Friday, December 20, 2024

Kenapa Allah Mencipta Makhluk Jahat?

Kenapa Allah Mencipta Makhluk Jahat?

Didalam Al-Quran disebutkan tiga jenis makhluk berakal yang diciptakan ALLAH SWT yaitu manusia, jin, dan malaikat. Manusia dan Jin memiliki tujuan penciptaan yang sama kerana sama-sama memiliki akal yang dinamis dan nafsu namun hidup pada dimensi yang berbeda. Sedangkan malaikat hanya memiliki akal yang statis dan tidak memiliki nafsu kerana tujuan penciptaanya sebagai pesuruh ALLAH.

Kenapa kejahatan diciptakan

ALLAH berFirman didalam Surah Al-Dzariyyat Ayat 56, "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." Jin adalah makluk yang dicipta sebelum Adam.

ALLAH berFirman didalam Surah Al Hijr Ayat 27, "Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas."

BANGSA JIN

Jin adalah generasi pertama yang diciptakan oleh Allah dimuka bumi sebelum penciptaan Adam dalam beberapa peringkat generasi Jin, sebelum generasi itu diganti dengan generasi Adam.

ALLAH berFirman didalam Surah Al-An'am Ayat 6, "Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. Mereka mempunyai jiwa dan aktiviti. Lalu mereka bertebaran seperti debu halus kerana jumlah mereka yang sangat banyak."

Tanah datar, pergunungan, dan berbagai pelosok dunia telah dipenuhi oleh mereka. Mereka tinggal permukaan bumi dalam jangka waktu yang dikehendaki oleh ALLAH SWT.

Di antara mereka ada yang putih, hitam, merah, kuning, berbintik-bintik kecil dan besar, pekak, buta, cantik, buruk, kuat, lemah, perempuan dan lelaki.

Satu sama lain berkahwin dan melahirkan keturunan. Mereka disebut Jin kerana mereka kabur, tidak kelihatan, iaitu tertutup dari penglihatan manusia sepertimana keadaan perasaan hati (jinan) pada manusia.

Makhluk ini tidak boleh dilihat oleh manusia kecuali kepada orang yang mempunyai ilmu kasyaf.

ALLAH berFirman didalam Surah Al-a'raf Ayat 27, "...sesungguhnya dia dan pengikutnya melihat kamu, dari sesuatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka..."

Setelah mereka memenuhi bumi dan dunia kian sempit kerana mereka terus bertambah, bertambah juga kerosakan kerana mereka, maka Allah mengirimkan angin taufan kepada mereka. Angin tersebut membinasakan mereka. Hanya sedikit dari mereka yang tinggal.

Mereka adalah yang pertama kali membuat rumah, membelah batu, memburu burung, dan binatang liar. Semua itu terus-menerus mereka lakukan dalam waktu yang lama. Kemudian satu sama lain di antara mereka saling berlaku aniaya, akibatnya mereka saling berperang.

Namun, perangnya bukan menggunakan senjata. Sebahagian di antara mereka melenyapkan sebahagian yang lain dengan mengepung rumah-rumah sehingga mereka yang terkepung binasa kerana lapar dan haus.

IBIN JAN

Setelah tindakan kerosakan yang dilakukan mereka kian memuncak, maka Allah mengirimkan umat yang berasal dari laut kepada mereka yang jasad-jasadnya lebih besar daripada mereka dan bentuknya lebih menakjubkan, yang disebut sebagai Ibin Jan, generasi kedua kenabian dari bangsa jin.

Umat tersebut menyerbu mereka sehingga kaum Jin binasa, tidak satu pun yang tinggal. Jin hanya tinggal di bumi lebih kurang 500 tahun. Setelah itu, bumi dikuasai oleh Ibin Jaan.

Mereka berkahwin antara satu sama lain, melahirkan keturunan dan berkembang biak semakin banyak sehingga bumi kian penuh. Sebahagian di antara mereka suka menenggelam ke bumi lapis ketujuh dan menetap di sana untuk beberapa hari. Bagi mereka tidak ada tempat yang terhalang.

Mereka adalah yang pertama kali menggali perigi, membuat sungai dan mengalirkan air dari sumber-sumbernya dan dari laut. Mereka adalah yang pertama kali membuat mesin/roda, membina jambatan di atas air, menangkap ikan di lautan, dan memburu binatang-binatang liar di wilayah yang tidak berpenduduk.

Oleh kerana itu, semua binatang, baik di daratan mahu pun di lautan, mengadukan urusan tersebut kepada ALLAH SWT dan kerosakan yang disebabkan oleh mereka kian bertambah.

ABU JAN

Maka, Allah menciptakan makhluk baru yang berada di sisinya, yang bernama Abu Jan atau bapa seluruh jin.

Abu Jan telah turun ke bumi dan melahirkan generasi Banul Jan atau anak jin baik, kuat dan cerdas yang hidup sampai akhir zaman. Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa mereka memiliki jenis yang berbagai jenis.

Di antara mereka ada yang disebut dengan Nahabir, ada juga yang disebut Nahamir. Umat ini kelakuannya seperti manusia, suka makan, minum dan berketurunan. Di antara mereka ada yang Mu'min dan ada juga yang kafir.

Allah menjadikan malaikat sebagai penghuni langit dan menjadikan Banul Jan sebagai penghuni bumi.

Telah diriwayatkan, ketika Abu Jan turut ke bumi, beliau telah meminta kepada Allah agar salah satu keturunan hambanya yang bernama Iblis diperkenankan Allah untuk terus tinggal di syurga, diberi kekuatan seperti penghuni pertama (Malaikat) dan diberi kecerdasan melebihi makluknya pada saat itu.

Kemudian turunlah Abu Jan dan lahirlah keturuan Banul Jan tinggal di bumi. Setelah tinggal di bumi, mereka berperang dengan Bin.

Banul Jan terlalu kuat bagi Bin hingga mereka mampu menghancurkan Bin sampai tidak ada satu pun yang tinggal.

Mereka berkahwin satu sama lain dan melahirkan keturunan sehingga bumi ini penuh. Abu Jan diangkat sebagai pemimpin seluruh makhluk di bumi pada masa itu dan sangat beriman kepada Allah.

Beliau beribadah kepada Allah dan menjadi guru bagi anak keturunannya sampai beliau wafat. Kemudian keturunannya Banul Jan bertambah banyak, kuat-kuat dan cerdas-cerdas.

Ilmunya sangat hebat dan dari kelahiran Abu Jan sampai keturunan Banul Jan belum ada pembinasaan dari ALLAH SWT. Mereka hidup berkoloni menjadi beberapa bahagian.

Seterusnya, di antara mereka timbul kedengkian dan aniaya. Di antara mereka banyak terjadi pertumpahan darah. Sebahagian dari mereka mengganggu sebahagian lainnya.

Kerajaan-kerajaan Banul Jan kebanyakan hancur bahkan seumpama neraka. Kehancuran mereka adalah peperangan dan penindasan yang tidak akan pernah berakhir.

Kezaliman mereka di luar batas, bahkan mereka tidak mengakui jika ada Tuhan yang menciptakan mereka. Sungguh derhaka mereka kepada Tuhannya yang telah mengasihi mereka selama ini.

Atas kejadian ini, bumi mengadu kepada Tuhannya. Ketika inilah Iblis yang keturunanya paling dimuliakan dari kalangan Jin lahir dan diangkat ke syurga seperti yang dijanjikan.

KESOMBONGAN IBLIS

Iblis hidup mengabdikan diri kepada Allah dan hidup bersama penghuni pertama (Malaikat). Iblis adalah generasi ke empat kenabian dari bangsa jin.

Iblis adalah makluk dari golongan Jin yang paling kuat, cerdik dan cerdas. Pada awalnya, si Iblis ini menyembah kepada ALLAH SWT baik di bumi mahu pun di langit.

Akan tetapi, kemudian dia ujub dengan dirinya dan dia dipengaruhi ketakburan (merasa besar). Dalam keadaan demikian, Allah melihat apa yang ada di dalam hatinya.

Iblis adalah makluk Allah yang dididik oleh malaikat sehingga alim seperti malaikat, namun sifat takabburnya telah membuatkan Allah murka dan melaknatnya sehingga akhirat.

Iblis sangat cerdas dan pandai, dia mempunyai kehebatan yang luar biasa, bahkan Penghuni Pertama (Malaikat) pun merasa takjub dengan kehebatan yang di miliki Iblis.

Suatu ketika Iblis dan malaikat bertanding mengadakan ibadah yang paling lama kepada Tuhan. Golongan Malaikat sujud satu hari tanpa bangun, maka iblis akan bersujud tujuh hari tanpa bangun.

Bayangkan ibadah Iblis kepada Tuhannya sungguh alim luar biasa. Kerana alimnya dia, maka segala ilmu-ilmu di kuasai Iblis dengan sangat cepat.

Iblis bersumpah di dalam darahnya dan jiwanya, bahawasanya dia akan menjadi penghulu bagi seluruh makhluk di alam semesta ini.

Iblis terus berusaha mencari ilmu-ilmu baru dan mencuba sehingga ilmu itu berhasil. Ilmu yang paling ingin dikuasai dari segala ilmunya adalah ilmu untuk mengetahui masa hadapan dari alam semesta, namun hanya Allah yang mengetahui tentang masa hadapan.

Disinilah bermulanya kisah Iblis yang dahulu darjatnya diangkat Allah. Ketika terjadi peperangan diantara kaum Banul Jan, ALLAH SWT telah mengutus bala tentara malaikat untuk meleraikan perbalahan dan pertumpahan darah yang berlaku.

Bala tentera ini diketuai oleh Iblis yang dahulunya bernama Azazil. Iblis pada mulanya adalah bala tentera malaikat. Iblis bersama rombongannya mengusir kaum Banul Jan dari bumi.

Akibatnya mereka bertempiaran lari menghuni ke gunung-gunung dan pulau-pulau kecil serta tinggal di sana. Iblis telah merampas bumi dari mereka.

Dinasti kerajaan para Banul Jan telah hancur dan musnah. Mereka terpecah belah menjadi beberapa golongan dan tidak mempunyai pemimpin yang kuat.

Kemampuan mereka menjadi lemah dan mereka telah digantikan dengan Bangsa Jin yang lebih kecil kemampuannya dan juga kemampuan ghaibnya tidak seberapa. Bangsa jin sekarang tidak seperti mereka yang dahulu tinggi ilmunya terutama ilmu ghaib.

Pada ketika itu Azazil mempunyai kekuatan yang tidak dapat ditandingi kerana dia adalah satu-satunya penguasa kerajaan yang masih utuh dan turut menghuni kerajaan di Syurga bersama dengan Penghuni Pertama (Malaikat).

Dia merasa bangga di muka Bumi dan dalam diam Azazil telah membuat kerajaan baru di muka Bumi.

Kerajaan Azazil tergantung di atas air, sangat besar dan sangat luar biasa megahnya. Seluruh bangsa jin tunduk dan takhluk dihadapan Azazil dan mereka berikrar akan selalu setia kepadanya.

Sesungguhnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang dirancang oleh Azazil, maka Allah menjadikan makhluk baru untuk menggantikan kepemimpinan bangsa jin di muka bumi yang nantinya akan mengetuai seluruh makhluk Bumi.

"Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para Malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Azazil."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 219: Rahsia Pondok Raja Susuk

SBDJ Siri 219: Rahsia Pondok Raja Susuk

Beberapa orang tempatan yang berada di situ mula beredar. Barangkali mereka tidak mahu campur tangan dalam urusan yang tidak menguntungkan itu.

"Huh, penakut."

Terdengar suara protes. Tidak tahu dari mana datangnya. Saya cuba mengesan tetapi, tidak berhasil sama sekali. Hati kecil yakin, suara itu datangnya dari lelaki berwajah keras.

Toyol jadi-jadian


Ada dua alasan yang kuat kenapa saya mengatakan suara itu datangnya dari lelaki yang berwajah keras. Pertama, dia tidak begitu suka seperti menaruh dendam pada simati. Kedua, dia seperti tidak puas hati dengan tindak tanduk si ulama berbadan kecil.

"Hummmmmm..."

Terdengar dengusan.

Kali ini saya berjaya mengesan si pendengus tersebut, Tidak lain, tidak bukan ialah lelaki berwajah keras. Dia tidak berpuas hati kerana tidak menerima penjelasan segera dari si ulama berbadan kecil.

Dan protes itu dilahirkan dengan berbagai-bagai cara untuk perhatian orang ramai terutama dari si ulama.

