Tuesday, August 20, 2024

SBDJ Siri 206: Di Datangi Kelawar Mata Merah

SBDJ Siri 206: Di Datangi Kelawar Mata Merah

Saya jadi bosan berhadapan dengan kerenah datuk dan Harun Fadillah, tidak habis-habis dengan persoalan keluarga. Dan saya tidak berdaya keluar dari suasana yang menjemukan itu. Saya tidak berani menyatakan rasa bosan itu kepada datuk. Takut kena herdik. Mahu tidak mahu, terpaksa menjadi manusia pendengar yang paling setia di dalam suasana yang sungguh menjemukan perasaan.

Toyol jadi-jadian

Secara mengejut telapak tangan kiri datuk menepuk lantai. Dengan serta merta dia bangun seperti mahu membuka buah silat. Bersama wajah yang tenang, datuk mendada melangkah ke pintu.

"Huss..."

Datuk mendengus dan serentak dengan itu dia menolak daun pintu. Aneh sungguh, pintu yang diselak terbuka sendiri. Angin malam pun merempuh masuk, sambil berdiri di muka pintu datuk merenung ke arah halaman Istana Maimun.

"Lagi apa katanya, Run?"

Datuk memusingkan badan, membelakangi halaman Istana Maimun merenung ke arah saya dan Harun Fadillah.

"Arwah memberitahu saya, semua rahsia, semua pantang larang sudah diceritakan kepada Memanda semasa hayatnya. Bila sampai masanya Memanda akan menolong, jika diminta," suara Harun Fadillah tersangkut-sangkut. Mukanya nampak cemas.

Angin malam bertambah hebat merempuh masuk membawa kertas dan dedaun ke ruang tamu. Beberapa ketul bebatu kecil berterbangan menghentam belakang datuk.

Dengan pantas datuk memusingkan badan lalu merapatkan kembali daun pintu yang terbuka. Perlahan-lahan datuk melangkah ke arah kami, terus duduk bersila ditempat semula.

Ada sesuatu yang ganjil dapat saya rasakan pada diri datuk. Dia berhadapan dengan kami. Mata kami dengan matanya berlaga tetapi, dia tidak melafazkan sepatah kata. Dengan tenang sepasang tangannya di dakap ke dada.

Kedua-dua belah kelopak matanya dirapatkan dan sepasang bibirnya bergerak-gerak. Kerana akrab dengannya saya dapat membaca gerak bibirnya. Saya pasti, datuk membaca surah yassin hingga tamat.

Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata. Seluruh dahinya berpeluh dan beberapa bahagian bajunya basah kerana peluh. Dari arah dapur terdengar seperti ada orang yang berjalan.

Dengan secara tiba-tiba saja, bulu roma saya tegak berdiri. Datuk renung muka Harun Fadillah.

"Dalam rumah ni, ada bilik larangan dan..." Datuk berhenti bercakap.

Badannya terlayah ke belakang seperti ada yang menolaknya. Bersusah payah datuk membetulkan kedudukan tubuhnya kembali.

Bila dirasakan cukup selesa, sepasang mata datuk mula melilau ke setiap sudut ruang. Dan renungan itu terpaku pada daun pintu yang bermanggakan tembaga putih. Tidak berkelip datuk merenung ibu kunci yang tergantung di situ.

"Agaknya, bila aku boleh berjumpa dengan si Nonong, Run?" dengan segera datuk mengalih pandangan dari pintu bilik bermangga tembaga putih ke wajah Harun Fadillah yang nampak resah tidak menentu.

Seluruh wajah Harun Fadillah berada dalam anak mata saya. Penuh debar saya menanti jawapan yang bakal dituturkan oleh Harun Fadillah untuk datuk.

PARAS

TERLALU lambat rasanya Harun Fadillah mahu membuka mulut. Jawapan dari Harun Fadillah menentukan, sama ada saya berpeluang untuk melihat rupa kakak sulungnya.

Memang, saya teringin sekali mahu melihat kecantikan paras rupa si Nonong sebagaimana yang didakwa oleh datuk. Adakah Nonong lebih cantik dari Mia gadis keturunan harimau?

"Dua hari lagi, Memanda."

Suara Harun Fadillah penuh keyakinan. Dia menarik dan melepaskan nafas. Dan kali ini biji mata datuk yang bercahaya ditentangnya.

"Kalau begitu, aku tunggu kepulangannya," datuk tegakkan batang leher, sinar matanya memancarkan sebuah keyakinan.

"Itulah yang sebaik-baiknya dan itulah harapan saya," wajah Harun Fadillah dibalut keriangan. Senyum pun berlari dikelopak bibimya.

BIOLA

SUARA alunan biola dan gendang dari halaman Istana Maimun sudah lama berhenti. Deru kereta sudah agak berkurangan tetapi, lampu jalanan terus mengerdip. Kedinginan malam terasa mengigit kulit.

Masalah Nonong, sudah tidak menjadi bualan atau perbincangan utama antara datuk dengan Harun Fadillah. Jam tua di dinding pun berdenteng sebelas kali.

"Mengantuk?" Soal Harun Fadillah bila dia melihat saya menguap panjang.

"Boleh tahan lagi," saya menjawab.

Harun Fadillah senyum, dia sudah menyediakan bilik yang berasingan untuk saya dan datuk. Bilik besar yang berdepan dengan beranda untuk datuk. Saya disuruh tidur dibilik kecil bersebelahan dengan bilik yang pintunya bermangga tembaga putih.

Pada mulanya, saya berhasrat tidak mahu tidur dibilik yang ditawarkan. Sebabnya, bukan apa-apa. Setiap kali saya memandang mangga tembaga putih yang tergantung dipintu, terasa seram dan bila direnung lama-lama, pandangan saya jadi berpinar-pinar. Kepala terasa pening. Tekak jadi loya dan mahu muntah.

Bila difikirkan, mungkin itu adalah perasaan semata-mata. Hasrat itu saya saya batalkan. Lagipun jarak antara bilik saya dengan bilik datuk tidak jauh.

Jika terjadi sesuatu yang diluar dugaan saya, saya boleh memanggil atau berlari saja ke bilik datuk. Saya menguap lagi, entah kali yang ke berapa saya sendiri tak tahu.

"Nampaknya kamu dah mengantuk, pergilah tidur," Harun Fadillah tersenyum ke arah saya.

Barangkali, dia sudah menghitung berapa kali saya tersengguk. Kalau tidak, masakan dia boleh memberikan komentar sedemikian, fikir saya.

"Pergilah tidur," datuk menyokong saranan Harun Fadillah.

Saya segera patuh dengan saranan mereka berdua, terus bangun. Dengan dada yang berdebar saya melangkah ke bilik bermangga tembaga. Sebelum mangga tembaga disentuh, saya renung ke arah Harun Fadillah dan datuk.

"Tidak berkunci, mangga kecil sengaja ditaruh disitu," terang Harun Fadillah.

"Tolak saja pintu."

Saya amati penjelasan itu dengan wajah tenang dan senyum. Kedudukan mangga, saya alihkan dan daun pintu ditolak. Suis lampu saya petik.

Seluruh ruang bilik terang benderang. Ada katil bertilam tebal dengan cadar kain berwarna belang harimau, sarung bantalnya pula kain yang bercorak kulit ular sawa. Bantal peluk dengan sarung kain yang bersorak kulit buaya.

Ada meja kecil dan lampu untuk membaca, terdapat beberapa buah majalah hiburan terbitan Kota Medan.

PATUNG

BERSEBELAHAN susunan majalah terdapat sepasang patung kuda sedang berlaga yang dibuat daripada kayu keras. Patung yang sudah dikilat dengan sejenis kimia nampak bercahaya.

Bila kaki patung itu disentuh dengan hujung jari, seluruh sendi tangan saya seperti terkena kejutan letrik. Saya batalkan hasrat hati untuk menyentuh atau melurut seluruh badan patung tersebut.

Tingkap kamar saya buka, kelihatan kabus nipis mula bangkit. Kubah Masjid Raya jelas kelihatan. Sekumpulan kelawar liar berterbangan sambil berbunyi. Melepaskan makanan (buah) yang digonggong, menimpa pondok burung merpati berdekatan. Kerana terkejut beberapa ekor burung merpati berterbangan.

Saya terperanjat, kumpulan kelawar liar itu terus menyerang burung merpati yang terbang tidak keruan, di malam kelam.

Seekor merpati yang menjadi mangsa, entah macam mana masuk ke bilik, jatuh terkapar dilantai hujung katil. Burung itu menggelepar kesakitan sebelum keras dan kaku dilantai.

Merpati malang itu saya periksa dengan teliti. Satu persatu bulu lehernya saya selak dan saya temui dua lubang kesan gigitan dari gigi yang tajam. Ada darah beku di situ.

"Keriaaaaaaaakkkkk..."

Merpati ditangan, saya lepaskan. Mata saya merenung ke lelangit bilik. Seekor kelawar berbadan besar, bermata merah menyeringai ke arah saya sambil membuka sayapnya lebar-lebar.

Kelawar besar itu menjerit, mempamerkan gigi dan siungnya yang tajam. Suara yang dikeluarkannya sekejap kasar, sekejap halus dalam berbagai bentuk dan irama yang menyeramkan.

Matanya bertambah merah menyala. Saya jadi cemas, tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya terfikir untuk mengusir kelawar ganjil yang bergayut di lelangit bilik dengan patung kuda berlaga ke arahnya.

Bila tangan saya menyentuh badan patung dengan segera kelawar menyambar patung tersebut lalu dicampakkan ke atas tilam. Saya termanggu.

"Keluarlah, jangan ganggu aku," kata saya ke arah kelawar yang terbang berlegar-legar di ruang bilik.

Bagaikan mengerti dengan bahasa yang saya ucapkan, kelawar ganjil menyambar bangkai merpati lalu dibawa keluar. Dengan serta merta daun tingkap saya rapatkan. Saya berdoa, semoga peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.

Patung kuda berlaga yang berada di atas tilam segera saya ambil dan meletakkan kembali ditempat asalnya. Perlahan-lahan badan direbahkan. Mungkin kerana keletihan atau terlalu mengantuk, saya terus terlelap.

Kira-kira jam dua pagi, saya terjaga. Ibu jari kaki kiri bagaikan disentap sesuatu. Dengan segera saya melompat dari katil lalu memetik suis lampu.

LAMPU

Di bawah sinar lampu panjang, setiap sudut ruang bilik, malah bawah katil saya jenguk, mencari makhluk yang menyentap ibu jari kaki kiri hingga saya terjaga dari tidur. Tidak ada apa-apa yang saya temui.

Saya berusaha menyambung tidur yang terganggu. Tetapi, usaha itu tidak berhasil. Puas saya rapatkan kelopak mata. Peluk bantal guling, pusing kiri-pusing kanan-menelentang dan meniarap. Semuanya tidak menjadi.

Akhirnya, terus duduk memeluk kepala lutut. Fikiran saya terus bercelaru. Wajarkah saya pergi ke bilik datuk?

"Keeerrriiiiiuuuuukkkkk..."

Terdengar daun pintu, bermangga tembaga putih ditolak dari luar dan dituruti dengan bunyi telapak kaki orang berjalan dalam bilik.

Tidak lama berselang, terdengar suara orang yang bercakap sendirian. Bila suara orang bercakap itu hilang, terdengar bunyi kain dikoyak bertalu-talu.

Bau kemenyan mula menusuk lubang hidung. Serentak dengan itu terdengar bunyi dinding dicakar dan ditumbuk. Suara kelawar dan cengkerik saling tingkah meningkah diluar rumah. Sayup-sayup kedengaran suara salakan anjing liar. Bau kemenyan bertukar bau hangit seperti bau rambut yang dibakar.

Suasana yang terjadi membuat saya cemas dan mengigil. Tetapi, hati kecil saya membuat keputusan agar tabah menghadapi keadaan yang gawat itu.

Ayat-ayat dari Al-Quran segera saya baca. Peliknya, makin kerap saya baca ayat-ayat Quran, makin kuat pula bunyi papan dinding dicakar. Suara kelawar dan cengkerik makin keras. Bau rambut dibakar terus mencucuk lubang hidung.

