Saturday, September 10, 2016

'Akan Ada Golongan Umatku Yang Akan Sentiasa Menang'

'Akan Ada Golongan Umatku Yang Akan Sentiasa Menang'

Daripada Mughirah bin Syu’ bah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah SWT, mereka sentiasa berjaya.” Hadis Riwayat Bukhari

Golongan Umatku Yang Sentiasa Menang
Gambar hiasan.

Maksud Hadis

Allah SWT telah menjadikan umat Islam umat yang terakhir, dan Allah SWT telah berjanji akan memelihara kitabnya (al-Qur'an) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin dipermukaan bumi ini.

Kalau kita meneliti sejarah umat Islam bermula zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang sangat berat.

Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamdun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah.

Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai terhadap kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam.

Gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai teknologi dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya.

Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia hari ini.

Walaupun ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya.

Walau pun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur.

Walaupun syiar-syiar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain syiar Islam masih lagi gagah dan teguh.

Walau pun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati.

Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini hinggalah sampai masa yang dikehendaki Allah SWT.

Maka pada masa itu Allah SWT akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal setelah itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, maka pada saat itulah akan berlaku hari Kiamat.

Insyaa Allah.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

4 Sebab Untuk Memiliki Sony PlayStation 4 Pro, Konsol Dengan Sokongan HDR Dan 4K

4 Sebab Untuk Memiliki Sony PlayStation 4 Pro, Konsol Dengan Sokongan HDR Dan 4K

Pasti ramai yang tertanya-tanya sama ada model terkini Sony PlayStation 4 Pro ini berbaloi untuk dimiliki. Senarai di bawah memberikan anda sebab mengapa anda mungkin perlu memiliki PlayStation 4 Pro.

Sony PlayStation 4 Pro

1. Sokongan 4K Dan HDR

Sony PlayStation 4

Adakah anda memiliki televisyen 4K di rumah? Sekiranya anda pasti menyedari grafik PlayStation 4 sedia ada kelihatan agak buruk apabila dipaparkan pada televisyen UHD anda.

Apabila tidak terpapar pada resolusi natif, paparan permainan kelihatan agak kabur. Pada skrin melebihi 50″ ia membuatkan tekstur grafik permainan terkini seperti Uncharted 4 nampak kurang menarik.

PlayStation 4 Pro mampu memaparkan imej pada resolusi 4K setanding dengan televisyen yang anda miliki. Permainan seperti Uncharted 4 telah disahkan akan dikemas kini oleh Naugty Dog dengan tekstur beresolusi tinggi.

Call of Duty Infinite Warfare, For Honor, Horizon Zero Dawn, Mass Effect Andromeda dan Rise of the Tomb Raider: 20 Year Celebration mempunyai tetapi khas untuk Pro.

Kepada pengguna PlayStation 4 yang bosan ditertawakan bangsa terpilih PC kerana kualiti grafik yang rendah, ini jawapan Sony kepada mereka.

Kepada yang mendambakan grafik yang kelihatan lebih realistik, sokongan HDR turut disertakan. Kepada pemilik televisyen 4K HDR, lebih banyak warna dapat dipaparkan berbanding HDTV biasa. Buat masa ini hanya permainan Days Gone akan menyokongnya.

Pada waktu sama aplikasi Netflix dan YouTube akan dikemas kini untuk menyokong output pada resolusi 4K.

Sementara menanti penyiar tempatan (seperti Astro dan HyppTV) menyokong resolusi 4K, dua perkhidmatan penstriman ini boleh menjadi sumber kandungan UHD anda.

2. Tetapan Grafik Lebih Tinggi Pada Resolusi 1080p

Sony PlayStation 4

Jika anda seperti kami yang marhaen dan masih belum memiliki televisyen 4K adalah masih berbaloi?

Jawapannya ialah sudah pasti. PlayStation 4 Pro boleh merendahkan output kepada 1080P dengan peningkatan kadar FPS.

Umum diketahui majoriti permainan PS4 dihadkan kepada 1080P 30 FPS. Dengan kad grafik yang lebih berkuasa, PlayStation 4 Pro boleh mengaktifkan mod 1080P 60 FPS tanpa masalah.

Rise of Tomb Raider misalnya sudah disahkan mempunyai mod 4K, mod “High Frame Rate” yang menetapkan grafik pada 1080P tanpa had FPS dan akhir sekali mod “Enhanced Visuals” yang mengaktifkan tetapan grafik tertinggi pada resolusi 1080P dengan had 30 FPS.

3. Rekaan Lebih Menarik

Sony PlayStation 4 Pro

Sony PlayStation 4 mempunyai permukaan yang berkilat seperti cermin. Ianya cantik apabila kali pertama dikeluarkan dari kotak tetapi selepas beberapa bulan ia mula memerangkap debu serta cap jari.

Dengan Pro, permukaan konsol kini diperbuat daripada bahan kasar dan tidak lagi berkilat. Dua masalah yang disebutkan tadi kini diselesaikan.

Kedudukan butang kuasa dan mengeluarkan cakera BluRay turut diubah. Ia kini terletak berjauhan antara satu sama lain bagi mengelakkan pengguna tertekan butang yang salah.

Akui sahaja lokasi butang kuasa dan mengeluarkan BluRay pada PlayStation 4 asal adalah kurang ergonomik. Kami pernah beberapa kali secara tidak sengaja mematikan konsol ketika mahu mengeluarkan BluRay permainan.

Butang kuasa kini di sebelah kiri manakala butang mengeluarkan BluRay di sebelah kanan. Kebarangkalian tertekan butang yang salah kini lebih rendah.

