Sunday, June 12, 2016

Amalan Suami Isteri Patut Buat Pada Bulan Ramadhan

Amalan Suami Isteri Patut Buat Pada Bulan Ramadhan

Ramadhan seharusnya menjadi satu permulaan pada perkara yang baik jika ingin berubah. Suami isteri misalnya, wajar menjadikan bulan penuh kemuliaan ini sebagai satu titik tambah untuk memperbaiki hubungan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sedia ada.

Keluarga+Bahagia

Sebagai perkongsian Ramadan kali ini, apa kata anda suntik pembaharuan dalam hubungan sambil memupuk ikatan yang lebih utuh.

Selain mengeratkan kasih sayang, anda juga mengaut begitu besar pahala di bulan yang penuh berkat ini. Apa yang perlu anda lakukan?

1. Ajakan Berhijab

Jika isteri anda tidak menutup aurat dengan sempurna, ajaklah dia menutup auratnya di bulan yang mulia ini dengan lembut.

Jadikan ini medan percubaan untuknya tampil cantik sambil menuntut kehendak agama. Mana tahu apabila habis Ramadhan hatinya terbuka untuk berhijab penuh. Bonus bukan?

2. Pilih Memasak

Jika juadah bazar Ramadhan selalunya menjadi pilihan berbuka, apa kata ubah kebiasaan ini dengan menyediakan makanan sendiri untuk suami dan anak-anak.

HR at-Tirmizi menyebut, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa."

Ubah kelainan dan rasai nikmatnya kala makanan habis licin dijamah.

3. Jemaah & Tarawih

Tarawih solat yang membezakan bulan puasa dengan bulan-bulan lain. Ajaklah isteri atau suami untuk bertarawih di masjid bersama. Perjalanan ke masjid pastinya buat hubungan tambah erat selain memberikan situasi berbeza.

4. Sedekah Tiap Hari

Tangan yang memberi pastinya lebih baik daripada yang menerima. Jadikan tangan anda sebagai tangan yang memberi.

Ajak suami atau isteri bersedekah setiap hari di mana sahaja sepanjang bulan puasa ini. Jadikan ini teladan pada bulan-bulan seterusnya.

5. Cahaya Tahajud

Mengejar malam lailatul qadar pastinya lebih indah bila dilakukan bersama suami dan isteri tercinta.

Ajak lembut pasangan anda untuk sama-sama bangun dan bersolat penuh khusyuk keduanya menghadap Ilahi. Ganjarannya bukan sedikit, kenikmatan pasti dirasai bersama.

6. Kucup Dahi

“Rasulullah SAW sentiasa mencium dahi isterinya dalam bulan Ramadhan. Ketika itu Baginda sedang berpuasa.”

Hadis ini jelas membuktikan, Nabi SAW tetap memberikan kasih sayang baginda kepada isteri tanpa mengira waktu. Tabiat ini wajar dicontohi oleh semua suami kerana ciuman itu tanda sayang sejati.

Rebutlah ganjaran pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk berubah. Jika ciuman sudah dianggap janggal untuk anda, mulakannya semula.

Tahukah Anda

Bacaan al-Qur'an secara tadarus suami dan isteri sememangnya digalakkan, malah besar manfaatnya.

Ajak suami mengambil sebahagian juz al-Qur'an dan selebihnya diberikan kepada isteri. Berusahalah untuk khatam al-Qur'an bersama-sama sambil merasa nikmatnya.

BACA INI JUGA: Posisi Hubungan Intim Mampu Kuruskan Badan!

Sumber: Mingguanwanita

 10 Pembikinan Filem Paling Mahal Hollywood Sehingga 2016!

10 Pembikinan Filem Paling Mahal Hollywood Sehingga 2016!

Di Malaysia, kos pembikinan sesebuah filem boleh dikatakan tidak tinggi kerana kebanyakkan filem tempatan selalunya menelan kos sekitar RM1.5 juta sahaja.

Tetapi, jika dibandingkan kos pembikinan filem di Malaysia, ia hanyalah sekitar 1 hingga 10 peratus daripada kos pembikinan filem di Hollywood.

Oleh itu, kali ingin Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa filem-filem paling mahal pernah diterbitkan.

"Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides"
USD378.5 juta (sekitar RM1.5 billion)

Pirates of the Caribbean - On Stranger Tides.jpg

Filem bersiri "Pirates of the Caribbean" sememangnya filem yang dinanti-nantikan dan kejayaan filem ini diterjemahkan dengan kos pembikinan yang menelan belanja sebanyak USD378.5 juta (sekitar RM1.5 billion).

