Monday, July 11, 2016

Tak Sangka Lukisan Tersimpan Dalam Stor Bernilai RM535 Juta!

Tak Sangka Lukisan Tersimpan Dalam Stor Bernilai RM535 Juta!

Pakar menganggarkan sebuah lukisan yang dijumpai di ruang bumbung sebuah rumah dua tahun lepas bernilai sekurang-kurangnya RM535 juta.

Michelangelo Merisi - Caravaggio [2]

Menurut Laporan ABC, lukisan yang dijumpai di Perancis tersebut merupakan hasil tangan Michelangelo Merisi bertajuk Caravaggio, kata pakar dari Perancis.

"Ia bernilai sekurang-kurangnya 120 juta euro (RM535 juta)," kata Eric Tarquin.

Lukisan tersebut didakwa dilukis di antara tahun 1604 hingga 1605 di Rom.

Michelangelo Merisi - Caravaggio
Pakar memegang imej imbasan x-ray lukisan Caravaggio.

Pemilik rumah tempat lukisan tersebut dijumpai langsung tidak mengetahui kewujudan lukisan tersebut di rumah mereka.

"Mereka mahu memeriksa kebocoran pada bumbung rumah, jadi mereka memasuki bahagian bumbung (attic) dan membuka sebuah pintu yang mereka sendiri tidak pernah buka.

Michelangelo Merisi
Michelangelo Merisi.

"Dalam bilik tersebut, mereka terjumpa lukisan Caravaggio. Ia sangat menakjubkan," kata Eric.

Penemuan lukisan Caravaggio kini dianggap antara penemuan menakjubkan dalam sejarah seni dunia.

BACA INI JUGA: Top 5 Lukisan Paling Menyeramkan Di Dunia

Sumber: SH

Penyakit Yang Sering Berlaku Apabila Datangnya Hari Raya

Penyakit Yang Sering Berlaku Apabila Datangnya Hari Raya

Ada tiga penyakit yang umumnya meningkat usai lebaran. Berikut penjelasannya, kata seorang doktor iaitu Karin Wiradarma yang dipetik daripada portal Klik Dokter.

Batuk dan Selesema

Batuk dan Selesema

Sering berlaku disebabkan oleh penyakit ‘common cold‘. Ia disebabkan oleh virus, yang  menyerang apabila daya tahan tubuh sedang lemah, badan tidak fit, lelah dan kurang tidur.

Gejala penyakit ini antara lain adalah demam ringan, batuk, selesema, bersin, hidung berair, hidung tersumbat dan tekak gatal.

Virus yang menyebabkan common cold sangat cepat menular – terutama apabila anda bertemu dengan ramai orang sekaligus.

Berhubung dengan orang – seperti bersalaman – atau memegang benda yang dijangkiti virus juga dapat menyebabkan penularan penyakit ini. Penyakit ini lebih mudah menular apabila anda jarang mencuci tangan.

Apa yang anda perlukan untuk mengatasi penyakit ini adalah mendapat istirahat yang cukup, makan makanan bergizi, cukupi keperluan cecair badan harian dan jika perlu makan multivitamin untuk mempercepatkan pulihnya daya tahan tubuh.

Cirit-birit

Cirit-birit

Anda dikatakan terkena cirit-birit apabila buang air besar lebih daripada tiga kali sehari, dengan konsisten atau cair. Cirit-birit dapat disebabkan oleh beberapa perkara.

Antaranya mengambil makanan yang merangsang perut seperti makanan pedas, asam, soda dan mengandungi terlalu banyak minyak.

Cirit-birit juga disebabkan oleh makan makanan yang kurang bersih atau dijangkiti kuman. Selain itu, anda juga dapat mengalami cirit-birit apabila alergik atau tidak tahan terhadap makanan tertentu.

Selain kerap buang air besar dan cecair yang konsisten, penyakit ini juga dapat mengakibatkan demam, mual-mual, muntah-muntah, kembung, dan nyeri perut.

Penyakit Metabolik Degeneratif

Kolesterol tinggi

Hidangan yang kerap disajikan setiap kali hari raya rata-rata adalah makanan yang bersantan, banyak minyak, makanan yang digoreng dan juga hidangan yang manis.

