Friday, September 09, 2016

Gambar Selebriti Yang Dibayar RM30k Semalam Untuk Layan VVIP?

Gambar Selebriti Yang Dibayar RM30k Semalam Untuk Layan VVIP?

Seorang selebriti laman sosial yang selama ini dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran untuk melayan VVIP terbongkar apabila dia diberkas bersama pelanggannya di sebuah suite hotel mewah di Damansara.

Pelacur VVIP
Gambar hiasan.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah peribahasa yang boleh dikaitkan dengan aktiviti wanita yang sangat terkenal di Instagram ini.

Wanita berusia 20an itu ditahan bersama lelaki terbabit yang merupakan seorang ahli pernia­gaan yang sudah beristeri kira-kira pu­kul 10 pagi oleh pihak berkuasa hasil maklumat awam.

Dia dan pelanggannya kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, wanita berke­naan yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu sejak tahun lalu dan mencari pelanggan terdiri daripada golongan VVIP.

Katanya, wanita itu dikatakan menerima bayaran sehingga RM30,000 semalam daripada pe­langgannya.

Selebriti ini begitu licik dan pandai menyembunyikan kegiatan tidak bermoral itu di sebalik perniagaannya yang terletak di Lembah Klang.

Menurut sumber itu lagi, selebriti berkenaan dan pelanggannya akan diambil tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

BACA INI JUGA:

Sumber: Utusan | SentiasaPanas

Samsung Note 7 Terbakar Ketika Dicas, Jeep Nathan Dornacher Hangus Terbakar!

Samsung Note 7 Terbakar Ketika Dicas, Jeep Nathan Dornacher Hangus Terbakar!

Sebuah jeep dilaporkan hangus terbakar dipercayai selepas sebuah Samsung Note 7 yang sedang dicas meletup di dalam kenderaan itu, lapor Cult of Mac.

Nathan Dornacher Jeep

Jeep milik Nathan Dornacher itu terbakar ketika dia dan isteri baru pulang dari membeli belah di satu jualan garaj sempena hari Buruh.

Ketika ingin memunggah meja yang dibelikan untuk anak perempuannya, Nathan meninggalkan Note 7 dalam keadaan bercas dalam kenderan tersebut.

Nathan kemudian meminta anak perempuanya untuk kembali ke jeep tersebut sementara dia dan isterinya menyelesaikan urusan lain.

Namun salakan anjing miliknya membuat Nathan kembali ke jeepnya yang kelihatan sudah mula terbakar.

"Saya tidak menyangka, satu peranti baru, sebuah telefon berupaya membakar kereta, rumah atau mencederakan ahli keluarga saya", kata Nathan kepada Fox 13.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Nathan Dornacher Jeep [2]
Keadaan jeep Nathan dan juga telefon Samsung Note 7 yang meletup.

Wakil Samsung mengesahkan sudah menghubungi Nathan dan sedang melakukan yang termampu untuk membantu Nathan, lapor Fox 13.

Sebelum ini, beberapa kes Note 7 meletup telah dilaporkan berlaku di serata dunia dan Samsung telah membuat pengumuman untuk menarik balik peranti berkenaan dan menggantikannya dengan yang baru.

Samsung juga berkata penyebab peranti terbarunya itu meletup adalah bateri keluaran Samsung SDI dan masalah itu boleh diselesaikan dengan menukar bateri tersebut.

BACA INI JUGA:

Sumber: Siakapkeli | SentiasaPanas

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?

Secara mudah, halal JAKIM adalah satu pengiktirafan patuh syariah terhadap proses pembuatan produk yang bermula dari proses paling awal iaitu pemilihan bahan mentah hinggalah proses yang terakhir iaitu produk sampai di tangan pengguna.

Halal Jakim

Jika anda berada di hadapan dua buah restoran; sebuah restoran milik bukan muslim tetapi mempunyai sijil halal daripada JAKIM, manakala satu lagi milik Muslim tetapi tidak sijil halal JAKIM, restoran manakah yang anda pilih?

Saya pasti ramai yang tak mampu menjawab dengan yakin. Hal ini kerana kebanyakan kita tidak mengetahui apakah itu sijil halal JAKIM dan apakah proses yang dilalui bagi memperoleh sijil halal.

Untuk memperoleh pengiktirafan itu, sesebuah pengeluar makanan perlu mengistiharkan semua proses dan bahan mentah yang terlibat dari awal hingga akhir dengan terperinci.

Semua dokumen pengistiharan ini dikumpul dalam satu fail yang dipanggil Fail Halal. Fail ini dijaga oleh Eksekutif Halal di setiap syarikat.

Setiap kali juruaudit halal JAKIM datang melawat, fail inilah yang akan diperiksa dahulu. Apabila semua pengistiharan lengkap, juruaudit itu akan melakukan tinjauan di lapangan terbabit bagi memastikan semua pengistiharan itu benar-benar dipatuhi.

Selain dari itu, pihak syarikat juga mesti melantik seorang eksekutif halal yang beragama Islam dan mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Lantikan ini mesti berstatus ‘Tetap’.

Tugas eksekutif halal adalah memastikan keberkesanan sistem kawalan halal dalaman (internal halal control).

Semua langkah ini diambil bagi memastikan pihak syarikat mencapai sifar kesilapan dalam penghasilan produk halal.

Nah, itulah yang terkandung dalam logo kecil halal di bungkusan produk kita. Menurut pengamatan saya, rata-rata pengguna menganggap pengiktirafan halal hanya meliputi bahan mentah sahaja.

Mulai saat ini, ketahuilah bahawa pengiktirafan halal juga meliputi aktiviti memproses bahan mentah itu. Bahkan pada masa hadapan, ia mungkin melibatkan sumber kewangan yang patuh syariah.

