Wednesday, September 28, 2016

Norsakinah Naim, Pelajar Malaysia Dilaporkan Hilang Di Perancis!

Norsakinah Naim, Pelajar Malaysia Dilaporkan Hilang Di Perancis!

Berasal dari Sungai Petani Kedah, Nur Shakinah Naim @ Nor Sakinah, 19, yang merupakan pelajar tahun pertama tajaan JPA di IUT De Rouen dan mengambil jurusan kejuruteraan kimia di Perancis dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu.

Norsakinah Naim

Norsakinah dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu dan hanya disedari oleh rakan serumahnya yang kemudian membuat laporan kehilangan di Kedutaan Malaysia di Perancis.

Rakan serumah memberitahu bapa Nur Shakinah Naim @ Nor Sakinah, Naim Awang, mereka menemui telefon bimbit anaknya itu sedang berdering dan ditinggalkan dalam biliknya, sebelum menyedari ketiadaan Norsakinah di rumah sewa mereka.

Naim memberitahu bahawa Sakinah ada menghubunginya pada Jumaat lalu tetapi panggilan tersebut terputus.

Dia ada menghubungi Norsakinah pada hari Sabtu, tetapi panggilan tersebut dijawab oleh rakan serumahnya yang memberitahu Sakinah tidak pulang kerumah.

Keluarga buat solat hajat

Norsakinah Naim

Keluarga pelajar Malaysia yang hilang di Paris sejak Jumaat lalu mengadakan solat hajat bagi memohon agar Nur Shakinah Naim @ Nor Sakinah, 19, dapat ditemui dengan selamat.

Naim Awang, berkata, rumah mereka di Tikam Batu, Sungai Petani mula dikunjungi sahabat handai, saudara-mara serta rakan-rakan Nur Shakinah Naim @ Nor Sakinah yang mula datang bagi mengetahui perkembangan terbaru berhubung kehilangan anaknya itu.

Naim berkata beliau mendapat tahu mengenai perkara tersebut apabila dihubungi Kedutaan Malaysia di Paris yang memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu.

Kali terakhir Nur Shakinah Naim @ Nor Sakinah menghubungi mereka adalah pada 23 September dan beliau tidak menunjukkan tanda-tanda pelik ketika berbual dengan ibunya.

"Malah kedengaran suaranya sangat ceria dan tidak menunjukkan yang dia ada masalah. Dia anak yang sangat baik dan pintar dalam pelajaran," katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula, Tikam Batu memperoleh 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.

Keluarga pelajar Malaysia yang hilang di Paris sejak Jumaat lalu mengadakan solat hajat malam ini bagi memohon agar Nur Shakinah Naim @ Nor Sakinah, 19, dapat ditemui dengan selamat.

BACA INI JUGA: Misteri 5 Beradik 'Ghaib' Dalam Kebakaran!

Sumber: Mynewshub | SH

FAST Teleskop Radio Terbesar Di Dunia, Misi Mencari Makhluk Asing!

FAST Teleskop Radio Terbesar Di Dunia, Misi Mencari Makhluk Asing!

Teleskop radio terbesar di dunia memulakan operasi di barat daya China, dengan Beijing mencanangkan ia sebagai sebuah projek yang akan membantu manusia mencari kehidupan makhluk asing.

FAST

Teleskop Radio Sfera Apertur (FAST) yang ditempatkan antara bukit-bukau dan gunung-ganang di wilayah Guizhou sudah memulakan operasinya, lapor agensi berita Xinhua.

Dibina pada kos 1.2 bilion yuan (RM744 juta), teleskop itu meletakkan teleskop di Arecibo Observatory, Puerto Rico di tempat kedua sebagai teleskop radio terbesar di dunia, dengan ruang pemantul sebesar 30 padang bola sepak.

Gelombang yang dipancarkan FAST akan menjelajah angkasa lepas untuk mencari tanda-tanda kehidupan pintar, tambah laporan itu lagi.

China melihat program angkasa bernilai berbilion dolar yang dikendalikan tentera itu sebagai simbol kemajuan negara.

Ia merancang sebuah stesen orbit angkasa lepas sebelum tahun 2020 dan seterusnya mahu melancarkan misi manusia ke bulan.

Xinhua memetik Wu Xiangping, Pengarah Persatuan Astronomi China, yang berkata bahawa teleskop tersebut mempunyai darjah kepekaan yang tinggi yang 'dapat membantu mencari kehidupan asing di angkasa lepas'.

Arecibo Observatory
Arecibo Observatory, Puerto Rico.

