Tuesday, August 16, 2016

Team Malaysia Menang Dota 2, Raih Wang Tunai RM5.6 Juta!

Team Malaysia Menang Dota 2, Raih Wang Tunai RM5.6 Juta!

Sekumpulan atlit sukan elektronik (e-sport) dari Malaysia mencatat sejarah apabila memenangi pertandingan video game popular Dota 2 sekaligus meraih hadiah wang tunai USD1.4 juta (RM5.6 juta).

Fnatic

Fnatic (Gambar atas) meninggalkan pentas The International Dota 2 tahun 2016 ini dengan bergaya selepas mencatat sejarah baharu walaupun tidak berjaya meneruskan laluan ke tiga tempat teratas.

Meskipun tampil sebagai kumpulan ‘underdogs’ namun anak muda berusia antara 20 hingga 25 tahun yang menggelarkan diri mereka Fnatic, berjaya menduduki tempat keempat The International Dota 2 yang berlangsung di Seattle, Amerika Syarikat selepas mengalahkan beberapa kumpulan terkemuka lain dari Eropah dan Asia.

Fnatic dianggotai Yeik Nai Zheng (MidOne), Adam Erwann Shah (343), Chong Xin Khoo (Ohaiyo) dan Chai Yee Fung (Mushi) dari Malaysia. Hanya pemain kelima, Djardel Jicko Mampusti (DJ), 21, merupakan pemain profesional Dota 2 dari Filipina.

Fnatic menduduki tempat keempat selepas dikalahkan Digital Chaos dari Amerika Utara.

Kapten Fnatic, Chai Yee Fung memohon maaf atas kekalahan pasukan mereka untuk terus mara sebagai juara.

Begitu pun, pasukannya tetap menerima imbuhan lumayan RM5.2 juta yang merupakan nilai wang tertinggi pernah dimenangi pasukan dari Asia Tenggara sejak The International Dota 2 diperkenalkan pada 2011.

Chai Yee Fung aka Mushi
Chai Yee Fung aka Mushi.

Chai yang turut mendapat jolokan ‘Lee Chong Wei Dota 2’ merupakan idola ramai pemain Dota 2 dan pada tahun ini sahaja, pasukannya sudahpun memungut RM1.9 juta untuk imbuhan kemenangan mereka.

Kali terakhir pasukan dari Malaysia mencatat kemenangan dalam Dota 2 adalah menduduki tempat ketiga pada 2013 menerusi kumpulan Orange Esports yang turut dianggotai Chai, dengan hadiah kemenangan bernilai RM1.15 juta.

Dota 2 adalah permainan video online yang menampilkan dua pasukan yang masing-masing dibarisi lima pemain, bertarung untuk memusnahkan struktur pertahanan lawan yang digelar ‘Ancient’ dan pada masa sama perlu mempertahankan ‘Ancient’ sendiri.

Bagi pertandingan Dota 2 peringkat antarabangsa tahun ini, sejumlah USD21 juta (RM84.4 juta) diperuntukkan sebagai hadiah kemenangan.

Pertandingan diadakan di hadapan penonton di KeyArena, Seattle dan dipancarkan secara langsung untuk tontonan jutaan peminat Dota 2 seluruh dunia.

Untuk rekod, pertandingan Badminton Super Series Masters Finals menawarkan hadiah wang tunai RM2 juta sahaja manakala keseluruhan imbuhan untuk Le Tour de France tahun ini ialah RM10.3 juta.

WOW, betapa jauh bezanya dengan RM84.4 juta kan..

BACA INI JUGA: Jourdan Toh, Jaguh Matematik Yang Di Gelar 'Manusia Kalkulator' Dari Malaysia!

Sumber: New Straits Times Online

Berapa Ganjaran Diterima Pemenang Pingat Olimpik Disetiap Negara?

Berapa Ganjaran Diterima Pemenang Pingat Olimpik Disetiap Negara?

Para atlit menghabiskan hampir seluruh hidup mereka, berlatih untuk mengambil bahagian mewakili negara masing-masing dalam Sukan Olimpik.

Pandalela rinong

Mereka berpenat lelah untuk mengharumkan nama negara di samping merebut ganjaran yang akan diberikan sekiranya usaha mereka berjaya.

Mari kita lihat bagaimana negara-negara memberikan ganjaran kepada atlit mereka selepas memenangi medal dalam sukan berprestij tinggi ini.

Singapura

Singapura

Singapura memberikan ganjaran tertinggi dengan Persekutuan Kebangsaan Singapura membayar atlitnya yang berjaya membawa pulang medal dengan jumlah paling tinggi iaitu $ 734,000 (RM2,960,845) kepada pemenang pingat emas, $ 367,000 (RM1,480,422) kepada pemenang pingat perak dan $ 183,000 (RM738,194) kepada pemenang pingat gangsa.

United Kingdom

United Kingdom

Tiada hadiah wang tunai dari United Kingdom. UK merupakan satu-satunya negara yang tidak menawarkan wang tunai kepada pemenang pingat di Sukan Olimpik, walaupun atlitnya membawa pulang pingat emas.

Thailand

Thailand

Beri ganjaran wang tunai mengikut tempoh masa. Thailand menawarkan wang tunai berjumlah $ 314,000 (RM1,266,628) dalam tempoh masa 20 tahun dan Filipina pula menawarkan $ 237,000 (RM956,022) dalam tempoh masa yang sama kepada pemenang pingat emas mereka.

Malaysia

Malaysia

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberikan ganjaran bar emas padu kepada pemenang pingat emas. Bar emas padu yang diberikan bernilai $600,000 (RM2,420,310).

Kejayaan gandingan dua penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang telah berjaya merangkul pingat perak bagi acara platform berirama 10 meter wanita di Olimpik Rio, membolehkan mereka menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM600,000 (dikongsi) serta pencen bulanan RM3,000 setiap seorang untuk seumur hidup di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN).

Negara-negara besar menawarkan jumlah yang lebih kecil

Olimpik Rio 2016

Negara seperti Perancis, China, USA dan Jerman menawarkan jumlah yang sangat kecil kepada pemenang pingat berbanding negara kecil seperti Azerbaijan dan Kazakhstan!

‘Tak Wajar Mereka Dapat Pencen RM3K Seumur Hidup’

Laporan polis Rozzeli Pin

Sementara itu, seorang pesara tentera yang dikenali sebagai Rozzeli Pin mempertikaikan ganjaran yang diterima kedua-dua atlet terjun negara dengan membuat laporan polis.

Bagi dirinya, ramai lagi pejuang negara yang patut diberi ganjaran sebegitu.

