Friday, July 29, 2016

Isteri Kedua Adi Putra Ditahan Bantu Siasatan Sindiket Penyeludupan Manusia?

Isteri Kedua Adi Putra Ditahan Bantu Siasatan Sindiket Penyeludupan Manusia?

Isteri kedua pelakon Adi Putra, Nor Shahida Zolkifly didakwa antara 15 kakitangan Imigresen yang ditahan pada petang Selasa di Putrajaya.

Nor Shahida Zolkifly

Sumber Astro Gempak memberitahu isteri pelakon tersebut ditahan kira-kira jam 4.30 petang Selasa di pejabatnya dalam operasi khas.

Sementara itu menerusi laporan akhbar Berita Harian, penangkapan tersebut dilakukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berkaitan sindiket penyeludupan warga asing.

Nor Shahida Zolkifly [2]
Nor Shahida Zolkifly [3]
Nor Shahida Zolkifly [4]

Menurut laporan tersebut lagi, kumpulan pegawai imigresen tersebut menjadi pemudah cara untuk menguruskan dokumen kemasukan warga asing ke Malaysia.

Malah siasatan awal mendapati, seorang suspek wanita disyaki bekerjasama dengan penyeludupan manusia masuk utama negara dengan bantuan beberapa pegawai lain.

Wanita tersebut juga dipercayai antara pegawai yang berurusan terus dengan ejen sindiket dan memperoleh keuntungan yang tinggi menerusi aktiviti tersebut.

BACA INI JUGA: 7 Gangster Wanita Paling Menakutkan Di Dunia

Sumber: Astroawani

Nick Johnson Pemain Pertama Berjaya Menangkap Semua Watak Pokemon Go!

Nick Johnson Pemain Pertama Berjaya Menangkap Semua Watak Pokemon Go!

Aplikasi permainan peranti Pokemon Go ternyata mempunyai ‘aura’ luar biasa sehingga menjadi ‘kegilaan’ seluruh dunia.

Nick Johnson Pokemon Go

Buktinya, tidak sampai sebulan dilancarkan, seorang pemain aplikasi permainan Pokemon Go dari Brooklyn, Amerika Syarikat (AS) mendakwa telah berjaya menangkap kesemua watak animasi itu.

Nick Johnson, 28, dilaporkan telah berjaya menangkap kesemua 142 watak animasi yang boleh ditemui di sekitar AS.

Menurut laporan Business Insider, pakar IT itu mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mencari kesemua raksasa digital itu.

Johson memberitahu, dia pernah berjalan selama 8 jam tanpa henti hanya untuk mencari Pokemon itu.

Selain itu, aplikasi kesihatan di telefonnya juga menunjukkan dia berjaya sejauh kira-kira 12 kilometer setiap hari untuk menangkap Pokemon.

Dek kegilaannya itu juga, berat badannya telah menurun sebanyak 4 kilogram.

Sementara itu, Johnson kini bakal memulakan jelajah dunia untuk menangkap banyak lagi watak animasi itu.

Apa yang menariknya, kos perjalanannya menangkap Pokemon itu bakal ditaja oleh sebuah agensi pelancongan.

Berdasarkan video game asli Pokemon, jumlah keseluruhan watak animasi tersebut adalah 151.

Bagaimanapun, tiga watak pokemon lain hanya boleh didapati di negara lain iaitu Farfetch’d (Asia), Kangaskhan (Australia) dan Mr. Mime (Eropah).

Manakala enam lagi watak Pokemon Articuno, Ditto, Mew, Mewtwo, Moltres dan Zapdos masih lagi belum dilihat di mana-mana.

Remaja 18 tahun mangsa pertama Pokemon Go?

Jerson Lopez de Leon Pokemon Go

Guatemala City - Guatemala. Kematian seorang remaja lelaki, Jerson Lopez de Leon, 18 yang ditembak ketika sedang asyik bermain Pokemon Go dilaporkan sebagai mangsa pertama yang dikaitkan dengan permainan itu, lapor New York Post.

Namun, menurut agensi berita itu terdapat konflik berkaitan laporan kejadian yang menimpa Jerson dan sepupunya, Daniel Moises Picen, 17 yang cedera parah dalam kejadian tersebut.

The Mirror UK melaporkan mangsa ditembak ketika mereka sedang memecah masuk sebuah rumah di Chiquimila untuk menangkap salah satu karakter yang muncul dalam peta telefon pintar pemain.

Manakala laporan lain menyebut kedua-dua remaja itu diserang hendap ketika sedang memburu karakter permainan tersebut.

Menurut laporan media tempatan, Jerson dan Daniel berjalan menyusuri landasan kereta api lama sebelum tiba-tiba dihujani peluru dari sebuah kenderaan yang lalu di situ.

Difahamkan, polis sedang memburu kenderaan yang melarikan diri dari lokasi kejadian dengan 20 kelongsong peluru ditemui.

Namun punca kejadian masih belum jelas sama ada ia berkaitan dengan permainan itu ataupun tidak.

BACA INI JUGA: Fenomena Pokemon Go, Mengejar Dunia Maya Dan Mengganti Realiti

Sumber: Mynewshub/SinarOnline

Makruh Kencing Berdiri Dan Sains Membuktikan Kebenarannya!

Makruh Kencing Berdiri Dan Sains Membuktikan Kebenarannya!

Sudah menjadi amalan biasa bagi lelaki membuang air kecil sambil berdiri dan kini kesan perbuatan itu telah menjadi topik perbincangan dalam komuniti saintifik.

Kencing Berdiri
Gambar hiasan.

Seorang pengamal perubatan di Ayurveda Medical, menjelaskan bahawa kencing berdiri tidak baik untuk kesihatan lelaki kerana boleh menyebabkan sakit belakang, hilang tenaga dan mudah letih.

Rasa kurang selesa itu terjadi disebabkan orang yang membuang air kecil sambil berdiri, air kencingnya tidak akan habis keluar.

Maksudnya, 5 hingga 10 peratus air kencing akan kekal di dalam pundi kencing dan baki yang tertinggal ini lama kelamaan akan terenap.

