Thursday, October 25, 2018

Kenapa Udang Kara Air Masin Sangat Mahal?

Kenapa Udang Kara Air Masin Sangat Mahal?

Pada musim bunga tahun 2018, udang kara di Amerika Syarikat dijual pada harga RM91.50 hingga RM109.80 bagi setiap kilogram, secara langsung menjadikan lobster sebagai antara makanan paling mewah dalam minda dan budaya kita.

Lobster Air Masin

Malah, anda tidak akan mendapati menu udang kara berada di restoran-restoran biasa, tetapi hanya terdapat di restoran mewah atau hotel yang biasanya dikunjungi oleh pelanggan VIP.

Jadi, apa yang membuatkan udang kara ini lebih mewah dan mahal berbanding yang lain?

Sebenarnya, udang kara tidaklah sentiasa dianggap mewah atau mahal. Dasar politik dan perdagangan ketika ini bukan sahaja mengubah harganya tetapi juga memberikan kesan buruk kepada perniagaan udang kara.

Dalam jangka masa panjang, ia mungkin memberikan kesan kepada bagaimana kita melihat udang kara itu sendiri.

Sejarah koloni "Laabsta"

Ketika abad ke-17 di mana Amerika masih merupakan sekumpulan koloni, para koloni menulis mengenai udang kara di kawasan New England seberat 7 hingga 11 kilogram.

Dan antara udang yang terbesar adalah seberat 20.4 kilogram, yang mampu membesar sehingga 1.8 meter panjang.

Jumlah udang kara ini tersangatlah banyak sehingga terdapat dakwaan bahawa ia berada sehingga di kawasan pantai Massachusetts dengan kedalaman 0.6 meter sahaja.

Udang kara ketika itu terlalu banyak, jadi ia tidak begitu bernilai. Para koloni menganggap udang kara sebagai makanan murahan dan hanya dimakan jika tiada makanan lain di sekeliling serta jika tak mahu kelaparan.

Udang kara adalah untuk hamba-hamba yang tidak dijaga, budak, banduan dan juga babi. Semua orang berasa malu untuk memakannya. (Tiram jatuh ke dalam kategori yang sama.)

Mengeksploitasi populasi udang kara

Penangkapan Lobster

Walau bagaimanapun, para koloni melihatkan udang kara ini sebagai satu sumber kerana jumlahnya yang sangat banyak, murah dan boleh membuat keuntungan daripadanya dengan mengeskportnya kembali ke Eropah.

Dan ketika itu, orang Belanda telah mencipta cara untuk menghantar udang kara sehingga ke Atlantik dan mengekalkan kesegarannya.

Pusat udang kara yang teratur telah dibuka di Maine pada pertengahan abad ke-19 dan perniagaan pengetinan udang karang bermula dan semakin berkembang.

Ketika hampir memasuki abad ke-20, nelayan udang kara mampu menangkap sehingga 10,000 tan makhluk laut ini.

Malah, udang kara bukan sahaja dihantar merentasi lautan tetapi juga ke seluruh Amerika Syarikat, terima kasih kepada industri kereta api.

Udang kara juga dihidangkan sebagai makanan di atas kapal dan restoran di kawasan darat (jauh dari laut), di mana ia dihidangkan kepada khalayak baru sebagai hidangan sampingan atau di dalam salad.

Pengalaman makan dalam kereta api atau menikmati makanan laut jauh dari kawasan pantai menjadikan udang kara sebagai hidangan mewah.

Penangkapan udang kara yang keterlaluan di awal abad ke-20 melonjakkan harga ke paras yang sangat tinggi, sama seperti kesan undang-undang pemuliharaan terhadap makhluk ini pada pertengahan abad ke-20.

Untuk jangka masa panjang, pembekalan udang kara telah meningkat.

Undang-undang pemuliharaan berhasil dan Maine telah menerima gelombang udang kara yang membuatkan penangkapan meningkat daripada 8.34 juta kilogram pada tahun 1950 kepada hampir 59.4 juta kilogram pada tahun 2016.

Antara penyumbang ekonomi Maine

Resepi Lobster Sedap

Industri udang utama Maine, iaitu yang terbesar di Amerika Syarikat menyumbang sebanyak RM5.82 bilion kepada ekonomi Amerika Syarikat.

Ia merupakan perkara yang baik kerana sejak kebelakangan ini wakil industri udang kara dari Maine telah menerima permintaan antarabangsa terhadap produk mereka dan China bersedia untuk membeli sejumlah besar udang kara ini.

Dalam dua suku pertama tahun 2017, China telah mengimport udang kara hidup bernilai RM164 juta menjadikan tahun tersebut adalah yang paling menguntungkan setakat ini.

Dan di antara Januari dan Jun tahun 2018, Amerika Syarikat telah menjual udang kara hidup bernilai RM361.5 juta kepada China.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi


Bahaya Penyakit Tonsil Boleh Meragut Nyawa

Bahaya Penyakit Tonsil Boleh Meragut Nyawa

Mengalami sakit tekak ketika demam merupakan satu senario biasa yang sering dihidapi orang dewasa mahupun kanak-kanak. Keadaan ini sudah pasti memberi ketidakselesaan kerana selain berasa sakit di bahagian tekak, pesakit juga akan mengalami masalah untuk menelan.

Bahaya Penyakit Tonsil

Lazimnya, jika masalah ini berlaku adalah berkaitan masalah tonsil membengkak dan selalunya dipanggil tonsilitis kerana disebabkan jangkitan kuman.

Bagaimanapun menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, tonsilitis di kalangan kanak-kanak boleh membahayakan nyawa.

Ini kerana, apabila sampai tahap kritikal masalah itu boleh mengganggu sistem pernafasan selain membawa jangkitan ke organ dalaman lain seperti jantung dan buah pinggang.

Lazimnya, kanak-kanak yang mengalami demam, antara perkara pertama yang akan diperiksa oleh doktor ialah memastikan sama ada tonsil mereka membengkak ataupun tidak.

Sekiranya tonsil membengkak doktor akan mengenalpasti adakah itu jangkitan kuman virus atau bakteria dan jika bengkak tersebut disebabkan bakteria pesakit perlu berhati-hati kerana ia boleh membawa maut.

Secara umumnya semua orang mempunyai tonsil yang merupakan bonjolan di tepi kiri dan kanan anak tekak.

Bonjolan ini tidak berbahaya kerana tonsil berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan badan daripada serangan kuman.