Gambar salinan laporan polis yang dibuat oleh Rozzeli mula tersebar di laman sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

“Saya mempertikaikan pemberian tersebut dan berasa tidak wajar kerana banyak lagi pejuang-pejuang negara dan bekas kakitangan Angkatan Tentera Malaysia dan polis yang berkhidmat dan berjasa tidak diberikan ganjaran sewajarnya,” katanya.

Apa sekalipun, tahniah sekali lagi buat Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

BACA INI JUGA: Video Terjunan Perak Pandelela Rinong Dan Cheong Jun Hoong Olimpik Rio 2016

Sumber: Mynewshub.cc

5 Sebab Kenapa Proton Persona Terbaharu 2016 Setanding Kereta Import

5 Sebab Kenapa Proton Persona Terbaharu 2016 Setanding Kereta Import

Ssejak Proton mula mengeluarkan produk buatan sendiri bermula dengan Waja, Gen.2, Savvy, Neo, Persona, Saga (BLM, FLX), Exora dan Preve ada sahaja yang tidak kena dan menjadi buah mulut pasaran.

Proton Persona

Membangunkan kereta dengan hasil tangan sendiri tanpa bantuan asing yang signifikan bukanlah tugas mudah. Analogi ringkas ialah seperti pelajar yang menghadapi peperiksaan tanpa mengetahui topik tertentu yang bakal diuji oleh pensyarah.

Begitu juga Proton, berjuang bersendirian dan mengutip ilmu dan pengalaman di lapangan. Mereka belajar, mencari pengalaman sebagai pedoman untuk kesenangan masa depan. Orang kata, bersusah payah dan berdikari di jalanan, learn the hard way.

Setelah 16 tahun menghasilkan kereta sendiri iaitu Proton Waja, tim kejuruteraan dan pereka semakin menemui rentak di dalam menghasilkan kereta yang diperlukan dan dikehendaki pasaran umum.

Pencarian Proton untuk menghasilkan kereta yang sempurna boleh saya katakan dinoktahkan oleh Proton Persona baharu dan di bawah ini ialah LIMA sebab kenapa saya katakan Proton Persona setanding dengan kereta import.

1. Rekabentuk

Proton Persona [1]

Tanpa berselindung, iya, Persona baharu diasaskan dari Iriz. Bahkan saiznya adalah sama cuma Persona lebih panjang dengan bonet belakang.

Merekabentuk kereta hatchback kepada sedan bukan tugas yang mudah, tersalah buat maka jadilah sebuah kereta yang canggung.

Bab ini, Proton memang mahir, lihat saja bagaimana Gen.2 diolah menjadi Persona atau sedan kepada hatchback seperti Preve menjadi Suprima S.

Rekabentuknya tidak pelik malah nampak harmoni. Persona baharu juga begitu, ianya tidak nampak seperti Iriz yang disedankan di mana wajah depan disegarkan dengan gayaan baharu.

Paling menarik ialah trend terkini dengan bukaan gril bawah yang besar seperti AUDI dimaniskan dengan lirikan seperti misai pada bawah lampu kabus.

Bahagian sisi masih mengekalkan bentuk trapezoid pada pintu dan untuk mengelakkan sisi belakang nampak kosong, ditarik satu garisan badan halus yang berjaya merias badan kereta.

Bahagian belakang pula kemas dengan garisan krom melintang pada bonet dengan lampu belakang comel membujur seperti buah Avocado.

2. Sistem keselamatan

Proton Persona [2]

Kereta Proton dahulu tidak boleh disamakan dengan kereta Proton sekarang. Imej kereta tin Milo langsung tidak boleh dipakai buat masa kini.

Tambahan pula piawaian keselamatan tempatan semakin rigid dengan pengenalan ujian pelanggaran ASEAN NCAP.

Kereta Proton kini lebih selamat malah ciri-ciri itu sudah mula diterapkan pada Proton Waja, 16 tahun yang lalu.

Jika diperhatikan, trend kemalangan ialah sama ada secara berdepan atau terbabas.

Menariknya apabila Persona tidak terlalu bergantung kepada sistem bantuan elektronik seperti ESC dan Traction Control untuk mengawal kereta sewaktu kecemasan seperti diselekoh atau pembelokan mengejut.

Talaan pengendalian terasa natural seolah-olah sistem bantuan elektronik yang mengambil alih kereta tetapi hakikatnya tidak.

Sistem bantuan elektronik atau ESC dan TC hanya mengambil alih di saat genting atau tidak terkawal dan saya pada mulanya tersalah sangka bahawa kereta ini membosankan kerana dikawal oleh sistem elektronik.

Selepas berkali-kali mengelilingi litar ujian dan diterangkan oleh jurutera barulah saya sedar bahawa Persona ini begitu stabil dan di dalam kawalan atau in control.

Breknya juga bagus, menghentikan kereta di dalam masa yang singkat dan pendek tanpa tersasar atau berdoa di dalam hati bilakah kereta hendak berhenti terutama sekali di dalam situasi brek mengejut.

Lebih meyakinkan apabila Persona Premium dilengkapi enam beg udara.

3. Pemanduan dan pengendalian (R&H)

Proton Persona [3]

Waja, Gen.2, Persona, Neo dan Savvy mempunyai talaan pengendalian yang boleh dikatakan ‘hardcore’ dan itulah yang mendefinisikan kereta Proton selama ini.

Bahagian depan kereta tajam memasuki selekoh mengikut putaran stereng dan arahan pemandu.

Bahkan saya juga seronok memandu Iriz tetapi jurutera Proton telah mengelaskan semula model mana yang patut menerima talaan yang lebih tajam dan responsif.

Model hatchback seperti Suprima S dan Iriz mempunyai tahap pengendalian yang berbeza dan lebih ‘direct’ manakala model sedan seperti Preve lebih sopan dan tenang.

Begitu juga dengan Persona, kereta ini lebih ‘budiman’ sesuai dengan imejnya sebagai sebuah kereta keluarga.

Bagaimana Persona bertindak balas sewaktu selekoh boleh dikelaskan sebagai kereta yang berjaya mengharungi tekanan tanpa emosi, kereta ini melakukan tugasnya dengan bersahaja.

Namun, diasaskan dari Iriz dengan badan yang tinggi, Persona tidak dapat lari dari terasa terapung-apung sewaktu kelajuan melebihi 100km/j dan sekali lagi tim jurutera melakukan tugas yang berkesan dengan mengurangkan efek itu hasil dari kombinasi talaan suspensi yang mantap menjadikan penumpang kurang ‘gayat’ pada kelajuan 110km/j hingga 120km/j.