Endapan ini akhirnya akan mengeras menjadi batu karang dan menimbulkan beberapa masalah lain seperti lemah syahwat dan mati pucuk.

Berbeza pula kesannya apabila seseorang kencing sambil duduk atau mencangkung, satu kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik di Leiden University Medical Center, Belanda, mendapati lelaki yang kencing mencangkung akan dapat mengosongkan sepenuhnya pundi kencing mereka.

Hasilnya, kencing mencangkung mampu mengurangkan risiko prostat dan dapat mengekalkan gaya hidup lebih sihat secara keseluruhannya.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE mendedahkan, kencing dalam postur duduk bukan sahaja membolehkan otot pelvis dan pinggul berada dalam keadaan tenang bahkan dapat mengurangkan tekanan pada uretra iaitu tiub air kencing yang membawa cecair itu keluar dari badan.

Jadi, lelaki terutamanya penghidap saluran kencing lebih rendah (LUTS) yang membuang air mencangkung akan membuang air kecil dengan lebih baik, cepat dan mudah berbanding jika kencing berdiri.

Dilaporkan sebanyak 30 peratus lelaki Jepun menjadikan postur duduk sebagai amalan semasa membuang air kecil.

Negara Sweden dan Taiwan juga nampaknya mengikut jejak dengan menggalakkan lelaki di negara itu untuk kencing secara mencangkung.

Dalam Islam pula, kencing mencangkung bukanlah sesuatu yang baru, malah telah pun disampaikan sejak lebih 1,400 tahun dahulu.

Dalam sebuah hadis Aisyah r.a. berkata, "Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Nabi pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, tidaklah baginda kencing melainkan dengan duduk." HR At-Tirmizi

Dari segi hukum, perbuatan kencing berdiri tidaklah haram. Hukum kencing berdiri adalah makruh apabila dilakukan tanpa keuzuran dan perlu difahami sebab perbuatan itu makruh dari sudut syarak.

Perbuatan membuang air kecil dengan tidak berhati-hati boleh menyebabkan percikan air kencing terkena pakaian dan kesannya amat besar iaitu solat menjadi tidak sah jika tidak dibasuh.

Namun, janganlah pula kita mencemuh orang yang kencing berdiri di tanda-tandas awam kerana mereka mungkin mempunyai sebab tertentu yang memaksa mereka memilih cara sedemikian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Minum Sambil Berdiri Bahaya Untuk Kesihatan?

-SENTIASAPANAS.COM

'Kalau Setakat Gaji RM2,000, Tak Patut Beli Perodua Bezza'

'Kalau Setakat Gaji RM2,000, Tak Patut Beli Perodua Bezza'

Berbeza dengan keluaran sebelum ini yang mana ianya adalah ‘re-badged’ daripada model keluaran Daihatsu, Perodua Bezza adalah model pertama Perodua yang direka sepenuhnya oleh syarikat tempatan ini.

Perodua bezza Mahal

Dan tahniah diucapkan kepada Perodua kerana berjaya mengeluarkan model terbaharu Perodua Bezza yang amat menepati cita rasa dan keperluan rakyat Malaysia.

Kualiti dan keluasan kabin Perodua Bezza adalah sangat terbaik serta harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan.

Sebut mengenai harganya, seorang netizen, Harith Faisal melontarkan pandangannya berkenaan keluaran terbaharu model Perodua ini.

Pandangan pemuda ini tidak mewakili pandangan kami. Namun jika difikirkan secara baik, adalah perlu seseorang itu mengambil kira faktor kewangan dan kemampuan diri sebelum membeli kereta.

Jom baca perkongsian ilmu dari Harith Faisal ini dan semoga ia bermanfaat serta menjadi panduan kepada anak-anak muda untuk membeli rumah terlebih dahulu.

Gaji RM2,000 Tak Patut Beli Perodua Bezza - Harith

Perodua bezza Mahal [2]

1. Kalau bujang gaji RM2,000 tak payahlah pakai Bezza lagi. Tunggu dululah. Naik motor pun dah okay. Motor biasa ya, bukan superbike idaman anak muda yang mahal gila. Padahal kalau hujan, basah kuyup juga.

2. Harga kereta yang patut kita beli harganya setahun gaji. RM2,000 x 12 baru dapat RM24,000. Beli kereta harga begini. Atau tunggu gaji naik lagi.

3. Kalau dah terbeli, susah nak mula menyimpan 30% gaji untuk tabung deposit rumah. RM2,000 x 30% = RM600. Nak simpan 10% gaji pun belum tentu boleh.

4. Kereta RM500, minyak RM200, tol RM200, servis RM100, sewa bilik RM300, parking RM200, makan RM300, ibu bapa RM200. Duit habis tiada simpanan. Takaful untuk perlindungan langsung tiada.

5. Lain orang berbeza keutamaan. Tapi ramai tak sedar, patut beli rumah dulu barulah kereta. Lainlah kalau kita gaji besar. Setakat Bezza, pandang sebelah mata. DSR pun tak terkesan sangat. Apa-apa pun, buatlah kira-kira.

6. Kalau dah berkahwin, dah ada satu kereta, tak perlu tambah Bezza kalau pergi kerja pun ikut jalan sama. Pergi kerja sama-sama lebih romantik dan bahagia.

7. Jangan ikut cakap orang suruh beli kereta kedua. Sebab yang lebih faham keperluan keluarga kita bukan mereka tapi kita. Kalau mereka nak tolong bayar, takpa juga.

8. Tabung rumah lebih utama berbanding Bezza, melainkan kita sanggup hidup menyewa lama-lama. Hidup menyewa lama pun takpa sebenarnya, asalkan dah ada rumah lain atas nama kita.

9. Cakap banyak pun tak guna, jom kira berapa gaji minimum patut ada untuk beli Bezza yang paling murah. RM37,300 / 12 = RM3,108. Ouh, gaji kena RM3,108 rupa-rupanya.

10. Sebelum buat keputusan beli Bezza, fikir dulu beza LAYAK, MAMPU dan PERLU. Kalau semua dah okay, barulah pergi ke showroom dan order, ‘Bro, bagi gua Bezza satu, bungkus ikat tepi’. Haha..

