Sunday, October 02, 2016

Cara Paling Mudah Menanam Pokok Cili

Cara Paling Mudah Menanam Pokok Cili

Ini adalah cara yang sangat mudah untuk menanam pokok cili anda sendiri dan rugi kalau anda tidak mencubanya sendiri.

Tanam cili

Bukan itu sahaja dengan menggunakan kaedah ini anda juga boleh mendapat banyak pokok cili. Jom kita lihat langkah-langkahnya.

1. Langkah Pertama

Tanam cili

Pertama sekali ambil dua biji cili padi. ( Terpulang pada jenis cili yang anda nak guna). Kami guna cili padi sebab stok di rumah memang suka guna cili padi buat nasi goreng.

2. Langkah Kedua

Tanam cili

Potong cili padi di bahagian tengah. Lepas tu anda nampak biji cili di dalamnya kan?

3. Langkah Ketiga

Tanam cili

Ambil biji cili ini dan taburkan di dalam pasu. Setelah dua minggu benihnya akan bercambah.

Lepas anak pokok dah besar sikit lebih kurang 3 minggu, bolehlah pindahkan ke pasu lain.

Sebaiknya satu anak pokok satu pasu. Mudah kan?

Selamat mencuba..

BACA INI JUGA: Cara Menanam Pokok Sirih

-Sentiasapanas.com

Panglima Awang Atau Ferdinand Magellan, Siapa Sebenarnya Yang Pertama Mengelilingi Dunia?

Panglima Awang Atau Ferdinand Magellan, Siapa Sebenarnya Yang Pertama Mengelilingi Dunia?

Digelar ‘penunggang monsun’ (monsoon riders) oleh pedagang-pedagang Cina, pelaut-pelaut Melayu dikatakan telah belayar jauh ke Madagascar seawal kurun ke sembilan Masihi.

Pelayaran zaman dahulu
Gambar hiasan.

Pelayaran ini berlaku kerana kempen perluasan empayar oleh kerajaan Srivijaya dan telahpun tiba di Australia lebih awal dari penerokaan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Eropah.

Sememangnya bangsa Melayu di Nusantara pernah menjadi pelaut gagah yang membangun empayar maritim yang pengaruhnya tersebar melangkaui Kepulauan Melayu.

Setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya dan kemudiannya Majapahit pada kurun ke 13 Masihi, Melaka mengambil peranan sebagai pusat kekuasaan bangsa Melayu di Nusantara.

Kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan ulung diakui oleh penulis Portugis yang mengatakan sesiapa yang menjadi Tuan di Melaka adalah penguasa di Venice, kota perdagangan terkenal di Eropah pada kurun ke 15 Masihi.

Pihak Portugis telah menjajah Melaka pada tahun 1511 dan di sinilah titik pertemuan Ferdinand Magellan dengan seorang anak Melayu, Enrique of Malacca (Henry the Black), atau lebih dikenali di dalam sastera Melayu sebagai Panglima Awang.

Sejarah telah mencatatkan Ferdinand Magellan, seorang pelayar Portugis yang berkhidmat dengan kerajaan Sepanyol adalah manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia.

Apakah ini benar?

Penjajahan Barat

Pada kurun ke 14 Masihi, Portugis dan Sepanyol muncul sebagai kuasa maritim yang terkuat di dunia, sebagaimana kedudukan Amerika Syarikat dan China pada ketika ini.

Demi mengelakkan pertelingkahan di antara kedua-dua kuasa ini, pihak Portugis dan Sepanyol memeterai Perjanjian Tordesillas 1494 yang meletakkan Amerika di bawah pengaruh Sepanyol dan Asia di bawah kekuasaan Portugis. Melaka, secara rasminya terletak di bawah pengaruh Portugis menerusi Perjanjian ini.

Pihak Portugis tiba di Melaka pada tahun 1509 dan pada awalnya diterima baik.

Namun begitu, peperangan meletus di antara Portugis dengan Melaka tidak lama kemudian menyebabkan Melaka ditawan pada tahun 1511.

Sungguhpun Melaka ditawan, kewujudan kuasa-kuasa Melayu yang lain seperti Acheh dan Johor menyebabkan pihak Portugis tidak berani keluar melewati benteng kota A’Famosa bagi menguasai seluruh Semenanjung Melayu, sepertimana pihak Portugis menguasai Brazil, Mozambique dan Timor-Leste.

Sewaktu kempen penerokaan ke timur ini, Ferdinand Magellan ada bersama rombongan Diego Lopez de Sequira, orang-orang Eropah yang pertama tiba di Semenanjung Melayu.

Setelah Melaka dijarah, banyak pemuda Melayu yang ditawan dan dijadikan ‘harta rampasan perang’.

Antara yang telah dijadikan ‘harta rampasan perang’ adalah Awang, yang kemudiannya dijadikan hamba abdi Ferdinand Magellan.

Catatan Antonio Pigafetta, seorang pengembara dan ilmuan berketurunan Itali, yang turut menyertai ekspedisi Magellan mengelilingi dunia ada mengatakan bahawa Enrique atau Awang, adalah pemuda yang berasal dari Pulau Sumatera.

Awang telah dibaptiskan sebagai penganut agama Katolik oleh penguasa Portugis yang menamakannya ‘Enrique’.

Lagi pula, catatan dari wasiat Magellan ada, secara tersirat menyatakan Awang berumur 18 tahun ketika di bawa pulang ke Lisbon, Portugal pada tahun 1512.

Ada pendapat yang mengatakan Awang merupakan tentera Melayu yang turut berjuang menentang Portugis sewaktu peperangan ke atas Melaka dan ada juga pandangan yang mengatakan Awang telahpun menjadi hamba Sultan Mahmud sebelum kedatangan Portugis ke Melaka.

Pengembaraan Ferdinand Magellan

Ferdinand Magellan

Sewaktu menyertai kempen menentang pihak Moors di Afrika Utara, Ferdinand Magellan telah dituduh mengamalkan rasuah dan tuduhan ini menyebabkannya tersinggung dan berpaling untuk berkhidmat dengan Raja Charles, Raja Sepanyol pada tahun 1517.

