Wednesday, August 25, 2021

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Bersalin di dunia, berpantang di syurga. Ditidurkan di dunia, terjaga di syurga. Begitulah lebih kurang kisah yang dikaitkan dengan Siti Sarah Raissuddin. Pun begitu hal-hal ghaib dan alam akhirat sudah pasti tertakluk secara mutlak kepada kehendak Yang Maha Esa.

Siti Sarah

Yang tular sekian lama jika si suami memanggil isterinya bidadari ialah Ebit Lew. Panggilan romantis suami terhadap isteri disaran persis Rasulullah SAW memanggil Siti Aisyah sebagai Ya Humaira bermaksud 'wahai si merah jambu'.

Lalu, hijab kita bagaikan dibuka selepas kepergian Siti Sarah apabila ramai menyifatkan penghibur itu bak bidadari.

Sejurus selepas jenazah Siti Sarah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, bertali arus akhbar dan media sosial memuji-muji kebaikan dan budi pekerti penyanyi tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, adalah antara tokoh berprofil tinggi yang turut mengutus takziah.

Kalangan pelakon dan penyanyi juga tidak terkecuali. Ada yang menitiskan air mata. Misalnya Siti Nurhaliza yang sebak ketika menyanyikan lagu Bidadari Syurgaku secara maya mengenangkan Siti Sarah.

Ramai wartawan juga berkongsi momen masing-masing bersama Siti Sarah lalu satu demi satu kebaikan dilakukan arwah - termasuklah korban di Palestin - diceritakan.

Tak mudah membawa diri

Berita kematian Siti Sarah dikongsi seorang instafamous Korea Selatan dan dimuat di portal BBC News.

Namun lebih mahal ialah solat jenazah ghaib yang dilaksanakan di Masjidil Haram sepertimana dikongsi suaminya, Shuib.

Bukan calang-calang artis kita itu rupanya kerana berita kematiannya disiar di BBC News dan dapat solat ghaib dari Tanah Suci.

Apakah istimewanya Siti Sarah yang kita tidak - atau belum - tahu?

Lalu apakah amalan Siti Sarah hinggakan darjatnya diangkat sebegitu mulia?

Manusia itu fitrahnya memang selalu alpa dan lupa. Justeru dalam limpahan puji-pujian yang dihamparkan buat Siti Sarah, bagaimana agaknya orang-orang keji yang selama ini selalu menghina dia?

Bukan mudah membawa diri sebagai Siti Sarah apabila sering dijadikan bahan cercaan dan dipersenda sejak di sekolah rendah sehinggalah menjadi artis.

Seorang rakan Siti Sarah ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di Sekolah Rendah AU Keramat, Farrah Nadzirah Kamal (gambar), berkata peyanyi terbabit memang periang namun kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Nurfatimah yang juga belajar di situ.

Antara isu yang selalu menjadi bahan sendaan orang ialah aspek fizikal Siti Sarah. Dia selalu diejek kerana itu.

Di peringkat awal menjadi artis pun Siti Sarah selalu dipersenda. Cuma mungkin kerana itu belum ada media sosial, kebiadaban cercaan itu tidaklah terlalu teruk. Atau ia tidak tersebar dengan meluas.

Tak boleh hadapi tekanan

Selepas ada media sosial, ia menjadi lebih serius sehinggakan ada dua tiga kali Siti Sarah tampil bagi jawab penghinaan netizen terbabit. Malah ada antara orang yang menghina itu adalah wanita bertudung.

Siti Sarah menjawab: "Masuk sekolah rendah dah biasa, masuk sekolah menengah? Hampir setiap hari kena ejek (tentang) hidung, hidung, hidung. Sampai kadang-kadang mengelak nak naik bas, tunggu dah tak ramai baru naik bas.

"Pernah terlintas di hati, aku nak pergi buat (pembedahan) hidung supaya orang tidak boleh cakap lagi, tapi apabila fikir balik cantik bagaimana (pun) orang akan kutuk."

Tidak seperti segelintir artis, Siti Sarah reda dengan kurniaan Tuhan. Maka dia tetap bersahaja dan tidak perlu membuat pembedahan plastik bagi mencantikan hidungnya.

Perihal gigi Siti Sarah pula dia pernah diperli seorang netizen: "Buat treatment (rawatan) apa untuk rapatkan gigi yang jarang tanpa memakai braces (pendakap)?"

Pada Januari 2018, warna kulit Siti Sarah dipersoalkan.

Lalu dia menjawab: "Ramai yang kutuk Sarah kata sebenarnya Sarah hitam tetapi edit gambar. Secara jujurnya saya memang tidak putih macam orang putih. Tapi kalau nak bandingkan dulu memang saya lebih cerah sekarang sebab saya mengambil produk. Saya pakai losyen, sabun dan pil untuk kulit lebih cerah.."

Mac 2018 penjelasan Siti Sarah kepada netizen yang menghina dan mengutuknya agak beremosi apabila dia menulis: "Awak tak hadap apa yang saya hadapi. Saya memang kuat untuk hadapi banyak benda. Tetapi saya tahu ramai orang yang tak boleh hadapi tekanan apabila dikutuk dipanggil gorila, negro, badak, ba*i dan seangkatan dengannya. Siapa yang tahan..."

Nah, sekarang apakah kita faham mengapa kedudukan Siti Sarah itu diangkat? Harus diingat sehebat mana pun manusia ini, kita tetaplah hamba.

Tidak ada hak untuk kita menghina dan mengutuk paras rupa seseorang insan itu.

Hal ini sudah diperjelaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 11: "Wahai orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermainkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula ada golongan perempuan yang mempermainkan perempuan yang lain (kerana) boleh jadi perempuan yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Dan barang siapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Jelaslah di sini, kepulangan Siti Sarah ke alam abadi bukan sekadar berita sedih buat ramai orang. Bahkan ia adalah sindiran Tuhan buat jari-jari jahat manusia yang sebelum ini mengejek, mengutuk dan menghina Siti Sarah.