Walaupun pengkritik filem ada yang tidak berpuas hati dengan filem ini, namun ia tetap berjaya mendapat kutipan sebanyak USD1.046 billion (sekitar RM4.21 billion).

"Tangled"
USD260 juta (sekitar RM1.04 billion)

Tangled.jpg

Filem puteri Disney bagi tahun 2010 ini adalah satu-satunya filem animasi yang menelan belanja besar iaitu sebanyak USD260 juta (sekitar RM1.04 billion).

Walau bagaimanapun, kutipan filem ini di seluruh dunia boleh dikatakan agak memuaskan apabila berjaya mendapat sebanyak USD591.8 juta (sekitar RM2.38 billion).

"John Carter"
USD263.7 juta (sekitar RM1.06 billion)

"John Carter"

Filem ini pada mulanya mahu dijadikan sebagai filem animasi oleh Disney pada tahun 1930, tetapi ia tidak pernah diriliskan.

Sebaliknya, Disney menunggu hampir 70 tahun untuk meriliskan filem 'live action' ini.

Bagaimanapun, sambutan terhadap filem ini tidak seperti yang dijangkakan apabila hanya mendapat kutipan sebanyak USD284.1 (sekitar RM1.14 billion).

"Spider-Man 3"
USD258 juta (sekitar RM1.03 billion)

"Spider-Man 3"

Filem lakonan Tobey Maguire ini merupakan francais "Spider-Man" paling berjaya. Dengan kos produksi sebanyak USD258 juta (sekitar RM978.67 juta), "Spider-Man 3" berjaya mendapat kutipan memberangsangkan iaitu sebanyak USD890.9 juta (sekitar RM3.58 billion).

"Harry Potter and the Half-Blood Prince"
USD250 juta (sekitar RM1 billion)

"Harry Potter and the Half-Blood Prince"

Filem-filem "Harry Potter" ada banyak, tetapi untuk filem keenam ini, ia telah menelan belanja besar. Namun filem ini mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya mendapat kutipan di seluruh dunia sebanyak USD934.4 juta (sekitar RM3.75 billion).

"Avengers: Age Of Ultron"
USD250 juta (sekitar RM1 billion)

"Avengers: Age Of Ultron"

Selepas kejayaan filem pertama "The Avengers" pada tahun 2012, filem adiwira yang diangkat dari komik Marvel ini muncul dengan sekuelnya pada tahun 2015 yang merupakan filem ke-11 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).

Filem padat dengan aksi arahan Joss Whedon ini yang dibintangi oleh pelakon asal iaitu Robert Downey Jr., Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Chris Evans, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Samuel L. Jackson dan ramai lagi mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton di seluruh dunia.

Kejayaan itu diterjermahkan dalam jumlah kutipan iaitu sebanyak USD1.405 billion (sekitar RM5.65 billion).

"Captain America: Civil War"
USD250 juta (sekitar RM1 billion)

"Captain America: Civil War"

Marvel Cinematic Universe terus menerbitkan filem adiwira yang mana ia tampil dengan filem ketiga "Captain America" baru-baru ini.

Untuk filem ketiga arahan Anthony dan Joe Russo ini, ia menyaksikan adiwira-adiwira bertempur sesama sendiri akibat perbalahan.

Chris Evans kembali menjayakan wataknya sebagai Captain America selain pelakon lain seperti Robert Downey Jr., Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Tom Holland dan ramai lagi kembali dengan watak asal masing-masing.

Menariknya dalam filem ketiga ini ia turut menyaksikan watak adiwira Spider-Man ditampilkan dalam filem. Seperti filem-filem Marvel lain, "Captain America: Civil War" telah mencatat kejayaan besar apabila berjaya mengutip sebanyak USD957.1 juta (sekitar RM3.84 billion) sehingga kini.

"Batman V Superman: Dawn of Justice"
USD250 juta (sekitar RM1 billion)

"Batman V Superman: Dawn of Justice"

Filem pertempuran dua adiwira terbesar dunia Batman dan Superman ini adalah filem paling dinanti-nantikan oleh seluruh peminat kedua-dua adiwira ini.

Filem arahan Zack Snyder ini adalah kesinambungan dari filem tahun 2013 "Man of Steel" dan merupakan filem kedua dalam DC Extended Universe.

Ia dibintangi oleh Ben Affleck sebagai Batman dan Henry Cavill sebagai Superman serta pelakon lain seperti Amy Adams, Jesse Eisenberg, Diane Lane dan ramai lagi.

