Sunday, July 17, 2016

19 Lagi Fakta Menarik Tentang Sejarah Emas!

19 Lagi Fakta Menarik Tentang Sejarah Emas!

Emas, seperti yang semua orang tahu, merupakan komoditi yang sangat berharga dan telah menjadi metal berharga yang digunakan oleh semua peradaban sejak awal kewujudan manusia.

Emas

Kami telah pun berkongsi beberapa artikel mengenai sejarah emas sebelum ini dan sebagai tambahan, kami kongsikan beberapa lagi informasi tentang emas yang sangat menarik untuk pembaca.

1. Perkataan Inggeris 'Gold' datangnya daripada asas Proto-Indo-European 'Ghel/Ghol' yang membawa maksud kuning, hijau ataupun boleh jadi juga bercahaya.

2. Tiada benua yang tidak mempunyai emas!

3. Dikatakan bahawa, hampir 80% emas yang ada di dunia masih lagi belum dilombong.

4. Emas akan mencair pada suhu 1064.43 darjah selsius.

5. Emas boleh mengalirkan haba serta elektrik dan tidak pernah berkarat.

6. Lebih 75% daripada emas yang berada di pasaran sekarang telah dilombong sejak tahun 1910.

7. Ketulan emas terbesar yang pernah ditemui ialah 'Welcome Stranger'oleh John Deason dan Richard Oates di Australia pada tahun 1869. Ketulan itu sebesar 10x25 inci yang bila dileburkan telah menghasilkan 2,248 auns emas tulen.

8. Puak orang asli di Amerika percaya, mengambil emas boleh menyebabkan seorang manusia mampu 'terbang'.

9. Harga emas melebihi USD$1,000 pada Mac 2008 walaupun berlaku kemerosotan ekonomi ketika itu.

10. Dianggarkan kira-kira 142,000 tan emas telah dilombong sehingga kini.

11. Ketulenan emas dikira dengan ukuran 'karat'. Perkataan karat itu sendiri datangnya daripada perkataan 'Carob seed' iaitu standard biasa untuk timbangan kuantiti kecil yang digunakan di Timur Tengah.

12. Karat boleh ditentukan pada 10, 12, 14, 18, 22 dan 24. Semakin tinggi nombor karat tersebut, maka semakin tulenlah emas itu. Misalnya, untuk digelar emas penuh, emas itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 karat dan untuk emas tulen pula, ia perlulah mencapai 24 karat.

13. Pingat emas pada sukan Olimpik tahun 1912 diperbuat daripada emas sepenuhnya, manakala pingat emas yang diperolehi oleh atlet pada temasya Olimpik kini hanya mempunyai kira-kira 6 gram emas di dalamnya.

14. Pada tahun 560 Sebelum Masihi, Lydian ialah bangsa pertama yang memperkenalkan syiling yang diperbuat daripada emas.

15. Perbicaraan 'Pyx' ataupun ujian umum untuk menentukan kualiti sesuatu emas mula-mula diperkenalkan pada tahun 1282 di England dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

16. Emas dan tembaga ialah besi pertama yang ditemui oleh manusia sekitar 5,000 Sebelum Masihi dan mewakili besi yang tiada warna keputihan.

17. Lombong emas pertama di Afrika Selatan boleh mencecah kedalaman sehingga 12,000 kaki dan suhunya pula boleh mencapai 130 darjah Fahrenheit.

18. Untuk mendapatkan hanya satu auns emas, sebanyak 38 jam diperlukan, sebanyak 1,400 gelen air digunakan dan kuasa elektrik yang menyamai bekalan ke sebuah rumah selama 10 hari selain keperluan bahan kimia lain seperti sianid, asid, boraks dan limau.

19. Emas tulen adalah sangat lembut sehingga boleh dibentuk dengan tangan.

Semoga mendapat manfaat..

BACA INI JUGA: SAH! 41 Telefon Bimbit Mengandungi 1 Gram Emas!

