Wednesday, May 25, 2016

Bintang Bola Sepak Dunia Yang 'Gagal' Sebagai Jurulatih

Bintang Bola Sepak Dunia Yang 'Gagal' Sebagai Jurulatih

Tidak ramai pemain yang berjaya dan cemerlang pada zaman kegemilangan bola sepak mereka dan berjaya sebagai pengurus selepas bersara.

Berikut adalah antara bekas bintang dunia yang gagal.

Diego Maradona

Diego Maradona.jpg

Siapa yang tidak kenal dengan pemain bertubuh rendah dari Argentina ini?

Bintang yang terkenal dengan aksi 'tangan tuhan' ini dipilih menjadi pengendali skuad kebangsaan Argentina pada 2008 yang sebelumnya mengemudi kelab kurang terkenal seperti Mandiyu dan Racing Club pada 90an.

Walaupun berjaya membawa Argentina layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, pasukan itu diaibkan Jerman 0 - 4 dalam perlawanan suku akhir.

Selepas meninggalkan kerusi panas di Argentina, Maradona berkhidmat pula dengan Al-Wasl di Emiriah Arab Bersatu dengan matlamat membawa kelab berkenaan menjadi lebih megah.

Kira-kira 14 bulan kemudian Maradona meninggalkan Al-Wasl dan kelab itu berada di tempat kelapan, ketinggalan 29 mata daripada pendahulu, Al-Ain.

Paul Gascoigne

Paul Gascoigne.jpg

Pemain serba boleh di zaman gemilangnya, namun bertukar menjadi individu bermasalah selepas bersara.

Pernah beraksi untuk England sebanyak 57 kali dan bermain dengan Newcastle, Tottenham dan Lazio, Gascoigne menguruskan sebuah kelab tidak ternama, Kettering, namun meninggalkan tugas itu 39 hari kemudian.

Di bawah Gascoigne, Kettering memenangi dua perlawanan, dua seri dan dua kalah.

Kini menetap di Poole, Gascoigne masih bergelut dengan masalah ketagihan arak serta gangguan mental.

Bobby Charlton

Bobby Charlton.jpeg

Sebagai pemain Charlton, dia memenangi tiga kejuaraan liga Inggeris, satu Piala Eropah dan satu-satunya Piala Dunia pernah dirangkul England.

Sebagai pengurus, Charlton diberi kepercayaan mengendalikan kelab Preston tetapi hanya sempat bertugas selama semusim dengan peratusan rekod kemenangan hanya 33 peratus daripada 99 perlawanan.

Dia juga sempat menjadi pengurus sementara bagi kelab Wigan Athletic pada 1983.

Di bawah Charlton, Wigan hanya menang dua daripada sembilan perlawanan. Namun dia bernasib baik kerana kemudiannya dilantik sebagai pengarah kelab berkenaan.

Lothar Matthaus

Lothar Matthaus.jpg

Seorang lagi pemenang Piala Dunia.

Pemain tengah Jerman ini dikenali sebagai atlet berwibawa dan pernah diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan kebangsaan.

Dari satu sisi, kehidupannya agak menarik. Matthaus pernah berkahwin sebanyak lima kali dan pernah membimbing lapan kelab termasuk pasukan kebangsaan, bermula dengan pasukan Austria, Rapid Wien.

Kemudian, dia melatih Atletico Paranaense (Brazil), Partizan (Serbia) serta pasukan kebangsaan Hungary dan Bulgaria adalah antara koleksi skuad yang penah mendapat bimbingannya.

Hristo Stoichkov

Hristo Stoichkov.jpg

Penjaring terbanyak Piala Dunia 1994 dan pemain terbaik dunia - pada tahun sama - Stoichkov turut dikenang sebagai pengurus panas baran.

Sebagai pengurus, Stoichkov selalu berkelahi dengan pemainnya sendiri. Stoichkov pernah mengaku secara terbuka bahawa dia "tidak percaya kepada taktik" untuk mencapai kemenangan.

Membawa imej sebagai pemain terbilang, bekas pemain kebangsaan Bulgaria itu gagal membawa pasukan negaranya layak ke Piala Dunia 2006 dan Piala Eropah 2008 selapa tiga tahun berkhidmat sebagai pengurus.

Ketika berada seketika di Celta Vigo, Stoichkov membawa kelab tersebut jatuh ke bahagian bawah liga.

Dia kemudian menabur khidmat - yang gagal dikenang sesiapa - untuk kelab Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan), Litex Lovech dan CSKA Sofia (kedua-duanya Bulgaria).

Bobby Moore

Bobby Moore.jpg

Diketepikan daripada tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada 1977 dan kelab Watford pada tahun sama, Moore adalah ketua pasukan England yang mencipta sejarah memenangi Piala Dunia.

Dia kemudian bertugas sebagai pengurus kelab Oxford dengan Harry Redknapp sebagai pembantu.

Moore juga pernah bertugas dengan kelab Hong Kong, Team Eastern AA sebelum kembali ke negara asalnya untuk mencuba nasib di kelab Southend United pada 1984.

Pada musim pertama sebagai pengurus, Southend United nyaris hilang kelayakan bertanding kerana dibelenggu masalah kewangan.

Di hujung musim, kelab itu akhirnya berada di kedudukan kesembilan liga.

Pemerhati berpendapat lagenda West Ham United itu sebenarnya lebih layak menjadi pengarah kelab berbanding pengurus.

Alan Shearer

Alan Shearer.jpg

Digelar "mesin penjaring gol" untuk kelab Blackburn Rovers, Newcastle dan pasukan kebangsaan England, tiada kenangan manis untuk Shearer sebagai pengurus pada musim 2008/09.

Dan Newcastle adalah satu-satunya kelab diuruskan Shearer.

Dia dibawa ke kelab itu kononnya untuk menyelamatkan Newcastle yang berdepan nasib terumbang-ambing dalam liga.

Namun, daripada lapan perlawanan dilaluinya, kelab itu hanya mencatat satu kemenangan. Newcastle kemudian tersingkir ke liga bawah.