4. Keselesaan

Proton Persona [4]

Laras duduk pemandu adalah penting kerana di situlah kawalan utama kereta. Sama seperti Iriz, memandu Persona tidak memenatkan, kerusinya tegap dan suis kawalan boleh dicapai dengan mudah.

Tiang A tidak menghalang visual di mana pemandu boleh membelok dengan jelas.

Chasis dan talaan suspensi yang bagus menyerap hentak gegaran atau lubang yang ‘melintas jalan secara tiba-tiba’ dengan baik tanpa menceroboh ruang dalaman kereta.

Kerusi belakang pula diolah semula dan lebih lembut menyerap badan penumpang.

Saiz dalaman sederhana, tidak luas dan tidak pula sempit yang memadai untuk dinaiki empat orang dewasa.

Cuma penumpang belakang dengan saiz yang tinggi mungkin merasakan perehat kepala terlalu pendek untuk mereka.

Tidak ketinggalan ialah perlumbaan saiz bonet belakang yang besar oleh pengeluar kereta.

Di dalam perlumbaan bonet siapa yang lebih besar adalah penting memastikan juga penumpang berasa selesa.

Jika bonet sahaja besar tetapi keselesaan penumpang dikompromi lebih baik muatkan sahaja penumpang di dalam bonet.

Syukurlah Proton tidak kemaruk dengan permainan ini. Saiz bonet Persona ialah 510 liter yang bukan sahaja jauh terperosok ke dalam malah juga luas secara menegak.

Untuk ruang yang lebih besar, kerusi belakang boleh dilipat secara 60:40.

5. Pakejing

Proton Persona [5]

Tahukah anda apa yang membuatkan produk Honda bagus dan pembeli tidak ralat untuk memilikinya? Ianya adalah pakejing.

Honda menjadi pilihan ramai kerana bagaimana produk Honda dipakejkan.

Proton Persona baharu menanda kesemua kotak untuk menjadikannya sebuah kereta yang lengkap dan sempurna.

Jika model kereta Proton dahulu terlalu asyik dengan pemanduan dan pengendalian kini ianya tampil memberi definisi apa yang dimaksudkan dengan kereta yang diperlukan dan dikehendaki pengguna umum.

Proton Persona baharu mempunyai rekabentuk yang kontemporari, sistem keselamatan moden yang ditala secara harmoni dengan pemanduan dan pengendalian menjadikannya kereta yang selamat dan selesa untuk pemandu dan penumpang.

Persona mewakili definisi baharu pemanduan dan pengendalian Proton yang disebatikan dengan sistem keselamatan moden.

Kesimpulan

Proton Persona [6]

Suka juga saya kongsikan kenapa Proton Persona setanding produk import ialah kerana ini kali pertama sejak sekian lama saya berpendapat bahawa produk baharu Proton ini mempunyai segala resepi untuk meneroka dan kembali mewakili negara di pasaran luar.

Sebelum ini, mengenali karenah kereta Proton saya agak khuatir produk tersebut hanya akan memberi imej tidak elok jika pemiliknya mempunyai pengalaman negatif.

Dengan buku baharu, dipasarkan dengan betul, Persona ini mampu untuk mengisi legasi yang ditinggalkan Saga dan Persona (Wira) di luar negara.

Dengan 5 poin di atas, mungkin ada yang tertanya berapakah harga Proton Persona baharu.

Untuk makluman, harga rasmi masih belum didedahkan tambahan pula Proton perlu berhati-hati memandangkan terdapat dua lagi model bakal dilancarkan juga di dalam tahun ini yang menyasarkan kelompok pembeli yang lebih kurang sama iaitu Saga dan MPV kompak Suzuki Ertiga.

Harga muktamad bakal diketahui pada 23 Ogos nanti apabila kereta ini dilancarkan dan sebagai indikator, harga Proton Iriz bermula dari RM50 ribu hingga RM60 ribu.

Proton Persona baharu ditawarkan melalui 4 varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium Bodykit.

Terdapat dua kategori transmisi yang dipasarkan iaitu manual dan CVT yang dipadankan dengan opsyen enjin tunggal dan terkini iaitu 1.6 Campro VVT.

BACA INI JUGA: Spesifikasi Dan Harga Proton Exrema, SUV Proton Pertama Malaysia?

Sumber: Thevocket

Panduan Semakan Online Dan SMS Keputusan SPM Ulangan SPMU 2016

Panduan Semakan Online Dan SMS Keputusan SPM Ulangan SPMU 2016

Bagi calon-calon yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2016 (SPMU) bagi tiga matapelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, anda sudah boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing pada 18 Ogos 2016 (Khamis).

Panduan Semakan SPMU 2016 Melalui Online

Ringkasan keputusan boleh disemak melalui sms dan online bermula pada jam 10 pagi pada 18 Ogos 2016.

Slip keputusan calon juga akan dihantar melalui pos ke alamat masing-masing dan calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan bagi mendapatkan slip keputusan penuh.

Panduan Semakan Keputusan SPM Ulangan SPMU 2016 Melalui SMS

Cara membuat Semakan keputusan SPM Ulangan SPMU 2016 yang boleh disemak melalui sms adalah seperti berikut:

Taip:
  1. SPMU<jarak>RESULT<jarak>No Kad Pengenalan
  2. Hantar SMS ke 15888
Caj perkhidmatan sebanyak 15 sen akan dikenakan bagi setiap penghantaran SMS dan 20 sen untuk penerimaan.

Perkhidmatan semakan secara atas talian (online) tidak disediakan.

Selamat berjaya diucapkan buat semua.

BACA INI JUGA: Pilih Universiti Atau Matrikulasi, Keputusan Yang Bakal Mengubah Hidup Anda

-SENTIASAPANAS.COM

Twitter Verified Accounts, Kini Sesiapa Pun Boleh Memohon Status 'Lencana Biru'

Twitter Verified Accounts, Kini Sesiapa Pun Boleh Memohon Status 'Lencana Biru'

Ingin miliki ‘lencana biru’ atau pengesahan status Verified Account (VA) pada akaun Twitter anda? Kini sesiapa sahaja boleh memohon status VA secara atas talian.

Twitter Verified Accounts

Verified Account (VA) di Twitter merupakan akaun yang biasanya dimiliki oleh individu dan organisasi penting dan ditandakan dengan lencana biru pada platform media sosial tersebut.

Akaun ini disahkan asli oleh Twitter bagi membolehkan akaun ini beroperasi dan dipercayai oleh para pengguna media sosial dalam pelbagai bidang misalnya kerajaan, muzik, televisyen, filem, kewartawanan, media, dan perniagaan.

Di Malaysia misalnya, akaun @flizzow (rapper dan penerbit muzik Joe Flizzow) disahkan sebagai VA.