Tuhan menjawab penghinaan mereka itu dengan cara yang amat indah. Al-Fatihah.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Rahsia Kebangkitan Tentera Taliban

Rahsia Kebangkitan Tentera Taliban

Sebelum 3,000 tentera Amerika berundur sepenuhnya daripada Afghanistan pada 11 September 2021, dalam tempoh tiga minggu sahaja sembilan wilayah penting Afghanistan berada dibawah kawalan pemberontak, dengan 11 bandar utama termasuk Kandahar dikuasai oleh Taliban.

Taliban

Beberapa persoalan penting seharusnya difikirkan, mengapa keadaan ini berlaku, bagaimana Taliban mendapat kekuatan yang luar biasa dalam tempoh masa yang sangat singkat?

Mengapa tentera Amerika berundur di saat negara tersebut masih kucar-kacir?

Dan yang paling penting adalah, apa yang dilakukan oleh Amerika selama dua dekad menjajah dan menghancurkan negara berdaulat tersebut?

Biden mengotakan janjinya semasa pilihan raya presiden pada April 2021 yang lalu.

Jumlah 3,000 tentera dengan bajet perbelanjaan mencecah trilion dolar adalah angka yang amat besar.

Amerika sudah tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk peperangan selama dua dekad sejak 2001.

Peperangan yang dicetuskan dari tragedi World Trade Centre 9/11 hingga menyebabkan Sudan, Somalia, Iraq dan Syria juga tersungkur.

Malah, Iran dan Korea Utara berada dalam senarai seterusnya.

Selama tempoh tersebut juga, sekurang-kurangnya 2,500 tentera dan warga Amerika menjadi korban dan siri serangan hendap dan tawanan oleh militia Afghanistan yang kesemuanya dikenali sebagai Taliban.

Siapa Taliban?

Muncul kelompok panglima militia yang melawan pendudukan Rusia sekitar tahun 1979 hingga 1989.

Kelompok ini dipimpin oleh dua nama besar iaitu Burhanuddin Rabbani dan Gulbuddin Hekmatyar.

Panglima tentera inilah yang mengalahkan Rusia dan menguasai kepimpinan kerajaan Afghanistan.

Kelompok-kelompok ini dibiayai oleh Amerika dalam perang proksi mereka terhadap USSR ketika itu.

Kelompok ini akhirnya berperang sesama sendiri merebut kuasa dan menjadikan Afghanistan sebuah negara yang paling tidak selamat.

CIA dan agensi risikan Pakistan (ISI) menyatukan kelompok-kelompok ini dan membentuk satu kelompok yang dikenali sebagai Taliban.

Pada tahun 1996, Taliban menguasai Afghanistan dan membentuk kerajaan tetapi akhirnya ditumbangkan oleh Amerika pada 2001.

Kelompok ini diperangi selama 20 tahun dan masih terus bertahan sehingga kini.

Bagaimana Taliban mempunyai kekuatan luar biasa?

Agak pelik, bagaimana Taliban mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam tempoh masa yang singkat.

Selama dua dekad Amerika menekan, menyerang, membunuh dan menghancurkan tentera Taliban, tetapi mengapa mereka masih gagal menguasainya?

Taliban sebenarnya didanai oleh Amerika secara sembunyi.

Laporan oleh agen risikan selain CIA jelas menunjukkan bagaimana sejumlah besar wang disalurkan melalui Bagram Airbase untuk mendanai Taliban.

Dengan cara tersebut, perang Afghanistan akan diakui perlu dan kestabilan rantau tersebut akan terus diragui.

Selain itu, Taliban juga berjaya menjadikan Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia dalam masa yang cukup singkat.

Laporan agensi risikan CIA juga mengakui bahawa sejumlah besar dadah ini dibawa masuk ke Amerika melalui pangkalan tentera yang berjaya melepasi kawalan keselamatan sama ada di Afghanistan mahupun Amerika.

Taliban juga mengenakan cukai untuk pengeluaran heroin oleh warga Afghanistan yang amat bergantung kepada industri ini untuk kelangsungan hidup.

Laporan oleh WHO menyatakan, lebih dua pertiga keluaran heroin dunia berasal daripada Afghanistan dengan pendapatan sekitar 1.16 billion pada suku berakhir 2020.

Perang berterusan terhadap pengganas

Kebangkitan Taliban dijangka akan merancakkan semula aktiviti keganasan di seluruh dunia.

Sekali lagi Afghanistan akan menjadi pusat latihan dan operasi sebagaimana yang dilakukan oleh Osama Laden sekitar 80 hingga 90-an.

Lokasi Afghanistan yang bersebelahan dengan Iran adalah penting dalam penguasaan geopolitik Asia Barat.

Selagi wilayah teroris wujud, selagi itulah Amerika mempunyai alasan untuk menyerang negara-negara yang dikira sebagai the axis of evil.

Agenda perang melawan teroris tidak akan tamat hinggalah Amerika dan sekutunya mencapai agenda untuk mengaut keuntungan dan kekal berkuasa atas kerosakan dan kehancuran sesebuah negara.

Dasar pecah dan perintah seperti yang dilakukan di Afrika dan Asia Barat akan diteruskan di Afghanistan.

Siri seterusnya adalah kemasukkan 'jihadis' ke Afghanistan untuk latihan dan melawan Amerika yang mana akhirnya akan dikembangkan ke Iran, Turki dan negara Asia Barat lainnya.

Hanya yang boleh menyekat agenda ini adalah China, kebangkitan kuasa 'naga' dan konflik yang timbul antara Beijing dan Washington dijangka akan mengalihkan perhatian dunia berkaitan isu terrorisme dalam dekad mendatang.

Ulangi kesilapan Perang Vietnam

Amerika nampaknya bakal dicop sekali lagi sebagai gagal dan kalah dalam peperangan.

Selama dua dekad 1955 hingga 1975, sekurang-kurangnya 50,000 korban di pihak Amerika terjadi dalam perang Vietnam.

Ketika era tersebut, teknologi persenjataan masih belum secanggih kini, akan tetapi era milenium ini menyebabkan angka kematian menjadi rendah, walaupun kemusnahan adalah sangat besar.

