Tuesday, July 30, 2024

SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang

SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang

Selepas pernikahan (Mia-Andi) saya dan datuk cuma mampu bertahan selama seminggu saja di kampung halaman Mia. Datuk pun segera mengatur persiapan untuk pulang ke tanah semenanjung. Abang Mia, lebih awal dari kami.

Toyol jadi-jadian

Tiga hari setelah perkahwinan Mia, dia (abang Mia) pun berangkat ke Jakarta-Singapura-Tokyo kerana urusan perniagaannya. Dia juga berjanji mahu berjumpa datuk di Pulau Pinang. Tarikh, tempat dan waktu akan ditentukan kemudian.

Cara mana dia mahu menghubungi datuk yang sentiasa berkelana dari satu tempat ke satu tempat, tidak pula saya ketahui.

Pada hemat saya, datuk akan pulang ke tanah air ikut jalan datang. Ternyata perkiraan saya tidak tepat, datuk memilih jalan pulang ikut pesisir pantai menghala ke utara yang bermula dari Kuala Tungkal dengan melalui beberapa buah pelabuhan hingga sampai ke Belawan.

Datuk merancang singgah di Medan-Deli sehari dua. Kemudian baru menyeberangi Selat Melaka dengan bot dagang dan turun di Batu Uban, Pulau Pinang.

Bila Haji Basilam mengunjungi kami di rumah penginapan, perkara itu segera disampaikan oleh datuk kepadanya.

"Pelik, kamu memang manusia pelik. Suka mencari jalan susah. Kenapa tak balik ikut jalan datang? Bukankah itu lebih mudah dan cepat pula sampai. Kenapa mesti menyusuri pantai sampai ke Deli," itu komen Haji Basilam.

"Aku nak mencari kawan lama yang menetap di Kawasan Istana Deli," jawab datuk.

"Oh, begitu, ada hubungan keluarga dengan kamu?"

"Tak ada, cuma kawan baik saja."

"Kamu memang setia dengan kawan," Haji Basilam senyum sambil menepuk bahu datuk. Mereka ketawa.

"Kawan aku itu ada hubungan dengan kerabat di Raja Perak tapi, tak ada kuasa," kata datuk setelah ketawa mereka terhenti.

"Kenapa tak berkuasa pula? Agaknya, keturunan derhaka."

"Bukan derhaka tetapi, menentang Inggeris lalu dipecat oleh orang Inggeris yang berkuasa di Perak, saudara maranya yang lain dilantik menjadi raja memerintah negeri."

"Itu bukan derhaka tetapi, pahlawan," kata Haji Basilam penuh semangat. Datuk mengangguk lemah.

"Setiap kali dia datang ke Perak menemui kaum keluarganya di sana, dia akan singgah ke rumah aku. Cara kebetulan pula isterinya itu adalah penari di Istana Deli."

"Bila kamu berdua nak bertolak ke sana," cungkil Haji Basilam.

"Dua hari lagi."

"Pengantin baru dah tahu ke belum yang kamu mahu meninggalkan tempat ini?"

Pertanyaan yang diajukan oleh Haji Basilam tidak dijawab oleh datuk. Dia termenung panjang sambil mengerutkan dahi. Macam, ada sesuatu yang bermain dalam kepala datuk.

"Saya fikir, tak payahlah beritahu mereka," mendadak saja datuk bersuara.

"Kenapa pula?" Pintas Haji Basilam.

"Rasanya, tak manis ganggu pengantin baru."

"Hissss..." sanggah Haji Basilam.

"Saya tak mahu kacau mereka haji."

"Biar aku yang beritahu, lagi pun Mia tu anak angkat aku. Biar dia tahu kalau awak tak bawa si Andi ke sini, besar kemungkinan dia belum dapat bertemu jodoh."

"Mengapa kesitu pula yang difikirkan. Bukankah jodoh pertemuan itu adalah ketentuan dan hal Allah. Kepada-Nya kita patut mengucapkan syukur. Saya adalah penyebabnya atas gerak Allah juga."

Dialog yang rancak berhenti seketika. Datuk renung lantai. Haji Basilam mengigit bibir. Agaknya, dia berfikir di mana lojiknya kata-kata yang diaturkan oleh datuk sebentar tadi.

"Memang saya tahu dan faham tentang hal itu. Tetapi, saya bercakap ni dari segi budi bahasa dan pekerti manusia. Setidak-tidaknya, mereka mesti menghormati awak kerana usia awak. Biar aku beritahu budak- budak tu," Haji Basilam segera bangun.

"Nanti dulu, haji," tahan datuk.

Haji Basilam tidak peduli dan dia terus melangkah meninggalkan saya dan datuk di rumah penginapan dalam keadaan termanggu-manggu. Saya tidak mahu campur dalam urusan tersebut.

Sesungguhnya, saya memang merestui tindakan Haji Basilam itu. Memang saya mengharapkan Haji Basilam memberitahu Andi dan Mia tentang tarikh keberangkatan kami.

Cuma dengan demikian saja yang berpeluang melihat wajah Mia-Andi untuk kali terakhir. Terima kasih Haji Basilam atas tindakan kamu itu, bisik batin saya dalam senyum panjang sambil melihat matahari petang yang kian mengecil dipuncak bukit.

Datuk bangun dan berubah tempat, kesempatan itu saya gunakan untuk melihat ke arah Haji Basilam yang sedang melangkah menuju ke rumah Mia.

Saya berdoa, saranan yang bakal diluahkan oleh Haji Basilam dapat diterima oleh Mia-Andio dengan hati terbuka. Kemudian, mereka bertindak menemui saya dan datuk.

KERETA HITAM

DUA hari kemudian, kira-kira pukul tujuh pagi. Sebuah kereta jenis Ford berwarna hitam berhenti di halaman rumah penginapan kami (saya dan datuk). Dengan senyum ramah, Haji Basilam keluar dari perut kereta. Saya dan datuk tercenggang.

Beberapa minit berikutnya, Andi Kamarool dan Mia sampai di kaki tangga rumah. Semuanya bagaikan disusun dan diatur.

"Kereta untuk siapa Haji?" Tanya datuk.

"Untuk awak berdualah."

"Untuk kami!" Datuk segera mengedutkan kening dan dahi.

"Kenapa awak terkejut," soal Haji Basilam.

"Saya tak ada masalah kereta sewa," nada suara datuk mula meninggi. Dia melangkah dengan berhati-hati menuruni anak tangga.

"Mia yang menyuruh saya mencarinya," jelas Haji Basilam sebaik saja datuk duduk di anak tangga paling bawah sekali.

"Memang benar cakapnya, saya yang menyuruh Haji Basilam mencari kereta sewa," sahut Mia.

Saya lihat Andi Kamarool yang berdiri tidak jauh dari Mia segera anggukkan kepala. Datuk menarik nafas. Si pemandu kereta Ford yang merasa jemu berada dalam perut kereta segera keluar.

"Bukan apa-apa, memudahkan perjalanan supaya cepat sampai dan jimatkan masa serta tidak penat. Bila cepat sampai ke Kuala Tungkal, senanglah pula membuat urusan perjalanan selanjutnya. Sama ada mahu ikut jalan darat atau jalan laut," lanjut Mia dengan sepasang matanya tetuju ke wajah saya. Dada saya terus berdebar.

"Kalau begitu, terima kasihlah kerana menolong saya dan Tamar, dengan apa mahu saya balas budi baik Mia. Mudah-mudahan Allah memberkati hidup kamu berdua, murah rezeki, sihat walafiat dan bertambah keimanan padaNya," nada suara datuk penuh terharu.

"Eh..." Mia tidak meneruskan kata-kata selanjutnya. Dari sinar matanya, saya dapat membaca kepuasan perasaan yang amat sangat.

Kerana semua barang-barang untuk perjalanan sudah siap sedia, tanpa membuang masa datuk dan saya segera masuk ke perut kereta.

"Selamat jalan Tamar."

Andi Kamarool hulurkan tangan. Saya genggam penuh erat sambil sepasang mata kami berlaga. Saya dapat merasakan tangan Andi Kamarool menggeletar. Wajahnya nampak pilu. Memang, ada genangan air jernih di kelopak matanya.

"Semoga kamu bahagia Andi," suara saya tertahan-tahan.

"Terima kasih Tamar, semoga persahabatan kita terus berkekalan," tambah Andi Kamarool dan secara mengejut dia terus menangis tersedu.

Pemandu kereta, Haji Basilam dan datuk tidak memberikan sebarang komentar dengan apa yang kami lakukan. Barangkali, mereka juga terharu.

Tetapi, saya dapat mengawal perasaan dan masih mampu tersenyum sedangkan gelora hati saya hanya Allah saja yang mengetahui.

Perlahan-lahan saya alihkan renungan dari wajah Andi Kamarool ke wajah Mia yang berdiri di sisi Andi Kamarool. Mukanya nampak merah dan anak mata hitamnya merenung redup ke arah saya. Sepasang kelopak bibirnya seakan-akan bergerak.

Malangnya, tidak ada sepatah perkataan yang terucap daripada kelopak bibimya. Andi Kamarool tunduk merenung kami.

LEMBUT

MATAHARI pagi terus memancur lembut, kicau burung jelas kedengaran seolah-olah melahirkan rasa simpati dengan apa yang kami alami.

"Tamar."

"Iya Mia," sahut saya.

"Ku ucapkan selamat jalan Tamar," ujar Mia lembut.

"Semoga Allah melindungi perjalanan kamu dan datuk. Aku mendoakan kebahagiaan hidup kamu Tamar."

Dada saya terasa sebak. Dengan serta merta saya alihkan renungan ke arah kaki tangga rumah. Macam-macam yang menggoncang batin, ada rasa marah dan geram. Ada saatnya timbul rasa hampa dan hiba yang memanjang.

"Tamar, renunglah muka aku."

Dada saya terasa sebak.

"Tamar, renunglah muka aku," lanjut Mia dalam nada suara yang tersangkut-sangkut.

Perlahan-lahan saya menarik dan melepaskan nafas Mia masih berusaha untuk meneruskan kata-kata dalam rasa sebak dan hiba. Sesungguhnya, saya bagaikan tidak mampu untuk mengangkat kepala merenung wajah Mia. Hiba benar rasa hati.

"Semoga Allah akan memberkati doa kamu untuk saya dan datuk Mia. Aku memang mengharapkan doa aku diperkenankan oleh Allah, semoga kamu berdua hidup bahagia, sampai anak cucu. Hanya tanah saja yang memisahkan kamu berdua," saya paksa hati dan perasaan untuk berkata kata dalam rasa sebak yang memanjang. Setiap patah kata yang terhambur dari mulut tersekat-sekat.

"Terima kasih dan..." suara Mia mati di situ.

Dan beberapa saat berikutnya, terdengar isak tangis dan sedu sedan dari Mia. Perlahan-lahan kepalanya dijatuhkan ke atas bahu kiri Andi Kamarool terlintuk manja di situ. Penuh mesra telapak tangan kiri Andi Kamarool mengosok-gosok belakang Mia.

Ada sesuatu yang diucapkan oleh Andi Kamarool ke cuping telinga Mia. Dengan serta merta rasa cemburu, geram membuak-buak dikalbu saya. Hilang rasa geram, cemburu dan marah. Timbul rasa yang amat mengharukan dalam kalbu. Tanpa dapat ditahan-tahan air mata terus melilih dicerun-cerun pipi saya.