Suara orang bercakap sendirian makin rancak diselang seli dengan suara orang ketawa dan batuk-batuk kecil.

"Aku harus mendapatkan datuk."

Saya membuat keputusan dan terus berdiri. Tiba-tiba lampu dalam bilik padam. Batang leher saya disentuh oleh sepasang tangan berbulu. Bila mahu menjerit minta tolong, telapak tangan berbulu tebal menekup mulut.

Dengan penuh kekuatan saya meronta-ronta. Dalam perjuangan antara hidup dan mati itu, lampu dalam bilik bercahaya kembali.

"Apa yang mesti saya lakukan? Tidak wajar rasanya mengganggu datuk. Biarlah saya hadapi semuanya ini. Rasanya, saya mampu berhadapan dengan cubaan syaitan laknat ini," sambil menggenggam penumbuk saya membuat keputusan nekad.

KATIL

DENGAN semangat dan keyakinan yang tinggi, katil saya renung. Bantal, gebar, buku dan cadar berserakkan. Aneh, saya diganggu oleh telapak tangan berbulu di lantai. Kenapa pula barang di atas katil yang bertaburan?

Di dalam seribu persoalan yang belum selesai. Saya menarik nafas dalam-dalam sambil menjeling ke sudut bilik.

"Ada kesan telapak kaki di lantai," bisik batin saya, setelah sepasang anak mata tertumpu ke arah tanah merah yang masih basah, membentuk bekas telapak kaki.

Setelah diamati-amati, telapak kaki itu memang ganjil, bukan telapak kaki manusia.

Panjangnya lebih dari dua belas inci, lebarnya hampir tujuh inci. Ibu jarinya berbentuk seperti anak lesung batu. Jumlah jarinya lebih dari dua belas jari.

Dalam tompokan tanah liat merah, terdapat bulu yang berwarna kekuning-kuningan yang panjangnya saya kira lebih dari dua inci. Saya terpegun dan terkaku berhadapan dengan keadaan yang tidak pernah saya fikirkan.

Suara-suara ganjil yang menyeramkan dari bilik sebelah kian gamat dalam berbagai-bagai nada.

Malam yang dingin terasa membahang, suara cengkerik, suara anjing liar dan burung-burung malam terus berbunyi. Terdengar suara wanita mengeluh, mengerang, merayu minta dikasihani. Tidak lama berselang, terdengar suara orang membaca mentera dan jampi serapah.

Perasaan saya terus berperang, sama ada mahu memanggil datuk atau tidak. Setelah ditelek dan ditimbang secara terperinci, biarlah datuk dengan urusannya. Biarlah datuk membaca Al-Quran dan melakukan sembahyang sunat. Tugas yang bakal dilakukannya bukanlah sesuatu yang mudah. Keputusan muktamad segera saya rumuskan.

Dengan tenang saya duduk bersila di lantai dekat pintu. Rasanya cukup selamat berada dekat pintu, kalau ada apa-apa yang tidak saya senangi, mudah bertindak mudah buka pintu lalu lari masuk ke bilik datuk minta bantuan.

Sambil duduk bersila saya manfaatkan kekuatan lahiriah dan batiniah agar kelopak mata tidak terkatup-tidak rasa mengantuk.

Begitulah, antara sedar dengan tidak, bunyi yang gamat dibilik sebelah terus berlaku. Saya persetankan semuanya itu.

"Haaaaa..." terpancut dari mulut saya.

Pintu bilik terus diketuk bertalu-talu dengan kuat sekali.

"Tamar."

Saya membisu sambil memasang telinga. Boleh jadi yang menyeru nama saya itu, suara syaitan. Tidak wajar dilayan, kalau dilayan nanti diri sendiri yang masuk perangkap dan binasa.

"Tamar, Tamar buka pintu ni."

Setelah saya yakini bahawa itu adalah suara datuk, pintu segera saya buka. Wajah datuk nampak serius.

"Kamu berwirid, Tamar?" Tanya datuk.

Saya tersenggih sambil menggelengkan kepala.

"Habis, apa yang kamu buat, berjaga tidak tentu fasal.

"Saya tak boleh tidur tuk."

"Ada sesuAtu yang mengganggu kamu Tamar?"

Saya anggukkan kepala.

Datuk langkah, tiga langkah ke hadapan. Matanya merenung ke arah tilam dan bantal yang bertaburan atas katil. Kening datuk berkedut, bila dia melihat longgokan tanah hitam di lantai.

Tadi, warna tanah liat itu kemerah-merahan, entah bila pula bertukar menjadi hitam bagaikan arang. Semuanya itu membuat saya resah semacam. Datuk renung batang hidung saya kembali.

"Huuuhhhhh..." keluh datuk,

"Patutlah sepanjang malam aku resah semacam," sambung datuk.

BIBIR

DATUK melangkah lagi, lebih jauh ke tengah ruang bilik. Kali ini anak matanya melilau, apa yang didalam bilik direnungnya dengan teliti.

Bila melihat patung kuda berlaga, dia menggigit bibir sambil menelan air liur. Saya lihat kelopak mata kirinya mengecil dan anak mata kirinya bagaikan berhenti dipinggir kelopak mata tersebut. Bagaikan ada sesuatu yang dapat dilihatnya dari patung kuda berlaga itu secara kebatinan.

"Hummm, dah dekat waktu subuh, pergilah mandi, boleh kita berjemaah di Masjid Raya, aku dah selalu sembahyang di situ. Kamu, baru inilah kali pertama," lembut suara datuk dalam suasana subuh yang dingin.

"Iya, tuk."

"Kalau begitu, aku tunggu kamu di luar."

"Baik tuk."

Datuk melangkah keluar, saya masuk ke bilik air.

Setelah mandi dan menukar pakaian, saya segera mendapatkan datuk yang menunggu diberanda. Saya kira berseorangan, rupa-rupanya Harun Fadillah berada di situ.

Tanpa membuang masa, kami segera meninggalkan rumah menuju masjid. Sebaik saja sampai di pekarangan Masjid Raya, azan subuh pun dilaungkan. Terasa syahdu dan sayu sekali meresapi kalbu tanpa disedari air mata mengalir di pipi.

Jumlah para jemaah agak ramai juga. Hampir semuanya mengenali Harun Fadillah. Malah, ada yang berpatek dan berengku dengan Harun Fadillah.

Saya agak terkejut, beberapa orang daripada jemaah itu bersalaman dan berpelukkan dengan Datuk. Agaknya kenalan lama datuk. Mana yang tidak mengenali datuk, Harun Fadillah segera menjalankan peranannya.

Lebih daripada dua puluh orang para jemaah yang bersalaman dengan kami (saya dan datuk) cukup peramah dan mesra, mereka bertanya suasana politik Tanah Melayu, kemajuan yang diperolehi rakyat bumiputera setelah bebas dari cengkaman penjajah Inggeris. Hampir semuanya bercakap dalam loghat Melayu Riau-Johor.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 206/284

BACA: SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, August 19, 2024

Amalan Mudah Yang Setimpal Dengan Pahala Membebaskan 10 Hamba!

Amalan Mudah Yang Setimpal Dengan Pahala Membebaskan 10 Hamba!

Mahukah anda mengambil peluang mendapat ganjaran seumpama membebaskan 10 orang hamba juga merupakan suatu amalan yang sangat besar dalam Islam? Al-Quran menyifatkan amalan membebaskan hamba sebagai salah satu amalan aqabah iaitu yang menjanjikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan menyelamatkan daripada neraka.

Amalan Mudah Yang Setimpal Dengan Pahala Membebaskan 10 Hamba!

Firman Allah yang maksudnya, "Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: membebaskan hamba abdi." (Surah al-Balad ayat 11-13)

Di dalam satu hadis, "Sesiapa membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan, bagi setiap anggota hamba tersebut, satu anggotanya daripada api neraka." (Bukhari dan Muslim).

Bagaimana caranya memperoleh ganjaran yang setanding membebaskan hamba pada zaman sudah tidak ada lagi hamba abdi untuk dibebaskan?

Ya, kita masih berpeluang memperoleh ganjaran membebaskan hamba, bahkan membebaskan 10 hamba setiap hari.

Caranya ialah kita melazimi zikir di bawah dan membacanya 100 kali pada setiap hari:

ﻟَﺎ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻟَّﺎ ﺍﻟﻠﻪُ ﻭَﺣْﺪَﻩُ ﻟَﺎ ﺷَﺮِﻳﻚَ ﻟَﻪُ ﻟَﻪُ ﺍﻟْﻤُﻠْﻚُ ﻭَﻟَﻪُ ﺍﻟْﺤَﻤْﺪُ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻗَﺪِﻳﺮٌ

Maksudnya, "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu." (Bukhari dan Muslim)

Nabi –sallallahu alaihi wasallam- menyatakan bahawa sesiapa membaca zikir tersebut sebanyak 100 kali pada satu hari, maka baginya ganjaran berikut:

i- Ganjaran menyamai membebaskan 10 orang hamba.

ii- Ditulis baginya 100 kebaikan.

iii- Dipadam daripadanya 100 keburukan.

iv- Mendapat perlindungan daripada syaitan.

Baginda juga menyatakan bahawa tidak ada orang yang mengamalkan satu zikir yang lebih baik daripada zikir tersebut, melainkan orang yang mengamalkan suatu yang lebih banyak daripada itu.

Jom amalkan zikir tersebut sebanyak 100 kali sehari.

Boleh dibaca 100 kali sekali gus sama ada pada waktu pagi atau petang, boleh juga dibaca separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang, asalkan cukup bilangan 100 kali dalam satu hari.

Jangan lepaskan peluang mendapat ganjaran membebaskan hamba!

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abuumair

Sambutan Hari Malas Sedunia

Sambutan Hari Malas Sedunia

Ada satu penyakit – penyakit M. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang mempunyai penyakit ini. Apa itu penyakit M? Penyakit M-A-L-A-S! Biasalah, ada hari kita tidak ada mood untuk bekerja. Tetapi kita tak boleh malas-malas sebab bos bayar kita gaji untuk bekerja, bukan untuk bermalasan!

Sambutan Hari Malas Sedunia
Gambar hiasan.

Cuma, dalam setahun, ada satu hari yang kita bebas untuk bermalasan. 10 Ogos merupakan Hari Malas Sedunia.

Sambutan ini dilaporkan bermula sejak tahun 1985 untuk menggalakkan orang ramai supaya berehat dan tidak memandu dengan laju.

Asal-usul Hari Malas Sedunia mungkin sukar difahami tetapi motif sambutan hari itu diwujudkan adalah untuk beristirehat.

Menurut Economic Times, Hari Malas Sedunia mula wujud pada awal 1900-an di Amerika Syarikat (AS). Masyarakat disana pada ketika itu mewujudkan sambutan itu untuk menggalakkan orang ramai mengetepikan tanggungjawab buat sementara waktu dan menggunakan masa itu untuk berehat.

Meskipun Hari Malas Sedunia ini sebenarnya idea yang biasa-biasa sahaja, kepentingan di sebaliknya, iaitu berehat sering diambil mudah.

Di sini, kita dapat simpulkan bahawa ideologi hustle demi hasil sudah wujud ratusan tahun dahulu.

Jadi, Hari Malas Sedunia berfungsi sebagai peringatan lembut untuk mengutamakan penjagaan diri dan menikmati saat-saat tidak mahu buat apa-apa selain bermalasan di atas katil.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa fungsinya sambutan itu sedangkan kita sudah ada dua hari hujung minggu untuk berehat?

Hari Sabtu dan Ahad mungkin bukan hari cuti untuk semua orang. Ada yang manfaatkan hari Sabtu dan Ahad untuk bekerja sambilan bagi mencari wang tambahan.

Ada juga yang terpaksa bekerja kerana bosnya ganggu pada hari minggu.

Dan, ada beberapa bidang pekerjaan hari kerja dan hari cutinya tidak mengira hari minggu atau hujung minggu. Jadi, mereka terpaksa bekerja seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad.

Hari riadah yang membahagiakan

Untuk meraikan Hari Malas Sedunia tidak ada pantang larangnya. Masing-masing bebas melakukan apa sahaja dengan cara tersendiri.

