti Cape Town, Dyllon Randall.

Batu-bata biologi dihasilkan menerusi proses pemendakan karbonat teraruh mikrob, yang mirip dengan proses penghasilan terumbu karang. Pasir peroi dipenuhi bakteria yang menghasilkan enzim urease.

Enzim itu menguraikan urea dalam air kencing dan pada masa yang sama menghasilkan bahan seperti batu iaitu kalsium karbonat melalui reaksi kimia yang rumit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

6 Tumbuhan Menakjubkan Yang Sangat Jarang Berbunga

6 Tumbuhan Menakjubkan Yang Sangat Jarang Berbunga

Peluang untuk melihat tumbuh-tumbuhan ini berbunga sangat sukar dan jika melihatnya pun, anda akan dianggap sangat bertuah.

Ini kerana flora-flora ini hanya berbuah dalam tempoh dan jarak tertentu dan bukan semua orang berpeluang melihatnya.

Berikut adalah 6 jenis flora yang sangat jarang berbunga.

1. Udumbara

6 Tumbuhan Menakjubkan

Bunga Udumbara atau Youtan Poluo digelar bunga syurga kerana dipercayai hanya berbunga sekali dalam tempoh 3,000 tahun.

Walaupun fakta ini tidak dibuktikan oleh saintis, ahli botani menemui jalan buntu apabila mengkaji Youtan Poluo.

Tumbuhan unik ini boleh ditemui di beberapa buah negara iaitu China, Korea, Taiwan dan Amerika Syarikat.

2. Puya Raimondii

6 Tumbuhan Menakjubkan

Bunga Puya Raimondii atau dikenali sebagai 'Queen of the Andes' berbunga sekali bagi setiap 80 hingga 100 tahun.

3. Melocanna Baciffera

6 Tumbuhan Menakjubkan

Melocanna Baciffera adalah sejenis buluh yang menyumbang kepada sebahagian besar stok buluh di India. Melocanna Baciffera dilaporkan berbunga pada setiap 44 hingga 48 tahun sekali.

4. Kurinji

6 Tumbuhan Menakjubkan

Bunga Kurinji atau Neelakurinji (Strobilanthes Kunthianus) adalah tumbuhan yang berbunga sekali dalam tempoh 12 tahun.

5. Agave Americana

6 Tumbuhan Menakjubkan

Agave Americana turut digelar sebagai tanaman kurun (The Century Plant), yang mengambil masa selama 10 tahun untuk berbunga.

Bagaimanapun, bunganya dikatakan tidak dapat dilihat dengan jelas seperti tanaman lain.

6. Cereus Greggii

6 Tumbuhan Menakjubkan

Bunga Cereus Greggii hanya berbunga pada satu malam sepanjang tempoh setahun. Mendapat jolokan nama 'Arizona's Queen of the Night'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, November 03, 2018

Asal-usul Perkataan OK

Asal-usul Perkataan OK

OK ialah satu ungkapan yang biasa digunakan dalam bahasa percakapan yang banyak digunakan sebagai kata sifat, kata nama dan kata kerja, namun tahukah anda dari manakah ungkapan kata ini berasal?

Asal-usul Perkataan OK

Selama beratus tahun pelbagai pendapat telah diutarakan mengaitkan sebutan OK ini diambil daripada perkataan OKEH.

Ungkapan ini dituturkan oleh suku kaum asli Amerika, Choctaw, dan bukti tulisan paling awal perkataan 'okeh' tertera dalam karya dua orang mubaligh bernama Cyrus Byington dan Alred Wright pada tahun 1825.

Perkataan OK dipercayai banyak digunakan sebagai perkataan akhir yang bermaksud 'It is so'.

Lain-lain pendapat mengatakan OK berasal daripada bahasa pertuturan ibunda suku Wolof masyarakat Sub-Sahara di Afrika.

Di Amerika Syarikat, sebutan OK didakwa mula dituturkan pada awal abad ke 19 di Boston dan dikatakan menjadi trend para penulis ketika menghasilkan karya mereka.

Pakar Etimologi AS, Dr. Allen Walker Read berpendapat, penggunaan sebutan OK berasal daripada perkataan lama dipanggil 'Oll Korrect'.

Difahamkan bahawa, perkataan ini tertera pada teks ucapan yang diterbitkan di Boston Morning Post pada tahun 1839.

Pendapat ini turut disokong oleh Pakar Linguistik dan Falsafah dari Universiti Yale, Dr. Laurence R. Horn.

Menurutnya, terdapat bukti lain turut mengaitkan penggunaan OK lahir daripada sebuah organisasi politik yang diketuai bekas Presiden Amerika Syarikat Yang Kelapan (1837-1841), Martin Van Buren.

Ahli dalam organisasi tersebut menggelar pertubuhan itu 'OK Club' yang dipercayai diambil sempena nama tempat kelahiran ketua mereka di Old Kinderhook, New York.

Walau bagaimanapun, tidak semua pakar bahasa di dunia menyokong hujah ini dan menolak bahawa perkataan singkat dua huruf OK kononnya mula dituturkan di Amerika Syarikat.

Sebutan OK turut dirujuk sewaktu perbualan Angkasawan Pertama Amerika Syarikat bernama Allah Shepard dengan pusat kawalan pada tahun 1961.

Sewaktu melakukan pendaratan ke Bumi, sebutan tersebut berbunyi 'A-OK' dan 'Everything is A-OK'.

Selain isyarat pendaratan oleh angkasawan, sesetengah pakar bahasa mengemukakan hipotesis bahawa OK turut digunakan ketika awal penggunaan telefon.

Dua huruf OK digunakan oleh operator telefon sebagai isyarat mesej telah diterima. Sama ada ia benar atau tidak, masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.

Bahasa pertuturan OK juga tertulis dalam laporan perbicaraan mahkamah di Summer County, Tennessee pada tahun 1790 dalam teks laporan yang ditemui oleh sejarahwan Tennessee bernama Albigence Waldo Putnam.

Malangnya, kandungan keseluruhan laporan perbicaraan tersebut tidak di dedahkan kepada umum.

Sementara itu, Pakar Linguistik Inggeris, Andrew Dalby, turut mendedahkan bahawa sebutan OK turut ditemui dalam buku catatan perjalanan seorang pengembara bernama William Richardson dari Boston ke New Orleans pada tahun 1815. Ia ditulis kira-kira sebulan selepas peristiwa pertempuran New Orleans.