Dengan sisa-sisa kekuatan yang masih ada. Saya berusaha mengumpul kata-kata untuk dihamburkan kepada Mia.

"Ahh...!" datuk mendengus.

Semua rangkaian kata yang tersusun hilang dari sanubari saya, akibat dengusan datuk yang tidak saya duga sama sekali.

"Apa lagi, Tamar?"

Datuk segera menoleh ke arah saya bersama dengan sinar mata yang tajam.

"Jalan, jangan dilayan karenah budak-budak," kata datuk sambil menyandarkan badannya.

"Saya mahu cepat sampai ke Kuala Tungkal," sambungnya kepada pemandu.

Enjin kereta pun dihidupkan, bila minyak ditekan dan gear satu dimasukkan, kereta pun bergerak perlahan-lahan meninggalkan Haji Basilam, Mia dan Andi Kamarool di halaman rumah.

Sebelum kereta memasuki jalan besar, saya toleh ke arah halaman rumah penginapan, mereka masih melambai-lambaikan ke arah kami.

RESAH

SEPANJANG perjalanan, hati saya resah selalu. Detik manis yang dilalui datang dalam kepala yang bagaikan putaran filem. Mungkinkah ada gadis secantik Mia akan datang dalam hidup saya? Timbul pertanyaan dalam diri.

"Sudah berapa lama kamu membawa kereta?" suara datuk memecahkan suasana sepi dalam kereta.

"Lebih dari sepuluh tahun."

"Selalu bawa penumpang keluar kawasan?"

"Jarang, kecuali orang yang saya kenali, saya ada kerja tetap."

"Kerja apa?" Datuk merenung muka pemandu.

"Berladang."

"Memandu kereta ni kerja sambilan."

"lya," angguk pemandu bas.

"Buat amal jariah. Bagus tu, satu kerja yang baik," komen datuk lagi. Pemandu kereta tersenyum panjang.

Kereta terus meluncur laju melintasi hutan dan gunung ganang. Ada ketikanya melalui kawasan perumahan dan sawah yang saujana mata memandang. Lamunan tanpa hujung terus berpesta dalam tempurung kepala.

Sepasang bibir datuk nampak bergerak-gerak, saya pasti dia sedang membaca kalimah-kalimah suci memuji keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Besar.

"Siapa nama kamu?" datuk bertanya disaat pemandu memutar stereng melalui selekoh tajam sebelah kanan.

"Ahmad Nazar tetapi, kawan-kawan memanggil saya Lebai Ayi."

"Humm..." datuk anggukkan kepala.

"Suami Mia tu mesti orang handal, pak.." susul pemandu kereta.

Datuk kelihatan seperti tersentak. Muka si pemandu direnung sejenak. Temyata pemandu yang berambut agak keriting dan mula beruban kurang senang dan tindak-tanduk datuk itu.

"Kenapa kamu kata macam tu."

"Hai, semua orang tahu yang dia tu keturunan manusia harimau," si pemandu bersuara sambil merenung keluar melihat pepokok dan bukit-bukau di kiri kanan jalan. Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

"Lagi apa yang kamu tahu tentang dia lebai?" datuk bertambah ghairah mencungkil rahsia.

"Saya tahu tentang asal-asulnya, hanya lelaki yang cukup tinggi ilmu keduniaan dan akhirat saja yang boleh menaklukinya."

"Begitu," celah datuk.

"Tetapi, dia baik hati dan pemurah. Dia selalu menyewa kereta saya bila dia ke mana-mana, sebahagian daripada penduduk kampung mengharapkan kemurahan hatinya."

"Saya mahu mendengar yang baik-baik darinya. Saya tak mahu bercakap tentang dia dan suaminya, itu urusan mereka." Cukup tegas datuk bersuara.

"Maafkan saya, berangkali pak ada hubungan keluarga dengannya. Maafkan saya," nada suara pemandu penuh kesal dan kehampaan. Datuk tidak memberikan kata putus, sama ada mahu menerima permintaan maaf atau menolaknya.

"Maafkan saya," ulangnya lagi.

Macam tadi juga, datuk terus membisu. Matanya merenung ke hadapan.

Perjalanan selanjutnya, tidak dibungai dengan perbualan di antara datuk dengan Ahmad Nazar. Masing-masing membisu. Perkara itu berpanjangan hingga sampai ke Kuala Tungkal.

"Terima kasih atas kerjasama awak, maafkan saya," Telapak tangan datuk dan Ahmad Nazar segera bercantum. Jari-jemari mereka berpaut erat. Mereka berpeluk sambil melagakan pipi kiri dan kanan.

"Saya pun begitu, saya tidak terniat jahat bila bercakap tentang Mia," tersangkut-sangkut suara Ahmad Nazar.

"Saya tidak marah, saya tidak tersinggung," balas datuk.

"Mahu ke Deli, ikut laut?" soal Ahmad Nazar.

"Iya," jawab datuk.

"Selamat jalan."

"Terima kasih."

Saya dan datuk segera menuju ke pelabuhan. Cuma satu jam setengah saja kami berada di Kuala Tungkal sebelum menaiki kapal barang menuju ke Belawan.

Perjalanan yang jauh itu tidak menjemukan kerana kapal yang kami tumpangi singgah di beberapa buah pelabuhan yang kebanyakkan penghuninya cukup ramah dan baik hati.

SELESA

ANTARA pelabuhan yang disinggahi ialah Tembilahan, Dumai, Labuhan Bilik, Tanjung Balai dan akhirnya, sampai ke Belawan. Kerana kapal sering saja singgah memunggah dan mengambil barang termasuk juga penumpang, perjalanan mengambil masa hampir dua minggu untuk sampai ke Belawan.

Sesungguhnya perjalanan dengan kapal dagang menyusuri persisiran pantai banyak memberi pelajaran dan pengalaman baru pada saya.

Dua minggu berada dalam kapal dagang saya sempat mengenali berbagai-bagai etnik bangsa Indonesia yang bercakap dalam berbagai-bagai loghat.

Setiap penumpang merasa terkejut, bila mengetahui saya dan datuk dari Tanah Semenanjung, mereka tetap memperlihatkan rasa hormat dan ramah dan tetap mengatakan, orang Tanah Semenanjung, Tanah Jawa dan Sumatera tetap serumpun bangsa yang dipisahkan oleh Laut Selat Mflaka. Dari segi kepercayaan, adat resam dan budaya hampir serupa.

Sampai di pelabuhan Belawan hari Selasa, jam sebelas pagi ketika hujan turun rintik-rintik. Datuk menyewa sebuah kereta (teksi sapu) menuju ke sebuah kawasan perumahan yang letaknya tidak jauh dari kawasan istana bekas kesultanan Deli.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 204/284

BACA: SBDJ Siri 203: Harimau Menangis
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, July 29, 2024

Apa Itu Kill Switch Dan Cara Menggunakannya Untuk Melindungi Wang Anda

Apa Itu Kill Switch Dan Cara Menggunakannya Untuk Melindungi Wang Anda

Kill Switch ialah ciri keselamatan bank-bank di Malaysia sebagai satu langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan mereka daripada pelbagai ancaman siber dan penipuan dalam talian, bagi melindungi wang anda daripada penipuan dalam talian dan bagi meningkatkan tahap keselamatan perbankan dalam talian pengguna.

Kill Switch Bank di Malaysia

Mudah kata, Kill Switch merujuk kepada ciri keselamatan yang digunakan untuk menghentikan atau mematikan perkhidmatan atau sistem secara serta-merta apabila terdapat ancaman keselamatan atau pelanggaran data, dengan menyekat transaksi tidak sah kerana penipu tidak lagi boleh mengakses kad pelanggan.

Ini penting untuk melindungi maklumat sensitif daripada diakses oleh scammer dan mengelakkan masalah lebih besar akibat serangan siber. Kill switch memastikan bahawa perkhidmatan atau sistem boleh dihentikan segera, mengurangkan risiko dan melindungi integriti data.

Ciri Kill Switch ini akan memberikan pelanggan kawalan segera terhadap akaun sendiri, membolehkan mereka bertindak dengan cepat apabila mengesyaki aktiviti yang mencurigakan atau akses yang tidak dibenarkan.

Kill switch berfungsi sebagai mekanisme pertahanan terakhir yang boleh menghentikan transaksi tidak sah, menghalang akses yang tidak diingini dan mengawal kerugian kewangan dengan serta-merta. Ia juga untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan perbankan digital, menunjukkan komitmen bank terhadap keselamatan aset pelanggan.

Penggunaan Kill Switch Oleh Bank-bank di Malaysia

Di Malaysia, penggunaan kill switch digunakan dalam sistem perbankan dan kewangan untuk melindungi aset kewangan dan data pelanggan.

Institusi kewangan di Malaysia telah mula mengintegrasikan kill switch ke dalam sistem mereka untuk bertindak balas dengan cepat terhadap ancaman siber.

Berikut adalah contoh penggunaan kill switch oleh bank-bank di Malaysia:

Maybank, Maybank2u dan MAE

Maybank telah memperkenalkan ciri “Kill Switch” pada platform dalam talian mereka, termasuk Maybank2u dan aplikasi MAE. Ciri ini merupakan langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan daripada scam atau penipuan dalam talian.

Dengan menggunakan ciri ini, pelanggan dapat mematikan akses akaun mereka dengan serta-merta jika mengesyaki berlakunya scam online, penipuan atau pelanggaran keselamatan.

Apabila diaktifkan, “Kill Switch” akan menyahaktifkan akses ke akaun Maybank2u.

Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh menggunakan kad debit atau kredit mereka untuk pengeluaran tunai di ATM.

Untuk mengaktifkan semula akses ke akaun dalam talian mereka, pelanggan perlu menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank (MGCC) atau di mana-mana cawangan Maybank.

Bank Islam, GO dan GO Biz

Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) telah memperkenalkan ciri “kill switch” untuk meningkatkan perlindungan pelanggan daripada penipuan dalam talian.

Ciri keselamatan ini membolehkan pelanggan mengambil dua tindakan utama:
  • Mematikan akses ke perkhidmatan perbankan internet mereka, termasuk aplikasi GO dan GO Biz.
  • Menghentikan semua transaksi keluar daripada kad Debit-i Bank Islam mereka.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, pelanggan boleh menetapkan “cooling-off period” selama 12 jam untuk permohonan baru atau permintaan perubahan.

Bank Islam juga telah memperkenalkan sistem pengesahan berasaskan aplikasi, GO Secure, untuk kelulusan transaksi penting seperti pemindahan dana dan perubahan maklumat peribadi.

Public Bank, PBe, PB Engage dan MyPB

Public Bank telah memperkenalkan ciri “kill switch” sebagai langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan daripada penipuan dalam talian melalui PBe, aplikasi PB Engage dan MyPB.

Kill Switch Public Bank ini mempunyai dua fungsi utama:
  • Membolehkan pelanggan menyahaktifkan akses mereka kepada perbankan internet PBe dan aplikasi PB engage apabila mengesan aktiviti mencurigakan.
  • Mengimplementasikan tempoh bertenang selama 12 jam bagi transaksi yang dianggap luar biasa, memberi masa untuk menilai dan memastikan keselamatan transaksi tersebut.

Sekiranya ciri “kill switch” diaktifkan, pelanggan perlu mengambil langkah tambahan untuk mendapatkan semula akses.

Mereka boleh mengaktifkan semula akaun mereka melalui dua cara iaitu mengunjungi cawangan bank secara fizikal atau menghubungi unit pengurusan kes bank.

