Perkongsian kali ini merupakan tulisan
FAISAL TEHRANI, pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Gunting rambut?” tanya Heath.
“Cuci saja,” balasku ringkas. Aku duduk, memandang cermin memantul wajah sendiri. Heath menenyeh hujung rokok ke piring habuk, beredar membasuh tangan dan kembali. Dia juga membuka jendela.
“Maaf, rasa gian nak merokok datang lagi.”
Aku angguk.
“Sudah panjang.” Dia memegang hujung rambutku.
“Cuci saja.”
Selang beberapa lama dia menggentel kulit kepalaku, seorang perempuan berpurdah masuk. Dia ditemani seorang lagi teman yang mengenakan tudung Adijuma bercorak bunga lily.
Mereka memandangku dengan pandangan mengecam. Heath melaung nama Felicity. Gadis Tionghua asal Muar itu keluar dan menjemput kedua-dua perempuan ke kamar gunting yang terlindung, malah tertutup terus.
Sebuah bilik yang direnovasi dan kemudian ditirai di hadapan pintunya demi memastikan pelanggan tersebut mendapat privasi.
Aku melihat Heath dari cermin, “Sejak bila ada bilik untuk gunting rambut perempuan Melayu (yang kumaksudkan tentunya Muslim)...”
Heath memicit-micit kepala, membelai-belai rambutku. Barangkali dia satu-satunya lelaki gay Cina yang aku benarkan mengelus dan memintal rambutku begini. Aku sukakan Heath yang pandai menggayakan rambut.
Pernah sekali aku meminta menukar gaya rambutku persis Justin Timberlake. Dan tahun lalu, aku memintanya mewarnakan rambutku. Heath akur kehendakku sebagai pelanggan dan dia sentiasa menghormati permintaanku sebagai orang yang meraikan bisnesnya.
“Eh kan dah lama ada. Sejak ramai pelancong Arab datang. Mereka mahu bilik gunting yang tertutup. Kemudian perempuan Melayu pun mahu. Kami gajikan
hair stylist perempuan.”
“Kenapa layan permintaan mereka?”
Heath tampak berkerut. “Err…” gumam panjang, seolah-olah musykil mengapa aku menanya soalan sedemikian.
“Kenapa layan permintaan perempuan Arab dan Melayu yang mahukan bilik tertutup untuk digunting rambut mereka?” aku melanjutkan pertanyaan.
“Sebab, mereka pelanggan saya loo..” terhenti sebentar dia mensyampu rambutku.
Aku menggesa lagi, kurang berpuas hati dengan jawapan niaga itu.
Heath menarik nafas, “Itu kan kepercayaan masing-masing. Orang Islam, perempuan, ada yang pakai tudung, tutup habis… mereka bilang aurat. Saya hormati lo. Saya sediakan tempat supaya mereka boleh buka tudung. Tak ada orang lain boleh nampak.”
Jadinya, seorang Cina gay, menggaji seorang Cina perempuan, merenovasi salon agar ada sebuah kamar untuk perempuan Islam melepaskan kerudung dan mendapatkan layanan sesuai dengan hukum-hakam agamanya.
Tidakkah itu keindahan sesama manusia?
“Kamu lakukan itu kerana memenuhi haknya sebagai pelanggan, sebagai perempuan Islam. Begitu bukan?”
Heath agak berhati-hati. Dia khuatir tersilap cakap. “Ya Pak Teh, kenapa?”
“Tak apa-apa.”
Aku memejam mata, menikmati tangan besar dan padat seorang lelaki Cina yang mengganyang belakang kepalaku. Kemudian memicit tengkukku. Sedap.
Ingatanku kepada Maryam Lee, temanku yang dikatakan hilang moral adab akhlak dan
etis, perempuan yang dikatakan tiada
common sense, kerana memilih makan ‘secara terbuka’ lantaran hilang syarat kelayakan untuk berpuasa.
Perempuan yang dituduh melakukan
stunt, mengada-ngada, mereka-reka cerita, tak ada otak,
attention seeker, tak cantik tapi berlagak lawa dan tiada malu.
Mengapa dia tidak melakukannya secara tertutup?
Mengapa itu pula harus salah dia?
Aku membuka mata, “Heath…”
“Ya Pak Teh…”
“Katakan kamu buka restoran dan bukan salon. Dan ada wanita Melayu-Islam yang tak puasa kerana datang uzur, dia minta nak makan di bulan Ramadhan di kedai ini, kamu jual makanan dan layani dia atau tidak?”