Pihak Portugis telah berjaya menguasai aliran perdagangan dari Eropah ke India langsung ke Melaka dan Pulau Timor pada tahun 1515.

Demi menguasai kepulauan rempah, Ferdinand Magellan mengusulkan kepada Raja Sepanyol bahawasanya adalah penting untuk menemukan jalan ke Kepulauan Rempah melalui jalan maritim barat menerusi Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.

Raja Sepanyol amat teruja dengan cadangan ini dan mengurniakan Ferdinand Magellan lima buah kapal dengan lebih 270 awak-awak kapal, dan salah seorang daripadanya adalah Awang.

Pengembaraan yang pertama seumpanya di dunia itu berangkat dari Pelabuhan Sancular de Barrameda pada tahun 1519 dan mereka berdepan dengan pelbagai kesulitan – kebuluran, penyakit, kemurungan, pertelingkahan dan pembunuhan sesama sendiri dan keadaan cuaca yang tidak diduga.

Kebanyakan manusia zaman kini merungut terpaksa menaiki kapal terbang moden untuk jangka masa melebihi 6 jam walaupun pesawat tersebut dilengkapi sofa empuk, makanan lazat, set hiburan dan ruangan yang nyaman serta dijamin keselamatannya.

Bayangkan sekiranya kita menyertai ekspedisi Magellan di tengah-tengah lautan jauh dari sebarang daratan selama hampir dua tahun tanpa makanan yang mencukupi di dalam kapal ekspedisi yang kecil dengan risiko berdepan kecederaan dan kematian hampir setiap hari – sesuatu yang sulit digambarkan.

Selama pelayaran ini, Ferdinand Magellan telah menjadi sangat akrab dengan Awang yang tidak lagi dianggap sebagai abdi, malah lebih sebagai seorang sahabat karib.

Wasiat Ferdinand Magellan ada meninggalkan Awang dengan sebahagian hartanya dan apabila Ferdinand Magellan meninggal, Awang hendaklah dibebaskan sebagai orang yang merdeka.

Awang juga dikatakan amat menyayangi dan setia bersama Ferdinand Magellan ke mana sahaja beliau pergi.

Setelah 18 bulan ekspedisi ini meninggalkan Sepanyol, mereka akhirnya tiba di Pulau Samar, timur Filipina pada tahun 1521.

Awang yang menyertai pelayaran ini akhirnya telah pulang ke rantau asalnya, rantau kepulauan Melayu.

Pada waktu inilah khidmat Awang amat diperlukan bukan sahaja sebagai pelaut yang hebat, tetapi juga sebagai penterjemah dan wakil Sepanyol untuk berunding dengan masyarakat, pedagang dan kerajaan tempatan.

Walaupun masyarakat di kepulauan Filipina ada bahasa daerah mereka sendiri, bahasa Melayu masih boleh difahami secara umum kerana kedudukan bahasa tersebut sebagai bahasa perdagangan pada ketika itu.

Lagi pula, kepulauan Filipina pernah menerima pengaruh dari kesultanan Melayu Brunei pimpinan Sultan Bolkiah atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Ragam, yang sewaktu itu sedang menggapai zaman kegemilangannya.

Malah, kerajaan Brunei pimpinan Sultan Bolkiah ada menubuhkan kerajaan satelitnya, Kota Saludong, yang bertempat di bandaraya Manila pada hari ini.

Dengan kehebatan diplomasi Awang berinteraksi dengan penguasa tempatan, Ferdinand Magellan akhirnya telah menjadi sahabat kepada Raja Humabon, pemerintah Cebu yang kemudiannya meminta Ferdinand Magellan untuk memerangi masyarakat orang asli di Mactan, diketuai Lapu-lapu.

Awang Telah Merdeka

Ferdinand Magellan telah dibunuh di dalam peperangan menentang Lapu-lapu dan Awang sendiri, yang berjuang bagi pihak Sepanyol tercedera dibantai pahlawan-pahlawan pimpinan Lapu-lapu seramai 1500 orang.

Pigafetta ada mencatatkan, setelah kematian Ferdinand Magellan, Awang telah mengalami kemurungan yang dahsyat dan tidak lagi ingin berkhidmat, malah lebih suka menyendiri dan berkelubung dalam selimut.

Walaupun wasiat Ferdinand Magellan ada menyatakan Awang dimerdekakan setelah kematiannya, komandan yang menggantikan Ferdinand Magellan, Duarte Barbosa enggan melakukan sedemikian dan memaksa Awang untuk terus mengabdi kepada mereka.

Menurut Awang sendiri, memandangkan Ferdinand Magellan sudah meninggal, tiada ertinya lagi untuknya mengabdi dan tiba masanya untuk dirinya bebas merdeka.

Berang atas kelakuan biadap Barbosa, Awang kemudiannya merancang untuk menghancurkan delegasi Sepanyol pimpinan Barbosa dengan kerjasama Raja Humabon.

Pigafetta mencatatkan bahawa Awang ada menyeru pihak Sepanyol untuk ke pantai menghadap Raja Humabon yang kononnya ingin menghadiahi Raja Sepanyol dengan harta dan permata.

Setelah rombongan Sepanyol tiba di pantai, tentera Raja Humabon menyerang rombongan Sepanyol ini dan ramai yang telah mati dibunuh.

Rekod rasmi Sepanyol ada menyatakan Awang telah dibunuh akan tetapi Pigafetta sendiri tidak pasti sekiranya Awang telah benar-benar dibunuh.

Awang mungkin masih hidup dan setelah itu hidup sebagai individu yang merdeka.

Portugis Atau Melayu

Walaupun Magellan mewakili Raja Sepanyol, Magellan adalah seorang berketurunan Portugis dan Awang pula adalah seorang berketurunan Melayu dari Sumatera.

Sekiranya Awang tidak terbunuh dan berjaya pulang ke Sumatera, ini bererti Awanglah orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia – dari saat dirinya ditawan di Melaka pada tahun 1511 dan di bawa ke Lisbon dan kemudiannya pulang lagi ke rantau kepulauan Melayu pada tahun 1521.

