Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Hampir tiba suatu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka."
Maka salah seorang sahabat bertanya, "Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?"
Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan."
Seorang sahabat bertanya, "Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?"
Nabi SAW menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." [HR Abu Dawud].
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu."
Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?"
Nabi SAW menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah, terlalu banyak bersukaria, terlalu mewah, mengumpulkan harta sebanyak mungkin, penipuan dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi dan dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain." [HR Hakim]
Kenapa Umat Islam Ditindas?
Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri, serta digelar dengan imej negatif, disebut pengganas!
Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia dalam hampir semua bidang.
Namun, keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana telah berlaku sejak lama dulu dan sehingga hari ini penindasan itu masih berleluasa.
Keganasan dan penindasan terhadap umat Islam berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa ramai nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa yang sungguh mengguris maruah umat Islam.
Negara Islam hari ini sangat lemah dari segi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Perpaduan dan kekuatan umat Islam masih belum pulih, menyebabkan Barat sentiasa menekan dan melakukan penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.
Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam sentiasa terancam.
Pemimpin Islam juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan yang menyebabkan negara Islam terpaksa tunduk kepada telunjuk Barat.
"Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar." (Surah al-Anfaal, ayat 73)
MUSUH-MUSH DUNIA ISLAM
Perikatan anti-Islam
Kawasan yang dikenali sebagai dunia Islam terdiri daripada negara-negara yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Islam. Ia bermula dari Maghribi dan Mauritania di Barat sehinggalah ke Indonesia di Timur. Majoriti terbesar, dalam 1 bilion, yang mendiami kawasan tersebut beragama Islam.
Sejak lebih 200 tahun, mereka telah berhadapan dengan pelbagai jenis serangan, penindasan dan keganasan, malah pernah dibunuh beramai-ramai hanya kerana mereka beragama Islam. Ini disebabkan ramai orang-orang Islam yang hidup di bawah rejim bukan Islam yang bencikan Islam.
Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Timur Turkestan, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar dan juga Sudan.
Jika dilihat secara sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang berlainan.
Orang-orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang-orang Rusia di Kaukasus dan rejim-rejim penindas yang menentang umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir dan Maghribi.
Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada kaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua anti agama.
Kolonialisme
Bangsa-bangsa kolonialis seperti Britain, Perancis dan Itali telah melakukan penderaan yang sangat kejam ke atas umat Islam yang tinggal di negara-negara Islam yang mereka jajah dan juga turut melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Dunia Islam tidak selalunya kekal statik. Beberapa ratus tahun dahulu, dunia diperintah oleh empayar Islam. Pada permulaan tahun 1700, hampir seluruh dunia Islam ditadbir oleh tiga empayar agung.
Empayar Moghul memerintah India, manakala Empayar Safavid memerintah Iran dan kawasan-kawasan sekitarnya.
Kuasa ketiga dan yang paling berkuasa ialah Empayar Uthmaniyah, yang memerintah seluruh Semenanjung Balkan termasuklah Anatolia (sekarang digelar Turki), Mesopotamia (sekarang digelar Iraq dan Syria), Semenanjung Arab dan Afrika Utara.
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga empayar tersebut akhirnya hilang secara beransur-ansur daripada peta dunia.
Empayar Moghul menjadi lemah, menjadi semakin kecil dan akhirnya tumbang. Sub-benua India akhirnya jatuh ke dalam tangan [kolonial British]. Kawasan yang dikenali sebagai Indocina telah dikoloni oleh Perancis.
Kerajaan Safavid di bahagian tengah Asia akhirnya jatuh dibawah pemerintahan British dan Rusia.
Empayar Uthmaniyah, empayar umat Islam ketiga dan yang paling kuat, akhirnya menjadi semakin kecil bermula sejak permulaan abad kesembilan belas.
Tanah-tanah jajahan Uthmaniyah di Barat telah jatuh ke tangan Rusia dan negeri-negeri Balkan telah dipengaruhi olehnya.
Timur Tengah, Semenanjung Arab dan Afrika Utara telah dikuasai oleh British, Perancis dan Itali.