Walaupun ia mendapat liputan yang cukup luas serta dijangka akan menjadi filem terhebat tahun ini, namun sebaliknya berlaku apabila filem ini mendapat ulasan bercampur daripada pengkritik filem.

Bagaimanapun, disebalik lakonan bintang utama dikritik, namun "Batman V Superman: Dawn of Justice" telah berjaya mengutip USD870 juta (sekitar RM3.55 billion).

"Spectre"
USD245 juta (sekitar RM999 juta)

"Spectre"

"James Bond" merupakan salah sebuah francais filem paling popular sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan setiap kali filem berkisarkan tentang pengintip M16 James Bond 007 ini ditayangkan, pastinya ia akan membabitkan wanita cantik, kereta mewah dan teknologi hebat yang akan menjadi tumpuan.

"Spectre" arahan Sam Mendes ini merupakan filem James Bond paling mahal pernah dihasilkan. Ia menampilkan pelakon utama asal "Skyfall" iaitu Daniel Craig sebagai ejen 007.

Selain Daniel, ia turut dibintangi oleh Lea Seydoux, Dave Bautista, Andrew Scott, Monica Bellucci, Lucia Sciarra dan ramai lagi.

Walaupun merasakan filem terbaru ini kurang 'umph' berbanding filem-filem terdahulu, namun ia tetap berjaya mendapat kutipan tinggi iaitu sebanyak USD880 juta (sekitar RM3.59 billion).

"Avatar"
USD237 juta (sekitar RM952 juta)

"Avatar"

Filem arahan James Cameron yang ditayangkan pada tahun 2009 adalah filem keduanya yang mendapat kutipan tertinggi ketika itu selepas "Titanic" arahannya.

Pengarahnya menunggu selama 10 tahun untuk menghasilkan filem ini kerana teknologi sebelum itu belum ada untuk menzahirkan visi filemnya.

Penungguan itu berbaloi kerana filem "Avatar" telah berjaya mendapat kutipan sebanyak USD2.78 billion (sekitar RM11.21 billion).

BACA INI JUGA: 10 Filem Francais Hollywood Paling Laris Di Dunia

Sumber: Cinema

Cerpen: Raja Melawak

Cerpen: Raja Melawak

Perlahan-lahan air mata Adim jatuh ke pipi. Bukan kerana dia terharu tapi kerana malu. Kalaulah ada dikalangan orang-orang kampung melihat dia sekarang ini, pasti akan gamat seluruh kampungnya esok hari.

Raja+melawak.jpg
Gambar hiasan.

"Eh, kau ada dengar cerita pasal Adim?"

"Kenapa dengan budak tiga suku tu?"

"Dia dapat masuk Raja Lawak!"

"Biar betul?"

"Aku dengar cerita dari kawan-kawan, katanya dia terpilih untuk masuk program tu.."

"Kalau betullah, maknanya tercapai juga hasrat dia nak masuk tv ye? Bangga aku sebagai orang sekampung dengan dia!"

"Bukan kau suka maki-hamun dia ke selama ni?"

"Masa tak terkenal, memanglah aku buat macam tu. Bila nama dia dah naik lepas ni, aku bangga. Untung-untung dapat tumpang masuk tv dengan dia.."

Akop dan Jeman semakin jauh berjalan meninggalkan kedai makan Anis Lawa. Kedua-duanya masih lagi rancak berbual tentang Adim, pemuda yang sering menimbulkan banyak masalah dikampung itu.

Bukan sedikit cerita tentang Adim yang menjadi buah mulut orang kampung.

"Nampak gayanya jadi artislah dia. Menyesal pulak aku baling dia dengan stereng kereta minggu lepas!" suara Akop dari kejauhan.

Matahari kian tenggelam nun jauh di ufuk. Burung-burung berterbangan dalam kawanan untuk kembali ke sarang.

Bunyi-bunyian unggas semakin menerawang menjelajahi angkasa. Menandakan sudah sampai waktu kehidupan malam bermula.

Sayup kedengaran suara azan tatkala senja semakin merangkak ke malam.

Adim menggaya-gayakan tangannya ke udara seolah-olah pelakon pentas opera beraksi menghidupakn drama.

Dihayun-hayunkan tangannya ke kiri dan kanan sambil mulutnya terkumat-kamit berbahasa tetapi tidak sedikitpun mengeluarkan suara.

Emaknya yang sudah bertelekung hanya memerhati dengan gelengan kepala.

