Tuesday, September 06, 2016

Filem Zombie ‘Train To Busan’ Bukan Kisah Biasa

Filem Zombie ‘Train To Busan’ Bukan Kisah Biasa

Sebenarnya aku dah layan cerita ‘Train To Busan’ beberapa hari lepas bersama dengan beberapa orang sahabatku.

Train To Busan

Tapi atas desakan daripada sahabat yang memang nak sangat tengok filem ini, tetapi menantikan dulu yang nak sangat baca review aku ke atas Train To Busan, maka aku pun nukilkan artikel ini untuk tatapan kalian. Jadi, aku nak mula dari mana ya?

Cara aku menonton filem biasanya aku cuba mencari bagaimana sebuah filem cuba menyampaikan mesej-mesej kepada minda bawah sedar manusia.

Aku memandang sebuah seni sebagai bermutu apabila mempunyai tugas untuk mendidik manusia dan mempunyai mesej-mesej yang kuat untuk tatapan manusia. Dan kali ini, filem Korea ini benar-benar mendidik masyarakat di luar sana.

Cerita bermula dengan seorang fund manager yang akhirnya, terpaksa melupakan kerja-kerjanya demi memenuhi permintaan satu-satunya anak perempuannya untuk menemaninya sepanjang perjalanan ke Busan di dalam sebuah gerabak kereta api.

Selain watak fund manager dan anak perempuannya, ada pasukan baseball sekolah menengah Korea, serta pasangan suami isteri yang di mana si isterinya mengandung.

Aku tidak berminat untuk mengulas filem ini kalau sekadar merumuskan sahaja jalan ceritanya. Itu bukan namanya review. Itu bercerita semula.

Cerita ini bermula dengan cliche filem zombie-zombie yang lainnya. Permulaan wabak zombie berlaku dalam masa sekadar sehari sahaja, tanpa wabaknya diketahui dan dikesan oleh kebanyakan agensi kerajaan yang berdekatan.

Train To Busan [2]

Ianya hanya menjadi kecoh apabila wabak ini tidak terkawal. Ketika itu, seluruh Korea baru menyedari bahawa setiap antara mereka menjadi gila. Padahal ikut realiti, ianya memerlukan rentetan hari-hari yang menyumbang kepada wabak epidemik ini.

Berdasarkan hari terjadinya wabak ini, seharusnya seluruh Korea mengetahui sudah apa yang terjadi. Kuarantin sudah digerakkan dan seluruh aset ketenteraan dan polis sudah berjaga dan mengetahui apa yang berlaku.

Cliche filem zombie biasa ialah seolah-olah, perubahan masyarakat tidak diketahui dan dikesan sehinggalah pada saat di mana hampir ribuan malahan jutaan rakyat menjadi zombie barulah semua dalam keadaan panik yang semuanya sudah terlambat.

Tetapi disebalik cliche yang dijumpai dalam kebanyakan filem zombie, apa yang menariknya, ini filem zombie pertama, yang kalian tidak akan dapat melihat aksi menggunakan senjata api untuk menghancurkan kepala zombie.

Lagak aksi memecahkan tempurung kepala zombie hampir tidak wujud. Saya suka dengan gambaran seperti ini kerana filem zombie yang lain, apabila wabak zombie tersebar, maka watak-watak filem tersebut, yang sebelum ini bukanlah seorang fighter, atau mempunyai latar belakang kepolisian dan ketenteraan menjadi sangat kuat dan badass, malah ketepatan tembakan mereka mengalahkan pemenang pingat emas olimpik!

Pacing filem ini sangatlah sesuai dan sempurna. Apa yang penting dalam filem thriller yang bersulamkan horror ini, kalian harus berdepan dengan pacing yang dibina secara berperingkat tetapi sesuai untuk membina rasa thrill dan suspen.

Oleh kerana pacenya sangat sempurna, thrill yang dicipta mampu membuatkan pawagam tempat saya tonton, saling tak tumpah seperti Tamil Nadu di mana kita dapat melihat bagaimana penonton bersorak dan memberi semangat kepada hero-hero dalam filem ini.

Selain daripada aksi thrill yang hebat, filem ini tidak ketinggalan menyelitkan unsur komedi sebelum kita akan dipaksa menangis meleleh air mata pada penghujungnya.

