Friday, October 12, 2018

Jauhi 3 Jenis Makanan Ini Ketika Cuaca Panas

Jauhi 3 Jenis Makanan Ini Ketika Cuaca Panas

Dalam keadaan cuaca panas melampau ini kita bukan saja perlu minum banyak air mengekalkan kadar cecair dalam badan tapi juga mengawasi apa yang dimakan.

Elak Makanan Cuaca Panas

Tiga jenis makanan ini sebaiknya anda kurangkan pengambilannya ketika cuaca panas kerana mampu menjejaskan kadar air dalam badan selain meningkatkan suhu tubuh.

1. Makanan pedas

Masyarakat Malaysia memang sinonim dengan makanan pedas baik menggunakan cili api mahu pun rempah.

Namun, ketika cuaca panas makanan sebegini sebaiknya dikurangkan, kerana dikatakan boleh meningkatkan suhu badan selain menghasilkan peluh berlebihan.

Oleh itu hidangan, seperti masak lemak cili padi atau sambal tumis yang pedas melampau sebaiknya dihindari apatah lagi ketika tengah hari yang panas.

Selain itu makanan yang terlalu pedas juga boleh menyebabkan cirit birit bagi yang tidak biasa hingga mampu mengakibatkan tubuh kehilangan cecair yang mana cukup berbahaya ketika cuaca panas.

2. Teh dan kopi

Sudah menjadi kebiasaan kita sarapan mesti diiringi dengan minuman kopi atau teh, tapi ketika cuaca panas ini dua minuman ini perlu dihindari.

Ini kerana teh dan kopi akan menyebabkan kita kerap buang air kecil, sedangkan tubuh memerlukan air yang banyak kerana suhu panas menyebabkan badan hilang banyak air.

Kita boleh menggantikan teh dan kopi ketika sarapan dengan jus buah-buahan yang kurang gula.

Selain itu pastikan minum banyak air putih untuk membekalkan air yang cukup pada tubuh.

3. Hidangan berasaskan daging

Makan nasi berlauk gulai daging atau daging black paper memang enak tapi pada hari-hari yang panas membahang sebaiknya ia dikurangkan pengambilannya.

Sebabnya, makanan berasaskan daging ini bersifat tinggi protein dan sukar dihadam.

Malah, sewaktu proses penghadaman makanan ini tubuh akan mengeluarkan haba yang boleh menyebabkan kepanasan.

Selain itu, tubuh menggunakan lebih banyak tenaga untuk memecahkan protein berbanding karbohidrat.

Jadi, disarankan kita mengurangkan hidangan daging dan sebagai alternatif, anda boleh mengambil lebih banyak lauk berasas ikan dan sayur-sayuran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: karangkraf

Misteri Gambar Tahun 40an Papar Lelaki Pegang Telefon Bimbit!

Misteri Gambar Tahun 40an Papar Lelaki Pegang Telefon Bimbit!

Sekeping foto yang dirakam sekitar 1940-an yang dimuat naik ke laman sosial ternyata menarik perhatian ramai, baru-baru ini.

Misteri Gambar Tahun 40an Papar Lelaki Pegang Handphone!

Menerusi foto tersebut yang dimuat naik oleh Stuart Humphrys di Twitter, ia memaparkan sejumlah individu sedang berjemur di tepi pantai.

Namun, kehadiran seorang lelaki yang memakai sut berwarna perang dalam gambar itu menjadi perdebatan utama pelayar internet.

Manakan tidak, dia kelihatan seolah-olah sedang menggunakan telefon bimbit di tengah-tengah kumpulan manusia dalam foto itu.

"Er, adakah saya je yang perasan dia sedang bermain telefon bimbit, dalam tahun 1950-an?" soal seorang lelaki di Twitter.

"Hebat mata kamu, lelaki itu mengembara dari masa hadapan sambil membawa telefon bimbit," ujar seorang lagi individu.

Malah, seorang pelayar Twitter turut menyifatkan foto tersebut menjadi bukti bahawa pengembaraan merentasi masa sememangnya wujud namun, tidak semua pengguna Twitter berfikiran serupa.

Seorang lelaki berpendapat dia bukanlah sedang bermain telefon bimbit sebaliknya sedang menggulung rokok sahaja. Perdebatan mengenai foto seperti ini bukanlah pertama kali berlaku.

Sekitar 2010, foto dari filem klasik Charlie Chaplin memaparkan seorang individu kelihatan sedang menggunakan telefon bimbit. Lebih menghairankan, foto tersebut dirakam pada tahun 1928.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook juga mengakui pernah melihat peranti iPhone dalam lukisan berusia 347 tahun yang dihasilkan oleh Pieter de Hooch.

Ujarnya, dia melihat karya tersebut di sebuah muzium di Amsterdam.

"Saya sentiasa fikir yang saya tahu bila iPhone dicipta, tapi bila tengok dalam karya itu, saya jadi keliru. Mungkin ia sudah lama wujud," ujarnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Sombong Penghalang Masuk Syurga

Sombong Penghalang Masuk Syurga

Banyak kisah mengenai kebinasaan yang diterima oleh mereka yang bersikap angkuh tetapi masih ramai lagi yang bersikap sombong terhadap sesama manusia. Sebagai contoh, iblis telah diusir dari syurga kerana sifat sombongnya yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s. Begitu juga kisah Qarun dan seluruh harta bendanya kerana sikap sombong kepada kaumnya juga terhadap Allah SWT.

Sombong Penghalang Masuk Syurga

Firaun dan bala tenteranya juga menerima nasib yang sama apabila ditenggelamkan ke dalam laut kerana sikap sombongnya yang mengakui diri sebagai Tuhan.

