Thursday, October 13, 2016

Pelakon Drama Aidil Aziz Edar Dadah Berdepan Hukuman Gantung?

Pelakon Drama Aidil Aziz Edar Dadah Berdepan Hukuman Gantung?

Pelakon drama Aidil Aziz dan dua rakannya bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas pertuduhan mengedar 465.61 gram ganja.

Aidil Aziz

Tiada pengakuan direkodkan daripada Aidil, 29, atau nama penuhnya Mohd Aidil Abdul Aziz, Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 36, dan warga Filipina, R. Guevara Cortez, 33, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ganja seberat 465.61 gram di No 1 Jalan Ampang Ulu, di sini, pada 12.40 tengah hari, 24 September lepas.

Aidil, Omar Sayeed yang bekerja sendiri dan Guevara seorang jurutera teknologi maklumat didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aftal Mariz Mohamed manakala Aidil diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Omar Sayeed diwakili peguam G. Jaya Prem manakala Guevara tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Turut hadir di mahkamah anggota keluarga tertuduh dan juga pelakon drama 'Kaza'.

BACA INI JUGA: Artis-artis Malaysia Yang Pernah Terlibat Dengan Dadah

Sumber: Bernama

'Duit Kopi Ketua Polis Negara RM2 Juta Sebulan'

'Duit Kopi Ketua Polis Negara RM2 Juta Sebulan'

Skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan projek infrastruktur di Sabah yang bernilai RM3.3 bilion mengejutkan banyak pihak.

Musa Hasan

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan tidak menyangka ia membabitkan dana kerajaan yang sangat besar.

“Saya sendiri terperanjat melihat jumlah itu. Tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada media selepas Seminar Integriti dalam Perkhidmatan Awam dan Majlis Penutup Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 16 dan 17.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil iktibar agar tidak melakukan perkara sama.

“Jangan jadikan budaya. Jika tidak, negara akan rosak dan imej akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan tanggungjawab mereka dengan baik sehingga skandal rasuah terbesar tersebut berjaya ditumpaskan.

“Saya harap usaha ini akan berterusan dan jangan ada lagi mana- mana kakitangan kerajaan yang terlibat. Ia memalukan,” katanya.

Musa berkata, sewaktu dalam perkhidmatan, beliau juga pernah ditawarkan RM2 juta sebulan namun ditolak.

“Bayangkan duit kopi Ketua Polis Negara RM2 juta sebulan, tapi saya tidak terima. Mereka ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

“Saya tidak tahulah sama ada budaya duit kopi diteruskan atau tidak selepas perkhidmatan saya,” katanya.

Menurutnya, penjawat awam terutama penguat kuasa perlu mengambil tindakan terhadap kegiatan haram bagi mengelakkan budaya rasuah.

“Jika tidak, masyarakat akan melihat seolah-olah kita tidak bertindak dan akhirnya mendatangkan persepsi buruk kepada perkhidmatan awam,” katanya.

Musa berkata, masyarakat mempunyai harapan tinggi kepada penjawat awam kerana golongan itu dianggap mempunyai kejujuran dalam perkhidmatannya.

“Melewat-lewatkan suatu perkhidmatan pastinya menimbulkan persoalan dan integriti anda akan dipersoalkan,” katanya.

Menurutnya, apabila timbul persepsi itu, masyarakat beranggapan tiada guna mereka membuat laporan sekiranya tiada tindakan diambil.

“Sekiranya tiada tindakan, ia akan memberi kesan kepada penguatkuasaan sedangkan kita mahu orang awam memberi kepercayaan kepada organisasi kita,” katanya.

Beliau memahami situasi sekiranya penjawat awam yang menjalankan tugas dengan amanah diketepikan semata-mata kerana tidak mahu integritinya dipersoalkan.

“Jangan takut. Jangan takut kenaikan pangkat disekat dan sebagainya. Kita tidak perlu menjadi 'yes man' dalam organisasi itu,” katanya.

Musa turut menasihati penjawat awam agar tidak meminta wang daripada individu tertentu.

“Apabila berlaku duit berjuta- juta di dalam almari, apa persepsi orang awam?” katanya.

Menurutnya, secara realitinya, rakyat kurang kepercayaan kepada penjawat awam.

“Jika dahulu, kita tidak pernah mendengar orang langgar polis atau tonto langgar kastam.

“Sebab itulah sewaktu dalam perkhidmatan, saya seru penguat kuasa melakukan tugas secara bersepadu agar maklumat dapat dikongsi dan barulah penjenayah takut,” katanya.

BACA INI JUGA: 1MDB, Akta RICO Dan Rahsia Kod SWIFT, Kerisauan Tun Mahathir Kini Terbukti Benar!

Sumber: SH

Wednesday, October 12, 2016

Video 'Panas' Bintang K-Pop, Jung Joon Young Tersebar?!

Video 'Panas' Bintang K-Pop, Jung Joon Young Tersebar?!

Penyanyi dan pelakon terkenal Kpop, Jung Joon Young baru-baru ini menjadi perhatian peminat apabila dikaitkan dengan sebuah video seks bersama teman wanitanya.

K-Pop Jung Joon Young
Gambar hiasan.

Soompi melaporkan, syarikat pengurusannya C9 Entertainment telah menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan walaupun mereka sebelum ini enggan memberi sebarang kenyataan kerana tidak mahu isu berkenaan menjadi viral.

"Pihak kami menyedari tentang cakap-cakap mengaitkan artis kami namun enggan membuat sebarang kenyataan kerana merasakan tidak perlu berbuat demikian memandangkan lelaki dalam video itu bukan Joon Young.

"Bagaimanapun, pihak C9 Entertainment merasakan sudah tiba masanya kami tampil membuat penjelasan kepada orang ramai kerana ia semakin serius dan mencalar nama baik Joon Young," kata wakil agensi berkenaan dalam satu kenyataan.

Namun disebabkan video tersebut tersebar luas di internet, ia memaksa syarikat pengurusan tersebut untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.

Mereka juga akan menyiasat untuk mencari dalang di sebalik penyebaran video tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang selepas menyiasat siapa dalang yang menyebarkan video berkenaan selain menuduh lelaki dalam video itu sebagai Joon Young," kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, menerusi sebuah laporan penyanyi berkenaan mengakui ada merakam video seks dengan bekas kekasihnya namun menegaskan ia atas persetujuan dengan wanita berkenaan namun ia telah dipadam.

BACA INI JUGA: 8 Artis Wanita Korea Yang Mati Membunuh Diri

Sumber: Astroawani

Samsung Hentikan Pengeluaran Note 7, Digantikan Dengan S7 Edge

Samsung Hentikan Pengeluaran Note 7, Digantikan Dengan S7 Edge

Samsung mengumumkan penggantungan pengeluaran model Galaxy Note 7 di seluruh dunia susulan beberapa insiden melibatkan kebakaran bateri telefon pintar itu.


Keputusan ini dibuat sehari selepas syarikat itu mengumumkan penggantungan sementara pengeluaran model tersebut.

"Keselamatan para pelanggan adalah keutamaan kami, jadi, kami telah memutuskan untuk menghentikan jualan dan pengeluaran Galaxy Note 7," kata syarikat itu seperti dipetik dari portal The Wall Street Journal.

