Wednesday, April 20, 2022

Aliff Syukri Nafi Lagu 'Kelepok Raya' Promosi LGBT

Aliff Syukri Nafi Lagu 'Kelepok Raya' Promosi LGBT

Aliff Syukri menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia adalah 'ejen' mempromosi dakyah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi peluncuran single raya terbaharunya, Kelepok Raya.

Lagu Kelepok Raya

Aliff berkata, tidak wajar sekiranya orang ramai sewenang-wenangnya menghakimi seseorang hanya berdasarkan luaran sedangkan apa yang penting adalah mesej ingin menerusi karya tersebut.

"Mereka yang terlibat (menari) dalam klip video merupakan penari profesional. Mereka ada kerjaya tetap. Seorang itu merupakan pensyarah dan ada seorang lagi itu, kerja sebagai askar.

"Dalam profesion askar pun ada biro atau exco kebudayaan tahu? Bila kalian menghina, tahu tak mereka semua ada tahap pendidikan yang tinggi, ada ijazah," katanya lagi.

Isteri Aliff, Datin Nur Shahida Mohd. Rashid, turut melantunkan vokalnya dalam lagu terbabit juga mempertahankan para penari dalam klip video yang dilancarkan dalam YouTube.

"Ada antara mereka yang dah kahwin dan punya isteri. Jadi, kita tak boleh nak hakimi orang daripada apa yang kita nampak sahaja sebenarnya.

"Netizen nampak lembut saja, terus cop golongan LGBT," ujar Shahida.

Aliff bagaimanapun akur dengan realiti bahawa netizen mempunyai hak untuk memberi komen apa sahaja, termasuk tentang dirinya yang masih tidak serik dan sengaja mengada-adakan gimik untuk meraih publisiti murahan.

"Beginilah, saya tak menafikan atau mengiyakan (tentang promosi dakyah LGBT). Netizen boleh komen apa sahaja. Orang kata saya buat gimiklah. Saya terbuka dan kalau orang nak maki hamun peminat-peminat, bagi saya mudah, yang buruk saya terima serta yang baik pun saya sedia terima.

"Sebab bagi saya, tanpa gimik lagu ini tak akan meletup. Saya bukan Siti Nurhaliza. Kalau kalian tak berfikiran moden (terbuka), maka fikiran akan duduk dalam kepompong yang sama. Bila industri muzik Malaysia nak naik kalau kalian semua tak nak menyokong?" getus bapa kepada enam orang cahaya mata itu.

Gara-gara klip video muzik tersebut juga, Aliff terdahulu dikecam hebat, bukan sekadar oleh netizen bahkan ibunya sendiri turut menyelar penghasilan yang didakwa kerja seni itu sebagai 'art tahi anjing'.

Kelepok Raya edaran Rusa Music merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Azmi Hassan atau nama sebenarnya Amy Ukays dan muzik video diarahkan Nazril Azri.




Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Lelaki Pun 'Datang bulan' Juga!

Lelaki Pun 'Datang bulan' Juga!

Satu kajian terbaharu mendapati bahawa kaum lelaki juga sebenarnya mempunyai kitaran hormon bulanan seperti wanita dan menurut kajian saintis, mereka mengalami tidur yang terganggu dan tekanan yang lebih besar setiap kali fenomena bulan purnama berlaku.

Lelaki Bad mood

Walaupun perubahannya tidak begitu ketara, saintis mendapati bahawa kitaran bulan mempengaruhi tahap testosteron hormon seks dan hormon stres kortisol dalam darah lelaki.

Penyelidik mencadangkan kajian lebih lanjut dijalankan untuk menentukan apakah tarikan gravitasi bulan menciptakan perubahan 'pasang surut' dalam tubuh dan otak golongan lelaki.

Pakar dari pusat-pusat penyelidikan di Tunisia dan Qatar berpendapat radiasi matahari yang dipantulkan oleh bulan purnama dapat menyebabkan perubahan dalam aktiviti otak dan kimia darah.

"Kajian kami mengesahkan untuk pertama kalinya bahawa kitaran bulan mempengaruhi profil hormon dan hematologi manusia terutamanya kaum lelaki," kata pengarang bersama kajian, Ismail Dergaa.