"Sudah tu, Adim! Berhenti jadi bangsawan sekejap. Pergi ambil air sembahyang, lepas tu solat." tegur emak Adim mengingatkan.

Adim patuh menurut arahan emaknya. Segera Adim menunju ke bilik air seraya mencapai kopiah yang terletak ditepi para dapur. Ceburan demi ceburan air kedengaran.

Emak Adim menunggu dengan sabar. Sesudah itu, Adim berjalan menuju ke ruang tamu dan mengimamkan solat emaknya.

Raja Lawak.JPG
Gambar hiasan.

"Betul kau suka apa yang kau buat ni Adim?" soal emaknya sebaik sahaja selesai mengaminkan dia yang dibacakan oleh anak lelakinya sendiri.

"Betul mak! Ini memang impian Adim selama ni. Adim nak masuk tv. Adim nak jadi terkenal. Bila dah terkenal, baru Adim boleh dapat banyak peluang. Kita boleh jadi senang nanti mak.

"Tak payahlah asyik termenung menunggu hujan berhenti supaya boleh menoreh," jelas Adim.

"Ikut suka kaulah. Mak dah tua, dah tak nak pegang duit banyak-banyak. Mak nak tengok cucu saja, ujar emaknya penuh makna.

Adim menyambutnya dengan senyum kelat. Kemudian dia bangun dari sila sebelum melipat semula sejadah yang telah digunakan.

Selepas itu Adim melabuhkan duduk pula di bendul pintu. Merenung masa depannya yang entah terang ataupun kelam dengan debar ringan di dada.

Esok adalah langkah pertama untuk mengubah kehidupannya.

"Adim!"

Adim menoleh. Akop dan Jeman dilihat sedang melambai-lambaikan angan cuba berkata sesuatu.

Suasana disekitar yang riuh dengan pelbagai gelagat serta suara-suara orang ramai membuatkan dia tidak dapat mendengar apa yang cuba disampaikan oleh kedua-dua lelaki itu.

Dengan segala kepayahan, Akop dan Jeman berjaya datang dekat.

"Tahniah Adim! Aku bangga ada kawan macam kau!" ucap Jeman sambil termengah-mengah.

"Jangan malukan orang kampung, Adim! Kami semua takkan tengok rancangan lain malam ni. Semua orang kampung nak tengok siaran Raja Lawak!" ujar Akop pula.

Adim tersenyum. Dia tidak menyangka begitu cepat perubahan yang telah terjadi walaupun dia belum lagi menjejakkan kaki ke atas pentas.

Suatu ketika dahulu, kedua-dua lelaki itu sering menjadikan dirinya sebagai beg latihan menumbuk, tapi kini semuanya sudah bertukar.

Perlahan-lahan Adim mencapai beg seraya menjeling dari dalam bas ke arah emaknya yang sedang mengalirkan air mata.

Kemudian dia berpaling pula melihat Akop dan Jeman yang dari tadi belum jemu-jemu melambaikan tangan sebagai tanda mengucapkan selamat jalan.

Adim yakin dia akan berjaya membawa namanya ke puncak kegemilangan.

.............

Malam itu seluruh dewan yang menempatkan acara Maharaja Lawak menerima sorakan yang paling gemuruh diikuti dengan hilai tawa penonton yang terbahak-bahak.

Raja+melawak [2].jpg
Gambar hiasan.

Dan jauh dari dewan itu, Adim pula sedang terkulai layu.

"Itu hari abang kata saya dapat masuk rancangan Raja Lawak! Ini apa?"

"Aku kata nak ajak kau ikut aku jual temulawak, bukan masuk raja Lawak! Kau yang salah dengar, aku pula yang kena marah!"

Terngiang-ngiang perbualan itu di kepala Adim sebelum dia tercirit di dalam seluar akibat kesedihan melampau, di kaki lima bandar besar itu.

~Tamat

LIHAT KOLEKSI CERPEN ONLINE

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, June 11, 2016

Kesilapan Yang Kerap Di Lakukan Ketika Bulan Ramadhan

Kesilapan Yang Kerap Di Lakukan Ketika Bulan Ramadhan

Kini bulan yang penuh keberkatan dan dijanjikan ganjaran yang tidak ternilai oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam iaitu bulan Ramadhan sudah tiba.

Kesilapan ramadhan.jpg

Bulan yang amat dirindui oleh mereka yang beriman dan akan mengambil kesempatan untuk mempelbagaikan amalan bagi menjadikan Ramadhan kali ini yang terbaik berbanding sebelumnya.