Apa juga yang dilakukan oleh lelaki berwajah keras, tidak dipedulikan oleh si ulama berbadan kecil. Keadaan demikian, membuatkan saya resah semacam, mungkin orang lain juga mengalami seperti apa yang saya alami.

Lelaki berwajah keras bertambah agresif. Dia bercakap ikut suka hati. Meluahkan sindiran tajam dan pedih secara tidak langsung ditujukan kepada si ulama berbadan kecil. Mulutnya cukup celupar.

Apa yang menariknya, si ulama tidak bertindak balas. Tetapi tenang dan bersahaja. Malah saya pula yang panas telinga.

"Saudara."

Semua biji mata tertumpu ke arah Pak Imam yang berdiri dengan wajah berkerut.

"Kenapa?" sanggah lelaki berwajah keras.

Dia dapat merasakan Pak Imam memperkatakan sesuatu terhadapnya. Lalu dia memusingkan tubuhnya menghadap ke arah Pak Imam. Dada dan muka mereka bertentang,

"Dengan izin Allah, tidak ada perkara pelik di muka bumi ini, Allah berhak melakukan apa saja terhadap makhluk ciptaannya, janganlah kita persoalkan kekuasaan Allah," tambah Pak Imam dalam nada suara yang keras dan lantang.

Tindakan Pak Imam itu mengejutkan datuk, Syed Hamid Al-Hadad juga si ulama berbadan kecil. Memang mereka tidak menduga Pak Imam yang banyak diam dari bercakap itu mahu mengambil dan menjalankan peranannya sendiri.

"Tidak baik mengungkit dan memperkatakan tentang orang yang sudah mati, perbuatan itu mencerminkan kerendahan akhlak diri sendiri, lagi pun perbuatan demikian di tegah oleh agama," Pak Imam menyambung kuliah singkatnya di depan para tetamu.

Tersentak dengan penjelasan Pak Imam, lelaki berwajah keras terdiam. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Malah tunduk terus sehingga majlis ucapan terima kasih itu selesai.

Tetapi, saya dan Harun tetap waspada, mungkin orang lain juga demikian. Mana tahu, dalam diam lelaki berwajah keras yang merasakan dirinya diperkecilkan bertindak di luar dugaan.

BERGERAK

Penduduk setempat mula bergerak. Mula bersalaman dengan ahli rombongan dari Masjid Raya, termasuk Syed Hamid Al-Hadad, Pak Imam dan datuk.

Saya dan Harun orang terakhir tidak membabitkan diri dalam acara itu, masih sendirian dan duduk mencangkung atas tunggul buruk, macam beruk jantan nanti beruk betina melintas di depan.

Saya kira kata-kata dari Pak Imam meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya.

"Terima kasih."

Dengan pantas ayah Ali Usman menyambar telapak tangan yang dihulurkan oleh Syed Hamid Al-Hadad. Telapak tangan mereka berlaga kulit, jari jemari bercantum erat.

Kelopak bibir mengukir senyum dalam pelukan persaudaraan sesama Islam, penuh erat, penuh mesra.

"Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kasih kerana berusaha membawa jenazah arwah abang saya untuk dikebumikan di sini," suara ayah Usman Ali tersekat-sekat dan akhirnya menangis.

"Jangan menangis."

"Maafkan saya, semoga Allah murahkan rezeki, panjangkan umur Tuan Syed."

"Alhamdulillah, semoga Allah memberi rahmat dan petunjuk ke atas keluarga kamu," balas Syed Hamid Al-Hadad sambil menjatuhkan tangannya yang memeluk tubuh ayah Ali Usman.

Syed Hamid Al-Hadad hanya melangkah beberapa tapak ke depan sebelum berpatah semula ke arah ayah Ali Usman.

Sudah tentu perbuatan Syed Hamid Al Hadad menimbul persoalan dalam hati datuk. Mungkin juga dalam hati Pak Imam tetapi, Ali Usman tidak pula menganggap perbuatan Syed Hamid Al-Hadad sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Lelaki yang marah-marah tu, orang dari kampung mana?"

Syed Hamid Al-Hadad bertanya secara berbisik kepada ayah Ali Usman.

"Anak jati kampung ni, tinggal sebelah darat dekat sungai," balas ayah Ali Usman secara berbisik juga.

"Saya nak berjumpa dengannya."

"Haaaaa..."

Terbeliak sepasang biji mata ayah Ali Usman seketika. Tidak terdetik di dalam hatinya yang Syed Hamid Al-Hadad berminat dengan lelaki berwajah keras.

"Bawa saya berjumpa dengannya," desak Syed Hamid.

Tanpa bertangguh lagi, ayah Ali Usman membawa Syed Hamid Al-Hadad bertemu dengan lelaki berwajah keras yang termenung di tunggul buruk.

Pertemuan Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras itu berlangsung lebih dari setengah jam. Ada ketikanya, mereka kelihatan seperti bertengkar dan mahu bergaduh dan dalam masa yang sama nampak cukup mesra.

Apa yang jelas, lelaki berwajah keras tetap dengan sikap agresifnya, cepat naik darah dan bercakap dengan suara yang tinggi. Seolah-olah mahu mengheret Syed Hamid Al-Hadad dalam pergaduhan kecil.

Usahanya itu gagal, dapat dikalahkan oleh Syed Hamid Al-Hadad dengan sikap perwatakannya yang lembut dan tenang.

Walaupun ayah Ali Usman tidak melibatkan diri dalam dialog kecil antara Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras, dia tetap mengawasi keadaan.

RIWAYAT

Semasa Syed Hamid Al-Hadad menjejaki riwayat silam laki berwajah keras itu secara perbualan dari adik si mati, datuk mengambil peluang mengajak Ali Usman (lelaki empat puluhan) ke pondok pamannya, RAJA SUSUK yang terpencil di kaki bukit. Saya di ajak oleh datuk untuk menemaninya ke kaki bukit.

Pemergian saya dan datuk dipersetujui oleh Pak Imam dengan bersyarat. Harun mesti tinggal bersamanya untuk mengikuti perkembangan pertemuan Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras.

Syarat itu bukanlah syarat yang sulit buat datuk. Tetapi, bagi Harun syarat itu sungguh menyiksakan, dia harus berpisah dengan saya untuk sementara.

Perjalanan ke pondok RAJA SUSUK terpaksa melalui denai yang saya kira, laluan binatang buas yang kiri kanannya penuh dengan semak belukar.

Kami tidak boleh jalan bersaing kerana denai yang sempit muat untuk laluan seorang saja. Suasana terasa menyeramkan dibawah sinar matahari yang keras, terdengar bermacam-macam dari berbagai jenis unggas.

"Yang kita lalui ni, laluan gajah waktu malam. Kadang-kadang waktu siang begini ada harimau yang lalu, ular tedung melintas. Kalau nasib baik dapat melihat kijang."

"Oh..." itulah reaksi saya.

"Berbulan-bulan saya berulang-alik di laluan ini, tidak kira waktu, ada masanya waktu tengah malam, subuh, pagi, petang, tengah hari memujuk dia supaya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Empat kali berulang alik belum tentu dapat bertemu dengannya," cerita Ali Usman.

Datuk tidak memberikan sebarang komentar. Dia hanya anggukkan kepala.

Saya kira bermacam-macam bergolak dalam tempurung kepala datuk, bagaikan ombak memukul pantai. Pasti, datuk tidak dapat memisahkan barang dalam bungkusan di rumah Harun dengan pondok milik RAJA SUSUK di kaki bukit, semuanya itu mungkin ada kaitannya.

"Saya pernah terserempak dengan harimau menggonggong napuh waktu tengah malam di sini," Ali Usman berhenti melangkah dan menunjukkan kepada datuk dan saya dari arah mana harimau itu muncul dan ke arah mana pula dia menghilangkan diri.

"Berhati-hati," pendek datuk bersuara.

Dan saya menoleh ke kiri, pepokok kecil bergerak macam dilanggar sesuatu. Suara unggas kian garang berbunyi bagaikan memberikan kepada kami sesuatu yang bakal muncul dari rimbunan pepokok kecil.

Saya semakin cemas, sepasang biji mata berputar melihat keadaan sekitar. Dengan tidak semena-mena kepala lutut mengeletar. Kaki terasa lemah untuk melangkah. Malah, sepasang telapak kaki bagaikan tidak berpijak di permukaan bumi.

"Subhanallah..." ucap saya lemah.

Dari celah-celah rimbunan pokok kecil terjenggul kepala harimau dengan sinar mata yang tajam dan garang. Dan dalam beberapa detik saja seluruh badan harimau dapat saya lihat dengan jelas sekali.

"Tuk...." saya bersuara.

Tiada jawapan balas yang diterima. Dedaun hutan yang tua ditolak angin melayang-layang lemah sebelum tersadai di dedaun pepokok kecil. Suara monyet liar mula kedengaran.

Ali Usman yang menjadi kepala tidak memperlihatkan rasa terkejut atau cemas. Dia nampak tenang dan bersahaja, begitu juga dengan datuk.

Harimau belang sebesar bapak lembu dengan perut yang mengelembir, terbuai ke kiri, terbuai ke kanan merintangi perjalanan kamai.

"Bagaimana..." ucap saya,

Datuk dan Ali Usman tidak memberikan sebarang reaksi. Bagi mereka harimau besar yang mengoyang-goyangkan itu bagaikan tidak wujud.

Dan harimau nampak semakin berani, kalau tadi dia merintangi jalan, kini semakin bebas bergerak. Berlegar-legar didepan kami. Suara monyet liar semakin kuat.

Setelah beberapa kali berlegar sambil menguap, harimau besar itu cuba melakukan terkaman untuk mematahkan batang leher Ali Usman. Hati saya semakin kecut. Datuk tetap berdiri tenang.

PERSOALAN

Keadaan yang tidak aman itu menimbulkan bermacam-macam persoalan dalam hati. Apakah salah seorang dari kami akan menjadi mangsa harimau? Kenapa datuk tidak melakukan sesuatu?

Berapa lama Ali Usman boleh bertahan dengan keadaan yang mencemaskan ini. Saya menggigit bibir sambil menarik nafas panjang. Harimau terus melakukan terkaman maut ke arah Ali Usman yang tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Setelah menyorot dengan teliti pergerakan harimau belang, saya dapati ada sesuatu yang aneh terjadi. Setiap kali harimau itu melakukan terkaman akan mengalami kegagalan. Hanya mampu melompat separuh jalan saja.

Harimau itu nampak seperti kehilangan tenaga dan kekuatan. Kaki belakangnya seperti tidak berfungsi untuk menolak tubuhnya yang besar itu ke arah Ali Usman yang sedang menanti di depannya.

Dalam usaha menahan serangan harimau belang berbadan besar, saya dapati Ali Usman melakukan dua perkara. Dia tidak berganjak pada tempat dia berdiri dalam kedudukan sebagai seorang jaguh silat menentang musuh.

Sepasang matanya tidak berkedip merenung ke arah anak mata harimau liar. Agaknya, kerana bosan, sering mengalami kegagalan menerkam Ali Usman, perlahan-lahan harimau itu beredar sambil mencium dedaun pepokok renik di kiri dan di kanannya.

"Kamu nampaknya, hebat sekali," kata datuk.

"Perkara begini memang selalu saya alami," Ali Usman menoleh ke arah saya dan datuk.

"Hmmmm..." pendek saja jawap datuk.

Dan perjalanan pun diteruskan. Suara jeritan monyet tidak kedengaran lagi tetapi, suara burung masih kedengaran terutama burung murai batu, merbah jambul dan kuang.

Hati kecil tetap mengharapkan tidak akan berhadapan dengan perkara yang tidak diingini. Matahari tetap ramah memancarkan cahayanya. Walau apapun, kami tetap melangkah dengan hati-hati.

"Kata arwah bapa saudara saya, semua binatang buas di kawasan ini sudah dikuasainya. Sudah diilmukan secara jauh. Semuanya sudah disusuk secara batin," ungkapan Ali Usman itu sesuatu yang mengejutkan dan saya menoleh ke arah datuk.

"Ehemmmm..."

Saya tidak tahu kenapa datuk berdehem. Mungkin ada sesuatu yang tersirat dari suara tersebut?

Apa yang pasti ungkapan yang terluah dari kelopak bibir Ali Usman menambahkan perbendaharaan pengetahuan saya. Barulah saya tahu rupanya binatang buas juga boleh disusuk. Benarkah perkara ini? Timbul pertanyaan dalam hati.

