Monday, February 20, 2023

SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari

SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari

Kami bersedia menyambut kedatangannya dalam serba kemungkinan. Kalau niatnya baik, kebaikan yang akan diperolehinya. Kalau niatnya jahat, jahat yang bakal diterimanya. Kami menanti penuh cemas. Dia terus melangkah ke arah kami dengan penuh keyakinan. Bila kain hitam membalut wajahnya dijatuhkan, menjadikan ramalan saya benar belaka.

Toyol jadi-jadian

Lelaki tua yang tertonggok di depan kami ialah Haji Basilam. Dulu memakai songkok, sekarang pakai serban. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan perlahan. Biji matanya dihalakan ke wajah saya.

"Kenapa tak tunggu di tempat yang dijanjikan?" cepat-cepat saya alihkan pandangan ke muka Andi Kamarool. Minta bantuan agar dia menjawab pertanyaan Haji Basilam.

"Kami terlupa, terlanjur menumpang lori Abu Zaharin, kami ajak kemari," jelas Andi Kamarool.

"Siapa suruh kamu ke mari?" Sergah Haji Basilam, gerak matanya membayangkan kekesalan.

Dia langsung tidak memberikan perhatian kepada Abu Zaharin yang berdiri disebelah Andi Kamarool.

"Bukankah Pak Haji dan datuk nak datang ke Danau Kerinci," sayacubamempertahankan tindakan yang kami lakukan memang wajar.

JARI

Mendengar kata-kata yang saya luahkan itu, Haji Basilam menggigit bibir sambil jari jemari kanannya memain hujung serban. Dia terus mengerutkan kening.

"Tapi, aku dan datuk kamu tak suruh datang ke sini. Kami suruh kamu berdua tunggu di kedai Saad mata sebelah. Lain yang disuruh lain pula yang kamu berdua buat," Haji Basilam merungut tetapi wajahnya tidak sekeruh tadi.

Sudah cerah dan boleh tersenyum kepada kami. Dengan Abu Zaharin dia masih buat tidak kisah, seolah-olah Abu Zaharin tidak wujud.

"Hairan juga Pak Haji bagaikan tahu kami ada dalam lori," begitulah, berdasarkan riak wajah Andi Kamarool cuba memberanikan diri menyoal Haji Basilam.

Pertanyaan yang diajukan itu tidak dijawab oleh Haji Basilam.

Entah mengapa, secara mengejut saja dia tumpukan perhatian kepada Abu Zaharin lalu menghadiahkan senyum persahabatan yang disambut dengan penuh kemesraan oleh Abu Zaharin.

"Maaf, saya nak bercakap dengan budak-budak ni sekejap, awak tunggu di sini."

"Silakan," balas Abu Zaharin.

Dengan tergesa-gesa Haji Basilam menarik tangan saya dan Andi Kamarool ke belakang lori kecil. Kali ini secara terang-terangan Haji Basilam melepaskan ledakan kemarahan untuk kami.

Haji Basilam meningatkan kami supaya berpegang teguh kepada janji dan jangan mengulangi perbuatan yang boleh merisaukan hati orang lain. Apa yang terdaya saya dan Andi Kamarool lakukan ialah mohon maaf padanya.

"Kami tak niat nak susahkan pak haji," nada suara saya lemah.

"Sebaik saja aku sampai ke kedai Saad mata sebelah, aku tengok kamu berdua tak ada. Seluruh anggota sendi aku lemah, bila Saad mata sebelah beritahu dia nampak dua orang budak lelaki naik lori kecil, kepala merah," penuh perasaan Haji Basilam bercerita. Mulut kami berdua terlopong mendengarnya.

"Dia beri nombor lori dan arah mana lori itu pergi, aku pinjam motosikalnya, kejar kamu berdua " tambah Haji Basilam lalu kami sambut dengan ketawa dan ketawa kami berhenti dengan serta merta bila Haji Basilam menjengilkan biji matanya kepada kami.

"Sepatutnya kawan pak haji itu panggil kami," Andi Kamarool tersengih.

"Dia tak begitu yakin. Syukur kamu berdua selamat, aku takut kamu berdua kena colek."

Sungguh melucukan andaian Haji Basilam tetapi, kami tidak berani ketawa.

"Siapa nama drebar lori yang kamu tumpang tu?" Anak matanya terdampar ke wajah Andi Kamarool. Andi Kamarool pula menghalakan pandangannya kepada saya.

"Abu Zaharin, anak saudara Haji Simpul. Dia yang suruh kami naik lori ni, dia juga beritahu kami yang Haji Basilam dan datuk berada di salah sebuah kampung dekat Danau Kerinci," kata saya.

Air muka Haji Basilam berubah. Dahi dan keningnya berkedut. Tanpa berkata apa-apa Haji Basilam meninggalkan kami. Tindakan itu. sudah pasti mengejutkan saya dan Andi Kamarool.

Rupa-rupanya Haji Basilam menerkam ke arah Abu Zaharin yang sudah berada dalam lori kecil. Kami lihat mereka bercakap sebentar. Tidak lama kemudian Abu Zaharin melompat turun dari lori.

Haji Basilam menepuk bahu Abu Zaharin mereka berpelukan penuh mesra. Kemudian serentak mereka melangkah menghampiri kami.

"Bapa saudaranya Haji Simpul aku kenal. Kawan rapat ayah si Mia. Kenapa kamu berdua tak beritahu aku," cukup lantang suara Haji Basilam. Abu Zaharin tersengih. mereka masih berpelukan.

"Kalaulah aku tahu, kamu berdua naik lori anak saudara Haji Simpul memanglah aku tidak bimbang. Kamu mesti selamat," wajah Haji Simpul nampak ceria sekali.

Telapak tangan kanannya terus menepuk-nepuk bahu Abu Zaharin, bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.

PELUH

Panas yang menggigit tubuh membuat bintit-bintit peluh halus menguasai dahi saya dan Andi Kamarool. Dengan hujung serban Haji Basilam menyapu peluh di dahi. Senyum Abu Zaharin bertali arus dikelopak bibir.

"Bagaimana? Boleh saya tinggalkan mereka berdua disini," Saya dan Andi Kamarool berpandangan.

Macam-macam perkara yang kurang menyenangkan timbul dalam tempurung kepala saya. Barangkali Abu Zaharin sengaja mahu mempermainkan kami. Mana mungkin kami boleh menumpang motosikal Haji Basilam.

"Sabar dulu, tunggu sekejap," tahan Haji Basilam. Kami mula merasa lega.

Di bawah sinar matahari yang kian keras itu, Abu Zaharin tatap wajah Haji Basilam dengan seribu persoalan.

"Masih memerlukan pertolongan saya lagi?"

"Sudah tentu," Haji Basilam tentang anak mata Abu Zaharin.

"Aku nak kirim motosikal ni," sambung Haji Basilam.

Abu Zaharin segera menggosok hujung hidungnya yang diruapi peluh harus.

"Nak kirim kemana pak haji?"

"Ke Sungai Penuh, hantarkan ke kedai kopi Saad mata sebelah."

Rasa hairan bermain di wajah dan dahinya kembali berkerut. Bintit-bintit peluh halus dihujung kerutan segera meleleh ke cerun pipi. Haji Basilam tahu apa yang difikirkan oleh Abu Zaharin.

"Kedainya, sebelah kanan jalan besar. Didepannya ada toko kain," kata Haji Basilam bagaikan berbisik.

"Oh, saya tahu," sahut Abu Zaharin riang.

"Kalau begitu tolong naikkan motosikal atas lori," tambahnya lalu menerkam ke arah motosikal.

Dengan penuh tenaga dia mendorong motosikal hingga ke bahagian belakan lori untuk dijadikan titian.

"Sekarang kita ramai-ramai tolak motosikal," arahan pun dikeluarkan oleh Haji Basilam. Kami segera mematuhinya.

Saya ditugaskan menolak motosikal dari belakang, Abu Zaharin menjaga bahagian depan dan handle.

Andi Kamarool menjaga bahagian tepi. Haji Basilam berdiri dalam perut lori kecil memberi arahan. Tidak sampai dua puluh minit semua urusan selesai.

"Motosikal tu mesti diikat supaya tidak jatuh bila melalui selekoh. Kamu ikatkan Tamar, ini talinya," Haji Basilam mencampakan tali belati kepada saya.

Tidak tahu dari mana dia memperolehi tali tersebut. Saya sempurnakan ikatan dengan sebaik mungkin. Bagi mempastikan sama ada ikatan itu kemas dan kuat, dua tiga kali badan motor saya goncang.

"Dah kuat tu, tak payah digoyang-goyang," tegur Andi Kamarool.

"Aku pun fikir begitu, dah cukup kuat. Lagipun aku bawa lori bukannya laju sangat," tingkah Abu Zaharin.

Saya terima semua komen yang diluahkan dengan senyum.

"Bab pertama sudah selesai," Semua biji mata tertumpu ke arah Haji Basilam yang berdiri di tengah lori kecil.

Kemudian dia melangkah dan lantas terjun dari lori. Kami juga turut berbuat demikian.

"Begini, kerana kamu mahu balik ke Sungai Penuh, kami tumpang lori kamu separuh jalan. Turunkan kami di simpang, dari situ kami berjalan ke kampung dalam. Datuk di Tamar menanti di situ."

"Boleh, tak jadi masalah. Saya boleh hantar sampai ke kaki tangga," jawab Abu Zaharin lalu masuk kedalam lori. Sudah tentu janji yang diluahkan itu membuat kami riang.

GARANG

Setelah membuat pusingan, lori kecil kepala merah berpatah balik menghala ke Sungai Penuh.

Matahari garang, Abu Zaharin nampak begitu selesa memandu, begitu juga dengan Haji Basilam cukup aman duduk di sebelah.

Saya dan Andi Kamarool sengaja memilih untuk berdiri di bahagian belakang lori. Tidak seronok rasanya duduk dekat Haji Basilam.

Lori kecil kepala merah terus bergerak lancar, kami terpaksa berpaut pada dinding lori. Rambut kami mengerbang disentuh angin dan mata mula berair, tidak boleh dibuka luas kerana pedih akibat angin.

Apa yang pasti sepanjang jalan itu, Abu Zaharin dan Haji Basilam cukup rancak bercakap.

"Oooppp...," jerit saya sambil berpaut pada dinding lori.

Ternyata saya gagal mengimbangi badan, akibatnya tubuh tersungkur atas lantai lori. Tergesa-gesa saya bangun.

"Celaka si Abu kenapa membelok macam tu," terpancut kata dari mulut.

"Salah kamu juga, sepatutnya pegang kuat-kuat dan berdiri betul," Andi Kamarool melunturkan pendapat.

Memang benar, apa yang diungkapkan itu. Saya cuai tetapi, memang dasar tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri, saya tidak mahu menerima pandangan Andi Kamarool.

MERAH

Setelah melepasi selekoh tajam, lori kecil berkepala merah mula bergerak perlahan.

Di hadapannya terbentang simpang tiga, kelihatan beberapa buah lori kecil, kereta dan motosikal berhenti di bibir jalan.

Para pemandu kenderaan tersebut menyemberang jalan menuju ke sebuah warung yang terletak di kepala simpang.

"Cukup di sini saja Abu," gegendang telinga saya dapat menangkap suara Haji Basilam dalam deru enjin lori.

Tayar lori mula melanggar rumput dan lopak tepi tepi jalan membuat tubuh saya dan Kamarool turut bergerak ke kiri dan ke kanan, mengikut pergerakan badan lori.

Akibatnya enjin lori dimatikan. Haji Basilam melompat turun.

"Turun, tunggu apa lagi."

Saya dan Andi Kamarool segera terjun dari lori.

"Kita minum di kedai seberang jalan Abu."

"Terima kasih, kerana susah payah menolong budak dua orang ni, sampaikan salam saya pada Haji Simpul."

"InsyaAllah."