Pembinaan FAST bermula pada 2011 dan pegawai pemerintah berjanji pada Februari untuk memindahkan 10,000 orang penduduk dalam sekitar 5 kilometer radius demi memastikan sebuah persekitaran yang lebih baik untuk pemantauan.

Pada masa lalu, China telah memindahkan beratus-ratus ribu orang untuk memberi laluan kepada projek infrastruktur mega seperti empangan dan terusan.

Teleskop itu ditempatkan di kawasan terpencil yang dihuni rakyat miskin. Xinhua melaporkan bahawa ia dipilih kerana tiada bandar besar berdekatan.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani

Tuesday, September 27, 2016

Cara Menyemak Rekod Kewangan Dan Laporan Blacklist CCRIS

Cara Menyemak Rekod Kewangan Dan Laporan Blacklist CCRIS

Bagi anda yang ada pinjaman PTPTN dan berhasrat untuk membeli rumah atau membuat pinjaman, anda wajib menyemak rekod dan laporan CCRIS terlebih dahulu. Takut ada rekod buruk yang anda tak tahu.

CCRIS Blacklist

Nanti leceh bila sampai masa nak beli rumah dan sebagainya, loan pula sangkut sebab ada masalah CCRIS.

Selain itu, yang sudah ada banyak produk kewangan (personal loan, kad kredit, loan rumah) eloklah menyemak laporan CCRIS anda setahun sekali atau beberapa bulan sebelum membeli hartanah.

Kalau ada yang tak kena tu, adalah masa untuk diperbetulkan semula supaya mudah nak dapat pembiayaan.

Kenapa Laporan CCRIS Penting?

Laporan CCRIS adalah untuk menunjukkan rekod pembayaran hutang anda pada institusi perbankan. Daripada rekod ini dapatlah diketahui samada anda adalah pembayar hutang yang baik atau tidak.

Sekiranya anda mempunyai salah satu daripada yang dinyatakan di bawah, anda sudah mempunyai rekod CCRIS.
  • Pinjaman PTPTN
  • Pembiayaan peribadi daripada bank
  • Kad kredit
  • Pembiayaan pembelian kenderaan
  • Pembiayaan perniagaan daripada bank

Daripada laporan ini, senanglah bank nak tahu samada seseorang pembayar hutang itu bagus atau tidak sebelum mereka meluluskan pinjaman kepada individu tersebut.

Bagaimana Untuk Mendapatkan Laporan CCRIS Tanpa Perlu Keluar Rumah?

Laporan CCRIS hanya boleh diperolehi melalui kiosk yang disediakan di Bank Negara dan cawangannya.

Kepada yang jauh dengan cawangan BNM atau pejabat AKPK, anda boleh menyemak laporan CCRIS menggunakan emel sahaja. Mudah dan cepat. Percuma pulak tu.

Anda boleh gunakan cara ini untuk jimatkan masa, kos bayar parking kereta, jimat petrol lagi percuma.

3 Langkah Mudah Mendapatkan Laporan CCRIS Melalui Online Secara Percuma

Dilaporkan juga bahawa ada yang sudah membayar PTPTN on-time dan tiada tunggakan tapi PTPTN gagal mengemaskini akaunnya menyebabkan rekod buruk di dalam CCRIS.

Ya, ini berlaku lebih-lebih lagi bila sistem ini baru mula diperkenalkan. Jadi, kepada yang membayar on-time pun tetap disarankan supaya memeriksa rekod CCRIS.

Caranya juga amat mudah seperti dibawah;

1. Download borang permohonan di:


2. Scan

Kad pengenalan (depan belakang dengan jelas).

Scan juga 2 (DUA) jenis dokumen sokongan yang membuktikan permohonan itu daripada pemohon. Contohnya, lesen memandu, penyata akaun bank, penyata KWSP ataupun bil utiliti.

3. Isi borang Permohonan Laporan Kredit dan Isi Borang Pengisytiharan Pinjaman

Borang ini adalah merujuk kepada pinjaman sedia ada seperti pinjaman rumah, pinjaman jual-beli, kad kredit dan sebagainya.

Muka surat pertama borang isikan maklumat peribadi. Tandatangan.

Muka surat  ketiga borang. Pastikan anda tandatangan dibahagian atas surat.

4. Untuk Mendapat Keputusan Dengan Lebih Cepat, sila..

Buat pembayaran pada akaun Maybank Credit Bureau Malaysia 5123-5260-4549 sebanyak RM10.60. RM10 untuk bayaran perkhidmatan dan RM0.60 untuk 6% GST.