Sehingga ke hari ini, asal-usul sebutan OK masih lagi menjadi perdebatan hangat dikalangan pakar bahasa di dunia.

OK Diseluruh Dunia

Di Brazil, Mexico dan Peru, serta di negara-negara Amerika Latin, perkataan OK disebut sama seperti bahasa Inggeris.

Negara Timur Tengah turut menggunakan perkataan OK secara meluas bagaimanapun, penggunaan sebutan jarang digunakan dalam media formal.

Di Rusia, sebutan OK membawa pengertian tentang sesuatu yang positif.

Negara Jepun, China dan Korea Selatan, sebutan OK membawa pengertian agak 'terhad' atau 'baik'.

Di negara Filipina, ungkapan OK membawa erti 'hanya baik-baik sahaja.

Lain pula di India, OK bermaksud hukuman, tidak sopan. Masyarakat di sana lebih suka mengungkap perkataan 'BYE'.

Negara Belanda menjadikan perkataan OK sebagai sebahagian daripada bahasa mereka setiap hari yang dinyatakan dengan cara yang sama.

Dalam bahasa Ibrani, OK membawa maksud umum iaitu 'mencukupi'.

Di Taiwan, OK sering diucapkan dalam pelbagai ayat dan popular di kalangan generasi muda.

Di Perancis dan Belgium, OK digunakan untuk menyampaikan persetujuan antara dua pihak.

Penggunaan dalam bahasa Melayu lebih kepada pengakhiran ayat yang membawa maksud tegas.

Ok!

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Kisah Jin Berperut Buncit!

Kisah Jin Berperut Buncit!

Sewaktu berjalan-jalan di Pulau Pangkor, Jojo telah terjumpa sebuah teko ajaib dan apabila digosok, PLING! Keluarlah seekor jin berperut buncit.

Kisah Jin Berperut Buncit!
Gambar hiasan.

Biasa la skrip lama, jin itu pun berkata, "Hahaha, disebabkan engkau telah menyelamatkan aku dari teko ini, jadi aku benarkan engkau buat satu permintaan.

"Pasti aku akan tunaikan. Ingat, satu permintaan saja, hahahaha!"

Jojo yang sedang merindui kekasihnya terus berkata, "Kalau macam tu, engkau buatkan aku satu jambatan emas dari sini sampai ke Pulau Langkawi.

"Bolehlah aku naik kereta hari-hari jumpa girlfriend aku.

"Untuk pengetahuan engkau encik jin, sekarang ni aku tengah gaduh dengan dia. Aku nak jumpa dia nak minta maaf, bla.. bla.." kata Jojo panjang lebar.

Jin itu menggaru kepala.

"Permintaan kau ni materialistik betullah. Susah nak buat tu.

"Dah la emas mahal sekarang ni, laut pun dalam, air kotor, banyak nak guna besi dengan konkrit.

"Lama nak siap, makan masa tu. Boleh tak engkau fikir benda yang lebih mudah dan tak menyusahkan aku."

Jojo termenung panjang, kemudian dia memberitahu, "Okey, kalau macam tu, engkau beri aku satu kebolehan istimewa yang membolehkan aku memahami perempuan, supaya aku boleh tahu apa yang perempuan suka, apa yang mereka fikir, kenapa mereka menangis, ketawa, marah dan macamana aku boleh buat mereka gembira, sebab..."

Belum sempat Jojo menghabiskan kata-katanya, encik jin terus mencelah.

"Err..engkau nak jambatan emas tu dua lorong ke empat lorong?"

Kah kah!

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Onna-Bugeisha, Legenda Pahlawan Samurai Wanita Jepun

Onna-Bugeisha, Legenda Pahlawan Samurai Wanita Jepun

Lama sebelum dunia barat mengenali pahlawan samurai sebagai sesuatu yang dikuasai kaum lelaki, telah wujud sekumpulan samurai wanita di mana mereka adalah sama hebat dan pakar. Mereka dikenali sebagai Onna-bugeisha, dilatih sama seperti lelaki, samada dalam gerakan bertahan atau menyerang.

Onna-Bugeisha, Legenda Pahlawan Samurai Wanita Jepun
Gambar hiasan.

Mereka juga dilatih menggunakan senjata yang direka khas untuk wanita, diberi nama Naginata, yang bersesuaian untuk mengimbangi tubuh badan mereka yang lebih kecil.

Selama bertahun lamanya mereka berjuang bersama samurai lelaki, Onna-bugeisha juga diberikan penghormatan serta menjalankan tugas yang sama dengan samurai lelaki.

Pada tahun 200 Masihi, Maharani Jingu sendiri telah mengatur dan memimpin satu perperangan ketika menawan Korea.

Pada waktu itu, pemahaman tradisional pada umumnya, kedudukan wanita adalah di belakang lelaki dan mereka perlu patuh kepada suami serta mempunyai peranan sebagai suri rumahtangga.

Namun begitu, pengecualian dibenarkan terhadap wanita seperti Jingu kerana golongan wanita seperti ini dilihat sebagai berdikari, gagah dan berani berlawan di samping samurai lelaki.

Setelah Maharani Jingu menjadi pembuka jalan, manakala Onna-bugeisha yang lain pula mula menempa nama.

Sekitar tahun 1180 hingga 1185, satu perang telah meletus di antara dua suku kuasa pemerintah Jepun.

Perang Genpei melibatkan perperangan di antara suku Minamoto dan suku Taira yang sama-sama percaya mereka yang layak memerintah.

Onna-Bugeisha, Legenda Pahlawan Samurai Wanita Jepun
Salah seorang samurai wanita pertama adalah Maharani Jingu.

Perperangan ini menjadi kejatuhan kepada suku Taira manakala suku Minamoto pula berjaya mengekalkan kekuasaan mereka.

Mereka mungkin tidak dapat melakukannya sekiranya bukan kerana Tomoe Gozen, seorang Onna-bugeisha.

Tomoe Gozen, seorang legenda Onna-bugeisha Gozen dinyatakan sebagai seorang yang sangat berbakat di medan tempur bahkan juga seorang yang mempunyai kepandaian yang luar biasa.

Dalam pertempuran, dia telah mempamerkan kehebatan memanah sambil menunggang kuda. Dia juga mahir menggunakan katana, pedang panjang tradisi samurai.