Cara permohonan Verified Account

Pengguna perlu mengisi borang atas talian bagi memohon status VA, verification.twitter.com/welcome

Dalam borang tersebut, pengguna perlu menyertakan beberapa pautan yang dapat membantu Twitter mengesahkan identiti pengguna, misalnya pautan ke akaun media sosial lain, blog peribadi, dan sebagainya.

Pengguna juga perlu menyatakan sebab akaun Twitter mereka perlu mendapat status VA, tidak lebih daripada 500 patah perkataan.

Selepas borang dihantar, Twitter akan menghantar emel balas dan mungkin akan meminta beberapa pengesahan identiti tambahan seperti dokumen pengenalan diri, nombor telefon, dan sebagainya.

Antara syarat-syarat VA adalah seperti berikut;
  • A verified phone number
  • A confirmed email address
  • A bio
  • A profile photo
  • A header photo
  • A birthday (for accounts that are not company, brand, or organization accounts)
  • A website
  • Tweets set as public in Tweet privacy settings

Jika permohonan ditolak, pengguna boleh memohon semula selepas 30 hari.

BACA INI JUGA: 5 Akses Internet Yang Kena Banned Di China!

Sumber: Astroawani

Panduan Permohonan Tingkatan 4 Maktab Tentera Diraja 2017 (30 November 2016)

Panduan Permohonan Tingkatan 4 Maktab Tentera Diraja 2017 (30 November 2016)

Maktab Tentera DiRaja (MTD) mempelawa pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang memiliki kelulusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Tahun 2016 membuat permohonan kemasukan ke Tingkatan 4 Maktab Tentera DiRaja (MTD) bagi tahun pengambilan 2017.

Permohonan Tingkatan 4 Maktab Tentera Diraja 2017

Tawaran permohonan adalah terbuka kepada pelajar lelaki Tingkatan Tiga Tahun 2016 dan permohonan tersebut hendaklah dilakukan secara atas talian (online) melalui laman web rasmi Maktab Tentera DiRaja (MTD)

Tarikh Permohonan Online Kemasukan Tingkatan 4 MTD 2017
  • Dibuka: 5 Ogos 2016
  • Ditutup: 30 November 2016

Cara-cara Untuk Membuat Permohonan Online MTD 2017

Permohonan kemasukan ke tingkatan 4 Maktab Tentera DiRaja bagi tahun pengambilan 2017 hendaklah dibuat secara atas talian (online) melalui sistem aplikasi permohonan MTD yang dibuka kepada capaian pemohon.

Sila klik pada judul pautan berikut; Aplikasi Borang Online Permohonan Kemasukan Putera MTD Tahun 2017

Sila lengkapkan pengisian butiran maklumat yang diperlukan dalam sistem borang online berkenaan dengan sempurna serta ikuti arahan yang dipaparkan.

Sebarang pertanyaan, boleh hubungi Sel Pemilihan MTD di talian telefon 03-89465565/03-89655562.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut sila layari laman web rasmi Maktab Tentera DiRaja di http://www.rmc.edu.my/

Syarat-syarat Permohonan
  • Tawaran terbuka kepada pelajar lelaki Tingkatan Tiga Tahun 2016.
  • Warganegara Malaysia.
  • Jantina – Lelaki.
  • Tinggi Minimum – 152sm.
  • Berat Minimum – 40.5kg.
  • Body Mass Index (BMI) – 18 hingga 27.
  • Ukuran dada 74sm (biasa) dan 79 sm (tarik nafas).
  • Penglihatan – baik dan tidak rabun warna (jika berkaca mata hendaklah tidak melebihi 6/12).
  • Sihat tubuh badan dan tidak berpenyakit yang boleh memudaratkan diri jika melakukan aktiviti lasak Memperolehi keputusan yang baik di dalam peperiksaan (Pentaksiran Tingkatan Tiga) PT3 Tahun 2016 termasuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Keputusan Permohonan

Layak menghadiri temuduga hanya akan dimaklumkan selepas keputusan PT3 diumumkan.

Keutamaan diberi kepada calon yang aktif dalam sukan, kelab, persatuan, pasukan beruniform dan muzik.

Calon-calon yang layak akan dimaklumkan status permohonan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Temuduga

Sesi temuduga bagi calon-calon dari Semenanjung Malaysia akan diadakan pada minggu kedua Januari 2017, manakala bagi calon-calon dari Sabah dan Sarawak akan di adakan pada minggu ketiga Januari 2017.

Hanya calon yang berjaya dalam temuduga akan ditawarkan mengikut pengajian bagi Tingkatan 4 di MTD tahun 2017.

Kemudahan Dan Elaun

Sepanjang tempoh pengajian, pelajar tidak dikenakan sebarang bayaran (kecuali yuran PIBG, yuran kecemerlangan akademik, insuran dan kebajikan).

Semua kemudahan yang disediakan adalah diberi secara percuma meliputi sajian, penginapan, buku teks, buku kerja, buku tulis dan alat tulis serta uniform.

Selain itu, pelajar juga akan diberikan elaun wang saku sebanyak RM100.00 setiap bulan.

BACA INI JUGA: Dikala Kita Pantas Menyalahkan Guru, Ini Kata Za’ba Tentang Ibu Bapa

Sumber: Mysumber

Monday, August 15, 2016

7 Fakta Menarik Joseph Schooling, 'Ikan Bilis Singapura' Yang Menewaskan Michael Phelps!

7 Fakta Menarik Joseph Schooling, 'Ikan Bilis Singapura' Yang Menewaskan Michael Phelps!

Nama Joseph Schooling terus menjadi hangat setelah perenang Singapura itu bukan sahaja memenangi pingat emas sulung untuk negaranya, tetapi beliau berjaya menewaskan perenang hebat Amerika Syarikat Michael Phelps.

Joseph Schooling

Joseph Schooling memberikan persembahan memukau untuk memenangi pingat emas 100 meter kuak kupu-kupu.

Kemenangan itu sekali gus mencatat rekod Olimpik 50.39 saat.

Penyertaan beliau dalam Olimpik Rio hampir tidak diberi perhatian pada awalnya. Namun selepas meraih emas, sesetengah laporan media mengumpamakan beliau sebagai 'ikan bilis Singapura' yang berjaya menumpaskan ego Phelps selaku jaguh kolam terkemuka.

Berikut adalah 7 fakta menarik tentang Joseph Schooling.

1. Pendidikan

Joseph Schooling dilahirkan pada 16 Jun 1995 di Singapura.

Beliau menerima pendidikan awal di Singapura sebelum ke Amerika Syarikat (AS) untuk menerima pendidikan sekolah menengah.