-SENTIASAPANAS.COM

Gula Punca Segala Penyakit

Gula Punca Segala Penyakit

Ramai tidak tahu penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung sebenarnya berpunca daripada gula, bukan lemak seperti diketahui umum selama ini.

GULA+PENYAKIT

Gula diambil bukan sahaja secara langsung daripada minuman bahkan makanan berkarbohidrat seperti nasi selain manisan kuih-muih tradisional, kek dan aiskrim.

Di Malaysia, penggunaan gula adalah yang tertinggi menyebabkan penyakit-penyakit kronik meningkat saban tahun, manakala di negara maju yang mengutamakan kesihatan seperti di Jepun, penggunaan gula bukan sahaja pada tahap minimum, bahkan sukar untuk mendapatkan gula putih di pasaran mereka!

Bagaimana gula merosakkan badan?

Gula diambil akan memasuki aliran darah yang kemudiannya akan menyebabkan pankreas melepaskan insulin (insulin diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga).

Apabila sejumlah besar gula diambil lebih banyak insulin dikeluarkan, sekali gus menyebabkan kita mengalami kejutan tenaga yang tinggi.

Apabila insulin tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurangan dengan mendadak sehingga timbul tanda-tanda kekurangan gula seperti keletihan, kurang tumpuan dan pening sejurus mengambil makanan manis.

Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak. Lebih banyak insulin dihasilkan, lebih banyak lemak terkumpul.

Selain menyebabkan obesiti dan kerosakan gigi, gula juga dikaitkan dengan masalah kesihatan serius seperti kerosakan fungsi hati, penurunan sistem imuniti badan dan diabetes.

Gula putih terdiri daripada sukrosa iaitu gabungan glukosa dan fruktosa. Berbanding glukosa, fruktosa akan menyebabkan toksiditi meningkat lebih tinggi.

Walaupun dengan sejumlah kecil kalori, kesan negatif lebih kelihatan. Selain penghasilan lemak yang tinggi, ia juga menyebabkan penurunan enzim badan iaitu nitric oksida.

Enzim nitric oksida diperlukan oleh badan untuk mengekalkan tekanan darah pada tahap normal. Enzim itu juga diperlukan dalam proses pemulihan tisu-tisu dalaman, dan jika ia berkurangan akibat fruktosa tinggi di dalam badan, maka tekanan darah akan meningkat dan boleh menyebabkan serangan angin ahmar (strok).

Gula juga menjurus kepada perkembangan ‘sindrom metabolik’ (penyakit metabolik kronik) yang disebabkan obesiti dan kemudiannya meningkatkan risiko menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung.

Malah gula yang menyumbang peningkatan 50 peratus obesiti sejak sedekad lalu kini dianggap ‘pembunuh’ utama di Malaysia!

Justeru, elak pengambilan gula, gantikan dengan manisan asli seperti madu dalam pemakanan harian.

Selain itu, berpuasa bukan sahaja akan mengurangkan kandungan gula dalam darah, malah dapat memecahkan lemak dalam badan, sekali gus dapat menurunkan berat badan.

DR. NORZAIDI ZAKARIA
Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim)

BACA INI JUGA: Khasiat Memakan Pisang Yang Anda Tidak Tahu

Sumber: utusan

Al-Biruni, Pakar Perbandingan Agama Pertama Di Dunia!

Al-Biruni, Pakar Perbandingan Agama Pertama Di Dunia!

Siapakah pakar perbandingan agama pertama di dunia? Khilafah Abbasiyah adalah kuasa global nombor satu di dunia ketika pakar ini diahirkan.

Al-Biruni.jpg
Gambar hiasan.

Sebut sahaja “Ana Muslim”, ia memberi makna prestij sebagai ahli umat terbaik, tergagah dan yang paling bertamadun. Ekonomi China pun dimonopoli oleh umat Islam ketika itu!

Pada masa inilah, seorang ulama melahirkan tidak puas hati dengan wacana perbandingan agama pada zamannya kerana ia tidak adil, hanya bergantung pada rujukan sekunder yang tidak diedit, bukan pada rujukan utama yang asli.