Bagi sesetengah orang, ia peluang untuk merebahkan diri atas katil sepanjang hari sambil menonton drama kegemaran.

Ada yang memilih untuk melakukan hobi yang sudah lama ditinggalkan akibat terlalu sibuk bekerja.

Apa sahaja yang anda lakukan pada Hari Malas Sedunia, pastikan ia menyumbang rasa kepuasan dan kebahagiaan.

Semua orang dijemput untuk merasai nikmat kemalasan agar mental dan fizikal lebih segar untuk kembali berjuang mencari wang.

Jangan ambil mudah kepentingan berehat. Ia mungkin kedengaran mudah tetapi jika tidak berehat, kesihatan mental dan fizikal anda akan terjejas.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, August 07, 2024

SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh

SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh

Perjalanan dari Belawan ke pinggir kawasan istana Kesultanan Deli tidak menjemukan. Pemandu teksi sapu yang berasal dari Tapanuli yang marganya SERIGAR, cukup ramah dan megah dengan rumpun Melayu. Malah dia menyebut beberapa nama saudara maranya yang sudah lama berhijrah ke Tanah Semenanjung.

Toyol jadi-jadian

Kebanyakan kaum kerabatnya tinggal di kawasan tinggal di kawasan Tapah, Temerloh, Kajang. Beberapa nama yang disebut memang merupakan orang penting di tanah air ketika itu.

"Berhentikan saya di rumah itu."

Jari telunjuk datuk menuding ke arah rumah papan separuh batu, berbumbung limas, terletak di hujung jalan. Halaman rumah menghijau dengan rerumput yang halus. Manakala disebelah kiri dan kanan rumah kelihatan pokok sawo matang (ciku) yang rendang dan berbuah lebat.

"Di sini pak."

"Iya."

Empat tayar teksi terpaku di bibir jalan. Saya lihat orang Tapanuli itu mengedutkan dahinya, macam mengingati sesuatu.

"Ada hubungan keluarga dengan pemilik rumah ni," tanyanya pada datuk.

"Kawan karib."

"Oh, begitu. saya kenal baik dengannya, kalau dia mahu ke seberang, selalu menggunakan kereta saya untuk ke pelabuhan. Namanya, Raja Aminuddin, perempuannya penari istana."

"Betul," kata datuk riang.

"Tapi. dia sudah meninggal dunia, kira-kira tiga bulan yang lalu. Dia mati di Pulau Pinang dan dikuburkan di sana, secara kebetulan anak perempuan sulungnya bekerja dengan konsul Indonesia di sana."

"Haaaaaa..." datuk tergamam dan kemudian mengucap panjang sambil disusuli dengan doa untuk si arwah.

"Setahu saya, isterinya saja sudah mati kerana penyakit ganjil, kira-kira lima tahun lalu. Perkara itu diberitahu kepada saya menerusi seorang kawan," suara datuk tersangkut-sangkut, wajahnya nampak pilu sekali.

Hujan rintik-rintik teius berhenti, matahari di langit kotaraya Medan mula bersinar. Awan nipis, putih bersih berarak lembut menuju ke arah tanah Brastagi. Begitulah, di dalam suasana kecerahan matahari saya dapat melihat wajah datuk yang gusar.

"Apa boleh buat, hajat saya tak tercapai. Allah sayang Aminuddin kerana itu dia dipanggil ke sisi-NYA," antara dengar dengan tidak, suara datuk sampai ke gegendang telinga saya.

"Tapi, awak boleh jumpa dengan anak bongsunya. Dia duduk di sini, isterinya orang Kota Lama dekat Kuala Kangsar, kalau tak silap saya, isterinya tak ada di rumah."

"Ke mana pula isterinya?".

"Balik ke Kota Lama."

Datuk merenung ke arah istana Kesultanan Deli (Istana Maimun) yang dibina sekitar tahun 1888. Lapan belas tahun kemudian pada tahun 1906, dibangunkan pula, Masjid Raya berhadapan dengan Istana Maimun. Keindahan kedua-dua bangunan itu begitu memukau hati dan perasaan saya.

"Anak bongsunya itu, namanya Harun Fadillah, di kalangan keluarga dipanggil RUN saja. Di mana saya nak berjumpa dengannya. Banyak benda yang mahu saya tanyakan padanya," datuk menyampaikan hasrat dihati.

"Ikut saya," orang Tapanuli itu menghulurkan budi.

"Saya tahu di mana dia berniaga, masuklah," sambungnya.

Tanpa membuang masa saya dan datuk masuk ke kereta semula. Kami dibawa berpusing-pusing seluruh Kota Medan dan akhirnya, berhenti di satu kawasan perniagaan yang terletak di Jalan Medan-Binjai.

JAMAIN

PEMANDU membunyikan hon kereta tua dua kali berturut-turut di depan sederat kedai dua tingkat, separuh batu dan papan. Seorang lelaki muda berusia sekitar 27-30 tahun muncul dipintu.

"Bang Jamain, apa hal," jerit pemuda berkulit putih, wajahnya tampan di kaki lima bangunan. Si pemandu segera keluar.

"Abang, bawakan sahabat karib ayah kamu dari semenanjung," balas si pemandu sambil membuka pintu kereta sebelah datuk.

Sebaik saja datuk berdiri atas jalanraya, si pemuda berwajah tampan segera melompat melepasi longkang.

"Syukur, Allah makbulkan permintaan ayah saya," dalam tangisan si pemuda terus bersuara. Saya terpaku melihat peristiwa yang tidak diduga.

"Berapa tambangnya bang Jamain," tanya Harun Fadillah sambil melepaskan tubuh datuk dari pelukannya.

"Tak payah, abang halalkan, rasanya cukup gembira bila dapat mempertemukan kamu dengan sahabat karib arwah ayah kamu," balas Jamain sambil jari telunjuknya menuding ke arah datuk.

"Terima kasih, semoga Allah akan memberikan rezeki yang halal untuk kamu dan keluarga," datuk segera merapati Jamain dan bersalaman.

Bila datuk bersalaman, saya juga turut berbuat demikian. Jamain masuk ke kereta.

Sebaik saja Jamain beredar, Harun Fadillah membawa saya masuk ke kedai miliknya yang menjual bermacam-macam jenis kain, termasuk kain songket Palembang dan batik Batu Bara.

Semasa saya berada di kedai, para pelanggan tidak putus-putus datang. Semuanya dilayan dengan baik dan ramah oleh para pekerja yang terdiri dari gadis cornel.

Menurut Harun Fadillah mereka berasal dari luar Kota Medan, ada yang datang dari Tebing Tinggi, Tanjung Balai dan Binjai.

"Begini, kita ke rumah, memanda. Boleh berehat, boleh makan dan sembahyang, memandang dari jauh perlu berehat. Banyak cerita yang mahu saya sampaikan pada memanda," Harun Fadillah mengemukakan cadangan.

"Kedai kamu bagaimana?"

"Tak apa, biar pekerja saya uruskan."

Harun Fadillah segera memanggil seorang pekerjanya yang berasal dari sebuah kawasan perkampungan kira-kira tiga ratus meter dan Kabanjahe.

"Saya ada tamu dan mahu pulang, jam enam tutup kedai, semua hasil jualan dan kunci kedai bawa ke rumah saya. Kamu telefon abang Jamain. sewa keretanya untuk membawa kamu ke rumah saya," satu arahan untuk pekerjanya yang berkulit hitam manis, bersongkok.

"Baik, pak," jawab sipekerja.

Dengan kereta Fiat lama milik Harun Fadillah kami menuju ke rumahnya. Sebaik saja daun pintu rumah terkuak, seorang perempuan tua menyambut kami.

"Tamu dari Tanah Melayu, kawan karib arwah ayah," Harun Fadillah memperkenalkan datuk dan saya kepada perempuan yang menjadi pembantu rumahnya. Perempuan separuh baya itu tersenyum dan anggukkan kepala.

"Saya ingat," sinar mata perempuan setengah baya nampak bercahaya.

"Arwah ayah raja selalu menyebut tentang kawan karibnya yang berkampung laman di Perak. Barangkali inilah orangnya, kalau benar saya sungguh gembira, khabarnya, orangnya serba boleh, handal dunia akhirat," biji mata perempuan separuh baya tertumpu ke arah datuk yang kelihatan serba tidak kena.

"Iya," angguk Harun Fadillah.

"Oh, syukur saya pada Allah "

"Sudahlah tu, pergi buatkan air dan siapkan makan tengahari untuk tetamu kita ini."

"Baik raja."

"Arwah ayah selalu menyuruh pembantu rumah dan pekerja di kedai memanggil saya sebagai Raja Harun Fadillah. Ayah selalu berbangga dengan keturunan rajanya yang menentang Inggeris di Tanah Melayu. Pada saya, gelaran raja sudah lama saya buang," mungkin Harun Fadillah merasakan sesuatu yang tidak kena, bila dipanggil raja oleh pembantu rumah dihadapan datuk.

"Aku tahu ayah kamu, dia cukup menjaga adat, tengok saja sampai sekarang kamu memanggil aku sebagai Memanda, kerana dia yang memaksa anak-anaknya supaya memanggil aku cara begitu."

Kata-kata yang terkeluar dari mulut datuk disambut dengan ketawa oleh Harun Fadillah bersama geleng kepala. Saya turut tersenyum.

SERAMPANG 12

MALAM itu, selesai sembahyang Isyak berjemaah, kami duduk di anjung rumah sambil melihat kerdipan bintangdan bulan didada langit kota raya Medau.

Dari arah istana terdengar ketukan gong dan gesekan biola dari anak-anak muda di halaman Istana Maimun. Angin malam membawa suara merdu ke gegendang telinga saya.

Sungguh merdu mereka mendendangkan irama Melayu Asli membawa lagu Pasir Roboh, Sayang Salmah, Seri Mersing, Serampang Dua Belas dan Damak.

Harun Fadillah memberitahu datuk yang isterinya sudah tiga minggu pulang ke kampung halaman di Sayong, dekat Kuala Kangsar. Ayah mentuanya bernama Shafie Wahab. Isterinya pulang kerana urusannya perkahwinan adik perempuan bongsunya.

"Bila dekat hari pernikahan kira-kira tiga minggu lagi saya pergilah ke Sayong."

"Bagus tu, siapa lagi pergi ke sana?" tanya datuk.

"Kakak saya yang tua dan kakak nombor dua ikut sama."

"Siang tadi Jamain bagi tahu aku, kakak sulung kamu kerja dengan konsul (Indonesia) di Pulau Pinang. Siapa namanya? Aku dah lupa. Dia tu anak kesayangan arwah bapa kamu," datuk renung muka Harun Fadillah.

"Nama sebenarnya, Dang Haryani, kami panggil dia Nonong," nada suara Harun Fadillah lembut sekali.

"Memang dia bekerja di Pulau Pinang."

“Sekarang dia bercuti, ada di sini."

"Ada di sini?" Datuk tegakkan badan.

"Iya, memanda."

"Tapi, sejak aku datang, aku tak nampak batang hidung."

"Dia pergi ke Tanjung Pura."

Bila mendengar perkataan 'Tanjung Pura," saya tersintak kerana nama Tanjung Pura tidak dapat dipisahkan dengan nama penyair besar Nusantara AMIR HAMZAH yang dilahirkan ditempat tersebut pada 28 Februari 1911.

Saya salah seorang daripada penggemarnya. Bait-bait sajak "Buah Rindu" bagaikan terpamir dalam kalbu.

Datuk dan Harun Fadillah masih bercerita tentang Nonong semasa kecil. Terbukti yang banyak tahu tentang Nonong si zaman kanak-kanak ialah datuk.

Sudah tentu dia lebih banyak bercakap dari Harun Fadillah. Dan saya berkhayal bersama alunan gesekan biola dan gendang yang tingkah meningkah dalam alunan irama Melayu asli, batin saya bagaikan terpanggil menyorot sepintas lalu tentang penyair besar itu yang mendapat pendidikan formal dalam Bahasa Belanda.