Selesai siap mengisi borang, scan borang yang sudah lengkap diisi beserta resit pembayaran tadi dan emel kepada: bnmtelelink@bnm.gov.my

Dalam masa kurang daripada sejam anda akan mendapat laporan kewangan penuh, termasuk laporan CCRIS dan rating tahap kewangan anda.

Senarai Semak Untuk Permohonan Laporan Kredit (CCRIS)

CCRIS

Maklumbalas Pegawai BNM

Selepas beberapa hari, bagi pemohon yang membuat permohoan secara percuma, anda akan mendapat maklum balas daripada pihak BNM. Paling lambat pun 14 hari.

Selepas pihak BNM membalas permohonan tadi, anda perlu menelefon pihak BNM untuk mendapatkan kata laluan bagi membuktikan anda adalah pemohon sebenar dan bukannya orang lain.

CCRIS tidak akan menyenarai hitamkan individu yang membuat permohonan semakan. Jangan takut jika ada CCRIS.

CCRIS akan meyakinkan pihak bank yang anda mampu membayar ansuran dengan baik. Tidak culas.

Jika laporan CCRIS anda ada nombor lain selain nombor 0, silalah bayar tunggakan yang ada terlebih dahulu jika mahu membuat pembiayaan perumahan ataupun sebarang pembiayaan daripada pihak bank.

Semua Peminjam PTPTN Disenaraikan Di Dalam CCRIS

Sekarang ini, semua peminjam PTPTN sedang dimasukkan ke dalam laporan CCRIS secara berperingkat.

Jadi, anda kenalah kena cek terlebih dahulu CCRIS sebelum memohon sebarang pembiayaan. Kot-kot ada tunggakan PTPTN.

Kalau ada, pergi ke cawangan PTPTN. Bincang dengan mereka. Buat penstrukturan semula. Bayar separuh daripada tunggakan ataupun semua tunggakan. Itu atas budi bicara pihak PTPTN.

Mohon pihak PTPTN buat surat Pengesahan Bayaran Pembiayaan Pendidikan PTPTN mengatakan anda sedang membayar pinjaman PTPTN dengan baik.

Selepas selesai, mohonlah pembiayaan perumahan atau pembiayaan ASB mengikut matlamat yang dirancang. Yang penting CCRIS kena jelaskan dulu.

CCRIS sangkut memang pihak bank tak akan layan. Sebabnya pembiayaan sekarang pun tak mampu bayar, macam mana nak bayar pembiayaan baru. Kan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Ariffshah | Siakapkeli

'Kalau Dah Sakit Jiwa Cerai Sajalah', Datuk Vida Bakal Tamat Tajaan?

'Kalau Dah Sakit Jiwa Cerai Sajalah', Datuk Vida Bakal Tamat Tajaan?

Nampaknya jodoh pasukan bola sepak Kelantan dengan penaja utama mereka, Vida Beauty mungkin tidak berpanjangan.

Datuk Vida

Itu bayangan yang diberikan pengasasnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, dalam kenyataan yang dibuat kepada portal Mstar Online.

Biarpun tempoh tajaan adalah dua tahun iaitu 2016 dan 2017, namun beliau yang mesra dengan panggilan Datuk Vida memberitahu sudah tawar hati dengan situasi semasa.

Apa yang dimaksudkan ialah prestasi pasukan berkenaan yang menurun, di samping tiada pulangan positif yang diperolehi daripada tajaan bernilai RM16 juta itu.

Kata Vida kepada portal berkenaan, tajaannya kepada pasukan Kelantan menaikkan namanya, namun tidak memberi impak positif kepada perniagaannya.

"Nama saya naik, tetapi dari segi pembelian produk ia tidak memberi kesan," ujarnya seperti yang dipetik dalam portal itu.

Beliau yang pernah menaja pelbagai program hiburan sebelum ini juga menyatakan rasa kecewa apabila penyokong pasukan itu dilihat enggan melaburkan wang untuk membantu pasukan, terutama dari segi pembelian jersi.

"Saya sudah hasilkan jersi mengikut harga mampu milik tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak.

"Suami isteri sekalipun, walau sudah berjanji sehidup semati, tapi kalau dah sakit jiwa, bercerai sajalah. Buat apa menderita," katanya.

Difahamkan, Vida akan bertemu dan berbincang tentang perkara itu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dalam masa terdekat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani

Noor Tagouri, Wanita Berhijab Pertama Tampil Dalam Majalah Playboy!