Contohnya, seorang penyelidik ingin menulis tentang agama Hindu. Apa yang berlaku ialah penyelidik ini tidak menuntut ilmu tentang agama Hindu dari ilmuwan Hindu yang beragama Hindu sendiri.

Dia berpuas hati mengambil maklumat daripada mereka yang mungkin memusuhi agama Hindu. Penyelidik ini pula tidak berusaha untuk belajar bahasa Sanskrit iaitu bahasa asal Hinduisme.

Bahkan, jika seorang penyelidik adalah Muslim, dia mungkin mengambil maklumat daripada Muslim lain yang mempunyai prejudis terhadap agama Hindu.

Maka, maklumat yang diberikan adalah bersifat polemik iaitu hanya untuk membuktikan agama Hindu itu sesat dan agama Islam itu benar, bukan benar-benar untuk memahami ajaran Hindu yang sebenar. Bagaimana penyelidik ini boleh digelar “pakar”?

Bagi Abu Raihan Muhammad bin Ahmad al-Biruni, atau singkatannya “al-Biruni”, penyelidik-penyelidik yang mempunyai ciri-ciri di atas tidak boleh digelar “Pakar” perbandingan agama dalam erti kata yang sebenar.

Maka, al-Biruni pun belajar bahasa Sanskrit sehingga beliau mampu terjemahkan daripada Sanskrit ke bahasa Arab dan daripada bahasa Arab ke Sanskrit! Dua hala.

Beliau terjemahkan kitab-kitab Sanskrit agama Hindu seperti Yogasutra Patanjali dan Samkhya.

Al-Biruni berkata, “Saya tidak teragak-agak untuk mendapatkan kitab-kitab Sanskrit walau susah macam mana pun atau membelinya dengan harga apa pun dari tempat yang dekat atau yang jauh dan dari ilmuwan Hindu yang memahami kitab-kitab ini dan boleh mengajar saya.” (Kitab al-Hind)

Pada tahun 1017, al-Biruni bermusafir ke benua India demi untuk belajar kitab-kitab Hindu dari ilmuwan Hindu sendiri dan menulis sebuah masterpiece yang bakal membuktikan ketamadunan umat Islam yang tinggi dalam menghasilkan wacana perbandingan agama iaitu “Kitab al-Hind” (tajuk singkatan). Kitab ini diterjemahkan oleh Dr Edward Sachau.

Prof Annemerie Schimmel menulis dalam bukunya yang bertajuk Islam: An Introduction bahawa Kitab al-Hind adalah kitab pertama di dunia yang membincangkan sejarah sebuah agama secara objektif. Kitab ini mendapat pengiktirafan daripada tokoh-tokoh agama Hindu sendiri.

Apakah tujuan al-Biruni menulis masterpiece ini? Beliau berkata bahawa Kitab al-Hind bertujuan “untuk membantu mereka yang ingin berdialog agama dengan penganut Hindu dan sebagai gedung maklumat”. Matlamat dakwah al-Biruni jelas dalam tujuan yang dinyatakan.

Dakwah bukan menghina agama lain atau mencari kesalahan kitab agama lain untuk menangkan Islam. Dialog antara penganut agama tidak akan berjaya dengan cara bermusuhan.

Dalam Kitab al-Hind, al-Biruni menulis bahawa Brahmin Hindu selalu rasa bangga dengan kasta mereka tetapi al-Biruni juga menulis bahawa beliau sedar umat Islam adalah lebih hebat lagi daripada umat lain dan Islam adalah satu-satunya agama yang benar.

Bagi al-Biruni, kehebatan umat Islam terbukti bukan dengan penyelidikan ilmiah yang bersifat bias terhadap agama lain.

Ketamadunan umat Islam terbukti dan dihormati oleh semua bila kesarjanaan kajian oleh umat Islam bersifat objektif dan mempunyai nilai ilmiah yang tinggi.