Malah kematian di pihak musuh juga adalah besar terutamanya apabila senjata kimia dan biologi digunakan dalam peperangan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Syria.

Perubahan kepimpinan Amerika menyebabkan dasar luar mereka juga berubah.

Biden melalui kenyataan media bertarikh 10 Ogos 2021 menyatakan Afghanistan bukan lagi masalah Amerika, ia perlu diselesaikan oleh warga Afghanistan sendiri!

Keadaan yang sama juga apabila Amerika di bawah Presiden Trump mengambil keputusan keluar daripada Iraq dan Syria.

Jelas Amerika bertindak sedemikian selepas terbukti mereka gagal dalam peperangan yang dicetuskan oleh mereka sendiri.

Pemimpin Amerika bersikap lepas tangan meninggalkan negara tersebut setelah terbukti mereka tidak mampu memenangi peperangan tersebut.

Jelas sekali, Taliban gagal dimusnahkan oleh Amerika walaupun bertapak selama 20 tahun di negara tersebut.

Bukan sahaja Amerika, Nato juga menerima tempias, dimalukan dengan kegagalan mengawal sebuah negara kecil yang miskin dan tidak mempunyai teknologi secanggih mereka.

Malah kelihatannya Amerika dan Nato mempunyai agenda peribadi apabila keluar dari Afghanistan dan membiarkan Taliban menguasai negara tersebut.

Keupayaan luar biasa yang dimiliki Taliban juga menunjukkan bahawa Amerika dan sekutunya dengan sengaja membiarkan Taliban berkembang, mendanai malah menyediakan strategi berkaitan agar kerosakan di Afghanistan akan berterusan.

Natijahnya nanti, Amerika dan sekutunya mempunyai alasan untuk menyerang semula negara ini atau menjadikan Afghanistan sebagai hub untuk menjatuhkan Iran dan lain-lain 'musuh' yang dikenal pasti berdasarkan kepentingan geopolitik mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Friday, July 30, 2021

Malaysia Aman Tanpa Ahli Politik

Malaysia Aman Tanpa Ahli Politik

Ketika kita kian bergelut dengan konflik jiwa, harga diri juga semain murah dan kes baru Covid-19 pula terus mencanak-canak naiknya sehingga ke angka amat menggerunkan, pada masa yang sama kita juga takjub dengan sikap aneh segelintir manusia, golongan kayangan, yang suka mengundang maki hamun untuk diri sendiri. Sama ada sengaja atau tidak, wallahu a'lam.

Ahli Politik

Cuma kita yakin ia sebenarnya sejenis penyakit juga. Dan penting juga diubati sebelum ia menjadi semakin tenat dan memualkan.

Kadang-kadang cara mereka mengajak orang memaki hamun dirinya itu juga unik, iaitu dia sengaja memilih ungkapan yang keji.

Walaupun tidak dinyatakan secara tersurat, mereka sebenarnya sangat meminta untuk dimaki semula.

Kemudian ada pula sindir-menyindir dan jika ia dirasa menyakitkan hati dan tidak boleh diterima, maka melatahlah mereka lalu khidmat peguam pun digunakan. Sementelah mereka memang berwang (baca wang rakyat).

Kita pun hairan kerana sepatutnya susuk tokoh yang kelihatan wajar dihormati dan meredakan kegelisahan ummah, tetapi sebaliknya dia selalu meminta agar dimaki.

Sekarang ini kalau ditelek-telek dari jauh, sebenarnya sudah ada riak-riak gelombang rakyat mahu mencari jalan sendiri untuk mengurus kemelut yang sedang melanda.

Rakyat yang rencam itu boleh berpakat lalu membentuk jemaah tersendiri apabila mereka disatukan oleh masalah yang sama.

Dan itulah yang sedang berlaku secara berselerak di seluruh negara apabila mereka bergandingan bahu menghulurkan bantuan kepada sesama, rakyat bantu rakyat.

Sesungguhnya negara ini sedang dahagakan kepimpinan yang segar dan meyakinkan, selain bebas daripada kebodohan bergayut pada kuasa yang menjadi nyawa mereka.

Padahal kuasa itulah yang dijadikan lesen untuk menyendatkan tembolok masing-masing dan pada masa yang sama kebajikan rakyat diketepikan.

Rakyat sudah tidak lagi mampu menahan perasaan hidup dalam suasana yang berulamkan maki hamun dan carut-marut seperti sekarang.

Masalah Covid-19 sudah cukup melemaskan dan tidak ada perlunya masalah lain ditambah oleh ahli politik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1

Monday, May 31, 2021

Total Lockdown 2021: Apa Sahaja Yang Di Benarkan?

Total Lockdown 2021: Apa Sahaja Yang Di Benarkan?

Prosedur operasi standard (SOP) untuk 'total lockdown' yang berkuat kuasa bermula 1 Jun 2021, kebanyakannya menyerupai apa yang dikuatkuasakan semasa perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0) pada bulan Mac tahun 2020 lalu.

Total Lockdown

Keseluruhan penutupan akan menyaksikan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial ditutup kecuali perkhidmatan penting manakala pergerakan orang ramai juga akan dibendung.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk larangan pergerakan penuh (total lockdown) hanya akan membenarkan beberapa perkhidmatan seperti berikut:

Pembuatan
  • Aeroangkasa (komponen dan maintenance, repair and overhaul - MRO).
  • Makanan dan minuman.
  • Bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan.
  • Barang-barang dan penjagaan diri, dan bahan pencuci.
  • Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet.
  • Barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.
  • Komponen bagi peranti perubatan.
  • Elektrikal dan Elektronik (kepentingan rantaian ekonomi global).
  • Minyak dan gas (Oil and Gas) termasuk petrokimia dan produk petrokimia.
  • Mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan sahaja.
  • Tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja.
  • Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah 60% pekerja sahaja.