Di luar medan perang dia juga seorang yang digeruni, tenteranya patuh kepada setiap arahannya dan juga percaya setiap gerak hatinya.

Dia terlibat dalam politik dan berita tentangnya tersebar luas di serata Jepun. Tidak lama kemudian, suku Minamoto menamakan Tomoe Gozen sebagai Panglima Perang Jepun sebenar yang pertama.

Dia sememangnya tidak mengecewakan.. Pada tahun 1184, dia telah mengetuai 300 orang samurai menuju ke medan perang berhadapan dengan 2,000 orang pahlawan suku Taira.

Onna-Bugeisha, Legenda Pahlawan Samurai Wanita Jepun
Tomoe Gozen.

Tomoe Gozen merupakan salah seorang daripada hanya 5 pahlawan Minamoto yang terselamat.

Selepas itu pada tahun yang sama juga ketika Pertempuran Awazu, dia telah berjaya mengalahkan pahlawan paling terkenal dari suku Musashi iaitu Honda no Moroshige. Dia memenggal kepala Moroshige dan menyimpan kepalanya sebagai piala.

Apa yang berlaku kepada Tomoe Gozen selepas pertarungan itu tidak dapat dipastikan. Ada yang mengatakan dia meneruskan pertarungan sehingga terkorban, yang lain pula mendakwa dia pergi dengan menaiki kuda membawa kepala Moroshige bersamanya.

Walaupun tiada rekod mengenai Gozen selepas pertempuran itu, ada dakwaan mengatakan dia telah mengahwini seorang rakan samurai dan menjadi biarawati setelah kematian suaminya.

Berabad lamanya setelah pemerintahan Tomoe Gozen, Onna-bugeisha mula berkembang.

Pahlawan wanita telah menjadi sebahagian dari samurai yang melindungi perkampungan dan membuka lebih banyak sekolah di sekitar Empayar Jepun untuk melatih wanita muda tentang seni pertarungan serta penggunaan Naginata.

Walaupun terdapat banyak suku kumpulan tersebar di serata Jepun, kesemua mereka termasuklah pahlawan samurai mula menerima Onna-bugeisha.

Onna-bugeisha terakhir

Onna-Bugeisha Terakhir

Akhirnya, semasa zaman pergolakan di antara pemerintah suku Tokugawa dan Pihak Istana (Imperial Court) pada tahun 1868, satu kumpulan khas pahlawan wanita yang dikenali sebagai 'Aizu Yoshitai' telah dibentuk dan diketuai oleh seorang Onna-bugeisha berusia 21 tahun bernama Nakano Takeko.

Takeko secara keseluruhannya dikira sebagai seorang pahlawan samurai wanita hebat yang terakhir, manakala Pertempuran Aizu pula adalah merupakan penglibatan terakhir bagi Onna-bugeisha.

Sejurus selepas kekalahan Shogun, pemerintahan Jepun telah diambil alih oleh Imperial Court.

Walaupun zaman Onna-bugeisha telah berakhir selepas Takeko, namun pahlawan wanita masih ada di kebanyakan tempat.

Sepanjang tahun 1800-an, wanita terus mencabar pemikiran tradisional mengenai peranan jantina dalam pertempuran.

Ketika sebahagian besar dunia melihat pahlawan samurai sebagai lelaki gagah dan kuat, wanita juga telah menempa legenda tersendiri sebagai Onna-bugeisha di dalam sejarah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, November 02, 2018

Kenapa Tun Mahathir Mahu Membina Jambatan Bengkok?

Kenapa Tun Mahathir Mahu Membina Jambatan Bengkok?

Jambatan bengkok atau dalam perancangan mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah merupakan struktur jambatan sepanjang 1.4 kilometer yang diimpikan bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang sudah digunakan sejak tahun 1923.

Kenapa Tun Mahathir Mahu Membina Jambatan Bengkok?

Idea pembinaan jambatan lurus telah dicetuskan dan kemudian diubah menjadi 'bengkok' kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.

Persetujuan Singapura pada awalnya tentang projek tersebut dikatakan diberikan secara ‘tidak rela hati sepenuhnya’ dan dilakukan hanya sekadar berdasarkan pendekatan berpakej.

MANFAAT PEMBINAAN JAMBATAN BENGKOK

1. Melancarkan aliran lalu lintas ke Singapura dan sebaliknya.

2. Kapal dagang atau pasukan keselamatan boleh belayar melalui Selat Tebrau (Selat Melaka ke Laut China Selatan dan ini akan merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara iaitu Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.

3. Kelancaran aliran air di Selat Tebrau mampu meningkatkan kualiti air dan juga alam sekitar.

4. Pembukaan laluan air itu boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan Iskandar Malaysia dan negeri Johor secara keseluruhan.

KRONOLOGI JAMBATAN BENGKOK

5 Julai 1996

Tun Mahathir Mohamad telah mencetuskan idea untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan sebuah jambatan baharu.

8 Julai 1996

Perdana Menteri Singapura ketika itu, Goh Chok Tong menganggap cadangan Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baharu tidak mengejutkan republik itu.

1 Ogos 1996

Mahathir umumkan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura, namun tiada perjanjian secara rasmi dimeterai.

31 Julai 1997

Sebuah perbincangan telah berlangsung di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor.

4 September 2001

Kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.

13 Jun 2004

Malaysia yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan fasa awal kemudiannya menghentikan sementara pembinaan bagi membolehkan rundingan lanjut dibuat dengan Singapura.

24 Januari 2005

Keputusan untuk membatal atau meneruskan pembinaan jambatan bernilai RM2 bilion itu terus berlarutan dan bergantung kepada hasil rundingan dengan Singapura.

27 Ogos 2005

Tiada kata putus dibuat oleh Singapura berkaitan projek berkenaan, namun Malaysia bertegas mahu meneruskannya.

6 Februari 2006

Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

9 Mac 2006

Malaysia meneruskan kerja-kerja awal pembinaan jambatan bengkok atau ‘Jambatan Indah’ berikutan Singapura tidak memberikan kata putus mengenai projek jambatan lurus.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi dan membolehkan kapal-kapal kecil melepasinya namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

12 April 2006

Perdana Menteri selepas Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi memutuskan bahawa Malaysia menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama sekali berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.

"Kerajaan juga membuat keputusan untuk menghentikan semua rundingan bersabit jambatan tersebut.” ~ Tun Abdullah Ahmad Badawi, 12 April 2006.