Apabila tidak berhati-hati, menu makanan tersebut boleh menyebabkan orang pulang dengan mendapat penyakit metabolisma degeneratif seperti kolesterol tinggi dan diabetes.

Kolesterol yang tinggi akan meningkat apabila mengambil banyak makanan yang mengandungi lemak, santan, dan minyak.

Anda harus mengenali jenis-jenis makanan yang kandungan kolesterolnya tinggi, antaranya kuning telur, keju, daging merah, udang, telur puyuh dan organ (seperti paru, hati, limpa).

Makanan manis seperti gula-gula, kuih-muih boleh menyebabkan kadar gula, darah meningkat apabila kerap diambil.

Pengambilan gula berlebihan akan meningkatkan risiko diabetes. Disarankan agar memeriksa kadar kolesterol dan gula dalam darah anda selepas lebaran.

Apabila kadar hanya meningkat sedikit, anda tidak perlu mengambil ubat, cukup membaiki pola pemakanan dengan makanan sihat, lakukan senaman secara rutin minimum 3 kali seminggu, dan tidur cukup 7-8 jam sehari.

Apabila kadar kolesterol atau gula anda jauh daripada batas maksimum, atau perubahan gaya hidup belum membuahkan hasil, baharulah mengambil ubat untuk menurunkan kadar kolesterol dan gula dalam darah.

BACA INI JUGA: Daun Rerama, Daun Ajaib Penawar Penyakit Kronik!

Sumber: Mynewshub.cc

Video Ngeri Victor Barrio Matador Popular Sepanyol Maut Dirodok Lembu!

Video Ngeri Victor Barrio Matador Popular Sepanyol Maut Dirodok Lembu!

Seorang matador popular Sepanyol, Victor Barrio maut selepas dirodok lembu ketika membuat persembahan di hadapan penonton di sebuah gelanggang di Madrid, minggu lalu.

Victor Barrio

Victor cedera parah apabila tanduk lembu jantan seberat 500 kilogram menusuk dan merabakkan bahagian dadanya selepas dia terjatuh ketika melakukan aksi yang menjadi rutin biasanya.

Matador berusia 29 tahun itu disahkan mati di tempat kejadian.

Berpengalaman menjadi matador sejak 2008, kematian Victor merupakan insiden pertama menimpa matador selepas 31 tahun.

BACA INI JUGA: Lelaki Buta Yang Melihat Dengan Bunyi!


Sumber: Mynewshub.cc

Portugal Juara Eropah 2016, Video Gol Ajaib Éder

Portugal Juara Eropah 2016, Video Gol Ajaib Éder

Forca Portugal! Portugal menewaskan Perancis buat pertama kali dalam tempoh 41 tahun dan 11 perlawanan. Mereka juga menjadi penghalang Perancis untuk menang 3 kejohanan besar berturut-turut di Paris.

Portugal Juara Eropah 2016

Mereka berjuang hampir 100 minit tanpa kapten Cristiano Ronaldo dan ia adalah kejuaraan besar pertama yang dimenangi Portugal dalam sejarah bolasepak mereka.

Separuh masa Pertama

Portugal dan Perancis memulakan perlawanan di Stade De France dengan tempo sederhana. Perancis mengancam kubu Portugal lebih awal, clearance oleh Fonte gagal dirembat kemas Sissoko.

Kesilapan Pepe membuatkan pertahanan Portugal panik dan Griezmann hampir menjaringkan gol melalui tandukan bebas.

Perlawanan menjadi sedikit emosi apabila Cristiano Ronaldo yang dikasari Payet. Beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-24 dan digantikan dengan Ricardo Quaresma.

Ronaldo yang sebelum itu 2 kali meminta rawatan kali ini akur beliau harus keluar. Ronaldo memberikan lilitan kapten kepada Nani.

Ronaldo+Injured

Portugal menukar formasi kepada 4-1-4-1 yang kelihatan agak lemah untuk mengancam pasukan Perancis. Mereka agak sukar untuk menyerang dengan Nani sebagai False 9.

Pada 15 minit terakhir separuh masa pertama, Perancis turut berhempas pulas untuk mendapatkan gol pertama. Portugal berjaya menyerang ke kubu Perancis namun tidak ada penyudah.

Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan 0-0 dan cuma 3 cubaan tepat sahaja dihasilkan kedua-dua pasukan.