Kaum Nabi Lut a.s. juga mengalami nasib yang sama apabila mereka sombong dengan menolak kebenaran yang disampaikan Nabi Lut a.s. supaya meninggalkan tabiat buruk. Mereka mengamalkan penyimpangan seksual dengan memilih pasangan hidup sesame jenis (homoseks) sehinggakan pada suatu pagi, Allah SWT membalikkan bumi tempat tinggal mereka dan tiada seorang pun daripada mereka yang dapat menyelamatkan diri dari azab-Nya.

Mengapakah kita dilarang bersikap sombong dan angkuh? Kerana manusia adalah makhluk yang lemah. Tidak layak makhluk yang lemah itu bermegah-megah dan sombong terhadap Allah SWT yang menjadikan alam semesta ini.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, masih ramai manusia yang lupa diri sehingga menjadi sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain dan menganggap diri sempurna segala-galanya.

Rasulullah SAW telah mengingatkan betapa bahayanya sifat sombong, sebagaimana dari Abdullah bin Mas'ud r.a., Rasulullah SAW berkata, "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong."

Kemudian seseorang itu berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus." Rasulullah SAW menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain." - hadis riwayat Muslim.

Dalam al-Quran, Allah SWT turut mengingatkan, "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri." - surah al-Luqman: 18.

Allah berfirman lagi, "(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong, takbur ialah Neraka Jahanam." - surah al-Zumar : 72.

Rasulullah SAW berkata, "Tidak akan masuk syurga siapa yang ada di dalam hatinya sedikit kesombongan." - Hadis riwayat Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berkata, "Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab, "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata, "Penghuni syurga adalah orang yang lemah lagi direndahkan orang lain, kalau dia bersumpah (berdoa) kepada Allah s.w.t nescaya Allah kabulkan doanya. Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab, "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata, "Penghuni neraka adalah orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong perangainya."- hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang sombong akan mendapat kehinaan di dunia ini yang berupa kejahilan sebagai balasan daripada perbuatannya. Allah SWT tidak suka manusia memiliki sifat ini kerana sombong merupakan perangai iblis. Ketika Allah memerintahkan ia bersujud kepada Adam a.s, ia enggan kerana merasakan dirinya lebih baik. Sebaliknya, Nabi Adamlah yang perlu bersujud kepadanya. Ini kerana ia dijadikan daripada api dan Nabi Adam a.s pula daripada tanah.

Firman Allah SWT, "Ketika kami berfirman kepada para para malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk dalam golongan orang yang kafir." - surah al-Baqarah: 34.

Iblis merupakan makhluk pertama yang bersikap takbur terhadap Allah SWT. Makhluk Allah sebelum itu, tiada yang berani membantah apatah lagi mempertikaikan sebarang perintah Allah termasuk malaikat dan jin.

Menurut iblis seperti yang direkodkan oleh Allah SWT, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Aku dijadikan daripada api sedangkan dia dijadikan daripada tanah." - surah al-A'raf : 11-12.

Demikianlah betapa beraninya iblis menentang arahan Allah SWT. Inilah perangai iblis, ia amat berani bertakbur dengan Allah SWT yang menciptanya sedangkan jika Allah SWT mahu, Dia boleh musnahkan iblis yang sombong itu bila-bila masa sahaja.

Tetapi Dia memberi peluang kepada iblis untuk melaksanakan misinya, iaitu menggoda manusia kearah kesesatan, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dengan penuh keihklasan semata-mata kerana mengharapkan redha dan kasih sayang Tuhannya.

Sebaik-baiknya, kita perlu mencontohi para malaikat. Ketika diperintahkan agar bersujud kepada Nabi Adam a.s, mereka terus sahaja sujud tanpa banyak soal atau bantahan.

Sedangkan kejadian malaikat juga tidak kurang hebatnya, iaitu mereka dijadikan daripada cahaya. Kalau malaikat ingin membantah, sudah tentu mereka laya.

Namun, mereka sedar bahawa tanah, api, atau cahaya semuanya sama di sisi Allah SWT kerana mereka semua adalah makhluk-Nya.

Allah SWT memerintahkan agar kita bersikap tawaduk dan rendah diri. Semua kita ini adalah hamba Allah yang berasal dari setitis air mani yang hanyir lagi hina. Kemudian menjadi seketul darah yang hina.

Oleh itu, apalah yang hendak dibanggakan? Akhir sekali nanti, kita akan kembali kepada pencipta dalam keadaan kaku dan tidak bernyawa. Tidak mampu melakukan apa-apa lagi dan tidak berkuasa menolak takdir yang telah dijanjikan itu.

Oleh itu, berwaspadalah dengan sifat sombong ini. Banyakkan berdoa agar dijauhi sifat yang dibenci ini. Mudah-mudahan kita dijauhi dari bakaran api neraka yang sentiasa marak menyala-nyala.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jais

Berhati-hati Dengan Pegawai Dan Petugas Jabatan Perangkaan Palsu

Berhati-hati Dengan Pegawai Dan Petugas Jabatan Perangkaan Palsu

Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya sekiranya didatangi pegawai yang meragukan mendakwa daripada jabatan itu untuk melakukan bancian kerana dikhuatiri pegawai palsu.

Berhati-hati Dengan Pegawai Dan Petugas Jabatan Perangkaan Palsu

Pengarahnya Zuraidy Zainal Abidin berkata, pegawai dan petugas banci dari Jabatan Perangkaan akan sentiasa memakai membawa surat iringan dan kad kuasa sebagai pengenalan diri yang membenarkan mereka membuat pengumpulan data.

Jika orang ramai merasa ragu dengan pegawai banci yang datang, mereka boleh minta kad kuasanya dan hubungi segera jabatan untuk pengesahan.