CIMB, CIMB Clicks dan CIMB OCTO

CIMB Bank telah memperkenalkan ciri keselamatan baru yang dinamakan “Lock Clicks ID”, yang berfungsi sebagai “kill switch” untuk perbankan dalam talian.

Ciri inovatif ini membolehkan pelanggan membekukan akaun mereka dengan segera melalui aplikasi CIMB Clicks atau CIMB OCTO apabila mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau jika mereka mengesyaki akaun mereka telah dikompromi.

Apabila “Lock Clicks ID” diaktifkan, ia akan mengambil dua tindakan serta-merta: pertama, pengguna akan dikeluarkan secara automatik dari aplikasi tersebut; kedua, semua transaksi baru akan dihentikan.

Langkah keselamatan ini memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada pelanggan.

Untuk membuka kunci akaun semula, pelanggan perlu menghubungi pusat hubungan CIMB untuk menjalani proses pengesahan tambahan, memastikan hanya pemilik akaun yang sah boleh mendapatkan semula akses.

Agrobank dan AGRONet

Agrobank Malaysia telah memperkenalkan ciri keselamatan “Kill Switch” sebagai langkah proaktif untuk melindungi pelanggan daripada penipuan dalam talian.

Ciri ini memberikan pelanggan kawalan segera terhadap akses akaun mereka, membolehkan mereka menyahaktifkan akses AGRONet secara sementara apabila mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.

Apabila “Kill Switch” diaktifkan, ia mengambil dua tindakan utama iaitu pelanggan akan dikeluarkan serta-merta dari semua sesi yang sedang aktif; dan sistem akan menghalang sebarang percubaan log masuk selanjutnya.

Langkah-langkah ini bertujuan untuk melindungi akaun pelanggan daripada akses tidak sah.

Untuk membuka semula akses ke akaun mereka, pelanggan mempunyai dua pilihan: mereka boleh menghubungi Pusat Perhubungan Agrobank atau melawat mana-mana cawangan Agrobank untuk proses pengesahan dan pengaktifan semula yang selamat.

AmBank dan AmOnline

AmBank menawarkan ciri keselamatan yang dikenali sebagai “Deactivate AmOnline” melalui platform perbankan dalam talian AmOnline.

Ciri ini memberikan pelanggan kawalan segera terhadap keselamatan akaun mereka, membolehkan mereka menyahaktifkan akaun perbankan dalam talian dengan serta-merta apabila mengesyaki aktiviti mencurigakan atau akses yang tidak sah.

Proses pengaktifan ciri ini direka untuk memudahkan penggunaan. Pelanggan hanya perlu klik butang “Deactivate AmOnline” yang tersedia melalui aplikasi atau laman web AmOnline.

Sebaik sahaja diaktifkan, sistem akan menggantung sementara akaun tersebut, menghalang sebarang akses yang tidak dibenarkan dan memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada aset kewangan pelanggan.

APA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KILL SWITCH?

Ada pelbagai kebaikan dan keburukan kill switch dalam konteks keselamatan siber dan perbankan digital yang perlu dipertimbangkan. Antara kebaikan dan keburukan kill switch ada seperti berikut:

Kebaikan Kill Switch

Dari segi kebaikan, kill switch menawarkan perlindungan segera yang membolehkan pengguna atau sistem bertindak dengan cepat apabila mengesan ancaman, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kewangan atau kebocoran data.

Ia juga memberi pengguna kawalan lebih besar terhadap keselamatan akaun pengguna, meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan digital.

Dengan menghentikan akses atau aktiviti dengan segera, kill switch boleh mengurangkan kesan serangan siber atau aktiviti penipuan.

Kewujudan ciri ini juga boleh bertindak sebagai pencegah, menghalang penyerang kerana mereka sedar sistem boleh dimatikan dengan cepat.

Keburukan Kill Switch

Walau bagaimanapun, kill switch juga mempunyai beberapa keburukan dan kelemahan di mana ada risiko penggunaan tidak sengaja di mana pengguna mungkin mengaktifkan kill switch secara tidak sengaja, menyebabkan gangguan yang tidak perlu kepada perkhidmatan.

Proses untuk mengaktifkan semula sistem selepas kill switch digunakan mungkin rumit dan memakan masa, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna.

Terdapat juga potensi eksploitasi di mana penyerang mungkin cuba menggunakan ciri kill switch untuk melancarkan serangan penafian perkhidmatan.

Dalam kes kecemasan, pengguna mungkin kehilangan akses kepada sumber kewangan penting jika kill switch diaktifkan.

Penggunaan meluas kill switch boleh membebani pusat panggilan dan cawangan bank dengan permintaan pengaktifan semula.

Walaupun terdapat beberapa keburukan, kelebihan kill switch melebihi kelemahannya dalam melindungi pengguna dan institusi kewangan daripada ancaman siber yang semakin canggih.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, July 24, 2024

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?

"Siapa yang tentukan cuti hujung minggu hanya dua hari? Kenapa hari bekerja perlu dilalui selama lima hari?" Saya yakin, anda juga tertanya-tanya tentang perkara ini.

Tidak dinafikan kita semua sangat sukakan cuti hujung minggu kerana dapat berehat daripada kehidupan bekerja yang melelahkan.

Kerja 5 Hari Seminggu

Tetapi, sekiranya kita mempunyai kurang daripada lima hari bekerja timbul pula isu lain. Bayangkan, berapa banyak gaji yang diperoleh jika kita hanya kerja selama tiga hari seminggu?

Konsep lima hari bekerja, dua hari cuti ini juga sudah diamalkan selama hampir 100 tahun.

Bagi menjawab soalan siapa yang menentukan konsep ini, kita imbas kembali apa yang tercatat dalam sejarah.

Revolusi Perindustrian

Konsep cuti dua hari pada hujung minggu mula wujud pada awal abad ke-19 selepas Revolusi Perindustrian berlaku. Ketika itu, kilang besar yang mengeluarkan barangan pengguna mula dibangunkan, mengubah ekonomi pertanian tradisional menjadi perindustrian.

Apabila petani tradisional mula bekerja di kilang, ramai yang tidak suka bekerja pada waktu yang ditetapkan. Ini kerana mereka sudah biasa menyusun jadual sendiri di ladang.

Tambahan itu, pemilik kilang juga memaksa mereka bekerja tujuh hari seminggu. Perkara ini menambah kemarahan dalam kalangan petani dan pekerja kilang lain.

Mereka mula merungut dan meminta cuti bagi meluangkan masa bersama keluarga. Aduan ini akhirnya berkembang menjadi mogok buruh yang berlaku di seluruh Amerika Syarikat.

Dalam tempoh mogok itu, ketegangan antara penguat kuasa undang-undang dan buruh yang menunjuk perasaan menyebabkan ramai yang cedera dan kehilangan nyawa.

Perjuangan itu bagaimanapun berbaloi buat para pekerja kerana waktu kerja yang lebih berperikemanusiaan mula dilaksanakan.

Konsep cuti hujung minggu juga didorong amalan beragama para pekerja. Majoriti pekerja yang beragama Kristian menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu hari Ahad.

Kejayaan pekerja Kristian menuntut cuti pada hari Ahad membuatkan pekerja beragama Yahudi – yang juga tidak kurang ramainya di Amerika Syarikat – pula menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu Sabtu.

Tuntutan tersebut menyebabkan beberapa kilang menutup operasi pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad, demi mengelak konflik antara pekerja Kristian dengan Yahudi.

Henry Ford

Pemilik kilang Ford Motor Company yang terkemuka, Henry Ford memainkan peranan yang besar dalam penetapan waktu bekerja lima hari seminggu. Dia antara majikan terawal yang memberi pekerja kilangnya cuti hujung minggu dua hari pada awal abad ke-20.

Henry Ford mengumumkan waktu bekerja 40 jam, lima hari seminggu pada 1926, dengan cuti diberikan pada Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Waktu bekerja baharu itu juga mengurangkan gaji pekerjanya kerana dia menggunakan sistem gaji harian. Kurang hari bekerja bermakna kurang gaji yang dibayar. Namun, ia sebuah kejayaan.

Walaupun mendapat tentangan pemilik kilang lain, Henry Ford membuktikan produktiviti syarikatnya tidak berubah, malah meningkat selepas cuti diberikan pada hujung minggu.

Tambahan lagi, dia juga ada agenda lain. Henry Ford meneruskan inisiatif tersebut kerana dia ingin menjual kereta yang dibuat kepada pekerjanya. Dia menyedari bahawa pekerjanya sendiri adalah antara pelanggan terbaiknya.

Jika ingin menjual lebih banyak kereta, dia memutuskan bahawa pekerjanya memerlukan cuti agar dapat memandu dan menikmati kereta yang dibuat.

Henry Ford juga didorong oleh keinginan untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir. Dia menyedari bahawa menawarkan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan boleh menjadi senjata berkuasa untuk dia merekrut pekerja yang berbakat tinggi.

Dengan inisiatif itu, syarikat Ford Motor Company berjaya memintas pesaingnya dan tumbuh menjadi syarikat permotoran yang maju sehingga hari ini.

Keseimbangan kerja-kehidupan

Pelaksanaan sistem lima hari bekerja dalam seminggu antara revolusi besar dunia pekerjaan yang memihak kepada golongan pekerja.

Ia membolehkan pekerja berehat secukupnya untuk menikmati hidup dengan lebih seimbang, baik untuk bersama keluarga, berekreasi dan menikmati hobi mahupun menjalankan aktiviti agama.

Wawasan Henry Ford yang melihat waktu rehat sebagai cara untuk menambah produktiviti pekerja perlu dicontohi lebih ramai pemilik perniagaan.

Henry Ford membuktikan, mengerah keringat pekerja sampai kering bukan cara yang sihat untuk memajukan perniagaan.

Para pekerja ialah manusia dan manusia memerlukan waktu rehat serta rekreasi untuk berfungsi dengan baik.

Selepas 98 tahun, idea penuh revolusi Henry Ford terus terbukti benar dan relevan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, July 22, 2024

Panduan Dan Cara Semak Keputusan STPM 23 Julai 2024

Panduan Dan Cara Semak Keputusan STPM 23 Julai 2024

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataannya berkata, sebanyak 41,548 calon telah menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2023 yang lalu di 657 buat pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sebanyak 16,387 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan tersebut dan terdapat dua kaedah memeriksa keputusan yang boleh digunakan calon.

Keputusan STPM 2024

Dua kaedah tersebut adalah untuk calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan persendirian individu.

1. Khidmat pesanan ringkas (SMS)

Calon perlu menaip STPMNo Kad PengenalanAngka Giliran dan hantar ke 15888. Sistem itu akan diaktifkan mulai pukul 11 pagi 23 Julai 2024 sehingga pukul 12 tengah hari 30 Julai 2024.

2. Semakan dalam talian

Calon boleh melayari pautan http://stpm/mpm.edu.my/stpmK untuk mendapatkan slip keputusan mulai pukul 11.30 pagi 23 Julai 2024.

Lepasan STPM Harus Lebih Bijak Memilih Langkah Masa Depan

Calon yang berjaya dan memenuhi syarat kelayakan pasti mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mereka memilih untuk mengikuti kursus yang mereka minati di pusat pengajian tinggi.

Ada yang bernasib baik mendapat apa yang dihajati. Ada yang berjaya mendapat tempat tetapi gagal mendapat pusat pengajian tinggi atau kursus yang diharapkan, sebaliknya diberi pilihan lain di luar bidang yang diminati. Tidak kurang pula yang gagal sama sekali.

