"Anak-anak! Sudahlah main tu! Dah Maghrib ni! Cepat masuk rumah!" teriakan para ibu mulai berkumandang saat langit mula melabuhkan tirai jingga pekat.
Gambar hiasan.
Namun, beberapa orang kanak-kanak masih ralit bermain lempar selipar ditengah halaman. Permainan sedang rancak, mana boleh berhenti begitu saja.
"Sekejaplah mak!
Game belum habis ni!" bantahan mula kedengaran.
Anak-anak itu belum puas bermain. Malah mereka tidak mengerti, mengapa tidak boleh bermain sehingga ke malam.
"Masuk rumah cepat! Korang ni tak takut ke? Waktu Maghrib macam ni nenek jengkot suka berkeliaran! Dia suka bawak lari budak-budak macam kamu semua!"
Amaran itu serta-merta membuatkan kanak-kanak itu berhenti bermain. Nama nenek jengkot sudah cukup menggerunkan mereka.
Nenek jengkot memang senjata utama bagi ibu-ibu untuk menakutkan anak masing-masing yang degil tidak mendengar kata.
Entah macamana rupa nenek jengkot itu, sebenarnya tidak ada seorang pun yang tahu.
"Mak. Kalau orang tanya sikit boleh tak?"
"Nak tanya apa?"
"Mak pernah nampak ke rupa nenek jengkot tu macam mana? Kenapa panggil dia nenek jengkot? Jengkot tu apa? Macam jenglot ke? Kenapa orang takut sangat?"
Pertanyaan bertubi-tubi itu membuatkan ibu yang ditanya terdiam sambil menghela nafas panjang. Ada sinar ketakutan terpancar pada matanya.
Lambat-lambat, dengan suara separuh berbisik, emak itu pun menceritakan apa yang diketahuinya yang diturunkan oleh orang tuanya. Cerita turun-temurun.
Tidak pasti, adakah ianya sekadar dongeng semata ataupun nenek jengkot sememangnya wujud.
Bahkan, tiada sesiapapun yang pernah melihat rupa sebenar nenek jengkot kerana mendengar namanya saja pun, ramai kanak-kanak mencicit lari.
Ramai anak terus mendengar kata ibu bapa kerana bimbang dilarikan oleh nenek jengkot.
"Menurut kata nenek moyang mak, nenek jengkot tu rupanya macam nenek-nenek biasa. Tapi jalannya jengkang-jengkot sebab kakinya capik.
"Mungkin sebab itulah orang menggelarnya nenek jengkot.
"Tapi, kalau nenek jengkot dapat menangkap budak pada waktu maghrib dan budak itu melawan tidak mahu mengikutnya, rupa nenek jengkot akan berubah.
"Berubah macam mana, mak pun tak tahu.
"Sudah. Jangan banyak tanya pasal nenek jengkot. Kerap menyebut namanya, sama macam menyeru dia datang!"
Anak itu hanya memanggut-manggut kepala kononnya mengerti, padahal dalam hatinya terlalu banyak persoalan yang muncul.
Rasa ingin tahu bagaimana rupa sebenar nenek jengkot, sebab kalau cuma nenek tua, masakan ia begitu menakutkan.
Lumrah kanak-kanak yang terlalu leka bermain, sering tidak mengendahkan nasihat ibu bapa.
Malah, nenek jengkot terus dilupakan apabila bertemu dengan kawan-kawan.
***
"Jomlah balik. Mak kita dah sebut nenek jengkot tu.."
"Alaa.. bosanlah! Sikit-sikit nenek jengkot, padahal diorang sendiri tak pernah tengok rupa nenek jengkot tu macam mana!"
"Ha ah, aku pun pelik. Apa yang menakutkan sangat dengan nenek jengkot tu? Dengar nama macam kelakar je.."
Kanak-kanak itu meneruskan permainan. Langsung tidak terusik mendengar nama nenek jengkot!
"Aziq! Rafi! Sani! Balik! Korang jangan degil sangat! Datang nenek jengkot baru padan muka korang!"
Jeritan ibu-ibu berkumandang lagi apabila tidak seorang pun anak-anak mereka mendengar kata.
"Tengok. Mak aku pesan tak boleh sebut nama nenek jengkot tu. Macam menyeru dia datang. Tapi aku tak fahamlah. Bila kita main je, mak kita sebut nama nenek jengkot banyak kali boleh pulak.."
"Itulah pasal. Jangan-jangan nenek jengkot tu cuma cerita rekaan sebab tak nak bagi kita semua main sampai malam."
"Aku pun terfikir macam tu juga.."
Akhirnya mereka memutuskan untuk terus bermain walaupun ibu masing-masing terjerit pekik memanggil dari rumah supaya mereka pulang.