Beliau kini merupakan seorang pelajar di University of Texas, di Austin, AS dan merupakan ahli pasukan Texas Longhorns, sebuah pasukan elit dalam kalangan pelajar universiti.

2. Inspirasi untuk bertanding di Olimpik

Menurut laporan Today Online, ketika masih kecil Joseph Schooling menanam impian untuk bertanding di tahap Olimpik setelah berborak bersama ahli keluarga yang lain tentang datuk saudaranya, Lloyd Valberg, yang mewakili Singapura dan bertanding di temasya Olimpik pada tahun 1948 dalam acara lompat tinggi.

3. Bertemu Michael Phelps

Joseph Scooling Defeats Michael Phelps Olympics Rio 2016

Kemenangan di Rio bukan pertemuan kali pertama antara Joseph Schooling dan Phelps.

Akhbar The Straits Times melaporkan kedua-dua perenang itu pernah bertemu di China sebelum temasya Olimpik di Beijing pada tahun 2008.

Ketika itu Joseph Schooling berusia 13 tahun dan menganggap Phelps sebagai idola.

4. Latihan di Amerika Syarikat

Setelah bertemu Phelps, Joseph Schooling membuat keputusan untuk berlatih di Amerika Syarikat.

Ibu bapa beliau mengambil Sergio Lopez sebagai jurulatih.

Lopez pernah menang pingat gangsa di temasya Olimpik di Seoul pada 1988 namun lebih terkenal sebagai jurulatih yang hebat.

Lopez memberi fokus kepada teknik berbanding berbanding membina otot.

5. Pencapaian hebat

Joseph Schooling mula memenangi pingat untuk Singapura bermula dengan temasya Sukan SEA pada 2011 di Indonesia.

Beliau sekaligus layak untuk bertanding di temasya Olimpik pada 2012 di London. Namun, beliau gagal untuk melayakkan diri dalam pusingan separuh akhir.

Beliau memenangi pingat perak dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu di sukan Komanwel yang berlangsung pada 2014 di Glasgow.

Beliau memenangi pingat gangsa di acara World Championships di Kazan, Rusia pada 2015.

6. Khidmat Negara

Pada 2013 ibu Joseph Schooling, May, berjaya mendapatkan penangguhan untuk anaknya dari latihan Khidmat Negara yang wajib kepada semua warga lelaki rakyat Singapura.

Tempoh ini akan tamat pada 31 Ogos 2016, iaitu selepas temasya Olimpik di Rio.

7. Kebanggaan negara

Susulan kemenangan di Rio, nama Joseph Schooling terus trending di media sosial dengan ucapan tahniah.

BACA INI JUGA: Manusia-manusia Bertubuh Kerdil Yang Menjadi Lagenda



Sumber: Astroawani

Sunday, August 14, 2016

Ini Kisah Benar, Kalau Berani Dail Nombor 12 Digit Itu!

Ini Kisah Benar, Kalau Berani Dail Nombor 12 Digit Itu!

Ini kisah benar. Bukan cerita yang direka. Ya, benar yang sebenar-benarnya. Kisah ini berlaku semasa aku berusia 16 tahun.

Seram
Gambar hiasan.

Ketika itu aku tinggal di Alor Setar, Kedah. Aku ada kawan baik, sama baya. Seorang dipanggil Ijo dan seorang lagi Mad.

Member aku yang nama Mad ni memang tak boleh blah. Jenis kepala masuk air dan lurus bendul orangnya.

Suatu malam, Mad ajak kami melepak di Taman Rimba. Orang sekitar Alor Setar mesti tau taman tu. Waktu petang, ramai orang beriadah di situ.

Ketika Mad ajak ke situ, jam pukul 12 malam. Saja Mad ajak melepak untuk skodeng pasangan yang asyik bercanda ria di taman itu.

Kebetulan malam itu bosan, tak ada apa yang dibuat. Jadi, aku dengan Ijo setuju dengan idea Mad. Lagipun, Mad ada kereta dan tahu memandu. Kami berdua cuma ikut saja.

Sampai ditaman, Mad memandu sambil berlegar-legar di kawasan taman itu. Puas kami mengintai tapi hampa. Tak ada satu pun pasangan yang boleh diskodeng tengah malam itu.

Kemudian, Mad berhentikan kereta. Kami keluar dan berdiri ditepi sebatang tiang tak jauh dari kereta sambil hisap rokok (jangan tiru perangai buruk ini tau).

Sambil menghembus asap berkepul-kepul tu, Ijo terpandang satu tulisan pada tiang itu.

"Malam ni confirm ada awek datang. Korang tengok kat tiang ni, apa dia tulis?

"Awek kegersangan sila hubungi 011-456******," kata Ijo sambil membaca tulisan pada tiang tu.

Masa Ijo baca nombor tu, aku pun pandang sekali nombor kat tiang tu. Aku hairan kejap, kenapa nombor yang ditulis dengan cat merah tu panjang sangat?

Ada 12 digit nombor. Kalau nombor biasa, tidaklah sepanjang itu.

Aku terfikir seorang diri. Rajin betul awek tu tulis nombor berwarna merah di tiang tu.

Tiba-tiba, Ijo suruh Mad dail nombor tu. Disebabkan bosan tak tau nak buat apa, Mad pun setuju.

Kami masuk semula dalam kereta dan berpakat macam mana nak berikan ayat untuk Mad guna pakai bila dia telefon nombor tu.

Mad dan Ijo duduk di depan, aku pula duduk di bahagian belakang.

Mula-mula Mad call, dua kali nombor itu gagal dihubungi. Masa itu hati aku dah terdetik, memanglah tak dapat sebab nombor tu terlebih dari biasa. Tapi, aku tak cakaplah kat member aku tu.

Beberapa kali mendail, tiba-tiba ada nada dering. Kemudian, terdengar suara seorang gadis menyahut panggilan Mad. Suara gadis itu, perghh! Lembut dan manja sangat.

Mad apa lagi, terus mula bertanya.

Nama siapa? Gadis itu jawab, Menora.

Duduk mana? Gadis itu jawab, Taman Golf.

Tengah buat apa? Gadis itu jawab, tak ada apa, tengah bosan.

Perbualan semakin rancak. Setiap kali ditanya, gadis itu akan menjawab lembut sambil tergelak manja.

Terus Mad tanya, kalau nak jumpa boleh? Apa kata kami datang ambil? Tapi gadis itu menolak. Katanya tak perlu. Dia ada diluar.

Mad pun mula cucuk jarum. Kata Mad, kami ada di Taman Rimba, bosan tak tahu nak buat apa. Boleh jumpa tak di situ?