Pro kini mempunyai tiga port USB-A berbanding dua pada konsol asal. Dua dihadapkan dan satu lagi di belakang. Lampu biru yang menandakan konsol sedang beroperasi juga dipindahkan ke dalam di antara “sirip” tubuh Pro.

Tetapi secara ikhlas ini perubahan yang kurang kami gemari. Sistem lampu asal pada bahagian atas konsol pada hemat kami nampak lebih berjaya.

4. DualShock 4 Baru

Sony PlayStation 4 Pro

Sekilas pandang tiada perubahan yang ketara dapat dilihat pada pengawal permainan DualShock 4. Perubahan hanya berlaku pada sistem lampu yang kini turut dapat dilihat pada pad sesentuh.

Sebelum ini sekiranya anda memiliki lebih daripada satu DualShock 4, melihat warna yang ditetapkan kepada pengawal adalah kurang mesra pengguna.

Dengan sistem lampu baru sesi FIFA bersama empat rakan secara luar talian akan menjadi lebih mudah dengan kesemua pemain mengetahui pengawal mana yang mereka gunakan dengan lebih intuitif.

PlayStation 4 Pro Berharga RM1799 Di Malaysia, Konsol Dengan Sokongan HDR Dan 4K

Harga PlayStation 4 Pro Di Malaysia

PlayStation 4 Pro membawakan sokongan 4K dan juga HDR – menawarkan kuasa grafik yang lebih tinggi dan memfokuskan kepada para pemain yang menggunakan paparan 4K di rumah mereka.

Walaupun menyokong paparan 4K, pelbagai permainan yang ditawarkan masih akan menyokong konsol PlayStation 4 sedia ada, dan pemain boleh berhubung seperti biasa.

Dengan kuasa pemprosesan tinggi, Sony juga turut melengkapkan ia dengan ruangan storan besar – iaitu bermula 1TB.

Di Malaysia, konsol ini akan dijual pada harga RM1799. Tiada tarikh jualan yang diumumkan buat masa ini.

BACA INI JUGA:

Sumber: | SENTIASAPANAS

'Apa Kaitan Cina Dengan Cara Saya Berpakaian?'

'Apa Kaitan Cina Dengan Cara Saya Berpakaian?'

Seorang wanita menggunakan nama Facebook, Gillian Benjamin mendakwa ibunya yang juga seorang OKU dan bapanya telah menerima layanan buruk oleh seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu ini.

Gillian Benjamin

Wanita yang dikenali sebagai Gillian Benjamin meluahkan rasa tidak puas hati melalui laman Facebook mengenai layanan buruk pegawai tersebut terhadap ibunya yang seorang OKU dan bapanya.

Gillian memuat naik luahannya di Facebook pada Selasa lalu dan mendakwa pegawai wanita itu menjerit kepada ibu dan bapanya walaupun jarak kaunter itu begitu dekat.

“Dia jerit ‘Helo! Pergi kaunter 31! Eh! Helo! Kaunter 31! 31!’ Jarak dia dengan kami dekat sahaja sebab kami depan kaunter. Kenapa perlu jerit pada ibu bapa saya?” katanya yang berasal dari suku kaum Kadazan.

Rakan Gillian yang dikenali sebagai Qhal kemudiannya ke kaunter pegawai tersebut dan memintanya untuk memberikan layanan sopan.

Bagaimanapun, Qhal dimarahi pegawai tersebut dengan pelbagai persoalan termasuk bertanyakan tempat asalnya.

“Qhal jawab dia orang Malaysia dan dia juga beritahu pegawai itu dua orang yang kena jerit itu ibu bapa kami.

“Pegawai itu jawab, ‘Mana saya tahu. Saya ingat orang Cina. Dia (merujuk kepada Gillian) pun pakai macam itu, mana saya tahu!’,” katanya.

Berang dengan kenyataan pegawai itu, Gillian berkata, “Apa kaitan Cina dengan cara dia layan kami? Apa kaitan Cina dengan cara saya berpakaian? Apa kaitan Cina dengan tindakan kamu jerit kepada OKU dan warga emas? Kamu rasis ke?”

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali telah mengeluarkan arahan agar tindakan segera diambil untuk menyiasat kejadian itu.

BACA INI JUGA:

Sumber: Mynewshub | SENTIASAPANAS

10 Fungsi Terbaharu iPhone 7 Dan iPhone 7 Plus

10 Fungsi Terbaharu iPhone 7 Dan iPhone 7 Plus

Akhirnya, seperti mana yang dinantikan ramai, Apple mengumumkan iPhone genarasi terbaharu secara rasmi, iaitu iPhone 7 dan juga iPhone 7 plus.

iPhone 7

Rekabentuk yang dibawakan juga tidak jauh berbeza dengan gambar-gambar yang diperlihatkan sebelum ini.

Menurut Apple, ia dibina sepenuhnya menggunakan aluminium dan kaca (glass), serta Apple memasarkannya sebagai telefon pintar ternipis dan ringan pernah dibina oleh mereka.

Dari segi perbandingan, iPhone 7 memiliki ketebalan 6.1 mm, lebih nipis 0.1 mm berbanding iPhone 6 dan 0.8 mm jika dibanding dengan iPhone 6 plus dan ia disertakan cip pemproses A10 yang lebih efisyen, menjadikan iPhone yang paling berkuasa buat masa ini.

