Tuesday, May 07, 2024

SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai

SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai

Bagi memastikan apa yang berada di dalam perut bumi, datuk segera mengambil sepotong kayu yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Pada pengamatan saya, kayu tersebut adalah dahan pokok manggis yang patah. Dengan dahan kayu manggis itu juga, datuk menekan permukaan tanah yang berombak.

Toyol jadi-jadian


Sungguh mengejutkan, dalam sekelip mata saja dahan manggis yang dibenamkan terus hancur. Bagi menggelakkan kehancuran itu melarat ke bahagian atas, datuk terus menyentap bahagian dahan yang terselamat.

Dari lubang kayu yang dicabut, muncul beratus ribu anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

"Pelik," datuk merunggut.

"Memang pelik tuk," secara tidak sengaja saya bersuara.

"Humm..." datuk seperti mengeluh.

Bahagian kayu yang berada ditangan segera dilemparkan ke arah kumpulan anai-anai dan ulat pemakan bangkai yang keluar membuak-buak dari lubang.

Merayap dipermukaan bumi, kemudian berebut-rebut masuk ke lubang, saling tindih-menindih, gigit-mengigit. Akibatnya, ada yang mati.

Sebaik saja puntung kayu yang dilemparkan oleh datuk jatuh atas tanah milik bekas isteri Syam, ulat pemakan mayat dan anai-anai membuak-huak keluar dari lubang, berkejaran menuju ke arah puntung kayu yang tersadai lalu menghurungnya.

Dalam sekelip mata, puntung kayu itu hilang tanpa kesan. Dan anai-anai serta ulat pemakan mayat kembali berebut-rebut masuk ke lubang.

Semua yang terjadi didepan mata, memang tidak masuk di akal. Sukar untuk dipercayai oleh orang lain.

"Lihat saja Tamar, jaga mulut jangan celupar," datuk mengingatkan saya sambil merenung ke tanah yang kembali berombak, beralur memanjang menuju ke arah rumah arwah isteri Syam.

Bunyi anai-anai dan ulat pemakan bangkai jelas kedengaran seperti desiran angin. Adakalanya, memekakkan anak telinga.

"Belum pernah aku melihat kejadian seperti ini," terkeluar ungkapan dari kelopak bibir datuk, matanya tidak berkedip melihat tanah yang beralun dan berombak.

KERING

Semua pepokok yang tumbuh di kawasan tanah tersebut kelihatan mati kekeringan. Dedaun yang mati kering berguguran, kulit pohon merkah dan terkoyak.

Setiap kali dahan atau ranting yang kering jatuh ke bumi terus hilang dimamah anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

Saya yakin, sama ada di rempuh angin atau tidak pokok-pokok yang mati kekeringan itu akan rebah ke bumi untuk habuan ulat pemakan bangkai dan anai-anai dibumi.

"Sejak bila keadaan jadi begini?" Sepasang anak mata datuk meraut tajam ke wajah Syam.

Sebelum meluahkan jawapan, Syam mengedutkan dahi seolah-olah mengingati sesuatu ditengah-tengah pancaran matahari yang terik.

"Selepas berpisah dengan pakcik di jalan besar, saya terus balik. Tapi, sepanjang malam tu, saya tak dapat tidur."

"Kenapa pula?" Soal datuk.

"Pintu bilik saya diketuk orang bertalu-talu, bila dibuka tak ada apa-apa. Perkara macam tu berlaku setiap malam hingga ke subuh."

"Selalunya, pukul berapa pintu bilik kamu mula diketuk?"

"Kira-kira pukul sebelas malam, pada kebiasaannya ada tanda-tanda dulu."

"Apa tanda-tandanya," datuk memintas.

"Saya terdengar suara anjing menyalak panjang. Sayup-sayup. Kemudian saya terasa seram, bulu roma saya tegak dan saya tercium bau hapak, macam bau bangkai kering. Bila semuanya hilang, barulah pintu bilik saya diketuk. Bila gangguan itu hilang..." Syam tidak meneruskan ceritanya.

Syam terus mengigit ibu jari kanan dan menghisapnya macam budak kecil menghisap puting. Biji matanya terbeliak, bila pokok durian dibucu sempadan yang mati kering, cara mendadak tumbang ke bumi.

Dalam sekelip mata, anai-anai dan ulat pemakan bangkai menghurungi batang durian hingga hilang tanpa meninggalkan sebarang bekas.

Sesungguhnya, apa yang berlaku membuat kami (datuk, saya dan Syam) terpegun kehairanan. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala.

Saya tidak dapat menangkap maksud dari gelenggan kepada datuk itu, sama ada bermaksud kagum atau menafikan kejadian yang dilihatnya.

"Pedulikan apa yang terjadi, sambung cerita kamu yang terputus tadi, Syam," perlahan sekali nada suara datuk.

Tetapi, senyuman untuk Syam bertali arus dikelopak bibirnya.

"Bila gangguan itu hilang, saya terdengar macam ada sejenis binatang mengigit kayu yang ada di dalam rumah seperti papan dinding, kayu tingkap, palang pintu. Pendek kata mana-mana alat-alat atau perkakas rumah yang dibuat dari kayu. Bila saya ketuk bahagian kayu yang dijangka ada binatang kecil, bunyi bising itu terus hilang."

"Masa bila bunyi bising dalam kayu itu betul-betul berhenti?" Tanya datuk.

"Bila matahari terbit."

"Kamu tidak cuba mengesannya, Syam."

"Tidak pula, kerana saya tak perlu. Sebabnya, semua kayu dalam rumah nampak teguh dan utuh."

MANGSA

"Habis macamana, secara tiba-tiba saja kamu datang mencari aku dengan Haji Basilam?" Pertanyaan yang membuatkan Syam membeliakkan biji mata ke arah datuk.

Saya tumpukan seluruh perhatian ke arah Syam kerana saya mahu mendengar apa jawapan yang akan diberikan oleh Syam terhadap pertanyaan yang diajukan oleh datuk padanya sebentar tadi.

Peluh yang meleleh dihujung kening kiri, segera dikesatnya dengan jari telunjuk. Panas semakin terik dan angin kering yang bertiup menerbangkan dedaun kering.

Burung helang mula terbang diangkasa sambil berbunyi mengintai mangsa yang terdiri dari tikus atau anak ayam.

"Pada mulanya, saya ambil sikap tunggu dan lihat. Saya tidak mahu menyusahkan pakcik. Saya mula pada pakcik dengan kejadian ditepi jalan besar," Syam gosok pangkal telinga.

"Teruskan," desak datuk.

"Bila saya nak buka reban ayam, saya lihat semua ayam peliharaan arwah isteri saya mati, padahal sebelum itu semua ayam sihat segar," sambung Syam lagi.

Saya kira, cerita selanjut dari Syam pasti menarik dan memikat. Sudah sewajarnya, saya menumpukan perhatian pada diri Syam dan datuk, demikian saya merumuskan dalam hati kecil.

KERING

Angin kering yang tadi bertiup agak lemah kini bertukar menjadi agak kencang. Rerumput yang kering berterbangan diudara dan dedebu bergerak bebas.

Suara helang kian gamat di angkasa, sesekali menjunam ke bumi menyambar mangsa. Tidak dinafikan, angin kencang memberikan rasa sejuk pada diri saya.

"Kamu tak siasat, kamu tak cari puncanya Syam?" Sepasang anak mata datuk tertumpu ke arah sepasang mata milik Syam.

"Saya siasat pakcik."

"Apa puncanya?"

"Saya lihat beribu-ribu ulat dalam reban."

"Dari mana ulat-ulat itu datang?" Soal datuk.

"Ulat-ulat itu keluar dari dalam tanah. Saya tengok dengan mata kepala saya sendiri ulat-ulat itu menghurung ayam yang masih bernyawa. Ulat-ulat itu masuk ke dalam badan ayam melalui dubur, telinga, mulut. Dalam masa beberapa saat saja seekor ayam lenyap dari pandangan, bulunya juga tidak kelihatan."

"Dahsyatnya serangan ulat itu, berapa jumlah ayam ada dalam reban tu, Syam?" sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya, datuk mengemukakan pertanyaan pada Syam.

Syam mengaru-garu batang lehemya beberapa kali sambil merenung ke arah bucu sempadan, mata berkedip dan keningnya kelihatan berkedut dan bergaris. Agaknya, dia cuba mengingati jumlah ayam peliharaan arwah isterinya.

"Kalau tak silap saya, jumlah ayam dalam reban tu lebih dari enam puluh ekor," mendadak saja Syam bersuara.

"Semuanya habis dimakan ulat?"

"Iya pakcik, tidak sampai satu jam semuanya ranap hinggakan sehelai bulu pun tak tinggal. Badan ulat yang sudah kekenyangan itu nampak kemerah-merahan bila kena cahaya matahari. Ulat-ulat itu terus masuk ke dalam tanah. Besar ini badannya," Syam terus menegakkan jari kelingkingnya. Diwajahnnya, tergambar rasa jijik dan ngeri yang amat sangat.

Saya dapat membayangkan bagaimana rupa atau bentuk ulat yang sudah kenyang. Tidak jauh bezanya dengan lintah atau pacat yang sudah buncit dengan darah, sukar untuk membawa badan dengan pantas, bergerak dalam keadaan mengisut atau berguling-guling dengan ekor terkedik-kedik macam ekor babi.

Hodoh rupanya dan mengelikan, boleh membuat tekak menjadi loya. Kalau tidak tahan boleh muntah dibuatnya.

"Bala apa yang menimpa saya pakcik," Syam bersuara minta simpati.

Tidak ada jawapan atau pertanyaan susulan dari datuk. Dia asyik termenung saja. Barangkali ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Saya takut pakcik," secara mengejut Syam bersuara.

Anehnya, kata-kata itu tidak diteruskan, sebaliknya dia menelan air liur berkali-kali.

"Apa yang kamu takutkan?" saya memberanikan diri mengambil alih tugas datuk untuk menyoal Syam.

Saya tidak peduli, sama ada perbuatan itu direstui oleh datuk atau sebaliknya. Pokoknya, saya tidak mahu Syam kerap sangat berhenti, semasa bercerita. Dia harus meneruskan ceritanya hingga tamat.

"Bila semua ulat-ulat masuk ke dalam tanah, saya jadi binggung kerana lantai, dinding, tiang, bumbung reban dipenuhi dengan anai-anai yang bentuknya agak berbeza dengan anai-anai biasa, badannya sebesar anak mancis muncungnya macam muncung belalang. Suaranya macam kumbang kayu. Tidak sampai sepuluh minit, seluruh reban hancur hilang dari pandangan saya, tidak ada sebarang kesan atau tanda yang dikawasan itu pernah didirikan reban ayam," cukup lancar Syam bercakap.

Dan dia berjaya menarik perhatian datuk.

"Kerana kamu tidak tahu, apa yang harus kamu lakukan, jadi kamu cari aku dan Haji Basilam."

"Iya pakcik," Syam anggukkan kepala.

"Macamana kamu memijak tanah yang berombak ni?" Tanya datuk.

"Semasa saya meninggalkan kawasan rumah ni, keadaan tanah macam biasa, tidak macam ini. Cuma saya terdengar bunyi berdengggung halus dan nyaring, macam bunyi nyamuk di setiap sudut tanah milik arwah isteri saya." Syam tersedak.

BANGKAI

Datuk menggelengkan kepala, kemudian merenung daun dan ranting pokok pauh. Angin yang bertiup menggugurkan daun pauh yang tua.

Dan saya mula merasa resah serta bosan yang berpanjangan dalam menghadapi masalah yang kira tiada penghujungnya.

"Kita balik saja, tuk."

"Jangan pergi pakcik, tolonglah saya," Syam merayu dengan wajah penuh kehibaan.

Datuk jadi serba salah.

"Kamu nak suruh aku buat apa, Sham?"

"Tolong selamat rumah dari anai-anai, selamatkan saya dari jadi korban ulat pemakan bangkai."

"Kalau kamu nak selamat dari semuanya ini, ikut aku ke Tanah Melayu."

"Tak mungkin pakcik," Syam gelengkan kepala.

Datuk termenung panjang. Dia berhadapan dengan masalah yang sulit. Dari gerak matanya, saya dapat menduga yang datuk memang berhasrat mahu melepaskan Syam dari masalah yang melingkari dirinya.