Dengan berakhirnya Perang Dunia Pertama, sebahagian besar dunia Islam telah diperintah oleh kerajaan-kerajaan bukan Islam. Kesemuanya merupakan kuasa kolonial dunia ini.
Pada tahun 1920an, Rusia dan Itali menyertai negara-negara kolonial tradisi seperti Britain dan Perancis. Negara-negara tersebut telah menjajah dan menguasai dunia Islam.
Mereka tidak teragak-agak untuk melakukan penyeksaan kejam dan kezaliman ke atas populasi umat Islam yang berada di bawah pemerintahannya.
Britain dan Perancis "mentadbir" umat Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, dan Timur Jauh. Mereka menuai dan menggunakan sumber-sumber alam negara Islam untuk kepentingan mereka sendiri.
Soviet Rusia mengambil alih Kaukasus serta Asia Tengah dan umat Islam di kawasan tersebut telah diperhambakan di bawah tekanan rejim komunis.
Itali menawan Libya pada tahun 1911 dan kemudian melakukan penaklukan berdarah ke atas Abyssinia (sekarang digelar Ethiopia) pada tahun 1930-an.
Satu ciri penting polisi-polisi Britain dan Perancis terhadap Timur Tengah ialah penubuhan negara-negara boneka yang dipergunakan untuk memenuhi segala keperluan mereka.
Order palsu di Timur Tengah itu telah menjadi benih beracun yang membawa kepada berlakunya peperangan demi peperangan.
Dua kuasa besar penjajah Eropah itu telah dipaksa berundur dari kawasan tersebut setelah selesai Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, mereka pergi dengan meninggalkan satu kuasa penjajah yang lebih kejam, lebih agresif dan lebih dahsyat, Israel.
Kita dapat melihat dengan jelas bahawa dunia Islam sudah menjadi sasaran kuasa asing sejak permulaan abad kesembilan belas lagi. Sepanjang tempoh 200 tahun, dunia umat Islam telah diduduki, dijajah, ditindas dan dizalimi oleh kuasa-kuasa ini.
Rejim-rejim boneka yang diletakkan oleh kuasa-kuasa tersebut di dalam dunia Islam turut menindas umat Islam dan mereka masih melakukannya sehinggalah ke hari ini.
Kuasa-kuasa luar ini juga telah mencipta beberapa ideologi baru yang sangat asing kepada dunia Islam, seperti nasionalisme melampau, fasisme dan komunisme. Mereka kemudiannya menggunakan golongan yang terpedaya dengan ideologi-ideologi tersebut untuk menjadi "musuh dalam selimut" kepada masyarakat Islam.
Ideologi-ideologi Permusuhan Terhadap Islam
Imperialisme Barat
Sebagai contoh, kolonialisme British dan Perancis seperti yang telah diterangkan di atas.
Ekstrem-fasisme nasionalisme
Fasisme Itali, Israel dan kumpulan-kumpulan pro-fasis yang menyebabkan tercetusnya perang-perang saudara di dalam dunia Islam.
Komunisme
Kesatuan Soviet, China, Kemboja di bawah pemerintahan Khmer Rouge, komunis di Afghanistan dan pelbagai lagi kumpulan komunis di Timur Tengah.
Kajian yang lebih mendalam mendedahkan bahawa ketiga-tiga idea tersebut muncul pada abad kesembilan belas dan berkembang pada abad kedua puluh.
Nasionalisme ekstrem dan fasisme yang muncul daripada kebangkitan idea-idea tersebut merupakan ideologi-ideologi yang terbit secara menyeluruh pada abad kesembilan belas dan mula dipraktikkan dengan meluas pada abad kedua puluh.
Komunisme bermula daripada teori materialisme dialektikal yang diperkenalkan oleh Marx dan Engels pada abad kesembilan belas, walaupun regim komunis yang pertama masih belum ditubuhkan sehingga tahun 1917, di Rusia.