BACA INI JUGA: PERODUA Lancar Kereta Sedan Pertama Dan 9 Perkara Menarik Mengenainya

Sumber: Mynewshub.cc

Thursday, July 28, 2016

'Ingatkan Indahnya Bercinta Selepas Kahwin, Rupanya Mimpi Ngeri'

'Ingatkan Indahnya Bercinta Selepas Kahwin, Rupanya Mimpi Ngeri'

Ini kisah yang ingin dikongsikan oleh seorang pengadu yang dipetik dari perkongsian di Facebook IIUM, lelaki yang hanya dikenali sebagai Fadhil telah dijodohkan oleh keluarganya dengan seorang wanita daripada pilihan ibu bapanya.

'Bercinta Selepas Kahwin Rupanya Mimpi Ngeri'

Seperti tradisi nenek moyang kita, bercinta selepas berkahwin memang tiada apa yang harus dihairankan. Ramai yang berpendapat bercinta selepas berkahwin adalah perkara terbaik buat pasangan yang ingin berumah tangga.

Cerita dari mulut orang-orang tua dahulu sehingga sekarang seperti satu cerita sejarah yang tiada tolok bandingnya.

Hebat cerita ini seperti tiada ada cacat celanya, diakhiri pula dengan jumlah anak yang ramai dan juga disulami pula kejayaan anak-anak setelah dewasa. Titik akhir mereka ialah apabila mereka berjaya bersemadi dengan aman.

Namun kisah sebaliknya berlaku buat seorang lelaki ini yang berkongsikan pengalaman ‘cinta selepas berkahwin’ nya, di mana menurutnya ia bukanlah mimpi indah seperti yang sering diidamkan segelintir anggota masyarakat kita.

Rumah tangga impian dan tanggapan kenikmatan bercinta selepas kahwin berubah menjadi mimpi ngeri baginya…

Jom ikuti kisah luahan lelaki ini.

'Bercinta Selepas Kahwin Rupanya Mimpi Ngeri' [2]

Umur aku dah dekat 30 tahun. Aku kahwin masa umur 26 tahun, dan waktu tu aku baru je habis belajar (kat UIA lah, kalau x aku confess kat U lain).

Aku ni boleh dikategorikan sebagai budak baik. Maksud baik ni adalah aku ni jenis tak berkawan dengan perempuan.

Ada ramai yang mesej, tapi takde sorang pun yang aku nak layan terlalu lama. Aku pernah bercinta kejap lepas sekolah, tapi tak lama pun. Itu pun dia macam terpaksa terima kau. Lepas-lepas tu, aku dah malas dah nak bagi apa2 komitmen.

Lepas grad, ayah aku nak aku kahwin. Dia kata dia malas dah jaga aku (tapi berlawak je ni) dan nak aku rasa bertanggungjawab dalam hidup.

Aku gelabah juga bila ayah dan mama tanya pasal makwe. Aku kata takda, dan diorang kata diorang nak cari kan. Aku kata, mama nak cari, carilah. Adik ok je asalkan mama rasa ok.

Aku tak ingat berapa lama, tapi kejap jugalah peristiwanya. Mama kata,dia dah jumpa orang. Anak kawan dia. Orang baik. Family semua pakai kopiah dan purdah. Solat jemaah kat masjid aje. Aku pun ok je lah mulanya.

Pertemuan diaturkan, dan akhirnya kami dapat bersua muka. Aku, mama, ayah dan kakak aku ikut sama dalam bertemuan yg bertempat di rumah dia. Dia pun tinggal tak jauh sangat, cuma lain daerah aje. Lepas berbual-bual dan suai kenal, aku tengok dia ni jenis rock-rock sikit walaupun berpurdah.

Selesai pertemuan tu, aku call dua tiga orang member aku utk ajak minum-minum. Saje excited nak bercerita. Kami pun berjumpa kat kedai mamak, lepas tu aku berceritalah pasal pertemuan tadi. Yang bestnya, member-member aku ni jenis lain-lain kepala.

Ada sorang member aku setuju dengan idea tu. Kata dia, pilihan mak ayah ni berkat sebab mak ayah je tahu calon terbaik utk anak dia. Lagipun, takkanlah mak ayah nak bagi perempuan tak elok utk anak dia kan?

Yang sorang lagi member aku, dia tak berapa setuju. Dia tanya, aku tengok ke tak muka dia? Aku cakap tak, sebab nak hormat dia pakai purdah. Dia boleh marah aku balik. Katanya, kalau sesi taaruf camtu, dibolehkan tengok muka. Kalau buka-buka tengok-tengok tak lawa. Haa.. camne?

Yang setuju dengan idea aku tadi pulak dia sangkal member ni. Kata dia, pilihan tu, Allah yang dah aturkan. Buat apa nak tolak ketentuan. Tambah dia, bukan wajah jadi ukuran, tetapi hati.

Ada perempuan lawa jadi bini, tapi hati buruk. Itu pun tak guna. Lagipun berkat pilihan mak bapak dia.

Dia pun berceritalah macam mana mak ayah dia dulu-dulu, waktu dah nak masuk bilik malam pertama baru tahu muka macam mana. Siap tersilap orang lagi sebab ingat pengemas bilik tu isteri dia. Sampai sekarang ni, ada 8 orang anak dan bahagia.

Dia cerita pula pasal bos dia dulu yang diaturkan perkahwinannya, bahagia sampai sekarang. Dah 10 tahun kahwin.

Member aku sorang lagi ni diam je lah. Dia kata, dia tak setuju tak tengok muka. Tu je lah. Yang lain, dia tak tahu sebab itu urusan tuhan.

Aku macam bersemangat dengar member aku tu bercerita. Aku rasa yakin bahawa pilihan mama dan ayah tu pilihan yang tepat.

Berhari-hari lepas tu, kerja aku buka Google dan baca kisah-kisah percintaan lepas kahwin ni.

Semua, SEMUA kata mereka bahagia. Lebih-lebih lagi apabila aku tengok cerita Ayat-Ayat Cinta. Hati aku yakin yang pilihan untuk kahwin dengan perempuan ni adalah tepat.