"Orang yang satu keturunan dengan paman, tidak akan dibinasakan oleh binatang buas dan mereka sering diuji. Ada syarat tertentu untuk mengatasi ujian tersebut."

"Apa syaratnya?" Dengan pantas datuk meningkah.

"Menentang anak mata binatang buas dengan tidak berkedip, ibu jari kaki kanan dibengkukkkan," jelas Ali Usman sambil berjalan. Dia tidak mahu menoleh ke arah datuk. Saya hanya memasang telinga saja.

"Kamu percaya dengan cakapnya tu?"

Langkah Ali Usman terhenti seketika. Dengan pantas dia menoleh ke arah datuk. Kerana Ali Usman berhenti secara mengejut menyebabkan saya hampir melanggarnya. Datuk tersenyum melihat gelagat saya.

"Dalam hal ini susah saya mahu menjelaskannya. Nak kata tak percaya, perkara itu macam benar," lemah benar suara Ali Usman, selemah hayunan kakinya.

"Buktinya," datuk minta kepastian.

"Pernah di suatu petang saya terserempak dengan babi hutan yang ganas terus menyerang saya. Kerana tidak ingat pesan paman, saya terus melarikan diri. Entah macam mana dalam keadaan yang kelam kabut, saya teringat cakap paman. Apa yang dicakapkannya, saya buat, mata babi hutan itu saya tentang," Ali Usman berhenti bercerita.

"Akhirnya jadi macam mana?" soal datuk.

"Bila ditentang dengan penuh rasa yakin, babi hutan itu tunduk dan undur kebelakang. Itulah sebabnya saya kata susah nak cakap, nak kata tak percaya pun tak boleh, bila percaya rasanya macam tak masuk akal," jujur benar Ali Usman menerangkan keadaan sebenar yang di alaminya.

POKOK

Penjelasan dari Ali Usman membuat datuk tersenyum panjang. Andainya, pada ketika itu ada orang bertanya tentang pendirian saya dalam hal ini, pasti saya katakan sama dengan pendapat Ali Usman. Perjalanan diteruskan ke tempat yang diingini.

Sebaik saja mendekati pokok jering besar yang tidak berbuah, dalam jarak kira-kira lima kaki, halangan baru muncul. Seekor ular tedung muncul dari rerumpun lalang berdekatan pokok jering besar. Sisiknya nampak berkilat ditampar cahaya matahari.

Ular itu duduk di tengah jalan sambil memanggungkan kepalanya. Lidahnya yang bercabang terjulur keluar, bergerak ke kanan dan ke kiri.

Ah! sungguh menyiksakan, perjalanan menuju ke rumah peninggalan RAJA SUSUK penuh dengan rintangan dan cabaran.

Kenapa datuk memilih cara ini menyelesaikan masalahnya, fikir saya dalam hati sambil merenung ke arah ular tedung yang tegak berdiri melepasi kepala kami bertiga. Tiba-tiba dengan sekelip mata ular itu hilang dari pandangan saya.

Secara otomatik saya terfikir, ular tedung tersebut, bukan ular sebarangan. Sudah pasti ular jadi-jadian dan harus dimusnahkan.

Sebaik saja saya berpendapat sedemikian ular itu menjelma kembali, betul-betul di depan Ali Usman dalam jarak yang cukup dekat, tidak sampai sepuluh kaki.

Apa yang tergambar dalam kepala saya ialah sebuah kematian yang mengerikan. Tiga manusia mati serentak dipatuk ular tedung.

"Jangan bergerak."

Terpinga-pinga saya mendengar suara datuk. Bagaikan ada kuasa ghaib, sepasang kaki Ali Usman dan saya bagaikan dipaku dibumi. Tidak bergerak walau seinci pun.

Memang ada niat untuk menoleh ke arah datuk, bila mengingatkan arahannya hasrat tersebut terpaksa dikuburkan begitu saja.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 219/284

BACA: SBDJ Siri 218: Menjunjung Songkok Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, December 18, 2024

Takrif Keterjaminan Makanan

Takrif Keterjaminan Makanan

Takrif keterjaminan makanan menurut World Food Summit pada tahun 1996 ialah, "Setiap manusia pada sepanjang masa mempunyai akses sosial, ekonomi dan fizikal terhadap makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan zat dan pilihan makanan mereka demi kehidupan yang aktif dan sihat".

Program Keterjaminan Makanan

Satu kajian dari Institusi Kajian Ekonomi Taipe ada menggariskan empat komponen yang menjadi tonggak kepada ekosistem keterjaminan makanan iaitu ketersediaan makanan, akses kepada makanan, kestabilan bekalan makanan dan penggunaan makanan.

1. Ketersediaan makanan

Komponen ketersediaan makanan perlu didahulukan sebelum membicarakan komponen lain. Dengan unjuran penduduk yang bakal meningkat kepada 40.7 juta orang pada tahun 2040, Malaysia perlu menambah keluasan tanah pertanian menjadi 1.5 juta hektar berbanding 817,000 hektar sekarang bagi tujuan tanaman makanan, penternakan dan perikanan.

Tambahan pula, kita perlu mempelbagaikan rakan dagang yang boleh membekalkan makanan bagi menyederhana ketidakcukupan bekalan domestik.

2. Akses kepada makanan

Indikator utama seperti indeks harga pengguna boleh digunakan bagi menilai perubahan harga kumpulan utama barangan dan perkhidmatan termasuk makanan.

Untuk bulan Julai 2023, kadar inflasi bagi makanan dan minuman bukan alkohol mereda pada kadar 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus untuk bulan sebelumnya.

Kadar inflasi ini hendaklah dikawal termasuk perlu ada langkah menguncupkan bahagian perbelanjaan makanan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agar tidak membebankan rakyat.

3. Kestabilan bekalan makanan

Rakyat juga perlu mempunyai akses kepada bekalan makanan pada setiap masa. Keadaan cuaca yang semakin tidak menentu boleh memberi kesan terhadap hasil pertanian, justeru infrastruktur seperti sistem pengairan yang baik amat kritikal bagi menampan kesan kemarau panjang mahupun musim tengkujuh.

4. Penggunaan makanan

Keterjaminan makanan juga bermakna ia mesti diuruskan dengan bersih dan diambil dalam kuantiti zat yang diperlukan.

Dalam laporan Global Hunger Index (GHI) bagi tahun 2022, negara kita mencatat skor 12.5 iaitu berada pada tahap kelaparan sederhana.

Apabila indeks tersebut dilihat dengan lebih mendalam lagi, kanak-kanak di Malaysia menghadapi peningkatan masalah bantut akibat malnutrisi dan peningkatan kadar penyusutan berat badan.

Ancaman perubahan iklim

Berdasarkan beberapa indikator yang telah disebutkan, isu keterjaminan makanan ini perlu ditangani menerusi pelbagai dimensi sosioekonomi.

Namun kita tidak boleh berhenti setakat itu sahaja kerana krisis iklim yang semakin mengganas memerlukan sinergi antara penggubal dasar, agensi kerajaan dengan kumpulan petani untuk bertindak seiringan.

Ancaman perubahan iklim ini sedang memangsakan sektor pertanian dan tahap keterjaminan makanan kita melalui tiga senario; (1) mengubah persekitaran yang ideal untuk tanaman tumbuh; (2) merosotkan taraf hidup para petani; dan (3) menyusutkan kualiti produk tani.

Peningkatan karbon dioksida (CO2) dalam atmosfera kita tidak pernah berjaya diperlahankan sejak era Revolusi Industri. Kesan peningkatan ini bersama-sama gas rumah hijau lain telah memerangkap lebih banyak haba sekali gus meningkatkan suhu global dan mengakibatkan kemarau berterusan dan peningkatan paras air laut.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pada Mei 2024 lalu mencatatkan kerugian lebih RM2.7 juta kerana hasil padi di Kelantan menurun hampir 30 peratus akibat musim kemarau.

Peningkatan paras air laut juga berpotensi mengancam kawasan lembah delta yang menjadi lokasi pilihan penanaman padi seperti di Delta Mekong, Vietnam.

Umum mengetahui rata-rata petani ini datang daripada keluarga berpendapatan rendah, justeru pemberian bantuan tunai dan input pertanian bukanlah kaedah yang mampan untuk menjamin taraf hidup yang selesa.

Kesannya, generasi baharu akan bermigrasi ke kawasan urban untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan meninggalkan legasi pertanian ibu bapa mereka.

Menurut laporan khas yang diterbitkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), peningkatan CO2 telah menyebabkan penurunan kandungan zat penting dalam beras seperti protein, zink dan vitamin B.

Menodai Alam Sekitar

Kita tidak dapat berdalih lagi bahawa sudah terlalu banyak dosa antropogenik yang telah menodai keharmonian alam sekitar sekali gus meresahkan sektor agromakanan.

Negara memerlukan cita-cita nasional bagi menggerakkan fokus, jentera dan kepakaran ke arah keterjaminan makanan demi generasi mendatang.

Sekurang-kurangnya kerajaan pada hari ini boleh menyambut Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 sebagai komitmen yang setara seperti New Industrial Master Plan 2030.

Jika diberi pilihan industri yang perlu diberikan suntikan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih agresif, jawapannya ialah industri pertanian.

Antara inovasi yang perlu diberikan perhatian adalah seperti benih yang mampu berdaya tahan dalam cuaca ekstrem dan automasi pengurusan ladang.

Pemain industri turut boleh meneroka amalan 'regenerative agriculture' yang menumpukan praktis pertanian yang lestari berdasarkan beberapa prinsip seperti pemeliharaan kesuburan tanah, kepelbagaian biodiversiti dan penyerapan karbon. Langkah ini dapat menjamin kelangsungan jangka hayat kawasan pertanian yang semakin tenat.

Pandemik yang lalu sudah mengajar kita apa yang akan berlaku jika sumber makanan menjadi terhad. Jangan biarkan krisis iklim pula menelan makanan kita!

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, December 04, 2024

SBDJ Siri 218: Menjunjung Songkok Hitam

SBDJ Siri 218: Menjunjung Songkok Hitam

Saya segera mendekati datuk. Harun hanya memerhatikan saja tindak-tanduk saya. Barangkali, dia sedang memikirkan sesuatu. Kalau tindakan yang bakal diambil menguntungkan, dia sokong seratus peratus. Kalau merugikan, mungkin dia menyisihkan diri. Macam-macam yang tumbuh dalam kotak fikiran.

Toyol jadi-jadian

"Bagaimana tuk?"

Tidak ada sebarang reaksi yang datuk tunjukkan.

"Bagaimana tuk?" ulang saya cemas.

"Apa dia?" sahut datuk dalam nada suara yang kurang menyenangkan. Muka Harun saya jeling, dia tunduk bersama senyum sinis.

Saya jadi serba salah menerima tempelak dari datuk bersama sinar mata yang tajam. Wajahnya, nampak bengis.

Dalam keadaan yang agak runcing itu, tanpa disangka-sangka Harun Fadilah campur tangan. Dia menerangkan kepada datuk apa yang mahu saya perkatakan secara terperinci. Usaha Harun berhasil, datuk tersenyum senang.

"Kita pergi, kamu dengan Tamar ikut sama," jawab datuk pendek tetapi tegas.

Keriangan berpesta dalam diri, kerana bakal dapat melihat adat budaya di Kampung Raja Susuk.

“Tapi memanda.." muka Harun nampak cemas semacam.

"Apa dia Harun?"

"Ada kerja yang belum selesai di rumah, barang dalam bungkusan masih belum ditanam belum dibuang," Harun mengingatkan datuk.

Dada saya berdebar dan bimbang, kalau ingatan itu boleh membuat datuk membatalkan rancangannya.

"Tak mengapa, kita ke Pengkalan Berandan dulu, selesaikan masalah jenazah, kemudian baru kita fikirkan tentang barang dalam bungkusan," datuk memberikan kata pemutus. Kebimbangan yang berputih di kalbu segera gugur.

Tetapi, hati kecil merasakan tindakan datuk itu sesuatu yang ganjil. Selalunya, dia tidak mahu menangguhkan atau membatalkan sesuatu rancangan yang sudah diatur, kerana perbuatan itu merupakan pantang larang baginya.

Tetapi, kenapa kali ini kebiasaan itu ditukar. Mungkin, dia melakukannya atas muslihat atau tujuan tertentu.

Mana tahu, si mati yang dipanggil RAJA SUSUK itu ada hubung kaitnya dengan barang dalam bungkusan di rumah Harun. Boleh jadi, dari Pengkalan Berandan datuk mahu memulakan tugasnya menjejaki pengamal ilmu susuk. Semua persoalan itu berlegar-legar dalam peti otak saya.