Tidak mungkin Magellan orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia kerana beliau sendiri terbunuh di Filipina dan tidak berkesempatan pulang ke Sepanyol.

Sejarah sering dicatat dan dikisahkan oleh pihak yang memenangi peperangan yang sentiasa berkeinginan mengagungkan bangsa mereka sendiri.

Tidak mungkin penguasa Eropah ingin mencatatkan Awang, atau Enrique, seorang Melayu, sebagai individu pertama yang berjaya mengelilingi dunia melebihi kehebatan bangsa mereka sendiri.

Disebabkan itu, pengiktirafan tersebut kekal bersama Ferdinand Magellan.

Persoalan sama ada orang Portugis atau orang Melayu merupakan insan pertama berjaya mengelilingi dunia – itu adalah soalan yang perlu dijawab berdasarkan tafsiran sejarah menurut sudut pandang masing-masing.

Ferdinand Magellan dan Awang secara kolektif patut diiktiraf sebagai dua manusia pertama yang berhasil mengubah sejarah dunia menerusi keberanian, kecekalan dan kehebatan mereka berkhidmat sebagai pelaut yang agung.

Kisah Panglima Awang seharusnya dijadikan sebahagian daripada sejarah kegemilangan bangsa Melayu Nusantara untuk direnungi dan dikongsi bersama, tidak kira untuk Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand mahupun negara kita sendiri, Malaysia.

Nota editor: Penulis Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan penyelidik bersekutu di Asia-Africa Legal Consultative Organization, New Delhi, India.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani

Saturday, October 01, 2016

6 Fakta Penting Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Rotavirus!

6 Fakta Penting Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Rotavirus!

Masalah kanak-kanak diserang cirit-birit adalah perkara biasa, tetapi awas kerana serangan cirit birit yang teruk mungkin petanda anak anda sebenarnya diserang jangkitan virus berbahaya yang dikenali sebagai Rotavirus.

Roda+Rotavirus

Apa itu Rotavirus? Apa punca jangkitan Rotavirus? Rotavirus mendapat namanya dari perkataan Latin rota yang bermaksud roda. Virus bahaya Rotavirus ini dinamakan sedemikian disebabkan bentuknya seperti roda.

Virus Rotavirus boleh menyebabkan suhu demam yang tinggi, cirit-birit dan juga kejang atau sakit perut yang berterusan.

Selepas dijangkiti Rotavirus, jangkitan ini biasanya mengambil jangka masa dua hari sebelum timbul gejala kepada kanak-kanak terbabit.

Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak kecil, anda hendaklah memahami tentang bahaya Rotavirus supaya tindakan segera boleh diambil sekiranya anak diserang virus berbahaya Rotavirus yang boleh membawa maut ini.

1. Siapa Yang Berisiko Mendapat Serangan Rotavirus?

Hampir setiap kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mungkin pernah mengalami jangkitan virus Rotavirus ini dan lebih di kalangan usia tiga bulan hingga dua tahun. Jangkitan Rotavirus boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan sampel najis.

Ada lima jenis Rotavirus tetapi Rotavirus A ialah penyebab utama sakit di kalangan kanak kanak.

Biasanya, setiap kali selepas terkena jangkitan Rotavirus, kanak-kanak terbabit mendapat imuniti. Oleh itu, kanak-kanak yang mendapat jangkitan Rotavirus tersebut untuk kali kedua mengalami kesan yang kurang daripada jangkitan Rotavirus kali pertama.

2. Apakah Gejala Yang Akan Dihadapi Oleh Pesakit Yang Dijangkiti Rotavirus?

Gejala Rotavirus adalah dehidrasi seperti letih, lesu, bibir dan lidah kering, tiada air mata ketika kanak-kanak menangis, cengkung kedua mata, ubun-ubun mencengkung ke dalam (pada bayi kecil) dan kekurangan air kencing.

3. Apa Kesan Serangan Rotavirus?

Masalah utama jangkitan Rotavirus ini ialah, ia boleh menyebabkan pesakit mendapat penyahidratan (kehilangan cecair atau bendalir badan) atau dehidrasi yang teruk sehingga menyebabkan kerosakan pada organ dalaman seperti buah pinggang.

Jika penyahidratan ini tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut disebabkan komplikasi kegagalan buah pinggang.

4. Bagaimana Cara Penyebaran Rotavirus?

Cara penyebaran rotavirus adalah melalui feco oral iaitu virus merebak melalui pendedahan daripada najis ke mulut kanak-kanak lain.

Sebagai contoh, ia berlaku jika seseorang menukar lampin bayi, terkena najis yang mengandungi Rotavirus pada tangan dan tidak membasuh tangan lalu memegang peralatan, permukaan atau makanan.

Sekiranya kanak-kanak lain menyentuh peralatan atau permukaan tersebut dengan tangannya dan selepas itu tangannya di masukkan ke dalam mulut, Rotavirus tersebut tersebar kepada kanak kanak itu.

Rotavirus boleh merebak melalui tangan, mainan kanak-kanak atau objek di persekitaran tercemar, pengambilan makanan atau minuman tercemar dan sentuhan pada permukaan tercemar.

Mereka yang mengendalikan lampin bayi perlu mencuci tangan selepas menukarnya manakala mainan kanak kanak serta peralatan di sekitarnya perlu sentiasa bersih dari Rotavirus.

5. Apakah Jenis Rawatan Yang Diperlukan Untuk Merawat Rotavirus?

Di Malaysia, jangkitan rotavirus adalah punca cirit-birit utama yang menyebabkan kanak-kanak memerlukan rawatan hospital dalam bentuk rawatan transfusi (memasukkan) air melalui saluran darah (intravena).

Kira kira 25 sehingga 50 peratus kes cirit-birit yang memerlukan kemasukkan wad berpunca dari Rotavirus.

Tiada rawatan khusus untuk membunuh Rotavirus tersebut dan rawatan lebih penting dalam memastikan pesakit yang mengalami sakit ini adalah mempunyai kandungan air yang mencukupi dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi (kehilangan air dan garam galian yang teruk menerusi muntah dan cirit).