Dengan memahami apa yang ada si sebalik logo Halal ini, tentunya pendekatan yang lebih dekat dengan maqasid syariah (hifzun nafs; menjaga nyawa/diri) adalah memilih restoran yang mempunyai sijil halal, walaupun ia milik non-muslim.

Sebenarnya saya pernah berada dalam situasi di atas. Lalu saya pilih restoran mamak (yang mempamer simbol-simbol Islam) yang tidak memiliki sijil halal. Akhirnya saya dikecewakan dengan tisu di restoran itu yang berbau najis tikus!

Pentingkah mencari produk yang mempunyai logo halal?

Ya, bahkan teramat penting. Dalam era kemajuan teknologi ini, rata-ratanya hanya orang yang mempunyai latar belakang tertentu saja (seperti Sains Pemakanan, Bioteknologi dan lain-lain) yang faham maklumat yang terpamer di bungkusan produk.

Kompleksiti proses pembuatan makanan menyebabkan ramai yang tidak tahu apa itu gelatin, lecithin, glycerin, Kod-Kod E dan lain-lain.

Maka wajarlah dibentuk satu badan berautoriti yang memantau perkara ini agar orang-orang yang berpendidikan rendah dapat menikmati makanan halal tanpa was-was. Penting untuk kita menjauhi rasa was-was kerana ia merupakan satu perasaan yang menyiksa jiwa.

Persoalannya, sejauh mana kita perlu berusaha mencari produk halal? Bagi saya, kita dituntut untuk mencarinya semampu kita.

Dalam konteks Malaysia, kita dipandu oleh logo halal JAKIM, maka carilah produk yang sudah diperiksa kehalalannya oleh JAKIM.

Jika di luar negara yang tiada badan pengiktirafan halal, maka tanyalah kepada pengeluar produk mengenai spesifikasi produk yang dikeluarkan, samada melalui emel atau panggilan telefon.

Menurut pengalaman saya, apabila sesebuah syarikat sering dihubungi pengguna untuk bertanyakan status halal produknya, pihak pengurusan syarikat akan mengambil langkah memohon pensijilan halal. Itulah kesan kuasa pengguna.

Pada hari ini, kesedaran halal dalam kalangan pengguna semakin baik. Bermula dengan produk makanan, kini JAKIM menawarkan pensijilan halal kepada rumah sembelih, farmaseutikal, kosmetik dan logistik.

Dengan sokongan padu dan komitmen terbaik pihak berautoriti, skop halal ini akan diperluas sehingga kita dapat menikmati Halal Lifestyle (Gaya Hidup Halal) yang dituntut oleh Allah SWT.

Moga Allah permudahkan urusan ini untuk umat Islam keseluruhannya.

Penulis
Ustaz Bilal bin Jailani
Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal)

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb

Kisah Eduard Muravitsky, Peninju Ortodoks Belarus Yang Masuk Islam

Kisah Eduard Muravitsky, Peninju Ortodoks Belarus Yang Masuk Islam

Rekod Eduard Muravitsky ialah Peninju Pro MMA. Umurnya masih muda, dalam lingkungan 20an dan dianggap peninju kebanggaan Belarus pada masa kini.

Eduard Muravitsky (Rasul Muravitsky)

Eduard Muravitsky merupakan seorang peninju professional MMA (Mix Martial Art) terkenal di Belarus, sebuah negara yang berjiran dengan Rusia di sebelah timur.

Beliau juga merupakan juara beberapa perlawanan Juara Dunia dan Juara Antara Eropah (European Championship).

Dua tahun lepas, Muravitsky telah menggemparkan negaranya apabila mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Mengikut portal berita Belarus, Nasha Niva yang menyiarkan kisah pengIslaman tergempar peninju muda kesayangan rakyat Belarus tersebut, Eduard telah melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah pusat Islam di Baranavichy.

Beliau mengambil keputusan mengambil nama baru Islamnya, Rasul sempena nama baginda Rasulullah SAW.

Berikut adalah wawancara portal tersebut dengan Rasul Muravitsky.

NashaNiva (NN): Boleh ceritakan sedikit sebanyak mengenai diri anda?

Rasul Muravitsky (RM): Umur saya baru 23 tahun. Saya warga Belarusian, dilahir dan dibesarkan di kota Baranavichy. Seawal umur 9 tahun lagi sudah didedahkan kepada latihan bertinju oleh pakcik saya.

Kemudian saya terus maju dengan mendalami teknik-teknik berlawan yang lain. Pendek kata hidup saya didedikasikan untuk bertarung sahaja.

Agama sudah tiada keperluan lagi di dalam hidup saya melainkan metafora semata-mata. Akhirnya pada umur 17 sudah pun berjaya diterima menyertai pertarungan Profesional.

Kemudian saya dikerahkan untuk memasuki angkatan tentera di mana bakat bertarung saya berjaya diserapkan ke dalam unit Latihan Khas Belarus (Special Forces).

Setelah tamat kontrak dengan pasukan tentera, saya kembali semula kepada pertarungan tinju. Saya kemudiannya berkahwin. Banyaknya tempat saya bertarung dan banyak kemenangan yang diperolehi membuatkan nama saya menjadi sangat terkenal.

Yang paling membuatkan saya gembira adalah satu acara pertarungan tinju yang diaturkan oleh pegawai kementerian Rusia, di mana Presiden Putin dan Perdana Menteri Rusia, D Medvedev menjadi penonton utama dalam perlawanan tersebut. Ianya sangat sentimental.

NN: Apakah agama kedua ibu bapa anda?

RM: Saya dilahirkan di dalam keluarga Kristian Ortodoks. Nenek saya rajin membawa saya pergi sembahyang di gereja.

Bagaimanapun jiwa saya yang masih muda dan kuat memberontak ini menimbulkan banyak persoalan dalam diri saya. Semasa di dalam gereja saya memerhatikan berdozen orang di dalam gereja itu yang dianggap suci dan mulia.