"Hidup mati saya mesti disini, itulah wasiat arwah isteri saya. Tolong selamatkan barang-barang bekas isteri saya," tambah Syam, kelopak matanya mula digenangi air jernih.

Tiba-tiba saja muncul rasa marah dan benci terhadap Syam. Rayuan dan permintaannya pada datuk memang berat. Kalau dipenuhi pasti membawa kecelakaan pada datuk.

Siapalah yang berani memperjudikan diri memijak tanah yang dibawahnya penuh anai-anai dan berjuta-juta ulat pemakan bangkai yang kehausan darah dan daging busuk.

"Apa yang ada dirumah bekas isteri kamu Syam?" Datuk sandarkan tubuh ke pohon pauh.

"Ada emas, ada berlian, mutiara dan intan permata disimpan dalam kotak-kotak khas, selain dari kain baju, wang ringgit. Arwah isteri berpesan supaya saya menjaga barang-barang tersebut dengan sebaik mungkin. Saya boleh menggunakannya bila saya susah."

"Berapa kotak emas berlian tu Syam?" Saya lihat Syam menggaru pangkal telinga kanannya. Dua tiga kali dia mundar mundir didepan datuk.

Mungkin ada keraguan dalam dirinya, kenapa datuk bertanya jumlah intan dan emas berlian peninggalan isterinya.

"Aku cuma nak tahu saja, bila tahu jumlahnya senanglah kita membuat perhitungan untuk membawa barang-barang itu keluar dari rumah," datuk menekan akar pauh dengan tumit kaki kanan.

"Banyak, lebih dari dua ratus kotak pakcik."

"Banyak tu."

"Iya pakcik," angguk Syam sambil matanya merenung ke arah tanah yang berombak.

Beberapa ekor ulat pemakan bangkai melompat-lompat dipermukaan tanah sebelum masuk ke perut bumi kembali.

"Macammana kita nak masuk ke rumah, kalau kita pijak tanah arwah isteri kamu, hancurlah tubuh badan kita, nanti kita tinggal nama saja Syam. Cuba kamu fikirkan, bagaimana caranya kita boleh sampai ke sana," ucap datuk dengan tenang.

"Iya, bagaimana caranya?" ulang Syam dalam nada suara yang amat lemah sekali.

Dia kembali berlegar-legar dihadapan datuk dan saya. Syam terus duduk, kedua belah kakinya dilunjurkan dan badan disandarkan ke pangkal perdu pauh. Sepasang kelopak matanya dirapatkan dan dahinya mula berkerut.

Datuk masih bersandar diperdu pokok pauh, mungkin dia mencari ketenangan. Sepasang tangan datuk memeluk tubuh dengan erat, kicau burung diranting pauh jelas kedengaran, matahari terus bersinar.

"Ada satu jalan selamat," pekik Syam sambil melompat kegirangan.

Saya dan datuk tercenggang dengan perubahan sikap Syam yang mendadak itu.

"Ikut saya pakcik," sambungnya lalu menarik tangan datuk sambil matanya merenung ke arah saya, seolah-olah memberitahu bahawa saya harus ikut serta.

"Ke mana Syam," ada keraguan bersarang dalam hati datuk.

"Ikut saja pakcik, ini jalan selamat untuk kita semua."

"Jangan banyak tapi lagi pakcik, kita ada jalan selamat. Cuma dengan cara ini saja pakcik boleh menolong saya, boleh menyelamatkan harta benda arwah isteri saya," cukup riang suara Syam.

SAMBIL

Sambil berlari Syam terus menarik tangan datuk menuju ke arah kawasan sempadan tanah. Sebaik saja sampai diperdu pisang nangka, Syam berhenti berlari.

"Kita mulakan dari sini," Jari telunjuk Syam menuding ke arah tanah yang diturap dengan simen.

Lebamya kira-kira dua kaki dan panjangnya bermula dari bahagian tanah orang lain dan berakhir dibahagian dapur bekas isteri Syam.

"Kamu ada jalan rahsia?" Tanya datuk.

"Tak ada jalan rahsia pakcik, ini simen penutup longkang yang mengalirkan air dari rumah ke parit besar dan terus ke sungai," Syam terus mengaiskan-ngaiskan daun-daun yang menutup permukaan simen dengan reranting kayu bercabang lima hingga sampai kawasan parit besar yang bersambung dengan sebatang anak sungai, airnya mengalir kotor.

"Tuan tanah yang bersempadan dengan tanah arwah isteri kamu, tidak marah tanahnya dikorek untuk dijadikan saluran air. Agak luas juga tanahnya digunakan," risik datuk lagi.

"Begini pakcik, dari tempat sempadan tanah orang lain hingga sampai ke parit besar, panjangnya lebih kurang dua kaki dan lebarnya kira-kira dua kaki. Tanah yang seluas itu diberi sagu hati hampir dua ribu oleh isteri saya," kata Syam dengan wajah yang bangga.

"Begitu, isteri kamu memang pemurah Syam."

"Kira-kiranya, begitulah pakcik," muka Syam bertambah kembang.

"Hum..." Datuk anggukkan kepala.

Setelah puas berlegar-legar diperdu pisang nangka, Syam tersenyum ke arah saya dan datuk.

"Ada apa Syam?" Tanya datuk.

"Biar saya uji dulu, kalau saya selamat baru pakcik ikut."

"Silakan Syam dengan syarat."

"Apa syaratnya pakcik."

"Bila kamu sampai ke bahagian belakang rumah, kau berpatah balik ke sini."

"Boleh pakcik," sahut Syam.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 196/284

BACA: SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, April 25, 2024

Kronologi Serangan Israel Terhadap Iran

Kronologi Serangan Israel Terhadap Iran

Israel sudah lama menuduh Iran secara rahsia membina bom nuklear yang boleh mengancam kewujudannya – dan secara terbuka, dan kerap, bercakap tentang usaha diplomatik dan didorong oleh perisikannya untuk menggagalkan usaha yang didakwa itu.

Perang iran-Israel

Iran sebaliknya menafikan bahawa ia mempunyai program nuklear ketenteraan, sambil berhujah bahawa ia mempunyai hak untuk mengakses tenaga nuklear awam.

Ketika Israel berkemungkinan sedang menyediakan tindak balasnya, berikut adalah senarai pelbagai serangan negara haram laknatullah yang telah dilakukannya di bumi Iran – daripada serangan dron dan serangan siber kepada pembunuhan saintis dan pencurian data secara rahsia; bahawa Israel sama ada berada di sebalik atau seratus peratus ialah dalangnya.

Pembunuhan saintis Iran

Januari 2010: Seorang profesor fizik di Universiti Tehran, Masoud Ali-Mohammadi, terbunuh akibat serangan bom kawalan jauh yang ditanam di motosikal yang dinaikinya. Media negara Iran mendakwa bahawa Amerika Syarikat dan Israel berada di belakang serangan itu. Kerajaan Iran menyifatkan Ali-Mohammadi sebagai seorang saintis nuklear.

November 2010: Seorang profesor di Fakulti Kejuruteraan Nuklear di Universiti Shahid Beheshti, Tehran, Majid Shahriari, terbunuh akibat letupan kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya, manakala isterinya cedera. Presiden Iran pada ketika itu, Mahmoud Ahmadinejad menyalahkan AS dan Israel atas serangan tersebut.

Januari 2012: Mostafa Ahmadi Roshan, seorang graduan kejuruteraan kimia, maut akibat terkena bom yang diletakkan di atas keretanya oleh seorang penunggang motosikal di Tehran. Iran juga menyalahkan Israel dan AS atas serangan itu dan berkata, Ahmadi Roshan ialah seorang saintis nuklear yang menyelia sebuah jabatan di kemudahan pengayaan uranium utama Iran, di bandar Natanz.

November 2020: Saintis nuklear terkemuka Iran, Mohsen Fakhrizadeh terbunuh dalam serangan di tepi jalan di luar Tehran. Perisikan Barat dan Israel telah lama mengesyaki bahawa Fakhrizadeh adalah 'bapa kepada program senjata nuklear Iran'.

Mei 2022: Kolonel Hassan Sayyad Khodaei dari Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ditembak lima kali di luar rumahnya di Tehran. Majid Mirahmadi, ahli Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, mendakwa pembunuhan itu 'sudah tentu kerja Israel'.

Serangan siber Israel ke atas Iran

Jun 2010: Virus Stuxnet ditemui dalam komputer di loji nuklear di bandar Bushehr Iran, dan ia merebak dari sana ke kemudahan lain. Sebanyak 30,000 komputer merentasi sekurang-kurangnya 14 kemudahan telah terjejas menjelang September 2010. Sekurang-kurangnya 1,000 daripada 9,000 mesin (dengan bekas berputar pantas yang menggunakan daya emparan dalam kandungannya) di pusat saintifik, Natanz, Iran telah dimusnahkan, menurut anggaran Institut Sains dan Keselamatan Antarabangsa. Setelah disiasat, Iran menyalahkan Israel dan AS atas serangan virus itu.

April 2011: Virus yang dipanggil Stars ditemui oleh agensi pertahanan siber Iran yang mengatakan perisian hasad itu direka untuk menyusup dan merosakkan kemudahan nuklear Iran. Menurut Ketua Organisasi Pertahanan Pasif Iran, Gholamreza Jalali, virus berkenaan telah 'meniru' (menyalin) fail rasmi kerajaan dan menyebabkan 'kerosakan kecil' pada sistem komputer. Iran menyalahkan Israel dan AS susulan insiden berkenaan.

November 2011: Iran berkata ia menemui virus baharu yang dipanggil Duqu, berdasarkan Stuxnet. Pakar berkata Duqu bertujuan untuk mengumpul data untuk serangan siber pada masa hadapan. Kerajaan Iran mengumumkan ia telah memeriksa komputer di tapak nuklear utama itu. Perisian pengintip Duqu secara meluas dipercayai oleh pakar saintis Iran dikaitkan dengan Israel.

April 2012: Iran menyalahkan AS dan Israel atas perisian hasad yang dipanggil Wiper, yang memadamkan cakera keras komputer yang dimiliki oleh Kementerian Petroleum dan Syarikat Minyak Kebangsaan Iran.

Mei 2012: Iran mengumumkan bahawa virus yang dipanggil Flame telah cuba mencuri data kerajaan daripada komputer kerajaan. The Washington Post melaporkan bahawa Israel dan AS telah menggunakannya untuk mengumpul risikan. Naib Perdana Menteri Israel ketika itu Moshe Yaalon tidak mengesahkan penglibatan negara itu tetapi mengakui bahawa Israel akan menggunakan segala cara untuk 'memudaratkan sistem nuklear Iran'.

Oktober 2018: Kerajaan Iran berkata bahawa ia telah menyekat pencerobohan oleh generasi baharu Stuxnet, menyalahkan Israel atas serangan itu.

Oktober 2021: Serangan siber melanda sistem yang membenarkan rakyat Iran menggunakan kad keluaran kerajaan untuk membeli bahan api pada kadar subsidi, yang menjejaskan semua 4,300 stesen minyak di Iran. Pengguna perlu sama ada membayar harga biasa, lebih daripada dua kali ganda harga subsidi, atau menunggu stesen menyambung semula ke sistem pengedaran pusat. Iran menyalahkan Israel dan AS.

Mei 2020: Serangan siber menjejaskan komputer yang mengawal trafik maritim di pelabuhan Shahid Rajaee di pantai selatan Iran di Teluk, mengganggu kapal yang menunggu untuk berlabuh. The Washington Post memetik pegawai kerajaan AS sebagai berkata bahawa Israel berada di belakang serangan itu, walaupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab.

Dron Israel serang Iran

Januari 2018: Ejen Mossad telah menyerbu satu lokasi di Tehran, mencuri arkib sulit nuklear. Pada April 2018, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa bahawa Israel telah menemui 100,000 'fail rahsia yang membuktikan' Iran berbohong tentang kenyataannya tidak pernah mempunyai program senjata nuklear.

Februari 2022: Bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengakui dalam op-ed yang diterbitkan dalam The Wall Street Journal pada Disember 2023, bahawa Israel melakukan serangan ke atas kenderaan udara tanpa pemandu, dan membunuh seorang komander kanan IRGC pada Februari tahun sebelumnya.