Paul Ince

Paul Ince.jpg

Bintang Manchester United dan Inter Milan yang disegani sebagai pemain. Dia dikenang kerana berjaya menyelamatkan kelab Macclesfield Town daripada tersingkir ke liga rendah dan membawa MK Dons naik ke liga lebih atas, tempoh perkhidmatannya di Blackburn langsung tidak memberangsangkan.

Bersama kelab itu Ince hanya mencipta enam kemenangan daripada 21 perlawanan. Seperti dijangka, dia kemudian dipecat daripada jawatannya.

Dia kembali untuk kali kedua di MK Dons dan gagal lagi. Seterusnya Ince mencuba nasib bersama kelab Notts County.

Ince ditawarkan kontrak setahun bersama Blackpool dan berjaya mengelak kelab itu terperosok ke kelab bawah pada musim pertama perkhidmatannya.

Namun dia diketepikan kemudiannya apabila Blackpool hanya mengutip dua mata daripada 12 perlawanan pada musim berikutnya.

Tony Adams

Tony Adams.jpg

Pemain pertahanan kental ini menghabiskan masa selama 22 tahun bersama Arsenal.

Di kelab itu Adam bermain 669 kali dan memenangi 10 kejuaraan utama, termasuk tiga juara liga pada tiga dekad berbeza.

Malangnya kerjaya Adams sebagai pengurus nampaknya malap.

Khidmatnya bersama Wycombe dan Portsmouth (pada musim 2008/09) gagal meninggalkan kesan ketara.

Dia mengejutkan ramai pihak apabila menerima tawaran menguruskan pasukan kebangsaan Azerbaijan. Selepas 17 bulan, dia kembali ke England.

Bryan Robson

Bryan Robson.jpeg

Kapten paling lama berkhidmat dalam sejarah kelab Manchester United, rekodnya sebagai pengurus tidak sehebat sebagai pemain.

Ketika sesetengah pihak menganggap Robson berjasa selama tujuh tahun bersama Middlesbrough - termasuk menjuarai liga bahagian satu, menjadi finalis dua Piala Liga dan satu Piala FA - pemerhati berpendapat setakat itu sajalah kemampuannya.

Dalam EPL, Robson hanya mampu membawa Middlesbrough ke tempat kesembilan.

Di Bradford, Robson gagal menyelamatkan kelab itu daripada jatuh ke liga bawah. Dia hanya berjaya menyelamatkan West Brom daripada tercicir daripada EPL dan meninggalkan kelab itu pada 2006.

Khidmatnya di Sheffield United pula berakhir hanya selepas sembilan bulan kerana gagal menyinar.

Robson kemudian mencuba nasib menjadi pengendali skuad kebangsaan Thailand.

BACA INI JUGA: Kisah Lagenda Tersohor Alex Ferguson Menjulang Manchester United

Sumber: Malaysiakini

Gambar ‘Hero Misteri’ Lawan Penjahat Dalam Komuter Viral!

Gambar ‘Hero Misteri’ Lawan Penjahat Dalam Komuter Viral!

Nilai kemanusiaan dan sifat baik hati sememangnya sudah sinonim dengan rakyat Malaysia. Begitulah dibuktikan dengan kejadian terbaru apabila seorang 'Hero Misteri' yang kami anggap sebagai hero dalam filem Tamil, bertarung dengan sekumpulan penjahat dan beliau menang!

Hero+misteri - Reena Peter.JPG
Gambar Hero Misteri.

Satu insiden yang menimpa wanita dikenali sebagai Reena Peter boleh dijadikan contoh, sememangnya wujud hero sebenar di dunia ini, apabila seorang lelaki yang prihatin terhadap keselamatan wanita meskipun tidak mengenali satu sama lain.

Reena menerusi status Facebooknya pada Sabtu lepas berkongsikan kisah ini. Tulisnya:

Reena Peter.png

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lelaki ini kerana menyelamatkan saya dan anak perempuan.

“Petang tadi saya dan anak pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki KTM. Memandangkan hari Sabtu tak ramai orang menggunakan KTM. Kemudian datang satu kumpulan lelaki berniat tidak baik terhadap saya dan anak memandangkan tiada penumpang lain dalam koc kami. Mereka mengugut suruh serahkan wang dan telefon bimbit.

“Tiba-tiba lelaki ini muncul lantas berlawan dengan kumpulan ‘penyangak’ terbabit dan berjaya tumpaskan mereka. Dalam keadaan trauma saya dan anak tak sempat bertanyakan nama dan mengucapkan terima kasih kepada ‘hero’ kami ini.

“Mujurlah anak sempat ambil gambarnya. Jika sesiapa mengenali beliau, tolong sampaikan padanya saya dan anak perempuan ucapkan terima kasih.”

Sikap prihatin dan saling tolong menolong yang dipraktikkan lelaki ini harus dicontohi semua golongan masyarakat.

Boleh dikatakan, inilah hero sebenar kerana beliau tidak takut mempertaruhkan keselamatan sendiri demi orang lain yang memerlukan tanpa mengharap sebarang balasan.

Syabas diucapkan buat brader ini!

BACA INI JUGA: Jet Li, Lagenda Kung Fu Master

Sumber: Mynewshub.cc

Konsert 35 Tahun Search Batal, Tiada Sebab Tipu Yazit

Konsert 35 Tahun Search Batal, Tiada Sebab Tipu Yazit

Bermula dengan harapan dan rasa teruja yang tinggi, akhirnya Search berasa mereka dirugikan oleh pertikaian yang tidak sepatutnya.

Search batal Konsert.jpg

Semuanya gara-gara salah faham mengenai aspek kewangan menjelang konsert 35 Tahun Search yang dijadual pada 30 Ogos ini.

Justeru Search mengarahkan peguam mereka mempertimbangkan apa saja pilihan undang-undang yang ada bagi membersihkan nama baik serta menebus 'kerugian' dialami.

Antara kerugian itu ialah hubungan yang rosak antara ahli kumpulan, serta kemudaratan daripada konflik sedang dialami.

Walaupun tidak menyatakan secara khusus peguam Search Yusmadi Yusoff berkata dia sudah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk meneliti perkara berkenaan.

"Buat masa ini Search kelihatan seperti pihak paling rugi dan ia berlaku pada waktu mereka sepatutnya menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada peminat sempena 35 tahun penubuhan kumpulan berkenaan.

