Tuesday, March 08, 2016

Faizal AF4 Akui Sudah 3 Kali Kahwin!

Faizal AF4 Akui Sudah 3 Kali Kahwin!

Faizal, satu ketika dahulu pernah menjadi fenomena selepas memenangi program realiti Akademi Fantasia musim ke 4.

Faizal AF4

Dikenali dengan nama Faizal AF4, bintang penyanyi itu hanya bersinar sekejap sahaja. Selepas itu Faizal hilang entah ke mana.

Ada desas-desus yang menyatakan Faizal terlibat dengan gejala dadah, namun tidak pernah ada sebarang pengakuan dilakukan.

Setelah sekian lama menghilangkan diri, Faizal AF4 muncul dan berkongsi kisah kehidupannya.

Sesungguhnya apabila seorang manusia mendapat kesenangan dan wang yang banyak dalam sekelip mata, memang banyak benda baru yang akan dicuba.

Masa inilah kawan-kawan ‘sejati’ mula mencadangkan penggunaan dadah. Ditanya tentang kebenarannya terjebak dngan najis dadah, ini jawapan Faizal AF4:-

“Ya saya terjerumus dengan benda negatif. Terjebak dengan sesuatu yang sia-sia dan memusnahkan hidup.

"Apabila berduit, saya mula terpengaruh dengan kawan-kawan, akhirnya hidup saya seperti kain buruk.

"Disebabkan terlalu mengikut kata hati, saya mencuba benda negatif, kononnya untuk mengecapi kehidupan baru tetapi kesannya cukup buruk.

“Dulu saya umpama tidur atas duit. Setiap bulan saya menerima pendapatan berpuluh ribu, cukup lumayan.

"Ketika itu saya hanya budak kampung yang diangkat sebagai juara. Usia masih muda, disanjung dan dipuja, saya seperti terkena kejutan budaya dan akhirnya mula lupa diri.

“Ketika itu tiada siapa pun yang cuba menarik saya daripada lembah hina dan kehancuran. Hidup saya makin terumbang ambing.

"Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan sesiapa. Semuanya kerana kesilapan sendiri. Saya masih muda ketika itu, belum kenal erti kehidupan. Penderitaan mengajar saya erti hidup dan kematangan.”

Untuk makluman, Faizal AF4 kini sedang menjalani kehidupan sebagai seorang suami buat kali ketiga.

Perkahwinan dua kalinya sebelum ini berakhir dengan penceraian kerana masalah dadahnya.

Isteri ketiganya, Sahidatul Najida Ibrahim, 20 tahun adalah sumber kekuatan buat Faizal menjalani kehidupan baru.

Kata Faizal lagi:-

“Ia perkahwinan ketiga saya dan tidak dinafikan, pada permulaan isteri kerap menangis kerana perbuatan saya.

"Alhamdulillah, berkat doa dan kesungguhannya yang ingin melihat saya berubah, saya tidak lagi terbabit dengan gejala yang sia-sia.

"Saya tidak mahu melihatnya menderita lagi. Tanpa sokongannya dan rakan kongsi perniagaan, Linda Mohd Shariff, kehidupan saya mungkin masih terumbang-ambing.

“Mungkin saya tidak mewah, tetapi apa yang ada hari ini cukup untuk membahagikan isteri dan keluarga.

"Saya bersyukur isteri yang kini hamil tiga bulan menerima saya seadanya malah tidak pernah berputus asa untuk melihat saya kembali pulih.”

Semoga Faizal benar-benar insaf kali ini dan tidak akan terjebak dalam gejala dadah semula. Setiap orang ada perjalanan hidup yang tersendiri.

Semoga kita belajar daripada kesilapan mereka. Good luck and all the best buat Faizal. Jangan sia-siakan peluang kali ini. Semoga terus maju jaya. –BH Online

BACA INI JUGA: Tips Bagi Wanita Mengenali Lelaki Buaya Darat

Saintis Temui ‘Achilles Heel’ Titik Mati Kanser Sebagai Penawar

Saintis Temui ‘Achilles Heel’ Titik Mati Kanser Sebagai Penawar

Sekumpulan saintis di University College London percaya mereka berjaya merungkai cara untuk memacu sistem kekebalan tubuh badan bagi membunuh sebarang penyakit kanser, lapor stesen tempatan BBC.