Separuh Masa Kedua

Pada separuh masa kedua, perlawanan masih sukar buat kedua pasukan. Moussa Sissoko banyak memberikan ancaman dan melakukan satu rembatan deras dari jarak jauh.

Deschamps memasukkan Coman dan mengeluarkan Payet untuk lebih aktif di bahagian sayap. Coman mencipta peluang kepada Giroud pada minit ke-75 namun masih gagal disempurnakan.

Portugal melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan Eder. Portugal bermain dengan 4-3-3 dan hampir mendapat gol hasil hantaran Nani yang hampir masuk.

Quaresma

Aksi akrobatik oleh Quaresma mencemaskan pintu gol Perancis namun diselamatkan Hugo Lloris yang beraksi cemerlang sepanjang malam.

Giroud dikeluarkan dan Gignac melakukan cubaan yang paling hampir untuk gol pertama dalam perlawanan ini pada minit ke 92 namun terkena tiang setelah menewaskan pertahanan dan penjaga gol Portugal.

Masa Tambahan Pertama

Perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. Pepe berpeluang menjaringkan gol pendahuluan namun sudah pun ofsaid.

Keletihan dan tekanan jelas dirasakan para pemain. 3 kad kuning oleh kedua dua pasukan dalam tempoh 5 minit pada 10 minit pertama masa tambahan.

Eder

Guereirro mengambil sepakan penjuru dari arah kanan. Tandukan Eder pada minit ke 103 diselamatkan oleh Hugo Lloris.

Masa Tambahan Kedua

Eder [2]

Portugal menampakkan karakter lebih baik. Sepakan percuma Quaresma pada minit ke 107 terkena palang gol.

Gol kejuaraan mereka hadir seminit kemudian, minit ke-108 melalui penyerang simpanan mereka Eder yang merembat dari luar kotak penalti, menjadi gol kemenangan Portugal yang gagal dibalas oleh Perancis.

Perancis cuba mencari gol penyamaan di saat-saat akhir namun mereka terlalu tumpul di hadapan pintu gol kali ini.

Saksikan video dibawah..

Tahniah Portugal!

BACA INI JUGA: Zlatan Ibrahimovic 'Datang Seperti Raja, Pergi Sebagai Lagenda'


Sumber: Semuanyabola

Penculikan Terbaru Di Lahad Datu, Tiga Rakyat Indonesia Diculik!

Penculikan Terbaru Di Lahad Datu, Tiga Rakyat Indonesia Diculik!

Tiga warga Indonesia dipercayai diculik lima lelaki bersenjata di Lahad Datu, lewat malam Sabtu, kes penculikan terbaharu yang menggemparkan dunia.

Kumpulan-Abu-Sayyaf

Kesemua mangsa dipercayai diculik dari sebuah kapal tunda kira-kira pukul 11.40 malam Sabtu, 9 Julai 2016.

Pada 20 Jun lalu, tujuh anak kapal warga Indonesia diculik kumpulan Abu Sayyaf di Laut Sulu.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan militan yang terkenal dengan kegiatan penculikan warga asing serta menuntut wang tebusan yang tinggi.

Pada April lalu kumpulan tersebut turut menculik empat rakyat Malaysia di perairan sama tetapi kesemua mangsa dibebaskan bulan lalu.

Anak Osama bin Laden Mahu Teruskan Perjuangan

Hamza bin Laden

Sementara itu, anak lelaki pemimpin kumpulan al-Qaeda, Osama bin Laden memberi amaran akan membalas dendam ke atas Amerika Syarikat kerana membunuh bapanya.

Menurut mesej audio yang dimuat naik dalam talian, Hamza bin Laden berikrar akan meneruskan perjuangan global kumpulan militan berkenaan di AS dan negara sekutunya.

Menurut Kumpulan Perisikan SITE, rakaman selama 21 minit itu bertajuk ‘Kami Semua Osama. Kami akan terus menyasar dan menyerang kamu di negara kamu dan di seluruh dunia.”

“Ia adalah tindak balas terhadap penindasan ke atas penduduk Palestin, Afghanistan, Syria, Iraq, Yaman, Somalia dan wilayah Islam lain yang tidak berupaya melawan penindasan kamu,” kata Hamza.