26 Jun 2010

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar cadangan pembinaan jambatan bengkok dipertimbangkan semula.

"Saya yakin seluruh rakyat Johor berasa gembira dengan terbinanya bangunan JB Sentral yang serba lengkap dan indah ini, namun masih terdapat kekurangan dan kecacatannya apabila komponen utamanya iaitu jambatan masih belum dilaksanakan hingga hari ini.

"Sekali lagi, saya ingin menyeru kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor." - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, 26 Jun 2010.

17 April 2014

Mahathir sekali lagi membuat kenyataan mengenai mengapa pentingnya jambatan itu dibina sewaktu menghadiri sebuah acara di Iskandar Malaysia.

“Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor. Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru kerana jambatan tidak dibina." - Tun Mahathir Mohamad, 17 April 2014

16 Oktober 2018

Kerajaan Negeri Johor dalam usaha merealisasikan impian tertunda Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membina jambatan bengkok yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mengatakan perancangan pembinaan jambatan berkenaan telah ditolak oleh dua perdana menteri terdahulu.

ISU LAIN MENGENAI PEROBOHAN TAMBAK JOHOR

1. Laluan Kapal Dagang

Terbinanya jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor akan membolehkan bot-bot kecil dan kapal bersaiz sederhana merentasi Selat Tebrau dengan mudah.

Selama ini kapal-kapal yang dalam pelayaran jauh perlu mengelilingi Singapura.

Kemungkinan pengurangan kapal yang singgah ke pelabuhan di republik itu difahamkan menjadi perkara yang ‘dibimbangi’ pihak Singapura.

2. Laut Bersih

Dengan pembinaan jambatan bengkok, aliran air di Selat Tebrau dijangka bertambah baik kerana selama ini ia terhalang struktur Tambak Johor.

Aliran air laut yang lebih terbuka secara tidak langsung memberi kelebihan kepada kualiti air dan beberapa pihak menjangkakan ekosistem laut di Selat Tebrau akan menunjukkan penambahbaikan.

3. Bantahan Pengusaha Kupang

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan kecil di kalangan pengusaha penternakan kupang sangkar di beberapa kampung nelayan berdekatan terutamanya di Kampung Senibong.

Mereka mengatakan bahawa keadaan air di Selat Tebrau sekarang ini yang tenang dan penuh nutrien membolehkan benih kupang hidup subur.

Jika aliran Selat Tebrau sudah bebas dibuka, mereka bimbang benih kupang akan hanyut dan tidak melekat pada sangkar.

Lagipun, para penternak kupang di kampung tersebut percaya bahawa benih induk kupang kebanyakannya berada di Tambak Johor.

TIADA PERJANJIAN

Walau apapun yang didebatkan mengenainya, sebenarnya tidak ada sebarang perjanjian yang ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan bengkok tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara Malaysia mendapati bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan berkenaan secara bersendirian (unilateral) kerana terikat dengan Perjanjian Air Johor-Singapura, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan 1965.

PAK LAH U-TURN

Sebelum Pak Lah membuat keputusan pada 12 April 2006 membatalkan Projek Jambatan di Tebrau bagi menggantikan Tambak Johor yang sudah pun bermula itu, Pak Lah terlebih dahulu membuat kenyataan pada 10 Februari 2006 selepas merasmikan Memorial Tun Hussein Onn, di Jalan Dato’ Onn Kuala Lumpur seperti berikut:

“Pendirian kita mengenai Tambak Johor ialah kita hendak jambatan baru sama ada bengkok, lurus atau herot”.

Kemudian kenyataan pada 3 Mac 2006 seperti berikut:

“Pembinaan jambatan separuh bagi menggantikan Tambak Johor tidak akan menimbulkan sebarang masalah walaupun Singapura mendakwa ia boleh mendatangkan implikasi yang serius.

"Sebaliknya, pembinaan jambatan separuh itu akan menjadikan perhubungan Malaysia-Singapura lebih baik.”

Demikian kata Abdullah Ahmad Badawi selepas kempen Buku Hijau Peringkat Kebangsaan di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor ketika mengulas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Singapura George Yeo di Parlimen Singapura pada 2 Mac 2006.

Kedua-dua kenyataan Pak Lah ini cukup tegas. Rakyat juga tidak pernah membantah terhadap projek Jambatan Johor yang sudahpun mula dilaksanakan itu.

Malah rakyat cukup sedar bahawa pembinaan Jambatan itu akan membawa faedah yang besar kepada negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya.

Tetapi, 22 hari selepas kenyataan yang tegas pada 3 Mac 2006 itu, Pak Lah telah membuat kenyataan yang memeranjatkan semua rakyat pada 12 April 2006 seperti berikut:

“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama sekali berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.

"Kerajaan juga membuat keputusan untuk menghentikan semua rundingan bersabit jambatan tersebut.”

Putrajaya 12 April 2006

Pada hari yang sama juga Pak Lah telah buat satu lagi kenyataan iaitu:

“Malaysia tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana implikasi dan komplikasi undang undang yang akan berbangkit kelak dan kalau kita teruskan juga, ia akan menjadi projek yang tidak disenangi rakyat dan selama-lamanya menjadi projek yang dipertikaikan malah kita buat keputusan, ia keputusan politik.

"Kita tidak boleh mengenepikan perasaan rakyat kerana kita dipilih oleh rakyat untuk rakyat.”

Pengumuman Pak Lah membatalkan projek jambatan bengkok pada 12 April 2006 itu bercanggah dengan pendiriannya pada 10 Februari dan 3 Mac 2006, hanya 22 hari sebelum itu.

Keputusan Pak Lah membatalkan projek jambatan itu kemudian mengundang pelbagai kontroversi terutama sekali apabila ditegur oleh Tun Mahathir Mohamad hingga mencetuskan perbalahan yang berpanjangan.

26 Jun 2009 Tun Pernah Mengulas Mengenai Tambak Johor

1. Saya siarkan dokumen berkenaan pembiayaan pembinaan Tambak Johor kerana ada Menteri di dalam pentadbiran Tun Abdullah yang mendakwa Tambak Johor milik bersama antara kita dan Singapura. Sebab itu Singapura harus bersetuju sebelum apa-apa tindakan (meroboh) dapat dilakukan terhadap tambak tersebut.