Langkah ini diambil selepas saham Samsung jatuh lapan peratus, penurunan sehari terbesar dalam lapan tahun, selain kes kebakaran Galaxy Note 7 terbaharu di Amerika Syarikat.

Pada 2 September lalu, Samsung mengumumkan pemanggilan secara global 2.5 juta telefon bimbit Galaxy Note 7 berikutan kegagalan bateri yang menyebabkan insiden kebakaran. -AA

Samsung Malaysia ganti Note7 dengan S7 edge


Samsung Malaysia Electronics bakal memberikan pilihan kepada pengguna yang memilik Galaxy Note7 sama ada menerima pemulangan wang atau menggantikan dengan model S7 edge.

Dalam satu kenyataan terbaru, Samsung turut menggesa pengguna sedia ada untuk tidak menggunakan telefon pintar berkenaan.

"Pilihan pemulangan wang atau penggantian model kepada S7 edge akan diberikan kepada pemilik sekiranya mereka memulangkan model Note7," katanya dalam satu kenyataan.

Mereka yang membuat tempahan awal akan dihubungi bermula 13 Oktober 2016 termasuk dari penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih atau rakan pengedar lain berkaitan proses pemulangan wang atau penukaran model.

Samsung Malaysia berkata keselamatan pengguna adalah keutamaannya dan pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-7799 bagi mendapatkan maklumat lanjut sebelum proses penukaran dilakukan.

Samsung pada Selasa mengumumkan penghentian serta merta pengeluaran Note7 selepas laporan kebakaran bateri terbaru dalam model yang ditambah baik.

Ia turut mengarahkan pengedar seluruh dunia menghentikan penjualan dan menasihatkan pengguna berhenti menggunakan model tersebut.

Samsung pada September memanggil kembali semua model Note7 selepas berpuluh laporan kebakaran bateri dilaporkan seluruh dunia ketika telefon dicas.

Ia kemudian melancarkan kembali versi terbaru Note7 di Korea Selatan, namun laporan kebakaran bateri pada model terbaru masih wujud, memaksa gergasi teknologi itu menghentikan sepenuhnya pengeluaran dan penjualan model berkenaan.

Note7 merupakan model kelas teratas telefon pintar Samsung yang sepatutnya bersaing dengan model dari gergasi teknologi Apple Inc., iPhone 7 dan iPhone 7 Plus. -AA

BACA INI JUGA: Samsung Galaxy 7 Edge Dinobatkan Smartphone Terbaik 2016

D5 Plat Kereta Paling Mahal Di Dunia Berharga RM37 Juta!

D5 Plat Kereta Paling Mahal Di Dunia Berharga RM37 Juta!

Seorang ahli perniagaan Dubai dari India, Balwinder Sahani mengejutkan dunia apabila berjaya memiliki plat D5 sebagai nombor pendaftaran kereta termahal di dunia.

D5

Bilionaire taikun hartanah rantau Asia Barat itu yang juga dikenali sebagai Abu Sabah diumumkan oleh Lembaga Pengangkutan Wilayah (RTA) berjaya membida plat D5 mencecah harga 33 juta dirham (kira-kira RM37.5 juta).

Nilai tawaran tersebut sekali gus mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu plat ‘1’ yang dibida hartawan Abu Dhabi, Saeed Abdul Ghaffer Khouri pada 2008 lalu dengan harga bidaan 31.6 juta dirham (RM35.9 juta) ketika itu.

Portal berita terkenal Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates 247 melaporkan bahawa, plat D5 itu akan dipasang pada salah sebuah kereta mewah Rolls Royce milik Balwinder setelah disahkan RTA memenangi bidaan tersebut.

“Ini memang hobi saya. Saya suka kumpul nombor plat unik dan saya berbangga dapat ada nombor sebegini. Lagi pun kebetulan saya suka nombor sembilan kerana D5 apabila dicampur jadi angka sembilan,” kata beliau lagi.

Pemilik kumpulan RSG International, sebuah syarikat pengurusan hartanah terkenal di UAE, Kuwait, India dan Amerika Syarikat itu memberitahu akhbar Gulf News, setakat ini beliau sudah memiliki 10 nombor plat cantik.

Tahun lalu, Balwinder berjaya membida plat 09 dan selepas D5, beliau berhasrat menambah lebih banyak koleksi nombor pendaftaran kereta yang unik kerana: “Saya begitu bersemangat dengan mempunyai nombor sebegini!”

Setiap tahun, lebih 300 pembida menyertai acara lelongan secara langsung yang diadakan pihak RTA setiap dua atau tiga bulan dengan menyaksikan persaingan amat sengit antara ramai ejen pembida dari seluruh dunia.

D5 ditawarkan pada bidaan selain sejumlah 80 nombor lain daripada satu sehingga lima digit.

Menurut jurucakap RTA, acara pada hujung minggu lepas menampilkan banyak tawaran bidaan paling besar dalam sejarah.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif RTA, Ahmad Hashim Behroozian yang berkata, sepanjang menyelia agensi pelesenan plat kenderaan itu, D5 adalah tertinggi tawaran hingga penuh sesak dewan acara di Hotel JW Marriott.

Bidaan plat pendaftaran malah menjadi perniagaan besar di UAE kerana ramai pembeli kaya boleh ‘buat duit’ pada nilai kenderaan mereka termasuk acara lelongan menerusi atas talian anjuran pihak RTA pada setiap bulan.

Segala-galanya bermula pada 2007 lalu apabila Talal Ali Mohammed Khouri menjadi ‘berita besar’ setelah menang bidaan nombor plat ‘5’ di Abu Dhabi dengan nilai 25 juta dirham (RM28.4 juta). -Mynewshub

Bida Plat Kereta Lucu Trend Unik Di Hong Kong

Plat Kereta Lucu

Plat-plat pendaftaran kereta yang lucu sebenarnya adalah suatu perkara biasa di Hong Kong sejak pengenalan Skim Penanda Pendaftaran Kenderaan Peribadi diperkenalkan oleh pihak kerajaan pada 2006 lalu.

Ia hasil satu program yang membolehkan orang ramai untuk memilih sendiri kombinasi abjad dan nombor unik sebelum mereka mengemukakan taruhan dengan bidaan minimum ialah HK$5,000 (kira-kira RM2,750).

Acara lelongan berlangsung 12 kali setahun atau sebulan sekali sahaja dan ini bermakna penduduk Hong Kong yang berminat kena bangun awal pada hari Sabtu minggu terakhir untuk berkumpul di sebuah dewan khas.

Mereka beramai-ramai sanggup datang ke dewan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Hong Kong bagi mengemukakan taruhan untuk plat lesen impian dengan maksimum 8 aksara termasuk huruf dan nombor.

Plat Kereta Lucu

Stesen penyiaran milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia melaporkan, jabatan tersebut bagaimanapun tidak membenarkan penggunaan abjad I dan O kerana bimbang ia tidak dapat dibezakan dengan angka 1 dan 0.

Pembida juga dilarang membida huruf Q atas faktor sama dan proses penawaran itu diadakan berasingan daripada acara lelongan nombor plat cantik yang dilaksanakan juga pada Sabtu tetapi ia dua kali setiap bulan sejak 1973.