Namun, 20 IPTA yang ada sekarang tidak dapat menampung ribuan lulusan SPM dan STPM. Jumlah yang layak berkali ganda daripada kekosongan yang ditawarkan sama ada untuk program ijazah pertama, diploma, atau asasi.

Itu pun nasib baik ada program matrikulasi Kementerian Pendidikan. Sebahagian yang diterima belajar di program matrikulasi akan membuka peluang kepada yang lain untuk bersaing kerusi dan tempat di IPTA yang lain.

Tetapi kini ada yang sudah menyedari bahawa selain berteras akademik semata-mata, kursus berteraskan vokasional dan kemahiran adalah alternatif yang boleh memberi jaminan masa depan.

Kerana itu, ramai kini yang lebih berminat menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran, malah menjadikannya pilihan utama.

Justeru, ramai yang memohon memasuki politeknik, institut kemahiran, pusat latihan belia dan lain-lain. Dahulu, tempat-tempat ini mungkin hanya berfungsi sebagai pilihan terakhir tetapi kini persepsi tersebut telah bertukar.

KELEBIHAN KEMAHIRAN

Aspek kemahiran bukan sahaja berguna untuk menyediakan diri dengan keperluan pasaran kerja. Sebaliknya ia juga sangat berguna untuk menyediakan seseorang meneroka kerjaya sendiri, tanpa mengharapkan pekerjaan di pasaran terbuka.

Harus diingat bahawa suasana dunia pekerjaan kini sudah berubah daripada era tahun 70-an dan sebelumnya. Pada era tersebut, peluang kerja mudah dan banyak.

Malah ada pelajar universiti yang sudah menerima tawaran kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian. Ertinya 'kerja mencari orang'.

Dahulu dengan kelulusan SPM atau Malaysian Certificate of Education (MCE) bagi aliran Inggeris, seseorang boleh terus memohon jawatan Inspektor dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) atau Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apabila calon semakin ramai, jawatan semakin mengecil dan saingan semakin sengit serta tahap profesionalisme makin meningkat, kelayakan permohonan sebagai Inspektor dinaikkan kepada STPM atau Higher School Certificate (HSC). Kemudian ditingkatkan kepada Diploma.

Kini kelayakan masuk minimal adalah Ijazah Sarjana Muda yang mana dengannya dahulu seseorang layak terus memohon jawatan Penolong Penguasa Polis (ASP).

Gambaran ini menunjukan persaingan mendapat kerja semakin sengit dan taraf kelayakan untuk sesuatu jawatan semakin meningkat dan terus meningkat.

Ini ditambah dengan hakikat bahawa setiap tahun, ribuan graduan baharu dilahirkan oleh IPT atau institusi pendidikan tinggi lain seperti politeknik serta institut-institut latihan kemahiran.

Sementara ada di antara graduan ini yang mendapat kerja selepas menamatkan pengajian, ramai pula masih menganggur selepas dua tahun selesai konvokesyen.

Malah ada yang lebih lama daripada itu. Pelajar berkemahiran pula dikatakan lebih terbuka peluang mendapat kerja, khususnya untuk jawatan peringkat pertengahan.

Berdasarkan senario inilah pelajar mesti lebih bijak menyusun dan merancang arah tuju selepas tamat persekolahan.

Pendidikan memang penting tetapi memilih bentuk pendidikan yang boleh menjamin kejayaan masa depan tidak kurang pentingya. Justeru pilihlah bidang yang boleh memberi laluan lebih lancar dalam menempa kecemerlangan hidup.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tidak Ada Orang Yang Malas Di Dunia Ini, Yang Ada Hanyalah Orang Yang Terlalu Letih Menghadap Kehidupan

Tidak Ada Orang Yang Malas Di Dunia Ini, Yang Ada Hanyalah Orang Yang Terlalu Letih Menghadap Kehidupan

Saya rasa, saya seorang manusia pemalas. Tahun ini, umur saya 30 tahun. Saya (masih) bangun lambat. Saya suka buang masa. Lebih memburukkan keadaan, saya sukar fokus pada waktu kerja, fikiran mudah melayang. Tahu-tahu sudah pukul 3 petang. Kerja pula belum siap. Jadi, saya simpulkan bahawa saya seorang pemalas. Kalau rajin, sudah tentu kerja boleh siap awal.

Sifat Pemalas

Dulu, saya malas buat kerja sekolah. Kalau cikgu minta salin karangan pada waktu cuti sekolah, saya tidak akan buat walaupun tahu saya akan dimarahi.

Dalam hati, saya lebih sanggup kena jerkah atau kena rotan depan kelas daripada menghabiskan masa cuti sekolah menyalin karangan sebanyak tujuh muka surat.

"Kamu ini pandai tapi kamu malas! Malas buat kerja sekolah," kata cikgu kepada saya. Saya okay sahaja. Saya tahu saya memang malas.

Tetapi, ketika menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya merupakan antara calon cemerlang di sekolah.

Selepas itu, saya berjumpa dengan cikgu Fizik. Katanya, saya rajin. Inilah keputusan yang saya dapat kalau rajin berusaha.

Pada waktu itu, saya rasa pelik. Saya rasa saya malas. Orang lain juga cakap saya malas.

Tetapi, bila saya berjaya, orang kata saya rajin. Mana satu?

Kemalasan adalah satu amaran

Perkataan malas bermaksud tidak mahu berbuat apa-apa, termasuklah bekerja. Tetapi, apa yang membuatkan seseorang itu layak dipanggil pemalas?

Pengarang buku Laziness Does Not Exist, Dr. Devon Price berkata, kemalasan adalah satu penipuan. Oleh itu, tidak ada sesiapa layak dipanggil pemalas.

Menurutnya, kemalasan hanyalah satu idea yang diterapkan dalam minda masyarakat untuk membuatkan kita dan orang lain rasa tidak berguna dan tidak produktif.

Dr. Devon berkata, pemikiran tersebut merupakan satu perangkap. Orang yang berasa dirinya malas selalu akan mencari jalan untuk menjadi lebih produktif dan lebih rajin.

Bagi mereka, kemalasan nampak seperti satu kelemahan yang perlu diperbetul.

Jadi, kita akan minum kopi untuk segarkan badan. Duduk di pejabat sampai malam dengan alasan ingin siapkan kerja. Padahal, apa yang kita perlu hanyalah rehat yang cukup.

Benar, ada orang yang memang pemalas. Ada yang melepak 24 jam di rumah, makan dan tidur. Ada orang yang tidak akan lakukan apa-apa kerja di pejabat; lebih sanggup makan gaji buta.

Dr. Devon berkata, individu sebegini mungkin boleh dipanggil pemalas. Bagaimanapun, Price menyeru agar kita semua melihat kemalasan secara lebih empatetik.

Di sebalik kemalasan yang ditonjolkan, selalunya ada masalah lain yang membelenggu sehinggakan badan dan minda mereka jadi terlalu penat.

Price berkata, sebenarnya tidak ada orang yang malas di dunia ini. Apa yang ada hanyalah orang yang terlalu letih menghadap kehidupan.

Orang yang kita panggil malas itu mungkin bergelut dengan masalah mental. Mungkin juga mereka alami masalah keluarga, sakit atau sebagainya.

Siapa kita untuk panggil orang lain pemalas jika kita tidak tahu masalah sebenar dalam hidup mereka?

Perlu pandai urus kerja

Kemalasan juga sering dikaitkan dengan sikap suka melengah-lengahkan kerja (procrastination). Individu yang tersangkut dalam pusaran ini akan berasa mereka kerap buang masa dan malas buat kerja.

Menurut ahli psikologi, Jenny Yip, dalam sebuah artikel di CNN, ada dua perkara yang membezakan kemalasan dengan sikap suka melengahkan kerja.

"Orang yang malas selalunya tidak ada usaha untuk buat satu-satu kerja. Tetapi, mereka yang melengah-lengahkan kerja pula terbeban dengan keinginan untuk menyiapkan kerja tersebut.

"Kesukaran inilah yang menyebabkan mereka ada masalah untuk memulakan satu-satu tugas. Ini satu perbezaan yang sangat besar," katanya.

Jenny berkata, ada beberapa jenis procrastinator. Contohnya, orang yang inginkan kesempurnaan atau The Perfectionist; The Dreamer — orang yang sukar fokus kerana fikiran mereka mudah melayang dan The Worrier — belum buat apa-apa lagi sudah dibebani kerisauan yang melampau.

Sikap suka melengah-lengahkan kerja ada kesan buruk terhadap kehidupan. Kerja sudah tentulah akan tertangguh. Ini tidak termasuk lagi dengan masalah lain yang mungkin tercetus hanya kerana kita suka tangguh kerja.

Tetapi, sikap ini juga berkait rapat dengan keadaan mental seseorang. Sikap suka melengahkan kerja boleh berlaku disebabkan depresi, kegelisahan, kesunyian atau masalah tidur.

Oleh itu, penting untuk mereka yang gemar melengahkan kerja ini kenal pasti corak kemalasan dalam diri. Beliau berkata, ada sebab mengapa seseorang itu menjadi procrastinator.

"Setelah kenal corak atau punca mengapa kita malas, kita dapat patahkan kitaran tersebut dengan merangka strategi tertentu," katanya.

Apa yang penting, beliau menegaskan, perlu ada mindset tertentu yang boleh membantu kita keluar dari kepompong kemalasan.

Kalau anda percaya anda boleh, maksudnya anda boleh. Jika tidak, anda tidak boleh.

Apa sahaja yang anda percaya, anda betul, katanya.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, June 28, 2024

SBDJ Siri 203: Harimau Menangis

SBDJ Siri 203: Harimau Menangis

Kata-kata yang diluahkan oleh Haji Basiron membuat Andi Kamarool terdiam dan termenung panjang. Matanya merenung ke arah rumah batu. Dia bagaikan mengelamun.

Toyol jadi-jadian

"Ingat cakap aku tu," tambah Haji Basilam.

"Ingat," jawab saya.

Andi Kamarool hanya mengangguk saja.

Haji Basilam masuk ke ruang dapur, entah apa yang dibuatnya, saya pun tidak tahu.

"Andi," saya bersuara sambil menoleh ke arahnya. Tiada sebarang reaksi yang saya terima.

Sesekali dia menarik dan melepaskan nafas bersama keluhan kecil. Melihat keadaan sedemikian, saya tahu Andi Kamarool sedang berperang dengan perasaannya.

"Andi, mari kita duduk di sana," saya mengajukan cadangan dalam usaha menenangkan perasaannya. Andi Kamarool membisu.

"Duduk ditingkap yang menghala ke arah anak bukit, boleh menenangkan perasaan, kita boleh melihat matahari jatuh dan awan yang bermacam warn a," saya mula berkempen.

"Tak payah ajak aku, kamu tengok sendiri."

Jawapan yang amat mengecewakan hati. Dan terpaksa di terima dengan senyum.

Akhirnya, saya sendiri yang berubah tempat, merenung puncak anak bukit dan awan gemawan yang beranika warna. Andi Kamarool terus mengelamun sendirian.

"Hairan, kenapa Mia sendiri tidak beritahu aku."

Saya segera menoleh ke arah Andi Kamarool yang baru sahaja menghentak penumbuk ke lantai. Saya tatap wajahnya penuh rasa simpati

GELORA

SESUNGGUHNYA, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak ada daya saya untuk menenangkan gelora perasaannya. Saya kembali merenung puncak anak bukit dan awan petang. Sayup-sayup terdengar suara tetibau. Biarlah Andi Kamarool mengelamun melayani perasaannya fikir saya.