"Kamu berdua naik kereta itu."

Jari telunjuk datuk menuding ke arah kereta Austin Mini berwarna merah. Arahan itu kami patuhi. Kereta mini yang dipandu oleh etnik Batak mula bergerak, terpisah agak jauh dari kereta yang dinaiki oleh Pak Imam, Datuk dan si ulama berbadan kecil, kira-kira dalam jarak lima buah kereta.

Anak muda empat puluhan, naik satu kereta dengan Syed Hamid AI-Hadad. Pak Imam dan datuk, mendahului kereta jenazah.

Tidak ada jemaah yang mahu naik kereta Austin mini merah. Mungkin kerana mereka memikirkan kereta itu kecil dan kurang selesa untuk satu perjalanan yang jauh.

Kerana tidak ada orang lain, pergerakan kami terasa bebas. Boleh bercakap apa saja dengan pemandu beragama Kristian yang peramah dan periang.

"Saya sudah dua kali ke Penang. Seronok di sana," katanya bangga.

"Banyak duit kamu?" usik saya.

"Tuan Syed yang bawa, kalau harapkan saya entah bila sampai. Tapi, ada peristiwa menarik.." si pemandu berhenti bercakap. Dia ketawa lucu.

"Kenapa? Apa yang lucunya?" Harun pula bertanya.

"Begini, salah seorang kawan rapat Tuan Syed telah menceritakan pada saya tentang sebuah gereja tua di Bukit Mertajam, kalau tak silap saya Gereja Stann. Saya ingin melihat dan sembahyang di gereja tersebut. Perkara itu saya ceritakan pada Tuan Syed," pemandu peramah berhenti bercakap. Stereng kereta dipaut kemas menempuh satu selekoh yang tajam.

"Saya ceritakan hasrat hati saya padanya. Cara kebetulan hari saya bercerita itu hari Ahad dan dia bersedia menghantar saya ke tempat tersebut. Perkara ini jadi gempar, ada orang Islam di tempat itu melihat seorang haji berdiri di depan gereja menemani seorang lelaki bersongkok masuk ke gereja. Perkara itu jadi gempar, saya dan Tuan Haji diburu wartawan."

"Apa jadi selanjutnya?" Harun mendesak.

"Setelah dijelaskan kedudukan sebenar, perkara itu selesai dengan baik. Rupa-rupanya di semenanjung tidak ada orang pakai songkok pergi ke gereja kerana yang bersongkok itu orang Islam. Pada saya songkok itu budaya, bukannya agama," terang pemandu Batak.

SUKAR

Dan dia menganggap perkara itu merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Tetapi, dia memuji Tuan Syed Hamid AI-Hadad yang bersikap toleransi terhadap pekerjanya yang bukan beragama Islam.

Kerana sikapnya itu, ada pekerjanya yang bukan Islam berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang agama secara terbuka dengannya. Malah, ada yang tertarik dengan penjelasannya itu memeluk agama lslam.

Apa yang menariknya, secara samar-samar Harun mengetahui serba sedikit tentang Syed Hamid AI-Hadad yang dikenalinya sebagai seorang dermawan, bersedia membantu siapa sahaja. Tanpa mengira agama dan keturunan.

"Setahu saya Syed Hamid ada kedai buku," Harun mula mencungkil rahsia.

"Iya, sebenarnya lebih dari itu," jawab pemandu Austin mini merah.

Rupa-rupanya, jawapan itu mendorong Harun mencungkil rahsia tentang Syed Hamid AI-Hadad lebih mendalam. Saya kagum dengan cara Harun, menyusun kata yang dapat mempengaruhi si pemandu menceritakan agak terperinci tentang Syed Hamid Al-Hadad.

Menurut si pemandu kereta Austin mini merah, Syed Hamid Al-Hadad pernah memberitahu, bahawa keturunan berasal dari dunia Arab, lebih tepatnya Hadramaut.

Salah seorang dari keturunannya pernah menjadi mufti Negeri Johor sekitar hujung tahun dua puluhan, manakala yang lain tersebar di seluruh Nusantara.

Matlamat mereka berdakwah dan memartabatkan imej Islam di mata dunia bukan Islam. Kerana itu mereka merantau dan berniaga untuk mengukuhkan ekonomi.

Bila ekonomi sudah teguh mereka pun mendirikan madrasah menyebarkan ajaran Islam. Ertinya, bila kedudukan ekonomi sudah mantap, barulah sesuatu kegiatan dapat diatur.

Seterusnya si pemandu kereta Austin menyebut tidak ramai yang tahu Syed Hamid AI-Hadad ada ladang getah di Palembang, ladang cengkih di Lampung.

Ada beberapa buah kedai buku agama. Ada kapal untuk berulang alik Belawan-Pulau Pinang, tidak ramai yang tahu tentang kekayaannya yang sebenar kerana dia hidup dalam keadaan sederhana ke mana-mana hanya menggunakan kereta Austin Mini.

Kerana peniagaan keluarganya berpusat di Jakarta dan Singapura dalam sebulan dia hanya berpeluang berada di Medan selama tiga hari saja.

Syed Hamid AI-Hadad terjumlah dalam golongan orang bertuah kerana para pekerjanya cukup amanah.

Pemandu itu juga menyatakan, kereta yang digunakan untuk membawa dan mengiring jenazah ke tanah perkuburan semuanya disewa, kecuali kereta yang kami naiki.

Akhirnya, rombongan pun sampai di sebuah kampung yang agak terpencil di Pengkalan Berandan, tidak ramai orang kampung yang menanti jenazah "Raja Susuk."

Malah, beberapa orang penduduk yang turut ke tanah kubur tidak pula terkejut atas kematian Raja Susuk tersebut.

KECIL

Selesai saja talkin dibacakan oleh si ulama berbadan kecil dan ketika orang mahu berangkat pulang, bau wangi segera menusuk Iubang hidung. Bagi yang datang dari Masjid Raya (Medan) perkara itu tidaklah mengejutkan.

Tetapi, bagi beberapa orang penduduk kampung yang hadir di tanah kubur sudah pasti merasa terkejut dan hairan. Malah, ada di antara mereka yang bercakap sama sendiri.

"Saya minta Tuk Guru dan rombongan singgah di rumah. Ayah saya, adik kepada si mati ada menyediakan kopi panas sebagai tanda terima kasih terhadap kerjasama yang diberikan pada arwah," anak muda empat puluhan menyampaikan amanat ayahnya.

Permintaannya, di perkenakan oleh si ulama berbadan kecil. Semua ahli rombongan menuju ke rumah papan yang bentuknya tidak ubah seperti rumah orang Melayu Kedah, berbumbung lima, berdindingkan papan lidah. Papan pintu dan tingkap berukir indah.

"Abang saya memang tidak disenangi oleh orang-orang di sini, puas saya memujuknya supaya berhenti dari melakukan perbuatan kurang manis, malangnya cakap saya tidak diambil peduli. Bila anak saya ini.."

Lelaki itu menudingkan jari ke arah anak muda empat puluhan.

"Menamatkan pengajian di Mekah dan balik ke sini kira-kira tiga bulan terus mendampinginya ke mana saja. Akhirnya, dia sedar dan mencari orang yang sudi membimbingnya. Dia berhajat benar-benar mahu bertaubat di Masjid Raya dan mahu berguru di situ. Ternyata, Allah lebih sayangkan dia. Terima kasihlah kerana tuan-tuan membawa anak saya," ayah kepada anak muda empat puluhan, menamatkan ucapannya. Dia tersedu.

Anak muda empat puluhan mempersilakan ahli rombongan minum air kopi yang terhidang. Dan saya dapat mengesan, sejak dari dalam Masjid Raya lagi, datuk begitu rapat dengan anak muda empat puluhan. Tidak putus-putus bercakap. Perkara itu berlanjutan hingga ke saat ini.

Datuk dan Pak Imam sepakat menyuruh si ulama berbadan kecil membalas ucapan ayah pemuda empat puluhan. Setelah memberi salam, si ulama berbadan kecil pun meneruskan ucapannya.

"Sebagai orang Islam, kita dituntut memberi panduan dan jalan kepada orang yang sudah insaf dan menyedari kesalahan-kesalahan yang dibuatnya. Berpegang pada prinsip itulah kami membantunya. Orang yang patut kita puji ialah anak saudara si mati yang tidak putus asa berusaha membetulkan kesilapan ayah saudaranya."

"Begitu juga dengan Syed Hamid AI-Hadad yang sanggup menyediakan kenderaan untuk membawa jenazah ke sini. Setahu saya, dia seorang dermawan Islam yang baik sentiasa menghulurkan wang ringgit untuk kebajikan sesama Islam, termasuk membesarkan masjid dan surau."

"Dia telah menggunakan keteguhan ekonominya untuk insan seagama. Dalam perkataan lain telah memanfaatkan hartanya ke jalan Allah. Kita berharap akan muncul lagi lebih ramai orang Islam yang kaya. Bila ekonomi orang Islam teguh dengan sendirinya orang Islam jadi kuat dan dihormati oleh orang lain."

"Ingatlah Allah berfirman: Sesungguhnya aku tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jugalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Surah Yunus ayat 44, cubalah anda semua fahami dan halusi. Memanglah manusia selalu menyeksa hidup sendiri.." si ulama berbadan kecil mengakhiri ucapannya.

Datuk dan Pak Imam menarik nafas lega. Semua yang mendengar ceramah pendek si ulama berbadan kecil termenung. Agaknya berfikir.

TENANG

SUASANA yang tenang itu dikocak oleh suara batuk seorang lelaki. Saya merenung ke arah lelaki yang kelakuannya agak ganjil sedikit.

"Tuk guru saya nak tanya, sedikit," dia bersuara.

Memang sudah sah lelaki itu bukan anggota rombongan dari Medan.

Dia orang tempatan. Anak muda empat puluhan nampak resah dan kurang senang dengan sikap orang itu.

"Teruskan pertanyaan kamu," susul si ulama berbadan kecil bila melihat lelaki berwajah keras, menjunjung songkok hitam yang lusuh, seperti keberatan mahu meneruskan pertanyaan.

"Boleh saya teruskan," lelaki itu minta kepastian.

"Silakan."

"Di kubur tadi saya tercium bau wangi," kata-kata, tidak diteruskan oleh lelaki tersebut.

Anak muda empat puluhan yang resah nampak mula tenang. Malah tersenyum. Lelaki berwajah keras tidak memperkatakan tentang keburukan ayah saudaranya.

"Apakah bau wangi itu datang dari kubur si mati. Cuma itu saja yang mahu saya tahu," tambah lelaki berwajah keras.

"Saya tak dapat memastikannya tetapi, semasa mayat berada di dalam masjid bau wangi itu memang ada. Dalam perjalanan ke mari bau wangi itu tidak pula ada.

"Semasa di tanah kubur, saya tidak pula tercium bau wangi," terang si ulama berbadan kecil dengan jujur.

Jawapan itu, membuat si lelaki berwajah keras mengerutkan dahi dan menepuk songkok di kepala.

"Pelik," keluh lelaki berwajah keras.

Si ulama berbadan kecil, datuk dan Pak Imam tersenyum. Begitu dengan anak muda empat puluhan. Dia kira kehadiran lelaki berwajah keras mengganggu perjalanan majlis yang diatur.

Ayah kepada lelaki empat puluhan hanya membisu tetapi, masih mampu mendermakan senyum pada orang yang datang.

Dari raut muka dan tindak-tanduk lelaki berwajah keras itu ternyata membayangkan rasa tidak puas hatinya selagi dia tidak memperoleh jawapan yang benar-benar boleh memuaskan hatinya.

"Saya nak bertanya lagi," lelaki berwajah keras renung tepat ke arah batang hidung si ulama berbadan kecil.

"Silakan," tutur si ulama berbadan kecil.

"Menurut cerita yang saya dengar, si mati datang ke Masjid Raya mahu berjumpa ulama besar, dia mahu bertaubat tetapi, malangnya sebelum sempat bertaubat dia mati. Betulkah cerita ini?"

"Betul," jawab si ulama penuh yakin.

"Apakah bau wangi itu sebagai tanda taubatnya sudah diterima oleh Allah?" soal lelaki berwajah keras penuh ghairah.

NAFAS

PAK IMAM dan datuk menarik nafas, pada hemat mereka pertanyaan itu kebudak-budakan. Tidak harus dilayan dan sebahagian orang yang berada di situ gelengkan kepala.