Antara yang pernah menarik perhatian ialah plat pendaftaran APPLE HK menerima bidaan HK$38,000 (kira-kira RM20,900) dan plat PLAYER yang kemudian dijual pada harga dua kali ganda daripada jumlah tersebut.

Plat Kereta Lucu

Bidaan unik lain adalah HK$387,527 (kira-kira RM213,712) bagi plat YF yang pernah dimenangi oleh seorang lelaki tempatan dengan mendakwa huruf YF itu sebenarnya adalah sebagai singkatan daripada namanya sendiri.

Plat M0D1 pula pernah dijual pada harga HK$4,650 (kira-kira RM2,558) yang dibida oleh seorang peniaga Hong Kong dengan mendakwa dirinya merupakan peminat setia Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Bagi seorang peniaga plat kereta tempatan, Chan Ming Choy pula, beliau kini sedang cuba menjual plat MR RIGHT pada harga HK$178,262 (kira-kira RM98,059) yang dimenanginya kepada sesiapa yang berminat.

Setakat ini, rekod bidaan paling tinggi ialah 1 LOVE U dengan harga HK$1.4 juta (kira-kira RM770,000) yang dijual menerusi acara lelongan kebajikan dan melibatkan 105Â plat unik lain pada 24 September 2006 lalu.

Plat Kereta Lucu

Apa yang pasti, kerajaan Hong Kong setakat ini telah meraih HK$310 juta (kira-kira RM170.5 juta) hasil daripada penjualan plat-plat pendaftaran unik kenderaan itu, sejak skim tersebut diwujudkan sembilan tahun lalu.

Pendapatan itu bagaimanapun dimanfaatkan Jabatan Pengangkutan untuk menyara hidup 987 warga Hong Kong yang kurang berkemampuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat. -Mynewshub

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, October 11, 2016

Tips Dan Cara Membezakan Ais Bersih Atau Kotor

Tips Dan Cara Membezakan Ais Bersih Atau Kotor

Sebenarnya mudah untuk kita mengetahui dan membezakan yang mana satu ais yang menggunakan air masak dan yang mana satu pula ais yang menggunakan air mentah.

Ais

Namun kebanyakan daripada kita mengambil mudah tentang kebersihan ais itu sendiri.

Ketika enak menikmati minuman sejuk pada waktu cuaca panas terik atau masa lepak minum di kedai, pastinya setiap daripada kita terfikir, ais yang diletakkan dalam gelas itu guna air masak atau air paip kan.

Dipetik daripada Sinar Online, ada tips bagaimana membezakan ais air paip dengan ais air masak:
  • Ais daripada air mentah (air paip) berwarna putih kerana banyak gas yang masih terperangkap di dalamnya.
  • Kebiasaannya ais yang dibuat daripada air mentah adalah ais blok yang digunakan untuk menyejukkan ikan atau daging di pasar.
  • Ais daripada air masak pula akan kelihatan jernih kerana gas di dalamnya telah dilepaskan ketika merebus air tersebut. Ais ini dipanggil ais kristal.
  • Ais kristal sudah banyak digunakan, ia berbentuk kiub dan berlubang, berlubang di tengah-tengah.

Semua Kilang Ais Menjijikkan?

Biarpun tidak semua kilang memproses ais mengabaikan aspek kebersihan, tetapi sebagai pengguna, tahukah anda di mana datangnya atau ais itu milik syarikat mana?

Jika syarikat A menghasilkan ais yang berkualiti, tahukah anda restoran atau kedai itu menggunakan ais syarikat A?

Jawapannya hampir pasti anda tidak tahu. Apa yang anda tahu segelas ais sejuk sudah terhidang di atas meja selepas menu dipesan.

Isu halal ais itu sendiri memainkan peranan yang sungguh besar. Halal itu bukan sahaja pada ais itu sendiri tetapi merangkumi segenap aspek sama ada kebersihan kawasan kilang, bekalan sumber air, mesin dan prosedur pemakaian pekerja.

Anda harus ingat, ais yang kotor jika masuk ke dalam badan boleh mengundang pelbagai penyakit. Ais yang tidak bersih dan tidak mengikut prosedur akan mengakibatkan penyakit bawaan air seperti typoid, e-coli, kolera dan gastroenterisis serta Hepatitis A.

Terpanggil untuk memberi kesedaran kepada semua pengguna, Sorot melakukan siasatan terhadap berapa buah kilang ais bersama sumber yang sebelum itu menyalurkan maklumat betapa tahap ais yang diproses hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata, mengetepikan aspek kebersihan dan kesihatan.

Beberapa buah kilang disiasat dan hasilnya hanya satu perkataan yang mampu menggambarkan semuanya iaitu jijik.

Anda bayangkan, air yang sepatutnya dibuang digunakan semula untuk dijadikan ais kiub. Lebih teruk, saluran air buangan itu berlumut. Loya tekak menggambarkan apa yang dilihat dengan mata sendiri.

Ada juga binatang peliharaan seperti anjing, mudah keluar masuk ke lokasi memproses ais kiub. Bayangkan apa yang anjing itu buat di situ.

Tidak dapat juga dibayangkan bagaimana pekerja membersihkan diri selepas menggunakan tandas. Ini kerana tandas terdapat di dalam premis itu terlampau kotor dan berbau.

Itu hanya sebahagian yang mampu diperkatakan. Di sini, Sorot menyenaraikan apa yang kami peroleh sepanjang siasatan kami.

Apa yang menjadi harapan kami selepas ini, pihak berwajib perlu memandang serius dan melakukan siasatan segera bagi memastikan semua ini tidak berpanjangan.

Buat pengguna pula, kita seharusnya peka terhadap aspek pengambilan makanan atau minuman yang bersih.

Jangan ambil mudah dengan situasi ini. Jangan biarkan makanan tercemar menjadi sebahagian daripada darah daging kita. -SH

Mana satu ais yang lebih bersih?

Ais

Sangat mudah juga sebenarnya untuk kita membezakan yang mana satu ais yang bersih dan yang mana satu pula ais yang kotor.

Perhatikan foto ketulan ais di kiri dan kanan. Ada tak nampak perbezaan?

Ya, bezanya ialah, ketulan ais di sebelah kiri itu lebih jernih daripada ketulan ais di sebelah kanan. Apakah maknanya?

Ertinya, ketulan ais di sebelah kiri lebih bersih dan lebih baik untuk kesihatan.

Namun, ketika anda menghirup minuman berais, ada tidak perasan samada ais yang anda minum itu jernih seperti ketulan ais di sebelah kiri atau keruh seperti ketulan ais di sebelah kanan.

Anda tak tahu ais itu bersih atau sebaliknya.

Bersihkah ais yang anda minum? -SH

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Zaman Kegelapan Islam

Zaman Kegelapan Islam

Diktator jatuh. Demokrasi tak semestinya membenih selepas itu. Huru-hara pula yang tercetus dan merebak.

Zaman Gelap Islam

Itu yang berlaku di banyak negara Islam di Timur Tengah dan Afrika. Bertahun-tahun, masyarakat Muslim-Sunni berperih derita dengan kehadiran tentera asing di tanahair mereka.

Di negara tertentu, hidup mereka adalah di bawah penindasan rejim kuku besi.