Al-Biruni berkata, “Saya tidak akan mengemukakan hujah-hujah lawan (penganut-penganut Hindu) demi untuk mematahkan hujah-hujah mereka dan membuktikan kepalsuannya seperti yang saya beriktikad. Kitab saya hanyalah sebuah rekod fakta sejarah yang mengemukakan teori-teori agama Hindu sebagaimana yang ada.”

Al-Biruni menyebut bahawa umat hendaklah menggambarkan akhlak “menegakkan kebenaran walaupun ia bertentangan dengan diri sendiri” seperti yang dinyatakan dalam surah 4:135.

Akhlak ini hendaklah di aplikasikan dalam penyelidikan ilmiah dan dialog antara penganut agama. Barulah umat kita dihormati sebagai umat yang paling bertamadun.

BACA INI JUGA: 5 Ciptaan Terhebat Umat Islam Yang Mengubah Dunia!

Sumber: SH

Archelis Chair, Kerusi Untuk Mereka Yang Selalu Kerja Sambil Berdiri!

Archelis Chair, Kerusi Untuk Mereka Yang Selalu Kerja Sambil Berdiri!

Bagi mereka yang selalu bekerja sambil berdiri, tentu anda sangat mengimpikan sebuah kerusi untuk menghilangkan lenguh.

Archelis Chair

Tahukah anda, ada sejenis kerusi khas telah dicipta untuk anda dan ianya dinamakan sebagai Archelis Chair.

Kerusi ini bukanlah seperti yang biasa anda lihat. Ia lebih kelihatan seperti pendakap kaki yang membalut punggung dan kaki anda.

Archelis Chair [2]

Kelebihannya, anda boleh duduk di atas 'kerusi' ini sambil berdiri, malah boleh digunakan sebagai kerusi!

Archelis Chair [3]

Jadi, dengan menggunakan peralatan ini, kini anda boleh merehatkan kaki yang lenguh semasa 'berdiri' ketika melakukan kerja.

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Kerusi Antik Pembawa Maut!

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, July 16, 2016

Fenomena Pokemon Go, Mengejar Dunia Maya Dan Mengganti Realiti

Fenomena Pokemon Go, Mengejar Dunia Maya Dan Mengganti Realiti

Dalam filem The Matrix, watak Morpheus lakonan Laurence Fishburne mendedahkan kepada Neo bahawa dunia yang dianggap nyata sebenarnya rekaan komputer semata-mata.

Pokemnon Go vs The Matrix [2]

Ketika bertemu buat kali pertama, Morpheus memberi Neo dua pilihan - telan pil biru untuk terus hidup dalam khayalan; atau telan pil merah dan keluar dari ‘The Matrix’ dan kenali dunia nyata.

Lebih 17 tahun selepas filem tersebut ditayangkan, garis pemisah dunia maya dan nyata semakin kabur.

Para pengguna telefon pintar yang sudah sedia taksub dengan media sosial kini disajikan dengan satu lagi ketagihan.

Pokemon Go

Fenomena terbaharu yang melanda dunia, Pokemon Go dan 8 Perkara Tentang Pokemon Go Yang Anda Perlu Tahu, permainan mudah alih augmented reality yang dibangunkan oleh Niantic.

Bersandarkan permainan video terbitan Nintendo lewat 1990-an, Pokemon Go membenarkan pemain mengumpul koleksi ‘makhluk Pokemon’ seperti yang dilakukan oleh watak utama permainan tersebut, Ash Ketchum.

Bezanya, perkembangan teknologi membenarkan pemain memburu makhluk menerusi teknologi GPS dan jam telefon pintar yang mengesan lokasi dan waktu pemain.

Tidak kira di mana anda berada, apabila aplikasi Pokemon Go diakses, anda dapat melihat makhluk seperti Bulbasaur, Pikachu, atau Jigglypuff muncul pada skrin seolah-olah sedang bertenggek di bahu jalan, berehat di dahan pokok, atau tersenyum ke arah anda dari sebuah jendela.