Noor Tagouri, Wanita Berhijab Pertama Tampil Dalam Majalah Playboy!

Majalah Playboy adalah sebuah majalah dewasa yang terkenal dengan foto-foto wanita yang kurang menyenangkan malah amat tidak bersesuaian untuk golongan bawah umur serta masyarakat Islam.

Noor Tagouri

Namun begitu, wartawan Amerika Syarikat, Noor Tagouri telah mengubah semua itu selepas tampil dalam penerbitan majalah berkenaan edisi Oktober yang dipanggil Renegades dengan penampilannya berhijab.

Selain berhijab, gadis berkenaan turut memakai seluar jeans, jaket kulit dan kasut Converse dalam edisi berkenaan.

Gadis berusia 22 tahun itu turut memaklumkan bahawa matlamat utamanya tampil dalam majalah berkenaan adalah sebagai pelopor gadis bertudung pertama di dalam televisyen komersial Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Tagouri percaya pengalaman yang dimilikinya sebagai wartawan wanita Islam telah menjadikan beliau seorang wartawan yang lebih baik.

“Secara jujur, saya fikir sebagai seorang wanita Islam yang berhijab, ia membantu saya mendapatkan kepercayaan (dari subjek temu ramah).

“Saya tahu bagaimana mempunyai naratif daripada masyarakat kita yang kurang jelas dan dieksploitasi oleh media.

“Saya tahu yang ia adalah salah seperti yang dinyatakan dalam media dan saya ingin memaklumkan cerita ini kerana ia penting untuk mendapat keadilan,” katanya kepada Playboy.

Noor Tagouri

Walaupun Tagouri menerima banyak kecaman dan kritikan secara atas talian, dia tidak membacanya atau memberi sebarang perhatian berhubung tindakan tersebut.

“Ia hanya sifat negatif yang tidak sihat dan saya hanya melakukan apa yang terbaik dengan tidak merisaukan kritikan pihak berkenaan yang tidak sukakan apa yang saya pakai atau cakap,” katanya.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH

Donald Trump Jamin Baitulmaqdis Milik Mutlak Israel Jika Dipilih Jadi Presiden AS!

Donald Trump Jamin Baitulmaqdis Milik Mutlak Israel Jika Dipilih Jadi Presiden AS!

Donald Trump, calon parti Republik, berjanji dalam sebuah pertemuan bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel tanpa dikongsi dengan sesiapapun, sekiranya beliau terpilih menjadi Presiden AS.

Donald Trump and Baitulmaqdis

Netanyahu bertemu Trump di kediamannya di Trump Tower sehari sebelum Trump berentap melawan pesaing parti Demokratik Hillary Clinton bagi debat presiden pertama mereka, lapor AFP.

“Trump sedia maklum bahawa Jerusalem (Baitulmaqdis) telah menjadi ibu kota kepada orang Yahudi lebih daripada 3,000 tahun.

"AS di bawah pemerintahan Donald Trump, akan menerima mandat kongres yang selama ini tertangguh untuk menerima dan mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota yang tidak terbahagi dalam wilayah Israel,” ujar beliau dalam sebuah kenyataan kempen.

Israel telah menawan sebelah timur Baitulmaqdis sewaktu perang Arab-Israel pada 1967 dan membuat penambahan pada 1980, serta mengisytiharkan seluruh wilayah Baitulmaqdis sebagai ibu kota penyatuan Israel.

AS dan kebanyakan negara dari keahlian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf pemilikan tersebut dan menganggap status akhir Baitulmaqdis sebagai isu utama yang perlu diselesaikan dalam rundingan damai bersama Palestin.

Kongres AS telah meluluskan undang-undang pada Oktober 1995 yang memohon supaya Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu kota Israel, selain meluluskan dana untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Namun, tiada Presiden AS, baik dari parti Demokratik mahupun Republik, yang sudah melaksanakan undang-undang tersebut kerana menganggap ia di luar cabang eksekutif tentang polisi asing.

Pejabat Netanyahu telah mengeluarkan kenyataan mengenai pertemuan dengan Donald Trump yang berlangsung selama kira-kira satu jam tersebut, namun tidak menyebut tentang janji Trump.

“Netanyahu telah berbincang bersama Donald Trump berkenaaan isu-isu berkaitan keselamatan Israel dan usaha-usaha bagi mencapai kestabilan dan keamanan di Asia Barat,” ujar beliau.

Kenyataan Donald Trump pula menyatakan, pihaknya telah berjanji kepada Netanyahu bahawa AS akan membekalkan Israel dengan 'strategi luar biasa, kerjasama teknologi dan tentera' sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden.