Untuk menpercepatkan penyembuhan anak daripada jangkitan Rotavirus, pastikan ibu bapa memberi anak minum air menggunakan sudu atau cawan sekerap mungkin jika muntah.

Selain itu, doktor akan memberikan rumusan minuman air garam (ORS) untuk mengelakkan dehidrasi.

Sekiranya mengalami dehidrasi yang teruk, pesakit Rotavirus memerlukan rawatan hospital dengan memberikan cecair melalui intravena.

6. Apakah Langkah Terbaik Mengelakkan Rotavirus?

Jangkitan Rotavirus sukar dibasmi sepenuhnya kerana mudah merebak. Beberapa kaedah pengawalan Rotavirus adalah pembasmian kuman di tempat permainan atau nurseri dengan kerap dan amalan kebersihan diri dengan mencuci tangan selepas menukar lampin atau pergi ke tandas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO) menyarankan pelalian imunisasi Rotavirus sebagai satu strategi pencegahan terhadap punca dan jangkitan Rotavirus.

Di Malaysia, walaupun tidak terdapat di dalam program imunisasi kebangsaan, vaksinasi terhadap jangkitan Rotavirus ini masih boleh di dapati di klinik atau hospital swasta.

Vaksinasi Rotavirus dalam bentuk cecair yang perlu diminum boleh diberi pada bayi seawal usia enam minggu. Terdapat dua jenis vaksin dalam pasaran iaitu pengambilan dua atau tiga dos.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Awas! Bahaya Penyakit Akibat Cakaran Kucing

Sumber: majalahpama

10 Tanda-tanda Lelaki Mungkin Menghidap Kanser

10 Tanda-tanda Lelaki Mungkin Menghidap Kanser

Kebanyakan lelaki sememangnya sering mengabaikan hal-hal kesihatan. Selain malas, mungkin rasa malu nak buat ujian kesihatan, tapi bila sudah mula jatuh sakit barulah kelam kabut nak berjumpa dengan doktor.

Kanser

Walaupun penyakit kanser boleh dikesan dengan lebih awal melalui pemeriksaan doktor dan lebih sinonim dengan golongan wanita, lelaki juga sebenarnya berisiko menghidap penyakit maut ini.

Sekali sekala buatlah pemeriksaan lebih awal secara berkala supaya kanser dapat dicegah dari peringkat permulaan.

Ini adalah 10 tanda-tanda kanser pada lelaki yang sama sekali anda tak boleh pandang ringan.

1. Ketulan yang tidak normal

Kanser prostat

Sama juga seperti kanser payudara, jika terdapat ketulan yang abnormal pada badan, cepat-cepatlah buat pemeriksaan.

Begitu juga dengan kanser prostat. Ketulan abnormal ini selalunya akan timbul dalam payudara, buah zakar, nodus limfa dan tisu lembut, seperti tendon dan ligamen.

2. Perubahan dalam buah zakar

Kanser prostat

Periksa sama ada buah zakar anda besar sebelah atau kedua-duanya membesar. Sila rujuk doktor secepat mungkin. Kanser testis adalah yang paling biasa di kalangan lelaki muda dan pertengahan umur.

3. Perubahan tabiat ke tandas

Kanser prostat

Tiba-tiba anda terlalu kerap ke tandas atau sakit semasa membuang air. Ini juga adalah antara tanda-tanda kanser pundi kencing atau prostat. Malah anda mungkin mengalami sembelit atau cirit-birit dalam masa yang lama.

4. Perubahan kulit

Perubahan Kulit

Perubahan kulit seperti kulit bersisik, luka yang berterusan atau tahi lalat yang berubah warna, saiz atau bentuknya yang berubah secara tiba-tiba.

5. Senak atau masalah menelan

Senak+Perut

Jangan beranggapan masalah senak atau rasa susah hendak menelan adalah perkara biasa. Mesti ada yang fikir gastrik atau makan makanan pedas. Jangan terkejut, ia mungkin tanda kanser esophageal, perut atau kanser tekak.

6. Batuk yang berterusan atau serak

Batuk

Batuk yang berterusan selama lebih dari 3 minggu hingga suara menjadi serak dan pedih tekak. Tak kisahlah sama ada anda merokok atau tidak. Ia juga boleh menjadi tanda kanser paru-paru. Segeralah membuat pemeriksaan doktor.

7. Perubahan dalam mulut

Lidah

Jika anda merokok sila perhatikan di dalam mulut dan lidah. Tompok putih dalam mulut atau lidah mungkin juga tanda kanser.

Jika tidak dirawat lebih awal, ianya mungkin akan menjadi kanser mulut. Kadang-kala ada yang mengalami pendarahan atau kebas.

8. Penurunan berat badan

Turun Berat Badan

Jika berat badan anda tiba-tiba turun secara mendadak, sila periksa segera dengan doktor kerana kemungkinan ia adalah tanda-tanda kanser pankreas, perut, esofagus atau kanser paru-paru.

9. Keletihan yang berterusan

Letih

Walaupun bermain sekejap dengan anak-anak, anda akan berasa cepat letih dan tidak bertenaga. Keletihan yang berterusan boleh menjadi tanda leukemia serta kanser kolon dan kanser perut.

10. Sakit yang berterusan

Sakit

Bila anda sakit secara berterusan sehingga anda sendiri selalu mengeluh, sila segera ke hospital untuk membuat pemeriksaan doktor. Bagi si isteri paksa suami korang buat pemeriksaan segera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: MSS

Misteri Puaka Banglo Minxiong

Misteri Puaka Banglo Minxiong

Banglo Minxiong telah ditinggalkan tidak berpenghuni sejak tahun 1950-an, rumah agam tiga tingkat dengan seni bina gaya Sepanyol itu dibina pada tahun 1929 dan dimiliki oleh keluarga Liu yang kaya-raya.

Banglo Minxiong

Dan dalam remang-remang senja, rumah agam Banglo Minxiong berbata merah yang tersergam berdiri di sebalik semak-samun dan tumbuhan menjalar itu sudah cukup membuatkan sesiapa yang melihatnya berasa seram.