Heath diam agak lama, seakan memikir ke mana arahnya pertanyaanku, “Ya saya jual.”
“Biarkan dia makan di kedai?”
“Kalau macam ini salon ada bilik tertutup, saya beri mereka masuk makan di situ. Kalau tiada, saya tariklah bidai rotan saya di belakang tu. Tapikan…”
“Ya, tapi?”
“Nanti Jabatan Agama datang kacau, mungkin saya dapat susah.”
Aku angguk, “Jadi dua hal berbeza kan?
"Satu, kamu akan penuhi hak perempuan uzur itu untuk makan di sini, malah meraikannya dengan menyediakan sebuah ruang peribadi.
"Kedua, satu hal lain, adanya undang undang yang akan menghalang kamu melakukan itu?”
“Ya Pak Teh. Em, mari kita cuci rambut di belakang. Dengan air sejuk seperti selalu.”
Tatkala membayar upah tenaga kerjanya aku memberitahu Heath, “Terima kasih Heath. Kamu orang baik.”
“Selamat hari raya Pak Teh,” balasnya sopan.
Awal minggu itu aku masuk ke kamar kerja di institut. Seorang pelajar datang mengetuk pintu. Dia datang dari Fakulti Islam.
“Maryam itu jahil. Nasihatkan dia sikit Dr.”
Aku ketawa.
“Makanya kalau dia jahil, hukum yang kalian ingin paksakan itu tercicir sama sekali.
"Hukum fikah kan mengecualikan orang uzur, orang gila, dan orang jahil.
"Kalau yang dimaksudkan jahil itu bodoh menunjuk di sini, makanya dia tergolong orang yang tertindas, kerana dia tidak mendapat maklumat tepat oleh orang semacam kamu yang mempromosi agama marah, dan bukan agama ramah.
"Apa pun secara
sosiologisnya, pabila orang bertengkar mengenai
moral policing, berakhlak atau tidak perbuatannya; Maryam telah mencapai hasil atau objektif 'eksperimen' nya - iaitu mencetus perbincangan di media sosial, tentang siapakah pemegang moral, dan apakah definisi moral, adab, akhlak dan etis.
“Dia harus berakhlak Dr… dia hilang malu.” Pelajar itu memancing kemarahanku.
“Sebagai pengarang novel, saya dikenal sebagai orang yang pernah dan masih menggelumangi pelbagai pendekatan dan kefahaman sekolah pemikiran dalam Islam.
"Jadi hujah kononnya dia tidak ihsan, tidak adab dan tidak cukup etis jangan ditujah kepada saya. Kerana, kerana kecilnya saya, telah saya tempuh semua jalan itu.”
Pelajar itu diam.
Kebetulan saja kitab Zubdat al-Asrar nukilan Sheikh Yusuf al Makasari memang ada di atas mejaku. Beliau adalah ulama tasawuf agung Nusantara abad ke-17 yang berjihad memerangi Belanda sehingga dibuang negara ke Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Nelson Mandela pernah memuji sumbangan beliau dalam salah satu ucapannya. Aku mencapai kitab tersebut, dan membaca halaman 91 dari Zubdat al Asrar fi Tahqiq Ba’d Masyarib al-Akhyar: Teks Bahasa Arab Naskah A 101 Terjemahan Bahasa Indonesia’:
[Ahli-ahli ilmu dan hikmah berkata, “Yang dimaksud dengan akhlak mulia terhadap sesama makhluk ialah menyenangkan mereka, intim dengan mereka dan tidak menjauhkan diri dari mereka.”
Dalam hal ini Sayyidina Ali Ibn Abi Talib karrama Allah wajhah berkata, “Sebaik-baiknya perbuatan adalah menggembirakan hati teman-teman.”]
Tidak aku menanti pelajar itu membantah, aku membuka halaman lain, di muka 89:
[Barang siapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah ia kafir, wassalam.
Kerana Rasulullah SAW pernah ditanya, “Siapakah orang yang paling dekat denganmu pada hari kiamat hai Rasulullah? Maka dijawab oleh Rasulullah SAW, (Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia).
Oleh sebab itu berkata sebagian ahli tasawuf RA, “Tasawuf itu adalah akhlak yang baik (mulia), barang siapa tidak berakhlak mulia ertinya ia tidak bertasawuf. Fahamilah itu.
Akhlak yang mulia itu tercakup juga dalam sabda Rasulullah SAW sebagai berikut, (Tempatkan manusia sesuai dengan darjat mereka masing-masing), dan sabdanya: (Barang siapa telah beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka ia harus menolak orang meminta-minta kerana ia adalah hadiah dari Tuhan kepada makhluk-Nya).