“Tindakan ini bukan untuk Osama, tetapi sebagai membalas dendam bagi pihak mereka yang mempertahankan Islam.”

Osama dibunuh sekumpulan komando Amerika Syarikat di tempat persembunyian di Pakistan pada 2011 dan ia adalah tamparan hebat terhadap kumpulan militan yang melakukan serangan 11 September tahun 2001.

BACA INI JUGA: Dulu Hero Bantu CIA Bunuh Osama, Kini 'Mereput' Dalam Penjara!

Sumber: mStar/Reuters/BH

Sunday, July 10, 2016

Cara Mudah Hindari Semut Masuk Ke Dalam Rumah

Cara Mudah Hindari Semut Masuk Ke Dalam Rumah

Nampak macam tak beberapa yakin, tapi tak salah mencuba tips kali ini yang dipetik daripada akaun Facebook Aini Yusof Lee

Semut kerana gula.jpg

Mari kita ikuti perkongsian ini.

Sejak 2 bulan lepas baby indah ni suka campak botol susu, habis melekit-lekit lantai dengan susu dia.

Semut pun mula la datang entah dari mana, satu kerja pulak nak sapu keluar semut semut ni dan nak mop lantai banyak kali. Nak racun semut-semut ni memang tak smpai hati..

Akhirnya saya pergi beli sekilo gula. Setengah kilo letak dalam pinggan, letak kat koridor.

Saya pesan kat semut, "Setengah kilo aku bagi korang, setengah kilo lagi aku punya, dalam rumah tu tempat aku, luar rumah ni tempat korang, nanti dah habis aku beli lagi, kita kongsi."

Tak payah tunggu lama. Lepas seminggu semut habis berjemaah keluar. Dah dekat sebulan gula dalam pinggan ni tak habis habis lagi dan semut pun tak ada dah dalam rumah.

Korang boleh cuba juga, berkesan..

BACA INI JUGA: Doa Memanggil Ikan Untuk Kaki Pancing

Sumber: Lamankongsi

Saturday, July 09, 2016

10 Pekerjaan Dengan Gaji Tertinggi Di Malaysia

10 Pekerjaan Dengan Gaji Tertinggi Di Malaysia

Dalam kaji selidik untuk Panduan Gaji Hays Asia baru-baru ini, didapati 53% rakyat Malaysia mempertimbangkan gaji dan faedah sebagai keutamaan ketika memilih kerja.

Kerja+Terbaik.jpg

Sebagai tambahan, iMoney melaporkan rakyat Malaysia juga melihat cabaran baharu dan kemajuan dalam kerjaya sebagai antara faktor penting apabila mempertimbangkan pekerjaan.

Kebanyakan rakyat Malaysia juga merasakan mereka tidak dibayar gaji yang mencukupi. Tetapi ini bukan hanya dalam kalangan rakyat Malaysia – hampir semua pekerja di dunia berperasaan yang sama seperti itu.

Kaji selidik yang dijalankan Salary Explorer mendedahkan rakyat Malaysia memperoleh markah hanya 2.42 dalam kepuasan gaji, tinggi sedikit saja daripada purata dunia iaitu 2.36.

Kaji selidik JobStreet berhubung kepuasan kerja pekerja di Malaysia menunjukkan daripada segi gaji, sebanyak 61% responden berpendapat gaji mereka rendah dan tidak cukup untuk kelangsungan hidup.

10 Pekerjaan Dengan Gaji Tertinggi Di Malaysia

Pakar Bedah Ban Ketua Pegawai Kewangan

Pekerjaan dengan gaji paling tinggi di Malaysia ialah pakar bedah dan ketua pegawai kewangan. Kedua-dua pekerjaan itu menawarkan kira-kira RM70,000 gaji bulanan.

Pengarah Pemasaran

Yang kedua tertinggi, menurut Salary Explorer, ialah jawatan pengarah pemasaran dengan gaji RM55,000 sebulan.

Penyelidik Klinikal

Portal yang membuat perbandingan pendapatan itu meletakkan penyelidik klinikal dalam bidang farmaseutikal dan biomedik, di tempat keempat, dengan gaji RM52,917 sebulan.

Broker Hartanah

Ini diikuti dengan broker hartanah dengan gaji RM50,000.