Hari ini, penindasan atas nama sekularisme telah bertukar kepada suatu yang tak kurang ngerinya, iaitu atas nama agama dan Tuhan. Beberapa tahun kebelakangan ini, bom diledakkan tak putus-putus.

Perang antara tentera dengan tentera telah bertukar menjadi pembunuhan masyarakat awam. Kita lihat di Brussels, Belgium dengan serangan bom di lapangan terbang pada 23 Mac lalu.

Empat hari selepas itu, meledak pula di sebuah taman bunga di Lahore, Pakistan pada hari Paskah, iaitu satu perayaan bagi penganut Kristian.

Siri bom bunuh diri ternyata bukan hanya disasarkan di Eropah atau Amerika. Turut berlaku sehingga di negara-negara majoriti Muslim sendiri, termasuklah di Jakarta pertengahan November tahun lalu. Kelompok radikal dan militan ISIS mengaku bertanggungjawab.

Kelompok ISIS telah secara rasmi mengistiharkan matlamat mendirikan sistem khalifah dan “negara Islam” pada Jun 2014.

Apa yang dimaksudkan sebagai “negara Islam” ialah dengan penegakan syariat Islam termasuk hudud.

Dari video-video yang dimuat-naik oleh kelompok ini, beberapa hukuman bunuh secara tembak mati atau memanggal kelapa di khalayak ramai dilakukan.

Hukuman terbuka begitu dianggap akan menjadikan pengajaran kepada khalayak dan sesiapa pun yang menyaksikannya.

Datang dengan tenang

Kelompok militan dan radikal kini mempunyai beberapa nama di beberapa negara. Selepas 911 di New York, dunia mula mendengar nama “Al-Qaeda” yang dipimpin Osama Ben Ladin. Perang terhadap al-Qaeda menimbulkan pula kelompok lain seperti Taliban yang berpusat di Afghanistan.

Tahun lalu, dunia juga dikejutkan oleh penculitan lebih 200 murid perempuan di sekolah di Nigeria yang dilakukan oleh militan Boko Haram.

Anak-anak perempuan yang beragama Kristian dipaksa memeluk Islam. Bagi Boko Haram, pemaksaan menerima Islam adalah sebuah “pembebasan” kepada penganut agama lain, termasuk Kristian.

Sebahagiannya dikatakan dijual sebagai hamba. Bahkan, ada yang dijadikan sebagai hamba seks.

Secara geo-politik, Nigeria terbahagi dua di mana di bahagian Selatan dihuni majoriti penganut Kristian dan di bahagian Utara pula majoritinya Muslim.

Sama ada Boko Haram, Taliban, Daesh mahupun ISIS, semuanya sering mulanya datang dengan wajah tenang dan bantuan makanan kepada penduduk kampung atau wilayah pendalaman. Ia saling tak tumpah seperti dalam filem “Agora” (2009).

Pendakwah Kristian mula-mula sampai di kota Rom adalah dengan bantuan roti kepada orang miskin.

Kala itu, orang-orang Rom masih menyembah batu-batu berhala, selain kegemaran mempelajari falsafah dan ilmu keduniaan lainnya. Pengkristianan dilakukan berhati-hati dan senyap-senyap.

Di tempat yang tersembunyi, gereja dan perhimpunan diadakan. Sehingga di satu waktu, jumlah penganut Kristian mulai ramai, termasuklah di kalangan anak-anak muda yang miskin.

Dengan jumlah yang mencukupi, akhirnya pedang dan senjata dihunus. Api dinyalakan. Kuil-kuil dan batu-batu berhala tradisi orang kota Rom dibinasa. Dihancurkan di depan mata orang-orang yang berasal dari kota itu sendiri.

Pilihan hanya ada dua. Pertama, masuk Kristian atau kedua, mati.

Begitu juga ketika Boko Haram, ISIS, Daesh atau Taliban sampai di sesuatu kawasan. Misalnya di daerah pendalaman. Mereka menghulurkan roti dan bantuan makanan. Wajah mereka bukan dengan wajah yang bengis, tetapi lembut.

Disambut dengan riang dan penuh persaudaraan. Hanya apabila mendapat sokongan dalaman, barulah senjata akan memainkan peranan. Anak-anak perempuan dilarang sama sekali ke sekolah. Sekolah dibakar.

Lebih dashyat daripada itu, ada yang dijual di pasaran hamba. Lebih-lebih lagi kepada perempuan-perempuan yang tidak berdaya.

Muslim barbarik

Muslim dalam keadaan ini, bukan hanya Muslim dengan hati yang terbakar. Secara tidak sedar, meskipun laungan “Allahu-akhbar” ditempek-tempek, kisah Zaman Pertengahan atau Zaman Gelap berulang. Bukan berulang di Eropah. Kali ini, terjadi pula di Timur, di wilayah di mana Islam itu berawal.

Menakutkan, memang. Kita juga lihat, bagaimana orang yang baru menerima Islam mudah sekali terpengaruh dengan kumpulan ini.

Tidak hairan bagaimana ada di kalangan saudara baru itu, yang datang termasuk dari Australia, United Kingdom, Perancis dan Jerman telah dengan rela terbang ke wilayah konflik di Iraq dan Syria untuk menjadi “tentera Allah”. Menyahut seruan ‘Jihad’.

Di Barat perbincangan mengenainya menjadi hangat. Kemunculan kelompok Muslim barbarik itu yang melakukan aksi bom bunuh diri dikatakan juga berpunca daripada dasar luar Amerika dan sekutu-sekutunya.

Kehadiran tentera Amerika di Iraq, misalnya, telah menjadikan Muslim beralih untuk menjadi radikal.

Hati Muslim yang sedang luka, dihulurkan senjata. Barat dikatakan telah mendapat apa yang mereka tuai sekian lama dalam teori “kebebasan positif” ala Isaiah Berlin.

Pun begitu, menyalahkan Barat sebagai pembenih kepada kelompok Sunni-Militan bukanlah jawapannya.

Stastistik International Centre for the Study of Radicalisation and Political Violence (ICSR) yang berpengkalan di London menunjukan, sekurang-kurangnya tiga ribu orang dari serata dunia telah pergi ke Iraq dan Syria untuk menyertai ISIS.

Wilayah yang dikuasai ISIS di kedua negara itu adalah sebesar United Kingdom. Turut dikuasai bukan sahaja telaga minyak, tetapi juga sungai sebagai punca air yang mengalir sehingga ke Baghdad, ibu kota Iraq.

Sumbangan orang Islam

Tahun lalu, Rakyat Malaysia juga ada yang terlibat. Kita dikejutkan dengan berita mantan Setiausaha Pas Kedah telah bersama dua yang lain berangkat dan sampai di Syria. Beliau juga kemudiannya dilaporkan terbunuh dalam satu pertempuran.

Pada awalnya, kumpulan ISIS dipercayai mendapat dana termasuk daripada penjualan minyak ke pasaran gelap daripada telaga-telaga yang dikuasai mereka. Begitu juga hasil rampasan dan rompakan menjadi antara sumber berbanyak dalam membiayai ‘peperangan’.

Namun, kenyataannya yang lebih membingungkan ialah kewangan mereka juga daripada sumbangan orang Islam kebanyakan yang menderma.

Ada yang memilih kekal hidup di dalam kepayahan dan kemiskinan, tetapi sanggup memberi wang untuk kumpulan jihadi itu.