Zuraidy berkata, ia susulan kejadian yang berlaku di sebuah daerah di Kelantan baru-baru ini ketika pihaknya ingin membuat bancian tetapi dihalang oleh penduduk setempat.

Mereka mengatakan sudah ada pihak yang mengaku mereka dari Jabatan Perangkaan datang untuk melakukan bancian sebelum kehadiran pihak mereka.

Beliau berkata, ada juga sesetengah pihak mengaku dari jabatan itu sebagai alasan untuk diberi keizinan memasuki kediaman penduduk, tetapi akhirnya mereka akan menawarkan produk jualan mereka kepada isi rumah.

Bila berlakunya penyamaran sebegini ia memberi kesan kepada pegawai jabatan Perangkaan untuk melakukan tugas.

Mengenai Stats Fun 2018 itu yang disertai 85 pelajar tingkatan empat aliran perakaunan dan perniagaan, Zuraidy berkata program tersebut adalah antara pendekatan untuk memberi pendedahan penggunaan statistik rasmi negara dalam pembelajaran di sekolah.

Program itu juga adalah sebahagian daripada aktiviti yang dirancang oleh jabatan tersebut sempena menyambut Hari Statistik Negara pada 20 Oktober setiap tahun, katanya.

Banci dan Penyiasatan

Sebagai panduan dan makluman kepada seluruh rakyat Malaysia, pada ketika ini ada beberapa jenis Penyiasatan Isi Rumah (Survei) sedang dijalankan secara serentak diseluruh negara.

Mengenai dakwaan ada pihak yang mengaku dari Jabatan Perangkaan datang untuk melakukan bancian sebelum kehadiran pihak mereka, adakalanya dalam kawasan/kampung yang disebut BLOK PENGHITUNGAN, 2 atau 3 jenis survei/penyiasatan/banci dijalankan serentak pada bulan yang sama.

Oleh itu, pegawai berlainan dari Jabatan Perangkaan berkemungkinan akan datang menjalankan banci berlainan di kawasan/kampung yang sama pada bulan yang sama.

Banci/Penyiasatan/Survei Jabatan Perangkaan 2018 (Isi Rumah)

Untuk tahun 2018 ini, Jabatan Perangkaan sedang menjalankan beberapa jenis Banci/Penyiasatan/ Survei, dan pegawai-pegawai kerja luar akan hadir ke rumah-rumah terpilih yang dijalankan setiap bulan;
  1. Survei Penggunaan Dan Capaian ICT Oleh Individu Dan Isi Rumah 2018 (Bulanan).
  2. Survei Tenaga Buruh, Gaji & Upah dan Migrasi 2018 (Bulanan).
  3. Survei Pelancongan Domestik 2018 (Bulanan).
  4. Penyenaraian Isi Rumah, sebagai persediaan Banci Penduduk 2020 (Bulanan).

Jika anda merasa ragu kemungkinan pegawai yang hadir bukan dari Jabatan Perangkaan, sila dapatkan surat iringan yang dibawa bersama, nama pegawai tersebut dan hubungi no telefon pejabat yang tertera.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai maklumat yang dikeluarkan oleh jabatan ini, sila layari laman web www.dosm.gov.my.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, October 11, 2018

Cukai Keuntungan Modal (CGT) Lebih Adil Kepada Rakyat?

Cukai Keuntungan Modal (CGT) Lebih Adil Kepada Rakyat?

CGT atau Cukai Keuntungan Modal atau Capital Gain Tax (CGT) adalah cukai yang dikenakan dan dipungut dari hasil keuntungan penjualan dan urusniaga (transaksi) saham-saham, bon-bon, emas dan opsyen saham seperti ESOS (Employee Share Option Scheme – Skim Saham Pilihan Pekerja) dan sebagainya.

Cukai CGT

ESOS secara mudahnya adalah skim insentif bukan berbentuk wang yang diberikan oleh majikan kepada pekerja mereka untuk berkongsi risiko syarikat. Jika untung dapat imbuhan, jika rugi tak dapat apa-apa. Dengan kata lain hasil keuntungan penjualan saham-saham individu atau syarikat yang diurusniagakan di Bursa Saham atau yang bertukar tangan akan dikenakan cukai yang ditetapkan peratusan tertentunya oleh kerajaan (Pakatan).

Ini termasuklah saham-saham amanah hasil inisiatif kerajaan bagi meningkatkan ekuiti dan aset terutamanya kaum bumiputera seperti ASN, ASB, ASW, ASM, ASD, ASG, AS1M dan lain-lain yang diperkenalkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Begitulah halnya dengan saham-saham amanah yang diwujudkan atau yang diurusniagakan oleh agensi- agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Pusat atau kerajaan-kerajaan negeri termasuklah juga urusniaga saham oleh KWSP, Tabung Haji, saham koperasi dan lain-lain.

Di mana selama ini keuntungan dari penjualan atau pemberian bonus dan dividen ke atas simpanan saham-saham amanah ini dikecualikan oleh kerajaan dari dikenakan sebarang cukai CGT.

Walau bagaimanapun, CGT secara halusnya melemahkan pegangan ekuiti dan aset bumiputera dan juga menjauhkan pelabur asing.

Ini kerana pelabur asing hanya akan melabur di negara TANPA CGT, manakala Malaysia sebagai negara membangun amat bergantung kepada perolehan dari pelaburan asing.

IMF

Kesan perlaksanaan cukai di negara-negara maju berkonsepkan GST/VAT telah menyebabkan polarisasi di dalam masyarakat kerana golongan yang banyak menanggung cukai adalah pihak berpendapatan sederhanana.

Golongan kaya memiliki lebih banyak cara dan peluang untuk mengelak dari dikenakan cukai, justeru jurang antara kedua golongan ini semakin melebar.