"Saya sedang meneliti aspek perundangan yang boleh diambil terhadap penaja berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Asalnya di Stadium Merdeka

Sebelum itu dalam sidang media di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, kumpulan legenda rock itu menyatakan kekecewaan mereka apabila rancangan mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang berdepan dengan masalah.

Ekoran pertikaian yang berlaku, mereka kemudian menghantar notis untuk membatalkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kumpulan berkenaan dengan syarikat Afjets Sdn Bhd.

Sebelum ini Search dan Afjets mengumumkan rancangan mereka membuat konsert besar-besaran bagi meraikan 35 tahun pembabitan mereka dalam hiburan negara.

Pada asalnya konsert berkenaan dirancang diadakan di Stadium Merdeka namun ditangguhkan.

Ia kemudian diumum akan diadakan di Sepang.

Konflik terjadi apabila pemain dram Search, Yazid, membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan bayaran daripada penaja.

Search kemudian menafikan dakwaan itu dan memberi tempoh 48 jam kepada Yazid untuk meminta maaf secara terbuka atas tuduhan berkenaan.

Yusmadi berkata, menjelang konsert pada Ogos nanti Search sudah memainkan peranan seperti sepatutnya, termasuk menjalankan promosi di media.

"Isunya ialah tindakan pihak penaja memberi kenyataan mengelirukan sehingga menjejas nama baik Search.

"Mereka juga gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penaja seperti terkandung dalam MoU," katanya.

Sementara itu vokalis Search, Amy, berkata pihaknya berasa tawar hati dengan sikap tidak profesional ditunjuk Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Amrul Nizar Anuar dalam pertikaian dengan Yazit.

"Kami sebulat suara mengambil keputusan menarik diri daripada kerjasama itu dengan perasaan kecewa.

"Kolaborasi ini dipandang lebih memudaratkan nama baik Search dan (dibuat selepas) mengambil kira implikasi buruk yang timbul," katanya.

Duit saya berjuta, kenapa perlu tipu Yazit

Yazit.jpg

Tiada sebab untuk menggelapkan wang milik pemain dram Yazit Ahmad kerana pendapatan sedia ada sudah mencukupi, kata vokalis kumpulan Search.

Amy berkata Yazit harus berhenti melemparkan tuduhan Search tidak memberinya wang deposit konsert kerana sudah menerima banyak manfaat daripada rakan kumpulannya.

“Saya ada jutaan ringgit. Ini apa kes? Saya kawan dia, tak akan nak buat dia begitu?

“Jangan cakap kami penipu, tidak pedulikan dia. Dia bukan hidup sebatang kara nak cakap begitu. Dia ada anak-anak yang sudah besar. Ada adik-beradik.

“Cakap macam tidak ada sesiapa, macam kawan-kawan saja yang ada,” katanya kepada ProjekMMO selepas sidang media membatalkan konsert 30 Ogos ini.

Penyanyi lagu “Fantasia Bulan Madu” diminta mengulas dakwaan Yazit tidak menerima bayaran pendahuluan konsert itu, sempena ulang tahun ke-35 Search.

Dalam sidang medianya minggu lepas, Yazit juga mendakwa diabaikan ahli kumpulan itu sepanjang enam tahun menerima rawatan di hospital.

Amy, 57, berkata dakwaan rakannya itu tidak benar kerana kumpulan Search tidak mahu memperlihatkan beliau dalam keadaan sakit kepada umum.

“Saya ada gambar dengan dia di hospital. Saya tidak pernah keluarkan gambar itu kerana saya tidak mahu orang ramai tengok kawan saya dalam keadaan sakit.

“Isteri dia sakit kena batu karang di hospital, isteri saya dan mentua pergi melawat di hospital. Untuk elak bil RM20,000, dia dibawa dari Kuala Lumpur ke Melaka jam dua pagi,” katanya.

Diminta mengulas cadangan Yazit agar satu konsert kebajikan diadakan bagi menampung kos perubatannya, Amy berkata ia bukan satu keperluan.

Katanya, Yazit harus bersyukur masih menjana pendapatan hasil kerja keras ahli-ahli lain Search.

“Kenapa saya nak buat konsert kebajikan untuk dia? Setiap konsert dia dapat duit.

“Masa konsert di Istana Budaya empat malam, dia main empat lagu, dia di atas pentas setengah jam, saya dua jam setengah, saya nyanyi macam hendak mati.

“Dia dapat RM42,000 dengan duit T shirt RM7,000. Tidakkah dia kena bersyukur? Terima kasih kepada kawan-kawan yang cari rezeki,” katanya.

Amy berkata, pertikaian Yazit terhadap ahli kumpulan Search bukan isu baru, malah dia sendiri tidak disukai sejak awal penubuhan kumpulan itu.

Katanya, Yazit harus bersikap matang seiring dengan usia kumpulan rock legenda itu yang sudah 35 tahun.

“Dia tidak pernah setuju bila Hillary Ang hendak bawa saya masuk Search sejak hari pertama. Sejak itu saya tahu dia tidak suka saya.

“Selama perjuangan saya lapan tahun saman Sony, turun naik mahkamah, dia tidak pernah di situ. Dia sibuk mengata saya di belakang.

“Kita sudah 35 tahun. Umur saya sudah dekat 58. Kita tidak sepatutnya cakap begini.

“Kalau saya tidak sihat hari ini, katakanlah saya di hospital, dia dapat apa?” soal Amy, yang ditemani Nordin, pemain gitar Search.

BACA INI JUGA: 'Saya Adalah Pengasas Kumpulan Search'

Sumber: Themalaymailonline

'Lipas' Pelik Berwarna Hitam Dan Merah!

'Lipas' Pelik Berwarna Hitam Dan Merah!

Seorang netizen, Maisy, telah berkongsi penemuan serangga pelik berwarna merah dan hitam yang menyerupai bentuk fizikal lipas.

Red Bugs.jpg

Maisy pada mulanya menyangkakan serangga itu adalah bahan pameran di cermin sebuah pusat beli belah Katong Plaza, Singapura.

Namun, selepas dia menghampiri serangga itu, dia terkejut apabila ia mula bergerak.

