Monday, September 23, 2024

SBDJ Siri 211: Susuk Gadai Anak

SBDJ Siri 211: Susuk Gadai Anak

Lagi sekali saya direndam rasa kecewa. Melihat pada situasi, tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyambung ungkapan yang terputus. Dia bagaikan tidak berselera mahu mencungkil kisah silam datuk dan nenek Nonong.

Mungkin datuk terfikir begini: membuka kisah cela dan keburukan orang yang sudah mati, bukanlah kerja terpuji.

Kenapa dalam saat begini, perkara seperti itu harus muncul dalam benak datuk? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Nonong nampak resah semacam. Barangkali apa yang berlegar dalam kepala saya, itu jugalah yang bermain dalam otak Nonong.

Toyol jadi-jadian

Soalnya, siapakah di antara kami yang berani bersuara menyuruh datuk menyambung kembali cerita yang tergantung? Tentulah saya bukan orangnya. Nonong memang berhak kerana apa yang diperkatakan adalah masalah keluarganya yang berpaut erat dengan masalah dirinya.

"Memanda," lembut sekali suara Nonong.

"Aku tahu, kamu mahu tahu ceritanya," ekor mata datuk menjeling ke arah Nonong.

Saya telan air liur, diharap kelembutan suara Nonong akan menjentik keghairahan datuk menyambung cerita.

"Memang itulah yang saya harapkan."

"Baiklah," datuk memperkemaskan silanya.

"Adakah rahsia yang lebih sulit dari apa yang memanda sebutkan tadi?" Nonong mendesak.

"Ada, tapi..." datuk menarik dan melepaskan nafas.

"Kenapa memanda?"

"Beri masa untuk aku berfikir, dan mengingati nama nenek dan datuk kamu yang sebenar. Mereka lebih terkenal dengan nama gelaran 'Pawang Istana' atau 'Pawang Raja' bagi datuk kamu. Nenek kamu pula disebut 'Andam diraja' atau 'tukang andam istana'" tutur datuk dengan tenang.

"Saya ingat memanda," Nonong separuh menjerit.

Datuk tersenyum sambil merenung ke arah saya.

"Siapa namanya?"

"Datuk saya namanya Alang Basitah," penuh yakin Nonong menjawab.

"Nenek kamu pula?"

"Raja Anum Dang Sari."

"Bagus, kamu masih ingat akar umbi kamu, Nonong,"

"Aduh, manisnya senyuman gadis lanjut usia yang berat jodoh," komen saya dalam hati bila melihat sepasang kelopak bibir Nonong mengukir senyum.

Setelah Nonong berhasil memujuk datuk, saya merasakan ada perubahan yang terjadi secara spontan dalam dirinya.

Datuk bagaikan memperoleh kekuatan untuk meneruskan cerita, tidak merasa cemas atau diganggu sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kata datuk selanjutnya, Pawang Raja dan Andam Istana terus memberikan perhatian kepada anak gadis mereka jika ada majlis bertindik, berkhatan atau pernikahan. Nama ibu Nonong terus menjadi sebutan di mana-mana.

"Sebagai penari yang sedang naik, nama emak kamu jadi sebutan. Selalu diminta menarikan tarian tradisional di depan para pembesar negara dari dalam dan luar negeri, sama ada yang di undang oleh pihak istana ataupun yang mengadakan kunjungan hormat," tutur datuk.

"Selain dari istana, ke mana pula dia pergi, memanda?"

"Menyeberang Selat Melaka."

"Ke mana?" Nonong minta kepastian.

"Di mana ada perayaan raja, ada masanya ke lstana Deli, Riau, Serdang atau Batu Bara. Bila pawang Raja meninggal dunia, kegiatan andam istana mula berkurangan."

"Kenapa macam tu, memanda?"

"Sebabnya, tugas pawang dan andam mesti sama seiring. Kematian suaminya menyebabkan andam istana mengambil keputusan untuk tinggal di luar kawasan istana. Datang ke istana bila diperlukan."

Sedikit demi sedikit, datuk membuka sejarah lalu pawang raja dan pawang andam istana. Nonong mendengar penuh khusyuk kerana kedua-dua insan yang disebutkan oleh datuk adalah asal usul keturunan Nonong.

Walaupun begitu, Nonong tidak menampakkan rasa bangga atau megah dengan tugas datuk dan neneknya di dalam istana.

"Nenek kamu datang ke istana bila diperlukan. Kerana kebolehannya yang luar biasa sebagai tukang andam, kaya dengan pantang larang, kaya dengan petua, dada penuh dengan jampi serapah serta mantera nenek kamu dicari orang istana bila ada anak raja mahu bersanding atau bertindik. Dia di bawa ke istana di Langkat, Indrapura, Batu Bara di Sumatera."

"Saya minta maaf."

Biji mata datuk dan Nonong terpaku ke wajah saya. Mereka kehairanan, mengapa saya yang tidak ada sangkut paut dengan perkara yang diceritakan mesti masuk campur.

"Kenapa Tamar!" sergah datuk

"Saya musykil tuk."

"Apa yang kamu musykilkan?"

"Begini, setelah lndonesia mencapai kemerdekaan dan mengisytiharkan Negara Republik, semua sistem raja dihapuskan, Sultan tidak wujud lagi. Kenapa mesti ada sultan itu, Sultan ini di Sumatera?"

Nonong anggukkan kepala, setuju dengan pertanyaan yang saya ajukan. Datuk tersenyum senang. Perlahan-lahan dia membetulkan kedudukan kaki kirinya sambil merenung ke dada langit, melawan awan putih yang berarak lembut. Datuk menggaru pangkal tumit kaki kirinya.

"Apa yang kamu katakan itu memang betul, Sultan yang ada selepas kemerdekaan, hanya pada nama saja. Mereka tidak mempunyai kuasa, sekadar menjadi ketua adat, budaya masyarakat. Mereka boleh meneruskan adat-adat istana di kawasan yang ditentukan, seperti mengadakan upacara berkhatan, bertindik, nikah kahwin dan sebagainya," serius benar datuk memberikan penjelasan, kelopak matanya tidak berkedip merenung muka saya.

Kerana sering berulang alik ke Tanah Deli, Raja Anum mengambil keputusan untuk menetap di Deli. Secara kebetulan pula dia masih punyai pertalian darah dengan keluarga kesultanan Deli.

Dia pun membeli sekeping tanah tidak jauh dari kawasan istana.

Kerana usianya semakin tua, Kegiatan Raja Anum tidak serancak dulu.Tetapi, kalau ada yang memerlukan pertolongannya, Raja Anum tidak keberatan membantu.

Tidak dinafikan, dalam usia senja dia masih dicari orang terutama orang-orang Melayu yang masih berkampung di sekitar Medan yang mahu mengekalkan adat tradisi nenek moyang.

Raja Anum dicari bukan kerana tuanya tetapi kerana pengalamannya.

"Hebat juga nenek saya memanda."

"Begitulah kira-kiranya," balas datuk sambil ketawa kecil.

Saya juga tersenyum.

"Dalam waktu yang sama, emak kamu terus mengembangkan bakatnya dalam tarian. Kalau dulu nenek selalu dijemput ke Istana Deli tetapi awal dua puluhan selalu dijemput oleh kaum kerabat di beberapa buah negeri di Malaysia," sungguh bersemangat datuk bercakap.

"Saya tahu memanda."

"Emak dipanggil untuk memperlihatkan tarian tradisional pada harijadi sultan, bertindik, berkhatan atau pesta perkahwinan."

"Betul, itulah kelebihan yang Allah berikan kepada ibu kamu. Nenek kamu berbangga dengan kebolehan yang dimiliki oleh anak perempuan tunggalnya, nenek kamu yang memang tidak suka duduk diam membuka kedai kain," datuk berhenti bercakap kerana tersedak.

KEMBALI

Sebelum menyambung ceritanya kembali, datuk kerutkan kening sambil merapatkan sepasang kelopak mata. Barangkali, dia cuba mengingati di kawasan mana arwah nenek Nonong membuka kedai kain.

Saya lihat dua tiga kali datuk menggeleng-gelengkan kepala, barangkali, datuk tidak dapat mengingatinya. ltulah andaian saya bila melihat gerak-geri datuk di depan mata.

"Aku tak dapat menunjukkan kawasan kedai nenek kamu dulu Nonong. Apa yang aku tahu, nenek kamu juga membawa kain tenunan orang Batu Bara, Songket Palembang, batik Medan barang-barang kerja tangan ke Semenanjung. Kemudian barang-barang Semenanjung pula di bawa ke sini. Begitulah yang dibuat oleh nenek, setiap kali dia berpeluang berulang-alik dari Deli ke Semenanjung. Kadang-kadang emak kamu juga turut berbuat macam itu."

"Sambil menyelam, sambil minum air," saya mencelah.

"Kamu dengar saja, usah masuk campur," datuk melarang dan saya terdiam.

Khabarnya, kedai kain Raja Anum jadi tumpuan ramai terutama orang lelaki. Bukan kerana mahu membeli barang-barang yang dijual tetapi, mahu melihat wajah anak gadis disebut-sebut sebagai penari dan penyanyi tradisional golongan bangsawan Melayu sama ada di Tanah Semenanjung atau Tanah Sumatera.

Raja Anum pun, sedikit demi sedikit menurunkan segala ilmu dan petua menjaga badan dan kecantikan yang ada dalam dada kepada anaknya. Begitu juga dengan petua menjaga suara.

Raja Anum berpendapat kebolehan arwah suami dan dirinya harus diwarisi oleh anak gadisnya. Tradisi mendampingi golongan istana dan bangsawan harus dikuasai oleh keturunannya.

Dan perkara itu sering dibisikkan ke cuping telinga anaknya. Biar perkara itu menjadi simbol perjuangan yang mesti dilaksanakan.

Demi tujuan tersebut, apa juga rintangan, apa juga cabaran harus ditempuhi, asalkan matlamat perjuangan menjadi sebuah kenyataan.

Hinggalah pada suatu hari, kedai kain milik Raja Anum dikunjungi oleh sepasang suami isteri. Mereka membeli beberapa pasang kain songket dan selendang.

Setelah membayar semua barang yang dibeli, pasangan suami isteri mohon mahu mengadakan pertemuan khas dengan Raja Anum.

Pada mulanya, Raja Anum agak keberatan mahu memenuhi permintaan pasangan suami isteri tersebut. Dia bimbang kalau pertemuan itu mempunyai tujuan yang kurang baik.

Setelah didesak berkali-kali dengan alasan yang meyakinkan oleh pasangan suami isteri tersebut, Raja Anum akhirnya mengalah. Dia pun menetapkan pertemuan pada sebelah malam selepas waktu Isyak.

"Tidak boleh awal lagi," tanya si isteri yang berbadan langsing dan cantik dengan kain batik jawa, baju kebaya bandung.

"Kalau dapat awal lagi baik," celah si suami.

"Minta maaflah, kalau setuju itulah masa yang sesuai," Raja Anum memberi keputusan muktamad. Pasangan suami isteri itu tiada pilihan dan terpaksa akur.

Waktu yang ditetapkan oleh Raja Anum itu sesuai dengan petua orang tua-tua yang dipelajarinya. Kalau orang mengatakan hasrat mahu bertandang ke rumah pada hari Rabu, selepas waktu Zuhur, suruh orang itu datang selepas Isyak.

Kalau pada hari yang sama, orang mengatakan mahu berkunjung ke rumah pada sebelah pagi, suruh datang ke rumah selepas Asar.

Kalau tidak disesuaikan dengan keadaan dan masa yang ditetapkan oleh petua, tuan rumah akan menerima kecelakaan. Lagi pun bila diberi masa yang panjang, tuan rumah boleh membuat persediaan.

Kalau orang yang datang mempunyai niat buruk boleh menyebabkan orang yang berniat jahat membatalkan niatnya kerana bosan menantikan masa yang ditetap oleh orang yang mahu menunggu.

lni sekadar petua, entah betul entahkan tidak. Tetapi, Raja Anum tetap percaya. Baginya, setiap yang berlaku dan bakal dilakukan harus bersandar pada petua dan pantang larang nenek moyang.

Sebagai tukang andam istana, pantang larang dan petua tidak boleh ditolak begitu saja harus dipelihara serta dipraktikkan, kalau tidak ilmu yang dimiliki menjadi tawar.

"Anak daranya mana?" Tanya wanita yang wajahnya mirip wanita timur tengah, sebaik sahaja meletakkan punggungnya ke bangku rotan di ruang tamu rumah Raja Anum.

"Di bilik berlangsir, merawat muka, menjaga badan. Awak berdua ni siapa sebenarnya? Emak di depan mata tidak ditanya. Anak dara orang yang disoal," dalam manis Raja Anum menyindir tetamu.

"Begini, saya berdua ni tuan punya bangsawan Indera Pura," lelaki tinggi lampai berkulit putih merenung ke arah isterinya yang bernama Sharifah Marnis.

"Anak awak berbakat dan kami berminat untuk menjadikan dia seri panggung terkenal. Suami saya, Syed Ali Al-Idrus memang sudah lama mencari seri panggung. Seri panggung kami yang lama sudah berpindah ke bangsawan lain," kata Sharifah Marnis sambil merenung ke arah Syed Ali AI-Idrus yang secara spontan menganggukkan kepala.

"Di mana awak berdua tahu tentang kebolehan anak saya?"

"Sudah lama, bermula dari majlis bertindik kerabat Raja Selangor terus ke Johor, Perak dan Pahang. Sudah lebih dari setahun kami mengikutinya," jelas Syed Ali AI-Idrus dengan senyum berbunga.

GANTUNG

Raja Anum termenung sejenak, dalam keadaan sekarang bergantung dengan kerjaya sebagai penari istana, bukanlah masa dan ketika yang baik. Tidak boleh menjamin masa depan yang baik. Lebih-lebih lagi dengan berakhirnya kuasa pemerintah bersultan di Sumatera.