Bersama-sama dengan iPhone generasi baru ini juga, kami sertakan 10 fungsi baru dan antaranya ialah;

1. Kalis Air

Kalis Air

Pengguna kini tidak perlu risau lagi sekiranya peranti kesayangan anda terkena air dikala hujan dan ia hadir dengan piawai IP67 yang merupakan penawaran perlindungan daripada debu dan air.

2. Rekaan Sama Dengan Pilihan Warna Jet Black

Jet Black

Menurut Apple, rekaan terbaharu iPhone 7 hadir seakan sama seperti iPhone 6 sebelum ini, tetapi ia tidak memaparkan jalur antenna seperti sebelumnya.

Ia kini ditawarkan dalam lima ima pilihan warna, termasuk rose gold dan silver termasuk yang paling baru adalah Jet Black yang ditawarkan hanya untuk model 128GB dan 256GB sahaja.

3. Butang ‘Home’ Diberikan Nafas Baru

Butang Home

Sering kali butang utama ini dilaporkan mengalami sedikit kerosakan selepas digunakan dengan kerap.

Bagi mengatasi masalah ini, Apple menyertakan butang Home dengan rekaan statik, yang dijana menggunakan Taptic Engine bagi memberikan tindak balas seumpama menekan butang.

4. Dwi-Kamera

Dwi Kamera

Pada iPhone 7, ia mengekalkan penggunaan kamera 12-megapixel seperti biasa, sebaliknya pada iPhone 7 Plus, ia hadir dengan sokongan dwi-kamera.

Kelainan ini membolehkan pengguna membuat rakaman dengan lebih jelas, termasuk kemampuan zoom dan juga mengkaburkan bahagian latar ketika merakamkan gambar.

5. Tiada Lagi Audio-Jack

Audio-Jack

Salah satu ciri terbaharu yang mungkin mengecewakan sebahagian pengguna ialah ketiadaan 3.5 mm lubang fon kepala, dan memerlukan audio dikeluarkan menerusi penyambung port lightning Apple.

Biarpun ia merupakan penaiktarafan, namun dari segi kekurangan adalah pengguna tidak lagi boleh mendengar lagu sambil mengecas telefon.

6. Storan Bermula 32GB

Akhirnya, selepas sekian lama, kini Apple telah membuang model asas dengan 16GB – sebaliknya kini versi paling asas hadir dengan pilihan 32GB.

7. Pembesar Suara Dengan Kualiti Bunyi Lebih Kuat

Speaker Stereo

Apple menyertakan sokongan speaker stereo yang baru pada iPhone 7, menawarkan bunyi yang lebih dua kali ganda kuat berbanding dengan iPhone 6S sebelum ini.

Selain mendengar lagu dan lain-lain, penggunaan stereo speaker ini turut membawa kepada kualiti panggilan yang lebih tinggi melalui speakerphone.

8. Kualiti Grafik Rakaman yang Lebih Baik

Kualiti Rakaman

Menguasakan iPhone baru ini adalah sensor belakang 12-megapixel dan sensor hadapan 7-megapixel. Bahagian belakang turut menawarkan integrasi Quad-LED yang menawarkan pencahayaan 50% lebih jelas banding iPhone 6s.

9. Kuasa Pemprosesan Berganda Melalui Cip Empat-Teras

Cip Empat Teras

Apple buat pertama kalinya menggunakan cip pemprosesan empat-teras pada iPhone 7 melalui Apple A10 Fusion.

Ia kini menawarkan kuasa pemprosesan dua kali ganda berbanding dengan iPhone 6 sebelum ini, dan pengoptimasian yang menjimatkan tenaga bateri untuk masa penggunaan yang lebih lama.

10. Sistem Operasi iOS 10

iOS 10

Menjana telefon pintar ini adalah iOS 10 yang menawarkan sejumlah ciri-ciri baru, termasuk pengenalan papan kekunci pintar baru, sokongan integrasi aplikasi pada Siri, integrasi pembelajaran pintar pada aplikasi seperti Apple Photos, dan sejumlah fungsi baru lain.

Seperti biasa, harga untuknya tidak diumumkan buat masa ini, dan dijangka akan ditawarkan melalui pakej telekomunikasi, serta berkemungkinan melalui Apple Store Malaysia.

Mungkin maklumat lanjut berkenaan dengannya akan diketahui melalui syarikat telekomunikasi menjelang pada bulan hadapan.

BACA INI JUGA:

Sumber: Apple | AMANZ | SentiasaPanas

Friday, September 09, 2016

Gambar Selebriti Yang Dibayar RM30k Semalam Untuk Layan VVIP?

Gambar Selebriti Yang Dibayar RM30k Semalam Untuk Layan VVIP?

Seorang selebriti laman sosial yang selama ini dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran untuk melayan VVIP terbongkar apabila dia diberkas bersama pelanggannya di sebuah suite hotel mewah di Damansara.

Pelacur VVIP
Gambar hiasan.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah peribahasa yang boleh dikaitkan dengan aktiviti wanita yang sangat terkenal di Instagram ini.

Wanita berusia 20an itu ditahan bersama lelaki terbabit yang merupakan seorang ahli pernia­gaan yang sudah beristeri kira-kira pu­kul 10 pagi oleh pihak berkuasa hasil maklumat awam.

Dia dan pelanggannya kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, wanita berke­naan yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu sejak tahun lalu dan mencari pelanggan terdiri daripada golongan VVIP.

Katanya, wanita itu dikatakan menerima bayaran sehingga RM30,000 semalam daripada pe­langgannya.

Selebriti ini begitu licik dan pandai menyembunyikan kegiatan tidak bermoral itu di sebalik perniagaannya yang terletak di Lembah Klang.