“Tak pernah saya lihat serangga macam tu di Singapura. Walaupun serangga ini kelihatan pelik namun ia sangat cantik.

“Hasil carian dalam talian, serangga itu dikenali sebagai Red Bugs atau nama saintifiknya Cenaeus Carnifex.

Ia bersaiz kecil dan sering ditemui hidup berkumpulan secara berpasang-pasangan dan biasanya didapati bertenggek di atas tumbuhan berbunga seperti bunga kertas dan bunga raya,” katanya.

Memang unik dan pelik, ingatkan gambar serangga ni palsu!

Dibawah ini merupakan antara spesis Red Bugs.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Binatang Yang Paling Mahal?

Red Bugs [2].jpg
Red Bugs [3].jpg

Sumber: Mynewshub.cc

13 Lagu Dangdut Diharamkan Di Jawa Barat

13 Lagu Dangdut Diharamkan Di Jawa Barat

Untuk kali pertama sejak dibentuk pada 2004, Suruhanjaya Penyiaran Indonesia Daerah (KPID) Jawa Barat mengeluarkan perintah melarang 13 lagu dangdut daripada dimainkan di wilayah itu.

Jupe - Paling Suka 69.jpg

Lagu yang dilarang ialah:
  1. Paling Suka 69 (Julia Perez)
  2. Hamil Sama Setan (Ade Farlan)
  3. Wanita Lubang Buaya (Mirnawati)
  4. Simpanan (Zilvana)
  5. Mobil Bergoyang (Asep Rumpi dan Lia MJ)
  6. Apa Aja Boleh (Della Puspita)
  7. Hamil Duluan (Tuty Wibowo)

Turut disenaraikan:
  1. Satu Jam Saja (Zaskia Ghotic)
  2. Mucikari Cinta (Rimba Mustika)
  3. Melanggar Hukum (Moza Kirana)
  4. Merem Merem Melek (Ellicya)
  5. Gak Zaman Punya Pacar Satu (Lolita)
  6. Cowok Oplosan (Geby Go)

Sementara itu ada beberapa lagu yang diberi kelonggaran terhad, iaitu:
  1. Belah Duren (Julia Perez)
  2. Cinta Satu Malam dan Aw Aw (Melinda),
  3. Gadis Bukan Perawan (Linda Moy Moy)
  4. Berondong Tua (Siti Badriah)
  5. Janda Rasa Perawan (Varra Sahara)
  6. Geboy Mujaer (Ayu Ting Ting)
  7. Perawan atau Janda (Cita Citata)
  8. Merem Melek (Desi Ning Nong)
  9. Aku Pengen Dipacarin (Diora Anandita)
  10. Jablay (Titi Kamal)

Semua lagu itu hanya boleh disiarkan selepas jam 10 malam.

Mana-mana stesen yang melanggar arahan itu boleh dikenakan hukuman seperti amaran dan penggantungan operasi.

Bagaimanapun larangan itu tidak termasuk di pusat hiburan dan Internet.

Sementara itu panel KPID Jawa Barat, Neneng Athiatul Faiziyah, berkata lagu dangdut berkenaan dihad atau dilarang kerana dianggap mengandungi nilai lucah.

Katanya, jika tidak dikawal dibimbangi ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Perintah larangan itu diedarkan kepada semua operator radio dan televisyen di 27 daerah Jawa Barat.

Larangan itu kemudiannya mengundang reaksi yang pelbagai daripada pendengar. Ketika sebahagian pendengar memuji langkah diambil KPID, sebahagian yang lain memaki-maki sama ada di radio atau di media sosial.

Jupe kecewa Paling Suka 69 dihukum tanpa soal

Jupe - Paling Suka 69 [2].jpg

Selepas lagunya disenarai sebagai satu daripada nyanyian diharamkan, Julia Perez tampil mempertahankan dirinya.

Kata bekas isteri pemain bola sepak kelahiran Argentina itu, pihak berkuasa sepatutnya memaklumkan kepada penyanyi jika sesebuah lagu itu dianggap tidak sesuai disiarkan di media massa.

Bahkan, katanya, lagu yang dipertikaikan itu sudah diubah suai sebelum ini kerana dianggap lucah.

"Jika kita membincangkan sesuatu, ia harus bersandar kepada keadaan terkini.

"Bagaimana saya terus-terusan dihukum sedangkan saya sudah bertaubat?" katanya seperti dilapor media Indonesia hari ini.

Dia yang lebih mudah dikenali dengan panggila Jupe juga berkata sesebuah irama cinta perlu adil untuk menggambarkan suasana yang dilagukan.

"Kalau bercinta memang boleh diceritakan dalam lagu. Kita perlu adil pada semua," katanya.

Sementara itu janda isteri Gaston Castano itu berkata dia tidak pernah menyanyikan lagu Paling Suka 69 itu di televisyen.

Namun dia bersedia menyesuaikan lirik lagu berkenaan jika diarah oleh pihak berkuasa yang memantau aspek penyiaran di Indonesia.

Katanya, ia boleh dilakukan supaya lagu itu tidak diharamkan secara mutlak.

"Saya minta pihak yang berkenaan maklumkan apa yang perlu diperbaiki supaya kita nampak sama-sama cerdas," katanya.

Selain Paling Suka 69 yang termasuk antara 13 lagu diharamkan, satu lagi lagu Julia dikenakan sekatan terhad.

Belah Duren nyanyian Julia, 35, dikategorikan sebagai lagu terkawal dan hanya boleh disiarkan di radio atau televisyen selepas jam 10 malam.

BACA INI JUGA: Penyanyi Dangdut ‘Klepek-klepek’ Dituduh Pelacur Kelas Atasan?!

Sumber: Malaysiakini.com

Siasatan Skandal 1MDB, Singapura Tutup Cawangan Bank BSI

Siasatan Skandal 1MDB, Singapura Tutup Cawangan Bank BSI

Januari lalu, Peguam Negara Switzerland mendedahkan bahawa satu siasatan mengenai 1MDB telah mendapati kira-kira AS$4 bilion atau RM16,000 juta telah diseleweng daripada dana syarikat itu.