2. Tidak terdapat apa-apa persetujuan mahupun perjanjian yang mengatakan Tambak Johor milik bersama. Jika ada pun 2/3 daripada tambak tersebut adalah milik Johor. Dan bahagian 2/3 tersebut sudah semestinya yang berakhir di Johor Bahru kerana sempadan di Selat Tebrau merupakan laluan air yang paling dalam, kira-kira separuh dari selat tersebut antara Singapura dan Johor. Ini mestilah juga sempadan tambak. Dengan itu separuh tambak di bahagian utara adalah hak Malaysia, satu negara yang berdaulat dan merdeka.

3. Cadangan yang mengatakan kita tidak boleh sentuh tambak tanpa kebenaran Singapura bukan merupakan sebahagian daripada apa-apa perjanjian dengan Singapura. Apa yang kita buat pada bahagian tambak di sebelah kita adalah hak kita sebagai satu negara yang berdaulat. Tidak melaksanakan hak kedaulatan kita samalah dengan menganggap diri kita dijajah.

4. Kenapa kita perlu bina jambatan untuk gantikan tambak? Jalanraya di Johor Baru di mana lalu lintas dari dan ke arah tambak bertemu dengan lalu lintas menghala ke arah timur dan barat seringkali sesak. Di masa hadapan apabila lebih banyak kenderaan menggunakan jalan tersebut, kesesakan tentu akan bertambah buruk.

5. Jambatan akan disambung ke jalan jejambat dari dan ke kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), dan ini akan benarkan lalulintas dari timur ke barat untuk bergerak lancar.

6. Selain masalah trafik, laluan air di selat juga tidak mengalir. Jika tambak dibuka, air akan bebas mengalir di kedua-dua arah, dan akan membersihkan perairan di selat.

7. Ketiadaan tambak juga akan benarkan bot dan kapal layar belayar pergi balik di kedua-dua arah. Pengangkutan barangan dan penumpang di antara pelabuhan Pasir Gudang dan pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan dipermudahkan. Ini akan membantu pertumbuhan kedua-dua pelabuhan – sesuatu yang mungkin Singapura tidak suka lihat.

8. Laluan tanpa halangan bot-bot sepanjang selat juga akan mewujudkan peluang perniagaan. Jambatan akan lebih lebar daripada tambak dan akan mempercepatkan aliran lalulintas. Bangunan CIQ juga direkabentuk untuk menampung jumlah trafik yang lebih tinggi.

9. Saya ditanya kenapa ianya tidak dibina semasa 22 tahun pentadbiran saya, jawapannya ialah keperluan untuk jambatan hanya jadi lebih jelas di akhir jangka waktu pentadbiran saya. Walau bagaimanapun, saya telah luluskan projek tersebut sebelum saya berundur. Kerja-kerja pembinaan juga bermula semasa saya masih lagi mentadbir. Jika Abdullah tidak berhentikan, jambatan sudah tentu akan hampir siap sekarang.

10. Oleh kerana Singapura hanya akan setuju untuk membina jambatan lurus jika satu bilion metre padu pasir dijual kepadanya; oleh kerana rakyat Johor membantah penjualan pasir dan kebenaran bagi pesawat pejuang Singapura berlatih di ruang udara Johor, pilihan yang ada bagi Kerajaan Malaysia hanyalah untuk kembali pada pembinaan jambatan bengkok (indah) di perairan wilayah kita. Ini adalah hak sebuah negara berdaulat yang merdeka.

11. Sebaliknya Abdullah putuskan untuk bukan sahaja tidak bina jambatan di perairan kita tetapi juga untuk berhenti berunding berkenaan semua perkara lain termasuk keengganan Singapura meluluskan dana CPF (Central Provident Fund) yang dicarum pekerja dari semenanjung Malaysia, tanah keretapi, harga air mentah 3 sen untuk 1,000 gelen yang dibayar Singapura (Melaka bayar 30 sen untuk 1,000 gelen).

12. Kesemua isu ini memberi keuntungan pada Singapura dan dengan menghentikan rundingan untuk mendapatkan hak yang lebih baik dalam masalah tersebut kononnya kerana orang Johor menolak penjualan pasir yang rugi ialah kita. Yang kalah adalah kita. Saya rasa ini satu cara bodoh untuk hukum Singapura. Ataupun adakah ianya satu hukuman bagi orang Johor kerana tidak setuju jual pasir (ada orang yang akan buat banyak duit) dan menolak cadangan supaya ruang udara Johor Baru dijadikan tempat pesawat pejuang Singapura berlatih berperang dan mengebom.

Jambatan Bengkok Tidak Perlu Kelulusan Singapura

Malaysia tidak perlu mendapatkan sebarang kelulusan daripada kerajaan Singapura untuk membina jambatan bengkok.

Tun Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat untuk melaksanakan projek itu langsung tidak membabitkan Singapura.

Namun begitu, Tun Mahathir menegaskan Malaysia masih perlu mendapatkan kelulusan Singapura jika ingin membina jambatan ketiga menghubungkan Johor Bahru dan Republik itu.

Untuk pembinaan jambatan ketiga kena minta kebenaran daripada Singapura tetapi Singapura mungkin tak benarkan kerana pembinaan jambatan bengkok langsung tidak membabitkan Singapura.

Jadi, Malaysia boleh membina jambatan bengkok pada bila-bila masa, namun bagi jambatan ketiga kena minta (kebenaran) Singapura, katanya.

Kenapa Singapura begitu takut dengan idea Tun Dr Mahathir?

Pada persepsi Singapura, meruntuhkan Tambak Johor walaupun dibahagian Johor sekalipun adalah dipercayai akan membawa kemudaratan yang cukup besar kepada mereka. Kenapa?

Tambak Johor yang dibina British telah menyebabkan adanya sekatan laluan bagi sebarang pergerakan kapal kecil mahupun besar.

Rahsia tersuratnya disini:-

"Seandainya separuh daripada tambak Johor diruntuh dan digantikan dengan sebuah jambatan baru yang akan bercantum kembali dibahagian tambak disebelah Singapura, maka laluan Selat Tebrau akan terbuka dan bersedia untuk dilalui oleh kapal-kapal perdagang!

Ekonomi Singapura yang terkenal sebagai pusat pelabuhan antarabangsa akan tergugat.

Kapal-kapal besar yang melalui Selat Melaka dan ingin menuju ke Laut China Selatan akan dapat memendekkan tempoh perjalanan dengan mengambil 'jalan pintas' di Selat Tebrau tanpa perlu mengelilingi Pulau Singapura yang kecil itu!