Lori kecil berkepala merah terus meninggalkan kami bertiga di gigi jalan. Perut mula terasa lapar. Saya mula teringat tentang nasi lemak sambal tumis ikan bilis yang dibekalkan oleh Mia untuk kami.

Haji Basilam dongak ke langit, melihat kedudukan matahari untuk beberapa minit. Kemudian dia tersenyum merenung ke arah saya dan Andi Kamarool.

"Kamu berdua lapar?"

Kami segera mengangguk.

"Mia bekalkan kamu nasi lemak sambal tumis ikan bilis."

“Iya Pak Haji, macamana Pak Haji tahu," tanya Andi Kamarool.

"Aku kenal emak bapa Mia, aku kenal keturunannya. Memang sudah jadi rasmi keluarga Mia, setiap orang luar yang baru dikenali dan bermalam di rumahnya akan dibekalkan dengan nasi lemak sambal tumis ikan bilis bersama tiga biji bertih, hujung daun pisang pembungkus nasi lemak sebelah kiri dipotong. Kalau tetamu tidak dibekalkan dengan perkara tersebut nanti SAKA menganggu, kecuali orang yang kuat ilmu batinnya."

Penjelasan Haji Basilam membuat saya dan Andi Kamarool menarik nafas serentak. Memang tidak dinafikan, saya melihat bertih dan daun pisang yang dipotong hujungnya ketika saya mahu memasukan bungkusan nasi lemak kedalam beg galas. Cara kebetulan bungkusan itu terbuka sendiri.

"Tak usah susah hati, nasi lemak tu selamat dimakan, kalau terjadi sesuatu yang tak baik aku boleh tawarkan," janji Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.

Kami bertiga segera melintas jalanraya menuju ke warung di kepala simpang. Kami disambut dengan ramah oleh pemilik warung yang memang kenal Haji Basilam.

Kami tidak dibenarkan duduk bersama pelanggan warungnya yang lain. Kami ditempatkan di bilik khas dan dilayan dengan sebaik mungkin.

Episod lapar yang kami alami pun berakhir. Nasi lemak yang dibekalkan oleh Mia habis masuk perut, hingga kami terlupa untuk mencari bertih dan daun pisang yang dipotong hujung.

"Haji ni berjasa besar kepada saya, dia banyak membantu, kalaulah bukan kerana usahanya, mungkin awak berdua tidak dapat singgah di kedai saya ini," pemilik warung yang berhidung besar dengan parut selebar dua inci dipipi kanan meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

"Usahlah dikenangkan perkara itu, semuanya dengan izin Allah," jawab Haji Basilam.

Pemilik warung meninggalkan kami di bilik khas. Dia meneruskan tugasnya melayani pelanggan.

"Siapa namanya Pak Haji?" saya mula mencungkil rahsia.

"Jaafar."

"Apa jasa pak haji dengannya?"

"Adalah sedikit, semuanya cara kebetulan. Datuk kamu tahu ceritanya, kau tanyalah sama dia."

"Minta maaf, saya tak berani. Sambil minum ada baiknya pak haji bercerita sambil lalu."

"Tolonglah ceritakan pak haji, kami sekadar mahu mendengarnya," rayu Andi Kamarool.

Haji Basilam meneguk kopi, matanya merenung dinding warung. Akhirnya, dia akur dengan permintaan. Haji Basilam pun mulakan ceritanya.

TINGGAM

Di daerah Sumatera, sejenis ilmu yang disebut TINGGAM masih dimanfaatkan atau digunakan bagi merosakkan (menyakiti) lawan atau orang yang tidak disenangi.

Bila TINGGAM mula berkerja (bergerak) bahagian tepi leher terasa sakit sakit yang kadangkala berpindah pindah.

Bila sakit sudah sampai pada puncaknya (kemuncaknya) dari tepi leher akan muncul jenis bisul yang kemudiannya pecah serta mengeluarkan air yang busuk baunya. Akibatnya, si pengidap penyakit dijauhi atau kurang disenangi.

"Pak haji, saya nak tanya apa makna TINGGAM tu?" tanya saya.

"Perkataan TINGGAM berasal dari Minangkabau yang bermaksud jampi-jampi untuk menjadikan seseorang itu sakit bengkak-bengkak dan bahagian dan sebagainya dengan mencucukkan duri ekor ikan pari pada gambar orang yang disakit atau pada ikan pari," jelas Haji Basilam.

"Dahsyatnya," keluh Andi Kamarool.

Selanjutnya Haji Basilam menjelaskan, TINGGAM ada bermacam-macam jenis. Tetapi yang paling popular dan sangat jahat ialah Tinggam tulang ikan pari.

Tulang yang digunakan ialah tulang yang terdapat di bahagian pangkal ekor iaitu tulang yang runcing dan tajam. Tulang itu digunakan untuk dimasukan ke tubuh musuh atau atau lawan secara ghaib.

Setelah tulang itu diambil ikan pari tersebut dilepaskan kembali ke tengah laut. Jika ikan itu masih hidup, maka tulang yang digunakan untuk tinggam tetap akan bergerak dalam tubuh orang yang dimaksudkan sehingga orang tersebut hidup menderita.

"Si Jaafar pemilik warung ni, salah seorang bekas mangsa Tinggam," bisik Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.

Dia memberi senyuman kepada Jaafar yang secara kebetulan masuk ke bilik khas mengambil sesuatu untuk pclanggannya.

Kerana tidak mahu cerita tentang Tinggam dan Jaafar mati begitu saja, kami berdua terus memujuk dan merayu Haji Basilam meneruskan ceritanya. Usaha kami berhasil.

Menurut Haji Basilam, Jaafar anak jati kampung Simpang merantau ke Pekan Baru yang ketika itu belum begitu maju dan penduduknya tidak seramai sekarang.

Haji Basilam tidak menyebut tahun berapa Jaafar merantau ke tempat tersebut. Di rantau orang Jaafar berkenalan dengan Marson yang berasal dari Magelang, Jawa Tengah.

Perkenalan Jaafar dengan Masron terjadi secara kebetulan.

Suatu petang lebih kurang jam lima, Jaafar minum di sebuah gerai sambil menghirup teh fikirannya berperang sama sendiri. Dia tidak dapat membuat keputusan yang pasti sama ada mahu terus memperjudikan nasib di Pekan Baru atau merentas Selat Melaka menuju Melaka atau Johor.

Tiba-tiba Masron datang lalu duduk dikerusi sebelahnya, mereka memperkenalkan diri masing-masing.

Masron juga mahu mencuba nasib di Pekan Baru kemudian merancang mahu pergi ke Pontian Kecil di Johor kerana saudara sebelah ayahnya ada disitu.

Perkenalan singkat itu menghasilkan persahabatan yang kental. Mereka memutuskan untuk mencuba nasib di Pekan Baru dulu, kalau gagal baru mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

RUMAH

Masa terus berlalu, tidak terasa sudah lima tahun Jaafar dan Masron bersahabat, bagaikan adik beradik. Masing-masing sudah membuka perniagaan sendiri. Antara mereka berdua ternyata Jaafar lebih berjaya.

Pada suatu petang Jumaat, lebih kurang pukul enam, Masron datang ke rumah sewa Jaafar, mereka merancang sembahyang jemaah dan membaca Yasin.

Sebagai meraikan sahabat karib, Jaafar menyediakan makanan enak yang dimasaknya sendiri. Lepas sembahyang Isyak mereka akan makan bersama diruang tamu.

Malam itu, setelah selesai melaksanakan sembahyang Isyak, Jaafar terus ke dapur untuk mengambil makanan. Dengan tidak diduga, dia jatuh dan terus pengsan.

Di saat mahu rebah terdengar bunyi yang agak kuat di bumbung, macam ada seseorang yang membalingkan batu keatap genteng.

Masron segera memapah tubuh Jaafar, dibawa ke katil dan dibaringkan. Pertolongan cemas segera dilakukan oleh Masron. Cepat-cepat Masron mendekatinya lalu memicit-micit tubuh Jaafar.

Masron yang tahu serba sedikit petua dan pantang larang orang tua-tua, segera membuat tanggapan bahawa ada sesuatu yang tidak kena terjadi pada diri Jaafar.

Dalam rintihan kesakitan itu, Jaafar memberitahu Masron bahawa di dalam tubuhnya terasa seperti ada benda yang bergerak-gerak dan terasa mencucuk-cucuk. Hampir seluruh tubuhnya tidak dapat digerakkan.

Masron terus berada di sisi Jaafar, sepanjang malam dia tidak dapat tidur, malah makanan yang dimasak Jaafar tidak dijamahnya.

Dia terus berdoa agar penyakit aneh yang singgah di tubuh sahabatnya segera hilang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 188/284

BACA: SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, February 17, 2023

'Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya'

'Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya'

Suatu hari Rasulullah SAW mahu berbelanja. Dengan bekal wang sebanyak 8 dirham, beliau hendak membeli pakaian dan kelengkapan rumah. Belum juga sampai di pasar, beliau mendapati seorang wanita sedang menangis.

Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya

Beliau bertanya kenapa menangis. Apakah sedang ditimpa musibah? Perempuan itu menyampaikan bahawa ia adalah seorang hamba yang kehilangan wang sebanyak 2 dirham. Dia menangis kerana takut didera oleh majikannya.

Dua dirham dikeluarkan dari saku Rasulullah untuk menghibur hamba yang malang tersebut. Kini tinggal 6 dirham. Beliau bergegas membeli gamis, pakaian kesukaanya.

Akan tetapi baru beberapa langkah dari pasar, seorang tua lagi miskin sambil berteriak berkata, "Barang siapa yang memberiku pakaian, Allah akan mendandaninya kelak."

Rasulullah memeriksa lelaki tersebut. Pakaiannya lusuh, tak pantas lagi dipakai. Gamis yang baru dibelinya dilepas dan diberikan dengan sukarela kepadanya. Beliau tak jadi memakai baju baru.

Dengan langkah ringan beliau hendak segera pulang. Akan tetapi lagi-lagi Baginda harus bersabar.

Kali ini beliau kembali menemui hamba perempuan yang diberi dua dirham tadi yang mengadukan persoalan, bahawa dia takut pulang. Ia khuatir akan dihukum oleh majikannya kerana terlambat.

Sebagai seorang hamba, saat itu nilainya tidak lebih dari seekor binatang. Hukuman fizikal sudah sangat lazim diterima.

Rasulullah diutus ke dunia untuk memberikan pembelaan terhadap rakyat jelata. Dengan senang hati Baginda menghantarkan hamba perempuan tersebut ke rumah majikannya.

Sesampainya di rumah, beliau ucapkan salam. Sekali, dua kali belum ada jawapan. Baru salam yang ketiga dijawab oleh penghuni rumah. Nampaknya semua penghuni rumah tersebut adalah perempuan.

Ketika ditanya kenapa salam beliau tidak dijawab, pemilik rumah itu mengatakan sengaja melakukannya dengan maksud di doakan Rasulullah dengan salam tiga kali.

Selanjutnya Rasulullah menyampaikan maksud kedatangannya. Beliau menghantar perempuan yang menjadi hamba tersebut kerana takut mendapat hukuman.

Rasulullah kemudian menyampaikan, "Jika perempuan hamba ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku yang menerima hukumannya."

Mendengar ucapan Rasulullah itu, penghuni rumah terkesima. Mereka merasa mendapat pengajaran yang sangat berharga dari baginda Rasulullah.

Lalu mereka menyampaikan, "Hamba belian ini merdeka kerana Allah."

Betapa bahagianya Rasulullah mendengar pernyataan itu. Beliau sangat bersyukur dengan wang 8 dirham mendapat keuntungan ribuan dirham, yakni harga hamba itu sendiri.

Beliau berkata, "Tiadalah aku melihat lapan dirham demikian besar berkatnya daripada lapan dirham yang ini.