Walaupun terbit rasa risau yang perempuan tu tak seperti yang aku nak (buruk la senang cerita hahahahaha), tapi aku yakin, pasti dia ni insan yang cantik sebenarnya.

Sebulan lepas tu, rombongan keluarga kami datang ke rumah dia, dan kami diaturkan tunang serta nikah pada hari yang sama iaitu hujung tahun. Kiranya lepas 4 bulan daripada hari itu.

Sepanjang tempoh tu, aku tak mesej dia langsung. Call takyah cerita lah. Silap-silap dia takda pun nombor aku. Aku pernah sekali pergi beraya rumah dia sepanjang tempoh tu. Kalau face to face, elok pulak dia berbual dengan aku. Tapi tak cakap banyak sangatlah. Aku pun xda idea nak borak apa dengan dia.

Aku add dia kat FB je la, itu pun dia tak approve. Dia pun ada tulis yang dia hanya benarkan perempuan je yang add dia. Aku hormat keputusan dia, dan aku rasa seronok dengan sikap dia macam tu. Inilah sikap perempuan muslimah sebenar,kata dalam hati aku.

Dipendekkan cerita, tiba hari pernikahan kami. Tema kami pink sebab dia nak. Aku jenis tak kisah sebab kalau kahwin pakai kain pelikat pun dah settle dah sebenarnya.

Pagi tunang, petang tu kami bernikah. Kami tak berjumpa langsung sepanjang tempoh tunang tu sebab dia duduk je dalam bilik. Lepas nikah, baru kami berjumpa iaitu waktu nak sarung cincin.

Masa tengah nak sarung cincin, jantung aku macam nak gugur tengok dia. Ya Rabbi. Anggun betul dia time tu. Walaupun berpurdah, aku dapat rasakan dia ni lawa gila. Dia pandang aku, mata dia buat aku macam nak kena panah petir.

Hahaha. Mungkin seri orang berkahwin. Sebelum ni masa jumpa, aku tak berapa nampak sangat lawa dia ni. Time ni pulak lah lawa. Dia salam aku waktu tu, dan aku dapat rasa aura yang menebal dalam hati. Aku dah fikir bukan-bukan dah waktu tu. Halal pun halal dah ni. Tunggu tetamu-tetamu ni nak balik je.

Semua selesai.

Tapi kami masih belum boleh tidur bersama lagi. Malah, muka dia pun aku tak tengok. Esoknya, hari persandingan kami, dia bertambah lawa aku rasa. Geram sungguh waktu tu. Berdenyut-denyut. Sehinggalah waktu malam, inilah malam yang sering di gurau-guraukan oleh member aku iaitu malam pertama.

Waktu ni aku berdebar sangat bukanlah sebab benda tu. Tapi aku excited nak tengok wajah dia. Kami masuk ke bilik, aku bukak baju nak mandi, dan dia pun bukak purdah dia. Aku tengok muka dia, jantung aku macam berhenti kejap.

Dalam hati aku cuma satu ayat.

“La..Ingatkan cantik.”

Aku tahu memang aku jahat waktu tu. Aku tengok muka dia, sangat lain dengan apa yang aku bayangkan. Dia bukan tak berapa lawa, tetapi tak lawa langsung lah bagi aku. Tambah pulak dia bukak bulu mata palsu dia, aduh…

Menggelatar lutut aku masa tu sebab rasa macam menyesal kahwin. Bayangkanlah, first impression kau pun dah rasa macam tak lawa, inikan pula nanti-nanti.

Tapi serentak dengan tu aku fikir positif. Macam kawan aku cakap tadi, lawa pun hati buruk buat apa? Lebih baik buruk tapi hati lawa.

Malam tu kami tidur je sebab aku rasa macam tak berapa selesa. Tapi time tidur tu pun ada cerita dia. Dia punya kuat berdengkur, mak ai.. Aku terpaksa tekup telinga aku pakai bantal sebab kuat gila dia berdengkur.

Dan badan dia berbau. Aku suruh dia mandi, tapi dia kata dia malas. Padahal dari pagi tadi kot kami berdua tak mandi-mandi. Bayangkanlah dah bersanding, shooting, kenduri kesyukuran, tapi lastnya tak mandi. Aku sendiri pun geli.

Dipendekkan cerita, kami pergi honeymoon. Waktu ni nampak perangai sebenar dia. Kami pergi honeymoon dengan Medan, Indonesia.

Aku rasa tak seronok langsung nak honeymoon sebab dia ni jenis macam takde laki. Waktu shopping, dia terus hilang. Aku cari dia macam orang gila takut kena kidnap ke apa. Aku report polis tapi polis sana kata, kalau setakat hilang dua tiga jam, diorang tak layan. Rupa-rupanya dia pergi naik teksi sebab nak beli barang kat tempat lain. Itupun dah lima enam jam, dan kami kebetulan bertembung kat satu kedai makan.

Dia boleh salahkan aku sebab aku berjalan lambat. Padahal aku jalan belakang dia, dan aku punya tali kasut terbukak. Bila nak kejar balik, dah takde. Aku sabor je le yob.

Kami kurang bercakap sebab dia ni jenis suka main handphone. Dia sanggup beli plan simkad Indon yang paling mahal supaya dia boleh main internet. Aku diam je lah walaupun terasa hati juga sebab at least, kami boleh la gurau-gurau ke apa. Tak seronok bai. Tak seronok langsung.

Waktu malam, kami kurang bersama. Dia jenis tak berapa suka dengan benda tu padahal bagi aku, itu adalah antara tanggungjawab dia sebagai isteri. Dan sekali lagi, dia ni malas mandi dan tidur berdengkur kuat gila haram.

Kami berjalan sana sini, malam tu dia tak mandi pun walaupun aku dah suruh banyak kali. Siap bergaduh la kejap sebab dia kata, dia malas.

Belum lagi jenis suka sepah barang, barang tak kemas (aku je la kemas semua barang), kerja main game je, dan pengotor.

Dalam hotel, aku nak baring sebelah dia, tangan aku terpegang bekas cotton bud taik telinga dia. Dia kata dia lupa buang. Cilaka sungguh. Aku geli kot walaupun tu taik telinga bini aku.