"Satu pertanyaan yang baik," jawab si ulama berbadan kecil dengan wajah yang tenang. Datuk agak terkejut dengan jawapan tersebut.

"Saya cuma nak tahu," datang lagi suara dari lelaki berwajah keras.

"Begini, soal diterima atau tidak, itu soal roh si mati dengan Allah. Itu urusan Allah. Kenapa perkara itu kita persoalkan, pokoknya si mati berusaha mahu menebus kesalahan dengan Allah. Saya nak tanya kamu, apakah selama ini kamu telah melakukan perkara yang diperintah oleh Allah dengan sempurna?"

"Itu urusan saya, itu soal peribadi."

Tiba-tiba lelaki berwajah garang melenting, mencabut songkok di kepala lalu dihempaskannya ke tanah. Tidak memadai dengan itu, dia terus menggenggam penumbuk dan bersedia untuk menyerang si ulama berbadan kecil.

Ali Usman (Lelaki empat puluhan) segera menerpa ke arah lelaki berwajah garang. Bahu kanan lelaki itu ditepuknya. Mereka bertentang muka dan biji mata.

Suasana terasa tegang dan sebarang kemungkinan buruk mungkin terjadi.

Ali Usman membisikkan sesuatu ke lubang telinga lelaki berwajah keras. Beberapa saat berikutnya Ali Usman kembali ke tempatnya.

Ada perubahan yang ketara pada lelaki berwajah keras. Dia nampak kendur tidak seagresif tadi. Songkok di tanah diambil dan ditepuk berkali-kali sebelum disarungkan semula ke kepala.

"Saya yakin, bau wangi itu datang dari kubur si arwah. Saya merasa pelik kenapa orang yang semasa hayatnya jahat, mengamalkan perbuatan yang bertentangan dengan suruhan Allah, bila mati mayatnya berbau wangi. Pelik memang pelikkkkkk.." lelaki berwajah keras terus melampiaskan rasa tidak senangnya.

Ali Usman dan ayahnya gelengkan kepala, tidak tahu bagaimana mahu mengawal keadaan supaya tenang dan tenteram. Memang Ali Usman kecewa dengan peristiwa di luar dugaan.

Rasa sedih atas kematian paman belum berakhir, timbul pula masalah yang memalukan dirinya pada orang kampung.

RESAH

Ali Usman malu pada Syed Hamid Al-Hadad, malu pada datuk dan Pak Imam. Mungkin juga pada saya dan Harun Fadillah. Ke manalah muka mahu dihalakan. Apalah jawapan yang mahu diberikan, bila ada orang bertanya haI tersebut padanya.

Ali Usman benar-benar resah. Sekejap menggigit bibir, sebentar termenung panjang. Perbuatan itu diulangnya berkali-kaIi.

Apa yang dialami dan dirasai oleh Ali Usman, dapat dibaca oleh datuk. Dia segera mendekati Ali Usman. Bahu kiri lelaki empat puluhan itu diusap perlahan-lahan sambil anak mata hitamnya mencari anak mata hitam Ali Usman pandangan mereka bertembung.

"Bersabarlah, ini ujian."

"Maksudnya," lemah tekanan suara Ali Usman.

"Kamu orang berilmu, dalam pengetahuan agama. Bertahun belajar di Mekah, apa yang terjadi ini mungkin Allah mahu menguji kesabaran, ketinggian dan keikhlasan hati kamu, setiap insan memang diuji. Tetapi, kalau hilang pertimbangan, rosaklah kamu. Ingat, sabar itu sebahagian dari iman."

"Hummmmm.." Ali Osman anggukkan kepala sambil menelan air liur. Dan apa yang diucapkan oleh datuk terus disampaikan kepada ayahnya.

Sesungguhnya, saya sendiri bosan dan marah dengan kerenah dan lelaki berwajah keras itu, Suka buat sibuk tidak tentu fasal, tidak menghormati tuan rumah.

"Menyampah," itu yang tercetus dari kelopak bibir.

"Apa yang menyampah Tamar?" sampuk Harun.

"Orang itu," saya menajamkan mulut ke arah lelaki berwajah keras.

"Pedulikan."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 218/284

BACA: SBDJ Siri 217: Mayat Berbau Wangi
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, November 26, 2024

5 Wanita Pembunuh Bersiri Paling Kejam Di Dunia

5 Wanita Pembunuh Bersiri Paling Kejam Di Dunia

Tanpa disedari kejahatan tidak mengenal jantina kerana menurut sejarah, wanita juga telah melakukan perbuatan keji yang meninggalkan kesan gelap kepada manusia.

Tidak ramai mengetahui bahawa terdapat beberapa wanita di dunia yang melakukan pelbagai jenayah seperti pembunuhan bersiri, diktator politik, pengedar dadah dan pemerintah kejam.

Wanita-wanita ini telah mengejutkan dunia dengan kekejaman, sekaligus menjadikan mereka sebagai antara individu paling jahat dalam sejarah.

Kali ini, kita akan meneroka lima kisah wanita yang terkenal dengan kejahatan mereka.

1. Juana Barraza

Juana Barraza

Dilahirkan pada tahun 1957 oleh seorang ibu yang bergelut dengan alkohol, kehidupan Juana Barraza berubah menjadi gelap apabila dia menjadi salah seorang pembunuh bersiri di Mexico.

Dia mendapat kejayaan sebagai ahli gusti profesional kerana saiz dan kekuatannya yang luar biasa. Bagaimanapun, terdapat sisi gelap yang tersembunyi di sebalik penampilan itu.

Antara tahun 1998 dan 2006, Juana Barraza menyasarkan wanita warga emas dengan meragut nyawa antara 42 hingga 48 mangsa.

Kejahatannya menyebabkan dia mendapat julukan ‘Pembunuh Wanita Tua’.

Selama bertahun-tahun, pihak berkuasa percaya pelakunya adalah lelaki sehingga Juana Barraza ditangkap pada Januari 2006 ketika melarikan diri dari tempat pembunuhan terbaharunya.

Juana Barraza disabitkan dengan 16 pertuduhan membunuh. Dia menerima hukuman penjara 759 tahun.

2. Aileen Wuornos

Aileen Wuornos

Wanita ini mendapat kemasyhuran sebagai salah seorang pembunuh bersiri paling terkenal di Amerika Syarikat.

Dibesarkan dalam lingkungan orang bermasalah, dia telah didera secara seksual ketika remaja, sebelum menjadi pekerja seks di sepanjang lebuh raya di Florida.

Pada November 1989, Aileen Wuornos melakukan pembunuhan pertamanya dengan membunuh seorang lelaki yang telah menumpangkannya menaiki kereta.

Perbuatan itu mencetuskan rantaian keganasan kerana dia terus mengambil nyawa sekurang-kurangnya lima lelaki lain.

Akhirnya, penguat kuasa undang-undang memburu Aileen Wuornos. Dia menghadapi perbicaraan dan didapati bersalah, serta dijatuhi hukuman mati.

Aileen Wuornos yang dikaitkan dengan masalah mental telah dihukum mati melalui suntikan maut pada tahun 2002.

3. Miyuki Ishikawa

Miyuki Ishikawa

Seorang bidan dari Jepun, Miyuki Ishikawa dikenali sebagai pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah di negara Matahari Terbit pada tahun 1940-an.

Dengan bantuan beberapa individu lain, termasuk suaminya, Miyuki Ishikawa terlibat dalam kematian antara 85 hingga 169 bayi, terutamanya disebabkan oleh pengabaian.

Semasa perbicaraan, Miyuki Ishikawa membuat hujah yang mengejutkan bahawa kematian berlaku disebabkan oleh ibu bapa yang telah meninggalkan anak-anak mereka.

Hujah tersebut berjaya meyakinkan pihak pengadilan dan dia kemudian menerima hukuman ringan iaitu lapan tahun penjara.

Kes ini bukan sahaja mendedahkan kejahatan Ishikawa, malah menonjolkan kerumitan sistem keadilan dan sikap masyarakat terhadap jenayah kejam tersebut.

4. Leonarda Cianciulli

Leonarda Cianciulli

Antara tahun 1939 dan 1940, Leonarda Cianciulli mengejutkan Itali dengan jenayahnya.

Dia menyasarkan tiga jiran pertengahan umur, membunuh mereka dan kemudian menggunakan mayat tersebut untuk membuat kuih dan sabun.

Tingkah laku yang mengerikan ini menyebabkan dia mendapat gelaran ‘Pembuat Sabun Correggio’.

Tindakan Leonarda Cianciulli didorong oleh kepercayaan karut yang melampau.

Dia percaya bahawa keluarganya dikutuk kerana perkahwinannya dengan lelaki yang tidak direstui oleh ibu bapanya.

Terdesak untuk mematahkan sumpahan itu, dia terpaksa melakukan perbuatan jenayah berkenaan.

5. Darya Saltykova

Darya Saltykova

Wanita bangsawan Russia pada abad ke-18, Darya Saltykova menjadi terkenal sebagai pembunuh bersiri yang kejam.

Dilahirkan dalam kekayaan dan keistimewaan, dia berkahwin dengan keluarga Saltykov yang terkenal dan mewarisi harta pusaka yang banyak selepas kematian suaminya. Namun, Darya Saltykova adalah seorang yang kejam dan jahat.

Dia bertindak kejam terhadap hambanya, terutamanya wanita dengan mendera mereka sehingga menyebabkan banyak kematian.

Perbuatan tersebut dilindungi oleh statusnya sebagai wanita kelas atasan sehingga Permaisuri Catherine II campur tangan.

Perbicaraan Darya Saltykova mendedahkan butiran mengejutkan tentang jenayahnya iaitu sebanyak 140 kematian mencurigakan dikaitkan dengannya.

Didapati bersalah di atas 38 pembunuhan, Darya Saltykova menghadapi cabaran unik untuk hukuman kerana pemansuhan hukuman mati di Russia.

Jadi, dia hanya dipenjara seumur hidup di bilik bawah tanah biara Moscow sehingga meninggal dunia pada tahun 1801.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, November 25, 2024

SBDJ Siri 217: Mayat Berbau Wangi

SBDJ Siri 217: Mayat Berbau Wangi

Para jemaah bagaikan terpukau. Semuanya menjegilkan biji mata. Datuk pun menerpa ke arah lelaki berbaju cekak musang yang sedang membongkok. Kedua-dua belah tangannya menekan perut. Songkok dipakai jatuh ke lantai.

Toyol jadi-jadian

Perlahan-lahan datuk mengurut bahagian belakangnya. Lelaki itu sendawa panjang dan secara beransur-ansur menegakkan tubuhnya. Dia dapat berdiri dengan betul. Tidak terdengar sebarang komen dari para jemaah. Semuanya membisu.

"Saya datang ke sini dengan satu niat."

Lelaki berbaju cekak musang, tidak dapat meneruskan kata-kata. Kelihatan dia sulit menarik dan melepaskan nafas. Daun telinganya yang segar nampak seakan-akan layu. Wajahnya pucat.

"Ceritakan niat kamu," desak si ulama berbadan kecil.

"Saya ke mari mahu bertaubat, mahu minta bimbingan dari Tuk Guru. Saya mahu bertaubat, aaaadddduuuuhhhh..."

Lagi sekali lelaki berbaju cekak musang membongkok sambil menekan-nekan bahagian perut. Terhoyong-hayang ke kiri, ke kanan, macam orang mabuk laut. Tidak dapat mengimbangi badannya.

"Allahh..."

Cukup kuat suara lelaki berbaju cekak musang. Dia menjadi bertambah lemah, sebelum sekujur tubuhnya rebah di lantai, dengan bantuan si ulama berbadan kecil datuk berjaya memangku tubuh lelaki berbaju cekak musang.

Tubuh lelaki itu segera dibaringkan di ruang tengah masjid. Setiap sendi dijamah dan diurut oleh datuk. Mulut si ulama berbadan kecil kelihatan bergerak-gerak. Mungkin membaca ayat-ayat suci, fikir saya.

Apa yang pasti, keresahan dan kebimbangan tetap terpamir di setiap wajah para jemaah. Semuanya cemas semacam.

"Keadaannya berat," Bisik Harun ke telinga saya.

"Iya, macam menanggung sakit yang teruk," balas saya lemah.

Orang di kanan yang mendengar kata-kata saya anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan komen yang saya luahkan. Dan perhatian kembali tertumpu ke arah lelaki berbaju cekak musang yang terlentang di tengah ruang.