Memperolehi sarjana muda dari Sekolah Tinggi Hakim-Jakarta pada tahun 1931 dan pada tahun 1938, Amir Hamzah dinikahkan oleh Sultan Langkat dengan Puteri Sulungnya yang bernama Kamaliah.

Semasa zaman revolusi Amir Hamzah ditangkap dan dibunuh. Gugurlah penyair besar itu di Kuala Bergumut sebagai pahlawan nasional.

Alangkah beruntungnya, kalau saya berkesempatan mengunjungi tempat tersebut, fikir saya dalam hati.

"Kenapa dia bercuti ke Tanjung Pura?

BERCUTI

"KENAPA dia tidak bercuti di tempat-tempat menarik di Tanah Semenanjung?"

Suara datuk membantutkan khayalan saya tentang penyair agung. Perlahan-lahan saya gerakan lidah menolak lelangit.

Beberapa saat berikutnya, saya lemparkan pandangan ke halaman rumah menerusi pintu yang terbuka. Terasa angin malam yang bertiup masuk ke ruang rumah lalu menyentuh wajah saya. Mungkin juga wajah datuk dan Harun Fadillah.

"Dia ke rumah Khatijah kakak saya nombor dua. Dia menikah dengan orang Tanjung Pura, suaminya kerja sendiri," Harun Fadillah memberi penjelasan sambil mengosok pangkal dagu.

"Sudah ada anak?" Soal datuk sambil menyandarkan badan ke dinding.

Kaki kanannya dilunjurkan. Harun Fadillah kerutkan kening seperti ada sesuatu yang difikirkannya.

"Ada dua anak, seorang perempuan, seorang lelaki. Masing-masing berumur antara 10-11 tahun. Kakak sulung saya si Nonong cukup sayang dengan anak-anak saudaranya. Masa cutinya selalu dihabiskan dengan anak-anak saudaranya di Tanjung Pura, jarang dia berada di sini," terang Harun Fadillah.

Dari ruang dapur terdengar suara perempuan separuh baya batuk. Beberapa minit kemudian perempuan separuh baya itu diruang tamu.

"Makanan dah siap," katanya.

"Terima kasih kak, sekejap lagi kami makan."

"Kalau begitu, biarlah kakak balik dulu."

"Silakan," balas Harun Fadillah.

Dan perempuan separuh baya itu segera beredar.

Tanpa diminta, Hanin Fadillah menerangkan, sejak ayahnya meninggal dunia pembantu rumahnya tidak mahu tinggal dibilik yang disediakan. Sebaliknya dia lebih suka bemlang dari rumahnya yang kira-kira dua ratus ela dari rumahnya.

"Selalunya, dia datang selepas subuh dan balik ke rumahnya waktu begini," tutur Harun Fadillah.

Datuk anggukkan kepala, begitu juga dengan saya. Buat beberapa saat suasana dalam ruang tamu terasa sepi sekali. Masing-masing termenung dan menutup mulut.

"Maafkan aku Run."

Suara datuk memecahkan suasana dalam ruang tamu.

"Kenapa memanda?"

"Perkara yang mahu aku tanyakan ini, boleh menyinggung perasaan kamu? Soalnya boleh atau tidak aku bertanya," datuk menarik nafas dalam dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Saya kira hati datuk berdebar juga.

"Silakan."

Penuh keyakinan Harun Fadillah menghamburkan kata-kata. Tetapi, datuk kelihatan ragu-ragu untuk melafazkan kata-kata. Berkali-kali hujung jari kelingking kanannya mengaru-garu hujung telinga kanan. Dia bagaikan mencari sebuah keyakinan dan kekuatan dalam diri.

"Si Nonong tu, dah berumahtangga Run?"

"Belum Memanda," nada suara Harun Fadillah merendah.

"Kalau begitu, kakak sulung kamu tu dah agak berumur. Kenapalah dia berat jodoh sangat. Orangnya cantik, tak ada cacat celanya. Pelajaran juga tidak kurang, kalau tidak silap aku umurnya dah masuk angka empat. Apalah malangnya, anak angkat aku itu," Yang terbuku dikalbu datuk Iuahkan.

DILIPAT

KAKI yang dilunjurkan dilipat kembali. Seluruh muka saya menjadi sasaran biji mata datuk. Bila senyum terukir dibibir datuk, perasaan saya berdebar. Tidak tentu arah.

Macam ada sesuatu maksud tersembunyi disebalik senyuman datuk itu. Jangan-jangan orang tua ini membuat keputusan gila.

Agaknya, dia mahu menjodohkan aku dengan kakak si Harun. Siapalah mahu memperisterikan anak dara tua empat puluhan. Ramai lagi anak dara yang hampir sebaya aku boleh dicari.

Kalau tua setahun dua bolehlah juga. Ini jaraknya makan mata dua puluhan. Mana ada jalan. Sesungguhnya, bermacam-macam andaian muncul disanubari hasil daripada senyuman misteri yang dibuat oleh datuk.

"Berkawan memang ada tetapi, tidak bersungguh-sungguh. Kawan rapat pun tidak cuba masuk meminang," keluh Harun Fadillah.

"Agaknya si Nonong yang tak mahu menikah?"

"Saya tak terfikir yang kak Nonong, begitu Memanda."

"Pelik juga, agaknya belum jodoh," Datuk mententeramkan keresahan batinnya.

"Agaknya," ujar Harun Fadillah.

"Apa yang nyata, orang lelaki tidak mahu berkawan lama dengannya. Kawan-kawan lelakinya macam tidak berselera mahu menjadikan Kak Nonong sebagai ibu rumah. Macam ada sesuatu yang tidak kena pada kakak, susah hati saya memikirkan tentang diri kak Nonong."

"Pelik," keluh datuk.

Harun Fadillah menarik nafas. Jari-jemari tangan kanannya terus memicit pangkal kepala. Dan untuk kesekian kalinya datuk melunjur dan melipat kaki kanannya.

"Arwah ayah kamu tahu masalah ini, Run?"

Tiada jawapan yang datuk terima dari Harun Fadillah.

Datuk pun mengalihkan pandangan ke arah pintu rumah yang terdedah. Dan deru enjin kereta jelas kedengaran. Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka sembilan.

"Kita makan dulu, kemudian baru kita sambung cerita," Harun Fadillah mengeluarkan cadangan. Hati kecil saya bersorak kegembiraan. Perut saya sudah terasa lapar.

"Mari."

Harun Fadillah segera bangun dan melangkah menuju ke ruang dengan diikuti oleh datuk. Saya disuruh oleh datuk merapatkan daun pintu serta menguncinya sekali.

Kemudian, saya pun turut serta ke ruang dapur untuk menjamah makan malam.

Bagi datuk, makan malamnya memadai dengan tujuh suap nasi, sedikit ikan dan sejemput sayur. Penutupnya, segelas air putih. Saya jangan kira, makan dengan sekenyang-kenyang.

Setelah selesai makan malam, kami kembali ke niang tamu menyambung semula perbualan. perbincangan yang terputus.

RUANG

SAYA merenung ke arah Harun Fadillah yang tersandar di sudut ruang tamu. Buah halkumnya nampak bergerak-gerak. Agaknya, dia menelan air liur.

Di tiga jari-jemari tangan kanannya menyentuh hujung dagu. Saya kira, dia sedang mencari kata-kata sesuai untuk pembuka mulut bagi menyambung kembali perbualan yang terputus.

Harun Fadillah seperti berada dalam suasana yang serba tidak kena. Macam ada sesuatu yang mahu dihamburkan kepada datuk. Tetapi, tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Bagaikan ada sesuatu yang menghalangnya.

"Kenapa kamu nampak resah semacam saja Run, susah sangatkah kamu nak menjawab pertanyaan aku tadi?". Datuk tatap biji mata Harun Fadillah.

"Iya," Harun Fadillah mengaku.

"Kalau kamu fikirkan perkara itu baik, jawablah. Kalau buruk kamu lupakan saja," datuk memberikan jalan penyelesaian.

"Sebelum ayah meninggal dunia, memang dia berusaha mahu mencari memanda. Dua tiga kali dia datang ke Perak. Malangnya, dia tak dapat jumpa memanda," Harun Fadillah memulakan perbicaraan dengan teratur.

"Apa hajat arwah tu, Run."

"Ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada memanda."

"Dia tak cerita kepada kamu perkara yang mahu disampaikan kepada aku," potong datuk dengan wajah serius.

Saya yang sejak tadi tunduk merenung lantai, segera angkat kepala lalu merenung ke arah mereka berdua.

"Ada memanda."

"Apa dia Run?" sepasang biji mata datuk terbeliak.

"Dia suruh saya cari memanda sampai dapat, kata arwah hanya memanda saja yang dapat menolong kak Nonong. Memanda tahu rahsia keluarga kami, sama ada buruk atau baik. Terutama tentang diri arwah emak yang dikatakan ada kaitan dengan nasib malang yang dideritai kak Nonong," Harun Fadillah berhenti bercakap.

"Itu saja pesan arwah ayah kamu Run? Suara datuk meninggi.

"Iya Memanda."

Harun Fadillah segera anggukkan kepala. Tindak-tanduknya ketika itu tidak ubah seperti orang bodoh.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 205/284

BACA: SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, August 05, 2024

Kenapa Rasa Kesunyian Walaupun Dikelilingi Ramai Manusia?

Kenapa Rasa Kesunyian Walaupun Dikelilingi Ramai Manusia?

Di sekeliling ada ramai manusia yang berjalan berkumpulan, ketawa dengan jenaka rakan. Ada pasangan berpegangan tangan, cuba sembunyi cinta di balik pipi yang kemerahan.

Kau berdiri tegak, berseorang. Selautan manusia, tiada satu pun yang dikenali. Tiada kenalan, apatah lagi rakan.

Makna kesepian

Kau pulang ke bilik sewa. Beg dicampak, baju dibuka, katil berkeriut menyambut hempasan tubuh yang berat dengan soalan, "Berjuta manusia, kenapa aku masih sunyi?"

Lampu pendafluor yang benderang hilang fungsi. Bilik menggelap. Empat dinding putih bagai bergerak dan menyempit.

Sepi datang dalam bentuk lembaga gelap, membuka mulut dan menelan kau masuk ke perut sunyi.

Kenapa aku selalu keseorangan?

Maafkan kata ganti nama yang tidak formal di atas. Ia sekadar sebuah gambaran tentang kesunyian yang ingin diteroka dalam tulisan ini.

Memahami sunyi tak semudah berkata-kata. Ia lebih rumit dan berdimensi daripada makna literal yang boleh dicari dalam kamus.

Kesunyian perlu difahami mengikut keadaan. Untuk menghapuskan kesunyian juga sangat bergantung kepada keadaan seseorang.

Robert S. Weiss – yang meletakkan ikatan sebagai inti penting fahamannya terhadap kesunyian – menerangkan bahawa kesunyian terkait rapat dengan kelemahan atau rasa benci diri (self-pity).

Mengambil fahaman itu, kita sedar bahawa kesunyian boleh disingkir dengan menjadi lebih yakin diri, bergaul dan memenuhi keperluan hubungan manusiawi (seperti bercinta, berkawan dan berkeluarga).

Namun, ia tidak semudah itu. Rasa benci diri juga sangat rumit dan tidak boleh diubat dengan idea ringkas menambah baik hubungan sosial.

Mungkin, langkah awal yang perlu diambil untuk kita memanjat keluar dari perut sunyi adalah dengan memahami kesunyian itu sendiri.

Apa maksud hidup penuh makna?

Campaign to End Loneliness menyenaraikan enam jenis kesunyian, iaitu:
  • Kesunyian emosi: ketiadaan hubungan emosi (cinta, sayang, kasih) yang bermakna.
  • Kesunyian sosial: ketiadaan hubungan sosial (kawan, kenalan) yang berkualiti.
  • Kesunyian kewujudan: rasa terasing daripada orang lain dan dunia keseluruhannya.
  • Kesunyian sementara: rasa sunyi yang datang dan pergi.
  • Kesunyian situasi: kesunyian yang berlaku pada waktu tertentu, seperti perayaan atau hujung minggu.
  • Kesunyian kronik: rasa sunyi pada sepanjang atau hampir sepanjang masa.