Pengarah Pengurusan Risiko

Pengarah pengurusan risiko dalam industri insurans (RM40,111).

Pengarah Strategi

Pengarah strategi dalam organisasi perniagaan berada di tempat ketujuh, memperoleh RM30,000.

Juruterbang

Juruterbang dengan gaji RM29,375 sebulan di tempat kelapan.

Pengarah Perkhidmatan Guaman

Pengarah perkhidmatan guaman di tempat kesembilan dengan RM29,083.

Pengurus Operasi Elektrik dan Gas

Pengurus operasi elektrik dan gas dalam industri minyak dan gas membawa pulang RM27,000 sebulan, yang meletakkan pekerjaan itu di tempat ke-10 dalam senarai kerja berpendapatan tinggi di negara ini.

Kesimpulan

Semua 10 pekerjaan diatas memerlukan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman bertahun-tahun. Mereka juga berada dalam bidang yang kurang persaingan.

iMoney menyatakan antara alasan mengapa pekerjaan itu menawarkan gaji tinggi ialah ia membabitkan masa kerja yang panjang, tanggungjawab terhadap pekerja bawahan, kekerapan ke luar daerah dan waktu rehat tetapi perlu sentiasa ‘stand-by’ yang panjang serta tahap tekanan sentiasa tinggi.

BACA INI JUGA: Kisah Mr Vios Dan Pakcik Kaya

Sumber: FMT

Friday, July 08, 2016

26 Sifat Sombong Yang Kita Sering Amalkan!

26 Sifat Sombong Yang Kita Sering Amalkan!

Ada 26 tanda-tanda sifat sombong yang adakalanya tanpa kita sedari selalu kita amalkan.

Sombong

Ingatlah, jangan kita bersifat sombong terhadap orang lain kerana orang sombong tidak akan masuk ke dalam syurga.

1. Orang sombong payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang lain itu lebih baik daripadanya.

2. Orang sombong mudah marah bila berlaku perbincangan dua hala. Cepat naik darah kalau ada kesilapan.

3. Orang sombong memilih kawan dan suka berkawan dengan orang yang sama taraf dengannya saja.

4. Bahkan dengan orang yang sama taraf dengannya pun masih dipilih-pilih lagi, yakni dia suka orang yang mahu mendengar kata-katanya sahaja.

5. Orang sombong memandang hina kepada orang bawahan.

6. Orang sombong ketika dalam perbincangan, suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.

7. Orang sombong ketika dalam perbincangan, dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan dituruti. Sebaliknya, dia sendiri sukar hendak mendengar pendapat orang lain.

8. Orang sombong di dalam pergaulannya, dia sahaja yang bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang lain.

9. Orang sombong kalau menjadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut dan orang bawahannya.

10. Orang sombong sukar memberikan kemaafan kepada orang lain yang tersilap dengannya.

11. Orang sombong kalau dia bersalah sukar hendak meminta maaf.

12. Orang sombong suka dihormati.

13. Orang sombong suka menzalimi samada secara halus ataupun kasar.

14. Orang sombong kurang mesra dengan orang lain kecuali terpaksa kerana memerlukan orang itu.

15. Orang sombong suka memperkatakan keburukan orang dengan mengumpat, memfitnah serta membenci orang lain.

16. Orang sombong kurang menghormati pemberian orang lain.

17. Orang sombong suka menceritakan kelebihan diri sendiri.

18. Orang sombong suka menghina dan menjatuhkan air muka seseorang di hadapan orang lain.

19. Orang sombong kurang mensyukuri nikmat Allah SWT. Kalau ada pun, dibazirkan.

20. Orang sombong kalau berdiri lebih suka bercekak pinggang. Kalau bercakap menepuk-nepuk meja.

21. Orang sombong kurang memberi simpati kepada orang lain kecuali dengan tujuan sebaliknya.

22. Orang sombong tidak suka menerima tetamu atau tidak suka menjadi tetamu orang lain.

23. Orang sombong tidak suka menyebut kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.

24. Orang sombong suka membesar-besarkan kesalahan orang lain sedangkan kesalahan diri sendiri didiamkan.

25. Orang sombong tidak senang dengan kejayaan orang lain.

26. Orang sombong sangat tersinggung jika disebut kelebihan orang lain didepannya tetapi jika dipuji, dia sangat gembira.