Menurut sumber itu lagi, selebriti berkenaan dan pelanggannya akan diambil tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

BACA INI JUGA:

Sumber: Utusan | SentiasaPanas

Samsung Note 7 Terbakar Ketika Dicas, Jeep Nathan Dornacher Hangus Terbakar!

Samsung Note 7 Terbakar Ketika Dicas, Jeep Nathan Dornacher Hangus Terbakar!

Sebuah jeep dilaporkan hangus terbakar dipercayai selepas sebuah Samsung Note 7 yang sedang dicas meletup di dalam kenderaan itu, lapor Cult of Mac.

Nathan Dornacher Jeep

Jeep milik Nathan Dornacher itu terbakar ketika dia dan isteri baru pulang dari membeli belah di satu jualan garaj sempena hari Buruh.

Ketika ingin memunggah meja yang dibelikan untuk anak perempuannya, Nathan meninggalkan Note 7 dalam keadaan bercas dalam kenderan tersebut.

Nathan kemudian meminta anak perempuanya untuk kembali ke jeep tersebut sementara dia dan isterinya menyelesaikan urusan lain.

Namun salakan anjing miliknya membuat Nathan kembali ke jeepnya yang kelihatan sudah mula terbakar.

"Saya tidak menyangka, satu peranti baru, sebuah telefon berupaya membakar kereta, rumah atau mencederakan ahli keluarga saya", kata Nathan kepada Fox 13.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Nathan Dornacher Jeep [2]
Keadaan jeep Nathan dan juga telefon Samsung Note 7 yang meletup.

Wakil Samsung mengesahkan sudah menghubungi Nathan dan sedang melakukan yang termampu untuk membantu Nathan, lapor Fox 13.

Sebelum ini, beberapa kes Note 7 meletup telah dilaporkan berlaku di serata dunia dan Samsung telah membuat pengumuman untuk menarik balik peranti berkenaan dan menggantikannya dengan yang baru.

Samsung juga berkata penyebab peranti terbarunya itu meletup adalah bateri keluaran Samsung SDI dan masalah itu boleh diselesaikan dengan menukar bateri tersebut.

BACA INI JUGA:

Sumber: Siakapkeli | SentiasaPanas

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?

Secara mudah, halal JAKIM adalah satu pengiktirafan patuh syariah terhadap proses pembuatan produk yang bermula dari proses paling awal iaitu pemilihan bahan mentah hinggalah proses yang terakhir iaitu produk sampai di tangan pengguna.

Halal Jakim

Jika anda berada di hadapan dua buah restoran; sebuah restoran milik bukan muslim tetapi mempunyai sijil halal daripada JAKIM, manakala satu lagi milik Muslim tetapi tidak sijil halal JAKIM, restoran manakah yang anda pilih?

Saya pasti ramai yang tak mampu menjawab dengan yakin. Hal ini kerana kebanyakan kita tidak mengetahui apakah itu sijil halal JAKIM dan apakah proses yang dilalui bagi memperoleh sijil halal.

Untuk memperoleh pengiktirafan itu, sesebuah pengeluar makanan perlu mengistiharkan semua proses dan bahan mentah yang terlibat dari awal hingga akhir dengan terperinci.

Semua dokumen pengistiharan ini dikumpul dalam satu fail yang dipanggil Fail Halal. Fail ini dijaga oleh Eksekutif Halal di setiap syarikat.

Setiap kali juruaudit halal JAKIM datang melawat, fail inilah yang akan diperiksa dahulu. Apabila semua pengistiharan lengkap, juruaudit itu akan melakukan tinjauan di lapangan terbabit bagi memastikan semua pengistiharan itu benar-benar dipatuhi.

Selain dari itu, pihak syarikat juga mesti melantik seorang eksekutif halal yang beragama Islam dan mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Lantikan ini mesti berstatus ‘Tetap’.

Tugas eksekutif halal adalah memastikan keberkesanan sistem kawalan halal dalaman (internal halal control).

Semua langkah ini diambil bagi memastikan pihak syarikat mencapai sifar kesilapan dalam penghasilan produk halal.

Nah, itulah yang terkandung dalam logo kecil halal di bungkusan produk kita. Menurut pengamatan saya, rata-rata pengguna menganggap pengiktirafan halal hanya meliputi bahan mentah sahaja.

Mulai saat ini, ketahuilah bahawa pengiktirafan halal juga meliputi aktiviti memproses bahan mentah itu. Bahkan pada masa hadapan, ia mungkin melibatkan sumber kewangan yang patuh syariah.

Dengan memahami apa yang ada si sebalik logo Halal ini, tentunya pendekatan yang lebih dekat dengan maqasid syariah (hifzun nafs; menjaga nyawa/diri) adalah memilih restoran yang mempunyai sijil halal, walaupun ia milik non-muslim.

Sebenarnya saya pernah berada dalam situasi di atas. Lalu saya pilih restoran mamak (yang mempamer simbol-simbol Islam) yang tidak memiliki sijil halal. Akhirnya saya dikecewakan dengan tisu di restoran itu yang berbau najis tikus!

Pentingkah mencari produk yang mempunyai logo halal?

Ya, bahkan teramat penting. Dalam era kemajuan teknologi ini, rata-ratanya hanya orang yang mempunyai latar belakang tertentu saja (seperti Sains Pemakanan, Bioteknologi dan lain-lain) yang faham maklumat yang terpamer di bungkusan produk.

Kompleksiti proses pembuatan makanan menyebabkan ramai yang tidak tahu apa itu gelatin, lecithin, glycerin, Kod-Kod E dan lain-lain.