Achilles Heel

Penyelidik terbabit telah membangunkan satu cara untuk mencari penanda unik dalam ketumbuhan yang lazim dalam sains perubatan disebut sebagai “Achilles heel” iaitu titik mati sasaran bagi menghapuskan penyakit itu.

“Achilles heel” asalnya merujuk kisah mitos Greek purba apabila dewa Achilles diramal nujum bakal mati ketika bayi menyebabkan ibunya, Thetis, merawat anaknya itu di sungai Styx yang didakwa mempunyai kuasa sakti.

Ketika mandi, sebelah kaki Achilles tidak direndam Thetis dalam air ajaib tersebut kerana tidak disedarinya sendiri mengakibatkan hanya bahagian tumit dewa itu sahaja yang tidak memiliki kuasa luar biasa.

Apabila dewasa, dewa Yunani itu dikatakan berjaya menang dalam banyak pertempuran sehinggalah ada seorang musuh berjaya memanah anak panah beracun tepat ke bahagian tumit tersebut menyebabkan Achilles mati.

Kaedah rawatan secara peribadi ala “Achilles heel” itu dilaporkan menerusi jurnal penyelidikan terkenal Science, namun dikatakan agak mahal dari segi kos dan ia belum pun lagi diuji kaji pada mana-mana pesakit kanser.

Achilles Heel [2]

Pakar yang melakukan kajian dibiayai Cancer Research UK itu bagaimanapun percaya penemuan baharu tersebut mungkin akan mencipta rawatan terkini pada tulang belakang pesakit yang akan diuji dalam masa dua tahun lagi.

Mereka percaya dengan menganalisis DNA, penyelidik mampu memajukan rawatan tersebut kerana selama ini saintis berjaya membangunkan sistem pertahanan badan untuk membunuh tumor tetapi sasarannya itu salah.

Masalah barah sejak kebelakangan ini ialah ia kini dihasilkan bukan daripada sel-sel seiras, sebaliknya sudah banyak bermutasi sekaligus mengelirukan genetik asal dan ketumbuhan boleh muncul pada situasi yang berbeza.

Dr. Marco Gerlinger dari Institute of Cancer Research berkata, “Ini adalah satu langkah penting dan menyebabkan kita berfikir mengenai kepelbagaian baka sebagai satu masalah yang membolehkan sesuatu barah baharu muncul.” –Agensi/Mynewshub.cc/HAA

BACA INI JUGA: Rahsia Penawar Ajaib Daripada Kunyit

Kes Awie, Rozana Selesai Secara Bayar Kompaun, Minta Maaf

Kes Awie, Rozana Selesai Secara Bayar Kompaun, Minta Maaf

Penyanyi Rock Awie dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya Rozana Misbun oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan Awie memohon maaf.

Kes Awie, Rozana

Vokalis kumpulan Wings, yang nama sebenarnya ialah Ahmad Azhar Othman, 48, kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada Rozana, 38.

“Saya Ahmad Azhar Othman dengan tulus ikhlas dan suci hati, dengan mengambil kira kebajikan anak-anak dan demi menjimatkan masa mahkamah yang mulia ini, dengan ini mengemukakan permohonan maaf kepada Rozana.

“Saya dan Rozana bersetuju bahawa ini merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan episod hitam di dalam hidup kami bagi meneruskan perjalanan hidup kami masing-masing,” kata penyanyi itu yang memakai kot dan kemeja serba hitam pada prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan.

Terdahulu, Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bertanyakan Rozana sama ada dia bersetuju kesalahan bekas suaminya dikompaun sebanyak RM10,000 dan wanita itu yang memakai kemeja putih dan berselendang hitam menganggukkan kepalanya.

“Memandangkan kedua-dua pihak bersetuju kesalahan ini diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan ini bersetuju dan membenarkan kompaun RM10,000 dibayar kepada pengadu (Rozana) dan mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada tuduhan tersebut.

“Selepas ini teruskan dengan kehidupan baharu, ambil yang manis, buang yang pahit,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan wang ikat jamin RM9,000 dipulangkan semula kepada Awie.

Bapa kepada lima orang anak yang popular dengan lagu Tragedi Oktober membayar kompaun itu.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan lapan saksi pihak pendakwaan termasuk Rozana.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang.