Menyandarkan harapan pada raja-raja di Tanah Semenanjung, bagaikan menahan jerat di tanah lapang, kalau nasib baik mengena, kalau tidak hampa selalu.

Lagi pun sejak akhir-akhir ini setiap negeri di Semenanjung sudah mempunyai badan kebudayaan sendiri. Jika ada perayaan atau temasya di istana, kumpulan budaya tersebut di undang untuk mempersembahkan sebarang bentuk kebudayaan pada para tetamu.

Kebanyakan ahli-ahli-kumpulan itu adalah bekas anak muridnya. Setelah diperhitungkan buruk baik, untung rugi yang mendalam, pada dasarnya tawaran itu tidak wajar ditolak.

Meskipun begitu ada beberapa bal yang harus diambil berat. Memang, sekali lalu perkara yang harus dititik beratkan itu nampak agak remeh. Tetapi, kalau terus diketepikan akan membawa padah yang kurang baik pada anaknya, juga kaum keluarganya.

"Kenapa menung panjang? Cakap saja boleh," Sharifah Mamis menguntum senyum.

Raja Anum tersentak dari lamunan. Semuanya yang bergerak dan bergolak dalam tempurung kepala lenyap dengan serta merta.

"Boleh "

"Alhamdulillah, syukur," Syed Ali AI-Idrus segera bangun.

"Dengan syarat?"

"Haaaaa ada syarat, apa syaratnya?" Perlahan-lahan Syed Ali AI-Idrus duduk di kerusi rotan.

Wajahnya nampak kurang ceria. Pasangan suami itu saling berpandangan dengan seribu kenyataan muncul di dada.

"Jamin keselamatan anak saya, jangan dipersia-siakan kebolehannya, jangan jadikan dia batu loncatan untuk kekayaan awak berdua."

"Kami tak berniat begitu, kami mahu jadikan dia anak angkat kami, cara kebetulan kami memang tidak ada anak," Sharifah Marnis luahkan apa yang dirancang di dalam hati.

"Terima kasih, ada syarat Iain lagi."

"Apa dia Raja Anum," tanya Syed Ali AI-Idrus tanpa sabar.

"Bila bermain di Semenanjung, hubungi pihak istana beritahu mereka anak saya ikut rombongan awak, bila pihak istana minta khidmatnya, awak mesti melepaskannya. Saya berikan nama-nama orang istana yang mesti awak berdua hubungi. Tidak semua orang Semenanjung mesti awak hubungi hanya beberapa negeri tertentu saja. Kalau awak berdua setuju dengan syarat itu, baru boleh saya tunaikan permintaan awak berdua."

"Setuju," jawab pasangan suami isteri itu serentak.

Seminggu kemudian anak gadis Raja Anum menjadi keluarga Bangsawan Indera Pura. Pada peringkat awal disuruh menjadi penari kemudian, sebagai penyanyi di samping menjadi pelakon pembantu dan akhirnya menjadi seri panggung dengan panggilan "Rani Cantik", kependekan dari nama sebenarnya Dang Intan Mahani.

UNTUNG

Ternyata kehadiran 'Rani Cantik' membawa keuntungan yang besar kepada pemilik 'Bangsawan Indera pura' di mana saja rombongan itu mengadakan pertunjukan, sama ada di Sumatera, Kepulauan Borneo Jawa, dan Tanah Melayu tetap mendapat sambutan yang sungguh bebat.

Nama Seri panggung 'Rani Cantik' yang kemudiannya bertukar menjadi Ani Cantik jadi sebutan di mana-mana. Jadi buah mulut orang muda. Ramai anak muda yang tidak dapat tidur lena, mengigau malam mimpi siang mengingatkan 'Ani Cantik'.

Sebagai Seri panggung, sudah tentu Ani Cantik tidak bergantung semata-mata pada bentuk tubuh, kecantikan wajah dan kemerduan suara.

Atas nasihat ibunya (Raja Anum), Ani Cantik berusaha sendiri mencari ilmu yang boleh menguntungkan dirinya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 211/284

BACA: SBDJ Siri 210: Mangsa Susuk Ibu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, September 17, 2024

Tegaknya Khilafah Di Baitul Maqdis Sebelum Munculnya Imam Mahdi

Tegaknya Khilafah Di Baitul Maqdis Sebelum Munculnya Imam Mahdi

Kemunculan al-Mahdi sebagai pemimpin kaum muslimin suatu keniscayaan, kerana 10 tanda kiamat besar tidak akan terjadi sebelum kehadirannya. Namun tahun kemunculannya tidak seorang pun tahu, tapi yang jelas ia akan muncul di akhir zaman.

Tegaknya Khilafah Di Baitul Maqdis

Dari sekian banyak tanda-tanda kemunculan al-Mahdi, ada satu di antara tanda-tanda tersebut yang harus diperhatikan dan difahami secara serius oleh seorang muslim agar tidak tersalah, tanda itu ialah tegaknya khilafah di Baitul Maqdis!

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Wahai anak Hawalah, apabila engkau melihat kekhilafahan telah turun di bumi yang disucikan maka sungguh telah dekat bencana gempa dan berbagai kesedihan serta perkara-perkara besar. Pada saat itu Hari Kiamat lebih dekat kepada orang-orang daripada tanganku ini dari kepalaku." (HR: Abu Daud)

Hadis di atas dijelaskan oleh hadis lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Dari Abu Sa'id al-Khudri, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Aku berikan khabar gembira kepada kalian dengan datangnya al-Mahdi, ia diutus kepada umatku ketika terjadi perselisihan dan kegoncangan di antara manusia." (HR Ahmad)

Maka petanda munculnya Imam Mahdi adalah terjadi goncangan (gempa) dan perselisihan (kesedihan) antara manusia terlebih dahulu, maka sebelum terjadi gempa dan perselisihan akan diawali dengan tegaknya khilafah di Baitul Maqdis.

Kenapa khilafah harus di Baitul Maqdis? Kerana Baitul Maqdis merupakan benteng terakhir kaum muslimin, selain itu kota Madinah menuju fasa kehancuran.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Dari Malik bin Yukhamir dari Mu'adz bin Jabal ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Ramainya Baitul Maqdis adalah tanda kehancuran kota Madinah, hancurnya kota Madinah adalah tanda terjadinya peperangan besar, terjadinya peperangan besar adalah tanda dari pembukaan kota Konstantinopel dan pembukaan kota Konstantinopel adalah tanda keluarnya Dajjal." (HR Abu Daud).

Syekh Ismail al-Muqaddam dalam Fiqih Asy-Rati as-Sa'ah menggaris-bawahi bahawa Imam al-Mahdi tidak akan muncul selagi khilafah belum tegak di Baitul Maqdis.

Khilafah tidak akan tegak jika Baitul Maqdis masih terjajah. Maka bagi beliau, kemerdekaan Baitul Maqdis suatu keharusan sebelum fasa al-Mahdi.

Lebih jauh beliau menukil perkataan Syekh Sa'id Hawa, "Negeri kaum Yahudi sekarang ini (Israel) akan berakhir, berakhirnya itu bukan setelah Nabi Isa AS turun."

Jadi, sikap para ulama dalam menyikapi kemunculan Imam Mahdi sangat jelas. Iaitu diawali dengan munculnya beberapa tanda dan di antara tanda-tanda tersebut ialah tegaknya khilafah di Baitul Maqdis.

Penulis alumni Al Azhar, Mesir dan Asatidz Tafaqquh Study Club

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 210: Mangsa Susuk Ibu

SBDJ Siri 210: Mangsa Susuk Ibu

"Kematian yang ganjil dan mengejutkan," Datuk mengeluh dalam nada suara yang lembut.

Dua tiga kali, hujung dagu saya raba. Entah mengapa, secara mengejut hati terasa tidak aman, resah semacam.

Angin yang masuk menerusi jendela, merempuh sebahagian tubuh. Rambut terjuntai di dahi turut bergerak lemah. Tidak dinafikan, saya agak selesa dengan sentuhan angin yang sepoi-sepoi bahasa itu.

Toyol jadi-jadian

"Iya memanda, kematian yang ganjil dan mengejutkan," Nonong mengulangi kata-kata yang diucapkan oleh datuk. Renungannya, segera dialihkan dari halaman rumah ke wajah datuk.

Saya segera panggungkan kepala, menanti ungkapan selanjutnya dari Nonong. Penuh debar.

"Sedih mengenangkan kematian emak," Nonong seperti merungut. Jejari kanannya yang lentik meraba–raba hujung dagunya.

"Bersabarlah, Nonong." Saya beranikan diri memujuk Nonong, agar kesedihannya tidak membawa kepada tangisan.

"Mengapa sebelum kematiannya, emak mengalami perkara-perkara yang tidak boleh diterima oleh akal. Hal-hal yang ganjil dan pelik, sampai sekarang saya masih keliru perkara tersebut memanda."

Saya lihat Nonong mengedutkan dahi, berlapis-lapis. Anak rambutnya terbuai-buai dimain angin. Rasa simpati kian membengkak dalam jantung hati. Ekor mata terus menjeling ke arah Nonong.

"Jangan mengeluh dan bersedih Nonong, terimalah semuanya dengan pasrah. Boleh jadi Allah mahu memperlihatkan sesuatu kepada kita yang hidup. Dari situ kita boleh mengambil ikhtibar, boleh dijadikan renungan," Datuk memujuk.

Nonong terus membisu, renungannya diarahkan ke halaman rumah kembali. Otaknya berputar ke zaman manis bersama arwah ibu dan ayah. Dia menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan kembali dengan lemah.

Pandangannya masih terpaku di halaman yang disiram sinaran matahari yang kian meredup. Sepasang kelopak bibirnya bergerak lemah, macam ada sesuatu yang diucapkan tetapi, tidak berapa jelas untuk ditangkap oleh gegendang telinga saya.

"Setiap kali lepas sembahyang kau memohon doa kepada Allah, minta kedua orang tua kamu diampuni, terutama dosa ibu kamu. Mohon supaya ibu kamu aman di alam barzakh," tambah datuk.

Nonong mengangguk.

"Memang tidak diduga, emak yang teliti dan berhati-hati, tekun dan sabar dalam melakukan sebarang pekerjaan, kadangkala kelakuannya itu menimbulkan tanda-tanya pada diri kami sekeluarga, jadi begitu akhirnya."

Kata kata yang diluakan oleh Nonong itu membuat datuk mengigit jari kanan. Terpegun merenung dinding ruang tamu, macam ada sesuatu yang muncul dalam tempurung kepalanya. Saya juga berminat dengan ungkapan tersebut.

"Sebagai wanita generasi lama, emak cukup percaya dan taksub pada perkara-perkara tahyul dan kuasa ghaib," sambung Nonong.

"Contohnya?" Tanya Datuk secara tiba-tiba.

"Contohnya?" ulang Nonong kehairanan.

"Iya, itu sebagai bukti yang kamu melihat perbuatan emak kamu, Nonong!" sahut datuk.

SEJENAK

Buat beberapa ketika Nonong termenung sejenak. Dari riak air mukanya membayangkan keraguan, apakah wajar permintaan datuk itu dipenuhi atau ditolak terus? Perasaan saya terus berdebar menanti reaksi dari Nonong.

"Contohnya, tidak perlu memanda," sanggah Nonong.

"Perlu untuk menolong mengatasi masalah yang kamu hadapi Nonong. Ingat aku sekadar menunaikan permintaan arwah ayah kamu. Kalau kamu menolak bukan salah aku tetapi, salah kamu."

"Ertinya contoh itu amat diperlukan?"

"Iya, sudah semestinya," datuk terus bertegas.

Nonong tiada pilihan dan terpaksa akur dengan permintaan datuk, demi masa depan diri dan wasiat arwah ayahnya.

"Semasa nenek meninggal dunia," Nonong memulakan ceritanya.

"Emak tidak membenarkan ayah dan Harun mengiringi jenazah nenek ke tanah kubur. Malah melarang menziarahi kubur nenek dalam masa tiga bulan. Pakaian, pinggan mangkuk peninggalan nenek tidak boleh digunakan, kecuali barang kemas."

"Pakaian dan pinggan mangkuk dibawa ke mana Nonong?"

"Dihumban di kuala sungai tempat bertemunya air masin dengan air tawar."

"Perbuatan yang ganjil, bertentangan dengan hukum hidup manusia dan ajaran agama," itulah komen yang datuk berikan, setelah mendengar penjelasan dari Nonong.

"Memang ganjil dan sukar diterima oleh akal, memanda," susul Nonong.

Perlahan-lahan saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat datuk dan Nonong.

Angin dari luar terus menyerbu ke ruang tamu. Cuaca masih seperti tadi, masih redup. Deru kenderaan di jalanan terus memukul gegendang telinga saya. Langit nampak cerah dan awan gemawan bergerak lembut.

"Ada perkara yang mahu memanda tanya kepada kamu, Nonong."

"Silakan!"

"Badan kamu bersih, Nonong?"

Nonong nampak terkejut dan tersipu malu. Saya kira pertanyaan tidak wajar ditujukan kepada Nonong di depan saya. Boleh memalukan dirinya.

Aneh! Kenapa pertanyaan demikian mesti datuk halakan pada Nonong? Mungkin ada maksud tertentu, fikir saya dalam hati.

"Dulu, masa kamu kecil-kecil, ayah dan emak kau 'pulangkan' kamu pada aku. Sebabnya, kamu selalu menangis malam sampai berbulan-bulan. Bila dipulangkan pada aku dan dijadikan anak angkat, (pada namanya saja) tangan kanan kamu diikat dengan benang hitam, kamu tidak menangis lagi. Ertinya, kamu serasi berayahkan aku, Nonong," Datuk membuka kisah lampau.

Pelik, apa perlunya kisah lama dikenang. Mungkin datuk mempunyai strategi tertentu.

KEPERCAYAAN

Sebenarnya apa yang datuk sebutkan itu cuma sebuah kepercayaan dalam adat tradisi orang Melayu. Kalau kanak-kanak sering sakit lalu dipulangkan kepada orang lain. Dicarikan ibu atau ayah ganti (ibu atau ayah angkat) pada namanya saja.