Allah telah memberi ketenteraman bagi orang yang ketakutan, memberi pakaian orang yang telanjang, dan membebaskan seorang hamba belian."

Akhirnya, rahmat dan kasih sayang, bantuan dan pertolongan kepada masyarakat akan mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan.

Allah berfirman dalam sebuah hadits Qudsyi, "Bahawanya Allah menolong hamba-Nya, selama ia menolong saudaranya."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Bangga Dan Menayang Amalan Menghilangkan Pahala

Bangga Dan Menayang Amalan Menghilangkan Pahala

Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Bayangkan anda sedang menjunjung sebuah peti emas yang terbuka dan berjalan di sekitar bandar raya yang sesak. Sudah pasti anda akan bersungguh-sungguh menjaganya. Begitu juga segala amal kita lakukan. Kita tidak mahu segala pahala kita dirompak begitu saja bukan?

Bahaya Takjub Riak Ujub

Seorang itu bangun solat Tahajud di malam hari dan kemudian dalam hatinya merasa seronok dan bangga selepas dia bersolat, itu adalah tanda-tanda kewujudan sifat ujub dan riak kepada Allah.

Dia yang beramal itu menyangka apa yang dilakukannya (walaupun dia merahsiakannya dari manusia) akan menyelamatkan dirinya dari azab api neraka sedangkan manusia yang soleh itu sebenarnya memenuhi syurga Allah hanya kerana RAHMAT dari ALLAH dan bukan apa yang diusahakannya untuk merasa selamat.

Syidad bin Ausi berkata, "Suatu hari saya melihat Rasulullah SAW sedang menangis, lalu saya pun bertanya beliau, Ya Rasulullah, mengapa anda menangis?"

Sabda Rasulullah SAW, "Ya Syidad, aku menangis kerana khuatir terhadap umatku akan perbuatan syirik, ketahuilah bahawa mereka itu tidak menyembah berhala tetapi mereka berlaku riak dengan amalan perbuatan mereka."

Rasulullah SAW bersabda lagi, "Para malaikat penjaga akan naik membawa amal perbuatan para hamba dari puasanya, solatnya, dermanya dan sebagainya. Para malaikat itu mempunyai suara seperti suara lebah dan mempunyai sinar matahari dan bersama mereka itu 3,000 malaikat dan mereka membawa ke langit ketujuh."

Malaikat yang diserahi ke langit berkata kepada para malaikat penjaga, "Berdirilah kamu semua dan pukulkanlah amal perbuatan ini ke muka pemiliknya dan semua anggotanya dan tutuplah hatinya, sungguh saya menghalangi sampainya kepada Tuhan saya setiap amal perbuatan yang tidak dikehendaki untuk Tuhan selain daripada Allah (membuat sesuatu amal bukan kerana Allah)."

"Berlaku riak di kalangan ahli fiqh adalah kerana inginkan ketinggian supaya mereka menjadi sebutan. Di kalangan para ulama pula untuk menjadi popular di kota dan di kalangan umum. Allah SWT telah memerintahkan agar saya tidak membiarkan amalnya melewati saya akan sampai selain kepada saya."

Malaikat penjaga membawa amal orang-orang soleh dan kemudian dibawa oleh malaikat di langit sehingga sampai kepada Allah SWT.

Mereka berhenti di hariban Allah dan memberikan persaksian terhadap amal orang tersebut yang betul-betul soleh dan ikhlas kerana Allah.

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Kamu semua adalah para malaikat Hafazdah (malaikat penjaga) pada amal-amal perbuatan hamba-Ku, sedang Aku-lah yang mengawasi dan mengetahui hatinya, bahawa sesungguhnya dia menghendaki amal ini bukan untuk-Ku, laknat para malaikat dan laknat segala sesuatu di langit."

BURUKNYA SIFAT RIYA' (RIAK)

Perlu kita fahami apa yang dimaksudkan dengan riya' supaya tidak tersalah faham tentang maknanya yang sebenar.

"(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)." (Surah al-Ma'un: 5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya' ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Rujuk Mafatih al-Ghaib (32/301))

"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi: 110)

"Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu." Riwayat Muslim (7666)

Al-Qadhi Iyadh menyebut, "Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riya' itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan." Rujuk Faid al-Qadir (4/483)

Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riya' kepada beberapa bahagian, iaitu riya' pada agama, tubuh badan, percakapan, percakapan dan lain-lain.

Contoh Riya' pada agama dan badan ialah menzahirkan kekurusan dan ketidak kemasan supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.

Riya' pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang islam ataupun berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.

Riya' pada amalan seperti contoh menzahirkan qiyam dan ruku' yang panjang ketika bersolat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata, "Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah."

SIFAT RIAK DI MEDIA SOSIAL

Sebenarnya ada yang sudah mengetahui bahawa riak itu berdosa, tetapi masih juga menunjuk-nunjuk kerana rasa diri lebih baik dari orang lain. Mengapa begitu? Tidak percaya akan azab ALLAH SWT?

Rahsiakan ibadat

Ramai sangat insan suka mengucapkan salam subuh setiap kali selesai menunaikan solat pagi setiap hari.

Amalan seperti solat, puasa Isnin dan Khamis dan apa juga sedekah yang kita lakukan seharusnya disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat supaya keikhlasan itu dapat dijaga.

Kita harus pandai menggunakan peluang yang ada untuk mengajak orang ramai untuk melakukan perkara yang baik tetapi pada masa sama, merahsiakan amal ibadat. Ia adalah rahsia antara kita dan Allah SWT sahaja.

Puji anak berlebihan

Boleh dikatakan setiap hari update pasal anak, anak cantik la, anak bijak la di facebook, instagram, sampaikan orang naik menyampah. Sepatutnya anda peka dengan rakan-rakan anda yang mungkin belum berpeluang merasa ada anak, pasti mereka rasa sedih.

Check in hospital mahal

Snap gambar dalam hospital, suruh ralan-rakan doakan anak supaya cepat sembuh. Tetapi caption hastag nama hospital-hospital terkenal, hospital yang mahal-mahal. Sebenarnya dalam hati nak beritahu yang dia mampu pergi hospital mahal. Bukan nak suruh doakan anak tu sangat.

Bersyukur tak habis-habis

Tak habis-habis update pasal duit yang banyak. Bersyukur katanya. Selang seminit update Alahmdulillah. "Alhamdulillah duit masuk lagi."

Sebenarnya bersyukur itu perbuatan yang baik, tetapi salah caranya. Jika betul hendak besyukur, solat dan buat sujud syukur. Bukan hebohkan di laman sosial.

Tunjuk kereta mahal

Tangkap gambar dalam kereta, nampak stereng sekali. Captionnya ‘teruk jam jalan hari ni’. Sebenarnya nak bagitau yang dia bawa kereta mahal. Orang yang ada kereta lebih mahal dari dia pun tak riak!

Shopping

Suka shopping lepas tu ambil gambar dan update di laman sosial, caption pulak 'letih shopping hari ini, sikit-sikit je keluar duit hari ni' tapi dalam gambar bukan main banyak barang yang dibeli. Nak berlagak pun tak payah nak menunjuk sangat kan?

Serba baru

Dekat nak raya nanti ada la yang update pasal sofa baru, langsir baru, baju baru. Sila jaga perasaan orang yang tak mampu. Dah beli barang baru tu senyap saja, jangan nak heboh.

Muka lawa

Suka ambil gambar sendiri dan upload di Facebook, caption 'tak lawa macam makwe awak-awak semua' tetapi sebenarnya nak orang komen pujian. Nanti kalau orang komen cakap memang tak lawa pun, marah pulak. Pelik kan!

TIPU DAYA IBLIS

Riak adalah permainan iblis untuk menggoda manusia. Ia adalah masalah hati yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Disebabkan itu, tiada sesiapa pun yang dikecualikan daripada terjerumus ke dalam sifat tersebut kerana alim ulama sekalipun cenderung untuk bersifat begini jika hatinya terpesong walaupun sesaat.

Iblis telah mengaku di hadapan ALLAH SWT bahawa hanya satu golongan manusia sahaja yang akan selamat iaitu mereka yang ikhlas dalam amalannya.

"Wahai Tuhanku (kata Iblis), oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (umat manusia) memandang baik (kepada perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (melakukan kemungkaran termasuk riak dalam beramal), kecuali hamba-hamba ENGKAU yang ikhlas di antara mereka." Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40

Kesimpulan

Riak adalah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.

Sifat riak boleh memakan diri sendiri. Ia berbeza jika sesuatu yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik.

Sebagai contoh, seorang ayah menderma ke dalam tabung masjid dan dilihat oleh anaknya, lalu si ayah berpesan agar mencontohi amalan yang dilakukannya itu. Perbuatan ini tidak dipanggil sebagai riak.

Oleh itu, sentiasalah beristighfar. Sebaik-baiknya sembunyikanlah segala amalan dan perbuatan kita. Sentiasa luruskan niat kerana ALLAH SWT. Amalan yang dibuat kerana manusia tidak akan mendatangkan pahala dan manfaat di sisi-NYA.

Daripada Sa’ad Abi Waqqas r.a., Rasullullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri." (HR Muslim)

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 07, 2023

Sahihkah Hadis '9 Daripada 10 Rezeki Berada Pada Perniagaan'?

Sahihkah Hadis '9 Daripada 10 Rezeki Berada Pada Perniagaan'?

Benarkah hadis berkaitan 9/10 rezeki datang daripada perniagaan? Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perniagaan sumber rezeki terbesar

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan sebuah hadis yang tersebar dan masyhur dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan berniaga.

Antaranya adalah yang maksudnya:

"Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki."

"9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan."

Dua matan ini biasa didengar di bibir-bibir penceramah ketika menceritakan perihal rezeki.

Namun, apakah ia benar datang daripada Rasulullah SAW atau ia hanya kata-kata sebahagian ulama?

Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadis ini. Di sini kami datangkan beberapa pendapat para ulama dalam menyatakan status hadis ini.

Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) mengisyaratkan bahawa hadis ini dhaif di dalam kitabnya kerana beliau menggunakan sighah tamridh (صيغة التمريض) ketika menukilkan hadith ini. [Lihat: al-Istizkar, 619/8]

Imam al-Iraqi (806 H) ketika mengtakhrijkan hadis ini di dalam ihya' Ulumuddin berkata: Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadith, hadis tersebut datang daripada Nu’aim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah thiqah. Dikatakan bahawa Nu'aim adalah sahabat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Mandah dan dakwaan itu adalah tidak benar. Telah berkata Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban bahawa Nu'aim adalah seorang tabi'i maka hadith tersebut adalah mursal (iaitu hadith yang gugurnya sahabat daripada sanad hadith tersebut). [Lihat: al-Mughni: 419/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami juga cenderung kepada pandangan yang mengatakan hadis di atas adalah dhaif kerana berlaku keguguran pada sanad hadis tersebut.

Walaupun hadis tersebut adalah dhaif, tetapi berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji kerana Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul.

Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.

Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan.

Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas, al-Barra' bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat.

Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga, kerana bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.

Penutup

Kesimpulannya, hadis yang dinyatakan di atas adalah mursal atau dhaif kerana sanadnya terputus.

Walau bagaimanapun, makna hadis tersebut adalah benar kerana perniagaan sememangnya menjadi salah satu daripada sumber rezeki yang terbesar.

Islam amat menggalakkan umatnya mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya.

Akan tetapi, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”" [Riwayat al-Tirmizi (1209)][Hadith ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi]

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadis yang penting untuk dijadikan renungan bagi setiap yang ingin berniaga, bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur." [Riwayat al-Tirmizi (1210)][Hadith ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap perkara atau pekerjaan yang kita lakukan.

Semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

Wallahu a'lam.

sumber: (1)

Monday, February 06, 2023

SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang

SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang

Tidak dinafikan, sedikit sebanyak kata-kata yang terhambur dari mulut pemandu lori itu, memang ada kebenarannya. Kami memang keberatan mahu menceritakan peristiwa di rumah batu dan di ladang Mia kepada sesiapa. Biarlah kejadian itu menjadi milik peribadi kami berdua.

