Pada Oktober 1979, sepasang suami isteri dari Dover, England, merancang untuk pergi mengembara ke Perancis dan Sepanyol.
Gambar hiasan.
Pasangan itu, Geoff Simpson dan isterinya Pauline dan rakan baik mereka Len Gisby dan isterinya Cynthia.
Dari Dover, mereka menaiki feri melintasi Selat Inggeris untuk memasuki Perancis. Setibanya di negara itu, mereka menyewa sebuah kereta dan memandu ke bahagian utara Perancis.
Apabila hari mulai gelap, mereka bercadang untuk mencari hotel di daerah Montelimar untuk bermalam.
Dari tepi jalan mereka ternampak sebuah motel lalu berhenti. Di lobi motel ada seorang lelaki berpakaian seragam warna plum yang gayanya agak ketinggalan zaman.
Lelaki itu memberitahu, semua bilik telah penuh sambil menunjukkan sebuah lagi motel kecil ditepi jalan menuju ke arah selatan.
Selepas mengucapkan terima kasih, mereka berlalu dan kereta dipandu mengarah ke selatan.
Semakin lama, mereka tidak lagi melalui jalan bertar tetapi memasuki sebatang jalan berbatu. Dikiri dan kanannya pula dipenuhi bangunan-bangunan lama seperti zaman dahulu.
Mereka terus memandu sehingga ternampak dua buah bangunan. Satu adalah balai polis yang kelihatan sudah lama dan disebelahnya sebuah bangunan yang sepenuhnya diperbuat daripada kayu dan tertera 'HOTEL' diluarnya.
Mereka sepakat untuk bermalam disitu dan sebaik masuk ke dalam hotel, mereka berasa pelik.
Hotel itu tidak kelihatan seperti hotel biasa. Mejanya tidak beralas, tiada lif dan tiada telefon.
Bilik mereka juga pelik. Pintu bilik bukan menggunakan kunci tombol, namun disangkutkan dengan alang kayu. Diatas katil juga tiada bantal kepala sebaliknya cuma bantal peluk.
Tilam pula dialas dengan cadar dari kain belacu, fabrik yang tidak lagi digunakan sejak sekian lama sebagai alas cadar.
Tingkap bilik juga ketinggalan zaman. Tiada tingkap kaca seperti kelaziman, hanya bidai semata-mata.
Begitu juga bilik air, sistem paipnya seperti zaman dulu, rekaan yang sudah tidak lagi digunakan.
Walaupun merasa pelik, namun kerana penat, mereka terus masuk ke bilik dan tertidur. Mereka hanya terjaga apabila cahaya matahari menembusi bidai bilik.
Mereka bersiap dan turun untuk bersarapan. Turut berada disitu seorang wanita yang memakai gaun sutera kembang seperti zaman dahulu. Gayanya seperti baru pulang dari majlis tari-menari.
Gambar hiasan.
Kemudian, masuk pula dua orang polis lelaki. Pun mereka hairan melihat pakaian polis itu. Seragam mereka tampak lusuh dan ketinggalan zaman serta memakai mantel.
Tidak seperti polis Perancis yang mereka temui sebelum sampai di kawasan hotel tersebut.
Selepas bersarapan, mereka naik semula ke bilik mereka yang terletak bersebelahan antara satu sama lain.
Mereka berkemas untuk keluar namun sempat mengambil beberapa keping gambar di dalam bilik itu.
Di kaunter, semasa hendak membayar bil, Geoff sekali lagi terkejut apabila pengurus hotel hanya meminta sebanyak 19 Franc untuk kedua-dua bilik yang mereka duduki.
Tidak percaya dengan harga itu, Geoff bertanya lagi. Dia turut menerangkan bahawa mereka berempat dan turut bersarapan di hotel tersebut. Pun begitu, harganya tetap sama.
Bagai tidak percaya dengan harga semurah itu, Geoff membayar bil hotel. Sekalipun banyak keganjilan, mereka bercadang akan bermalam di dalam perjalanan pulang.
Sebelum bergerak, Geoff dan Len sempat berborak dengan dua orang polis yang mereka lihat diruang makan hotel. Goeff bertanyakan arah jalan menuju ke sempadan Sepanyol.
Namun, polis berseragam lama itu seperti tidak faham dan tidak tahu erti 'lebuh raya' bila Geoff menyebutnya.
Sebaliknya, mereka memberi petunjuk melalui peta dan menunjukkan jalan lama yang lebih jauh daripada yang sepatutnya.
Geoff tersasar jauh bila mengikut arah yang ditunjukkan polis itu, sedangkan jalan paling dekat adalah melalui lebuh raya, tetapi sebaliknya mereka mengikut jalan lama.
Pun begitu, mereka tetap berjaya sampai di Sepanyol dan menghabiskan masa selama dua minggu mengembara di negara itu.
Tamat penjelajahan, tiba masanya untuk pulang melalui jalan sama seperti mereka datang.
Tiba di daerah Montelimar, Perancis, mereka mencari hotel lama yang pernah dihuni sebelumnya.
Namun, puas berpusing-pusing mencari, mereka tidak berjaya menemui hotel tersebut, bahkan deretan bangunan lama seperti zaman dahulu juga tidak kelihatan.
Geoff yakin mereka tidak salah jalan, malah mereka turut singgah di hotel pertama yang sebelum itu penuh.
Yang menghairankan, pekerja hotel itu menafikan ada pekerja berpakaian seragam plum lusuh yang menunjuk arah ke hotel lama itu seperti yang diceritakan Geoff.
Tidak, Geoff yakin mereka tidak salah jalan. Mereka sudah masuk simpang dan arah yang betul, cuma bangunan lama, jalan berbatu dan hotel pelik yang pernah mereka lihat dan duduki itu bagaikan sudah lenyap sekelip mata.
Akhirnya, malam itu mereka menginap di sebuah hotel moden beserta makan malam dan sarapan dengan harga 247 Franc!
Misteri Gambar Hilang
Setelah pulang dari pengembaraan itu, Geoff mencuci rol filem kameranya. Kesemua rol itu dipenuhi gambar-gambar percutian mereka, kecuali bahagian dimana mereka mengambil gambar di hotel lama yang pelik itu tidak kelihatan dalam filem.
Bahagian itu kosong, seolah-olah filem pada bahagian itu tidak pernah dicetak untuk mengambil gambar, sedangkan Geoff dan Len yakin mereka memang ada mengambil gambar di bilik hotel itu.
Geof dan Len tidak pernah menceritakan pengalaman misteri ini kepada sesiapa kecuali kepada rakan-rakan terdekat mereka.
Tiga tahun kemudian, salah seorang rakan Geoff membawa sebuah buku yang di dalamnya ada gambar pakaian polis Perancis era 1905.
Yang mengejutkan, pakaian polis dalam gambar itu benar-benar sama dengan polis yang ditemuinya di hotel pelik itu.
Seorang wartawan yang mendapat tahu tentang kisah itu kemudiannya menembual Geoff dan Len.
Tidak lama kemudian, kisah misteri yang dialami mereka bukan sahaja disiarkan dalam surat khabar malah juga di televisyen.
Penyiasat juga turut mengkaji negatif filem milik Geoff dan mereka mendapati pada filem yang kosong itu ada kesan dimana kamera cuba berfungsi untuk mengambil gambar tetapi lubang gegancu pada negatif filem mengalami kerosakan.
Peliknya, kerosakan itu hanya pada negatif dibahagian tengah filem, gambar yang diambil di hotel tersebut, sedangkan gambar sebelum dan selepas itu elok sahaja.
Misteri 'Time Slip'
Gambar hiasan.
Pada tahun 1985, seorang pakar psikiatri, Albert Keller, melakukan hipnosis ke atas Geoff untuk melihat sama ada dia benar-benar mengingati kejadian misteri itu.
Dibawah pengaruh hipnosis, Geoff menceritakan satu persatu apa yang dilihat dan dialami semasa di hotel tersebut. Tidak ada satu pun yang berubah ceritanya.
Jenny Randles, seorang penulis warga British yang mengkaji fenomena misteri ini berpendapat, apa yang berlaku pada kedua-dua pasangan itu mungkin ada kaitan dengan 'time slip', satu keadaan di mana mereka telah dibawa kembali ke zaman silam.
Namun, apa yang menghairankan, mengapa pengurus hotel dan polis yang ditemui mereka langsung tidak terkejut melihat kehadiran mereka berempat, dimana pakaian dan kenderaan mereka jauh lebih moden daripada zaman mereka. Tiada siapa yang dapat mengesahkan.
Jika dikaji, bandar Montelimar merupakan antara bandar tertua di Perancis dan sudah dihuni sejak zaman era Celtic sebelum tahun Masihi mula digunakan.
Sememangnya bandar ini merupakan 'bandar kuno' yang kaya dengan pelbagai sejarah dan peradaban.
Mungkin benar mereka telah dibawa ke tahun 1905, namun mujurlah tahun itu, bagaimana kalau mereka kembali ke era yang lebih kuno?
BACA INI JUGA:
-SENTIASAPANAS.COM