Kanak-kanak terbabit kerap terus dipelihara oeleh kedua orang tuan sebenarnya. Ini sekadar petua yang menurut kebanyakan orang tidak bercanggah dengan ajaran agama.

"Dalam erti kata lain, kau anak pulang aku Nonong. Tidak salah selama ini, aku menganggap kau sebagai anak sendiri. Jadi aku rasa tidak salah, bila aku bertanya tentang diri kamu, samada bersih atau tidak. Tujuannya baik," penjelasan kilat dari datuk dapat menghilangkan rasa malu pada diri Nonong.

"Bersih memanda."

"Kalau begitu pergi ambil air sembahyang, kemudian datang ke sini. Duduk di tempat yang sama," arahan yang datuk keluarkan itu membuatkan Nonong merenung ke arah saya. Dia seperti keberatan mahu memenuhi permintaan datuk.

"Pergilah Nonong, demi menunaikan permintaan arwah ayah kamu, sebenarnya secara diam-diam kamu resah dengan masalah yang kamu hadapi. Kamu pernah berjumpa orang tertentu untuk mengubati masaalah diri kamu."

Untuk kesekian kalinya Nonong tergamam. Kata-kata datuk sering mengejutkan dirinya.

Anehnya apa yang datuk kata hampir tepat. Dengan lain perkataan, banyak rahsia dirinya dapat dibaca oleh datuk.

"Mana memanda tahu semuanya ini?"

"Aku main agak-agak saja Nonong."

"Memang betul tapi, semuanya gagal," keluh Nonong.

Sinar matanya nampak redup sekali. Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Seronok juga melihat telatah datuk mencungkil rahsia dari Nonong.

"Sekarang biar pula aku berusaha menolongnya, kamu setuju?"

"Bagi diri saya tidak ada halangan," sinar mata Nonong nampak cerah sekali.

"Semuga usaha murni aku di perkenankan oleh Allah. Sedikit sebanyak cerita yang kamu sebutkan tadi dapat usaha aku ke arah tersebut. Begitu juga dengan cerita yang aku dapat dari Harun."

"Sekarang apa yang mesti saya buat memanda?"

Pertanyaan terpancut terkeluar dari kelopak bibir Nonong membuat datuk senyum panjang.

"Jangan berdalih, jangan berlengah-lengah, buat apa yang aku suruh," sepasang anak mata hitam datuk tertumbuk ke arah anak mata hitam Nonong.

"Ambil air sembahyang?" Soal Nonong.

"Iya, seperti yang aku suruh sebentar tadi!" suara datuk penuh keyakinan.

Tanpa basi-basi, Nonong pun bangun dan terus melangkah ke bilik air. Sementara menanti kedatangan Nonong, datuk nampak resah semacam. Wajah yang tadi ceria bertukar menjadi sedih.

Sepasang tangannya diluruskan keatas sambil memusingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan beberapa kali, Beberapa detik kemudian terus bangun. Bergerak dari sudut ke sudut ruang tamu. Berhenti di tepi jendela.

AWAN

Datuk dongakkan wajah ke langit. Merenung gumpalan awan gemawan. Melihat pepucuk pohon sekitar rumah. Dan ada ketikanya datuk termenung panjang di muka jendela macam orang putus asa atau sedang menghadapi masaalah besar. Semua gerak gerinya saya lihat agak luar biasa.

Bila sudah begitu keadaannya, saya tidak berani menegurnya. Saya kira lebih dari sepuluh minit, datuk termenung di jendela. Mungkin perasaanya sudah tenang, fikir saya.

Setelah melihat datuk melangkah ke arah tempat duduknya lalu bersila di situ, bertindih kaki semacam pahlawan zaman silam.

"Tamar."

Saya arahkan wajah dan perhatian kepada datuk. Dada mula berdebar. Apakah arahan datuk yang bakal datuk keluarkan. Apakah dia mahu mengusir saya dari ruang tamu ini? Semua persoalan itu bergolak dalam dada tanpa nokhtah.

"Tamar," ulang datuk.

"Ada apa tuk?"

"Antara aku dan ayah Nonong sudah berjanji dan mengaku saudara dunia akhirat. Susah senang tetap senang dalam semua hal. Tidak tergamak aku melihat anaknya susah, kalau arwah tu tidak meninggalkan pesan aku tetap menolongnya," datuk berhenti seketika, memanjangkan lehernya merenung ke arah bilik air. Nonong masih tidak kelihatan.

"Tetapi, kawan aku dunia akhirat itu tidak dapat melepaskan dirinya dari kekuasaan..." lagi sekali datuk berhenti seperti keberatan mahu menyambung kata.

Macam ada sesuatu yang mahu dirahsiakannya, sudah pasti tindak tanduknya menimbulkan bermacam-macam andaian dalam hati kecil saya.

"Kekuasaan siapa tuk? Tunduk kepada kekuasaan iblis syaitan?" saya sudah tidak sabar untuk mengetahuinya.

Macam selalu, semakin saya berminta untuk mengetahui sesuatu, semakin lambat datuk mahu menjelaskannya. Dia seperti memaksa saya berperang dengan perasaan.

SELENDANG

"Tunggu sekejap lagi aku beritau. Haa... Nonong dah datang," Sepasang bola mata datuk tertumpu ke wajah Nonong yang masih ada kesan air sembahyang.

Semasa mahu mengambil air sembahyang Nonong tidak berselendang tetapi, kini di bahu kanannya tersangkut selendang sutera biru. Di tangan kanannya ada senaskhah Quran manakala di tangan kiri ada rehal.

Sebelum duduk bersila, rehal dibuka dan naskhak Quran di letakkan. Selendang sutera pun dibelitkan ke kepala.

Datuk terpaku melihat perbuatan Nonong di depan matanya. Wajah datuk membayangkan perasaan gembira dan hiba berbaur dalam kalbu.

Tanpa disedari, kelopak matanya digenangi air jernih, mengalir lemah di kulit pipi datuk yang sudah tua.

Menyedari dirinya jadi perhatian kami berdua (Nonong dan saya) datuk pantas memusingkan mukanya ke dinding membelakangi kami. Pada saat itu juga datuk mengesat air mata di cerun pipi.

Bila dia dapat mengawal perasaan dengan baik, barulah datuk menghadapkan wajahnya kepada kami semula.

"Kamu bagaikan tahu apa yang aku inginkan Nonong," suara datuk tersekat-sekat. Saya terus saja memerhatikan gerak-geri kedua-dua insan tersebut.

"Bila memanda menyuruh saya mengambil air sembahyang, saya teringat zaman lalu." Nonong tenang sambil membetulkan kedudukan selendangnya.

"Dulu setiap kali memanda datang ke sini, ayah suruh ambil air sembahyang dan membaca Quran depan memanda. Kemudian dengan lembut membetulkan bacaan taj'wid saya," sambung Nonong.

"Iya aku ingat," datuk anggukkan kepala perlahan-lahan.

Nonong membuka al-Quran, juz sepuluh sura At-Taubat dan terus membacanya hingga satu 'ain' baru berhenti. Saya terpesona dengan alunan suaranya tajwid yang betul.

"Mengapa surah ini yang kau pilih Nonong?"

"Dapat mengingatkan saya kepada perbuatan yang saya kira berdosa pada masa lalu. Memanda juga pernah mengingatkan saya, surah ini banyak mengandungi pengajaran dan nasihat serta tunjuk ajar kepada kehidupan yang diredhai Allah, sudah bertahun saya tidak mengingati surah ini tetapi bila terlihat muka memanda saya terus teringat pada surah At-Taubat."

KELOPAK

Mendengar penjelasan Nonong, saya terasa sayu dan hiba. Tanpa terasa air mata tergenang di kelopak. Nonong juga saya lihat terharu, tunduk merenung kulit Quran yan sudah ditutup.

Perlahan-lahan dia menggosok kelopak mata dengan hujung selendang. Datuk membiarkan Nonong tenggelam dalam kenangan pahit hidup sendirian di Pulau Pinang. Tanpa diduga dan disangka Nonong menangis tersedu.

"Berat sungguh cubaan hidup kamu di rantau orang, semuanya ini berpunca dari perbuatan arwh emak kamu yang terlalu mengejar keduniaan, mengikut nafsu. Mudah-mudahan roh emak kamu ditempatkan oleh Allahg di tempat yang sesuai," cetus datuk. Saya menarik nafas.

Nonong angkat kepala dengan pandangan yang berkaca, ditatapnya muka datuk. Memang Nonong mengalami kejutan, bila datuk mengkaitkan kematian ibunya dengan nasib yang dilalui kini.

Dari cara datuk bercakap yang diikuti dengan gerak gerinya, saya yakin, datuk cukup mengerti dan memahami perasaan yang ditanggung oleh Nonong. Berkali-kali saya melihat datuk mengucap panjang. Tangisan Nonong beransur reda.

"Begini Nonong," datuk mengulangi kata-kata yang terputus.

"Semasa kamu berumur 55 hari, aku mengetahui perbuatan emak kamu yang kurang baik. Aku cuba menegur dan melarangnya, emak kamu tak ambil peduli, malah dia marah-marah. Peliknya ayah kamu juga tak setuju dengan cara aku itu."

"Apa dia perkara buruk yang emak buat?"

TERTARIK

"Emak kamu pengamal ilmu susuk, supaya dipandang cantik, sentiasa muda dan manis, badan nampak menarik, setiap lelaki yang melihatnya jadi tertarik, tergila-gila. Sekali dua pandang tidak puas, sedia ikut pulang kerumah, bersedia mendengar kata emak kamu. Kerana ilmu itu kamu menjadi taruhan dan korban."

"Ohhh..."

Nonong tidak berdaya meneruskan percakapan. Dia terkejut besar, seluruh anggota badannya terasa sejuk.

"Benarkah semuanya ini memanda," suara Nonong tersekat-sekat. Resah tidak menentu.

Dan secara mendadak seluruh badan Nonong mengeletar, macam orang diserang demam. Mulutnya bercakap tidak tentu arah.

Sebelum kejadian buruk berlaku, datuk segera bertindak. Tujuh kali datuk membaca ayat Al-Kursi penuh khusyuk dan tawaduk. Muka Nonong dihembusnya. Dengan serta merta Nonong terkulai lemah.

Beberapa saat kemudian, Nonong pulih seperti sediakala. Sebelum menyambung penerangan tentang Nonong, datuk mengambil segelas air putih (air sejuk) lalu diberikan kepada gadis lanjut usia untuk diminum.

"Bagaimana perasaan kamu sekarang Nonong?" Tanya datuk.

"Saya selesa, terangkan kepada saya apakah kesalahan emak saya yang menyebabkan saya menderita, tidak diminati lelaki."

"Datuk kamu dulu pawang diraja, nenek kamu pula tukang andam istana. Mereka mempunyai seorang anak perempuan yang comel iaitu emak kamu. Kerana rupa paras emak kamu cantik dan berbakat didalam bidang tarian, lalu dilatih untuk dijadikan penari istana," cukup berhati-hati dan teratur datuk menyusun kata-kata.

Seluruh tumpuan dan perhatian Nonong di halakan kepada datuk. Begitu juga dengan diri saya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 210/284

BACA: SBDJ Siri 209: Dendam Dari Bilik Rahsia
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, August 26, 2024

Resepi Kuah Dhal Sedap

Resepi Kuah Dhal Sedap

KUAH dhal bukan sahaja digemari oleh orang India, malah ia juga sering dinikmati oleh semua kaum di negara ini. Di Facebook, seorang wanita dikenali sebagai Masyitah Shaariff turut berkongsi cara untuk memasak kuah dhal.

Resepi Kuah Dhal

Yang menariknya, Masyitah berkata sajian ringkas popular itu dipelajari daripada seorang rakan berbangsa India, pada tahun 2011.

"Dulu masa saya jadi pelajar praktikal, pernah duduk serumah dengan kawan berbangsa India. Dia ajar saya buat kuah dhal.

"Sampai sekarang saya simpan resipi ini. Hari ini buat sebab suami nak rasa. Alhamdulillah, menjadi juga," ujar wanita itu.

Bahan-bahan:

1. Kacang dhal

2. Bawang putih

3. Garam

4. Serbuk cili

5. Santan

Pilih sayur kegemaran anda seperti kentang, lobak merah, kacang panjang dan sebagainya.

Untuk tumis darat, anda perlukan halba campur, daun kari dan cili kering.

Cara penyediaan

1. Rendam kacang dhal semalaman.

2. Cuci dan tukar air. Kemudian rebus kacang dhal, masukkan seulas dua bawang putih.

3. Selepas 10 ke 15 minit, masukkan serbuk cili sesudu kecil. Kemudian masukkan sedikit garam dan santan.

4. Apabila kacang separa kembang, masukkan kentang dan lobak merah serta kentang, biarkan ia lembut.

5. Masak sampai kuah pekat dan kacang kembang sepenuh nya, perasakan secukupnya.

6. Untuk tumis darat, masukkan sedikit minyak dalam kuali, tumiskan daun kari, cili kering dan halba campur.

7. Kemudian masukkan ke dalam kuah kacang dhal. Kacau dan tambah garam rasa masin belum mencukupi.

8. Satu petua penting, rendam dahulu kacang pada waktu malam sebelum memasak kuah dhal esoknya untuk memastikan ia cepat lembut dan mudah kembang.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Mitos Pemandangan 7 Matahari Terbenam!

Mitos Pemandangan 7 Matahari Terbenam!

Gempar di media sosial apabila tular video pendek memaparkan tujuh matahari terbenam secara serentak di langit pada 18 Ogos 2024 lalu. Kejaiban alam pastinya memukau sesiapa yang melihat.

Mitos 7 Matahari

Video itu dipercayai dirakam oleh seorang wanita daripada sebuah bilik terletak pada aras 11 dalam hospital di Chengdu, China.