Toyol jadi-jadian


"Aku tak percaya, kamu berdua tak mengalami perkara-perkara aneh di situ," si pemandu lori itu seperti bersunggut.

Saya dan Andi Kamarool terus membisu seribu bahasa.

Lori kecil memperlahankan lajunya. Kali ini merempuh kawasan tanah lapang. Pokok-pokok di kiri kanan jalanraya baru saja ditebang. Longgokan kayu yang sudah dipotong, kelihatan dimana-mana, menanti waktu untuk dibakar. Di hadapan kelihatan puncak gunung berbalam diselaputi awan tebal.

"Tak ada apa-apa yang mahu kami rahsiakan," kata saya selamba dan mengharapkan Abu Zaharin percaya dengan apa yang saya cakapkan.

"Masih mahu berahsia dengan aku," kali suara Abu Zaharin keras sekali.

Serentak itu dia menekan berek cara mengejut. Badan saya terdorong kedepan dan dahi berlaga dengan cermin lori. Saya kira perbuatan itu sengaja dilakukan. Tidak ada sebab kenapa, Abu Zaharin menekan berek kecemasan. Tidak ada binatang liar atau ternakan yang melintas di depan.

Sikap yang diperlihatkan oleh Abu Zaharin menimbulkan rasa sangsi dan keraguan dalam diri. Mungkin juga dalam diri Andi Kamarool.

Barangkali, Abu Zaharin panas hati kerana kami tidak mahu berterus lerang dengannya.

Selepas peristiwa yang tidak diduga terjadi, Abu Zaharin terus bungkam buat beberapa ketika.

Sesungguhnya tindak tanduk Abu Zaharin itu amat menyenangkan hati, kalau boleh, biarlah dia terus bungkam hingga dia sampai ke Sungai Penuh.

Dengan itu, saya dan Andi Kamarool terselamat dari dihujani berbagai-bagai pertanyaan yang ada hubungkaitnya dengan rumah batu Mia. Ternyata harapan dan doa saya tidak menjadi kenyataan.

"Pelik, semua orang kata kawasan rumah tu ada penunggu. Tapi, kamu berdua kata, tak ada apa-apa. Jangan-jangan kamu berdua ni, keturunan hantu pontianak tak?" Abu Zaharin mula menyindir dan dia terus ketawa berdekah-dekah.

Dia cuba membakar perasaan kami. Kami tetap bersabar dan hanya mampu mempamerkan senyum tawar sahaja.

"Saya berharap agar segera sampai ke tempat yang ditujui. Cuma dengan cara itu saja boleh menutup mulut Abu Zaharin dari bertanya perkara yang tidak saya senangi.

"Kalau kamu berdua masih mahu berahsia, tak mengapa. Tetapi, bagaimana Kalau aku katakan kepada kamu berdua, rumah batu lama dan kawasan ladang dikawal jin. Sesungguhnya jin boleh menjelma dalam bermacam-macam rupa dan bentuk. Kamu berdua setuju dengan pendapat aku ini."

"Setuju," sahut saya.

"Ertinya, kamu berdua sudah melihat sesuatu yang aneh di rumah batu."

"Ehhh..." cuma setakat itu saja, saya bersuara.

Perlahan-lahan saya garu pangkal leher. Andi Kamarool telan air liur. Kami berdua sudah masuk perangkap pemandu lori kecil yang pintar.

Pandai sungguh dia memasang jerat, kami tak dapat berdalih lagi. Terpaksa berterus-terang. Kami ceritakan apa yang dialami semasa menginap dirumah batu lama itu.

JIN

"Aku kira seluruh kawasan di situ, dijaga oleh jin," terlontar ungkapan dari bibir pemandu lori.

Kata-katanya tidak kami jawap dengan serta-merta. Saya dan Andi Kamarool termenung sejenak.

Semasa lori kecil melanggar ranting kering yang bersepah didada alam, Abu Zaharin mula bersiul membawa lagu SRI BANANG.

"Kamu setuju, kalau aku katakan semua terjadi adalah akibat dari perbuatan nenek moyang Mia yang bersahabat dengan jin," Abu Zaharin merenung ke arah pokok tualang tinggi menjulang di sebelah kanan jalan.

"Boleh jadi Abu," balas Andi Kamarool.

Lori kecil berkepala merah terus meluncur.

"Kamu berdua tahu tak. Allah berfirman dalam surah An-Nissa-38 yang berbunyi, barang siapa jadikan syaitan sebagai temannya, maka temannya itu adalah seburuk-buruknya," Abu Zaharin menyingkap sedikit demi sedikit kebolehannya kepada kami.

Dari situasi yang dihadapi, saya lantas membuat kesimpulan bahawa, dia bukan sebarang orang. Dia pemandu yang berilmu, manusia yang serba boleh.

Andi Kamarool yang bijak menguasai keadaan segera mengalihkan topik pebualan dari hal rumah batu lama kepada kisah peribadi si pemandu lori. Pemandu lori yang suka bercerita masuk ke dalam perangkap Andi Kamarool.

Secara tidak langsung, Abu Zaharin pun mengungkap tentang kisah dirinya. Dia mendapat pendidikan awalnya di tempat kelahirannya Lubuk Pinang. Kemudian dihantar kedua orang tuanya belajar ilmu agama di Padang Panjang.

Meninggalkan Padang Panjang merantau ke Singapura belajar di Al-Junid. Merantau dan menetap di Mekkah selama bebelas tahun mendalami ilmu Agama.

Dua tahun setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, Abu Zaharin pulang ke Lubuk Pinang, menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan disamping mengajar kanak-kanak mengaji Quran dan ilmu agama secara sukarela.

"Barangkali awak berniaga kerana mahu mengikut sunnah Rasul," saya melontarkan komen. Dia membisu tetapi, bibirnya mengukir senyuman.

"Kata orang, sepuluh dari sumber rezeki, sembilan darinya datang dari perniagaan," Andi Kamarool menyampuk.

Macam tadi juga, si pemandu lori yang berusia sekitar awal empat puluhan terus senyum.

"Bukan apa- apa kerja sendiri bebas. Tidak terikat dengan sesiapa," itu ungkapan yang diluahkan oleh Abu Zaharin, penuh ketenangan.

"Betul cakap kamu, Abu," kata saya.

“Tetapi kerja sendiri mesti rajin, mesti sanggup tanggung risiko," Abu Zaharin berkata serius.

MERAH

Lori kecil berkepala merah terus meluncur dijalan raya. Sekejap laju, sekejap perlahan. Terus melepasi beberapa kawasan kampung, bukit bukau dan kawasan sawah yang luas.

Ketika itu padi baru menguning. Melintuk lembut disentuh sekawan bayu dari puncak bukit. Nampak beralun dan berombak dibawah sinar matahari pagi.

Akhirnya, lori kecil berhenti di lorong sempit di kawasan pasar. Saya dan Andi Kamarool segera terjun dari perut lori. Beberapa orang lelaki dan perempuan yang lalu di situ merenung ke arah kami seketika. Agaknya, mereka tahu yang kami adalah orang asing.

"Terima kasih, Abu," kata kami serentak. Pemandu lori tersenggih.

"Sebenarnya, kamu berdua ni. Mahu ke mana?"

"Ke Danau Kerinci, kata saya.

"Tak jauh dari sini, kira-kira 16 km saja. Biarku hantar kamu ke sana, tapi.." pemandu lori berhenti bercakap, dia menung ke arah beberapa orang lelaki berwajah serius yang mendekati lori kecilnya.

"Aku terpaksa punggah semua sayur-sayuran ni dulu, apa kamu berdua sanggup menunggu," tambah si pemandu lori kecil.

"Kami bersedia," kata saya.

Seronok juga melihatan mereka menurunkan sayur-sayuran dari lori. Dengan kereta sorong raga-raga sayur diusung ke perut pasar.

Mereka bercakap dalam dialek kerinci yang lucu bunyinya, bagi saya. Lengguk dan patah bahasa hampir menyamai dialek Minangkabau, Panai, Rawa dan Mendaling.

Dalam masa yang singkat itu, saya berjaya menjalin persahabatan kilat dengan seorang lelaki separuh umur. Dia anak jati Sungai Penuh.

Dia mengakui, ada kaum kerabatnya yang sudah berhijrah ke Semenanjung dan tidak mahu pulang ke kampung halaman. Mereka sudah menjadi rakyat semenanjung.

"Orang Kerinci banyak pergi ke Perak terutama di daerah Parit seperti di Sadang, Belanja kiri. Manakala, Orang Panai pergi ke Sungai Rambai, Batu Enam belas dan Air Tawar. Saya cuma tahu sebut nama tempatnya saja, saya sendiri tak pernah sampai ke situ," katanya.

"Tempat-tempat yang pak cik sebut tadi, berada di Negeri Perak. Kawasan tengah," saya memberi penjelasan.

"Begitu," dia mengangguk faham.

Lelaki separuh umur itu meminta diri. Dia mahu membeli barang keperluan seharian di pasar.

Berkali-kali saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi melayani saya. Namanya, Haji Ahmad.

Si pemandu lori tidak mungkir janji. Bila semua urusannya selesai, dia segera menyuruh kami naik lori kecil.

MERANGKAK

"Aku hantar kamu di tempat yang dihajatinya," kata Abu Zaharin sambil menghidupkan enjin lori kecil merangkak keluar dari kawasan pasar Sungai Penuh, menuju ke muara jalan yang besar dan luas.

Kami yang menikmati pemandangan alam yang cukup indah dan cantik. Abu Zaharin kembali kepada kesukaannya iaitu berkasidah.

Tetapi, dia tidak lali memandu, semakin tinggi suaranya, semakin kencang lorinya berlari di jalanraya. Semakin erat setering keretanya dipautnya.

"Aku nak minum."

Abu Zaharin memperlahankan lori sambil menghimpit ke gigi jalanraya, dan akhirnya lori kecil pun berlabuh dipinggir jalan.

"Mari kita minum," ajaknya.

"Terima kasih, pergilah minum," balas saya.

Abu Zaharin melontar keluar. Dia merenung ke arah warung pisang sesikat yang dikeliling pohon pisang dan mempelam. Kelihatan dua tiga orang menikmati sarapan pagi di warung.

"Kalau tak mahu minum temankan saya," mata Abu Zaharin merenung wajah saya dan Andi Kamarool silih berganti.

Pada masa itu, saya teringatkan pesan Mia supaya jangan makan di warung.

"Pergilah, biar kami tunggu di sini," Andi Kamarool tersenyum.

"Oklah, itu keputusan awak berdua, saya tak boleh kata apa-apa," Abu Zaharin mengatur langkah menuju ke warung.

Kira-kira lima belas minit kemudian, Abu Zaharin kembali dengan wajah yang ceria.

"Lama menunggu," tanyanya.

"Tak lama," balas kami serentak.

Beberapa detik kemudian, lori kecil berkepala merah kembali bergerak di atas jalanraya. Sinar matahari bertambah garang. Awan di dada langit, nampak bersih. Sawah padi yang luas dikiri kanan jalan membuat mata terasa sejuk.

Memang tidak dinafikan, panorama alam kerinci masih perawan dengan pengunungan, sungai yang merayap di kaki bukit, serta lembah yang indah menawan.

"Sungai Penuh jadi Ibukota Kebupatan Kerinci sejak tahun 1958," tanpa diminta diminta Abu Zaharin memberi penjelasan yang sekaligus mengusir rasa jemu dalam diri saya, mungkin juga Andi Kamarool.

KERING CAIR

Selanjutnya, Abu Zaharin menyatakan kemungkinan besar nama Kerinci berasal dari kata "KERING CAIR" yang bermula dari sebuah danau.