Selain membuat persiapan dari segi mental dan fizikal dalam usaha mengharungi cabaran ibadah, umat Islam harus peka dengan perbuatan yang kadang-kadang dilakukan dalam keadaan tidak sedar.

Kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini.

Antara yang saya maksudkan adalah:-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum.

Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda.

"Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469).

Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat: 18)

Ertinya: "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: " Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t); jawab Nabi: Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa.

Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.

Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari.

Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat.

Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.

Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki.

Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba.

Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan SAW:- Ertinya: menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram.. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?

Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut:-

Ertinya: "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

Ertinya: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sohih)

Infografik disertakan ini boleh dijadikan panduan yang akan membantu kita mengelakkan diri dari melakukan kesilapan seperti yang dinyatakan ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Kesilapan+Dibulan+Ramadhan.jpg

Sila kongsikan artikel ini untuk manfaat bersama.

Selamat berpuasa buat umat Islam.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Kelebihan Buah Kurma Berbanding Buah-buahan Lain?

Sumber: Zaharuddin

5 Makanan Ringan Berkhasiat Untuk Anak Anda

5 Makanan Ringan Berkhasiat Untuk Anak Anda

Tanpa tenaga yang mencukupi, anak anda mungkin keletihan, sekali gus menempuh hari yang lembab dan tidak bertenaga.

Anak+Sihat

Oleh itu, apabila di waktu pagi, masa menjadi sangat berharga, sama seperti merancang makan ringan yang perlu disediakan pada waktu rehat anak anda.

Anda mungkin mempunyai rutin yang perlu dilakukan pada setiap pagi, apatah lagi mahu menguruskan anak-anak ke sekolah.

Namun setiap ibu bapa mahu memberikan yang terbaik kepada anak dan tidak berkompromi dengan makanan yang diambil oleh anak mereka.

Bagi meringankan beban untuk menyediakan makanan ringan dengan pantas kepada anak anda, kami menyediakan senarai makanan ringkas dan tidak perlu dimasak untuk diberikan kepada anak anda bagi dibawa ke sekolah.

Sandwic tuna dan keju

Sandwic tuna dan keju

Apa yang anda perlukan untuk menyediakan makanan ini adalah setin tuna, mayonis, kepingan keju dan sayuran seperti tomato, salad dan timun selain roti sebuku roti.

Anda boleh menggunakan tuna atau makanan bertin lain yang sudah digaul dengan mayonis serta potongan sayur sebagai cara mudah pada setiap pagi untuk menyediakan bekalan sandwic kepada anak anda.

Pisang

Pisang

Ini ditambah dengan fakta bahawa pisang merupakan sumber terbaik bagi menjana tenaga anak anda.

Memakan pisang semasa waktu rehat boleh mengawal kandungan gula dalam darah, membantu penghadaman dan menghalang anak anda daripada lapar sehingga makan rehat seterusnya.

Kandungan kalium yang kaya di dalam pisang, boleh membantu menyalurkan bekalan oksigen ke bahagian otak, sekali gus meningkatkan tahap kecerdasan anak anda.

Malah makanan ini lebih mudah disediakan untuk anak-anak kerana anda hanya perlu memasukkan pisang ke dalam beg sekolah mereka.

Hanya dengan membungkus sebiji pisang, bergantung kepada saiz sama ada pisang berangan atau dua biji pisang emas, maka makanan ringan untuk anak anda telah disiapkan.

Snek bar

Snek bar

Terdapat banyak pilihan snek sarapan yang dijual di pasaran pada hari ini. Pilih sahaja snek yang digemari oleh anak anda dan pastikan pilihan itu merupakan snek rendah gula serta penuhi stok di dapur anda.

Sediakan makanan ini kepada anak anda pada waktu pagi kerana cara ini sangat mudah dan mungki memberikan masa beberapa minit kepada anda untuk menyambung tidur.

Selain itu, anda boleh mencampurkan beberapa perisa dan membungkuskan semula dalam bungkusan kecil sebagai bekalan makanan untuk anak anda.

Buah dan kismis

Buah dan kismis

Bagi menyediakan makanan ini, anda perlu mengetahui buah kegemaran anak anda, sebungkus atau sekotak kismis dan satu sudu the kayu manis.

Potong buah dan campurkannya dengan sebungkus kismis di dalam bekas makanan. Kemudian, taburkan sedikit serbuk the kayu manis bagi membangkitkan aroma makanan tersebut.

Biskut kacang mentega

Biskut kacang mentega

Kacang mentega memilik kandungan protein yang tinggi dan merupakan sumber yang bagus bagi menjana tenaga anak anda pada waktu rehat.