Begitupun, kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar berbanding orang dewasa kerana tubuh baru mengenali kuman dan bakteria.

Bagaimanapun, apabila meningkat dewasa bonjolan ini semakin mengecil dan fungsinya sebagai satu mekanisme pertahanan diri daripada kuman juga tidak penting lagi.

Walaupun pada dasarnya tonsil berperanan sebagai sistem pertahanan badan daripada serangan kuman, tetapi ia hanya berfungsi pada tahun pertama kelahiran.

Ini kerana selepas tahap tersebut, tonsil tidak lagi berfungsi dan sistem imuniti badan akan diambil alih oleh kelenjar limfa yang lain.

Pada dasarnya, tonsil akan membengkak akibat daripada jangkitan virus ataupun bakteria.

Begitupun sekiranya hanya jangkitan virus, tonsilitis boleh pulih sendiri kerana pesakit hanya akan mengalami bersin, hidung tersumbat, selesema dan juga batuk.

Secara amnya, tonsil membengkak boleh pulih dengan sendiri namun pengambilan antibiotik membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Sekiranya masalah tonsil membengkak berulang empat atau lima kali setahun, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang tonsil.

Situasi ini perlu sekiranya keadaan menjadi lebih kronik kerana ia menghalang sistem pernafasan selain tonsil tersebut akan bernanah.

Bagi yang mengganggu sistem pernafasan, ini dapat dilihat apabila pesakit akan berdengkur sewaktu tidur selain mulutnya berbau.

Yang pasti, pembuangan tonsil tidak akan menjejaskan mana-mana bahagian malah pesakit akan lebih sihat selepas pembedahan dilakukan.
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

8 Anggapan Salah Terhadap Samurai Selama Ini

8 Anggapan Salah Terhadap Samurai Selama Ini

Samurai adalah tentera bangsawan dan pegawai kasta zaman pertengahan dan awal zaman moden Jepun dan apabila menyebut tentang samurai, ramai akan membayangkan seorang tentera dengan pakaian besi serta topeng, bersama pedang ikonik iaitu katana.

8 Anggapan Salah Terhadap Samurai Selama Ini

Namun, sejauh mana anda tahu mengenai samurai dan terdapat banyak tanggapan yang salah mengenai semurai lebih-lebih lagi oleh dunia Barat.

Kami ingin kongsikan 8 tanggapan salah oleh masyarakat dunia terhadap pahlawan legenda Jepun ini.

1. Permusuhan antara Ninja dan Samurai adalah tidak tepat

Samurai vs Ninja

Bila disebutkan ninja, pasti anda terbayang individu yang berbalut dengan pakai hitam dan hanya mata mereka sahaja yang kelihatan disebalik topeng.

Ada juga yang membayangkan seorang pembunuh yang menyelinap masuk ke dalam istana yang dikawal pada waktu malam dan membunuh pegawai berjawatan tinggi dengan pisau atau racun.

Gambaran ini adalah tidak tepat dan memberikan idea kepada orang ramai bahawa ninja adalah bertentangan dengan samurai.

Ninja selalunya dianggap sebagai kelas bawahan dan juga sebagai musuh samurai namun, hakikat sebenar adalah ninja merupakan sebagahagian daripada samurai.

Ninja biasanya dilatih daripada keluarga kelas atasan dan biasanya untuk ciri-ciri yang sangat spesifik kerana ia merupakan gaya pahlawan yang khusus.

Ninja sangat jarang memakai pakaian berwarna hitam dan biasanya menyesuaikan diri dengan persekitaran bagi mengintip penempatan musuh atau berpura-pura menjadi sebahagian daripada pihak musuh untuk tempoh beberapa tahun.

Pendek kata, ninja bukanlah kumpulan istimewa yang berjuang di sebalik bayang-bayang menentang samurai tetapi satu cabang ketenteraan.

2. Samurai berlatih kemahiran bertarung "1 lawan 1" tapi jarang digunakan

Samurai 1 lawan 1

Agak penting untuk membincangkan mengenai bagaimana samurai bertempur secara berhadapan tanpa menggunakan senjata untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana mereka bertarung sebagai seorang pahlawan.

Kini eksport paling popular dari Jepun selain anime dan manga adalah pelbagai jenis seni mempertahankan diri yang dihasilkan saban tahun.

Mungkin disebabkan Barat yang sangat terpesona dengan seni mempertahnkan diri kita terlupa bahawa pertarungan satu lawan satu langsung tidak ditekankan dalam budaya Jepun yang mana kita percaya selama ini.

Jepun sendiri mempercayai bahawa menggunakan senjata adalah lebih mudah dan cepat serta kurang risiko berbanding bertempur menggunakan kemahiran seni mempertahankan diri.

Namun masih ramai yang membayangkan samurai mempunyai kemahiran ini yang sangat hebat.

3. Samurai tidak suka mengendalikan wang

Samurai wang

Setiap pasangan berkahwin mempunyai masalah termasuklah berkenaan siapa yang harus menentukan perbelanjaan.

Biasanya sesiapa yang menyumbangkan dari segi kewangan dengan jumlah lebih banyak tak kiralah suami atau isteri, mereka akan mempunyai hak membuat keputusan yang lebih.

Pertikaian ini tak pernah berakhir dengan baik kerana pasangan yang menyumbang lebih sedikit akan berkata mereka menyumbangkan dalam bentuk lain seperti tenaga dan sebagainya menjadikan hubungan tersebut adil.

Dan bagi samurai, pertikaian perihal kewangan adalah antara satu perkara yang mereka tak mahu hadapi bersama isteri mereka.

Malah, mereka tak mahu langsung berurusan dengan wang ringgit dan memberikan tugas ini kepada isteri mereka.

Walaupun ia agak pelik, ia berkemungkinan besar mempunyai alasan yang praktikal iaitu mereka percaya mereka tak mempunyai masa mengendalikan hal kewangan disebabkan oleh tugasan lain yang lebih penting.

4. Samurai ditugaskan untuk mengutip cukai

Samurai kutip cukai

Kami sudah jelaskan tak kiralah sama ada kerajaan moden atau kerajaan maharaja serta pelbagai sistem feudal, semuanya telah menggubah semula kod Bushido, falsafah dan kewujudan samurai seperti yang mereka inginkan untuk tujuan tertentu.

Di ketika anda beranggapan tujuan penggubahan kod tersebut dilakukan untuk menghantar samurai ke medan perang, namun ia bukanlah seperti yang anda fikirkan.