Sumbangan sedemikian juga dilakukan oleh golongan Muslim profesional dari serata dunia yang percaya dengan matlamat untuk mendirikan khalifah Islam kerana selain daripada sistem kekhalifahan adalah sekular. Sekular adalah bidaah.

Bidaah adalah sesat. Nerakalah balasan kepada orang-orang yang sesat. Begitu garis ringkas dan keras berbau fahaman Wahabi dan Salifi oleh ketua ISIS, Abu Bakr al-Baghdadi yang sering diulangi oleh para pengikutnya.

Budaya nusantara

Kala melihat bagaimana hukum berada di tangan siapa yang memegang senjata, di Asia Tenggara kita mungkin teringat peristiwa Reformasi di Indonesia yang berjaya menggulingkan Presiden Seoharto pada September 1998.

Tiga nyawa mahasiswa Universiti Trisakti terkorban dan tentulah itu harga minima yang perlu dibayar untuk menumbangkan sebuah rejim yang berakar puluhan tahun.

Apa yang lebih mustahak ialah Indonesia kekal berada di dalam sebuah politik demokrasi, meski selepas itu bersusah payah untuk menyempurnakan erti sebuah demokrasi. Mengambil ukuran negara-negara Muslim lain yang bergolak, ternyata ukuran Indonesia 17 tahun lalu jauh lebih berjaya.

Mungkin ini ikhtibar kepada Muslim Asia Tenggara. Muslim rantau ini mempunyai kekuatan budaya tersendiri. Penentangan politik tidak sampai menjadikan undang-undang dibangunkan di hujung pedang.

Muslim di Asia Tenggara boleh sahaja dikatakan lulus dalam ujian ini. Memang wujud satu dua kelompok yang cuba untuk menjadi radikal dan membina rangkaian militannya sendiri, namun budaya orang Nusantara itu sendirilah yang menyebabkan mereka tertolak.

Keamanan adalah kata kunci yang sebati dengan Islam Nusantara. Politik menjadi penting ketika kita lihat saudara-saudara di benua lain bermandi darah dan bercucuran air mata.

Di luar politik yang tersisa satu, iaitu perang. Di dalam perang tak akan apa lagi yang tertinggal.

Harapan kepada Muslim Nusantara akan lebih besar ketika dunia putus harap kepada Islam di benua-benua lain.

BACA INI JUGA:

Sumber: MK

5 Pasukan Bola Sepak Paling Teruk Di Dunia

5 Pasukan Bola Sepak Paling Teruk Di Dunia

Apa agaknya perasaan anda apabila menjadi pasukan bola sepak paling teruk di dunia apabila tewas dengan jumlah jaringan besar yang jumlah jaringannya tidak masuk akal.

Brazil

Jika tewas 7-0 pun sudah cukup memeritkan, bagi pasukan-pasukan ini, ia adalah satu kelegaan jika tewas dengan angka yang tidak terlalu banyak.

Selalunya pasukan-pasukan bola sepak ini tewas dengan jumlah jaringan yang sangat besar!

Berikut merupakan cerita 5 pasukan yang paling teruk di dunia.

1. Laurieston Lions (Scotland)

Laurieston Lions

Mereka adalah pasukan amatur yang berasal dari Stirling, Scotland, dan bermain dalam liga amatur iaitu Stirling and District Amateur League di kawasan kejiranan mereka.

Pasukan ini mencipta reputasi negatif apabila tewas 37-0 kepada musuh setempat, Pennies FC pada perlawanan pertama liga mereka.

Dalam perlawanan tersebut, Laurieston Lions sudah pun ketinggalan 20-0 pada separuh masa pertama.

Malah, pengadil perlawanan tersebut terpaksa menghabiskan perlawanan 10 minit lebih awal kerana ‘kasihan’ atas penderitaan pasukan itu.

Perlawanan kedua menampakkan sedikit peningkatan. Walaupun masih tewas, mereka hanya bolos 33 gol sahaja.

Sejak hari itu, mereka digelar pasukan paling teruk di Britain.

2. Pasukan kebangsaan Samoa Amerika

Samoa

Pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002 Zon Ocenia, pasukan Samoa Amerika tiba di New South Wales untuk menentang Australia.

Mereka berjaya bertahan untuk 7 minit pertama namun selepas itu mereka bolos 16 gol pada separuh masa pertama sahaja!

Kemudiannya mereka tewas dengan jaringan 31-0.

Jumlah jaringan Australia sangat besar sehinggakan papan markah pun tersilap menayangkan jumlah gol dengan menayangkan 32-0!

3. Madron FC (England)

Madron FC

Madron FC pernah mencipta sejarah apabila menjadi pasukan paling teruk di Britain apabila tewas dengan jaringan 55-0!

Rekod yang tercipta pada 2010 itu hadir apabila Madron menentang skuad simpanan Illogan.

Madron bagaimanapun tewas kerana mereka hanya mempunyai 7 pemain sahaja yang boleh beraksi.

Dan itu ternyata memberikan kelebihan kepada Illogan kerana mereka memulakan perlawanan dengan 11 lawan 7.

Bagaimana pun, penolong jurulatih Illogan iaitu Mark Waters tidak sedikit pun gembira dengan kemenangan besar tersebut.

Sebaliknya beliau kagum dengan semangat Madron yang sanggup datang bermain walaupun hanya mempunyai 7 pemain.

4. Longford AFC (England)

Longford AFC

Longford diisytiharkan sebagai pasukan paling teruk di England untuk tahun 2016.

Mereka bermain di liga Gloucestershire Northern Senior League Two dan mencatatkan rekod kekalahan 22 perlawanan berturut-turut.

Sepanjang rekod itu mereka telah tewas dengan jaringan yang besar seperti 14-0, 16-0 dan 17-0!

Stuart Pearce
Stuart Pearce.

Disebabkan rekod yang teruk itu, mereka telah membayar Stuart Pearce, bekas pemain antarabangsa England untuk keluar dari persaraan dan membantu Longford.

Namun usahanya untuk membantu Longford tidak berhasil apabila pasukannya tewas 1-0 kepada Wotton Rovers pada debutnya.

5. SO L’Emyrne (Madagascar)

SO L’Emyrne

Dan rekod kekalahan paling memalukan jatuh kepada kelab SO L’Emyrne dari Madagascar!

Rekod yang tercipta pada 2002 ini adalah ketika perlawanan play-off THB Champions League – liga utama Madagascar.

SO L’Emryne tewas kepada musuh tradisi mereka iaitu AS Adema dengan jumlah 149-0!

Namun kekalahan ini adalah dirancang kerana mereka memprotes keputusan pengadil.

Ketika perlawanan kedua terakhir liga antara SO L’Emyrne dengan DSA Antananarivo, pengadil telah memberikan penalti yang meragukan yang menjurus kepada keputusan 2-2 antara keputusan.

Keputusan seri itu menyingkirkan SO L’Emyrne dari perebutan kejuaraan liga dan AS Adema menjadi juara liga.

Pemain SO L’Emyrne kemudiannya bertindak menjaringkan 149 gol sendiri dengan pemain AS Adema hanya melihat sahaja.