Perkara ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidakstabilan politik di dalam negara tersebut apabila majoriti rakyat tertekan dengan sistem percukaian sedia ada dan sebagai alternatif, IMF turut mencadangkan agar dikaji sistem percukaian alternatif yang memfokuskan kepada golongan berpendapatan tinggi.

Jika diteliti punca sebenar krisis kewangan negara Greece yang membawa kepada bankrupsi, adalah kerana kegagalan kerajaan memperoleh pendapatan yang cukup dari sumber cukai.

Kadar kutipan cukai menurun disebabkan dasar dan amalan melepaskan golongan kaya dari dikenakan cukai, sehingga akibatnya mengganggu perbelanjaan kerajaan.

Dasar dan amalan melepaskan golongan kaya ini dipercayai bermula ketika pihak tentera mengembalikan kuasa kepada rakyat selepas merampas kuasa antara 1967 hingga 1974.

Dipercayai dasar dan amalan itu dilaksanakan sebagai salah satu syarat dari pihak perampas kuasa untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Berkaitan dengan perkara ini, banyak rencana antarabangsa yang mendedahkan bahawa golongan kaya di Greece melepaskan diri dari membayar cukai.

Ada benarnya jika ia diambil kira untuk merawat krisis ekonomi negara kerana kesilapan perancangan ekonomi hanya akan menyebabkan negara menerima nasib sama seperti Greece.

IMF juga telah mencadangkan kepada New Zealand untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal (CGT) dalam melindungi ekonomi mereka. Cukai ini dikenakan terhadap aset semasa seperti penjualan saham, bon, barangan berharga dan juga hartanah.

Malaysia pernah memperkenalkan CGT ini ke atas hartanah, tetapi telah memansuhkannya pada April 2007, walau bagaimanapun, cukai keuntungan hartanah (RGPT) pula diperkenalkan pada tahun 2010, namun ia tidak menjadi sumber perolehan utama kerajaan dalam menjana pendapatan.

Cukai CGT sebenarnya lebih menepati konsep Islam yang mengenakan cukai hanya kepada golongan berada.

Contoh yang paling mudah ialah zakat. Ia hanya dibayar apabila seseorang memiliki sejumlah amaun tertentu dalam tempoh tertentu.

Hari ini simpanan tetap syarikat dan korporat tidak dikenakan apa-apa cukai oleh pihak kerajaan dan dari satu sudut pandang yang lain, wang ini adalah milik golongan-golongan kaya yang bersifat lebihan.

Manakala dari segi konsep pengaliran matawang (velocity of money), ia perlu dialirkan ke bawah khususnya kepada golongan miskin untuk meningkatkan kuasa beli mereka seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara dari segi meningkatkan kuasa permintaan.

Malangnya, simpanan-simpanan tersebut lazimnya hanya dilaburkan di syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan-golongan terkaya. Cara pengurusan kewangan seperti ini adalah bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.

Cukai Pegangan Saham

Berkaitan dengan cadangan cukai pegangan saham pula, saham yang diperdagangkan di Bursa Saham Malaysia dianggarkan (secara konservatif) sebanyak RM350 bilion setiap tahun sementara jumlah nilai pegangan saham di Bursa Saham ialah sekitar RM 1.66 Trillion (rujukan: Maybank Share Online).

Sehingga kini, pegangan saham dan keuntungan bagi pedagang-pedagang saham tidak dikenakan apa-apa cukai oleh pihak kerajaan sekalipun mereka mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan mungkin mencecah berpuluh-puluh juta ringgit setahun.

Kebiasaannya, mereka yang terlibat dengan perdagangan ini adalah golongan-golongan kaya, bukan dari kalangan masyarakat desa dan golongan miskin.

Jadi, adalah sangat wajar cukai baru dikenakan ke atas perdagangan saham (Share Trading) di Bursa Saham Malaysia sebagaimana kaedah berikut:

i) Jika saham itu dipegang selama genap setahun, maka ia dikenakan cukai sebanyak 2.5% berasaskan jumlah paling rendah dalam tempoh setahun.

ii) Jika saham itu diniagakan secara jangka pendek, maka ia kenakan terus sebanyak 2.5% ke atas keuntungan bersih selepas transaksi (on the spot).

Dengan andaian jumlah terendah yang layak dicukai oleh mekanisma percukaian ini berjumlah RM1.5 trillion, dan dengan kadar cukai 2.5%, pendapatan negara akan bertambah sehingga RM 37.5 bilion setahun.

Adakah Pendapatan Yang Diperoleh Daripada Pelaburan Dikenakan Cukai?

Perkataan “pelaburan” dan “jual beli” itu merupakan dua kaedah untuk menjana keuntungan. Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan modal (Capital Gains Tax) kecuali cukai atas keuntungan pelupusan harta tanah dan pelupusan saham dalam Syarikat Harta Tanah di bawah CKHT.

Oleh itu, sama ada satu pelaburan itu dikenakan cukai pendapatan atau tidak, adalah satu penentuan fakta:
  • Sekiranya pelabur hanya membuat pelaburan secara pasif contohnya membeli saham dan memegang saham tersebut semata-mata bagi mendapatkan pulangan dividen, maka dalam keadaan ini keuntungan hasil daripada jualan saham tidak dikenakan cukai pendapatan.
  • Sebaliknya, sekiranya, pelabur menjalankan aktiviti jual beli saham secara aktif dan terancang maka dalam keadaan sebegini pelabur dianggap menjalankan perniagaan jual beli saham (trading of shares) dan keuntungan atas jualan saham ini adalah dikenakan cukai pendapatan sebagai keuntungan dari perniagaan.
  • Dengan lain perkataan, sekiranya pelaburan tersebut menjana keuntungan yang berulang-ulang disebabkan wujudnya ciri-ciri perdagangan (badges of trade) maka keuntungan hasil daripada aktiviti jual beli saham adalah tertakluk kepada cukai pendapatan.
Kesimpulannya, sekiranya suatu pelaburan yang dibuat itu merupakan aktiviti perdagangan atau komersil yang menjana keuntungan seperti pelaburan dalam saham, pelaburan daripada penjualan harta tanah, pelaburan emas dan sebagainya maka keuntungan daripada jual beli pelaburan ini adalah merupakan pendapatan perniagaan yang dikenakan cukai pendapatan.