Rakaman tersebut membuatkan rata-rata pelayar berasa kagum serta keliru tentang fenomena yang sedang berlaku.

"Wah cantiknya, seperti kita berada di alam semesta yang lain. Adakah ini pengakhiran dunia kita?," ujar warga maya risau.

Walaupun begitu, mitos dalam video berkenaan akhirnya berjaya dibongkar, ia ternyata merupakan ilusi optik yang terhasil daripada pembiasan cahaya menerusi tingkap kaca.

Namun warga maya tetap berterusan membuat teori yang merapu, kononnya hendak merungkai misteri kejadian itu.

"Anda sedang menyaksikan medan magnet menyatukan kesemua lapisan alam," demikian kata seorang pelayar, entah betul atau tidak.


Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 209: Dendam Dari Bilik Rahsia

SBDJ Siri 209: Dendam Dari Bilik Rahsia

Nasihat yang diluahkan oleh ibunya, disambut dengan perasaan separuh hati. Nonong tahu, jawapan dari ibu sekadar melepaskan batuk di tangga. Lebih-lebih lagi bila ibu menekankan tentang 'berdoa', terasa lucu sekali. Ibunya sendiri menyaksikan dia berdoa siang malam.

Toyol jadi-jadian

Jadi kenapa perkara itu ditekankan, bila dia bercakap tentang jodoh. Sebuah pertanyaan yang sukar dicari jawapan pasti. Tetapi, menimbulkan tanda tanya dan misteri yang tidak berjawap.

Kalau dikutkan hati memang Nonong tidak mahu berdoa lagi. Dia sudah bosan dan perbuatan itu kerja sia sia. Tuhan bagaikan menolak permohonannya melalui doa.

Nonong juga sudah jemu berusaha, benci melihat muka dukun, pawang dan bomoh yang bukan sedikit mengaut wangnya. Jodoh yang diharapkan tidak juga menjelma.

Dalam suasana kehidupan yang serba tertekan zahir batin, Nonong berazam mahu meluluskan dirinya dari kepompong keluarga, dan masyarakat sekitar yang selalu beranggapan gadis berusia lanjut, tidak menikah merupakan tanda tidak baik untuk keluarga, hidup tidak beruntng.

Kerana Nonong bertugas dengan kerajaan di bawah Kementerian Luar dia berpeluang untuk bertugas di seberang laut.

Kesempatan itu di manfaatnya dengan sebaik mungkin untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu. Nonong mengemukakan permohonan untuk bertugas di luar tanah air. Harapannya terlaksana. Nonong gembira bukan kepalang. Dia dihantar berkhidmat di Konsul Republik Indonesia, di Pulau Pinang sebagai kerani.

Di Pulau Mutiara, Nonong bagaikan mengalami kejutan budaya yang amat berbeza dengan di Medan. Dia turut melibatkan dirinya dengan dunia yang serba baru dan asing itu.

Nonong yang selama ini merasakan pergerakannya agak terbatas, kini mula mengubah cara hidupnya sesuai dengan situasi yang dihadapinya.

Di Medan pulang sahaja dari pejabat, dia tidak kemana-mana. Banyak menghabiskan masa bersama ibu. Menemani ibunya mengajar tarian dan anak-anak gadis yang berminat dalam bidang tarian tradisional dikelas menari.

Bila ibu dan kumpulannya diundang menghiburkan orang ternama dalam sebuah upacara penting seperti pembukaan gedung perniagaan, ulangtahun kemerdekaan dan sebagainya. Nonong akan turut serta.

Kerana kecantikan semulajadi yang dimiliki oleh Nonong, dia menjadi perhatian para tetamu undangan. Dan orang tertentu segera menyiasat latar belakang diri dan keluarga. Tetapi, ibunya bagaikan enggan memberi kerjasama. Dan perkara itu tidak berlanjutan, mati begitu saja.

Keadaan di Pulau Mutiara yang serba membangun dan sibuk menyebabkan Nonong menyususun agenda hidup tersendiri yang berbeza dengan di Medan.

Bagaikan bumi dengan langit. Dari seorang gadis yang agak pemalu dan sering merasa rendah diri bertukar menjadi gadis yang periang. Dia melibatkan diri dengan badan-badan sukarela. Menjalinkan persahabatan dengan siapa saja. Mula berusaha untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

DORONGAN

Kerana desakan dan dorongan kawan-kawan, Nonong mula mengunjungi kelab-kelab malam.

Secara beransur ansur dia mula menghisap rokok dan berjinak-jinak dengan alkohol. Dia makin jarang menghalakan wajahnya ke arah kiblat.

Begitulah Nonong, amat cepat berubah. Apa yang sedang dilaluinya membuat dia lupa dengan masalah yang menggayuti kehidupan dan dirinya.

Tidak timbul masaalah belum bertemu jodoh, tidak kisah dengan usianya yang kian bertambah. Semuanya sudah dilemparkan jauh-jauh dari dalam kotak hati dan fikirannya.

Seiring dengan itu, Nonong tidak suka melihat wajahnya di cermin, tidak suka menghias diri untuk menarik perhatian lawan jenis. Tidak ambil peduli dengan jiran kiri kanan rumah sewanya.

Sesuatu yang sungguh drastik bila Nonong tidak menulis surat atau menghubungi keluarganya di Medan. Dia bagaikan mahu menjauhkan diri dari mereka.

Ternyata usaha itu tidak sepenuhnya berhasil. Kedua-dua orang tuanya sering mengunjunginya, terutama ibunya yang boleh dikatakan setiap bulan datang ke rumah sewanya.

Dan secara sembunyi-sembunyi (ketika Nonong tidur) mengusap tubuh anaknya dengan asap kemenyan.

Kisah yang diungkap Nonong memang mengharukan. Saya bersimpati dengan nasib yang di alaminya. Mengapa gadis yang lambat kahwin menjadi buah mulut masyarakat.

Dan apakah perkara seperti ini, hanya berlaku dikalangan masyarakat melayu sahaja. Fikir saya dalam hati.

"Ada lagi yang mahu ceritakan, Nonong?" Itu yang terluah dari kelopak bibir datuk, sebaik sahaja Nonong berhenti bercakap dan tidak mau menyambung lagi.

Saya resah sendirian melihat Nonong menundukkan muka. Kedua-dua belah sayap bahunya bergerak lemah. Mengertilah saya, bahawa gadis cantik tidak bahagia itu sedang tersedu hiba.

Kalau sudah begini kesudahannya, tidak mungkin Nonong mahu melanjutkan cerita. Saya membuat andaian sendiri.

"Tak apalah memanda, cukup setakat ini saja. Hiba benar rasanya hati."

Saya arahkan sepasang mata ke arah Nonong. Andaian saya hampir menjadi kenyataan.

"Maafkan saya," lemah benar nada suara datuk.

Tiada jawapan dari Nonong. Cuma yang kedengaran sedu dan sedannya sahaja.

Mungkin kerana hiba atau tidak mahu terpengaruh dengan kesedihan yang melanda hati Nonong, datuk segera bangun menuju ke jendela. Berdiri di situ, merenung keluar.

Nonong masih juga tersedu. Dan saya tidak bergerak ke mana-mana. Sedu-sedan Nonong beransur lemah dan akhirnya mati begitu sahaja. Suasana di ruang makan terasa amat sepi sekali.

Perlahan-lahan datuk melangkah kembali ke tempat asalnya. Sejak datuk berdiri di tepi jendela, saya tidak menumpukan perhatian ke arah Nonong, saya lebih banyak merenung dinding rumah tamu sambil mengelamun sendirian.

Tiba-tiba datuk menyebut perkataan Allahhu Akbar yang diikuti dengan batuk kecil. Pada hemat saya batuk itu sengaja dibuat-buat. Barangkali untuk menarik perhatian saya atau Nonong.

Entah macam mana ketika saya menoleh ke arah datuk secara tidak sengaja terpandang wajah Nonong. Pandangan kami bertembung. Tidak percaya rasanya, Nonong menghadiahkan senyum. Nampak cukup menarik dan manis sekali.

Tidak berkedip kelopak mata saya memandang ke aranya. Alam khayalan yang tidak bertepi itu, datuk batuk lagi. Saya tahu itu batuk nakal. Memang, ekor mata datuk tetap menyorot setiap inci pergerakan diri saya.

"Kenapa Tamar?" Soal datuk, sepasang biji matanya merenung tepat ke arah saya.

"Kamu nampak resah semacam saja," tambahnya bersama senyum sinis.

“Ehhh...” terkeluar dari kelopak bibir saya.

"Kenapa Tamar?"

Memang tidak saya duga pertanyaan itu datang dari Nonong. Nadanya tidak lagi membayangkan keresahan. Saya jawap pertanyaan itu dengan mengelengkan kepala. Senyuman pun berlari di kelopak bibir Nonong.

Aduh! Manis sekali senyuman gadis anak Deli ini , bisik batin saya.

KESAN

Sebagai orang tua yang banyak pengalaman, datuk dapat mengesan yang suasana di ruang makan agak aman. Perasaan Nonong tidak bercelaru lagi. Detik yang baik untuk mencungkil kisah lampau gadis Deli yang tertonggok di sisinya.

"Perasaan kamu dah tenang Nonong?"

Nonong anggukan kepala.

"Bolehlah kamu bercerita lagi."

"Ehhhh... memanda," Nonong seperti tersentak.

Anak mata hitamnya dihalakan ke arah saya untuk beberapa saat. Perlahan-lahan saya anggukkan kepala sebagai tanda supaya Nonong memberikan kerjasama pada datuk.

"Boleh Nonong," ulang datuk lemah.

"Boleh," sahut Nonong.

Datuk membetulkan duduknya supaya selesa. Bila merasai cara duduknya serasi dengan kemahuan hatinya, datuk mengeliat lemah.

Saya menanti penuh debar. Apakah kisah silam yang bakal diungkapkan oleh Nonong itu akan membuka jalan bagi menjejaki, kenapa dia tidak mahu didampingi lelaki?.

Sepuluh minit masa berlalu, Nonong masih belum membuka mulut, asyik merenung keluar saja. Resah mula terpamer di wajah datuk. Dua tiga kali orang tua itu menarik dan melepaskan nafas. Nonong kelihatan masih bersahaja, buat tidak kisah semacam.

"Keadaan kamu bertambah kelam kabut bila mendapat tahu yang emak kamu meninggal dunia?" Datuk cuba memancing agar Nonong memulakan kisah.

"Memang benar memanda," sahut Nonong pantas.

Dari gerak geri dan gambaran di wajahnya membayangkan kesungguhan Nonong untuk bercerita. Saya gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Nonong. Datuk juga barangkali sependapat dengan saya.

"Kematian emak membuat saya seperti orang gila, berhari hari saya menangis. Emak tidak sakit apa-apa, mati cara mengejut. Lemah seluruh sendi badan bila menerima berita kematiannya, saya balik ke Medan dengan kapal terbang."

"Kamu ikut menghantar jenazah emak kamu ke tanah kubur?"

"Iya memanda, atas permintaan ayah, emak di tanam betul-betul atas sempadan antara kawasan tanah kubur dengan tanah milik orang perseorangan."

"Orang persaorangan itu tak marah?" datuk ajukan pertanyaan.

Nonong termenung sebentar, macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Ayah minta izin dari orang tu," jawap Nonong.

"Kenapa ayah kamu buat macam tu, kenapa tidak dikuburkan dalam kawasan tanah kubur."

"Itu permintaan emak saya, memanda."

"Pelik," keluh datuk lemah.

Perkataan 'pelik' yang diucapkan oleh datuk dapat didengar oleh Nonong. Tetapi, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Wajahnya nampak selamba sahaja.

Seterusnya, Nonong pula meluahkan apa yang ada di dalam kalbunya pada saya dan datuk.

Kata Nonong kematian ibunya cara mendadak tanpa sebab sungguh mengejutkan.

"Kematian emak cara mendadak tanpa sebab sungguh mengejutkan kaum keluarga. Masing-masing tertanya-tanya puncanya dan setiap keluarga membuat andaian yang tersendiri, tidak terlepas dari anggapan yang emak jadi korban perbuatan orang yang sakit hati terhadapnya melalui ilmu hitam," kata Nonong.

"Kamu pula berpendapat macam mana dalam hal ini, Nonong," celah datuk sebaik sahaja Nonong berhenti bercerita.

Nonong renung kearah dinding sambil mengosok-gosok hujung hidungnya dengan jari telunjuk.

"Saya memanda?" Nonong bertanya minta kepastian.

"Iya," angguk datuk tenang.

"Saya tak ada apa-apa. Ajal emak sudah tiba," jawap Nonong penuh yain.

"Apa kata adik beradik kamu yang lain."

"Tidak pulak saya bertanya pada mereka tentang hal itu. Harun nampak macam biasa. Tapi Khatijah..." Nonong tidak meneruskan, air mukanya berubah.

TERBUKU

Perubahan wajah Nonong bagaikan memberi gambaran ada sesuatu yang terbuku dalam batinnya. Dan datuk mahu memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin.

Datuk tahu, kalau dia terlalai atau terlambat, Nanong akan mengalihan persoalan yang dibincangkan kepada persoalan lain.

"Maksud kamu Khatijah, adik kamu yang di Tanjung Pura."

"Iyalah memanda Khatijah mana lagi," Nonong ketawa kecil.

Datuk senyum penuh yakin Nonong berada dalam keriangan. Agar suasana menjadi lebih rancak, datuk turut berjenaka.

Saya dan Nonong ketawa kecil, tidak terasa berada dalam keadaan tertekan untuk menyelesaikan sesuatu masaalah yang dikira agak serius juga.

"Apa yang Khatijah katakan kepada kamu Nonong?"

"Ha..." Nonong seperti tersentak.

Mungkin dia tidak menduga datuk mahu menimbulkan tentang apa yang dikatakan oleh Khatijah kepadanya. Nonong seperti tidak tentu arah. Sekejap garu pangkal leher, sekejap garu cuping telinga.