Sebelum menjadi samurai, mereka sebenarnya lahir sebagai individu berpangkat tinggu yang mulia di Jepun. Ia adalah perkara normal mereka ini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Walaupun bukan semua samurai adalah pemungut cukai namun boleh dikatakan sebahagian besar pemungut cukai berasal dari kelas samurai.

Ahli-ahli sejarah berpendapat antara salah satu sebab pemerintah Jepun bekerja keras untuk menjadikan samurai sebagai hero mitologi di mata masyarakat adalah untuk memudahkan kerja mereka seperti mengutip cukai tanpa berhadapan dengan tentangan daripada rakyat jelata.

Walaupun tidak semua samurai adalah pemungut cukai, boleh dikatakan bahawa majoriti besar, jika tidak semua pemungut cukai, akan berasal dari kelas samurai.

5. Samurai juga menggunakan senapang

Samurai senapang

Jika anda agak terkejut mengenai fakta bahawa samurai lebih banyak menggunakan panah dan lembing berbanding pedang katana, anda pasti tak percaya mereka juga menggunakan senjata yang agak berteknologi tinggi ini.

Ini disebabkan penggunaan senapang tidak dipercayai tidak sesuai dengan zaman tersebut.

Namun, orang zaman dulu sudah mula bereksperimen dengan senapang beratus-ratus tahun sebelum ia popular dan menjadi kelaziman seperti zaman sekarang, termasuklah Jepun.

Senapang diperkenalkan di Jepun di pertengahan abad ke-15 dan mula bereksperimen dengan senapang flintlock dikenali sebagai Tanegashima.

Walaupun ia tidaklah secanggih mana ketika itu namun Jepun mahu kelihatan hebat dan cuba menggunakannya.

Mereka menghasilkan lebih kurang 300,000 senapang ini dalam beberapa dekad selepas ia diperkenalkan.

Ia menjadi penentu kepada banyak perang dan sebagai senjata yang penting.

6. Senjata yang digunakan samurai purba

Senjata Samurai

Ramai yang membayangkan apabila samurai bertarung di medan perang mereka akan menghunuskan katana dan membunuh musuh.

Ia sudah jelas bahawa samurai akan memulakan pertarungan menggunakan busur serta panah dan apabila ia gagal berhasil, anda akan fikir katana akan digunakan.

Tapi sebenarnya dalam pertarungan sebenar, sama seperti peperangan bersejarah Eropah, apabila harus berhadapan dengan musuh yang ramai dalam perang yang huru-hara, senjata yang berbentuk seperti tombak digunakan di barisan hadapan serangan dan pertahanan.

Jepun purba menggunakan senjata yang merupakan gabungan pedang dan tombak besar.

Walaupun bilah pisaunya lebih kecil daripada pedang namun hujung lembing ini lebih besar memberikan kemampuan untuk melibas dan menangkis lebih daripada lembing biasa serta sesuai untuk serangan rejaman.

7. Kod Bushido

Kod Bushido

Sejarah Kod Bushido yang kompleks dan sentiasa berubah-rubah sukar untuk dijelaskan walaupun dalam satu artikel panjang namun, dari segi konsep, terdapat tanggapan salah yang jelas harus diperjelaskan.

Kod ini telah dimitoskan saban tahun dan diputarbelitkan untuk beberapa tujuan tertentu yang membuatkan ramai orang terutamanya di barat keliru dengan gambaran sebenar apa maksud bushido.

Walaupun maklumat terperinci mengenainya tidak benar-benar diketahui tetapi ramai yang mempercayai kod sebenar adalah lebih kepada ketenteraan dan mempunyai prinsip mulia, bukan seperti apa yang dipropagandakan oleh media barat.

Dunia Barat mengetahui tentang Bushido melalui sebuah buku awal abad ke-18 yang jelas ditulis dengan cara yang menarik oleh falsafah barat.

Kekeliruan ini juga menyebabkan mereka yang tinggal di Jepun sukar untuk memahami apa sebenarnya Bushido.

Malah orang Jepun sendiri tidak tahu gambaran sepenuhnya disebabkan oleh perubahan kod ini dengan kerap.

Sebagai contoh, ia disemak semula daripada idea asli iaitu daripada setia kepada tuhan menjadi setia kepada Maharaja dan kemudiannya menjadi setia kepada negara Jepun.

Ia juga dipercayai telah diubah beberapa kali sepanjang sejarah Jepun oleh pemerintah dan pemimpin bagi memudahkan mereka.

Bushido kerap kali dijadikan alat propaganda untuk mengawal tingkah laku samurai dan mengawal mitos terhadap samurai dalam fikiran orang ramai.

8. Kemahiran memanah lebih berharga

Samurai memanah

Samurai selalu dikaitkan dengan katana, iaitu antara senjata paling popular di dunia. Ramai yang beranggapan bahawa lawan pedang menggunakan pedang ikonik adalah salah satu ujian kemahiran yang terhebat.

Ramai juga yang beranggapan bahawa kebanyakan pertarungan samurai adalah menggunakan pedang dan mereka menghargai keupayaan mengalahkan lawan menggunakan pedang, melebihi kemahiran lain.

Namun, dalam satu temuramah Olimpik bersama atlet pemanah Jepun, sejarah ini telah terjawab. Kemahiran memanah lebih berharga daripada kemahiran lawan pedang.

Jika difikirkan secara logik, ia masuk akal kerana pertempuran jarak jauh lebih baik daripada jarak dekat.

Samurai biasanya menghujani pihak musuh dari jarak jauh dengan anak panah pada sudut yang tepat bagi memastikan ia sampai dan membunuh musuh.

Jadi, kemahiran memanah adalah lebih penting kerana kemahiran bermain pedang menjadi pilihan terakhir jika perang jarak jauh tidak berhasil.

Ya, memang samurai mempunyai banyak kemahiran tetapi mampu menyerang dari jarak jauh jauh lebih penting.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, October 24, 2018

Bila Najib Nak Bertaubat?

Bila Najib Nak Bertaubat?

Meskipun sudah lebih sebulan didakwa di mahkamah berkaitan penggubahan wang haram kerana menerima sejumlah RM2.6 bilion melalui akaun bank peribadinya, Najib Razak masih cuba mengeluh secara terbuka mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Muka lucu Najib

Bukankah ketika ini beliau seharusnya menumpukan sepenuh perhatian untuk membela dirinya di mahkamah saja?