Beliau menggunakan sampel darah yang diambil dari lelaki pada bulan penuh dan mendapati bahawa tahap hormon tidur melatonin dan testosteron lebih rendah ketika bulan purnama.

Namun begitu tahap kortisol, yang dianggap sebagai sistem penggera semula jadi badan menjadi lebih tinggi pada masa itu menjadikan kaum lelaki lebih mudah tertekan atau emosional ketika kejadian bulan purnama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Tuesday, April 19, 2022

Alam Semulajadi Ada Caranya Memberi Amaran Bahaya!

Alam Semulajadi Ada Caranya Memberi Amaran Bahaya!

Alam, seperti lautan, adalah satu tempat yang indah, menarik dan mempesonakan namun, kecantikan ini hadir bersama dengan amaran kerana tempat ini juga boleh jadi berbahaya.

Bersyukurlah, alam semula jadi ada caranya untuk memberi amaran kepada kita tentang bahaya ini sebelum ianya terjadi, tetapi kalau anda tidak tahu tanda-tanda ini, anda mungkin akan menjadi mangsa kepada bencana alam semula jadi terburuk.

1. Ombak Berkotak Di Laut

Ombak-Petak

Apabila dua sistem ombak bertembung di laut, corak petak atau berkotak akan muncul. Ia memang nampak cantik dan menarik tetapi rupanya boleh menipu kerana ia adalah sangat berbahaya sehingga boleh meragut nyawa anda dan memusnahkan kapal besar.

Terdapat ombak yang sangat deras di bawah permukaan air berkotak ini yang cukup kuat untuk menarik anda ke laut dalam.

2. Aras Laut Yang Surut

Laut surut

Apabila air laut di sepanjang persisiran Laut China Selatan mula surut, anda mungkin diancam bahaya Tsunami. Anda perlu pergi ke tempat yang selamat segera. Tsunami selalunya terjadi apabila gempa bumi terjadi di bawah laut dan air di permukaan atas berkocak dan ombaknya bergerak selaju 500 batu sejam merentasi lautan.

3. Pokok Berbentuk J

Pokok berbentuk J

Sekiranya anda melalui kawasan hutan, mungkin ketika sedang hiking, dan anda menemui sekumpulan pokok berbentuk J, itu adalah petanda jelas bahawa tanah runtuh bakal terjadi.

Pokok-pokok ini telah membengkok secara perlahan-lahan kerana pergerakan tanah yang beransur-ansur susut. Nasib baiklah anda baru sahaja terlepas dari bencana.

4. Awan Dinding Di Langit

Awan dinding

Awan dinding merupakan petanda kepada ribut kilat. Oleh kerana tekanan udara meningkat dengan cepat, awan selalunya turun rendah dari ribut untuk membentuk awan dinding yang boleh mencecah sepanjang 5 batu.

Namun, putaran awan dinding boleh membawa kepada ribut tornado atau puting beliung yang memusnahkan.

5. Haiwan Lari Dari Habitatnya

Apabila tikus, serangga dan ular lari dari habitatnya, sudah masanya untuk anda mempertimbangkan perkara yang sama juga. Sejak 373 Sebelum Masihi, ada laporan tentang insiden pelarian ini oleh haiwan yang melarikan diri dari gempa bumi yang besar.

Tetapi, anda perlu melarikan diri dengan lebih cepat kerana gempa bumi bakal berlaku dalam masa beberapa saat sahaja.

6. Haiwan Berlari Ke Arah Manusia

Apabila burung dan haiwan mamalia berlari ke arah manusia, ia sebenarnya sedang melarikan diri ke arah tempat selamat dari kebakaran hutan. Sekiranya anda tidak pasti, lihat ke belakang mereka dan anda akan melihat asap dari kebakaran hutan. Minta bantuan segera!

7. Rambut Berdiri Tegak

Rambut tegak

Petanda biasa akan terjadinya kilat termasuk: barang kemas bergetar dan rambut anda berdiri tegak. Petanda ini bermaksud kilat akan memancar di kawasan berhampiran, jadi anda perlu cari tempat perlindungan segera.

Sekiranya terlambat, berbaring meniarap di atas tanah dengan muka ke bawah sehingga kilat tersebut berhenti.