Dada di sebalik bajunya nampak berombak, turun naik mengikut tekanan nafas yang tersangkut-sangkut, muka yang pucat mula ditumbuhi bintit-bintit penuh halus, bagaikan menahan rasa sakit yang amat sangat.

Datuk menggunakan segala kepandaiannya untuk mengurangkan derita lelaki berbaju cekak musang, begitu juga dengan si ulama berbadan kecil.

Apa yang menariknya, anak muda empat puluhan yang menemaninya seperti tenggelam punca. Tidak tahu berbuat sesuatu, barangkali dia sendiri tidak tahu perkara semacam itu akan terjadi.

"Tuk guru, saya mahu bertaubat, saya menyesal apa yang saya buat, lepas bertaubat di masjid ini saya mahu ke Mekah," ujar lelaki yang terlentang tercungap-cungap dan terputus-putus.

"Kalau Tuk Guru tak percaya, tanya pada anak saudara saya, wang ke Mekah sudah saya sediakan," sambungnya sambil sepasang mata merenung sayu ke arah anak muda empat puluhan yang anggukkan kepala, mengiakan kata-kata yang dituturkan oleh lelaki itu.

"Bersabar dan bertenanglah," datuk memujuk.

"Sabar, sabar. Allah suka dan kasih pada orang yang mahu bertaubat dan mengaku atas kesalahan yang dilakukan," tutur si ulama berbadan kecil dalam nada suara yang lembut.

PAYAH

Dalam keadaan yang payah itu, lelaki berbaju cekak musang mengerak-gerakkan tangannya mencari tangan si ulama berbadan kecil.

Apa yang tersirat dalam kalbu lelaki itu bagaikan dapat dibaca oleh si ulama berbadan kecil, jari-jemari lelaki berbaju cekak musang segera diramas dengan genggaman penuh erat.

Wajah yang pucat nampak bercahaya kemerah-merahan, ombak di dada yang kencang beransur tenang. Jari jemari si ulama berbadan kecil bagaikan membawa suntikan keyakinan pada lelaki berbaju cekak musang.

"Apakah taubat saya mahu di terima oleh Allah, Tuk Guru?" Tanya lelaki itu lagi.

Jari jemari si ulama berbadan kecil terus digenggam dengan kemas. Datuk yang berada disisi hanya membisu, tidak bersuara walaupun sepatah, begitu juga dengan anak muda empat puluhan yang menemaninya.

"Allah itu maha pemurah dan penyayang. Tidak pernah mensia-siakan harapan hambanya yang mahu bertaubat dan menyesali perbuatan yang lalu," jelas si ulama berbadan kecil.

"Maha suci Allah, sesungguhnya aku menyesali perbuatan yang lalu. Sampaikan hajat hamba untuk ke tanah suci," tambah lelaki bercekak musang kian bertenaga.

"Semoga Allah menerima permintaan kamu," entah macamana datuk secara tidak sengaja turut mencelah.

"Allah ampunilah dosaku. Aku datang ke rumahMu kerana mahu bertaubat dan mahu kembali ke pangkal jalan, mahu mendalami agama dengan Tuan Guru ini. Allah yang maha besar, ampunilah dosa hambaMu yang hina ini. Allah yang maha besar, hamba mahu bertaubat, hamba mahu bertaubat, hamba mahu bertaubaaaaaa..," kata-kata tidak mampu diteruskan oleh lelaki berbaju cekak musang.

Dadanya yang tadi nampak berombak kencang, mula beransur lemah dan sepasang kelopak bibirnya yang kering bergerak-gerak. Sepasang matanya merenung jauh seolah-olah menembusi bumbung Masjid Raya terus ke langit.

Dari hujung kedua belah kelopak matanya meleleh air jernih. Lelaki itu berada disaat-saat paling getir.

Melihat keadaan yang amat genting itu, si ulama berbadan kecil segera membisikkan sesuatu kecuping telinga lelaki berbaju cekak musang.

Lagi sekali kelopak bibirnya bergerak-gerak seirama dengan kelopak bibir si ulama berbadan kecil. Sebaik saja bibirnya berhenti bergerak, seluruh tubuhnya kejang dan kaku di tengah ruang masjid.

"Dia sudah meninggalkan kita semua," tutur datuk lalu berdiri.

"Saya sudah menunaikan hajatnya," anak muda empat puluhan bersuara. Wajahnya nampak sedih sekali.

Si ulama berbadan kecil meluruskan badan lelaki berbaju cekak musang yang sudah menjadi mayat. Membetulkan letak kedua belah tangannya ke dada seperti orang qiam.

"Marilah kita berdoa semoga taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya, dia insan mulia, hamba Allah yang berjiwa lohor. Dia mati dalam usahanya bertaubat dan menyerahkan diri pada Allah," kata ulama berbadan kecil sambil menatap wajah lelaki tersebut

PERCAYA

Semua para jemaah seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan mata. Begitu pantas dan tidak masuk akal, semuanya bagaikan mimpi. Datuk termenung merenung lantai. Anak muda empat puluhan yang menemani allahyarham, tidak bersuara, dia juga seperti terkejut.

"Allah memberi rahmat atas si mati kerana meninggal dunia dalam masjid, di depan Tuk Guru pula," seorang jemaah memberikan komentar.

"Dia sudah selamat memenemui Tuhan. Tapi kita yang hidup ini, tidak tahu di mana akan menemui ajal," sahut seorang jemaah lain yang berada tidak jauh dari saya.

"Tanah kubur ajal maut hak Tuhan. Apa yang mustahak ialah sisa-sisa umur yang ada kita isikan dengan amalan, sentiasa bertaubat dan pasrah pada Tuhan," sahut yang lain.

"Soalnya, pernah kah kita bertanya pada diri sendiri, apakah kedatangan kita ke masjid ini, benar-benar ikhlas untuk melakukan suruhan Allah," saya segera menoleh ke arah orang yang berkata. Kami berbalas senyum.

Jauh di sudut hati, saya mula berfikir, kematian lelaki berbaju cekak musang secara tidak langsung menyedarkan para jemaah tentang erti kehidupan dan kematian, tentang erti keinsafan dan penyerahan diri kepada Tuhan.

Dari kata-kata yang diluahkan, mereka secara tidak sedar telah mengkritik diri sendiri.

Si ulama berbadan kecil, anak muda empat puluhan serta ahli jawatan kuasa masjid mengadakan rundingan tergempar. Mencari kata putus untuk menyelesaikan pengkebumian jenazah arwah.

Agak mengejutkan juga, bila anak muda empat puluhan menarik datuk untuk melibatkan diri dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Di luar sinar matahari kian keras. Jarum pendek jam yang terlekap di dinding masjid menunjukkan ke angka tujuh, manakala jarum panjang menghala ke angka empat. Rasa dingin pagi yang menguasai ruang masjid kian berkurangan.

Para jemaah yang mempunyai atur tugas mula beransur-ansur meninggakan masjid. Lebih dari tiga puluh orang masih bertahan di masjid, bersedia memberikan khidmat, jika diperlukan dalam urusan pengkebumian jenazah.

Setelah berbincang lebih dari sepuluh minit dan atas nasihat si ulama berbadan kecil, ahli jawatan kuasa masjid bersetuju menguruskan pengkebumian jenazah lelaki berbaju cekak musang, termasuk mandi, mengkafankan dan menyembahyangkan. Lelaki itu dikategorikan sebagai "musafir."

"Terima kasih atas perhatian yang diberikan terhadap allahyarham ayah saudara saya. Khidmat bakti yang diberikan untuk mengatasi masaalah ini hanya Allah saja yang membalasnya. Tapi..," Anak muda empat puluhan terdiam, dia kelihatan muram sambil menahan perasaan terharu yang boleh mengundang tangisan.

"Ada apa masalah lain?" susul Pak Imam.

"Ceritakan," si ulama berbadan kecil mendesak. Anak muda empat puluhan terus tersedu. Pak Imam, ulama berbadan kecil dan datuk membiarkan anak muda itu larut dengan masalahnya.

Beberapa orang jemaah yang bersedia membawa mayat ke ruang masjid membatalkan rancangan ntuk sementara waktu.

Semasa saya menarik nafas terhidu bau wangi yang sukar ditentukan jenis bauan, sama ada dari bunga-bungaan atau air wangi-wangian. Arah datangnya sukar dikesan.

"Ada bau wangi Tamar," bisik Harun.

Saya anggukkan kepala.

"Dari mana datangnya, Tamar?"

Macam tadi juga, saya tetap gelengkan kepala.

DIRASAKAN

Apa yang dialami oleh saya dan Harun turut dirasakan oleh orang lain.

Andaian ini saya buat, berdasarkan gerak geri mereka yang menghalakan lubang hidung ke arah masjid sambil menarik nafas dalam-dalam sedangkan mata liar memandang kesana kesini. Ternyata mereka sedang menghidu dan mencari sesuatu.

Si ulama berbadan kecil tahu dari mana bau wangi itu muncul. Dia segera memanggil Pak Imam dan datuk, mereka bercakap-cakap sebentar.

"Tuk guru pasti," Pak Imam bersuara.

"Pasti, kawan kita ini juga setuju," Si ulama berbadan kecil menepuk bahu datuk yang berada di sisinya. Saya lihat datuk anggukkan kepala kepada Pak Imam. Pengakuan dari dua insan itu mempercepatkan tindakan selanjutnya dari Pak Imam.

"Bantu saya," Pak Imam renung wajah datuk.

"Saya faham, biar saya buat," jawap si ulama berbadan kecil.

Datuk yang sepatutnya menjawap tidak dapat berbuat apa-apa. Tindak balas dari si ulama berbadan kecil cukup pantas.

Semasa Pak Imam bersedia mahu membuka kain penutup mayat, si ulama berbadan kecil sudah pun bergerak ke bahagian belakang meninggalkan datuk. Ketika kain penutup mayat baru separuh dibuka, bau wangi semakin merebak.

Dan para jemaah yang masih berada dalam masjid tercengang-cengang. Tanpa disedari oleh sesiapa, si ulama berbadan kecil sudah berdiri di sisi Pak Imam.

"Bagikan kain yang lama pada saya, ambil kain baru ni untuk menutup mayatnya," si ulama berbadan kecil hulurkan kain baru ke tangan Pak Imam untuk menutup jenazah lelaki berbaju cekak musang.

Dan kain lama yang dihulurkan oleh Pak Imam ini berada dalam genggaman ulama berbadan kecil.

"Serahkan pada Tuk Siak." Tutur si ulama berbadan kecil sambil menghulurkan kain lama ke tangan datuk.

"Baik Tuk Guru."

Datuk segera bergerak ke arah orang yang dimaksudkan. Bila dia kembali semula ke tempat Pak Imam dan si ulama berbadan kecil, jenazah lelaki berbaju cekak musang sudah pun diselimutkan dengan kain baru. Bau wangi beransur kurang, tidak sekuat tadi.

Semua yang berada dalam masjid bagaikan dapat menduga bau wangi itu datangnya dari mayat lelaki berbaju cekak musang. Tetapi, tiada seorang pun yang berani bertanya pada ulama berbadan kecil, Pak Imam atau datuk.

"Tuk guru,"

Anak muda empat puluhan yang hampir dilupakan itu mula bersuara. Perhatian orang yang masih berada dalam masjid kembali tertumpu kepadanya.

"Apa yang boleh saya tolong?"

"Setelah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan, izinkan saya membawa jenazah ayah saudara saya ke Pengkalan Beranda untuk dikebumikan si sana. Ini hajat saya dan hajat arwah."

"Oh..," si ulama berbadan kecil agak terkejut.

Cepat-cepat dia merenung ke arah Pak Imam dan datuk. Dan Pak Imam yang faham dengan maksud renungan si ulama berbadan kecil, melaga-lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

"Kami tidak keberatan," jawab Pak Imam.

"Kalau begitu kita uruskan jenazah ini dulu, kamu uruskan kenderaan untuk membawa jenazah ke kampungnya. Tak baik jenazah disimpan lama-lama, Islam menyuruh menyegerakan pengkebumian mayat kerana itu perbuatan yang baik," tutur datuk sambil sepasang matanya tertumbuk ke wajah anak muda empat puluhan.

"Tak payah cari kenderaan, saya sediakan."

Seorang jemaah berkulit hitam, berjubah dan berserban hijau muncul di sisi anakmuda empat puluhan. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan. Penuh mesra, bagaikan sudah kenal bertahun-tahun.

'Saya Ali Usman," jawap anak muda empat puluhan.

"Allah mempertemukan kita di rumah-NYA."