Sekiranya, semasa aktiviti jual beli pelaburan ini mengalami kerugian, maka pelabur hanya perlu melaporkan kerugian dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi suatu tahun taksiran itu dan jumlah kerugian tersebut boleh dibawa ke tahun taksiran berikutnya sebagai tolakan.

Pelabur tidak boleh menyatakan alasan kerugian sebagai alasan untuk tidak melaporkan pendapatan mereka yang diterima hasil dari aktiviti pelaburan.

NEGARA MAJU

Cukai CGT digunakan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Eropah yang lain namun, Malaysia belum lagi berstatus negara maju.

Bagi mencapai status itu, Malaysia memerlukan pelaburan domestik dan luar untuk meningkatkan pendapatan negara serta membuka lebih peluang pekerjaan untuk mencapai status negara maju.

Keburukan cukai CGT adalah, kemungkinan para pelabur yang ingin menanam modal di negara ini akan membatalkan hasrat itu jika membuat analisis terhadap sistem percukaian negara (sekiranya menggunakan sistem CGT) kerana keuntungan yang ingin dimiliki pelabur berkenaan akan dikenakan CGT.

Secara ringkas, cukai CGT ini tetap wajar dipertimbangkan dalam menyelesaikan masalah kejatuhan ekonomi, dalam masa yang sama untuk tidak menjejaskan rakyat teramai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysia-today | majalahlabur

Ketahui Skala Magnitud Richter Yang Mengukur Kekuatan Gempa Bumi

Ketahui Skala Magnitud Richter Yang Mengukur Kekuatan Gempa Bumi

Skala magnitud Richter (atau ringkasnya skala Richter ) ialah suatu sistem seismos yang dibangunkan bagi memberikan satu nombor bagi mewakili tenaga yang dibebaskan semasa sesuatu gempa bumi itu berlaku.

Skala Magnitud Richter

Skala Richter ini ialah suatu skala logaritma asas-10 yang magnitudnya ditakrifkan sebagai logaritma nisbah amplitud gelombang yang diukur oleh seismograf kepada suatu amplitud kecil secara sembarangan.

Jadi, gempa bumi yang berukuran 5.0 pada skala Richter memiliki amplitud gegaran 10 kali lebih besar daripada gempa yang berukuran 4.0 dan berpadanan dengan kekuatan tenaga gegaran 31.6 kali lebih besar.

Sejak pertengahan abad ke-20, penggunaan skala magnitud Richter telah mula digantikan oleh skala magnitud momen (MMS) di banyak negara.

Asal-usul Penciptaan Skala Richter

Skala Richter dicipta oleh Charles Francis Richter pada 1935, merupakan seorang pakar seismologi yang ketika itu bekerja di Caltech dan telah mempelajari bidang seismologi di Universiti Stanford.

Pada tahun 1927, Charles F. Richter mula bekerja di makmal seismologi Pasadena California dan setahun kemudian telah melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang fizik teori di California Institute of Technology (CalTech) pada tahun 1928.

Pada tahun 1935, Charles F. Richter dengan bantuan Beno Gutenberg telah mengembangkan satu sistem untuk mengukur kekuatan gempa bumi yang dikenali sebagai skala Richter sempena namanya dan pada mulanya bertujuan digunakan di California sahaja.

Skala Richter yang dikembangkannya merupakan gandaan matematik untuk membezakan kekuatan gempa bumi dan diterima pakai secara meluas setelah diubah suai.

Kekuatan gempa bumi ditetapkan dengan penggunaan logaritma gandaan (amplitud) gelombang yang dirakamkan oleh mesin seismograf.

Richter memilih secara sembarangan peristiwa bermagnitud 0 ialah gempa bumi yang menunjukkan sesaran mendatar tergabung maksimum sebanyak 1 µm pada seismogram yang direkod menggunakan seismograf kilasan Wood-Anderson 100 km (62 mi) dari pusat gempa.

Gempa bumi terkecil yang boleh direkod dan dikenal pasti ketika itu ialah sekitar magnitud 3.

Sebagai perbandingan, gempa dengan kekuatan 2.0 atau lebih kecil dianggap gempa mikro, biasanya tidak dapat dikesan oleh manusia dan hanya dirakamkan di mesin seismograf tempatan.

Gempa bumi dengan kekuatan 4.5 mampu dirakam mesin seismograf di seluruh dunia dan berlaku beribu kali setahun.

Kekuatan 5.3 dikelaskan sebagai gempa bumi sederhana dan kekuatan 6.3 dikelaskan sebagai gempa bumi yang kuat.

Gempa bumi besar seperti yang terjadi di Alaska tahun 1964, memiliki magnitud 8.0 atau lebih dan rata-rata gempa bumi yang berukuran seperti itu terjadi setiap tahun.

Magnitud Richter

Magnitud Richter suatu gempa bumi ditentukan daripada logaritma amplitud gelombang yang direkodkan seismograf (pelarasan dibuat bagi memampas jarak antara seismograf dan pusat gempa).