Balik honeymoon, aku cerita pasal benda ni kat mama aku. Dia kata, tak apalah, sebab mama kata, aku sebagai lelaki, kena ubah dia. Tak semua manusia sempurna, kata mama. Aku pun setuju je lah sebab aku ni anak emas mama. Semua benda aku iyakan.

Kami duduk di rumah lain sebab aku ni jenis menyimpan. Sebelum kahwin lagi aku dah siap-siap beli sebijik rumah untuk kami duduk. Aku nak indipendence. Dah kahwin, tak nak jadi anak mama lagi. Dah kahwin ni, tak nak bergantung dengan orang lain lagi dah.

Aku berazam, aku nak jadikan hubungan kami berdua ni bahagia dan sentosa. Apapun kelemahan yang dia ada, macam mama cakap, akulah yang kena ubah dia.

Lagipun, aku yakin bahawa ini adalah ujian bagi aku dan akan datang satu waktu yang menjadikan perkahwinan kami ni sangat bahagia. Aku yakin bai. Time tu aku sedaya upaya jadi positif.

Namun,setelah setahun kami berkahwin, aku dah mula rasa sangat tak best.

Dia malas masak, malas buat kerja rumah, malas buat tu malas buat ni. Aku balik kerja (dia tak kerja) je, dan tengok macam mana ruang tamu waktu aku pergi kerja, macam tu jugalah ia waktu malam. Aku stress.

Aku lapar, pergi dapur, dia masak telur goreng je. Itupun tinggal separuh sebab dia masak sebijik telur je. Aku suruh dia masak sikit untuk aku, tapi dia kata dia tengah buat kerja online bisnes. Lastnya aku jugalah yang masak sendiri. Aku masak lauk lain. Dah masak tu, tup-tup dia ada sekali kat meja makan nak makan dengan aku. Haram sungguh perangai.

Dia pernah tak mandi empat hari berturut-turut korang bayangkanlah macam mana aku nak tidur dengan dia. Alasan dia, jimat duit air dan takde keperluan utk dia mandi. Aku geram betul time tu tapi sabor je la.

Kami tak banyak berkomunikasi. Dia pun tak banyak berkawan dengan orang. Dia suka duduk sorang2 dan main fon.

Dia kata dia ada online bisnes tapi hasilnya aku tak tahu lah ada ke tak. Duit nafkah semua aku bagi ok, tapi dia banyak kali merungut tak cukuplah apa lah.

Dari segi ibadat, dia ok je bagi aku. Cuma aku tak berkenan cara dia pergi tu, tak beritahu aku kekadang. Dia memang rajin pergi masjid, tapi dia jarang beritahu aku yang dia nak keluar pergi masjid.

Pernah sekali tu, aku balik kerja, dia terus meluru keluar bawak barang solat dia. Aku tanya dia nak pegi mana, dia jeling aku sambil tunjukkan beg solat dia sambil menggeleng. Kurang ajar betul time tu. Dengan stress kerja lagi, aku ni kira power dah sebab tahan sabar. Dia tetap pakai purdah.

Depan mama dan ayah dan family aku, dia biasa je perangainya. Aku pelik pulak dia ni kalau kat rumah family aku, dia main punya rajin. Kat rumah family dia pun ok je.

Tapi kat rumah kami berdua, dia jadi orang lain. Dasar hipokrit.. Cuma aku respek dia, dia memang hebat dalam benda-benda agama ni memang power. Jujurnya, aku sayang je dengan dia, tapi tu lah. Aku sendiri pun tak tahu sayang ni sayang sebab dia bini aku je, atau ikhlas.

Lepas setahun, perkahwinan kami semakin tercabar. Dia ni semakin lama jadi seorang yang panas baran. Pantang aku buat silap sikit, mesti nak mengamuk. Dia punya mengamuk, plus membebel. Dia ungkit sana ungkit sini. Aku tak boleh tahan dia punya bebel.

Pernah ada sekali tu, aku terlupa nak tutup suis kipas bilik bawah, dia mengamuk dan membebel cakap aku ni ikut amalan syaitan sebab membazirlah, buang duit lah, careless lah, lelaki tak guna lah sebab biasanya dia kata lelaki jarang lupa benda-benda tu. Padahal aku terlupa tutup waktu kami keluar makan je. Tak sampai dua jam bai.

Makin lama,dia makin agresif. Dia dah mula main fizikal. Kalau sebelum ni mengamuk+bebel, kali ni +pukul dan +carut. P**dek, b*bi, si*l, pu**mak tu biasa dah tu.

Awalnya, dia cubit-cubit aku. Bukan cubit manja tau, tapi ni cubit tahap gaban punya sakit. Lepas tu dia pukul aku. Sekali-sekala dia tampar aku. Hari-hari aku kena bai. Aku makin lama makin stress sebab hari-hari kena pukul.

Pernah ada sekali tu, aku tertidur waktu kami nak bersiap pergi kenduri. Dia simbah muka aku pakai air, lepas tu tendang perut aku. Dia kata, dia tunggu lama gila dalam kereta dan tengok-tengok aku tengah tidur. Sakit dia bukan main. Dia membebel je kata aku lembab la apa la.

Aku tak mahu lawan sebab aku takut. Badan dia besar sikit daripada badan aku. Aku ni pendek orangnya.huhuhu. Dia pendek juga tapi badan dia besar. Family aku bukan jenis guna fizikal. Aku sendiri pun tak pernah sentuh orang walaupun dulu duduk asrama. Bila kena pukul tu, perasaan yang ada pada aku adalah takut. Aku takut nak melawan sebab takut lagi kena teruk. Lastnya, aku tak melawan.

Aku tak nak cerita benda ni kat ayah dan mama sebab aku malu. Yalah, umur dah 28, tapi benda rumahtangga camni pun nak adu kat diorang. Dengan kawan kat ofis lagilah. Kang tak memasal kena bahan.

Suatu hari, balik rumah sekali tu, dan dia dah tunggu depan rumah. Aku dah cuak dah macam ada something wrong ke aku buat.