"Ha! kamu berdua jangan ke mana-mana, aku mahu ke situ sekejap. Sebelum waktu maghrib aku balik," kata Haji Basilam di muka pintu tengah, sebaik saja dia keluar dari ruang dapur.

Tanpa menunggu jawapan dari saya dan Andi Kamarool, Haji Basilam segera turun dari rumah.

Dari jendela yang terdedah, saya melihat Haji Basilam melangkah tenang menuju ke arah halaman rumah batu lama.

Ternyata Haji Basilam tidak mungkir janji. Beberapa minit menjelang waktu maghrib, dia sudah pun berada di rumah lalu menjadi imam sembahyang maghrib.

Kemudian, dilanjutkan dengan pembacaan dan wirid serta sembahyang sunat hingga sampai waktu Isyak.

"Sekarang dah sampai masanya."

Sambil melipat sejadah, Haji Basilam merenung ke arah saya dan Andi Kamarool. Saya segera bangun dan berlari ke tingkap merenung ke arah rumah batu lama.

Para jemaah dari masjid mula datang berduyun ke rumah Mia yang diterangi dengan cahaya lampu.

"Pergi bersiap cepat, jangan sampai orang menunggu kita," Haji Basilam memberi arahan. Tanpa membuang masa kami terus mematuhinya.

"Cantik dan nampak kacak, kamu berdua memang tampan dengan pakaian tradisional. Sama-sama segak, macam anak Raja Melaka," dalam senyum Haji Basilam mengusik kami. Saya dan Andi Kamarool tersenyum.

"Antara saya dengan Andi, siapa yang lebih kacak dan bergaya," saya cuba berjenaka.

Buat beberapa ketika Haji Basilam merenung ke arah saya yang bertanjak dan bersampin dengan sepasang capal dikaki.

"Hummmm..." desis Haji Basilam lemah.

"Bagaimana?" Saya mencelah.

Tiada jawapan dari Haji Basilam tetapi, sepasang anak matanya terus menyorol ke batang tubuh Andi Kamarool dalam tempuh waktu yang agak lama.

KUKU

TANPA mahu meluahkan sebarang komen, Haji Basilam terus memperkemaskan silanya. Dia terus mengigit kuku di ibu jari kanannya.

"Andi lebih kacak dan bergaya, kalau diselitkan keris pendek atau panjang ke pinggangnya, dia nampak lebih hebat lagi."

Pujian yang diberikan oleh Haji Basilam, tidak menimbulkan sebarang reaksi di wajah Andi Kamarool. Dia tetap seperti tadi, nampak bersahaja.

"Nanti aku selitkan keris ke pinggangnya."

Haji Basilam segera menyelitkan keris pendek ke pinggang Andi Kamarool. Entah, dari mana dia memperolehi keris tersebut. Tidak pula saya ketahui.

"Kamu juga hebat Tamar tapi..." Haji Basilam segera menekup mulutnya dengan telapak tangan kanan.

"Kenapa dengan saya Pak aji?"

"Kamu agak rendah. Kamu pendek jika dibandingkan dengan si Andi," sambung Haji Basilam.

Saya ketawa terkikih.

"Kenapa kamu ketawa, Tamar?" Haji Basilam jegilkan sepasang biji mata.

"Terasa lucu pak aji, saya cuma main-main saja, bukannya betul-betul."

"Hei! Kamu ni, aku cakap serius. Andi Kamarool memang kacak dan gagah."

"Saya setuju dengan pendapat pak aji itu. Saya tahu, saya rendah tapi, air muka saya manis," jawab saya tenang.

Seluruh ruang dikuasai dengan deraian ketawa Andi Kamarool dan saya.

"Cukuplah ketawa tu, mari kita pergi," lembut sungguh nada suara Haji Basilam.

Sebaik sahaja ketawa kami berhenti terdengar sesuatu yang aneh. Papan dinding bahagian dapur bagaikan dicakar sesuatu. Dan saya pasti, bukan kucing yang mencakarnya.

"Hissssss..."

Haji Basilam meletakkan jari telunjuk ke bibir. Saya dan Audi Kamarool berpandangan. Hati kami terus berdebar cemas.

Makin lama, makin kuat papan di dinding dicakar. Kami terus diam membisu. Hampir sepuluh minit kejadian itu berlaku dan bunyi cakaran yang kuat mula beransur perlahan dan akhirnya, hilang terus. Suasana cemas kembali tenang.

"Apa binatang yang mencakar dinding rumah pak aji," saya mengajukan pertanyaan pada Haji Basilam.

"Aku fikir kamu sendiri dapat mencari jawapannya."

"Berdasarkan daripada bunyinya, tak mungkin kucing."

"Saya tahu, apa binatangnya..." celah Andi Kamarool.

"Saya juga tahu," sahut saya.

"Kalau sudah tahu jangan banyak cerita, simpan dalam hati sendiri. Perkara begini, perkara biasa bagi aku, bunyinya bagaikan mahu tercabut papan dinding, sebenarnya bila dilihat tak ada sebarang kesan pun," Haji Basilam meluahkan pengalaman yang pernah dialaminya untuk saya dan Andi Kamarool.

SELUAR

HAJI Basilam memakai baju dan seluar berwarna kelabu, sampinnya dari kain pelekat samarinda. Mengenakan songkok putih bersih di kepala.

Teringin juga mahu mengusiknya tetapi, bila melihat wajahnya serius semacam, saya tidak berani mengusiknya. Silap usik, nanti dapat tengking herdik darinya.

"Andi, Tamar man."

Haji Basilam memulakan langkah dan kami segera mengekorinya.

Sambil melangkah, saya segera terfikir, kenapa saya dan Andi Kamarool harus patuh dengan cakap Haji Basilam yang memang terasa anih dan ganjil.

Apakah Haji Basilam mahu mempermain-mainkan kami berdua? Mana mungkin saya atau Andi Kamarool mahu diijabkabulkan dengan Mia. Macam-macam yang muncul dalam kepala saya.

"Berhenti dulu."

Tangan kanan Haji Basilam jatuh atas bahu Andi Kamarool, sementara tangan kanannya pula jatuh ke atas bahu saya. Langkah kami (saya dan Andi Kamarool) terhenti.

"Ada apa pak aji?" soal saya mendadak.

"Kamu berdua, lunggu di sini dulu. Biar aku jumpa datuk si Tamar dan abang si Mia," jelas Haji Basilam sambil sepasang matanya menatap waiah saya dan Andi Kamarool.

"Baiklah, pak aji," jawab kami serentak sambil menganggukkan kepala.

"Aku pergi dulu."

"Silakan pak aji, jangan tinggalkan kami lama-lama di bawah pokok besar ni, kami bimbang," Andi Kamarool melahirkan kebimbangannya.

"Aku faham," Haji Basilam pun segera bergerak meninggalkan kami.

Cuaca malam itu amat baik sekali. Langit kelihatan cerah dengan bintang bertaburan. Angin bertiup lembut mengerakkan dedaun di hujung ranting.

Dari bawah pokok besar saya dapat melihat dengan jelas lelaki, perempuan dan kanak-kanak tidak putus-putus mendatangi rumah Mia yang bermandikan cahaya lampu beranika wama.

Suasana di rumah batu itu memang nampak sibuk penuh dengan keriangan. Andi Kamarool segera mendekati saya.

“Tamar."

"Kenapa Andi?"

"Kita berada di bawah pokok bunga tanjung."

MEREMANG

"HAAAA...," saya tercenggang lalu mendonggakkan muka ke arah pokok besar. Dengan serta merta bulu roma meremang. Andi Kamarool nampak resah semacam.

Saya menarik nafas lega, bila melihat batang tubuh Haji Basilam datang ke arah pokok bunga tanjung.

Haji Basilam ditemani oleh sekumpulan anak-anak muda yang usianya tidak jauh berbeza dengan usia saya dan Andi Kamarool.

"Siapa pula yang dibawanya tu, Tamar."

"Entah, aku pun tak tahu."

Kami terus menanti kedatangan mereka. Anak-anak muda yang mengiringi Haji Basilam memakai baju melayu tradisional. Lengkap dengan songkok hitam serta bersampin.

Saya segera menghitung jumlah anak muda yang mengekori Haji Basilam. Semuanya berjumlah enam orang.

Empat daripada mereka membawa kompang. Manakala yang seorang lagi tidak membawa kompang. Di dadanya terselit bunga kertas. Barangkali, dia adalah ketua kumpulan kompang, fikir saya dalam hati.

Haji Basilam dan kumpulan anak muda itu sampai di bawah pokok bunga tanjung. Saya dan Andi Kamarool diperkenalkan dengan kumpulan anak muda tersebut.

"Ini yang memakai bunga kertas, ketua kumpulan namanya Azam," orang terakhir yang diperkenalkan oleh Haji Basilam tersenyum.

Dengan ramah dan mesra dia menyambut huluran tangan saya dan Andi Kamarool.

"Andi, kamu melangkah empat tapak ke depan."

Arahan Haji Basilam segera ditunaikan oleh Andi Kamarool.

"Kamu berdiri di kanannya," kata Haji Basilam kepada ketua kumpulan kompang. Cakap Haji Basilam segera dipatuhi.

"Kamu Tamar."

Sepasang anak mata Haji Basilam merauti seluruh wajah saya.

"Ada apa Pak Aji?".

"Kamu berrdiri sebelah kiri Andi."

"Haaaa.... begitu pula," saya pura-pura terkejut. Perintahnya tetap saya laksanakan.

RENUNG

HAJI Basilam segera berdiri di hadapan kami. Renung kiri, renung kanan sambil mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu. Dongakkan muka ke arah pokok bunga tanjung lalu menghembuskan nafas yang keras ke langit.

"Aku harap semuanya bagus belaka, niat kamu baik," ujar Haji Basilam dalam nada suara yang amat perlahan. Walaupun begitu, gegendang telinga masih menangkap tutur katanya.

"Sekarang mulakan."

Haji Basilam segera mengangkat tangan kirinya melepasi kepala, memberi isyarat kepada kumpulan kompang yang berada di belakang kami.

Dengan serta merta pukulan kompang bergema memecah kesepian malam. Beberapa orang lelaki yang berada di halaman rumah Mia, segera datang ke arah kami.

Dengan kedatangan kumpulan lelaki yang membawa lampu gasolin menjadikan langkah perjalanan kami bertambah mudah. Tidak semata-mata mengharapkan cahaya lampu dari rumah Mia yang tidak seberapa itu. Bunyi pukulan kompang terus bergema.

Entah mengapa, ditengah-tengah suara pukulan kompang yang tingkah meningkah itu, hati kecil saya segera membuat rumusan, apa yang berlaku sekarang, memang sudah dirancang terlebih dahulu oleh abang Mia, Haji Basilam, datuk saya dan Mia sendiri. Dan perkara itu sengaja dirahsiakan dari pengetahuan kami berdua (saya dan Andi Kamarool).

Sebaik sahaja rombongan yang diketuai oleh Haji Basilam sampai ke kawasan bucu rumah batu, kami segera disambut dengan letupan mercun, bunga rampai berterbangan diudara sebelum singgah ditanjak dan badan. Kami pun melepasi pintu rumah Mia yang dihias cantik.

Semua persoalan dan keraguan yang bergolak dalam dada terjawab dengan sendirinya, bila Andi Kamarool disuruh duduk atas permaidani khas berhadapan dengan seorang lelaki yang memakai serban besar.

Perlahan-lahan saya menarik nafas. Kenyataan perit ini terpaksa dilalui. Andi Kamarool adalah pilihan Mia. Bukan saya.

Bagaikan mahu menitis air mata di hamparan permaidani biru, bila melihat Andi Kamarool diijabkabulkan dengan Mia oleh kadi dengan disaksikan oleh abangnya, Haji Basilam dan datuk serta tetamu yang hadir.

HARIMAU

SELESAI sahaja upacara ijabkabul, para tetamu yang datang dikejutkan dengan suara ngauman harimau di kaki bukit.

Tidak lama berselang seekor harimau besar berkaki untut yang berjalan tempang, mundar-mandir di halaman rumah batu dua tiga kali, sebelum duduk mencangkung didepan pintu merenung lembut ke arah Andi Kamarool dan para tetamu yang berada di dalam rumah.

"Jangan menjerit, jangan takut," abang Mia segera berdiri didepan pintu besar sambil mengurut-urut kepala harimau itu dengan telapak tangannya.

"Dia sekadar datang mahu melihat anak cucunya dan orang-orang kampung," kata abang Mia lagi.

Saya lihat datuk tenang, begitu juga dengan Haji Basilam. Mereka bagaikan tidak kisah dengan kedatangan harimau besar berkaki untut berjalan tempang.

Secara mengejut Mia muncul di ruang tamu dengan pakaian pengantin. Dia terus menemui abangnya, mereka berbisik sesuatu. Abangnya mengangguk. Mia masuk ke ruang tengah lalu menuju ke ruang dapur.

Mia datang semula ke muka pintu membawa batil (bekas) tembaga yang berisikan bertih rendang.

"Berapa yang mahu kamu berikan padanya Mia?"

"Biasanya tujuh biji bang."

"Uruskan," Abang Mia kembali duduk di tempatnya.

Harimau besar berkaki untut dengan manja sekali mengesel-geselkan kepalanya ke badan Mia. Bila harimau itu mengangakan mulut sambil menjulurkan lidahnya, satu demi satu Mia meletakkan bertih atas lidah harimau tersebut. Dalam sekelip mata bertih dilidah terus hilang ke perut.

"Cukup, jangan datang lagi, kamu dah kenyang," tutur Mia lembut ke telinga harimau. Bagaikan faham dengan apa yang diungkapkan oleh Mia, harimau itu mengaum manja.

"Saya bahagia dengan orang yang saya pilih," tambah Mia lagi.

Harimau itu mengaum. Dari kelopak mata harimau itu mengalir air jernih. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya lalu meninggalkan Mia.

HILANG

RASA cemas dan takut dihati para tetamu mula hilang. Jamuan pun diberikan pada tetamu yang diundang sambil makan mereka dihiburkan dengan petikan gambus, tarian ghazal dan zapin disamping pertunjukkan dabus yang khabarnya dibawa khas oleh abang Mia dari Deli (Medan) dan Acheh.

Malam itu, orang kampung bagaikan berpesta. Harimau liar tetap menjaga setiap penjuru halaman rumah.

Sesungguhnya, makin rancak bunyi irama gambus, makin pedih derita hati yang saya tanggung. Gadis yang menjadi idaman dan disenangi menjadi milik kawan karib.

Semoga, kamu hidup bahagia Andi. Jangan kau persiakan Mia. Andainya, kau tidak menginginkannya lagi, aku bersedia mengantikan tempat kamu Andi. Kalbu saya terus menjerit memilu.

Tetapi, bila saya menyedari bahawa diri saya bukan keturunan manusia harimau dengan sendiri hasrat hati mahu memiliki Mia luntur sendiri.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 203/284

BACA: SBDJ Siri 202: Perempuan Berekor Harimau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, June 14, 2024

Hadis-hadis Sahih Kemunculan al-Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah

Hadis-hadis Sahih Kemunculan al-Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah

Berkata guru kami Fadhilat al-Syaikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad hafizahullah: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi).

Hadis-hadis Sahih Kemunculan al-Mahdi

Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama.

Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman.

Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.

Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:

1. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku." Riwayat al-Tirmizi (2230) (Beliau berkata: Hasan Sahih)

2. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman." Riwayat Abu Dawud (4282)

3. Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." Riwayat Abu Dawud (4285)

4. Dari Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah." Riwayat Abu Dawud (4284)

5. Dari Saidina Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dari kalangan kami - ahli bait - yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam." Riwayat Ibn Majah (4085)

Kata al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: "Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya." Lihat Al-Nihayah fil Fitan wal Malahim (1/29).

6. Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi." Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)

Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam.

Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya.

Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama.

Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.

Kata Samahah al-Syaikh Abd Al-Aziz bin Abd Allah bin Baaz Rahimahullah: "Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia.

Kelahiran Al-Mahdi

Para Ulama telah berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam Mahdi kepada beberapa pendapat. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib.

Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anh bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Tanda-Tanda Al-Mahdi

Berikut merupakan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi:
  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa a.s. dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Sifat-Sifat Keperibadian Imam Al-Mahdi

Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi A.S adalah seperti berikut:
  • Beliau merupan seorang anak Adam.
  • Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  • Kedua-dua matanya bercelak.
  • Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  • Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
  • Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  • Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  • Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.

Waktu Keluarnya Imam al-Mahdi

Di dalam kitab al-Fitan wal- Malahim, al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa a.s.

Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Isa bin Maryam SAW turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini." Riwayat Muslim (247)

Beberapa Pendapat Tentang Imam Mahdi

Di dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:

Pendapat pertama

Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesama mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan.

Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.

Berkata al-Allamah Ibn Khaldun: "Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya."

Pendapat kedua

Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.

Beberapa Contoh Individu Yang Pernah Mendakwa Mereka Adalah Al-Mahdi

Dalam sejarah Islam, telah terlalu banyak golongan pembohong yang mendakwa mereka adalah Al-Mahdi al-Munthazar (yang dinantikan).

Justeru, tidak pelik jika terdapat mana-mana individu dari seberang atau dari negara kita sendiri yang mengeluarkan dakwaan seperti ini.

Di antara individu yang membuat dakwaan batil tersebut adalah:

1. Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah

Lahir pada tahun 259 H dan meninggal pada tahun 322 H. Datuknya merupakan seorang Yahudi yang dinisbahkan kepada keluarga Majusi.

Dinisbahkan secara palsu dan jahat bahawa mereka dari keturunan Rasulullah SAW.

Mereka adalah pembesar Rafidhah al-Qaramithah al-Bathiniyah yang memusuhi agama yang berselindung di sebalik penisbahan kepada keluarga Rasulullah. Dia juga merupakan pengasas Daulah Fathimiyah.

2. Muhammad bin Tumart

Lahir pada tahun 485 H dan meninggal dunia pada tahun 524 H. Seorang lelaki munafik lagi pembohong. Dia membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Dia juga merupakan seorang yang sangat zalim.

3. Mahdi kelompok Kaisan

Mereka menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Dia dikatakan sedang hidup dan bermukim di bukit Radhwa. Dia juga dikatakan berada di tengah-tengah dua ekor singa yang menjaganya.

Malangnya, ada juga umat Islam di nusantara ini yang mengaku sebagai Imam Mahdi.

Fatwa Institusi Agama Di Malaysia Tentang Dakwaan Sebagai Imam Mahdi

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan.

Antaranya ialah: Mendakwa sebagai Imam Mahdi.

2. Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai ajaran sesat, seperti dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani, Al-Arqam atau Rufaqa dan juga kelompok Syiah yang mengatakan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, June 05, 2024

SBDJ Siri 202: Perempuan Berekor Harimau

SBDJ Siri 202: Perempuan Berekor Harimau

Sebuah kereta warna hitam masuk ke kawasan rumah balu lama dan berbenti di depan pintu. Seorang lelaki berbadan tegap, tingginya hampir enam kaki. Berkulit merah dengan rambut berombak disikat lurus ke belakang. Sekali pandang macam orang Belanda.

Toyol jadi-jadian

Mia dan Haji Basilam segera menyambutnya. Mereka beriringan masuk ke ruang tamu. Datuk diperkenalkan oleh Haji Basilam dan Mia kepada lelaki tersebut. Mia beredar ke niang dapur. Tinggallah Haji Basilam, lelaki gagah dan datuk di situ. Mereka bercakap dan berbincang dengan serius.

Setengah jam kemudian, Haji Basilam keluar dari ruang tamu terus ke tempat basikal. Saya berlari ke arahnya.

"Mahu ke mana naik basikal ni?" Tanya saya.

"Aku nak jemput orang kampung berdekatan. Lepas Isyak nak ada kenduri sikit."

"Siapa yang datang tadi," saya menyoal.

"Itulah abang si Mia."

"Abang Mia?" ulang saya dengan rasa terkejut.

"Kenapa terperanjat? Usah banyak cerita. Bagi tahu Andi perkara ini, kamu berdua kena pakai kemas sikit."

"Baik pak aji."

Haji Basilam dorong basikal kemudian melompal ke atasnyu. Dan basikal pun dikayuh menghala ke kampung berhampiran. Sebaik sahaja Haji Basilam hilang dari pandangan saya, Mia keluar dari pintu dapur.

"Mahu ke mana Mia?" tanya saya sebaik sahaja dia melintas di depan saya.

"Mahu menjemput Haji Simpul datang ke rumah malam ni, ada kenduri aku juga nak pergi ke rumah Kak Sun," Mia meneruskan langkah yang terhenti.

Sejam kemudian, Mia kembali bersama Kak Sun dan beberapa orang wanita. Tidak lama selepas itu Haji Basilam pula balik. Dan keluar semula bersama datuk dan abang Mia dengan kereta berwarna hitam.

Saya tidak mahu ambil tahu ke mana mereka pergi. Itu bukan urusan saya. Tugas yang dibebankan oleh Haji Basilam pada saya ialah untuk mencari Andi Kamarool. Tugas itu masih belum saya laksanakan. Malah rasanya mahu menyusuri tepi bukit mencari Andi Kamarool.

Dengan rasa separuh hati, saya melangkah menuju ke arah kaki bukit. Kira-kira lima belas minit meninggalkan pokok bunga tanjung dan bangku antik, saya terserempak dengan Andi Kamarool yang terbaring di tepi busut jantan. Nafasnya, tercunggap-cunggap dan badannya dibasahi peluh.

Andi Kamarool bagaikan tidak nampak batang tubuh saya yang berdiri tegak dihadapannya.

"Andi," sergah saya.

Andi tidak menunjukkan sebarang reaksi. Walaupun sepasang biji matanya menyorot muka saya.

"Andi," jerit saya sambil mengoncang-goncangkan bahunya.

"Ahh..."

LETIH

ANDI Kamarool seperti tersintak. Renung kiri, renung dengan wajah yang cemas dan takut-takut. Tiba-tiba dia melompat dan membuka silat. Saya diserangnya bertalu-talu. Berpeluh-peluh dibuatnya. Terpaksa melompat, meniarap dan ada ketikanya melompat tinggi.

Saya terpaksa bertindak demikian, kalau tidak berusaha mengelak. Pasti tubuh saya dihentak dengan penumbuk, ditendang atau ditampar. Mengelak dan bertahan tanpa bertindak balas, adalah cara terbaik menghadapi Andi Kamarool yang saya kira sudah dipengaruhi oleh sesuatu yang luar biasa.

Cara yang saya buat, berjaya meletihkan Andi Kamarool. Kekuatannya mula berkurangan Kalau tadi sinar matanya lembut, kini nampak garang dan merah. Urat-urat dileher bagaikan menonjol. Daging pipinya bagikan tersembul. Nafas yang dihembus, macam nafas kerbau jantan. Andi Kamarool rebah tersandar dibusut jantan.

Sebelum menyentuh bahunya semula, kedua belah telapak tangan saya gosok berkali-kali hingga terasa panas sambil membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas tujuh kali berturut-turut.

Dengan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah yang Maha Besar, bahu Andi Kamarool saya tampar.

Dengan sekali tampar, Andi Kamarool terkulai rebah. Tidak sedarkan diri buat seketika.

Tidak lama berselang, sepasang kaki dan tangannya bergerak-gerak, tersintak-sintak macam ditarik sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Saya terkejut, bila melihat semacam asap nipis keluar dari celah kuku jari tangan dan kaki.

Lebih daripada sepuluh minit kaki dan tangan Andi Kamarool tersentap-sentap. Daripada kerap beransur kurang dan akhirnya berhenti kaku. Asap yang keluar dari celah-celah jari kuku tangan dan kaki juga beransur hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya lenyap terus.

Perlahan-lahan Andi Kamarool duduk, renung kaki renung kanan. Dengan rasa terkejut anak matanya menatap muka saya dengan rasa hairan. Dia mula senyum dan saya dapat merasakan senyuman itu adalah senyuman yang sebenar. Rasa bimbang dan takut segera hilang dari hati.

"Aku di mana Tamar?"

"Cuba kamu fikir sendiri, kamu berada di mana?"

Saya pula mengajukan pertanyaan sambil ketawa kecil. Lucu sekali seorang kawan tidak tahu di mana dia berada. Pada hal sebelumnya, dia sendiri yang memilih tempat ini.

"Iya, nanti aku fikir dulu Tamar."

Andi Kamarool terus berdiri sambil mengaru-garu pangkal lehernya. Mundar-mandir didepan busut jantan sambil berfikir sesuatu.

"Iya aku ingat sekarang Tamar."

"Apa yang kamu ingat Andi?" tanya saya.

"Dari tepi jalan, aku mendengar suara burung merbuk, aku cari hingga sampai ke tebing sungai. Akhirnya aku dapat melihatnya rupanya. Burung merbuk itu sungguh luar biasa bentuk badannya, berbeza dengan merbuk biasa, entah macamana burung itu hilang daripada pandangan aku."

Andi Kamarool kerutkan dahi. Wajahnya, nampak cemas dan dia jadi resah tidak menentu. Gerak-geri yang diperlihatkan membuat saya tidak senang hati.

"Kenapa Andi?"

"Kita balik, ubah tempat atau bercerita, sambil berjalan."

"Kenapa pula?"

"Marilah."

TUNGGUL

TIADA pilihan bagi saya, melainkan memenuhi permintaannya. Dan tempat yang dipilih oleh Andi Kamarool untuk menyambung ceritanya ialah sebuah kawasan lapang yang dipenuhi dengan tunggul-tunggul kayu dan bebatu besar yang boleh dijadikan tempat duduk.

Di sekeliling kawasan tanah lapang ditumbuhi pepokok renik setinggi paras lutut. Di sudut tanah lapang pula terdapat rumpun buluh kuning yang diselang-seli dengan pokok petai cina. Suasana sekitar terasa aman dan lapang. Angin bertiup lembut terasa menyentuh kulit pipi.

Sebaik sahaja saya duduk di salah sebuah batu, hidung saya menghidu bau hamis, pepokok renik berdekatan dengan rumpun buluh kuning bergerak hebat macam dirempuh sesuatu. Burung murai berkicau hebat, macam diganggu sesuatu.

"Andi," kata saya lemah.

"Ada apa Tamar," Andi Kamarool menoleh ke arah saya.

"Aku tercium bau harimau," itu yang saya bisikkan ke telinga Andi Kamarool.

Wajahnya nampak berubah, jadi pucat.

"Kita balik saja Tamar," cepat benar Andi Kamarool membuat keputusan.

"Terpulang, aku mengikut saja Andi," sahut saya lemah.

"Mari," katanya.

Saya pun mengekori langkah tetapi, setelah melintasi pokok besar yang berdaun lebat, kami mula melangkah bersaingan.

Semasa itulah, Andi Kamarool menyambung kembali cerita yang terputus.

Kata Andi Kamarool, walaupun burung itu hilang dari pandangannya tetapi, suara burung merbuk yang memikat hatinya masih dapat didengarnya Andi Kamarool terus mencarinya.

Semasa bergerak dari pokok ke pokok dan adakalanya terpaksa membongkok menyusup dibawah-bawah rimbunan rumpun buluh dan melangkah di antara batang-batang kelubi yang patah bagi mengelakkan telapak kaki memijak durinya.

Dan pada masa itu juga suara burung merbuk tidak segalak tadi berbunyi. Andi Kamarool segera berfikir, mesti ada sesuatu yang mcnganggu burung tersebut.

Disaat dia melayani fikirannya, bahunya diciut seseorang dari belakang. Secepat kilat Andi Kamarool menoleh. Dia tidak melihat apa-apa pun. Perhatian ditumpukan kembali kepada burung merbuk.

JANTINA

BAHU Andi Kamarool diculik untuk kali yang kedua dan kali ini dia menoleh ke kanan (tidak ke belakang), ada bebayang manusia menyelinap dan dengan serta merta Andi Kamarool menoleh ke kiri.

Dilihatnya ada manusia berdiri yang sukar ditentukan jantinanya. Seluruh tubuh manusia itu dibalut dengan kain berjalur yang menyerupai belang harimau.

"Siapa kamu? Manusia atau syaitan?" Tanya Andi Kamarool.

Tiada jawapan yang diterimanya. Andi Kamarool bertambah resah.

"Siapa kamu?" Ulang lagi.

Hasilnya, tetap macam tadi.

Tetapi, kali ini ekor mata Andi Kamarool dapat mengesan ada sesuatu yang bergerak dalam kain berjalur, terutama di bahagian belakang.

Dan seluruh perhatiannya ditumpukan ke arah tersebut. Entah macam mana, benda yang bergerak dalam kain berjalur itu terkeluar. Dan Andi Kamarool yakin, apa yang dilihatnya adalah seekor harimau.

Rasa cemas dan takut mula menguasai hatinya. Macam-macam perkara buruk terbayang dalam kotak fikirannya. Dia kesal dengan dirinya.

Kalaulah aku tidak asyik dengan bunyi dan burung merbuk itu, pasti aku tidak berhadapan dengan masalah ini, fikir Andi Kamarool.

"Tadi kamu tanya siapa aku?" suara dari dalam kain berjalur menendang gegendang telinga Andi Kamarool. Dia bertambah panik.

"lya," suara Andi Kamarool mengeletar.

"Jangan tanya siapa aku, jangan ambil tahu siapa aku faham."

"Faham." balas Andi Kamarool.

"Kamu bakal menjadi suami kepada cicit aku, jagalah dia baik-baik dan jangan kamu khianati dirinya," datang lagi suara dari dalam kain berjalur harimau. Andi Kamarool terpaku diam.

"Aku yakin, kamu lelaki yang baik dan boleh menjaganya serta hidup bahagia. Antara kamu dengannya masih ada keturunan. Tidak akan berlaku sebarang sengketa, aku doakan kamu berdua hidup bahagia." datang lagi suara dari dalam kain beijalur.

LEMBAGA

ANDI Kamarool mengigit bibir dan hatinya bertanya, bagaimanakah rupanya manusia yang membalut tubuhnya dengan kain tebal berjalur ini?

Tiba-tiba kain berbelang yang menyelimuti lembaga dihadapan Andi Kamarool jatuh perlahan-lahan ke bumi.

Andi Kamarool berhadapan dengan seorang perempuan tua, bongkok tiga. Sebatang tongkat daripada buluh kuning berada di tangan kirinya. Rambut putih yang panjang sampai ke paras pinggang menutup wajahnya.

Dari celah-celah juntaian rambut, Andi Kamarool dapat melihat sinar matanya berkilau-kilau kemerahan. Bila perempuan tua itu menggelengkan kepalanya ke kiri atau ke kanan, rambut yang menutup mukanya turut bergerak.

Dan Andi Kamarool dapat mengesan wajahnya yang menyerupai muka harimau. Badannya seperti manusia biasa dan ekor yang terjalur dipunggung adalah ekor harimau.

Dalam sekelip mata sahaja Andi Kamarool mendapati dirinya dikelilingi oleh sekumpulan harimau. Semuanya mengangakan mulut, mempamirkan lidah yang merah dan gigi yang tajam.

Badan Andi Kamarool mengeletar, kematian terbayang di mata. Tidak dapat digambarkan bagaimana sakitnya bila daging tubuhnya berpisah dari tulang-temulangnya akibat disiat-siat oleh gigi kumpulan harimau yang mengelilinginya.

Seluruh anggota sendi Andi Kamarool terasa lemah dan longgar. Pandangannya mula berpinar-pinar. Andi Kamarool rebah di tanah.

Beberapa detik berikutnya, dia merasakan tubuhnya diusung ke kawasan padang yang luas sebelum memasuki ke ruang sebuah istana besar dan luas, lalu dihidangkan dengan makanan yang sedap serta lazat.

Sambil menikmati juadah. Andi Kamarool dihiburkan dengan tarian dan nyanyian merdu. Pukulan gendangnya bagaikan mahu memecahkan anak telinga.

Andi Kamarool diarak ke satu sudut istana di mana sudah tersedia sebuah pelamin. Andi Kamarool disuruh duduk atas pelamin tersebut.

"Tiba-tiba aku rasakan seperti ada sesuatu yang mengoyang-goyangkan badan aku dengan kasar sekali, bila aku bukakan mata, aku lihat kamu tertonggok di depan aku," tutur Andi Kamarool tenang.

Dia sudah menceritakan pengalaman singkat yang dialaminya semasa pengsan. Meskipun singkat tetapi, amat mencemaskan. Aneh dan pelik.

Kami terus melangkah melepasi sempadan kawasan kaki bukit menuju ke arah rumah batu lama. Sebelum memasuki kawasan rumah khas yang disediakan kami terpaksa melintasi bahagian hadapan halaman rumah batu lama.

"Kenapa nampak sibuk di rumah Mia, Tamar."

Andi Kamarool berhenti melangkah di sudut halaman. Sepasang anak matanya tertumpu ke arah rumah batu lama yang kelihatan sibuk dengan orang keluar masuk rumah.

"Abang Mia nak adakan kenduri," kata saya sambil memulakan langkah yang terhenti seketika.

"Tadi aku jumpa Mia, dia tak cerita pula tentang abangnya. Setahu aku abang Mia tak ada di sini. Kenduri apa Tamar."

"Kenduri apa, aku tak tahu. Untuk pengetahuan kamu Andi, abang Mia memang ada di sini, sebelum aku mencari kamu tadi, aku sendiri tengok abangnya balik."

"Mustahil kamu tak tahu kenduri apa Tamar?"

"Sumpah, aku memang tidak tahu. Cuma Haji Basilam kata...."

"Dia kata apa Tamar?" Dengan pantas Andi Kamarool memotong.

"Dia mewakili diri Mia, menjemput kita makan kenduri. Haji Basilam surah kita memakai baju cantik," saya memberikan penjelasan.

JELAS

ANDI Kamarool terdiam. Kening dan dahinya berkedut, macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Agaknya, Mia dah nikah," tutur Andi Kamarool spontan. Wajahnya nampak gusar sekali. Dan kami pun sampai ke kaki tangga rumah penginapan khas.

"Kalau Mia kahwin, melepaslah aku, manalah nak cari gadis secantik dia," saya berjenaka. Andi Kamarool membisu tidak meluahkan sebarang komentar.

Tetapi, apa yang jelas, Andi Kamarool tidak dapat menyembunyikan rasa resah dan cemas yang bergolak dalam hatinya.

"Aku cuma bergurau saja Andi, aku tahu kamu sayangkan Mia,"saya menambah.

Seperti tadi juga, Andi Kamarool tidak memberikan sebarang reaksi. Fikirannya melayang jauh entah ke mana. Sukar untuk saya duga.

Bila sudah begini keadaannya, biarkan sahaja Andi Kamarool dengan masalahnya, fikir saya.

Serentak kami masuk ke rumah. Masing-masing segera membersihkan tubuh. Saya yakin, dalam jangka waktu, tidak kurang daripada sepuluh minit seluruh kawasan kampung akan beransur gelap maghrib akan menghadirkan diri.

Haji Basilam muncul di muka pintu. Kami sambut dengan senyum dan dibalas dengan senyum. Haji Basilam dibangku menghadap meja bulat.

"Apa yang berbungkus tu?" Tanya saya, sebaik sahaja dia meletakkan bungkusan empat segai atas meja.

PERSOALAN

"PAKAIAN baju Melayu untuk kamu berdua, aku pinjam. Cuba kamu pakai, aku nak tengok sesuai atau tidak. Kalau tak sesuai aku pinjam yang lain," Haji Basilam membuka bungkusan, dia pasangan baju dan seluar warna merah jambu, lengkap dengan sampin dan tajak terlambak atas meja bulat

"Cuba pakai," katanya.

Dan cakapnya segera kami patuhi. Bagaikan diukur, bagaikan disukat pakaian dibadan kami memang sesuai.

"Buka dan simpan balik," perintah Haji Basilam kami patuhi.

Ada persoalan bermain dalam rongga dada. Kenapa saya disuruh memakai pakaian Melayu Tradisional yang serba lengkap.

Andainya, Andi Kamarool yang dijodohkan, biarlah dia seorang sahaja yang memakainya? Apa tujuan Haji Basilam menyuruh saya memakainya. Sungguh ganjil dan membinggungkan.

Malangnya, apa yang menjadi persoalan. tidak pula menjadi seketul pertanyaan untuk diajukan kepada Haji Basilam yang masih tertonggok di hadapan saya.

Andi Kamarool masih termenung panjang, sekali-sekala merenung ke arah rumah balu lama yang nampak agak sibuk. Orang sering sahaja keluar masuk. macam ada sesuatu perkara yang besar akan berlaku.

"Kita pergi ke rumah Mia selepas sembahyang Isyak, maksud aku, bila, orang masjid tiba, kita pergilah. Abang Mia mahu mengadakan kenduri kesyukuran. Dia mahu kamu berdua berpakaian cantik dan kemas," satu penerangan ringkas yang membuat hati saya berdebar.

Saya kira, Andi Kamarool juga mengalami seperti apa yang saya alami.

"Datuk si Tamar macam mana?" Andi Kamarool bertanya.

"Dia ikut orang masjid, kita berjemaah maghrib dan Isyak di rumah."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 202/284

BACA: SBDJ Siri 201: Tak Dapat Kawal Perasaan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, May 21, 2024

Benarkah Orang Yang Syahid Tidak Merasakan Sakit Mati?

Benarkah Orang Yang Syahid Tidak Merasakan Sakit Mati?

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Seorang yang mati syahid tidak mendapati rasa sakit dibunuh melainkan sepertimana seseorang daripada kamu merasai rasa qarsah." (hadis ini dinilai Sahih oleh al-Tirmizi, al-Suyuthi, Ahmad Syakir dan al-Albani)

Kesakitan Mati Syahid

Qarsah ialah rasa dicubit berdasarkan pengertian yang diberikan di dalam al-Qamus al-Muhith yang menyebut: أخْذُكَ لَحْمَ الإِنْسَانِ بإصْبعَيْكَ حتى تُؤْلِمَهُ yang bermaksud: "Kamu mengambil daging seseorang dengan dua jari kamu sehingga menyakitkannya." Ada juga ulama yang mengatakan ia seperti gigitan semut.

Ibn Hibban di dalam kitabnya menyenaraikan hadis ini di bawah tajuk: ذِكْرُ وَصْفِ مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ أَلَمِ الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا "Sebutan sifat apa yang diperolehi oleh seseorang syahid dari kesakitan terbunuh di jalan Allah Jalla wa 'Ala."

Perletakan bab oleh Ibn Hibban ini menunjukkan keistimewaan ini diperolehi oleh mereka yang syahid terbunuh di dalam jihad fisabilillah sahaja, tidak merangkumi semua jenis mati syahid.

Kelebihan Mati Syahid Di Medan Peperangan

Malaikat khas akan didatangkan untuk mensyahidkan (menyaksikan) mereka yang mati syahid di medan peperangan. Mati syahid yang besar ialah mereka yang terbunuh dalam pertempuran di medan peperangan kerana mendaulatkan Islam, menegakkan perintah atau hukum Allah dan mempertahankan negeri Islam daripada serangan musuh.

Mereka Tidak Mati

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Ali-Imran:169)

Dalam mazhab Syafie, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyangkan jenazah mereka kerana segala dosa mereka telah gugur (dihapuskan).

Dalam mazhab Hanbali pula, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyang jenazahnya kerana mereka sebenarnya masih hidup dan tidak mati berdasarkan firman Allah.

Baqarah [154], "Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya."

Mereka Bersukacita di Syurga

"(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Ali-Imran:170)

"Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." (Ali-Imran:171)

Ingin Kembali Ke Dunia Dan Mengulanginya Hingga 10 Kali

Para Syuhada ini menerima ganjaran yang sangat istimewa sehingga sanggup kembali ke dunia untuk mengulangi kematian berbanding golongan lain seperti para wali dan orang soleh yang tidak sanggup lagi kembali ke dunia yang penuh dengan syirik, maksiat dan kezaliman.

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya: "Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid." (Muslim)

MATI SYAHID PERLU ADA KEBERANIAN

"Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri)." (Ali-Imran:143)

Dalam suatu riwayat ada diceritakan bahawa beberapa orang berkata: "Alangkah baiknya kalau kita mati syahid seperti orang-orang yang berjuang di perang Badar atau mendapat kesempatan seperti pada perang Badar dengan mengalahkan kaum musyrikin, tabah dalam ujian, mati syahid dengan memperolehi syurga atau hidup mendapat rezeki." Maka Allah memberikan kepada mereka kesempatan untuk ikut serta dalam perang Uhud. Akan tetapi ternyata mereka tidak tabah dan bertahan di dalam peperangan itu kecuali sebahagian kecil di antara mereka yang dikehendaki Allah.

Rasulullah SAW bersabda, "Wahai manusia, janganlah kamu bercita-cita untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka jangan lari (bertahanlah). Berdoalah meminta kesihatan dan apabila bertemu dengan mereka, maka bersabarlah. Dan ketahuilah oleh kamu bahawa syurga itu terletak di bawah bayangan pedang. Wahai Allah Tuhan yang menurunkan Al-Quran, dan yang mengiringi awan serta yang menghancurkan golongan yang bersekutu (Ahzab), kalahkanlah mereka dan tolonglah kami dalam menghadapi mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah mengatakan kepada seorang pemuda yang bercita-cita untuk bertemu dengan tentera musuh supaya "jangan mencari musuh tetapi jika musuh datang menyerang, janganlah lari."

Anfal [15]: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka."

Malaikat khas akan didatangkan untuk mensyahidkan (menyaksikan) mereka yang mati syahid di medan peperangan. Mati syahid yang besar ialah mereka yang terbunuh dalam pertempuran di medan peperangan kerana mendaulatkan Islam, menegakkan perintah atau hukum Allah dan mempertahankan negeri Islam daripada serangan musuh.

Dari Sahl bin Hunaif r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memohonkan kepada Allah akan kesyahidan – yakni supaya mati syahid – dengan hati yang sebenar-benarnya, maka Allah akan menyampaikan orang itu ke tempat kediaman para syuhada – yakni pahalanya disamakan dengan mereka, sekalipun dia mati di atas tempat tidurnya." (Riwayat Muslim)

PERINTAH TENTANG JIHAD

"Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran agama-Nya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Baqarah:244)

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan." (Baqarah:245)

Hukum Jihad (khususnya perang) ialah Fardhu kifayah iaitu wajib bagi sekumpulan lelaki seperti tentera atau Fardhu Ain bagi lelaki dewasa bila terdapat kerahan tenaga daripada pemerintah.

Namun, hanya dikira jihad sekiranya diistiharkan perang oleh ketua negara bagi mempertahankan Islam, negara dari serangan musuh. Tanpa perisytiharan oleh ketua negara tidak dikira jihad.

Selain itu wajib bagi negara orang Islam melengkapkan persiapan senjata setakat yang termampu untuk menakutkan golongan musuh (kafir).

Orang Islam sanggup mati untuk agamanya tetapi Kafir tidak berani kerana mereka tiada tunjang keimanan.

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya." Anfaal [60]

AMALAN YANG LEBIH HEBAT DARI MATI SYAHID

Ada satu perkongsian oleh Ustadz Abdul Somad mengenai satu amalan yang lebih hebat dari mati syahid, jihad dan haji mabrur.

"Ada satu amal yang lebih hebat daripada mati syahid, lebih hebat daripada jihad, lebih hebat daripada haji mabrur, lebih hebat daripada puasa sunnah, lebih hebat daripada membangun masjid, apa amal itu? Iaitu Redha menerima takdir Allah SWT." Ustadz Abdul Somad menjelaskan.

"Orang yang masuk syurga belum tentu dapat redha Allah, tapi orang dapat redha Allah pasti dapat syurga," ungkap Ustadz Abdul Somad.

Dengan redha menerima seluruh takdir yang diberikan oleh Allah SWT, maka kita akan dapat syurga-Nya.

"Kalau terasa sempit di dunia, satu-satunya yang boleh kita lakukan adalah dengan menghembuskan nafas panjang, tarik nafas panjang dan katakan 'Allah' tak ada lain daripada itu. Kalau terasa sempit dunia, tak ada yang boleh melapangkannya kecuali Allah dengan cara mendekatkan diri kepada-Nya," Ustadz Abdul Somad menambah.

Mengapa kita harus redha menerima takdir yang diberikan oleh Allah SWT? Kerana jika kita tidak redha pun, kejadian atau hasil itu pun tetap terjadi. Untuk itu, apapun yang terjadi, maka kita harus bersikap redha.

Allah telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa AS, "Wahai Musa, siapa yang tidak redha dengan keputusan-Ku, tidak sabar dengan ujian-Ku dan tidak mensyukuri nikmat-nikmat-Ku, maka hendaklah ia pergi dari bumiku dan langitku dan hendaklah ia mencari Tuhan selain Aku. Terimalah takdirmu dengan redha."

Demikian penjelasan Ustadz Abdul Somad tentang amalan yang lebih hebat dari mati syahid. Semoga kita semua selalu diberi perlindungan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com