Mei 2022: Dron quadcopter sarat bahan letupan melanda kompleks tentera Parchin di tenggara Tehran, membunuh seorang jurutera dan merosakkan bangunan di mana dron telah dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera. Komander IRGC, Hossein Salami berjanji membalas dendam terhadap 'musuh' yang tidak ditentukan.

Januari 2023: Beberapa dron berani mati menyerang kemudahan tentera di tengah Isfahan, tetapi ia dihalang dan tidak menyebabkan senbarang kerosakan atau kehilangan nyawa. Walaupun Iran tidak segera menyalahkan AS mahupun Israel sebagai dalang serangan itu, wakil Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani, menulis surat kepada ketua PBB mengatakan bahawa 'penyiasatan utama mencadangkan Israel bertanggungjawab'.

Februari 2024: Saluran paip gas asli di Iran diserang. Menteri Minyak Iran, Javad Owji menegaskan bahawa 'letupan saluran paip gas Iran adalah rancangan jahat Israel'.

Benarkah Israel Akan Lenyap Pada Tahun 2027?

Pengasas HAMAS, Asy-Syahid asy-Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin pada tahun 2003, setahun sebelum syahid dibunuh pernah menyatakan pandangannya bahawa negara haram Israel akan lenyap pada tahun 2027.

Pandangan Syeikh Ahmed Yassin itu bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran ayat 26 surah al-Maidah, iaitu mengenai kisah orang-orang Yahudi Bani Israil yang dihukum oleh Allah SWT sesat di tengah padang pasir selama 40 tahun kerana tidak mahu berjihad bersama-sama dengan Nabi Musa a.s.

Setelah itu lahir generasi lain yang berjihad pada jalan Allah. Beliau (Syeikh Ahmed) berkata, selama 40 tahun tertubuhnya negara haram Israel tahun 1948 sehinggalah 1988, generasi umat Islam khususnya di negara-negara Arab adalah generasi yang lemah, yang mundur, yang tunduk, yang mengalah kepada negara haram Israel.

Mereka berjuang di atas dasar kebangsaan Arab, bukan di atas dasar Islam.

Menjadi sunnatullah berdasarkan ayat tadi beliau berkata, setiap 40 tahun Allah Taala akan ganti generasi lain. Tahun 1987 kumpulan HAMAS ditubuhkan, kumpulan ini terus berkembang.

Kumpulan ini terus mendapat sokongan daripada rakyat Palestin sehingga berjaya mentadbir Gaza. Pada pandangannya, 40 tahun selepas daripada itu iaitu tahun 2027 negara haram Israel akan hancur.

Tetapi tegasnya, perkara pasti adalah negara yang tertegak di atas kezaliman ke atas jasad kanak-kanak, wanita dan warga emas dibunuh dengan kejam, tidak akan kekal sama sekali di mana ianya pasti jatuh.

Hari ini katanya, dunia sedang melihat bunga-bunga kejatuhan negara haram Israel kerana menyerang bertalu-talu bumi yang begitu kecil iaitu hanya 42 kilometer panjang dan lebih kurang 7 kilometer lebar yakni Gaza.

Menurut beliau, Gaza yang dihuni oleh lebih 2 juta rakyat Palestin dikepung berbelas tahun daripada darat, udara, laut kini diserang oleh seramai lebih daripada 400,000 bala tentera negara haram Israel.

Israel mengepung, menyerang, menembak, membunuh, membantai saudara-saudara kita ditambah lagi dengan bala tentera kuasa besar dunia. Ini Ahzab moden. Apa yang berlaku bukan menunjukkan kekuatan mereka.

Apa yang berlaku menunjukkan kelemahan mereka. Apa yang berlaku menunjukkan bahawa negara haram Israel sekarang ini membilang hari untuk ditamat dan dihancurkan oleh Allah SWT.

Kita semua adalah generasi itu, tidak ada jalan lain untuk membebaskan bumi Palestin melainkan dengan jihad pada jalan Allah SWT, tak ada jalan lain. Salahuddin al-Ayubi membebaskan Baitul Maqdis dengan jihad.

Telah terbukti dalam sejarah maka pada zaman ini tidak ada jalan lain untuk membebaskan Baitul Maqdis melainkan dengan jalan jihad pada jalan Allah untuk membebaskan bumi Palestin hukumnya adalah fardu ain.

Setiap orang di bumi Palestin mengangkat senjata, manakala umat Islam di seluruh pelosok dunia mengikut cara kaedah, kemampuan masing-masing, paling kurang doa kepada Allah dan jihad dengan harta benda.

Doa Qunut Nazilah

Allahumma 'Inna Naj-'Aluka Fi Nuhuri 'A'-Da 'Inna
Ya Allah, kami letakkan Kamu di batang leher musuh-musuh kami

Wa Na-'Uzu-Bika Min Syuru-Rihim
dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka

Allahumma Baddid Syam-Lahum
Ya Allah hancurkan kumpulan mereka

Wa Farriq Jam-'Ahum
Ya Allah pecahkan pakatan mereka,

Wa Syattit Kalimata-Hum
Ya Allah leburkan pendirian mereka

Wa Zal-Zil 'Aqda-Mahum
Ya Allah musnahkan langkah mereka

Wa Sallit 'Alayhim Kalban Min Kilabik
Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka

Ya Qahha‚ Ya Jabbar‚ Ya Muntaqimu
Ya Allah yang Maha Memaksa
Ya Allah yang Maha Perkasa
Ya Allah yang Maha Membalas

Ya Allahu‚ Ya Allahu‚ Ya Allah
Ya Allahu, Ya Allahu, Ya Allah

Allahumma Ya Mun-Zilal-Kitab
Yang turunkan kitab

Ya Mujriyas-Sahab
Yang gerakkan awan

Ya Hazimal Ahzab
Yang tewaskan tentera Ahzab

Ihzim-Hum, Ihzim-Hum,Ihzim-Hum, Wan-Surna 'Alayhim
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka dan kemenangan untuk kami

Wallahu a'lam.

Friday, April 19, 2024

Perjanjian Allah SWT Dengan Kaum Bani Israil

Perjanjian Allah SWT Dengan Kaum Bani Israil

Allah SWT menyingkap tujuh perjanjiannya dengan Kaum Bani Israil dan menggambarkan bagaimana kaum itu gagal untuk melaksanakannya padahal mereka sudah berikrar untuk mentaati perjanjian tersebut.

Bani Israil
Gambar hiasan.

Selepas Allah SWT menegaskan bahawa hanya yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW ketika eranya sahaja yang akan selamat daripada azab yang kekal abadi, Allah SWT mengingatkan mereka semula tentang perjanjian mereka dengan Allah SWT dalam beberapa perkara selain daripada keimanan kepada-Nya dan Nabi Muhammad SAW.

Pada kali ini tafsiran ayat dibahagikan kepada dua kelompok penting, iaitu kelompok pertama al-Baqarah (2: 83), iaitu tentang perjanjian Bani Israil untuk melaksanakan beberapa tuntutan penting hubungan mereka dengan Allah SWT dan hubungan mereka dengan sesama manusia.

Manakala kelompok kedua pula iaitu surah al-Baqarah (2: 84-86), berkait dengan perjanjian Bani Israil untuk tidak menumpahkan darah sesama manusia.

PERTAMA

Maksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman), "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik; dan dirikanlah solat serta berilah zakat." Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." (Surah al-Baqarah, 2: 83)

Keterangan

Imam Ibn al-Kathir berkata, bahawa melalui ayat ini Allah SWT mengingatkan kaum Bani Israil terhadap apa yang diperintahkan oleh-Nya kepada mereka dan ikatan janji oleh-Nya atas hal tersebut dari mereka.

Namun mereka berpaling dari semua janji tersebut bahkan mereka pula menentang secara sengaja dan membuat pelbagai rencana untuk menentang perjanjian tersebut sedangkan mereka mengetahui dan mengingati hal tersebut. Maka Allah SWT memerintahkan mereka agar menyembah-Nya dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.

KEDUA

"Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu, "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya)." (Surah al-Baqarah, 2: 84)

"Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah, 2: 85)

"Mereka itulah orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (86)." (Surah al-Baqarah, 2: 86)

Keterangan

Imam Ibn al-Kathir berkata bahawa melalui ayat ini Allah SWT membantah orang Yahudi yang ada pada zaman Rasulullah SAW di Madinah dan mengecam tindakan mereka yang ikut berperang melibatkan diri dalam perang antara Aus dan Khazraj.

Hal ini kerana kabilah Aus dan Khazraj, iaitu orang Ansar pada asalnya pada masa Jahiliah adalah penyembah berhala. Oleh kerana itu antara kedua belah pihak banyak terjadi peperangan.

Sedangkan orang Yahudi di Madinah terdiri atas tiga kabilah, iaitu Bani Qainuqa‘ dan Bani Nadir yang merupakan sekutu kabilah Arab Khazraj. Sedangkan Bani Quraizah adalah sekutu dengan kabilah Aus. Apabila terjadi peperangan antara kedua belah pihak, maka masing-masing berpihak kepada teman sekutu mereka. Orang Yahudi juga terlibat dalam peperangan ini hingga mereka juga membunuh musuh sekutu mereka. Adakalanya seorang Yahudi membunuh Yahudi lain yang berpihak kepada musuh sekutu mereka. Padahal perbuatan tersebut diharamkan atas diri mereka menurut ajaran agama yang dinaskan oleh kitab Taurat mereka. Mereka mengusir musuh mereka dari kampung halamannya serta merompak semua peralatan, barang, dan harta benda yang ada pada kampung tersebut.

Tetapi apabila perang berhenti dan terjadi gencatan senjata antara kedua kabilah yang bersangkutan, masing-masing daripada kedua-dua golongan dari kaum Yahudi menebus tawanan yang sekaum dengan mereka daripada tangan musuh mereka kerana mengamalkan kandungan kitab Taurat.

Oleh kerana itulah, maka Allah SWT berfirman: "Maksud: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?"

PENGENALAN

Imam Ibn al-Kathir (1999: 1/318) berkaata bahawa melalui ayat ini Allah SWT membantah orang Yahudi yang ada pada zaman Rasulullah SAW di Madinah dan mengecam tindakan mereka yang ikut berperang melibatkan diri dalam perang antara Aus dan Khazraj.

Hal ini kerana kabilah Aus dan Khazraj, iaitu orang Ansar pada asalnya pada masa Jahiliah adalah penyembah berhala. Oleh kerana itu antara kedua belah pihak banyak terjadi peperangan.

Sedangkan orang Yahudi di Madinah terdiri atas tiga kabilah, iaitu Bani Qainuqa' dan Bani Nadir yang merupakan sekutu kabilah Arab Khazraj. Sedangkan Bani Quraizah adalah sekutu dengan kabilah Aus.

Apabila terjadi peperangan antara kedua belah pihak, maka masing-masing berpihak kepada teman sekutu mereka.

Orang Yahudi juga terlibat dalam peperangan ini hingga mereka juga membunuh musuh sekutu mereka. Adakalanya seorang Yahudi membunuh Yahudi lain yang berpihak kepada musuh sekutu mereka. Padahal perbuatan tersebut diharamkan atas diri mereka menurut ajaran agama yang dinaskan oleh kitab Taurat mereka.

Mereka mengusir musuh mereka dari kampung halamannya serta merompak semua peralatan, barang dan harta benda yang ada pada kampung tersebut.

Tetapi apabila perang berhenti dan terjadi gencatan senjata antara kedua kabilah yang bersangkutan, masing-masing daripada kedua-dua golongan dari kaum Yahudi menebus tawanan yang sekaum dengan mereka daripada tangan musuh mereka kerana mengamalkan kandungan kitab Taurat.

Oleh kerana itulah, maka Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?" (Surah al-Baqarah, 2: 85)

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu, (Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing." (Surah al-Baqarah, 2: 84)

Makna yang dimaksud ialah, janganlah sebahagian dari kamu membunuh sebahagian yang lain, jangan mengusir dari rumah mereka, dan jangan pula saling membantu untuk melakukan hal tersebut.