Formula asal ialah:
{\displaystyle M_{\mathrm {L} }=\log _{10}A-\log _{10}A_{\mathrm {0} }(\delta )=\log _{10}[A/A_{\mathrm {0} }(\delta )],\ }
...di mana A ialah persiaran maksimum seismograf Wood-Anderson, fungsi empirik A0 bergantung hanya pada jarak epipusat stesen tersebut, {\displaystyle \delta }. Pada praktiknya, purata bacaan daripada semua stesen pencerapan diambil selepas pelarasan bagi mendapat nilai {\displaystyle M_{\text{L}}}.

Pengaruh besar tragedi gempa bumi San Fransisco 1906

Skala Magnitud Richter

Skala Richter muncul selepas Amerika Syarikat mengalami salah satu malapetaka paling dahsyat pada tahun 1906 apabila San Fransisco mengalami gegaran teruk mengakibatkan 3,000 orang terkorban dan lebih 80 peratus bandar San Fransisco dirosakkan oleh gegaran tersebut.

Empat tahun kemudian pada tahun 1910, teori Harry Fielding Reid berkenaan bagaimana tenaga dilepaskan semasa gempa bumi berdasarkan kajian beliau terhadap gempa bumi 1906 mula menampakkan hasil.

Teori 'pelepasan semula elastik' atau 'elastic-rebound theory' menjadi asas kepada kajian terhadap aktiviti gempa bumi dalam usaha penyelidik memahami apa sebenarnya yang berlaku.

Teori itu kekal menjadi rujukan kepada penyelidik sehinggalah pada tahun 1935 apabila Charles F. Richter daripada California Institute of Technology (Caltech) mengumumkan beliau telah berjaya mencipta alat yang mampu mengukur saiz gempa bumi berdasarkan kiraan matematik.

Fokus Richter dalam skalanya adalah dengan mengukur kekuatan gegaran yang berlaku pada tanah.

Dengan menggunakan model bagaimana pengkaji bintang mengukur kecerahan bintang di langit, astronomer memilih untuk mengukur tahap kecerahan bintang dengan menggunakan angka satu digit yang mudah difahami.

Sistem ini ditiru oleh Richter dengan mengambil kira bacaan seismograf, alat yang dapat mengukur kekuatan gegaran namun mempunyai cara bacaan yang sukar untuk difahami semua orang.

Daripada kajian itulah, Charles Richter dan rakannya, Beno Guternberg berjaya menghasilkan alat yang mereka namakan sebagai local Magnitude Scale atau ML.

Skala diperkenalkan Richter memudahkan sistem ukuran ML diperkenalkan untuk mengukur bacaan daripada seismograf kepada unit magnitud bergantung kepada kekuatan gegaran serta jarak seismograf itu dari lokasi gegaran.

Menurut Richter, walaupun seismograf mampu merekodkan sebarang bentuk gerakan muka bumi yang berlaku, manusia tidak mampu merasai gegaran yang kurang daripada magnitud 3 dalam skala beliau, yang bersamaan dengan letupan kuasa 480kg TNT.

Magnitud 5 yang 10,000 kali ganda magnitud 3 mampu menyebabkan kerosakan teruk dan magnitud 7 barulah dianggap sebagai gempa bumi besar kerana bersamaan dengan letupan 480 kilo tan TNT, mampu menyebabkan kerosakan dalam skala besar.

Walaupun begitu, skala ML mempunyai kelemahan tersendiri kerana skalanya bergantung kepada satu angka sahaja dan skala Richter tidak dapat menjelaskan mengapa terdapat perbezaan pada dua gempa bumi berlainan yang mempunyai ukuran yang sama, namun mampu menyebabkan tahap kemusnahan yang berbeza.

Selain itu peranti ML Richter hanya mampu mengukur gempa bumi di antara magnitud 3 sehingga 7 sahaja, serta perlu berada tidak lebih daripada 600km daripada pusat gegaran gempa bumi untuk mendapatkan bacaan yang tepat.

Penambahbaikan pada skala ML

Moment Magnitude Scale

Pengenalan skala ML oleh Richter dan Gutenberg membuka peluang kepada lebih ramai penyelidik untuk menambah baik skala yang mereka berdua perkenalkan.

Salah satu skala yang digunakan untuk menggantikan skala yang diperkenalkan Richter adalah Moment Magnitude Scale atau MMS.

Dibangunkan pada tahun 1970-an dengan tujuan menambahbaik serta menggantikan terus skala yang dibuat Richter, MMS mampu mengukur kekuatan gempa bumi dengan lebih baik serta lebih tepat, menggunakan unit yang lebih kecil.

MMS mengambil teori yang dibangunkan oleh seorang profesor dari Maasachussetts Institue of Technology (MIT) bernama Keiiti Aki pada tahun 1966.

Teori Aki menyebut berlakunya pertukaran kedudukan secara elastik dalam bumi yang menyebabkan gegaran berlaku, bergantung kepada tahap rekahan dalam bumi, jarak rekahan yang terbentuk serta kemampatan material yang membentuk rekahan dan regangan dalam pergerakan bumi.

MMS mengambil masa lebih 13 tahun untuk dibangunkan bagi mengumpulkan data yang diperlukan sebelum teknologi komputer yang semakin baik, mempercepatkan proses pengumpulan data yang dicari.

Tahukah anda, apabila kita menyebut berkenaan kekuatan magnitud sesuatu gempa bumi sekarang ini, kita pasti akan merujuk kepada 'berapa skala richter kekuatan gegarannya.

Namun, skala Richter sebenarnya sudah tidak digunakan kerana pemerhati dan penyelidik gempa bumi di seluruh dunia sudah beralih sepenuhnya menggunakan sistem ukuran MMS sejak 2002 lagi.