Tiba-tiba dalam remang Maghrib, kanak-kanak itu terlihat kelibat seseorang sedang berjalan terlompat-lompat.
"Dah nak malam ni. Mari ikut nenek balik," terdengar suara sengau garau menegur.
Mereka semua tergamam mendengar perkataan 'nenek'. Masing-masing cuba mengamati rupa seseorang yang sedang mendekati mereka.
Rupa-rupanya seorang nenek tua, berambut panjang dan berkain labuh menyapu tanah.
Hujung kakinya hanya kelihatan sebelah di sebalik juntaian kain itu.
"Err.. kami memang dah nak balik pun," Aziq memberanikan diri menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
"Mari balik rumah nenek! Mari! Marilah.." tangan nenek melambai-lambai. Kelihatan kukunya panjang meruncing dipenuhi daki.
Masing-masing mula menggelabah mendengar ajakan nenek tua itu. Kenapa pula mesti balik rumah nenek?
"Aku rasa, ini nenek jengkot yang mak kita cerita tu. Jom kita balik cepat," Aziq berbisik kepada rakan-rakannya sambil mata mengawasi gerak-geri nenek yang mencurigakan itu.
Perlahan-lahan mereka menapak ke belakang. Tetapi nenek itu pun ikut sama melompat setakuk. Nenek itu cuba menghalang laluan mereka.
"Nak ke mana tu? Jangan nak lari, dah malam ni. Mari balik rumah nenek! Jangan degil! Kalau lari, nenek kejar!"
Mendengar amaran nenek itu, masing-masing tidak menunggu lama. Terus buka langkah seribu dan lari lintang-pukang.
"Nenek jengkot! Lariiiii..."
Tetapi nenek jengkot terus mengejar. Rupanya juga sudah berubah menjadi berkedut dan menakutkan. Ditambah pula dengan rambutnya yang mengerbang.
Entah macamana, Rafi tersadung sesuatu lalu terjatuh. Nenek jengkot melompat ke arah Rafi dan segera menarik kakinya.
Pegangan nenek jengkot begitu kuat sehingga Rafi gagal melepaskan diri.
"Tolong aku! Tolong!" Rafi menggelupar cuba melepaskan diri apabila nenek jengkot menarik Rafi masuk ke dalam kainnya.
Baunya saja hampir membuatkan Rafi pengsan. Bau kepam bercampur busuk bangkai.
Rafi juga merasa pelik kerana berada dalam kain nenek jengkot seolah-olah berada di satu dunia lain yang kosong dan gelap.
Aziq yang menyedari kejadian itu segera berpatah balik. Dia mencapai beberapa ketul batu lalu dilemparkan ke arah nenek jengkot.
Perbuatannya benar-benar menimbulkan kemarahan nenek jengkot.
Ketika nenek jengkot melompat lebih tinggi, Aziq melihat kaki Rafi lalu segera menariknya.
Rafi berjaya ditarik keluar lalu tanpa berfikir panjang, mereka segera berlari selaju mungkin.
Suara jerit pekik kanak-kanak menimbulkan rasa hairan ibu bapa. Namun, ketika melihat anak-anak mereka lari lintan-pukang, tahulah mereka bahawa nenek jengkot benar-benar telah muncul.
Sebaik anak masing-masing masuk ke dalam rumah, pintu dan tingkap dikunci rapat.
Dari luar kedengaran suara nenek jengkot memanggil-manggil setiap kanak-kanak yang ditemuinya tadi.
Lebih menakutkan, nenek jengkot mengetuk-ngetuk pintu setiap rumah sambil menjerit meminta kanak-kanak itu mengikutnya balik ke rumah.
Barulah semua kanak-kanak yang degil itu tahu rasa takut. Baru sedar bahawa nenek jengkot bukan sekadar dongeng tetapi ancaman Syaitan terhadap kanak-kanak.
Menjelang siang, masing-masing jatuh demam akibat terlalu terkejut.
Aziq dan Rafi paling teruk kerana hanya mereka berdua yang betul-betul bertentang mata dengan nenek jengkot. Sampai terbayang-bayang dalam mimpi.
Setelah dimandikan air kolah tujuh masjid dan minum air penawar, barulah keadaan mereka beransur pulih.
Rentetan peristiwa itu, mereka tidak lagi berani membantah cakap ibu bapa masing-masing.
Sebelum maghrib, masing-masing sudah pulang ke rumah kerana tidak ingin lagi terserampak dengan nenek jengkot!
~Tamat
BACA INI JUGA:
Cerpen: Antara Cinta Dan Niat
-SENTIASAPANAS.COM