"Bila saya dapat RM2 bilion saya didakwa, bila saya pulangkan RM2 bilion pun saya didakwa.

"Ini agak pelik, orang pulangkan duit kena dakwa," kata beliau berhubung 21 pertuduhan penggubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya berkaitan dana RM2.6 bilion itu.

Daripada apa yang diluahkah Najib itu, jelas beliau sekali lagi cuba mengelirukan rakyat dan menunjukkan seolah-olah dirinya suci bersih dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Najib sebenarnya bukan tidak sedar mengenai salah lakunya, tetapi cuba buat-buat tak faham berhubung kemasukan dan pemulangan semula wang itu.

Untuk makluman Najib, jika kita mencuri atau menerima rasuah misalnya, kesalahan kita tidak akan terhapus hanya kerana kita memulangkan semula duit yang dicuri atau diterima secara rasuah sebelum itu.

Pencuri motorsikal tetap bersalah mencuri meskipun jika beberapa bulan kemudian memulangkan semula motorsikal yang dicurinya.

Lebih-lebih lagi dalam kes Najib itu, beliau menerima wang tersebut pada Mac 2013, namun hanya memulangkannya pada Ogos tahun yang sama.

Mengapa mesti mengambil masa lima bulan untuk memulangkannya?

Selain itu, fakta mengenai jumlah yang disebut Najib juga tidak tepat sebenarnya.

Jumlah wang yang dikatakan derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi yang diterima Najib adalah berjumlah RM2.6 bilion tetapi yang dipulangkan cuma RM2.3 bilion atau dalam dolar AS, wang diterima berjumlah AS681 juta, manakala yang dipulangkan hanya AS$620 juta saja.

Kenapa jumlah yang dipulangkan berkurangan dan ke mana selebihnya ia digunakan?

Mengapa Najib tidak pernah menyebut mengenai kekurangan jumlah wang yang dipulangkannya itu?

Yang lebih menghairankan, malah seluruh dunia pun tahu dan pelik dengannya, jika benar wang RM2.6 bilion itu didermakan oleh keluarga Diraja Arab Saudi, mengapa ia dimasukkan melalui Tanore Finance yang dipunyai oleh Jho Low bersama Eric Tan Kim Loong?

Malah, ketika memulangkannya pun Najib memasukkan semula RM2.03 bilion itu kepada Tanore Finance semula?

Mengapa tidak dipulangkan terus kepada anak Raja Arab yang memberi derma itu?

Kenapa mesti dipulangkan kepada syarikat kepunyaan Jho Low juga?

Yang lebih-lebih menghairankan lagi ialah berhubung hasil siasatan DOJ Amerika Syarikat pada 2017 yang mendapati sebahagian daripada wang yang dipulangkan itu telah digunakan oleh Jho Low untuk menghadiahkan barangan kemas kepada Rosmah Mansor dan gambar kepada pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Dilaporkan Jho Low telah membelanjakan AS$27.3 juta daripada wang AS$620 juta yang dipulangkan Najib itu untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat bewarna merah jambu untuk diberikan kepada "isteri MO1" serta sekeping gambar berharga AS$750 ribu sebagai hadiah kepada DiCaprio.

Bagaimana Jho Low boleh membelanjakan wang yang dipulangkan Najib itu jika benar ia dipulangkan kepada anak Raja Arab?

Dalam hal ini, kerana amalan "cash is king" yang digemarinya, Najib mungkin masih mempunyai penyokong taksub, buta dan tuli yang percaya segala apa yang diperkatakannya.

Tetapi, beliau harus sedar beliau kini bukan lagi Perdana Menteri dan rakyat telah pun menghumbannya daripada puncak kuasa menuju perjalanan ke penjara berikutan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dikaitkan dengannya itu.

Maka, lebih baiklah beliau banyak-banyak bertaubat dan meluangkan lebih masa di atas tikar sembahyang.

Lebih baik Najib menumpukan perhatian kepada kesnya di mahkamah yang terus bertali arus, daripada tidak habis-habis mencipta khayalan untuk mengelirukan orang ramai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Benarkah Lelaki Juga Mengalami Menopaus?

Benarkah Lelaki Juga Mengalami Menopaus?

Siapa kata wanita sahaja yang mengalami menopaus? Lelaki pun tidak terkecuali. Sesetengahnya mengalami simptom ‘menopaus lelaki’ seperti kemurungan, kehilangan nafsu seks, mati pucuk dan simptom fizikal serta emosi yang lain apabila mereka mencapai usia 40-an hingga awal 50-an.

Menopaus Lelaki

Simptom lain yang biasa berlaku pada lelaki dalam usia ini ialah:
  • Perubahan mood dan cepat marah.
  • Kehilangan jisim otot dan kurang kemampuan untuk bersenam.
  • Pengagihan semula lemak, seperti perut boroi atau buah dada lelaki (gynaecomastia).
  • Kurang keghairahan atau tenaga.
  • Kesukaran tidur (insomnia) atau cepat penat.
  • Sukar menumpukan perhatian dan cepat terlupa.

Simptom-simptom ini dapat mengganggu kehidupan seharian dan kualiti hidup, jadi penting untuk mencari sebab dan mengenalpasti apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikannya.

Mitos menopaus lelaki

Testosteron adalah hormon yang dihasilkan dalam testis lelaki. Ia lebih daripada sekadar memacu nafsu seks anda.

Ia juga menimbulkan perubahan semasa akil baligh, memberikan tenaga mental dan fizikal anda, mengekalkan jisim otot anda, mengawal tindak balas kecemasan anda, dan pelbagai fungsi lain.

Disebabkan testosteron diperlukan untuk pelbagai fungsi yang disebutkan, ramai yang menyangka simptom yang berlaku dengan penuaan adalah disebabkan penurunan testosteron.

Istilah menopaus lelaki digunakan secara berlebihan untuk merujuk kepada kumpulan simptom yang dialami lelaki yang berusia.

Istilah ini mengelirukan kerana ia menunjukkan simptom-simptom tersebut adalah hasil penurunan kadar testosteron secara mendadak pada usia tua, seperti yang berlaku dalam menopaus wanita. Ini tidak benar.

Walaupun paras testosteron menurun dalam lelaki berusia, penurunan tersebut stabil iaitu kurang daripada 2% setahun sekitar usia 30-40 dan ini tidak mungkin menyebabkan masalah yang ketara.