Aku sampai je pintu rumah, dia baling dengan penyapu lidi. Ada sikit kena kat mata aku, aku macam orang gila jerit.

Dia pulak, sepak aku, dan pukul aku macam orang hilang akal. Dia ambil entah apa ntah macam batu, pukul kepala aku dan nasib baik aku sempat halang. Dia bising dan menjerit-jerit macam orang gila.

Rupa-rupanya dia marah aku sebab aku lupa tinggalkan duit utk dia pergi makan. Dia marah sebab dia tak makan langsung dari petang (pagi dia makan sebab aku goreng nugget frozen). Cilaka.

Dalam peti ais ada macam-macam makanan kot. Siap ada makanan frozen lagi sebab aku tahu perangai pemalas dia ni.

Hari itu merupakan pertarungan terbesar aku dengan dia. Kalau selama hari ini aku diam je, tapi kali ni aku balas balik.

Aku ambil penyapu, dan pukul badan dia. Aku buat tu sebab nak petahankan diri aku. Dia tak nak kalah, dia ambil pasu bunga kecik, dan baling kat aku. Sikit lagi kena aku tapi lastnya kena kereta dia.

Itu buat dia lagi marah. Dia jadi macam orang hilang akal. Dia terkam aku dan cekik macam orang kena rasuk. Aku halang dia dan tolak dia.

Kebetulan jiran-jiran aku semua tengok peristiwa tu, diorang tanpa segan silu masuk ke ruang rumah kami, dan halang aku. Jiran aku ni jenis gangster, lalu dia tumbuk muka aku.

Aku dah tak ingat apa dah lepas tu sebab aku pengsan. Sedar-sedar je, aku dikelilingi orang surau dan semua kerumun aku muka macam tak puas hati. Aduh…

Setelah disoal bermacam-macam barulah aku paham, yang diorang semua ingat aku belasah bini aku. Bini aku tu cerita lain bai. Dia cakap aku belasah dia sebab tak masak nasik. Dia cakap aku hempas pasu kat kereta dia sebab tak puas hati dengan dia.

Time semua kecam aku. Diorang kata aku ni dahlah jarang pergi surau, kaki pukul pulak tu. Aduh, aku menangis sambil bercerita perkara sebenar. Aku cerita yang sebenarnya bini akulah yang suka pukul aku dan aku ceritakan keganasan yang lain.

Bai..kau tau tak bila aku cerita pasal keganasan bini aku, apa yang diorang jawab, “Kau bacul. Kau biarkan bini kau pukul kau. Laki jenis apa kau ni?”

Aku tergamam. Ya, betul aku tergamam. Bila aku cakap aku selalu dipukul, ada antara mereka menggelakkan aku sebab kena pukul dengan perempuan. Aku stress.

Kes aku ni tak dibawak ke polis sebab diorang tahu dah cerita aku. Korang nampak tak bertapa biasednya masyarakat kita ni?

Waktu diorang kata aku pukul bini aku, diorang bersungguh nak pertahankan, tapi bila aku cerita akulah mangsa sebenar, diorang gelakkan.

Apa, ingat perempuan pun tak boleh jadi kaki pukul ke? Apa ingat perempuan je jadi mangsa ke? Lelaki pun boleh jadi mangsa tau. Lelaki pun boleh kena pukul tau.

Lepas tu, aku balik rumah, dan sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Aku ada kerja ni. Aku send cerita ni dulu, nanti kalau aku dah free, aku post yang baru ya. –Fadhil

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Panduan Dan Cara 'Meletakkan' Gambar Pilihan Sendiri Di Kad ATM Maybank

Panduan Dan Cara 'Meletakkan' Gambar Pilihan Sendiri Di Kad ATM Maybank

Terbaharu, selepas memperkenalkan edisi kad debit yang menggunakan logo Superman, pelanggan Maybank kini boleh memohon untuk meletakkan gambar sendiri pada kad ATM masing-masing.

sentiasapanas

Pelanggan boleh menggunakan sebarang nilai estetik yang ingin diterapkan seperti gambar bersama keluarga, ketika melancong, gambar kenangan ataupun bersama haiwan kesayangan.

Cara Meletak Dan Mengabadikan Gambar Anda Di Kad ATM Maybank

Anda bebas memilih gambar yang digemari dan perkara ini juga secara tidak langsung membuatkan pengguna menjadi lebih teruja sewaktu menggunakan di mesin ATM.

Kepada pengguna yang ingin menukar kad lama anda kepada jenis ini, anda boleh mengunjungi ke portal Maybank untuk mendaftar dan kadar bayaran perkhidmatan akan dicaj sebanyak RM26.50 (termasuk GST) dan jumlah berkenaan akan didebit dari akaun anda.

Cara-cara memohon adalah seperti berikut:

1. Kunjungi portal Maybank2u.com.my

2. Dibawah ‘How to apply?’

3. Tekan ‘Click here’ to apply for Debit Picture Card.

4. Pilih ‘Accept’ di ruangan syarat dan terma.

5. Kemudian tekan ruangan muat naik gambar di ‘use custom image’.

6. Selepas selesai muat naik gambar, tekan ‘finalize’.

7. Buat pembayaran dan klik ‘continue’.

Mengatasi Masalah 'Error' Gambar

ERROR [1]
ERROR [2]

Jika ada tanda amaran seperti diatas, itu bermakna saiz gambar anda terlalu kecil.  

Resize gambar menjadi 1200px (lebar) 1000px (tinggi) dan upload sekali lagi.

Permohonan akan diproses dalam tempoh tujuh hari dari tempoh pembayaran dan akan dimaklumkan melalui emel jika permohanan berjaya.

BACA INI JUGA: 9 Rahsia Kejayaan Perniagaan Online

Sumber: Maybank

Apa Perbezaan 'Baik Sebelum' Dan 'Guna Sebelum' Pada Label?

Apa Perbezaan 'Baik Sebelum' Dan 'Guna Sebelum' Pada Label?

Anda perasan tak apabila kita membeli barang, ada yang ditulis 'Baik Sebelum ataupun 'Guna Sebelum' pada label?