8. Cincin Di Sekeliling Matahari atau Bulan

Fenomena Halo

Sekiranya anda ternampak cincin halus bersinar yang nampak seolah-olah halo misteri di sekeliling matahari atau bulan, itu adalah petanda berbahaya.

Ada beberapa perkara yang berlaku sebelum terjadinya ribut. Hujan mungkin sedang menuju ke arah anda dan akan turun dengan lebatnya dalam masa 24 ke 48 jam. Itu masa yang mencukupi untuk segera bergerak ke tempat yang selamat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thetravelbreeze

Misteri Asap Hitam Terakam Keluar Daripada Anak Patung!

Misteri Asap Hitam Terakam Keluar Daripada Anak Patung!

Seorang wanita di Kanada dilaporkan merakam klip video memaparkan objek dipercayai hantu yang keluar daripada sebuah anak patung dan mengejar kucing peliharaannya, lapor akhbar Metro UK.

Misteri asap hitam

Menurut Kathy Gallinger, meskipun dia kerap mengalami pelbagai kejadian misteri sejak berpindah ke rumah itu pada 2018, rakaman video tersebut benar-benar menakutkannya.

Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman itu, jelas kelihatan 'asap hitam' keluar dari sebuah anak patung dan seolah-olah menyerang kucing Gallinger.

Kucing bernama Salem itu pada awalnya dilihat merenung ke arah anak patung dari tahun 1950-an milik ibu Gallinger.

Asap hitam kemudian keluar dari patung tersebut dan menuju ke arah Salem sebelum kucing itu terkejut lantas berlari untuk bersembunyi.

Gallinger kemudian memanggil seorang ahli psikik yang memberitahu bahawa hantu itu tidak memberi ancaman kepada keluarganya.

"Dia (ahli psikik) berkata bahawa tiada sebarang petanda menunjukkan hantu itu mahu kami keluar dari rumah ini. Ia cuma mahu kami sedar akan kewujudannya," katanya.

Gallinger meletakkan kamera CCTV di ruang bawah tanah rumahnya selepas beberapa kali menemui bukti terdapat aktiviti paranormal di kediamannya.



Seram kan!

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Monday, April 18, 2022

Lelaki Mati Pucuk, Wanita Mati Putik

Lelaki Mati Pucuk, Wanita Mati Putik

Ramai wanita menjadi janda apabila bercerai dengan suami masing-masing kerana mengalami masalah seksual iaitu mati putik yang semakin membarah dikalangan masyarakat jika tidak diubati.

Wanita Mati Putik

Mati putik menjadi penyumbang utama kes perceraian kerana kajian mendapati tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah tersebut yang dikenali dengan nama saintifiknya, disfungsi seksual.

Wanita yang mempunyai masalah ini merasakan seks tidak lagi menjadi keutamaan yang menyebabkan pasangan hilang nikmat perkahwinan dalam kehidupan.

Istilah mati putik mungkin jarang didengar atau langsung tidak diketahui ramai wanita moden hari ini dan sekalipun diketahui, jelas tidak ramai yang mengambil berat mengenai kaedah merawat masalah ini. Alasan paling kerap didengar adalah malu.

Secara amnya, mati putik biasanya dialami oleh wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Ada juga yang tidak tahu mereka mengalami mati putik disebabkan terkeliru dengan perubahan diri selepas melahirkan anak. Paling teruk, ada yang menganggap diri mereka kurang tertarik kepada pasangan disebabkan faktor 'berbahagi kasih' antara anak dan suami.

Mereka ini dari luarannya nampak sihat, tetapi melalui masa sukar ketika bersama suami, tidak ada rasa ghairah atau minat untuk melakukan hubungan asmara.

Banyak faktor mendorong berlakunya mati putik dan antara punca utama adalah mengabaikan amalan penjagaan dalaman dan luaran ketika proses berpantang selepas melahirkan anak.

Kalau dikaji, terdapat beberapa situasi yang boleh menyumbang kepada mati putik dan bagi wanita yang masih ragu-ragu, mungkin mereka boleh melihat kembali sejarah kelahiran yang lalu.

Lihat sama ada mereka pernah melalui tekanan perasaan ketika bersalin atau berpantang, mengalami kemurungan, tidak berurut selepas bersalin, meninggalkan amalan bertungku atau ada melanggar adab lain ketika berpantang.

Sekiranya ada antara perkara berikut berlaku dan wanita berkenaan jelas semakin kurang berminat untuk mengadakan hubungan intim dengan pasangan, ada kemungkinan dia mengalami mati putik.

5 TANDA MATI PUTIK
  • Berat badan melebihi berat ideal atau obesiti.
  • Mudah beremosi, panas baran, mood tak stabil, tiada keinginan bersama pasangan. Seks diumpamakan seperti ubat. Diambil apabila perlu. Jika tiada kepentingan akan ditinggalkan.
  • Ada sejarah gastrik dan senggugut. Gagal kawal waktu makan dan makan makanan sejuk dan berangin, misalnya terung dan kacang bendi.
  • Sangat sukar klimaks ketika bersama suami.
  • Ibu bersalin normal atau pembedahan lalu alami sembelit, keputihan dan angin yang banyak dalam perut.

PUNCA MATI PUTIK

1. Gangguan Urat Saraf Dalam Pengaliran Darah Ke Faraj

Yang mengakibatkan tidak menegang ketika dirangsang. Misalnya, walaupun suami telah melakukan rangsangan pada titik rangsangan pada puting dan klitoris sebelah kiri lebih 30 minit, isteri masih juga belum klimaks.

Klimaks berlaku apabila otot sekitar vagina, punggung, pinggang hingga kaki mengejang dan satu perasaan nikmat kepuasan akan dirasai. Ketika ini, hormon endorfin dikeluarkan dari dalam badan. Mereka yang mengalami mati putik, jarang sekali merasai kenikmatan klimaks.

2. Angin Gastrik Terlalu Banyak Dalam Perut

Angin yang dibiar terlalu lama dalam badan akan sebabkan tekanan kepada seluruh organ sekitar seperti rahim dan vagina.

Sebab itu, mereka yang mengalami gastrik, mudah diserang senggugut. Pesakit gastrik yang teruk pun berpotensi. Begitu juga mereka yang ada banyak angin di kawasan perut dan rahim, biji-biji angin boleh berada di kawasan bibir luar faraj (labia majora).

3. Masalah Saraf

Wanita yang sensitif dengan suhu persekitaran yang sejuk. Bila bersama dalam bilik berhawa dingin, isteri jadi tak selesa dan sukar klimaks. Isteri yang biasa tidur dalam bilik bersuhu sejuk juga mudah mengalami mati putik.

4. Tidak Dirawat Ketika Berpantang

Ketika bersalin normal, bukaan serviks membesar sehingga 10cm, otot vagina mengecut dan ia memberi tekanan pada otot di sekitarnya. Otot yang tercedera memberi kesan pada saraf.

Apabila saraf sekitar vagina kurang berfungsi, ia akan mengalami kesukaran untuk klimaks semasa bersama pasangan dan akhirnya menyebabkan mati putik.

Wanita bersalin secara pembedahan juga boleh mengalaminya jika angin dalam perut dan rahim tidak dikeluarkan dengan sebaiknya. Angin yang berkumpul terlalu banyak dalam perut boleh menyebabkan pengumpulan angin di sekitar vagina. Angin sekitar vagina inilah punca sukarnya klimaks dan mati putik.

RAWATAN MATI PUTIK
  • Rehat secukupnya
  • Jaga waktu makan; terutama sarapan pagi
  • Kawal stress
  • Jadualkan masa bersama keluarga
  • Dapatkan waktu 'me' time sendiri
  • Bertangas
  • Bertungku
  • Rendaman vagina, bagus untuk memberi rangsangan semula kepada alat sulit wanita

Jika masih gagal dirawat, berjumpalah perawat untuk mengenal pasti punca masalah sebenar.

KESIMPULAN

Ramai wanita hari ini berfikiran salah. Mereka selalu menganggap perlunya mencantikkan diri untuk suami.

Sebenarnya, wanita harus sentiasa berusaha mencantikkan diri, menjaga kesihatan dalaman dan luaran serta mengekalkan kecergasan tubuh untuk diri mereka sendiri. Jika semua ini diambil perhatian, sudah pasti hubungan dengan suami dan keluarga terpelihara dengan baik.

Apa yang utama adalah, jangan malu untuk mendapatkan rawatan kerana ia bakal menjadi penyebab kepada masalah lebih serius dalam hubungan suami isteri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Maksud Mimpi Menggali Lubang

Maksud Mimpi Menggali Lubang

Menggali lubang dalam tafsir mimpi memiliki banyak makna dan secara umum, bermimpi menggali lubang memberi maksud yang kurang baik kerana diyakini ketika seseorang mimpi menggali lubang, kononnya ia akan kehilangan seseorang yang selama ini selalu mengisi hatinya atau orang yang disayangi.

Mimpi gali Lubang

Mimpi menggali lubang juga dapat dilihat dari siapa yang mengalaminya.

Lelaki yang sudah berkahwin

Jika yang mengalami mimpi ini merupakan seorang lelaki dewasa yang sudah berkahwin, maka mimpi ini menjadi petanda yang kurang baik kerana akan datang sebuah goncangan batin yang akan membuat rasa duka yang mendalam.

Duka menurut mimpi ini biasanya diertikan ada seseorang yang disayangi akan meninggalkan kita. Entah itu meninggalkan kita pergi atau juga meninggal dunia.

Lelaki Bujang

Sebaliknya, jika yang mengalami mimpi ini merupakan seorang lelaki bujang, maka mimpi ini merupakan sebuah petanda baik bahawa anda akan segera dibebaskan dari pelbagai ujian yang saat ini menimpa.

Selain itu, ia juga menandakan keadaan kesihatan kamu akan baik-baik sahaja.

Lelaki Remaja

Mimpi menggali lubang juga menjadi petanda baik jika yang bermimpi merupakan seorang remaja lelaki.

Wanita Sudah Berkahwin

Bagi wanita yang sudah berkahwin dan mengalami mimpi menggali lubang, ia perlu disyukuri kerana ia sebuah pertanda bahawa wanita tersebut akan mendapat rezeki berupa harta yang tidak disangka-sangka.

Wanita Bujang

Mimpi ini menjadi petanda bahawa anda akan memikul beban hidup yang berat.

Kamu akan kehilangan orang yang selama ini membantumu dalam menyelesaikan pelbagai macam masalah hidup.

Remaja perempuan

Jika yang mengalami mimpi menggali lubang adalah seorang remaja perempuan, maka hal ini menjadi petanda bahawa kamu akan mendapat sebuah kebahagiaan dari kerabat atau sahabat yang sudah lama tidak bertemu.

Barangkali orang yang membawa khabar gembira ini juga sebenarnya ingin segera menyampaikan beritanya, namun ada beberapa hambatan yang dialami orang ini berkaitan dengan jarak.

Wallahu a'lam.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kumparan

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Individu atau pihak di negara ini yang sengaja menanam pokok Guarana yang berasal dari Brazil boleh dikenakan denda sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya memaklumkan, larangan itu adalah termaktub di bawah undang-undang Brazil (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge).

Buah Guarana

Menurutnya, kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan atau dikomersialkan daripada biji benih yang dibawa masuk secara tidak sah.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia sudah dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFÍCIONº5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.

Berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB) iaitu oleh kulat Microcyclus ulei kepada tanaman Hevea adalah dilarang, kecuali bagi tujuan penyelidikan.

Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana adalah tanaman herba semulajadi di Lembah Amazon terutamanya di Brazil.

Lembah Amazon juga adalah kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi.

Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.

Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

Berikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini.

Ini adalah kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana.

Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.

Selain itu, biji guarana yang sudah matang perlu diproses sebelum ekstrak guarana dapat digunakan bagi tujuan komersil.

Ini menunjukkan keperluan untuk penyediaan industri hiliran bagi pemprosesan guarana dan mendatangkan masalah kepada petani atau usahawan untuk menjual hasil tanaman selepas dituai sekiranya tiada pusat pemprosesan.

Sebelum ini tular dakwaan benih pokok ini dijual pada harga RM50 sepokok, cuba diedarkan di Sabah.

Untuk rekod, tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah, malah kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Guarana menjadi popular di Malaysia sebelum ini kerana dianggap mampu menjadi alternatif bagi menjana pendapatan lumayan kerana nilainya yang tinggi mencecah AS$1,600 sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Khasiat Guarana

Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Daun guarana juga dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di kalangan penagih dadah.

Biji guarana juga dianggap sebagai alternatif kepada pembuatan tepung dan mengulas mengenai khasiat tepung guarana, produk itu dikatakan bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat besi, tinggi kalsium dan DHA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Saturday, April 16, 2022

Sambutan Hari Suara Sedunia

Sambutan Hari Suara Sedunia

Hari Suara Sedunia, World Voice Day disambut di seluruh dunia pada 16 April setiap tahun untuk meraikan fenomena suara, bertujuan untuk menonjolkan kepentingan suara dalam kehidupan, kerana suara dianggap instrumen penting bagi golongan pengguna suara profesional seperti penyanyi, pembaca berita, pengacara dan guru.

Sambutan Hari Suara Sedunia

Namun, penjagaan suara sebenarnya tidak hanya terhad kepada golongan ini sahaja kerana suara merupakan aset yang mempengaruhi kehidupan dan kerjaya seseorang, malah boleh dianggap identiti seseorang individu.

Occupational hazard di Malaysia masih belum diterima sebagai hazard. Di luar negara, syarikat insuran ada menawarkan suara sebagai sebahagian daripada penjagaan.

Sebagai contoh, seorang guru di London berjaya menerima pampasan kerana dia mengajar di kelas bersebelahan dengan jalan besar yang bising, mengakibatkan dia mengalami masalah suara.

Kesedaran seperti ini masih kurang di Malaysia, walaupun pada hakikatnya suara yang baik penting untuk kualiti hidup.

Kajian menunjukkan kualiti hidup mereka yang mengalami masalah peti suara suara dan suara serak, jauh lebih rendah berbanding mereka yang mengalami penyakit lain contohnya masalah buah pinggang, kencing manis dan lain-lain.

Selain pengguna suara profesional, khalayak umum juga berisiko mengalami masalah suara terutama bagi mereka yang merokok dan minum minuman keras, masalah alahan atau kesihatan seperti resdung serta faktor tekanan.

Penggunaan teknik yang betul merupakan sebahagian daripada aspek penjagaan suara bagi golongan penyanyi.

Bakat dan teknik sama penting, tetapi dengan adanya teknik yang betul, ia boleh membantu penyanyi yang average menjadi bagus.

Penyanyi average maksudnya dia boleh menyanyi, tidak sumbang dan boleh ikut tempo tetapi kualiti suara mungkin kurang.

Penyanyi yang sudah ada bakat semulajadi pun, jika ada teknik yang baik, dia boleh mempertingkatkan lagi kemampuannya, malah akan membantu memberikannya keyakinan untuk menyanyi dengan selesa.

Matlamat utama menyanyi dengan teknik yang betul ialah untuk mengelak ketegangan dan kecederaan suara, bagi membolehkan seorang penyanyi menggunakan suaranya selama yang boleh.

Bakat dan teknik, disokong oleh musicianship (pengetahuan tentang nada, ritma dan tempo) dan stail, akan membantu seorang menjadi penyanyi yang baik.

Selamat menyambut Hari Suara Sedunia.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, April 14, 2022

Lakukan 5 Perkara Ini Jika Ada Ahli Keluarga Meninggal Dunia

Lakukan 5 Perkara Ini Jika Ada Ahli Keluarga Meninggal Dunia

SAKARATUL maut pasti datang dan tidak akan terlewat walaupun sesaat seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 57 yang bermaksud: Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

Jenazah Islam

Jelaslah bahawa kita semua akan merasai detik kematian dan tidak ada yang kekal melainkan Allah. Yang menjadi persoalan bila, di mana dan bagaimana kematian itu berlaku, ia kekal menjadi rahsia Allah.

Malaikat Izrail boleh datang menjemput dalam keadaan kita tidur, menonton televisyen, makan bersama keluarga dan sebagainya.

Maka adalah menjadi satu keperluan untuk kita sebagai manusia melengkapkan diri dengan ilmu sekiranya terdapat ahli keluarga sedang berhadapan dengan saat-saat di ambang kematian atau berada dalam keadaan nazak.

Berikut ustaz kongsikan beberapa perkara yang boleh kita lakukan seandainya ada dalam kalangan ahli keluarga kita berada dalam keadaan sakaratul maut.

1. Ajarkan kalimah 'Laailahaillallah'

Duduklah di sebelah telinga kanan atau kiri ahli keluarga kita itu dan lafazkan kalimah suci 'Laailahaillallah' dengan perlahan dan jelas.

Ia berdasarkan hadis nabi yang maksudnya: "Ajarkanlah kepada orang yang hampir mati dalam kalangan kamu dengan 'Laailahaillallah'. - [HR Muslim 1524]

Memadai kalimah yang bermaksud 'tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah' diungkap sekali di telinga individu itu tetapi jika terkeluar daripada mulutnya soal berkaitan duniawi, ulanglah kalimah suci itu agar dia dapat melafazkannya supaya pengakhiran percakapan itu diakhiri dengan kalimah tauhid, kerana syaitan akan berusaha untuk menyesatkan manusia sehingga di akhir nafas kita.

Ketahuilah sesungguh apabila seseorang anak Adam itu apabila ketika sakaratul maut dapat mengucapkan kalimah 'Laailahaillallah', maka dia meninggal dunia dalam khusnul khotimah.

Seelok dan sebolehnya orang yang mengajarkan kalimah tersebut biarlah yang paling disayangi dan hampir dengannya.

Isyarat syahadah sudah memadai kerana mungkin orang yang hampir mati itu sudah melafazkannya secara perlahan atau di dalam hati.

2. Tutup mata, mulut dan qiamkan jenazah

Seandainya mata dan mulut jenazah terbuka, tutuplah dan jika mengalami kesukaran bolehlah diurut dengan sedikit minyak. Mata jenazah terbuka bukanlah bermaksud azab daripada Allah.

Ini seperti mana hadis baginda nabi yang mana menceritakan perbuatan nabi ketika melawat jenazah Abu Salamah, maksudnya: "Rasulullah masuk atas Abu Salamah dan keadaan matanya terbuka lalu nabi menutupnya dan bersabda: Sesungguhnya roh orang mati apabila dicabut ia akan diikuti pandangan mata." - [HR Ibn Majah 1444].

Berdoalah dengan doa seperti "Allahumaghfirlana walahu" yang bermaksud "Ya Allah ampunkan kami dan dia". Urutlah di sendi-sendi dan pelipatan dan ambilkan beberapa helai kain perca untuk mengikat bahagian-bahagian tersebut. Seterusnya qiamkan tangan jenazah seperti keadaan bersolat.

3. Menutup seluruh jasad si mati dengan kain

Apa-apa jenis kain boleh digunakan dan sebaiknya yang sedikit tebal agar tidak tersingkap aurat si mati. Bagi mengelakkan perut jenazah menjadi kembung bolehlah diletakkan benda yang sedikit berat seperti buku dan sebagainya.

4. Letakkan jenazah di tempat yang baik

Setelah selesai semua langkah di atas bolehlah diletakkan jenazah di tempat yang sedikit tinggi seperti tilam dan bukan di lantai. Kedudukan jenazah adalah kaki menghadap kiblat seperti pandangan Imam Nawawi yang masyhur.

5. Menghubungi pihak berwajib

Kematian perlulah segera dimaklumkan kepada pihak perubatan untuk pemeriksaan jika ia berlaku di rumah, diikuti jiran tetangga dan pihak masjid untuk persediaan kerja-kerja memandikan jenazah dan menggali liang lahad.

Jadi sentiasalah ke masjid dan bergaul dengan mereka agar tidaklah menelefon mereka sewaktu terdapat kematian sahaja. Laporan polis juga hendaklah dibuat samada kematian berlaku disebabkan jenayah ataupun tidak.

Segerakanlah urusan pengebumian kerana ada diriwayatkan sebuah hadis yang maksudnya: "Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia kepadanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu." - [HR Bukhari 1315 dan Muslim 944].

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

10 Ganjaran Menyantuni Anak-anak Yatim

10 Ganjaran Menyantuni Anak-anak Yatim

Betapa pentingnya melindungi dan menjaga kebajikan anak-anak yatim, maka Allah telah berjanji untuk memberi ganjaran yang amat besar kepada sesiapa sahaja yang menyantuni mereka. Sejumlah 23 kali perkataan yatim disebut dalam al-Quran.

Doa anak yatim

Dalam al-Quran jelas menegaskan akan betapa pentingnya anak-anak yatim dipelihara yang maksudnya, "Mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik." (al-Baqarah: 220)

Anak-anak inilah lubuk berharga untuk merebut ganjaran pahala besar daripada Allah SWT.

1. Pahala Setanding Dengan Berjihad

Rasulullah SAW sudah memberi jaminan bahawa pahala menyantuni anak yatim adalah standing dengan pahala orang yang berjihad; disamakan dengan bangun pada waktu malam dan berpuasa di siang hari kemudian dilanjutkan dengan keluar untuk jihad di jalan Allah SWT.

2. Mendapat Perlindungan Hari Kiamat

Pahala lain yang akan diperolehi kerana menyantuni anak-anak ini adalah terselamat dari mendapat azab Allah SWT dan juga dihindari dari ancaman yang akan terjadi pada hari kiamat. Hendak dapatkan ganjaran ini, kasihi lah anak yatim dan selalu berkata baik.

3. Dipermudahkan Masuk Syurga

Mustahil ada manusia yang tidak mahu masuk syurga dan bersama Rasulullah SAW. Pada sebuah hadits sudah dijelaskan jika orang yang menyantuni anak yatim dengan cara memberi makan, minum dan sebagainya, maka akan mendapat jaminan dari Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga kecuali orang yang pernah melakukan Dosa Besar Dan Tidak Bertaubat.

4. Pahala Berlipat Kali Ganda

Semua orang yang selalu berbuat kebaikan dengan cara menyantuni anak yatim, maka dia akan mendapat pahala yang sangat besar tidak hanya saat hidup di bumi, namun juga saat di akhirat nanti.

5. Dimuliakan Dan Dilimpahi Rezeki

Allah SWT juga akan memberikan kelimpahan rezeki dan juga kemuliaan selain daripada berzikir pembuka rezeki. Hal ini juga berlaku sebaliknya di mana Allah SWT juga akan menyempitkan rezeki seseorang apabila tidak menyantuni dan memuliakan anak yatim.

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata, 'Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata, 'Tuhanku menghinaku'. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim." [surat Al-Fajr ayat 15-17].

6. Masuk Dalam Golongan Orang Beriman

Jika kita menyayangi sekaligus menyantuni mereka, InsyaAllah kita termasuk dalam golongan orang beriman dan bertakwa oleh Allah SWT.

"Dan memberikan hanya yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." [Al Baqarah: 177].

7. Minum Mata Air Surga

Beruntunglah sesiapa yang selalu berbuat baik dan menyantuni anak-anak ini kerana akan mendapat kenikmatan daripada Allah SWT berupa air minuman berasal dari mata air syurga.

8. Bersama Rasulullah Di Syurga

Pahala berikutnya yang akan kita peroleh apabila menyantuni mereka adalah kita akan berada hampir dengan Rasulullah SAW di syurga bahkan jaraknya hanya sebatas antara jari telunjuk dengan jari tengah saja.

Rasulullah SAW bersabda, "Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini", kemudian beliau SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah beliau SAW, serta agak merenggangkan keduanya." [HR. Bukhari, Shahih Bukhari, Sahl bin Sa'ad As-Sa'idiy: 5304].

9. Dapat Penuhi Keperluan Hidup

Allah telah berjanji untuk memenuhi apa sahaja keperluan hidup orang yang menyantuni anak-anak yatim. Saat menyantuni mereka, maka ini diibaratkan seperti berinfak di jalan Allah SWT sehingga akan diperbanyak harta dalam Islam untuk orang tersebut.

10. Mengundang Keberkatan ke Rumah

Memelihara dan menyantuni anak yatim juga akan memberikan banyak keberkatan ke rumah orang yang menyantuni anak-anak tersebut. Sebab, sebaik baiknya rumah dari seorang muslim merupakan rumah orang yang selalu sayang terhadap mereka sehingga menjadi rumah ideal dalam Islam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: kashoorga