Sambil tergelak manja, gadis bernama Menora itu jawab, boleh!

"Tunggu saya datang. Kejap lagi sampai," macam tulah jawapannya.

Mad apa lagi, gembira sakanlah. Mesti dia ingat Menora ni gadis cantik dan ayu, apatah lagi suaranya manja.

Sekali lagi aku rasa hairan. Takkan gadis itu sanggup datang seorang diri ke taman ini waktu tengah malam buta.

Selalunya perempuan mesti lagi suka kalau lelaki yang datang ambil, kan? Pelik, tapi aku diamkan saja.

Lebih kurang 15 minit menunggu di dalam kereta, kami tak nampak kelibat sesiapa pun lagi. Mad capai telefon dan dail semula nombor 12 digit tadi. Laju gadis itu menjawab panggilan Mad.

Dia cakap, dia sudah sampai di taman itu. Puas aku dan Ijo menjenguk dari dalam kereta. Jenguk depan, tepi dan belakang kereta, tapi tak nampak bayang sesiapa pun.

Lalu Mad pun tanya la gadis tu, mana awak?

Jawab gadis itu, "Saya dah lama sampai, ada atas bumbung kereta awak!"

Bila gadis itu jawab pertanyaan Mad, aku dan Ijo mula ketakutan. Pheww! Gilalah. Dahi mula berpeluh. Aku tengok jam, dah dekat pukul 2 pagi.

Aku dan Ijo dah rasa lain macam, tapi Mad ni macam aku cakap tadi, lurus bendul orangnya.

Bila gadis itu kata ada atas bumbung kereta, dengan selambanya Mad jengukkan kepalanya keluar melalui tingkap kereta dan melihat ke arah bumbung.

Sambil dia jenguk kepala tu, Mad spontan berkata, "Eh, ya ke? Dah sampai? Mana?"

Lebih kurang lima saatlah Mad jengukkan kepalanya melihat ke atas bumbung keretanya. Lepas tu Mad masuk semula dalam kereta. Masa tu wajah Mad dah tak senyum lagi. Pucat lesi!

Masa tu, aku dan Ijo pun tak terkata apa. Kami bertiga masing-masing terpaku, diam membisu macam patung dalam kereta.

Tiba-tiba.. BAMM! BAMM! BAMM!

Kereta Mad bagai diketuk sesuatu yang kuat berulang-kali. Kami semua terkejut. Ijo menjerit ketakutan, hilang sifat jantannya.

Kami dah panik. Ditambah dengan ketakutan melampau hingga Mad menggigil nak hidupkan keretanya.

Aku pula cuma terpaku, tersentak, terasa lembik seluruh urat badan. Kali ini, bukan dahi yang berpeluh, tapi seluruh badan!

Kerana terlalu panik, habis palang plastik oren ditepi jalan Mad langgar dan redah. Taman Rimba berbunyi seakan orang sedang buat adegan drift.

Punya laju Mad pandu hingga dia tak tahu ke mana arah tuju. Selepas agak jauh dari taman itu, aku pegang bahu Mad dari belakang.

Aku kata, "Mad, dah.. slow sikit. Kita cari tempat minum dulu. Subuh baru kita balik tidur." Mad hanya mengangguk perlahan tanda setuju.

Kami berhenti di sebuah restoran. Kami duduk, pesan air. Sambil menunggu minuman sampai, aku dan Ijo tertunggu-tunggu bila Mad nak buka cerita apa yang dia nampak sebenarnya diatas bumbung kereta tadi.

Kami tak berani nak tanya selagi Mad sendiri belum buka mulut, tapi lain pula jadinya.

Mad yang mula-mula diam mula berubah perangai. Dia terkejut, cakap seorang diri tak tentu hala. Lepas tu pergi tandas sambil berlari-lari. Bukan hanya kami, pelanggan lain yang tengok pun rasa pelik.

"Arghh, sudah! Ini mesti dah terkena ni. Dia seorang je yang nampak tadi," itu yang aku cakap bila tengok perangai Mad dah bertukar lain.

Terus kami bawa Mad keluar dari situ. Kang dia buat perangai lagi teruk. Ijo cadangkan kami pergi ke rumah abang iparnya yang juga seorang guru silat dan ada kebolehan berkaitan benda-benda mistik.

Masa ni, Ijo yang pandu kereta. Aku duduk di depan sebelah Ijo, Mad di kerusi belakang. Perjalanan selama 15 minit ke rumah abang ipar Ijo terasa sangat jauh.

Mad di belakang sudah mula merapu bercakap bahasa Siam seorang diri. Aku dan Ijo dah mula seram sejuk, meremang semua bulu roma. Mujurlah kami berjaya sampai tanpa sebarang kejadian yang tak diingini.

Sebaik sahaja Mad dibawa masuk ke dalam rumah, aku terperanjat bila Mad mula buka pencak silat dengan bahasa Siam sekali.

Abang Din, abang ipar Ijo bila tengok keadaan itu mula bertindak serupa, buka pencak silatnya pula.

Ternyata ilmu Allah SWT lebih berkuasa daripada segala-galanya. Dengan laungan ALLAHU AKHBAR, Mad terjelepok jatuh dalam keadaan lemah dan longlai.

Bila Mad sedar semula, barulah kami lega. Tandanya Abang Din berjaya menghalau benda yang mengganggu Mad.

Kata Abang Din, apa yang kami alami malam itu adalah perbuatan manusia yang mahu menguji ilmunya berkesan atau tidak. terkedu kami mendengar. Hanya sengaja menguji? Entahlah.

Yang pasti, selepas pulih, barulah Mad ceritakan apa yang dilihatnya malam itu.

Menurut Mad, semasa dia keluarkan kepala untuk melihat apa yang ada diatas bumbung keretanya, dia nampak seorang gadis.

Tapi, kedudukan gadis itu dalam keadaan terbalik seperti 9 ke 6, ibarat orang yang diikat kakinya ke atas.

Rambutnya yang hitam pula memenuhi bumbung kereta. Mata gadis itu putih, tiada mata hitam. Wajahnya pucat lesi.

Cerita Mad lagi, dia perasan mulut gadis itu terkumat-kamit membaca sesuatu lalu menghembus ke arah muka Mad. Mungkin itulah punca Mad jadi 'gila' selepas itu.

Mujurlah kami cepat dan ada Abang Din. Kalu tidak, tak tahu apa yang akan jadi keada Mad.

Mungkin juga kami terima dugaan ini sebab niat tak elok, kononnya nak mengacau awek di Taman Rimba itu, akhirnya kami sendiri yang terkena.