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya mempunyai sifat sombong walaupun sebesar biji sawi." Hadis riwayat Muslim

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Tanda Kamu Ego, Perasan Bagus!

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, July 07, 2016

'Ajal Kamu Pada Malam Ke-13!'

'Ajal Kamu Pada Malam Ke-13!'

Penggubah muzik terkenal Austria, Arnold Schoenberg, sangat percaya kepada numerologi, iaitu tilikan untung nasib manusia berdasarkan nombor.

Arnold Schoenberg.JPG

Lahir pada 13 September 1874, Arnold percaya bahawa angka 13, yang sejak turun-temurun dianggap sebagai nombor sial, mempunyai peranan besar terhadap kematiannya.

Arnold pernah memberitahu sahabat-sahabatnya, nombor 7 dan 6 kalau dicampur menjadi 13.

Berdasarkan tilikannya, penggubah muzik itu percaya sesuatu akan berlaku dan merenggut nyawanya apabila menjelang usianya 76 tahun.

Setelah meneliti dan mengkaji nombor-nombor serta tarikh yang tertera di dalam kalendar pada tahun 1951, Arnold melihat tarikh 13 Julai akan jatuh pada hari Jumaat.

Tarikh itu bagi Arnold adalah hari yang amat berbahaya kepada nyawanya, yang akan melangkah ke usia 76 tahun. Dia perlu bersiap-sedia!

Maka, apabila tarikh itu tiba, Arnold tidak melakukan apa-apa aktiviti kecuali berbaring saja diatas katil bagi mengelakkan berlaku kemalangan yang boleh mengancam nyawanya.

Siang berlalu dengan sempurna sehinggalah matahari terbenam. Sejurus sebelum tengah malam, isteri Arnold datang ke bilik penggubah muzik itu.

Isterinya menasihatkan suaminya supaya jangan percaya kepada perkara-perkara karut. Ia hanyalah sekadar nombor.

Isterinya menasihatkan supaya jangan risau dan tiada apa yang akan menyebabkan Arnold mati kerana dia berada di tempat dan situasi yang benar-benar selamat.

Arnold menoleh ke arah isterinya, kemudian membisikkan perkataan 'Harmoni'.

Rupa-rupanya itulah kata-kata terakhir Arnold kerana sejurus kemudian dia memejamkan mata dan terus meninggal dunia!

Jam di dinding ketika itu menunjukkan pukul 11.47 malam, yang jika semua angka itu dicampur akan menjadi 13.

13 minit lagi menjelang pukul 12 malam sebelum masuknya tarikh 13 Julai, dua bulan sebelum hari lahir ke 76 Arnold.

BACA INI JUGA: Misteri Rayuan Roh Pulau Poveglia

-SENTIASAPANAS.COM

'Bintang Baru Telah Muncul!'

'Bintang Baru Telah Muncul!'

Maharaja Khai Feng memandang ketua ahli kaji bintang istana, Yang Wei-Te, yang datang menghadap pagi itu.

Supernova
Supernova - Gambar hiasan.

"Apa tujuan kedatanganmu, Wei-Te?" tanya maharaja.

"Saya nampak sebutir lagi bintang baru, tuanku," kata Yang Wei-Te dengan bangga.

Malam itu, pada tahun 1054 Masihi, baginda dan seluruh rakyat China mendongak ke dada langit, mengikut arah yang dituding Yang Wei-Te.

Betul, dicelahan bintang-bintang yang halus berkerlipan itu, terdapat satu kilauan cerah yang lebih besar berbanding lainnya.

Ia menyala-nyala mengalahkan bintang-bintang lain, malah cahayanya yang berwarna putih kemerah-merahan itu boleh dilihat dengan mata kasar pada siang hari.

"Tahniah!" ucap maharaja kepada Yang Wei-Te.

"Catatkan penemuan bintang baru ini dalam bukumu," perintah maharaja.

Bintang baru? Salah.

Sebenarnya, apa yang dilihat itu bukanlah penemuan sebutir bintang baru, tapi kemusnahannya.

Apa yang mereka saksikan ialah letupan sebuah bintang besar, yang dipanggil supernova dalam buruj Taurus.