Seseorang boleh berkata bahawa hanya kolonialisme Barat yang bermula sejak awal-awal abad, walaupun kemudian ia dirangkumi oleh inisiatif ekonomi yang terbatas dan kemudian sekali lagi mendominasi posisi global dengan menggunakan asas-asas falsafah dan ideologinya pada abad kesembilan belas.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa musuh dunia Islam yang sebenarnya bukanlah sebuah kesatuan ataupun peradaban (misalnya peradaban Barat), tetapi adalah "ideologi-ideologi" yang telah menukarkan kesatuan-kesatuan atau peradaban-peradaban tersebut kepada penindas-penindas yang hauskan darah.
Ideologi-ideologi ini telah mendominasi sebahagian besar dunia pada abad kesembilan belas dan telah membawa kekejaman dan kezaliman ke mana-mana sahaja ia pergi.
Sebenarnya ideologi-ideologi inilah yang menjajah, membahagi, merompak, memperhamba dan menyembelih umat Islam sedunia.
Islamofobia
Istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.
Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.
Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.
Kaitan di Antara Darwinisme, Kolonialisme dan Fasisme
Tiada bangsa atau masyarakat tertentu yang menjadi musuh dunia Islam secara khusus, tetapi ia lebih kepada sebuah "ideologi" yang telah menukar bangsa dan masyarakat tersebut menjadi penindas.
Ideologi-ideologi ini mula mendominasi dunia secara meluas pada abad ke-19 dan ke mana sahaja ia pergi, pasti berlaku kekejaman dan kezaliman.
Ketiga-tiga ideologi ini berlaku kerana peningkatan kepercayaan ateisme di Barat yang sudah tidak mahu lagi percaya kepada agama dan mula menerima fahaman golongan materialis sebagai cara hidup mereka.
Satu kebenaran penting yang mengesahkan hakikat ini ialah ketiga-tiga ideologi tersebut diasaskan daripada teori evolusi Darwin, yang menggambarkan "asas saintifik ateisme" dan yang mana buat julung-julung kalinya falsafah ateis telah menjadi satu "kebenaran saintifik."
Konsep pergelutan untuk terus hidup oleh Darwin telah menjadi sumber inspirasi penting kepada fahaman rasisme (perkauman), komunisme dan fasisme, termasuk juga imperialisme.
Darwinisme kononnya dipanggil asas saintifik kepada kolonialisme. Ini kerana Darwin telah meletakkan bangsa manusia di dalam kelas yang berbeza-beza di dalam proses evolusi khayalannya itu.
Beliau menganggap bangsa kulit putih Eropah merupakan bangsa paling maju dan menggambarkan bangsa Asia dan puak Afrika sebagai makhluk setaraf beruk.
Beliau turut mencadangkan bahawa semua manusia berada di dalam konflik yang tetap dan sentiasa bertarung untuk terus hidup dan mengatakan itulah "hukum alam" yang mana Barat harus memenangi pertarungan ini dan memperhambakan bangsa-bangsa lain.
Di dalam bukunya, The Origin of Species, beliau telah menulis:
Suatu hari nanti di masa hadapan, tidak berapa jauh sahaja lagi jika diukur secara abad, bangsa-bangsa manusia yang bertamadun pasti akan menghapuskan dan menggantikan bangsa-bangsa liar di seluruh dunia. Pada masa yang sama juga, beruk anthropomorphous (seperti-manusia), tanpa ragu lagi akan dihapuskan. Jurang di antara manusia dan kumpulan terdekatnya akan menjadi lebih luas lagi, yang mana ia (pent: iaitu kumpulan terdekat) akan mengganggu keadaan yang lebih bertamadun, sepert yang kita mungkin harap, malahan juga daripada Kaukasia dan serendah-rendah beruk seperti babun, sebagai ganti sekarang di antara negro ataupun penduduk Australia dan gorila.
Darwin membuat kesimpulan ini dengan menggunakan konsep "perjuangan untuk terus hidup" (struggle for survival). Berdasarkan kepada dakwaan ini, yang lemah akan disingkirkan dalam perjuangan untuk terus hidup, manakala yang kuat dan lebih sesuai akan terselamat.