BALA+1MDB.PNG

Sehubungan itu, mereka secara rasmi meminta bantuan Peguam Negara Malaysia membantu siasatan terhadap kemungkinan berlaku perlanggaran undang-undang negara itu yang berkaitan dengan sogokan wang kepada pegawai asing, salah laku di pejabat awam, penggubahan wang haram dan dakwaan wujud jenayah salah urus dalam firma tersebut.

Itu berita kira-kira lima bulan yang lalu.

Minggu ini, pejabat Peguam Negara Switzerland mengumumkan telah memulakan prosiding jenayah terhadap Bank BSI SA kerana gagal mencegah kesalahan berkaitan 1MDB.

Mengikut Kanan Jenayah Switzerland, sesebuah syarikat boleh didakwa jika disyaki tidak mengambil semua langkah yang munasabah yang dikehendaki untuk mengelakkan pihak ketiga daripada melakukan kesalahan-kesalahan, terutama berkaitan penggubahan wang haram atau kesalahan rasuah tertentu.

BALA+1MDB [2].PNG

"Maklumat-maklumat yang diperolehi menunjukkan kesalahan penggubahan wang haram dan rasuah oleh pegawai-pegawai awam asing kini disiasat mengikut konteks kes 1MDB boleh dielakkan BSI SA diuruskan sewajarnya," kata pejabat Peguam Negara Switzerland lagi.

Di Singapura pula, susulan tindakan kerajaan Switzerland tersebut, pihak berkuasa kewangan negara itu iaitu MAS atau The Monetary Authority of Singapore telah mengarahkan cawangan Bank BSI di republik itu ditutup.

Penarikan balik status kepada sesebuah bank saudagar oleh kerajaan Singapura ini adalah yang pertama sejak 32 tahun yang lalu.

Alasan penutupan bank itu ialah berkaitan pelanggaran serius atas keperluan anti penggubahan wang haram, pengawasan operasi dan pengurusan yang lemah serta salah laku keterlaluan oleh beberapa kakitangannya.

CEO Bank BSI Switzerland Letak Jawatan Serta-merta

Stefano Coduri.jpg

Ketua pegawai eksekutif (CEO) bank Switzerland BSI Group Stefano Coduri meletakkan jawatan serta-merta, susulan arahan penutupan cawangannya di Singapura oleh pihak berkuasa kewangan republik itu.

Bank itu berkata ia akan bekerjasama penuh dengan siasatan Singapura dan Switzerland, menurut portal kewangan Bloomberg.

Bagaimanapun, OAG menegaskan bahawa tanggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah terpakai.

1MDB Bala Besar

BALA+1MDB [3].PNG

Nah, lihatlah.. besar tak besar bahana 1MDB sekarang sehingga sebuah bank terpaksa ditutup kerananya!!

Masihkah ada yang mahu berbangga dengan 1MDB?

Kiranya apa yang berlaku melibatkan 1MDB itu tidak begitu serius dan tidak juga terlalu memudaratkan, melakukan prosiding jenayah mungkin boleh dianggap perkara biasa, tetapi tentunya luar biasa jika sampai bank juga ditutup berpunca daripadanya.

Daripada sekurang-kurangnya tujuh negara yang sudah melakukan penyiasatan berkaitan 1MDB, negara mana lagi yang akan membawa berita buruk buat Malaysia selepas ini?

Sudahlah dibebankan dengan hutang mencecah RM50,000 juta, 1MDB juga tanpa kesudahan turut mendatangkan aib kepada negara di seluruh pelusuk dunia dengan satu demi satu negara asing menunjukkan kebenaran yang tidak ditemui di negara kita sendiri.

Tentunya juga, selepas tindakan tegas yang diambil oleh Switzerland dan Singapura ini, bala 1MDB pasti akan berterusan lagi yang mungkin melibatkan personaliti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan syarikat pelaburan itu.

Di negara kita, siapa agaknya yang sudah mula kepanasan ketika ini? (SH 25/05/2016).

BACA INI JUGA: Penipuan Dalam 1MDB, Tun Mahathir

Sumber: Shahbudindotcom

11 Fakta Dan Hakikat Sebenar Kerja Petik Buah Di Australia

11 Fakta Dan Hakikat Sebenar Kerja Petik Buah Di Australia

Seringkali kita mendengar ramai rakyat Malaysia berhijrah ke Australia untuk mencari rezeki dan bekerja sebagai pemetik buah. Kadang-kadang kita pula jadi excited dan teringin untuk bekerja di sana kerana kita sering dikhabarkan bahawa gaji yang ditawarkan juga agak lumayan.

Kerja Petik Buah Di Australia.jpg

Dan kalau anda lihat kini di blog-blog dan laman sosial sudah banyak agensi yang menawarkan peluang pekerjaan seperti ini.

Yelah, orang kata gaji yang diberikan lebih lumayan daripada gaji seorang eksekutif di Malaysia. Betul ke?

Kali ini kami akan kongsikan kepada anda 10 fakta dan hakikat sebenar bekerja sebagai pemetik buah di Australia.

Sebelum itu, anda perlu mengetahui dahulu 2 term di bawah untuk memudahkan anda faham apa yang anda baca nanti.

1. Farmer: Tuan empunya tanah ladang di Australia. Beliau merupakan majikan atau bos besar yang akan menentukan segalanya.

2. Kontraktor: Segala urusan kebajikan pekerja, skop kerja adalah di bawah tanggungjawab kontraktor. Mereka telah dibayar oleh farmer untuk menguruskan pekerja-pekerja di bawahnya.

Okay, sudah jelas? Jom scroll down dan baca sehingga habis.

1. Gaji mingguan

Kerja Petik Buah Di Australia [2].jpg

Perkara yang paling ramai sekali nak tahu semestinya bab gaji. Gaji bekerja sebagai pemetik buah di Australia sebenarnya dibayar secara mingguan.

Maknanya, anda akan menerima gaji anda pada hujung minggu. Bagaimana pula bayaran gaji dikira?

Seperti biasa, gaji dibayar mengikut jam. Purata bayaran diberi adalah 12 hingga 14 dollar sejam mengikut kontraktor masing-masing.

Jadi jika dikalikan dengan duit Malaysia paling kurang anda akan terima RM35-RM41 satu jam.