Penonton yang hadir menjadi berang kerana disajikan dengan perlawanan sebegitu rupa, lantas mereka menggegar kaunter tiket mahukan wang mereka dikembalikan.

Ketika perlawanan itu juga, pengurus pasukan SO L’Emyrne telah bergaduh dengan pengadil perlawanan.

Hasilnya, Persatuan Bola Sepak Madagascar telah menggantung pengurus terbabit selama 3 tahun.

Dan 4 pemain pasukan SO L’Emryne iaitu Mamisoa Razafindrakoto, Manitranirina Andrianiania, Nicolas Rakotoarimanana dan Dominique Rakotonandrasana digantung untuk baki musim tersebut serta dilarang dari melawat mana-mana stadium sepanjang tempoh itu.

Pengadil tersebut pula tidak dikenakan sebarang pergantungan langsung.

BACA INI JUGA:

Sumber: Semuanyabola

Monday, October 10, 2016

Keunikan Muzium Putus Cinta Croatia

Keunikan Muzium Putus Cinta Croatia

Cinta itu indah dan mengasyikkan. Nikmatnya kadangkala sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Sayang sekali, cinta tidak selamanya indah dan kekal.

Museum

Sampai masa apabila sudah tidak ada keserasian, ada yang meminta untuk berpisah.

Kisah tentang putus cinta dan ditinggalkan kekasih ini banyak tersimpan di Museum of Broken Relationships. Muzium putus cinta ini terletak di Zagreb, Crotia dan laman web mereka boleh anda lawati disini, Brokenships.

Lokasinya kini kekal di bangunan Barok Kulmer yang indah, betul-betul di Upper Town iaitu tempat bersejarah Zagreb yang menjadi tumpuan para pelancong.

Di dalam Muzium Putus Cinta ini, tersimpan lebih 800 koleksi peribadi dengan setiap satu daripadanya disertakan dengan catatan ringkas tentang cerita di sebalik, tarikh dan lokasi.

Apa yang menarik, barang dalam muzium ini mempunyai satu persamaan dimana kesemuanya adalah tinggalan dari sebuah hubungan percintaan yang gagal.

Kebanyakan barang pameran dalam muzium putus cinta ini memang nampak biasa sahaja.

Ada sebahagiannya kelihatan lusuh, rosak dan nampak buruk, seperti barang terbuang.

Museum

Namun, ia sebenarnya mempunyai nilai sentimental tersendiri, malah menyimpan pelbagai emosi - sedih, kecewa dan marah dari seluruh dunia.

Telefon bimbit

Umpamanya, kisah disebalik telefon bimbit dari Zagreb, Croatia, bertarikh 12 Julai 2003 - 14 April 2004.

Menurut penderma, "Ia merupakan 300 hari yang terlalu lama. Dia memberikan telefon bimbitnya kepada saya supaya saya tidak dapat menghubunginya lagi."

Penutup botol

Catatan pada penutup botol juga tidak kurang sedihnya, "Awak kata, awak cintakan saya. Memberikan saya hadiah setiap hari. Ia adalah salah satu daripada hadiah awak.

"Kunci kepada jantung, tapi awak berpaling daripada saya dan awak tidak mahu tidur dengan saya.

"Baru saya sedar betapa awak sayangkan saya hanya selepas awak meninggal dunia akibat AIDS."

Kotak A

Kisah disebalik kotak A, bertarikh 1973 hingga 2000 dari Maribor, Slovenia turut meruntun jiwa.

Disamping kotak itu tertulis, ""Jelka, Vlado, 15 November 1975. Vlado dibuat selepas perkahwinan kami iaitu ketika dia di dalam latihan tentera.

"Setelah 18 tahun berkahwin, dia meninggalkan saya kerana wanita lain.

"Dan kami bercerai secara rasmi pada ulang tahun perkahwinan kami yang ke 25.

"Saya memutuskan untuk membuat kejutan ulang tahun untuknya.

"Saya meminta supaya diatas kek ulang tahun itu ditulis dengan nombor 25 dan kemudian dipotong separuh.

"Anak-anak menyambut ulang tahun pertama kami secara berasingan - saya dan kemudian dengan bapa mereka.

"Dia dan teman wanitanya sangat terkejut tetapi mereka memakan kek itu sampai habis, sama seperti tamatnya perkahwinan kami.

"Apa pun, saya masih mempunyai kotak, dua orang anak lelaki dan banyak kenangan.."

Set Pencukur

Ternyata cinta juga kadang-kala sukar untuk dimengertikan.

Pemilik kepada set pencukur dari Zagreb (1987-1996) menulis, "Dia membelikan saya set pencukur ini sempena hari lahir saya.

"Saya tidak menggunakannya untuk tempoh yang agak lama, tetapi disimpan sebagai tanda ingatan.

"Ketika kami bertemu, dia berumur 17 tahun dan saya 27 tahun. Kami berkahwin dan memiliki tiga orang anak.

"Kami berpisah selepas 10 tahun, pada ketika dimana saya masih terlalu mencintainya.

"Dia kemudian berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan.

"Saya berharap dia tidak mencintai saya lagi dan juga berharap dia tidak tahu bahawa dia satu-satunya insan yang pernah saya sayangi."

Koleksi Dari Seluruh Dunia

Lain-lain barangan pameran termasuklah doa dari seorang gadis Filipina untuk tunangnya yang mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam satu kemalangan.

Juga sepucuk surat cinta karangan seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang lari meninggalkan Sarajevo sebaik perang meletus pada tahun 1990an.

Demikianlah antara sebahagian perjalanan emosi yang menyentuh perasaan tersimpan dalam muzium putus cinta.

Inspirasi

Founder

Idea menubuhkan muzium ini dicetuskan oleh pasangan seniman dari Zagreb bernama Olinka Vistica dan Drazen Grubisic, yang berpisah secara baik selepas menyulan kasih selama empat tahun.

Mereka mula mengumpulkan sebanyak 40 koleksi kenangan dari bekas kekasih, milik sendiri serta sumbangan rakan-rakan.

Barang-barang tersebut kemudiannya dipamerkan dalam satu projek yang dinamakan Museum of Broken Relationships, yang dilancarkan pada tahun 2006.

Untuk beberapa tahun kemudian, muzium ini telah menjelajah ke sekitar lebih 20 negara Eropah, Amerika Utara, Afrika dan Asia.

Mendapat Pengiktirafan

Hari ini, muzium berkenaan berjaya menyimpan beratus-ratus koleksi peribadi daripada penderma yang pernah ditinggalkan pasangan masing-masing akibat perceraian, curang dan kematian.

Kerana keunikannya, muzium tersebut telah menerima anugerah Kenneth Hudson Award, pemberian oleh European Museum Forum (EMF), sebagai muzium paling inovatif di Eropah pada bulan Mei 2011.

BACA INI JUGA: Pernahkah Anda Terfikir, Kenapa Adanya Cincin Perkahwinan?

-Sentiasapanas.com

Apa Itu Khadam Dan Kuasa Mistik Azimat!

Apa Itu Khadam Dan Kuasa Mistik Azimat!

Khadam sering dikaitkan dengan penjaga sesuatu barangan mistik misalnya, ada yang mengatakan khadam batu delima berupa seorang puteri, juga khadam batu akik yang kononnya seorang wali.