Di samping itu, beliau mempertahankan dakwaannya dengan mengatakan proses tersebut amat penting untuk kemajuan universal, dengan kata lain penghapusan bangsa-bangsa tertentu merupakan suatu proses yang membolehkan manusia lebih maju dan melangkah lebih jauh ke hadapan.
Idea tidak saintifik yang dikenali sebagai "Sosial Darwinisme" (Social Darwinism) ini, telah diterima dengan meluas dalam dunia sains yang masih primitif ketika itu dan ia telah menjadi sumber justifikasi asas kepada kolonialisme Eropah.
Sosial Darwinisme menjadi sumber inspirasi pembentukan ekstrem nasionalisme, fasisme dan juga imperialisme. Kesemua ahli-ahli teori abad kesembilan belas yang dikenali sebagai para pengasas fahaman fasisme (seperti Friedrich Nietzsche, Heinrich von Treitschke, Francis Galton, dan Ernst Haeckel) telah dipengaruhi hebat oleh teori evolusi Darwin, terutama sekali tentang konsep "perjuangan untuk terus hidup."
Mussolini, seorang diktator Itali yang telah mengasaskan rejim fasis yang pertama, merupakan ahli Darwin yang begitu setia pada zaman mudanya dan sering mengagungkan Darwin di dalam artikel-artikel yang ditulisnya.
Adalah suatu yang jelas di dalam penulisan-penulisan Hitler dan tokoh-tokoh penting Nazi, yang menunjukkan bahawa mereka juga telah mendapat inspirasi daripada
Sosial Darwinisme.
Kebencian Ideologi Komunis Terhadap Islam
Darwinisme turut menjadi asas kepada komunisme. Ia telah dijelaskan oleh pengasasnya yang pertama, Karl Marx dan Friedrich Engels.
Kedua-duanya merupakan ateis, yang melihat penghapusan kepercayaan beragama merupakan sesuatu yang amat penting kepada komunisme dan kedua-duanya memahami sejelas-jelasnya bahawa teori evolusi dapat membantu mereka mencapai hasrat yang diidam-idamkan.
Tidak berapa lama selepas buku Darwin diterbitkan, Friedrich Engels menulis surat kepada Karl Marx yang berbunyi, "Buku Darwin yang sedang saya baca ini amat bagus sekali."
Pada 19 Disember 1860, Marx membalas, "Inilah buku yang mengandungi asas sejarah semula jadi untuk rujukan kita."
Di dalam suratnya yang lain kepada seorang lagi rakan sosialis, Lassalle, yang bertarikh 16 Januari 1861, Marx menulis, "Hasil kerja Darwin adalah sangat penting dan memenuhi niat saya yang mana ia menyediakan asas kepada sains tulen untuk perjuangan kelas yang bersejarah."
Maka dengan itu telah mendedahkan betapa pentingnya teori evolusi kepada komunisme.
Para diktator seperti Lenin, Trotsky, Stalin dan Mao Tse-tung telah memberikan komen mereka tentang komunisme, yang mana ia menunjukkan suatu hubungan ideologi kepada idea Darwin.
Teori evolusi dijadikan asas pendidikan dan polisi pertanian di bawah rejim komunis. Semua pergerakan komunis menemui asas ideologi dan justifikasi apabila mereka melihat fahaman Darwinisme.
Bagi ideologi komunis yang begitu terpengaruh dengan Darwinisme, masyarakat hanyalah "sekumpulan haiwan." Manusia adalah tidak bernyawa, makhluk yang dungu, "mesin manusia-haiwan" dan tidak berguna.
Hukum "Ada banyak kumpulan haiwan, jadi tidak mengapa jika satu hilang" telah menjadi asas pemerintahan. Mereka yang cacat dan tidak berupaya berkerja akan disingkirkan daripada kumpulan tersebut dan akan dibiarkan mati.
Mereka dilihat sebagai sesuatu yang sakit dan berbahaya. Tidak wujud langsung sebarang perasaan kasih-sayang, belas kasihan dan kesetiaan.