Yang paling kerap berlaku ialah kesunyian emosi, kesunyian sosial dan kesunyian kewujudan.

Kesunyian emosi mudah dirasai apabila keperluan emosi tidak dipenuhi dengan ikatan intim yang bermakna, seperti dari seorang kekasih, suami/isteri, kawan atau keluarga.

Manusia memerlukan keintiman – keterhubungan dengan makhluk lain pada tahap peribadi, dekat dan mendalam. Ia terkandung dalam diri sejak kita mula kenal rasa sayang.

Namun, keintiman tidak terhad pada perasaan kasih pada pasangan. Ada orang boleh dapat keintiman dalam hubungan yang platonik dan kekeluargaan.

Berbeza dengan kesunyian sosial, ia berkaitan kuantiti dan kualiti rangkaian sosial seperti persahabatan.

Seberapa banyak masa kita dalam sehari boleh diisi dengan bual santai bersama kawan dan bagaimana memuaskan masa itu diisi.

Berada di sekeliling khalayak yang ramai juga tidak boleh membuang kesunyian sosial. Ia tentang apa yang ada dalam kepala, bukan luar.

Kesunyian kewujudan lebih mendalam dan melibatkan fikiran. Ia boleh tiba-tiba datang apabila realiti-realiti gelap dunia datang singgah.

Tentang dunia yang kosong dan sedih. Tentang kerinduan yang tak dapat dielak. Tentang kenyataan bahawa satu hari nanti, jasad kita akan menjadi makanan ulat dalam tanah.

Kita mempersoal tujuan kewujudan dan merasakan diri terpisah dari komuniti, masyarakat dan setiap individu dalam dunia.

Serah, usah resah

Walaupun kesunyian tidak dianggap sebagai penyakit mental, ia berkait rapat dengan keadaan mental seperti kemurungan. Sunyi boleh membawa murung dan begitu juga sebaliknya.

Kemurungan paling nyata adalah apabila kita fikir yang kesunyian akan jadi teman tetap – ia tidak boleh disingkir dan dihapus. Sedangkan sebenarnya, ia boleh diusahakan.

Langkah pertama, usaha cari harapan dalam hidup. Ia ada pada manusia, alam atau Tuhan.

Cari ruang kosong dalam dada dan bentuk apa yang paling sesuai untuk mengisinya. Kuncinya, kita bersangka baik pada takdir. Beri peluang pada harapan.

Kedua, putuskan kebergantungan pada orang lain untuk rasa gembira dan cukup. Jangan terlalu peduli pada kata-kata orang.

Kalau anda boleh rasa puas dan cukup dengan menari dalam acara muzik, menarilah sepuasnya tanpa peduli pada jelingan orang di sekeliling.

Kalau anda rasa suka pada seseorang, walau mungkin pelik di mata orang, mungkin sebab jurang umur (tapi ini tak terpakai untuk kes pedofil, tolong), luahkan perasaan pada si dia. Kalau dia tolak pun, anda telah buat sesuatu untuk kegembiraan diri. Itu sudah cukup untuk menolak sunyi.

Kalau anda rasa berseorangan ke pawagam atau pusat karaoke itu menggembirakan, lakukanlah tanpa rasa bersalah pada kelaziman masyarakat. Jangan biar stereotaip mengikat.

Ketiga – ini mungkin yang paling penting – terima kesunyian sebagai teman yang kadang kala datang menyapa.

Akan ada masa kita berasa sunyi sebab ia normal. Kadang-kadang rindu datang menjenguk, tak apa. Ada masa sedih menegur, biarkanlah.

Raikan kerumitan kita sebagai manusia yang dikurnia emosi dan perasaan. Ada waktu emosinya gelap dan berkecamuk tapi hidup akan selalu menerbitkan cahaya.

Dakap sunyi dan raikannya. Jangan bimbang, perasaan itu hanya sebentar.

Benda dengan bulu pelepah

Pagi itu cerah dan segar. Bau rumput berselang tar hangat buat sesi jalan cergas kau bertenaga. Sudah dua kilometer ditempuh, tinggal separuh jalan lagi untuk sampai ke rumah.

Kau mandi dengan fikiran terang. Sebentar lagi kemeja kuning pemberian rakan akan menyarung tubuh wangi. Di pejabat nanti, akan ada sekumpulan manusia yang menyambut kau hadir dengan senyum dan ketawa gembira.

Sebelum melangkah keluar bilik, kau tenung empat dinding yang kini lapang. Pada sunyi yang datang bersapa, kau ucap selamat.

Harapan sebuah hal yang baik, mungkin terbaik, dan hal baik tak pernah mati.

Harapan ialah benda dengan bulu pelepah, yang merehatkan jiwa dan menyanyikan lagu tanpa kata, tak berhenti sampai bila-bila.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, July 30, 2024

SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang

SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang

Selepas pernikahan (Mia-Andi) saya dan datuk cuma mampu bertahan selama seminggu saja di kampung halaman Mia. Datuk pun segera mengatur persiapan untuk pulang ke tanah semenanjung. Abang Mia, lebih awal dari kami.

Toyol jadi-jadian

Tiga hari setelah perkahwinan Mia, dia (abang Mia) pun berangkat ke Jakarta-Singapura-Tokyo kerana urusan perniagaannya. Dia juga berjanji mahu berjumpa datuk di Pulau Pinang. Tarikh, tempat dan waktu akan ditentukan kemudian.

Cara mana dia mahu menghubungi datuk yang sentiasa berkelana dari satu tempat ke satu tempat, tidak pula saya ketahui.

Pada hemat saya, datuk akan pulang ke tanah air ikut jalan datang. Ternyata perkiraan saya tidak tepat, datuk memilih jalan pulang ikut pesisir pantai menghala ke utara yang bermula dari Kuala Tungkal dengan melalui beberapa buah pelabuhan hingga sampai ke Belawan.

Datuk merancang singgah di Medan-Deli sehari dua. Kemudian baru menyeberangi Selat Melaka dengan bot dagang dan turun di Batu Uban, Pulau Pinang.

Bila Haji Basilam mengunjungi kami di rumah penginapan, perkara itu segera disampaikan oleh datuk kepadanya.

"Pelik, kamu memang manusia pelik. Suka mencari jalan susah. Kenapa tak balik ikut jalan datang? Bukankah itu lebih mudah dan cepat pula sampai. Kenapa mesti menyusuri pantai sampai ke Deli," itu komen Haji Basilam.

"Aku nak mencari kawan lama yang menetap di Kawasan Istana Deli," jawab datuk.

"Oh, begitu, ada hubungan keluarga dengan kamu?"

"Tak ada, cuma kawan baik saja."

"Kamu memang setia dengan kawan," Haji Basilam senyum sambil menepuk bahu datuk. Mereka ketawa.

"Kawan aku itu ada hubungan dengan kerabat di Raja Perak tapi, tak ada kuasa," kata datuk setelah ketawa mereka terhenti.

"Kenapa tak berkuasa pula? Agaknya, keturunan derhaka."

"Bukan derhaka tetapi, menentang Inggeris lalu dipecat oleh orang Inggeris yang berkuasa di Perak, saudara maranya yang lain dilantik menjadi raja memerintah negeri."

"Itu bukan derhaka tetapi, pahlawan," kata Haji Basilam penuh semangat. Datuk mengangguk lemah.

"Setiap kali dia datang ke Perak menemui kaum keluarganya di sana, dia akan singgah ke rumah aku. Cara kebetulan pula isterinya itu adalah penari di Istana Deli."

"Bila kamu berdua nak bertolak ke sana," cungkil Haji Basilam.

"Dua hari lagi."

"Pengantin baru dah tahu ke belum yang kamu mahu meninggalkan tempat ini?"

Pertanyaan yang diajukan oleh Haji Basilam tidak dijawab oleh datuk. Dia termenung panjang sambil mengerutkan dahi. Macam, ada sesuatu yang bermain dalam kepala datuk.

"Saya fikir, tak payahlah beritahu mereka," mendadak saja datuk bersuara.

"Kenapa pula?" Pintas Haji Basilam.

"Rasanya, tak manis ganggu pengantin baru."

"Hissss..." sanggah Haji Basilam.

"Saya tak mahu kacau mereka haji."

"Biar aku yang beritahu, lagi pun Mia tu anak angkat aku. Biar dia tahu kalau awak tak bawa si Andi ke sini, besar kemungkinan dia belum dapat bertemu jodoh."

"Mengapa kesitu pula yang difikirkan. Bukankah jodoh pertemuan itu adalah ketentuan dan hal Allah. Kepada-Nya kita patut mengucapkan syukur. Saya adalah penyebabnya atas gerak Allah juga."

Dialog yang rancak berhenti seketika. Datuk renung lantai. Haji Basilam mengigit bibir. Agaknya, dia berfikir di mana lojiknya kata-kata yang diaturkan oleh datuk sebentar tadi.

"Memang saya tahu dan faham tentang hal itu. Tetapi, saya bercakap ni dari segi budi bahasa dan pekerti manusia. Setidak-tidaknya, mereka mesti menghormati awak kerana usia awak. Biar aku beritahu budak- budak tu," Haji Basilam segera bangun.

"Nanti dulu, haji," tahan datuk.

Haji Basilam tidak peduli dan dia terus melangkah meninggalkan saya dan datuk di rumah penginapan dalam keadaan termanggu-manggu. Saya tidak mahu campur dalam urusan tersebut.

Sesungguhnya, saya memang merestui tindakan Haji Basilam itu. Memang saya mengharapkan Haji Basilam memberitahu Andi dan Mia tentang tarikh keberangkatan kami.

Cuma dengan demikian saja yang berpeluang melihat wajah Mia-Andi untuk kali terakhir. Terima kasih Haji Basilam atas tindakan kamu itu, bisik batin saya dalam senyum panjang sambil melihat matahari petang yang kian mengecil dipuncak bukit.

Datuk bangun dan berubah tempat, kesempatan itu saya gunakan untuk melihat ke arah Haji Basilam yang sedang melangkah menuju ke rumah Mia.

Saya berdoa, saranan yang bakal diluahkan oleh Haji Basilam dapat diterima oleh Mia-Andio dengan hati terbuka. Kemudian, mereka bertindak menemui saya dan datuk.

KERETA HITAM

DUA hari kemudian, kira-kira pukul tujuh pagi. Sebuah kereta jenis Ford berwarna hitam berhenti di halaman rumah penginapan kami (saya dan datuk). Dengan senyum ramah, Haji Basilam keluar dari perut kereta. Saya dan datuk tercenggang.

Beberapa minit berikutnya, Andi Kamarool dan Mia sampai di kaki tangga rumah. Semuanya bagaikan disusun dan diatur.

"Kereta untuk siapa Haji?" Tanya datuk.

"Untuk awak berdualah."

"Untuk kami!" Datuk segera mengedutkan kening dan dahi.

"Kenapa awak terkejut," soal Haji Basilam.

"Saya tak ada masalah kereta sewa," nada suara datuk mula meninggi. Dia melangkah dengan berhati-hati menuruni anak tangga.

"Mia yang menyuruh saya mencarinya," jelas Haji Basilam sebaik saja datuk duduk di anak tangga paling bawah sekali.

"Memang benar cakapnya, saya yang menyuruh Haji Basilam mencari kereta sewa," sahut Mia.

Saya lihat Andi Kamarool yang berdiri tidak jauh dari Mia segera anggukkan kepala. Datuk menarik nafas. Si pemandu kereta Ford yang merasa jemu berada dalam perut kereta segera keluar.

"Bukan apa-apa, memudahkan perjalanan supaya cepat sampai dan jimatkan masa serta tidak penat. Bila cepat sampai ke Kuala Tungkal, senanglah pula membuat urusan perjalanan selanjutnya. Sama ada mahu ikut jalan darat atau jalan laut," lanjut Mia dengan sepasang matanya tetuju ke wajah saya. Dada saya terus berdebar.

"Kalau begitu, terima kasihlah kerana menolong saya dan Tamar, dengan apa mahu saya balas budi baik Mia. Mudah-mudahan Allah memberkati hidup kamu berdua, murah rezeki, sihat walafiat dan bertambah keimanan padaNya," nada suara datuk penuh terharu.