Pertanian, Perikanan, Penternakan, Perladangan dan Komoditi
  • Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya (contohnya kedai yang menjual baja dan racun/kilang memproses buah sawit adalah dibenarkan untuk beroperasi).
  • Perladangan dan komoditi serta rantaiannya (kelapa sawit, getah, lada dan koko).

Pembinaan
  • Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.
  • Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama.
  • Kerja kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah secara optima.

Perdagangan Pengedaran
  • Kompleks membeli-belah DITUTUP kecuali hanya premis, pasar raya, pasar raya besar dan departmental store yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan restoran untuk bawa pulang dan penghantaran ke rumah.
  • Pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan kedai runcit serta departmental store dibuka TERHAD kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja.
  • Restoran, gerai-gerai serta outlet makanan.
  • Dobi (termasuk layan diri).
  • Kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan.
  • Kedai cermin mata dan barang optik.
  • Kedai hardware.
  • Bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti.
  • E-dagang (semua kategori produk).
  • Pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja).

Semua sektor perniagaan ini dibenarkan beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja.

LAIN-LAIN YANG DIBENARKAN

Penumpang

Kapasiti kenderaan persendirian dihadkan kepada dua wakil isi rumah sahaja termasuk pemandu bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh.

Bagi tujuan kesihatan dan perubatan pula, kapasiti maksimum yang dibenarkan hanya tiga orang termasuk pesakit.

Pergerakan itu juga terhad dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman namun jika perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius tersebut, pergerakan dibenarkan ke tempat paling hampir dengan kediaman.

Aktiviti Riadah

Dalam tempoh itu juga, pergerakan dan aktiviti riadah secara bersendirian tanpa bersentuhan dibenarkan namun terhad di kawasan terbuka selain hanya melibatkan senaman dan joging yang dilakukan di kawasan kejiranan bermula 7 pagi hingga 8 malam.

Taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dibenarkan beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

Pengangkutan Awam

Kapasiti penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dan penumpang disyaratkan duduk di kerusi belakang.

Bagi perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL), monorel dan feri dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti.

Keagamaan

Aktiviti solat di surau dan masjid terhad kepada maksimum 12 ahli jawatankuasa (AJK) manakala aktiviti lain tidak dibenarkan.

Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing manakala aktiviti rumah ibadat bukan Islam adalah dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat dengan kehadiran penganut tidak dibenarkan.

Stesen Minyak

Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam kecuali di lebuh raya yang boleh beroperasi 24 jam.

Total Lockdown: Perkhidmatan Awam Bekerja Dari Rumah (BDR) Sepenuhnya!

Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya susulan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Namun, arahan itu tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan.

Perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin.

Pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah, yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja. BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah, yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 - Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Bagaimanapun, kehadiran ke pejabat boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak dapat dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi kapasiti 20 peratus di pejabat.

Antara urusan yang dibenarkan kehadiran di pejabat ialah pembayaran kontrak, invois atau gaji, pembayaran atau pengagihan bantuan bulanan dan berkala kepada rakyat, penyelenggaraan atau keselamatan permis dan pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian.

Penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja. kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja.

Pemantauan akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan. akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

Sebarang pengecualian arahan itu perlu mendapat kelulusan Pejabat KSN.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

Sunday, May 30, 2021

COVID-19: Virus Baharu Gabungan Varian India dan UK Lebih Berbahaya!

COVID-19: Virus Baharu Gabungan Varian India dan UK Lebih Berbahaya!

Pihak berkuasa Vietnam mengesan varian baharu virus COVID-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas, dengan Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini.

Covid-19

Jelasnya, varian baharu itu merupakan varian India dengan mutasi yang asalnya daripada varian UK serta lebih berbahaya.

Selepas berjaya membendung virus tersebut hampir sepanjang tahun 2020 lalu, Vietnam menghadapi peningkatan jangkitan sejak akhir April 2021.

Negara Asia Tenggara sebelum ini telah mengesan tujuh varian COVID-19 antaranya B.1222, B.1.619, D614G, B.1.1.7, B.1.351, A.23.1 dan B.1.617.2.

Long berkata, Vietnam akan segera menerbitkan data penjujukan genom varian baharu dikenal pasti itu yang menurutnya lebih mudah tersebar daripada jenis yang diketahui sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti empat varian SARS-CoV-2 yang menjadi kebimbangan global. Ini termasuk varian yang muncul pertama kali di India, Britain, Afrika Selatan dan Brazil.

Ketua Teknikal WHO untuk COVID-19, Dr. Maria Van Kerkove berkata, setakat ini pihaknya masih belum membuat penilaian mengenai varian virus yang dilaporkan di Vietnam.

"Pejabat kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di Vietnam dan kami mengharapkan lebih banyak maklumat tidak lama lagi," katanya.

Dari pemahaman WHO ketika ini, varian yang dikesan di Vietnam adalah varian B.1.617.2 atau lebih dikenali sebagai varian India dengan kemungkinan mempunyai mutasi tambahan.

Long menyatakan varian baharu menunjukkan virus itu mereplikasi dirinya dengan sangat pantas, mungkin menjelaskan mengapa begitu banyak kes baru muncul di pelbagai tempat di negara itu dalam jangka waktu yang singkat.

KKM, KPT perlu buat penyelidikan segera varian baharu

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menjalankan penyelidikan terhadap varian baharu yang disifatkan semakin mengganas.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, sehingga kini belum terdapat bukti menunjukkan varian baharu COVID-19 menyebabkan tahap keparahan tinggi terhadap pesakit.

"Sehingga hari ini walaupun varian ini tahap berjangkit lebih tinggi, tetapi pada masa kini belum ada bukti varian ini menyebabkan penyakit (gejala) lebih serius dan berbahaya.

"Tahap keparahan pesakit pada masa sekarang, belum lagi terbukti ia lebih tinggi kadar kematiannya.

"Kita masih ada ruang perbaiki keadaan walaupun berlaku varian baharu," katanya.

Tambahnya, penyelidikan lebih mendalam perlu dilakukan segera bagi mendapatkan data mengenai varian baharu itu.