Ditambah dengan akar-akar pokok besar yang melitupi bahagian dinding dan menerobos setiap pintu serta tingkapnya, rumah itu sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian misteri dan mistik.

Tidak hairanlah banglo yang terletak di Minxiong, Chiayi, Taiwan ini cukup dikenali dengan nama Rumah Berhantu Minxiong di kalangan masyarakat tempatan.

Diceritakan, pemilik rumah yang juga tuan tanah, Liu Rong-yu menggaji ramai pekerja daripada tukang kebun sehinggalah pembantu rumah untuk membantu menguruskan rumah tersebut.

Banglo Minxiong

Rong-yu jatuh cinta dengan salah seorang pembantu rumahnya dan menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuan isteri serta tujuh orang anaknya.

Pun begitu, hubungan mereka akhirnya dapat dihidu si isteri yang kemudian membalas dendam dengan mendera serta memaksa pembantu rumah itu melakukan kerja-kerja berat setiap kali Rong-yu tiada di rumah.

Tidak tahan dengan seksaan si isteri, pembantu rumah malang itu mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun ke dalam perigi yang terletak di kawasan halaman rumah.

Penyakit misteri

Banglo Minxiong

Menurut cakap-cakap masyarakat tempatan, sejak tragedi itu, keluarga Liu tidak dapat hidup dalam suasana harmoni kerana sering diganggu roh pembantu rumah tersebut.

Kononnya, setiap malam, Rong-yu dan isterinya diganggu sehingga mereka sukar untuk melelapkan mata. Gangguan itu berlarutan dan semakin teruk sehingga memaksa keluarga Liu berpindah keluar daripada rumah agam tersebut.

Diceritakan lagi, nasib malang terus menghantui keluarga Liu meskipun mereka telah berpindah jauh dari situ.

Lebih menakutkan, seorang demi seorang ahli keluarga Liu mati sama ada dilanggar kereta, terbabit dalam kemalangan jalan raya atau menderita penyakit misteri.

Terdapat versi lain yang mengatakan selepas keluarga Liu meninggalkan rumah agam tersebut, ia menjadi lokasi perlindungan sementara buat sekumpulan tentera.

Pun begitu, seorang demi seorang jatuh sakit dan meninggal dunia akibat penyakit misteri. Ada juga di antara mereka yang nekad membunuh diri kerana tidak tahan menanggung kesakitan yang dialami.

Kehadiran roh-roh yang tidak tenang menambah seram kepada rumah agam itu sehingga ia diberi jolokan Rumah Berhantu Minxiong dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kabus putih

Banglo Minxiong

Selain itu, banyak kejadian misteri dan insiden tragik menghantui rumah agam itu sejak ia ditinggalkan tidak berpenghuni.

Ada penduduk setempat mendakwa, mereka akan terdengar bunyi lolongan dan suara mersik tangisan disertai hilai ketawa di sekitar kawasan rumah agam berkenaan.

“Tiada sesiapa berani menghampiri apatah lagi masuk ke kediaman terbiar itu. Kemunculan kabus atau kepulan asap putih setiap kali tiba waktu senja juga membuatkan orang ramai takut untuk melalui kawasan ini pada waktu malam,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Li Shan seperti dipetik portal China Post.

Kini, selepas lebih 65 tahun, Rumah Berhantu Minxiong menjadi salah satu tarikan pelancong ke Chiayi, malah sebuah kafe dipanggil Kedai Kopi Berhantu dibuka di dalam kawasan rumah agam itu.

“Lokasi ini sangat digemari orang muda khususnya pelajar kolej. Mereka yang datang ke sini boleh singgah berehat minum kopi sambil melihat kawasan sekitar,” ujar Li Shan.

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Berlian 'The Heart of The Ocean' Yang Berpuaka

Sumber: Kosmo

Samsung Galaxy 7 Edge Dinobatkan Smartphone Terbaik 2016

Samsung Galaxy 7 Edge Dinobatkan Smartphone Terbaik 2016

Syarikat telekomunikasi Samsung nampaknya tetap unggul dalam sebuah anugerah teknologi dimana Samsung Galaxy S7 Edge dinobatkan sebagai Telefon Pintar Terbaik untuk tahun 2016.

Samsung Galaxy 7 Edge

Majlis anjuran majalah teknologi terkemuka T3 diadakan di London dan melihat Samsung membawa pulang beberapa trofi lain.

Ia termasuk anugerah Jenama Terbaik dan Teknologi Boleh Pakai (Wearable Technology) untuk jam pintar Gear S2.

Apple tidak pulang dengan tangan kosong apabila iPhone dinamakan Gajet Terbaik Sepanjang Dekad sekaligus mengalahkan iPad, PlayStation 3 dan Netflix.

Pemenang lain termasuk penyanyi dan penerbit muzik Will.i.am (Personaliti Teknologi Terbaik) dan pengasas Wikipedia Jimmy Wales (Legenda Teknologi).

Majalah T3 mula diterbitkan pada 1996 dan Anugerah T3 mula dianjurkan pada 2006 dan menerima gelaran sebagai “Anugerah Oscar untuk industri teknologi”.

Sebelum ini Samsung memanggil balik 2.5 juta unit model Galaxy Note 7 susulan masalah bateri yang terbakar sewaktu mengecas.

Setakat 15 September lalu, Samsung menerima 92 laporan berhubung masalah bateri di Amerika Syarikat.

Sejumlah 26 laporan adalah berhubung kes kebakaran dan 55 laporan lagi berhubung kes kerosakan harta. [AstroAwani]

Harga iPhone 7 Bermula RM3199, Sementara iPhone 7 Plus Bermula RM3799

iPhone 7

Sementara itu, lanjutan daripada tarikh jualan iPhone 7 dan iPhone 7 Plus untuk pasaran tempatan, kini sejumlah pengedar rasmi Apple di Malaysia telah mula berkongsi harga jualan untuk kedua-dua telefon pintar berkenaan.

Di Malaysia, iPhone 7 akan dijual pada harga RM3199 (model 32GB), RM3699 untuk 128GB dan RM4199 untuk model 256GB.