Pengertian ini sama dengan firman Allah SWT yang maksudnya: "Maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu." (Surah al-Baqarah, 2: 54)

Dikatakan demikian kerana orang yang memeluk agama yang sama, sebahagian darinya atas sebahagian yang lain sama kedudukannya dengan satu orang (Jasmi, 2018), seperti pengertian yang terkandung dalam sabda Nabi SAW berikut (Muslim, t.th.: 2586): "Nu'man bin Bashir berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan orang mukmin dalam kecintaan dan kasih sayang serta silaturahmi (keakraban) mereka sama dengan satu tubuh; apabila ada salah satu anggota tubuh darinya merasa sakit, maka seluruh anggota tubuh merasakan sakitnya hingga demam dan tidak dapat tidur." (Muslim)

Imam Ibn al-Kathir (1999: 1/318) menyambung perbincangan tentang perjanjian antara Allah SWT dengan Bani Israil melalui firman Allah SWT yang maksudnya: "Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya)." (Surah al-Baqarah, 2: 84)

Berdasarkan ayat ini, Bani Israil sudah berikrar bahawa diri mereka sudah mengetahui janji tersebut dan keabsahannya dan dalam masa yang sama mereka juga sudah berikrar untuk melaksanakannnya.

Namun mereka tetap juga melanggar perjanjian tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang maksudnya: "Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya." (Surah al-Baqarah, 2: 85)

Ibn Abbas berkata ketika membincangkan firman Allah SWT ini bahawa Allah SWT memberitahukan kepada mereka apa yang pernah mereka lakukan sebelum itu.

Dalam kitab Taurat, Allah SWT mengharamkan atas diri mereka mengalirkan darah mereka dan diwajibkan atas diri mereka menebus orang sebangsa dengan mereka yang ditawan.

Cerita peperangan antara bangsa Yahudi ini di Madinah bersama dengan sekutu yang terdiri daripada Aus dan Khazraj sudah diceritakan sebelum ini. Apa yang penting dalam cerita ini ialah bahawa kabilah Aus dan Khazraj adalah orang musyrik penyembah berhala.

Mereka tidak mengenal adanya syurga dan neraka, tidak pula percaya kepada hari kebangkitan. Mereka juga tidak mengenal adanya kitab, tidak kenal pula dengan istilah halal dan haram.

Sebaliknya orang Yahudi sudah mengetahui perbuatan mereka adalah salah sehingga mereka menebus tawanan perang mereka yang ada di tangan kabilah Aus, sedangkan orang Bani Quraizah menebus tawanan perang mereka yang berada di tangan kabilah Khazraj.

Tujuan mereka mengajukan tuntutan terhadap apa yang dilakukan oleh mereka sendiri dalam bentuk mengalirkan darah bangsa mereka dan mereka membunuh orang yang mereka bunuh dalam kalangan mereka sendiri untuk membantu kaum musyrik yang ada di pihaknya, sehingga Allah SWT mempersoalkan tindakan orang Yahudi dalam ayat surah al-Baqarah.

Dengan kata lain, kaum Yahudi saling menebus dan saling membunuh antara sesama kamu, padahal dalam kitab Taurat disebutkan bahawa tidak boleh membunuh, tidak boleh mengusir seseorang dari kampung halamannya, tidak boleh pula membantu orang agar musyrik kepada Allah SWT dan penyembah berhala untuk melakukan hal itu kerana mengharapkan keuntungan duniawi.

Imam al-Suddi meriwayatkan bahawa orang Quraizah adalah teman sekutu kabilah Aus. Sedangkan orang Bani Nadir teman sekutu kabilah Khazraj.

Mereka saling membunuh dalam perang yang terjadi antara sesama mereka. Bani Quraizah berpihak kepada teman sekutunya dan Bani Nadir berpihak kepada teman sekutunya pula.

Tersebutlah bahawa Bani Nadir pernah berperang melawan Bani Quraizah dan teman sekutunya dan Bani Nadir dapat mengalahkan mereka. Kaum Bani Nadir mengusir kaum Bani Quraizah dari tempat tinggal mereka.

Apabila ada orang yang tertawan dalam kalangan kedua belah pihak, mereka mengumpulkan tawanan tersebut, lalu saling menebus antara sesama mereka.

Melihat kejadian tersebut orang Arab mencela perbuatan mereka seraya menyatakan, "Mengapa kamu memerangi mereka, kemudian kamu menebus tawanan mereka? Orang Yahudi menjawab, "Kami diperintahkan untuk menebus mereka dan diharamkan atas kami memerangi mereka (sesamanya)."

Orang Arab bertanya, "Lalu mengapa kamu memerangi mereka?" Orang Yahudi menjawab, "Kami merasa malu bila teman sekutu kami mengalami penghinaan daripada kekalahan."

Yang demikian itulah yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya, "Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya" (surah al-Baqarah, 2: 85) hingga akhir ayat tersebut.

Menurut al-Suddi lagi yang meriwayatkan daripada al-Sya‘bi, bahawa ayat berikut diturunkan berkenaan dengan Qais bin al-Hatim, iaitu firman-Nya, “Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya." (Surah al-Baqarah, 2: 85), hingga akhir ayat.

Kisahnya seperti berikut bahawa Abd al-Khair yang menceritakan kisah, “Kami berperang dengan Sulaiman bin Rabi‘ah al-Bahili di Lanjar. Kami dapat mengepung penduduknya. Akhirnya kami mencapai kemenangan ke atas kota tersebut, serta kami memperoleh banyak tawanan wanita. Abdullah bin Salam membeli seorang wanita Yahudi dengan harga tujuh ratus. Ketika ia melalui Rasul Jalut, ia turun istirahat padanya.

Lalu Abdullah berkata kepada pemimpin Rasul Jalut, “Hai Rasul Jalut, maukah engkau membeli dariku seorang nenek yang ada di tanganku dalam kalangan pemeluk agamamu (agama Yahudi)?"

Rasul Jalut menjawab, “Ya.”

Abdullah bin Salam berkata, “Aku membelinya dengan harga tujuh ratus (dirham).”

Pemimpin RasulJalut menjawab, “Aku mahu memberimu keuntunganyang sama dengan modalmu itu.”

Abdullah bin Salam berkata, “Sesungguhnya aku bersumpah bahawa aku tidak akan menjualnya dengan harga kurang dari empat ribu (dirham).”

Pemimpin Rasul Jalut menjawab, “Aku tidak memerlukannya.”

Abdullah bin Salam berkata, “Demi Allah, kamu benar-benar membelinya dariku atau kamu kafir terhadap agamamu sendiri yang kamu peluk sekarang.”

Selanjutnya Abdullah bin Salam berkata, “Kemarilah Dekat kepadaku.”

Maka pemimpin itu mendekat kepadanya dan Abdullah bin Salam membacakan ke telinganya apa yang terkandung dalam kitab Taurat, iaitu, “Sesungguhnya kamu tidak sekali-kali menemukan seorang budak dalam kalangan Bani Israil melainkan kamu harus membelinya dan memerdekakannya.” Tetapi jika mereka datang kepada kamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagi kamu. (Surah al-Baqarah, 2: 85)

Pemimpin Rasul Jalut bertanya, “Engkau Abdullah bin Salam?” Abdullah bin Salam menjawab, “Ya.”

Maka pemimpin Rasul Jalut datang dengan membawa wang sejumlah empat ribu (dirham), dan Abdullah bin Salam akhirnya menerima dua ribu saja, sedangkan yang dua ribu lagi dikembalikan kepada orang tersebut.

Tentang hal ini Imam Ibn Jarir (2001: 1480) meriwayatkan: "Abu al-‘Aliyah berkata, Abdullah bin Salam pernah melewati di Rasul Jalut (bawahan daerah Kufah), sedangkan pemimpin Rasul Jalut menebus tawanan perang wanita (dari kalangan Yahudi) yang belum disetubuhi oleh pasukan Arab, dan ia tidak mahu menebus tawanan wanita yang sudah digauli oleh tentera Arab. Maka Abdullah bin Salam berkata, “Ingatlah, bukankah termaktub dalam kitab yang ada padamu bahawa kamu harus menebus mereka semuanya (tanpa pilih kasih)?” (Ibn Jarir)

Makna yang ditunjukkan oleh ayat (Surah al-Baqarah, 2:85) dan konteksnya mengandung celaan yang ditujukan kepada orang Yahudi berhubung dengan pengamalan mereka terhadap perintah kitab Taurat yang mereka yakini kesahihannya, padahal kenyataannya mereka bertentangan dengan syariat yang terkandung dalamnya, sedangkan mereka mengetahui hal tersebut. Sebaliknya mereka mempersaksikan kebenaran dari kekeliruan tersebut.

Oleh kerana itu, mereka seolah-olah tidak beriman kepada apa yang terkandung dalam kitab Taurat, tidak pula terhadap penukilannya, serta tidak percaya dengan apa yang mereka sembunyikan mengenai sifat Rasulullah SAW dan ciri khasnya, tempat diutusnya, saat munculnya dan tempat hijrahnya, serta lain-lainnya yang diberitakan oleh para nabi sebelum Nabi SAW muncul.

Hal inilah yang disembunyikan dengan rapi antara sesama mereka. Semoga laknat Allah SWT menimpa ke atas mereka.

Sehubungan dengan hal ini Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia." (Surah al-Baqarah, 2: 85)

Balasan yang diterima oleh mereka disebabkan mereka menentang syariat Allah SWT dan perintah-Nya.

Firman-Nya: "Dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat." (Surah al-Baqarah, 2: 85)

Pembalasan ini sebagai pembalasan yang setimpal terhadap perbuatan mereka yang menentang Kitab Allah yang berada di tangan mereka, iaitu kitab Taurat.

Firman Allah SWT lagi yang maksudnya: "Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Mereka itulah orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat." (Surah al-Baqarah, 2: 85-86)

Ayat ini membawa maksud bahawa mereka lebih senang memilih kehidupan duniadaripada kehidupan akhirat.

Dan firman-Nya lagi yang maksudnya: "Maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat)." (Surah al-Baqarah, 2: 86)

Ayat ini membawa maksud bahawa tidak pernah terhenti siksaan atas diri mereka walau hanya sesaat ketika berada dalam neraka.

Dan firman-Nya yang maksudnya: "Dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan." (Surah al-Baqarah, 2: 86)

Ertinya, tiada seorang penolong pun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab kekal yang menimpa diri mereka, dan tiada seorang pun yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka dari siksaan tersebut.

PENGAJARAN AYAT

Terdapat dua pengajaran penting yang boleh diambil, iaitu pengajaran di sebalik perjanjian Bani Israil dengan Allah SWT dan pengajaran daripada peristiwa yang berlaku terhadap Yahudi Madinah dengan sekutu mereka dalam kalangan kabilah Aus dan Khazraj ketika era Jahiliyyah.

Pengajaran di Sebalik Perjanjian Bani Israil dengan Allah SWT

Umat Islam wajar mengetahui, memahami dan mengamalkan perintah Allah SWT yang disebutkan dalam perjanjian-Nya dengan Kaum Bani Israil. Perintah tersebut juga ditujukan kepada umat Muhammad untuk mereka mengamalkannya.

Perintah tersebut terdiri daripada berikut:

(1) Hanya menyembah Allah SWT melalui solat dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun (surah al-Baqarah, 2: 83; Ibn al-Kathir, 1999: 1/316; Al-Zamkhasari, 1987: 1/159; Al-Qurtubi, 1964: 2/13; surah al-Nisa, 4: 36). Perintah ini merupakan hakikat dan tujuan semua makhluk dijadikan sebagaimana semua Rasul disuruh oleh-Nya dalam perkara ini (surah al-Anbiya, 21: 25; surah al-Nahl, 16: 36;).

(2) Membuat kebaktian kepada ibu bapa, khususnya ketika ibu bapa sudah tua (surah al-Baqarah, 2: 83; surah al-Nisa, 4: 36). Penekanan ini merupakan hubungan sesama manusia yang mula-mula dituntut untuk dilakukan oleh umat manusia dan selalu disesekalikan dengan perintah menyembah Allah SWT bagi menunjukkan kepentingan hubungan ini (surah Luqman: 14; surah al-Isra’, 17: 23; Al-Bukhari, 2001: 2782, 5971; Muslim, t.th.: 85, 2548).

(3) Membuat kebaktian kepada kaum kerabat yang dekat berkait dengan kaum kerabat ibu bapa (surah al-Baqarah, 2: 83; Ibn Majah, 2009: 3658; Surah al-Nisa, 4: 36).

(4) Membuat kebaktian kepada orang miskin (surah al-Baqarah, 2: 83; surah al-Nisa, 4:36), iaitu orang yang tidak menjumpai apa yang mereka belanjakan buat diri mereka sendiri dan keluarganya (Ibn al-Kathir, 1999: 1/317).

(5) Berinteraksi dengan orang lain dengan cara yang baik (surah al-Baqarah, 2: 83), iaitu dengan memberi salam (Ibn Abi Hatim, 1998: 848), bercakap dengan lemah lembut (Ibn al-Kathir, 1999: 1/317), sentiasa tersenyum (Muslim, t.th.: 2626) serta melaksanakan amar makruh dan nahi mungkar (Muslim, t.th.: 2626) dalam masyarakat, sabar, dan pemaaf (Ibn al-Kathir, 1999: 1/317).

(6) Mengeluarkan zakat sama ada zakat fitrah atau zakat harta (surah al-Baqarah, 2: 83).

Selain daripada perintah untuk melakukan sesuatu, Allah SWT juga membuat perjanjian dengan Bani Israil dalam hal larangan. Larangan yang diperintahkan kepada Bani Israil ini dipanjangkan kepada umat Muhammad SAW ialah:

(7) Tidak menumpahkan darah dan menghalau keluar orang yang seagama daripada kampung halaman mereka (surah al-Baqarah, 2:84-86) disebabkan kedudukan seagama adalah sama di sisi Allah SWT (Muslim, t.th.: 2586).

Allah SWT menegaskan bahawa perintah ini tidak dapat diikuti dengan baik oleh sebahagian besar kaum Bani Israil. (Ibn al-Kathir, 1999: 1/317; Surah al-Baqarah, 2: 84-86) Maka umat Muhammad SAW boleh tunjukkan bahawa mereka adalah umat yang lebih baik daripada kaum Bani Israil dalam mentaati perintah Allah SWT ini (surah al-Baqarah, 2: 83). Dalam pada itu, Allah SWT menambah perintah buat Nabi Muhammad SAW dalam beberapa perkara lagi, iaitu:

(8) Berbuat baik kepada jiran yang terdekat dan jiran yang jauh (surah al-Nisa, 4: 36).

(9) Berbuat baik kepada rakan sekerja (surah al-Nisa, 4: 36).

(10) Musafir yang terputus bekalan (surah al-Nisa, 4: 36).

(11) Berbuat baik kepada hamba sahaja atau pekerja (surah al-Nisa, 4: 36).

Ringkasnya terdapat 11 suruhan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk kebaikan mereka sendiri agar setiap umat Islam dapat mendapat balasan yang sempurna di alam akhirat dan terelak daripada tercebur ke dalam neraka kerana tidak melaksanakannya sebagaimana yang berlaku kepada kaum Bani Israil yang gagal untuk menyempurnakannya.

Pengajaran di Sebalik Kisah Kaum Yahudi di Madinah

Umat Islam dan umat manusia wajar mengetahui, memahami, dan menjauhi peribadi kaum Yahudi di Madinah yang melanggar perintah Allah SWT agar tidak menumpahkan darah sesama manusia dan tidak menghalau orang yang sebangsa dengan mereka daripada kampung halaman (surah al-Baqarah, 2: 84-86) semata-mata tidak mahu rasa terhina kerana kekalahan sekutu mereka.

Sedangkan mereka mengetahui perbuatan mereka itu adalah melanggar penjanjian yang terdapat dalam kitab Taurat. Rasa bersalah terhadap perlakuan ini menyebabkan mereka saling menebus orang Yahudi yang menjadi tawanan untuk dilepaskan dalam beberapa peristiwa (Ibn al-Kathir, 1999: 1/318; Ibn Jarir, 2001: 1480).

Oleh itu, umat Islam wajib dituntut untuk menjauhi amalan orang Yahudi yang hanya mengikuti sebahagian al-Kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain (surah al-Baqarah, 2: 85) dengan berusaha mengamalkan keseluruhan al-Quran.

Hal ini supaya azab yang ditimpakan kepada kaum Yahudi tidak tertimpa kepada umat Islam pula.

Wallahu a'lam.

Tuesday, February 27, 2024

SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok

SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok

"SUBHANALLAH, Allahhu akbar." Itu yang terkeluar dari kelopak bibir Datuk. Dia yakin benar, pandangannya memang tidak salah lagi. Pengusung jenazah itu bergerak serta terangkat separas pinggangnya.

Toyol jadi-jadian

"Ini semua permainan syaitan," rungut datuk sambil meludah sebelah kiri. Dan dia terus mempersetankan tentang pengusung jenazah tersebut.

Perjalanan diteruskan, setiap lima atau enam minit, datuk akan menoleh ke belakang, ternyata pengusung jenazah itu masih mengekorinya.

Datuk mengambil keputusan nekad, tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan dia sanggup menerima sebarang risiko dari tindakkannya itu.

Bila sampai di gigi jalan besar yang keadaannya tidak sesamar keadaan di kawasan perkuburan, barulah datuk menoleh ke belakang untuk mempastikan apakah pengusung jenazah itu masih mengekorinya.

Sungguh mengejutkan, pengusung jenazah misteri itu ghaib entah ke mana.

"Ke manapula menghilangnya?" Hati kecil datuk bergolak. Dahinya berkerut.

"Lupakan saja, banyak perkara lain yang mesti aku fikirkan," datuk membuat keputusan nekad. Dan di tepi jalan itu juga, tugas Pak Imam sebagai kepala jalan segera berakhir.

Anak buah ketuakampung berpecah dari barisan membawa haluan dan matlamat masing-masing. Ada yang terus pulang ke rumah, ada pula yang menuju ke kedai.

"Kalau begitu, kami minta diri, pulang dulu. Lagi pun hari dah dekat maghrib," serentak Pak Imam dan ketua kampung bersuara.

"Silakan," jawab Haji Basilam.

Mereka pun segera beredar. Tinggallah datuk, Haji Basilam dan Syam di situ dengan wajah yang nampak agak resah.

"Macamana dengan kamu Syam? Nak balik ke rumah atau nak ikut kami," datuk mengajukan pertanyaan kepada Syam yang tercegat ditepi jalan, mendonggakkan muka ke langit melihat gumpulan awan yang bergerak ke arah barat daya.

Tiada jawapan yang diluahkan oleh Syam. Dia nampak resah semacam. Tindakannya itu kurang disenangi oleh Haji Basilam.

Kalau dia memberi jawapan segera, ertinya Haji Basilam tidak perlu berada lama di sini. Boleh pulang terus ke rumah.

"Macam mana Syam, beri keputusan cepat, kami tak boleh lama-lama disini," Haji Basilam terus mendesak.

Syam masih macam tadi, masih membisu dan merenung awan di dada langit. Mungkin kerana waktu maghrib sudah hampir atau tidak mahu melayani kerenah Syam, Haji Basilam dan datuk mengambil keputusan yang mengejutkan.

Mereka terus meninggalkan Syam sendirian disitu.

"Budak tu memang pelik," kata Haji Basilam.

"Biarkan dia," sahut datuk sambil mempercepatkan langkah.

BAWAH

SEMASA datuk dan Haji Basilam melintasi bawah pokok besar, mereka terdengar suara jeritan dari Syam.

Langkah terpaksa diberhentikan dan serentak mereka menoleh ke belakang. Datuk dan Haji Basilam mengalami kejutan besar.

Sambil menjerit Syam menerkam ke arah mereka, ditangan kanannya terhunus sebilah keris berluk tujuh.

"Dari mana dia dapat keris tu?"

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, Haji Basilam masih sempat mengajukan pertanyaan.

"Itu tak penting, apa yang penting selamatkan diri kamu," balas datuk sambil mencari tempat yang difikirkan selamat untuk berlindung.

Syam yang bagaikan dirasuk hantu terus menerpa ke arah datuk dan Haji Basilam. Dengan tangkas datuk melompat ke kanan, Haji Basilam melompat ke kiri.

Syam terlajak ke depan dan kaki kirinya tersepak akar pokok besar yang berselirat di muka bumi.

Akibatnya, Syam tersungkur ditanah tetapi, secepat kilat dia bangun. Berdiri tegak dengan sepasang anak mata liar merenung kirikanan.

Keris berluk tujuh tergenggam erat dalam tangannya.

"Kamu, jeritnya dengan wajah geram.

Sepasang biji mata yang kemerah-merahan tertumbuk ke wajah datuk. Memang tidak salah dugaan Haji Basilam, Syam menjadikan datuk sebagai sasaran utamanya.

Serangan yang bertalu-talu, memaksa datuk mengelak dan berlindung di balik pokok besar.

Seboleh-bolehnya, datuk tidak mahu bertindak balas, kecuali kalau sudah terdesak. Datuk juga tidak mahu Haji Basilam turun tangan dalam pertarungan ini.

"Haji..."

"Kenapa?"

"Jaga diri kamu, perhatikan gerak-gerinya kalau-kalau dia menyerang kamu," dalam keadaan yang kelam-kabut itu datuk masih mengingatkan kawan karibnya.

"Jangan campur dalam urusan ni, biar aku selesaikan sendiri," tambah datuk sambil merendahkan tubuhnya separas tunggul (yang tingginya kira-kira tiga kaki) bagi mengelakkan serangan Syam yang dibuat secara terkaman terbang bersama dengan tendangan kencang serta tikaman bertubi-tubi.

Taktik yang dilakukan oleh datuk berhasil, tendangan yang dilepaskan oleh Syam terkena batang pokok renek.

Haji Basilam mengkerutkan dahi kehairanan, walaupun sudah berkali-kali jatuh dan menendang tunggul dan pepokok renek, Syam tidak kelihatan letih, tubuhnya tidak calar-balar. Cuma seluar dan bajunya saja yang koyak rabak.

"Hati-hati haji," untuk sekian kalinya datuk mengingatkan Haji Basilam.

"Iya, aku faham," jawab Haji Basilam sambil berusaha menjauhkan eliri dari Syam, terutama ketika Syam melakukan serangan atau terjatuh.

TANDA

HAMPIR dua puluh minit masa berlalu, tidak ada tanda-tanda keletihan pada diri Syam. Malah dia nampak kian bertenaga dan bersemangat. Tidak putus-putus menyerang bersama tikaman bertubi-tubi.

Sayangnya, serangan yang dilakukan tidak ada satu pun mengenai tubuh datuk.

Syam tidak kecewa dengan semuanya itu. Dia terus menyerang dan menyerang, bagaikan ada tenaga ghaib yang bersatu dalam dirinya.

Ketika matahari kian mengecil di kaki bukit dan suara kuang bertalu-talu, hari bertambah gelap menandakan waktu maghrib sudah hampir benar, ketika itu serangan Syam beransur kurang, makin lama, kekuatannya makin beransur lemah.

Keris berluk tujuh dalam genggaman terlepas jatuh terpacak dibumi. Dia sudah kehabisan tenaga.

Akhirnya, Syam jatuh longlai dipangkal pokok besar. Terlentang dengan nafas turun naik, matanya merenung langit. Dedaun tua dari pokok besar jatuh menimpa tubuhnya. Datuk segera mendekatinya.

"Kamu balik saja ke rumah," bisik datuk ke telinganya.

Sepasang biji matanya mengerakkan lehernya untuk merenung muka datuk. Dia mengeluh kesakitan.

"Kau pulang saja, Syam," bisik datuk lagi.

Perlahan-lahan dia anggukkan kepala.

"Maafkan saya pakcik," suaranya lemah sekali.

"Aku maafkan kamu, apa yang kamu buat diluar kebolehan kamu Syam."

"Tadi, saya semacam terdengar suara isteri saya menyuruh membunuh pakcik. Saya tak tahu macamana keris boleh berada dalam tangan saya," tutur Syam tercunggap-cunggap.

Datuk menghela nafas dalam-dalam sambil melihat tubuh Syam yang calar balar dan berdarah. Haji Basilam yang berada disisi datuk mengeleng-gelengkan kepala.

Waktu maghrib sudah tiba. Sayup-sayup terdengar suara azan dari menara masjid.

"Sudahlah, kami balik dulu," Haji Basilam memberi kata penamat.

"Silakan, lepas pakcik berdua balik, saya balik sendiri ke rumah saya," tutur Syam tersangkut-sangkut.

Haji Basilam dan datuk segera meninggalkan Syam yang terkapar diperdu pohon besar.

Hari bertambah gelap dan senjakala pun menutup pandangan. Sampai di rumah datuk dan Haji Basilam membersihkan tubuh dan kemudian mereka tergesa-gesa menuju ke masjid untuk solat Maghrib.

AKHIR

BEGITULAH, Haji Basilam mengakhiri cerita tentang penghuni kubur misteri yang dipanah petir. Seram dan menakutkan. Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan.

"Sungguh menakjubkan," jawab Andi Kamarool.

"Itulah kuasa Allah," jawab Haji Basilam.

Saya tidak memberikan sebarang komen kerana saya menumpukan perhatian pada cahaya matahari yang bersinar terang, menerangi sebahagian daripada ruang tamu yang kami duduki.

Saya menggeliat, pinggang mula terasa lenguh dan daging punggung terasa macam kebas, mungkin disebabkan terlalu lama duduk.

Bagi mengatasi masalah tersebut, saya terus bangun dan bergerak ke ambang pintu dan berdiri disitu, merenung ke halaman rumah.

Dan saya dikejutkan dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang, seorang lelaki bermata tajam.

"Pakcik berdua ada di rumah," dia mengajukan pertanyaan sambil tercunggap-cunggap di kaki tangga.

"Ada."

Sekujur tubuhnya saya tatap. Dia nampak resah semacam dan tidak mahu merenung muka saya.

Entah macam mana, secara mendadak saya teringat lelaki itulah yang mengacukan buku lima ke batang hidung saya, semasa berada dikubur yang dipanah petir tempoh hari.

"Saya Syam."

Dia memperkenalkan diri, mungkin dia berbuat demikian kerana saya bersikap tidak ambil berat tentang kehadirannya.

"Humm...." balas saya.

"Saya nak jumpa pakcik berdua."

Saya segera mengangkat kedua belah sayap bahu sambil gelengkan kepala. Dia nampak kecewa sekali dengan tindak-tanduk saya itu. Dia bagaikan tahu yang saya tidak mahu memberikan kerjasama padanya.

Tanpa diduga, Haji Basilam muncul dan berdiri di sebelah kanan.

"Haaa, inilah Syam yang aku ceritakan pada kamu Tamar," wajah Haji Basilam nampak ceria sekali.

Antara mahu dengan tidak, saya mengangguk lemah.

"Naiklah dulu, Syam," pelawa Haji Basilam.

"Tak payah pakcik, mana dia pakcik lagi satu."

"Ada di dalam, kenapa? Kamu nak jumpa dia?" Haji Basilam minta kepastian.

"Iya, ada hal mustahak, saya perlukan pertolongannya."

"Baiklah Syam, biar aku panggil dia." Haji Basilam segera beredar mendapatkan datuk.

Tergesa-gesa datuk keluar dari bilik lalu berdiri dimuka pintu. Andi Kamarool juga turut muncul dan berdiri disebelah datuk. Saya menyorot setiap kejadian dengan penuh teliti sekali.

"Apa halnya Syam?" soal datuk.

Syam segera mengkedutkan dahi, menjeling tajam ke arah saya dan Andi Kamarool Resah tidak menentu dan agak keberatan untuk meluahkan kata-kata.

Haji Basilam membisikkan sesuatu kepada datuk, perlahan-lahan datuk mengganguk dan ada perubahan diwajahnya.

Mereka berdua segera memperkemaskan kedudukan masing-masing, seolah-olah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Cakap terus terang Syam, budak berdua ni anak buah aku," lanjut datuk lagi.

Ada senyuman bermain dikelopak bibir Syam, ketenangan mula tergambar dimukanya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.

Tetapi, dia masih belum bersedia meluahkan tujuan sebenarnya untuk menemui datuk.

"Cakaplah Syam," nada suara datuk mula meninggi.

"Saya tak mahu cakap di sini."

"Habis mahu cakap di mana? Kamu jangan main-mainkan kami. Buruk padahnya nanti," Haji Basilam seperti hilang sabar.

"Saya tak niat nak mainkan pakcik berdua. Saya tak mahu cakap disini, ikut saya ke rumah." Haji Basilam dan datuk saling berpandangan.

Serentak mereka memandang tajam ke arah Syam bagaikan mahu mencari kepastian dari wajah anak muda yang tercegat di kakitangga.

Tanpa memberitahu saya dan Andi Kamarool, datuk dan Haji Basilam masuk ke tengah ruang rumah. Saya dan Andi Kamarool termanggu-manggu dimuka pintu. Syam turut merasa hairan.

Tidak sampai sepuluh minit, datuk dan Haji Basilam kembali ke muka pintu.

"Baik, kami boleh ikut dengan syarat," cukup lantang Haji Basilam bersuara.

"Apa syaratnya?"

"Budak berdua ni mesti ikut sama," tingkah datuk.

Syam termenung sejenak, hujung kakinya mengkuis-kuis tanah dikaki tangga. Kemudian merenung sejenak ke arah matahari dan awan. Dia nampak begitu sukar untuk menunaikan permintaan Haji Basilam.

"Boleh," katanya dengan tiba-tiba. Datuk dan Haji Basilam senyum panjang.

BERPELUH

PERJALANAN dibawah matahari yang memancar terik, penuh dengan cabaran. Syam mendahului kami semua, langkah cepat sekali tanpa mahu menoleh ke belakang (ke arah kami).

Panas yang terik membuat badan saya segera berpeluh.

"Sahabat."

Saya segera menoleh ke arah Haji Basilam, saya lihat dia rebah ditepi jalan dalam keadaan tertiarap. Saya menjadi panik, bila Andi Kamarool turut rebah seperti Haji Basilam.

Datuk berhenti melangkah, menoleh dan menerpa ke arah Haji Basilam, saya pula menerkam ke arah Andi Kamarool tetapi, Syam tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku, dia tetap meneruskan perjalanannya.

Dalam situasi yang kelam-kabut itu, saya terus memicit badan Andi kamarool hingga tenaganya pulih dan boleh duduk.

Tanpa mengharapkan bantuan sesiapa Haji Basilam boleh duduk sendiri dan membuat senaman mengendurkan urat saraf.

Seluruh badan mereka (Haji Basilam dan Andi Kamarool) dibasahi peluh, macam orang mandi.

"Kamu berdua balik saja ke rumah, biar aku dengan Tamar saja ke rumah si Syam," satu cadangan daridatuk dan Haji Basilam nampak seperti keberatan mahu menerima cadangan itu.

"Saya tak ada apa-apa, cuma kepala terasa pening, perut memulas dan tekak terasa loya."

Datuk menarik nafas panjang mendengaz penjelasan dari Haji Basilam itu. Anehnya, Andi Kamarool juga memberi alasan yang sama.

Syam sudah lesap entah ke mana. Saya mengigit bibir, kalau masalah ini tidak dapat diatasi, pasti sulit jadinya, fikir saya dalam hati.

Datuk mengambil keputusan untuk mengadakan perbincangan singkat bagi mengatasi masalah tersebut.

Akhirnya kata putus diambil Haji Basilam dan Andi Kamarool mesti berpatah balik ke rumah demi keselamatan dan kesihatan diri.

Ternyata saranan itu dipatuhi oleh Haji Basilam dan Andi Kamarool.

"Hati-hati dengan budak tu, dia banyak helah," Haji Basilam mengingatkan.

"Aku yakin, dia tak akan membuat helah lagi. Kali ini dia jujur dan memerlukan pertolongan."

"Barangkali pendapat kamu tu memang benar. Tetapi, beringat dan berwaspada tidak merugikan diri kita."

"Aku setuju dengan cakap kamu tu. Kali ini aku yakin dia jujur dan ikhlas, dia memerlukan pertolongan kita," sebuah keyakinan yang tidak berbelah bagi datuk luahkan.

"Aku harap kamu selamat."

Telapak tangan kanan datuk dan Haji Basilam bercantum. Mereka bersalam penuh mesra dan berpelukan bagaikan mahu berpisah beratus tahun.

Saya dan datuk pun meneruskan perjalanan ke rumah Syam. Dengan senyum lebar Syam menyambut kedatangan kami dibawah pokok pauh yang menjadi sempadan antara tanah milik arwah isterinya dengan tanah penduduk kampung yang lain.

Perbuatan Syam itu mengundang pertanyaan dalam hati saya, kenapa dia tidak menyambut kami di kakitangga rumahnya? Mungkin ini taktiknya untuk memperdayakan kami.

"Kenapa tunggu di sini? Agak jauh dari rumah awak?." Pertanyaan yang dihamburkan oleh datuk tidak dijawab oleh Syam.

Dia membisu matanya merenung tajam ke muka saya. Sudah tentu perbuatannya itu menimbulkan rasa kurang senang dalam diri saya.

"Aku tak mahu bincang masalah kamu dibawah pokok ni, Syam. Carilah tempat lain."

"Dimana pakcik?"

"Dirumah kamu?" Syam terpempan, bila melihat datuk mengangkat kaki kanan untuk melangkah sempadan, belum pun sempat telapak kaki kanan datuk memijak tanah bekas isterinya, Syam segera memeluk tubuh datuk sambil menarik ke belakang.

Kedua-duanya rebah diperdu pohon pauh serentak pula mereka bangun.

"Maafkan saya pakcik," Syam tersenggih.

"Kenapa kamu buat macam ni pada aku, Syam."

"Keselamatan diri pakcik."

"Keselamatan diri aku, apa yang kau cakap ni Syam," datuk bertambah terkejut dan hairan dengan sikap yang ditunjukkan oleh Syam.

"Aku tak faham dengan kamu, selalu membuat perkara yang tidak diduga," tambah datuk dengan nada suara yang keras.

"Mari saya tunjukkan buktinya, pakcik bertinggung disini, renung ke arah tanah milik bekas isteri saya, nanti pakcik nampak perbezaan antara tanah milik bekas isteri saya dengan tanah orang lain yang kita pijak. Dengan itu juga pakcik akan dapat jawapan kenapa saya menjatuhkan pakcik."

Datuk bertambah binggung dengan penerangan yang diluahkan oleh Syam.

Antara rasa percaya dengan tidak, arahan yang disebut oleh Syam dipatuhi oleh datuk. Saya juga tidak mahu ketinggalan, cakap Syam saya turuti.

BOHONG

TERNYATA Syam tidak berhelah, juga tidak berbohong.

Tanah milik arwah isterinya nampak seperti berombak, turun naik dalam paras antara satu dan dua inci, macam ada sesuatu yang menolak dari dalam bumi, lama juga datuk merenung pergerakkan tanah yang dianggap pelik dan aneh.

Belum pernah saya melihat tanah bergerak seperti itu. Dada saya berdebar dan rasa cemas mula bersarang dalam dada. Tetapi, kerana datuk berada disebelah rasa takut menjadi kurang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 195/284

BACA: SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, December 29, 2023

Apa Itu Sistem Pangkalan Data Utama PADU? Cara Daftar Dan Kemaskini Maklumat

Apa Itu Sistem Pangkalan Data Utama PADU? Cara Daftar Dan Kemaskini Maklumat

Pangkalan data utama (PADU) mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. PADU merupakan sistem yang diperoleh melalui pengintegrasian data daripada pelbagai sumber yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.

SISTEM PADU

Data sistem PADU dibangunkan merangkumi pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada dan apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen nanti, ia akan mengambil alih tata kelola perkongsian data sistem berkenaan dan menggantikan perjanjian itu.

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan memastikan agihan subsidi bersasar lebih adil dan meminimumkan kumpulan berisiko tercicir berlaku, kelak akan menjadi satu pangkalan data paling lengkap pihak kerajaan.

Objektif PADU adalah bagi menyediakan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan near real time bagi digitalisasi dan penghasilan analitik tepat, penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data dan membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Matlamat PADU adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan, mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad, memperkasa sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan mengimbangi keperluan rakyat.

Melalui PADU, perincian data penduduk tidak hanya tertakluk kepada kelas pendapatan tetapi merangkumi aspek jumlah tanggungan, jenis pekerjaan, pemilikan aset, jarak ke lokasi pekerjaan serta komitmen yang dipikul.

Pengelasan ini sekaligus membantu negara lebih memahami kumpulan penduduk yang selayaknya menerima bantuan tanpa mengikut tahap pendapatan mereka semata-mata.

Selain ketersediaan sistem ini, mulai 2024 juga kerajaan akan membentangkan rang undang-undang omnibus untuk membenarkan perkongsian data antara kementerian dan agensi dilaksanakan.

Menerusi langkah itu, ia akan memudahkan pentadbiran tanpa perlu meminda setiap akta yang memberi kuasa kepada kementerian atau agensi.

3 LANGKAH DAFTAR PADU

Terlebih dahulu, sila lawati laman web rasmi PADU; https://padu.gov.my/

Langkah 1: Maklumat Asas

Maklumat pendaftaran mestilah sama seperti yang tertera pada Kad Pengenalan. Isikan nombor telefon bimbit dan e-mel yang sah serta aktif untuk penerimaan "One-Time Password".

Langkah 2: Pengesahan Akaun

Anda perlu mengisi "One-Time Password" yang diterima melalui e-mel atau SMS. Permohonan semula diperlukan sekiranya tidak menerima "One-Time Password" dalam tempoh ditetapkan atau tamat tempoh pengisian.

Langkah 3: Tetapkan Kata Laluan

Kata laluan mestilah mengandungi sekurang-kurangnya 8 aksara dengan kombinasi huruf kecil, huruf besar dan simbol istimewa (contoh: b8&H@2aM).

Kata laluan ini diperlukan untuk log masuk bagi proses semakan dan pengemaskinian maklumat.

KEBERHASILAN PELAKSANAAN PADU

PADU akan meningkatkan kecekapan pengurusan dengan memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

PADU juga akan membolehkan Kerajaan menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap kepada rakyat.

PADU juga akan membolehkan pemantauan dan penilaian yang tuntas dan berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara.

Pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

SOALAN LAZIM (FAQ) PADU

Siapakah yang boleh mengemaskini maklumat dalam sistem PADU?

Semua warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Apakah manfaat yang saya perolehi dengan mengemas kini maklumat?

Anda berpeluang untuk menerima bantuan atau perlindungan sosial yang sewajarnya.

Adakah saya perlu mendaftar akaun dengan PADU?

Ya, anda perlu mendaftar akaun bagi membolehkan log masuk serta menyemak dan mengemas kini maklumat anda.

Bagaimana untuk membuat semakan & pengemaskinian profil individu dalam sistem PADU?

Setelah selesai membuat pendaftaran kali pertama, tekan butang "Log Masuk". Isikan nombor Kad Pengenalan dan kata laluan dan tekan butang "Log Masuk".

Bilakah saya boleh membuat pengemaskinian maklumat?

Anda boleh mengemaskini maklumat pada bila-bila masa sekiranya terdapat sebarang perubahan seperti alamat semasa, maklumat pekerjaan dan pendapatan.

Sila rujuk Portal PADU diatas bagi sebarang pengumuman terkini.

Bagaimanakah saya boleh membuat aduan atau pertanyaan berkaitan PADU?

Anda boleh membuat aduan dengan menekan menu "Hubungi Kami" > "Aduan Baharu" atau butang "Maklum balas" di Portal PADU.

Anda juga boleh menghubungi kami di talian 1800-88-7720 atau melalui Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC).

Berapa lama tempoh diambil untuk mengetahui status aduan/pertanyaan?

Maklum balas aduan/pertanyaan mengambil masa dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh aduan diterima.

Anda akan menerima maklum balas melalui e-mel atau boleh membuat semakan dengan menekan menu "Hubungi Kami" > "Semak Aduan" menggunakan ID tiket yang telah diberi.

Saya tidak memerlukan bantuan kerajaan. Adakah saya perlu mendaftar?

Anda digalakkan mendaftar dan membuat pengemaskinian bagi memastikan anda tidak tercicir untuk mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Adakah PADU sama dengan program ID Digital Nasional (IDN)?

Tidak. PADU merupakan pangkalan data Kerajaan yang mengandungi maklumat individu, manakala IDN merupakan sistem pengesahan identiti individu secara digital yang membolehkan individu mengakses pelbagai urusan dalam talian dan tidak menyimpan pangkalan data individu.

Buat masa ini, sistem PADU menggunakan pengesahan identiti individu melalui e-KYC sahaja.

Semoga memberi manfaat.

Wednesday, November 15, 2023

SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur

SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur

Setelah berjaya menawan anak muda dalam jumlah yang ditetapkan. Dia (wanita yang mahu mengekalkan kecantikan) akan mandi air halia pada waktu tengah malam, selama tiga bulan disamping makan jenis-jenis pucuk tertentu. Selama tiga bulan juga tidak boleh menjamah nasi kecuali buah-buahan terutama pisang, betik, mentimun bendang.

Toyol jadi-jadian


Pokoknya, jangan makan buah-buahan yang terlalu masam atau terlalu manis. Apakah simati mengamalkan semuanya ini?

Sebelum Sham, entah berapa ramai anak muda belia menjadi suaminya. Ke mana dia membawa sejumlah wang yang begitu banyak.

Barangkali wang tersebut digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mempengaruhi anak-anak muda supaya tertarik padanya yang sekaligus menjadi suaminya.

Kenapa wajahnya begitu menakutkan setelah nyawanya bercerai dengan badan. Semua persoalan yang berlegar-legar dalam kepala Datuk, tidak menemui jawapan yang khusus.

"Kita buat di sini saja. Itulah permintaan suaminya."

"Ahh..." sahut Datuk.

Dan semua yang bermain dalam tempurung kepalanya lenyap. Pak Imam segera mengatur persiapan, menentukan di mana jenazah harus diletakkan. Di mana pula para jemaah harus berdiri.

Apa yang direncana dan disusun oleh Pak Imam tidak mendapat bantahan daripada Datuk.

"Kalau sudah setuju, biar saya jenguk ke dalam, apakah jenazah sudah dimandikan dan dikafankan."

"Jangan begitu kawan," kata Pak Imam sambil merenung biji mata Datuk. Mereka segera berbalas senyum.

Tanpa membuang masa, Pak Imam segera menghilangkan diri di balik kain tabir yang memisahkan ruang tengah dan ruang dapur. Di situlah jenazah dimandikan.

"Kenapa Imam?" Suara Datuk cemas melihat kemunculan Pak Imam dari balik tabir dengan wajah yang pucat.

"Tak ada apa-apa."

"Mustahil tak ada apa-apa, muka kamu pucat. Gerak geri kamu lain macam saja nampaknya."

"Begini," Pak Imam tepuk bahu Datuk.

Kemudian, mereka bergerak ke tepi jalan jendela. Sama-sama merenung ke luar, melihat cuaca petang yang kian redup.

Orang-orang kampung duduk berserakan di halaman, bersedia memberi bantuan bila diperlukan.

"Apa yang mahu kamu cakapkan imam?" Tanya datuk.

"Begini, Hajah Safiah beritahu, semasa jenazah dimandikan, dari lubang hidungnya keluar semacam nanah. Dari lubang pusatnya pula keluar dari sejenis benda halus sebesar benang, berwarna hitam bila jatuh atas batang pisang terus bergerak-gerak macam cacing tanah masuk ke batang pisang dan keluar semula lalu menggigit kulit mayat dalam jumlah yang banyak. Bila kena air, benda aneh itu hancur menjadi air yang berwarna hitam, macam air limbah dan baunya sungguh busuk. Dari mulutnya keluar buih ombak laut. Mujurlah, semuanya berjaya di atasi oleh Hajah Safiah dan kawan-kawannya," jelas Pak Imam sambil menelan air liur.

Wajahnya nampak gusar sekali.

"Sudah dikafankan?" Tanya datuk.

"Sudah."

"Syukurlah, diharapkan selepas ini, tidak ada kejadian yang ganjil terjadi," Datuk melahirkan harapan.

"Saya harap pun begitu juga."

"Sekarang ni, bolehlah Pak Imam buat pengumuman menjemput sesiapa yang sudi ikut sembahyang jenazah."

"Terima kasih kerana mengingatkan saya." balas Pak Imam.

PELAWA

Dari muka jendela Pak Imam buat pengumuman, mempelawa sesiapa yang sudah untuk bersama-sama menyembahyangkan jenazah.

Pelawaan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dan sembahyang jenazah pun bermula.

Suami simati menangis, dia tidak menyangka orang-orang kampung masih mahu menolongnya. Selama ini, dia beranggapan orang-orang kampung memandang serong padanya dan dia datang ke masjid kerana mahu mencari dukun atau pawang bagi mengubati sakit isterinya.

"Kenapa menangis, relakan isteri kamu pergi. Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali," Kata ketua kampung pada suami simati yang menangis tersedu.

"Iringkan pemergiannya dengan doa," sambung ketua kampung.

Suami si mati segera memeluk tubuh ketua kampung.

"Saya menjauhkan diri dari orang-orang kampung kerana menurut kata isteri saya," Suami simati mengadu pada ketua kampung.

"Apa katanya?" desak ketua kampung.

"Katanya, orang kampung memulaukan dirinya dan saya."

"Sekarang kamu lihat sendiri, siapa yang betul. Sudahlah, mari kita tunggu jenazah turun," pujuk ketua kampung. Suamisimati pun akur dengan nasihat ketua kampung.

Jenazah pun diturunkan dari rumah dan terus diletakkan dalam pengusung. Penutup pengusung yang dibalut dengan kain bertulis dengan ayat-ayat suci.

Ketua kampung memilih dua belas orang pemuda yang berbadan tegap dan sasa. Mereka akan mengusung jenazah secara bergilir-gilir hingga sampai ke liang kubur.

Suami simati tidak membantah dengan kumpulan pemuda yang dipilih oleh ketua kampung.

"Cuma ada satu permintaan saya tuk ketua," Sham mula bersuara di bawah sinar matahari yang kian mengecil.

Di kaki langit kelihatan tompok-tompok awan yang menandakan, dalam tempoh waktu kira-kira dua jam lagi, matahari akan jatuh di kaki langit dan senja pun akan berlenggang turun.

"Apa dia permintaan kamu, cakap cepat."

"Dalam jarak lebih kurang dua rantai mahu sampai ke lubang kubur, saya mahu memikul pengusung jenazah sebelah kanan."

"Kenapa dah dekat baru nak usung jenazah tidak dari mula-mula lagi."

"Itu amanat isteri saya tuk ketua. Kalau saya tak tunaikan, buruk padahnya nanti."

"Kalau itu amanat arwah isteri kamu, kami tak menghalangnya," kata ketua kampung.

Sham tersenyum panjang, kepuasan tergambar diwajahnya. Dialog antara Sham dengan ketua kampung diikuti oleh Datuk dan Haji Basilam dengan teliti.

Bagi Datuk, semacam ada sesuatu yang ganjil di atas permintaan suami simati. Mungkin ada muslihat yang tersembunyi, Datuk membuat kesimpulan tersendiri.

Pak Imam segera mendekati ketua kampung, mereka berbincang tentang sesuatu. Beberapa minit kemudian, ketua kampung mengarahkan empat pemuda gagah berdiri di empat penjuru pengusung.

Pak Imam segera mengambil tempat di kepala tangga, kedua-dua belah kelopak bibimya bergerak. Barangkali dia membaca al-Fatihah.

Sebaik saja kelopak bibir Pak Imam berhenti bergerak, ketua kampung terus bersuara.

"Angkat pengusung perlahan-lahan, jangan sampai mayat di dalamnya bergerak atau bergegar."

Serentak empat pemuda berbadan sasa terus membongkok, menjalankan tugas yang dibebankan atas bahu mereka Pengusung tidak bergerak dari tempatnya. Mereka terus mencuba dan hasilnya tidak memberangsangkan.

BERKERUT

Muka empat pemuda gagah mula berkerut, urat-urat leher timbul. Seluruh tenaga dan kekuatan telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Tetapi entah apa sialnya tiga kali mencuba dan berusaha, semuanya gagal. Muka sudah merah padam dan peluh mula membintit di dahi dan pipi.

Orang yang berada di sekeliling pengusung mula merasa pelik. Beberapa orang daripada mereka secara sukarela turut membantu. Tetapi, hasilnya tetap gagal.

"Berat sungguh Pak Imam macam ada batu gunung di dalamnya," adu seorang pemuda sambil menunjukkan telapak tangannya yang sudah merah dan terasa pedih.

"Sabar," kata Pak Imam.

Ketua kampung segera mendekatinya. Mereka berbincang sebentar. Haji Basilam dan Datuk turut dipanggil untuk untuk berbincang sama.

Keputusannya, mereka mengambil alih tugas mengusung jenazah dari empat pemuda gagah.

Orang ramai yang berada di situ menduga semuanya akan berakhir kerana empat orang tua yang kaya dengan pengalaman dan ilmu dijangka akan berhasil mengangkat pengusung.

Dugaan mereka meleset, empat orang tua tersebut nampaknya tercungap-cungap.

Malah Haji Basilam, ketua kampung dan Pak Imam nampak terhoyong hayang macam mahu pitam. Cuma datuk saja tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Macammana pun dahinya berkerut juga.

"Kita tak boleh membiarkan keadaan terus begini, kalau kita tidak bertindak, mungkin sampai maghrib jenazah tidak dikebumikan," kata Datuk.

"Habis, apa yang patut kita buat?" Tanya Haji Basilam.

"Semua yang ada di sini, sama-sama mengusungnya hingga ke tanah kubur," Datuk memberikan formula.

Ternyata saranan Datuk diterima sebulat suara tanpa ada sebab yang membangkangnya.

Setelah lebih dari seratus orang berpadu tenaga, barulah pengusung berisi mayat itu berjaya dipikul.

Semakin hampir dengan tanah perkuburan, pengusung semakin berat. Lebih dari sepuluh orang yang memikul pengusung mengadu bahu terasa sakit.

Ada juga yang mengadu tulang bahu terseliuh. Tidak kurang juga yang merasa pening dan muntah-muntah.

Ketua kampung menyuruh orang yang berhadapan dengan masalah tersebut supaya pulang saja ke rumah. Di khuatiri, bila sampai tanah perkuburan mereka akan menghadapi masalah yang lebih serius lagi.

Ketika memasuki jalan kecil menuju kawasan perkuburan, hari semakin suram. Cahaya matahari bagaikan sudah tidak ada lagi, kerana dikiri kanan jalan kecil itu ditumbuhi pokok-pokok besar yang rimbun menyebabkan keadaan sekitar agak samar-samar.

Terdengar bunyi murai tanah yang selang dengan suara gagak dan cengkerik yang seolah-olah memberitahu tidak lama lagi senjakala akan menjelma.

Dari kejauhan dalam keadaan yang samar-samar batu nisan yang tegak kaku boleh dilihat. Beberapa ekor burung malas terbang dari satu nisan ke satu nisan sambil berbunyi.

Sesungguhnya suasana begini kurang disenangi oleh ketua kampung, tetapi apakan daya jenazah wanita itu mesti dikebumikan dengan segera. Kalau dilewatkan atau ditangguhkan hingga esok akan menimbulkan masalah pada orang ramai.

Dalam jarak beberapa ela mahu sampai ke lubang kubur, ketua kampung segera memanggil suami simati yang sejak tadi mengekori dari belakang.

"Sila tunaikan amanat isteri kamu," beritahu ketua kampung.

"Terima kasih tuk ketua."

Suami simati mengambil tugasnya. Sebaik saja kayu pengandar berada di atas bahunya. Wajah suami simati yang muda nampak bertukar menjadi wajah seorang tua yang berusia antara tujuh puluh hingga lapan puluh tahun.

Tidak ada sesiapa yang berani menegur tentang perubahan yang terjadi pada suami simati.

"Turunkan di sini." Pak Imam mengarahkan supaya pengusung diletakkan agak jauh dari lubang kubur bagi mengelakkan lubang di situ rebak.

Bila pengusung diletakkan di tanah, wajah suami simati berubah seperti sediakala.

Kain penutup pengusung segera dibuka dan mayat dikeluarkan dengan hati-hati sekali.

"Sambut baik-baik," Pak Imam mengingatkan orang yang menyambut mayat di dalam lubang kubur.

"Baik Pak Imam, jawab mereka serentak.

Dan semua orang yang berada di tanah kubur berbisik sama sendiri, mereka masih memperkatakan tentang diri suami simati.

CEMAS

Setelah dipastikan oleh Pak Imam bahawa kedudukan mayat dalam kubur adalah betul, tanpa membuang masa tanah ditebing kubur pun dijatuhkan secara perlahan-lahan.

Sebaik saja tanah dijatuhkan menimpa papan keranda secara mendadak papan keranda terbuka. Dan mayat terus terangkat ke permukaan macam ada kuasa ghaib yang menolaknya dari bawah.

Semasa mayat itu terangkat, batu-batu gunung yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa muncul dari sebelah kanan dan kiri lubang kubur, seiring dengan itu terdengar bunyi deru angin yang kuat.

Apa yang peliknya, dedaun dipepohon yang terdapat dikawasan kubur tidak bergerak.

Dalam suasana yang semakin beransur gelap itu, keadaan di tanah perkuburan menjadi agak kelam kabut. Mayat terus terapung-apung dipermukaan lubang kubur.

Sebahagian daripada orang ramai yang turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan mula cemas dan takut.

Kerana tidak mahu menanggung risiko yang lebih buruk mereka segera meninggalkan kawasan perkuburan.

Melihat keadaan yang haru biru itu, Datuk segera menyuruh Pak Imam mengepalkan tanah sebesar penumbuk. Pak Imam patuh dengan arahan Datuk. Tanah kubur yang sudah dikepalkan itu segera diserahkan kepada Datuk.

"Dari tanah asalmu kepada tanah juga kamu dikembalikan. Sesungguhnya, tiada siapa yang dapat mengatasi kuasa Allah. Tiada siapa yang berhak atas roh ini melainkan Allah jua."

Dan orang ramai yang berdekatan dapat mendengar kata-kata yang datuk ucapkan itu. Kerana mayat yang terapung di udara itu agak hampir dengannya, amat mudah bagi Datuk meletakkan tanah yang sudah dikepalkan itu ke atas pusat simati (mayat).

Dengan izin Allah, secara perlahan-lahan mayat yang terapung diudara mulai menurun. Bunyi deru angin turut berkurangan. Akhirnya, mayat kembali pada kedudukan asalnya dalam lubang kubur.

"Tutup..." kata ketua kampung.

Seorang anak muda yang secara kebetulan berada di tepi kubur segera mengambil papan (Penutup) lalu menutup mayat.

"Timbus dengan tanah cepat-cepat," Datuk mengeluarkan arahan.

"Iya, kita segerakan kalau lambat-lambat nanti ada masalah lain yang datang. Lagipun hari sudah beransur gelap, sudah senja," sahut ketua kampung sambil mengambil cangkul.

Dia turut mengkais tanah, merata kubur. Tidak sampai satu jam, kubur tersebut berjaya ditimbus. Keadaan sekitar semakin beransur gelap. Nyamuk mula menyerang, bunyi cengkerik makin menjadi jadi.

Gerak geri Haji Basilam, Datuk, ketua kampung dan Pak Imam jadi perhatian orang sekitar. Kerana wajah empat insan tersebut nampak tenang dan bersahaja, memberi keyakinan pada orang lain, bahawa tidak akan berlaku perkara yang buruk.

Tidak banyak reaksi simati yang diperlihatkan oleh suami simati. Dia hanya diam membatu.

"Sham bentangkan tikar di situ."

Tanpa membuang masa Sham terus membentangkan tikar mengkuang seperti yang diarahkan oleh ketua kampung.

"Eloklah Pak Imam membacanya," kata Haji Basilam.

"Saya pun fikir macam itu juga," sahut Datuk.

"Baiklah."

Pak Imam pun melabuhkan punggungnya di tikar mengkuang. Haji Basilam segera mengambil tempat disebelah kirinya. Datuk di sebelah kanan. Sebelah Datuk pula ialah ketua kampung.

HIMPIT

Orang yang jumlahnya sekitar lima belas orang (yang lain semuanya sudah angkat kaki, berikutan dengan peristiwa mayat terangkat) segera duduk berhimpit-himpit.

Masing-masing tidak mahu berada jauh dari tempat insan (Datuk, Haji Basilam, Pak Imam dan Ketua Kampung) yang dianggap sebagai manusia yang mempunyai kebolehan tersendiri. Boleh menyelesaikan masalah yang timbul secara mendadak.

"Sebelum talkin dibaca, saya nak pacak ranting dibahagian kepala dan kaki," suami simati mengemukakan permintaan.

"Silakan," jawab Pak Imam.

Suami simati segera mematahkan ranting kemboja di sisinya. Dengan hati-hati dipacakkan di bahagian kepala dan kaki. Tidak sampai lima minit dipacak, daun diranting terus layu terbakar.

"Jangan pedulikan, jika Sham minta buat itu, jangan dilayan."

Bisik datuk ke telinga pak Imam.

"Kenapa?"

"Banyak buruk dari baiknya," balas datuk.

"Baik," angguk Pak Imam.

Disaat pembacaan talkin mahu dimulakan, Sham segera mendekati Pak Imam. Dia mengemukakan permintaan untuk meletakkan sekuntum bunga di atas kubur isterinya.

"Minta maaf Sham," kata Pak Imam.

"Tapi ini amanat isteri saya."

Pak Imam jadi serba salah. Kalau permintaan dipenuhi, ertinya dia membelakangi pesanan Datuk.

"Bagaimana?" Pak Imam renung muka Datuk.

"Jangan dilayan, dia sengaja mahu melambat-lambatkan kerja kita, dia ada muslihat," kata datuk dengan nada suara yang tinggi.

"Kamu dengar apa yang dikatakan olehnya Sham."

"Dengar," bentak Sham sambil memandang muka Pak Imam dengan rasa benci yang amat sangat.

Pak Imam membaca talkin. Suaranya yang nyaring bagaikan berlawan dengan suara cengkerik, katak, ungka, kera, burung gagak dan puyuh yang mahu pulang kesarang.

Sebaik sahaja talkin selesai dibaca, hari sudah senja. Keadaan sekitar bertambah gelap. Nyamuk kian ganas menyerang.

"Terima kasih pada yang menolong."

Semua biji mata tertumpu ke batang tubuh suami simati yang tegak berdiri dibahagian belakang sekali. Suaranya cukup lantang.

"Terima kasih," jawab ketua kampung mewakili anak buahnya.

Sebelum meninggalkan kawasan tanah perkuburan, ketua kampung memastikan anak buahnya yang hadir ditanah perkuburan cukup bilangannya. Tidak ada yang kurang.

Bagi menghilangkan rasa takut dihati anak buahnya, ketua kampung membuat peraturan sendiri. Mereka harus berjalan sebaris.

"Saya minta Haji Basilam menolong saya," Ketua kampung cuit bahu kanan Haji Basilam.

"Bantu apa tuk ketua?"

"Jadi kepala jalan."

"Ah perkara mudah," Haji Basilam terus berdiri dihadapan.

"Pak Imam di tengah," ketua kampung renung muka Pak Imam.

"Boleh," Pak Imam segera mengambil tempatnya.

Bila semuanya selesai ketua kampung menentukan tempatnya iaitu dibelakang suami simati. Manakala Datuk berada dibelakangnya (ketua kampung), dengan erti kata lain, Datuk adalah orang yang berada di barisan terakhir.

"Sekarang kita bergerak Pak Imam," jerit ketua kampung.

"Ok," balas Pak Imam.

Barisan yang diketuai Pak Imam pun bergerak meninggalkan kawasan perkuburan. Kerana Datuk berada di belakang sekali, sebelum melangkah Datuk menoleh ke arah kubur untuk kali terakhir.

Datuk melihat pengusung jenazah yang dibuat dari buluh nampak bergerak-gerak. Kerana kurang yakin dengan apa yang dilihatnya, datuk merenung untuk kali kedua.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 194/284

BACA: Siri 193: Daging Pipinya Relai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com