Sebaliknya, simptom-simptom yang berlaku kebiasaannya berpunca daripada faktor gaya hidup atau masalah psikologi.

Krisis pertengahan umur juga mungkin memainkan peranan. Tekanan, kemurungan, kebimbangan, diet tidak sihat dan merokok merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan simptom tersebut.

Apa itu menopaus lelaki

Pun begitu, tidak dinafikan, terdapat lelaki yang mengalami ‘menopaus lelaki’ yang sebenar atau andropaus.

Berbeza daripada menopaus wanita, tidak semua lelaki mengalaminya dan ia mungkin berkait rapat dengan masalah hipogonadisme.

Andropaus melibatkan penurunan pengeluaran testosteron pada lelaki berusia 50 tahun ke atas dan menyebabkan masalah fizikal, seksual dan psikologi. Ia biasanya bertambah teruk dengan penuaan.

Ini termasuklah:
  • Rendah tenaga.
  • Kemurungan atau kesedihan.
  • Motivasi menurun.
  • Keyakinan diri menurun.
  • Kesukaran menumpukan perhatian.
  • Insomnia atau kesukaran tidur.
  • Lemak badan meningkat.
  • Pengurangan jisim otot dan rasa lemah fizikal.
  • Ginekomastia atau perkembangan payudara.
  • Kepadatan tulang menurun.
  • Mati pucuk.
  • Libido menurun.
  • Kemandulan.

Apa itu hipogonadisme

Apabila masalah gaya hidup atau psikologi telah ditangani dan simptom masih berlaku, keberangkalian hipogonadisme perlu diambil kira.

Hipogonadisme berlaku apabila testis menghasilkan sedikit atau tidak menghasilkan hormon.

Hipogonadisme kadangkala berlaku sejak lahir yang boleh menyebabkan simptom seperti akil baligh lewat dan testis kecil.

Hipogonadisme juga kadangkala berlaku pada usia dewasa, terutamanya pada lelaki yang obes atau mempunyai diabetes jenis 2.

Ini dikenali sebagai hipogonadisme lewat dan ia boleh menyebabkan simptom ‘menopaus lelaki’ yang disebutkan di atas.

Walau bagaimanapun, ini adalah keadaan perubatan yang jarang berlaku dan bukanlah sebahagian daripada proses penuaan biasa.

Diagnosis hipogonadisme lewat biasanya boleh dibuat berdasarkan simptom dan keputusan ujian darah yang digunakan untuk mengukur tahap testosteron anda.

Diagnosis dan rawatan menopaus lelaki

Jenis rawatan yang paling biasa untuk simptom menopaus lelaki adalah membuat pilihan gaya hidup sihat.

Contohnya, doktor anda mungkin menasihati anda untuk:
  • Makan makanan yang sihat.
  • Bersenam secara teratur.
  • Dapatkan tidur yang mencukupi.
  • Mengurangkan tekanan anda.

Doktor anda boleh mengambil sampel darah anda untuk menguji tahap testosteron tubuh. Jika anda benar-benar mengalami kekurangan testosteron, anda mungkin disarankan untuk mengambil pengganti hormon, walau bagaimanapun, ia sangat kontroversi.

Seperti steroid yang meningkatkan prestasi, testosteron sintetik boleh menyebabkan kesan sampingan.

Sebagai contoh, jika anda mempunyai kanser prostat, ia boleh menyebabkan sel kanser anda berkembang.

Sekiranya doktor anda mencadangkan terapi penggantian hormon, timbangkan aspek positif dan negatif sebelum membuat keputusan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Jika Teksi Takut Berubah, Bersedialah Untuk Lesap Ditelan Teknologi

Jika Teksi Takut Berubah, Bersedialah Untuk Lesap Ditelan Teknologi

Polemik berkaitan perkhidmatan teksi dan e-hailing khususnya Grab tiba-tiba menjadi perbualan hangat di mana-mana kebelakangan ini, yang bermula apabila sekumpulan kecil pemandu teksi bertindak kurang sopan, menjerit-jerit dan meninggalkan majlis dalam suatu program dialog bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di Langkawi.

Teksi takut Grab

Berikutan itu Tun Mahathir yang seperti kesal dan merajuk lantas menawarkan diri untuk meletakkan jawatan jika cakapnya untuk mencari penyelesaian dan mewujudkan persaingan yang adil antara teksi dan Grab tidak mahu didengari.

Susulan daripada sikap kurang sopan yang ditunjukkan oleh pemandu-pemandu teksi terhadap seorang Perdana Menteri itu, kemudiannya bertimbun-timbun kecaman dilontarkan terhadap golongan itu, termasuk oleh beberapa bekas menteri.

Rata-ratanya melihat pemandu teksi sebagai golongan yang tidak mahu berubah dan hanya tahu mendesak agar kerajaan memenuhi tuntutan mereka menghapuskan perkhidmatan Grab yang merupakan saingan kepada perkhidmatan teksi.

Realitinya, Grab adalah perkhidmatan yang sudah diterima di seluruh dunia, malah sangat dialu-alukan oleh orang ramai kerana ia lebih mudah, murah, mesra dan tiada karenah menolak pelanggan atas alasan jalan sesak, destinasi yang jauh, nak bertukar shif dan seumpamanya.

Kajian atau undian awam melalui pelbagai medium media sosial jelas memperlihatkan kira-kira 95 peratus pengguna lebih memilih perkhidmatan Grab berbanding teksi.

Janji Tun Mahathir bahawa kerajaan sedang merangka dasar untuk mewujudkan persaingan yang adil antara teksi dan Grab seharusnya dialu-alukan oleh pemandu teksi, malahan tempoh masa setahun yang dijanjikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk peraturan baru berkaitan perkhidmatan e-haling dikuatkuasakan sepenuhnya, hendaklah juga ditunggu dengan penuh kesabaran.

Peraturan baru yang ditetapkan itu ialah menghendaki pemandu e-hailing memiliki lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam atau PSV, pemeriksaan kenderaan berkala di Puspakom serta perlindungan insurans.

Dalam hal ini, sementara diakui bahawa perkhidmatan Grab tidak mampu dihalang kewujudannya, pemandu atau syarikat-syarikat teksi juga seharusnya bertindak proaktif dalam usaha memastikan kelangsungan perkhidmatan mereka tidak pupus ditelan zaman yang sentiasa bergerak pantas, sekali gus menjadikan rezeki untuk menanggung keluarga tidak putus di pertengahan jalan.