2. Kerja 10 jam sehari

Kerja Petik Buah Di Australia [3].jpg

Bekerja sebagai pemetik buah di Australia memerlukan anda untuk bekerja selama 10 jam sehari. Manakala, cuti paling kurang pun sekali seminggu dan kebiasaannya pada hari Ahad.

Para pekerja di sana akan mula bekerja pada jam 7 pagi hingga 5 petang. Jadi jika dikira-kira pekerja di sana akan peroleh RM350 sehari bersamaan RM2100 seminggu. Jika sebulan? Anda kiralah sendiri.

3. Pergi kerja menaiki van

Kerja Petik Buah Di Australia [4].jpg

Bab transportation pula, kebiasaannya kenderaan disediakan oleh kontraktor kepada pekerja. Kontraktor akan menyediakan beberapa van yang bertugas untuk mengambil semua pekerja pada setiap pagi untuk ke ladang.

Sekiranya kawasan tempat tinggal pekerja agak jauh dari ladang, pekerja akan diambil seawal jam 4 pagi. Ya, memang awal.

4. Melalui kontrak atau bukan kontrak

Kerja Petik Buah Di Australia [5].jpg

Mungkin anda juga pernah dengar, bekerja di sini memerlukan kontrak. Ternyata tidak sama sekali, ianya bergantung kepada farmer dan kontraktor anda.

Ada yang mengambil kontrak selama 6 bulan malah ada juga yang tidak mengambil kontrak langsung. Mereka hanya bekerja mengikut jam dan dibayar gaji mingguan.

Mereka juga tiada masalah jika ingin berhenti on the spot tetapi semuanya adalah bergantung kepada budi bicara pekerja dan kontraktor.

5. Tempat tinggal disediakan

Kerja Petik Buah Di Australia [6].jpg

Tempat tinggal buat pekerja juga disediakan oleh farmer atau kontraktor. Tetapi ianya bukan percuma. Bayaran sewa akan dikenakan oleh kontraktor pada setiap minggu atau bulan.

Terdapat dua cara pembayaran. Pertama, bayaran sewa akan dipotong secara automatik daripada gaji yang diberi. Kedua, sama seperti di Malaysia bayaran sewa dibayar secara bulanan.

Ada juga yang mengenakan bayaran sewa secara mingguan. Purata bayaran sewa adalah 70 hingga 100 dollar seminggu bersamaan RM200 hingga RM300 seminggu. Ianya bergantung pada jenis rumah yang disewa.

Jika bernasib baik, sesetengah majikan juga menyediakan makanan harian buat para pekerjanya.

6. Bukan setakat petik buah sahaja

Kerja Petik Buah Di Australia [7].jpg

Ramai yang salah anggap bahawa bekerja di sana adalah memetik buah semata-mata. Selain buah, tanaman seperti sayur juga ada di sana.

Sebagai pekerja, mereka juga akan melakukan beberapa tugas lain seperti membersihkan ladang, membawa traktor dan sebagainya.

Selain itu, aktiviti pruning (buang daun dan tanam pokok) juga dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan. Senang kata, setiap inci kerja yang ada di ladang itu juga merupakan tugas pemetik buah.

7. Makanan halal mudah didapati

Kerja Petik Buah Di Australia [8].jpg

Selain soal gaji dan kerja, pasti anda juga tertanya-tanya mengenai makanan di sana. Adakah senang untuk mendapat makanan halal dan bagaimanakah caranya?

Menurut sumber yang ada di sana, mereka sungguh mudah untuk mendapatkan makanan halal kerana terdapat banyak kedai atau mini supermarket yang menjual barangan halal di sana.

Lazimnya, peniaga kedai merupakan peniaga muslim yang berasal dari Afghanistan. Jadi tidak menjadi masalah buat pekerja-perkerja di sana untuk mendapatkan daging sembelihan yang halal.

8. Senang peroleh makanan Malaysia

Kerja Petik Buah Di Australia [9].jpg

Anda jangan terkejut. Ini memang benar. Di sana juga agak mudah jika anda ingin mendapatkan makanan produk Malaysia.

Contohnya mi segera dan sos berjenama Maggi, kicap berjenama Kipas Udang dan banyak lagi. Segalanya boleh didapatkan di gerai jualan produk Asia, salah satunya di Hong Kong Supermarket.

Menurut info, Hong Kong Supermarket sememangnya begitu mudah ditemui di sana. Selain Hong Kong Supermarket, terdapat juga beberapa supermarket lain yang menjual produk Malaysia.

Kebiasannya, kontraktor akan membawa para pekerja ke pekan untuk shopping barang keperluan seminggu sekali.

9. Bekerja dengan masyarakat berbilang bangsa

Kerja Petik Buah Di Australia [10].jpg

Bukan sahaja rakyat Malaysia, kebanyakan mereka yang bekerja di sana adalah masyarakat Asia. Antaranya, Burma, Indonesia, Vietnam dan Thailand. Menurut sumber, mereka yang datang dari Burma kebanyakannya adalah pelarian.

Malah, latar belakang pekerja-pekerja di sana juga berbeza-beza. Sesetengah di antara mereka juga mempunyai Ijazah dan Sarjana tetapi berhijrah ke sana untuk memperoleh gaji yang lebih lumayan.

10. Mengganggur apabila musim sudah tamat

Kerja Petik Buah Di Australia [11].jpg

Inilah perkara yang paling ditakuti semua pekerja di sana. Kemungkinan untuk menganggur juga agak besar kerana apabila satu-satu musim tamat, mereka akan kehilangan kerja. Tiada lagi buah yang boleh dipetik.

Bagi mereka yang sudah sedia maklum dan well-prepared dengan keadaan ini, peluang ini diambil oleh mereka untuk melancong.

11. Berhijrah ke daerah lain atau pulang ke tanah air

Kerja Petik Buah Di Australia [12].jpg

Terdapat beberapa daerah dan kawasan ladang yang terkenal di Australia. Antaranya, Springvale, Shepparton, Bendigo dan banyak lagi.

Jadi, keputusan yang diambil oleh pekerja-pekerja di sana, mereka akan berhijrah ke daerah lain bagi mencari peluang pekerjaan. Ini juga sudah menjadi perkara biasa di sana.