Sementara iPhone 7 Plus pula dijual pada harga bermula RM3799 untuk model 32GB, RM4299 untuk model 128GB dan RM4799 untuk model 256GB. [Amanz]

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, September 30, 2016

Blog Terbaik Malaysia September 2016

Blog Terbaik Malaysia September 2016

Assalaamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan blogger dan pembaca blog diruangan blog dan blogger terbaik di Malaysia di blog ini.

Sep2016

Dengan kesibukan yang bukan alang kepalang, senarai blog terbaik bagi bulan Julai dan Ogos tidak dapat kami kongsikan.

Alhamdulillah, bagi bulan September ini, kami berjaya 'mencuri' sedikit masa untuk menyenaraikan blog dan blogger terbaik di Malaysia yang pembaca sekalian wajib kunjungi sebab banyak info dan perkongsian menarik yang mereka sajikan.

Buat rakan-rakan blogger, anda sentiasa kami jemput pada bila-bila masa untuk datang berkomentar dan pasti kami pautkan nama anda diruangan Blog Terbaik Malaysia setiap bulan.

Untuk pengetahuan rakan-rakan dan pembaca juga, genap 25 September yang baru berlalu beberapa hari ini, genaplah usia blog SENTIASAPANAS.COM 4 tahun.

Blog ini rasanya benar-benar masih mentah jika dibandingkan dengan banyak lagi blog hebat di Malaysia kan.

Kiranya usia baru nak masuk tadika tahun depan, terlalu banyak perkara lagi yang perlu dipelajari.

Dalam jejak usia setahun jagung ini juga, ketika artikel ini ditulis, blog sentiasapanas baru mampu berkongsi 8,739 artikel (termasuk artikel ini) dan paparan sebanyak 19,166,723 pageviews.

Yang pasti, blog sentiasapanas tidak akan pergi sejauh ini dalam berkongsi informasi tanpa sokongan luarbiasa dari anda semua. Tanpa anda, blog picisan ini akan hanya sekadar menjadi perhiasan di alam maya.

Kami juga sangat mengalu-alukan teguran dan sokongan daripada anda semua untuk menambah baik lagi cara perkongsian dalam melalui liku perjalanan dunia blog yang cukup mencabar.

Tegurlah jika ada yang perkara yang sepatutnya ditegur. Kami sentiasa terbuka dan berlapang dada menerima segala teguran dan nasihat.

Dan jangan lupa berkunjung ke blog sahabat dibawah tu ya.

Akhir kalam untuk tinta kali ini, salam sayang dan salam hormat yang tidak terhingga buat semua. Terima kasih.

SENARAI BLOG TERBAIK MALAYSIA SEPTEMBER 2016

1. Etuza Etuza - Madey09.blogspot.my

2. Khir Khalid - Khirkhalid.com

3. Lokman Amirul - Lokmanamirul.com

4. Hakim Mahmud - Hakimmahmud.com

5. Lokman Hakim - Penggaliilmudunia

6. Mrs A - Mrsablogstori.blogspot.my

7. Bang Ali - Anwariz.com

8. Mohd Sharifuddin Omar - Notabelajarsaya.blogspot.my

9. Nurhaziq Abdul Hafiz - Sayapejuangbahasa.blogspot.my

10. Zarul Farhana - Sayazarulfarhana.blogspot.my

BACA INI JUGA: Blog Terbaik Malaysia

-SENTIASAPANAS.COM

Bahaya Kepada Kanak-kanak, Apa itu Rotavirus?

Bahaya Kepada Kanak-kanak, Apa itu Rotavirus?

Di negara membangun, Rotavirus gastroenteritis adalah penyebab utama kematian kanak-kanak dan mengakibatkan sebanyak setengah juta kematian setiap tahun di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Rotavirus

Apa sebenarnya punca utama jangkitan Rotavirus terhadap kanak-kanak?

Rotavirus adalah sejenis virus berbahaya yang menjadi punca cirit-birit teruk terutama di kalangan kanak-kanak.

Ia bukan sahaja berjangkit di kalangan bayi, malah kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun juga berpotensi dijangkiti virus berbahaya ini.

Rotavirus amat bahaya kerana apabila menjangkiti, ia akan merosakkan sel-sel usus kecil yang mengakibatkan gastroenteritis. Ia adalah punca dan penyebab utama cirit-birit dehidrasi yang teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Rotavirus tidak memilih mangsa dan tempat untuk dijangkiti walaupun berada di tempat dengan air bersih dan sanitasi yang baik.

Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus menjelang usia lima tahun.

Kajian terkini menunjukkan bahawa 86.1 peratus daripada punca kes gastroenteritis rotavirus berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 35 bulan.

Mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi sahaja adalah tidak mencukupi untuk mencegah jangkitan dan bahaya rotavirus.

Namun demikian, vaksin rotavirus telah didapati paling berkesan dan selamat dalam pencegahan jangkitan rotavirus di kalangan kanak-kanak.

Ibubapa di Malaysia perlu membuat pertimbangan untuk memvaksinkan bayi mereka terutama bayi yang berumur kurang dari enam bulan dengan vaksin rotavirus untuk melindungi mereka daripada sebarang bahaya rotavirus dan mengelakkan jangkitan.

Tanda-tanda, Bahaya Dan Simptom Jangkitan Rotavirus

Adalah sukar untuk membezakan cirit-birit yang disebabkan oleh rotavirus dengan yang disebabkan oleh jangkitan lain.

Perbezaan ini sukar dikenalpasti kerana simptomnya mungkin sama. Walau bagaimanapun, simptom jangkitan rotavirus selalunya lebih bahaya dan serius daripada cirit-birit akibat jangkitan lain.

Antara simptom jangkitan yang boleh dikenalpasti adalah muntah yang berlanjutan sehingga lapan hari, cirit-birit yang teruk melebihi sepuluh hari, sakit pada bahagian abdomen dan demam yang berlarutan.

Cirit-birit yang berlanjutan sehingga tiga minggu dan muntah secara kerap boleh menyebabkan dehidrasi iaitu kehilangan cecair dalam badan.