Tun melihat dengan pemotongan Tambak Johor itu akan menguntungkan ekonomi Malaysia dengan berkembangnya aktiviti-aktiviti di Pelabuhan Pasir Gudang dan juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | musramrakunman | darah-satria | astroawani2

10 Kemalangan Pesawat Di Indonesia

10 Kemalangan Pesawat Di Indonesia

Nahas pesawat Boeing 737 Lion Air, JT610, mengingatkan kembali beberapa kecelakaan udara yang terjadi di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Lion Air JT-601
Gambar hiasan.

Sistem penerbangan Indonesia menerima banyak kritikan dan dakwaan bahawa sistem penerbangannya tidak mengikut standard antarabangsa.

Berikut ialah insiden pesawat yang terjadi sejak tahun 2013 di beberapa lokasi di Indonesia.

1. April 2013

Boeing 737-800 Lion Air terbelah dua selepas terbabas dari landasan kapal terbang dan terhempas di perairan di Bali. Kesemua 108 orang yang berada dalam pesawat tersebut selamat selepas mereka berenang ke tepi pantai.

Dilaporkan juruterbang pesawat terbabit kurang berpengalaman.

2. Disember 2014

Pesawat AirAsia QZ8501 hilang kawalan sebelum terhempas di Laut Jawa sehingga mengorbankan 162 nyawa. Pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Indonesia, komputer kawalan penerbangan pesawat Airbus A300-200 itu rosak berulang kali termasuk empat kali semasa penerbangan dan 23 kali dilaporkan berlaku pada tahun sebelumnya.

3. Ogos 2015

Pesawat Trigana Air terhempas di Papua New Guinea disebabkan cuaca buruk yang menyebabkan semua 54 orang di dalam jet itu maut.

Pesawat itu membawa 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan lima anak pesawat, semuanya warga Indonesia.

4. Mei 2016

Dua pesawat Lion Air bertembung di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia manakala sebulan sebelum itu, pesawat Batik Air tersangkut dengan sebuah pesawat TransNusa. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

5. 4 Jun 2016

Helikopter jenis Bell 206 milik syarikat PT Amur terhempas di daerah Nabire, wilayah Papua di timur Indonesia menyebabkan empat orang maut.

6. 20 Mac 2016

Helikopter jenis 412 EP milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat membawa 13 anggota tentera terhempas dipercayai akibat disambar petir di Poso, Sulawesi Tengah. Kesemua penumpang dan juruterbang terkorban.

7. 10 Feb 2016

Pesawat EMB-314 Super Tucano milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) terhempas di kawasan perkampingan Blimbing, Kota Malang, Jawa Timur menyebabkan tiga maut termasuk dua orang awam.

8. 1 Julai 2015

Pesawat Hercules C-130 milik Angkatan Tentera Udara Indonesia terhempas di kawasan perumahan awam di Medan, utara Sumatera mengorbankan lebih 140 nyawa.

9. 28 Dis 2014

Pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang membawa 155 penumpang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah selepas hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda pada 5.30 pagi (waktu Surabaya) sebelum terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 7.24 pagi (waktu Surabaya).

Pesawat yang membawa 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat itu mengambil masa hampir dua bulan.

10. 29 Oktober 2018

Pesawat Lion Air JT-601 terhempas di Perairan Karawangan Laut Jawa, Indonesia, beberapa minit selepas pesawat Boeing 737 berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Apa Sebenarnya Maksud Syaitan Dari Golongan Manusia?

Apa Sebenarnya Maksud Syaitan Dari Golongan Manusia?

Syaitan merupakan kata umum untuk setiap entiti ṭaghūt, penderhaka dan golongan sesat, sama ada dari golongan manusia ataupun daripada golongan jin, mahupun dari golongan yang lain, bukanlah sebuah kewujudan yang khusus di dalam al-Qur'an, bahkan manusia yang jahat, tukang fitnah dan orang yang melakukan kerosakan juga digelar syaitan.

Syaitan Manusia
Gambar hiasan.

Oleh itu, yang dimaksud dengan "syaṭān al-ins" adalah manusia yang sesat dan menyimpang kerana menderhakai segala perintah Allah dan juga berada pada tahap menyesat dan menyimpangkan orang lain.

Asal-usul Syaitan

"Shayṭān" kata terbitan daripada perkataan "shaṭana" yang bermakna menjauhi. Oleh kerana syaitan menjarakkan diri dari perbuatan yang baik, maka ia dihindarkan dari rahmat Allah. Lantaran itulah ia digelar dengan nama ini.

Syaitan merupakan kata am manakala Iblis adalah kata khas. Dengan kata lain, syaitan ialah setiap kewujudan yang berbahaya, menyesatkan, penderhaka, ṭāghūt, sama ada dari jenis manusia mahupun bukan manusia.

Sementara itu, Iblis ialah nama syaitan yang telah memperdaya Nabi Adam dan sampai sekarang sentiasa bersama tenteranya untuk mengganggu dan menggoda manusia.

Kitab Ṣiḥaḥ Al-Lughah mengatakan, "Setiap kedegilan yang berpaling dari kebenaran dan realiti, sama ada dari kalangan individu manusia ataupun jin, mahupun daripada kalangan haiwan adalah syaitan."

Antara beberapa hal di dalam al-Qur’an yang menggunakan perkataan syaitan ialah kewujudan yang berbahaya dan memudharatkan, kewujudan yang tersesat dari jalan yang benar dan berada pada tahap menganggu orang lain.

ebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur'an: “ﺍﻧﻤﺎ ﯾﺮﯾﺪ ﺍﻟﺸﯿﻄﺎﻥ ﺍﻥ ﯾﻮﻗﻊ ﺑﯿﻨﮑﻢ ﺍﻟﻌﺪﺍﻭﺓ ﻭ ﺍﻟﺒﻐﻀﺎﺀ ”.. 4 ] (Qs. Al-Maidah [5]:91)

Dalam al-Qur'an, syaitan tidak dirujuk kepada mana-mana makhluk tertentu sahaja, bahkan manusia-manusia jahat dan melakukan kerosakan juga dikatakan sebagai syaitan.