Kerana proses alam, dasar danau terangkat naik menjadi dataran tinggi. Tanah kering disebelah utara dinamakan GUNUNG KERINCI, sedangkan yang berair berada di bahagian selatan menjadi DANAU KERINCI.

"Senang sungguh orang terdahulu mencari nama," Andi Kamarool memberi komen.

Saya lihat Abu Zaharin anggukkan kepala, setuju dengan pandangan yang diluahkan oleh Andi Kamarool.

"Sebelum Belanda datang, penguasa Alam Kerinci ialah Depati IV Alam Kerinci, semasa Belanda masuk, seluruh rakyat Kerinci bersatu menentang Belanda hingga tercetus perang Kerinci yang hebat pada tahun 1903, salah seorang panglima perang tersebut adalah moyang aku," cukup bersemangat Abu Zaharin bercerita.

"Jadi kamu keturunan pahlawan Kerinci," saya mengusik.

"Kira-kiranya begitulah," sahut Abu Zaharin lalu disambut dengan ketawa.

Tangan kanan memegang setering lori, tangan kiri menepuk bahu saya, Abu Zaharin masih mampu mengendalikan perjalanan lori dengan baik sekali.

"Kita dah mula masuk ke kawasan perkampungan berdekatan Danau Kerinci, kawasan kampung berdekatan ni luas dan ada bermacam-macam nama."

Abu Zaharin mula memperlahankan laju lori. Binatang ternakan orang kampung sekali-sekali melintasi jalanraya terutama ayam dan kambing.

"Di kampung mana kamu nak ikut turun," kata Abu Zaharin.

"Beritahu aku awal-awal, jangan dah sampai baru nak cakap. Terpaksa brek mengejut, nanti kepala berlaga dengan cermin."

"Perkara di mana nak turun, kena tanya dengan Tamar," Andi Kamarool mengelak dengan meyerahkan beban itu kepada saya. Situasi ini membuat saya jadi serba salah.

"Sebenarnya aku dah buat silap," saya memulakan dengan nada yang lemah.

"Janji dengan datuk berjumpa di kedai kopi Saad mata sebelah orang Priaman. Kedainya depan toko kain sebelah kiri jalan besar dekat pasar, tetapi.."

"Tetapi apa lagi? sergah Abu Zaharin.

"Janji dengan datuk dan Haji Basilam naik bas. Bila dah naik kamu lain pula jadinya," tingkah saya.

"Habis macamana kamu sebut Danau Kerinci, kamu ni dah mengarut. Agaknya kamu kena rasuk tak?" Terbayang rasa kecewa dan hampa di wajah Abu Zaharin. Lori kecil terus dipandu dengan tenang.

Saya segera terfikir, barangkali Abu Zaharin kesal dengan apa yang terjadi. Dia sudah membuang masa, tenaga dan minyak untuk menolong kami.

Malangnya, niat baik itu menimbulkan masalah pada dirinya. Walaupun begitu, Abu Zaharin masih dapat mengawal perasaan. Masih dapat memandu dengan baik dan tenang.

"Maafkan aku," saya bersuara.

Sepanjang biji mata Andi Kamarool tertumbuk ke wajah arah saya Abu Zaharin cuma menjeling tajam.

"Kenapa pula?" Soal Andi Kamarool.

"Aku main agak saja tempat Danau Kerinci."

"Jadi?" pintas Abu Zaharin.

"Aku membuat andaian, selepas Sungai Penuh tentulah pergi ke Danau Kerinci," saya membuat penjelasan. Abu Zaharin ketawa terbahak-bahak.

"Kenapa kamu ketawa Abu?" Saya bertanya hairan.

"Mudahnya kamu buat andaian, macam nujum pak belalang," balasnya bersahaja.

Andi Kamarool mengukir senyum sinis. Hati saya mendehem dengan telatah dua sahabat itu.

Perasaan geram dan marah terhadap mereka beransur reda akibat kemunculan sebuah motorsikal jenis Triumph dengan kuasa kuda 500 (500CC). Motorsikal triumph itu muncul sebelah kanan lalu memotong lori kecil yang dipandu oleh Abu Zaharin.

"Dia terus pecut" komen Andi Kamarool.

Saya mengigit bibir, tidak mahu memberi sebarang pendapat.

"Itu Haji moden, kamu tengok ekor serbannya berkibar-kibar macam bendera," itulah komen Abu Zaharin.

Andi Kamarool mengangguk, akur dengan pendapat Abu Zaharin. Perhatian saya masih pada penunggang motorsikal besar. Rasa-rasanya, macam saya kenal dengan penunggang tersebut.

BERUBAH

Telatah si penunggang mula berubah, kalau tadi dia memecut dengan laju, kini diperlahankan. Jaraknya dengan lori yang kami naiki kira-kira tiga atau empat rantai.

Dia memberi isyarat tangan menyuruh lori kami ke tepi dan berhenti. Hati saya mula berdebar. Andi Kamarool nampak resah. Abu Zaharin tetap tenang. Laju lori diperlahankan.

"Kamu berdua kenal penunggang motorsikal tu?"

"Tak kenal," jawab Andi Kamarool.

"Kamu Tamar," Abu Zaharin renung muka saya.

"Rasa-rasa kenal tetapi.."

"Ini bukan main rasa-rasa, kalau kita bertiga tak kenal dia. Kenapa dia suruh berhenti, kila tak buat salah. Lagi pun dia bukan polis ada kuasa nak tahan orang," Abu Zaharin merunggut.

Dia masukkan gear rendah lori yang dipandu mula ketepi dan bersedia untuk berhenti.

Penunggang motorsikal terus beri tangan suruh berhenti. Bila Abu Zaharin memberhentikan lori dibibir jalan, penunggang motorsikal terus melajak ke depan dan berhenti dalam jarak lebih dari seratus kaki dari lori. Motorsikal hitam diletakkannya dalam keadaan melintang jalan.

"Kita tunggu dia datang dekat kita," ungkap Abu Zaharin.

"Kami anggukkan kepala.

"Tunggu dalam lori?" lahir kata lucu dari kelopak bibir saya.

"Kita turun, jangan berkasar dengannya," pesan Abu Zaharin, sebaik saja kami turun dari lori.

Kami berdiri tiga deret di depan lori kecil sambil mengemaskan kedudukan sepasang kaki masing-masing. Bukan apa-apa, sekadar untuk mempertahankan diri. Kiranya, jika terjadi perkara yang tidak diingini.

Enam biji mata tertumpu ke arah lelaki yang sedang melangkah ke arah kami. Entah mengapa, hati kecil saya kuat mengatakan lelaki tersebut ialah Haji Basilam.

Keyakinan saya itu berdasarkan bentuk tubuh dan cara orang itu berjalan. Wajahnya tidak dilihat dengan jelas kerana ditutupi kain hitam, kecuali bahagian mata dan dahi.

Orang itu terus melangkah penuh semangat di bawah sinar matahari yang kian menyengat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 187/284

BACA: SBDJ Siri 186: Ular Hitam Jelmaan Jin
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, February 03, 2023

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan

Dosa manakah, minum minuman yang memabukkan, berzina atau membunuh. Itulah teka-teki sebagai inti khutbah Khalifah Uthman bin Affan r.a. seperti yang diriwayatkan oleh Az-Zuhriy, dalam khutbah Uthman itu mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap minuman khamr atau arak. Sebab minuman yang memabukkan itu sebagai pangkal perbuatan keji dan sumber segala dosa.

Arak Puncak Segala Kejahatan

Ada sebuah riwayat daripada Al-Haris yang telah mendengar Saidina Uthman r.a. berkata:

Dulu hidup seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah ke masjid, lanjut khutbah Khalifah Uthman.

Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Kerana sudah terjatuh hati, lelaki itu menurut saja ketika disuruh memilih antara tiga permintaannya, tentang kemaksiatan.

Pertama minum khamr, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi.

Mengira minum arak dosanya lebih kecil daripada dua pilihan lain yang diajukan wanita pujaan itu, lelaki soleh itu lalu memilih minum khamr.

Tetapi apa yang terjadi, dengan minum arak yang memabukkan itu malah dia melanggar dua kejahatan yang lain.

Dalam keadaan mabuk dan lupa diri, lelaki itu menzinai pelacur itu dan membunuh bayi di sisinya.

"Kerana itulah hindarilah khamr, kerana minuman itu sebagai biang keladi segala kejahatan dan perbuatan dosa.

"Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir ayatnya, ia akan kekal di neraka."

KISAH BARSISA

Barsisa adalah seorang abid berketurunan Bani Israil, pengikut agama Nabi Musa a.s. Dia merupakan seorang guru yang mempunyai ribuan pelajar yang boleh terbang di atas angin kerana berkatnya.

Ibadah Barsisa cukup kuat hinggakan malaikat takjub melihatnya. Allah SWT bertanya kepada para malaikat, "Mengapa kalian semua takjub melihat Barsisa beribadat? Sesungguhnya Aku amat mengetahui apa kamu tidak ketahui. Barsisa yang kamu takjub itu akan mati kafir dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya."

Hal kematian Barsisa yang akan mati dalam keadaan kafir telah didengari oleh syaitan. Maka syaitan pun segera menuju ke tempat Barsisa sedang beribadat dengan menyamar sebagai manusia yang soleh.

Setibanya di situ syaitan lantas memanggil Barsisa, yang mendengar namanya dipanggil terus menyahut seruannya dan bertanya, "Siapakah tuan?"

Syaitan menjawab, "Saya seorang abid datang untuk menemani tuan beribadat kepada Allah SWT."

Apabila mendengar jawapan syaitan, Barsisa menjawab, "Barang siapa yang datang ke sini untuk beribadat kepada Allah, Allah akan mengadakan teman baginya, silakanlah wahai abid untuk beribadat bersama-sama saya."

Maka syaitan tadi pun beribadat 3 hari 3 malam, tidak tidur, tidak makan dan tidak pula minum, menyebabkan Barsisa berasa kagum dengan teman barunya kerana dia lebih kuat beribadat daripadanya.

Maka berkatalah Barsisa, "Aku beribadat kepada Allah SWT selama 220 tahun tetapi saya tidak pula sanggup meninggalkan tidur, makan dan minum seperti tuan. Bagaimanakah saya hendak beribadat seperti tuan?"

Kata Syaitan, "Wahai tuan, lakukanlah maksiat kepada Allah, kemudian tuan bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Barsisa terkejut lantas bertanya, "Mengapa pula saya mesti mengerjakan maksiat kepada Allah, sedangkan saya telah lama beribadat kepada-Nya?"

Jawab syaitan, "Manusia apabila melakukan dosa, mereka sangat berhajat untuk meminta keampunan daripada-Nya hingga tuan boleh merasai betapa lazatnya melakukan ketaatan kepada Allah SWT setelah melakukan dosa."

Barsisa bertanya lagi, "Apakah dosa yang kamu maksudkan?"

Jawab syaitan, "Cubalah berzina."

Barsisa bertegas untuk tidak melakukannya. Lantas syaitan berkata, "Kalau tidak mahu berzina, bunuhlah seorang Muslim."

Sekali lagi Barsisa menolak nasihat syaitan.

Tanpa berputus asa, syaitan meneruskan lagi, "Kalau tidak mahu membunuh, maka minumlah minuman yang memabukkan."

Barsisa menjawab, "Ya! itulah yang lebih ringan. Di manakah saya boleh dapatkan minuman itu?"

"Pergilah ke desa sekian-sekian."

Maka Barsisa pun pergi ke desa yang dimaksudkan untuk mendapatkan minuman tersebut. Di sana dia bertemu seorang wanita sedang menjual khamar (arak).

Barsisa membeli minuman tersebut dan meminumnya sehingga dia mabuk. Dalam keadaan mabuk dia memperkosa wanita penjual khamar.

Tiba-tiba suami wanita itu pulang ke rumah. Oleh kerana takut rahsianya terbongkar, Barsisa membunuh suami wanita tersebut.