“Trump telah mengakui Israel sebagai rakan kerjasama yang penting bagi AS dalam peperangan menentang keganasan kumpulan radikal.

“Mereka berbincang mengenai urus janji nuklear bersama Iran, perlawanan menentang Daish dan isu-isu keselamatan serantau,” tambahnya lagi.

Kempen itu juga dikatakan berbincang mengenai pengalaman Israel dengan tembok keselamatan yang dahulunya memisahkan Israel dari Tebing Barat.

Dalam hal lain, salah satu daripada janji kempen Donald Trump adalah untuk membina tembok di sepanjang sempadan Amerika-Mexico.

BACA INI JUGA: Umat Islam Tidak Berguna, Tidak Bererti dan Tidak Menakutkan Musuh!?

Sumber: Astroawani

Apa Itu Hikikomori? Adakah Generasi Baru Kita Semakin Individualistik?

Apa Itu Hikikomori? Adakah Generasi Baru Kita Semakin Individualistik?

Hikikomori adalah satu istilah di dalam Bahasa Jepun yang memberi maksud fenomena manusia yang memilih untuk menyendiri serta menarik diri daripada kehidupan bermasyarakat.

Hikikomori
Gambar hiasan.

Mereka memilih untuk mengasingkan diri dan tidak keluar rumah berbulan-bulan lamanya dan hanya akan keluar rumah jika ada keperluan yang mendesak.

Istilah ini merujuk kepada situasi di Jepun dan nampaknya semakin menular di negara kita.

Dr Tamaki Saito, pakar psikiatri berkaitan Hikikomori berpendapat, punca kepada fenomena ini berakar umbikan sejarah dan struktur sosial masyarakat Jepun.

Ini kerana puisi-puisi dan muzik tradisional Jepun sering mengagung-agungkan pemencilan diri.

Tapi bagaimana pula situasinya dengan anak bangsa kita? Agak-agaknya ada tak golongan hikikomori dalam kalangan generasi muda kita sekarang?

***

Suatu hari di hari raya..

Mak Su: Kak Ngah, mana abang long? Dari tadi mak su tak nampak pun batang hidungnya. Saudara mara tengah ramai ni pun dia boleh menghilang. Dia balik cuti kan?

Kak Ngah: Abang long dalam bilik dia mak su. Dia balik je dari asrama semalam terus masuk bilik. Mengadap laptop dia la tu. Siapkan assignment katanya. Tak pun tengah berkepit dengan PS2 dia.

Mak Su: Tapi kan ini hari raya. Saudara mara tengah ramai datang nak melawat ni boleh pulak dia duduk terperap dalam bilik. Pergi panggil dia keluar. Mak Su nak jumpa semua anak sedara mak su.

Kak Ngah: Baiklah Mak Su.

Abang Long keluar dengan telinga disumbat earphone, memegang smartphone barunya. Setelah bersalaman dan menjawab sepatah dua soalan dari sedara mara, masuk bilik balik.

***

Rasanya ini adalah fenomena biasa di kalangan muda mudi kita. Memang tak dinafikan bagi pelajar di sekolah berasrama penuh, kadang-kadang kita kekok untuk bergaul dengan saudara mara yang jarang bersua muka.

Kita lebih suka memilih untuk berdiam diri dan melakukan kerja sendiri daripada bertegur sapa dengan tetamu atau saudara mara.

Mungkin ada yang bertanya, tak bosan ke duduk sorang-sorang? Bosan.

Sebab tu mereka sentiasa bersama smartphone, mp3 dan apa-apa gadget yang menemani.

Tapi tak rasa ke sedikit sebanyak masyarakat muda mudi kita semakin ke arah pembentukan individu hikikomori tu?

Hikikomori
Gambar hiasan.

Tak percaya cuba tengok generasi adik-adik kita. Antara mp3, mp4, smartphone, PS3 dengan galah panjang, bola beracun, congkak yang mana mereka tahu dan akan pilih?

Rasanya smartphone dan PS3 lebih menarik daripada mencari kawan-kawan baru ketika bermain galah panjang. Menggusarkan bukan?

Generasi kita semakin ke arah individualistik. Mungkin suatu hari nanti perkataan masyarakat hanya tinggal perkataan sahaja. Tiada lagi makna dan situasi kemasyarakatan itu.

Tapi, apa sebenarnya yang menjadi faktor ini?

Faktornya adalah kerana tiada tujuan hidup yang jelas. Betul. TIADA TUJUAN HIDUP YANG JELAS.

Mungkin ada yang menjawab, mereka ada tujuan hidup. Tapi adakah tujuan itu jelas?

Dan jika ianya jelas, neraca apa yang diguna untuk menjadikan tujuan hidup itu jelas?

BACA INI JUGA:

Sumber: TD

Monday, September 26, 2016

10 Lokasi Menarik Anda Boleh Kunjungi Apabila Bercuti Di Bali, Indonesia

10 Lokasi Menarik Anda Boleh Kunjungi Apabila Bercuti Di Bali, Indonesia

Destinasi percutian jenis santai seperti di Bali, Indonesia sangatlah sesuai untuk anda merehatkan minda sambil cuci mata melihat keindahan panorama semulajadinya yang cantik!

Bali

Bali sememangnya popular sebagai salah satu destinasi percutian yang menarik di Indonesia, bukan sahaja menjadi buah mulut orang Malaysia malah turut terkenal di seluruh dunia.

Sinonim sebagai lokasi idaman, disini kami senaraikan 10 lokasi menarik yang anda boleh kunjungi di Bali, Indonesia.

1. Pantai Kuta

Pantai Kuta

Pantai Kuta merupakan tempat tarikan pelancongan yang sangat popular di Bali. Tidak sah rasanya jika tidak berkunjung ke sini.

Keindahan Pantai Kuta menjadi buruan setiap pelancong yang datang, dan segi kos perbelanjaan pula sangat murah.

2. Pura Tanah Lot

Pura Tanah Lot

Pura Tanah Lot juga merupakan tempat terkenal di Bali, terutama untuk melihat matahari terbenam.

Yang uniknya, mengikut kisah lagenda tempat ini merupakan tempat untuk menyerunya dewa laut.

Selain dari itu anda juga mungkin berpeluang bermesra bersama ular ‘suci’ yang jinak dan tidak merbahaya.

Pastinya akan memberikan anda satu pengalaman yang cukup menarik.

3. Pantai Padang Padang

Pantai Padang Padang

Mungkin tidak terkenal seperti pantai yang lain di Bali, tetapi ternyata Pantai Padang Padang ini mempunyai keindahan dan keunikannya yang tersendiri.

Pantai Padang merupakan pantai kecil yang tersembunyi di sebalik sebuah tebing di kawasan Pecatu, Uluwatu.

Untuk sampai ke sini anda harus melepasi sebuah tangga di laluan kawasan tebing. Pantai Padang Padang sangat popular dikalangan pelancong asing tetapi tidak bagi pelancong tempatan.

4. Danau Beratan Bedugul

Danau Beratan Bedugul

Danau Beratan Bedugul ini terletak di kawasan pergunungan. Terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang cantik dan asli, banyak aktiviti dan permainan air yang boleh anda lakukan di sini.

5. Garuda Wisnu Kencana (GWK)

Bali

Garuda Wisnu Kencana atau singkatannya ‘GWK’ merupakan taman pelancongan kebudayaan yang terletak di bahagian selatan Bali.

Garuda Wisnu merupakan sebuah patung besar karya Nyoman Nuarta yang tidak siap dibina sepenuhnya, walaupun begitu ia mempunyai sejarah tersendiri yang menarik untuk diketahui.

6. Pantai Lovina

Bali

Pantai Lovina mungkin agak asing didengari. Pantai ini terletak di bahagian utara Bali, yang seronoknya di sini anda boleh lihat secara live ikan lumba lumba melompat keluar dari habitatnya.

Kalau ke sini jangan terlupa bawa kamera pula.

7. Pantai Jimbaran

Bali

Kali pertama anda sampai ke sini, apa yang anda bakal lihat adalah deretan kerusi dan meja makan di kawasan pasir pantai.

Pantai Jimbaran sememangnya sangat terkenal dengan hidangan makanan yang sedap-sedap terutama makanan laut.

8. Monkey Forest

Bali

Mahu cuba pengalaman bermain dengan monyet, anda boleh cuba datang ke Monkey Forest yang terletak di Ubud, Bali.

Monkey Forest merupakan sebuah hutan yang dihuni ribuan monyet liar. Monyet-monyet di sini agak istimewa kerana dianggap ‘keramat’ oleh penduduk setempat.

Apa yang anda perlu tahu, monyet-monyet di sini sangat sukakan makanan. Mereka akan berusaha sehabis mungkin untuk mengambil apa sahaja makanan yang anda bawa.

9. Danau Batur Kintamani

Danau Batur Kintamani

Danau Batur Kintamani merupakan permata berharga yang dimiliki Bali, jadi jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan permandangan di Danau Batur Kintamani ini.

Terletak di gunung ke 2 tertinggi di Bali, Danau Batur Kintamani bersuhu sejuk dengan menyajikan permandangan yang paling cantik di Bali.

10. Arung Jeram Sungai Ayung

Bali

Puas bermain air masin, anda juga boleh menikmati hidangan air tawar dengan mandi-manda di Air Terjun di Arung Jeram Sungai Ayung di Bali. Kerjenihan air dan udara di sini sangatlah nyaman.

Jika anda berminat dengan aktiviti lasak, anda juga boleh cuba mendaki atau cuba permainan air yang telah disediakan di sini.

BACA INI JUGA:

Sumber: Thevocket

Mangsa Penculikan Lahad Datu Mohon Bantuan, Dipukul Dan Tidak Cukup Makan!

Mangsa Penculikan Lahad Datu Mohon Bantuan, Dipukul Dan Tidak Cukup Makan!

Satu mesej bantuan kecemasan telah dihantar oleh seorang tebusan Malaysia yang ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf, merayu pertolongan kerana beliau kelaparan dan telah dipukul.

Mohd-Ridzuan

“Kami sudah tidak tahan lagi. Kami dalam kesakitan. Semua kami sakit. Badan kami luka-luka. Kami lemah.

"Tiada makanan untuk dimakan. Malah, kami dipukul. Ada orang mahu menembak kami. Tolong bantu kami.”

Itulah kata-kata Mohd Ridzuan Ismail, salah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dari perairan Lahad Datu di pantai timur Sabah, 18 Julai lalu.

Pada Rabu, jurucakap Abu Sayyaf, Abu Rami telah menghubungi The Star dari pulau Jolo, selatan Filipina, dan meminta Mohd Ridzuan, 32, bercakap di telefon bagi membolehkan beliau menghantar mesej kepada kerajaan Malaysia.

“Saya adalah tebusan dari Malaysia. Nama saya Mohd Ridzuan Ismail. Dan saya meminta bantuan daripada kerajaan dan majikan saya untuk menyelamatkan kami secepat mungkin,” kata kelasi kapal itu dalam bahasa Melayu.

Perbualan berlangsung selama lapan minit.

“Kami menderita di pulau Jolo. Kami merayu kepada kerajaan Malaysia dan majikan kami supaya berunding tentang pembebasan kami, kami mahu pulang ke rumah secepat mungkin,” katanya dalam nada sedih.

Terdapat kemungkinan Mohd Ridzuan mungkin akan mati di tangan Abu Sayyaf yang telah memenggal kepala tebusan pertama Malaysia, Bernard Then, November tahun lepas.

Mohd Ridzuan, yang berasal dari Pahang, diculik bersama empat rakannya dari Sabah, Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.

Kapal tunda mereka yang kosong telah ditemui di perairan Dent Haven di kawasan Tambisan, Lahad Datu, berhampiran sempadan laut di selatan Filipina.

Mohd Ridzuan berkata, mereka sedang ditahan dalam hutan.

“Hanya kadang-kadang kami diberi makan. Untuk minum, kami terpaksa mengambil air parit. Jika ada makanan, ia hanyalah nasi untuk alas perut,” katanya.

Ditanya sama ada mereka telah dipukul, Mohd Ridzuan berkata mereka telah dipukul dengan senapang.

“Kami takut. Ini bukan tempat kami. Mereka pukul kami dan beritahu kami bahawa mereka boleh menembak kami.”

Pada waktu malam, beliau berkata tawanan akan diikat.

“Kami tidur di atas tanah. Apabila hujan, kami akan terendam dalam air,” katanya.

Ditanya berapa ramai anggota lelaki bersenjata yang mengawasi mereka, Mohd Ridzuan berkata bilangan mereka ‘terlalu banyak, terlalu banyak untuk dikira’.

Pada mulanya, Mohd Ridzuan berkata orang yang menculiknya ada menghubungi majikannya tetapi akhir-akhir ini pemilik kapal tersebut telah berhenti menjawab panggilan.

“Tolong hubungi bos dan keluarga saya supaya mereka dapat membantu kami pulang ke rumah secepat mungkin.Sudah dua bulan berlalu. Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sehari sebelum Mohd Ridzuan muncul merayu bantuan, Abu Rami dalam satu temu bual telefon berkata penculik telah meminta 100 juta peso (RM8.5 juta) untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan.