Best before and Use before

Apa sebenarnya perbezaan pada kedua-dua tanda label ini? Sememangnya ada perbezaan besar diantara kedua-duanya.

Baik Sebelum

Baik Sebelum

Label 'Baik Sebelum' selalunya berkaitan dengan kualiti makanan dalam tin, makanan beku dan coklat.

Ianya bermaksud, makanan itu selamat dimakan walaupun telah luput atau selepas tarikh tempoh.

Selagi nampak elok, tiada rasa dan bau pelik, ianya masih selamat dimakan.

Tapi kalau sudah berubah warna dan rasa ataupun berbau, sila buang dan jangan lagi digunakan.

Guna Sebelum

Guna Sebelum

Label 'Guna Sebelum' pula berkaitan dengan keselamatan makanan dan biasanya dilihat pada daging dan produk tenusu.

Makanan begini wajib dibuang selepas tarikh luput kerana ianya berbahaya untuk dimakan kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Sekarang dah tahu, jangan lupa kongsikan pada rakan-rakan ya!

BACA INI JUGA: 729, Barkod Produk Israel

Sumber: lokmanamirul

Video CCTV Setapak Shooting, 'Ah Long' Maut Ditembak 16 Das Tembakan!

Video CCTV Setapak Shooting, 'Ah Long' Maut Ditembak 16 Das Tembakan!

Beberapa gambar dan rakaman video seorang lelaki dipercayai seorang ah long mati ditembak 16 das dalam kejadian berhampiran simpang lampu isyarat di hadapan Setapak Sentral, pukul 3.35 petang Rabu, 27/7/2016.

Setapak Shooting [4]

Mangsa, 43 tahun, bapa kepada 3 orang anak maut serta-merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala, badan dan kaki.

Tembakan dilepaskan melalui cermin sisi hadapan sebelah kanan dan kiri pemandu.

Berdasarkan video rakaman CCTV, empat suspek menunggang dua motosikal dilihat menghampiri kereta mangsa lalu berhenti sebelum pembonceng kedua-dua motosikal tersebut turun dan menembak mangsa.

Kejadian itu berlaku dengan pantas sebelum kedua-dua suspek kembali menunggang motosikal dan beredar dari tempat kejadian.

Setapak Shooting

Gambar dan video kejadian kini mula membanjiri timeline media sosial namun maklumat penuh kejadian masih belum diperolehi.

Maklumat awal yang diperoleh pihak polis mendapati mangsa mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap.

Kes tembak di Setapak, Mangsa tukar kereta elak diekori

Setapak Shooting [2]

Pengurup wang yang ditembak maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota, Jalan Genting Klang di sini pada Rabu, baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya.

Menurut seorang rakan mangsa yang enggan dikenali, mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lepas sebelum ini menggunakan Toyota Camry.

"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya," katanya kepada Bernama.

Setapak Shooting [3]

"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa," katanya.

Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.

"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai sebagai Sazwan.

Sazwan berkata beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.

Setapak Shooting [5]

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.

"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan. Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya," katanya.

Beliau turut berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaan.

Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

BACA INI JUGA: Misteri Pembunuh Suami Muncul Dalam Mimpi Isteri


Sumber: Mynewshub/Astroawani

Gambar Menyeramkan Sosok Hantu Terakam Di Vatican!

Gambar Menyeramkan Sosok Hantu Terakam Di Vatican!

Anda pasti tidak pernah membayangkan bertemu dengan susuk tubuh dan wajah hantu disaat memasuki tempat ibadah?

Hantu Terakam Di Vatican

Seorang pelancong yang memasuki gereja di Vatican, Itali tidak sengaja merakam sosok badan hantu yang menyeramkan.

Wajah hantu berupa bayangan hitam menyerupai tinggi manusia pada umumnya berdiri di menara gereja, tepat di loceng.

Bayangan yang berdiri diam seolah-olah untuk terjun ke bawah bangunan.

Hantu Terakam Di Vatican [2]

Menurut daripada rakaman video yang dimuat naik ke Internet mengundang pelbagai spekulasi daripada netizen.

Ada yang berpendapat, penampakan hantu tersebut adalah daripada orang yang meninggal dunia akibat bunuh diri.

Netizen lain pula ada yang beranggapan, bayangan hitam itu ialah hantu Slender Man.

BACA INI JUGA: Detik Seram Terselfie Dengan Makhluk Berambut Panjang!

Hantu Terakam Di Vatican [3]

Sumber: mynewshub

Gemma Nuttall, Pengorbanan Ibu Sakit Kanser Lahirkan Anak

Gemma Nuttall, Pengorbanan Ibu Sakit Kanser Lahirkan Anak

Seorang wanita yang bakal bergelar ibu, terkejut apabila rutin imbasan berkala selama 12 minggu terhadap kandungannya telah mendedahkan bahawa dirinya menghidap penyakit kanser ovari.

Gemma Nuttall

Bagaimanapun, Gemma Nuttall hanya diberi satu pilihan untuk merawat kanser yang dihidapinya iaitu dengan menggugurkan kandungannya yang berusia 12 minggu itu.

Namun begitu Gemma nekad memilih untuk menyelamatkan kandungannya.

“Doktor hanya memberikan saya satu pilihan sahaja, sama ada teruskan kandungan atau tidak, dan ia merupakan satu keputusan yang berat.

“Saya tidak mahu menggugurkannya. Ini anak saya dan saya mahu dirinya selamat,” katanya.

Gemma Nuttall [2]

Kini, anak perempuannya, Penelope berusia dua tahun dan sewaktu mengandungkan Penelope, usia wanita muda ini baru 27 tahun.

Gemma terpaksa menangguhkan rawatan demi kandungannya. Penelope dilahirkan setelah usianya mencecah 29 minggu dengan kaedah ‘caesarean.‘

Malangnya, selepas melahirkan anaknya, Gemma disahkan menghidap penyakit kanser servik dan terpaksa memulakan sembilan bulan rawatan kemoterapi.

“Ianya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata apa yang telah saya lalui. Ia merupakan pengalaman yang pahit dan kejam,” katanya.