Selepas kejadian itu, beberapa kali aku pergi ke sana dan lihat nombor 12 digit itu masih ada pada tiang di situ. Tapi, memang aku tak berani nak dail.

Cuma, tak tahulah sekarang ni ada lagi atau tiada sebab peristiwa ni dah lebih lima tahun kami alami.

Kalau korang berani, cubalah pergi ke sana. Manalah tahu jumpa nombor 12 digit tu.

Bolehlah bertemu dengan Menora, gadis terbalik bermata putih itu!

Kalau berani la..

Catatan editor: Kiriman Afifuddin Faiz Shamsuri, Shah Alam, Selangor

#Majalah Mastika Julai 2016

BACA INI JUGA: Kelibat Pocong Gemparkan Penduduk Klang?!

-SENTIASAPANAS.COM

'Aku Sudah Mati Dan Melihat Neraka'

'Aku Sudah Mati Dan Melihat Neraka'

Pada tahun 1788, seorang ahli falsafah dan ahli psikologi terkenal Switzerland bernama Charles Bonnet, menceritakan tentang satu kes pelik yang melibatkan seorang wanita.

Cotard Syndrome
Gambar hiasan.

Menurut Bonnet, wanita itu kerana percaya, dirinya sudah mati, telah berbaring di dalam keranda dengan pakaian yang lazimnya dipakaikan kepada mayat.

Malah, wanita tersebut juga mendesak orang ramai supaya mengebumikannya dan enggan keluar dari keranda walaupun ahli keluarga dan jiran mendesaknya pulang ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa kerana dia masih hidup.

Selepas beberapa minggu baring di dalam keranda, akhirnya wanita tersebut benar-benar mati, tetapi disebabkan tidak makan dan minum!

Seratus tahun kemudian, pada tahun 1880, seorang neurologis Perancis, Jules Cotard pula melaporkan tentang kelakuan pelik seorang pesakit wanita seperti yang pernah diceritakan oleh Bonnet.

Wanita itu menurut Jules, menafikan kewujudan tuhan dan syaitan. Dunia juga dikatakannya tidak wujud.

Itu tidak pelik lagi, tetapi yang menimbulkan tanda tanya ialah, wanita tersebut turut menafikan kewujudan sebahagian daripada anggota badannya.

Selain itu, wanita berkenaan menafikan perlunya dia makan dan minum.

Keadaan wanita itu bertambah teruk dan menyatakan bahawa dia akan menerima malapetaka sepanjang hayatnya.

Selain itu, dia tidak akan mati secara semulajadi, tetapi akibat sumpahan dan malapetaka yang dahsyat.

Beberapa lagi kes seperti ini ada dilaporkan berlaku dan yang paling diingati adalah yang berlaku pada tahun 1990.

Kes ini melibatkan seorang lelaki di Edinburg, England, yang mengatakan dirinya sudah mati.

Pada Januari 1990, selepas dibenarkan keluar dari hospital, keluarga lelaki berkenaan segera membawanya ke Afrika Selatan untuk mendapatkan rawatan.

Di Afrika Selatan, lelaki itu terus bertegas mengatakan dia sudah mati dan telah dimasukkan ke dalam neraka.

Yang peliknya, semasa berkata demikian, tubuh lelaki tersebut panas bagaikan di dalam api.

Menurut lelaki itu lagi, dia mati akibat penyakit septicaemia atau mungkin juga AIDS atau mungkin juga gara-gara suntikan demam kuning yang diterimanya dahulu!

Selepas mati, lelaki tersebut seterusnya mengatakan, 'roh ibunya telah membawanya berjalan-jalan melihat seluruh isi neraka'.

Banyak lagi sebenarnya kes seperti ini berlaku diseluruh dunia. Mereka mengaku, jiwa, roh dan nyawa mereka tiada lagi. Sudah ghaib meninggalkan jasad.

Ada yang mendakwa tubuh mereka hanyalah sekadar sebuah cengkerang saja atau mereka akan bertukar menjadi seketul batu!

Lebih menakutkan, ada yang mendakwa mereka dapat menghidu bau daging di tubuh mereka yang sedang mereput dan membusuk.

Cacing serta ulat sedang merayap di serata badan, kemudian memakan dan menggigit-gigit tubuh mereka.

Akibatnya, mereka mula melakukan keganasan. Ada yang membunuh diri akibat tidak tahan lagi menderita, serta bagi membuktikan yang mereka memang sudah benar-benar mati!

Yang lain pula merasakan, disebabkan sudah mati, tiada apa yang boleh mencederakan tubuh mereka.

Mereka juga boleh melakukan sesuatu tindakan ganas dan mencederakan diri sendiri kerana sudah mati.

Pelik. Apa sebenarnya yang berlaku kepada mereka ini? Gila? Dirasuk makhluk asing? Atau dikuasai semangat ghaib?

Dalam bidang perubatan jiwa, mereka ini dikatakan menghidap Sindrom Cotard, iaitu sempena nama Jules Cotard, individu pertama yang mula-mula mengetengahkan kes-kes sebegini dan mengkategorikannya secara lebih jelas berdasarkan kajian saintifik.

Sindrom Cotard adalah suatu sindrom yang pelik. Ia berkaitan dengan khayalan palsu penghidapnya yang mengkhayalkan sesuatu yang tidak berlaku, kemudian mereka mempercayainya.

Punca utamanya ialah tekanan perasaan dan selalunya berlaku di kalangan golongan usia pertengahan ke atas.

Sembila puluh peratus daripadanya adalah wanita dan yang peliknya, dari sudut fizikal, mereka sihat walafiat.

Sehinggalah sekarang, Sindrom Cotard masih sukar diubati kerana ia melibatkan jiwa dan mental penghidapnya.

BACA INI JUGA: Beginilah Gambaran Ngerinya Seksaan Di Neraka!

-SENTIASAPANAS.COM

Hidung Sering Tersumbat Mungkin Petanda Kanser?

Hidung Sering Tersumbat Mungkin Petanda Kanser?

Bukan niat untuk menakutkan, namun itulah kenyataan. Hidung selalu tersumbat dan sering berdarah adalah satu daripada petanda bagi penyakit kanser nasofarinks atau kanser pangkal hidung.

Kanser Hidung

Kanser yang terletak di kawasan sempit dan tersembunyi antara hidung dan tekak ini, amat sukar dikesan awal kerana kebanyakan simptom bagi penyakit ini tidak spesifik dan mirip penyakit-penyakit biasa.

Antaranya hidung tersumbat yang mungkin dianggap hanya resdung, sakit kepala yang biasanya dikaitkan dengan tekanan atau tidak cukup rehat, dan hilang pendengaran yang mungkin ditafsirkan akibat trauma atau jangkitan kuman pada telinga.