"Eh..." Mia tidak meneruskan kata-kata selanjutnya. Dari sinar matanya, saya dapat membaca kepuasan perasaan yang amat sangat.

Kerana semua barang-barang untuk perjalanan sudah siap sedia, tanpa membuang masa datuk dan saya segera masuk ke perut kereta.

"Selamat jalan Tamar."

Andi Kamarool hulurkan tangan. Saya genggam penuh erat sambil sepasang mata kami berlaga. Saya dapat merasakan tangan Andi Kamarool menggeletar. Wajahnya nampak pilu. Memang, ada genangan air jernih di kelopak matanya.

"Semoga kamu bahagia Andi," suara saya tertahan-tahan.

"Terima kasih Tamar, semoga persahabatan kita terus berkekalan," tambah Andi Kamarool dan secara mengejut dia terus menangis tersedu.

Pemandu kereta, Haji Basilam dan datuk tidak memberikan sebarang komentar dengan apa yang kami lakukan. Barangkali, mereka juga terharu.

Tetapi, saya dapat mengawal perasaan dan masih mampu tersenyum sedangkan gelora hati saya hanya Allah saja yang mengetahui.

Perlahan-lahan saya alihkan renungan dari wajah Andi Kamarool ke wajah Mia yang berdiri di sisi Andi Kamarool. Mukanya nampak merah dan anak mata hitamnya merenung redup ke arah saya. Sepasang kelopak bibirnya seakan-akan bergerak.

Malangnya, tidak ada sepatah perkataan yang terucap daripada kelopak bibimya. Andi Kamarool tunduk merenung kami.

LEMBUT

MATAHARI pagi terus memancur lembut, kicau burung jelas kedengaran seolah-olah melahirkan rasa simpati dengan apa yang kami alami.

"Tamar."

"Iya Mia," sahut saya.

"Ku ucapkan selamat jalan Tamar," ujar Mia lembut.

"Semoga Allah melindungi perjalanan kamu dan datuk. Aku mendoakan kebahagiaan hidup kamu Tamar."

Dada saya terasa sebak. Dengan serta merta saya alihkan renungan ke arah kaki tangga rumah. Macam-macam yang menggoncang batin, ada rasa marah dan geram. Ada saatnya timbul rasa hampa dan hiba yang memanjang.

"Tamar, renunglah muka aku."

Dada saya terasa sebak.

"Tamar, renunglah muka aku," lanjut Mia dalam nada suara yang tersangkut-sangkut.

Perlahan-lahan saya menarik dan melepaskan nafas Mia masih berusaha untuk meneruskan kata-kata dalam rasa sebak dan hiba. Sesungguhnya, saya bagaikan tidak mampu untuk mengangkat kepala merenung wajah Mia. Hiba benar rasa hati.

"Semoga Allah akan memberkati doa kamu untuk saya dan datuk Mia. Aku memang mengharapkan doa aku diperkenankan oleh Allah, semoga kamu berdua hidup bahagia, sampai anak cucu. Hanya tanah saja yang memisahkan kamu berdua," saya paksa hati dan perasaan untuk berkata kata dalam rasa sebak yang memanjang. Setiap patah kata yang terhambur dari mulut tersekat-sekat.

"Terima kasih dan..." suara Mia mati di situ.

Dan beberapa saat berikutnya, terdengar isak tangis dan sedu sedan dari Mia. Perlahan-lahan kepalanya dijatuhkan ke atas bahu kiri Andi Kamarool terlintuk manja di situ. Penuh mesra telapak tangan kiri Andi Kamarool mengosok-gosok belakang Mia.

Ada sesuatu yang diucapkan oleh Andi Kamarool ke cuping telinga Mia. Dengan serta merta rasa cemburu, geram membuak-buak dikalbu saya. Hilang rasa geram, cemburu dan marah. Timbul rasa yang amat mengharukan dalam kalbu. Tanpa dapat ditahan-tahan air mata terus melilih dicerun-cerun pipi saya.

Dengan sisa-sisa kekuatan yang masih ada. Saya berusaha mengumpul kata-kata untuk dihamburkan kepada Mia.

"Ahh...!" datuk mendengus.

Semua rangkaian kata yang tersusun hilang dari sanubari saya, akibat dengusan datuk yang tidak saya duga sama sekali.

"Apa lagi, Tamar?"

Datuk segera menoleh ke arah saya bersama dengan sinar mata yang tajam.

"Jalan, jangan dilayan karenah budak-budak," kata datuk sambil menyandarkan badannya.

"Saya mahu cepat sampai ke Kuala Tungkal," sambungnya kepada pemandu.

Enjin kereta pun dihidupkan, bila minyak ditekan dan gear satu dimasukkan, kereta pun bergerak perlahan-lahan meninggalkan Haji Basilam, Mia dan Andi Kamarool di halaman rumah.

Sebelum kereta memasuki jalan besar, saya toleh ke arah halaman rumah penginapan, mereka masih melambai-lambaikan ke arah kami.

RESAH

SEPANJANG perjalanan, hati saya resah selalu. Detik manis yang dilalui datang dalam kepala yang bagaikan putaran filem. Mungkinkah ada gadis secantik Mia akan datang dalam hidup saya? Timbul pertanyaan dalam diri.

"Sudah berapa lama kamu membawa kereta?" suara datuk memecahkan suasana sepi dalam kereta.

"Lebih dari sepuluh tahun."

"Selalu bawa penumpang keluar kawasan?"

"Jarang, kecuali orang yang saya kenali, saya ada kerja tetap."

"Kerja apa?" Datuk merenung muka pemandu.

"Berladang."

"Memandu kereta ni kerja sambilan."

"lya," angguk pemandu bas.

"Buat amal jariah. Bagus tu, satu kerja yang baik," komen datuk lagi. Pemandu kereta tersenyum panjang.

Kereta terus meluncur laju melintasi hutan dan gunung ganang. Ada ketikanya melalui kawasan perumahan dan sawah yang saujana mata memandang. Lamunan tanpa hujung terus berpesta dalam tempurung kepala.

Sepasang bibir datuk nampak bergerak-gerak, saya pasti dia sedang membaca kalimah-kalimah suci memuji keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Besar.

"Siapa nama kamu?" datuk bertanya disaat pemandu memutar stereng melalui selekoh tajam sebelah kanan.

"Ahmad Nazar tetapi, kawan-kawan memanggil saya Lebai Ayi."

"Humm..." datuk anggukkan kepala.

"Suami Mia tu mesti orang handal, pak.." susul pemandu kereta.

Datuk kelihatan seperti tersentak. Muka si pemandu direnung sejenak. Temyata pemandu yang berambut agak keriting dan mula beruban kurang senang dan tindak-tanduk datuk itu.

"Kenapa kamu kata macam tu."

"Hai, semua orang tahu yang dia tu keturunan manusia harimau," si pemandu bersuara sambil merenung keluar melihat pepokok dan bukit-bukau di kiri kanan jalan. Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

"Lagi apa yang kamu tahu tentang dia lebai?" datuk bertambah ghairah mencungkil rahsia.

"Saya tahu tentang asal-asulnya, hanya lelaki yang cukup tinggi ilmu keduniaan dan akhirat saja yang boleh menaklukinya."

"Begitu," celah datuk.

"Tetapi, dia baik hati dan pemurah. Dia selalu menyewa kereta saya bila dia ke mana-mana, sebahagian daripada penduduk kampung mengharapkan kemurahan hatinya."

"Saya mahu mendengar yang baik-baik darinya. Saya tak mahu bercakap tentang dia dan suaminya, itu urusan mereka." Cukup tegas datuk bersuara.

"Maafkan saya, berangkali pak ada hubungan keluarga dengannya. Maafkan saya," nada suara pemandu penuh kesal dan kehampaan. Datuk tidak memberikan kata putus, sama ada mahu menerima permintaan maaf atau menolaknya.

"Maafkan saya," ulangnya lagi.

Macam tadi juga, datuk terus membisu. Matanya merenung ke hadapan.

Perjalanan selanjutnya, tidak dibungai dengan perbualan di antara datuk dengan Ahmad Nazar. Masing-masing membisu. Perkara itu berpanjangan hingga sampai ke Kuala Tungkal.

"Terima kasih atas kerjasama awak, maafkan saya," Telapak tangan datuk dan Ahmad Nazar segera bercantum. Jari-jemari mereka berpaut erat. Mereka berpeluk sambil melagakan pipi kiri dan kanan.

"Saya pun begitu, saya tidak terniat jahat bila bercakap tentang Mia," tersangkut-sangkut suara Ahmad Nazar.

"Saya tidak marah, saya tidak tersinggung," balas datuk.

"Mahu ke Deli, ikut laut?" soal Ahmad Nazar.

"Iya," jawab datuk.

"Selamat jalan."

"Terima kasih."

Saya dan datuk segera menuju ke pelabuhan. Cuma satu jam setengah saja kami berada di Kuala Tungkal sebelum menaiki kapal barang menuju ke Belawan.

Perjalanan yang jauh itu tidak menjemukan kerana kapal yang kami tumpangi singgah di beberapa buah pelabuhan yang kebanyakkan penghuninya cukup ramah dan baik hati.

SELESA

ANTARA pelabuhan yang disinggahi ialah Tembilahan, Dumai, Labuhan Bilik, Tanjung Balai dan akhirnya, sampai ke Belawan. Kerana kapal sering saja singgah memunggah dan mengambil barang termasuk juga penumpang, perjalanan mengambil masa hampir dua minggu untuk sampai ke Belawan.

Sesungguhnya perjalanan dengan kapal dagang menyusuri persisiran pantai banyak memberi pelajaran dan pengalaman baru pada saya.

Dua minggu berada dalam kapal dagang saya sempat mengenali berbagai-bagai etnik bangsa Indonesia yang bercakap dalam berbagai-bagai loghat.

Setiap penumpang merasa terkejut, bila mengetahui saya dan datuk dari Tanah Semenanjung, mereka tetap memperlihatkan rasa hormat dan ramah dan tetap mengatakan, orang Tanah Semenanjung, Tanah Jawa dan Sumatera tetap serumpun bangsa yang dipisahkan oleh Laut Selat Mflaka. Dari segi kepercayaan, adat resam dan budaya hampir serupa.

Sampai di pelabuhan Belawan hari Selasa, jam sebelas pagi ketika hujan turun rintik-rintik. Datuk menyewa sebuah kereta (teksi sapu) menuju ke sebuah kawasan perumahan yang letaknya tidak jauh dari kawasan istana bekas kesultanan Deli.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 204/284

BACA: SBDJ Siri 203: Harimau Menangis
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, July 29, 2024

Apa Itu Kill Switch Dan Cara Menggunakannya Untuk Melindungi Wang Anda

Apa Itu Kill Switch Dan Cara Menggunakannya Untuk Melindungi Wang Anda

Kill Switch ialah ciri keselamatan bank-bank di Malaysia sebagai satu langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan mereka daripada pelbagai ancaman siber dan penipuan dalam talian, bagi melindungi wang anda daripada penipuan dalam talian dan bagi meningkatkan tahap keselamatan perbankan dalam talian pengguna.

Kill Switch Bank di Malaysia

Mudah kata, Kill Switch merujuk kepada ciri keselamatan yang digunakan untuk menghentikan atau mematikan perkhidmatan atau sistem secara serta-merta apabila terdapat ancaman keselamatan atau pelanggaran data, dengan menyekat transaksi tidak sah kerana penipu tidak lagi boleh mengakses kad pelanggan.

Ini penting untuk melindungi maklumat sensitif daripada diakses oleh scammer dan mengelakkan masalah lebih besar akibat serangan siber. Kill switch memastikan bahawa perkhidmatan atau sistem boleh dihentikan segera, mengurangkan risiko dan melindungi integriti data.

Ciri Kill Switch ini akan memberikan pelanggan kawalan segera terhadap akaun sendiri, membolehkan mereka bertindak dengan cepat apabila mengesyaki aktiviti yang mencurigakan atau akses yang tidak dibenarkan.