"Benar cakap awak. Hanya Allah saja yang membalas budi baik tuan," tutur anak muda empat puluhan. Lelaki berjubah hijau tersenyum. Sepasang mata hitamnya merayap ke wajah saya.

"Soal pengangkutan sudah selesai, apa tunggu lagi. Ingat, kita dilarang melambat-lambatkan pengkebumian jenazah," lembut sekali nada suara si ulama bertubuh kecil.

Saya kira ungkapan itu ditujukan kepada Pak Imam, buktinya sambil bercakap matanya tertumpu ke muka Pak Imam. Semua yang ada di situ anggukkan kepala. Akur dengan seranah si ulama. Jenazah segera di usung ke tempat yang dimaksudkan,

DIBENARKAN

Tidak semua yang berada disitu diajak ke tempat mandi mayat. Hanya orang yang diunjukkan Pak Imam saja yang diizinkan. Entah secara kebetulan atau sememang dipilih, datuk dan saya dibenarkan. Tetapi, Harun tersisih.

"Pergi Tamar, ini peluang kau belajar dan melihat cara-cara memandikan mayat," Harun memberi galakan.

"Ini kesempatan yang baik," balas saya sambil melangkah menuju ketempat mandi mayat.

Semasa memandikan mayat, bau wangi segera menusuk lubang hidung. Wajah mayat nampak bersih dan tenang. Pada hal, sebelum maut datang, wajah orang yang berkenaan nampak seperti menghadapi masalah yang cukup besar.

Semua yang saya lihat dan rasai menimbulkan persoalan dalam hati. Kerja kerja (mandi mayat) yang dilakukan dibawah pengawasan si ulama berbadan kecil.

Bau wangi itu berlanjutan hingga saat mengkafan dilakukan. Semasa disembahyangkan bau wangi tidak pula muncul.

Ganjilnya, tiada seorang pun yang berani bertanya tentang bau wangi itu samaada pada Pak Imam, pada ulama berbadan kecil atau kepada datuk. Bau wangi itu tetap menjadi sesuatu yang misteri di kalangan para jemaah yang masih berada dalam masjid.

Sembahyang jenazah sudah disempurnakan.

Hati kecil saya masih bertanya dan mengharapkan misteri bau wangi itu akan terungkap juga dalam masa yang terdekat. Jenazah diusung untuk dimasukkan kedalam kereta.

Dalam jangkaan saya (mungkin juga pada orang lain) hanya beberapa orang tertentu sahaja yang akan menghantar jenazah ke tanah perkuburan di Pengkalan Beranda.

Antaranya yang saya duga ialah, Pak Imam, si ulama bertubuh kecil dan beberapa orang tertentu. Penghalang utamanya ialah kenderaan.

Anak muda empat puluhan yang menghilangkan diri, sebaik sahaja sembahyang jenazah selesai segera muncul.

"Kemana kamu pergi tadi, jangan kemana-mana selepas ini. Kamu kena jadi kepala jalan," secara sepontan datuk bertanya.

Saya mencari kawan yang membawa kereta dari sini ketempat saya untuk menyampaikan pesan pada orang-orang kampung untuk menyediakan liang lahad," jawab anak muda empat puluhan dalam nada suara separuh tinggi dengan harapan dapat didengar oleh Pak Imam dan si ulama bertubuh kecil.

Hasrat anak muda itu berhasil, buktinya kedua-dua insan yang dihormati menganggukkan kepala.

"Sesiapa yang mahu ke tanah kubur, bolehlah ikut," beritahu Syed Hamid Al Hadad yang berdiri di muka pintu masjid sambil memberi laluan kepada orang yang mengusung jenazah ke kereta di halaman masjid.

"Dengan apa kita nak pergi?" seorang jemaah bertanya.

"Saya sediakan bas dan beberapa buah kereta," jawab Syed Hamid Al-Hadad lalu mengekori orang yang mengusung jenazah bergerak ke luar.

Syed Hamid Al-Hadad dak berbohong selain dari lori kecil yang bumbungnya bertuliskan kalimah Allah untuk membawa jenazah, terdapat sebuah bas yag boleh memuatkan penumpang seramai empat puluh orang di samping beberapa buah kereta jenis Ford dan Austin buatan Eropah. Kerana sudah ada kemudahan, semua para jemaah bersedia untuk pergi.

SINAR

Dalam sinar matahari yang mula garang, (lebih kurang pukul sembilan lebih) anak muda empat puluhan merasa terkejut. Tidak di duga kenalan barunya bersedia melakukan semuanya untuk bapa saudaraya yang sudah menjadi arwah.

"Dengan apa mahu saya balas jasa saudara."

"Ali."

Syed Hamd Al-Hadad memegang lengan anak muda empat puluhan dengan erat sekali sambil menyambung ungkapan-ungkapan yang terhenti.

"Tidak perlu dibalas, apa yang saya lakukan adalah tanggong jawab saya sebagai orang Islam. Allah telah memberikan sedikit kesenangan pada saya dan kesenangan yang sedikit itu harus saya berikan pada orang Islam yang dalam kesusahan."

Anak muda empat puluhan terdiam. Penuh terharu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 217/284

BACA: SBDJ Siri 216: Raja Susuk Mati Di Masjid
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, November 22, 2024

Apabila Musuh Mengerumuni Umat Islam Seperti Hidangan

Apabila Musuh Mengerumuni Umat Islam Seperti Hidangan

Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Hampir tiba suatu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka."

Apabila Musuh Mengerumuni Umat Islam Seperti Hidangan

Maka salah seorang sahabat bertanya, "Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?"

Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan."

Seorang sahabat bertanya, "Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?"

Nabi SAW menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." [HR Abu Dawud].

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu."

Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?"

Nabi SAW menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah, terlalu banyak bersukaria, terlalu mewah, mengumpulkan harta sebanyak mungkin, penipuan dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi dan dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain." [HR Hakim]

Kenapa Umat Islam Ditindas?

Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri, serta digelar dengan imej negatif, disebut pengganas!

Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia dalam hampir semua bidang.

Namun, keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana telah berlaku sejak lama dulu dan sehingga hari ini penindasan itu masih berleluasa.

Keganasan dan penindasan terhadap umat Islam berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa ramai nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa yang sungguh mengguris maruah umat Islam.

Negara Islam hari ini sangat lemah dari segi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Perpaduan dan kekuatan umat Islam masih belum pulih, menyebabkan Barat sentiasa menekan dan melakukan penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam sentiasa terancam.

Pemimpin Islam juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan yang menyebabkan negara Islam terpaksa tunduk kepada telunjuk Barat.

"Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar." (Surah al-Anfaal, ayat 73)

MUSUH-MUSH DUNIA ISLAM

Perikatan anti-Islam

Kawasan yang dikenali sebagai dunia Islam terdiri daripada negara-negara yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Islam. Ia bermula dari Maghribi dan Mauritania di Barat sehinggalah ke Indonesia di Timur. Majoriti terbesar, dalam 1 bilion, yang mendiami kawasan tersebut beragama Islam.

Sejak lebih 200 tahun, mereka telah berhadapan dengan pelbagai jenis serangan, penindasan dan keganasan, malah pernah dibunuh beramai-ramai hanya kerana mereka beragama Islam. Ini disebabkan ramai orang-orang Islam yang hidup di bawah rejim bukan Islam yang bencikan Islam.

Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Timur Turkestan, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar dan juga Sudan.

Jika dilihat secara sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang berlainan.

Orang-orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang-orang Rusia di Kaukasus dan rejim-rejim penindas yang menentang umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir dan Maghribi.

Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada kaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua anti agama.

Kolonialisme

Bangsa-bangsa kolonialis seperti Britain, Perancis dan Itali telah melakukan penderaan yang sangat kejam ke atas umat Islam yang tinggal di negara-negara Islam yang mereka jajah dan juga turut melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Dunia Islam tidak selalunya kekal statik. Beberapa ratus tahun dahulu, dunia diperintah oleh empayar Islam. Pada permulaan tahun 1700, hampir seluruh dunia Islam ditadbir oleh tiga empayar agung.

Empayar Moghul memerintah India, manakala Empayar Safavid memerintah Iran dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Kuasa ketiga dan yang paling berkuasa ialah Empayar Uthmaniyah, yang memerintah seluruh Semenanjung Balkan termasuklah Anatolia (sekarang digelar Turki), Mesopotamia (sekarang digelar Iraq dan Syria), Semenanjung Arab dan Afrika Utara.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga empayar tersebut akhirnya hilang secara beransur-ansur daripada peta dunia.

Empayar Moghul menjadi lemah, menjadi semakin kecil dan akhirnya tumbang. Sub-benua India akhirnya jatuh ke dalam tangan [kolonial British]. Kawasan yang dikenali sebagai Indocina telah dikoloni oleh Perancis.

Kerajaan Safavid di bahagian tengah Asia akhirnya jatuh dibawah pemerintahan British dan Rusia.

Empayar Uthmaniyah, empayar umat Islam ketiga dan yang paling kuat, akhirnya menjadi semakin kecil bermula sejak permulaan abad kesembilan belas.

Tanah-tanah jajahan Uthmaniyah di Barat telah jatuh ke tangan Rusia dan negeri-negeri Balkan telah dipengaruhi olehnya.

Timur Tengah, Semenanjung Arab dan Afrika Utara telah dikuasai oleh British, Perancis dan Itali.

Dengan berakhirnya Perang Dunia Pertama, sebahagian besar dunia Islam telah diperintah oleh kerajaan-kerajaan bukan Islam. Kesemuanya merupakan kuasa kolonial dunia ini.

Pada tahun 1920an, Rusia dan Itali menyertai negara-negara kolonial tradisi seperti Britain dan Perancis. Negara-negara tersebut telah menjajah dan menguasai dunia Islam.

Mereka tidak teragak-agak untuk melakukan penyeksaan kejam dan kezaliman ke atas populasi umat Islam yang berada di bawah pemerintahannya.

Britain dan Perancis "mentadbir" umat Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, dan Timur Jauh. Mereka menuai dan menggunakan sumber-sumber alam negara Islam untuk kepentingan mereka sendiri.

Soviet Rusia mengambil alih Kaukasus serta Asia Tengah dan umat Islam di kawasan tersebut telah diperhambakan di bawah tekanan rejim komunis.

Itali menawan Libya pada tahun 1911 dan kemudian melakukan penaklukan berdarah ke atas Abyssinia (sekarang digelar Ethiopia) pada tahun 1930-an.

Satu ciri penting polisi-polisi Britain dan Perancis terhadap Timur Tengah ialah penubuhan negara-negara boneka yang dipergunakan untuk memenuhi segala keperluan mereka.

Order palsu di Timur Tengah itu telah menjadi benih beracun yang membawa kepada berlakunya peperangan demi peperangan.

Dua kuasa besar penjajah Eropah itu telah dipaksa berundur dari kawasan tersebut setelah selesai Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, mereka pergi dengan meninggalkan satu kuasa penjajah yang lebih kejam, lebih agresif dan lebih dahsyat, Israel.

Kita dapat melihat dengan jelas bahawa dunia Islam sudah menjadi sasaran kuasa asing sejak permulaan abad kesembilan belas lagi. Sepanjang tempoh 200 tahun, dunia umat Islam telah diduduki, dijajah, ditindas dan dizalimi oleh kuasa-kuasa ini.

Rejim-rejim boneka yang diletakkan oleh kuasa-kuasa tersebut di dalam dunia Islam turut menindas umat Islam dan mereka masih melakukannya sehinggalah ke hari ini.

Kuasa-kuasa luar ini juga telah mencipta beberapa ideologi baru yang sangat asing kepada dunia Islam, seperti nasionalisme melampau, fasisme dan komunisme. Mereka kemudiannya menggunakan golongan yang terpedaya dengan ideologi-ideologi tersebut untuk menjadi "musuh dalam selimut" kepada masyarakat Islam.

Ideologi-ideologi Permusuhan Terhadap Islam

Imperialisme Barat

Sebagai contoh, kolonialisme British dan Perancis seperti yang telah diterangkan di atas.

Ekstrem-fasisme nasionalisme

Fasisme Itali, Israel dan kumpulan-kumpulan pro-fasis yang menyebabkan tercetusnya perang-perang saudara di dalam dunia Islam.

Komunisme

Kesatuan Soviet, China, Kemboja di bawah pemerintahan Khmer Rouge, komunis di Afghanistan dan pelbagai lagi kumpulan komunis di Timur Tengah.