"Ramai yang menganggap simptom-simptom ini benda ringan. Amat jarang untuk mereka mensyaki ia adalah kanser kerana simptom-simptomnya tidak jelas dan boleh disebabkan oleh bermacam perkara," kata Ketua Pusat Saringan Kesihatan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin.

Beliau bagaimanapun menggariskan dua simptom utama yang wajib diberi perhatian iaitu hidung sering berdarah dan tersumbat, serta kewujudan benjolan pada tengkuk.

SUKAR DIKESAN AWAL

Setakat ini masih tiada ujian atau 'screening test' khusus untuk mengesan penyakit ini, tidak seperti kanser lain iaitu kanser payu dara, kanser serviks atau kanser usus.

Doktor biasanya mengguna skop nasofarinks (nasoscopy) yang dilengkapi kamera atau melakukan CT Scan, PET Scan ataupun MRI, bagi mengesan sebarang ketumbuhan luar biasa sel di kawasan terlibat.

Cara lain ialah dengan ujian darah bagi mengesan virus Epstein-Barr, yakni sejenis virus yang biasa dialami pesakit kanser, namun menurut Dr Dalilah tidak semua pesakit kanser menghidap virus ini.

"Jika dapat dikesan awal maka peluang untuk pulih lebih tinggi, namun kebanyakan pesakit hanya diagnos dengan kanser ini pada peringkat dua atau tiga," dedah Dr Dalilah.

Kanser nasofarink adalah kanser kelima paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan kanser ketiga paling tinggi dalam kalangan lelaki di negara ini iaitu meliputi 8.2 peratus daripada jumlah kes kanser.

Pada tahun 2012, sebanyak 1,487 kes dikesan dengan bilangan kes tertinggi dalam kalangan kaum Cina dan Bidayuh.

AWAS MAKANAN MASIN DAN BERAWET

Menurut Dr Dalilah gaya pemakanan dalam kalangan dua kaum itu, yang cenderung kepada makanan masin dan berawet, dikesan antara faktor utama yang menggalakkan pertumbuhan kanser nasofarinks.

Beliau turut berkongsi hasil satu kajian berskala besar yang dijalankan oleh sebuah badan antarabangsa mengenai diet orang Cina di negara China dan orang Cina yang berhijrah ke tempat lain.

Kajian tersebut telah mendapati bahawa orang Cina yang berhijrah kurang mengalami kanser nasofarinks berbanding orang Cina di tanah besar berikutan corak pemakanan mereka yang sudah berubah iaitu lebih kepada makanan barat.

"Kebanyakan makanan yang digemari masyarakat kita seperti belacan, ikan masin, asam, jeruk, dinasihatkan untuk tidak diambil dalam kuantiti yang berlebihan kerana makanan ini boleh meningkatkan risiko kanser ini," pesannya.

Faktor genetik juga dipercayai antara punca yang perlu diberi perhatian memandangkan penyakit kanser melibatkan perubahan DNA sel.

Faktor risiko lain termasuklah pengambilan alkohol, tabiat merokok, dan pendedahan berlebihan kepada habuk atau bahan kimia seperti formaldehid.

RAWATAN

Rawatan yang biasanya dijalankan ke atas pesakit kanser nasofarinks adalah radioterapi, kimoterapi, terapi ubat sasaran dan disusuli dengan pembedahan jika perlu.

Pembedahan biasanya mengambil masa yang panjang, kadangkala sehingga 10 jam, berikutan kedudukan kanser itu di lokasi yang sempit dan tersembunyi, jelas Dr Dalilah.

"Selepas pembedahan, pesakit akan mengalami kesukaran untuk makan dan terpaksa bergantung kepada tiub untuk beberapa minggu.

"Oleh sebab itu saya berpendapat orang ramai perlu diberi lebih kesedaran tentang kanser ini supaya dapat dikesan awal, sekaligus mengurangkan keperluan untuk pembedahan," katanya.

BACA INI JUGA: Air Liur Anjing Penyebab Kanser Payudara!

Sumber: mStar

Penemuan Luarbiasa Katak Hidup Dalam Batu!

Penemuan Luarbiasa Katak Hidup Dalam Batu!

'Ulat dalam batu pun boleh hidup' - pepatah yang biasa orang guna sebagai motivasi diri bila bercakap pasal hidup yang serba kekurangan.

'Mysteries of The Unexplained'

Mungkin selepas membaca artikel ini, anda boleh menukar pepatah tadi kepada yang lebih ekstrem seperti, 'Katak dalam batu pun boleh hidup, okey!'

Berdasarkan kajian rasmi yang dibuat, terdapat lebih 90 kes yang direkodkan berkenaan penemuan haiwan amfibia ditemui masih hidup di dalam bongkahan batu, seakan disaluti.

40 kes dari rekod itu melibatkan amfibia seperti katak, kodok dan yang paling mendapat perhatian ialah artikel yang telah disiarkan di dalam majalah Reader's Digest, 'Mysteries of The Unexplained'.

Dalam kebanyakan kes, katak tersebut ditemui diruang dalam batu yang dipenuhi cecair lendir dan biasanya ditemui dalam keadaan yang sangat pucat dan berwarna putih.

Selepas beberapa minit didedahkan kepada udara, amfibia ini dilihat kembali hidup dan biasanya menjadi aktif sebelum bertukar warna kelabu dan mula mengalami kesukaran untuk bernafas.

Dalam kebanyakan kes, haiwan itu biasanya cuma dapat bertahan selama 24 jam hingga 72 jam sebelum mati.

Tapi, terdapat beberapa pihak yang mendakwa haiwan malang itu dapat terus hidup jika segera dimasukkan ke dalam kolam yang segar airnya.

Logiknya, cerita tentang katak yang termakam dalam batu ini mungkin kedengaran tidak masuk akal.

Namun, sebenarnya bahagian yang paling menakjubkan dalam kejadian ini adalah, proses pembentukan batu memakan proses yang sangat lama, hanya terbentuk selepas beribu mahupun berjuta tahun.

Andaian yang boleh dibuat adalah, mungkin amfibia ini memasuki lumpur lembut untuk mengelakkan bencana besar.

Dan dalam suasana sekeliling yang terdedah kepada air yang tinggi kadar mineralnya, telah mengakibatkan lumpur tadi bertukar menjadi batu, sebelum akhirnya ditemui kini.

Bayangkan jika dinosaur juga ada kebolehan macam katak?

BACA INI JUGA: Luarbiasa! Lelaki Yang Mampu Memusingkan Kepala 360° Darjah!

-SENTIASAPANAS.COM