Jika keadaan ini tidak dirawat, dehidrasi yang teruk boleh membahayakan kerana akan mengakibatkan kerosakan organ, kejutan malah kematian di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak boleh menyebarkan rotavirus sebelum dan selepas mereka jatuh sakit. Demikian pencegahan dan perlindungan dari ibu bapa dapat mengelak bahaya virus rotavirus ini menjangkiti mereka.

Langkah-langkah Pencegahan Rotavirus

Pembasmian kuman pada alat permainan dengan kerap dan mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik iaitu mencuci tangan sebelum mengendalikan makanan, selepas menggunakan tandas dan selepas menyentuh permukaan yang tercemar.

Ibu bapa juga dinasihatkan mengambil pelalian rotavirus kerana kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus mengumuh 100 billion partikel virus setiap gram najis dan hanya 10 partikel rotavirus yang berbahaya dan berjangkit sudah cukup menyebabkan berlaku jangkitan.

Walaupun amalan kebersihan diri yang baik merupakan langkah pencegahan yang lazim, kesannya adalah terhad untuk mencegah penyebaran rotavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pelalian rotavirus sebagai sebahagian daripada program imunisasi bayi kerana ia merupakan strategi pencegahan terbaik terhadap bahaya jangkitan rotavirus.

BACA INI JUGA: 14 Suntikan Pelalian Yang Wajib Untuk Anak Anda

Sumber: Utusan

Kisah Sebenar Dr Azizan Osman, Pakar Motivasi Yang Guna Gelaran PHD Palsu!

Kisah Sebenar Dr Azizan Osman, Pakar Motivasi Yang Guna Gelaran PHD Palsu!

Isu mengenai keraguan gelaran Doktor Falsafah (PHD) Azizan Osman sebenarnya adalah isu lama sejak tahun 2013 lagi.

Azizan Osman

Pada tahun itu, Azizan Osman menyatakan bahawa dia memegang sebuah PHD disalah sebuah Universiti Gordon, Florida dalam bidang Metafizik dalam biodata miliknya pada tahun itu.

Menjelang populariti Azizan Osman selaku pakar motivasi pada tahun tersebut, ramai cuba menjatuhkannya dengan mencari kesalahan Azizan Osman.

Antara kesalahan yang dititik beratkan adalah isu gelaran doktor falsafah palsu Azizan Osman.

Azizan juga gagal menunjukkan bukti thesis yang dilakukannya untuk mendapatkan PHD, dan isu doktor palsu ini dibangkitkan semula pada hari ini menerusi penafian rasmi Universiti Malaya.

Penafian Universiti Malaya Azizan Osman Pegang Gelaran PHD

Sebuah blog perniagaan bahasa Inggeris pernah menyatakan kejayaan usahawan dan pakar motivasi Azizan Osman sehingga beliau mendapat PHD di Universiti Malaya dalam bidang pengurusan dan keusahawanan.

Sebuah portal rasmi Azizan Osman iaiti iRichWork turut menyatakan Azizan merupakan pemegang PHD dalam jurusan keusahawanan menerusi ruangan biodata di portal terbabit.

Namun, facebook rasmi Universiti Malaya pada 29 September 2016 mendafikan dakwaan tersebut.

Tambah kenyataan UM, Universiti Malaya (UM) ingin menarik perhatian umum berhubung status Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan yang didakwa dianugerahkan oleh pihak UM kepada Encik Azizan Osman sepertimana yang dibangkitkan di laman-laman media sosial.

Azizan Osman

"Pihak Universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman. Semoga penjelasan ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut."

Kenapa Ramai Menipu Untuk Dapatkan Gelaran PHD?

Tahukah anda, bahawa ahli perniagaan kebiasaanya mendapatkan gelaran doktor falsafah hanya untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan.

Lagipun, nama lebih gah dan komersial serta disanjung tinggi jika ada gelaran Dr terpampang didepan nama.

Menurut pelajar dan pemegang PHD dinegara ini, penipuan ambil PHD adalah kesalahan besar. Tambah mereka, bukan mudah nak ambil PHD tapi Azizan Osman senang lenang petik gelaran Dr dan letakkan pada namanya.

Ini jelas adalah kesalahan besar. Azizan Osman adalah seorang pakar motivasi dan usahawan yang kaya dan berjaya namun isu tipu PHD tidak boleh diterima akal.

Ini bukan kes pertama Azizan Osman menipu PHD untuk mendapatkan gelaran Doktor. Terdahulu, Azizan Osman pernah mendakwa beliau mempunyai PHD di Kuala Lumpur Infrastucture Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM).

Namun sehingga sekarang tiada sebarang bukti pun mendedahkan bahawa beliau memegang mana-mana gelaran PHD pada ketika ini.

Penyalahgunaan Gelaran Dr Falsafah Oleh Azizan Osman

Azizan Osman

Azizan Osman juga telah salah gunakan gelaran Doktor Falsafah (Dr) dengan menjadi penceramah akademik di Melaka baru-baru ini.

Foto diatas menunjukkan Azizan Osman menggunakan gelaran Dr Falsafah secara terbuka walaupun dia tidak memiliki sebarang PHD. -melvister

Siapa Azizan Osman?

Azizan Osman

Berikut merupakan penjelasan mengenai biodata siapa Dr Azizan Osman yang kami petik terus dari laman web beliau.

Azizan merupakan penulis buku terlaris Magnet Kekayaan & Kejayaan, Kuasai Pemasaran Rahsia Menarik Pelanggan, 21 Formula Hidup Luar Biasa, Kenapa Saya Mahu Anda Berjaya dan bekerjasama menulis buku Beat The Curve dengan perunding motivasi bertaraf dunia, Brian Tracy yang dilancarkan di Amerika Syarikat pada Januari 2016.

Pengalaman luas beliau di dalam perniagaan, pemasaran, pengiklanan serta keusahawanan bukan sekadar terbukti berjaya membangunkan organisasi beliau sahaja, malah pengalaman itu dijadikan ilmu untuk dikongsikan bersama orang ramai di dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan usahawan di Malaysia sejak 2008.