Sudah tentu, mesej filem ini sangatlah kuat. Sebuah sindiran kepada kapitalis-kapitalis dan keluarga chaebol yang menguasai Korea Selatan, tentang bagaimana kepentingan mereka telah memakan negara Korea.

Watak seorang ahli perniagaan, COO sebuah syarikat yang menjadi antagonis utama dijadikan simbolik kepada kerakusan para kapitalis.

Train To Busan [3]

Watak utama yang juga merupakan seorang lelaki yang memperelakan dirinya menjadi anjing kapitalis dengan menjadi seorang fund manager yang pada awalnya digambarkan sebagai lelaki yang lebih memetingkan diri dan sanggup menindas golongan bawahan demi mengangkat golongan atasan di Korea Selatan.

Lalu kemudian, kita dapat melihat bagaimana lelaki ini yang pada awalnya hanya mementingkan anak perempuannya, sehingga sanggup mengorbankan survivalist yang lain di dalam gerabak kereta api demi memastikan anaknya selamat.

Namun, insiden yang terjadi di salah satu stesen yang melibatkan di mana akhirnya suami kepada wanita yang dia mahu korbankan demi kepentingan dirinya akhirnya menyelamatkan anaknya sendiri.

Watak seorang yang rela diperalatkan oleh kapitalis ini akhirnya “bertaubat”. Lagi-lagi selepas mendapat tahu bahawa syarikat tempatnya bekerja ialah dalang disebalik tragedi itu.

Berbeza dengan lelaki tadi, COO yang menjadi antagonis filem ini bukan sahaja mementingkan dirinya, tetapi telah menjadi penghasut kepada para penumpang kereta api yang lain untuk memilih jalan hitam sepertinya untuk menentang hero dan kumpulannya yang masih memilih nilai kemanusian disebalik kejatuhan tamadun manusia.

Sepertinya, ciri-ciri COO itu ialah ciri kebiasaan para kapitalis koruptor yang lagi korup diluar sana.

Aku kira ini ialah sebuah pertembungan 2 manusia yang dari longkang najis yang sama, tetapi tidak semestinya akan berakhir menjadi najis juga.

Sebelum salah seorang daripada mereka bertaubat pada pertengahan hidup mereka, manakala seorang lagi yang merupakan kapitalis tegar korup yang memang selalu menindas orang kebanyakan, telah menjadi pengkhianat yang menyebabkan banyak nyawa survivalist yang lain melayang.

Ini ialah sebuah filem yang sangat kuat moral dan mesejnya. Sindiran untuk golongan kapitalis dan chaebol Korea yang menguasai negara itu bagi aku disampaikan dengan berkesan, tetapi sangatlah halus.

Train To Busan [4]

Dan aku suka perlambangan yang sangat kuat dalam ini. Chaebol-chaebol yang menguasai Korea telah menjadikan rakyatnya tak ubah seperti zombie-zombie.

Contohnya ialah industri pembedahan plastik di Korea. Ketika para kapitalis menghasut nilai kecantikan yang palsu kepada rakyat Korea sehingga mereka mendapat untung, rakyat akhirnya saling tak tumpah seperti zombie yang matlamat utama dalam hidup mereka, mengubah ketentuan tuhan dan tidak mampu bersyukur dengan anugerah tuhan.

Hari ini, Korea Selatan dipenuhi oleh zombie-zombie plastik yang dibentuk sendiri oleh para kapitalis mereka melalui pelbagai cara.

Rating? 4/5 bintang!

BACA INI JUGA:

Sumber: Thevocket | Sentiasapanas

Enggan Jadi Isteri Kedua Punca Fara Fauzana Batal Perkahwinan?

Enggan Jadi Isteri Kedua Punca Fara Fauzana Batal Perkahwinan?

Belum pun reda berita pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana membatalkan perkahwinan pada saat akhir, tiba-tiba peminat hiburan dikejutkan pula dengan desas-desus mengenai status calon bakal suaminya.

Fara Fauzana

Menurut seorang sumber kepada Harian Metro, perkahwinan itu dibatalkan secara drastik disebabkan oleh status Hafiz yang masih lagi merupakan suami orang.