Bagaimanapun, mungkin kerana menghormati sumbangannya kepada dunia kajian gempa bumi, kita masih terus menyebut unit ukuran magnitud gempa bumi dengan terma skala Richter walaupun sebenarnya Richter sudah tidak lagi digunapakai.

Lagipun, agak sukar untuk menyebut '7 pada skala magnitud' kerana bunyinya tidak berapa sedap didengari.

Kini anda sudah tahu penggunaan 'skala richter' tidak lagi diamalkan dan majoriti media yang melaporkan tentang gempa bumi, kerap melakukan kesilapan yang tak ada pihak nak cuba betulkan.

Nak sebut terma yang betul, gunakan terma 'pada skala magnitud', bukan lagi 'pada skala richter.'

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi | wikipedia

Cuti Sekolah Berperingkat, Apa Kebaikan Dan Keburukannya?

Cuti Sekolah Berperingkat, Apa Kebaikan Dan Keburukannya?

Cadangan bagi cuti sekolah secara berperingkat adalah usaha menangani kesesakan di kawasan tumpuan pelancongan dan bagi memacu industri itu mendapat reaksi berbeza, dengan ada pihak menyatakan ia mungkin baik untuk sektor pelancongan manakala ada yang berpendapat ia mungkin akan mengganggu proses pembelajaran dan kehidupan berkeluarga.

Cuti Sekolah Berperingkat
Gambar hiasan.

Dalam reaksi terhadap cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu yang dilaporkan sedang menyediakan kertas kerja berhubung perkara berkenaan, pihak berkepentingan termasuk warga pendidik dan kalangan ibu bapa menyenaraikan kebaikan dan keburukan idea itu.

Jika dilaksanakan, ia bakal menimbulkan masalah kepada murid dan warga pendidik itu sendiri.

Contohnya jika anggota keluarga bertugas di negeri berlainan, mereka sukar menyelaraskan cuti dengan baik untuk bersama keluarga atau mengatur sesuatu program.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Razali Mustafa pula menarik perhatian tentang kesukaran menganjurkan acara seperti kejohanan sukan peringkat kebangsaan jika cuti sekolah tidak sama.

Ada juga yang berpendapat, ia akan mengganggu proses pembelajaran umpamanya dari segi keperluan memenuhi silibus sebelum peperiksaan.

Bagi pasangan berkahwin yang tinggal berasingan contohnya seorang di utara dan seorang lagi di selatan semenanjung, bagaimana hendak uruskan cuti ini dan bertemu untuk berkumpul sedangkan cuti mereka berbeza?

Cuti sekolah tidak seragam antara negeri akan menyukarkan penganjuran acara seperti kenduri kahwin atau majlis keraian lain bagi membolehkan keluarga dan sahabat hadir bersama.

Ada juga ibu bapa yang anak mereka bersekolah di negeri berlainan, sekiranya cuti sekolah tidak serentak sukar untuk berjumpa, secara tidak langsung boleh membuat hubungan kekeluargaan renggang.

Cuti persekolahan yang terbaik hendaklah mengambil kira semua pihak seperti ibu bapa yang bekerja dan anak-anak yang bersekolah supaya dapat bercuti serentak.

Kalau ada negeri sesak sekalipun akibat kebanjiran pelancong, ia tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai banyak pilihan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional Cawangan Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar pula menjangka jika cadangan itu dilaksanakan, kos untuk melancong akan menjadi lebih tinggi kerana pengusaha industri pelancongan dikhuatiri menaikkan harga sepanjang masa berbanding secara bermusim sekarang.

Sebagai contoh sekarang harga (tiket) kapal terbang hanya akan naik semasa musim cuti sekolah, dan jika cadangan itu dilaksanakan, harga tiket akan naik setiap bulan kerana setiap negeri bercuti secara berperingkat.

Pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir berkata, kebanyakan rakyat Malaysia gemar bercuti beramai-ramai termasuk mengadakan akitiviti hari keluarga di Tasik Kenyir, namun mungkin sukar berbuat demikian jika cuti sekolah berperingkat dilaksana.

Dalam pada itu, guru sekolah menengah di Alor Setar yang hanya mahu dikenali sebagai Balqis, berkata cadangan cuti sekolah berperingkat akan menjadi kekangan kepada pasangan guru berkahwin yang tinggal berjauhan untuk bercuti bersama.

Orang yang PJJ (perhubungan jarak jauh) memang susahlah. Sebab tak sama tarikh cuti. Seorang cuti sekolah, seorang sekolah (cadangan) ini ada pro dan kontra kalau nak ubah dari kebiasaan.

Namun, ada yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, "Bila cuti sekolah berperingkat dilaksana, masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan dan kita dapat bercuti dengan lebih tenang dan santai kerana tak perlu bersesak dengan kehadiran pelancong yang padat di sesuatu kawasan.

Ada juga berpendapat, kos percutian akan turun jika cadangan cuti sekolah berperingkat itu diterima selain tempat tumpuan pelancong tidak terlalu sesak untuk dikunjungi.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Pendidikan menjalankan kajian bersama untuk mengenal pasti keberkesanan cadangan itu.

Antara perkara yang perlu diteliti adalah program yang melibatkan aktiviti di peringkat kebangsaan yang telah dirangka secara bersama dengan sekolah di negeri-negeri berbeza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

6 Fakta Kenapa Bahaya Tidur Dalam Kereta Anda Wajib Tahu!

6 Fakta Kenapa Bahaya Tidur Dalam Kereta Anda Wajib Tahu!

Melalui perjalanan jauh, ada pemandu yang akan berhenti di mana-mana hentian rehat atau di tepi jalan untuk melelapkan mata apabila terasa letih.