Syaitan yang mengubah penampilannya menjadi manusia pergi bertemu dengan raja untuk melaporkan kesalahan Barsisa membunuh orang. Raja memerintahkan agar Barsisa ditangkap.

Setelah sabit kesalahan, Barsisa dirotan 80 kali kerana kesalahan meminum khamar, 100 kali sebatan kerana merogol dan juga dijatuhkan hukuman sula kerana membunuh suami wanita itu.

Ketika Barsisa sedang berdiri terpacak di tiang sula, syaitan mendatanginya lalu bertanya, "Wahai Barsisa, bagaimanakah keadaanmu sekarang?"

Jawab Barsisa, "Beginilah keadaanku apabila terpedaya dengan seorang teman yang jahat lagi pengkhianat."

Syaitan berkata lagi, "Ketika saat kamu mahu disula ini, mahukah kamu jika aku lepaskan dengan satu syarat?"

Jawab Barsisa, "Apakah syarat tersebut, aku sedia memenuhinya."

Jawab syaitan, "Sujudlah kepadaku satu kali."

Barsisa menjawab, "Bagaimanakah aku hendak sujud kepadamu sedangkan aku terpaku di tiang sula ini?"

Kata syaitan, "Cukuplah dengan isyarat menganggukkan kepala sahaja."

Barsisa pun patuh, dia melakukan sujud kepada syaitan (Iblis Laknatullah) dengan cara menganggukkan kepalanya kepada iblis.

Ketika itulah Raja mengarahkan hukuman dilaksanakan, maka matilah Barsisa bertuhankan syaitan yang terkutuk.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Thursday, February 02, 2023

5 Kartun Dan Rancangan Popular Kanak-kanak Promosi LGBT, Ibu Bapa Jangan Terpedaya!

5 Kartun Dan Rancangan Popular Kanak-kanak Promosi LGBT, Ibu Bapa Jangan Terpedaya!

Realiti sekarang, unsur-unsur songsang tampak ingin dibiasakan penerimaannya kepada khalayak ramai dipersembahkan secara halus. Ini taktik dahulu. Kini tidak lagi. Unsur-unsur hak dan kebebasan manusia mutlak, dibangkitkan pendukung budaya jijik tanpa henti.

Salah satu media yang sedang berdepan masalah teruk ini adalah rancangan animasi yang mensasarkan kanak-kanak, kerana dengan kemudahan teknologi membolehkan anak-anak kecil memilih apa yang mereka tonton setiap hari, namun ada baiknya kita jangan terleka.

Dibawah ini adalah 5 siri animasi dan rancangan kanak-kanak yang popular di negara kita, baru atau memang telah lama mengandungi unsur sebegini.

1. Scooby-Doo

Scooby-Doo LGBT

Apabila mengetahui siri animasi klasik Scooby-Doo bakal diperbesarkan skop kisahnya bagi merangkumi kisah asal watak-watak utamanya, kita mempunyai pandangan skeptikal.

Semuanya terbukti benar selepas siri terbaru Velma, sarat dengan elemen-elemen songsang.

Diubah secara rasmi pada tahun 2020, watak gadis pintar dengan perwatakan yakin dan pemalu ini akhirnya disahkan diubah, suka sama sejenis!

Pengenalan siri baru ini menukar terus acuan lama kartun ini, diadun dengan elemen feminisme dan kesongsangan, serta menukar etnik watak klasik yang ada kepada etnik berbeza.

Shaggy kini seorang lelaki kulit hitam dan Daphne pula adalah seorang wanita Asia yang datang dari keluarga pasangan sejenis wanita dengan wanita. Yaks!

2. Sesame Street

Sesame Street is Gay

Pada bulan Jun tahun 2021, siri kanak-kanak popular Sesame Street menjadi antara siri rancangan kanak-kanak klasik yang mengadunkan elemen songsang secara rasmi dalam rancangannya.

Diterbitkan bersempena Pride Day atau Hari Kebanggaan golongan songsang di Amerika Syarikat, episod ke 5132 yang diberi judul 'Family Day' memperkenalkan penonton kepada pasangan lelaki sama jenis, Dave dan Frank yang mempunyai anak perempuan bernama Mia.

Usaha memperkenalkan elemen songsang ke dalam rancangan ikonik ini telah lama berjalan sebenarnya, tetapi episod itu dianggap istimewa kerana buat kali pertama Sesame Street dilihat berani memaparkan dua watak tersebut tanpa berselindung lagi.

Bagi peminat siri ini yang selama ini meragui status hubungan sebenar di antara watak Bert dan Ernie, tidak lama dahulu pun sudah diperjelaskan status mereka dalam sebuah temuramah bersama penulis siri ini dalam tahun 2018.

Cuma kedua-dua watak ini belum diterjemahkan secara rasmi benar-benar songsang di kaca TV. Tunggu masa saja agaknya.

3. Transformers

Transformers LGBT

Jika anda kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an, pasti ada kemungkinan anda meminati animasi Transformers.

Salah satu filem animasi berstatus klasik dekad tersebut adalah 'Transformers - The Movie' menampilkan watak robot wanita bernama Arcee, yang mampu bertukar menjadi sebuah jet.

Cantik dan menawan, kanak-kanak lelaki yang suka Transformers rasanya akan jatuh cinta dengan watak ini.

Tetapi tahukah anda, sejak beberapa tahun ini usaha untuk menukarkan latar belakang watak ini mula dijalankan dan kini watak yang cukup diminati ini bukan lagi dikenali sebagai robot wanita - sebaliknya adalah robot transgender lelaki yang mahu menjadi wanita.

Tidak cukup dengan itu pengenalan watak-watak baru yang membawakan elemen kesongsangan telah dilakukan tanpa kita sedar.

Mungkin dimasa akan datang, Transformers lebih sesuai dijenamakan semula sebagai Transgenders.

4. My Little Pony Friendship is Magic

LGBT My Little Pony Friendship is Magic

Kita tahu pelangi dijadikan simbol gerakan songsang.

Pelangi dan spektrum warna juga adalah antara elemen yang cukup penting dalam siri animasi My Little Pony.

Memaparkan kisah lucu persahabatan di antara anak kuda comel, siri ini menjadi antara watak ikonik kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun, menepati tajuk artikel ini - usaha menambah elemen songsang mula dilakukan beberapa tahun terdahulu dengan pengenalan watak-watak baru Aunt Lofty and Aunt Holiday, dua kuda betina yang suka sama jantina.

Siri ini kemudiannya menerima pengenalan watak tambahan pasangan watak anak kuda sama jantina pada tahun 2017, sebelum produksi animasi ini mula lebih terbuka memaparkan elemen songsang melibatkan watak-watak utama jalan cerita.

Dua daripada watak utama siri ini iaitu Apple Jack dan Rainbow Dash akhirnya ditayangkan mempunyai hubungan songsang sekitar tahun 2020, memahatkan terus elemen luar tabii dalam siri kanak-kanak yang kelihatan sangat innocent sebenarnya.

5. Power Rangers

Power Rangers LGBT

Ada sesuatu yang sangat mengujakan melihat 5 orang anak muda mampu melawan puluhan makhluk jahat yang berakhir dengan pertarungan robot gergasi dalam setiap episod.

Filem 'Power Rangers' yang diterbitkan dalam tahun 2017 memecah tradisi dengan pengenalan watak utama iaitu Power Rangers Kuning yang seakan-akan gemar pasangan sama jenis. Namun semuanya masih dilakukan secara tersirat.

Secara rasmi, elemen songsang mula mencemari siri ini secara terbuka tanpa berselindung melalui salah satu episod dalam siri Power Rangers Dino Fury, ditayangkan pada 16 Oktober 2021 di Amerika Syarikat.

Dalam episod yang diberikan tajuk 'The Matchmaker', Power Rangers Hitam, seorang lelaki bernama Javi cuba membantu Power Rangers Hijau, seorang wanita bernama Izzy mendapatkan pasangan.

Semua usahanya sia-sia kerana pada penghujung cerita, ditunjukkan Izzy sebenarnya meminati seorang wanita lain, berjalan berpegangan tanggan dengan gembira.

Episod ini berakhir dengan sorakan kegembiraan Power Rangers meraikan keberanian Izzy membuat pilihan dan tidak lagi merasa malu mendedahkannya kepada rakan-rakan.

Semoga memberi manfaat.

sumber: (1)

Wednesday, February 01, 2023

SBDJ Siri 186: Ular Hitam Jelmaan Jin

SBDJ Siri 186: Ular Hitam Jelmaan Jin

Lori kecil terus melanda dada jalan dengan lancar sekali. Pemandunya sudah berubah selera. Dia mula berkasidah, suaranya boleh tahan juga membuat saya terpesona. Tetapi, dia tetap berhati-hati dan waspada mengendalikan lori yang dipandunya. Laju lorinya diperlahankan bila memasuki selekoh yang tajam atau mendaki bukit.

Toyol jadi-jadian


Adakalanya, lori terpaksa berhenti secara mengejut untuk memberi laluan kepada kumpulan beruk besar menyeberangi jalan. Kumpulan beruk besar itu kelihatan tertib melintas, buat tidak kisah dengan lori kecil yang berhenti.

"Beruk-beruk di sini semuanya jinak, bersopan santun di jalanraya. Mereka melintas dengan baik," kata Abu Zaharin sambil ketawa terkikih.

Lori kecil bergerak kembali, kali ini agak laju. Ketika mahu memasuki satu selekoh yang tajam, pemandu lori kecil menekan berek secara mengejut.

Akibatnya, saya dan Andi Kamarool terdorong ke depan. Dahi kami terkandas di cermin. Aduh sakitnya.

Tetapi, rasa sakit itu terus hilang dengan serta merta akibat kemunculan mendadak tiga ekor gajah dari rimbunan pokok sebelah kiri kami. Muka saya dan Andi Kamarool jadi pucat dan terus berdebar.

Pemandu lori tetap tenang, membiarkan tiga ekor gajah itu menyeberang jalan dengan aman.

"Perkara macam ini, perkara biasa bagi saya. Binatang dan alam Kerinci masih terperlihara," tutur pemandu lori.

Kali ini perjalanan agak lancar, kami melintasi beberapa kawasan perkampungan kecil. Kami sering saja berselisih dengan motorsikal dan agak jarang berselisih dengan kereta.

Kebanyakan motorsikal yang mereka gunakan adalah buatan dari Eropah yang berbadan besar dan mempunyai kuasa kuda yang agak tinggi (masa itu motorsikal Jepun belum popular lagi) seperti jenis Triumph, BSA, Norton dan sebagainya.

Setelah menuruni kawasan berbukit, saya lihat pemandu lori nampak resah semacam. Tidak tenteram seperti tadi, apa yang dibuatnya serba tidak kena.

Dia selalu saja menekan berek dan minyak, akibatnya laju lori tidak seimbang, kami jadi tersengguk-sengguk.

"Kenapa?" tanya Andi Kamarool.

"Entah mengapa, tiba-tiba saja hati saya berdebar cemas. Berpandukan pada pengalaman dulu perkara macam ini membawa pertanda kurang baik. Saya harap tak ada perkara buruk terjadi."

" Insya Allah kita selamat pandu dengan cermat," jawab Andi Kamarool.

"Saya juga harap macam tu" tingkah Abu Zaharin, setering kereta di paut erat dan kejap sekali.

KABUS

Dibawah sinaran matahari yang kian mencacak itu, saya renung kiri dan kanan. Lori kecil sedang melalui kawasan hutan tebal.

Suasana sekitar terasa sepi, tidak ada kenderaan yang lalu kecuali lori yang kami naik, walaupun cahaya matahari bersinar terang tetapi, kawasan sekitar jalanraya agak gelap dengan kabus yang menebal.

"Harimau," jerit Abu Zaharin.