Semua ini menjadikan pemain Pokemon Go terkeliru antara dunia nyata dengan paparan skrin mereka.

Tidak hairanlah sehingga ada yang terlibat dengan kemalangan jalan raya demi memburu makhluk sasaran.

Ada juga perompak yang mengambil kesempatan menggunakan lokasi pemain yang di tempat sunyi untuk diserang hendap.

Mimpi dan teknologi

Kegilaan ini bukanlah sesuatu yang aneh.

Perkembangan teknologi dan media sosial sememangnya berakar umbi dari mimpi dan kenangan zaman dahulu.

Generasi 90-an yang mengimpikan makhluk kecil bertebaran seperti dalam permainan video Pokemon kini sedang menikmati mimpi jadi nyata.

Kita hanya mampu berangan-angan untuk terus berhubung dengan teman sedarjah dan rakan sekuliah dengan mencatatkan ucapan dan melekatkan foto pada buku autograf atau majalah sekolah.

Kini setiap hari kita menekuni Facebook untuk melawat mereka yang kini sudah beranak-pinak.

Mengganti realiti

Pokemnon Go vs The Matrix

Tidak terlalu sukar untuk membongkar rahsia di sebalik kedegilan kita melepaskan telefon pintar dari genggaman.

Realiti kita sudah diganti.

Seperti mana lekanya para pemain Pokemon Go yang penuh komited menganggap setiap makhluk yang muncul di aplikasi sebagai koleksi sebenar yang perlu dijerat, begitu juga kita yang percaya media sosial itu dunia sebenar.

Segala gambar penting dalam kehidupan, tidak kira sama ada akad nikah atau bayi yang masih merah, Facebook atau Instagram akan jadi sasaran pertama untuk berkongsi berita gembira.

Kita diserang sayu saat rakan mula ‘unfollow’ akaun Twitter atau bilangan ‘like’ pada Instagram mula susut.

Kerana kita sudah memindahkan dunia kita ke alam maya dan para pemodal mahu kita terus menganut kepercayaan yang sama.

Sebab itu nilai syarikat Nintendo meningkat lebih RM30 billion dua hari selepas Pokemon Go dilancarkan.

Sekali-sekala, molek juga kita menelan pil merah seperti Neo. Dongak dan urut leher. Tinggalkan telefon pintar seketika dan lihat semula ke angkasa, sementara langit kita masih biru..

BACA INI JUGA: Perkara Yang Anda Tidak Tahu Tentang Doraemon

Sumber: Astroawani

11 Punca Buah Pinggang Rosak Yang Kita Boleh Elakkan!

11 Punca Buah Pinggang Rosak Yang Kita Boleh Elakkan!

Mengalami kerosakan buah pinggang memang tidak dipinta oleh sesiapa pun, tapi gaya hidup kita boleh mengubahnya.

Buah Pinggang

Kena cuci buah pinggang bererti kehidupan sangat terbatas. Nak kemana-mana pun susah, kecuali ada mesin dialisis yang portable yang boleh dibawa ke mana-mana.

Kali ini saya hendak berkongsi 11 faktor yang menyebabkan buah pinggang boleh rosak, agar kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga buah pinggang kita sebaik-baiknya.

1. Kerap menahan kencing.

2. Kurang minum air.

3. Suka makan makanan masin.

4. Suka minum makanan bergas atau berkarbonat.

5. Kerap terkena jangkitan kencing dalam erti kata lain, tidak menjaga kebersihan anggota kencing dengan baik atau tidak dirawat dengan sempurna.

Ini merupakan salah satu masalah kebanyakan pesakit kerana setiap kencing kotor akan diberi ubat antibiotik yang perlu dihabiskan mengikut masa. Ada pesakit yang makan sesuka hati dan ada yang sengaja makan separuh.

Antiobiotik yang tidak dimakan dengan betul lebih buruk kesannya daripada tidak mengambil antibiotik langsung.

6. Kerap makan daging merah dan makanan laut yang tinggi kandungan asid urik.

7. Merokok.

8. Kerap makan pil tahan sakit.

9. Minum alkohol berlebihan.

10. Penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis yang tidak terkawal.

11. Obesiti dan penyakit metabolik.

Jadi, kepada sesiapa yang ada masalah diatas, ketahuilah kesemua itu boleh kita elakkan.

Mereka yang menghidap sakit buah pinggang juga tidak diwajibkan menunaikan ibadat haji menurut muzakarah kebangsaan dan Lembaga Tabung Haji juga tidak membenarkan mereka ikut.

Jadi, amalkan gaya hidup yang sihat dan jagalah kesihatan buah pinggang kita.

Semoga info ini memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Manfaat Vitamin B Complex Dan Kenapa Anda Harus Mengambilnya Setiap Hari

Sumber: Ketamkecil

Tonton Bajrangi Bhaijaan Lakonan Hebat Salman Khan Dan Kareena Kapoor

Tonton Bajrangi Bhaijaan Lakonan Hebat Salman Khan Dan Kareena Kapoor

Bajrangi Bhaijaan merupakan filem Hindi lakonan hebat aktor Salman Khan di samping Kareena Kapoor sebagai watak utama. Kisah kemanusiaan yang menerapkan elemen persahabatan, kejujuran dan kedamaian.

Bajrangi Baijaan

Filem Bollywood arahan Kabir Khan ini menampilkan bintang hebat seperti Salman Khan, Kareena Kapoor dan ramai lagi.

Ia mengisahkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan bisu berasal dari Pakistan yang mendapati dirinya telah sesat di India dan tidak tahu bagaimana hendak pulang.

Seorang lelaki baik dengan sukarelanya telah membantu kanak-kanak perempuan tersebut untuk kembali ke pangkuan keluarganya.

Download Bajrangi Bhaijaan Full Movie (Malay Sub)

BACA INI JUGA: Kisah Luar Biasa Lelaki Pembelah Gunung!



Video Kucing Baca Doa Sebelum Makan Jadi Viral

Video Kucing Baca Doa Sebelum Makan Jadi Viral

Sebuah video pendek menunjukkan bagaimana lima ekor kucing mengangkat tangan berdoa sebelum makan sehingga doa selesai dibaca tuannya dan kemudian makan dengan serentak.

Kucing Baca Doa Sebelum Makan Jadi Viral

Menurut kiriman akaun Facebook, The001 yang berasal dari Indonesia, seorang wanita dilihat membariskan lima ekor kucing peliharaannya itu dan kemudian menyiapkan satu persatu bekas tempat makan semua kucing itu.

Setelah menuangkan ke dalam bekas yang sudah berada di depan kucing tersebut, wanita itu kelihatan membaca doa dan ketika doa dibacakan, kucing-kucing itu tidak berganjak satu langkah pun malah tidak ada satupun yang memakan makanannya.

Setelah doa selesai, wanita tersebut mempersilakan kesemua kucing berkenaan makan, dan kelima-lima haiwan comel itu lantas ‘menyantap’ makanan mereka dengan pantas.

Video ini telah dimuat naik dengan tagline ‘sebelum makan biasakan baca doa’ itu turut mendapat komen positif daripada ramai netizen.

“Ia mengajarkan dan mengingatkan kita sebagai manusia jika buat sesuatu harus mula dengan doa daripada hal yang kecil hingga hal besar, malulah dengan kucing yang ‘faham’ baca doa sebelum makan.”

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Makanan Manusia Yang Beracun Bagi Kucing?



Sumber: mynewshub

Friday, July 15, 2016

Spesifikasi Dan Harga Model Sedan Perodua Bezza

Spesifikasi Dan Harga Model Sedan Perodua Bezza

Sejak 20 tahun bertapak dalam industri automotif tempatan dengan pelbagai model kereta yang telah dikeluarkan, kini Perodua tampil pula dengan model sedan.