Penyanyi itu bagaimanapun sekali lagi didakwa dan minta dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Rozana di kaunter PNB Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Awie yang diiringi sembilan rakan ketika ditemui pemberita meluahkan rasa lega dan gembira kerana kes itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Sekiranya kes ini berlanjutan, ia tidak memberi apa-apa faedah kepada saya, masa depan, kerjaya dan anak-anak. Ini adalah satu perkara yang paling baik dan InsyaAllah saya boleh meneruskan kehidupan dan kerja saya dengan lebih baik selepas ini.

“Terima kasih pada mahkamah, peguam, keluarga dan kawan-kawan saya yang banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya selama ini,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan Goh Ai Rene manakala Awie diwakili peguam Hazman Harun. –BERNAMA

BACA INI JUGA: 10 Selebriti Hollywood Yang Ketagih Berkahwin!

UPDATE! 09/03/2016

Rozana Tetap Mahu Saman Awie

Rozana Misbun

Bekas isteri kepada penyanyi Awie Rozana Misbun menyatakan di tetap akan mengemukakan saman kepada bekas suaminya itu bagi menjernihkan kembali imejnya akibat dipukul sehingga hidungnya patah.

“Saya berasa sangat lega, permohonan maaf dari Awie itu membuktikan yang saya berada di pihak yang betul. Selama ini dia lemparkan tohmahan dan fitnah jahat kepada saya sebagai usaha mengalihkan perhatian orang terhadap pertuduhan itu”

“Saya dah lama maafkan dia, tapi bukan senang untuk kita lupakan peristiwa itu jika ia mendatangkan kesan yang pahit”

“Saya ingin jalani kehidupan selepas ini dengan tenang bersama anak-anak saya tanpa perasaan negatif yang boleh mempengaruhi emosi dan kelakuan mereka di kemudian hari”.

Menurut Rozana, dia sedang dalam proses berbincang dengan peguam umtuk meneruskan kes sivil dalam usaha menuntut ganti rugi bagi kecederaan patah hidung yang dialami olehnya.

BACA INI JUGA: Awie Mahu Rozana Pulangkan Duit Yang Dicuri Syarat Bercerai

Gempar Ayat Al-Qur'an ‘Ghaib’ Di Masjid Hijau!

Gempar Ayat Al-Qur'an ‘Ghaib’ Di Masjid Hijau!

Seorang naib kadi Pejabat Agama Islam Parit Buntar tidak menyangka dua muka surat ayat suci al-Qur'an milik Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini, lenyap sewaktu hendak membacanya pada waktu pagi.

Ayat Al-Qur'an ‘Ghaib’

Mohamad Khori Junus berkata, lebih kurang jam 11.05 pagi, dia menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan berhajat membacakan Surah Al-Waqi’ah sementara menunggu kehadiran pasangan pengantin untuk dijalankan upacara akad nikah.

Menurutnya, dia segera mengambil salah satu naskhah al-Qur'an yang diletakkan di bahagian mimbar masjid dan terkejut mendapati sebahagian besar ayat Surah Ar-Rahman dan permulaan ayat Surah Al-Waqi’ah yang ingin dibaca ‘hilang’ ketika membukanya.

“Saya sangat terkejut dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kebetulan turut berada di situ bagi menjadi saksi nikah.

“Beliau (imam masjid) memaklumkan tidak pernah mengetahui terdapat sebarang naskhah al-Qur'an tidak sempurna disimpan pihak masjid dan meminta saya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk),” katanya kepada media.

Mohamad Khori berkata, hasil pemeriksaannya mendapati sebahagian ayat dari Surah Ar-Rahman yang hilang bermula ayat 41 hingga ayat 78, manakala ayat dari Surah Al-Waqi’ah pula bermula ayat pertama sehingga ayat 16.

Menurutnya, pada mulanya dia menganggap mungkin berlaku kesilapan cetakan pada naskhah al-Qur'an Resam Uthmani yang merupakan cetakan keempat sembilan tahun lalu.

“Namun, apabila memikirkan proses pencetakan al-Qur'an perlu melalui prosedur amat ketat oleh panel pemeriksaan dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), saya memutuskan penemuan ayat al-Qur'an hilang mungkin merupakan satu peringatan kepada umat Islam,” katanya.

Lebih mengejutkan, Mohamad Khori mendedahkan intipati sebahagian ayat al-Qur'an hilang terutama ayat permulaan Surah Al-Waqi’ah menceritakan tentang kejadian-kejadian besar pada hari kiamat.