Maka wajarlah dibentuk satu badan berautoriti yang memantau perkara ini agar orang-orang yang berpendidikan rendah dapat menikmati makanan halal tanpa was-was. Penting untuk kita menjauhi rasa was-was kerana ia merupakan satu perasaan yang menyiksa jiwa.

Persoalannya, sejauh mana kita perlu berusaha mencari produk halal? Bagi saya, kita dituntut untuk mencarinya semampu kita.

Dalam konteks Malaysia, kita dipandu oleh logo halal JAKIM, maka carilah produk yang sudah diperiksa kehalalannya oleh JAKIM.

Jika di luar negara yang tiada badan pengiktirafan halal, maka tanyalah kepada pengeluar produk mengenai spesifikasi produk yang dikeluarkan, samada melalui emel atau panggilan telefon.

Menurut pengalaman saya, apabila sesebuah syarikat sering dihubungi pengguna untuk bertanyakan status halal produknya, pihak pengurusan syarikat akan mengambil langkah memohon pensijilan halal. Itulah kesan kuasa pengguna.

Pada hari ini, kesedaran halal dalam kalangan pengguna semakin baik. Bermula dengan produk makanan, kini JAKIM menawarkan pensijilan halal kepada rumah sembelih, farmaseutikal, kosmetik dan logistik.

Dengan sokongan padu dan komitmen terbaik pihak berautoriti, skop halal ini akan diperluas sehingga kita dapat menikmati Halal Lifestyle (Gaya Hidup Halal) yang dituntut oleh Allah SWT.

Moga Allah permudahkan urusan ini untuk umat Islam keseluruhannya.

Penulis
Ustaz Bilal bin Jailani
Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal)

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb

Kisah Eduard Muravitsky, Peninju Ortodoks Belarus Yang Masuk Islam

Kisah Eduard Muravitsky, Peninju Ortodoks Belarus Yang Masuk Islam

Rekod Eduard Muravitsky ialah Peninju Pro MMA. Umurnya masih muda, dalam lingkungan 20an dan dianggap peninju kebanggaan Belarus pada masa kini.

Eduard Muravitsky (Rasul Muravitsky)

Eduard Muravitsky merupakan seorang peninju professional MMA (Mix Martial Art) terkenal di Belarus, sebuah negara yang berjiran dengan Rusia di sebelah timur.

Beliau juga merupakan juara beberapa perlawanan Juara Dunia dan Juara Antara Eropah (European Championship).

Dua tahun lepas, Muravitsky telah menggemparkan negaranya apabila mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Mengikut portal berita Belarus, Nasha Niva yang menyiarkan kisah pengIslaman tergempar peninju muda kesayangan rakyat Belarus tersebut, Eduard telah melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah pusat Islam di Baranavichy.

Beliau mengambil keputusan mengambil nama baru Islamnya, Rasul sempena nama baginda Rasulullah SAW.

Berikut adalah wawancara portal tersebut dengan Rasul Muravitsky.

NashaNiva (NN): Boleh ceritakan sedikit sebanyak mengenai diri anda?

Rasul Muravitsky (RM): Umur saya baru 23 tahun. Saya warga Belarusian, dilahir dan dibesarkan di kota Baranavichy. Seawal umur 9 tahun lagi sudah didedahkan kepada latihan bertinju oleh pakcik saya.

Kemudian saya terus maju dengan mendalami teknik-teknik berlawan yang lain. Pendek kata hidup saya didedikasikan untuk bertarung sahaja.

Agama sudah tiada keperluan lagi di dalam hidup saya melainkan metafora semata-mata. Akhirnya pada umur 17 sudah pun berjaya diterima menyertai pertarungan Profesional.

Kemudian saya dikerahkan untuk memasuki angkatan tentera di mana bakat bertarung saya berjaya diserapkan ke dalam unit Latihan Khas Belarus (Special Forces).

Setelah tamat kontrak dengan pasukan tentera, saya kembali semula kepada pertarungan tinju. Saya kemudiannya berkahwin. Banyaknya tempat saya bertarung dan banyak kemenangan yang diperolehi membuatkan nama saya menjadi sangat terkenal.

Yang paling membuatkan saya gembira adalah satu acara pertarungan tinju yang diaturkan oleh pegawai kementerian Rusia, di mana Presiden Putin dan Perdana Menteri Rusia, D Medvedev menjadi penonton utama dalam perlawanan tersebut. Ianya sangat sentimental.

NN: Apakah agama kedua ibu bapa anda?

RM: Saya dilahirkan di dalam keluarga Kristian Ortodoks. Nenek saya rajin membawa saya pergi sembahyang di gereja.

Bagaimanapun jiwa saya yang masih muda dan kuat memberontak ini menimbulkan banyak persoalan dalam diri saya. Semasa di dalam gereja saya memerhatikan berdozen orang di dalam gereja itu yang dianggap suci dan mulia.

Aktiviti serupa turut dilakukan di dalam mana-mana gereja. Kita tak tahu adakah mereka itu benar-benar baik, atau tidak pernah membunuh sesiapa sebelum ini, atau mungkin seorang pencuri di luar itu?

Datang ke gereja untuk sekadar mencuci dosa sahaja. Tetapi di luar kembali kepada sifat jahat kita tak tahu?

Saya berasa sangat sedih. Seolah-olah tiada makna untuk menjadi seorang beragama. Akhirnya saya mengambil keputusan mengabaikan agama, tetapi tidak pernah berhenti untuk mempercayainya.

NN: Dan kemudian bagaimana anda kembali kepada Islam?

RM: Ada satu kisah menarik mengenai perkara ini. Pada satu hari saya pergi ke bandar Moscow atas jemputan seorang rakan untuk bertarung tinju bawah tanah.

Di sana terdapat banyak kelab sukan amatur yang menawarkan perlawanan tinju dengan ganjaran yang sangat tinggi. Semuanya diaturkan dengan bagus sekali.

Penginapan percuma, makanan disediakan yang sangat sedap, dan paling menarik hadiah juara satu pertarungan adalah USD400. Satu nilai yang sangat lumayan di Timur Eropah ini.

Semasa di sana, saya melihat ramai rakan peninju yang merupakan bekas anggota tentera Rusia dari selatan negara itu, yang rata-rata beragama Islam.

Sikap mereka sangatlah berbeza dengan peninju Rusia yang lain ataupun dari negara jiran. Peninju Muslim tersebut sangat kuat hubungan sesama mereka dan saling menjaga antara satu sama lain.

Mereka sanggup membantu rakan-rakan mereka sedaya upaya mereka. Ini adalah konsep persaudaraan yang sangat kurang diamalkan oleh atlet-atlet bangsa Slavic macam saya ni. Saya kagum dengan mereka.

Kemudian saya pun mendekati para peninju Muslim Rusia tersebut. Saya ikuti kumpulan mereka dan berlatih bersama-sama.

Saya sempat juga melihat aktiviti keagamaan mereka, di mana mereka rajin solat secara berjemaah. Cara mereka berbahasa pun sopan, tidak sesekali mencarut dan bercakap kasar, tidak minum alkohol dan yang paling penting tidak terjerumus ke dalam aktiviti penagihan dadah.

Kerana apa? Kerana itu semua diharamkan oleh agama mereka Islam! Ini membuatkan saya banyak berfikir selama berhari-hari. Pergaulan ini benar-benar memberikan kesan impak mendalam kepada saya kemudiannya.

Saya memberanikan diri bertanyakan apakah pengertian aktiviti yang mereka buat iaitu semasa bersolat itu. Mereka gembira menerangkan dengan cermat mengenai solat.

Mengajar saya mengenai Rasulullah SAW. Dan kemudian mengajar saya beberapa ayat Al-Quran. Proses ini mengambil masa berbulan-bulan dan saya semakin teruja mendapat maklumat baru setiap hari mengenai Islam.

Proses kerohanian yang sangat ditekankan oleh agama ini sangat berbeza dengan konsep ketuhanan dalam Ortodoks yang diajar kepada saya selama ini. Saya menyedari bahawa Kepercayaan itu masih wujud dan sudah saya temui sekarang ini – iaitu Islam.

Kemudian berlaku masalah di dalam kelab tinju kami. Kewangan kelab bermasalah akibat salah urus wang kelab. Akibat tidak mampu lagi membayar gaji dan latihan kami, akhirnya kelab itu pun bungkus dan terpaksa ditutup.

Maka mahu tidak mahu saya terpaksa kembali pulang ke Baranavichy. Ini memang sangat menyedihkan akan tetapi saya reda sahaja.

Di dalam perjalanan pulang saya berfikir dengan mendalam dan apabila sampai saja di kampung, saya telah pun menetapkan hati untuk memeluk agama Islam. Saya bergegas berjumpa dengan seorang Muslim Belarus di sana dan beliau membantu proses pengIslaman saya kemudiannya.

NN: Apakah yang mengubah hidup anda selepas memeluk Islam?

RM: Banyak. Antaranya mendapat ramai sahabat baru beragama Islam. Tetapi yang paling penting, saya rasa Islam memberikan saya perasaan Kepercayaan kepada Tuhan yang Esa melebihi daripada apa yang diamalkan oleh penganut Ortodoks.

Saya berikan contoh, ramai Ortodoks mempercayai Tuhan dan ajaran-Nya. Tetapi berapa ramai pula penganut Ortodoks yang menyembah-Nya setiap hari?

Mereka hanya datang ke gereja pun sekali sekala sahaja, itu pun sekadar mahu mengucapkan terima kasih kesyukuran ataupun apabila mereka ada masalah dan mahu meminta sesuatu daripada Tuhan. Ini adalah satu konsep yang sangat salah sama sekali.

Kepercayaan pada Tuhan akhirnya menjadi lubuk untuk mengaut keuntungan. Ia menjadi satu bisnes. Berapa banyak gereja seluruh dunia ni kaya raya dengan kutipan wang derma daripada ahli-ahli mereka?

Terdapat kes Paderi yang juga adalah seorang jutawan yang mengawal tabung amanah yang sangat lumayan hasil kutipan derma masyarakat ini.

Seseorang yang ingin mencuci dosa pun senang sahaja – hanya perlu menderma kepada gereja dan anda sudah bertukar menjadi manusia suci bersih!

Perkara ini benar-benar membuatkan saya sangat marah! Dalam Islam tiada hal sebegini rupa. Jika anda mahu mengetahui apa saja mengenai Tuhan, datang saja ke masjid dan boleh bertanyakan apa saja mengenai keTuhanan secara percuma.

Tiada siapa akan meminta bayaran daripada anda. Memang terdapat juga kutipan yang dilakukan di dalam masjid, akan tetapi segala hasil direkodkan oleh Imam dan dibentangkan di hadapan jemaah.

Berapa nilai dikutip dan di mana ia dibelanjakan dan berapa banyak sedekah semula pada jemaah yang daif memerlukan pun semua direkodkan dan dihebahkan umum.

Anda dapat lihat betapa cermatnya wang derma itu dibelanjakan. Ini benar-benar memberikan inspirasi kepada ummah Islam.