Kajian yang lebih mendalam mendedahkan bahawa ketiga-tiga idea tersebut muncul pada abad kesembilan belas dan berkembang pada abad kedua puluh.

Nasionalisme ekstrem dan fasisme yang muncul daripada kebangkitan idea-idea tersebut merupakan ideologi-ideologi yang terbit secara menyeluruh pada abad kesembilan belas dan mula dipraktikkan dengan meluas pada abad kedua puluh.

Komunisme bermula daripada teori materialisme dialektikal yang diperkenalkan oleh Marx dan Engels pada abad kesembilan belas, walaupun regim komunis yang pertama masih belum ditubuhkan sehingga tahun 1917, di Rusia.

Seseorang boleh berkata bahawa hanya kolonialisme Barat yang bermula sejak awal-awal abad, walaupun kemudian ia dirangkumi oleh inisiatif ekonomi yang terbatas dan kemudian sekali lagi mendominasi posisi global dengan menggunakan asas-asas falsafah dan ideologinya pada abad kesembilan belas.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa musuh dunia Islam yang sebenarnya bukanlah sebuah kesatuan ataupun peradaban (misalnya peradaban Barat), tetapi adalah "ideologi-ideologi" yang telah menukarkan kesatuan-kesatuan atau peradaban-peradaban tersebut kepada penindas-penindas yang hauskan darah.

Ideologi-ideologi ini telah mendominasi sebahagian besar dunia pada abad kesembilan belas dan telah membawa kekejaman dan kezaliman ke mana-mana sahaja ia pergi.

Sebenarnya ideologi-ideologi inilah yang menjajah, membahagi, merompak, memperhamba dan menyembelih umat Islam sedunia.

Islamofobia

Istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.

Kaitan di Antara Darwinisme, Kolonialisme dan Fasisme

Tiada bangsa atau masyarakat tertentu yang menjadi musuh dunia Islam secara khusus, tetapi ia lebih kepada sebuah "ideologi" yang telah menukar bangsa dan masyarakat tersebut menjadi penindas.

Ideologi-ideologi ini mula mendominasi dunia secara meluas pada abad ke-19 dan ke mana sahaja ia pergi, pasti berlaku kekejaman dan kezaliman.

Ketiga-tiga ideologi ini berlaku kerana peningkatan kepercayaan ateisme di Barat yang sudah tidak mahu lagi percaya kepada agama dan mula menerima fahaman golongan materialis sebagai cara hidup mereka.

Satu kebenaran penting yang mengesahkan hakikat ini ialah ketiga-tiga ideologi tersebut diasaskan daripada teori evolusi Darwin, yang menggambarkan "asas saintifik ateisme" dan yang mana buat julung-julung kalinya falsafah ateis telah menjadi satu "kebenaran saintifik."

Konsep pergelutan untuk terus hidup oleh Darwin telah menjadi sumber inspirasi penting kepada fahaman rasisme (perkauman), komunisme dan fasisme, termasuk juga imperialisme.

Darwinisme kononnya dipanggil asas saintifik kepada kolonialisme. Ini kerana Darwin telah meletakkan bangsa manusia di dalam kelas yang berbeza-beza di dalam proses evolusi khayalannya itu.

Beliau menganggap bangsa kulit putih Eropah merupakan bangsa paling maju dan menggambarkan bangsa Asia dan puak Afrika sebagai makhluk setaraf beruk.

Beliau turut mencadangkan bahawa semua manusia berada di dalam konflik yang tetap dan sentiasa bertarung untuk terus hidup dan mengatakan itulah "hukum alam" yang mana Barat harus memenangi pertarungan ini dan memperhambakan bangsa-bangsa lain.

Di dalam bukunya, The Origin of Species, beliau telah menulis:

Suatu hari nanti di masa hadapan, tidak berapa jauh sahaja lagi jika diukur secara abad, bangsa-bangsa manusia yang bertamadun pasti akan menghapuskan dan menggantikan bangsa-bangsa liar di seluruh dunia. Pada masa yang sama juga, beruk anthropomorphous (seperti-manusia), tanpa ragu lagi akan dihapuskan. Jurang di antara manusia dan kumpulan terdekatnya akan menjadi lebih luas lagi, yang mana ia (pent: iaitu kumpulan terdekat) akan mengganggu keadaan yang lebih bertamadun, sepert yang kita mungkin harap, malahan juga daripada Kaukasia dan serendah-rendah beruk seperti babun, sebagai ganti sekarang di antara negro ataupun penduduk Australia dan gorila.

Darwin membuat kesimpulan ini dengan menggunakan konsep "perjuangan untuk terus hidup" (struggle for survival). Berdasarkan kepada dakwaan ini, yang lemah akan disingkirkan dalam perjuangan untuk terus hidup, manakala yang kuat dan lebih sesuai akan terselamat.

Di samping itu, beliau mempertahankan dakwaannya dengan mengatakan proses tersebut amat penting untuk kemajuan universal, dengan kata lain penghapusan bangsa-bangsa tertentu merupakan suatu proses yang membolehkan manusia lebih maju dan melangkah lebih jauh ke hadapan.

Idea tidak saintifik yang dikenali sebagai "Sosial Darwinisme" (Social Darwinism) ini, telah diterima dengan meluas dalam dunia sains yang masih primitif ketika itu dan ia telah menjadi sumber justifikasi asas kepada kolonialisme Eropah.

Sosial Darwinisme menjadi sumber inspirasi pembentukan ekstrem nasionalisme, fasisme dan juga imperialisme. Kesemua ahli-ahli teori abad kesembilan belas yang dikenali sebagai para pengasas fahaman fasisme (seperti Friedrich Nietzsche, Heinrich von Treitschke, Francis Galton, dan Ernst Haeckel) telah dipengaruhi hebat oleh teori evolusi Darwin, terutama sekali tentang konsep "perjuangan untuk terus hidup."

Mussolini, seorang diktator Itali yang telah mengasaskan rejim fasis yang pertama, merupakan ahli Darwin yang begitu setia pada zaman mudanya dan sering mengagungkan Darwin di dalam artikel-artikel yang ditulisnya.

Adalah suatu yang jelas di dalam penulisan-penulisan Hitler dan tokoh-tokoh penting Nazi, yang menunjukkan bahawa mereka juga telah mendapat inspirasi daripada Sosial Darwinisme.

Kebencian Ideologi Komunis Terhadap Islam

Darwinisme turut menjadi asas kepada komunisme. Ia telah dijelaskan oleh pengasasnya yang pertama, Karl Marx dan Friedrich Engels.

Kedua-duanya merupakan ateis, yang melihat penghapusan kepercayaan beragama merupakan sesuatu yang amat penting kepada komunisme dan kedua-duanya memahami sejelas-jelasnya bahawa teori evolusi dapat membantu mereka mencapai hasrat yang diidam-idamkan.

Tidak berapa lama selepas buku Darwin diterbitkan, Friedrich Engels menulis surat kepada Karl Marx yang berbunyi, "Buku Darwin yang sedang saya baca ini amat bagus sekali."

Pada 19 Disember 1860, Marx membalas, "Inilah buku yang mengandungi asas sejarah semula jadi untuk rujukan kita."

Di dalam suratnya yang lain kepada seorang lagi rakan sosialis, Lassalle, yang bertarikh 16 Januari 1861, Marx menulis, "Hasil kerja Darwin adalah sangat penting dan memenuhi niat saya yang mana ia menyediakan asas kepada sains tulen untuk perjuangan kelas yang bersejarah."

Maka dengan itu telah mendedahkan betapa pentingnya teori evolusi kepada komunisme.

Para diktator seperti Lenin, Trotsky, Stalin dan Mao Tse-tung telah memberikan komen mereka tentang komunisme, yang mana ia menunjukkan suatu hubungan ideologi kepada idea Darwin.

Teori evolusi dijadikan asas pendidikan dan polisi pertanian di bawah rejim komunis. Semua pergerakan komunis menemui asas ideologi dan justifikasi apabila mereka melihat fahaman Darwinisme.

Bagi ideologi komunis yang begitu terpengaruh dengan Darwinisme, masyarakat hanyalah "sekumpulan haiwan." Manusia adalah tidak bernyawa, makhluk yang dungu, "mesin manusia-haiwan" dan tidak berguna.

Hukum "Ada banyak kumpulan haiwan, jadi tidak mengapa jika satu hilang" telah menjadi asas pemerintahan. Mereka yang cacat dan tidak berupaya berkerja akan disingkirkan daripada kumpulan tersebut dan akan dibiarkan mati.

Mereka dilihat sebagai sesuatu yang sakit dan berbahaya. Tidak wujud langsung sebarang perasaan kasih-sayang, belas kasihan dan kesetiaan.

Memandangkan mereka percaya tiada kehidupan selepas kematian, maka mereka hidup dengan menggunakan seluruh kuasa yang dimiliki. Memandangkan semua orang adalah musuh dan pesaing di dalam pergelutan untuk terus hidup, maka segala tindak-tanduk dilakukan untuk menentang mereka dan kebencian menjadi suatu perkara lumrah.

Adalah sesuatu yang semulajadi bagi ideologi komunis, yang mewujudkan suatu masyarakat tanpa semangat moral, sprituil dan juga kemanusiaan, turut memusuhi agama.

Sifat-sifat mulia seperti nilai-nilai moral, cinta, sayang, belas kasihan, sanggup berkorban, berkerjasama dan saling bermaafan tidak mendapat sebarang tempat di dalam model yang diwujudkan komunisme.

Apabila seseorang membaca tulisan-tulisan Marx, Engels, Lenin, Stalin, Trotsky, Mao dan para pendukung ideologi komunis yang lain, kita akan dapat melihat kebenaran hakikat tersebut.

Marx menggambarkan agama sebagai "candu masyarakat" dan juga sebagai budaya yang dibentuk oleh kelas pemerintah yang hanya melenakan orang-orang miskin. Oleh itu, beliau mencadangkan agar sebarang kepercayaan beragama dihapuskan jika komunisme mahu bertapak dengan kukuhnya.

Di dalam artikel Lenin yang bertajuk "Socialism and Religion" (Sosialisme dan Agama), yang diterbitkan pada 1905 di dalam sebuah majalah berbahasa Rusia Novaya Zhizn, beliau menggambarkan agama sebagai "kabus" yang harus dihapuskan dan juga turut menyusun propaganda komunis yang akan dilaksanakan.

Di dalam "The Attitude of the Workers Party to Religion" (Sikap Parti Buruh Terhadap Agama) yang diterbitkan di dalam majalah Proletary pada tahun 1909, beliau sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial Rusia (yang kemudiannya dikenal sebagai Parti Komunis) telah menulis:

Asas kepada falsafah Marxisme, seperti Marx dan Engels berulang-kali isytiharkan, ialah dialektikal materialisme, yang telah mengambil alih sepenuhnya tradisi bersejarah materialisme abad kelapan belas di Perancis dan juga materialisme Feuerbach (separuh masa pertama abad kesembilan belas) di Jerman yang mana ia merupakan ateis mutlak dan memusuhi semua agama dengan hebatnya. "Agama adalah candu masyarakat." Pernyataan rasmi oleh Marx ini telah menjadi batu asas kepada pandangan ahli-ahli Marxis terhadap agama.

Kenyataan tersebut menunjukkan permusuhan Marx terhadap semua agama dan juga telah mendedahkan kejahilannya tentang perkara tersebut. Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mencerminkan kebenaran hakiki.

Komunisme dan ideologi-ideologi ateis yang lain menyebabkan manusia tidak dapat berfikir dan melakukan apa sahaja yang diarahkan tanpa banyak soal.

Adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia yang tidak pernah berfikir tidak akan mencapai hakikat kebenaran dan akan menjadikan hidup mereka penuh dengan tipuan dan kesalahan.

Hanya dengan berfikir, manusia dapat memahami tujuan dunia ini diciptakan dan juga sebab kewujudan diri mereka sendiri.

Namun demikian, musuh-musuh agama seperti para pemimpin komunis, telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang menyebabkan ramai manusia berpaling dari agama, sehingga mendakwa agama menghalang manusia dari berfikir.

Namun, agama sebenarnya mengajak manusia untuk berfikir.

"Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada antara keduanya dengan tujuan main-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan hak (kebenaran), tetapi majoriti mereka tidak mengetahui." (Ad-Dukhan, 38-39)

Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu

Sewaktu Firaun menikmati hidup penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel.

Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran, "Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu." (Al-Baqarah, 2:49)

Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama.

Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti.

Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini.

Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini.

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncang (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Al-Baqarah, 2:214)

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com