Tebusan itu, katanya, telah ditahan di Luuk, kawasan di pulau Jolo oleh seorang pemimpin Abu Sayyaf yang dikenali sebagai Abu Khalif.

Beliau berkata tebusan telah dipisahkan kepada tiga kumpulan.

“Saya diberitahu bahawa tebusan paling tua sedang sakit,” kata jurucakap itu yang memperkenalkan kumpulannya sebagai Al Harakatul Al Islamiyyah.

Beliau mungkin merujuk kepada Abd Rahim yang berusia 62 tahun.

Abdul Rahim Summas

Ditanya sama ada pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari boleh berunding untuk melepaskan mangsa, Abu Rami berkata, “Hanya jika dia mempunyai 100 juta peso. Jika tidak, maka tidak.”

Beliau juga mendakwa tiada tentera yang muncul di lokasi di mana tebusan itu ditahan, walaupun dengan adanya laporan bahawa tentera Filipina akan melancarkan perang habis-habisan terhadap Abu Sayyaf.

“Mengapa mereka tidak mahu melawan kami?” beliau membuat cabaran.

Pada Ahad, Abu Rami menghantar dua keping gambar tebusan kepada The Star.

Beliau tidak dapat menghantar gambar-gambar itu lebih awal kerana masalah sambungan Internet di bandar Jolo.

Pihak berkuasa Malaysia dipercayai sedang bekerjasama dengan rakan-rakan mereka di Filipina mereka untuk membebaskan tawanan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan membincangkan tentang rundingan untuk membebaskan tebusan, hanya mengatakan bahawa mereka ‘masih menunggu’.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau akan mengarahkan polis untuk meningkatkan komunikasi dan rundingan dengan penculik bagi membebaskan mangsa.

Keluarga tebusan telah menjauhkan diri daripada media. Satu-satunya kenyataan yang telah dikeluarkan setakat ini adalah mereka berdoa agar orang tersayang dapat pulang dengan selamat.

BACA INI JUGA:

Sumber: mStar | TheStar

Lokasi Rempuhan Maut Go-Kart Kawasan Larangan Untuk Penonton!

Lokasi Rempuhan Maut Go-Kart Kawasan Larangan Untuk Penonton!

Pengarah Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMRACE), Prof Madya Dr Aminudin Abu memberitahu lokasi kejadian adalah kawasan larangan yang tidak membenarkan penonton berada di sekitar lokasi.

Mangsa Go Kart

"Kawasan ini (lokasi kejadian) kita telah letak anggota Rela dan kon sebab kawasan ini adalah tempat perlumbaan.

"Untuk penonton mereka perlu berada di stadium Sukpa dan kita juga telah maklumkan mengenai perkara itu tetapi kita tidak boleh jangka dan tidak sangka mereka (penonton) masuk juga ke situ," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Eimrace 2016 yang masuk tahun kesembilan penganjurannya adalah program anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang.

Mula dianjurkan pada 2009, kejohanan peringkat kebangsaan itu terbuka kepada institusi pendidikan dalam negara untuk membuka ruang dan peluang serta sebagai landasan kepada mahasiswa untuk mempraktik ilmu dan inovasi dalam mereka bentuk dan menguji kenderaan bermotor ciptaan masing-masing selaras dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya pihaknya juga selepas ini tidak akan menggunakan kawasan litar terbuka untuk penganjuran Eimarace akan datang.

3 Go-Kart Bergesel Punca Kemalangan Ragut Nyawa

Mangsa Go Kart

Kemalangan yang menyebabkan dua beranak terbunuh pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota berpunca daripada tiga go-kart bergesel sesama sendiri.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata pergeselan go-kart bernombor 22, 27 dan 33 itu telah menyebabkan kenderaan bernombor 27 terbabas lalu merempuh penonton berkenaan.

Siasatan mendapati program merupakan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan mempunyai permit yang sah.

Jenazah Mangsa Rempuhan Go-Kart Selamat Dikebumikan

Mangsa Go Kart

Jenazah dua beranak yang maut akibat dirempuh kenderaan go-kart pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota, selamat dikebumikan.

Jenazah Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, lima, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, pada pukul 11.10 malam, dengan disaksikan hampir 200 anggota keluarga dan kenalan.

Terdahulu, jenazah kedua-dua beranak itu dikafan dan disembahyangkan di Masjid Tengku Ampuan Afzan Indera Mahkota, pada pukul 10 malam, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob adalah antara 600 jemaah yang menyertai solat jenazah itu.

Al-Fatihah.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH | Mynewshub