Kerdipan cahaya 'bintang baru' itu kemudiannya pudar sedikit demi sedikit dan langsung hilang sebulan kemudian.

'Bungkusan' gas yang terang-benderang akibat daripada letupan itu terus membesar dalam semua arah dengan kadar kelajuan 1,100 kilometer sesaat.

Saiznya cukup besar, diselimuti awan putih berkilauan, hujungnya dipenuhi filamen-filamen berenda berwarna merah.

Kehadiran 'bungkusan' gas sisa letupan supernova itu dapat dilihat dengan lebih jelas apabila terciptanya teleskop.

Crab Nebula
Crab Nebula.

Ahli astronomi Perancis, Charles Messier, yang menemuinya pada 1758, menamakannya, Messier I.

Bidang astronomi terus berkembang, teleskop lebih besar dan canggih dicipta.

Pada 1840an, ahli kaji bintang amatur Ireland bernama William Parsons menggunakan teleskopnya di Birr Castle, Ireland untuk melihat dengan lebih jelas wajah sebenar nebula itu.

Berdasarkan bentuknya yang seperti ketam, dia menamakannya sebagai Crab Nebula dan terus kekal dengan gelaran itu sehingga kini.

Apabila malam menjelang, perhatikanlah keindahan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit kerana itulah bukti betapa agungnya ciptaan Tuhan Yang Maha Agung.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Misteri Friday The 13th Masyarakat Barat

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, July 06, 2016

7 Sunnah Dan 7 Kesilapan Menyambut Hari Raya

7 Sunnah Dan 7 Kesilapan Menyambut Hari Raya

Ramadhan telah sampai ke penghujungnya dan apa yang kita harapkan ialah semoga dipertemukan Ramadhan yang akan datang.

Kesilapan+Menyambut+Hari+Raya+Aidilfitri.jpg

Paling penting ialah semoga Allah menerima segala ibadah, amalan, amal jariah yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan dan semoga kita sentiasa berubah untuk jadi lebih baik.

Tibanya Syawal, ada beberapa perkara sunnah dan kesilapan di hari Raya yang perlu kita ambil tahu.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa perkara sunnah dan kesilapan dari Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman yang saya petik dari blog lovingcarehealthylife yang selama ini kita anggap remeh supaya kita boleh pratikkan sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini dan hari-hari seterusnya.

Sunnah Hari Raya
  1. Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat aidilfitri.
  2. Menjamah makanan sebelum keluar.
  3. Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV serta bermain mercun.
  4. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain. Disebut dalam sebuah riwayat telah diucapkan kepada baginda nabi "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab "ya taqabballahu minna wa minka."
  5. Memakai pakaian terbaik yang ada.
  6. Mennukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi)
  7. Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti.

Kesilapan Di Hari Raya
  1. Sentuhan dan bersalaman antara bukan mahram.
  2. Aurat dan ipar; Ipar duai yang tidak menjaga aurat antara satu sama lain.
  3. Pakaian wanita; Berpakaian tidak menutup aurat.
  4. Kubur; Duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin dan tidak menutup aurat dengan sempurna (bagi wanita)
  5. Meninggalkan solat.
  6. Kembali lakukan maksiat.
  7. Sambut raya dengan hiburan melalaikan.

Antara adab dan sunnah Nabi s.a.w yang lain ialah:

Jubair bin Nufair r.a berkata bahawa apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain, "Semoga Allah menerima (ibadat) kami dan (ibadat) kamu." Hadis Riwayat Ibnu Hajar

'Waminka’ boleh ditukar kepada ‘waminkum’ untuk diucapkan kepada orang ramai.

Jadi dengan adanya senarai sunnah dan kesilapan di Hari Raya, semoga kita sama-sama amalkannya tidak kira di rumah sendiri, di kampung halaman, di rumah sanak saudara dan di rumah terbuka.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca yang beragama Islam dan memohon maaf kerana pasti ada terkasar bahasa sepanjang penulisan yang telah mengguriskan hati anda dan ribuan terima kasih kerana masih setia membaca setiap entry di blog saya ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin :)

'Hiasi Perayaan Ini Dengan Taqwa Dan Istiqamah'

BACA INI JUGA: Berpuasa Tanpa Solat Ibadah Sia-sia