"Saya cadangkan KKM bersama KPT melakukan penyelidikan apakah varian baharu ini menyebabkan tahap keparahan tinggi dan hasil daripada penyelidikan mendapati infeksi varian baharu ini.

"Tiga pihak harus terlibat, doktor daripada KKM; kedua, makmal yang berkapasiti melakukan ujian genetik; ketiga, mereka yang berada di lapangan seperti pakar kesihatan awam yang mempunyai data pesakit yang mereka telah kesan.

"Ketiga-tiga data ini harus dikumpulkan untuk penyelidikan bagi melihat adakah varian baharu ini menyebabkan berlaku peningkatan tahap kematian," katanya lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Maksud 'Total Lockdown' Dan Perbezaannya Dengan PKP!

Maksud 'Total Lockdown' Dan Perbezaannya Dengan PKP!

Perintah berkurung atau lockdown adalah perintah yang tidak membenarkan sesiapa pun melakukan sebarang aktiviti di luar kediaman. Tiada langsung pergerakan di luar termasuklah untuk membeli makanan dan keperluan. Berbeza dengan PKP yang masih membenarkan rakyat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.

Total lockdown

Mengisytiharkan lockdown tampak mudah, tetapi impaknya cukup besar kepada rakyat dan negara. Kerajaan menyedari penularan COVID-19 sangat membimbangkan dan ketika ini sedang berusaha sedaya mungkin mencegah penularan COVID-19 bagi mengelak daripada berlakunya lockdown.

Namun begitu, sebelum panik tidak tentu fasal, mari kita fahami apa itu Perintah Berkurung atau LOCKDOWN dan bezanya dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP):

Perintah Berkurung:
  • Atau LOCKDOWN bermaksud larangan keluar masuk ke sesuatu bangunan atau kawasan secara bebas atas sebab kecemasan.
  • Apabila perintah berkurung dijalankan semua orang tidak dibenarkan untuk keluar rumah mahupun keluar untuk membeli makanan.
  • Dalam erti kata lain, apabila darurat diumumkan, apabila kita keluar rumah pun perlu mengikut masa ditetapkan atau kalau kritikal terpaksa diiringi pasukan keselamatan!

Perintah Kawalan Pergerakan:
  • Tak sama macam perintah berkurung kerana ketika perintah kawalan pergerakan dijalankan cuma pergerakan dibataskan seperti aktiviti keluar masuk negara, perhimpunan besar dan sebagainya.
  • Atau dalam bahasa mudahnya ialah, hanya sebagai langkah untuk menjarakkan hubungan sosial yang bertujuan menurunkan jumlah kes untuk merendahkan lengkung (jangkitan) wabak COVID-19.
  • Kita masih boleh keluar rumah tetapi dihadkan pergerakan untuk urusan yang betul-betul penting sahaja seperti keluar bekerja atau pergi ke bank.

Bagaimanapun, kalau ada mana-mana pihak yang melanggar perintah kawalan pergerakan ini, mereka akan dikenakan tindakan.

Antaranya:
  • Mana-mana orang yang melakukan sesuatu kesalahan pertama di bawah akta ini, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda atau kedua-duanya.
  • Kesalahan kedua, boleh dipenjara tidak melebihi lima (5) tahun atau denda atau kedua-duanya.
  • Bagi kesalahan berterusan, didenda bagi tiap-tiap hari kesalahan berterusan.

Kompaun kesalahan:
  • Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai awam diberi kuasa secara bertulis boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah akta ini dengan mendapatkan daripada pesalah itu sejumlah wang.

Oleh itu, orang ramai diminta untuk tidak mudah melatah dengan berita tular, terutama yang tidak diketahui sumbernya.

Jadi, tak perlu panic buying. Belilah barang keperluan harian seperti biasa dan mencukupi untuk ahli keluarga. Jangan berlebih-lebihan pula takut nanti jadi pembaziran!

Buat masa sekarang, adalah lebih baik mematuhi apa yang telah diumumkan Perdana Menteri dan amalkan pencegahan sendiri di rumah.

Stay safe at home!

BACA INI JUGA:
sumber: gempak

Saturday, May 29, 2021

Menentang Kepandiran Bangsa Kayangan

Menentang Kepandiran Bangsa Kayangan

Dalam dunia yang penuh dengan peperangan dan penindasan ini barangkali hanya ada dua jenis manusia yang wujud: si kaya atau golongan kayangan, dan si miskin yang marhaen dan selain daripada yang dua itu, adalah tiada atau cuma fatamorgana.

Kayangan Malaysia

Dalam kesibukan peperangan itu kita sebenarnya lebih suka menidakkan, malah sejak dulu lagi kita selalu diajar untuk menghindar.

Lebih teruk daripada itu kita dididik agar mengabaikan segala macam jenis peperangan berkenaan.

Hasilnya, kita perlahan-lahan menjadi suatu masyarakat jahil yang memiliki kecenderungan untuk mengabaikan penindasan waima berlaku di bawah hidung sendiri.

Secara berstruktur dan bersistematik tanpa sedar kita pun menjadi suatu koloni manusia yang pasrah dan percaya bahawa tidak ada apa yang dapat kita lakukan bagi melawan ketidakadilan.

Sindrom kepandiran - atau bahasa lebih lunaknya ignorance syndrome - sebeginilah yang sebenarnya melemahkan kuasa rakyat dalam masyarakat.

Sementara cengkaman pemikiran feudal dan jiwa hamba menambahkan lagi parah yang ada.

Jika bukan itu yang berlaku, apa lagi penjelasan yang boleh diberi untuk menerangkan bagaimana kaum kayangan boleh bersenang-lenang bebas daripada hambatan SOP ketika orang biasa pula dijerut dengan ancaman kompaun yang maha firaun?

Misalnya, kebebasan menerima pelawat di hospital bagi meraikan kedatangan anak yang baru keluar dari rahim wanita terpilih.

Ketika ribuan pelajar berantakan menanti arahan mengenai masa esok yang menggerunkan dan ibu bapa kerisauan melihat pengurusan sekolah yang masih kelam-kabut, ada menteri kayangan yang bersedap-sedapan mengunyah kurma gadang dan mahal semasa berbuka puasa.