Kill switch berfungsi sebagai mekanisme pertahanan terakhir yang boleh menghentikan transaksi tidak sah, menghalang akses yang tidak diingini dan mengawal kerugian kewangan dengan serta-merta. Ia juga untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan perbankan digital, menunjukkan komitmen bank terhadap keselamatan aset pelanggan.

Penggunaan Kill Switch Oleh Bank-bank di Malaysia

Di Malaysia, penggunaan kill switch digunakan dalam sistem perbankan dan kewangan untuk melindungi aset kewangan dan data pelanggan.

Institusi kewangan di Malaysia telah mula mengintegrasikan kill switch ke dalam sistem mereka untuk bertindak balas dengan cepat terhadap ancaman siber.

Berikut adalah contoh penggunaan kill switch oleh bank-bank di Malaysia:

Maybank, Maybank2u dan MAE

Maybank telah memperkenalkan ciri “Kill Switch” pada platform dalam talian mereka, termasuk Maybank2u dan aplikasi MAE. Ciri ini merupakan langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan daripada scam atau penipuan dalam talian.

Dengan menggunakan ciri ini, pelanggan dapat mematikan akses akaun mereka dengan serta-merta jika mengesyaki berlakunya scam online, penipuan atau pelanggaran keselamatan.

Apabila diaktifkan, “Kill Switch” akan menyahaktifkan akses ke akaun Maybank2u.

Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh menggunakan kad debit atau kredit mereka untuk pengeluaran tunai di ATM.

Untuk mengaktifkan semula akses ke akaun dalam talian mereka, pelanggan perlu menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank (MGCC) atau di mana-mana cawangan Maybank.

Bank Islam, GO dan GO Biz

Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) telah memperkenalkan ciri “kill switch” untuk meningkatkan perlindungan pelanggan daripada penipuan dalam talian.

Ciri keselamatan ini membolehkan pelanggan mengambil dua tindakan utama:
  • Mematikan akses ke perkhidmatan perbankan internet mereka, termasuk aplikasi GO dan GO Biz.
  • Menghentikan semua transaksi keluar daripada kad Debit-i Bank Islam mereka.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, pelanggan boleh menetapkan “cooling-off period” selama 12 jam untuk permohonan baru atau permintaan perubahan.

Bank Islam juga telah memperkenalkan sistem pengesahan berasaskan aplikasi, GO Secure, untuk kelulusan transaksi penting seperti pemindahan dana dan perubahan maklumat peribadi.

Public Bank, PBe, PB Engage dan MyPB

Public Bank telah memperkenalkan ciri “kill switch” sebagai langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan daripada penipuan dalam talian melalui PBe, aplikasi PB Engage dan MyPB.

Kill Switch Public Bank ini mempunyai dua fungsi utama:
  • Membolehkan pelanggan menyahaktifkan akses mereka kepada perbankan internet PBe dan aplikasi PB engage apabila mengesan aktiviti mencurigakan.
  • Mengimplementasikan tempoh bertenang selama 12 jam bagi transaksi yang dianggap luar biasa, memberi masa untuk menilai dan memastikan keselamatan transaksi tersebut.

Sekiranya ciri “kill switch” diaktifkan, pelanggan perlu mengambil langkah tambahan untuk mendapatkan semula akses.

Mereka boleh mengaktifkan semula akaun mereka melalui dua cara iaitu mengunjungi cawangan bank secara fizikal atau menghubungi unit pengurusan kes bank.

CIMB, CIMB Clicks dan CIMB OCTO

CIMB Bank telah memperkenalkan ciri keselamatan baru yang dinamakan “Lock Clicks ID”, yang berfungsi sebagai “kill switch” untuk perbankan dalam talian.

Ciri inovatif ini membolehkan pelanggan membekukan akaun mereka dengan segera melalui aplikasi CIMB Clicks atau CIMB OCTO apabila mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau jika mereka mengesyaki akaun mereka telah dikompromi.

Apabila “Lock Clicks ID” diaktifkan, ia akan mengambil dua tindakan serta-merta: pertama, pengguna akan dikeluarkan secara automatik dari aplikasi tersebut; kedua, semua transaksi baru akan dihentikan.

Langkah keselamatan ini memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada pelanggan.

Untuk membuka kunci akaun semula, pelanggan perlu menghubungi pusat hubungan CIMB untuk menjalani proses pengesahan tambahan, memastikan hanya pemilik akaun yang sah boleh mendapatkan semula akses.

Agrobank dan AGRONet

Agrobank Malaysia telah memperkenalkan ciri keselamatan “Kill Switch” sebagai langkah proaktif untuk melindungi pelanggan daripada penipuan dalam talian.

Ciri ini memberikan pelanggan kawalan segera terhadap akses akaun mereka, membolehkan mereka menyahaktifkan akses AGRONet secara sementara apabila mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.

Apabila “Kill Switch” diaktifkan, ia mengambil dua tindakan utama iaitu pelanggan akan dikeluarkan serta-merta dari semua sesi yang sedang aktif; dan sistem akan menghalang sebarang percubaan log masuk selanjutnya.

Langkah-langkah ini bertujuan untuk melindungi akaun pelanggan daripada akses tidak sah.

Untuk membuka semula akses ke akaun mereka, pelanggan mempunyai dua pilihan: mereka boleh menghubungi Pusat Perhubungan Agrobank atau melawat mana-mana cawangan Agrobank untuk proses pengesahan dan pengaktifan semula yang selamat.

AmBank dan AmOnline

AmBank menawarkan ciri keselamatan yang dikenali sebagai “Deactivate AmOnline” melalui platform perbankan dalam talian AmOnline.

Ciri ini memberikan pelanggan kawalan segera terhadap keselamatan akaun mereka, membolehkan mereka menyahaktifkan akaun perbankan dalam talian dengan serta-merta apabila mengesyaki aktiviti mencurigakan atau akses yang tidak sah.

Proses pengaktifan ciri ini direka untuk memudahkan penggunaan. Pelanggan hanya perlu klik butang “Deactivate AmOnline” yang tersedia melalui aplikasi atau laman web AmOnline.

Sebaik sahaja diaktifkan, sistem akan menggantung sementara akaun tersebut, menghalang sebarang akses yang tidak dibenarkan dan memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada aset kewangan pelanggan.

APA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KILL SWITCH?

Ada pelbagai kebaikan dan keburukan kill switch dalam konteks keselamatan siber dan perbankan digital yang perlu dipertimbangkan. Antara kebaikan dan keburukan kill switch ada seperti berikut:

Kebaikan Kill Switch

Dari segi kebaikan, kill switch menawarkan perlindungan segera yang membolehkan pengguna atau sistem bertindak dengan cepat apabila mengesan ancaman, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kewangan atau kebocoran data.

Ia juga memberi pengguna kawalan lebih besar terhadap keselamatan akaun pengguna, meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan digital.

Dengan menghentikan akses atau aktiviti dengan segera, kill switch boleh mengurangkan kesan serangan siber atau aktiviti penipuan.

Kewujudan ciri ini juga boleh bertindak sebagai pencegah, menghalang penyerang kerana mereka sedar sistem boleh dimatikan dengan cepat.

Keburukan Kill Switch

Walau bagaimanapun, kill switch juga mempunyai beberapa keburukan dan kelemahan di mana ada risiko penggunaan tidak sengaja di mana pengguna mungkin mengaktifkan kill switch secara tidak sengaja, menyebabkan gangguan yang tidak perlu kepada perkhidmatan.

Proses untuk mengaktifkan semula sistem selepas kill switch digunakan mungkin rumit dan memakan masa, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna.

Terdapat juga potensi eksploitasi di mana penyerang mungkin cuba menggunakan ciri kill switch untuk melancarkan serangan penafian perkhidmatan.

Dalam kes kecemasan, pengguna mungkin kehilangan akses kepada sumber kewangan penting jika kill switch diaktifkan.

Penggunaan meluas kill switch boleh membebani pusat panggilan dan cawangan bank dengan permintaan pengaktifan semula.

Walaupun terdapat beberapa keburukan, kelebihan kill switch melebihi kelemahannya dalam melindungi pengguna dan institusi kewangan daripada ancaman siber yang semakin canggih.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, July 24, 2024

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?

"Siapa yang tentukan cuti hujung minggu hanya dua hari? Kenapa hari bekerja perlu dilalui selama lima hari?" Saya yakin, anda juga tertanya-tanya tentang perkara ini.

Tidak dinafikan kita semua sangat sukakan cuti hujung minggu kerana dapat berehat daripada kehidupan bekerja yang melelahkan.

Kerja 5 Hari Seminggu

Tetapi, sekiranya kita mempunyai kurang daripada lima hari bekerja timbul pula isu lain. Bayangkan, berapa banyak gaji yang diperoleh jika kita hanya kerja selama tiga hari seminggu?

Konsep lima hari bekerja, dua hari cuti ini juga sudah diamalkan selama hampir 100 tahun.

Bagi menjawab soalan siapa yang menentukan konsep ini, kita imbas kembali apa yang tercatat dalam sejarah.

Revolusi Perindustrian

Konsep cuti dua hari pada hujung minggu mula wujud pada awal abad ke-19 selepas Revolusi Perindustrian berlaku. Ketika itu, kilang besar yang mengeluarkan barangan pengguna mula dibangunkan, mengubah ekonomi pertanian tradisional menjadi perindustrian.

Apabila petani tradisional mula bekerja di kilang, ramai yang tidak suka bekerja pada waktu yang ditetapkan. Ini kerana mereka sudah biasa menyusun jadual sendiri di ladang.

Tambahan itu, pemilik kilang juga memaksa mereka bekerja tujuh hari seminggu. Perkara ini menambah kemarahan dalam kalangan petani dan pekerja kilang lain.

Mereka mula merungut dan meminta cuti bagi meluangkan masa bersama keluarga. Aduan ini akhirnya berkembang menjadi mogok buruh yang berlaku di seluruh Amerika Syarikat.

Dalam tempoh mogok itu, ketegangan antara penguat kuasa undang-undang dan buruh yang menunjuk perasaan menyebabkan ramai yang cedera dan kehilangan nyawa.

Perjuangan itu bagaimanapun berbaloi buat para pekerja kerana waktu kerja yang lebih berperikemanusiaan mula dilaksanakan.

Konsep cuti hujung minggu juga didorong amalan beragama para pekerja. Majoriti pekerja yang beragama Kristian menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu hari Ahad.

Kejayaan pekerja Kristian menuntut cuti pada hari Ahad membuatkan pekerja beragama Yahudi – yang juga tidak kurang ramainya di Amerika Syarikat – pula menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu Sabtu.

Tuntutan tersebut menyebabkan beberapa kilang menutup operasi pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad, demi mengelak konflik antara pekerja Kristian dengan Yahudi.

Henry Ford

Pemilik kilang Ford Motor Company yang terkemuka, Henry Ford memainkan peranan yang besar dalam penetapan waktu bekerja lima hari seminggu. Dia antara majikan terawal yang memberi pekerja kilangnya cuti hujung minggu dua hari pada awal abad ke-20.

Henry Ford mengumumkan waktu bekerja 40 jam, lima hari seminggu pada 1926, dengan cuti diberikan pada Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Waktu bekerja baharu itu juga mengurangkan gaji pekerjanya kerana dia menggunakan sistem gaji harian. Kurang hari bekerja bermakna kurang gaji yang dibayar. Namun, ia sebuah kejayaan.

Walaupun mendapat tentangan pemilik kilang lain, Henry Ford membuktikan produktiviti syarikatnya tidak berubah, malah meningkat selepas cuti diberikan pada hujung minggu.

Tambahan lagi, dia juga ada agenda lain. Henry Ford meneruskan inisiatif tersebut kerana dia ingin menjual kereta yang dibuat kepada pekerjanya. Dia menyedari bahawa pekerjanya sendiri adalah antara pelanggan terbaiknya.

Jika ingin menjual lebih banyak kereta, dia memutuskan bahawa pekerjanya memerlukan cuti agar dapat memandu dan menikmati kereta yang dibuat.

Henry Ford juga didorong oleh keinginan untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir. Dia menyedari bahawa menawarkan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan boleh menjadi senjata berkuasa untuk dia merekrut pekerja yang berbakat tinggi.