Aktiviti serupa turut dilakukan di dalam mana-mana gereja. Kita tak tahu adakah mereka itu benar-benar baik, atau tidak pernah membunuh sesiapa sebelum ini, atau mungkin seorang pencuri di luar itu?

Datang ke gereja untuk sekadar mencuci dosa sahaja. Tetapi di luar kembali kepada sifat jahat kita tak tahu?

Saya berasa sangat sedih. Seolah-olah tiada makna untuk menjadi seorang beragama. Akhirnya saya mengambil keputusan mengabaikan agama, tetapi tidak pernah berhenti untuk mempercayainya.

NN: Dan kemudian bagaimana anda kembali kepada Islam?

RM: Ada satu kisah menarik mengenai perkara ini. Pada satu hari saya pergi ke bandar Moscow atas jemputan seorang rakan untuk bertarung tinju bawah tanah.

Di sana terdapat banyak kelab sukan amatur yang menawarkan perlawanan tinju dengan ganjaran yang sangat tinggi. Semuanya diaturkan dengan bagus sekali.

Penginapan percuma, makanan disediakan yang sangat sedap, dan paling menarik hadiah juara satu pertarungan adalah USD400. Satu nilai yang sangat lumayan di Timur Eropah ini.

Semasa di sana, saya melihat ramai rakan peninju yang merupakan bekas anggota tentera Rusia dari selatan negara itu, yang rata-rata beragama Islam.

Sikap mereka sangatlah berbeza dengan peninju Rusia yang lain ataupun dari negara jiran. Peninju Muslim tersebut sangat kuat hubungan sesama mereka dan saling menjaga antara satu sama lain.

Mereka sanggup membantu rakan-rakan mereka sedaya upaya mereka. Ini adalah konsep persaudaraan yang sangat kurang diamalkan oleh atlet-atlet bangsa Slavic macam saya ni. Saya kagum dengan mereka.

Kemudian saya pun mendekati para peninju Muslim Rusia tersebut. Saya ikuti kumpulan mereka dan berlatih bersama-sama.

Saya sempat juga melihat aktiviti keagamaan mereka, di mana mereka rajin solat secara berjemaah. Cara mereka berbahasa pun sopan, tidak sesekali mencarut dan bercakap kasar, tidak minum alkohol dan yang paling penting tidak terjerumus ke dalam aktiviti penagihan dadah.

Kerana apa? Kerana itu semua diharamkan oleh agama mereka Islam! Ini membuatkan saya banyak berfikir selama berhari-hari. Pergaulan ini benar-benar memberikan kesan impak mendalam kepada saya kemudiannya.

Saya memberanikan diri bertanyakan apakah pengertian aktiviti yang mereka buat iaitu semasa bersolat itu. Mereka gembira menerangkan dengan cermat mengenai solat.

Mengajar saya mengenai Rasulullah SAW. Dan kemudian mengajar saya beberapa ayat Al-Quran. Proses ini mengambil masa berbulan-bulan dan saya semakin teruja mendapat maklumat baru setiap hari mengenai Islam.

Proses kerohanian yang sangat ditekankan oleh agama ini sangat berbeza dengan konsep ketuhanan dalam Ortodoks yang diajar kepada saya selama ini. Saya menyedari bahawa Kepercayaan itu masih wujud dan sudah saya temui sekarang ini – iaitu Islam.

Kemudian berlaku masalah di dalam kelab tinju kami. Kewangan kelab bermasalah akibat salah urus wang kelab. Akibat tidak mampu lagi membayar gaji dan latihan kami, akhirnya kelab itu pun bungkus dan terpaksa ditutup.

Maka mahu tidak mahu saya terpaksa kembali pulang ke Baranavichy. Ini memang sangat menyedihkan akan tetapi saya reda sahaja.

Di dalam perjalanan pulang saya berfikir dengan mendalam dan apabila sampai saja di kampung, saya telah pun menetapkan hati untuk memeluk agama Islam. Saya bergegas berjumpa dengan seorang Muslim Belarus di sana dan beliau membantu proses pengIslaman saya kemudiannya.

NN: Apakah yang mengubah hidup anda selepas memeluk Islam?

RM: Banyak. Antaranya mendapat ramai sahabat baru beragama Islam. Tetapi yang paling penting, saya rasa Islam memberikan saya perasaan Kepercayaan kepada Tuhan yang Esa melebihi daripada apa yang diamalkan oleh penganut Ortodoks.

Saya berikan contoh, ramai Ortodoks mempercayai Tuhan dan ajaran-Nya. Tetapi berapa ramai pula penganut Ortodoks yang menyembah-Nya setiap hari?

Mereka hanya datang ke gereja pun sekali sekala sahaja, itu pun sekadar mahu mengucapkan terima kasih kesyukuran ataupun apabila mereka ada masalah dan mahu meminta sesuatu daripada Tuhan. Ini adalah satu konsep yang sangat salah sama sekali.

Kepercayaan pada Tuhan akhirnya menjadi lubuk untuk mengaut keuntungan. Ia menjadi satu bisnes. Berapa banyak gereja seluruh dunia ni kaya raya dengan kutipan wang derma daripada ahli-ahli mereka?

Terdapat kes Paderi yang juga adalah seorang jutawan yang mengawal tabung amanah yang sangat lumayan hasil kutipan derma masyarakat ini.

Seseorang yang ingin mencuci dosa pun senang sahaja – hanya perlu menderma kepada gereja dan anda sudah bertukar menjadi manusia suci bersih!

Perkara ini benar-benar membuatkan saya sangat marah! Dalam Islam tiada hal sebegini rupa. Jika anda mahu mengetahui apa saja mengenai Tuhan, datang saja ke masjid dan boleh bertanyakan apa saja mengenai keTuhanan secara percuma.