Spesifikasi Dan Harga Perodua Bezza

Model baharu itu diberi nama Perodua Bezza, merupakan model sedan sulung syarikat automotif terkemuka tempatan dan ada 9 perkara menarik mengenainya yang anda wajib tahu.

Menurut sebuah portal permotoran, Careta, yang berkesempatan memandu uji model terbaharu itu memberitahu bahawa model tersebut didatangkan dengan dua varian iaitu iaitu 1.0 liter dan 1.3 liter.

Spesifikasi Dan Harga Perodua Bezza [5]

Varian 1.0 liter didatangkan dengan transmisi manual 5-kelajuan, transmisi automatik 4-kelajuan dan Standard G iaitu gabungan manual dan auto.

Manakala varian 1.3 liter menawarkan transmisi manual 5-kelajuan, transmisi automatik 4-kelajuan. Bagi Premium X terdapat dalam manual dan auto dan bagi Advance pula hanya auto sahaja.

Spesifikasi Dan Harga Perodua Bezza [3]

PERODUA Sedan 1.0 Liter
  • Transmisi manual 5-kelajuan
  • Transmisi automatik 4-kelajuan
  • Standard G (manual dan auto)

PERODUA Sedan 1.3 Liter
  • Transmisi manual 5-kelajuan
  • Transmisi automatik 4-kelajuan
  • Premium X (manual dan auto)
  • Advance (auto sahaja)

Anggaran harga bagi kedua-dua jenis model terbaharu ini dijangka berada antara RM30,000 hingga RM55,000.

Spesifikasi Dan Harga Perodua Bezza [4]

Antara spesifikasi lain yang terdapat pada model sedan ini ialah dibina dengan objektif penggunaan bahan api serendah 22.9 km/l dan memenuhi ciri-ciri kenderaan Energy Efficient Vehicle (EEV).

Selain itu, tempat letak barang atau boot Perodua baharu itu mempunyai kapasiti sebesar 508 liter lebih besar daripada boot Toyota Vios dan Nissan Almera.

Menarik mengenai Bezza ialah semua varian dilengkapi ciri keselamatan termaju, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik( EBD).

Bagi varian Advance pula mendapat tambahan ciri Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC).

Perodua Bezza turut memperkenalkan sistem mula-henti (Eco Idle) pada varian premium yang menyamai teknologi i-Stop digunakan Mazda 2.

Sistem mula-henti berfungsi mematikan dan menghidupkan enjin pembakaran dalaman secara automatik bagi mengurangkan masa enjin melahu, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api dan pelepasan emisi.

Ya, ia sistem sama yang digunakan kenderaan hibrid dan amat berguna ketika berdepan situasi kesesakan teruk.

Spesifikasi Dan Harga Perodua Bezza [6]

Pembeli Bezza Premium X dan Advance turut dibekalkan filem pelindung keselamatan dan solar, akses pintar, punat mula-henti dan port USB untuk slot telefon bimbit di konsol belakang, punat kawalan jauh untuk bukaan but.

Ciri audio pula didatangkan standard bersama sambungan USB untuk semua varian, manakala Bezza Premium X mendapat tambahan fungsi wayarles, Bluetooth dan Bezza Advance dilengkapi sistem multimedia dengan navigasi dan ‘Smart Link’ berserta kamera undur.

Bagi versi premium, Perodua Bezza menerima penarafan keselamatan 5-bintang yang diperoleh dalam ujian perlanggaran ASEAN NCAP.

Sama seperti model Perodua sedia ada, Bezza turut ditawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000km perbatuan.

BACA INI JUGA: Risiko Sambung Bayar Kereta Yang Ramai Tidak Tahu!

Sumber: Mynewshub.cc/Pandulaju.com.my

PERODUA Lancar Kereta Sedan Pertama Dan 9 Perkara Menarik Mengenainya

PERODUA Lancar Kereta Sedan Pertama Dan 9 Perkara Menarik Mengenainya

Perodua Bezza, model sedan sulung syarikat automotif PERODUA, bakal dilancarkan dalam masa terdekat, sekaligus menyediakan lebih banyak pilihan model kepada orang ramai.

PERODUA Lancar Kereta Sedan

Selepas berjaya dengan kereta kompak sehingga mengungguli jualan kenderaan di pasaran tempatan sejak lebih 20 tahun lalu terutama menerusi model Kancil, MyVi dan Axia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kini tampil dengan model sedan.

Berikut adalah 9 perkara menarik yang perlu anda tahu mengenai Perodua Bezza sedan terbaru itu.

1. Bakal Dikeluarkan Dengan Enjin 1.0 liter dan 1.3 liter

PERODUA Lancar Kereta Sedan [1]

PERODUA sedan itu akan dikeluarkan dalam dua variasi enjin iaitu 1.0 dan 1.3. Enjin 1.0 yang digunakan adalah enjin yang sama menghidupkan Axia (tapi dengan modifikasi) manakala enjin 1.3 adalah enjin yang baharu.

2. Model pertama keluaran PERODUA menggunakan kepakaran reka bentuk tempatan

PERODUA Lancar Kereta Sedan [2]

PERODUA sebelum ini mengeluarkan kereta-keretanya berasaskan blueprint reka bentuk kereta lain. Tapi bagi sedan pertamanya, PERODUA mengambil keputusan untuk mereka bentuk sendiri keretanya menggunakan kemahiran tempatan.

3. Enjin dihasilkan di kilang PERODUA/Daihatsu di N. Sembilan

PERODUA Lancar Kereta Sedan [3]

Enjinya juga dihasilkan secara tempatan di kilang terbaru PERODUA/Daihatsu di Negeri Sembilan.

4. Varian 1.3 Mengguna Enjin Baharu iaitu 1NR-VE dwi VVT-i

PERODUA Lancar Kereta Sedan [4]

Enjin 1.3 yang bakal digunapakai dalam varian Premium X dan Advance adalah enjin baharu. Rasanya ramai yang akan membeli varian ini bagi merasai sendiri enjin baru ini selain lebih kuasa yang akan dihasilkan.

5 - Dibina dengan objektif penggunaan bahan api serendah 22.8 km/l

PERODUA Lancar Kereta Sedan [5]

PERODUA dan jimat minyak berpisah tiada!

6. Varian 1.3 Advance dilengkapi dengan sistem Eco-Idle (Varian Advance)

PERODUA Lancar Kereta Sedan [6]

Varian 1.3 Advance juga dilengkapi dengan sistem Eco-Idle dimana enjinnya akan mati sendiri apabila dalam keadaan Idle (seperti menunggu lampu isyarat). Dan sistem ini juga akan menghidupkan enjin secara automatik apabila pemandu menekan pedal minyak.

7. 5 bintang ASEAN NCAP

PERODUA Lancar Kereta Sedan [7]

Yup, model sedan ini merupakan model PERODUA pertama yang menerima pengiktirafan 5 bintang dari ASEAN NCAP. Tak dinafikan, ianya satu langkah kehadapan oleh PERODUA.

8. Dilengkapi dengan VSC (Varian Advance)

PERODUA Lancar Kereta Sedan [8]

PERODUA sedan Advance pula juga dilengkapi VSC (Vehicle Stability Control). Tambah lagi 1 bintang bagi variasi Advance.

9. Harga dianggarkan antara RM30,000 hingga RM55,000

PERODUA Lancar Kereta Sedan [9]

Melihatkan kepada harga yang ditawarkan, tidaklah jauh mana jika dibandingkan dengan Nissan Almera dan mampu milik. Jika dilihat dalam konteks harga, nyata sekali PERODUA sedan ini dicipta bagi menyaingi model PROTON saga.

BACA INI JUGA: Cara Baharu Renew Roadtax & Insuran Kereta Mulai September 2016

Sumber: Siakapkeli/Careta