Sikap pemandu teksi yang tidak putus-putus mendesak kerajaan memenuhi kehendak mereka agar menghapuskan Grab, tetapi mereka sendiri tidak mahu berubah dan masih ditakuk lama, adalah sesuatu yang sangat dikesali.

Mereka seharusnya mengambil iktibar daripada tenggelamnya jenama Nokia, Motorola dan Blackberry kepada Iphone dan Samsung, disebabkab tidak mahu cepat berubah seiring dengan peredaran semasa.

Pemandu teksi seharusnya duduk berbincang dengan kerajaan atau sesama sendiri untuk sentiasa tampil lebih baik dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Daripada menjerit-jerit nak jatuhkan kerajaan atau minta menteri letak jawatan, pemandu teksi sepatutnya menjadikan kehadiran Grab untuk mereka lebih ligat berfikir bagaimana untuk berubah dan tidak terus dikongkong oleh gaya pemikiran analog.

Oleh kerana pengguna mahukan perubahan dan lebih memilih Grab iaitu suatu perkhidmatan yang mudah digunakan melalui aplikasi dalam telefon pintar di tangan, pemandu teksi sebaik-baiknya turut sama berubah ke arah itu.

Mereka mesti pantas “mengGrabkan” perkhidmatan teksi yang sedia ada dengan membangunkan aplikasi sendiri supaya dapat sama-sama bersaing dengan perkhidmatan e-hailing yang lain.

Sehingga ini terdapat satu aplikasi e-hailing yang dikenali “CALLME” yang dibangunkan oleh Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia atau Petekma bersama Angkasa yang dilancarkan tidak lama sebelum ini.

Namun demikian, majoriti pemandu atau pengusaha teksi masih lagi bebas dan tidak terikat atau belum sedia mewujudkan apa-apa aplikasi, sebaliknya kekal berkeliaran atau menunggu di tepi-tepi menanti penumpang seperti gaya lama.

Dengan dunia yang sudah berubah, pemandu dan pengusaha teksi juga tiada pilihan lain selain berubah sama dengan sedia bersaing membangunkan aplikasi sendiri agar perkhidmatan mereka mampu bergerak maju serta berkembang seiring dengan peredaran zaman.

Kementerian Pengangkutan difahamkan sangat mengalu-alukan dan sedia membantu pengusaha atau pemandu teksi yang mahu berubah untuk membangunkan aplikasi sendiri bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Cuma, sebaik ada aplikasi itu nanti, sikap dan perangai pemandu teksi hendaklah juga berubah sama.

Mereka mesti bersikap mesra pelanggan, tidak memilih penumpang, bersopan dan tidak kurang pentingnya, kereta yang digunakan juga hendaklah sentiasa bersih, kemas serta berbau wangi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Roman Reigns Hidap Penyakit Leukimia, Berundur Dari Dunia WWE

Roman Reigns Hidap Penyakit Leukimia, Berundur Dari Dunia WWE

Peminat WWE menerima kejutan apabila Juara Universal WWE, Roman Reigns mengumumkan terpaksa melepaskan kejuaraan miliknya akibat serangan berulang penyakit leukemia yang dihidapinya.

Roman Reigns leukimia

Bercakap kepada ribuan penonton di acara WWE Raw, Roman mendedahkan yang dia telah menghidap penyakit tersebut sejak 11 tahun lalu dan telah menyerang semula baru-baru ini.

Lantaran itu, Roman perlu berehat buat seketika untuk memberi fokus kepada kesihatan dan keluarganya.

Namun, ini bukan pengakhiran segalanya kerana ketua pasukan The Shield ini akan kembali apabila berjaya menewaskan penyakit leukemia ini seterusnya aktif semula buat para peminatnya.

Pengumuman ini disambut dengan sorakan “terima kasih Roman” oleh seluruh penonton di arena disusuli dengan The Big Dog meletakkan bengkung kejuaraan Universal ke lantai gelanggang sebelum berlalu pergi dan dirangkul erat oleh Dean Ambrose dan Seth Rollins di pentas utama.

Roman Reigns telah dijadualkan untuk mempertahankan kejuaraannya di acara WWE Crown Jewel menentang Brock Lesnar dan Braun Stowman pada 2 November depan di Arab Saudi.

Pengumuman ini pastinya akan mengubah perancangan tersebut dan juara baharu pasti akan dimahkotakan tidak lama lagi.

BACA INI JUGA:

sumber: stadiumastro

Keindahan Maldives Ibarat Syurga Dunia

Keindahan Maldives Ibarat Syurga Dunia

Maldives terletak di Lautan Hindi, kira-kira tiga jam setengah penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke ibu negaranya, Male, terdiri daripada gugusan pulau, pantai, resort serta hidupan lautnya, sebenarnya bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu.

Amazing Maldives

Maka tidak hairanlah jika Maldives dikategorikan negara yang mempunyai paras muka bumi paling rendah di dunia, iaitu setinggi 1.5 hingga 2 meter.

Nama Maldives sememangnya tidak lagi asing bagi peminat tegar pantai pasir putih dan lautan biru yang begitu terkenal di serata dunia.

Namun begitu, Maldives turut dianggap sebagai destinasi percutian mahal maklumlah, negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu mempunyai pelbagai fancy resorts yang mewah dan canggih serta hotel-hotel terapung bertaraf lima bintang.

Nak menginap satu malam pun belum tentu mampu bagi golongan marhaen yang bekerja setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang.

Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja dan panoramanya tidak sama seperti Tioman, Redang dan Perhentian yang mempunyai muka bumi berbukit tinggi.

Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi.

Penduduknya bertutur dalam bahasa Dhivehi, ada persamaan dengan bahasa kuno, Sinhalese dan Elu.

Jika mendengar percakapan orang Maldives, bunyinya seakan-akan bahasa Sri Lanka dan India, tetapi sebenarnya tidak.

Dipercayai orang pertama menerokai kepulauan ini ialah nelayan dari Kerala, India dan Sri Lanka, tidak hairan jika penduduk Maldives berkulit gelap.

Setiap warga Maldives wajib beragama Islam. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Bagaimanapun jika anda menginap di resort bertaraf antarabangsa di Maldives, arak dan makanan tidak halal tetap disaji atas alasan permintaan tetamu resort dari pelbagai negara.

Pesawat akan mendarat di sebuah pulau terbentang landasan, penghujungnya kelihatan air laut biru muda, bukan dalam bandar Male, tapi di sebuah pulau bersebelahan Male.