"Apa katanya Nonong?"

Dalam keadaan yang agak tertekan, datuk terus bertanya dan mendesak. Terbukti, Nonong sudah terjerat dan dia tidak boleh berdalih lagi.

"Cakaplah Nonong," kata datuk terus memujuk.

"Kata Khatijah yang kebetulan berada dekat emak pada malam kematian itu, ada sesuatu yang ganjil terjadi sebelum emak meninggal dunia," cukup hati-hati Nonong mengatur kata-kata.

"Teruskan..." Desak datuk lagi, dia tidak mahu kisah itu terhenti begitu saja.

Bila kerap berhenti, mungkin keghairahan Nonong untuk bercerita menjadi tawar.

"Malam itu, sebelum nyawa terpisah dari badan, matanya terbeliak merenung kemana saja. Emak mengoyak-ngoakkan baju dan kain yang dipakai, dia bertelanjang bulat lari ke setiap sudut ruang rumah…."

Nonong behenti bercerita, tunduk merenung lantai. Perlahan-lahan dia menarik dan melepaskan nafas. Barangkali dia terfikir, menceritakan keburukan ibu pada saya dan datuk sama seperti menceritakan keburukan dirinya.

"Khatijah tidak beritahu kamu, ketika itu ayah kamu berada di mana Nonong?"

Nonong angkat kepala merenung wajah datuk yang menghamburkan pertanyaan. Saya resah sendirian, menggaru pangkal leher yang tidak gatal.

Di luar cuaca masih macam tadi. Kicau burung di halaman bagaikan bercampur baur dengan deru kenderaan.

"Masa kejadian itu, ayah ke masjid. Suami Khatijah dan Harun segera mendapatkan ayah. Sebaik sampai di rumah ayah dengan dibantu oleh suami Khatijah, Harun segera bertindak. Ayah menyelimutkan emak dengan kain gebar tiga warna yang diambil dari bawah katil," Lagi sekali Nonong berhenti bercerita. Dia memicit-micit kepalanya.

"Kenapa Nonong?" Tanya saya.

"Aku pening Tamar, aku terasa macam ada orang memukul pangkal leher aku dengan dahan jambu batu kering bercabang tiga."

"Bertenang Nonong."

Datuk mengambil secawan kopi yang tersedia di situ. Sebelum diserahkan pada Nonong, saya melihat datuk menyapu punggung cawan tiga kali dengan telapak tangan kiri.

Bermula dari pangkal telapak tangan membawa ke hujung jari. Mulutnya bergerak. Ada sesuatu yang datuk 'tawarkan' pada air kopi tersebut.

TEGUK

Seteguk air kopi dihirup, Nonong nampak aman. Tidak lagi memicit-micit kepalanya.

"Ada lagi yang mengganggu kamu Nonong?"

"Tak ada memanda."

Nonong menyerahkan cawan kopi itu kembali kepada datuk. Sebaik sahaja tangkai cawan terkena ibu jari datuk, punggung cawan terus bocor. Tembikar berselerakan di lantai, air kopi tumpah hilang meresap dalam papan lantai.

"Biarkan di situ, nanti aku sendiri yang bersihkan," Datuk memberi amaran.

Saya tidak jadi memegang badan cawan yang tidak pecah dan mengumpulkan tembikar punggung cawan yang berserakan di lantai.

"Bila emak dibalut dengan selimut khas tiga warna, dia tidak menjerit tetapi nampak lemah. Ayah membawa emak masuk ke bilik khas, tempat dia selalu beramal. Emak tidak membantah malah dia membayangkan memang itulah yang dihajatinya."

"Dikunci?" Datuk renung batang hidung Nonong.

"Iya," angguk Nonong.

"Lepas tu, tak ada kejadian lain?" Tekan datuk.

"Menurut kata adik (Khatijah) setelah dikurung, emak memanggil-manggil nama saya serta nama orang lain yang dikenali oleh adik saya," ungkap Nonong sambil merenung lesu ke arah datuk dan saya.

Dari sinar matanya, dia memang mengharapkan sesuatu dari datuk.

Penceritaan selanjutnya makin lancar dan rancak. Tidak tersangkut-sangkut seperti tadi. Nonong semakin yakin dengan keikhlasan hati datuk. Dia semakin berani dan bersemangat.

"Kematian emak sungguh pelik dan tidak wajar. Setelah dikurung semalaman, pagi-pagi esoknya, adik (Khatijah) membuka pintu bilik untuk melihat keadaan emak.

"Sebaik sahaja pintu dibuka, adik saya terkejut besar, emak terlentang kaku di lantai, sudah menjadi mayat. Tangannya terkedang macam mahu menjamah sesuatu."

Nonong berhenti bercakap, sambil mengerut dahi. Dia cuba mengingati sesuatu. Bila diingat muncul dalam benaknya, Nonong tersenyum dan terus menyambung kisah yang tersangkut.

"Mata emak terbeliak macam takutkan sesuatu atau terpandangkan benda yang mengerikan. Uban yang hampir memenuhi kepalanya bertaburan atas lantai. Adik saya yakin, uban itu dicabut sendiri oleh emak," Nonong menelan air liur.

Renungan matanya redup kearah halaman rumah yang berumput hijau.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 209/284

BACA: SBDJ Siri 208: Dara Di Makan Sumpah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Saturday, August 24, 2024

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar, Apa Kesannya Kepada Dunia?

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar, Apa Kesannya Kepada Dunia?

Kerajaan Arab Saudi telah memilih langkah bersejarah untuk tidak meneruskan perjanjian di antara negara itu dengan kerajaan Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai perjanjian petrodollar - menoktahkan kerjasama yang telah terjalin erat sekian lama pada bulan Jun tahun 2024.

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar

Sistem kerjasama petrodollar muncul awal tahun 1970-an selepas berlakunya kejatuhan sistem kewangan diasaskan Bretton Woods. Sistem lama itu dirangka bagi mengikat mata wang antarabangsa kepada dollar Amerika Syarikat (USD) yang seterusnya boleh ditukar ke dalam bentuk emas.

Bretton Woods 1971

Pada tahun 1971, kerajaan Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Richard Nixon meninggalkan standard emas secara tergesa-gesa, menyebabkan ketidakstabilan pada nilai mata wang serta berlakunya naik turun nilai tanpa sebarang kawalan dapat diperkenalkan.

Untuk menstabilkan USD dan mengukuhkan kedudukan matawang mereka di peringkat global, Amerika Syarikat dan Arab Saudi mencapai perjanjian penting pada tahun 1974.

Di bawah perjanjian ini, Arab Saudi bersetuju menetapkan harga minyak keluaran mereka menggunakan nilai USD dan melaburkan lebihan hasil minyak dalam pembangunan sekuriti dikelolakan kerajaan Amerika Syarikat.

Sebagai balasan, Amerika Syarikat bersetuju untuk menyediakan sokongan ketenteraan dan ekonomi kepada Arab Saudi.

Kenapa perjanjian ini menguntungkan kedua pihak?

Di pihak Amerika Syarikat, perjanjian petrodollar memastikan berlakunya permintaan berterusan untuk matawang USD di peringkat global, yang pasti akan mengukuhkan kedudukan matawang itu sebagai mata wang rizab dunia.

Permintaan tinggi ini membantu Amerika Syarikat membiayai defisit bajetnya akibat masalah ekonomi yang melanda mereka dua dekad sebelum itu serta mengekalkan kestabilan ekonomi tanpa perlu berdepan tekanan inflasi, akibat daripada pengeluaran cetakan wang dalam jumlah yang besar.

Perjanjian petrodolar memberikan beberapa manfaat penting kepada Arab Saudi, dalam banyak aspek.

Pertama, dengan kerjasama ini Arab Saudi mempunyai jaminan keselamatan dan sokongan ketenteraan daripada Amerika Syarikat, yang pasti membantu meningkatkan keselamatan dan kestabilan politik di Asia Barat.

Hasil minyak yang dilaburkan dalam pembangunan sistem sekuriti kerajaan Amerika Syarikat bakal memberikan pulangan yang stabil dan menguntungkan, menyumbang terus kepada kestabilan ekonomi Arab Saudi sendiri.

Selain itu, perjanjian petrdollar juga membantu memperkukuhkan hubungan strategik antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat, dilihat penting dalam aspek geopolitik dan ekonomi negara tersebut.

Apakah kesan positif perjanjian ini kepada dunia?

Selain dua negara terlibat, kesan perjanjian ini juga menyumbang kepada faedah dan tak kurang juga keburukan kepada masyarakat antarabangsa.

Kita bincangkan dulu apa faedahnya sebelum ke sisi buruk perjanjian ini.

Perjanjian petrodollar mengukuhkan kedudukan USD sebagai mata wang utama dalam aktiviti perdagangan dan kewangan global, memudahkan transaksi dan aliran pelaburan antarabangsa kerana ekonomi dunia kini seakan mempunyai satu standard tetap, menyumbang kepada globalisasi ekonomi.

Dengan kitaran petrodolar melalui tindakan melaburkan hasil minyak Saudi dalam aset milik Amerika Syarikat, kecairan ekonomi pada peringkat global meningkat pesat menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi semua negara yang ada hubungan ekonomi dengan negara itu.

Dalam aspek lebih fokus, perjanjian ini juga mengukuhkan perkongsian strategik antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang dilihat telah berjaya memastikan bekalan minyak untuk kegunaan dunia stabil selain menstabilkan geopolitik di Asia Barat, yang selalunya ada saja isu dan konflik.

Apa pula keburukannya?

Walaupun ada banyak kelebihan, setiap sistem dirangka manusia pasti ada kekurangannya. Begitulah juga dengan perjanjian petrodollar ini.

Perjanjian petrodollar membawa kesan negatif kepada negara-negara selain Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Sistem ini menyumbang kepada ketidakseimbangan ekonomi global apabila negara yang memiliki defisit perdagangan besar, terutama yang mengimport minyak terpaksa membayar dalam USD untuk melakukan transaksi.

Syarat ini telah membawa kepada peningkatan hutang luar negeri dan tekanan ekonomi kepada negara terkesan, membuatkan negara-negara sebegini terdedah kepada turun naik nilai matawang dan dasar monetari Amerika Syarikat, yang sering dikritik hanya mengutamakan nilai matawang mereka serta tidak mempedulikan kepentingan ekonomi pada tahap global.

Perjanjian yang diperkenalkan juga memperkukuhkan kebergantungan dunia terhadap minyak galian sebagai sumber tenaga utama, melambatkan usaha beralih kepada sumber tenaga yang lebih baik dan lebih penting, boleh diperbaharui.

Kebergantungan kita kepada petroleum ini tidak hanya menyumbang kepada perubahan iklim dan pencemaran yang boleh atau telah berlaku.

Oleh kerana disandarkan harga minyak kepada USD, negara-negara yang ekonominya bergantung kepada import minyak pasti menghadapi ketidakstabilan ekonomi yang agak signifikan setiap kali harga minyak global naik dan juga turun. Kita sendiri telah merasai kesannya kepada ekonomi kita.

Akhir sekali, kerjasama Arab Saudi sebuah negara Islam dengan Amerika Syarikat yang dilihat sebagai perosak utama dunia, jelas memberi pengaruh besar kepada geopolitik serantau khususnya di Asia Barat; menyebabkan ketegangan dan konflik di beberapa bahagian dunia.

Sokongan ketenteraan dan ekonomi Amerika Syarikat kepada Arab Saudi menimbulkan persaingan dan ketegangan dengan negara-negara serantau banyak kali menghalang usaha yang cuba dibuat bagi mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan negara-negara di rantau tersebut.

Apa diramal berlaku selepas ini?

Keputusan Arab Saudi untuk tidak memperbaharui perjanjian petrodollar, yang berkuat kuasa pada 9 Jun 2024 menandakan bakal berlaku perubahan ketara dalam landskap ekonomi global.

Arab Saudi kini boleh menjual minyak dalam matawang berbeza, dengan matawang seperti renminbi China, Euro, Yen dan juga mata wang digital seperti Bitcoin dikatakan boleh dijadikan alat transaksi.

Dengan berlakunya pertukaran dalam sistem lebih luas sebegini, diramal akan berlakunya pengurangan dominasi USD ke atas ekonomi dunia.

Negara pengeluar minyak pula diramal akan menyusun semula rizab tukaran asing yang menjadi aset dan serta mengubah sistem transaksi, yang dilihat berpotensi meningkatkan permintaan untuk matawang lain serta aset berbentuk digital.

Peralihan ini dikatakan mampu mempercepatkan pembangunan sistem kewangan dan platform pembayaran baru, dengan mata wang digital diselia bank pusat dikatakan bentuk matawang yang bakal diambil sebagai standard.

Lebih penting, pengakhiran perjanjian petrodolar dikatakan akan mengubah pakatan geopolitik dan perkongsian ekonomi antara negara-negara besar, khususnya selepas kita dapat melihat bagaimana Arab Saudi menyusun semula hubungan ekonomi dan keselamatannya.

Persetujuan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu menyertai pakatan BRICS (pakatan dibentuk negara pengasas Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) pada bulan Januari 2024, dilihat sebagai isyarat awal apa hala tuju kerajaan Arab Saudi selepas ini.

GELOMBANG BRICS

Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.

Pada tahun 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal yang termasuk Brazil, Russia, India dan China. Pada Ogos 2023, enam ahli baharu, dijemput untuk menyertai kumpulan itu, termasuk Argentina, namun Buenos Aires menukar fikiran pada akhir Disember tahun 2023 lalu.

Lima ahli baharu, Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi dan Ethiopia, secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

MALAYSIA SERTAI BRICS

Sementara itu, Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi, kata Anwar Ibrahim.

Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan, kata beliau.

Memetik laporan NEWS.AZ, Anwar berkata sebelum ini beliau mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Menurutnya, Malaysia 'lega' dunia tidak lagi unipolar (sistem tadbir urus global dikuasai sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar) dan kebangkitan BRICS dan China khususnya telah menawarkan harapan terdapat semak dan imbang di dunia.