Tiada siapa akan meminta bayaran daripada anda. Memang terdapat juga kutipan yang dilakukan di dalam masjid, akan tetapi segala hasil direkodkan oleh Imam dan dibentangkan di hadapan jemaah.

Berapa nilai dikutip dan di mana ia dibelanjakan dan berapa banyak sedekah semula pada jemaah yang daif memerlukan pun semua direkodkan dan dihebahkan umum.

Anda dapat lihat betapa cermatnya wang derma itu dibelanjakan. Ini benar-benar memberikan inspirasi kepada ummah Islam.

Dan lagi satu, saya perasan semakin ramai warga etnik Belarus sekarang ini mudah menerima hidayah dan menjadi Muslim.

Tentulah masing-masing mempunyai motif sendiri, tetapi apa yang saya dapati terdapat satu faktor utama yang menyebabkan penduduk Belarus kembali kepada syahadah – mereka semua memerlukan satu sistem sokongan, baik daripada faktor spiritual mahupun fizikal. Satu kesatuan ummah tanpa mengira bangsa, etnik dan negara.

Dan itulah apa yang Islam mampu berikan. Tiada agama lain yang mampu menyalurkan solidariti kesatuan seperti agama Islam ini.

Sebagai contoh lain di Belarus kelazimannya apabila seseorang bertembung satu sama lain di jalanan, masing-masing akan buat tak endah sahaja.

Seperti tiada apa-apa dorongan untuk bertanya khabar antara satu sama lain. Seolah-olah wujud suasana keterasingan saja.

Masing-masing akan laju melangkah pergi. Tiada komunikasi yang berlaku di situ.

Sebaliknya jika anda seorang muslim, jika anda menegur seorang muslim yang lain dan mereka menyambutnya dengan tangan terbuka. Daripada keterasingan yang saling tidak kenal boleh bertukar menjadi kawan semudah itu. Inilah indahnya Islam.

Saya percaya dengan konsep ukhuwah dalam Islam ini yang terbaik. Daripada mengasingkan diri antara satu sama lain, kita perlu bersatu, perlu merapati dan saling mengenali antara satu sama lain.

Membentuk komuniti yang kuat persaudaraannya. Ini akan memberi banyak faedah kepada negara sebenarnya.

NN: Bagaimana pula pandangan sahabat rakan saudara terhadap pilihan anda memeluk Islam itu?

RM: Yang paling penting mak saya kata, ”Buatlah apa yang terbaik untuk diri kamu”. Saya anggap itu sebagai satu keberkatan.

Nenek pula banyak merungut tetapi menerima keputusan saya dengan tangan terbuka. Isteri saya masih belum membuat keputusan lagi untuk memeluk Islam, tetapi kini tidak lagi memakan masakan kegemaran dia dahulu, iaitu sup daging babi.

Walaupun begitu, saya ambil masa yang lama, iaitu 6 bulan selepas memeluk Islam baru saya hebahkan kepada mereka.

Sebelum itu saya banyak buat perubahan diri, tidak lagi minum alkohol, tidak lagi bergaduh tepi jalan, kerap berada di rumah dan rajin membaca Al-Quran.

Mereka akhirnya menerima perubahan saya ini dengan terbuka hati, tanpa merasa terkejut apabila melihat banyak perubahan pada diri saya berbanding sebelum ini.

Kawan-kawan pula sangat terkejut dengan pilihan saya ini. Tetapi apabila melihat perubahan positif diri saya, ramai pula yang berminat untuk mendalami mengenai agama Islam ni. Ramai yang bertanya mengenai kepercayaan baru saya ini. Saya rasa sangat teruja.

Tetapi masih ramai juga yang memerli saya, dengan kata seperti begini, ”Eh, kau lepak dengan pengganas (terrorist) ke?” merujuk saya Muslim sebagai terroris.

Saya tak marah langsung malah tergelak melihat gaya mereka ini. Lawak betul. Ada pula saya dikatakan pengganas. Namun saya kemudian menerangkan pada mereka mengenai Islam sebenarnya.

Saya katakan semula pada mereka, "Umat Islam sudah hidup di Belarus semenjak beratus-ratus tahun dahulu, (maka) berapa banyak letupan bom yang berlaku sini?”.

Mereka pun tergelak sama dan menerima bahawa Islam itu bukanlah pengganas sebagaimana dipersepsikan oleh media Barat.

NN: Bagaimana pula dengan anak-anak anda?

RM: Saya sedang mendidik mereka di dalam aturan tatacara kehidupan seorang Muslim sekarang ini. Terpulang kepada mereka sama ada untuk memeluk Islam atau tidak.

Beredarnya masa kelak, mereka akan semakin memahami Islam ini dan mudah-mudahan akan gerakkan hati mereka memeluk agama fantastik ini.

Saya tidak akan sesekali memaksa anak perempuan dan lelaki saya memeluk Islam. Saya akan biarkan mereka membuat keputusan sendiri.

NN: Selepas memeluk Islam, adakah semangat kenegaraan Belarus anda semakin luntur?

RM: Saya menukar kepada agama baru, bukan menukar negara saya. Saya tiada masalah bersolat di mana-mana, asalkan tempat itu bersih daripada kotoran seperti darah dan sebagainya.

NN: Adakah kepercayaan baru anda ini memberi inspirasi kepada anda di dalam gelanggang?

RM: Sudah tentu! Selepas bersolat saja, saya berasa sangat tenang. Ia membentuk keperibadian saya. Memberikan kekuatan kerohanian dan spiritual.

Menariknya, kuasa fokus saya sekarang ini semakin meningkat selepas memeluk Islam. Saya sekarang ini menjadi peninju Muslim Eropah Timur yang terkenal sekarang ini.