Biasalah, kata orang rezeki itu tak datang bergolek. Tetapi, sesetengah daripada mereka ada juga yang mengambil keputusan untuk pulang semula ke tanah air.

good+luck.gif

Jadi macam mana? Sudah berimpian mahu bekerja ke sana? Buat yang berhasrat untuk ke sana kami ucapkan SELAMAT MAJU JAYA!

BACA INI JUGA: Rahsia Jana Wang Dengan UBER Tanpa Perlu Menjadi Pemandu!

-Sentiasapanas.com

Iklan Jawatan Kosong Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2016

Iklan Jawatan Kosong Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2016

Bagi warganegara Malaysia yang berminat dan berkelayakan adalah dipelawa untuk membuat permohonan bagi mengisi jawatan kosong di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Iklan Jawatan Kosong Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Jawatan Yang Boleh Di Pohon Serta Syarat Kelayakan
  1. Inspektor Gred YA 13
  2. Sarjan Gred YA 5
  3. Konstabel Gred YA 1
  4. Konstabel Sokongan Gred YT 1
  5. Konstabel Orang Asli Gred YP 1

Permohonan boleh dibuat secara online melalui Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA):

Maklumat lanjut, hubungi talian: 03-2266 8350/8344/8347 (Unit Pengambilan PDRM).

Tarikh Tutup Permohonan: Terbuka Sepanjang Tahun 2016

BACA INI JUGA: 9 Laman Web Tempat Mencari Kerja Di Malaysia

CARIAN KERJA KOSONG SWASTA


Jobs by my.neuvoo

Tuesday, May 24, 2016

Tudung Neelofa Terjual RM1.3 Juta Dalam Masa 3 Minit!

Tudung Neelofa Terjual RM1.3 Juta Dalam Masa 3 Minit!

Setiap kali kami membuka pesanan saja, satu hingga lima minit akan habis dijual kepada stokis. Kadang kala ia mencecah RM1.2 juta hingga RM1.3 juta dalam masa tiga minit saja.

Tudung+Neelofa

Neelofa mengakui tudung jenamanya hanya mengambil masa yang sangat singkat untuk habis dijual.

Pengacara terkenal Malaysia ini, memberitahu perniagaan tudung yang dilancarkannya mendapat sambutan yang luarbiasa daripada pelanggan, malah rezeki perniagaan juga datang juga tidak putus-putus.

Neelofa juga mempunyai lebih 400 stokis bukan sahaja di Malaysia, malah turut ada di luar negara seperti Brunei, Singapura Indonesia, Amerika Syarikat dan Australia.

Menurut Neelofa lagi, tudung jenamanya juga akan dijual di Turki dan London pada penghujung bulan Jun ini.

Tudung di Luar negara tidak sama seperti di Malaysia, Jadi pelanggan di sana agak terkejut dengan koleksi yang dibawa oleh Neelofa dan mereka menganggap ianya unik dan sesuatu yang baharu buat mereka.

Jelas Neelofa, pelanggan di luar negara tidak biasa melihat tudung berhias manik dan mereka hanya pakai tudung kosong yang perlu dililit dan banyak pin.

Jadi, tidak benar jika kita fikir Malaysia sebuah negara yang banyak ketinggalan sedangkan negara Malaysia maju dan lebih moden daripada mereka.

BACA INI JUGA: Laman Web Terbaik Beli Tudung Online Di Malaysia

Sumber: MalayMail/Lokmanamirul

Saintis Temui Cara Baru Masak Nasi Yang Kurangkan 50% Kalori!

Saintis Temui Cara Baru Masak Nasi Yang Kurangkan 50% Kalori!

Sedia maklum, nasi adalah makanan ruji masyarakat kita. Ia bukan saja mudah untuk didapati malah sesuai dimakan dengan apa jenis masakan. Makanlah dengan lauk apa sekalipun, pasti akan tetap berselera!

Nasi+Kurang+Kalori

Namun, kalau diperhatikan kini sesetengah masyarakat Malaysia juga cuba mengelak daripada memakan nasi kerana dikatakan mengandungi kalori yang tinggi.

Selain itu, pengambilan nasi yang banyak juga boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan penyakit serius seperti diabetes.

Tetapi tahukah anda baru-baru ini, para saintis telah menemui cara baru memasak nasi yang boleh merendahkan kalori yang terkandung di dalamnya?

Seorang pelajar sarjana muda di Kolej Sains Kimia di Sri Lanka, Sudhair James bersama mentornya telah menemui cara baru untuk memasak nasi yang boleh mengurangkan kalori sebanyak 50 peratus.

Bukan itu saja, cara tersebut juga mampu memberi beberapa manfaat kesihatan terhadap tubuh badan manusia. Cara ini adalah manipulasi kimia ringkas yang melibatkan beberapa langkah mudah yang juga cukup senang diamalkan.

Sedikit berbeza dengan cara memasak nasi biasa, air terlebih dahulu perlu dididihkan dan ia perlu dimasak di atas dapur menggunakan api.

Sudhair James
Sudhair James.

"Caranya mudah, apabila air mendidih, sebelum menambah beras mentah, anda perlu menambah minyak kelapa kira-kira 3 peratus daripada berat beras yang anda akan masak," kata Sudhair James, yang membentangkan kajian awal beliau dalam Mesyuarat Negara & Ekspo Persatuan Kimia Amerika.

Beliau berkata lagi, setelah siap dimasak, biarkan ia di dalam peti sejuk selama 12 jam sebelum dihidangkan.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana ia berlaku? Untuk memahami apa yang berlaku, anda perlu memahami sedikit mengenai konsep kimia makanan.

Tidak semua kanji terhasil sama. Sesetengah daripadanya dikenali sebagai digestible starch, yang mana mengambil hanya sedikit masa untuk dihadam. Ia akan bertukar dengan menjadi glukosa, dan kemudian glikogen setelah dihadam.

Sementara itu, kanji yang dipanggil resistant starch mengambil masa yang lama untuk diproses oleh badan. Ia tidak bertukar menjadi glukosa atau glikogen kerana kita tidak mempunyai keupayaan untuk mencernanya.

Menurut Profesor Dr. Pushparajah Thavarajah yang merupakan penyelia kepada penyelidikan tersebut, jika digestible starch dalam sesuatu seperti nasi kukus boleh dikurangkan, maka jumlah kalori nasi tersebut juga boleh dikurangkan.

Nasi+Kurang+Kalori [2]

James dan Thavarajah menguji lapan resipi yang berbeza pada 38 jenis nasi yang ada di Sri Lanka. Apa yang mereka dapati adalah bahawa dengan menambah lipid (minyak kelapa) sewaktu memasak nasi, dan kemudian menyejukkannya serta-merta selepas ia siap dimasak, ia dapat mengubah composition nasi tersebut menjadi lebih baik.

"Minyak ini berinteraksi dengan kanji beras dan mengubah bentuknya, " kata James kepada The Washington Post semasa ditemuramah.

Tambahnya lagi, proses menyejukkan nasi tersebut mempercepatkan penukaran kanji. Hasilnya adalah hidangan menjadi lebih sihat , walaupun anda memanaskan ia semula.

BACA INI JUGA: 10 Khasiat Beras Perang Yang Sangat Menakjubkan

Sumber: Says

Asal-usul Tarian Dan Budaya Ravers

Asal-usul Tarian Dan Budaya Ravers

Perkataan RAVE dalam Kamus Dewan bererti 'kegilaan terbaru' atau 'ulasan yang tinggi melangit'. Istilah yang menggambarkan keghairahan dan keterujaan terhadap sesuatu.

Budaya tarian RAVE

Dari segi istilah budaya RAVE yang sedang melanda anak-anak muda, perkataan RAVE adalah singkatan daripada Radical Audio Visual Experience atau dalam bahasa Melayu, 'Pengalaman Radikal Audio Visual'.

Istilah RAVE mula digunakan pada penghujung tahun 1950an lagi oleh Barat untuk menggambarkan parti liar Bohemian.

Pada awal tahun 1960an, budaya RAVE menjadi popular dikalangan generasi remaja Barat untuk menggambarkan pesta liar dikalangan mereka.

Kemudian, sehinggalah pada penghujung tahun 1960an, budaya RAVE mula terpinggir apabila budaya Hipi pula mengambil tempat dihati anak-anak muda ketika itu.

Namun, budaya RAVE meletup semula sekitar tahun 1980an bagi menggambarkan salah satu sub budaya Hipi yang mula berkembang melalui tarian.

Budaya tarian RAVE

Tarian RAVE dahulu dikenali sebagai salah satu cabang tarian jalanan (street dance) dan orang yang menarikan tarian ini disebut RAVER.

Budaya tarian RAVE menggambarkan satu pesta yang diketuai seorang deejay yang akan memutarkan lagu-lagu irama rancak tanpa henti. Antaranya irama techno dan trance.

Pesta RAVE akan dimulakan pada waktu malam bersama muzik rancak tanpa henti yang akan dimainkan berserta pertunjukan lampu, ala-ala disko.

Tarian RAVE adalah tarian bebas mengikut alunan muzik yang dipasang oleh deejay.

Tarian ini juga dikenali sebagai muzik tanpa henti, Non-stop music!

Pada pertengahan tahun 1980an, budaya RAVE menjadi hangat semula apabila aliran muzik electronik dance mula mendapat perhatian.

Syurga Dunia

Ibiza Island Spain - RAVE

Penghujung tahun 1980an, istilah RAVE juga merujuk suasana pesta muda mudi di Ibiza, sebuah bandar di Pulau Ibiza, Sepanyol.

Pulau Ibiza sangat terkenal dan digelar sebagai 'Syurga Dunia' dan ramai warga Eropah juga dari seluruh pelosok dunia datang ke sini untuk bercuti dan berpesta.

Kelab-kelabnya bertaraf mewah, setiap hari berparti tanpa henti!

Budaya Parti Liar

Parti Liar RAVE

Oleh kerana budaya Non-stop music RAVE, penggunaan dadah dan pil khayal sering dikaitkan kerana ianya memerlukan stamina tinggi untuk betahan lama ketika menari.

Budaya RAVE sememangnya adalah budaya berparti di kelab-kelab atau bersuka ria sehingga ke awal pagi dengan muzik rancak yang dimainkan deejay.

Apabila berparti, minum sampai mabuk, kemudian terjadilah pergaduhan. Sebab itulah semasa era 80an dan 90an, banyak negara Barat mengharamkan anjuran parti RAVE.

Pengikut RAVE pada masa itu terpaksa mengadakan parti rahsia secara tersembunyi.

Jika rahsia terbongkar, mereka akan ditangkap polis dan penganjur pula akan didenda!

Kematian angkara RAVE

Danielle McCallum Death - RAVE
Danielle McCallum, salah seorang mangsa kematian budaya RAVE.

Pada bula Jun 2014, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati selepas menghadiri parti RAVE di selatan London. Punca kematian, overdose dadah!

Bulan Mei tahun 2015 juga, seorang pemuda berusia 20 tahun pun mati akibat overdose dadah semasa hadir ke parti RAVE di Tacoma, Washington.

Ogos tahun 2015 juga, di Califoria, berlangsung sebuah festival muzik yang dibanjiri pengikut Ravers. Tiga gadis belasan tahun mati. Juga sebab overdose dadah.

Kesian. Tak sempat kahwin, dah mati dalam parti liar.

Los Angeles Times juga pernah melaporkan, dalam setahun berbelas remaja berusia belasan tahun dan awal 20an mati selepas menyertai parti RAVE.

Perangkaan itu hanya untuk tempoh setahun, bayangkan kalau sudah berpuluh tahun, agak-agak sudah berapa banyak nyawa anak muda yang hilang sebab budaya RAVE ni.

Budaya BBBNU

Budaya tarian RAVE [2]

Malangnya, bagi mereka yang dah berusia 25 tahun keatas, dikatakan sudah terlalu 'tua' untuk join budaya liar RAVE ni.

Budak-budak Ravers kata, budaya RAVE hanya untuk mereka yang berumur 24 tahun kebawah sahaja.

Senang cakap, ini budaya BBBNU -- 'Budak-budak Baru Nak Up'.

Anda dah tak layak?

Memang lu dah veteran la, kah kah!

BACA INI JUGA: Asal-usul Budaya Skinheads

-SENTIASAPANAS.COM