Cara penyediaannya amat mudah iaitu berikan anak anda biskut kacang mentega yang berkhasiat yang tidak bergula atau kurang bergula.

Sapukan kacang mentega itu pada biskut kosong dan apitkannya dengan sekeping lagi biskut sehingga ia kelihatan seperti sandwic.

Sarapan mudah dan berkhasiat ini juga membolehkan anak anda berkongsi dengan rakan mereka, tetapi pastikan anda menyediakan bekalan yang mencukupi.

Ibu bapa yang sentiasa memastikan anak mereka bertenaga boleh membantu kanak-kanak kekal fokus dan cerdas sepanjang hari.

Makanan ringn ini hanya mengambil masa maksimum selama lima minit untuk disiapkan, sekali gus meringankan beban anda di waktu pagi yang sarat dengan perkara lain yang perlu diuruskan.

BACA INI JUGA: Ketahui Makanan Ringan Yang Sebenarnya Berkhasiat

Sumber: mStar

Blog Terbaik Malaysia April Dan Mei 2016

Blog Terbaik Malaysia April Dan Mei 2016

Assalaamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca dan rakan blogger. Akhirnya sempat juga menyenaraikan "blog dan blogger terbaik di Malaysia" bagi bulan April dan Mei 2016 di blog ini.

Blog terbaik April & Mei 2016.jpg

Nampaknya bulan April yang lalu benar-benar menguji kesabaran dan masa terluang yang cukup terhad sehingga tidak sempat nak buat senarai blog dan blogger terbaik untuk bulan April.

Jadi terpaksalah dihimpunkan sekali bersama di dalam bulan Mei, itupun hampir dipertengahan bulan Jun baru dapat dikongsikan.

Buat rakan-rakan blogger, saya benar-benar ingin mengucapkan ribuan terima kasih diatas kesudian berkomentar di blog picisan ini.

Anda semua sememangnya "blogger-blogger terbaik di Malaysia!"

Mohon maaf juga dipinta kerana batasan waktu benar-benar menghimpit ruang untuk berkunjung balas ke blog anda semua buat masa ini.

Buat pembaca-pembaca tersayang, senarai blog di bawah ini adalah kumpulan blog-blog terbaik di Malaysia yang anda patut kunjungi.

Jika anda suka membaca di blog saya ini, anda semua pasti lebih teruja bila berkunjung ke blog-blog diorang.

Semoga ketemu lagi, terima kasih dan selamat membaca buat semua, puonsikou dikoyu.. :)

SENARAI BLOG TERBAIK MALAYSIA APRIL & MEI 2016

1. Khir Khalid - Khirkhalid.com

2. Lokmanamirul - Lokmanamirul.blogspot.my

3. Nurhaziq Abdul Hafiz - Sayapejuangbahasa.blogspot.my

4. mSelim3 - mSelim3.blogspot.my

5. Dr. Macho - Megawealthvet.blogspot.my

6. Fidah Shah - Whitebarley.blogspot.my

7. Keladi Ubi - Keladionline.com

8. Mrhanafi - Mrhanafi.com

9. Mrs. A - Mrsablogstori.blogspot.my

10. Media Admin - Eyfawriter.blogspot.my

11. Etuza Etuza - Madey09.blogspot.my

12. Normi Nieza - Norminieza.blogspot.my

13. Striderbuzz - Striderbuzz.com

14. aRz MoHa - Arzmoha.com

15. Maria Firdz - Mariafirdz.com

16. Zul Hilmi Tempoyak - Zulhilmitempoyak.com


BACA INI JUGA: "Arkib Senarai Blog Terbaik Malaysia"

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Kaum Kenit Hobbit Pupus Mengejut Di Kepulauan Flores

Misteri Kaum Kenit Hobbit Pupus Mengejut Di Kepulauan Flores

Satu kajian terbaharu mendapati spesies orang kenit terkenal di pulau Flores yang juga digelar sebagai Hobbit telah pupus lebih lama daripada yang dijangkakan oleh ramai saintis antarabangsa sebelum ini.

Misteri Hobbit.jpg
Gambar hiasan.

Penyelidik berkata, pengiraan semula usia tulang spesies yang dinamakan sebagai Homo floresiensis dan ditemui di dalam sebuah gua di pulau tersebut merekodkan mereka sudah pupus kira-kira 50,000 tahun lalu.