Lihat, setakat ini tiada langsung peninju Muslim Rusia yang datang dari wilayah Islam, Dagestani, Ingush, Azeri, Chechen. Tiada.

Saya satu-satunya peninju Muslim paling dikenali dunia datang dari Eropah Timur. Saya rasa ini semua anugerah daripada Allah Swt.

Seperkara lagi, selepas menganut Islam, saya berjaya menubuhkan sebuah asrama sekolah latihan tinju MMA di Baranavichy. Separuh daripada pelajar saya datang dari selatan Rusia, wilayah Muslim.

Tetapi jangan risau. Saya tidak sesekali memaksa pelajar saya memeluk agama Islam. Yang saya haramkan adalah penggunaan bahasa kasar, mencarut, buli dan bergaduh sesama sendiri.

Itu haram sama sekali dalam Islam. Inilah yang saya akan tekankan dalam jati diri para pelajar saya ini.

Nota editor: Artikel ini diterjemah oleh Amzarul Yuzrin Mohd Yusof.

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb | Sentiasapanas

Wang Kertas Palsu RM100 Dan Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenainya

Wang Kertas Palsu RM100 Dan Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenainya

BNM sebagai pihak yang bertanggungjawab sedang menjalankan siasatan terperinci dan memantau kes wang palsu RM100 dipercayai didalangi oleh sebuah sindiket.

Wang+Palsu+RM100

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa terdapat laporan melibatkan wang kertas not RM100 mereka digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pemalsuan.

BNM kini berkerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera bagi memberkas mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini.

Menurut siasatan, wang kertas not RM100 palsu itu didapati berkualiti rendah dan boleh dikenal pasti melalui cetakannya yang kurang bermutu dan ciri-ciri keselamatan tiruan yang digunakan.

Wang+Palsu+RM100 [2]

Justeru itu, pihak BNM menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada polis dengan segera sekiranya mempunyai atau menerima wang kertas palsu tersebut.

Cara Mengenalpasti Wang Palsu

Untuk mengenal pasti sama ada wang kertas adalah tulen atau palsu, sila perhatikan dan periksa ciri-ciri penting berikut yang merangkumi empat aspek iaitu ‘Rasa, Lihat, Padan dan Periksa‘ yang terdapat pada wang kertas.

(i) Rasa pada wang kertas dan bezakan kualiti serta ciri cetakan yang timbul pada wang kertas.

Wang kertas tulen menggunakan substrat (bahan) bermutu tinggi dan oleh itu ia adalah unik berbanding dengan kertas biasa.

Anda disarankan supaya memeriksa ciri cetakan timbul yang terdapat pada potret di wang kertas dan pada angka denominasi dan teks.

(ii) Pegang dan halakan wang kertas ke arah cahaya lampu putih dan perhatikan ciri-ciri berikut.
  • Potret tiga dimensi DYMM Yang di Pertuan Agong pertama kelihatan lebih terang dan nyata berbanding dengan warna kertas di sekitarnya. Potret ini akan kelihatan tanpa garis-garis yang jelas.
  • Tanda pandang telus reka bentuk grafik pada bahagian depan dan belakang wang kertas akan kelihatan selari dan membentuk imej corak dan numeral yang lengkap.
  • Benang keselamatan dengan ciri teks mikro yang dijalin secara bersulam pada wang kertas.

(iii) Sengetkan wang kertas untuk melihat ciri warna dan corak yang berubah-ubah pada jalur holografik dan benang keselamatan.

Benang keselamatan kanta mikro bagi wang kertas RM100 akan dapat dilihat apabila wang kertas disengetkan di bawah cahaya terang.

(iv) Semak wang kertas dengan menggunakan kanta pembesar atau lampu sinaran UV.

Hanya mempunyai dua elemen warna fluorescent, manakala teks, logo dan jalur fiber akan berwarna kemerahan, kekuningan dan kebiruan dibawah pencahayaan UV.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri wang kertas Malaysia, orang ramai turut digalakkan untuk memuat turut aplikasi My Ringgit di Apple Store atau di Google Play.

Wang+Palsu+RM100 [3]
Wang+Palsu+RM100 [4]

Aplikasi ini menyediakan panduan interaktif dan ciri-ciri keselamatan mata wang Malaysia merangkumi piawai kualiti bagi mata wang malaysia, nasihat umum dan maklumat tambahan berkaitan ringgit.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman sesawang Bank Negara Malaysia di pautan www.bnm.gov.my.

BACA INI JUGA:

Sumber: mynewshub

Thursday, September 08, 2016

Maksud Sebenar Gelaran Dato', Datuk, Tun, Tan Sri Dan Sebagainya

Maksud Sebenar Gelaran Dato', Datuk, Tun, Tan Sri Dan Sebagainya

Apa sebenarnya perbezaan gelaran Dato', Datuk, Tun, Tan Sri dan Sebagainya? Sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita.

Datuk Shah Rukh Khan

Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan.

1. Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?

Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan.

Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk.

Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan penyelarasan dan memudahkan pembacaan, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum.

Info tambahan: Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.

2. Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan

Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

“Tun” merupakan gelaran anugerah tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan".

Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg).

Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".

3. Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran Datuk atau Dato' Kurniaan Negeri

Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk/Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.

Johor: Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Pahang: Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri/YH Dato'.

4. Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita

Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki.

Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor).

Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.

5. Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu

Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).

Info tambahan: Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.

6. Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza

Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’.

Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'.

Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu:
  1. Pehin Sri
  2. Datuk Patinggi
  3. Datuk Amar
  4. Dato Sri
  5. Datuk
  6. Dato
  7. Datu

Nota: 'Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah.

Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut:
  • Kedah: Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
  • Selangor: Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
  • Perak: Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
  • Pahang: Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
  • Negeri Sembilan: Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
  • Perlis: Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
  • Pulau Pinang: Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
  • Sabah: Datuk Seri Panglima, Datuk
  • Melaka: Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
  • Wilayah Persekutuan: Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk

7. Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan

Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja.

Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Penutup

Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Ibnurusydi

Lukisan Gua Altamira Yang Membingungkan Saintis

Lukisan Gua Altamira Yang Membingungkan Saintis

Tahukah anda Gua Altamira menjadi lokasi penting dunia kerana disini terdapat sebuah lukisan daripada masyarakat zaman Paleolitik.

Altamira Cave

Lukisan ini dianggap sangat penting dalam perkembangan sejarah manusia kerana disebalik lukisan itu, saintis tertanya-tanya, adakah gambaran lukisan tentang imej kerbau atau bison di dinding gua menunjukkan haiwan itu wujud sezaman dengan dinosaur?

Altamira Cave [2]

Walau bagaimanapun, persoalan ini dianggap tidak bersifat akademik dan apa yang diangkat ke peringkat dunia adalah mengenai pigmen warna yang digunakan ketika melukis lukisan ini.

Altamira Cave Painting

Apa yang sangat menakjubkan saintis adalah pengekalan warna lukisan ini untuk tempoh yang sangat lama tanpa mengalami perubahan.

BACA INI JUGA:
Altamira Cave Painting [2]
Altamira Cave Painting [3]
Altamira Cave Painting [4]
Altamira Cave Painting [5]
Altamira Cave Painting [6]
Altamira Cave Painting [7]
Altamira Cave Painting [8]

Sumber: Sentiasapanas

Apa Itu Kanser Payudara, Sejarah, Faktor, Tanda-tanda Dan Rawatannya

Apa Itu Kanser Payudara, Sejarah, Faktor, Tanda-tanda Dan Rawatannya

Kanser payudara merupakan antara salah satu penyakit pembunuh wanita tertinggi di dunia dan pembunuh nombor 1 wanita di Malaysia.

Kanser Payudara

Namun, walaupun ia menjadi pembunuh wanita tertinggi, hakikatnya masih ramai lagi di kalangan wanita tidak mengambil berat dan memandang remeh mengenai kanser payudara ini walaupun hakikatnya ia boleh dirawat bermula peringkat awal lagi.

Lebih menakutkan, seorang daripada 19 wanita di Malaysia mempunyai risiko terdedah kepada kanser payudara sepanjang hayat mereka.

Dan walaupun ia menjadi pembunuh wanita tertinggi, hakikatnya masih ramai lagi di kalangan wanita tidak mengambil berat dan memandang remeh mengenai kanser payudara.

Apa Itu Kanser Payudara

Barah payudara adalah merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara.

Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran.

Sel-sel barah ini juga mampu untuk membebaskan dirinya daripada ketumbuhan asal sekaligus memasuki saluran darah serta sistem perlimpahan (Lymphatic system).

Inilah juga cara serta kaedah penyakit barah payudara menyerang bahagian-bahagian organ lain para penghidapnya. Proses penjangkitan ini juga dikenali sebagai metastasis. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

SEJARAH KANSER PAYUDARA

Tahukah anda, kanser payudara merupakan sejenis ketumbuhan dalam tubuh manusia yang paling awal diketahui.

Penghuraian tentang kanser payudara ini telah pun diketahui oleh masyarakat purba Mesir zaman dahulu lebih kurang 1600 BC yang lalu, namun mereka tidak menyebut ianya sebagai istilah kanser/barah.

Seorang individu yang dikenali sebagai Papyrus Edwin Smith telah menghuraikan beberapa jenis ketumbuhan dan ulser pada payudara yang dirawat menggunakan kaedah pengkauteran dengan menggunakan "fire drill" (gerudi dan bakar tisu kanser). Kaedah ini masih digunakan sehingga kini namun tanpa melalui proses pembakaran.

Pada kurun ke-17, seorang doktor telah menemui kaitan antara kanser payudara dengan nodus limfa di ketiak.

Pakar bedah berbangsa Perancis Jean Louis Petit (1674-1750) dan kemudian pakar bedah berbangsa Scottish Benjamin Bell (1749-1806) merupakan pakar bedah yang terawal yang berjaya membuang nodus limfa, (kanser) tisu payudara, dan otot dasar dada.

Kejayaan mereka telah diteruskan oleh William Stewart Halsted yang memulakan mastektomi (merupakan prosedur pembedahan) di 1882.

Beliau dikenali kerana Halsted mastektomi yang radikal, satu prosedur pembedahan yang kekal popular sehingga 1970an.

BEBERAPA FAKTOR RISIKO PENGHIDAP KANSER PAYUDARA

1. Faktor Keturunan

Kebanyakan kanser yang berlaku di kalangan sesetengah individu mempunyai kaitan dengan genetik keturunan masing-masing.

Kajian membuktikan 5-10% kes kanser payudara adalah bertitik tolak daripada faktor genetik kerana tubuh manusia ini terdiri daripada pasangan kromosom yang diwarisi daripada ibubapa.

2. Seiring dengan faktor usia

Semakin berusia, semakin tinggi peratus risiko menghodap kanser payudara.

Tidak mempunyai anak, anak pertama lambat, tidak menyusukan anak, haid pertama awal, menopause lewat dan pengambilan rawatan penggantian hormon (hormone replacement therapy).

3. Faktor alam sekitar

Faktor alam sekitar juga memainkan peranan kepada terjadinya sesuatu kanser dalam tubuh seseorang. Kesan radikal bebas juga menjadi salah satu punca kepada pelbagai jenis penyakit kanser.