Perdana Menteri berkata Barat mahu "mengawal wacana" di dunia, tetapi "kita tidak lagi boleh menerimanya kerana mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka harus bebas untuk menyerlahkan diri mereka".

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, August 23, 2024

SBDJ Siri 208: Dara Di Makan Sumpah

SBDJ Siri 208: Dara Di Makan Sumpah

"Saya..." cetus Nonong mendadak. Dan kata-kata tidak diteruskan.

"Saya tak tahu apa isinya," Harun Fadillah bagaikan menyambung ungkapan Nonong yang terhenti.

Datuk menekan hujung dagu sebelah kiri dengan ibu jari tanngan kanan. Matanya, silih berganti menatap wajah Harun Fadillah. Datuk bagaikan tahu, dua beradik akan membongkar apa sahaja rahsia dalam rumah secara terperinci. Cuma apa yang diperlukan ialah sedikit kesabaran.

Toyol jadi-jadian

"Arwah emak, marah kalau ada diantara kami bertanya tentang bilik yang berkunci," nada suara Harun Fadillah lemah, ekor matanya menjeling ke arah Nonong. Tiada sebarang riaksi yang diperlihatkan oleh si Nonong.

"Melintas di depan bilik yang berkunci juga dilarang," tambah Harun Fadillah.

"Kamu bagaimana Nonong?"

Datuk menghalakan pertanyaan ke arah Nonong yang tunduk merenung lantai. Perlahan-lahan Nonong angkat kepala, Sinar matahari nampak berkaca merenung ke arah datuk.

"Emak ada membawa saya masuk ke bilik itu, secara rahsia."

"Haaa..." Harun Fadillah bagaikan terkejut mendengar pengakuan Nonong.

Buat beberapa ketika, datuk menarik nafas dalam-dalam. Suasana terasa sepi. Semuanya membatu melayani perasaan masing-masing.

"Ada apa di dalamnya, Nonong?" Tanya datuk. Matanya tidak berkedip merenung muka Nonong.

"Ada lilin besar."

"Besar mana Nonong?"

"Sebesar peha budak empat belas tahun."

"Tingginya?" Datang lagi pertanyaan dari datuk.

"Kira-kira dua kaki," jawap Nonong tegas.

"Selain dari itu apa yang kamu lihat?"

Nonong termenung, macam ada sesuatu yang cuba diingatinya. Harun Fadillah merenung ke arah saya. Dengan senang hati saya menghadiahkan senyuman buatnya. Dibalasnya dengan senyum tawar.

"Ada tunggul kayu berbentuk monyet dan bertangan manusia. Di tepi bilik, ada talam tembaga besar, yang ditengah-tengahnya ada benda, berbalut kain tiga warna. Emak mesti membaca serapi-jampi sebelum menyentuh kain pembalutnya."

"Apa warnanya Nonong?" Datuk terus mendesak.

"Hitam, putih dan kuning."

"Macam warna bendera Negeri Perak," celah datuk.

Nonong diam. Tidak memberi sebarang komentar.

BOSAN

Suasana di ruang makan kembali membeku. Saya memang berazam mahu mengikuti kisah selanjutnya hingga akhir. Kecuali datuk menyuruh saya keluar.

Semoga perkara itu tidak akan dilakukan oleh datuk. Itu doa dan harapan dari hati kecil saya.

Bila bosan dengan suasana sekitar, saya halakan pandangan ke halaman rumah dan permukaan jalanraya. Rasa jemu dan bosan segera terusir.

"Masa bila emak kamu bawa kamu ke dalm bilik rahsia tu, Nonong?" Pertanyaan datuk itu membuat saya berpaling ke arahnya. Macam tadi juga, wajah datuk agak serius.

"Biasanya waktu tengah malam."

"Tengah malam tu, agaknya pukul berapa, Nonong?" Tekanan suara datuk bagaikan memujuk.

Muka Nonong nampak serius sedikit. Hanya Fadillah menarik nafas lega. Senang hati melihat kerjasama yang diberikan oleh Nonong kepada datuk.

"Kira-kira pukul dua belas tengah malam, emak berada dalam bilik ada masanya sampai pukul dua pagi. Kalau musim bulan naik, makin kerap emak masuk, terutama masa bulan mengambang," Nonong mula membuka cerita, pasti menarik dan mendebarkan. Seluruh perhatian dan pendengaran ditumpukan kearah Nonong.

"Apa yang dibuatnya kepada kamu, semasa berada di dalam bilik?" Susul datuk lagi.

"Emak bakar kemenyan, asapnya diusap ke tubuh saya. Barang yang berbungkus dengan kain tiga warna juga di usap dengan kemenyan. Lepas itu emak suruh saya keluar. Dan juga mengingatkan supaya jangan menceritakan pada sesiapa pun apa yang saya alami semasa di dalam bilik."

"Semasa kamu keluar, emak kamu ikut keluar sama Nonong?"

Tiada jawapan dari Nonong, dia gelengkan kepala perlahan-lahan. Datuk tanpa putus asa, mengulangi pertanyaan yang sama kepada Nonong.

SUBUH

"Emak memang tak ikut keluar, dia berada di situ hingga masuk waktu subuh. Apa yang dibuatnya, saya sendiri tidak tahu. Ayah tahu semua tentang perkara ini, peliknya ayah tidak pula melarangnya. Entah mengapa, ayah patuh dan percaya dengan cakap emak," Nonong mengakhiri cakapnya dengan wajah yang merah padam.

Mungkin dia merasa malu. Buktinya, Nonong tidak mahu merenung ke arah saya. Harun fadilla tetap tenang.

Barangkali pada hematnya, penjelasan terus terang dari Nonong akan dapat mengatasi masaalah yang membelenggu diri Nonong.

Datuk segera bangun, berjalan dari sudut ke sudut ruang makan. Harun Fadilla dan Nonong masih berada di tempat tadi. Mereka nampak seperti mengelamun.

Entah apa yang berputar dalam kotak otak mereka, tiada siapa yang tahu. Mereka tidak bercakap, malah renungan mata juga berbeza, tidak satu arah. Datuk duduk kembali di tempatnya.

"Terima kasih Nonong," suara datuk merendah.

"Keterangan kamu memudahkan saya memilih cara atau jalan menyelesaikan masalah diri kamu. Berusaha dan berfikir memang tidak salah dari siri agama. Allah yang menentukan sama ada berjaya atau sebaliknya," sambung datuk dengan tenang.

"Lagi apa yang patut kami bantu, memanda," tanya Harun Fadillah sambil berdiri wajahnya membayangkan sebuah keyakinan, bahawa usaha datuk akan berakhir dengan sebuah kejayaan yang besar ertinya dalam kehidupan keluarganya.

Begitulah tanggapan Harun Fadillah tetapi, tidak demikian dengan datuk. Pertanyaan yang diajukan memaksa datuk mengerutkan kening sambil menarik dan melepaskan nafas berkali kali.

Seolah-olah membayangkan dia terpaksa menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

"Begini Harun," telapak kanan tangan datuk terkandas disayap bahu kiri Harun Fadillah.

"Apa dia memanda?" Pintas Harun Fadilla secepat kilat.

Datuk tersentak, memang tidak diduganya secepat itu Harun Fadillah, memintas cakapnya. Datuk lahirkan rasa kurang senang dengan melagakan gigi atas dan bawah berkali-kali.

Sepatutnya, Harun Fadillah memberi laluan kepada datuk untuk menyelesaikan cakapnya dulu.

"Maafkan saya memanda," kata Harun Fadilla setelah menyedari kesilapannya.

"Tak apa Harun.” Balas datuk.

"Perkara yang mahu aku tanyakan kepada kakak kamu ini agak peribadi, boleh memalukan dirinya. Jadi aku minta kamu tinggalkan dia bersama aku dan Tamar di sini," sambung datuk.

"Tak jadi masalah, silakan memanda," Harun Fadilla segera bangun dan kemudian melangkah tenang, meninggalkan ruang makan. Sepasang anak mata Nonong menyorot langkah adiknya.

SUDUT

Datuk berdiri kembali. Macam tadi juga, dia bergerak dari sudut ke sudut. Akhirnya melabuhkan punggung di tempatnya kembali.

Nonong nampak tenang untuk menghadapi situasi selanjutnya diruang makan.

"Tamar."

Anak mata saya terpaku ke wajah datuk. Ada rasa gementar dalam hati.

"Ada apa tuk?"

"Apa yang kamu dengar ini jangan dihebahkan pada sesiapa pun. Kamu mesti ingat, membuka aib seseorang kepada orang lain, dilarang oleh agama. Kalau kamu buat kamu dapat dosa."

"Saya faham, tidak saya hebahkan hal kak Nonong, samada yang baik atau yang buruk kepada sesiapapun. Walau pun pada adik beradiiknya," dengan tenang saya lafazkan sebuah ikrar di depan datuk.

Ternyata, datuk senang dan gembira dengan ikrar tersebut. Saya toleh ke arah Nonong yang tunduk merenung lantai. Wajahnya nampak cerah.

Tadi, semasa datuk menyuruh adiknya keluar dan mengizinkan saya berada di ruang makan, wajahnya nampak tidak ceria.

Tetapi setelah datuk mengingatkan saya agar "jangan banyak mulut" dan saya pula berjanji tidak akan melakukan perbuatan demikian, Nonong nampak gembira.

"Nonong."

Nonong pun angkat kepala. Sepasang anak mata hitam datuk bagaikan berada dalam kolam mata Nonong.

"Ada apa memanda?" terungkap pertanyaan dari Nonong.

"Berikan kerjasama sebaik mungkin pada aku Nonong."

Nonong anggukkan kepala.

Dengan tenang datuk memeluk tubuhnya sambil menarik nafas dalam-dalam untuk beberapa saat. Sebelum nafas dilepaskan, datuk luruskan kaki kirinnya.

Bila kaki kiri berada kembali kepada kedudkan asal, barulah datuk memindahkan sorotan matanya ke dinding.

"Nonong," datuk memulakan kata.

"Pernahkah sesaorang berkata kepada kamu begini, kau cantik, sayangnya ada sesuatu pada diri kamu yang menyebabkan orang lelaki menjauhkan diri dari kamu, mereka macam benci."

"Hummmmmmmm..."

Nonong tidak meneruskan ungkapan. Dia termenung sebentar, macam ada sesuatu yang diingatinya.

"Ada memanda," sambungnya lemah.

"Siapa yang bercakap tu Nonong?"

"Seorang perempuan tua. Dia tu bidan kampung yang sekali gus jadi bomoh. Saya tak tahu sekarang ni, dia masih ada atau sudah mati. Kenapa memanda?"

"Tak ada apa-apa, cuma apa yang dikatakan oleh orang itu hampir sama dengan apa yang terlintas dalam kepala aku," ucap datuk bersahaja.

Nonong nampak tergamam, saya pula terkejut.

"Sesungguhnya, beruntung dan bertuah wanita yang dianugerahkan oleh Allah dengan kecantikan. Tetapi malangnya manusia adalah makhluk lemah, selalu mensia-siakan pemberian tersebut."

Gegendang telinga saya masih dapat menangkap suara keluhan datuk dalam nada yang amat perlahan. Dia masih juga merenung ke arah Nonong, tanpa berkedip.

RESAH

Entah mengapa secara tiba-tiba saya rasa resah tidak menentu. Badan terasa panas semacam, padahal cuaca di luar tidaklah panas sangat.

Tanpa mahu memberitahu datuk, saya bangun dan lantas melangkah kemuka pintu lalu berdiri di situ.

Membiarkan sekawan angin merempuh sekujur tubuh. Mendongak langit kota Medan yang terang di bawah matahari petang dan sinar matahari yang redup itu jatuh di atas setiap bumbung bangunan, tidak terkecuali bumbung Istana Maimun dan Masjid Raya. Sesungguhnya sebuah kepuasan yang tiada taranya menyelinap ke dalam kalbu.

Kepuasan itu, tidak dapat dipertahankan dalam jangka waktu yang agak panjang. Musnah diganggu batuk keras yang disengajakan oleh datuk.

Saya faham, batuk itu adalah batuk protes dari datuk untuk saya. Lebih tepat, batuk kemarahan atas kebiadapan saya yang tidak memnita izinnya, ketika bangun tadi.

Tanpa banyak ragam dan karenah saya kembali masuk ke ruang makan dan duduk di tempat asal. Kemarahan datuk masih belum reda, ekor matanya merenung tajam ke arah saya.

Tidak berani, saya menyanggah renungannya, melainkan tunduk macam orang bodoh.

"Nonong, cerita dengan jujur, jangan sembunyi-sembunyi, jangan tipu dan ditokok tambah, walaupun perkara yang dicakapkan ini membuka pekung sendiri dan keluarga, mendatangkan aib. Cuma dengan cara ini saja memanda boleh berusaha menolong kamu, boleh menunaikan permintaan arwah ayah kamu. Kamu bersedia atau tidak. Cakap dengan jujur dan ikhlas," suara datuk bergetar. Badanya ditegakkan sambil mendada.

"Bersedia memanda," sahut Nonong tangkas.

"Kalau begitu, kamu ceritakan pengalaman dan perasaan yang kamu alami, semasa umur hampir tiga puluh tahun, jangan segan," pujuk datuk penuh diplomasi.

Buat beberapa detik, Nonong nampak resah. Mukanya membayangkan rasa kurang senang. Sebentar menoleh ke kiri, sebentar menoleh ke kanan.

Dalam saat-saat tertentu dia mengigit bibir dan mengaru-garu leher jenjangnya. Semua yang dibuat, serba tidak kena.

Pelik sekali, dalam keadaan Nonong resah begitu, saya jadi ghairah terhadapnya. Timbul rasa berahi terutama bila mengaru-garu lehernya. Cepat-cepat saya mengucap dan beristighfar berkali-kali.