Dengan inisiatif itu, syarikat Ford Motor Company berjaya memintas pesaingnya dan tumbuh menjadi syarikat permotoran yang maju sehingga hari ini.

Keseimbangan kerja-kehidupan

Pelaksanaan sistem lima hari bekerja dalam seminggu antara revolusi besar dunia pekerjaan yang memihak kepada golongan pekerja.

Ia membolehkan pekerja berehat secukupnya untuk menikmati hidup dengan lebih seimbang, baik untuk bersama keluarga, berekreasi dan menikmati hobi mahupun menjalankan aktiviti agama.

Wawasan Henry Ford yang melihat waktu rehat sebagai cara untuk menambah produktiviti pekerja perlu dicontohi lebih ramai pemilik perniagaan.

Henry Ford membuktikan, mengerah keringat pekerja sampai kering bukan cara yang sihat untuk memajukan perniagaan.

Para pekerja ialah manusia dan manusia memerlukan waktu rehat serta rekreasi untuk berfungsi dengan baik.

Selepas 98 tahun, idea penuh revolusi Henry Ford terus terbukti benar dan relevan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, July 22, 2024

Panduan Dan Cara Semak Keputusan STPM 23 Julai 2024

Panduan Dan Cara Semak Keputusan STPM 23 Julai 2024

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataannya berkata, sebanyak 41,548 calon telah menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2023 yang lalu di 657 buat pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sebanyak 16,387 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan tersebut dan terdapat dua kaedah memeriksa keputusan yang boleh digunakan calon.

Keputusan STPM 2024

Dua kaedah tersebut adalah untuk calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan persendirian individu.

1. Khidmat pesanan ringkas (SMS)

Calon perlu menaip STPMNo Kad PengenalanAngka Giliran dan hantar ke 15888. Sistem itu akan diaktifkan mulai pukul 11 pagi 23 Julai 2024 sehingga pukul 12 tengah hari 30 Julai 2024.

2. Semakan dalam talian

Calon boleh melayari pautan http://stpm/mpm.edu.my/stpmK untuk mendapatkan slip keputusan mulai pukul 11.30 pagi 23 Julai 2024.

Lepasan STPM Harus Lebih Bijak Memilih Langkah Masa Depan

Calon yang berjaya dan memenuhi syarat kelayakan pasti mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mereka memilih untuk mengikuti kursus yang mereka minati di pusat pengajian tinggi.

Ada yang bernasib baik mendapat apa yang dihajati. Ada yang berjaya mendapat tempat tetapi gagal mendapat pusat pengajian tinggi atau kursus yang diharapkan, sebaliknya diberi pilihan lain di luar bidang yang diminati. Tidak kurang pula yang gagal sama sekali.

Namun, 20 IPTA yang ada sekarang tidak dapat menampung ribuan lulusan SPM dan STPM. Jumlah yang layak berkali ganda daripada kekosongan yang ditawarkan sama ada untuk program ijazah pertama, diploma, atau asasi.

Itu pun nasib baik ada program matrikulasi Kementerian Pendidikan. Sebahagian yang diterima belajar di program matrikulasi akan membuka peluang kepada yang lain untuk bersaing kerusi dan tempat di IPTA yang lain.

Tetapi kini ada yang sudah menyedari bahawa selain berteras akademik semata-mata, kursus berteraskan vokasional dan kemahiran adalah alternatif yang boleh memberi jaminan masa depan.

Kerana itu, ramai kini yang lebih berminat menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran, malah menjadikannya pilihan utama.

Justeru, ramai yang memohon memasuki politeknik, institut kemahiran, pusat latihan belia dan lain-lain. Dahulu, tempat-tempat ini mungkin hanya berfungsi sebagai pilihan terakhir tetapi kini persepsi tersebut telah bertukar.

KELEBIHAN KEMAHIRAN

Aspek kemahiran bukan sahaja berguna untuk menyediakan diri dengan keperluan pasaran kerja. Sebaliknya ia juga sangat berguna untuk menyediakan seseorang meneroka kerjaya sendiri, tanpa mengharapkan pekerjaan di pasaran terbuka.

Harus diingat bahawa suasana dunia pekerjaan kini sudah berubah daripada era tahun 70-an dan sebelumnya. Pada era tersebut, peluang kerja mudah dan banyak.

Malah ada pelajar universiti yang sudah menerima tawaran kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian. Ertinya 'kerja mencari orang'.

Dahulu dengan kelulusan SPM atau Malaysian Certificate of Education (MCE) bagi aliran Inggeris, seseorang boleh terus memohon jawatan Inspektor dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) atau Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apabila calon semakin ramai, jawatan semakin mengecil dan saingan semakin sengit serta tahap profesionalisme makin meningkat, kelayakan permohonan sebagai Inspektor dinaikkan kepada STPM atau Higher School Certificate (HSC). Kemudian ditingkatkan kepada Diploma.

Kini kelayakan masuk minimal adalah Ijazah Sarjana Muda yang mana dengannya dahulu seseorang layak terus memohon jawatan Penolong Penguasa Polis (ASP).

Gambaran ini menunjukan persaingan mendapat kerja semakin sengit dan taraf kelayakan untuk sesuatu jawatan semakin meningkat dan terus meningkat.

Ini ditambah dengan hakikat bahawa setiap tahun, ribuan graduan baharu dilahirkan oleh IPT atau institusi pendidikan tinggi lain seperti politeknik serta institut-institut latihan kemahiran.

Sementara ada di antara graduan ini yang mendapat kerja selepas menamatkan pengajian, ramai pula masih menganggur selepas dua tahun selesai konvokesyen.

Malah ada yang lebih lama daripada itu. Pelajar berkemahiran pula dikatakan lebih terbuka peluang mendapat kerja, khususnya untuk jawatan peringkat pertengahan.

Berdasarkan senario inilah pelajar mesti lebih bijak menyusun dan merancang arah tuju selepas tamat persekolahan.

Pendidikan memang penting tetapi memilih bentuk pendidikan yang boleh menjamin kejayaan masa depan tidak kurang pentingya. Justeru pilihlah bidang yang boleh memberi laluan lebih lancar dalam menempa kecemerlangan hidup.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tidak Ada Orang Yang Malas Di Dunia Ini, Yang Ada Hanyalah Orang Yang Terlalu Letih Menghadap Kehidupan

Tidak Ada Orang Yang Malas Di Dunia Ini, Yang Ada Hanyalah Orang Yang Terlalu Letih Menghadap Kehidupan

Saya rasa, saya seorang manusia pemalas. Tahun ini, umur saya 30 tahun. Saya (masih) bangun lambat. Saya suka buang masa. Lebih memburukkan keadaan, saya sukar fokus pada waktu kerja, fikiran mudah melayang. Tahu-tahu sudah pukul 3 petang. Kerja pula belum siap. Jadi, saya simpulkan bahawa saya seorang pemalas. Kalau rajin, sudah tentu kerja boleh siap awal.

Sifat Pemalas

Dulu, saya malas buat kerja sekolah. Kalau cikgu minta salin karangan pada waktu cuti sekolah, saya tidak akan buat walaupun tahu saya akan dimarahi.

Dalam hati, saya lebih sanggup kena jerkah atau kena rotan depan kelas daripada menghabiskan masa cuti sekolah menyalin karangan sebanyak tujuh muka surat.

"Kamu ini pandai tapi kamu malas! Malas buat kerja sekolah," kata cikgu kepada saya. Saya okay sahaja. Saya tahu saya memang malas.

Tetapi, ketika menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya merupakan antara calon cemerlang di sekolah.

Selepas itu, saya berjumpa dengan cikgu Fizik. Katanya, saya rajin. Inilah keputusan yang saya dapat kalau rajin berusaha.

Pada waktu itu, saya rasa pelik. Saya rasa saya malas. Orang lain juga cakap saya malas.

Tetapi, bila saya berjaya, orang kata saya rajin. Mana satu?

Kemalasan adalah satu amaran

Perkataan malas bermaksud tidak mahu berbuat apa-apa, termasuklah bekerja. Tetapi, apa yang membuatkan seseorang itu layak dipanggil pemalas?

Pengarang buku Laziness Does Not Exist, Dr. Devon Price berkata, kemalasan adalah satu penipuan. Oleh itu, tidak ada sesiapa layak dipanggil pemalas.

Menurutnya, kemalasan hanyalah satu idea yang diterapkan dalam minda masyarakat untuk membuatkan kita dan orang lain rasa tidak berguna dan tidak produktif.

Dr. Devon berkata, pemikiran tersebut merupakan satu perangkap. Orang yang berasa dirinya malas selalu akan mencari jalan untuk menjadi lebih produktif dan lebih rajin.

Bagi mereka, kemalasan nampak seperti satu kelemahan yang perlu diperbetul.

Jadi, kita akan minum kopi untuk segarkan badan. Duduk di pejabat sampai malam dengan alasan ingin siapkan kerja. Padahal, apa yang kita perlu hanyalah rehat yang cukup.

Benar, ada orang yang memang pemalas. Ada yang melepak 24 jam di rumah, makan dan tidur. Ada orang yang tidak akan lakukan apa-apa kerja di pejabat; lebih sanggup makan gaji buta.

Dr. Devon berkata, individu sebegini mungkin boleh dipanggil pemalas. Bagaimanapun, Price menyeru agar kita semua melihat kemalasan secara lebih empatetik.

Di sebalik kemalasan yang ditonjolkan, selalunya ada masalah lain yang membelenggu sehinggakan badan dan minda mereka jadi terlalu penat.

Price berkata, sebenarnya tidak ada orang yang malas di dunia ini. Apa yang ada hanyalah orang yang terlalu letih menghadap kehidupan.

Orang yang kita panggil malas itu mungkin bergelut dengan masalah mental. Mungkin juga mereka alami masalah keluarga, sakit atau sebagainya.

Siapa kita untuk panggil orang lain pemalas jika kita tidak tahu masalah sebenar dalam hidup mereka?

Perlu pandai urus kerja

Kemalasan juga sering dikaitkan dengan sikap suka melengah-lengahkan kerja (procrastination). Individu yang tersangkut dalam pusaran ini akan berasa mereka kerap buang masa dan malas buat kerja.

Menurut ahli psikologi, Jenny Yip, dalam sebuah artikel di CNN, ada dua perkara yang membezakan kemalasan dengan sikap suka melengahkan kerja.

"Orang yang malas selalunya tidak ada usaha untuk buat satu-satu kerja. Tetapi, mereka yang melengah-lengahkan kerja pula terbeban dengan keinginan untuk menyiapkan kerja tersebut.

"Kesukaran inilah yang menyebabkan mereka ada masalah untuk memulakan satu-satu tugas. Ini satu perbezaan yang sangat besar," katanya.

Jenny berkata, ada beberapa jenis procrastinator. Contohnya, orang yang inginkan kesempurnaan atau The Perfectionist; The Dreamer — orang yang sukar fokus kerana fikiran mereka mudah melayang dan The Worrier — belum buat apa-apa lagi sudah dibebani kerisauan yang melampau.

Sikap suka melengah-lengahkan kerja ada kesan buruk terhadap kehidupan. Kerja sudah tentulah akan tertangguh. Ini tidak termasuk lagi dengan masalah lain yang mungkin tercetus hanya kerana kita suka tangguh kerja.

Tetapi, sikap ini juga berkait rapat dengan keadaan mental seseorang. Sikap suka melengahkan kerja boleh berlaku disebabkan depresi, kegelisahan, kesunyian atau masalah tidur.

Oleh itu, penting untuk mereka yang gemar melengahkan kerja ini kenal pasti corak kemalasan dalam diri. Beliau berkata, ada sebab mengapa seseorang itu menjadi procrastinator.

"Setelah kenal corak atau punca mengapa kita malas, kita dapat patahkan kitaran tersebut dengan merangka strategi tertentu," katanya.

Apa yang penting, beliau menegaskan, perlu ada mindset tertentu yang boleh membantu kita keluar dari kepompong kemalasan.

Kalau anda percaya anda boleh, maksudnya anda boleh. Jika tidak, anda tidak boleh.

Apa sahaja yang anda percaya, anda betul, katanya.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com