Khadam dan Azimat
Gambar hiasan.

Khadam dalam bahasa Arab bermaksud pembantu, penjaga atau pengawal yang selalu mengikuti.

Dalam bahasa Arab, pembantu rumahtangga, pemandu, tukang kebun dan pengawal peribadi juga diistilahkan sebagai khadam.

Al-Qur'an menyebut bahawa Allah menciptakan hambanya dalam tiga bentuk. Malaikat, manusia dan jin. Istilah khadam hanyalah alias untuk ketiga-tiga makhluk ini.

Keajaiban yang sering diperkatakan ialah fungsi khadam yang sudah menyatukan dirinya dengan ilmu ghaib.

Misalnya, orang yang tubuhnya kebal senjata tajam, kulitnya diselimuti energi ghaib oleh khadam sehingga senjata yang hendak menyentuh kulit terhalang dan tidak dapat menembusinya.

Hal ini serupa dengan lapisan atmosfera ozon yang berperanan melindungi bumi dari pancaran matahari. Tanpa lapisan ozon sudah tentu kita akan kepanasan dan terbakar.

2 Golongan Khadam

Khadam terbahagi kepada dua golongan iaitu khadam asal dan khadam bersyarat!

i. Khadam asal

Khadam ini terdiri daripada rohani malaikat dan jin Islam peringkat tertinggi yang nama mereka seperti nama malaikat.

Khadam asal tidak memerlukan apa-apa syarat kepada ahlinya untuk berkhidmat. Khadam jenis ini diharuskan oleh syarak.

ii. Khadam bersyarat

Khadam jenis ini terdiri daripada jin alam rendah sama ada daripada jin Islam atau jin kafir.

Golongan ini datang kepada ahlinya dengan perjanjian dan beberapa syarat khusus dan umum sama ada yang bertepatan dengan hukum syarak ataupun yang diharamkan oleh syarak.

Khadam bersyarat ini akan datang menolong ahlinya melalui satu cara berikut iaitu damping luaran dan damping dalaman.

Damping luaran

Khadam ini akan mendampingi dan menolong tuannya melalui luaran saja dengan perbuatan, ucapan atau qasad hati.

Damping dalaman

Khadam jenis ini dikenali sebagai Tanasakhul Aruah atau penjelmaan khadam atau jin dalam diri seseorang semasa upacara menurun dengan menamakan diri mereka dengan nama tertentu seperti Nabi Khidir, Panglima Hitam, Wali Songo, Hang Tuah, Puteri Saadong dan sebagainya.

Kebolehan Luarbiasa

Jin yang meresapi dengan cara ini membolehkan orang yang diresapi menunjukkan keajaiban dan perkara luarbiasa seperti bercakap bahasa Siam, Jawa, Arab dan lain-lain sedangkan sebelum ini orang tersebut sedikit pun tidak mengetahui bahasa berkenaan.

Sebenarnya, manusia mudah tergelincir dalam memahami hal-hal bersifat mistik dan ampuh ini.

Umumnya, manusia menganggap azimat tersebutlah yang mengakibatkan terjadinya keajaiban dan kekuasaan sehingga bersandar kepada benda-benda tersebut dan akhirnya mereka semakin jauh dari Allah.

Akibat seringkali terjadi kesalahan kepada pengguna azimat, maka sebahagian besar ulama melarang pemakaian azimat.

Ini kerana manusia mudah menyimpang dari sisi ketauhidan Allah sehingga tanpa sedar melakukan perbuatan syirik!

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Kaitan Antara Black Magik Dan Illuminati

-Sentiasapanas.com

'Ingat, Nama Saya Iqbal Masih!', Kisah Benar 'Hamba Abdi' Moden!

'Ingat, Nama Saya Iqbal Masih!', Kisah Benar 'Hamba Abdi' Moden!

Assalaamualaikum. Nama saya Iqbal Masih. Lahir pada tahun 1983 di Muridke, sebuah kawasan di Punjab, Pakistan.

Iqbal Masih

Saya lahir dalam komuniti masyarakat miskin. Keluarga saya sangat miskin. Daif.

Semasa saya masih kecil, bapa menghilangkan diri, meninggalkan ibu untuk membesarkan kami.

Golongan miskin seperti kami selalu ditindas. Kami terpaksa berhutang dengan orang-orang kaya untuk keperluan hidup. Dan hutang-hutang itu tidak pernah habis, sebaliknya bunga kian bertambah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, apa anak-anak anda lakukan semasa mereka berusia empat tahun?

Mungkin mereka riang berlari dan bermain. Diberi makanan yang lazat dan pakaian cantik. Tapi, nasib saya berbeza.

Semasa berusia empat tahun, saya telah 'dijual' kepada saudagar permaidani. Ibu terpaksa berhutang untuk membayar kos perubatan dan melangsungkan majlis perkahwinan abang.

Ditempat saya, tauke permaidani diibaratkan orang mewah dan berkasta tinggi. Orang-orang miskin dan susah seperti kami tiada tempat hendak meminta pertolongan.

Kepada pemilik kilang permaidani inilah orang-orang tua kami akan datang merayu meminjam wang.

Ibu saya berhutang sebanyak 600 rupee yang jika ditukarkan kepada nilai ringgit Malaysia, tak sampai pun RM25. Harga sehelai baju anak tuan-tuan dan puan-puan pun tentu lebih mahal dari itu kan?

Ibu tak mampu hendak membayar hutang itu. Jadi, saya terpaksa 'dicagarkan' kepada tauke permaidani.

Ketika berusia empat tahun, saya dikerah bekerja. Pada usia ini anak-anak anda sedang leka menconteng kertas dengan pensel, saya pula dipaksa memegang alat penenun kain.

Pada usia empat tahun, saya bangun awal pagi sebelum subuh menjelma dan berjalan di dalam gelap gelita menuju ke kilang permaidani.

Disitu, saya dan ramai lagi kanak-kanak lain akan dirantai kaki untuk mengelakkan kami daripada melarikan diri.

Saya dipaksa bekerja selama 14 jam sehari dengan rehat lebih kurang setengah jam dan jika lambat membuat kerja, kami akan dimarah dan dipukul.

Kami hanya diberi makanan yang sangat sedikit serta dipaksa bekerja dalam keadaan lapar.

Disebabkan kekurangan zat dan nutrisi, tubuh saya kurus kering, terbantut, tidak membesar dengan ketinggian yang sepatutnya.

Setiap hari bekerja, saya dibayar upah sebanyak tiga sen. Wang tidak sampai ke tangan saya sebaliknya digunakan untuk memotong hutang keluarga.

Namun, walaupun penat bekerja, hutang keluarga tidak pernah berkurang, sebaliknya kian bertambah.

Setiap kesalahan yang saya lakukan atau terambil makanan lebih, semuanya akan dikira dan ditambah semula ke dalam jumlah hutang yang ada.

Walau mandi darah sekalipun, kami tidak akan pernah mampu melunaskan hutang-hutang itu angkara kelicikan golongan lintah darat saudagar permaidani.

Sewaktu berusia 10 tahun, saya dapat tahu bahawa buruh paksa adalah sesuatu yang telah diharamkan oleh mahkamah agung Pakistan.

Ketika itu saya nekad mahu melarikan diri. Saya mahu bebas dari 'neraka' ini.