Kerasahan, kebimbangan yang dialami oleh Nonong berakhir juga. Dia tersenyum kerana berjaya mengatasi gelodak hatinya.

Dengan rasa penuh tanggung jawap untuk membebaskan diri dari bayangan belenggu ghaib, Nonong pun mengungkapkannya dengan rasa rendah hati kepada datuk.

Nonong mengakui, semasa berusia awal tiga puluhan dia mengalami tekanan perasaan yang cukup hebat. Sering timbul pertanyaan dalam diri, kenapa tidak ada seorang pemuda yang ingin mendekati dirinya.

Kawan-kawan persekolahan dan sepermainan, hampir semuanya sudah menikah. Malah ada yang sudah mempunyai anak.

Dalam usia begitu, Nonong ingin menikmati suasana bercinta, bermesra serta berdampingan dengan lelaki idaman yang berakhir dengan ikatan suami-isteri. Bila di depan cermin, dia segera mencari kekurangan dan kelebihan dirinya.

Jauh di sudut hatinya, dia tetap mengatakan yang dirinya terjumlah dalam kategori gadis cantik dan menarik. Berkulit putih kemerah-merahan. Berhidung mancung dengan sepasang anak mata hitam yang bulat bersinar. Renungannya mampu menundukkan hati setiap lelaki.

Dengan raut muka bujur sirih bersama sepasang bibir nipis dengan tingginya hampir lima kaki, empat inci, Nonong memang menarik dan mempersonakan.

Siti Hidayah yang tingginya lima kaki sahaja sudah bersuami dan mempunyai dua orang anak. Nonong tahu, dimana dia berada, orang tetap memuji dirinya, cantik dan anggun.

Semasa berkunjung di rumah Siti Hidayah yang baru seminggu melahirkan anak kedua, secara kebetulan dia menemui orang yang mengurut Siti Hidayah.

Kali pertama melihat wajahnya, bidan kampung itu tersenyum serta mengagumi kecantikan yang dimiliki Nonong. Sebagai seorang gadis tentu dia merasa megah, bila terpuji begitu.

BIDAN

Kemegahan dan kegembiraan itu tidak dapat bertahan lama dihatinya bila bila bidan kampung itu mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

Pada mulanya, Nonong tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh bidan kampung tersebut. Tetapi, setelah Siti Hidayah campur tangan, sedikit kepercayaan mula berputik dalam hatinya.

Secara jujur dan ikhlas, Siti Hidayah memberitahu Nonong, dia mendapat suami adalah berkat jasa dan usaha bidan kampung tersebut.

Siti Hidayah menyarankan supaya Nonong mengikuti jejak langkahnya. Mandi bunga tujuh warna setiap malam. Bedak tubuh dengan bermacam jenis ramuan.

Mandi tujuh kolah masjid, satu tugas berat untuk dilaksanakan oleh Nonong.

Memang, sejak zaman sekolah lagi, Nonong tidak berminat dalam perkara-perkara yang ada unsur tahyul.

Setelah didesak berkali-kali hati Nonong jadi lembut dan bersedia mematuhi saranan dianjurkan oleh Siti Hidayah.

Dia pun buat temu janji mengunjungi rumah bidan yang letaknya agak jauh di hujung kampung, terasing dari rumah para penduduk lain.

Dalam pertemuan awal, bidankan kampung mengenakan beberapa syarat yang cukup ketat serta pengeras yang cukup tinggi. Jika syarat-syarat itu dipatuhi, bidan kampung yang kaya dengan pengalaman, memberi jaminan dalam waktu terdekat Nonong akan menemui jodoh.

Terpaku dengan harapan dan jaminan yang dikatakan itu. Pantang larang tidak dilanggar, segala syarat akan dipatuhi.

Setahun Nonong menanti penuh sabar, harapannya tidak menjadi kenyataan. Tidak ada lelaki mendekati atau masuk meminang. Usia Nonong terus bertambah.

Bagi menghilangkan kerunsingan yang membelenggu fikiran dan batinnya, Nonong cuba bergerak dalam badan-badan sosial dengan harapan akan bertemu jodoh.

Bila usianya masuk angka tiga puluh dua tahun, Nonong mengalami goncangan batin yang amat hebat. Dia melihat adiknya mendirikan rumah tangga dengan pemuda kacak yang satu ketika dulu pernah cuba mendekatinya.

Goncangan batin itu menimbulkan bermacam-macam reaksi dalam kalbu Nonong. Ada ketikanya dia merasa benci dan marah dengan keadaan sekitarnya.

Di waktu yang lain, dia merasa hampa dan putus asa yang amat sangat. Nonong menangis dan mengurung diri dalam bilik.

Sebagai anak sulung perempuan, dia lebih dekat dengan ibunya. Tidak hairanlah bila semua masalah yang bersarang dalam dadanya ditumpahkan kepada ibunya.

Dan ibunya mendamaikan gelora batinnya dengan ungkapan, "Belum ada jodoh lagi. Rajin-rajinlah berdoa pada Tuhan. Semuga kamu dipertemukan oleh Tuhan dengan lelaki yang baik dan berhati mulia."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 208/284

BACA: SBDJ Siri 207: Manusia Kabus
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Kenapa Orang Mati Lebih Memilih Untuk Bersedekah Jika Dikembalikan Ke Dunia?

Kenapa Orang Mati Lebih Memilih Untuk Bersedekah Jika Dikembalikan Ke Dunia?

Kupasan Kitab Ziarah ke Alam Barzakh oleh Al Imam Jalaluddin As-Suyuti, kenapa orang mati lebih memilih untuk bersedekah jika dikembalikan ke dunia?

Kelebihan Bersedekah

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Munafiqun ayat 10, "..wahai Tuhanku, alangkah baiknya Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah.."

Sedangkan dia tidak pun berkata, "Supaya aku dapat mengerjakan umrah" atau "Supaya aku dapat bersolat" atau "Supaya aku dapat berpuasa".

Seorang ulama berkata, "Tidaklah seseorang yang telah mati itu menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya."

Maka, hendaklah kita memperbanyakkan sedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin akan berada dibawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat nanti.

Bersedekahlah untuk saudaramu yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka amat berharap untuk kembali ke dunia untuk bersedekah dan melakukan amal soleh.

Dan latihlah anak-anak kita supaya membiasakan diri dengan bersedekah.

Bersedekahlah, sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang yang memberi sedekah.

Adakah anda pernah membaca tentang faedah bersedekah?

1. Amalan sedekah itu adalah salah satu pintu daripada pintu-pintu syurga.

2. Sedekah adalah sebaik-baik amalan soleh dan sebaik-baik sedekah ialah memberi makan.

3. Pahala sedekah akan menaungi pemiliknya pada hari kiamat dan melepaskannya dari azab neraka.

4. Sedekah akan memadam kemurkaan Allah dan kepanasan azab kubur.

5. Sedekah adalah sebaik-baik hadiah buat simati, yang paling bermanfaat untuknya dikubur dan yang ditambah oleh Allah akan rezeki (kerana bersedekah).

6. Sedekah adalah satu penyucian harta benda dan jiwa yang dapat menggandakan kebaikan.

7. Sedekah adalah punca kegembiraan si pemberi dan punca wajahnya bercahaya di hari kiamat.

8. Sedekah menjadi pengaman dari ketakutan pada hari huru-hara besar dan hari yang tiada kesedihan kerana hilangnya sesuatu daripadanya (hari kiamat).

9. Sedekah menjadi punca keampunan terhadap dosa.

Jadi, marilah sama-sama menjadikan amalan bersedekah sebagai kebiasaan agar mendapat pertolongan Allah di akhirat kelak.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, August 22, 2024

SBDJ Siri 207: Manusia Kabus

SBDJ Siri 207: Manusia Kabus

Selesai sembahyang subuh dan berdoa, datuk segera mendekati saya yang berada di saf belakang.

"Ada apa, hal tuk?"

"Aku nak balik dulu, kalau nak ikut balik pun boleh, nak duduk di masjid pun boleh, terpulanglah kepada kamu," ungkapan dari datuk membuat saya tergamam sejenak. Biasanya, jarang datuk mahu meninggalkan masjid secara tergesa-gesa.

"Saya ikut balik tuk," itu keputusan dari saya.

Datuk anggukkan kepala sambil tersenyum.

Toyol jadi-jadian

"Harun macamana tuk?" Susul saya lagi.

"Dia nak dengar kuliah subuh yang disampaikan oleh seorang ulama terkenal dari Kota Tuo (Kota Tua)-Padang Sumatera Barat," jelas datuk.

Memang tidak di duga Harun Fadillah membuat keputusan mengejut. Saya dan datuk keluar dari perut masjid, sampai dekat pintu Harun Fadillah muncul.

"Baliklah dulu, saya tahu ada kerja yang mesti memanda buat di rumah. Lagipun memanda sudah memulakan puasa sunat," bisik Harun Fadillah ke telinga datuk.

"Memang betul apa yang kamu cakapkan," jawab datuk.

"Tamar, apa yang kamu perlukan minta saja pada pembantu rumah," Harun Fadillah renung muka saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala.

Dan langkah pulang pun bermula.

Disaat sedang asyik mengekori datuk dalam dingin pagi, berkawankan kabus nipis terasa datuk memperlambatkan langkahnya. Kemudian terus berhenti.

"Kenapa Tuk?"

Tiada jawapan yang saya terima. Sebagai cucu yang sudah dilatih supaya cepat berfikir dan bertindak bila keadaan terdesak. Saya segera mempertajamkan pancaindera. Ada bebayang manusia dalam kabus yang menghalang langkah perjalanan datuk.

Manusia itu bertubuh besar, memakai songkok putih, berkain pelikat berkotak besar dalam warna hijau putih. Baju melayu telok belangga yang dipakainya koyak di bahagian bawah.

Di bahu kanan terselipang kain hitam menutup sebahagian dada kanan. Lelaki yang tercegat di depan datuk itu, kurang jelas wajahnya.

"Balik saja ke tempat asal kamu, jangan cuba mengganggu urusan orang. Aku ingatkan kamu, jangan cuba nak jadi jaguh di Tanah Deli. Nanti buruk padahnya pada diri kamu. Kalau tak mati, seksa seumur hidup," Terdengar gema suara sekeliling kami (saya dan datuk).

Sukar untuk dipastikan, apakah gema suara itu datang dari lelaki tinggi, bertubuh besar? Sebabnya, semasa suara menolak gegendang telinga, saya seperti berada dalam keadaan khayalan dan bebayang orang itu bagaikan tenggelam timbul dalam kabus nipis.

Datuk menoleh ke arah saya sambil memberi isyarat tangan, supaya mengikuti apa saja yang bakal dilakukannya. Dalam keadaan termanggu datuk terus melangkah lalu merempuh lembaga yang menghalang perjalanannya.

Tindakan datuk itu mendatangkan padah. Lembaga itu bertindak kasar. Datuk ditendang hingga jatuh terlentang. Saya juga menerima habuan, kain selendang di bahu kanan dilibaskan ke arah saya.

Kibasan kain itu membuat saya terhoyong-hayang, tidak daya mengimbangi badan. Kaki bergerak tidak teratur, badan pula terlayah ke kiri, terlayah ke kanan. Gerak langkah saya bagaikan orang mabuk.

Dalam saat itu juga, saya terus berselawat seberapa yang boleh. Rasa pening mula berkurangan tubuh dapat saya imbangi. Tetapi, tidak mampu berdiri dan terpaksa duduk dipermukaan jalan pulang.

Datuk yang jatuh terlentang segera bangun dan meluru ke arah lembaga yang kelihatan samar-samar. Bila badan datuk bersentuhan dengan tubuh lembaga tersebut, saya terlihat bagaikan ada pancaran kilat dari arah selatan dan secara perlahan-lahan tubuh lembaga terbelah dua.

Tubuh bahagian kiri mengeluarkan api manakala sebelah kanan pecah berderai, macam kaca terhempas ke lantai. Seluruh badan datuk dibasahi peluh.

"Tanda-tanda kurang baik, Tamar," komen datuk setelah bebayang lembaga itu hilang entah ke mana dalam kabus nipis.

"Maksud datuk?"

Datuk terus membisu. Langkah pulang yang terhenti diteruskan. Saya terus mengekorinya dengan seribu persoalan.

Cahaya matahari mula bangkit dan mengembang dilangit, suasana sekitar mula cerah. Suara kicau burung mula terdengar, sinar matahari yang lembut mula menikam embun di hujung rumput lalu memantulkan cahaya bening yang menarik.

Perjalanan kian rancak, saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya berusaha menghapuskan peristiwa yang dialami dari bersarang dalam otak. Tidak mahu peristiwa aneh itu menjadi ingatan yang mengerikan dalam hidup.

SAMPAI

SEBAIK saja sampai di kaki tangga, kami disambut oleh pembantu rumah dengan wajah yang riang. Tetapi, dia tidak berjaya menyembunyikan rasa terkejutnya kerana Harun Fadillah tidak pulang sama.

"Tunku Harun mana?" Pembantu rumah mengajukan pertanyaan.

"Sekejap lagi dia balik," balas datuk.

"Apa halnya?" Tanya pembantu rumah lagi. Ternyata dia tidak puas hati dengan jawapan yang dikemukan oleh datuk.

"Dia dengar kuliah subuh," jelas datuk.

"Hum..." angguk pembantu rumah.

Datuk pun melangkah tenang masuk ke biliknya.

Beberapa minit kemudian, datuk keluar dari kamar menuju ke halaman rumah. Tanpa membuang masa datuk melakukan senaman silat untuk memanaskan badan dan menegangkan urat saraf.

Kira-kira empat puluh lima minit kemudian Harun Fadillah pulang dari Masjid Raya. Dari jauh dia tersenyum ke arah datuk.

Kerana sarapan sudah tersedia, saya dan datuk dijemput oleh Harun Fadillah ke ruang makan.

"Maaf, kamu dengan Tamar saja makan pagi."

"Kenapa memanda?" Harun Fadillah terkejut.

"Tak apa, kamu berdua makanlah," balas datuk.

Terbukti yang Harun Fadillah tidak dapat menerima alasan itu. Dia terus mendesak, mahukan sebuah jawapan yang konkrit. Setelah didesak bertalu-talu, datuk terus mengalah.

"Run.."

Seluruh pandangan Harun Fadillah tertumpu ke arah datuk.

"Sepatutnya, aku merahsiakan perkara ini tetapi, kerana kamu mendesak juga dan sebagai menghormati tuan rumah aku terpaksa mengalah, walaupun hati kecil aku berat," sambung datuk sambil mengaru pangkal dagu dengan jari kelingking.

Sepasang anak matanya tertumpu ke arah saya dan Harun Fadillah, silih berganti.

"Haaa..." Harun Fadillah bersuara lemah patuh dengan tandatanya.

Dia nampak serba salah. Bagaikan tidak mampu untuk menyambung kata.

"Begini Run, hari ini dan esok aku terpaksa berpuasa untuk menyelesaikan masalah kakak kamu, menunaikan wasiat ayah kamu. Aku harap kamu faham. Jangan banyak tanya dan soal. Apa yang aku buat selepas ini adalah untuk tujuan memulihkan kakak kamu," datuk bagaikan memberi ceramah pendek, penuh perasaan bersama raut wajah mempamerkan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah yang melanda keluarga Harun Fadillah.

"Maafkan saya memanda," hiba benar wajah harun Fadillah. Bahu kanan datuk dipaut erat.

"Tak apalah, jangan ulang lagi."

"Saya minta maaf memanda," ulang Harun lagi.

Wajahnya nampak kesal sungguh. Saya menggigit hujung lidah, tanpa mahu memberi sebarang komen, apa lagi mahu turut campur dalam perkara tersebut.

Beberapa minit berikutnya, saya dan Harun Fadillah masuk ke ruang makan lalu memulakan sarapan pagi. Datuk meneruskan senaman atau latihan silat helang putih yang lebih banyak menekankan pada tumpuan gerak batin bersumberkan gerak nadi dan gerak mata.

Memang sekali pandang, gerakan yang datuk lakukan dihalaman rumah nampak lembut dan teratur, nampak mudah, lembut berirama boleh dilakukan oleh sesiapa. Tetapi, pada hakikatnya tidak semudah seperti apa yang dilihat. Datuk berhenti bersilat, apabila matahari tinggi segalah.

BACA

SELAMA dua hari datuk berpuasa sunat, dia kurang bercakap. Waktu siangnya dibabiskan dengan membaca Quran dan membaca kitab agama di Masjid Raya.

Pada sebelah petangnya, jika ada masa terluang. Datuk dengan ditemani Harun Fadillah mengunjungi beberapa buah rumah ulama atau ketua pasentaran sekitar Sumatera Utara.

Tujuan datuk berbuat demikian, sekadar berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang hal-hal yang ada hubungan dengan agama.

Tidak dinafikan juga dalam pertemuan itu, ada ulama dan ketua pasentaran mencadangkan supaya persatuan ulama yang ahli-ahlinya terdiri daripada ulama Sumatera Utara dan Ulama Utara Semenanjung.

Matlamatnya, ahli-ahli ulama dua negara itu mesti bekerjasama menangani masalah akidah yang mulai terhakis di kedua-dua negara di samping masalah sosial yang dihadapi oleh anak-anak muda Islam, terpengaruh dengan budaya kuning di Sumatera Utara dan Semenanjung.

Turut juga ditekankan dalam persatuan itu ialah menentang para pemimpin Islam di kedua-dua negara yang bersikap lepas tangan dalam hal agama.

Contohnya menghalalkan yang haram untuk kepentingan diri dan kuasa serta membanteras penyelewengan. Saya tidak tahu, apakah perkara itu berhasil dilaksanakan atau tidak.

Pada sebelah malamnya, setelah berbuka puasa dan menunaikan suruhan Allah, Datuk menghabiskan separuh daripada waktu malamnya dengan melakukan sembahyang sunat, berzikir serta melakukan sembahyang sunat di samping membaca Quran.

Semasa datuk melakukan perkara yang saya sebutkan itu, tidur saya cukup aman dan tenteram. Tidak terdengar bunyi aneh atau ganjil dari bilik yang bermanggakan tembaga putih.

Saya sungguh beruntung. Dalam waktu datuk berpuasa, selama dua hari itu. Pergerakan saya bebas, terlepas dari perhatian dan kawalan datuk.

Saya boleh ke mana-mana dan kesempatan itu, saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Hampir separuh kotaraya Medan saya jajahi dengan berjalan kaki.

Saya menghabiskan masa dengan duduk di kepala tangga Istana Maimun, melihat pelancong turun naik istana. Kemudian berlegar-legar di depan istana sebelum bergerak ke pondok kecil yang menempatkan meriam ganjil.

Kerana rajin datang ke situ, saya berhasil mengutip cerita tentang meriam puntung dari penjaganya. Begitu juga dengan beberapa gambar para Sultan Deli terdahulu yang tergantung di dinding istana, bagaikan terpaku dalam kepala.

Saya boleh menunjukkan gambar beberapa orang Sultan yang ada hubungannya dengan kesultanan Johor, Perak, Selangor, Pahang. Malah beberapa nama jalan di kotaraya tersebut terpahat dalam kepala.

Beberapa orang penarik beca menjadi teman rapat. Sungai Deli yang mengalir kotor bukanlah sesuatu yang asing bagi saya.

Keseronokan dan kebebasan yang diperolehi tidak dapat bertahan lama. Kepulangan si Nonong seperti memutuskan rantai kebebasan yang dimiliki. Saya tidak sebebas dulu.

Datuk mahu saya berada di sampingnya selalu, terutama bila dia mahu melakukan sesuatu dalam usaha dan ikhtiarnya membantu menyelesaikan masalah peribadi si Nonong.

Adakalanya, datuk memerlukan bantuan dari saya. Atas sebab-sebab tersebut hati kecil saya jadi marah atas kepulangan si Nonong. Bila saya berdepan dengannya, akan saya luahkan protes hati ini padanya. Itu azam yang berputik dalam hati.

Tetapi aneh, bila berdepan dengan Nonong, azam yang menyala dalam dada terus padam. Terlihat wajahnya, jadi tergamam. Wajahnya tidak menggambarkan yang dirinya sudah berusia dalam empat puluhan.

Mukanya bagaikan anak gadis awal dua puluhan. Kulitnya putih merah, senyumannya menawan. Sepasang mata galak yang dimilikinya boleh mendebarkan hati lelaki.

Tinggi lampai, leher jenjang tubuhnya sedap mata memandang dengan sepasang payudara yang tajam menongkat baju di samping daging punggung yang kejap dan padat.

Itulah sebabnya, tidak ada siapa yang menduga atau menjangkakan yang si Nonong sudah berusia empat puluh lebih. Kulitnya masih tegang, muka masih berseri.

Kalau saya ditawar untuk menjadi suaminya, terpaksa berfikir dua kali sebelum bertolak.

"Kak Nong, ini cucu memanda."

Nonong berhenti melangkah, merenung ke arah adiknya (Harun Fadillah) sejenak, kemudian Nonong merenung ke arah saya. Dalam perasaan yang serba salah itu, saya anggukkan kepala.

"Tamar, inilah kakak aku yang tua," sambung Harun Fadillah.

Macam tadi juga, saya anggukkan kepala tetapi, cuma kali ini di iringi dengan sebaris senyum yang dibalas oleh Nonong.

"Cucu memanda?" Tanya Nonong pada Datuk di sebelah saya.

"lya," terpamer senyum kepuasan di wajah datuk.

"Lawa juga orangnya, kulit putih. Matanya yang hitam menunjukkan dia cucu yang bijak," puji Nonong.

PUJI

SAYA tersenggih khayal, bila dipuji begitu. Sepasang mata nakal terus meratah seluruh wajah dan tubuh Nonong yang menawan.

Sebagai orang muda, angan-angan dan khayalan yang memberahikan berkocak dalam kalbu. Mia bagaikan terbang dari ingatan.

Seluruh minat dan perhatian tertumpah pada Nonong yang baru tiba dari Tanjung Pura. Masih tercegat di kaki tangga membibit beg.

"Tamar, beri laluan untuk Nonong, jangan tercegat di situ."

Saya tersipu-sipu dengan teguran datuk itu. Rupa-rupanya, saya berdiri di muka pintu menghalang perjalanan orang.

"Maafkan saya Nonong."

"Eh kamu Tamar, berbudi bahasalah pada orang yang lebih tua dari kamu, jangan pakai hentam keromo saja," Datuk menegur.

Saya tersenggih. Malu lagi. Nonong tersenyum.

Hebat sungguh perhatian datuk pada Nonong. Tidak sampai satu jam dia tiba di rumah, sudah dua kali saya kena tegur.

Tak mengapa, wajah dan senyumannya memberikan sebuah kepuasan yang tersendiri untuk saya.

Kalaulah boleh, hari-hari seterusnya, mahu saya nikmati dan tatap kecantikan yang dianugerah oleh Tuhan pada Nonong.

Entah mengapa, semacam ada kelainan dalam diri, sejak akhir-akhir ini, bila melihat perempuan atau gadis cantik. Saya terkhayal dan perasan jadi tidak tentu arah.

Adakah ini membawa petanda yang diri ini sudah beransur dewasa. Sukar untuk mencari sebuah jawapan pasti.

Sekiranya apa yang saya alami dapat dikesan oleh Datuk, betapa malunya fikir saya.

Oleh sebab itu saya perlu berhati-hati dan teliti dalam setiap gerak-geri dan pertuturan.

Kepulangan Nonong nan manis ke rumah pusaka, bertepatan dengan tarikh dan hari Datuk menamatkan puasa sunatnya selama dua hari.

Saya kira, perkara ni sudah di rancang dengan teliti oleh datuk. Dia mempunyai agenda tersendiri.

Diatur dan disusun dengan rapi untuk dilakukan bagi mengatasi masalah yang selama ini membelanggu diri dan kehidupan Nonong.

Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan, seiring dengan kepulangan Nonong, Datuk nampak sibuk semacam.

Banyak perkara yang disoal dan ditanyakan kepada Harun Fadillah dan kakaknya (Nonong) secara berasingan dan adakalanya secara berdua-duaan.

Perkara yang diajukan kepada mereka berdua, ada masanya agak terlalu peribadi dan tidak masuk di akal. Temyata mereka berdua memberikan kerjasama yang baik pada Datuk.

PELIK

PADA petang Rabu, sehari selepas Datuk menamatkan puasa sunat selama dua hari (Datuk berpuasa pada Hari Isnin dan Selasa).

Sepulangnya berjemaah Asar di Masjid Raya, Datuk terus memanggil Harun Fadillah dan Nonong ke ruang makan. Perkara begini memang tidak pernah dilakukan oleh Datuk. Saya merasa pelik dan curiga dengan tindakannya.

"Begini Harun," ujar datuk sebaik sahaja Harun Fadillah dan kakaknya duduk dibangku.

"Aku fikir sudah sampai masanya masalah yang ditanggung oleh Nonong diusahakan," sambung Datuk sambil menatap wajah Harun dan Nonong.

Dua bersaudara itu tidak bersuara, hanya biji mata saja yang bergerak ke arah datuk.

"Saya bersedia," terlompat kata dari mulut Nonong lalu disambut oleh Harun Fadillah dengan anggukkan kepala. Setuju dengan kata kakaknya.

"Minta dua gelas air dingin," pinta datuk.

Harun Fadillah mengarahkan pembantu rumah menyediakan barang yang diminta. Tidak lama berselang. Dua gelas air sudah berada di depan datuk.

"Kamu berdua minum air seteguk senafas, sebelum minum selawalkan nabi tiga kali dalam senafas. Bukan air penunduk, mengikut kata. Juga bukan untuk memukau, sekadar memberikan keyakinan dalam diri kamu berdua. Bercakaplah dengan jujur kerana aku juga berniat jujur dan ikhlas pada kamu. Setelah berusaha, selebihnya itu, kita serahkan kepada Allah pencipta alam semesta. Dia saja yang mengetahui segala-galanya," pendek Datuk memberi penjelasan.

Harun Fadillah dan Nonong anggukkan kepala, macam terkukur diagah tuannya. Persetujuan itu melancarkan aturcara yang sudah datuk rancang dalam kepala.

Saya yang duduk agak terpisah jauh dari Datuk, Harun Fadillah dan Nonong merenung ke luar. Melihat sinar mata petang yang kian redup jatuh di halaman rumah.

Kicau burung sesekali kedengaran bersama deru kereta dan bunyi loceng beca yang lalu dijalan raya hadapan rumah Harun Fadillah.

"Nonong."

Nonong yang tunduk segera angkat kepala. Renung muka datuk.

"Cakap dengan jujur, jangan malu-malu. Berterus terang dengan memanda. Ingat, apa yang dilakukan ini sebagai memenuhi permintaan arwah orang tua kamu. Barangkali, Harun sudah terangkan kepada kamu," Datuk menyambung dengan penuh sopan.

"Sudah saya terangkan, kakak sudah faham," sambut Harun Fadillah.

"Iya, apa yang dikatakan adik saya tu memang benar," tingkah Nonong.

Datuk menegakkan dada sambil menarik nafas dalam-dalam. Duduknya dibetulkan, bersila bertindih paha dengan dengan kedua-dua telapak tangan berada di atas tempurung kepala kaki kiri dan kanan.

Sekali pandang, datuk bagaikan pahlawan Melaka menyambut kedatangan pahlawan Majapahit.

"Harun."

"Iya memanda."

"Kamu tahu apa yang berada dalam bilik berkunci tembaga?" Harun Fadillah nampak terkejut dengan pertanyaan yang tidak diduganya. Begitu juga dengan Nonong.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 207/284

BACA: SBDJ Siri 206: Di Datangi Kelawar Mata Merah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com