Jelas sumber itu lagi, Fara baharu sahaja mendapat tahu mengenai perkara itu apabila tarikh perkahwinannya semakin dekat.

“Silap dia sendiri sebab tak berterus-terang, sepatutnya dia perlu jujur. Akhirnya status perkahwinannya ‘kantoi’ dengan Fara.

“Dalam perkara ini dia tak boleh sorok. Bukan apa, ia perkara sensitif. Apatah lagi Fara golongan selebriti terkenal. Mahu atau tidak, perkara ini pasti menjadi heboh,” tulis Harian Metro.

Tambah sumber itu, ekoran enggan menjadi isteri kedua kepada Hafiz yang juga ahli jawatan kuasa satu parti politik di ibu kota, Fara mengambil keputusan membatalkan majlis tersebut.

Terdahulu, Fara membuat kenyataan rasmi memaklumkan perkahwinannya bersama jejaka bernama Hafiz yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini dibatalkan atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat dikongsikan.

BACA INI JUGA:

Sumber: Mynewshub | Sentiasapanas

Elak Makan Buah-buahan Selepas Bersenam, Boleh Menyebabkan Berat Badan Naik!

Elak Makan Buah-buahan Selepas Bersenam, Boleh Menyebabkan Berat Badan Naik!

Pakar kesihatan terkenal, Callum Melly menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil buah-buahan selepas bersenam dengan harapan untuk menurunkan berat badan.

Bersenam

Menurut Melly, memakan terlalu banyak buah-buahan termasuk selepas bersenam boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kenaikan berat badan.

Melly memberitahu, tubuh badan sepatutnya memerlukan sejumlah karbohidrat yang mencukupi terutama selepas bersenam dan perlu diganti dengan pengambilan nasi atau ubi kentang kerana ia bagus untuk membina otot.

“Buah-buahan bagus untuk kesihatan kerana rendah kalori dan kaya dengan vitamin untuk keperluan diet seimbang,” kata Melly.

Tambahnya lagi, waktu terbaik untuk mengambil buah-buahan adalah pada waktu pagi atau 15 minit sebelum bersenam.

BACA INI JUGA:

Sumber: Kosmo | Sentiasapanas

Anwar Dan Tun Mahathir Jalin Kerjasama?

Anwar Dan Tun Mahathir Jalin Kerjasama?

Kehadiran Tun Mahathir Mohamad untuk kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menimbulkan pelbagai spekulasi.

Mahathir dan Anwar Berdamai

Timbul persoalan sama ada kedua-dua musuh politik sejak 18 tahun lalu itu akan bekerjasama lagi untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir, bagaimanapun menegaskan beliau berminat berkaitan kes itu kerana mereka mempunyai pendirian sama.

Berikut transkrip wawancara Mahathir dan Anwar dengan pemberita di kompleks mahkamah Kuala Lumpur:

***

Wartawan: Tun, boleh ulas alasan kamu lawat Datuk Seri Anwar Ibrahim? Kedua-dua kamu berdamai sejak 1997?

Mahathir: Saya berminat dengan kes ini kerana seperti yang kamu tahu ia berkaitan MKN. Saya telah tulis blog dan beliau juga buat perkara sama. Beliau akan hentikan (akta itu).

Jadi saya datang jumpa beliau dan berbual panjang berkaitan apa yang beliau sedang buat.

Wartawan: Jadi kedua-dua kamu bersahabat, rakan dalam pembangkang?

Mahathir: (Ketawa) Saya tidak tahu tentang kawan, tetapi saya bercakap dengan beliau... (rakaman tidak jelas).

Wartawan: Adakah kamu restuianya sebagai PM jika pembangkang berkuasa?

Mahathir: Saya restui tindakan beliau terhadap MKN dan juga kes lainnya.

Wartawan: Restui beliau sebagai PM?

Mahathir: (Ketawa) Itu terlalu awal untuk saya putuskan.

Wartawan: Adakah kamu berdamai dengannya sekarang?

Mahathir: Saya tidak berdamai dengannya.

Wartawan: Apa (bincang) dalam?

Mahathir: Berkenaan kes ini.