Sabda Rasulullah SAW, (Semua makhluk adalah ibarat keluarga, dan yang paling dekat pada Allah adalah orang yang paling bermanfaat untuk keluarganya).]
Pelajar itu bagai ingin bersuara, mencelah. Aku membuat isyarat tangan, tanda masih ingin membaca petikan dari muka 81 dan 82 kitab tersebut. Dia mesti belajar bersabar.
[Diwajibkan pula atas hamba agar selalu berbaik sangka terhadap semua orang walaupun mereka selalu jatuh berbuat maksiat, apalagi orang lain yang tidak bersalah; sesungguhnya rahmat Allah lebih luas daripada kemaksiatan tersebut.
Firman Allah taala dalam hadis qudsi: (Sesungguhnya kasih sayang-Ku mendahului kemarahan-Ku). Tidak diragukan lagi bahawa semua dosa itu termasuk di antara sesuatu, dan segala sesuatu itu dapat diampuni oleh kasih sayang Allah, sesuai dengan firman ilahi-Nya, ketahuilah itu.]
Aku mengangkat muka dan memandang pelajar tersebut. Dia hanya duduk pegun membelai janggutnya yang kian memanjang.
“Anjuran agama adalah kasih sayang. Ajaran besar Sheikh Yusuf al Makasari yang memukau ramai di Sri Lanka dan Cape Town adalah berakhlak dengan akhlak Allah, supaya manusia mencontohi akhlak Allah dan menerapkan semua sifat Tuhan kecuali kesombongan yang menjadi milik mutlak-Nya.
Akhlak luhur yang didorong beliau terjelma bukan setakat kerana kemanusiaan dan rasa perkongsian makhluk yang munasabah tetapi ia tercurah dari kesedaran yang lebih besar dan hebat iaitu rasa kongsi kemakhlukan itu kerana kita sedar apa saja di semesta ini adalah makhluk Allah.”
Aku menutup kitab berjilid merah. Mata kami bertentangan. Entah mengapa aku merasakan Heath jauh lebih Islam berbanding Muslim yang menghujahkan soal akhlak untuk membantai Maryam Lee.
Manipulasi komponen tasawuf untuk serangan sedemikian, menjengkelkanku serta-merta. Ia tidak bertanggungjawab.
“Maryam, Asiah, Khadijah dan Fatimah menjadi penghulu wanita di syurga kerana pertama, keingkaran sosial dan politik yang luar biasa terhadap pihak berkuasa ketika zaman mereka; dan kedua, kerana mereka mempertahankan risalah kebenaran.”
Pelajar itu masih mahu menghujahkan, “Ya, perempuan suci itu melakukannya dengan etis.”
“Tahukah kamu apa itu etis?”
Dia diam.
"Aku tidak sampai kepada Allah dengan banyaknya solat dan puasa, namun dengan kesabaran, kebersihan, kerendahan, kelembutan dan kemurahan hati."
"Itu kata-kata Abdul Qadir al-Jailani. Dia ahli sufi, orang akhlak, orang Ihsan, orang yang berendam tasawuf. Sepertinya Sheikh Yusuf Makasari.”
Pelajar itu beredar, tidak berganjak dari pendiriannya.
“Maryam itu
attention seeker,” Hujahnya lagi, ingin mempeluruku.
“Dalam era globalisasi
simultan tidakkah kita semua begitu, kamu sebagai contoh mengejar
likes di Facebook dan Instagram.”
Dia hanya tersengih, memandangku dengan mata tidak berkenyit.
Dia fikir dia lebih
etis dari Maryam Lee, atau dariku tentunya. Dia fikir dia lebih tahu berbanding Sheikh Makasari atau Abdul Qadir Jailani.
Tidakkah sikap arogan dan non-toleransi sedemikian itu satu kecacatan akhlak? Mengapa agama harus keras? Mengapa agama harus menghukum?
Heath mungkin tertakluk sebagai kafir harbi dari kaca mata agamawan tertentu. Tetapi kelihatannya dia cukup menyantuni permintaan perempuan Islam, berusaha memahami keperluan mereka.
Saat pelajar itu menutup pintu kamar kerjaku, aku membuka kembali kitab Sheikh Yusuf Makasari. Dan aku mulai menulis catatan yang sedang kalian baca ini.
Wallahu a'lam.
BACA INI JUGA:
Apa Dan Siapa Sebenarnya Kafir Harbi?