Ini berbanding kiraan 12,000 tahun se­perti jangkaan asal sebelum ini. Penemuan manusia kenit Hobbit pada 2003 lalu oleh pakar arkeologi Indonesia, Thomas Sutikna pernah mewujudkan sensasi saintifik ketika itu.

Homo floresiensis mempunyai ketinggian cuma 106 sentimeter, bertubuh kecil, mempunyai saiz otak sama seperti cimpanzi, menggunakan peralatan daripada batu dan mungkin memburu gajah pigmi sebagai makanan.

Menurut penyelidik, tiada bukti langsung menunjukkan Hobbit ada bertemu manusia moden, namun dinyatakan bahawa spesies manusia kini telah mendiami pulau-pulau lain di rantau Nusantara sekitar waktu tersebut.

Misteri Hobbit - Pulau Flores.jpg

Kumpulan pertama manusia dipercayai telah tiba di benua Australia kira-kira 50,000 tahun lalu sebelum tersebar luas ke seluruh kepulauan alam Melayu rantau Asia tenggara dan gugusan pulau di selatan Lautan Pasifik.

Ahli kronologi geografi, Bert Roberts daripada Universiti Wollongong, Australia berkata, kajian tidak menolak kemungkinan manusia moden memainkan peranan utama kepada kepupusan manusia Hobbit itu sendiri.

Isu kontroversi itu akan menjadi fokus utama penyelidikan seterusnya. Saintis sebelum ini merumuskan Hobbit lenyap akibat sumber makanan iaitu gajah pigmi pupus secara misteri serentak dengan haiwan-haiwan lain.

Jurnal penyelidikan antarabangsa Nature dalam keluaran 30 Mac lalu mendakwa, Hobbit mungkin sebahagian daripada spesies Homo erectus atau malah Homo sapiens yang mengalami kecacatan tubuh fizikal.

Misteri Hobbit [2].jpg
Gambar hiasan.

“Bagi saya, persoalannya ialah adakah Hobbit akan ‘hilang’ jika manusia moden tidak pernah menjejaki pulau Flores? Dan jawapannya adalah tidak. Kami percaya ada faktor penentu dalam kematian mereka.

“Bagaimanapun kami masih perlu mencari bukti kukuh untuk menyokong dakwaan ini,” kata Roberts. Banyak haiwan kebetulan telah pupus sama di Flores pada masa itu, kata ahli antropologi paleo, Matt Tocheri.

Pakar daripada Universiti Lakehead, Kanada itu berkata, ini termasuk spesies gajah mini purba, burung botak marabou gergasi, burung hering dan cicak naga Komodo gergasi.

Sejarah ‘Hobbit’ Ditemui Selepas 10 Tahun Diburu

Fosil Hobbit.jpg

Para saintis mengemukakan penemuan fosil terbaharu di Indonesia, yang didakwa telah membongkar sejarah nenek moyang dari susur galur ‘Hobbit’ yang kini telah pupus, selepas usaha pencarian lebih 10 tahun.

Hobbit yang mempunyai ketinggian lebih rendah daripada manusia, pada umumnya ditemui selepas penelitian lebih dari satu dekad.

Fosil Hobbit ditemui di sebuah gua dengan usianya dianggarkan kira-kira 700,000 tahun.

Fosil Hobbit [2].jpg

Pada 2014 saintis mengemukakan enam gigi dan serpihan rahang yang ditemui kira-kira 46 batu dari gua di mana sisa-sisa Hobbit pertama ditemui.

Penemuan ini dijelaskan dalam dua makalah yang dikeluarkan jurnal Nature pada Rabu lalu (1/6/2016).

BACA INI JUGA: Manusia-manusia Bertubuh Kerdil Yang Menjadi Lagenda

Sumber: mynewshub

10 Negara Penduduk Paling Ramai Tinggi Dan Rendah Di Dunia

10 Negara Penduduk Paling Ramai Tinggi Dan Rendah Di Dunia

Setiap orang mengimpikan mempunyai tubuh badan yang tinggi dan lampai. Tapi tahukah anda negara mana mempunyai ramai penduduk paling tinggi mendahului kebanyakan negara-negara yang lain?

10 Negara Penduduk Paling Ramai Tinggi Di Dunia.jpg

Baru-baru ini menerusi sebuah kajian yang dilakukan menunjukkan Belanda mempunyai "Paling ramai penduduk tinggi di dunia" memetik laporan berita Telegraph.

Negara di Eropah itu mempunyai purata penduduknya berketinggian 1.838 meter.