“ﻭﮐﺬﺍﻟﮏ ﺟﻌﻠﻨﺎ ﻟﮑﻞ ﻧﺒﯽ ﻋﺪﻭﺍً ﺷﯿﺎﻃﯿﻦ ﺍﻻﻧﺲ ﻭﺍﻟﺠﻦ ”. ‏[ 5 ]

Iblis juga disebut sebagai syaitan kerana kerosakan dan kejahatan yang terdapat pada kewujudannya.

Perkataan syaitan juga adalah kata panggilan untuk mikrob-mikrob:

"Janganlah engkau biarkan sampah-sampah bermalam di rumah kalian.

"Sesungguhnya sampah-sampah tersebut merupakan tempat tinggal syaitan."

Oleh kerana sampah-sampah merupakan tempat berkumpulnya segala haiwan dan serangga berbahaya, maka ia diterjemahkan sebagai syaitan (dalam hadis tersebut).

Selain itu, dalam kebanyakan ayat al-Qur'an Allah SWT memanggil pengikut hawa nafsu, hasad, marah, takabbur, munafik dan sebagainya sebagai syaitan.

Oleh itu, syaitan mempunyai pelbagai makna yang berbeza di mana realiti miṣdāq (extention)-nya ialah Iblis dan tenteranya.

Manalaka miṣdāq yang lain ialah manusia yang sesat dan menyesatkan.

Walau bagaimanapun, sebahagian kecil maknanya ialah ialah mikrob-mikrob berbahaya.

Selain itu, syaitan dalam maknanya yang asli diceritakan sebagai pemahaman sifat, iaitu “kejahatan” dan di dalam al-Qurʻan membawa makna tersebut.

Melainkan, kadang-kadang membawa makna tentang diri Iblis dan kadang-kadang membawa makna umum setiap kewujudan yang jahat, di mana kejahatan yang dimilikinya sangat utuh.

Oleh itu, berkemungkinan syaitan itu terdiri daripada jin atau manusia yang di kalangan syaitan daripada kelompok jin terdapat individu istimewa yang mempunyai pangkat syaitan tertinggi, iaitu Iblis.

Walau bagaimanapun, terdapat perselisihan pendapat tentang Iblis, sama ada ia daripada golongan jin atau malaikat.

Secara zahirnya, kesimpulan daripada sebahagian ayat-ayat al-Qur'an adalah Iblis berasal daripada golongan para malaikat.

Pada ayat yang lain disebutkan, "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam.” Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, lalu menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim." (Qs. Al-Kahf [18]:50)

Oleh itu, Iblis berasal daripada golongan jin dan lantaran ia melakukan ibadah selama ribuan tahun, ia berada sebaris dengan golongan malaikat. Atas alasan itu ia menjadi tujuan (miṣdāq) perbicaraan ayat tersebut.

Kesimpulan

Syaitan merupakan sebuah entiti yang memiliki kedudukan yang degil dan menderhakai, pada masa yang sama ia juga adalah penyebar fitnah dan menyesatkan.

Boleh jadi syaitan ini berasal dari golongan manusia, jin dan haiwan atau dari jenis yang lain. Yang dimaksud dengan syaitan ins ialah manusia-manusia yang memiliki sifat-sifat seperti ini.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: islamquest

Thursday, November 01, 2018

20 Sumber Fiber (Serat) Dari Makanan Semulajadi

20 Sumber Fiber (Serat) Dari Makanan Semulajadi

Fiber atau serat boleh mengurangkan kandungan gula dalam darah, mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan dan boleh juga mengatasi masalah yang boleh menyebabkan kanser usus, juga membantu mengatasi masalah buasir.

Sumber Serat

Menurut Institut Perubatan Amerika Syarikat, jumlah serat yang disyorkan setiap hari untuk orang dewasa yang berumur tidak lebih dari 50 tahun ialah 38 gram bagi lelaki dan 25 gram untuk wanita.

Bagi mereka yang melebihi 50 tahun pula, jumlah sehari ialah 30 gram bagi lelaki dan 21 gram untuk wanita.

Kurangnya jumlah serat yang disyorkan untuk mereka yang berumur 50 tahun ke atas ialah kerana berkurangnya jumlah pengambilan makanan apabila umur semakin meningkat.

Berikut adalah 20 buah-buahan dan sayuran tinggi serat.

1. Jagung

Sebenarnya, jagung sangat kaya dengan nutriennya yang antioksidan. Setiap setengah cawan jagung yang kita makan, ia mengandungi 2 gram fiber.

Jadi, untuk mendapatkan khasiat fiber, bolehlah lepas ni beli jagung rebus.

2. Almond

Almond atau Badam, antara kekacang yang menjadi kegilaan ramai terutama ketika musim perayaan.

Tahukah anda, kacang almond adalah sumber terbaik fiber dalam badan kita kerana ia membekalkan protein dan lemak baik.

Pengambilan almond adalah baik tetapi tidak boleh diambil dalam kuantiti yang banyak sebab dia tinggi dengan kandungan kalori.

Jadi, setengah cawan atau segenggam kacang almond akan membekalkan kandungan 3 gram fiber dengan 170 kalori.

3. Kacang Hitam

Black beans atau kacang hitam mengandungi 15 gram fiber serta 15 gram protein secawan. Warnanya yang hitam dan gelap, sudah cukup memberitahu kita bahawa ia kaya dengan antioksidan.

Jadi, banyakkan pengambilan kacang hitam ini dalam diet makanan anda dan jangan lupa minum banyak air.

4. Avocado

Avokado yang lemak berkrim ini merupakan sumber fiber paling baik dan dua sudu jus avokado untuk setiap hidangan mengandungi 2 gram fiber dan sebiji buah avokado pula mengandungi 10 gram fiber.

Avokado juga adalah sumber terbaik yang mempunyai kandungan lemak tidak tepu, membantu memecahkan lemak dan mengurangkan kandungan kolesterol serta mengurangkan masalah jantung.

5. Kacang kuda

Kacang kuda juga mengandungi kandungan fiber dan antioksidan yang tinggi. Di Timur Tengah, ia adalah makanan ruji penduduk kawasan itu sehinggalah kini.

6. Artichoke

Artichoke (sejenis bunga yang berasal dari selatan Eropah dan Mediterrenean) mengandungi 10.3 gram fiber yang kaya dengan antioksidan untuk memberikan kesihatan yang baik pada tubuh.

7. Buah Pear

Buah pear membekalkan nutrien dan kaya dengan fiber. Buah pear yang tidak dikupas mengandungi 5.5 gram fiber.