Pulau ini kecil dan tidak ada premis lain kecuali bangunan lapangan terbang Ibrahim Nasir.

Untuk ke lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air.

Tiada jambatan menghubungkan lapangan terbang ke Male, yang terletak di sebuah pulau kecil dengan tapak landasan ditambak, dikelilingi lautan biru kehijauan jernih.

Selain bot laju, di sini para pelancong akan dibawa ke pulau dan resort pilihan dengan kapal terbang kecil yang mendarat atas air, hanya untuk perjalanan melebihi tiga jam.

Setibanya disana, mata seperti tidak berkelip kerana takjub dengan kejernihan air laut hingga kelihatan batu karang di bawah permukaannya.

Sejarah

Keindahan Pantai Maldives

Maldives pernah dijajah Portugis selama 15 tahun, Belanda empat bulan dan British bermula 1887 hingga 1965.

Diperintah oleh presiden selaku ketua negara, negara ini mengamalkan undang-undang Syariah dan hukum hudud.

Kerajaan Maldives menetapkan setiap warganya wajib beragama Islam dan bukan Islam tidak layak bergelar warganegara.

Pulau paling besar dalam gugusannya hanya 8 kilometer persegi. Maldives dibahagikan kepada 21 terumbu (kawasan pentadbiran).

Setiap bahagian terumbu diketuai ketua yang dilantik presiden. Setiap pulau diketuai khatib selaku ketua pulau juga dilantik oleh presiden.

Di antara 1,192 pulau bukan semua didiami penduduk, hanya 185 yang didiami (termasuk perkampungan dan resort dan sebuah pulau yang dijadikan kompleks penjara).

Pada 2008, kepadatan penduduknya bertambah ekoran kehadiran pekerja asing di resort bertaraf antarabangsa.

Sekarang penduduk Maldives berjumlah 350,000 orang manakala pekerja asing meningkat ke 70,000 yang rata-ratanya dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal selain Eropah.

Pelancongan menjadi sumber ekonomi terbesar selain perikanan dan kini Maldives menerima kunjungan pelancong luar seramai 700,000 orang setahun.

Maldives menggunakan tulisan Thaana, yang seakan-akan tulisan jawi.

Di Maldives, mereka tidak mengamalkan konsep resort bercampur dengan penduduk dalam satu pulau, kecuali di ibu negaranya Male.

Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Begitu juga tetamu resort, tidak boleh melawat pulau yang ada penduduk, tanpa kebenaran.

Undang-undang itu bukan sahaja di pulau ini tetapi untuk semua pulau yang mempunyai resort.

Keindahan Maldives

Uniknya, dikala panas terik tengah hari, hujan lebat akan turun dalam masa beberapa minit sebelum cuaca bertukar panas. Perkara sedemikian berlaku beberapa kali sehari.

Antara aktiviti di Maldives adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah dan memancing ikan - aktiviti rutin pelancong ke Maldives.

Cenderahati hanya boleh dibeli di lapangan terbang.

Maldives menggunakan mata wang Rufiyah, bukanlah destinasi beli-belah tetapi syurga dunia bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Maldives menyediakan resort kelas mewah dan sederhana pada kadar termahal RM200,000 semalam dan termurah RM200 semalam tanpa sarapan pagi.

THE MURAKA

Keindahan Maldives Ibarat Syurga Dunia

Apa yang menjadi tumpuan ramai di Maldives adalah vila The Muraka yang bernilai hampir USD50,000 (±RM208,000) untuk satu malam, yang terletak di Conrad Maldives Rangali Resort.

Vila dua tingkat tersebut dilengkapi dengan reka bentuk moden dengan teknologi hebat yang membenarkan penginap bilik tersebut untuk menikmati pemandangan laut di tingkat atas dan pemandangan dasar laut di tingkat bawah.

Vila ini juga dikenali sebagai penginapan pertama di dunia yang menawarkan pemandangan dasar laut di dalam ruang tidur jadi, tidak hairanlah mengapa harga bilik tersebut boleh mencecah harga RM200,000 untuk satu malam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Tuesday, October 23, 2018

DuitNow, Sistem Mudah Memindahkan Wang Secara Online

DuitNow, Sistem Mudah Memindahkan Wang Secara Online

DuitNow adalah kaedah terkini penghantaran dan penerimaan wang kepada pihak ketiga tanpa memerlukan nombor akaun penerima. Hanya dengan nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit atau nombor pasport penerima, membolehkan transaksi pemindahan dan penerimaan wang berjalan dengan lebih pantas dan berkesan.

DuitNow, Sistem Mudah Memindahkan Wang Secara Online

DuitNow adalah sebuah perkhidmatan perbankan terbaru yang diperkenalkan oleh PayNet, salah satu agensi dibawah Bank Negara yang sebelum ini telah menerajui beberapa perkhidmatan perbankan, termasuk antaranya adalah MEPS untuk pengeluaran duit melalui ATM, selain JomPay yang memudahkan pembayaran bil.

Sejak daripada 8 Oktober 2018 lepas, ramai pengguna yang terkejut dengan beberapa bank tempatan yang telah mula membuat pendaftaran automatik untuk perkhidmatan DuitNow, sekali gus menimbulkan kekeliruaan sama ada SMS yang diterima mereka adalah sahih atau sebaliknya.

Ini ditambah lagi dengan laman DuitNow sendiri seperti masih belum bersedia dan tidak menggunakan HTTPS, membuatkan beberapa pelayar web memaparkan ia sebagai “Tidak Selamat”.

Apa Itu DuitNow?

DuitNow merupakan perkhidmatan perbankan baru yang ingin memudahkan pengguna membuat pindaan wang kepada seseorang dan tidak terikat kepada penggunaan nombor akaun bank semata-mata.

Melalui DuitNow, seseorang boleh memautkan nombor telefon, nombor kad pengenalan (MyKad), atau nombor pasport (untuk bukan warganegara) ke akaun bank mereka.

Selepas memautkannya, pengguna boleh menerima pembayaran ke akaun mereka terus menggunakan sebarang nombor berkenaan. Langkah ini sekali gus akan memudahkan beberapa proses pembayaran.

Sebagai contoh, pengguna boleh memasukkan nombor akaun penerima duit dengan hanya memilihnya daripada senarai buku alamat nombor telefon dan melakukan pembayaran, sekali gus memudahkan pembayaran dilakukan pada peranti mudah-alih.