Keberanian mahu digertak

Barangkali mereka sudah ada jawapan yang tuntas untuk mengelak tanggungjawab apabila disoal di hadapan Tuhan nanti.

Pada masa yang sama kita juga kagum betapa kebanyakan orang tetaplah pasrah tanpa enggan melawan.

Kisah-kisau lampau mengajar kita bahawa gerakan kesedaran bagi membangkitkan rasa sepatutnya dalam kalangan masyarakat ini hanya boleh terjadi atas dua sebab.

Pertama, apabila seluruh kita mengalami kemelaratan total dan kedua apabila seluruh komuniti seniman mampu berpakat untuk menggunakan seni mereka sebagai senjata.

Dan penguasa barangkali menyedari hal berkenaan dan kerana itulah susuk seperti Fahmi Reza itu diserbu, pintu rumahnya dipecahkan dan dirinya ditangkap.

Dek kerana cuba membangkitkan kesedaran rakyatlah maka keberanian Fahmi itu cuba digertak dan kebebasan hasil seninya mahu dipenjarakan.

Jika anda masih keliru, biarlah kita jelaskan bahawa peperangan yang dimaksudkan dalam tulisan ini ialah tentang perang yang jarang buku-buku sejarah mahu kenang, iaitu deretan kisah murbawan yang ditekan.

Peperangan yang mahu disampaikan dalam tulisan ini juga adalah tentang pemerasan antara kelas, ketidaksetaraan perlaksanaan hukum, konflik sosial yang mewujudkan amalan pilih bulu dan kasta yang sebelum ini tidak ramai yang mahu mengendahkan.

Visual-visual satira yang dibawa Fahmi adalah seni yang sah. Ia adalah kebudayaan sastera yang bergenrekan satira.

Niatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meruntuhkan tembok besar kepandiran yang sekian lama dibina oleh bangsa kayangan agar mereka boleh terus bersedap-sedapan atas penindasan.

Fahmi membawakan lambang-lambang pembaharuan. Karyanya adalah kritikan yang segar, dihiasi warna-warni keberanian yang bersesuaian dengan zaman dengan matlamat membangkitkan kesedaran.

Sebagaimana novel Shit! karya Shahnon Ahmad yang berjaya mengeluarkan segala kekotoran dan busuk isi perut politik, Fahmi juga mahu melawan dengan cara mendedahkan segala tembelang, penyelewengan dan pemesongan akhlak bangsa kayangan.

Oleh kerana ianya adalah satira, sudah barang tentulah sarkasme dibawa visual Fahmi sarat dengan jenaka tajam yang menganjingkan kebodohan segelintir artisan, hartawan, kuasawan dan bagsawan yang berasa sangat kayangan.

Mencucuk-cucuk naluri orang

Pihak yang menentang perjuangan seumpama itu termasuklah para 'waibi' yang berasa suci, namun terlupa Nabi Muhammad SAW itu dihantar Tuhan bukanlah untuk menjadi raja, pemerintah, presiden parti, ketua kerajaan atau mengetuai mana-mana syarikat berkaitan kerajaan.

Sebaliknya nabi diutus untuk menentang segala jenis penindasan yang berpunca dari bangsa kayangan.

Pemerasan si kaya atau bangsa kayangan terhadap rakyat bawahan disentak oleh nabi dengan ajaran Islam yang sempurna dan tidak mengenal pilih kasih.

Pun begitu, bagi bangsa kayangan Makkah yang mendominasi serta memonopoli segala kekayaan di kota raya itu melihat nabi sebagai manusia yang biadab lagi menghina.

Justeru waibi tertentu yang ghairah mengadukan Fahmi kepada polis sepatutnya faham sedangkan nabi yang ditugaskan - antara lain - untuk meluruskan akhlak bangsa yang semakin edan itu juga dilabel gila lagi biadab.

Muhammad menjadi nabi pada saat sindrom kejahilan diarusperdanakan hingga kerja-kerja menegur melawan penindasan tidak ada sesiapa yang mahu melaksanakannya.

Fahmi sudah tentu bukan nabi. Dia sekadar manusia yang sentiasa terdedah kepada salah dan dosa, tetapi dia sedang mencucuk-cucuk naluri ramai orang dengan satiranya.

Fahmi mahu membuka mata masyarakat agar faham bahawa keadilan tidak akan tertegak tanpa keberanian.

Karya-karyanya yang sejak dulu dianggap melampau dan menyinggung adalah jeritan kepada ramai orang agar bersama-sama mematikan sindrom pandir sesegera mungkin.

Jika ada bangsa kayangan yang terasa hati, terluka atau sakit hatinya, di sisi lain ada ramai yang tersenyum puas kerana di sebalik kelucuan itu sakit dan marah yang tersimpan lama dalam dada terluahkan juga walaupun melalui orang bernama Fahmi.

Nak tahu mengapa Fahmi ditangkap dan seninya mahu dimandulkan?

Jawapannya ialah kerana penguasa kayangan sedar dia membawa kesedaran dan jika tidak ditindaki segera, semua rakyat akan bangkit daripada sindrom kejahilan.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Khasiat Dan Manfaat Rempah Sumac Tinggi Anti-Oksidan

Khasiat Dan Manfaat Rempah Sumac Tinggi Anti-Oksidan

Sumac atau juga disebut sumach, sumak, soumak, sumaq, berasal dari bahasa Perancis Lama, Bahasa Syria atau Arab سُمَّاق‎ (summāq) yang bermaksud 'merah', terkenal di Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Utara.

Sumac

Rempah Sumac mempunyai rasa masam seakan lemon dan sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan.

Secara botaninya, sumac adalah pokok renek dan kecil yang boleh mencapai ketinggian 1–10 meter, daun berpilin, bunganya padat dan sangat kecil, kehijauan, putih krim atau merah dengan 5 kelopak buahnya membentuk kelompok padat buah berbiji merah.