Dengan serta merta dia menekan berek kecemasan. Saya dan Andi Kamarool jatuh terperosok di celah bangku. Lori kecil dengan empat roda terpaku di dada jalanraya.

Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan duduk. Dan apa yang kami lihat di jalanraya ialah seekor harimau Sumatera sedang terbaring, berguling di atas batu jalan sesuka hati tanpa mempedulikan lori kecil yang berhenti tidak sampai sepuluh kaki darinya.

"Kita dalam bahaya Abu," kata saya perlahan.

"Bertenang saudara."

Harimau berbadan besar itu berdiri, merenung ke arah kami sambil menguap. Giginya yang tajam jelas kelihatan. Misainya yang panjang dan keras bergerak-gerak.

Kemudian harimau itu duduk mencangkung lalu menjilat-jilat kuku ditelapak kakinya. Abu Zaharin turun dari lori.

"Mahu ke mana Abu?" Andi Kamarool bersuara cemas.

"Biar aku suruh dia ke tepi."

"Merbahaya Abu," celah saya.

Abu Zaharin hanya tersenyum dan saya lihat kelopak bibirnya bergerak-gerak. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dihembuskannya ke kiri dan ke kanan.

Dengan tenang dia melangkah ke arah harimau Sumatera yang sedang duduk mencangkung menanti kedatangannya.

Setiap kali Abu Zaharin melangkah mendekati Harimau Sumatera tali jantung saya bergegar hebat, bila menarik dan melepaskan nafas dada terasa sakit.

Dan saya bayangkan, bagaimana mudahnya harimau itu menapar muka Abu Zaharin dan kemudian mematahkan batang lehernya. Darah melimpah dipermukaan jalanraya.

Separuh badan Abu Zaharin berada dalam mulut harimau dan separuh lagi berada di luar. Bahagian badan yang berada di luar mulut harimau (dari dada hingga kaki) mengelitik bagaikan kepala ikan keli diketuk kepala.

Saya renung ke arah Andi Kamarool, sepasang anak matanya tidak berganjak dari merenung ke arah Abu Zaharin.

"Subahanallah.." terpancut kata-kata itu dari kelopak bibir saya.

Apa yang saya fikirkan,tidak terjadi. Empat kali saya mengurut dada.

NASIB

"Dia bukan sebarang orang, kepalanya penuh pengetahuan dan dadanya penuh ilmu,"ungkap Andi Kamarool.

"Cakap kamu benar, Andi."

Perhatian kami tidak berganjak ke arah Abu Zaharin. Dengan tenang dia menepuk-menepuk kepala harimau Sumatera, misai harimau dipintal-pintal.

Penuh mesra harimau Sumatera menjilat kiri kanan pipinya. Abu Zaharin membisikan sesuatu ke telinga harimau, tidak berapa lama harimau itu mengaum lalu beredar.

Abu Zaharin kembali ke lori kecil dengan senyum.

"Aku harap pejalanan selanjutnya tidak ada halangannya."

Abu Zaharin melompat ke dalam perut lori dan beberapa detik kemudian bunyi injin lori kecil terus mengaum menguasai dada jalan raya.

"Saudara memang hebat."

Saya terus menepuk bahu kanan Abu Zaharin, dia tersengih.

"Semuanya dengan izin Allah. Kalau tidak diizinkan, usaha aku tidak menjadi," katanya merendah diri. Lori kecil terus bergerak.

Nyanyian beburung liar dan hembusan bayu memberikan kesegaran kepada diri saya dan mungkin juga diri Andi Kamarool.

"Sudah bertahun aku membawa lori sayur. Macam-macam perkara pelik aku temui. Dengan izin Allah semuanya dapat aku atasinya," lanjutnya lagi. Kami anggukkan kepala.

Dalam asyik bercerita itu, lagi sekali kami mengalami kejutan. Abu Zaharin menekan brek secara mengejut, lori kecil terbabas ketepi jalan. Nasib baik tidak masuk parit.

"Kenapa Abu?" soal Andi Kamarool.

"Kamu lihat, apa ada di tengah jalan," katanya.

Saya dan Andi Kamarool terus merenung ke jalan raya. Ada lingkaran ular hitam berkilat setinggi busut disitu. Kepalanya berada di bahagian atas terlentuk di situ bagaikan sedang tidur dengan lena.

SERAM

Abu Zaharin tidak memperlihatkan rasa cemas atau takut. Dia mengendalikan lori kecil yang terbabas hingga berada di jalanraya.

"Langgar saja Abu," saya mengemukakan usul.

"Jangan terlalu kejam dengan makhluk Allah yang lain."

"Dia ganggu kita," saya meningkah.

Abu Zaharin tersenyum lalu mengajak kami turun dari lori kecil. Berjalan serentak ke arah ular hitam yang berlingkar.

Lebih kurang kira-kira lima langkah mahu sampai ke arah ular berlingkar, saya terdengar nafas ular cukup kuat.

Saya segera memegang bahu kanan Andi Kamarool. Malangnya, saya tidak sempat menahan Ahu Zaharin. Langkahnya cukup cepat sekali.

"Kenapa Tamar?"

"Aku sudah baca doa nabi Allah Sulaiman. Tiba- tiba tengkuk bulu tegak. Aku jadi seram sejuk," bisik saya kepada Andi Kamarool.

"Aku rasa seperti apa yang kamu rasa, ada baiknya kita balik ke lori. Aku yakin apa yang ada di depan kita bukannya ular, seperti jin," Andi Kamarool terus menarik tangan saya.

Langkah selajutnya, kami segera berlari menuju ke lori kecil. Diri jauh kami melihat perkembangan tentang diri Abu Zaharin.

Memang ada kelainannya, Abu Zaharin tidak seberani tadi. Kalau tadi dia nampak mudah menangani harimau Sumatera. Tetapi kali ini, keadaan agak berbeza sekali. Dua tiga kali dia jatuh ketika ular hitam mengangkat kepala.

Dengan sedaya-upaya, dia cuba menjauhkan dirinya dari mendekati longgokkan ular hitam yang sudahpun memanggungkan kepalanya.

Abu Zaharin dongakkan kepala merenung ke arah kepala ular Mereka kelihatan seperti sedang bercakap sesuatu.

Dalam beberapa detik kemudian, Abu Zaharin membelakangi lingkaran ular hitam dan pada ketika itu kedengaran bunyi ledakan yang amat kuat.

Tempat ular hitam berlengkar dipenuhi kepulan asap tebal menghilang. Ular hitam juga turut ghaib entah ke mana.

Abu Zaharin tertiarap di permukaan jalanraya dengan kedua belah kakinya terkangkang. Sepasang tangannya terletak di kepala.

"Jangan."

Andi Kamarool memegang tangan kanan saya dengan sekuat hati. Dan saya tidak jadi melangkah untuk mendekati Abu Zaharin.

"Sekejap lagi dia bangun. Dia sudah menyelesaikan masalahnya dengan baik sekali," Andi Kamarool renung muka saya.

"Abu Zaharin bukan sebarang orang, pendiam dan tak banyak cakap. Bila terdesak semua ilmu habis dimanfaatkannya," komen saya.

Andi Kamarool anggukkan kepala sambil tersenyum panjang. Matanya masih tertumpu ke arah Abu Zaharin yang terkapar di jalanraya, macam katak mati dilanggar lori balak.

"Kamu lihat," suara Andi Kamarool keriangan.

Saya segera renung ke arah yang dimaksudkannya. Saya lihat Abu Zaharin sudah tegak berdiri. Menumbuk angin ke kiri dan ke kanan. Kakinya juga menendang angin. Dia melakukan senaman singkat untuk menegangkan urat.

Sebelum berlari ke arah lori terlebih dahulu Abu Zaharin melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan Andi Kamarool. Lambainya kami balas.

"Apa yang kamu lihat tadi bukannya ular sebenar. Tetapi, jin nakal yang nak kacau kita, menjelma jadi ular. Kalau tidak pandai mengatasinya, kita boleh tadi susah, mungkin menderita sakit seumur hidup atau kita terpedaya tunduk pada kemahuannya," ucap Abu Zaharin sambil mengesat peluh di dahi dengan sapu tangan. Kami hanya anggukkan kepala.

BERGERAK

"Jin nakal itu sengaja berusaha supaya kita marah dan bertindak balas. Bila kita bertindak balas, panjanglah ceritanya. Selalunya kita yang rugi. Dalam hal begini, kita mesati sabar, tenang dan pasrah pada Allah," lanjut Abu Zaharin, injin lori kecil dihidupkan kembali dan perjalanan yang tergendala diteruskan.

Sambil memandu Abu Zaharin terus bercerita.

Katanya, jin adalah makhluk Allah yang paling ramai di dunia, tidak dapat dibayangkan jumlahnya oleh akal manusia.

Pokoknya, makhluk jin mengatasi jumlah manusia. Boleh dikatakan tidak ada tempat di dunia ini yang tidak diisi oleh jin, baik di daratan, lautan mahupun di udara.

Lori kecil terus bergerak dengan aman, kali ini kami menempuh kawasan perkampungan yang tidak putus-putus, pokok-pokok buah- buahan kelihatan di mana-mana.

"Jin juga ada pelbagai," sambung Abu Zaharin.

"Mempunyai rumpun bangsa yang berbeza- beza. Dunia jin juga macam dunia manusia, tiap bangsa jin, mempunyai kerajaan dan pegawai takbir, antara bangsa jin terdapat permusuhan antara mereka".

"Oh begitu," kata saya sambil menelan air liur.

"Agama mereka macam mana, Abu?" soal Andi Kamarool. Abu Zaharin tersenyum, setering kereta dipegang penuh cermat.

"Macam manusia juga, ada yang Muslim, ada yang Kristian, Hindu, Buddha, penyembah berhala. Malah ada yang berfaham komunis."

"Abu, aku nak tanya satu perkara, boleh tak," saya lihat Andi Kamarool merenung muka Abu Zaharin yang sedang memandu itu.

"Silakan."

"Apakah iblis itu nenek moyangnya jin, macam manusia adalah keturunan dari Adam alaihissalam."

"Begini, sepanjang yang aku tahu, Iblis ada keturunan Jin, bukannya moyang jin."

"Dari mana kamu tahu?" Potong saya dengan wajah serius.

"Dari para ulama, dari guru aku di Mesir, Makkah juga dari pembacaan dan kajian aku," ada suara Abu Zaharin penuh keyakinan dan kepastian.

Lori terus dipandu, menempuh kawasan tanah berpaya. Monyet- monyet liar bergayut di dalam pokok.

"Kalau begitu, siapa dia datuk nenek jin?" terhambur pertanyaan dari saya.

Abu Zaharin menelan air liur, matanya merenung tajam ke depan. Matahari kian meninggi, sinarnya tersebar di mana-mana.

"Kata guru aku, orang Mesir tetapi, menetap di Istambul, Turki. Dia beritahu aku, sepanjang yang diketahuinya, entah betul, entahkan tidak. Hanyalah Allah saja yang maha mengetahui, nenek moyang jin adalah Jin.."

Andi Kamarool anggukkan kepala beberapa kali. Barangkali dia dapat menerima dengan apa yang diluahkan oleh Abu Zaharin.

"Macam mana dengan iblis," saya memintas.

Abu Zaharin menguap panjang, rasa bosan dan jemu tergambar di wajahnya. Barangkali, dia merasa dengan pertanyaan demi pertanyaan yang kami ajukan kepadanya.

Kali ini, Abu Zaharin seperti hilang minat untuk menjawab pertanyaan saya. Dia kembali berkasidah sambil merenung ke kiri dan ke kanan jalan. Setering kereta di pegang erat.

Kerana Abu Zaharin tidak berminat, saya tidak ingin mendesaknya. Biarlah perkara itu berlalu begitu saja. Saya tidak menyesal atau terkilan.

Abu Zaharin terus berkasidah, seolah saya dan Andi Kamarool tidak wujud di sisinya.

Setering kereta dipegang sebelah tangan, meskipun waktu mengambil selikuh yang tajam. Semuanya membuatkan hati saya berdebar cemas.

"Menurut kata guru aku, juga hasil pembacaan aku dari sebuah buku yang diterbitkan di Mesir menyatakan bahawa iblis adalah keturunan Jin, cukup bijak dan pandai macam malaikat. Tetapi, dia bongkak dan sombong dan dimurkai Allah," gembira bukan kepalang bila Abu Zaharin memulakan percakapan.

PENAT

Rasa puas juga terbayang di wajah Andi Kamarool.

"Kisah iblis durhaka kepada Allah terdapat surah Al-Kahfi: 50 yang berbunyi.." Abu Zaharin tidak meneruskannya, buat beberapa saat dia termenung, dahinya berkerut macam mengingati sesuatu.

"Yang berbunyi lebih kurang begini," dia menyambung kembali.

"Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada para malaikat, sujudlah kau kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia dari golongan jin, lalu dia mendurhakai perintah Tuhannya.."

"Tapi, ramai orang percaya bahawa iblis adalah moyang Jin," saya mencungkil lagi.

"Cukup setakat ini, lain kita bercakap tentang hal ini," dengan cara yang sopan, Abu Zaharin memaksa kami supaya berhenti dari menimbulkan perkara tersebut.

Kami tiada pilihan, terpaksa mematuhinya.

Abu Zaharin kembali dengan keadaan biasaanya, berkasidah sambil memandu lori kecil. Penat berkasidah dia membaca Quran sambil berlagu. Suaranya memang boleh tahan. Kami jadi terhibur.

"Sekarang aku pula nak tanya kamu berdua, boleh tak?"

"Silakan Abu Zaharin," sambut Andi Kamarool.

Abu Zaharin tersenyum, setering lori dipulas dengan teliti dan lori kecil berbelok ke kanan lalu menempuh jalan yang agak curam sedikit.

Sebelah kanan jalan penuh dengan rumpun kelubi yang daunnya bergerak malas merempuh bayu pagi. Manakala sebelah kanan jalan ditumbuhi pepohon besar dari jenis pokok meranti, jelutung dan talang. Semuanya tinggi menjulang.

"Apa hasil yang kamu dapat dari rumah batu lama?"

Pertanyaan yang mengejutkan bagi kami. Saya gigit bibir hingga terasa sakit. Sepasang anak mata Andi Kamarool terpanah ke wajah saya.

"Tak ada apa- apa, biasa saja," tanpa memandang wajah Abu Zaharin, Andi Kamarool bersuara.

"Mustahil," balas pemandu lori sambil senyum sinis.

"Apa yang dikatakannya tu memang benar," saya memberi sokongan padu. Abu Zaharin gelengkan kepala bersama senyum yang bertali. Hati kami terus dijentik keresahan.

"Mustahil, mustahil," ulangnya berkali-kali sambil menjentik-jentik setering kereta dengan hujung jari manis.

"Kami cakap betul, Abu..." nada suara Andi Kamarool agak lemah.

"Mustahil- mustahil," ulangnya berkali-kali sambil menggelengkan kepala.

"Kamu berdua mahu merahsiakannya dari aku," sambungnya lalu menggaru pangkal dagu kiri.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 186/284

BACA: SBDJ Siri 185: Merebut Geliga Naga
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, January 31, 2023

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!

Sejarah Laut Mati menyimpan peristiwa bencana yang amat dahsyat, sehingga bukan sahaja menimpa seluruh penduduknya malah melenyapkan terus sebuah negeri dan peradaban. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Kaum yang dimaksudkan itu ialah penduduk Sodom dan Amurah.

Kisah Valley of Salt

Laut Mati ialah laut yang mempunyai air yang sangat masin, sehingga tiada suatu hidupan yang mampu hidup. Jika mandi di laut ini, kita akan mendapati badan kita terapung-apung dan tidak tenggelam, lantaran kepekatan garamnya.

Firman-Nya yang bermaksud, "Maka ketika datang azab Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan Ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu." (Surah Hud 11: 8283)

Lokasi bandar Sodom dan Amurah (dalam bible disebut Gommorah) dikenal pasti oleh ahli sejarah di barat daya Laut Mati. Beberapa penemuan sejarah ditemui di kawasan itu kini suatu lembah yang digelar Valley of Salt.

Bumi di situ didapati mengandungi kandungan sulfur dan garam yang tinggi. Dipercayai azab yang diturunkan ke atas mereka daripada hunjaman batu-batu belerang, yang mana selain membunuh manusia, ia membakar bangunan batu-batu kapur (limestone), yakni bahan membina bangunan pada waktu itu.

Tanah dan abu yang dijumpai di kawasan itu mengandungi kalsium sulfat dan kalsium karbonat, hasil daripada batu kapur dan sulfur (batu belerang) yang terbakar.

Kedegilan Kaum Nabi Lut Mengundang Azab Allah

Kaum ini dalam kehidupan mereka mengamalkan perkara yang sangat keji iaitu hubungan homoseksual atau liwat dikalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan wanita.

Rata-rata mereka berminat sesama kaum sejenis. Ditambah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran lain seperti penindasan, rompakan, kecurian serta rampasan harta benda dan sebagainya.

Yang kuat mendapat kuasa, manakala yang lemah menjadi korban penindasan serta penganiayaan.

Allah SWT mengutus Nabi Lut a.s. untuk berdakwah dan menyeru kaum Sodom agar kembali menyembah Allah dan meninggalkan perkara keji itu, tetapi mereka mengingkari dakwah Nabi Lut a.s.

Malah mereka suka memperolok-olokkan Nabi Lut sehingga mencabar beliau meminta didatangkan azab daripada Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan (Kami utus) Nabi Lut. Ingatlah ketika ia berseru kepada kaumnya: 'Kenapa kamu lakukan pekerjaan keji (homoseks) yang tidak pernah dikerjakan oleh seorang jua pun sebelum kamu di muka bumi ini? Sesungguhnya kamu menyalurkan syahwatmu (nafsu seks kamu) kepada lelaki, bukan kepada wanita. Nyatalah kamu kaum yang melampaui batas.' Jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, 'Halau mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri.'" (Surah al-A’raf 7: 80-82)

"Maka jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: 'Datangkan kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.'" (Surah al-Ankabut 29: 29)

Utusan Allah SWT Datang Kepada Kaum Lut

Kemudian Allah SWT mengutus dua malaikat menjelma sebagai pemuda tampan ke negeri kaum Lut.

Ibn Kathir menyebut: Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Ibrahim a.s., maka mereka mendatangi negeri Sodom dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Lut dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka.

Sebelum itu, malaikat ini pernah bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk menyampaikan berita gembira bahawa isteri baginda akan hamil dan dikurniakan cahaya mata. Malaikat itu juga telah menyatakan bahawa mereka akan ke negeri kaum Lut untuk membinasakan mereka.

Nabi Lut a.s. ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh, saudara kandung Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah SWT, "Dan ketika utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, mereka mengatakan: 'Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk (Sodom) ini. Sesungguhnya penduduknya ialah orang yang zalim.'" (Surah al-Ankabut 29: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Berkata Ibrahim: 'Sesungguhnya di kota itu ada Lut.' Para malaikat berkata: 'Kami lebih mengetahui siapa di kota itu. Kami akan selamatkan dia dan pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang yang dibinasakan.'" (Surah al-Ankabut 29: 32)

Para malaikat itu kemudiannya meninggalkan Ibrahim dan menuju ke Sodom.

Al-Suddi berkata: Para malaikat tersebut pergi daripada tempat Nabi Ibrahim menuju ke negeri Lut. Mereka datang ke negeri tersebut pada waktu tengah hari.

Sesampainya mereka di sungai negeri Sodom, mereka bertemu dengan puteri Lut yang sedang mengambil air untuk keluarganya. Ketika itu, Lut memiliki dua anak perempuan. Puteri yang pertama bernama Raitsa dan yang kecil bernama Zaghrata.

Para malaikat tersebut berkata kepadanya, "Wahai anak perempuan, apakah ada tempat untuk singgah?" Dia menjawab: "Ya, ada tempat bagi kamu. Namun, janganlah kamu masuk sebelum aku datang lagi kepada kamu."

Dia merasa kasihan jika kaumnya memperlakukan mereka dengan tidak wajar. Lalu dia menemui ayahnya dan berkata, "Wahai ayah! Ada beberapa pemuda yang ingin bertemu denganmu di pintu masuk kota. Aku belum pernah melihat wajah yang lebih tampan dari wajah mereka. Jangan engkau biarkan kaummu mengganggu mereka dan mempermalukan mereka."

Pada waktu itu, kaum Lut telah melarangnya untuk menerima tetamu. Mereka berkata, "Biarkan kami menerima tetamu lelaki."

Mereka pun bertamu kepada Lut ketika matahari tenggelam. Lut merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa.

Lut membawa mereka – para malaikat tersebut – tanpa diketahui oleh seorang pun kecuali isterinya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan." Surah Hud (77)

Malangnya, isteri Lut keluar menemui kaumnya dan berkata, "Di rumah Lut ada beberapa lelaki yang sangat tampan yang belum pernah aku lihat sebelumnya."

Lalu tersebarlah berita dikalangan kaumnya kedatangan lelaki-lelaki tampan di rumah Lut. Lalu mereka berkumpul di hadapan rumah baginda.

Berteriaklah mereka memanggil Lut untuk melepaskan anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.

Nabi Lut tidak membuka pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan menggunggu tetamu yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan.

Lalu berkatalah Nabi Lut a.s. kepada para tamunya, "Sesungguhnya aku tidak berdaya menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam. Aku tidak memiliki senjata dan kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku minta pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahawa sebagai tuan rumah aku tidak dapat menghalau gangguan terhadap tetamu dirumahku sendiri."

"Para utusan malaikat berkata, 'Hai Lut, sesungguhnya kami ialah utusan-utusan Tuhanmu. Mereka sekali-kali tidak akan mengganggumu. Sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada akhir malam dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu.'" (Surah Hud 11: 81)

Pengakhiran Kaum LGBT

Nabi Lut a.s. keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya.

Lalu ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu." Surah Hud (82-83)

Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota, dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Mujahid berkata, "Yang mula-mula terjatuh adalah para pembesar dari kalangan kaum Lut."

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Al-Baghawi berkata: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Lut yang mengandungi lima tempat.

Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing.

Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 4/193)

Firman Allah SWT, iaitu pada setiap batu tersebut tertulis nama orang yang akan dikenakan kepalanya sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT yang maksudnya, "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)." Surah al-Zariyat (34)

Al-Suhaili berkata, "Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

"Mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras." (Surah al-Hijr 15: 74)

Pendapat Ahli Penyelidik

Terdapat satu bab dalam Majalah al-Siyasah al-Usbu’iyyah yang menyebut: Beberapa kitab samawi menceritakan, Allah SWT telah membinasakan dua buah kota, iaitu Sodom dan Amurah, serta tiga kota lain yang berhampiran.

Allah SWT telah menghujani mereka dengan api dan belerang dari langit, sehingga tidak ada seorang pun penduduk di situ selamat, kecuali Nabi Ibrahim a.s. bersama ahli keluarganya serta Nabi Lut a.s. dan kedua-dua anak perempuannya.

Nabi Ibrahim a.s. bukan penduduk asal kota itu, tetapi secara kebetulan Baginda sedang melalui kota tersebut dari arah utara untuk mencari rumput, yang biasa dilakukan oleh kelompok nomad pada waktu itu.

Hinanya Perlakuan LGBT

Begitulah kesudahan kaum Lut yang dibinasakan dan dilenyapkan dari muka bumi yang menjadi pengajaran kepada manusia hingga ke hari kiamat.

"Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (di lalui manusia). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Hijr 15: 76-77).

Wallahu a'lam.

sumber: (1)(2)