Wartawan: Kisah lama tak ada?

Mahathir: Kisah lama dah.

Wartawan: Pasal kes ini?

Mahathir: Ya.

Wartawan: Jadi saling memaafkan dan melupakan? Permulaan baru untuk kedua-dua kamu?

Mahathir: Itu tidak terlibat.

***

Ketua Umum PKR yang kini meringkuk di penjara disoal sama ada beliau mempercayai Mahathir sekarang berbanding semasa dirinya mengutus surat kepada ahli-ahli PKR, Mei lalu, mengingatkan mereka terhadap kerjasama dengan bekas perdana menteri itu.

Wartawan: Adakah kamu mempercayai Mahathir?

Anwar: Saya hargainya... hakikat bahawa beliau cukup baik hati dan menyokong permohonan ini, (beliau) ucapkan selamat berjaya dan sentiasa sihat.

Wartawan: Adakah kamu mempercayai beliau sekarang?

Anwar: Tidak, kami akan terus berunding ....

Wartawan: Kamu percayainya sekarang berbanding waktu kamu menulis surat amaran kepada ahli supaya berhati-hati?

Anwar: Pendirian saya, nombor satu, (adalah) kebajikan rakyat paling utama, ini bermaksud sesiapa yang ingin berunding, mesti menerima agenda perubahan kami. ..

Ini bukan mengenai mempercayai atau tidak. Sesiapa yang menyokong agenda reformasi mesti diberi peluang untuk bersama.

Wartawan: Beliau telah dapat kepercayaan kamu?

Anwar: Beliau bersedia datang ke mari dan menyatakan sokongannya dengan permohonan (mahkamah) ini dan mengucapkan saya supaya sentiasa sihat dan dengan itu saya anggap beliau menyokong agenda reformasi.

Kami membincangkan isu lain hanya secara umum. Tumpuan kami kepada permohonan (halang Akta MKN) tetapi kami juga membincangkan isu-isu lain, tetapi kami akan mengumumkannya.

BACA INI JUGA: Sejarah Politik Zahid Hamidi Yang Ramai Tak Tahu!

Sumber: MK | Sentiasapanas

Benarkah Kewangan Kerajaan Pusat Dalam Keadaan Genting?

Benarkah Kewangan Kerajaan Pusat Dalam Keadaan Genting?

Salah satu ciri belanjawan yang diidam-idamkan oleh semua negara di dunia dan dituntut oleh badan-badan kewangan antarabangsa adalah keseimbangan di antara hasil dan perbelanjaan.

Bajet 2016

Inilah yang disebut sebagai belanjawan seimbang. Tetapi ia lebih berupa impian daripada kenyataan bagi kebanyakan negara.

Dalam keadaan biasa pun ia sukar dicapai apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

Antara matlamat dan ikrar utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila mengambil alih teraju Kementerian Kewangan pada akhir tahun 2008 ialah menghapuskan defisit belanjawan secara berperingkat.

Kemudian sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 beliau menjadikan belanjawan seimbangan sebagai salah satu matlamat penting Program Transformasi Nasional. Beliau berhasrat mencapai idealisme itu menjelang tahun 2020.

Secara amnya, dasar itu menampakkan kemajuan. Defisit belanjawan, iaitu perbezaan antara hasil dan perbelanjaan, dapat dikurangkan daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.2 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu juga hutang kerajaan melambung kerana meminjam dengan banyak untuk membiayai pembangunan.

Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan naik dari RM250 bilion pada tahun 2010 kepada RM656 bilion pada akhir Jun lalu.

Ini adalah angka rasmi yang disiarkan di internet oleh Bank Negara dan dikemaskinikan pada 30 Ogos iaitu sehari sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan ke-59.

Jumlah ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara dan mencecah had pinjaman yang Mohd Najib sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2008, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib, hutang kerajaan berbanding KDNK adalah 41.24 peratus. Nisbah ini lebih rendah pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan menjadi tambah meruncing sejak sembilan bulan terakhir sehingga Jun tahun ini. Dalam tempoh itu, hasil kerajaan lebih rendah daripada belanja mengurus. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dalam bahasa yang mudah, hasil yang kerajaan pungut tidak pun cukup untuk membayar gaji kakitangan awam, menyelenggarakan harta awam dan membayar balik hutang.

Hatta pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun telah jatuh di bawah jumlah yang dianggarkan kerana pengguna tidak lagi berbelanja seperti dulu.

Hasil kerajaan pada umumnya hanya cukup untuk belanja pengurusan. Kos pengurusan tinggi kerana bilangan kakitangan awam ramai dan gaji yang mereka terima boleh dikira lumayan berbanding jumlah penduduk dan hasil kerajaan.

Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi pun datang daripada sumber yang sama. Untuk membangunkan negara kerajaan terpaksa berhutang. Akibatnya hutang kerajaan sangat besar.

Dalam kedua-dua aspek perbelanjaan ini – pengurusan dan pembangunan – berlaku pembaziran yang besar akibat kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Satu lagi tanda bahawa kewangan kerajaan semakin meruncing ialah apabila kerajaan mula bermain dengan pengubahsuaian teknikal bagi memberi gambaran bahawa hasil meningkat dan hutang berkurangan.

Misalnya, baru-baru ini kerajaan memindahkan hutang perumahan kakitangan awam sebanyak RM22 bilion kepada sebuah badan berkanun baru bernama Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Untuk mencari modal ia berhutang RM25 bilion dengan menjual bon yang dijamin oleh kerajaan.

Pemindahan dari tangan kanan ke tangan kiri itu telah mengurangkan nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK sebanyak kira-kira dua peratus.

Tetapi sebaik saja hutang itu dikurangkan, kerajaan meminjam lebih banyak sehingga menyebabkan hutang terkumpul meningkat RM29 bilion dalam suku kedua tahun ini.

Natijahnya kerajaan wajib kembali kepada ikrar perbelanjaan berhemah dengan mengurangkan pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah bukan dengan memotong peruntukan kepada sektor kritikal seperti pelajaran, kesihatan dan ekonomi.

Pada masa sama, ia perlu berterus terang dengan rakyat jelata mengenai keadaan sebenar ekonomi.

Kerajaan boleh menggunakan jentera propaganda untuk memberi gambaran bahawa segala-galanya terkawal sedangkan kehidupan rakyat jelata semakin terdesak. Ekonomi tidak berbohong.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH

Chef Hilang Pendengaran Selepas Makan Hidangan 'Mi Maut'

Chef Hilang Pendengaran Selepas Makan Hidangan 'Mi Maut'

Seorang chef mendakwa hilang pendengaran untuk sementara waktu selepas menyahut cabaran mencuba mi paling pedas di dunia di Jakarta, baru-baru ini.

Ben Sumadiwiria

Memetik laporan Metro.co.uk, Ben Sumadiwiria, 22, telah ke restoran yang menghidangkan mi yang digelar sebagai ‘Mi Maut’.

Mi Maut dikatakan 4,000 kali lebih pedas daripada sos cili-cuka, Tabasco, dan 100 kali lebih pedas daripada cili burung.

Teruja untuk mencuba, chef dari London, United Kingdom itu memesan sepinggan Mi Maut dari dapur restoran.

Menurut Sumadiwiria, pada suapan pertama, dia mula berpeluh, dan pening.

Dia kemudiannya mendakwa tidak dapat mendengar apa-apa selepas beberapa minit mengunyah mi tersebut.

“Ini memang mi paling pedas yang saya pernah rasa. Sebaik sahaja ia masuk ke dalam mulut, saya mula berpeluh dan mula terasa mual.

“Semua yang mencuba akan memuntahkan mi ini ke dalam tong sampah,” katanya.

Meskipun telah menghabiskan setengah dozen air sejuk, sepinggan pencuci mulut dan segelas besar air kelapa, Sumadiwiria masih tidak dapat menghilangkah rasa pedas dan sakit kepalanya.

Sumadiwiria juga dikatakan terpaksa membuka baju dan merendamkan kepalanya ke dalam air sejuk untuk menghilangkan rasa pedas.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH | Sentiasapanas


Monday, September 05, 2016

Saling Bertentang Mata, Anwar Dan Mahathir Akhirnya Berjabat Tangan!

Saling Bertentang Mata, Anwar Dan Mahathir Akhirnya Berjabat Tangan!