8. Beras Perang

Setiap cawan beras perang ini mengandungi 3.5 gram fiber. Kajian Harvard mendapati makan setiap lima atau lebih hidangan nasi putih seminggu meningkatkan risiko penyakit diabetis sehingga 17% dan tambahan dua kali hidangan beras perang seminggu pula membantu mengurangkan risiko penyakit diabetis sehingga 11%.

9. Edamame (Kacang soya hijau/muda)

Ia adalah sejenis kekacang yang banyak ditemui di Jepun dan Korea, Edamame adalah kacang soya muda berwarna hijau.

Setengah cawan Edamame mengandungi lebih dari 11 gram protein dan 9 gram fiber.

Kandungan lemak yang ada dalam Edamame sangat sihat untuk jantung dan membantu merendahkan kolesterol dan merendahkan risiko penyakit jantung.

10. Roti berserat

Roti berserat atau whole wheat bread memang banyak sangatlah kat kedai-kedai runcit pasaraya.

Roti putih pun sebenarnye berasal dari gandum, kemudian diproses berkali-kali dan bahagian yang bergandum atau yang berserat itu telah dibuang, lalu jadilah roti tu berwarna putih.

Sebaliknya, roti berserat berwarna coklat sebab kandungan seratnya masih ada dalam roti.

11. Kacang Dhal

Kacang Dhal adalah dari keluarga kekacang yang kaya dengan fiber. Ia mengandungi 15.6 gram fiber secawan, juga merupakan sumber protein, vitamin B, zat besi dan lain-lain mineral yang sangat baik untuk tubuh.

12. Pasta penuh serat

Pasta adalah sejenis makanan tradisional daripada gandum yang memberikan sumber terbaik pada tubuh kita.

Tapi, whole-wheat pasta ini rasanya kurang enak sikit berbanding pasta putih yang selalu kita makan.

Mungkin cara penyedian pasta ini sedikit berbeza supaya rasanya boleh disesuaikan dengan selera kita kan.

13. Kacang Kidney (kacang buah pinggang)

Ia adalah sejenis kacang bewarna merah, rupanya seperti kacang merah tapi saiznya agak besar. Ada yang menggelarnya kacang buah pinggang sebab bentuknya macam buah pinggang.

Selalunya kita akan jumpa kacang ini dalam ABC (air batu campur), rasanya yang lemak memg sedap.

Kidney bean popular dikawasan utara India dan juga New Orleans, kaya dengan fiber, protein dan zat besi.

14. Oatmeal

Oat mengandungi kandungan beta-glucan, sejenis fiber yang mengandungi khasiat untuk mengurangkan kolesterol dalam darah disamping meningkatkan fungsi sistem imun dalam badan.

Oat juga adalah gabungan terbaik soluble fiber (fiber yang membantu mengurangkan kolesterol dalam darah) dan insoluble fiber (fiber yang membantu sistem pencernaan berjalan dengan lancar).

15. Raspberri

Raspberri adalah buah dari keluarga beri bewarna merah dan selalu dijadikan hiasan atas kek atau ais krim.

Untuk menambahkan extra-rice dalam fiber harian, secawan raspberri memberikan anda 3x jumlah fiber yang diperlukan sehari, juga mengandungi antioksidan.

16. Kacang Peas

Secawan kacang peas memberikan anda 16.3 gram fiber dan secawan peas yang telah disejukkan kemudian dimasak pula mengandungi 8.8 gram fiber.

17. Brokoli

Sudah tidak dapat disangkal lagi, warna hijau pada brokoli menunjukkan bahawa sayuran ini tinggi dengan kandungan serat, sangat baik untuk mengatasi masalah kanser usus.

Secawan brokoli atau jus brokoli mengandungi 5.1 gram fiber, mengandung vitamin dan mineral, antara lain beta-karoten, vitamin A, vitamin C, zat besi, vitamin B dan folat.

Brokoli dapat menguatkan sistem kekebalan tubuh melawan kanser usus.

Selain melawan kanser, brokoli juga baik untuk melawan penyakit jantung dan jangkitan terutama yang berhubungan dengan saluran pernafasan.

18. Buah Epal

Sebenarnya, kulit epal paling tinggi fiber, mengandungi 4.4 gram serat dalam sebiji epal saiz biasa.

19. Kacang Putih

Untuk meningkatkan kandungan fiber, protein dan zat besi tambahan dalam badan, ambillah kacang putih kerana ia merupakan sumber nutrisi yang baik.

Secawan kacang putih memberikan 25 peratus sumber nutrisi harian.

20. Barli

Barli sangat sesuai kalau di minum semasa badan panas dan tidak selesa, kerana ia sangat sejuk dalam badan.

Dalam satu kajian mendapati, kita akan menjadi sihat dengan memakan barli sebagai sarapan sebelum makan tengah hari dan ada juga yang menggantikannya sebagai nasi.

Kajian klinikal di Australia, Kanada dan Amerika Syarikat melaporkan bahawa serat barli berkesan dalam merendahkan kolesterol dalam darah.

Serat yang tidak mudah larut dalam barli adalah penting bagi memastikan usus dapat berfungsi dengan sihat.

Beta-glucan adalah bahan utama dalam serat mudah larut yang didapati daripada isi barli.

Ia juga bertindak sebagai antioksida semula jadi yang membantu meneutralkan radikal bebas dan boleh mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung.

Di bawah ini ada beberapa senarai fiber yang boleh dimanfaatkan dalam diet harian kita.

Produk Gandum:
  • Roti, bun, muffin.
  • Sarapan dengan cereal, oat.
  • Whole-wheat pasta dan spagetti.
  • Barli, popcorn, beras perang.

Buah-buahan:
  • Aprikot, kurma, prune dan kismis.
  • Keluarga beri seperti blackberries, blueberries, raspberries dan strawberries.
  • Buah limau, epal beserta kulit, avocado, kiwi, mangga dan buah pear.

Sayur-sayuran:
  • Sayuran bewarna hijau seperti bayam dan kailan.
  • Brokoli dan bunga kubis.
  • Terung.
  • Squash plant (sejenis labu kuning).
  • Daun saleri.
  • Kacang hijau.
  • Tomato.
  • Kekacang yang dikeringkan seperti kidney beans, kacang hitam, kacang dhal, kacang kuda.

Kekacang dan benih:
  • Almond.
  • Kacang soya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM