Wednesday, April 06, 2022

Benarkah Umur Umat Nabi Muhammad Hanya 1500 Tahun Sahaja?

Benarkah Umur Umat Nabi Muhammad Hanya 1500 Tahun Sahaja?

Sebenarnya ramalan bahawa usia umat Muhammad hanya sehingga 1500 tahun bukanlah perkara baru, kerana sudah pernah membuat heboh umat Islam diera 90-an ketika muncul sebuah buku berjudul Huru-hara Akhir.

Umur Umat Nabi Muhammad


Buku ini ditulis oleh Amin Muhammad Jamaluddin dengan judul asalnya Harmajiddun Akhir Bayan Ya Ummat Al-Islam.

Bila ditelaah isi buku tersebut, sumber hadis yang dipetik adalah dari Kitab al Fitan, pendapat Ibnu Hajar al Asqalani, As Suyuti dan Rajab al Hanbali.

Kita akan fokuskan perbahasan pada sumber diatas, agar perbahasan tidak panjang dan kita akan membahas kualiti hadis-hadis yang digunakan dalam buku dan artikel tersebut.

1. KITAB AL FITAN DAN PENGARANGNYA

Kitab al Fitan ditulis oleh Nu'aim bin Hammad al-Marwazi (229 H/844 M) dan mengenai dirinya, para ulama hadis berbeza pendapat.

Imam Ahmad menistiqahkannya, namun majoriti ulama hadis melemahkannya.

An-Nasa'i berkata tentangnya, "Dia seorang yang dha'if (lemah)."

Abu Daud berkata, "Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dua puluh hadis dari Nabi shallallahu alaihi wasallam yang tidak mempunyai dasar sanad."

Imam Al-Azdi mengatakan, "Dia termasuk orang yang memalsukan hadis dalam membela As-Sunnah dan membuat kisah-kisah palsu tentang keburukan An-Nu'man (maksudnya, Abu Hanifah), yang semuanya itu adalah kedustaan."

Ibnu Hibban berkata tentang dia, "Suka salah dan bimbang."

Ibnu Yunus mengatakan, "Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar dari orang-orang yang boleh dipercaya."

Sedangkan mengenai kitab al Fitan adz Dzahabi berkata, "Tidak diperbolehkan seorang pun untuk berhujjah dengannya dan sungguh ia telah menulis kitab Al Fitan maka ia mendatangkan di dalamnya riwayat-riwayat yang menghairankan dan riwayat-riwayat mungkar."

Diantara riwayat yang tercantum dalam kitab al fitan adalah sebuah hadits palsu berikut ini:

Nu'aim bin Hammad berkata: "Telah menceritakan kepada kami Abu Umar, dari Ibnu Lahi'ah, ia berkata; Telah menceritakan kepadaku Abdul Wahhab bin Husain, dari Muhammad bin Tsabit Al-Bunani, dari ayahnya, dari Al-Harits Al-Hamdani, dari Ibnu Mas'ud r.a., dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal, kabilah-kabilah saling bermusuhan (perang antar suku) di bulan Dzul Qo'dah, dan terjadi pertumpahan darah di bulan Dzul Hijjah dan Muharram…". Kami bertanya: "Suara apakah, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab: "Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: "Maha suci Allah Al-Quddus, Maha suci Allah Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus", kerana barangsiapa melakukan hal itu, niscaya ia akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu, niscaya akan binasa."

Dalam buku dan artikel tersebut juga terdapat tadlis (penipuan), misalnya dengan menyatakan bahawa sebuah riwayat berasal dari al Imam Bukhari, sehingga orang yang tidak memiliki kemampuan melacak kebenaran pernyataan ini akan langsung menganggap bahawa riwayat tersebut sahih. Padahal penisbahan tersebut tidak benar.

Dalam dunia ilmu, hal seperti ini termasuk kejahatan dan cacat yang sangat serius.

2. PERKATAAN ULAMA YANG DINUKIL

Kerana permasalahan ini membawa nama 3 ulama yakni Suyuthi, Ibnu Hajar dan Ibnu Rajab, kita kemudian cuba melacak dalam kita-kitab mereka, dan memang penyandaran itu benar.

Jadi, penulis dalam hal ini tidak melakukan tadlis (penipuan) sebagaimana yang dituduh oleh beberapa ustaz yang juga membantah artikel tersebut.

Hanya seperti apakah yang sebenarnya, mari kita semak penjelasannya.

Imam Jalaluddin as Suyûthi (w. 911 H)

Dalam kitabnya, Al Hâwi lil Fatâwa, 2/104, beliau menyatakan:"Yang ditunjukkan oleh sejumlah riwayat (atsar) bahawa waktu (tempoh) umat ini adalah lebih dari seribu tahun, namun lebihnya tidak sampai lebih dari 500 tahun."

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani (w. 852 H)

Dalam kitabnya, Fathul Bâri, 4/449 beliau menyatakan:

"(Hadis ini) dijadikan dalil bahawa keberlangsungan (umur) umat ini mencapai lebih dari seribu tahun, sebab hadis ini menuntut bahawa waktu Yahudi setara dengan gabungan waktu Nasrani dan muslimin. Dan sesungguhnya para ahli riwayat telah sepakat bahawa jangka waktu yang dilalui umat Yahudi hingga diutusnya Nabi adalah lebih dari 2000 tahun, sedangkan waktu yang dilalui Nasrani hingga diutusnya Nabi adalah 600 tahun, dan ada pula yang mengatakan kurang dari itu, sehingga waktu yang akan dilalui kaum muslimin pasti lebih dari seribu tahun."

Imam Ibnu Rajab al Hambali (w. 795 H)

Dalam kitabnya Fathul Bari pada juz 4 hal 343, ia menyatakan:

"Dan telah kami sampaikan: bahawa hadis Ibnu Umar yang dikeluarkan oleh al Buhari di sini menunjukkan bahawa masa (berlangsungnya) dunia seluruhnya seperti masa sehari semalam, dan masa tiga umat penganut syari'at-syari'at itu hampir setengahnya, yakni sekitar sehari penuh, dan masa Yahudi hingga diutusnya Isa, dari sisi amal soleh mereka bermanfaat, adalah seperti antara solat subuh hingga zuhur, dan masa Nasrani hingga lahirnya Nabi Muhammad, dari sisi amal soleh mereka diterima, adalah seperti antara solat zuhur dengan asar, dan masa kaum muslimin adalah dari solat asar hingga terbenam matahari, dan yang demikian itu, dalam ukuran waktu yang sedang adalah sekitar ¼ hari, dan sekitar 1/8 dari sehari semalam sebagaimana telah dijelaskan sebelumnya."

PENJELASAN

Apa yang dinyatakan oleh para ulama diatas sama sekali tidak boleh menjadi legitimasi pemahaman bahawa umur umat Muhammad kurang dari 1500 tahun, hal ini kerana beberapa alasan:

Semua hanya pendapat dan dugaan

Setelah membaca apa yang dinyatakan oleh para ulama diatas, kita dapat menyimpulkan bahawa semuanya keterangan diatas adalah pendapat dan dugaan, bukan dalil yang qath'i.

Hal ini sebagaimana yang diakui sendiri oleh al Imam Ibnu Rajab al Hanbali: "Apa-apa yang disebut dalam (pembahasan) yang demikian itu hanyalah merupakan perkiraan-perkiraan yang tidak berfaedah kepastian ('ilm)."

As-Sakhawy berkata, "Ibnu Katsir menegaskan demikian pula hadis-hadis tentang pembatasan hari Kiamat secara pasti, semuanya tidak sahih sanadnya."

Kesalahan data

Tanpa mengurangi rasa hormat dan pengagungan kita kepada para ulama, khususnya mereka rahumahumullah yang mencuba meramal bila terjadinya kiamat, ternyata kita dapati bahawa para ulama tersebut telah keliru dalam analisanya.

Ambil contoh Imam Suyuti, beliau juga berkata dalam kitabnya yang berjudul "Al-Al-Kasyf An Mujaawazah Hadzihi Ummah Al-Alf", menyimpulkan bahawa kiamat akan terjadi di awal abad 15 H.

Ini jelas kesalahan yang besar, kerana kita sekarang saja sudah berada dipertengahan abad ke-15.

Maka para ulama bersuara lantang mengkritik karya beliau tersebut.

Al-Allaamah Shiddiq Hasan Khaan, beliau berkata, "Sekarang sudah lebih dari 1300 tahun, namun Imam Mahdi belum juga keluar, Nabi Isa belum turun, Dajjal juga belum datang, Semua ini menunjukkan bahawa ramalan ini tidaklah benar!"

Syaikh Muhammad Rasyid Ridha juga membantah pendapat imam As-Suyuthy secara panjang lebar, diantaranya beliau berkata, "Sepertinya, buku beliau dibangun di atas dua hadis palsu dan dusta."

Bertentangan dengan fakta

Jika kiamat terjadi pada tahun 1500 hijrah, bererti baki umur umat Muhammad adalah 1500 -1443 hijrah (Tahun 2022) = 57 tahun.

Ini jelas kesalahan fakta yang sangat berat kerana sebelum kiamat benar-benar terjadi, akan bermunculan terlebih dahulu tanda-tandanya, baik tanda kecil mahupun besar.

Belum lagi bila ditambah dengan tempoh tegaknya pemerintahan khilafah, tempoh 120 tahun setelah matahari terbit dari barat, juga tempoh 40 tahun dari keberadaan Isa Al-Masih setelah terbunuhnya Dajjal, tempoh 3 tahun ketika Nabi Isa a.s. menggantikan kepemimpinan seorang lelaki Bani Tamim, tempoh 100 tahun setelah semua orang beriman diwafatkan melalui hembusan angin baik.

Bertentangan dengan dalil umum

Bila pendapat diatas dipaksakan sebagai dalil penetapan terjadinya kiamat, padahal para ulama tersebut tidak memaksudkan demikian, maka akan bertentangan dengan dalil-dalil yang dengan tegas menyatakan bahawa hari kiamat waktunya terjadi, hanya Allah yang mengetahui.

Firman Allah ta'ala:

"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadi?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia…" (QS. Al-A’raf 187)

Al Imam Sakhawi berkata, "Setiap riwayat yang menyebutkan batasan hari kiamat dengan ta'yin (penetapan), adakalanya tidak ada asalnya atau tidak kuat sanadnya."

Mengingat ini hanyalah ramalan tanpa dasar yang jelas, itu bertentangan dengan prinsip yang diajarkan dalam syariat, maka tidak selayaknya kita jadikan sebagai panduan.

Sedangkan agama kita dibangun diatas dasar ilmu dan keyakinan. Jangan sampai nanti ketika cara beragama kita hanya berdasarkan ramalan dan ternyata tidak terbukti, justeru umat Islam akan menolak kebenaran yang sudah pasti.

PENUTUP

Tidak banyak manfaatnya kita membahas dan menganalisa terlalu jauh bila kiamat akan terjadi.

Yang lebih penting bagi kita adalah sentiasa mempersiapkan bekal diri untuk menuju negeri akhirat.

Berkata Shalahuddin Maqbul Ahmad, "Hikmah utama di balik dirahasiakan waktu Kiamat dan kematian, iaitu agar mendorong seorang hamba untuk tetap beramal dalam ketaatan, menjauhi kemaksiatan dan selalu khuatir kematian menjemputnya secara tiba-tiba."

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. bahawa, ada seorang arab badui yang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bila terjadinya kiamat.

Nabi SAW justeru berkata, "Celaka kamu. Apa yang kamu persiapkan untuk kiamat?" (HR. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi).



Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: konsultasislam

Tuesday, April 05, 2022

Kisah Bagaimana Budaya Barat Yang Rosak Menghancurkan Tamadun India!

Kisah Bagaimana Budaya Barat Yang Rosak Menghancurkan Tamadun India!

Industri automotif Jepun dan Korea Selatan berkembang pesat di persada antarabangsa bukanlah dengan menidakkan penggunaan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris, walaupun mereka memang mampu maju tanpa bahasa asing.

Penjajah Lord Macaulay

Walau bagaimanapun, mereka masih tetap menggunakannya apabila tiba masanya, bagi membawa apa yang dijana di negara sendiri ke negara luar supaya ia tidak kelihatan sebagai jaguh kampung sahaja.

Apa yang mereka perlukan? Bahasa Inggeris!

Ia membolehkan sesebuah negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsung mempercepat pembangunan.

Bezakan Bahasa Dan Budaya

Namun, disebalik penggunaan Bahasa Inggeris yang dilihat kian penting saban hari, kita haruslah bijak membezakan antara menerapkan penggunaan bahasa itu, dengan menjadikan nilai-nilai dan budaya Inggeris itu sendiri sebagai pegangan. Ia adalah dua perkara yang tersangat berbeza.

Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh penjajah British ketika mereka menyebarkan taktik licik, supaya kita hilang jati diri dan rasa cintakan budaya sendiri.

Antara budaya-budaya barat yang diterapkan dalam untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah pergaulan bebas, minum arak, kelab malam dan banyak lagi.

Perkara ini dibuktikan oleh ucapan Lord Macaulay, seorang ahli politik British yang bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Inggeris dan konsep barat ke dalam sistem pendidikan di India. Ia menyebabkan terjadinya polisi Macaulayisma disana.

Dalam ucapan itu yang berlaku di Parlimen British pada 2 Februari 1835, beliau ada menyebut:

"Saya sudah menjelajah seluruh India, dan saya tidak bersua dengan seorang peminta sedekah pun. Tidak ada pencuri dalam negara yang kaya-raya ini. Nilai akhlak bangsa ini mulia. Rakyatnya berkemampuan tinggi.

Pada fikiran saya kita tidak akan pernah mampu untuk menakluki negara ini, melainkan kita patahkan tulang belakangnya, iaitu warisan agama dan budayanya.

Saya mencadangkan, kita gantikan pegangan dan susunan pendidikan mereka yang berkurun itu dengan pendidikan British.

Sekiranya rakyat India ini sudah mula memikirkan bahawa pendidikan British yang asing itu lebih baik dan lebih agung daripada pendidikan mereka, maka mereka akan hilang harga diri dan budaya aslinya.

Mereka akan menjadi bangsa yang kita mahu, yang dapat kita kuasai seluruhnya."

(Terjemahan Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia)


Dari sini kita dapat melihat penerapan sistem pendidikan dan budaya barat oleh British sememangnya disengajakan, kerana mereka tahu sesuatu bangsa itu akan mengikut telunjuk mereka, jika mereka mampu menggantikan apa yang tersemat di dada dengan apa yang diajarkan mereka.

Bagi penulis, bahasa itu sendiri tidak salah untuk dipelajari, selagi ia memberikan manfaat kepada kita, lebih-lebih lagi di zaman serba canggih itu.

Dahulunya bahasa digunakan sebagai alat untuk memesongkan jati diri seseorang, yang membuatkan Jepun langsung tidak mahu menggunakannya, selain daripada disebabkan oleh peristiwa Perang Dunia Kedua.

Namun kini ia bukan lagi sebagai alat jajahan, malah Jepun sendiri menggunakan bahasa Inggeris bagi mengembangkan sesuatu kebolehan, dan tidak sesekali mereka melupakan adat, budaya serta pegangan mereka.

Ambillah apa yang baik daripada budaya luar, tak kiralah daripada mana. Apa yang penting adalah kita masih mengekalkan pegangan agama dan nilai budaya. Nescaya kita akan menjadi satu negara yang tersangat hebat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Bantuan Khas Kakitangan Awam Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022

Bantuan Khas Kakitangan Awam Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022

Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bagi tahun 2022 ini sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Bantuan aidilfitri 2022

Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada Pesara Kerajaan dan akan dibayar bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.

Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun 2022 ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan Kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: pmo

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas  88 Tahun!

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas 88 Tahun!

Pada malam Jumaat, malam Ramadhan pertama tahun 2022 (1443 hijrah), ribuan warga Turki beragama Islam merebut kesempatan menunaikan solat sunat tarawih di Hagia Sophia, yang merupakan solat tarawih pertama di masjid itu sejak 88 tahun yang lalu.

Tarawih Hagia Sophia

Bagi ketua Diyanet (badan awam Turki yang bertanggungjawab memantau rumah-rumah ibadat) Ali Erbas, ia merupakan detik yang tidak dapat dilupakan.

Sepanjang Ramadhan, solat tarawih akan diadakan di Hagia Sophia pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, selain pelbagai acara istimewa sempena bulan Ramadhan akan turut diadakan di situ.

Sebelum ini, umat Islam tidak berkesempatan menunaikan ibadat di Hagia Sophia sejak ia ditukar peranannya daripada muzium kepada masjid pada 2020, berikutan penguatkuasaan peraturan pencegahan Covid-19 termasuk larangan solat berjemaah di situ.

Tetapi, selepas melihat bilangan kes dan kematian Covid-19 menurun dan bilangan pesakit yang pulih meningkat, kerajaan Turki mengambil keputusan membuka semula Hagia Sophia bersempena kehadiran Ramadhan 2022.

Hagia Sophia pada asalnya merupakan sebuah gereja besar yang dibina atas titah Maharaja Rom Timur, Justinian I.

Dibina di atas tapak gereja lama yang telah runtuh, ia siap dibina pada 537 Masihi dan menjadi gereja utama Kristian Ortodoks selama hampir 900 tahun.

Hagia Sophia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa seperti pertabalan maharaja baru, rampasan kuasa dan penjarahan oleh tentera Salib pada 1204.

Disebabkan statusnya sebagai antara mercu tanda Constantinople dan Rom Timur, ia turut dihiasi mozek figura-figura seperti imej maharaja-maharaja Rom dan figura utama agama Kristian.

Selepas Mehmed II dan angkatan Turki Uthmaniyah menakluk Constantinople pada 1453, peranan Hagia Sophia ditukar daripada gereja kepada masjid.

Ia kemudiannya menjadi kompleks masjid diraja dengan menara-menara masjid dan kubah-kubah ditambah pada bangunan tersebut. Sementara mozek-mozek figura yang dianggap bertentangan dengan prinsip syarak ditutup.

Peranan Hagia Sophia sekali lagi berubah selepas kemunculan Mustafa Kemal Ataturk sebagai pengasas Republik Turki moden pada 1923.

Ataturk mengambil keputusan menukar peranan Hagia Sophia sebagai muzium pada 1934 atas alasan ia merupakan simbol sekularisme dan mewakili masa silam Turki yang kaya dengan budaya pelbagai tamadun.

51 tahun kemudian, Hagia Sophia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Dalam tempoh ia bergelar muzium, wujud perdebatan ramai pihak berkenaan status Hagia Sophia. Ramai warga Turki berharap peranan asalnya sebagai masjid semasa era Turki Uthmaniyah dapat dikembalikan. Bagaimanapun, hujah ini ditolak oleh kelompok sekular yang berkuasa di Turki ketika itu.

Masjid Hagia Sophia

Hanya selepas Recep Tayyip Erdogan muncul di arena politik sebagai Perdana Menteri sebelum bergelar Presiden Turki, barulah idea ini mula direalisasikan.

Akhirnya, pada Julai 2020, Hagia Sophia dikembalikan peranannya sebagai masjid.

Begitupun, ramai mengkritik usaha ini termasuk Paus Francis dari Vatican dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Bagaimanapun, Turki langsung tidak memperdulikan kritikan pihak luar dan memberi jaminan bahawa semua warisan budaya Hagia Sophia akan terus dipelihara.

Malah, walaupun ia sudah bertukar peranan sebagai masjid, ia masih dibuka untuk kunjungan pelancong, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Monday, April 04, 2022

9 Golongan Yang Amat Rugi Di Sepanjang Bulan Ramadhan

9 Golongan Yang Amat Rugi Di Sepanjang Bulan Ramadhan

Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadhan, tetapi tidak mendapat keampunan ilahi. Bagi orang yang beriman, inilah masa yang dinanti-nantikan. Mereka bersedia dengan persiapan yang rapi bagi menyambut Ramadhan.

Puasa ramadhan

Pun begitu, ramai di kalangan umat Islam yang tidak bersedia dalam menyambut Ramadhan. Bahkan ada yang tidak merasakan apa-apa dengan kedatangan bulan keampunan ini.

9 GOLONGAN YANG RUGI DI BULAN RAMADHAN

GOLONGAN PERTAMA

Iaitu mereka yang tidak melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ikhlas kepada Allah, sebaliknya berpuasa dengan perasaan riak dan puasa adat sahaja.

GOLONGAN KEDUA

Mereka yang tidak beribadah pada malamnya (dengan solat tarawih dan lain-lain) kerana bermalas-malasan dan sengaja memberatkan diri dan melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

GOLONGAN KETIGA

Mereka yang berterusan mengamalkan akhlak yang buruk di mana puasanya tidak sedikit pun menghalangnya dari berkelakuan buruk itu dan dari melakukan perkara haram.

GOLONGAN KEEMPAT

Mereka yang banyak menghabiskan masa dan saat-saat keemasan di bulan Ramadhan dengan tidur, lalai dengan menonton TV, mendengar lagu dan nyanyian, menonton cerita cerita yang dimurkai Allah.

GOLONGAN KELIMA

Mereka yang mensia-siakan solat 5 waktu, tidak berkunjung ke masjid dan surau untuk solat bersama para jemaah (lelaki).

GOLONGAN KEENAM

Mereka yang merosakkan puasa mereka dengan sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti bersetubuh, makan dan minum, mengeluarkan mani dengan sengaja, mengadu domba, mengumpat, hasad dengki, mengejek-ngejek dan mempermainkan orang lain, menyebut kata-kata kotor dan sebagainya.

GOLONGAN KETUJUH

Mereka yang hanya bersungguh-sungguh dalam beribadah di awal Ramadhan serta berazam untuk bertaubat dan beristiqamah dalam beribadah, tetapi bertukar sebaliknya dengan menjalani kehidupan yang sia-sia dan melalaikan.

GOLONGAN KELAPAN

Mereka yang meninggalkan Al-Quran di bulan Ramadhan di mana Al-Quran tidak dibaca dan ditadabbur.

GOLONGAN KESEMBILAN

Mereka yang bakhil dengan harta yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka dan tidak menafkahkannya ke jalan Allah dengan memberi makan orang yang lapar, tidak memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa dan tidak memberi pakaian kepada orang yang tiada pakaian.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: impiana

Friday, April 01, 2022

Pengarah Eksekutif SAPURA DIBAYAR RM983 JUTA, Bukti Jelas Bagaimana GLC Di Malaysia Rugi Memanjang!

Pengarah Eksekutif SAPURA DIBAYAR RM983 JUTA, Bukti Jelas Bagaimana GLC Di Malaysia Rugi Memanjang!

Sejak hilang kuasa dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah menyeleweng dana pencen rakyat, Dato' Seri Najib Tun Razak ghairah cuba bersuara dalam semua perkara kononnya untuk menjadi hero rakyat.

Punca GLC Rugi


Catatan: Syarikat MAS suatu ketika dahulu adalah contoh terbaik, bagaimana syarikat GLC boleh rugi besar sedangkan Air Asia mampu mencatat keuntungan. Bayaran kepada pengarah lantikan politik menjahanamkan segala-galanya.

Terbaru, dia mengusulkan supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan dengan mengarahkan institusi milik rakyat seperti PETRONAS, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (Sapura) yang berdepan masalah kewangan.

Apabila saya bersuara bahawa sebarang usaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, seperti biasa Najib menimbulkan isu kerugian wang rakyat (melalui pegangan PNB di dalam Sapura), kehilangan kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.

Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir (corporate governance) yang lemah.

Sekiranya syarikat-syarikat swasta ada talian hayat (dengan diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban (accountability) untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.

Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya (yang juga mewakili beberapa pemegang saham terbesar Sapura).

Rekod kewangan Sapura yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2021 menunjukkan pecahan bayaran-bayaran berikut (dibundarkan kepada juta yang terdekat, jika berkenaan):

Gaji Pengarah SAPURA

Selain gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari:
  • 2013: RM123,351 sehari
  • 2014: RM313,422 sehari
  • 2015: 245,893 sehari
  • 2016: 250,693 sehari
  • 2017: RM242,970 sehari
  • 2018: RM102,321 sehari
  • 2019: RM35,693 sehari
  • 2020: RM26,293 sehari
  • 2021: RM16,586 sehari

Pengarah eksekutif juga dibayar dalam bentuk lain, iaitu:
  • Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang berkaitan (dimiliki oleh) pengarah eksekutif (dan pemegang saham yang mereka wakili). Sejumlah RM149 juta dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.
  • Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh 2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan Sapura Energy Berhad menggunakan nama "Sapura" yang dilesenkan oleh pemegang saham (yang diwakili pengarah eksekutif).

Dalam tempoh yang sama (2009 hingga 2021), Sapura membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham sebanyak RM683 juta.

Analisis kewangan ini (bagi tempoh 2009 hingga 2021) menunjukkan perkara-perkara berikut:
  • Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu (yang mewakili pemegang saham majoriti) sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.
  • Dari jumlah RM683 juta itu, sekitar 35% dividen dibayar kepada pemegang saham majoriti yang diwakili oleh pengarah eksekutif yang mengetuai Sapura.
  • Oleh itu, anggaran bayaran keuntungan kepada pemegang saham majoriti (yang diwakili pengarah eksekutif) dalam bentuk gaji, sewa, yuran harta intelek dan dividen adalah sekitar RM1.33 bilion berbanding hanya RM440 juta yang diagihkan kepada pemegang saham lain seperti PNB dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
  • Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga (3) kali ganda berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.

Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menunjukkan bagaimana Najib hanya mengambil kesempatan menembak dalam semua isu kononnya untuk menjadi ter-paling wira rakyat demi menyelamatkan dirinya yang sudah dijatuhkan hukuman penjara.

Hipokrasi Najib ini tidak sewajarnya dibiarkan berterusan dan rakyat harus dibentangkan dengan fakta-fakta untuk menunjukkan hipokrasinya.

Pada masa yang sama, saya juga akan membentangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan sekarang dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.

RAFIZI RAMLI
31 Mac 2022

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: shahbudindotcom

Tuesday, March 29, 2022

Felda Bukan Gagal, Tetapi Dirompak Oleh Ahli Politik!

Felda Bukan Gagal, Tetapi Dirompak Oleh Ahli Politik!

Felda dibangunkan pada tahun 1956 melalui pembiayaan kerajaan Persekutuan, Bank Dunia dan institusi kewangan lain dengan nilai RM8.7 bilion. Felda kemudian berjaya melunaskan pinjamannya pada tahun 2000 yang mana terdapat pinjaman tempoh matangnya ialah pada 2020.

Rasuah Halal

Tiba-tiba, pada tahun 2009, Felda mula membuat pinjaman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk program tanam semula dan pelaburan FGV Holdings Bhd (FGV) serta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pada tahun 2018, hutang terkumpul Felda meningkat kepada RM10.67 bilion berbanding RM1.5 bilion pada 2009.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012 walaupun mendapat tentangan daripada sebahagian warga peneroka kerana kaedah penyenaraiannya yang dipertikaikan. Ia juga dianggap merisikokan sumber kewangan Felda.

Kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila laporan kewangan pada tahun 2017 merekodkan kerugian sehingga RM4.9 bilion serta beban hutang RM12 bilion.

Usaha pemulihan berterusan

Isu hutang peneroka dibangkitkan sejak awal 2000 oleh NGO generasi Felda. Pada tahun 2015, tuntutan memuktamadkan hutang peneroka semakin kuat dengan gerakan beberapa NGO dari generasi Felda.

Proses tuntutan itu berjalan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan audit dan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara yang berakhir pada 31 Disember tahun 2018 merumuskan bahawa sejumlah RM6 bilion yang direkodkan sebagai hutang peneroka tidak dapat dikenal pasti dan disahkan.

Nilai itulah yang menjadi keraguan dan pertikaian di antara peneroka dan generasinya dengan pihak pengurusan Felda.

Pada 10 April 2019, Kertas Putih Felda dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, Azmin Ali, merangka beberapa langkah pemulihan termasuk memuktamadkan hutang peneroka.

Kerajaan selepasnya menyaksikan usaha memuktamadkan hutang peneroka diteruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda, Idris Jusoh.

Akhirnya penghapusan hutang peneroka dapat dilaksanakan melalui pengumuman perdana menteri ketika itu, Muhyidin Yassin pada 15 Julai 2021 ketika sambutan Hari Peneroka Kebangsaan.

Langkah pemulihan itu ditambah lagi dengan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion serta usaha pengambilalihan FGV. Ia adalah langkah yang besar dan berani daripada Idris.

Peneroka dan generasi kemudian masih menunggu penyata kewangan Felda bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 untuk memastikan penghapusan yang dibuat benar-benar terzahir dalam laporan kewangan.

Mereka juga menunggu penyata kewangan interim dan tahunan sebagaimana termaktub dalam perjanjian tanam semula yang telah mereka tandatangani.

Usaha pemulihan diteruskan lagi melalui Belanjawan 2022 apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk pakej pemulihan dan program pembangunan peneroka.

Kembali ke landasan asal

Melalui garis masa ini, warga Felda boleh menilai siapa sebenarnya juara. Ianya juga menunjukkan bahawa semua yang terlibat dalam kerajaan - sepanjang proses pemulihan, sama ada pemulihan urus tadbir dan juga sosioekonomi peneroka - adalah usaha merentasi sempadan politik kepartian.

Hal itu kerana semua pihak bersetuju bahawa Felda perlu dipulihkan daripada kerosakan teruk yang sudah berlaku.

Felda bukan gagal, tetapi ia dirosakkan oleh masalah tadbir urus dan kepentingan individu dan pihak tertentu pada satu tempoh yang singkat, oleh para penyamun yang agamanya Islam!

Pada hari ini, warga Felda telah matang dengan pengalaman. Semua proses pemulihan dilakukan dengan libat urus di semua peringkat.

Menjadi tanggungjawab bagi sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan untuk memastikan proses pemulihan berkenaan diteruskan.

Ia perlu bagi mengembalikan Felda ke landasan asal serta kegemilangannya.

Warga Felda menghargai dan menyokong segala usaha yang dibuat oleh kerajaan yang peka dengan mereka sama ada kerajaan ini, sebelumnya atau yang akan datang.

Hero sebenar Felda ialah warga Felda itu sendiri jika mereka cakna dan sentiasa bermuafakat agar tiada pihak dapat mengambil kesempatan sehingga memungkinkan kerosakan yang pernah berlaku kembali berulang.

NEGARA PENGAMAL RASUAH

Di Malaysia saat ini, apa yang berlaku ialah seolah-olah rasuah menjadi nadi penggerak negara. Begitulah bayangan jenayah rasuah di Malaysia. Ianya telah meresap ke dalam seluruh sistem pentadbiran awam dan sektor swasta.

Kesimpulan paling mudah dan ringkas untuk memahami gejala rasuah di Malaysia ialah apabila tokoh-tokoh politik dan pemimpin masyarakat terlibat dengan rasuah, bermakna ia merupakan pencetus kepada penyebaran rasuah.

Pemimpin dari serendah-rendah kedudukan hingga setinggi-tingginya terlibat dengan rasuah, telah cukup menjadikan amalan rasuah nadi dan pencetus penyebaran rasuah.

Tidak cukup hanya dengan kempen antirasuah dan amaran dari pihak berkuasa bahawa rasuah telah berada pada tahap amat kritikal. Amaran dan kempen tersebut ibarat debu yang berterbangan.

Apa yang peliknya, pengamal rasuah di Malaysia masih bebas berbicara, bahkan mereka sedikitpun tidak berasa bersalah.

Mereka masih tamak untuk berada di puncak kepimpinan dan masih diberi kepercayaan untuk memimpin negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Monday, March 28, 2022

Will Smith Tampar Chris Rock di Pentas Oscar!

Will Smith Tampar Chris Rock di Pentas Oscar!

Pelakon Will Smith mengejutkan ramai setelah naik ke pentas dan menampar pelawak Chris Rock ketika anugerah Oscar pada Ahad (27/3/2022), yang menjadi penyampai untuk anugerah dokumentari terbaik menyindir penampilan isterinya, Jada Pinkett Smith dalam acara itu.

Will Smith Tampar Chris Rock

Insiden itu dilihat seperti dirancang pada mulanya namun menjadi serius selepas Will Smith selepas itu menjerit dari tempat duduknya agar Chris Rock tidak menyebut nama isterinya.

"Keep my wife's name out of your f***ing mouth (Jangan sebut nama isteri aku)," katanya.

Acara itu disiarkan lambat beberapa saat di Amerika Syarikat dan audionya dipotong daripada siaran ekoran bahasa kasar yang digunakan.

Ia bermula apabila Chris Rock menjadikan beberapa calon sebagai bahan jenakanya dan menyebut "Jada, saya sukakan anda. Saya tak boleh tunggu untuk tonton G I Jane II."

Dia merujuk watak utama dalam filem G I Jane pada 1997 yang berambut botak. Jada Pinkett Smith mengalami masalah keguguran rambut sejak 2018.

Ketika itulah Will Smith naik ke pentas dan menampar Chris Rock dan hadirin dilihat ketawa kerana memikirkan insiden itu dirancang.

"Oh wow! Will Smith baru saja lempang aku. Ia cuma jenaka GI Jane," katanya diiringi ketawa hadirin.

Will Smith mengulangi kata-kata agar nama isterinya tidak disebut dan turut berpaling ke arah hadirin di belakang dan menjeri ke arah mereka, yang kemudian berhenti ketawa dan kelihatan terkejut.

Will Smith barangkali menjadi perhatian utama dalam acara itu memandangkan dia juga kemudian menang trofi pelakon lelaki terbaik anugerah berprestij itu.

Anugerah itu menerusi lakonannya dalam King Richard sebagai Richard Williams, bapa kepada dua jaguh tenis, Venus dan Serena Williams.

"Saya ingin memohon maaf kepada Academy. Saya ingin memohon maaf kepada semua calon yang lain," katanya dalam ucapan kemenangan.

Dia bagaimanapun tidak memohon maaf kepada Chris Rock.


BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Wednesday, March 02, 2022

Wajah Berubah Menjadi Keldai Kerana Memakan Riba

Wajah Berubah Menjadi Keldai Kerana Memakan Riba

Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak, keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi.

Keburukan Riba

"Hai saudara," tegur Abdullah kepada pemuda tersebut.

"Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja."

Wajah mayat bertukar jadi himar

"Saya ada alasan tersendiri," jawab pemuda itu.

"Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu beritahu orang ramai tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?

"Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, "Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?"

Maka saya menjawab, "Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?"

"Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama.

"Engkau siapa?" tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu.

"Saya yang terpilih (Muhammad)."

"Saya lantas memegang jarinya dan berkata, "Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh berlaku?"

Rahsia selawat 100 kali

"Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat.

"Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu."

(Dipetik Dari Buku 60 Kisah Bertemu Rasulullah SAW)

Gambaran Himar (Keldai) Dalam Al-Quran

Himar atau keldai adalah binatang yang sering menjadi gambaran sebuah kedunguan. Di dunia Arab, binatang ini adalah binatang yang paling rendah di mata mereka. Untuk itulah al-Qur'an pun ketika menyebut himar untuk perumpamaan sesuatu, itu bererti sesuatu tersebut adalah merupakan hal yang sangat rendah dan hina.

Seperti ketika al-Qur'an mengabadikan nasihat Luqman, di akhir dari nasihat tersebut, Luqman menyampaikan kepada anaknya agar bersuara yang baik.

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Luqman 31:19)

Begitu pula ayat yang akan kita renungi berikut ini;

"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim." (Al-Jumu’ah 62:5)

Ayat ini menyindir, memerli, menghina dan mencerca orang-orang Yahudi yang diberikan Allah Kitab Taurat tetapi tidak mengamalkannya.

Mereka seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal di punggungnya tetapi tidak mengerti sama sekali isi kitab-kitab tersebut dan tidak mengambil manfaat sama sekali.

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu.

Imam Ibnu Katsir menjelaskan, "Allah ta'ala berfirman menyebutkan keburukan Yahudi yang diberikan kepada mereka Taurat untuk diamalkan tetapi mereka tidak mengamalkannya.

"Perumpamaan mereka seperti himar (keldai) yang membawa kitab-kitab tebal. Mereka lebih buruk keadaannya daripada himar. Kerana himar tidak mempunyai pemahaman, sementara mereka boleh memahami tetapi tidak mengamalkannya." (Tafsir Ibnu Katsir 8/117, MS)

Ayat ini disampaikan kepada umat Muhammad SAW agar menjadi pelajaran bahawa generasi umat ini tidak boleh seperti generasi himar Yahudi.

Generasi yang mempunyai ilmu, wawasan, pengetahuan tentang baik dan buruk bahkan mereka memahami ilmu itu dengan baik, tetapi ilmu tersebut tidak bermanfaat bagi mereka.

Mereka faham bahawa kebaikan harus dilakukan, tetapi tidak mereka lakukan. Mereka pun faham bahwa keburukan dan kejahatan harus dijauhi, tetapi tetap keburukan merupakan sebahagian yang tidak terpisahkan dari kehidupannya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: hafiz

Tuesday, March 01, 2022

Kronologi Perang Antara Rusia Dan Ukraine

Kronologi Perang Antara Rusia Dan Ukraine

Rusia melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine dengan menyasarkan bandar-bandar utama dalam serangan awal bermula lewat pagi pada 24.2.2022, dengan serangan roket dilancarkan terhadap semua pangkalan tentera di seluruh negara itu dan mendarat di bandar pelabuhan Odessa dan Mariupol di selatan.

Perang Rusia Dan Ukraine

Situasi ini adalah yang paling getir dalam sejarah 30 tahun Ukraine kerana terperangkap dalam persengketaan antara Rusia dan Amerika Syarikat serta sekutu Eropahnya.

Ukraine yang dilihat membelakangi Rusia dan menyokong perikatan Barat seperti NATO dan Kesatuan Eropah kini berhadapan dengan ujian terbesar mereka.

Perang Rusia-Ukraine bermula pada Februari 2014, terutamanya melibatkan Rusia dan tentera pro-Rusia di satu pihak dan Ukraine di pihak yang lain.

Sengketa tersebut awalnya tertumpu pada kedudukan Krimea dan bahagian-bahagian di Donbas, yang diiktiraf antarabangsa sebagai bahagian Ukraine.

Sengketa tersebut termasuk pengilhakan Rusia ke atas Crimea (2014), Perang Donbas (2014–sekarang), kejadian laut, perang siber, ketegangan politik dan peningkatan jumlah tentera Rusia berdekatan sempadan Ukraine dari tahun 2021.

Berikut adalah kronologi bagaimana Ukraine berada dalam keadaan getir seperti yang kita lihat pada hari ini.

1990-an: Kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet

Protes anti-komunis melanda Eropah Tengah dan Timur yang bermula di Poland sehingga ke seluruh negara Kesatuan Soviet. Pada Januari 1990, lebih daripada 400,000 rakyat Ukraine berganding bahu berpegangan tangan membentuk human chain sepanjang 400 batu sambil mengibarkan bendera kuning biru yang telah diharamkan pemerintah Soviet.

Malah, pihak berkuasa Ukraine yang baru juga memanggil semula tentera mereka yang menyertai Kesatuan Soviet dan mengundi untuk menutup loji nuklear di Chernobyl yang terletak di utara negara itu.

Pada 24 Ogos 1991, parlimen Ukraine mengisytiharkan kemerdekaan mereka buat kali kedua dan meraikan tarikh itu sebagai Hari Kemerdekaan. Kesatuan Soviet dibubarkan pada 26 Disember tahun yang sama dan pada tahun 1992, Ukraine mula menjalinkan hubungan rasmi dengan NATO walaupun belum menyertai perikatan itu.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Ukraine ditinggalkan dengan simpanan nuklear ketiga terbesar di dunia dan melalui perjanjian yang dipanggil Memorandum Budapest, Ukraine bersetuju untuk menukar semua senjata nuklear sebagai jaminan perdamaian antara tiga penandatangan bersama iaitu AS, UK dan Rusia.

Dari tahun 1994 hingga 2004, Presiden Leonid Kuchma berjaya membantu peralihan Ukraine daripada sebuah republik Soviet kepada negara kapitalis dengan menswastakan perniagaan dan menambah baik peluang ekonomi antarabangsa.

2000-an: Hubungan goyah antara Barat dan Rusia

Pilihan raya presiden untuk menggantikan Kuchma diadakan di antara Viktor Yanukovych (dipilih oleh Leonid Kuchma sendiri) dan disokong oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, menentang pemimpin pembangkang yang popular dan pro-demokrasi iaitu Viktor Yushchenko.

Ketika penghujung kempen pilihan raya, Yushchenko tiba-tiba jatuh sakit dan disahkan oleh doktor bahawa dia telah diracun.

Victor Yanukovych memenangi pilihan raya itu walaupun dituduh melakukan penipuan. Rakyat Ukraine mengadakan bantahan secara besar-besaran yang dikenali sebagai Orange Revolution.

Setelah melakukan pengundian buat kali ketiga, Viktor Yushchenko memperolehi kemenangan dan menjadi Presiden Ukraine ketiga setelah negara itu bebas daripada Kesatuan Soviet.

Pada tahun 2008, Presiden Yushchenko dan Perdana Menteri Tymoshenko telah memohon agar Ukraine menjadi anggota pertubuhan NATO, dengan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush, menyokong penyertaan Ukraine tetapi Perancis dan Jerman menolak setelah Rusia menyatakan ketidakpuasan hati dengan tindakan itu.

Pada 1 Januari 2009, syarikat gas asli milik kerajaan Rusia iaitu Gazprom, berhenti mengepam gas ke Ukraine setelah rundingan mengenai harga bahan mentah itu gagal. Bahkan, beberapa negara Eropah lain yang bergantung pada saluran paip melalui Ukraine turut terjejas berikutan krisis itu.

Krisis itu selesai setelah Perdana Menteri Tymoshenko membuat rundingan baru dengan Vladimir Putin dan gas kembali disalurkan pada 20 Januari tahun yang sama.

2014: Revolusi Maidan

Viktor Yanukovych yang kalah pada 2004 telah memenangi pilihan raya presiden pada tahun 2010 dan dilantik menjadi presiden Ukraine yang baru. Dia menyatakan bahawa Ukraine perlu menjadi 'negara berkecuali' dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak iaitu Rusia dan Barat.

Pada tahun 2011, Yanukovych telah menyiasat bekas Perdana Menteri Tymoshenko atas tuduhan salah guna kuasa dalam rundingan krisis gas dengan Rusia.

Tymosheko didapati bersalah dan dihukum penjara selama tujuh tahun dan keputusan itu dilihat Barat sebagai penyalahgunaan kuasa oleh Yanukovych.

Pada tahun 2014, Yanukovych tidak mahu menandatangani perjanjian dengan Kesatuan Eropah dengan alasan mendapat tekanan daripada Rusia. Keputusan itu mencetuskan bantahan besar-besaran sejak Orange Revolution.

Atas arahan Yanukovych, pihak berkuasa mula menyerang penunjuk perasaan yang berhimpun di Maidan Square dan bangunan kerajaan sehingga menyebabkan lebih 100 orang terkorban. Sementara itu, Yanukovych melarikan diri ke Rusia.

Keadaan itu menyebabkan parlimen Ukraine menyingkirkan Yanukovych sebagai presiden dan menubuhkan kerajaan interim. Mereka memaklumkan akan menandatangani perjanjian Kesatuan Eropah dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tymoshenko dari penjara.

2014: Pengilhakan Crimea dan Konflik Donbas

Rusia menganggap perubahan itu sebagai rampasan kuasa haram. Hampir serta-merta, pasukan bersenjata muncul di semenanjung Crimea yang merupakan salah satu sempadan Ukraine-Rusia. Putin pada mulanya menafikan mereka adalah tentera Rusia tetapi kemudian mengakuinya.

Setelah ditawan tentera Rusia, parlimen Crimea mengundi untuk berpisah dari Ukraine dan menyertai Rusia. Putin memuktamadkan pengilhakan Crimea dalam pengumuman pada 18 Mac 2014 kepada parlimen Rusia.

Sebagai tindak balas, AS dan sekutu di Eropah mengenakan sekatan ke atas Rusia dan tidak mengiktiraf pengilhakan Crimea. Ia adalah satu-satunya perubahan sempadan negara Eropah sejak Perang Dunia II.

Sejak itu, ketegangan antara Ukraine-Rusia semakin meningkat. Pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine terus berlanjutan terutamanya di wilayah Donbas. Walaupun beberapa perjanjian damai telah dibuat, ia tidak dapat menghentikan keganasan daripada berlaku.

Rusia juga berterusan menyerang Ukraine dalam beberapa siri serangan siber termasuklah ke atas grid kuasa pada 2016 dan 2017 sehingga menyebabkan blackout besar-besaran. Serangan siber dari Rusia masih berterusan sehingga hari ini.

2021: Krisis semakin meruncing

Rusia menghantar kira-kira 100,000 tentera ke sempadan Ukraine kononnya untuk latihan tentera. Presiden Volodymyr Zelensky yang dilantik pada 2019 menggesa NATO untuk menerima keahlian Ukraine sebagai ahli persatuan itu.

Walaupun Presiden AS, Joe Biden, komited menyokong Ukraine dan mengutuk serangan Rusia tetapi dia berulang kali mendakwa bahawa negara itu belum mempunyai kelayakan yang cukup untuk menyertai NATO.

Pada Disember 2021, Presiden Biden melalui panggilan telefon bersama Putin menggesa agar Rusia tidak menyerang Ukraine dan memberi amaran akan ada 'kesan' jika ia diteruskan. Sementara itu, Putin pula meminta agar NATO mengharamkan Ukraine daripada menjadi ahli jika mahu tentera Rusia berundur.

2022: Di ambang peperangan

Januari 2022: Pemimpin dan diplomat dari AS, Rusia dan negara Eropah bertemu berulang kali untuk mengelakkan krisis. Pada awal Januari, Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, memberitahu bahawa Rusia tidak mempunyai rancangan untuk menyerang Ukraine.

Namun, ketegangan yang masih tinggi menyebabkan pihak kerajaan mengarahkan kakitangan semua kedutaan meninggalkan Ukraine pada 23 Januari. Pada keesokannya, NATO menempatkan pasukannya termasuk tentera AS seramai 8,500 orang.

Februari 2022: Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Chanselor Jerman, Olaf Scholz, telah mengembara ke Moscow dan Kyiv untuk berunding. Sementara itu Presiden Joe Biden menambah lagi 1,000 tentera di Romania dan 2,000 tentera di Poland.

10 Februari: Rusia dan Belarus menempatkan kira-kira 30,000 lagi tentera di sepanjang sempadan utara Ukraine bagi tujuan latihan.

11 Februari: AS dan UK menggesa rakyatnya di Ukraine untuk meninggalkan negara itu dan tidak akan menghantar sebarang bantuan menyelamat sekiranya tercetus peperangan.

24 Februari 2022: Rusia menggerakkan tentera ke dalam rantau yang dikawal puak pemisah pada 22 Februari 2022 dan peristiwa ini memuncak dengan pencerobohan penuh oleh Rusia ke atas Ukraine.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1