Gemma Nuttall [3]

Tambah malang lagi, setelah menjalani rawatan kemoterapi, Gemma diberitahu bahawa kansernya telah kembali malah sekarang dia bertarung melawan kanser otak dan paru-paru tahap 4.

Bagaimanapun, keluarga Gemma cuba mengumpulkan wang sebanyak £50,000 (RM267,363.34) supaya dia dapat menjalani rawatan di sebuah klinik swasta Hallwang di Jerman yang pakar dalam merawat kanser.

BACA INI JUGA: Daun Rerama, Daun Ajaib Penawar Penyakit Kronik!

Sumber: Mynewshub.cc

10 Selebriti Hollywood Yang Pernah Bergelar Gelandangan

10 Selebriti Hollywood Yang Pernah Bergelar Gelandangan

Mungkin ramai dari kita belum tahu ramai selebriti dalam senarai A-List di Hollywood pernah mengalami zaman kejatuhan sehingga ada yang bergelar gelandangan.

Begitulah realitinya disebalik kejayaan sebahagian selebriti Hollywood yang sentiasa dilihat sebagai golongan kaya, dikenali dan dikagumi, kisah mereka sebelum mengecapi kemahsyuran tidak kita ketahui.

Berikut 10 selebriti Hollywood yang pernah bergelar gelandangan.

Halle Berry

Halle Berry

Ketika berhijrah ke Chicago untuk mencuba nasib sebagai pelakon, Halle kehabisan wang dan ibunya juga tidak mahu menghantar wang kepadanya.

Dalam tempoh bertarung dengan kehidupannya ketika itu, Halle terpaksa menetap di pusat perlindungan gelandangan.

Menurut Halle dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, apa yang berlaku kepadanya suatu ketika dahulu mengajarnya untuk lebih memahami kehidupan.

Hillary Swank

Hillary Swank

Kedua-dua ibu bapa Hillary Swank bercerai ketika dia berusia 13 tahun dan Hillary kemudian berpindah bersama ibunya ke Los Angeles.

Di sana, mereka terpaksa tinggal di dalam kereta dan ibunya berusaha mendapatkan peluang untuk Hillary menyertai uji bakat lakonan.

Perlahan-lahan, kedua-dua mereka mula menerima pendapatan dan mampu menyewa pangsapuri.

Shania Twain

Shania Twain

Siapa sangka, penyanyi yang popular dengan lagu Ka-Ching, Shania Twain juga pernah bergelar gelandangan.

Demi membantu keluarganya, Shania sudah mula menyanyi di bar dan mencari rezeki sebagai penyanyi pada usia lapan tahun.

Jennifer Lopez

Jennifer Lopez

Jennifer Lopez berpindah keluar dari rumah ibu bapanya ketika berusia 18 tahun. Puncanya adalah kerana dia ingin meneruskan minatnya sebagai penari namun ditentang ibunya yang mahukannya melanjutkan pelajaran.

Disebabkan itu, penyanyi itu terpaksa menumpang di sebuah studio tarian dan hanya tidur di sofa. Rezeki berpihak kepadanya apabila dia menerima tawaran untuk menari di Eropah.

Kelly Clarkson

Kelly Clarkson

Menurut laporan media antarabangsa, sebelum bergelar selebriti, Kelly Clarkson pernah mencuba nasib menjadi penyanyi di Los Angeles.

Namun, satu insiden berlaku dan menyebabkan pangsapuri tempat dia menginap terbakar teruk sekali gus memaksanya menjadi gelandangan.

Dia kemudian kembali ke kampung halamannya di Texas dan menyertai uji bakat program realiti American Idol dan menjadi juara pertama program itu.

Sylvester Stallone

Sylvester Stallone

Selepas dihalau keluar dari pangsapurinya, Sylvester Stallone menjadi gelandangan dan terpaksa tidur di stesen bas.

Dia kemudian mencuba nasib menjadi pelakon filem lucah sekitar tahun 1970 dan filem pertama lakonannya adalah The Party At Kitty and Stud’s.

Dengan bayaran sekitar RM787 pada waktu itu membantunya untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa.

Steve Harvey

Steve Harvey

Siapa sangka, kehidupan pelawak seperti Steve Harvey tidaklah semanis yang disangka. Sebelum kerjayanya sebagai pelawak bermula pada 1980-an, dia juga pernah bergelar gelandangan.

Selama tiga tahun, Steve tinggal di dalam kereta Ford Tempo miliknya. Steve hanya singgah untuk mandi dan membersihkan diri di stesen minyak, hotel dan kolam renang awam.

Drew Carey

Drew Carey

Drew membesar di Cleveland, Ohio dan ketika berusia lapan tahun, bapanya meninggal dunia. Selepas itu, dia meneruskan kehidupannya tanpa rumah.

Di saat terdesak, Drew pernah menjual plasma darahnya dengan harga RM158. Dia juga turut menukar barangnya yang boleh dijual untuk membeli burger.

William Shatner

William Shatner

William yang pernah melakonkan watak Kapten James Tiberius Kirk dalam siri Star Trek juga pernah bergelar gelandangan.

Ketika siri itu ditamatkan pada 1969, hidup William menjadi tunggang- langgang. Dia turut bercerai dengan isterinya dan benar-benar hidup miskin sehingga memaksanya tinggal di dalam trak kerana tidak mampu menyewa bilik dan rumah.

Jewel

Jewel

Jewel dibuang kerja selepas menolak permintaan bosnya untuk tidur bersama. Disebabkan itu juga, gajinya disekat dan pada masa sama dihalau keluar dari tempat tinggalnya.

Pada awalnya, tidak menjadi masalah buatnya kerana masih mampu tinggal di dalam kereta, namun apabila kerap sakit dan mengalami masalah buah pinggang, kehidupannya semakin menjadi terdesak.

Selama tempoh sebulan itu, Jewel juga hampir mati di kawasan letak kereta yang menjadi tempat tinggal sementaranya sebelum kembali menyanyi.

BACA INI JUGA: Selebriti Hollywood Yang 'Menyesal' Tolak Watak Penting

Sumber: Hmetro