Rempah Sumac dihasilkan daripada biji kering pohon Rhus coriaria, iaitu nama saintifiknya.

Khasiat Sumac Untuk Kesihatan

Rempah Sumac ini telah digunakan sejak sekian lama bukan hanya kerana warna dan rasanya yang menaikkan lagi selera dalam hidangan, tetapi juga pelbagai kelebihan sumac terhadap kesihatan.

Berikut adalah antara khasiat sumac yang telah dikaji secara saintifik.

1. Mengawal Kandungan Gula Dalam Darah

Menurut Dr. Josh Axe menerusi Dr. Axe.com, kajian telah membuktikan bahawa khasiat sumac dapat membantu mengekalkan bacaan gula normal dalam darah, serta membantu menurunkan kadar gula sehingga 13%.

Hal ini turut disokong oleh sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2014 menerusi Journal of Research in Medical Sciences, di mana ia dikatakan berpotensi mengawal kadar insulin dan menstabilkan kadar gula dalam darah.

2. Kaya Anti-Oksidan

Salah satu kelebihan sumac juga adalah kerana kandungan anti oksidannya yang tinggi berbanding kebanyakan herba dan rempah lain.

Menurut sumber, kandungan anti oksidan yang terdapat dalam sumac adalah melebihi kayu manis, oregano, acai berry serta banyak lagi buah-buahan dan sayuran lain.

3. Mengurangkan Kadar Kolesterol

Dalam sebuah kajian oleh Tehran University of Medical Sciences di Iran, antara khasiat sumac adalah, ia berupaya mengurangkan kadar kolesterol dan trigliserida.

Seperti yang kita tahu, kadar kolesterol yang terlalu tinggi dalam arteri akan membentuk sumbatan pada otot jantung hingga terpaksa bekerja lebih keras sekali gus menjadi faktor risiko terhadap penyakit jantung.

4. Digunakan Secara Tradisional Untuk Kesihatan Wanita

Sumac juga boleh dijadikan jus atau teh dan ia digunakan secara turun-temurun untuk merawat masalah kesihatan wanita, menambah susu ibu, mengurangkan kesakitan senggugut dan cramp (krem).

Ia turut digunakan secara luaran untuk mengatasi masalah discaj vagina yang berlebihan.

5. Membantu Kekuatan Tulang

Terdapat kajian mendakwa sumac berpotensi digunakan untuk meningkatkan kekuatan tulang.

Ini kerana ia mampu mencegah pereputan tulang serta menghilangkan risiko kehilangan jisim tulang.

6. Tinggi Vitamin C

Jus sumac biasa dijadikan minuman oleh orang asli Amerika untuk merawat demam, batuk dan penyakit skurvi oleh kerana sifatnya yang kaya dengan vitamin C.

7. Mengurangkan Kesakitan Otot

Dalam Hungarian Academy of Sciences, kajian mendapati bahawa jus sumac mampu mengurangkan kesakitan otot yang dialami selepas bersenam.

Disebabkan kandungan anti-oksidannya yang tinggi, ia turut membantu mengurangkan inflamasi dan memberi kelegaan kepada sesiapa yang mengambilnya secara sederhana.

CARA GUNA SUMAC

Letakkan 1 sudu teh serbuk sumac ke dalam cawan dan campurkan dengan air panas. Minum ketika suam. Juga boleh dibancuh sejuk dan boleh dicampurkan dengan madu. Minum sehari sekali pun sudah mencukupi.

Juga boleh dicampurkan ke dalam makanan seperti salad, untuk perapan daging, ayam dan sebagainya.

Rasanya masam seperti ribena, roselle dan delima.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mysihat

Lantikan Politik GLC Rasuah Yang Menjahanamkan Negara!

Lantikan Politik GLC Rasuah Yang Menjahanamkan Negara!

Negara dapat membuat penjimatan besar jika kerajaan tidak lagi melantik orang politik ke jawatan bukan eksekutif di syaikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sebenarnya boleh beroperasi secara profesional dengan kakitangan yang mahir tanpa perlu campur tangan orang politik.

GLC

Pada masa sama, syarikat GLC terbabit sememangnya berada dalam kawalan menteri dan kabinet.

Amalan yang ada sekarang sejak dahulu lagi adalah satu bentuk rasuah politik.

Tugas dan tanggungjawab ahli parlimen yang tidak menganggotai kabinet ialah menjadi penggubal undang-undang sepenuh masa.

Dan disitulah sebenarnya kerja hakiki ahli politik, bukannya menguruskan LRT, sebagai contoh.

Dalam setiap GLC sudah ada pegawai eksekutif yang dibayar gaji tinggi untuk menjalankan operasi syarikat terbabit dan tidak ada keperluan menambah beban kewangan entiti itu dengan melantik orang politik.

Bayangkan berapa bilion ringgit dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya jawatan-jawatan bukan eksekutif ini dilupuskan?

Sebagai contoh dan perbandingan paling ketara, bagaimana suatu ketika dahulu syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mampu mencatatkan keuntungan, sedangkan MAS merekodkan ratusan juta kerugian setiap tahun?

Keadaan ini berlaku kerana MAS terpaksa membayar emolumen yang sangat tinggi kepada ahli politik yang dilantik sebagai lembaga pengarah, sehingga mencatat kerugian berpanjangan.

Menjarah GLC

Jawatan pengerusi bukan eksekutif sewajibnya dilupuskan kepada banyak lagi GLC lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Felcra, Felda, Risda, Lembaga Tabung Haji, Syarikat Perumahan Negara, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi.

Biarkan orang profesional yang layak, bermerit dan berintegriti menjalankan operasi GLC tersebut.

Bukannya ahli politik yang sememangnya tidak boleh dipercayai dan tidak amanah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, May 27, 2021

'Lockdown' 2 Bulan Rahsia Wuhan Bebas Covid-19!

'Lockdown' 2 Bulan Rahsia Wuhan Bebas Covid-19!