Tanda-tanda Awal Kanser Payudara

Wanita harus peka kepada perubahan yang berlaku pada payudara dan puting masing-masing, antaranya seperti berikut:
  • Perubahan rasa di payudara atau puting
  • Ketulan atau perubahan ketebalan di payudara atau bawah ketiak
  • Puting payudara yang terasa tegang dan sakit
  • Perubahan dilihat pada payudara atau puting
  • Perubahan saiz dan bentuk payudara
  • Puting payudara terperosok ke dalam
  • Permukaan kulit payudara, sekeliling puting, atau puting bersisik, merah atau bengkak. Permukaan kulit boleh kasar atau berliang seolah-olah seperti permukaan oren.

Oleh yang demikian, anda jangan mengabaikan tentang tanda-tanda awal kanser payudara ini kerana rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa anda dari serangan kanser payudara yang boleh membawa maut!

Sayangi diri anda, sayangi keluarga!

BACA INI JUGA:

Sumber: Nurkids2u | Sentiasapanas

10 Fakta 'Menakutkan' Gunung Berapi Dan Gempa Bumi!

10 Fakta 'Menakutkan' Gunung Berapi Dan Gempa Bumi!

Bukan semua orang berminat nak mengetahui tentang gunung berapi, tapi apa salahnya kalau kita tahu serba sedikit fakta mengenai 'kehebatan' gunung berapi.

Gunung Berapi Dan Gempa Bumi

Mana tahu boleh kita gunakan pengetahuan ini suatu hari nanti.

1. Jumlah manusia yang diancam gunung berapi

Pada tahun 2000 dianggarkan seramai 500 juta manusia terdedah kepada ancaman gunung berapi.

2. Jumlah manusia yang terkorban akibat gunung berapi

Sejak 500 ratus tahun lampau, dianggarkan seramai 300,000 manusia telah terbunuh akibat bencananya.

3. Batuan gunung berapi di permukaan bumi

Sebenarnya, lebih dua pertiga daripada permukaan bumi berasal daripada kegiatan gunung berapi sama ada yang muncul akibat gunung berapi atau batuan yang menyejuk di bawah tanah yang akhirnya terdedah ke permukaan.

Namun, kebanyakan daripada batuan ini boleh ditemui di dasar lautan.

4. Asal perkataan 'volcano'

Asalnya ialah dari vulcan iaitu merujuk kepada tuhan api orang Roman.

5. Tempat paling banyak terdapat gunung berapi

Jawapannya ialah di bawah laut iaitu dengan rantaian sepanjang lebih 48,000 kilometer dan boleh mencecah ketinggian 5.5 kilometer dari dasar laut.

6. Gempa bumi paling kuat

Sehingga kini, gempa bumi paling kuat ialah pada magnitud 9.6 yang berlaku di Chile yang membuat gelinciran sepanjang 1,600 kilometer.

7. Tiga negara dengan gunung berapi paling aktif

Negara-negara itu ialah Indonesia, Jepun dan Amerika Syarikat

8. Gunung berapi yang paling banyak meragut nyawa

Terletak di Indonesia, gunung berapinya ialah Tamboro, yang pada tahun 1815, telah menyebabkan kematian kepada lebih 90,000 orang penduduk walaupun kebanyakannya mati bukan secara langsung akibat letusan, sebaliknya akibat kelaparan dan penyakit yang melarat akibat letusan itu.

9. Gempa bumi paling banyak meragut nyawa

Mengikut catatan sejarah, gempa bumi yang paling teruk pernah melanda negara China pada tahun 1557 di wilayah tengah.

Gempa bumi ini telah melanda di kawasan yang mana penduduknya tinggal di dalam gua yang terdiri daripada batuan lembut.

Akibatnya, gua ranap dan meragut hampir 830,000 nyawa!

Pada tahun 1976, China sekali lagi ditimpa bencana dan kali ini ia menyebabkan kematian kepada 250,000 orang.

10. Kawasan letupan gunung berapi dan gempa bumi

Majoriti kegiatan gempa bumi dan letupan gunung berapi berlaku di plat-plat yang banyak terapung di permukaan muka bumi.

Salah satu plat yang aktif ialah Plat Pasifik yang juga dikenali sebagai 'Pacific Ring of Fire'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas

Sikap Emosi Adalah Peribadi Yang Jauh Dari Kejernihan Hati

Sikap Emosi Adalah Peribadi Yang Jauh Dari Kejernihan Hati

Keramahan itu menyenangkan. Tidak hanya bagi orang lain yang melihatnya, tapi juga bagi diri kita. Keramahan akan menambah tenaga diri dalam menjalin hubungan dengan orang lain.

Heliza Helmi
Gambar hiasan.

Demikianlah jika batu dihantukkan dengan batu, nescaya salah satu atau keduanya akan ada yang terbelah.

Akan tetapi, jika batu dihantukkan dengan tanah liat, nescaya batu itu akan melekap dan menyatu dengan tanah liat.

Di dalam Al-Qur'an Allah telah menyatakan bahawa dengan bersikap lemah lembut dan penuh kasih sayang, mampu menakluk hati yang keras.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Allah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." Surah An-Nahl, ayat 125.

Kita boleh merasakan apabila sedang kesal atau marah, lalu berjumpa dengan orang yang bijaksana, baru menatap wajahnya yang jernih, hati kita sudah merasa sejuk.

Belum lagi perhatian yang tulus serta keramahan dari tutur katanya yang penuh berisi.

Sikap ini berkesan meredam emosi kita, bahkan mungkin sahaja kita akan berubah fikiran dan menyesali perbuatan yang sebelumnya kita anggap benar.

Ternyata, pokok pangkal kesusahan itu tidak terletak pada masalah yang sedang dihadapi, namun terletak pada sikap kita ketika menghadapi masalah tersebut.

Sikap emosional tidak dapat menyelesaikan masalah dengan baik, sebaliknya ia akan lebih memberatkan masalah yang dihadapi.

Sikap emosional sebenarnya berakar daripada peribadi yang jauh dari kejernihan hati.

Akibatnya, suasana hati akan lelah, tegang dan jauh dari ketenangan serta kebahagiaan.