Setelah hampir dua dekad tidak bertentang mata disebabkan perseteruan, Anwar Ibrahim akhirnya bertemu dengan bekas bosnya, Tun Mahathir Mohamad di mahkamah hari ini.

Anwar Dan Mahathir Akhirnya Berjabat Tangan

Foto yang merakamkan detik Anwar dan Mahathir berjabat tangan sambil tersenyum itu tersebar secara meluas di media sosial.

Foto itu dirakam apabila Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru diluluskan.

Kumpulan empat keping foto pertemuan bersejarah itu dikongsikan oleh presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail di laman Facebook rasminya.

"Pertemuan pertama selepas 18 tahun 2 hari.. sejak 2 September 1998," kata isteri Anwar, menyatakan tarikh Dr Mahathir memecat timbalannya itu yang mencetuskan krisis politik dalam laungan "Reformasi".

Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Beri Najib Kuasa Lebih Dari Agong

Anwar Dan Mahathir Akhirnya Berjabat Tangan [2]

Walaupun perintah darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong memberi pertimbangan sewajarnya kepada hak-hak warganegara yang ditahan, namun hampir tidak ada had kepada kuasa perdana menteri di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata akta itu menjadikan Datuk Seri Najib Razak dari segi teknikal lebih berkuasa daripada Agong dengan mengisytiharkan zon keselamatan dan hanya bertanggungjawab kepada dirinya sendiri.

Mahathir berkata walaupun Pengarah Operasi MKN mempunyai kuasa bertindak, kuasa mutlak terletak kepada perdana menteri sebagai pengerusi MKN.

Selepas membaca dengan teliti perlembagaan dan akta itu sendiri, Mahathir menyenaraikan beberapa kuasa yang diberikan oleh Akta MKN kepada perdana menteri:
  • Untuk mengosongkan dan memindah orang, mengiystiharkan perintah berkurung, mengawal pergerakan jalan raya, jalan air dan pesawat udara;
  • Menahan individu, menggeledah dan menyita kenderaan serta harta peribadi;
  • Mengambil hak milik sementara tanah, bangunan atau harta, memusnahkan bangunan yang tidak diduduki dan permintaan untuk sumber;
  • Menggunakan kekerasan yang munasabah dan perlu; dan
  • Mengetepikan inkues, menguatkuasakan kewajipan kerahsiaan dan mengabaikan prosiding guaman dan undang-undang.

Mahathir menegaskan bahawa ini sahaja memberi kuasa berbahaya kepada Najib.

"Dia boleh menggunakan kekerasan yang munasabah dan mengetepikan sebarang inkues, sekiranya seseorang pegawai penguat kuasa atau orang yang ditangkap mati. Beliau dilindungi sepenuhnya terhadap guaman dan prosiding undang-undang.

"Semua prosiding MKN akan menjadi rahsia rasmi. Tiada anggota majlis boleh mendedahkan apa-apa, termasuk perbuatan jenayah yang dilakukan," dakwa Mahathir dalam blognya.

BACA INI JUGA:

Sumber: MMO | Siakapkeli | MK | Sentiasapanas

Gambar Perkahwinan Shu Qi Dan Stephen Fung Yang Mengejutkan Peminat!

Gambar Perkahwinan Shu Qi Dan Stephen Fung Yang Mengejutkan Peminat!

Pelakon jelita Hong Kong, Shu Qi mengejutkan peminat dengan mengumumkan perkahwinannya dengan pelakon yang kini menjadi pengarah filem, Stephen Fung.

Shu Qi Wedding

Perkahwinan mereka sekaligus menamatkan khabar angin yang bertiup kencang tentang hubungan romantis mereka sebagai pasangan kekasih sejak dua tahun lalu.

Shu Qi atau nama sebenar Lin Li-Hui telah memuat naik video dan gambar perkahwinannya dengan Stephen di laman sosial Instagram miliknya.

Shu Qi Wedding [2]
Shu Qi Wedding [9]

"Perkahwinan kami ringkas. Busana perkahwinan kami juga lebih 'kasual' itu yang disampaikan Shu dalam kenyataan yang di muat naik dalam satu portal hiburan," kata Shu Qi.

Namun, ramai yang kecewa selepas Shu Qi dan Stephen mengesahkan mereka tidak akan mengadakan majlis resepsi menandakan untuk menyambut hari bahagia mereka.

Shu Qi Wedding [3]

Shu Qi dan Stephen menegaskan bahawa, mereka memutuskan untuk hidup bersama bukan kerana menantikan cahaya mata.

Kenyataan itu dinyatakan kerana ia sering belaku dalam kalangan selebriti Hong Kong.

Shu Qi Wedding [4]

Zhang Ziyi, bintang Crouching Tiger, Hidden Dragon antara pelakon yang mengumumkan kehamilan sebelum melangsungkan perkahwinan dengan pemuzik terkenal, Wang Feng.

Shu Qi, pelakon filem aksi The Assassin mengenakan gaun pengantin ringkas dan kelihatan tersenyum sepanjang majlis bersejarah tersebut. Stephen pula kelihatan segak mengenakan sut hitam.

Shu Qi Wedding [5]

Seperti kebanyakan pengantin, pasangan yang sering berkongsikan foto bersama-sama di media sosial ini memegang sekeping kad tertera perkataan "Married".

Shu Qi yang berasal dari Taiwan, memulakan kariernya dalam bidang peragaan. Shu, yang sudah berusia 40 tahun, kemudian berhijrah ke Hong Kong dan melebarkan sayapnya di layar perak.

Shu Qi Wedding [6]

Dia sebelum itu, tampil dalam filem erotik, sebelum bakatnya dicungkil untuk beraksi dalam filem blokbuster Hong Kong.

Menerusi filem Viva Erotica yang diterbitkan pada 1996, Shu Qi yang dikenali dengan imej bibir menggiurkan itu dinobatkan Pelakon Pembantu Terbaik dan Pelakon Baharu Terbaik pada Anugerah Filem Hong Kong.

Shu Qi Wedding [7]

Stephen, 42, bermula sebagai pelakon dan penyanyi di Hong Kong. Namun, sejak akhir-akhir ini, beliau lebih tertumpu kepada kerja-kerja belakang tabir.

Selaku pengarah pula, beliau pernah mengemudi filem Kung Fu, Tai Chi 0 dan sekuelnya, Tai Chia Hero."

Shu Qi Wedding [8]

Pasangan ini mula menjalin hubungan cinta ketika membintangi drama, Bishonen pada tahun 1997.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani | Sentiasapanas

Samsung Malaysia Akan Menggantikan Semua Galaxy Note 7 Pelanggan Tempatan

Samsung Malaysia Akan Menggantikan Semua Galaxy Note 7 Pelanggan Tempatan

Setakat 1 September, sudah hampir 2.5 juta Galaxy Note 7 telah terjual seluruh dunia dan dilaporkan bilangan Galaxy Note 7 yang sudah mengalami letupan telah meningkat sebanyak 35 unit.

Samsung Galaxy Note7

Masalah ini merupakan masalah paling teruk pernah dialami telefon flagship selain daripada masalah #bendgate pada iPhone sebelum ini.

Tahniah buat Samsung Malaysia yang sangat responsif mengambil tindakan, pihak Samsung Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi, mengatakan mereka akan menggantikan semua Galaxy Note 7 untuk pelanggan tempatan.

Ia akan dilakukan pada minggu-minggu akan datang, dan pengguna yang telah membelinya boleh menghubungi Samsung Malaysia melalui talian 1-800-88-7799 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses ini.

Memandangkan Samsung Galaxy Note 7 mengalami masalah yang serious, boleh dikatakan Samsung Galaxy S7 Edge masih dilabel sebagai ‘King of Android Phone’ manakala untuk kategori flagship dibawah paras harga RM2000, Oneplus 3 dan Huawei P9 merupakan pilihan yang baik.

Isu Samsung Note 7, 'rahmat' tersembunyi buat Apple?

iPhone 7

Susulan penghentian penjualan sementara telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 gara-gara insiden bateri peranti itu yang dilaporkan meletup, nama pesaing terdekat Samsung, iaitu Apple, turut menjadi bualan.

Isu yang dihadapi oleh Samsung itu disebut-sebut oleh sesetengah pihak sebagai satu rahmat tersembunyi buat syarikat gergasi teknologi, Apple Inc.

Biarpun bukan sesuatu yang disengajakan, namun ramai melihat apa yang berlaku itu sebagai memberi manfaat kepada Apple, terutama sekali dengan kemunculan iPhone 7 yang dijangka akan dilancarkan pada 7 September.

Tetapi dalam masa yang sama, Apple juga tentunya turut merasakan tekanan dalam memastikan inovasi terbaharu mereka itu tidak akan mengalami masalah dan menepati selera pengguna semasa.

Jika sebelum ini ramai yang merasakan iPhone 7 akan 'membosankan' namun dengan kontroversi yang melanda Samsung, ramai pula yang tidak sabar untuk melihat apa yang bakal ditawarkan iPhone 7.

Pun begitu, portal CNBC News yang memetik kenyataan seorang penganalisis aplikasi, Daniel Newman, pula melaporkan, Apple tetap punya isu tersendiri yang perlu diselesaikan jika mahu produk terbaharu mereka itu bersaing dengan Samsung.

"Apa yang penting adalah apa yang ditawarkan telefon berkenaan, bukan jenamanya.

"Sistem operasi Android berjaya menarik perhatian kerana ia mampu memberikan pengguna apa yang diinginkan mereka.

"Jika iPhone 7 yang dijual dengan harga yang tinggi gagal memuaskan hati pengguna, ia tetap akan mempunyai masalah," kata Newman, seperti yang dipetik portal CNBC.

Apple akan mengadakan satu majlis khas di San Fransisco 7 September ini dan ia dijangka untuk melancarkan siri terbaharu iPhone.

BACA INI JUGA: Handphone Gergasi Paling Besar Di Dunia

Sumber: Thevocket | Astroawani | Sentiasapanas

Fara Fauzana Batal Perkahwinan, Hafiz Enggan Komen

Fara Fauzana Batal Perkahwinan, Hafiz Enggan Komen

Pada 1 Ogos, Farah mengumumkan bakal menghakhiri zaman bujangnnya dengan Hafiz, seorang ahli perniagaan berusia 30an.

Fara Fauzana

Namun secara tiba-tiba, bekas penyampai radio Farah Fauzana membatalkan perancangan perkahwinan  yang sepatutnya berlangsung pada 17 September 2016.

Farah dalam satu kenyataan kepada pihak media berkata keputusan dibuat atas sebab-sebab peribadi.

Keputusan itu juga dibuat perbincangan bersama kedua-dua orang tuanya.

"Namun setelah memikirkan perkara ini dengan sedalam-dalamnya, juga memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT serta membincangkan perkara ini bersama kedua orang tua dan keluarga terdekat saya, saya tekad untuk tidak meneruskan pernikahan dan percaya bahawa keputusan ini adalah yang terbaik," katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, beliau juga berkata memerlukan ruang untuk menenangkan fikiran ketika melalui waktu amat sukar ini.

"Saya berharap kenyataan yang saya keluarkan ini secara tidak langsung akan menjawab pertanyaan segelintir rakan-rakan wartawan yang barangkali sudah menghidu berita ini.

"Ketika ini, saya harus mengakui bahawa saya sedang melalui waktu-waktu yang amat sukar dan memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran.

"Justeru, saya mungkin tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan lanjut daripada rakan-rakan media," kata Farah.

Beliau mengenali Hafiz sejak dua tahun yang lalu sebelum majlis merisik di kediamannya pada Februari lepas.

Hafiz Enggan Komen

Pemuda yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Fara Fauzana, Mohamed Hafiz enggan mengulas lanjut berhubung pembatalan perkahwinanya bersama selebriti itu.

Memetik BHOnline, Hafiz ketika dihubungi enggan memberi komen lanjut dan akan membuat kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

"Setakat ini, saya tiada sebarang komen. Tunggulah sehari dua nanti. Saya pun baru tahu mengenai kenyataan media itu daripada pemberita yang menghubungi saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata selama ini, dia tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan atas sebab peribadi.

BACA INI JUGA:

Sumber: astroawani | BH | Sentiasapanas