Selain itu, penggunaan DuitNow juga akan memudahkan syarikat atau agensi kerajaan untuk membayar terus ke MyKad anda.

Sebagai contoh, majikan boleh membayar terus ke nombor MyKad dan tidak lagi perlu sukar meminta nombor akaun bank dan sebagainya daripada pekerja mereka.

Hal sama juga untuk kerajaan melakukan sesuatu pembayaran terus kepada rakyat dan memudahkan simpanan rekod.

Pada masa yang sama, DuitNow turut menyokong akaun perbankan syarikat yang bermakna, syarikat boleh memautkan akaun pendaftaran syarikat mereka ke akaun bank dan seterusnya menerima pembayaran yang dibuat ke akaun pendaftaran syarikat mereka.

Ini juga mungkin meningkatkan kadar keyakinan seseorang pembeli terhadap sesuatu syarikat berkenaan.

Secara keseluruhan, DuitNow dilihat sebagai langkah PayNet untuk memudahkan pengguna mengingati maklumat penerima pembayaran.

Bagaimana DuitNow Berfungsi?

DuitNow berfungsi seperti perbankan biasa, dimana pengguna perlu memasukkan nombor telefon atau nombor MyKad pada tempat penerima, seterusnya memasukkan amaun.

Seperti pembayaran biasa, pengguna akan dibawa kepada skrin seterusnya untuk mengesahkan maklumat penerima (seperti nama) dan sebaik sahaja disahkan, pemindahan wang akan dilakukan seperti biasa.

DuitNow menawarkan pemindahan percuma untuk nilai di bawah RM5,000.

Menurut PayNet, sekiranya sesuatu nombor telefon atau MyKad tidak dipautkan kepada sesuatu nombor akaun – maka ia akan memaparkan mesej yang mana penerima berkenaan tidak wujud, sekali gus tidak membolehkan anda membuat pemindahan wang.

Penggunaan Nombor Telefon/MyKad

Ramai pengguna yang risau berkenaan dengan penerimaan SMS sejak awal bulan Oktober ini, kerana pihak bank tidak memaklumkan hal ini dengan baik kepada pengguna sebelum melaksanakannya.

Setiap nombor telefon atau MyKad hanya boleh dipautkan kepada satu bank sahaja.

Sebagai contoh, sekiranya anda telah menerima SMS berkenaan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun Maybank, maka anda tidak boleh menggunakan nombor telefon sama untuk akaun bank lain.

Anda perlu nyah-daftar ia terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya pada perkhidmatan perbankan lain. Perkara sama juga untuk MyKad.

Switch DuitNow

Buat masa ini, pihak bank masih tidak menyediakan panel pengurusan untuk memautkan nombor telefon atau MyKad ini ke akaun bank.

Hal ini akan berubah pada 8 Disember 2018 kelak apabila bank-bank tempatan bakal memperkenalkan fungsi ini terus pada perkhidmatan perbankan atas-talian mereka untuk pengurusan dengan menyertakan sokongan “Switch DuitNow” yang membolehkan anda memindah atau menukar nombor telefon berdaftar DuitNow dari satu bank ke bank lain. Berkemungkinan, semua bank akan turut menyertakan ciri lebih kurang sama.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, pendaftaran dan nyah-daftar dilihat diuruskan melalui bank atas-talian atau menggunakan aplikasi mudah-alih sahaja. Ia masih belum boleh diuruskan melalui perkhidmatan ATM buat masa ini.

Selamatkah DuitNow?

Cara daftar DuitNow

Dengan penggunaan nombor telefon, ramai yang risau mereka akan tersilap dan melakukan pemindahan tanpa sengaja, namun ini merupakan salah satu perkara yang anda tidak perlu risau.

Ini kerana pemindahan wang ke DuitNow hanya satu hala sahaja dan boleh dilakukan menggunakan perbankan atas-talian atau aplikasi mudah-alih.

Pengguna hanya boleh menerima pembayaran sahaja menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

Pengguna tidak boleh melakukan pembayaran menggunakan nombor telefon, sebaliknya perlu melakukan ia melalui akaun bank mereka seperti biasa.

Apa Seterusnya?

Pengenalan DuitNow ini dijangka akan menjadi titik tolak untuk sejumlah perkara lain dalam arena kewangan.

Sebagai contoh, dengan pengenalan DuitNow ini juga kita mungkin akan dapat melihat PayNet menggunakan kerangka sama dalam pengenalan sistem kod QR universal yang dinantikan ramai.

Malah, ia juga mungkin memudahkan syarikat teknologi kewangan (fintech) lain dalam mengintegrasikan kemudahan pembayaran dan menambah-baik penawaran masing-masing.

DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan menyediakan kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera 24 jam sehari.

FAQ

SOALAN 1: Bagaimanakah cara untuk membolehkan saya menerima bayaran/kiriman wang melalui DuitNow?

Anda perlu terlebih dahulu mendaftar DuitNow bersama Bank dengan menggunakan salah satu nombor pengenalan berikut:
  • Nombor telefon bimbit
  • Nombor kad pengenalan
  • Nombor passport

SOALAN 2: Bagaimanakah cara untuk mengakses DuitNow?

DuitNow boleh didapati mulai Januari 2019. Anda perlulah terlebih dahulu mendaftar sebagai pengguna sebelum boleh menggunakan DuitNow.

SOALAN 3: Apakah had penggunaan nombor pengenalan (ID) untuk DuitNow?

Anda boleh mendaftar pelbagai ID yang dibenarkan. Walau bagaimanapun, setiap ID tersebut hanya boleh digunakan/dihubungkan dengan satu akaun bank sahaja (sama ada bank yang sama ataupun bank yang berbeza).

SOALAN 4: Adakah terdapat sebarang caj jika menggunakan DuitNow?

Semua penghantaran wang yang tidak melebihi RM5,000 melalui DuitNow adalah PERCUMA. Caj RM0.50 hanya akan dikenakan bagi setiap transaksi melebihi RM5,000.

SOALAN 5: Apakah tempoh masa yang diperlukan bagi penerima untuk menerima bayaran/pindahan wang melalui DuitNow?

Penerimaan bayaran/pindahan wang adalah dalam masa sebenar (real time). Penerima akan menerima wang tersebut pada sebaik sahaja transaksi berjaya dilakukan oleh pihak penghantar.

SOALAN 6: Berapakah had transaksi DuitNow?

Maksimum RM50,000 bagi setiap transaksi pindahan wang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz