Saturday, August 24, 2024

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar, Apa Kesannya Kepada Dunia?

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar, Apa Kesannya Kepada Dunia?

Kerajaan Arab Saudi telah memilih langkah bersejarah untuk tidak meneruskan perjanjian di antara negara itu dengan kerajaan Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai perjanjian petrodollar - menoktahkan kerjasama yang telah terjalin erat sekian lama pada bulan Jun tahun 2024.

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar

Sistem kerjasama petrodollar muncul awal tahun 1970-an selepas berlakunya kejatuhan sistem kewangan diasaskan Bretton Woods. Sistem lama itu dirangka bagi mengikat mata wang antarabangsa kepada dollar Amerika Syarikat (USD) yang seterusnya boleh ditukar ke dalam bentuk emas.

Bretton Woods 1971

Pada tahun 1971, kerajaan Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Richard Nixon meninggalkan standard emas secara tergesa-gesa, menyebabkan ketidakstabilan pada nilai mata wang serta berlakunya naik turun nilai tanpa sebarang kawalan dapat diperkenalkan.

Untuk menstabilkan USD dan mengukuhkan kedudukan matawang mereka di peringkat global, Amerika Syarikat dan Arab Saudi mencapai perjanjian penting pada tahun 1974.

Di bawah perjanjian ini, Arab Saudi bersetuju menetapkan harga minyak keluaran mereka menggunakan nilai USD dan melaburkan lebihan hasil minyak dalam pembangunan sekuriti dikelolakan kerajaan Amerika Syarikat.

Sebagai balasan, Amerika Syarikat bersetuju untuk menyediakan sokongan ketenteraan dan ekonomi kepada Arab Saudi.

Kenapa perjanjian ini menguntungkan kedua pihak?

Di pihak Amerika Syarikat, perjanjian petrodollar memastikan berlakunya permintaan berterusan untuk matawang USD di peringkat global, yang pasti akan mengukuhkan kedudukan matawang itu sebagai mata wang rizab dunia.

Permintaan tinggi ini membantu Amerika Syarikat membiayai defisit bajetnya akibat masalah ekonomi yang melanda mereka dua dekad sebelum itu serta mengekalkan kestabilan ekonomi tanpa perlu berdepan tekanan inflasi, akibat daripada pengeluaran cetakan wang dalam jumlah yang besar.

Perjanjian petrodolar memberikan beberapa manfaat penting kepada Arab Saudi, dalam banyak aspek.

Pertama, dengan kerjasama ini Arab Saudi mempunyai jaminan keselamatan dan sokongan ketenteraan daripada Amerika Syarikat, yang pasti membantu meningkatkan keselamatan dan kestabilan politik di Asia Barat.

Hasil minyak yang dilaburkan dalam pembangunan sistem sekuriti kerajaan Amerika Syarikat bakal memberikan pulangan yang stabil dan menguntungkan, menyumbang terus kepada kestabilan ekonomi Arab Saudi sendiri.

Selain itu, perjanjian petrdollar juga membantu memperkukuhkan hubungan strategik antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat, dilihat penting dalam aspek geopolitik dan ekonomi negara tersebut.

Apakah kesan positif perjanjian ini kepada dunia?

Selain dua negara terlibat, kesan perjanjian ini juga menyumbang kepada faedah dan tak kurang juga keburukan kepada masyarakat antarabangsa.

Kita bincangkan dulu apa faedahnya sebelum ke sisi buruk perjanjian ini.

Perjanjian petrodollar mengukuhkan kedudukan USD sebagai mata wang utama dalam aktiviti perdagangan dan kewangan global, memudahkan transaksi dan aliran pelaburan antarabangsa kerana ekonomi dunia kini seakan mempunyai satu standard tetap, menyumbang kepada globalisasi ekonomi.

Dengan kitaran petrodolar melalui tindakan melaburkan hasil minyak Saudi dalam aset milik Amerika Syarikat, kecairan ekonomi pada peringkat global meningkat pesat menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi semua negara yang ada hubungan ekonomi dengan negara itu.

Dalam aspek lebih fokus, perjanjian ini juga mengukuhkan perkongsian strategik antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang dilihat telah berjaya memastikan bekalan minyak untuk kegunaan dunia stabil selain menstabilkan geopolitik di Asia Barat, yang selalunya ada saja isu dan konflik.

Apa pula keburukannya?

Walaupun ada banyak kelebihan, setiap sistem dirangka manusia pasti ada kekurangannya. Begitulah juga dengan perjanjian petrodollar ini.

Perjanjian petrodollar membawa kesan negatif kepada negara-negara selain Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Sistem ini menyumbang kepada ketidakseimbangan ekonomi global apabila negara yang memiliki defisit perdagangan besar, terutama yang mengimport minyak terpaksa membayar dalam USD untuk melakukan transaksi.

Syarat ini telah membawa kepada peningkatan hutang luar negeri dan tekanan ekonomi kepada negara terkesan, membuatkan negara-negara sebegini terdedah kepada turun naik nilai matawang dan dasar monetari Amerika Syarikat, yang sering dikritik hanya mengutamakan nilai matawang mereka serta tidak mempedulikan kepentingan ekonomi pada tahap global.

Perjanjian yang diperkenalkan juga memperkukuhkan kebergantungan dunia terhadap minyak galian sebagai sumber tenaga utama, melambatkan usaha beralih kepada sumber tenaga yang lebih baik dan lebih penting, boleh diperbaharui.

Kebergantungan kita kepada petroleum ini tidak hanya menyumbang kepada perubahan iklim dan pencemaran yang boleh atau telah berlaku.

Oleh kerana disandarkan harga minyak kepada USD, negara-negara yang ekonominya bergantung kepada import minyak pasti menghadapi ketidakstabilan ekonomi yang agak signifikan setiap kali harga minyak global naik dan juga turun. Kita sendiri telah merasai kesannya kepada ekonomi kita.

Akhir sekali, kerjasama Arab Saudi sebuah negara Islam dengan Amerika Syarikat yang dilihat sebagai perosak utama dunia, jelas memberi pengaruh besar kepada geopolitik serantau khususnya di Asia Barat; menyebabkan ketegangan dan konflik di beberapa bahagian dunia.

Sokongan ketenteraan dan ekonomi Amerika Syarikat kepada Arab Saudi menimbulkan persaingan dan ketegangan dengan negara-negara serantau banyak kali menghalang usaha yang cuba dibuat bagi mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan negara-negara di rantau tersebut.

Apa diramal berlaku selepas ini?

Keputusan Arab Saudi untuk tidak memperbaharui perjanjian petrodollar, yang berkuat kuasa pada 9 Jun 2024 menandakan bakal berlaku perubahan ketara dalam landskap ekonomi global.

Arab Saudi kini boleh menjual minyak dalam matawang berbeza, dengan matawang seperti renminbi China, Euro, Yen dan juga mata wang digital seperti Bitcoin dikatakan boleh dijadikan alat transaksi.

Dengan berlakunya pertukaran dalam sistem lebih luas sebegini, diramal akan berlakunya pengurangan dominasi USD ke atas ekonomi dunia.

Negara pengeluar minyak pula diramal akan menyusun semula rizab tukaran asing yang menjadi aset dan serta mengubah sistem transaksi, yang dilihat berpotensi meningkatkan permintaan untuk matawang lain serta aset berbentuk digital.

Peralihan ini dikatakan mampu mempercepatkan pembangunan sistem kewangan dan platform pembayaran baru, dengan mata wang digital diselia bank pusat dikatakan bentuk matawang yang bakal diambil sebagai standard.

Lebih penting, pengakhiran perjanjian petrodolar dikatakan akan mengubah pakatan geopolitik dan perkongsian ekonomi antara negara-negara besar, khususnya selepas kita dapat melihat bagaimana Arab Saudi menyusun semula hubungan ekonomi dan keselamatannya.

Persetujuan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu menyertai pakatan BRICS (pakatan dibentuk negara pengasas Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) pada bulan Januari 2024, dilihat sebagai isyarat awal apa hala tuju kerajaan Arab Saudi selepas ini.

GELOMBANG BRICS

Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.

Pada tahun 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal yang termasuk Brazil, Russia, India dan China. Pada Ogos 2023, enam ahli baharu, dijemput untuk menyertai kumpulan itu, termasuk Argentina, namun Buenos Aires menukar fikiran pada akhir Disember tahun 2023 lalu.

Lima ahli baharu, Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi dan Ethiopia, secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

MALAYSIA SERTAI BRICS

Sementara itu, Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi, kata Anwar Ibrahim.

Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan, kata beliau.

Memetik laporan NEWS.AZ, Anwar berkata sebelum ini beliau mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Menurutnya, Malaysia 'lega' dunia tidak lagi unipolar (sistem tadbir urus global dikuasai sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar) dan kebangkitan BRICS dan China khususnya telah menawarkan harapan terdapat semak dan imbang di dunia.

Perdana Menteri berkata Barat mahu "mengawal wacana" di dunia, tetapi "kita tidak lagi boleh menerimanya kerana mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka harus bebas untuk menyerlahkan diri mereka".

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, August 23, 2024

SBDJ Siri 208: Dara Di Makan Sumpah

SBDJ Siri 208: Dara Di Makan Sumpah

"Saya..." cetus Nonong mendadak. Dan kata-kata tidak diteruskan.

"Saya tak tahu apa isinya," Harun Fadillah bagaikan menyambung ungkapan Nonong yang terhenti.

Datuk menekan hujung dagu sebelah kiri dengan ibu jari tanngan kanan. Matanya, silih berganti menatap wajah Harun Fadillah. Datuk bagaikan tahu, dua beradik akan membongkar apa sahaja rahsia dalam rumah secara terperinci. Cuma apa yang diperlukan ialah sedikit kesabaran.

Toyol jadi-jadian

"Arwah emak, marah kalau ada diantara kami bertanya tentang bilik yang berkunci," nada suara Harun Fadillah lemah, ekor matanya menjeling ke arah Nonong. Tiada sebarang riaksi yang diperlihatkan oleh si Nonong.

"Melintas di depan bilik yang berkunci juga dilarang," tambah Harun Fadillah.

"Kamu bagaimana Nonong?"

Datuk menghalakan pertanyaan ke arah Nonong yang tunduk merenung lantai. Perlahan-lahan Nonong angkat kepala, Sinar matahari nampak berkaca merenung ke arah datuk.

"Emak ada membawa saya masuk ke bilik itu, secara rahsia."

"Haaa..." Harun Fadillah bagaikan terkejut mendengar pengakuan Nonong.

Buat beberapa ketika, datuk menarik nafas dalam-dalam. Suasana terasa sepi. Semuanya membatu melayani perasaan masing-masing.

"Ada apa di dalamnya, Nonong?" Tanya datuk. Matanya tidak berkedip merenung muka Nonong.

"Ada lilin besar."

"Besar mana Nonong?"

"Sebesar peha budak empat belas tahun."

"Tingginya?" Datang lagi pertanyaan dari datuk.

"Kira-kira dua kaki," jawap Nonong tegas.

"Selain dari itu apa yang kamu lihat?"

Nonong termenung, macam ada sesuatu yang cuba diingatinya. Harun Fadillah merenung ke arah saya. Dengan senang hati saya menghadiahkan senyuman buatnya. Dibalasnya dengan senyum tawar.

"Ada tunggul kayu berbentuk monyet dan bertangan manusia. Di tepi bilik, ada talam tembaga besar, yang ditengah-tengahnya ada benda, berbalut kain tiga warna. Emak mesti membaca serapi-jampi sebelum menyentuh kain pembalutnya."

"Apa warnanya Nonong?" Datuk terus mendesak.

"Hitam, putih dan kuning."

"Macam warna bendera Negeri Perak," celah datuk.

Nonong diam. Tidak memberi sebarang komentar.

BOSAN

Suasana di ruang makan kembali membeku. Saya memang berazam mahu mengikuti kisah selanjutnya hingga akhir. Kecuali datuk menyuruh saya keluar.

Semoga perkara itu tidak akan dilakukan oleh datuk. Itu doa dan harapan dari hati kecil saya.

Bila bosan dengan suasana sekitar, saya halakan pandangan ke halaman rumah dan permukaan jalanraya. Rasa jemu dan bosan segera terusir.

"Masa bila emak kamu bawa kamu ke dalm bilik rahsia tu, Nonong?" Pertanyaan datuk itu membuat saya berpaling ke arahnya. Macam tadi juga, wajah datuk agak serius.

"Biasanya waktu tengah malam."

"Tengah malam tu, agaknya pukul berapa, Nonong?" Tekanan suara datuk bagaikan memujuk.

Muka Nonong nampak serius sedikit. Hanya Fadillah menarik nafas lega. Senang hati melihat kerjasama yang diberikan oleh Nonong kepada datuk.

"Kira-kira pukul dua belas tengah malam, emak berada dalam bilik ada masanya sampai pukul dua pagi. Kalau musim bulan naik, makin kerap emak masuk, terutama masa bulan mengambang," Nonong mula membuka cerita, pasti menarik dan mendebarkan. Seluruh perhatian dan pendengaran ditumpukan kearah Nonong.

"Apa yang dibuatnya kepada kamu, semasa berada di dalam bilik?" Susul datuk lagi.

"Emak bakar kemenyan, asapnya diusap ke tubuh saya. Barang yang berbungkus dengan kain tiga warna juga di usap dengan kemenyan. Lepas itu emak suruh saya keluar. Dan juga mengingatkan supaya jangan menceritakan pada sesiapa pun apa yang saya alami semasa di dalam bilik."

"Semasa kamu keluar, emak kamu ikut keluar sama Nonong?"

Tiada jawapan dari Nonong, dia gelengkan kepala perlahan-lahan. Datuk tanpa putus asa, mengulangi pertanyaan yang sama kepada Nonong.

SUBUH

"Emak memang tak ikut keluar, dia berada di situ hingga masuk waktu subuh. Apa yang dibuatnya, saya sendiri tidak tahu. Ayah tahu semua tentang perkara ini, peliknya ayah tidak pula melarangnya. Entah mengapa, ayah patuh dan percaya dengan cakap emak," Nonong mengakhiri cakapnya dengan wajah yang merah padam.

Mungkin dia merasa malu. Buktinya, Nonong tidak mahu merenung ke arah saya. Harun fadilla tetap tenang.

Barangkali pada hematnya, penjelasan terus terang dari Nonong akan dapat mengatasi masaalah yang membelenggu diri Nonong.

Datuk segera bangun, berjalan dari sudut ke sudut ruang makan. Harun Fadilla dan Nonong masih berada di tempat tadi. Mereka nampak seperti mengelamun.

Entah apa yang berputar dalam kotak otak mereka, tiada siapa yang tahu. Mereka tidak bercakap, malah renungan mata juga berbeza, tidak satu arah. Datuk duduk kembali di tempatnya.

"Terima kasih Nonong," suara datuk merendah.

"Keterangan kamu memudahkan saya memilih cara atau jalan menyelesaikan masalah diri kamu. Berusaha dan berfikir memang tidak salah dari siri agama. Allah yang menentukan sama ada berjaya atau sebaliknya," sambung datuk dengan tenang.

"Lagi apa yang patut kami bantu, memanda," tanya Harun Fadillah sambil berdiri wajahnya membayangkan sebuah keyakinan, bahawa usaha datuk akan berakhir dengan sebuah kejayaan yang besar ertinya dalam kehidupan keluarganya.

Begitulah tanggapan Harun Fadillah tetapi, tidak demikian dengan datuk. Pertanyaan yang diajukan memaksa datuk mengerutkan kening sambil menarik dan melepaskan nafas berkali kali.

Seolah-olah membayangkan dia terpaksa menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

"Begini Harun," telapak kanan tangan datuk terkandas disayap bahu kiri Harun Fadillah.

"Apa dia memanda?" Pintas Harun Fadilla secepat kilat.

Datuk tersentak, memang tidak diduganya secepat itu Harun Fadillah, memintas cakapnya. Datuk lahirkan rasa kurang senang dengan melagakan gigi atas dan bawah berkali-kali.

Sepatutnya, Harun Fadillah memberi laluan kepada datuk untuk menyelesaikan cakapnya dulu.

"Maafkan saya memanda," kata Harun Fadilla setelah menyedari kesilapannya.

"Tak apa Harun.” Balas datuk.

"Perkara yang mahu aku tanyakan kepada kakak kamu ini agak peribadi, boleh memalukan dirinya. Jadi aku minta kamu tinggalkan dia bersama aku dan Tamar di sini," sambung datuk.

"Tak jadi masalah, silakan memanda," Harun Fadilla segera bangun dan kemudian melangkah tenang, meninggalkan ruang makan. Sepasang anak mata Nonong menyorot langkah adiknya.

SUDUT

Datuk berdiri kembali. Macam tadi juga, dia bergerak dari sudut ke sudut. Akhirnya melabuhkan punggung di tempatnya kembali.

Nonong nampak tenang untuk menghadapi situasi selanjutnya diruang makan.

"Tamar."

Anak mata saya terpaku ke wajah datuk. Ada rasa gementar dalam hati.

"Ada apa tuk?"

"Apa yang kamu dengar ini jangan dihebahkan pada sesiapa pun. Kamu mesti ingat, membuka aib seseorang kepada orang lain, dilarang oleh agama. Kalau kamu buat kamu dapat dosa."

"Saya faham, tidak saya hebahkan hal kak Nonong, samada yang baik atau yang buruk kepada sesiapapun. Walau pun pada adik beradiiknya," dengan tenang saya lafazkan sebuah ikrar di depan datuk.

Ternyata, datuk senang dan gembira dengan ikrar tersebut. Saya toleh ke arah Nonong yang tunduk merenung lantai. Wajahnya nampak cerah.

Tadi, semasa datuk menyuruh adiknya keluar dan mengizinkan saya berada di ruang makan, wajahnya nampak tidak ceria.

Tetapi setelah datuk mengingatkan saya agar "jangan banyak mulut" dan saya pula berjanji tidak akan melakukan perbuatan demikian, Nonong nampak gembira.

"Nonong."

Nonong pun angkat kepala. Sepasang anak mata hitam datuk bagaikan berada dalam kolam mata Nonong.

"Ada apa memanda?" terungkap pertanyaan dari Nonong.

"Berikan kerjasama sebaik mungkin pada aku Nonong."

Nonong anggukkan kepala.

Dengan tenang datuk memeluk tubuhnya sambil menarik nafas dalam-dalam untuk beberapa saat. Sebelum nafas dilepaskan, datuk luruskan kaki kirinnya.

Bila kaki kiri berada kembali kepada kedudkan asal, barulah datuk memindahkan sorotan matanya ke dinding.

"Nonong," datuk memulakan kata.

"Pernahkah sesaorang berkata kepada kamu begini, kau cantik, sayangnya ada sesuatu pada diri kamu yang menyebabkan orang lelaki menjauhkan diri dari kamu, mereka macam benci."

"Hummmmmmmm..."

Nonong tidak meneruskan ungkapan. Dia termenung sebentar, macam ada sesuatu yang diingatinya.

"Ada memanda," sambungnya lemah.

"Siapa yang bercakap tu Nonong?"

"Seorang perempuan tua. Dia tu bidan kampung yang sekali gus jadi bomoh. Saya tak tahu sekarang ni, dia masih ada atau sudah mati. Kenapa memanda?"

"Tak ada apa-apa, cuma apa yang dikatakan oleh orang itu hampir sama dengan apa yang terlintas dalam kepala aku," ucap datuk bersahaja.

Nonong nampak tergamam, saya pula terkejut.

"Sesungguhnya, beruntung dan bertuah wanita yang dianugerahkan oleh Allah dengan kecantikan. Tetapi malangnya manusia adalah makhluk lemah, selalu mensia-siakan pemberian tersebut."

Gegendang telinga saya masih dapat menangkap suara keluhan datuk dalam nada yang amat perlahan. Dia masih juga merenung ke arah Nonong, tanpa berkedip.

RESAH

Entah mengapa secara tiba-tiba saya rasa resah tidak menentu. Badan terasa panas semacam, padahal cuaca di luar tidaklah panas sangat.

Tanpa mahu memberitahu datuk, saya bangun dan lantas melangkah kemuka pintu lalu berdiri di situ.

Membiarkan sekawan angin merempuh sekujur tubuh. Mendongak langit kota Medan yang terang di bawah matahari petang dan sinar matahari yang redup itu jatuh di atas setiap bumbung bangunan, tidak terkecuali bumbung Istana Maimun dan Masjid Raya. Sesungguhnya sebuah kepuasan yang tiada taranya menyelinap ke dalam kalbu.

Kepuasan itu, tidak dapat dipertahankan dalam jangka waktu yang agak panjang. Musnah diganggu batuk keras yang disengajakan oleh datuk.

Saya faham, batuk itu adalah batuk protes dari datuk untuk saya. Lebih tepat, batuk kemarahan atas kebiadapan saya yang tidak memnita izinnya, ketika bangun tadi.

Tanpa banyak ragam dan karenah saya kembali masuk ke ruang makan dan duduk di tempat asal. Kemarahan datuk masih belum reda, ekor matanya merenung tajam ke arah saya.

Tidak berani, saya menyanggah renungannya, melainkan tunduk macam orang bodoh.

"Nonong, cerita dengan jujur, jangan sembunyi-sembunyi, jangan tipu dan ditokok tambah, walaupun perkara yang dicakapkan ini membuka pekung sendiri dan keluarga, mendatangkan aib. Cuma dengan cara ini saja memanda boleh berusaha menolong kamu, boleh menunaikan permintaan arwah ayah kamu. Kamu bersedia atau tidak. Cakap dengan jujur dan ikhlas," suara datuk bergetar. Badanya ditegakkan sambil mendada.

"Bersedia memanda," sahut Nonong tangkas.

"Kalau begitu, kamu ceritakan pengalaman dan perasaan yang kamu alami, semasa umur hampir tiga puluh tahun, jangan segan," pujuk datuk penuh diplomasi.

Buat beberapa detik, Nonong nampak resah. Mukanya membayangkan rasa kurang senang. Sebentar menoleh ke kiri, sebentar menoleh ke kanan.

Dalam saat-saat tertentu dia mengigit bibir dan mengaru-garu leher jenjangnya. Semua yang dibuat, serba tidak kena.

Pelik sekali, dalam keadaan Nonong resah begitu, saya jadi ghairah terhadapnya. Timbul rasa berahi terutama bila mengaru-garu lehernya. Cepat-cepat saya mengucap dan beristighfar berkali-kali.

Kerasahan, kebimbangan yang dialami oleh Nonong berakhir juga. Dia tersenyum kerana berjaya mengatasi gelodak hatinya.

Dengan rasa penuh tanggung jawap untuk membebaskan diri dari bayangan belenggu ghaib, Nonong pun mengungkapkannya dengan rasa rendah hati kepada datuk.

Nonong mengakui, semasa berusia awal tiga puluhan dia mengalami tekanan perasaan yang cukup hebat. Sering timbul pertanyaan dalam diri, kenapa tidak ada seorang pemuda yang ingin mendekati dirinya.

Kawan-kawan persekolahan dan sepermainan, hampir semuanya sudah menikah. Malah ada yang sudah mempunyai anak.

Dalam usia begitu, Nonong ingin menikmati suasana bercinta, bermesra serta berdampingan dengan lelaki idaman yang berakhir dengan ikatan suami-isteri. Bila di depan cermin, dia segera mencari kekurangan dan kelebihan dirinya.

Jauh di sudut hatinya, dia tetap mengatakan yang dirinya terjumlah dalam kategori gadis cantik dan menarik. Berkulit putih kemerah-merahan. Berhidung mancung dengan sepasang anak mata hitam yang bulat bersinar. Renungannya mampu menundukkan hati setiap lelaki.

Dengan raut muka bujur sirih bersama sepasang bibir nipis dengan tingginya hampir lima kaki, empat inci, Nonong memang menarik dan mempersonakan.

Siti Hidayah yang tingginya lima kaki sahaja sudah bersuami dan mempunyai dua orang anak. Nonong tahu, dimana dia berada, orang tetap memuji dirinya, cantik dan anggun.

Semasa berkunjung di rumah Siti Hidayah yang baru seminggu melahirkan anak kedua, secara kebetulan dia menemui orang yang mengurut Siti Hidayah.

Kali pertama melihat wajahnya, bidan kampung itu tersenyum serta mengagumi kecantikan yang dimiliki Nonong. Sebagai seorang gadis tentu dia merasa megah, bila terpuji begitu.

BIDAN

Kemegahan dan kegembiraan itu tidak dapat bertahan lama dihatinya bila bila bidan kampung itu mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

Pada mulanya, Nonong tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh bidan kampung tersebut. Tetapi, setelah Siti Hidayah campur tangan, sedikit kepercayaan mula berputik dalam hatinya.

Secara jujur dan ikhlas, Siti Hidayah memberitahu Nonong, dia mendapat suami adalah berkat jasa dan usaha bidan kampung tersebut.

Siti Hidayah menyarankan supaya Nonong mengikuti jejak langkahnya. Mandi bunga tujuh warna setiap malam. Bedak tubuh dengan bermacam jenis ramuan.

Mandi tujuh kolah masjid, satu tugas berat untuk dilaksanakan oleh Nonong.

Memang, sejak zaman sekolah lagi, Nonong tidak berminat dalam perkara-perkara yang ada unsur tahyul.

Setelah didesak berkali-kali hati Nonong jadi lembut dan bersedia mematuhi saranan dianjurkan oleh Siti Hidayah.

Dia pun buat temu janji mengunjungi rumah bidan yang letaknya agak jauh di hujung kampung, terasing dari rumah para penduduk lain.

Dalam pertemuan awal, bidankan kampung mengenakan beberapa syarat yang cukup ketat serta pengeras yang cukup tinggi. Jika syarat-syarat itu dipatuhi, bidan kampung yang kaya dengan pengalaman, memberi jaminan dalam waktu terdekat Nonong akan menemui jodoh.

Terpaku dengan harapan dan jaminan yang dikatakan itu. Pantang larang tidak dilanggar, segala syarat akan dipatuhi.

Setahun Nonong menanti penuh sabar, harapannya tidak menjadi kenyataan. Tidak ada lelaki mendekati atau masuk meminang. Usia Nonong terus bertambah.

Bagi menghilangkan kerunsingan yang membelenggu fikiran dan batinnya, Nonong cuba bergerak dalam badan-badan sosial dengan harapan akan bertemu jodoh.

Bila usianya masuk angka tiga puluh dua tahun, Nonong mengalami goncangan batin yang amat hebat. Dia melihat adiknya mendirikan rumah tangga dengan pemuda kacak yang satu ketika dulu pernah cuba mendekatinya.

Goncangan batin itu menimbulkan bermacam-macam reaksi dalam kalbu Nonong. Ada ketikanya dia merasa benci dan marah dengan keadaan sekitarnya.

Di waktu yang lain, dia merasa hampa dan putus asa yang amat sangat. Nonong menangis dan mengurung diri dalam bilik.

Sebagai anak sulung perempuan, dia lebih dekat dengan ibunya. Tidak hairanlah bila semua masalah yang bersarang dalam dadanya ditumpahkan kepada ibunya.

Dan ibunya mendamaikan gelora batinnya dengan ungkapan, "Belum ada jodoh lagi. Rajin-rajinlah berdoa pada Tuhan. Semuga kamu dipertemukan oleh Tuhan dengan lelaki yang baik dan berhati mulia."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 208/284

BACA: SBDJ Siri 207: Manusia Kabus
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Kenapa Orang Mati Lebih Memilih Untuk Bersedekah Jika Dikembalikan Ke Dunia?

Kenapa Orang Mati Lebih Memilih Untuk Bersedekah Jika Dikembalikan Ke Dunia?

Kupasan Kitab Ziarah ke Alam Barzakh oleh Al Imam Jalaluddin As-Suyuti, kenapa orang mati lebih memilih untuk bersedekah jika dikembalikan ke dunia?

Kelebihan Bersedekah

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Munafiqun ayat 10, "..wahai Tuhanku, alangkah baiknya Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah.."

Sedangkan dia tidak pun berkata, "Supaya aku dapat mengerjakan umrah" atau "Supaya aku dapat bersolat" atau "Supaya aku dapat berpuasa".

Seorang ulama berkata, "Tidaklah seseorang yang telah mati itu menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya."

Maka, hendaklah kita memperbanyakkan sedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin akan berada dibawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat nanti.

Bersedekahlah untuk saudaramu yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka amat berharap untuk kembali ke dunia untuk bersedekah dan melakukan amal soleh.

Dan latihlah anak-anak kita supaya membiasakan diri dengan bersedekah.

Bersedekahlah, sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang yang memberi sedekah.

Adakah anda pernah membaca tentang faedah bersedekah?

1. Amalan sedekah itu adalah salah satu pintu daripada pintu-pintu syurga.

2. Sedekah adalah sebaik-baik amalan soleh dan sebaik-baik sedekah ialah memberi makan.

3. Pahala sedekah akan menaungi pemiliknya pada hari kiamat dan melepaskannya dari azab neraka.

4. Sedekah akan memadam kemurkaan Allah dan kepanasan azab kubur.

5. Sedekah adalah sebaik-baik hadiah buat simati, yang paling bermanfaat untuknya dikubur dan yang ditambah oleh Allah akan rezeki (kerana bersedekah).

6. Sedekah adalah satu penyucian harta benda dan jiwa yang dapat menggandakan kebaikan.

7. Sedekah adalah punca kegembiraan si pemberi dan punca wajahnya bercahaya di hari kiamat.

8. Sedekah menjadi pengaman dari ketakutan pada hari huru-hara besar dan hari yang tiada kesedihan kerana hilangnya sesuatu daripadanya (hari kiamat).

9. Sedekah menjadi punca keampunan terhadap dosa.

Jadi, marilah sama-sama menjadikan amalan bersedekah sebagai kebiasaan agar mendapat pertolongan Allah di akhirat kelak.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, August 22, 2024

SBDJ Siri 207: Manusia Kabus

SBDJ Siri 207: Manusia Kabus

Selesai sembahyang subuh dan berdoa, datuk segera mendekati saya yang berada di saf belakang.

"Ada apa, hal tuk?"

"Aku nak balik dulu, kalau nak ikut balik pun boleh, nak duduk di masjid pun boleh, terpulanglah kepada kamu," ungkapan dari datuk membuat saya tergamam sejenak. Biasanya, jarang datuk mahu meninggalkan masjid secara tergesa-gesa.

"Saya ikut balik tuk," itu keputusan dari saya.

Datuk anggukkan kepala sambil tersenyum.

Toyol jadi-jadian

"Harun macamana tuk?" Susul saya lagi.

"Dia nak dengar kuliah subuh yang disampaikan oleh seorang ulama terkenal dari Kota Tuo (Kota Tua)-Padang Sumatera Barat," jelas datuk.

Memang tidak di duga Harun Fadillah membuat keputusan mengejut. Saya dan datuk keluar dari perut masjid, sampai dekat pintu Harun Fadillah muncul.

"Baliklah dulu, saya tahu ada kerja yang mesti memanda buat di rumah. Lagipun memanda sudah memulakan puasa sunat," bisik Harun Fadillah ke telinga datuk.

"Memang betul apa yang kamu cakapkan," jawab datuk.

"Tamar, apa yang kamu perlukan minta saja pada pembantu rumah," Harun Fadillah renung muka saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala.

Dan langkah pulang pun bermula.

Disaat sedang asyik mengekori datuk dalam dingin pagi, berkawankan kabus nipis terasa datuk memperlambatkan langkahnya. Kemudian terus berhenti.

"Kenapa Tuk?"

Tiada jawapan yang saya terima. Sebagai cucu yang sudah dilatih supaya cepat berfikir dan bertindak bila keadaan terdesak. Saya segera mempertajamkan pancaindera. Ada bebayang manusia dalam kabus yang menghalang langkah perjalanan datuk.

Manusia itu bertubuh besar, memakai songkok putih, berkain pelikat berkotak besar dalam warna hijau putih. Baju melayu telok belangga yang dipakainya koyak di bahagian bawah.

Di bahu kanan terselipang kain hitam menutup sebahagian dada kanan. Lelaki yang tercegat di depan datuk itu, kurang jelas wajahnya.

"Balik saja ke tempat asal kamu, jangan cuba mengganggu urusan orang. Aku ingatkan kamu, jangan cuba nak jadi jaguh di Tanah Deli. Nanti buruk padahnya pada diri kamu. Kalau tak mati, seksa seumur hidup," Terdengar gema suara sekeliling kami (saya dan datuk).

Sukar untuk dipastikan, apakah gema suara itu datang dari lelaki tinggi, bertubuh besar? Sebabnya, semasa suara menolak gegendang telinga, saya seperti berada dalam keadaan khayalan dan bebayang orang itu bagaikan tenggelam timbul dalam kabus nipis.

Datuk menoleh ke arah saya sambil memberi isyarat tangan, supaya mengikuti apa saja yang bakal dilakukannya. Dalam keadaan termanggu datuk terus melangkah lalu merempuh lembaga yang menghalang perjalanannya.

Tindakan datuk itu mendatangkan padah. Lembaga itu bertindak kasar. Datuk ditendang hingga jatuh terlentang. Saya juga menerima habuan, kain selendang di bahu kanan dilibaskan ke arah saya.

Kibasan kain itu membuat saya terhoyong-hayang, tidak daya mengimbangi badan. Kaki bergerak tidak teratur, badan pula terlayah ke kiri, terlayah ke kanan. Gerak langkah saya bagaikan orang mabuk.

Dalam saat itu juga, saya terus berselawat seberapa yang boleh. Rasa pening mula berkurangan tubuh dapat saya imbangi. Tetapi, tidak mampu berdiri dan terpaksa duduk dipermukaan jalan pulang.

Datuk yang jatuh terlentang segera bangun dan meluru ke arah lembaga yang kelihatan samar-samar. Bila badan datuk bersentuhan dengan tubuh lembaga tersebut, saya terlihat bagaikan ada pancaran kilat dari arah selatan dan secara perlahan-lahan tubuh lembaga terbelah dua.

Tubuh bahagian kiri mengeluarkan api manakala sebelah kanan pecah berderai, macam kaca terhempas ke lantai. Seluruh badan datuk dibasahi peluh.

"Tanda-tanda kurang baik, Tamar," komen datuk setelah bebayang lembaga itu hilang entah ke mana dalam kabus nipis.

"Maksud datuk?"

Datuk terus membisu. Langkah pulang yang terhenti diteruskan. Saya terus mengekorinya dengan seribu persoalan.

Cahaya matahari mula bangkit dan mengembang dilangit, suasana sekitar mula cerah. Suara kicau burung mula terdengar, sinar matahari yang lembut mula menikam embun di hujung rumput lalu memantulkan cahaya bening yang menarik.

Perjalanan kian rancak, saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya berusaha menghapuskan peristiwa yang dialami dari bersarang dalam otak. Tidak mahu peristiwa aneh itu menjadi ingatan yang mengerikan dalam hidup.

SAMPAI

SEBAIK saja sampai di kaki tangga, kami disambut oleh pembantu rumah dengan wajah yang riang. Tetapi, dia tidak berjaya menyembunyikan rasa terkejutnya kerana Harun Fadillah tidak pulang sama.

"Tunku Harun mana?" Pembantu rumah mengajukan pertanyaan.

"Sekejap lagi dia balik," balas datuk.

"Apa halnya?" Tanya pembantu rumah lagi. Ternyata dia tidak puas hati dengan jawapan yang dikemukan oleh datuk.

"Dia dengar kuliah subuh," jelas datuk.

"Hum..." angguk pembantu rumah.

Datuk pun melangkah tenang masuk ke biliknya.

Beberapa minit kemudian, datuk keluar dari kamar menuju ke halaman rumah. Tanpa membuang masa datuk melakukan senaman silat untuk memanaskan badan dan menegangkan urat saraf.

Kira-kira empat puluh lima minit kemudian Harun Fadillah pulang dari Masjid Raya. Dari jauh dia tersenyum ke arah datuk.

Kerana sarapan sudah tersedia, saya dan datuk dijemput oleh Harun Fadillah ke ruang makan.

"Maaf, kamu dengan Tamar saja makan pagi."

"Kenapa memanda?" Harun Fadillah terkejut.

"Tak apa, kamu berdua makanlah," balas datuk.

Terbukti yang Harun Fadillah tidak dapat menerima alasan itu. Dia terus mendesak, mahukan sebuah jawapan yang konkrit. Setelah didesak bertalu-talu, datuk terus mengalah.

"Run.."

Seluruh pandangan Harun Fadillah tertumpu ke arah datuk.

"Sepatutnya, aku merahsiakan perkara ini tetapi, kerana kamu mendesak juga dan sebagai menghormati tuan rumah aku terpaksa mengalah, walaupun hati kecil aku berat," sambung datuk sambil mengaru pangkal dagu dengan jari kelingking.

Sepasang anak matanya tertumpu ke arah saya dan Harun Fadillah, silih berganti.

"Haaa..." Harun Fadillah bersuara lemah patuh dengan tandatanya.

Dia nampak serba salah. Bagaikan tidak mampu untuk menyambung kata.

"Begini Run, hari ini dan esok aku terpaksa berpuasa untuk menyelesaikan masalah kakak kamu, menunaikan wasiat ayah kamu. Aku harap kamu faham. Jangan banyak tanya dan soal. Apa yang aku buat selepas ini adalah untuk tujuan memulihkan kakak kamu," datuk bagaikan memberi ceramah pendek, penuh perasaan bersama raut wajah mempamerkan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah yang melanda keluarga Harun Fadillah.

"Maafkan saya memanda," hiba benar wajah harun Fadillah. Bahu kanan datuk dipaut erat.

"Tak apalah, jangan ulang lagi."

"Saya minta maaf memanda," ulang Harun lagi.

Wajahnya nampak kesal sungguh. Saya menggigit hujung lidah, tanpa mahu memberi sebarang komen, apa lagi mahu turut campur dalam perkara tersebut.

Beberapa minit berikutnya, saya dan Harun Fadillah masuk ke ruang makan lalu memulakan sarapan pagi. Datuk meneruskan senaman atau latihan silat helang putih yang lebih banyak menekankan pada tumpuan gerak batin bersumberkan gerak nadi dan gerak mata.

Memang sekali pandang, gerakan yang datuk lakukan dihalaman rumah nampak lembut dan teratur, nampak mudah, lembut berirama boleh dilakukan oleh sesiapa. Tetapi, pada hakikatnya tidak semudah seperti apa yang dilihat. Datuk berhenti bersilat, apabila matahari tinggi segalah.

BACA

SELAMA dua hari datuk berpuasa sunat, dia kurang bercakap. Waktu siangnya dibabiskan dengan membaca Quran dan membaca kitab agama di Masjid Raya.

Pada sebelah petangnya, jika ada masa terluang. Datuk dengan ditemani Harun Fadillah mengunjungi beberapa buah rumah ulama atau ketua pasentaran sekitar Sumatera Utara.

Tujuan datuk berbuat demikian, sekadar berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang hal-hal yang ada hubungan dengan agama.

Tidak dinafikan juga dalam pertemuan itu, ada ulama dan ketua pasentaran mencadangkan supaya persatuan ulama yang ahli-ahlinya terdiri daripada ulama Sumatera Utara dan Ulama Utara Semenanjung.

Matlamatnya, ahli-ahli ulama dua negara itu mesti bekerjasama menangani masalah akidah yang mulai terhakis di kedua-dua negara di samping masalah sosial yang dihadapi oleh anak-anak muda Islam, terpengaruh dengan budaya kuning di Sumatera Utara dan Semenanjung.

Turut juga ditekankan dalam persatuan itu ialah menentang para pemimpin Islam di kedua-dua negara yang bersikap lepas tangan dalam hal agama.

Contohnya menghalalkan yang haram untuk kepentingan diri dan kuasa serta membanteras penyelewengan. Saya tidak tahu, apakah perkara itu berhasil dilaksanakan atau tidak.

Pada sebelah malamnya, setelah berbuka puasa dan menunaikan suruhan Allah, Datuk menghabiskan separuh daripada waktu malamnya dengan melakukan sembahyang sunat, berzikir serta melakukan sembahyang sunat di samping membaca Quran.

Semasa datuk melakukan perkara yang saya sebutkan itu, tidur saya cukup aman dan tenteram. Tidak terdengar bunyi aneh atau ganjil dari bilik yang bermanggakan tembaga putih.

Saya sungguh beruntung. Dalam waktu datuk berpuasa, selama dua hari itu. Pergerakan saya bebas, terlepas dari perhatian dan kawalan datuk.

Saya boleh ke mana-mana dan kesempatan itu, saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Hampir separuh kotaraya Medan saya jajahi dengan berjalan kaki.

Saya menghabiskan masa dengan duduk di kepala tangga Istana Maimun, melihat pelancong turun naik istana. Kemudian berlegar-legar di depan istana sebelum bergerak ke pondok kecil yang menempatkan meriam ganjil.

Kerana rajin datang ke situ, saya berhasil mengutip cerita tentang meriam puntung dari penjaganya. Begitu juga dengan beberapa gambar para Sultan Deli terdahulu yang tergantung di dinding istana, bagaikan terpaku dalam kepala.

Saya boleh menunjukkan gambar beberapa orang Sultan yang ada hubungannya dengan kesultanan Johor, Perak, Selangor, Pahang. Malah beberapa nama jalan di kotaraya tersebut terpahat dalam kepala.

Beberapa orang penarik beca menjadi teman rapat. Sungai Deli yang mengalir kotor bukanlah sesuatu yang asing bagi saya.

Keseronokan dan kebebasan yang diperolehi tidak dapat bertahan lama. Kepulangan si Nonong seperti memutuskan rantai kebebasan yang dimiliki. Saya tidak sebebas dulu.

Datuk mahu saya berada di sampingnya selalu, terutama bila dia mahu melakukan sesuatu dalam usaha dan ikhtiarnya membantu menyelesaikan masalah peribadi si Nonong.

Adakalanya, datuk memerlukan bantuan dari saya. Atas sebab-sebab tersebut hati kecil saya jadi marah atas kepulangan si Nonong. Bila saya berdepan dengannya, akan saya luahkan protes hati ini padanya. Itu azam yang berputik dalam hati.

Tetapi aneh, bila berdepan dengan Nonong, azam yang menyala dalam dada terus padam. Terlihat wajahnya, jadi tergamam. Wajahnya tidak menggambarkan yang dirinya sudah berusia dalam empat puluhan.

Mukanya bagaikan anak gadis awal dua puluhan. Kulitnya putih merah, senyumannya menawan. Sepasang mata galak yang dimilikinya boleh mendebarkan hati lelaki.

Tinggi lampai, leher jenjang tubuhnya sedap mata memandang dengan sepasang payudara yang tajam menongkat baju di samping daging punggung yang kejap dan padat.

Itulah sebabnya, tidak ada siapa yang menduga atau menjangkakan yang si Nonong sudah berusia empat puluh lebih. Kulitnya masih tegang, muka masih berseri.

Kalau saya ditawar untuk menjadi suaminya, terpaksa berfikir dua kali sebelum bertolak.

"Kak Nong, ini cucu memanda."

Nonong berhenti melangkah, merenung ke arah adiknya (Harun Fadillah) sejenak, kemudian Nonong merenung ke arah saya. Dalam perasaan yang serba salah itu, saya anggukkan kepala.

"Tamar, inilah kakak aku yang tua," sambung Harun Fadillah.

Macam tadi juga, saya anggukkan kepala tetapi, cuma kali ini di iringi dengan sebaris senyum yang dibalas oleh Nonong.

"Cucu memanda?" Tanya Nonong pada Datuk di sebelah saya.

"lya," terpamer senyum kepuasan di wajah datuk.

"Lawa juga orangnya, kulit putih. Matanya yang hitam menunjukkan dia cucu yang bijak," puji Nonong.

PUJI

SAYA tersenggih khayal, bila dipuji begitu. Sepasang mata nakal terus meratah seluruh wajah dan tubuh Nonong yang menawan.

Sebagai orang muda, angan-angan dan khayalan yang memberahikan berkocak dalam kalbu. Mia bagaikan terbang dari ingatan.

Seluruh minat dan perhatian tertumpah pada Nonong yang baru tiba dari Tanjung Pura. Masih tercegat di kaki tangga membibit beg.

"Tamar, beri laluan untuk Nonong, jangan tercegat di situ."

Saya tersipu-sipu dengan teguran datuk itu. Rupa-rupanya, saya berdiri di muka pintu menghalang perjalanan orang.

"Maafkan saya Nonong."

"Eh kamu Tamar, berbudi bahasalah pada orang yang lebih tua dari kamu, jangan pakai hentam keromo saja," Datuk menegur.

Saya tersenggih. Malu lagi. Nonong tersenyum.

Hebat sungguh perhatian datuk pada Nonong. Tidak sampai satu jam dia tiba di rumah, sudah dua kali saya kena tegur.

Tak mengapa, wajah dan senyumannya memberikan sebuah kepuasan yang tersendiri untuk saya.

Kalaulah boleh, hari-hari seterusnya, mahu saya nikmati dan tatap kecantikan yang dianugerah oleh Tuhan pada Nonong.

Entah mengapa, semacam ada kelainan dalam diri, sejak akhir-akhir ini, bila melihat perempuan atau gadis cantik. Saya terkhayal dan perasan jadi tidak tentu arah.

Adakah ini membawa petanda yang diri ini sudah beransur dewasa. Sukar untuk mencari sebuah jawapan pasti.

Sekiranya apa yang saya alami dapat dikesan oleh Datuk, betapa malunya fikir saya.

Oleh sebab itu saya perlu berhati-hati dan teliti dalam setiap gerak-geri dan pertuturan.

Kepulangan Nonong nan manis ke rumah pusaka, bertepatan dengan tarikh dan hari Datuk menamatkan puasa sunatnya selama dua hari.

Saya kira, perkara ni sudah di rancang dengan teliti oleh datuk. Dia mempunyai agenda tersendiri.

Diatur dan disusun dengan rapi untuk dilakukan bagi mengatasi masalah yang selama ini membelanggu diri dan kehidupan Nonong.

Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan, seiring dengan kepulangan Nonong, Datuk nampak sibuk semacam.

Banyak perkara yang disoal dan ditanyakan kepada Harun Fadillah dan kakaknya (Nonong) secara berasingan dan adakalanya secara berdua-duaan.

Perkara yang diajukan kepada mereka berdua, ada masanya agak terlalu peribadi dan tidak masuk di akal. Temyata mereka berdua memberikan kerjasama yang baik pada Datuk.

PELIK

PADA petang Rabu, sehari selepas Datuk menamatkan puasa sunat selama dua hari (Datuk berpuasa pada Hari Isnin dan Selasa).

Sepulangnya berjemaah Asar di Masjid Raya, Datuk terus memanggil Harun Fadillah dan Nonong ke ruang makan. Perkara begini memang tidak pernah dilakukan oleh Datuk. Saya merasa pelik dan curiga dengan tindakannya.

"Begini Harun," ujar datuk sebaik sahaja Harun Fadillah dan kakaknya duduk dibangku.

"Aku fikir sudah sampai masanya masalah yang ditanggung oleh Nonong diusahakan," sambung Datuk sambil menatap wajah Harun dan Nonong.

Dua bersaudara itu tidak bersuara, hanya biji mata saja yang bergerak ke arah datuk.

"Saya bersedia," terlompat kata dari mulut Nonong lalu disambut oleh Harun Fadillah dengan anggukkan kepala. Setuju dengan kata kakaknya.

"Minta dua gelas air dingin," pinta datuk.

Harun Fadillah mengarahkan pembantu rumah menyediakan barang yang diminta. Tidak lama berselang. Dua gelas air sudah berada di depan datuk.

"Kamu berdua minum air seteguk senafas, sebelum minum selawalkan nabi tiga kali dalam senafas. Bukan air penunduk, mengikut kata. Juga bukan untuk memukau, sekadar memberikan keyakinan dalam diri kamu berdua. Bercakaplah dengan jujur kerana aku juga berniat jujur dan ikhlas pada kamu. Setelah berusaha, selebihnya itu, kita serahkan kepada Allah pencipta alam semesta. Dia saja yang mengetahui segala-galanya," pendek Datuk memberi penjelasan.

Harun Fadillah dan Nonong anggukkan kepala, macam terkukur diagah tuannya. Persetujuan itu melancarkan aturcara yang sudah datuk rancang dalam kepala.

Saya yang duduk agak terpisah jauh dari Datuk, Harun Fadillah dan Nonong merenung ke luar. Melihat sinar mata petang yang kian redup jatuh di halaman rumah.

Kicau burung sesekali kedengaran bersama deru kereta dan bunyi loceng beca yang lalu dijalan raya hadapan rumah Harun Fadillah.

"Nonong."

Nonong yang tunduk segera angkat kepala. Renung muka datuk.

"Cakap dengan jujur, jangan malu-malu. Berterus terang dengan memanda. Ingat, apa yang dilakukan ini sebagai memenuhi permintaan arwah orang tua kamu. Barangkali, Harun sudah terangkan kepada kamu," Datuk menyambung dengan penuh sopan.

"Sudah saya terangkan, kakak sudah faham," sambut Harun Fadillah.

"Iya, apa yang dikatakan adik saya tu memang benar," tingkah Nonong.

Datuk menegakkan dada sambil menarik nafas dalam-dalam. Duduknya dibetulkan, bersila bertindih paha dengan dengan kedua-dua telapak tangan berada di atas tempurung kepala kaki kiri dan kanan.

Sekali pandang, datuk bagaikan pahlawan Melaka menyambut kedatangan pahlawan Majapahit.

"Harun."

"Iya memanda."

"Kamu tahu apa yang berada dalam bilik berkunci tembaga?" Harun Fadillah nampak terkejut dengan pertanyaan yang tidak diduganya. Begitu juga dengan Nonong.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 207/284

BACA: SBDJ Siri 206: Di Datangi Kelawar Mata Merah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, August 20, 2024

Pembohongan Dan Penjajahan Amerika Syarikat Atas Nama Perdamaian!

Pembohongan Dan Penjajahan Amerika Syarikat Atas Nama Perdamaian!

Pertempuran hakiki adalah menentang peradaban kapitalisme yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dan Barat yang licik menggunakan para penguasa negara umat Islam dan semua yang dimilikinya dan apa sahaja dimiliki para penguasa negara umat Islam dalam bentuk potensi kewangan untuk membeli perlindungan serta media massa untuk memasarkan demokrasi dan Hak Asasi Manusia dan mempercantik kekufuran dan memasarkannya.

Pembohongan Amerika Syarikat

Sebagai contoh, seruan negara sivil pluralisme demokrasi yang menjauhkan agama daripada kehidupan dan pemerintahan. Sehingga masanya tiba bagi dunia ketiga, khususnya umat Islam sebagai pihak yang paling merasai penderitaan untuk menentang penindasan sehingga kemerdekaan hakiki dengan tegaknya peradaban Islam menjadi kenyataan di bumi ini.

Sebuah artikel A Century of Lies: The Rationales for Engaging in Foreign Wars, A Century-old White House Tradition (James F Tracy) memaparkan sebahagian kecil pembohongan Amerika Syarikat tentang alasan perang di luar negara yang sudah menjadi tradisi di Rumah Putih sepanjang abad terakhir ini.

Berikut adalah catatan pembohongan yang telah menyumbang aktif kepada berlakunya penjajahan dan pertumpahan darah yang besar dan kemusnahan di pelbagai negara.

1. Woodrow Wilson: Tenggelamnya Kapal Lusitania – Perang Dunia I, 1917-1918

"Ini adalah perang melawan semua bangsa. Nyawa warga Amerika diragut, kita perlu menyiasatnya; warganegara-warganegara lain yang neutral juga telah diragut nyawanya dengan cara yang sama. Tidak ada diskriminasi. Ini adalah jenayah menentang seluruh umat manusia.

"Setiap negara perlu memutuskan sendiri bagaimana menghadapi jenayah ini. Pilihan yang tepat untuk bangsa kita mesti sesuai dengan watak dan tujuan kita sebagai bangsa. Kita perlu mengetepikan perasaan dendam.

"Motif kita (untuk berperang) bukanlah membalas dendam atau beradu kekuatan fizikal bangsa ini, melainkan pembelaan ke atas hak asasi manusia dan kitalah satu-satunya pemenang." (April 2, 1917)

Catatan:

Pada 7 Mei 1915, kapal Lusitania milik British tenggelam di luar pantai Ireland dan membunuh 1,200 penumpang daripada pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat. Kononnya, kapal itu tenggelam akibat serangan torpedo tunggal kapal selam Jerman.

Tenggelamnya kapal ini menjadi alasan bagi Amerika Syarikat untuk melibatkan diri dalam Perang Dunia I dan pasukan Berikat pun mencapai kemenangan.

Namun, kecurigaan timbul: mengapa kapal itu tenggelam dengan sangat cepat ke bawah permukaan laut? Hal ini hampir tidak mungkin berlaku apabila kapal hanya ditembak oleh torpedo tunggal.

Kemungkinan, kapal awam itu membawa peluru haram dan berlaku letupan kuat akibat puting beliung.

Menggunakan kapal awam untuk membawa peluru dan peralatan perang yang lain adalah melanggar perjanjian antarabangsa.

2. Franklin D. Roosevelt: Pearl Harbor-Perang Dunia II, 1941-1945

"Semalam, 7 Disember 1941 – tarikh yang diingati dalam kehinaan – Amerika Syarikat tiba-tiba dan sengaja diserang oleh angkatan laut dan udara kerajaan Jepun.

"Amerika Syarikat sudah berdamai dengan negara itu dan atas permintaan Jepun, masih dalam rundingan untuk membawa perdamaian di Pasifik.

"Jarak Hawaii dari Jepun meyakinkan kita bahawa adalah jelas serangan itu sengaja dirancang beberapa hari atau bahkan berminggu-minggu yang lalu.

"Dalam tempoh itu, kerajaan Jepun telah sengaja berusaha untuk menipu Amerika Syarikat dengan memberikan kenyataan palsu mengenai harapan perdamaian." (8 Disember 1941)

Catatan:

Ada sesuatu yang pelik dalam peristiwa ini; pada tarikh 4 Disember, 3 hari sebelum serangan itu, pihak perisikan Australia memberitahu Amerika Syarikat mengenai pergerakan armada Jepun yang menuju Pearl Harbour, tetapi Amerika Syarikat tidak menghiraukannya.

Kemudian, dalam sebuah catatan jurnal yang dibuat oleh Menteri Angkatan Perang Roosevelt, Henry Stimson, bertarikh 25 November 1941, mengandungi perbualan beliau dengan Roosevelt: "Persoalannya adalah bagaimana untuk membuat pihak Jepun menyerang terlebih dahulu. Hal itu memang diharapkan supaya terlebih dahulu dilakukan oleh pihak Jepun supaya tidak ada sedikitpun keraguan ke atas siapa yang menjadi pihak penyerang."

Beberapa bulan sebelum berlakunya serangan terhadap Pearl Harbour, Roosevelt melakukan semua perkara yang boleh mencetuskan kemarahan pihak Jepun dengan menunjukkan dasar-dasar yang agresif.

Dia menghentikan semua import minyak Jepun dari syarikat minyak Amerika. Dia membekukan semua aset milik Jepun di Amerika.

Dia memberi pinjaman secara terbuka kepada kumpulan Nasionalis China serta membekalkan senjata kepada British dan kedua-duanya merupakan musuh Jepun dalam perang yang sekaligus juga bermakna melanggar undang-undang antarabangsa yang mengatur perang.

Jadi, seperti yang memang diharapkan berlaku, pada tarikh 7 Disember 1941, Jepun menyerang Pearl Harbour sehingga membunuh 2400 orang tentera.

Sebelum peristiwa Pearl Harbour, 83% masyarakat Amerika tidak mahu Amerika terlibat dalam perang.

Selepas peristiwa Pearl Harbour, 1 juta orang mendaftar untuk menjadi sukarelawan perang.

3. Harry S. Truman: Ancaman Komunisme, Pelanggaran UN Charter-Perang Korea 1950-1953

"Pada hari Ahad, 25 Jun, pasukan Komunis menyerang Republik Korea. Serangan ini telah menjelaskan semua keraguan bahawa gerakan Komunis Antarabangsa telah melakukan pencerobohan bersenjata untuk menakluk negara-negara yang merdeka.

"Tindakan serangan seperti ini mewujudkan bahaya yang sangat jelas terhadap keselamatan semua negara merdeka. Serangan terhadap Korea adalah pelanggaran ke atas perdamaian dan pelanggaran ke atas Piagam PBB.

"Dengan tindakan mereka di Korea, pemimpin Komunis telah menunjukkan kebencian mereka terhadap prinsip-prinsip moral yang menjadi landasan penubuhan PBB.

"Ini adalah satu cabaran langsung kepada usaha negara-negara merdeka dalam membina dunia yang bebas dan aman.

"Cabaran ini telah disajikan dengan jitu dan kita perlu menghadapinya dengan jitu juga." (19 Jun 1950)

Catatan:

Sebulan kemudian, Truman berjaya memujuk Kongres Amerika Syarikat untuk meningkatkan belanjawan perang demi ‘mengelakkan penyebaran Komunisme di dunia’.

Amerika Syarikat melibatkan diri dalam Perang Korea dengan cara menghantar pasukan untuk membantu Korea Selatan, melawan Korea Utara yang disokong oleh Soviet Union.

IF Stone dalam bukunya ‘Hidden Story of the Korean War’ antara lain menyebut bahawa Korea Selatan memang sengaja memancing serangan Korea Utara.

Ketika Amerika Syarikat terjun ke dalam perang, siapa yang mengambil keuntungan? Sudah tentu, para broker perang (the industrial military complex).

4. Lyndon B. Johnson: Insiden Teluk Tonkin, "Domino Effect" - Perang Vietnam, 1964-1974; "Perang Melawan Kemiskinan"

"Malam tadi saya mengumumkan kepada rakyat Amerika bahawa rejim Vietnam Utara telah melakukan serangan lanjut yang disengajakan terhadap kapal tentera laut Amerika Syarikat yang beroperasi di perairan antarabangsa.

"Oleh kerana itu, kita melancarkan serangan udara yang berjaya menyebabkan kerosakan besar kepada kapal dan kemudahan (Vietnam Utara). Dua kapal terbang Amerika Syarikat hilang dalam operasi ini.

"Selepas berunding dengan para pemimpin Kongres, saya juga mengumumkan keputusan untuk meminta Kongres supaya menyokong usaha Amerika Syarikat dalam melindungi kebebasan dan keamanan di Asia Tenggara.

"Tindakan rejim Vietnam Utara ini telah menyebabkan perubahan besar terhadap situasi Asia Tenggara yang sudah sangat serius." (5 Ogos 1964)

Catatan:

Tarikh 4 Ogos 1964, kapal USS Maddox dan USS Turner Joy menjalankan rondaan bersama di sepanjang Teluk Tonkin yang berjarak kira-kira 18 km dan pantai Vietnam Utara.

Tiba-tiba ada serangan daripada kapal-kapal torpedo Vietnam Utara (menurut versi Vietnam Utara, ketika itu kapal Amerika Syarikat menjalankan misi perisikan dan memang sengaja memancing serangan).

Presiden Johnson memerintahkan Angkatan Udara dan Laut Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan udara terhadap pangkalan kapal-kapal torpedo Vietnam Utara. Seterusnya, Amerika Syarikat menghantar tenteranya ke Vietnam.

Sekali lagi, yang mendapat manfaat secara kewangan sudah tentu para broker perang (the industrial military complex).

5. Richard M. Nixon: "Vietnamisasi"; Pengeboman Kemboja, 1969-1973, "Perang Menentang Jenayah"

"Malam ini, Amerika dan Vietnam Selatan akan menyerang seluruh ibu pejabat operasi ketenteraan komunis di Vietnam Selatan. Ini bukan pencerobohan ke atas Kemboja.

"Kami mengambil tindakan ini bukan bertujuan untuk memperluaskan perang ke Kemboja, tapi untuk tujuan mengakhiri perang di Vietnam dan mewujudkan perdamaian dengan adil.

"Kami akan terus melakukan segala usaha untuk menamatkan perang ini melalui rundingan di meja persidangan daripada melalui pertempuran di medan perang.

"Pengumuman saya ini sekaligus memberitahu pemimpin Vietnam Utara bahawa kami mahu bersabar untuk mengusahakan keamanan di meja mesyuarat, tetapi kami tidak akan dipermalukan. Kami tidak akan kalah." (30 April 1970)

Catatan:

Konflik Vietnam merebak ke Kemboja. Nixon menyatakan bahawa Vietnam Utara telah memperluaskan serangannya ke pelbagai wilayah, termasuk Kemboja.

Di Kemboja, tentera Parti Komunis Kemboja bersekutu dengan Republik Demokratik Vietnam (Vietnam Utara) dan Front Pembebasan Vietnam Selatan, menentang pemerintah Kemboja yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Republik Vietnam (Vietnam Selatan).

Nixon kemudian memerintahkan tentera Amerika Syarikat untuk melakukan pengeboman secara besar-besaran di Kemboja dengan alasan mencegah pasukan komunis daripada berkuasa.

6. Ronald Reagan: Mengirim Marin ke Beirut 1983, Pencerobohan Grenada 1983, Pengeboman Libya 1986, Perang Dingin 1981-1989, Iran-Contra 1985

"Secara keseluruhan, Reagan berkata ‘Saya tidak ingat’ 88 kali dalam lapan jam keterangan mengenai kes Iran-Contra pada 16-17 Februari 1990," tulis New York Times.

"Aku masih ingat diberitahu bahawa ada ejen atau pemerintahan dalam peringkat tertentu, yang tidak dilarang oleh Pindaan Boland, dan saya ingat itu.

"Dan saya mengatakan bahawa kita perlu tetap berada dalam koridor undang-undang dan sebagainya. Dan saya tidak pernah mencabar atau mempersoalkan apa yang diberitahu kepada saya..." (Pada dasarnya, Ronald Reagan menyatakan tidak tahu menahu tentang Iran-Contra).

Catatan:

Pada 1982, seramai 96 warga negara asing, sebahagian besarnya warga Amerika Syarikat dan Eropah Barat, telah diculik oleh kumpulan yang tidak dikenali.

Amerika Syarikat percaya pelakunya adalah Hizbullah (walaupun Hizbullah tidak pernah mengakui secara rasmi perkara ini). Kerana Hizbullah adalah sekutu Iran, Amerika Syarikat pun terpaksa mendekati Iran untuk meminta bantuan.

Iran yang pada ketika itu sedang diserang oleh Iraq dan sangat memerlukan senjata untuk mengusir Iraq dengan cepat mengambil peluang itu. Iran bersedia membantu pembebasan tebusan dengan imbalan pemberian senjata.

Amerika kemudiannya menghantar senjata untuk Iran melalui pihak ketiga (gerila Contra), namun Iran mempermainkan Amerika seperti boneka.

Walaupun beribu-ribu peluru berpandu dan senjata telah dikeluarkan, Iran memperlambat pembebasan tebusan. Iran bahkan mendedahkan kesepakatan rahsia itu kepada umum setelah tujuannya mendapatkan senjata tercapai.

Akibatnya skandal terbongkar pada tahun 1986. Pemerintah Amerika mendapat aib, sementara Iran berjaya mengusir Iraq (yang sejak awal perang disokong oleh Amerika Syarikat) pada tahun 1988.

7. George HW Bush: Pencerobohan Panama 1989, Perang Teluk 1991

"Dan saya sangat mengambil berat, tidak hanya tentang serangan fizikal, tetapi juga atas kekejaman (Iraq) seperti yang dilaporkan oleh Amnesty International; yang mengesahkan beberapa cerita yang sampai kepada kami daripada Amir (Kuwait).

"Hal ini sukar dipercayai, kekejaman yang telah diceritakannya. Maksud saya, cerita tentang kabel mesin dialisis yang dicabut daripada pesakit, dan mesin dialisis itu dihantar ke Baghdad; bayi yang dikeluarkan dari inkubator dan inkubator itu dihantar ke Baghdad.

"Saya tidak tahu berapa banyak daripada kisah-kisah ini boleh disahkan, tetapi saya tahu dengan pasti bahawa Amir (Kuwait) bercakap daripada lubuk hatinya.

"Dan selepas itu, datang Amnesty International, yang mendapat maklumat dari ramai orang di sempadan, dan ia sangat menjijikkan." (9 Oktober 1990)

Catatan:

Cerita bohong tentang inkubator itu diungkapkan oleh seorang gadis bernama Nariyah (15 tahun). Dalam program televisyen ABC's Nightline dan NBC Nightly News, sambil menangis dia menceritakan kejahatan tentera Iraq yang membunuh lebih kurang 300 bayi di hospital Kuwait.

Kisahnya menimbulkan gelombang kebencian terhadap Saddam Hussein. Dengan cepat Bush berjaya menggerakkan sokongan antarabangsa dan pada tahun 1991, dilancarkan Operasi Badai Gurun: menyerang Kuwait dan mengusir tentera Iraq.

Beberapa tahun kemudian terungkap bahawa Nariyah tidak lain adalah anak perempuan Sheikh Saud Nasser Al-Saud Al-Sabah, Duta Besar Kuwait untuk Amerika Syarikat.

Sebelum tampil di acara televisyen itu, dia belajar berlakon dahulu di Hill & Knowlton.

8. William J. Clinton: "Pencerobohan Kemanusiaan" - NATO di Bosnia dan Herzegovina 1995, "Pencerobohan Kemanusiaan" - NATO di Yugoslavia 1999

"Penyelaras kemanusiaan kami, Brian Atwood yang baru sahaja pulang dari kawasan itu, menceritakan pertemuannya dengan seorang wanita Albania tua di sebuah kem di luar Tirana.

"Wanita itu melihat semua lelaki anggota keluarganya dan sebahagian besar lelaki di kampungnya ditangkap oleh pihak berkuasa Serbia, diikat, disimbah dengan minyak petrol dan dibakar di hadapan keluarga mereka.

"Ini adalah jenis cerita yang akan menjadi terlalu dahsyat untuk dipercayai jika sahaja cerita ini tidak selaras dengan apa yang telah disampaikan oleh begitu ramai pelarian lain.

"Apa yang perlu kita ingat adalah bahawa ini adalah jenayah yang dirancang dengan cermat bukan insiden akibat kemarahan yang tidak terkawal semata-mata; ini adalah jenayah yang dilakukan oleh pemerintah Beograd untuk tujuan politik yang tertentu, iaitu untuk mempertahankan kawalan mereka ke atas Kosovo. Tindakan mereka ini mesti dikalahkan." (April 28, 1999)

Catatan:

Khusus untuk Bosnia, naratif yang biasanya sampai kepada kita adalah: Bosnia yang Muslim mahu mendirikan negara sendiri, kemudian diperangi oleh tentera Kristian Serbia.

Persoalannya: Mengapa Amerika Syarikat dan NATO begitu bersemangat untuk ikut berperang, mengebom habis-habisan wilayah itu (dan mengambil kedudukan untuk membela Bosnia-Muslim)?

Sudah tentu jawapannya memerlukan penyelidikan mendalam. Namun yang jelas, hasil akhirnya adalah liberalisasi ekonomi di kawasan tersebut dan ini didedahkan oleh Bank Dunia.

"...usaha yang lebih besar perlu diberikan dalam membina struktur lembaga yang layak untuk pemerintahan yang efektif seperti yang digariskan dalam Perjanjian Dayton dan melaksanakan reformasi struktural utama untuk mengubah struktur ekonomi sosialis lama kepada yang baru, iaitu ekonomi berasaskan pasar." (Bank Dunia 1997).

9. George W. Bush: Al-Qaeda - "War on Terror" 2001-sekarang, Pencerobohan ke atas Iraq 2003

"Menghadapi bukti yang jelas dan risiko bahaya ini, kita tidak boleh menunggu sehingga bukti terakhir sampai, iaitu asap senapang yang boleh datang dalam bentuk awan cendawan (ledakan senjata biologi).

"Dalam memahami ancaman ini dengan melihat bentuk dan penipuan rejim Iraq, kita mempunyai sebab untuk mengandaikan yang terburuk dan kita mempunyai tugas yang mendesak untuk mengelakkan kemungkinan terburuk itu berlaku." (6 Oktober 2002)

Catatan:

Bush Jr 'memujuk' Kongres Amerika Syarikat supaya meluluskan serangan ke atas Iraq dengan alasan Saddam mempunyai senjata biologi.

Pada tahun 2003, serangan itu dilakukan, Saddam terguling dan hingga ke hari ini sebahagian tentera Amerika Syarikat masih kekal di Iraq.

Kontrak minyak dan gas serta projek-projek pembinaan semula, sudah tentu jatuh ke tangan para pemegang saham perang ini (syarikat-syarikat milik Zionis).

Dan kemudian terbukti, Saddam sama sekali tidak menyimpan senjata biologi itu.

10. Barack H. Obama: "Pencerobohan Kemanusiaan" - NATO (serangan ke atas Libya) 2011, "Pencerobohan Kemanusiaan" (pencerobohan di Syria) 2011-sekarang

"Dalam situasi yang rentan seperti ini, sangat penting bagi negara-negara di dunia untuk bercakap dengan satu suara dan ia telah menjadi fokus kami.

"Semalam Majlis Keselamatan PBB secara sebulat suara menghantar mesej yang jelas iaitu mengutuk keganasan di Libya, menyokong akauntabiliti pelakunya dan membela rakyat Libya.

"Seperti semua pemerintahan, kerajaan Libya mempunyai tanggungjawab untuk mengelakkan keganasan serta untuk mengizinkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan untuk menghormati hak-hak rakyatnya.

"Kerajaan Libya perlu bertanggung jawab ke atas kegagalan untuk memenuhi tanggung jawab tersebut dan pada pelanggaran HAK ASASI MANUSIA yang berterusan." (22 Februari 2011)

Catatan:

Pada bulan Mei 2011, NATO di bawah pimpinan Amerika Syarikat membedil Libya dan merosakkan sangat banyak infrastruktur negara tersebut (dan kemudian, sekali lagi, projek pembinaan semulanya dipegang oleh syarikat Barat dan pembiayaannya dilakukan oleh pemerintah baru Libya dengan berhutang kepada IMF dan lain-lain).

Pembohongan diteruskan oleh Obama di Syria. Rejim Assad dituduh sebagai pelaku serangan senjata kimia pada tarikh 21 Ogos 2013 lalu, walaupun belum ada keputusan siasatan rasmi oleh PBB dan pelbagai kejanggalan ke atas kes ini telah didedahkan.

Pejuang Islam di Syria yang membawa projek Islam, yang tegak di atas hukum Allah semata-mata dengan tujuan mendirikan negara Islam sedang diperangi secara agresif oleh Amerika serta Eropah, Rusia dan Cina, serta boneka-boneka mereka.

Sementara Amerika Syarikat memaksakan projek negara sekular yang tegak di atas hukum buatan manusia serta ingin mempertahankan rejim Syria dan hanya mengubah rejim tidak disukai sahaja.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 206: Di Datangi Kelawar Mata Merah

SBDJ Siri 206: Di Datangi Kelawar Mata Merah

Saya jadi bosan berhadapan dengan kerenah datuk dan Harun Fadillah, tidak habis-habis dengan persoalan keluarga. Dan saya tidak berdaya keluar dari suasana yang menjemukan itu. Saya tidak berani menyatakan rasa bosan itu kepada datuk. Takut kena herdik. Mahu tidak mahu, terpaksa menjadi manusia pendengar yang paling setia di dalam suasana yang sungguh menjemukan perasaan.

Toyol jadi-jadian

Secara mengejut telapak tangan kiri datuk menepuk lantai. Dengan serta merta dia bangun seperti mahu membuka buah silat. Bersama wajah yang tenang, datuk mendada melangkah ke pintu.

"Huss..."

Datuk mendengus dan serentak dengan itu dia menolak daun pintu. Aneh sungguh, pintu yang diselak terbuka sendiri. Angin malam pun merempuh masuk, sambil berdiri di muka pintu datuk merenung ke arah halaman Istana Maimun.

"Lagi apa katanya, Run?"

Datuk memusingkan badan, membelakangi halaman Istana Maimun merenung ke arah saya dan Harun Fadillah.

"Arwah memberitahu saya, semua rahsia, semua pantang larang sudah diceritakan kepada Memanda semasa hayatnya. Bila sampai masanya Memanda akan menolong, jika diminta," suara Harun Fadillah tersangkut-sangkut. Mukanya nampak cemas.

Angin malam bertambah hebat merempuh masuk membawa kertas dan dedaun ke ruang tamu. Beberapa ketul bebatu kecil berterbangan menghentam belakang datuk.

Dengan pantas datuk memusingkan badan lalu merapatkan kembali daun pintu yang terbuka. Perlahan-lahan datuk melangkah ke arah kami, terus duduk bersila ditempat semula.

Ada sesuatu yang ganjil dapat saya rasakan pada diri datuk. Dia berhadapan dengan kami. Mata kami dengan matanya berlaga tetapi, dia tidak melafazkan sepatah kata. Dengan tenang sepasang tangannya di dakap ke dada.

Kedua-dua belah kelopak matanya dirapatkan dan sepasang bibirnya bergerak-gerak. Kerana akrab dengannya saya dapat membaca gerak bibirnya. Saya pasti, datuk membaca surah yassin hingga tamat.

Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata. Seluruh dahinya berpeluh dan beberapa bahagian bajunya basah kerana peluh. Dari arah dapur terdengar seperti ada orang yang berjalan.

Dengan secara tiba-tiba saja, bulu roma saya tegak berdiri. Datuk renung muka Harun Fadillah.

"Dalam rumah ni, ada bilik larangan dan..." Datuk berhenti bercakap.

Badannya terlayah ke belakang seperti ada yang menolaknya. Bersusah payah datuk membetulkan kedudukan tubuhnya kembali.

Bila dirasakan cukup selesa, sepasang mata datuk mula melilau ke setiap sudut ruang. Dan renungan itu terpaku pada daun pintu yang bermanggakan tembaga putih. Tidak berkelip datuk merenung ibu kunci yang tergantung di situ.

"Agaknya, bila aku boleh berjumpa dengan si Nonong, Run?" dengan segera datuk mengalih pandangan dari pintu bilik bermangga tembaga putih ke wajah Harun Fadillah yang nampak resah tidak menentu.

Seluruh wajah Harun Fadillah berada dalam anak mata saya. Penuh debar saya menanti jawapan yang bakal dituturkan oleh Harun Fadillah untuk datuk.

PARAS

TERLALU lambat rasanya Harun Fadillah mahu membuka mulut. Jawapan dari Harun Fadillah menentukan, sama ada saya berpeluang untuk melihat rupa kakak sulungnya.

Memang, saya teringin sekali mahu melihat kecantikan paras rupa si Nonong sebagaimana yang didakwa oleh datuk. Adakah Nonong lebih cantik dari Mia gadis keturunan harimau?

"Dua hari lagi, Memanda."

Suara Harun Fadillah penuh keyakinan. Dia menarik dan melepaskan nafas. Dan kali ini biji mata datuk yang bercahaya ditentangnya.

"Kalau begitu, aku tunggu kepulangannya," datuk tegakkan batang leher, sinar matanya memancarkan sebuah keyakinan.

"Itulah yang sebaik-baiknya dan itulah harapan saya," wajah Harun Fadillah dibalut keriangan. Senyum pun berlari dikelopak bibimya.

BIOLA

SUARA alunan biola dan gendang dari halaman Istana Maimun sudah lama berhenti. Deru kereta sudah agak berkurangan tetapi, lampu jalanan terus mengerdip. Kedinginan malam terasa mengigit kulit.

Masalah Nonong, sudah tidak menjadi bualan atau perbincangan utama antara datuk dengan Harun Fadillah. Jam tua di dinding pun berdenteng sebelas kali.

"Mengantuk?" Soal Harun Fadillah bila dia melihat saya menguap panjang.

"Boleh tahan lagi," saya menjawab.

Harun Fadillah senyum, dia sudah menyediakan bilik yang berasingan untuk saya dan datuk. Bilik besar yang berdepan dengan beranda untuk datuk. Saya disuruh tidur dibilik kecil bersebelahan dengan bilik yang pintunya bermangga tembaga putih.

Pada mulanya, saya berhasrat tidak mahu tidur dibilik yang ditawarkan. Sebabnya, bukan apa-apa. Setiap kali saya memandang mangga tembaga putih yang tergantung dipintu, terasa seram dan bila direnung lama-lama, pandangan saya jadi berpinar-pinar. Kepala terasa pening. Tekak jadi loya dan mahu muntah.

Bila difikirkan, mungkin itu adalah perasaan semata-mata. Hasrat itu saya saya batalkan. Lagipun jarak antara bilik saya dengan bilik datuk tidak jauh.

Jika terjadi sesuatu yang diluar dugaan saya, saya boleh memanggil atau berlari saja ke bilik datuk. Saya menguap lagi, entah kali yang ke berapa saya sendiri tak tahu.

"Nampaknya kamu dah mengantuk, pergilah tidur," Harun Fadillah tersenyum ke arah saya.

Barangkali, dia sudah menghitung berapa kali saya tersengguk. Kalau tidak, masakan dia boleh memberikan komentar sedemikian, fikir saya.

"Pergilah tidur," datuk menyokong saranan Harun Fadillah.

Saya segera patuh dengan saranan mereka berdua, terus bangun. Dengan dada yang berdebar saya melangkah ke bilik bermangga tembaga. Sebelum mangga tembaga disentuh, saya renung ke arah Harun Fadillah dan datuk.

"Tidak berkunci, mangga kecil sengaja ditaruh disitu," terang Harun Fadillah.

"Tolak saja pintu."

Saya amati penjelasan itu dengan wajah tenang dan senyum. Kedudukan mangga, saya alihkan dan daun pintu ditolak. Suis lampu saya petik.

Seluruh ruang bilik terang benderang. Ada katil bertilam tebal dengan cadar kain berwarna belang harimau, sarung bantalnya pula kain yang bercorak kulit ular sawa. Bantal peluk dengan sarung kain yang bersorak kulit buaya.

Ada meja kecil dan lampu untuk membaca, terdapat beberapa buah majalah hiburan terbitan Kota Medan.

PATUNG

BERSEBELAHAN susunan majalah terdapat sepasang patung kuda sedang berlaga yang dibuat daripada kayu keras. Patung yang sudah dikilat dengan sejenis kimia nampak bercahaya.

Bila kaki patung itu disentuh dengan hujung jari, seluruh sendi tangan saya seperti terkena kejutan letrik. Saya batalkan hasrat hati untuk menyentuh atau melurut seluruh badan patung tersebut.

Tingkap kamar saya buka, kelihatan kabus nipis mula bangkit. Kubah Masjid Raya jelas kelihatan. Sekumpulan kelawar liar berterbangan sambil berbunyi. Melepaskan makanan (buah) yang digonggong, menimpa pondok burung merpati berdekatan. Kerana terkejut beberapa ekor burung merpati berterbangan.

Saya terperanjat, kumpulan kelawar liar itu terus menyerang burung merpati yang terbang tidak keruan, di malam kelam.

Seekor merpati yang menjadi mangsa, entah macam mana masuk ke bilik, jatuh terkapar dilantai hujung katil. Burung itu menggelepar kesakitan sebelum keras dan kaku dilantai.

Merpati malang itu saya periksa dengan teliti. Satu persatu bulu lehernya saya selak dan saya temui dua lubang kesan gigitan dari gigi yang tajam. Ada darah beku di situ.

"Keriaaaaaaaakkkkk..."

Merpati ditangan, saya lepaskan. Mata saya merenung ke lelangit bilik. Seekor kelawar berbadan besar, bermata merah menyeringai ke arah saya sambil membuka sayapnya lebar-lebar.

Kelawar besar itu menjerit, mempamerkan gigi dan siungnya yang tajam. Suara yang dikeluarkannya sekejap kasar, sekejap halus dalam berbagai bentuk dan irama yang menyeramkan.

Matanya bertambah merah menyala. Saya jadi cemas, tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya terfikir untuk mengusir kelawar ganjil yang bergayut di lelangit bilik dengan patung kuda berlaga ke arahnya.

Bila tangan saya menyentuh badan patung dengan segera kelawar menyambar patung tersebut lalu dicampakkan ke atas tilam. Saya termanggu.

"Keluarlah, jangan ganggu aku," kata saya ke arah kelawar yang terbang berlegar-legar di ruang bilik.

Bagaikan mengerti dengan bahasa yang saya ucapkan, kelawar ganjil menyambar bangkai merpati lalu dibawa keluar. Dengan serta merta daun tingkap saya rapatkan. Saya berdoa, semoga peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.

Patung kuda berlaga yang berada di atas tilam segera saya ambil dan meletakkan kembali ditempat asalnya. Perlahan-lahan badan direbahkan. Mungkin kerana keletihan atau terlalu mengantuk, saya terus terlelap.

Kira-kira jam dua pagi, saya terjaga. Ibu jari kaki kiri bagaikan disentap sesuatu. Dengan segera saya melompat dari katil lalu memetik suis lampu.

LAMPU

Di bawah sinar lampu panjang, setiap sudut ruang bilik, malah bawah katil saya jenguk, mencari makhluk yang menyentap ibu jari kaki kiri hingga saya terjaga dari tidur. Tidak ada apa-apa yang saya temui.

Saya berusaha menyambung tidur yang terganggu. Tetapi, usaha itu tidak berhasil. Puas saya rapatkan kelopak mata. Peluk bantal guling, pusing kiri-pusing kanan-menelentang dan meniarap. Semuanya tidak menjadi.

Akhirnya, terus duduk memeluk kepala lutut. Fikiran saya terus bercelaru. Wajarkah saya pergi ke bilik datuk?

"Keeerrriiiiiuuuuukkkkk..."

Terdengar daun pintu, bermangga tembaga putih ditolak dari luar dan dituruti dengan bunyi telapak kaki orang berjalan dalam bilik.

Tidak lama berselang, terdengar suara orang yang bercakap sendirian. Bila suara orang bercakap itu hilang, terdengar bunyi kain dikoyak bertalu-talu.

Bau kemenyan mula menusuk lubang hidung. Serentak dengan itu terdengar bunyi dinding dicakar dan ditumbuk. Suara kelawar dan cengkerik saling tingkah meningkah diluar rumah. Sayup-sayup kedengaran suara salakan anjing liar. Bau kemenyan bertukar bau hangit seperti bau rambut yang dibakar.

Suasana yang terjadi membuat saya cemas dan mengigil. Tetapi, hati kecil saya membuat keputusan agar tabah menghadapi keadaan yang gawat itu.

Ayat-ayat dari Al-Quran segera saya baca. Peliknya, makin kerap saya baca ayat-ayat Quran, makin kuat pula bunyi papan dinding dicakar. Suara kelawar dan cengkerik makin keras. Bau rambut dibakar terus mencucuk lubang hidung.

Suara orang bercakap sendirian makin rancak diselang seli dengan suara orang ketawa dan batuk-batuk kecil.

"Aku harus mendapatkan datuk."

Saya membuat keputusan dan terus berdiri. Tiba-tiba lampu dalam bilik padam. Batang leher saya disentuh oleh sepasang tangan berbulu. Bila mahu menjerit minta tolong, telapak tangan berbulu tebal menekup mulut.

Dengan penuh kekuatan saya meronta-ronta. Dalam perjuangan antara hidup dan mati itu, lampu dalam bilik bercahaya kembali.

"Apa yang mesti saya lakukan? Tidak wajar rasanya mengganggu datuk. Biarlah saya hadapi semuanya ini. Rasanya, saya mampu berhadapan dengan cubaan syaitan laknat ini," sambil menggenggam penumbuk saya membuat keputusan nekad.

KATIL

DENGAN semangat dan keyakinan yang tinggi, katil saya renung. Bantal, gebar, buku dan cadar berserakkan. Aneh, saya diganggu oleh telapak tangan berbulu di lantai. Kenapa pula barang di atas katil yang bertaburan?

Di dalam seribu persoalan yang belum selesai. Saya menarik nafas dalam-dalam sambil menjeling ke sudut bilik.

"Ada kesan telapak kaki di lantai," bisik batin saya, setelah sepasang anak mata tertumpu ke arah tanah merah yang masih basah, membentuk bekas telapak kaki.

Setelah diamati-amati, telapak kaki itu memang ganjil, bukan telapak kaki manusia.

Panjangnya lebih dari dua belas inci, lebarnya hampir tujuh inci. Ibu jarinya berbentuk seperti anak lesung batu. Jumlah jarinya lebih dari dua belas jari.

Dalam tompokan tanah liat merah, terdapat bulu yang berwarna kekuning-kuningan yang panjangnya saya kira lebih dari dua inci. Saya terpegun dan terkaku berhadapan dengan keadaan yang tidak pernah saya fikirkan.

Suara-suara ganjil yang menyeramkan dari bilik sebelah kian gamat dalam berbagai-bagai nada.

Malam yang dingin terasa membahang, suara cengkerik, suara anjing liar dan burung-burung malam terus berbunyi. Terdengar suara wanita mengeluh, mengerang, merayu minta dikasihani. Tidak lama berselang, terdengar suara orang membaca mentera dan jampi serapah.

Perasaan saya terus berperang, sama ada mahu memanggil datuk atau tidak. Setelah ditelek dan ditimbang secara terperinci, biarlah datuk dengan urusannya. Biarlah datuk membaca Al-Quran dan melakukan sembahyang sunat. Tugas yang bakal dilakukannya bukanlah sesuatu yang mudah. Keputusan muktamad segera saya rumuskan.

Dengan tenang saya duduk bersila di lantai dekat pintu. Rasanya cukup selamat berada dekat pintu, kalau ada apa-apa yang tidak saya senangi, mudah bertindak mudah buka pintu lalu lari masuk ke bilik datuk minta bantuan.

Sambil duduk bersila saya manfaatkan kekuatan lahiriah dan batiniah agar kelopak mata tidak terkatup-tidak rasa mengantuk.

Begitulah, antara sedar dengan tidak, bunyi yang gamat dibilik sebelah terus berlaku. Saya persetankan semuanya itu.

"Haaaaa..." terpancut dari mulut saya.

Pintu bilik terus diketuk bertalu-talu dengan kuat sekali.

"Tamar."

Saya membisu sambil memasang telinga. Boleh jadi yang menyeru nama saya itu, suara syaitan. Tidak wajar dilayan, kalau dilayan nanti diri sendiri yang masuk perangkap dan binasa.

"Tamar, Tamar buka pintu ni."

Setelah saya yakini bahawa itu adalah suara datuk, pintu segera saya buka. Wajah datuk nampak serius.

"Kamu berwirid, Tamar?" Tanya datuk.

Saya tersenggih sambil menggelengkan kepala.

"Habis, apa yang kamu buat, berjaga tidak tentu fasal.

"Saya tak boleh tidur tuk."

"Ada sesuAtu yang mengganggu kamu Tamar?"

Saya anggukkan kepala.

Datuk langkah, tiga langkah ke hadapan. Matanya merenung ke arah tilam dan bantal yang bertaburan atas katil. Kening datuk berkedut, bila dia melihat longgokan tanah hitam di lantai.

Tadi, warna tanah liat itu kemerah-merahan, entah bila pula bertukar menjadi hitam bagaikan arang. Semuanya itu membuat saya resah semacam. Datuk renung batang hidung saya kembali.

"Huuuhhhhh..." keluh datuk,

"Patutlah sepanjang malam aku resah semacam," sambung datuk.

BIBIR

DATUK melangkah lagi, lebih jauh ke tengah ruang bilik. Kali ini anak matanya melilau, apa yang didalam bilik direnungnya dengan teliti.

Bila melihat patung kuda berlaga, dia menggigit bibir sambil menelan air liur. Saya lihat kelopak mata kirinya mengecil dan anak mata kirinya bagaikan berhenti dipinggir kelopak mata tersebut. Bagaikan ada sesuatu yang dapat dilihatnya dari patung kuda berlaga itu secara kebatinan.

"Hummm, dah dekat waktu subuh, pergilah mandi, boleh kita berjemaah di Masjid Raya, aku dah selalu sembahyang di situ. Kamu, baru inilah kali pertama," lembut suara datuk dalam suasana subuh yang dingin.

"Iya, tuk."

"Kalau begitu, aku tunggu kamu di luar."

"Baik tuk."

Datuk melangkah keluar, saya masuk ke bilik air.

Setelah mandi dan menukar pakaian, saya segera mendapatkan datuk yang menunggu diberanda. Saya kira berseorangan, rupa-rupanya Harun Fadillah berada di situ.

Tanpa membuang masa, kami segera meninggalkan rumah menuju masjid. Sebaik saja sampai di pekarangan Masjid Raya, azan subuh pun dilaungkan. Terasa syahdu dan sayu sekali meresapi kalbu tanpa disedari air mata mengalir di pipi.

Jumlah para jemaah agak ramai juga. Hampir semuanya mengenali Harun Fadillah. Malah, ada yang berpatek dan berengku dengan Harun Fadillah.

Saya agak terkejut, beberapa orang daripada jemaah itu bersalaman dan berpelukkan dengan Datuk. Agaknya kenalan lama datuk. Mana yang tidak mengenali datuk, Harun Fadillah segera menjalankan peranannya.

Lebih daripada dua puluh orang para jemaah yang bersalaman dengan kami (saya dan datuk) cukup peramah dan mesra, mereka bertanya suasana politik Tanah Melayu, kemajuan yang diperolehi rakyat bumiputera setelah bebas dari cengkaman penjajah Inggeris. Hampir semuanya bercakap dalam loghat Melayu Riau-Johor.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 206/284

BACA: SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, August 19, 2024

Amalan Mudah Yang Setimpal Dengan Pahala Membebaskan 10 Hamba!

Amalan Mudah Yang Setimpal Dengan Pahala Membebaskan 10 Hamba!

Mahukah anda mengambil peluang mendapat ganjaran seumpama membebaskan 10 orang hamba juga merupakan suatu amalan yang sangat besar dalam Islam? Al-Quran menyifatkan amalan membebaskan hamba sebagai salah satu amalan aqabah iaitu yang menjanjikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan menyelamatkan daripada neraka.

Amalan Mudah Yang Setimpal Dengan Pahala Membebaskan 10 Hamba!

Firman Allah yang maksudnya, "Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: membebaskan hamba abdi." (Surah al-Balad ayat 11-13)

Di dalam satu hadis, "Sesiapa membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan, bagi setiap anggota hamba tersebut, satu anggotanya daripada api neraka." (Bukhari dan Muslim).

Bagaimana caranya memperoleh ganjaran yang setanding membebaskan hamba pada zaman sudah tidak ada lagi hamba abdi untuk dibebaskan?

Ya, kita masih berpeluang memperoleh ganjaran membebaskan hamba, bahkan membebaskan 10 hamba setiap hari.

Caranya ialah kita melazimi zikir di bawah dan membacanya 100 kali pada setiap hari:

ﻟَﺎ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻟَّﺎ ﺍﻟﻠﻪُ ﻭَﺣْﺪَﻩُ ﻟَﺎ ﺷَﺮِﻳﻚَ ﻟَﻪُ ﻟَﻪُ ﺍﻟْﻤُﻠْﻚُ ﻭَﻟَﻪُ ﺍﻟْﺤَﻤْﺪُ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻗَﺪِﻳﺮٌ

Maksudnya, "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu." (Bukhari dan Muslim)

Nabi –sallallahu alaihi wasallam- menyatakan bahawa sesiapa membaca zikir tersebut sebanyak 100 kali pada satu hari, maka baginya ganjaran berikut:

i- Ganjaran menyamai membebaskan 10 orang hamba.

ii- Ditulis baginya 100 kebaikan.

iii- Dipadam daripadanya 100 keburukan.

iv- Mendapat perlindungan daripada syaitan.

Baginda juga menyatakan bahawa tidak ada orang yang mengamalkan satu zikir yang lebih baik daripada zikir tersebut, melainkan orang yang mengamalkan suatu yang lebih banyak daripada itu.

Jom amalkan zikir tersebut sebanyak 100 kali sehari.

Boleh dibaca 100 kali sekali gus sama ada pada waktu pagi atau petang, boleh juga dibaca separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang, asalkan cukup bilangan 100 kali dalam satu hari.

Jangan lepaskan peluang mendapat ganjaran membebaskan hamba!

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abuumair

Sambutan Hari Malas Sedunia

Sambutan Hari Malas Sedunia

Ada satu penyakit – penyakit M. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang mempunyai penyakit ini. Apa itu penyakit M? Penyakit M-A-L-A-S! Biasalah, ada hari kita tidak ada mood untuk bekerja. Tetapi kita tak boleh malas-malas sebab bos bayar kita gaji untuk bekerja, bukan untuk bermalasan!

Sambutan Hari Malas Sedunia
Gambar hiasan.

Cuma, dalam setahun, ada satu hari yang kita bebas untuk bermalasan. 10 Ogos merupakan Hari Malas Sedunia.

Sambutan ini dilaporkan bermula sejak tahun 1985 untuk menggalakkan orang ramai supaya berehat dan tidak memandu dengan laju.

Asal-usul Hari Malas Sedunia mungkin sukar difahami tetapi motif sambutan hari itu diwujudkan adalah untuk beristirehat.

Menurut Economic Times, Hari Malas Sedunia mula wujud pada awal 1900-an di Amerika Syarikat (AS). Masyarakat disana pada ketika itu mewujudkan sambutan itu untuk menggalakkan orang ramai mengetepikan tanggungjawab buat sementara waktu dan menggunakan masa itu untuk berehat.

Meskipun Hari Malas Sedunia ini sebenarnya idea yang biasa-biasa sahaja, kepentingan di sebaliknya, iaitu berehat sering diambil mudah.

Di sini, kita dapat simpulkan bahawa ideologi hustle demi hasil sudah wujud ratusan tahun dahulu.

Jadi, Hari Malas Sedunia berfungsi sebagai peringatan lembut untuk mengutamakan penjagaan diri dan menikmati saat-saat tidak mahu buat apa-apa selain bermalasan di atas katil.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa fungsinya sambutan itu sedangkan kita sudah ada dua hari hujung minggu untuk berehat?

Hari Sabtu dan Ahad mungkin bukan hari cuti untuk semua orang. Ada yang manfaatkan hari Sabtu dan Ahad untuk bekerja sambilan bagi mencari wang tambahan.

Ada juga yang terpaksa bekerja kerana bosnya ganggu pada hari minggu.

Dan, ada beberapa bidang pekerjaan hari kerja dan hari cutinya tidak mengira hari minggu atau hujung minggu. Jadi, mereka terpaksa bekerja seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad.

Hari riadah yang membahagiakan

Untuk meraikan Hari Malas Sedunia tidak ada pantang larangnya. Masing-masing bebas melakukan apa sahaja dengan cara tersendiri.

Bagi sesetengah orang, ia peluang untuk merebahkan diri atas katil sepanjang hari sambil menonton drama kegemaran.

Ada yang memilih untuk melakukan hobi yang sudah lama ditinggalkan akibat terlalu sibuk bekerja.

Apa sahaja yang anda lakukan pada Hari Malas Sedunia, pastikan ia menyumbang rasa kepuasan dan kebahagiaan.

Semua orang dijemput untuk merasai nikmat kemalasan agar mental dan fizikal lebih segar untuk kembali berjuang mencari wang.

Jangan ambil mudah kepentingan berehat. Ia mungkin kedengaran mudah tetapi jika tidak berehat, kesihatan mental dan fizikal anda akan terjejas.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, August 07, 2024

SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh

SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh

Perjalanan dari Belawan ke pinggir kawasan istana Kesultanan Deli tidak menjemukan. Pemandu teksi sapu yang berasal dari Tapanuli yang marganya SERIGAR, cukup ramah dan megah dengan rumpun Melayu. Malah dia menyebut beberapa nama saudara maranya yang sudah lama berhijrah ke Tanah Semenanjung.

Toyol jadi-jadian

Kebanyakan kaum kerabatnya tinggal di kawasan tinggal di kawasan Tapah, Temerloh, Kajang. Beberapa nama yang disebut memang merupakan orang penting di tanah air ketika itu.

"Berhentikan saya di rumah itu."

Jari telunjuk datuk menuding ke arah rumah papan separuh batu, berbumbung limas, terletak di hujung jalan. Halaman rumah menghijau dengan rerumput yang halus. Manakala disebelah kiri dan kanan rumah kelihatan pokok sawo matang (ciku) yang rendang dan berbuah lebat.

"Di sini pak."

"Iya."

Empat tayar teksi terpaku di bibir jalan. Saya lihat orang Tapanuli itu mengedutkan dahinya, macam mengingati sesuatu.

"Ada hubungan keluarga dengan pemilik rumah ni," tanyanya pada datuk.

"Kawan karib."

"Oh, begitu. saya kenal baik dengannya, kalau dia mahu ke seberang, selalu menggunakan kereta saya untuk ke pelabuhan. Namanya, Raja Aminuddin, perempuannya penari istana."

"Betul," kata datuk riang.

"Tapi. dia sudah meninggal dunia, kira-kira tiga bulan yang lalu. Dia mati di Pulau Pinang dan dikuburkan di sana, secara kebetulan anak perempuan sulungnya bekerja dengan konsul Indonesia di sana."

"Haaaaaa..." datuk tergamam dan kemudian mengucap panjang sambil disusuli dengan doa untuk si arwah.

"Setahu saya, isterinya saja sudah mati kerana penyakit ganjil, kira-kira lima tahun lalu. Perkara itu diberitahu kepada saya menerusi seorang kawan," suara datuk tersangkut-sangkut, wajahnya nampak pilu sekali.

Hujan rintik-rintik teius berhenti, matahari di langit kotaraya Medan mula bersinar. Awan nipis, putih bersih berarak lembut menuju ke arah tanah Brastagi. Begitulah, di dalam suasana kecerahan matahari saya dapat melihat wajah datuk yang gusar.

"Apa boleh buat, hajat saya tak tercapai. Allah sayang Aminuddin kerana itu dia dipanggil ke sisi-NYA," antara dengar dengan tidak, suara datuk sampai ke gegendang telinga saya.

"Tapi, awak boleh jumpa dengan anak bongsunya. Dia duduk di sini, isterinya orang Kota Lama dekat Kuala Kangsar, kalau tak silap saya, isterinya tak ada di rumah."

"Ke mana pula isterinya?".

"Balik ke Kota Lama."

Datuk merenung ke arah istana Kesultanan Deli (Istana Maimun) yang dibina sekitar tahun 1888. Lapan belas tahun kemudian pada tahun 1906, dibangunkan pula, Masjid Raya berhadapan dengan Istana Maimun. Keindahan kedua-dua bangunan itu begitu memukau hati dan perasaan saya.

"Anak bongsunya itu, namanya Harun Fadillah, di kalangan keluarga dipanggil RUN saja. Di mana saya nak berjumpa dengannya. Banyak benda yang mahu saya tanyakan padanya," datuk menyampaikan hasrat dihati.

"Ikut saya," orang Tapanuli itu menghulurkan budi.

"Saya tahu di mana dia berniaga, masuklah," sambungnya.

Tanpa membuang masa saya dan datuk masuk ke kereta semula. Kami dibawa berpusing-pusing seluruh Kota Medan dan akhirnya, berhenti di satu kawasan perniagaan yang terletak di Jalan Medan-Binjai.

JAMAIN

PEMANDU membunyikan hon kereta tua dua kali berturut-turut di depan sederat kedai dua tingkat, separuh batu dan papan. Seorang lelaki muda berusia sekitar 27-30 tahun muncul dipintu.

"Bang Jamain, apa hal," jerit pemuda berkulit putih, wajahnya tampan di kaki lima bangunan. Si pemandu segera keluar.

"Abang, bawakan sahabat karib ayah kamu dari semenanjung," balas si pemandu sambil membuka pintu kereta sebelah datuk.

Sebaik saja datuk berdiri atas jalanraya, si pemuda berwajah tampan segera melompat melepasi longkang.

"Syukur, Allah makbulkan permintaan ayah saya," dalam tangisan si pemuda terus bersuara. Saya terpaku melihat peristiwa yang tidak diduga.

"Berapa tambangnya bang Jamain," tanya Harun Fadillah sambil melepaskan tubuh datuk dari pelukannya.

"Tak payah, abang halalkan, rasanya cukup gembira bila dapat mempertemukan kamu dengan sahabat karib arwah ayah kamu," balas Jamain sambil jari telunjuknya menuding ke arah datuk.

"Terima kasih, semoga Allah akan memberikan rezeki yang halal untuk kamu dan keluarga," datuk segera merapati Jamain dan bersalaman.

Bila datuk bersalaman, saya juga turut berbuat demikian. Jamain masuk ke kereta.

Sebaik saja Jamain beredar, Harun Fadillah membawa saya masuk ke kedai miliknya yang menjual bermacam-macam jenis kain, termasuk kain songket Palembang dan batik Batu Bara.

Semasa saya berada di kedai, para pelanggan tidak putus-putus datang. Semuanya dilayan dengan baik dan ramah oleh para pekerja yang terdiri dari gadis cornel.

Menurut Harun Fadillah mereka berasal dari luar Kota Medan, ada yang datang dari Tebing Tinggi, Tanjung Balai dan Binjai.

"Begini, kita ke rumah, memanda. Boleh berehat, boleh makan dan sembahyang, memandang dari jauh perlu berehat. Banyak cerita yang mahu saya sampaikan pada memanda," Harun Fadillah mengemukakan cadangan.

"Kedai kamu bagaimana?"

"Tak apa, biar pekerja saya uruskan."

Harun Fadillah segera memanggil seorang pekerjanya yang berasal dari sebuah kawasan perkampungan kira-kira tiga ratus meter dan Kabanjahe.

"Saya ada tamu dan mahu pulang, jam enam tutup kedai, semua hasil jualan dan kunci kedai bawa ke rumah saya. Kamu telefon abang Jamain. sewa keretanya untuk membawa kamu ke rumah saya," satu arahan untuk pekerjanya yang berkulit hitam manis, bersongkok.

"Baik, pak," jawab sipekerja.

Dengan kereta Fiat lama milik Harun Fadillah kami menuju ke rumahnya. Sebaik saja daun pintu rumah terkuak, seorang perempuan tua menyambut kami.

"Tamu dari Tanah Melayu, kawan karib arwah ayah," Harun Fadillah memperkenalkan datuk dan saya kepada perempuan yang menjadi pembantu rumahnya. Perempuan separuh baya itu tersenyum dan anggukkan kepala.

"Saya ingat," sinar mata perempuan setengah baya nampak bercahaya.

"Arwah ayah raja selalu menyebut tentang kawan karibnya yang berkampung laman di Perak. Barangkali inilah orangnya, kalau benar saya sungguh gembira, khabarnya, orangnya serba boleh, handal dunia akhirat," biji mata perempuan separuh baya tertumpu ke arah datuk yang kelihatan serba tidak kena.

"Iya," angguk Harun Fadillah.

"Oh, syukur saya pada Allah "

"Sudahlah tu, pergi buatkan air dan siapkan makan tengahari untuk tetamu kita ini."

"Baik raja."

"Arwah ayah selalu menyuruh pembantu rumah dan pekerja di kedai memanggil saya sebagai Raja Harun Fadillah. Ayah selalu berbangga dengan keturunan rajanya yang menentang Inggeris di Tanah Melayu. Pada saya, gelaran raja sudah lama saya buang," mungkin Harun Fadillah merasakan sesuatu yang tidak kena, bila dipanggil raja oleh pembantu rumah dihadapan datuk.

"Aku tahu ayah kamu, dia cukup menjaga adat, tengok saja sampai sekarang kamu memanggil aku sebagai Memanda, kerana dia yang memaksa anak-anaknya supaya memanggil aku cara begitu."

Kata-kata yang terkeluar dari mulut datuk disambut dengan ketawa oleh Harun Fadillah bersama geleng kepala. Saya turut tersenyum.

SERAMPANG 12

MALAM itu, selesai sembahyang Isyak berjemaah, kami duduk di anjung rumah sambil melihat kerdipan bintangdan bulan didada langit kota raya Medau.

Dari arah istana terdengar ketukan gong dan gesekan biola dari anak-anak muda di halaman Istana Maimun. Angin malam membawa suara merdu ke gegendang telinga saya.

Sungguh merdu mereka mendendangkan irama Melayu Asli membawa lagu Pasir Roboh, Sayang Salmah, Seri Mersing, Serampang Dua Belas dan Damak.

Harun Fadillah memberitahu datuk yang isterinya sudah tiga minggu pulang ke kampung halaman di Sayong, dekat Kuala Kangsar. Ayah mentuanya bernama Shafie Wahab. Isterinya pulang kerana urusannya perkahwinan adik perempuan bongsunya.

"Bila dekat hari pernikahan kira-kira tiga minggu lagi saya pergilah ke Sayong."

"Bagus tu, siapa lagi pergi ke sana?" tanya datuk.

"Kakak saya yang tua dan kakak nombor dua ikut sama."

"Siang tadi Jamain bagi tahu aku, kakak sulung kamu kerja dengan konsul (Indonesia) di Pulau Pinang. Siapa namanya? Aku dah lupa. Dia tu anak kesayangan arwah bapa kamu," datuk renung muka Harun Fadillah.

"Nama sebenarnya, Dang Haryani, kami panggil dia Nonong," nada suara Harun Fadillah lembut sekali.

"Memang dia bekerja di Pulau Pinang."

“Sekarang dia bercuti, ada di sini."

"Ada di sini?" Datuk tegakkan badan.

"Iya, memanda."

"Tapi, sejak aku datang, aku tak nampak batang hidung."

"Dia pergi ke Tanjung Pura."

Bila mendengar perkataan 'Tanjung Pura," saya tersintak kerana nama Tanjung Pura tidak dapat dipisahkan dengan nama penyair besar Nusantara AMIR HAMZAH yang dilahirkan ditempat tersebut pada 28 Februari 1911.

Saya salah seorang daripada penggemarnya. Bait-bait sajak "Buah Rindu" bagaikan terpamir dalam kalbu.

Datuk dan Harun Fadillah masih bercerita tentang Nonong semasa kecil. Terbukti yang banyak tahu tentang Nonong si zaman kanak-kanak ialah datuk.

Sudah tentu dia lebih banyak bercakap dari Harun Fadillah. Dan saya berkhayal bersama alunan gesekan biola dan gendang yang tingkah meningkah dalam alunan irama Melayu asli, batin saya bagaikan terpanggil menyorot sepintas lalu tentang penyair besar itu yang mendapat pendidikan formal dalam Bahasa Belanda.

Memperolehi sarjana muda dari Sekolah Tinggi Hakim-Jakarta pada tahun 1931 dan pada tahun 1938, Amir Hamzah dinikahkan oleh Sultan Langkat dengan Puteri Sulungnya yang bernama Kamaliah.

Semasa zaman revolusi Amir Hamzah ditangkap dan dibunuh. Gugurlah penyair besar itu di Kuala Bergumut sebagai pahlawan nasional.

Alangkah beruntungnya, kalau saya berkesempatan mengunjungi tempat tersebut, fikir saya dalam hati.

"Kenapa dia bercuti ke Tanjung Pura?

BERCUTI

"KENAPA dia tidak bercuti di tempat-tempat menarik di Tanah Semenanjung?"

Suara datuk membantutkan khayalan saya tentang penyair agung. Perlahan-lahan saya gerakan lidah menolak lelangit.

Beberapa saat berikutnya, saya lemparkan pandangan ke halaman rumah menerusi pintu yang terbuka. Terasa angin malam yang bertiup masuk ke ruang rumah lalu menyentuh wajah saya. Mungkin juga wajah datuk dan Harun Fadillah.

"Dia ke rumah Khatijah kakak saya nombor dua. Dia menikah dengan orang Tanjung Pura, suaminya kerja sendiri," Harun Fadillah memberi penjelasan sambil mengosok pangkal dagu.

"Sudah ada anak?" Soal datuk sambil menyandarkan badan ke dinding.

Kaki kanannya dilunjurkan. Harun Fadillah kerutkan kening seperti ada sesuatu yang difikirkannya.

"Ada dua anak, seorang perempuan, seorang lelaki. Masing-masing berumur antara 10-11 tahun. Kakak sulung saya si Nonong cukup sayang dengan anak-anak saudaranya. Masa cutinya selalu dihabiskan dengan anak-anak saudaranya di Tanjung Pura, jarang dia berada di sini," terang Harun Fadillah.

Dari ruang dapur terdengar suara perempuan separuh baya batuk. Beberapa minit kemudian perempuan separuh baya itu diruang tamu.

"Makanan dah siap," katanya.

"Terima kasih kak, sekejap lagi kami makan."

"Kalau begitu, biarlah kakak balik dulu."

"Silakan," balas Harun Fadillah.

Dan perempuan separuh baya itu segera beredar.

Tanpa diminta, Hanin Fadillah menerangkan, sejak ayahnya meninggal dunia pembantu rumahnya tidak mahu tinggal dibilik yang disediakan. Sebaliknya dia lebih suka bemlang dari rumahnya yang kira-kira dua ratus ela dari rumahnya.

"Selalunya, dia datang selepas subuh dan balik ke rumahnya waktu begini," tutur Harun Fadillah.

Datuk anggukkan kepala, begitu juga dengan saya. Buat beberapa saat suasana dalam ruang tamu terasa sepi sekali. Masing-masing termenung dan menutup mulut.

"Maafkan aku Run."

Suara datuk memecahkan suasana dalam ruang tamu.

"Kenapa memanda?"

"Perkara yang mahu aku tanyakan ini, boleh menyinggung perasaan kamu? Soalnya boleh atau tidak aku bertanya," datuk menarik nafas dalam dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Saya kira hati datuk berdebar juga.

"Silakan."

Penuh keyakinan Harun Fadillah menghamburkan kata-kata. Tetapi, datuk kelihatan ragu-ragu untuk melafazkan kata-kata. Berkali-kali hujung jari kelingking kanannya mengaru-garu hujung telinga kanan. Dia bagaikan mencari sebuah keyakinan dan kekuatan dalam diri.

"Si Nonong tu, dah berumahtangga Run?"

"Belum Memanda," nada suara Harun Fadillah merendah.

"Kalau begitu, kakak sulung kamu tu dah agak berumur. Kenapalah dia berat jodoh sangat. Orangnya cantik, tak ada cacat celanya. Pelajaran juga tidak kurang, kalau tidak silap aku umurnya dah masuk angka empat. Apalah malangnya, anak angkat aku itu," Yang terbuku dikalbu datuk Iuahkan.

DILIPAT

KAKI yang dilunjurkan dilipat kembali. Seluruh muka saya menjadi sasaran biji mata datuk. Bila senyum terukir dibibir datuk, perasaan saya berdebar. Tidak tentu arah.

Macam ada sesuatu maksud tersembunyi disebalik senyuman datuk itu. Jangan-jangan orang tua ini membuat keputusan gila.

Agaknya, dia mahu menjodohkan aku dengan kakak si Harun. Siapalah mahu memperisterikan anak dara tua empat puluhan. Ramai lagi anak dara yang hampir sebaya aku boleh dicari.

Kalau tua setahun dua bolehlah juga. Ini jaraknya makan mata dua puluhan. Mana ada jalan. Sesungguhnya, bermacam-macam andaian muncul disanubari hasil daripada senyuman misteri yang dibuat oleh datuk.

"Berkawan memang ada tetapi, tidak bersungguh-sungguh. Kawan rapat pun tidak cuba masuk meminang," keluh Harun Fadillah.

"Agaknya si Nonong yang tak mahu menikah?"

"Saya tak terfikir yang kak Nonong, begitu Memanda."

"Pelik juga, agaknya belum jodoh," Datuk mententeramkan keresahan batinnya.

"Agaknya," ujar Harun Fadillah.

"Apa yang nyata, orang lelaki tidak mahu berkawan lama dengannya. Kawan-kawan lelakinya macam tidak berselera mahu menjadikan Kak Nonong sebagai ibu rumah. Macam ada sesuatu yang tidak kena pada kakak, susah hati saya memikirkan tentang diri kak Nonong."

"Pelik," keluh datuk.

Harun Fadillah menarik nafas. Jari-jemari tangan kanannya terus memicit pangkal kepala. Dan untuk kesekian kalinya datuk melunjur dan melipat kaki kanannya.

"Arwah ayah kamu tahu masalah ini, Run?"

Tiada jawapan yang datuk terima dari Harun Fadillah.

Datuk pun mengalihkan pandangan ke arah pintu rumah yang terdedah. Dan deru enjin kereta jelas kedengaran. Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka sembilan.

"Kita makan dulu, kemudian baru kita sambung cerita," Harun Fadillah mengeluarkan cadangan. Hati kecil saya bersorak kegembiraan. Perut saya sudah terasa lapar.

"Mari."

Harun Fadillah segera bangun dan melangkah menuju ke ruang dengan diikuti oleh datuk. Saya disuruh oleh datuk merapatkan daun pintu serta menguncinya sekali.

Kemudian, saya pun turut serta ke ruang dapur untuk menjamah makan malam.

Bagi datuk, makan malamnya memadai dengan tujuh suap nasi, sedikit ikan dan sejemput sayur. Penutupnya, segelas air putih. Saya jangan kira, makan dengan sekenyang-kenyang.

Setelah selesai makan malam, kami kembali ke niang tamu menyambung semula perbualan. perbincangan yang terputus.

RUANG

SAYA merenung ke arah Harun Fadillah yang tersandar di sudut ruang tamu. Buah halkumnya nampak bergerak-gerak. Agaknya, dia menelan air liur.

Di tiga jari-jemari tangan kanannya menyentuh hujung dagu. Saya kira, dia sedang mencari kata-kata sesuai untuk pembuka mulut bagi menyambung kembali perbualan yang terputus.

Harun Fadillah seperti berada dalam suasana yang serba tidak kena. Macam ada sesuatu yang mahu dihamburkan kepada datuk. Tetapi, tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Bagaikan ada sesuatu yang menghalangnya.

"Kenapa kamu nampak resah semacam saja Run, susah sangatkah kamu nak menjawab pertanyaan aku tadi?". Datuk tatap biji mata Harun Fadillah.

"Iya," Harun Fadillah mengaku.

"Kalau kamu fikirkan perkara itu baik, jawablah. Kalau buruk kamu lupakan saja," datuk memberikan jalan penyelesaian.

"Sebelum ayah meninggal dunia, memang dia berusaha mahu mencari memanda. Dua tiga kali dia datang ke Perak. Malangnya, dia tak dapat jumpa memanda," Harun Fadillah memulakan perbicaraan dengan teratur.

"Apa hajat arwah tu, Run."

"Ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada memanda."

"Dia tak cerita kepada kamu perkara yang mahu disampaikan kepada aku," potong datuk dengan wajah serius.

Saya yang sejak tadi tunduk merenung lantai, segera angkat kepala lalu merenung ke arah mereka berdua.

"Ada memanda."

"Apa dia Run?" sepasang biji mata datuk terbeliak.

"Dia suruh saya cari memanda sampai dapat, kata arwah hanya memanda saja yang dapat menolong kak Nonong. Memanda tahu rahsia keluarga kami, sama ada buruk atau baik. Terutama tentang diri arwah emak yang dikatakan ada kaitan dengan nasib malang yang dideritai kak Nonong," Harun Fadillah berhenti bercakap.

"Itu saja pesan arwah ayah kamu Run? Suara datuk meninggi.

"Iya Memanda."

Harun Fadillah segera anggukkan kepala. Tindak-tanduknya ketika itu tidak ubah seperti orang bodoh.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 205/284

BACA: SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com