Bahaya tidur dalam kereta
Gambar hiasan.

Jika anda mempunyai tabiat tidur dalam kereta dengan enjin yang tidak dimatikan, mungkin ada baiknya jika tabiat itu dihentikan.

BAHAYA TIDUR DALAM KERETA DENGAN ENJIN TERPASANG

1. Sekiranya terdapat masalah pada ciri mekanikal kereta, kemungkinan berlaku kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan ketika anda sedang tidur, akan meningkatkan risiko mati lemas.

2. Ini kerana, pengumpulan karbon monoksida (CO) yang disebabkan oleh kebocoran daripada ekzos akan menurunkan paras oksigen di dalam kenderaan.

3. Peningkatan tahap karbon monoksida di dalam kereta memberi kesan kepada oksigen dalam darah. Ini mengakibatkan darah membawa lebih banyak karbon monoksida dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba (sudden death).

4. Walaupun dengan tingkap dibuka, karbon monoksida tetap boleh terkumpul dan akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah.

5. Kesannya, mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa.

6. Jadi kenapa kita boleh bertahan memandu dengan penghawa dingin terpasang?

Jawapannya mudah. Kerana kita sedar dengan perubahan suhu dan akan sedar jika terdapat kebocoran.

Jika kita mula merasa tidak selesa, kita akan segera bertindak dengan menutup penghawa dingin dan membuka tingkap. Sebaiknya, elakkan tidur di dalam kereta!

Jika perlu berehat semasa memandu jauh, keluar dari kereta dan carilah tempat yang sesuai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Lelaki Iklankan Kekasih Di eBay, Terkejut Bidaan Dari Seluruh Dunia

Lelaki Iklankan Kekasih Di eBay, Terkejut Bidaan Dari Seluruh Dunia

Seorang lelaki dari Essex, United Kingdom, bertindak menyenaraikan teman wanitanya untuk dijual di eBay dan terkejut apabila harganya meningkat kepada lebih £70,200 (RM381,028) dalam tempoh 24 jam, menurut laporan pada Sabtu.

Kelly Greaves eBay

Dale Leeks dari Colchester, Essex mahu mengusik kekasihnya, Kelly Greaves, 37, dengan mengiklankan dirinya di laman bidaan popular itu.

Pemuda berusia 34 tahun itu membandingkan Greaves dengan sebuah kereta terpakai dan memberi amaran kepada bakal pembeli bahawa apa yang dijualnya itu 'mula-mula ok tetapi selepas beberapa ketika, terdapat bunyi bising berterusan yang saya tak nampak ia akan berhenti' lapor The Sun.

"'Badan' agak kemas, tetapi dari dekat menunjukkan tanda-tanda pernah diguna (saya hanya bersikap jujur)," kata Dale dalam keterangan mengenai teman wanitanya.

"Tiada kerosakan serius tetapi anda boleh tahu bahawa dia telah digunakan.

"Perkara pertama, pada waktu pagi anginnya mungkin sangat tak baik, selepas 'dipanaskan' bunyi bising semakin berkurangan tetapi saya berbohong jika kata ia akan hilang sepenuhnya," tulisnya.

"Mana-mana tawaran akan dipertimbangkan, dan berminat jika ada pertukaran dengan model yang lebih muda."

Walaupun keseluruhannya hanyalah bahan jenaka, iklan itu mendapat perhatian di laman web itu dan dilihat lebih dari 81,000 kali dalam masa 24 jam dengan lebih 100 tawaran, Daily Mail melaporkan, sambil menambah tawaran tertinggi mencecah £70,200.

Selepas 24 jam, eBay mengeluarkan iklan itu dari penyenaraiannya dan memaklumkan kepada Leeks bahawa posting itu telah dikeluarkan kerana menjual 'bahagian tubuh manusia' di laman web itu adalah dilarang.

"Selepas saya meletakkannya di eBay, saya hanya ketawa dan dia bertanya apa yang saya gelakkan," kata Leeks yang memiliki syarikat landskap.

"Saya beritahu dia saya menjual dirinya di eBay. Pada mulanya, dia fikir tiada siapa yang akan melihatnya dan menganggapnya tidak penting.

"Tetapi ketika kami keluar makan malam pada petang itu saya dihujani dengan mesej dari seluruh Eropah dan tempat sejauh Amerika dan Australia," katanya.

"Saya terus memandangnya tetapi saya tidak benar-benar beritahu apa yang berlaku kepadanya.

"Beberapa tawaran awal dan mesej di eBay adalah dari rakan-rakan saya, tetapi selepas itu ia sudah tidak dapat dikawal.

"Mereka yang membuat penawaran mula marah. Saya seperti wow, apa yang saya dah buat?"

Leeks telah dihujani pelbagai mesej termasuk yang menyakitkan hati.

Kelly Greaves eBay

"Saya cukup berminat untuk membuat tawaran. Bolehkah anda beritahu saya berapa ramai pemilik yang pernah memilikinya sebelum ini? Juga, apakah sejarah perkhidmatannya?"

Seorang lagi bertanya, adakah mereka boleh 'datang dan membuat pandu uji."

Disebabkan iklan itu telah dipadam oleh eBay, teman wanitanya hanya mampu ketawa.

"Saya tak tahu betapa tinggi ia mampu mencecah jika tidak diturunkan. Saya berharap ia mungkin berjuta-juta," kata Leeks.

"Kelly berpaling dan tanya saya, jadi berapa sebenarnya harga kamu letak untuk jual saya? Adakah kamu akan kecewa jika benar-benar ada yang membeli saya?" kata Leeks.

"Saya berkata saya akan kecewa tetapi saya akan menangis jika ia adalah Lamborghini atau Ferrari."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar