"Kepesatan Baitul Maqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlakunya perang besar. Perang besar adalah tanda berlakunya pembukaan Kota Constantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal." [HR Abu Daud]
Merujuk kepada hadis di atas, sebelum berlakunya perang besar, Baitul Maqdis akan menjadi pesat. Ia boleh dikira sebagai mukaddimah kepada semua peristiwa penting yang bakal mencatat sejarah dunia.
Ramai berpandangan bahawa maksud pesat (عمران) daripada hadis bermaksud Islam bakal menguasai kembali Baitulmaqdis sebelum perang besar. Namun, pesat di situ tidak menunjukkan kepada kota tersebut akan ditawan umat Islam atas beberapa sebab.
Pertama kerana Nabi SAW tidak menggunakan perkataan pembukaan (فتح) sebagai yang digunakan dalam hadis yang sama merujuk kepada Constantinople.
Kedua, lafaz (عمران) sendiri tidak bermaksud pembukaan atau penawanan. Sebaliknya ia lebih kepada pembangunan ataupun kepesatan.
Dan ketiga, situasi semasa tidak menunjukkan tanda-tanda demikian.
Perjuangan umat Islam membebaskan Baitul Maqdis banyak bergantung harap kepada bantuan dari negara sekeliling.
Benar terdapat hadis yang menyatakan bahawa pejuang di sana akan sentiasa wujud. Tetapi ia cuma menunjukkan penentangan terhadap musuh akan sentiasa berlaku. Ia tidak bermakna musuh tidak berjaya menguasai Baitul Maqdis.
Negara sekeliling Palestin seperti Turki, Iraq, Jordan, Lubnan, Iran dan Mesir sedang menghadapi kekacauan di tempat sendiri menyebabkan mereka sibuk menguruskan konflik. Bantuan persenjataan dan politik akan terganggu. Dan ia akan memudahkan Zionis menguasai Baitul Maqdis.
Ini sekaligus membenarkan hadis Nabi mengenai Baitul Maqdis bakal menjadi pesat. Namun pesatnya sebagai pusat pemerintahan Yahudi yang bercita-cita besar mahu mendirikan Kerajaan Nabi Sulaiman dan menguasai dunia, bukan di tangan Islam.
Kehancuran Tanah Arab
Nabi SAW menyebutkan kepesatan Baitul Maqdis merupakan tanda kepada keruntuhan Yahtrib ataupun Madinah. Runtuh bukan bermaksud binasa dan padang jarak padang tekukur, tetapi lebih kepada ditinggalkan dan tidak lagi dikunjungi. Berkemungkinan ianya disebabkan konflik dalaman Kerajaan Saudi sekarang.
Sabda Rasulullah SAW: "Akan bertempur di sisi khazanahmu (Kaabah) tiga pihak. Ke semuanya putera pemerintah. Tiada seorang pun yang akan menang. Kemudian akan muncul panji hitam dari arah hitam, maka mereka akan menyerang kamu dengan serangan yang tidak pernah dilakukan pihak lain. – kemudian Nabi S.A.W menyebut sesuatu yang perawi tidak menghafaznya. – Apabila kamu melihatnya maka berbaiahlah padanya walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji." [HR Ibn Majah]
Menurut Rasulullah, akan berlaku pergelutan antara tiga putera raja. Kemungkinan perkara ini akan berlaku sejurus kemangkatan Raja Salman yang bakal menjadi raja terakhir dari anak pengasas kerajaan Arab Saudi, Abdul Aziz bin Saud. Setelah itu akan berlaku krisis perlembagaan dalam menabalkan raja seterusnya.
Jika diikutkan turutan, raja seterusnya adalah adinda Salman, Talal bin Abdul Aziz. Tetapi Salman tidak melantik beliau sebagai Putera Mahkota, sebaliknya takhta itu diberikan kepada anak saudaranya Muhammad bin Nayef.
Pada Julai 2017, Salman memecat Muhammad bin Nayef daripada takhta tersebut dan menggantikan dengan anaknya, Muhammad bin Salman. Kemudian, kerajaan Arab Saudi telah menyita dan membekukan aset salah seorang putera Saudi, al-Waleed bin Talal.
Muhammad bin Salman dalam satu kenyataannya berikrar untuk menghapuskan semua yang menghalang jalannya. Al-Waleed pula menyatakan tidak akan berdiam diri. Isu Muhammad bin Nayef sehingga kini menjadi liputan hangat di media Saudi. Kes beliau sangat misteri dan sensasi!
Dari segi perundangan, ketiga pihak ini memiliki locus-standi untuk menuntut hak sebagai raja. Muhammad bin Salman adalah Putera Mahkota, al-Waleed pula adalah anak kepada Putera Mahkota sebenar mengikut giliran, manakala Muhammad bin Nayef pula adalah bekas Putera Mahkota yang dipecat.
Dari segi politik pula, ketiga-tiga mereka memiliki pengaruh yang besar. Muhammad bin Salman selain menduduki takhta Putera Mahkota dan Menteri Pertahanan, beliau merupakan pemimpin de facto Arab Saudi.
Muhammad bin Nayef pula adalah bekas Menteri Dalam Negeri dan juga pemimpin politik senior negara tersebut.
Al-Waleed bin Talal merupakan ahli korporat bertaraf billionaire. Dengan kuasa wang, beliau mampu melakukan apa sahaja.
Sengketa ini dijangka akan berlarutan. Tiada siapa akan dapat menguasai keadaan secara mutlak. Arab Saudi bakal huru-hara.
Rakyat dan umat Islam yang berkunjung ke sana untuk beribadat bakal menjadi mangsa kerakusan. Tidak mustahil akan menjemput kuasa asing campur tangan dalam hal ini.
Barat sememangnya memiliki kepentingan yang sudah lama terhadap Semenanjung Arab. Bahkan penubuhan negara Arab Saudi, Qatar, UAE dan Kuwait adalah jasa kolonial British yang sebelum itu telah menghasut negara-negara tersebut memberontak terhadap Khilafah Uthmaniah di Turki, dalam peristiwa Revolusi Arab Agung 1916.
Sehingga kini, negara-negara terbabit terhutang budi kepada British seterusnya Amerika, sehingga banyak kepentingan negara Arab dikuasai oleh Barat.
Kerjasama erat antara Arab dan Amerika telah membentuk sistem kewangan baru yang dikenali dengan Petrodollar. Sistem yang menguatkan lagi hegemoni Amerika menuju ke arah Order Dunia Baru (New World Order).
Justeru tanah arab menjadi fokus utama dasar luar Amerika dalam memastikan kelangsungan ekonomi dan politik mereka terjamin.
Umat Islam menjadi mangsa kerakusan nafsu materialistik Barat. Mereka buntu memikirkan jalan penyelesaian. Berbagai inisiatif diambil oleh individu mahupun kumpulan tertentu bagi mengawal keadaan. Namun tidak berjaya kerana tidak memiliki kuasa dan pengaruh.
Ketika ini, umat Islam benar-benar amat mengharapkan seorang pemimpin yang boleh menghentikan semua masalah ini.
Maka dalam keadaan inilah, bakal muncul satu kumpulan umat dari arah Timur. Mereka bakal memerangi golongan yang melakukan kerosaan di tanah Arab dan menyelamatkan umat Islam.
Pemimpin kumpulan ini bakal ditabalkan sebagai pemimpin bagi seluruh umat Islam. Beliaulah yang Nabi SAW nyatakan sebagai al-Mahdi.
Hakikat ini disokong oleh hadis yang menyatakan bahawa Semenanjung Arab bakal diserang. Serangan bukan bertujuan untuk menghancurkan Arab, tetapi untuk menyelamatkan umat Islam ketika kalangan orang arab sudah tidak dapat menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: "Kamu akan memerangi Semenanjung Arab, maka Allah akan membukanya untuk kamu. Kemudian Parsi, maka Allah akan membukanya untuk kamu. Kemudian Rom, maka Allah akan membukanya untuk kamu. Kemudian Dajjal, maka Allah akan membukanya untuk kamu." [HR Muslim]
Wilayah Parsi dijarah
Selain peperangan di Semenanjung Arab, hadis di atas turut menyebutkan beberapa tempat lain yang bakal diserang atau diselamatkan. Mengikut turutan, tempat kedua adalah Parsi yang kini adalah kawasan antara Iraq, Iran dan Asia Tengah.
Sabda Nabi SAW: "Kemudian Parsi, maka Allah akan membukanya untuk kamu."
Tidak dipastikan secara tepat di manakah peperangan itu bakal berlaku. Tetapi jika kita melihat kepada keadaan semasa, kekacauan sudah berlaku sangat dahsyat di Iraq. Keadaan di Iran juga sentiasa meruncing.
Kekacauan di negara yang menjadi ancaman buat Amerika tentunya memberi keuntungan buat mereka. Akhbar Israel Maariv sendiri menyatakan mereka akan beroleh laba dari kejatuhan kerajaan Iran sekarang.
Peluang yang terbuka pasti akan diambil manfaat sepenuhnya oleh kuasa besar ini. Inilah yang kita lihat pernah berlaku di Iraq, Libya, Syria, Yemen, Turki dan Mesir.
Bermula dari protes rakyat, ia kemudian bertukar menjadi campurtangan asing dan akhirnya menjadi medan perang saudara dan perang proksi.
Jika diambil kira strategi kuasa besar ini menghuru-harakan negara, mereka akan turut menggunakan sentimen perbezaan aliran di kalangan umat Islam sebagai medium.
Kekacauan di Iraq, Yemen dan Syria telah berjaya dipotretkan dengan bingkai pertembungan Sunni dan Syiah.
Menggunakan tentera upahan seperti al-Qaeda dan ISIS, mereka menyerang kawasan Sunni dan Syiah dan kemudian menuduh ataupun membuat pengakuan palsu kononnya satu aliran bertanggungjawab melakukan terhadap aliran lain.
Malah Amerika turut berjaya menghimpunkan hampir seluruh negara OIC dalam Persidangan Riyadh 2016 bagi mencapai kata sepakat pemimpin politik negara Sunni memerangi Syiah.
Jika diteliti peta baharu Asia Barat yang dicadangkan oleh Armed Journal Forces bagi menggantikan peta pasca Sykes-Picot sekarang, mereka bakal memecahkan lagi kawasan bekas taklukan Parsi, dengan mewujudkan negara baru berunsur bangsa seperti Kurdistan di bahagian Utara dan Balochistan di Selatan.
Selain itu mereka juga akan menambah negara berunsur mazhab seperti Sunni Iraq dan negara Arab Syiah. Negara seperti Azerbaijan dan Armenia bakal diperluaskan manakala negara Afghanistan, Iran dan Pakistan bakal kehilangan sebahagian wilayahnya.
Seandainya diteliti menerusi hadis di atas, keadaan di sana tidak dapat ditangani melainkan setelah datangnya tentera al-Mahdi. Mereka datang setelah membebaskan dahulu Semenanjung Arab dari kekacauan.
Turki ditakluk
Selepas Parsi, Nabi SAW menerangkan Rom sebagai wilayah seterusnya. Rom di zaman Nabi SAW telah terpecah kepada dua, iaitu Rom Barat di Eropah dan Rom Timur yang lebih dikenali sebagai Roman Byzantine.
Pusat pemerintahan Rom Timur adalah di Constantinople yang hari ini dikenali sebagai Istanbul, salah sebuah bandar utama di Turki.
Peperangan seterusnya yang bakal dihadapi oleh umat Islam adalah di Turki. Nabi SAW dalam sebuah hadis menggambarkan bahawa Constantinople akan sekali lagi dibuka oleh umat Islam di akhir zaman, iaitu selepas kemunduran Madinah.
Petikan sabda Rasulullah SAW: "Perang besar adalah tanda adalah berlakunya pembukaan kota Constantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal." [HR Abu Daud]
Ini menunjukkan bahawa Turki juga bakal menjadi negara konflik di era Perang Dunia ketiga.
Jika dilihat sejarah dan situasi politik negara tersebut, ia tidak pernah lekang daripada kontroversi. Turki menjadi antara negara paling banyak berlaku kudeta.
Setiap kali pemimpinnya ingin membawa Islam, tentera akan merampas kuasa atas alasan bercanggah dengan perlembagaan sekular negara tersebut.
Sultan Abdul Hamid, Adnan Manderes, Erbakan, antara mangsa penggulingan kuasa sepanjang sejarah Turki moden.
Terbaharu, cubaan kudeta terhadap pemerintahan Erdogan pada 2016 didalangi oleh gerakan Gulen yang kini mendapat suaka politik daripada Amerika.
Selain dari kebimbangan terhadap negara yang pernah menjadi pusat pemerintahan empayar terbesar dunia itu, Turki menjadi tumpuan utama kuasa besar atas faktor ekonomi, politik dan juga ketenteraan.
Turki merupakan negara yang strategik menghubungkan antara Asia Barat dan Eropah. Ianya sangat kritikal buat Barat dalam menjamin kepentingan mereka di tanah Arab terutamanya telaga-telaga minyak dan gas.
Kewangan Amerika sangat bergantung kepada sistem Petrodollar yang berkait dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Selain itu Turki terletak di antara Laut Hitam dan Laut Mediterenean yang sangat strategik dari segi ekonomi. Mereka turut memiliki Selat Bosphorus yang menghubungkan antara Asia Tengah, Eropah dan Afrika.
Dari segi politik, Turki boleh dianggap sebagai buffer state yang memisahkan antara kuasa Barat dan Timur. Peralihan blok daripada Barat ke Timur mengakibatkan ianya menjadi ancaman buat Barat.
Turki berkongsi sempadan dengan banyak negara yang berbeza haluan politik seperti Ukraine, Rusia, Cyprus, Bulgaria, Greece, Georgia, Armenia, Syria, Iraq dan Iran.
Dari segi ketenteraan pula, Turki menjadi zon penampan kuasa Timur kerana berada paling hampir dengan barat dibandingkan dengan negara blok Barat yang lain.
Walaupun Amerika berjaya menguasai Ukraine bagi mengekang pengaruh Rusia, namun Rusia berjaya mengambil kembali Crimea. Dengan Turki berada di pihak Rusia, Laut Hitam telah didominasi blok Timur dan bakal menjadi ancaman buat Eropah dan NATO.
Turki kini sedang bergelut dengan pengaruh gerakan Gulen yang begitu hebat. Pengikut tarikat sufi yang pro-Amerika itu dianggarkan melebihi dua juta orang.
Selain itu, Turki berhadapan dengan ancaman kaum Kurdi yang sering melakukan kekacauan politik dan keselamatan terutama di bahagian Tenggara. Bangsa Kurdi memiliki hubungan rapat dengan Zionis Israel.
Lemahnya satu persatu blok Timur di Asia Barat meletakkan kedudukan Turki semakin terancam. Tidak mustahil Turki bakal menjadi medan perang seterusnya yang akan menyaksikan negara tersebut jatuh ke tangan musuh Islam.
Namun pada akhir zaman, hadis Nabi SAW menunjukkan bahawa Turki bakal jatuh semula ke tangan Islam. Pembukaannya bakal dipimpin sekali lagi oleh sebaik-baik pemimpin dan dibantu oleh sebaik-baik tentera. Tetapi ianya akan berlaku selepas pembebasan Semenanjung Arab dan juga Parsi.
Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga orang Rom turun di Kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (berhampiran Aleppo, Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan dari Madinah, yang merupakan penduduk pilihan di muka bumi kala itu. Ketika mereka sudah berbaris untuk berperang, maka berkatalah orang Rom: "Biarkanlah (jangan kalian halangi) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka berperanglah kedua pihak ini. Pusingan pertama, mati satu pertiga dari mereka yang Allah tidak akan menerima taubatnya. Pusingan kedua, mati pula satu pertiga yang merupakan sebaik-baik syuhada. Pusingan ketiga, dimenangi oleh satu pertiga yang baki. Kemudian mereka berjaya membuka kota Constantinople. Mereka membahagikan harta rampasan perang dan menggantungkan pedang-pedang dengan zaitun. Ketika itu muncul satu khabar dari syaitan, mengatakan Dajjal telahpun keluar bagi mengganggu anak isteri mereka. Maka mereka pun keluar mendapatkannya. Walhal ianya adalah batil. Ketika mereka berbaris sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Ketika waktu solat sudah masuk dan mereka bersedia mendirikan solat, tiba-tiba turunlah Nabi Isa Ibn Maryam A.S." [HR Muslim]
Pembukaan Vatican City
Selain Constantinople, umat Islam juga akan membuka Kota Rome. Keduanya merupakan mercu kebanggaan bangsa Rom kerana Constantinople yang terletak di Turki adalah kubu pemerintahan Roman Byzantine manakalah Rome di Itali adalah pusat gereja Katolik, atau lebih dikenali sebagai Vatican City.
Sahabat bertanya bandar manakah yang bakal dibuka dahulu, Constantinople atau Roma? Jawab Nabi S.A.W: "Bandar Heraclius yang pertama dibuka." [HR Hakim]
Tidak dinyatakan tentang bilakah kota Rome akan dibuka oleh Islam. Boleh jadi sebelum membuka Baitul Maqdis, iaitu sebelum Yahudi dan Dajjal ditumpaskan dan boleh jadi juga selepas Islam menegakkan Khilafah di atas manhaj Nubuwwah. Apa yang pasti, ia akan dibuka juga oleh orang Islam.
Perkembangan di Eropah hari ini menunjukkan perkembangan yang sangat pesat.
Menurut kajian Pew Research, Islam merupakan agama yang mengalami pertambahan penganut paling mendadak. Bahkan menjelang 2050, jumlah penganut Islam akan menyamai penganut Kristian, dengan 10 peratus populasi Muslim dunia adalah daripada Eropah.
Tetapi menurut Monsgnor Formenti, jurnalis sebuah akhbar Vatican L'Osservatore Romano mencatatkan bahawa Muslim telah mengatasi populasi Katholik dengan 19.2 peratus berbanding 17.4 peratus.
Perkembangan di Vatican City sejak akhir-akhir ini juga semakin menarik. Pope John Paul II sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam bakal menguasai Eropah. Bahkan beliau memiliki sikap yang sangat terbuka dengan Islam sehingga digelar Pope Of Islam.
Jolokan yang sama turut diberi kepada Pope Francis kini. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa keganasan tidak ada apa-apa kaitan dengan Islam. Malah beliau dengan lantang mengkritik Amerika yang mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai milik Israel.
Pope Benedict XVI pula walaupun sebelum ini lantang mengaitkan Islam dengan keganasan, tetapi di akhir jawatannya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kristian bukan agama Bible.
Selepas mengeluarkan kenyataan, beliau memecahkan rekod sepanjang zaman apabila menjadi Pope pertama meletakkan jawatan. Khabar angin mengatakan beliau telah memeluk Islam.
Dari segi agama Kristian, mereka telah berpecah kepada beberapa mazhab. Yang paling masyhur adalah Katholik, Ortodoks dan Protestan.
Kristian yang menguasai dunia pada hari ini terdiri daripada penganut Protestan dan juga anggota gerakan radikal Evangelikan atau disebut sebagai Kristian-Zionis.
Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa golongan yang paling baik terhadap umat Islam adalah orang yang mengaku dirinya Kristian.
Firman Allah: "Demi sesungguhnya engkau akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong." [al-Maidah:82]
Ada ulama berpendapat yang dimaksudkan dengan Kristian ini adalah merujuk kepada Kristian Ortodoks yang dianuti oleh Roman Byzantine. Sehingga kini ia menjadi anutan di Syria, Mesir, Eropah timur tetapi kebanyakannya berada di Rusia.
Ada juga yang berpandangan simplistik, dengan mengatakan semua kristian adalah baik termasuk Amerika yang dikuasai oleh Protestan Sekular dan Evangelikan. Sedangkan sifat mereka dengan mafhum nas jauh panggang daripada api.
Berkemungkinan juga Kristian yang dimaksudkan oleh al-Quran meliputi Kristian Ortodoks dan Katholik hari ini. Ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat tersebut lebih kurang sama antara Katholik dan Ortodoks. Tetapi tidak termasuk Protestan yang menganut fahaman Sekular dan Evangelikan yang menyokong agenda Zionis.
Justeru melatari pembukaan kota Rome, penganut Katholik di Vatican City akan menerima Islam. Boleh jadi mereka juga termasuk dalam hadis mereka yang akan berdamai dengan Islam bagi menghadapi musuh yang sama.
Sabda Rasulullah SAW: "Kamu bakal berdamai dengan Rom. Maka kamu dan mereka akan memerangi musuh di belakang mereka." [HR Ibnu Majah]
Namun perkaitan dengan Kristian Ortodoks adalah lebih kuat. Ini berdasarkan hadis bahawa umat Islam akan bergabung sebelum berperang dengan Bani Asfar.
Di dalam hadis konteks berlainan, Nabi memaksudkan Bani Asfar sebagai keturunan Heraclius iaitu Maharaja Rom Byzantine. Keturunan beliau kini berada di Rusia.
Apa yang pasti, antara hikmah diturunkan Nabi Isa a.s. menurut ulama adalah untuk menyatukan kembali penganut Kristian. Simbolik mematahkan salib yang dilakukan oleh Nabi Isa nanti menjadi tanda bahawa anutan mereka selama ini salah, dan akhirnya membawa mereka memeluk Islam.
Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Ibn Maryam turun kepada kamu sebagai pemimpin yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan jizyah. Maka ketika itu harta melimpah ruah sehingga tiada orang yang mahu menerimanya lagi." [HR Bukhari]
Syria turut terlibat
Pembukaan semula Constantinople sangat berkait dengan wilayah Syam. Sebelum peta Sykes-Picot, wilayah syam merupakan gabungan negara Palestin, Syria, Jordan dan Lubnan.
Sebahagian ulama berpandangan inilah tanah Baitul Maqdis yang dimaksudkan oleh Nabi SAW. Bahkan ada yang berpandangan Baitul Maqdis lebih besar daripada itu, bermula daripada Sungai Furat ke Sungai Nil. Sama sebagaimana yang didakwa oleh Zionis sebagai The Promised Land.
Beberapa hadis menunjukkan bahawa Syria bakal dibebaskan oleh Islam.
Pertamanya, Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya kem umat Islam pada hari perang dunia adalah di Ghutah, berhampiran bandar yang dikenali sebagai Damsyik. Ianya antara bandar terbaik di dunia." [HR Abu Daud]
Hadis ini disokong dengan satu hadis yang mauquf riwayat Ibn Abi Syaibah, menyatakan bahawa akan tiba zaman semua orang Islam akan berhimpun di Syam. Berkemungkinan mereka akan berkubu di Ghutah.
Menunjukkan bahawa Syria bakal ditawan oleh umat Islam. Hadis berkenaan turun Nabi Isa di masjid Dimasyq memperkuatkan lagi kenyataan ini.
Sabda Rasulullah SAW: "Allah mengutuskan Ibn Maryam maka dia turun di sisi menara putih di Timur Dimasyq dengan rupa yang indah, sambil meletakkan dua tangannya pada sayap dua malaikat." [HR Muslim]
Namun sebelum itu, Syria sebagaimana Iraq bakal menjadi perang yang dahsyat sebagaimana Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Sungai Furat bakal memperlihatkan gunungan emas. Manusia akan berperang kerananya. Akan terbunuh 99 daripada 100. Setiap yang menyertainya mengatakan: "Moga-moga akulah yang akan selamat." [HR Muslim]
Walaupun ramai berpandangan ianya adalah sebenar-benar gunung emas seperti makna zahir hadis, namun mengikut pendapat, ia adalah majaz. Sebenarnya perkara ini sedang berlaku hari ini dan akan terus berlaku.
Mengikut konteks semasa, berkemungkinan ia bermaksud sumber petroleum. Ini kerana petrol hari ini telah menggantikan peranan emas dari sudut nilai. Semuanya disebabkan sistem Petrodollar yang diguna pakai hari ini.
Wang kertas yang kita gunakan tidak lagi bersandarkan kepada emas sebagaimana yang sepatutnya. tetapi lebih kepada transaksi petrol di pasaran.
Peperangan yang berlaku di Iraq dan Syria antara lain adalah bagi menguasai telaga minyak di sana. Jika dilihat kawasan yang menjadi serangan ISIS adalah sekitar punca telaga minyak.
Dalam keadaan peperangan itu, penyeludupan minyak dilaporkan terus berjalan. Minyak dan gas daripada ISIS dan pelampau Kurdi disalurkan melalui Turki, Jordan dan juga Israel.
Disebut dalam Hadis yang lain, akan muncul tentera Sufyani yang jahat.
Sabda Rasulullah SAW: "Akan muncul lelaki bergelar As-Sufyani akan datang dari tengah Kota Damsyik. Kebanyakan tenteranya adalah dari Bani Kalb. Dia akan membunuh (ramai orang) sehingga memperkosa wanita dan membunuh kanak-kanak. Maka datanglah suatu kaum dari Qais lalu membunuh mereka semuanya. Kemudian keluarlah seorang lelaki dari ahli keluargaku di Al-Hirrah (Imam Mahdi) dan berita itu sampai kepada As-Sufyani. Dia segera menghantar pasukan tenteranya tetapi menderita kekalahan (teruk). As-Sufyani bangun memimpin sendiri pasukan tenteranya sehingga sampai di kawasan antara Mekah dan Madinah, lalu mereka ditelan oleh bumi." [HR Al-Hakim]
Semua ini menunjukkan walaupun kubu umat Islam akhir zaman berada di Syria, tetapi tidak bermaksud semua yang ke sana akan menjadi tentera Islam yang dimaksudkan.
Boleh jadi mereka menjadi alat kepada pihak yang merebut gunung emas di Sungai Furat. Boleh jadi juga mereka mengikut tentera Sufyani.
Giliran tentera yang sebenar hanya akan muncul bila tiba masa yang Allah tetapkan. Kemungkinan besar, ianya berlaku selepas tentera Sufyani ditelan oleh bumi.
Perang melawan India
"Dua pasukan daripada umatku yang akan dipelihara daripada api neraka: Pasukan yang memerangi India dan pasukan yang bersama Isa bin Maryam a.s." [HR Nasaie]
India, merupakan negara bekas jajahan British. Negara yang pernah dilanda konflik agama yang sangat teruk sehingga membawa kepada penubuhan negara Pakistan dan kemudian Bangladesh.
Sehingga kini, permusuhan antara India dan Pakistan masih berlanjutan. Masing-masing tidak mahu mengalah.
Pakistan merupakan antara negara umat Islam yang memiliki tenaga nuklear dengan kerjasama China dan Jepun selain Amerika sendiri.
Sebelum ini Pakistan menerima banyak bantuan dana daripada Amerika dan hubungan antara kedua negara ini baik sehingga zaman Obama.
Namun, hubungan antara kedua negara ini mula renggang selepas Donald Trump sebelum ini seolah-olah sengaja mencari kesalahan Pakistan apabila negara tersebut menolak hasrat US melalui undian berkenaan status BaitulMaqdis di PBB.
Kenyataan-kenyataan bekas Presiden US dilihat sengaja menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara dua negara ini sehingga ke tahap mempertikaikan kembali status nuklear negara berkenaan.
India pula menjadi antara sekutu paling rapat Israel. Menjadi negara dengan pembelian kelengkapan ketenteraan Israel terbesar di dunia.
Israel juga merupakan pembekal pertahanan kedua terbesar kepada India. Dari sudut perdagangan, India adalah negara ke-10 terbesar bagi Israel. Yang paling penting, India telah membenarkan negaranya menjadi tempat ujian senjata Israel.
Perang Dunia Ketiga seringkali dikaitkan dengan perang nuklear. Hadis-hadis Nabi SAW turut menunjukkan perkara serupa mengenai Malhamah Kubra.
Justeru sebagai negara nuklear, pastinya Pakistan akan turut diheret ke kancah konflik Asia Barat. India dijangka akan memainkan peranan sebagai anjing Amerika bagi mengekang kemaraan Pakistan.
Umat Islam akan bangkit menentang India dan akhirnya kemenangan adalah milik umat ini.
Para ulama berpendapat peperangan antara Islam dan India berlaku pada waktu berdekatan dengan turunnya Nabi Isa berdasarkan riwayat-riwayat lain.
Selepas peperangan itu, mereka akan menuju ke Syam dan mendapati Nabi Isa telah pun turun. Kedua pasukan ini bergabung membentuk ketumbukan yang bakal menghadapi musuh seterusnya.
Ini hanyalah sebahagian daripada hadis-hadis Nabi yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku dalam masa terdekat.
Banyak lagi hadis-hadis yang menceritakan dengan lebih terperinci detik-detik akhir zaman yang telah, sedang dan bakal berlaku.
Semoga memberi manfaat.
Wallahu a'lam.