Bersama beberapa orang rakan senasib, suatu hari kami berjaya meloloskan diri. Saya tidak tahu ke mana arah tuju. Sebab itu saya pergi ke balai polis.

Kepada seorang pegawai, saya ceritakan bagaimana kami dipaksa bekerja, diseksa dan dibiarkan kelaparan.

Buruh kanak-kanak
Buruh kanak-kanak.

Saya sangka dengan mengadu kepada polis, akan ada keadilan untuk kanak-kanak seperti kami. Sangkaan saya meleset.

Sebaliknya, pegawai polis itu membawa kami pulang semula ke kilang permaidani itu. Rupa-rupanya pengamal undang-undang kami juga sudah digelapkan mata kerana wang.

Mereka mendapat bayaran tinggi jika membawa kami kembali kepada majikan dan akibatnya, kami diseksa lebih teruk. Kami dipaksa bekerja tanpa rehat dan hanya diberi makan sekali sehari.

Pun begitu, saya tidak takut dan tetap menyimpan hasrat untuk melarikan diri sehingga akhirnya hajat saya termakbul. Sekali lagi saya berjaya menyelinap keluar.

Kali ini saya bernasib baik apabila mendapat bantuan dari BLLF (Bonded Labor Liberation Front of Pakistan), sebuah organisasi yang terlibat dalam usaha membebaskan buruh paksa kanak-kanak.

Organisasi ini mempunyai sekolah dan untuk pertama kali di sini, saya memegang pen dan menulis. Alangkah terujanya saya pada ketika itu.

Saya belajar bersungguh-sungguh. Pembelajaran yang sepatutnya berlangsung selama empat tahun berjaya saya tamatkan dalam tempoh hanya dua tahun.

Saya bercita-cita mahu menjadi peguam. Saya mahu membebas dan memperjuangkan nasib buruh kanak-kanak diseluruh dunia.

Saya terlibat dengan banyak kempen yang dijalankan BLLF. Saya mahu memberi kesedaran kepada dunia bahawa menjadikan kanak-kanak sebagai buruh paksa adalah perkara yang salah.

Walaupun saya berusia 12 tahun, tapi tubuh saya kecil. Tinggi hanya empat kaki dan berat sekitar 20 kilogram.

Tumbesaran saya terbantut kesan penderitaan dan seksaan yang saya alami sebagai buruh kanak-kanak sejak berusia empat tahun.

Tapi, jiwa saya besar. Saya mahu berjuang demi keadilan untuk kanak-kanak yang menerima nasib seperti saya.

Saya pergi ke merata tempat. Saya lantang mengutuk tindakan golongan kaya yang menjadikan kanak-kanak sebagai buruh paksa.

Selain saya, ada lebih tujuh juta kanak-kanak dibawah usia 10 tahun yang dijadikan hamba di Pakistan dan berjuta-juta lagi dijadikan buruh paksa di seluruh dunia.

Saya berusaha membebaskan mereka. Sekurang-kurangnya usaha saya baru menjangkau dua tahun namun sudah berjaya membebaskan tiga ribu kanak-kanak buruh paksa Pakistan, tapi bagaimana dengan yang berjuta-juta lagi?

Usaha saya tidak disenangi ramai. Yang paling marah adalah golongan kaya saudagar permaidani.

Ketika itu, industri permaidani Pakistan turun mendadak disebabkan kisah penghambaan kanak-kanak yang dipaksa menjadi buruh paksa.

Iqbal Masih
Tugu arca peringatan Iqbal Masih.

Mereka benci melihat usaha saya. Suara saya telah menjejaskan perniagaan mereka.

Semakin mereka mengancam saya, lebih berani saya ke depan untuk bersuara. Bukan hanya di Pakistan, saya lantang mengutuk penghambaan kanak-kanak sehingga ke luar negara.

Saya tidak takut!

Disember 1994, saya berkunjung ke Massachusetts, Amerika Syarikat, dan saya memberika ucapan di hadapan murid-murid gred 7 di Sekolah Menengah Broad Meadows.

Saya beritahu mereka, saya mahu menjadi seperti Abraham Lincoln, presiden Amerika Syarikat ke 16 yang berjuang menentang perhambaan.

Saya ceritakan peritnya pengalaman menjadi hamba kanak-kanak. Saya mahu berjuang untuk hak kebebasan kanak-kanak di dunia ini.

Kemudian, saya pulang semula ke Pakistan. Saya terima ugutan bunuh, namun saya tidak peduli. Itu bukan kali pertama saya diugut.

Empat bulan kemudian, pada 16 April 1995, sewaktu sedang mengayuh basikal untuk pulang ke rumah, BAMMM! Terdengar bunyi tembakan.

Saya ditembak dari arah belakang!

Disitu juga saya menghembuskan nafas terakhir, kembali ke pangkuan yang Maha Esa.

Seorang petani disabitkan bersalah kerana menembak saya walaupun tiada bukti kukuh.

Ramai mengatakan kematian saya ada kaitannya dengan golongan saudagar permaidani yang sememangnya berdendam dengan saya.

Dan nampaknya usia saya tidak panjang. Sama seperti Abraham Lincoln yang turut dibunuh kerana usahanya.

Tapi saya gembira. Walaupun usaha saya hanya setahun jagung, namun selepas pemergian saya, lebih banyak usaha lain dipergiatkan untuk membebaskan kanak-kanak yang dijadikan buruh paksa.

Kematian saya tidak sia-sia..

INFO

Kecekalan Iqbal mencetuskan inspirasi untuk penubuhan pelbagai organisasi pembelan kanak-kanak., antaranya, seperti Pertubuhan Free The Children di Kanada.

Juga Pertubuhan Iqbal Maih Shaheed Children Foundation yang telah berjaya membuka 20 buah sekolah untuk buruh kanak-kanak di Pakistan.

Pelajar sekolah Broad Meadows di mana Iqbal pernah memberi ucapan telah membuat kutipan amal selepas kematian Iqbal untuk membina sebuah sekolah di Kasur, Pakistan.

Pada tahun 1994, Iqbal mendapat anugerah Reebook Youth in Action Award atas perjuangannya.

Sebagai menghargai jasa Iqbal, pada tahun 1996, Sepanyol dan Amerika Selatan mewartakan tarikh 16 April sebagai hari menentang perhambaan kanak-kanak sedunia (International Day Against Child Slavery).

Pada tahun 1998, sebuah institusi pendidikan di Triesta, Itali dan dinamakan Instituto Comprensivo Iqbal Masih, sempena nama Iqbal.

Pada tahun 2000, walaupun telah tiada di dunia, Iqbal mendapat anugerah World Children's Prize For The Rights Of The Child, atas perjuangannya untuk golongan kanak-kanak.

Tidur lena

Kini, saya tidak dapat lagi melaungkan suara saya. Hanya gambar saya berbaju putih dengan sedikit senyuman, itu yang tinggal buat tatapan.

Tuan-tuan dan puan-puan. Kini saya tidur lena. Tidur yang panjang. Dan tidak akan bangkit semula.

Jika menatap gambar saya, ingatlah.. nama saya Iqbal Masih!

BACA INI JUGA: Misteri Surat Penyelamat Seksaan 25 Tahun

Sumber: Sentiasapanas.com