Pada lewat bulan Disember 2019, pihak berkuasa kesihatan di Wuhan, China mengesan sejumlah kes penyakit paru-paru dikalangan penduduk dengan kebanyakan daripada mereka mempunyai sejarah berkunjung ke Pasar Makanan Laut Huanan di ibu negeri wilayah Hubei.

Wuhan

Penyakit paru-paru itu kemudiannya dikenali sebagai Covid-19 dan Wuhan merupakan bandar raya pertama di dunia yang melaporkan tentang kewujudan pandemik tersebut dan pada 19 Februari 2020, sebanyak 44,412 kes jangkitan pandemik itu dilaporkan di Wuhan dan 74,280 kes jangkitan itu berlaku di China.

Pada tarikh itu, angka kematian yang dicatatkan di Wuhan ialah 1,497 orang manakala di China ialah 2,009 orang sebelum ia mencatatkan lebih 50,000 kes keseluruhan dan lebih 46,000 kes sembuh serta hampir 4,000 kematian akibat Covid-19 sehingga Mei 2021.

Pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memutuskan bahawa virus Covid-19 mungkin berjangkit dari haiwan kepada seorang manusia sebelum tersebar di Wuhan dan berlakunya wabak di pasar Huanan di bandar raya tersebut serta menjadi pandemik di hampir kebanyakan negara di dunia.

Sebelum ini, para penyelidik pandemik itu termasuk dari Akademi Perubatan Sains Shandong di China berkata, analisis mereka mendapati kelawar mungkin menjadi perumah asal virus Covid-19.

Menurut para penyelidik itu, haiwan-haiwan hidupan liar di Pasar Makanan Laut Huanan kemungkinan menjadi haiwan perantara yang menyebabkan virus Covid-19 itu tersebar kepada manusia.

Namun persoalannya, bagaimana ketika banyak negara lain masih bergelut dengan peningkatan kes Covid-19, malah sudah bersilih kali melakukan lockdown, Wuhan bukan sahaja pulih daripada penularan pandemik Covid-19, bahkan cuma mencatatkan satu kes sahaja dari 6 hingga 19 Mei 2021.

Mengimbau kembali kronologi Covid-19 di Wuhan, berikutan kes positif yang semakin meningkat pada tahun 2020, pihak berkuasa negeri itu melaksanakan 'lockdown' bermula pada 23 Januari 2020 sebelum berakhir pada 8 April 2020 iaitu selama lebih dua bulan.

Ia merupakan 'lockdown' pertama dilaksanakan di dunia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pergerakan penduduk keluar ke bandar raya-bandar raya lain disekat manakala pengangkutan awam seperti bas dan tren bawah tanah dilarang beroperasi manakala penerbangan, perkhidmatan kereta api serta bas jarak jauh tidak dibenarkan semasa pelaksanaan 'lockdown' itu.

Sambutan Tahun Baharu Cina dan keraian melibatkan perhimpunan orang ramai dibatalkan manakala mengembara ke luar negara untuk tujuan melancong serta penjualan tiket penerbangan termasuk tempahan hotel dilarang dilakukan semasa perintah 'lockdown' itu dikuatkuasakan.

Lebih banyak hospital didirikan oleh pemerintah China untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 manakala ribuan penduduk dikuarantin di hospital-hospital baharu dan ribuan kakitangan perubatan di seluruh negara datang ke Wuhan serta di beberapa bandar raya lain di wilayah Hubei untuk menghulurkan bantuan.

Menurut artikel dalam Global Health Research and Policy, banyak garis panduan bagi menghalang penularan Covid-19 turut dikeluarkan antaranya ialah kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka dan memakai gogal merupakan cara efektif untuk mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

Penduduk juga tidak dibenarkan untuk keluar menemui komuniti lain dan mereka mematuhi larangan tersebut manakala menurut portal berita RT, kebanyakan perniagaan tempatan dan kilang turut ditutup bagi menghalang penularan Covid-19.

Perintah 'lockdowan' itu ditarik balik pada 8 April manakala tiada kes baharu Covid dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan sehinggalah buat pertama kalinya pada 18 Mac 2020.

Selepas 'lockdown' ditarik balik, langkah-langkah pencegahan penularan pandemik itu dibuat di stesen-stesen pengangkutan awam apabila kakitangan-kakitangannya memakai pakaian pelindung diri yang kebanyakannya berwarna putih.

Sebahagian penumpang dilihat memakai dua pelitup muka, sarung tangan dan pakaian pelindung diri selain diwajibkan menunjukkan kod hijau pada aplikasi di telefon bimbit bagi membuktikan mereka benar-benar sihat.

Semua itu berlaku sebelum China meluluskan vaksin pertamanya, Sinopharm untuk kegunaan penduduk negara itu pada 30 Disember 2020 dan menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sehingga 1 Mei 2021, lebih 265 juta daripada 1.4 bilion penduduknya (hampir 20 peratus) sudah menerima suntikan vaksin keluaran syarikat ubat-ubatan negaranya.

Menurut agensi berita Xinhua, berdasarkan laporan biro statistik Wuhan, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2021, Keluaran Produk Domestik bandar raya itu kini sudah mencapai kira-kira AS$55 bilion (RM228.03 bilion).

Ekonomi bandar raya itu telah berkembang sebanyak 58.4 peratus pada suku pertama iaitu setahun selepas ekonominya terjejas disebabkan oleh Covid-19.

China telah berjaya mengawal pandemik itu menerusi 'lockdown' dan kawalan sempadan sejak pertengahan tahun 2020 lalu dengan hanya 17 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan pengembara yang menjalani kuarantin.

Malah, ketika Wuhan dilanda kes menggila Covid-19 dan menjadi negara paling tinggi kes pembunuh itu pada Mac tahun 2020, selepas setahun semuanya sudah berubah sama sekali.

Peliknya, walaupun mempunyai 1.4 bilion penduduk, pada 18 Mei 2021 lalu China cuma mencatatkan 14 kes harian.

Dan lebih mengejutkan ketika kes positif Covid-19 di Malaysia mencanak naik, China cuma mencatatkan 90,000 kes!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: sinarharian