Memandangkan mereka percaya tiada kehidupan selepas kematian, maka mereka hidup dengan menggunakan seluruh kuasa yang dimiliki. Memandangkan semua orang adalah musuh dan pesaing di dalam pergelutan untuk terus hidup, maka segala tindak-tanduk dilakukan untuk menentang mereka dan kebencian menjadi suatu perkara lumrah.
Adalah sesuatu yang semulajadi bagi ideologi komunis, yang mewujudkan suatu masyarakat tanpa semangat moral, sprituil dan juga kemanusiaan, turut memusuhi agama.
Sifat-sifat mulia seperti nilai-nilai moral, cinta, sayang, belas kasihan, sanggup berkorban, berkerjasama dan saling bermaafan tidak mendapat sebarang tempat di dalam model yang diwujudkan komunisme.
Apabila seseorang membaca tulisan-tulisan Marx, Engels, Lenin, Stalin, Trotsky, Mao dan para pendukung ideologi komunis yang lain, kita akan dapat melihat kebenaran hakikat tersebut.
Marx menggambarkan agama sebagai "candu masyarakat" dan juga sebagai budaya yang dibentuk oleh kelas pemerintah yang hanya melenakan orang-orang miskin. Oleh itu, beliau mencadangkan agar sebarang kepercayaan beragama dihapuskan jika komunisme mahu bertapak dengan kukuhnya.
Di dalam artikel Lenin yang bertajuk "Socialism and Religion" (Sosialisme dan Agama), yang diterbitkan pada 1905 di dalam sebuah majalah berbahasa Rusia
Novaya Zhizn, beliau menggambarkan agama sebagai "kabus" yang harus dihapuskan dan juga turut menyusun propaganda komunis yang akan dilaksanakan.
Di dalam "The Attitude of the Workers Party to Religion" (Sikap Parti Buruh Terhadap Agama) yang diterbitkan di dalam majalah Proletary pada tahun 1909, beliau sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial Rusia (yang kemudiannya dikenal sebagai Parti Komunis) telah menulis:
Asas kepada falsafah Marxisme, seperti Marx dan Engels berulang-kali isytiharkan, ialah dialektikal materialisme, yang telah mengambil alih sepenuhnya tradisi bersejarah materialisme abad kelapan belas di Perancis dan juga materialisme Feuerbach (separuh masa pertama abad kesembilan belas) di Jerman yang mana ia merupakan ateis mutlak dan memusuhi semua agama dengan hebatnya. "Agama adalah candu masyarakat." Pernyataan rasmi oleh Marx ini telah menjadi batu asas kepada pandangan ahli-ahli Marxis terhadap agama.
Kenyataan tersebut menunjukkan permusuhan Marx terhadap semua agama dan juga telah mendedahkan kejahilannya tentang perkara tersebut. Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mencerminkan kebenaran hakiki.
Komunisme dan ideologi-ideologi ateis yang lain menyebabkan manusia tidak dapat berfikir dan melakukan apa sahaja yang diarahkan tanpa banyak soal.
Adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia yang tidak pernah berfikir tidak akan mencapai hakikat kebenaran dan akan menjadikan hidup mereka penuh dengan tipuan dan kesalahan.
Hanya dengan berfikir, manusia dapat memahami tujuan dunia ini diciptakan dan juga sebab kewujudan diri mereka sendiri.
Namun demikian, musuh-musuh agama seperti para pemimpin komunis, telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang menyebabkan ramai manusia berpaling dari agama, sehingga mendakwa agama menghalang manusia dari berfikir.
Namun, agama sebenarnya mengajak manusia untuk berfikir.
"Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada antara keduanya dengan tujuan main-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan hak (kebenaran), tetapi majoriti mereka tidak mengetahui." (Ad-Dukhan, 38-39)
Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu
Sewaktu Firaun menikmati hidup penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel.
Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran, "Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu." (Al-Baqarah, 2:49)
Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama.
Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti.
Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini.
Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini.
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncang (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Al-Baqarah, 2:214)
Wallahu a'lam.
-Sentiasapanas.com