Dan lagi satu, saya perasan semakin ramai warga etnik Belarus sekarang ini mudah menerima hidayah dan menjadi Muslim.

Tentulah masing-masing mempunyai motif sendiri, tetapi apa yang saya dapati terdapat satu faktor utama yang menyebabkan penduduk Belarus kembali kepada syahadah – mereka semua memerlukan satu sistem sokongan, baik daripada faktor spiritual mahupun fizikal. Satu kesatuan ummah tanpa mengira bangsa, etnik dan negara.

Dan itulah apa yang Islam mampu berikan. Tiada agama lain yang mampu menyalurkan solidariti kesatuan seperti agama Islam ini.

Sebagai contoh lain di Belarus kelazimannya apabila seseorang bertembung satu sama lain di jalanan, masing-masing akan buat tak endah sahaja.

Seperti tiada apa-apa dorongan untuk bertanya khabar antara satu sama lain. Seolah-olah wujud suasana keterasingan saja.

Masing-masing akan laju melangkah pergi. Tiada komunikasi yang berlaku di situ.

Sebaliknya jika anda seorang muslim, jika anda menegur seorang muslim yang lain dan mereka menyambutnya dengan tangan terbuka. Daripada keterasingan yang saling tidak kenal boleh bertukar menjadi kawan semudah itu. Inilah indahnya Islam.

Saya percaya dengan konsep ukhuwah dalam Islam ini yang terbaik. Daripada mengasingkan diri antara satu sama lain, kita perlu bersatu, perlu merapati dan saling mengenali antara satu sama lain.

Membentuk komuniti yang kuat persaudaraannya. Ini akan memberi banyak faedah kepada negara sebenarnya.

NN: Bagaimana pula pandangan sahabat rakan saudara terhadap pilihan anda memeluk Islam itu?

RM: Yang paling penting mak saya kata, ”Buatlah apa yang terbaik untuk diri kamu”. Saya anggap itu sebagai satu keberkatan.

Nenek pula banyak merungut tetapi menerima keputusan saya dengan tangan terbuka. Isteri saya masih belum membuat keputusan lagi untuk memeluk Islam, tetapi kini tidak lagi memakan masakan kegemaran dia dahulu, iaitu sup daging babi.

Walaupun begitu, saya ambil masa yang lama, iaitu 6 bulan selepas memeluk Islam baru saya hebahkan kepada mereka.

Sebelum itu saya banyak buat perubahan diri, tidak lagi minum alkohol, tidak lagi bergaduh tepi jalan, kerap berada di rumah dan rajin membaca Al-Quran.

Mereka akhirnya menerima perubahan saya ini dengan terbuka hati, tanpa merasa terkejut apabila melihat banyak perubahan pada diri saya berbanding sebelum ini.

Kawan-kawan pula sangat terkejut dengan pilihan saya ini. Tetapi apabila melihat perubahan positif diri saya, ramai pula yang berminat untuk mendalami mengenai agama Islam ni. Ramai yang bertanya mengenai kepercayaan baru saya ini. Saya rasa sangat teruja.

Tetapi masih ramai juga yang memerli saya, dengan kata seperti begini, ”Eh, kau lepak dengan pengganas (terrorist) ke?” merujuk saya Muslim sebagai terroris.

Saya tak marah langsung malah tergelak melihat gaya mereka ini. Lawak betul. Ada pula saya dikatakan pengganas. Namun saya kemudian menerangkan pada mereka mengenai Islam sebenarnya.

Saya katakan semula pada mereka, "Umat Islam sudah hidup di Belarus semenjak beratus-ratus tahun dahulu, (maka) berapa banyak letupan bom yang berlaku sini?”.

Mereka pun tergelak sama dan menerima bahawa Islam itu bukanlah pengganas sebagaimana dipersepsikan oleh media Barat.

NN: Bagaimana pula dengan anak-anak anda?

RM: Saya sedang mendidik mereka di dalam aturan tatacara kehidupan seorang Muslim sekarang ini. Terpulang kepada mereka sama ada untuk memeluk Islam atau tidak.

Beredarnya masa kelak, mereka akan semakin memahami Islam ini dan mudah-mudahan akan gerakkan hati mereka memeluk agama fantastik ini.

Saya tidak akan sesekali memaksa anak perempuan dan lelaki saya memeluk Islam. Saya akan biarkan mereka membuat keputusan sendiri.

NN: Selepas memeluk Islam, adakah semangat kenegaraan Belarus anda semakin luntur?

RM: Saya menukar kepada agama baru, bukan menukar negara saya. Saya tiada masalah bersolat di mana-mana, asalkan tempat itu bersih daripada kotoran seperti darah dan sebagainya.

NN: Adakah kepercayaan baru anda ini memberi inspirasi kepada anda di dalam gelanggang?

RM: Sudah tentu! Selepas bersolat saja, saya berasa sangat tenang. Ia membentuk keperibadian saya. Memberikan kekuatan kerohanian dan spiritual.

Menariknya, kuasa fokus saya sekarang ini semakin meningkat selepas memeluk Islam. Saya sekarang ini menjadi peninju Muslim Eropah Timur yang terkenal sekarang ini.

Lihat, setakat ini tiada langsung peninju Muslim Rusia yang datang dari wilayah Islam, Dagestani, Ingush, Azeri, Chechen. Tiada.

Saya satu-satunya peninju Muslim paling dikenali dunia datang dari Eropah Timur. Saya rasa ini semua anugerah daripada Allah Swt.

Seperkara lagi, selepas menganut Islam, saya berjaya menubuhkan sebuah asrama sekolah latihan tinju MMA di Baranavichy. Separuh daripada pelajar saya datang dari selatan Rusia, wilayah Muslim.

Tetapi jangan risau. Saya tidak sesekali memaksa pelajar saya memeluk agama Islam. Yang saya haramkan adalah penggunaan bahasa kasar, mencarut, buli dan bergaduh sesama sendiri.

Itu haram sama sekali dalam Islam. Inilah yang saya akan tekankan dalam jati diri para pelajar saya ini.

Nota editor: Artikel ini diterjemah oleh Amzarul Yuzrin Mohd Yusof.

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb | Sentiasapanas

Wang Kertas Palsu RM100 Dan Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenainya

Wang Kertas Palsu RM100 Dan Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenainya

BNM sebagai pihak yang bertanggungjawab sedang menjalankan siasatan terperinci dan memantau kes wang palsu RM100 dipercayai didalangi oleh sebuah sindiket.

Wang+Palsu+RM100

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa terdapat laporan melibatkan wang kertas not RM100 mereka digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pemalsuan.

BNM kini berkerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera bagi memberkas mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini.

Menurut siasatan, wang kertas not RM100 palsu itu didapati berkualiti rendah dan boleh dikenal pasti melalui cetakannya yang kurang bermutu dan ciri-ciri keselamatan tiruan yang digunakan.

Wang+Palsu+RM100 [2]

Justeru itu, pihak BNM menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada polis dengan segera sekiranya mempunyai atau menerima wang kertas palsu tersebut.

Cara Mengenalpasti Wang Palsu

Untuk mengenal pasti sama ada wang kertas adalah tulen atau palsu, sila perhatikan dan periksa ciri-ciri penting berikut yang merangkumi empat aspek iaitu ‘Rasa, Lihat, Padan dan Periksa‘ yang terdapat pada wang kertas.

(i) Rasa pada wang kertas dan bezakan kualiti serta ciri cetakan yang timbul pada wang kertas.

Wang kertas tulen menggunakan substrat (bahan) bermutu tinggi dan oleh itu ia adalah unik berbanding dengan kertas biasa.

Anda disarankan supaya memeriksa ciri cetakan timbul yang terdapat pada potret di wang kertas dan pada angka denominasi dan teks.

(ii) Pegang dan halakan wang kertas ke arah cahaya lampu putih dan perhatikan ciri-ciri berikut.
  • Potret tiga dimensi DYMM Yang di Pertuan Agong pertama kelihatan lebih terang dan nyata berbanding dengan warna kertas di sekitarnya. Potret ini akan kelihatan tanpa garis-garis yang jelas.
  • Tanda pandang telus reka bentuk grafik pada bahagian depan dan belakang wang kertas akan kelihatan selari dan membentuk imej corak dan numeral yang lengkap.
  • Benang keselamatan dengan ciri teks mikro yang dijalin secara bersulam pada wang kertas.

(iii) Sengetkan wang kertas untuk melihat ciri warna dan corak yang berubah-ubah pada jalur holografik dan benang keselamatan.

Benang keselamatan kanta mikro bagi wang kertas RM100 akan dapat dilihat apabila wang kertas disengetkan di bawah cahaya terang.

(iv) Semak wang kertas dengan menggunakan kanta pembesar atau lampu sinaran UV.

Hanya mempunyai dua elemen warna fluorescent, manakala teks, logo dan jalur fiber akan berwarna kemerahan, kekuningan dan kebiruan dibawah pencahayaan UV.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri wang kertas Malaysia, orang ramai turut digalakkan untuk memuat turut aplikasi My Ringgit di Apple Store atau di Google Play.

Wang+Palsu+RM100 [3]
Wang+Palsu+RM100 [4]

Aplikasi ini menyediakan panduan interaktif dan ciri-ciri keselamatan mata wang Malaysia merangkumi piawai kualiti bagi mata wang malaysia, nasihat umum dan maklumat tambahan berkaitan ringgit.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman sesawang Bank Negara Malaysia di pautan www.bnm.gov.my.

BACA INI JUGA:

Sumber: mynewshub

Thursday, September 08, 2016

Maksud Sebenar Gelaran Dato', Datuk, Tun, Tan Sri Dan Sebagainya

Maksud Sebenar Gelaran Dato', Datuk, Tun, Tan Sri Dan Sebagainya

Apa sebenarnya perbezaan gelaran Dato', Datuk, Tun, Tan Sri dan Sebagainya? Sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita.

Datuk Shah Rukh Khan

Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan.

1. Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?

Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan.

Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk.

Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan penyelarasan dan memudahkan pembacaan, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum.

Info tambahan: Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.

2. Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan

Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

“Tun” merupakan gelaran anugerah tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan".

Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg).

Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".

3. Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran Datuk atau Dato' Kurniaan Negeri

Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk/Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.

Johor: Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Pahang: Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri/YH Dato'.

4. Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita

Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki.

Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor).

Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.

5. Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu

Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).

Info tambahan: Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.

6. Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza

Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’.

Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'.

Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu:
  1. Pehin Sri
  2. Datuk Patinggi
  3. Datuk Amar
  4. Dato Sri
  5. Datuk
  6. Dato
  7. Datu

Nota: 'Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah.

Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut:
  • Kedah: Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
  • Selangor: Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
  • Perak: Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
  • Pahang: Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
  • Negeri Sembilan: Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
  • Perlis: Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
  • Pulau Pinang: Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
  • Sabah: Datuk Seri Panglima, Datuk
  • Melaka: Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
  • Wilayah Persekutuan: Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk

7. Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan

Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja.

Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Penutup

Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Ibnurusydi