Selain negara kincir angin, turut tersenarai dalam 10 negara mempunyai penduduk paling tinggi ialah Montenegro dengan ketinggian purata 1.832 meter.

Dalam kajian itu juga turut didedahkan 10 negara yang mempunyai "Paling ramai penduduk paling rendah" ketinggian mereka didahului dengan negara Indonesia yang mana penduduknya mempunyai purata ketinggian 1.58 meter.

Di bawah merupakan senarai top 10 negara yang mempunyai ramai penduduk tinggi dan juga 10 negara mempunyai paling ramai penduduk berketinggian rendah di seluruh dunia.

10 Negara Mempunyai Ramai Penduduk Berketinggian Tinggi
  1. Netherlands – 1.838m
  2. Montenegro – 1.832m
  3. Denmark – 1.826m
  4. Norway – 1.824m
  5. Serbia – 1.82m
  6. Germany – 1.81m
  7. Croatia – 1.805m
  8. Czech Republic – 1.8031m
  9. Slovenia – 1.803m
  10. Luxembourg – 1.799m

10 Negara Mempunyai Ramai Penduduk Berketinggian Rendah
  1. Indonesia – 1.58m
  2. Bolivia – 1.6m
  3. Philippines – 1.619m
  4. Vietnam – 1.621m
  5. Cambodia – 1.625m
  6. Nepal – 1.63m
  7. Ecuador – 1.635m
  8. Sri Lanka – 1.636m
  9. Nigeria – 1.638m
  10. Peru – 1.64m

BACA INI JUGA: Makan Coklat Boleh Menjadikan Anda Lebih Bijak!

Sumber: Mynewshub.cc

Friday, June 10, 2016

Cristiano Ronaldo Atlet Terkaya Dunia Tahun 2016

Cristiano Ronaldo Atlet Terkaya Dunia Tahun 2016

FORBES menyenaraikan "Cristiano Ronaldo sebagai atlet terkaya di dunia bagi tahun 2016" dengan nilai kekayaan mencecah RM355 juta (USD88 juta).

Cristiano Ronaldo 2016.jpg

Penyerang Real Madrid itu sekaligus memegang rekod pemain bola terkaya di dunia mengalahkan saingannya Lionel Messi dari Barcelona yang memiliki RM328 juta (USD81.4 juta).

Ronaldo dan Messi berada di kedudukan teratas dalam senarai 100 atlet terkaya di dunia, dalam pelbagai lapangan sukan.

Dalam senarai itu, lima daripadanya merupakan atlet dari Eropah iaitu Lewis Hamilton di kedudukan ke-11 (RM186 juta, Rory McIlroy di tangga ke-17 (RM172 juta), Gareth Bale ke-25 (RM145 juta), Wayne Rooney ke-49 (RM105 juta) dan Andy Murray ke-74 (RM93 juta).

Pendapatan Ronaldo banyak dijana daripada tajaan malah sejak tahun 2000 nilai sponsor yang diterimanya (RM5.66 juta) mengalahkan Tiger Woods (RM24.25 juta) dan Floyd Mayweather (RM18.19 juta).

Woods berada di kedudukan ke-12 manakala Mayweather di tempat ke-16 di bawah McIlroy (RM31 juta) pada tahun ini.

Hanya dua atlet wanita berada dalam senarai iaitu Serena Williams (RM117 juta) di kedudukan ke-40 dan Maria Sharapova (RM88 juta) di tangga ke-88.

BACA INI JUGA: Sejarah Nombor Jersi Bola Sepak Yang Anda Tak Tahu

Sumber: Mynewshub.cc

Bayaran BR1M Ketiga 2016 Di Percepat Sempena Aidilfitri

Bayaran BR1M Ketiga 2016 Di Percepat Sempena Aidilfitri

Kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran peringkat ketiga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 bermula 15 Jun ini.

BR1M 2016.jpg

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 6 Julai 2016.

“Kerajaan bersetuju agar pembayaran peringkat ketiga BR1M 2016 diawalkan mulai 15 Jun 2016 (Rabu).

“Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam Bajet 2016, kerajaan memutuskan pemberian BR1M pada tahun ini diagihkan kepada empat peringkat.

Bayaran peringkat pertama telah diagihkan pada 28 Januari 2016 dan peringkat kedua pada 28 April 2016.

Ahmad Husni seterusnya berkata, pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima.

Menurutnya, mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada br1m@treasury.gov.my,” katanya.

BACA INI JUGA: Kekeliruan Derma Organ, Islam Mengharuskan, Kemuncak Sedekah

Sumber: Mynewshub.cc