Sebagai pencetus fenomena baru keusahawanan terutamanya dalam kalangan bumiputera, seminar beliau yang dihadiri lebih 650,000 peserta dalam tempoh 7 tahun terbukti berjaya melahirkan ribuan usahawan dan ramai kini mencapai tahap jutawan.

Fenomena ini kian membesar selepas semakin ramai yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan, pelaburan dan mempelajari ilmu membina kejayaan di dalam kehidupan serta meningkatkan tahap kewangan.

Seminar anjuran beliau di bawah syarikat Richworks International pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penganjur seminar motivasi terbesar di Malaysia.

Azizan juga adalah Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan untuk Kumpulan Syarikat Richworks.

Beliau berpengalaman di dalam industri pengiklanan dan perunding strategi pemasaran sejak 2001 serta mengetuai pengurusan portfolio kempen pemasaran bagi organisasi gergasi termasuk TM, DiGi, Celcom, HSBC, Standard Chartered dan WWF.

Beliau turut terlibat di dalam program pembangunan dan latihan ramai usahawan di dalam organisasi beliau sebelum membuat keputusan untuk membina agensi pengiklanan berakreditasi 4A iaitu ABC Mediaworks Sdn Bhd (sebuah syarikat kumpulan Richworks) bermula tahun 2008.

Selain industri pengiklanan dan pemasaran, Richworks juga terlibat di dalam bidang pelaburan hartanah, perundingan perkhidmatan korporat, pendidikan dan latihan keusahawanan serta mewujudkan sebuah kolej pendidikan dan latihan keusahawanan bertaraf diploma dan ijazah untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Beliau tidak percaya terhadap persepsi membina perniagaan yang berjaya memerlukan kelulusan tinggi kerana baginya yang bermula dari bawah, ia belum menjamin mampu membina perniagaan yang berjaya.

Beliau sendiri bermula dari bawah dan kini berjaya membina perniagaan sehingga mencapai status jutawan pada 2006.

Namun beliau sangat percaya dengan pembelajaran sepanjang hayat dan sangat menggalakkan semua anak didiknya untuk menuntut ilmu kerana beliau yakin semakin tinggi ilmu yang kita ada, semakin tinggi tahap kejayaan yang boleh dicapai. -Azizanosman

Memiliki sijil palsu bukanlah satu jenayah!

Fake PHD

Pada tahun 2013, MP Serdang, Ong Kian Ming bertanyakan akan usaha yang dibuat kerajaan kepada pemegang sijil palsu.

Dan ini jawapan daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Kalau dia nak gantung ijazah tu kat rumah dan tayang, buat kegunaan peribadi, apa boleh kita buat? Kalau kita nak ambil tindakan kita kena tulis undang-undang baru.” – Datuk Seri Shahidan Kassim, dipetik oleh The Malay Mail Online.

Setakat ni, mana-mana penjawat am yang ditangkap memiliki sijil palsu akan dipecat serta-merta. Tapi selain daripada itu, kita TIADA sebarang undang-undang berkenaan pemegang sijil palsu.

Setakat ini, komuniti akademik di Malaysia masih tiada sebarang cara untuk menentukan samada satu-satu sijil itu sah atau tidak.
“Dalam kes ini, komuniti akademik bergantung kepada prinsip ‘mempercayai’ tentang ketulenan ijazah seseorang dan apa yang mereka nyatakan dalam resume masing-masing.” – Concerned Civil Servant, lapor MalaysiaKini.

AsiaOne mencadangkan dua cara paling selamat iaitu dengan menelefon universiti dan tanya dua benda:
  • Samada dia betul-betul belajar di universiti tersebut atau tidak.
  • Samada dia berjaya graduate atau tidak.

Tambah The Guardian, sijil palsu boleh menghancurkan kerjaya dan hidup peribadi pemegang sijil itu sendiri:
“Kesemua pakar industri bersetuju yang memalsukan pencapaian akademik ni bagaikan bom yang sedang berdetik, tak tahu bila ia akan meletup. Ia mungkin berlaku bila anda mula-mula mengaku akan kelayakan tersebut, atau ia mungkin memakan masa bertahun-tahun sebelum ianya meletup di muka – musnah bersama kekayaan dan reputasi anda.” –Kolumnis David Williams, The Guardian.

Akhir kata, guna sijil palsu mungkin boleh mendapatkan anda kerja bila terdesak. Tapi untuk jangka masa panjang, adakah berbaloi?

Pilihan di tangan sendiri.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Awasilah Perkataan Yang Sekalipun Benar Namun Kalian Tidak Diberi Ganjaran Pahala

Awasilah Perkataan Yang Sekalipun Benar Namun Kalian Tidak Diberi Ganjaran Pahala

Buruk sangka (su'u dzan) adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (buruk/tercela). Manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati manusia.

Buruk sangka

Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu yang menyebabkan si pelaku itu berasa puas.

Ia adalah suatu penyakit hati yang akan menyerang sesiapa sahaja. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang kukuh mampu mengatasi rasa buruk sangka dan mencari kesalahan orang lain ini.

Allah Ta’ala berfirman..

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”

Dalam ayat ini terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan berprasangka, kerana sebahagian tindakan berprasangka ada yang merupakan perbuatan dosa.

Dalam ayat ini juga terdapat larangan berbuat tajassus. Tajassus ialah mencari-cari kesalahan atau keburukan atau aib orang lain, yang biasanya merupakan kesan dari prasangka yang buruk.

Rasulullah SAW bersabda..

“Berhati-hatilah kalian dari tindakan berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling intip-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Amirul Mukminin Umar bin Khathab berkata, “Janganlah engkau berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan persangkaan yang baik. Dan hendaknya engkau selalu membawa perkataannya itu kepada prasangka-prasangka yang baik.”

Ibnu Kathir menyebutkan perkataan Umar di atas ketika menafsirkan sebuah ayat dalam surah Al-Hujurat.

Bakar bin Abdullah Al-Muzani berkata, “Hati-hatilah kalian terhadap perkataan yang sekalipun benar, kalian tidak diberi pahala, namun apabila kalian salah, kalian berdosa. Perkataan tersebut adalah berprasangka buruk terhadap saudaramu.”

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

Sumber: TD