Keadaan seperti ini jelas memberi pengaruh pada perilaku. Mengapa? Kerana reaksi apapun yang kita tampilkan, tidak akan jauh berbeza dengan suasana hati.

Sikap emosi [2]

Kerana itu, cubalah untuk menghadapi hidup ini dengan penuh semangat. Tunjukkan selalu wajah yang ceria dan jernih. Tersenyum dengan wajar dan tulus.

Temuilah orang lain dengan sikap sopan dan santun. Sapalah mereka dengan penuh keramahan dan penghormatan.

Bila demikian, nescaya kita akan menemui bahawa beban yang selama ini menghimpit hati, akan terasa jauh lebih ringan dan lapang.

Selain itu, semangat untuk menghadapi persoalan pun akan berlipat-ganda, terlebih lagi bila orang lain membalas keramahan kita.

Semua itu akan menjadi tenaga tambahan dalam menghadapi pelbagai masalah yang menghadang.

Keramahan itu menyenangkan. Tidak hanya bagi orang lain yang melihatnya, tapi juga bagi diri kita.

Bukankah kita menginginkan kebahagiaan dalam hidup? Maka, marilah kita mulakan dari sikap yang paling murah dan ringan, tapi cepat dirasakan hasilnya.

Selamat berbahagia bagi sesiapapun yang mahu bersikap ramah, sekalipun terhadap orang yang berbuat tidak baik kepadanya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, September 07, 2016

Kafya, Payung Ajaib Ciptaan Palestin Untuk Jemaah Haji

Kafya, Payung Ajaib Ciptaan Palestin Untuk Jemaah Haji

Lebih tiga juta jemaah dari serata dunia berhimpun di tanah suci setelah melakukan perjalanan melalui pesawat, kapal laut waima berjalan kaki di bawah panas terik matahari demi menunaikan ibadah haji.

Kafya

Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam pada itu menasihati para jemaah untuk menggunakan payung bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada sinaran terik matahari secara berlebihan sepanjang mengerjakan Rukun Islam kelima tersebut.

Namun sebuah syarikat Palestin yang berpangkalan di Arab Saudi dipanggil sebagai Knowledge-Base mendapat perhatian luas seluruh dunia setelah berjaya mencipta sebuah payung ‘ajaib’ yang dikatakan boleh melakukan lebih daripada sekadar fungsi biasa.

Dinamakan “Kafya” sempena kain penutup kepala tradisional masyarakat Palestin, payung ‘bijak’ itu mampu mengumpulkan pancaran kuat dari matahari dan menukarnya kepada tenaga elektrik menerusi panel-panel solar yang dipasang di bahagian atas payung.

Tenaga elektrik yang disimpan di dalam bahagian pemegang payung boleh menyalakan lampu suluh, kipas dan sistem pengesanan global atau GPS yang dipasang pada payung itu, sekali gus membantu jemaah untuk mencari anggota keluarga mereka jika sesat jalan.

Ia juga boleh digunakan untuk mengecas telefon dan komputer riba menerusi tiga penyambung USB yang ditempatkan di bawah pemegang, demikian dijelaskan oleh pencipta Manal Dandis, seorang konsultan dari Palestin, kepada agensi berita antarabangsa Reuters.

“Kami memulakan idea ini daripada pengalaman urusan haji itu sendiri,” menurut Dandis.

“Rakan niaga saya pula secara kebetulan merupakan seorang sukarelawan haji selama 40 tahun dan dia benar-benar tahu apa yang diperlukan para jemaah haji dari seluruh dunia.

Di Makkah, memang tiada alat penyesuai soket atau ‘adapter’ bagi pelbagai kepala suis elektrik selain masalah remeh apabila ada tiga hingga empat juta orang yang perlu mengecas telefon bimbit mereka setelah kehabisan bekalan kuasa bateri.

Kafya [2]

Produk ini bakal berguna untuk 10 tahun akan datang, apabila musim haji jatuh antara bulan Jun dengan September.

Semasa bulan-bulan tersebut, suhu di kawasan itu boleh cecah ke paras sangat tinggi dan kes keletihan akibat cuaca panas dan strok haba dijangka meningkat.

Terdapat lebih 1,000 kes keletihan akibat cuaca terlalu panas yang dilaporkan berlaku semasa musim ibadah haji pada 2015 lalu, dengan sekitar 700 kes strok haba serta lebih 1,700 kes masalah berkaitan cuaca panas yang lain.

Dandis dan rakan niaganya, seorang saintis dari Arab Saudi bernama Kamel Badawi, sedang mencipta prototaip untuk payung mereka itu.

Mereka memberitahu laman The Media Line bahawa payung itu belum dapat siap digunakan pada musim haji kali ini.

Mereka memaklumkan Reuters bahawa syarikat tersebut sedang berusaha untuk mendapatkan paten bagi ciptaan tersebut, dan mencari pelabur sebelum mereka boleh mula memasarkannya secara lebih komersial pada harga berpatutan.

Buat masa ini, mereka akan memulakan ‘crowdfunding‘ atau mengumpul dana modal sendiri dan terlebih dahulu hanya memasarkannya secara online kepada orang yang memang ingin membeli payung tersebut secara eksklusif.

Mereka berharap untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sejuta unit payung itu untuk pasaran rantau Timur Tengah dan kosnya dijangka adalah lebih murah, menurut Dandis yang bagaimanapun tidak mendedahkan harga sebenarnya.

Kafya hanyalah satu daripada beberapa ciptaan teknologi seperti aplikasi telefon bijak dan gelang elektronik yang dicipta untuk menepati keperluan jemaah, dan meningkatkan kecekapan di Makkah semasa musim haji yang sibuk.

BACA INI JUGA:

Sumber: Agensi/Mynewshub/HAA