"Dewasa kini, amalan membaca al-Qur'an dalam kalangan umat Islam di negara ini dilihat semakin berkurangan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya berharap penemuan ini tidak disalah tafsir, sebaliknya dijadikan iktibar dan pedoman buat diri saya dan seluruh umat Islam untuk kembali taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulnya,” katanya.

Mohamad Khori turut mendedahkan pengalaman ini pertama kali dialaminya dan berharap perkongsian pengalaman itu dapat mengingatkan umat Islam supaya kembali mengimarahkan bacaan al-Qur'an setiap masa.

BACA INI JUGA: Akhirnya Telah Lengkap Tanda-tanda Kiamat Kecil

Sumber: Sinarharian.com.my

Lelaki Curang Lebih Cepat Mati?!

Lelaki Curang Lebih Cepat Mati?!

Menurut rencana yang mengulas laporan Journal of Sexual Medicine, kajian Universiti Florence, Itali, mendapati kecurangan lelaki yang sudah berkahwin boleh meningkatkan risiko serangan jantung.

Curang

Sudah banyak kes dilaporkan, ramai lelaki meninggal dunia ketika melakukan hubungan seks dengan teman wanita mereka.

Dan tidak ada pula laporan mereka yang menemui ajal ketika bertukar-tukar cenderamata dengan isteri.

Sebabnya apa? Satu kajian di Jerman menyatakan, lelaki yang menghadapi masalah kardiak (berkaitan jantung) berhadapan risiko tinggi serangan apabila melakukan hubungan seks dalam keadaan tidak tenang.

Banyak keadaan untuk dikaitkan sebagai punca mengapa mereka tidak tenang. Antaranya ialah 'kerja keras' yang terpaksa dilakukan untuk memuaskan pasangan.

Oleh kerana kajian itu berkait dengan lelaki yang berkahwin, yang agak berusia dan pasangan pula mungkin jauh lebih muda, maka kerja keras itu perlulah dilipat ganda. Ini tentunya akan meningkatkan juga degupan jantung secara drastik.

Keadaan tidak sama dengan situasi mereka melakukan hubungan dengan isteri yang sebaya. Tuntutan dan kehendak pasti berbeza antara yang berusia dengan yang lebih muda.

Kerja keras yang dipaksa dan tidak sepadan dengan kemampuan fizikal boleh menyebabkan arteri tersumbat, dan berisiko untuk pecah. Mengikut rekod perubatan, gejala arteri tersumbat adalah satu pertiga daripada punca kematian.

Kerana itu berwaspadalah. Bukan tidak boleh cari pasangan lebih muda tetapi biarlah kemampuan sepadan dengan kehendak. Jangan kail panjang sejengkal dibawa ke lautan dalam.

Jangan sepemeluk nangka mahu diukur perdu durian. Usia yang di luar dan yang di dalam jangan sekata. Biarlah zahirnya sahaja 70, tetapi yang batinnya 20.

Penjagaan kesihatan yang sempurna, ilmu yang mantap, sebutlah Tajul Muluk atau Kama Sutra, semua petua ada dalam kepala. Itu akan menjadikan seseorang itu pria terhebat, biar pun usia sudah senja.

Di negara kita, zina tidak sebebas negara Barat, tekanan yang dihadapi tentu lebih tinggi. Mereka yang terlibat melakukannya dalam keadaan tidak tenang kerana takutkan pencegah maksiat.

Suami orang yang ada kekasih gelap juga memang selalu tertekan. Mana tidaknya, dengan telefon tidak berenggang siang malam. Tercicir telefon di mana-mana, seperti hilang duit berjuta.

Yang dibimbangkan ialah kalau-kalau ada panggilan, atau SMS yang masuk ketika telefon bukan di tangan.

Bayangkan kalau siang malam, 24 jam hati tidak tenang, yang sihat pun boleh pitam. Namun jika diadu kepada sesiapa bukan simpati yang diperoleh, bukan belas kasihan yang diberi sebaliknya perli dan umpat keji.

Kajian itu membuktikan lelaki curang adalah pencinta sejati. Jika tidak, masakan mereka sanggup mengorbankan nyawa demi cinta!

BACA INI JUGA: Lelaki Atau Wanita, Siapa Paling Curang?

Sumber: Sinarharian.com.my

Monday, March 07, 2016

Scott Kelly, Angkasawan Paling Lama Tinggal Di Angkasa

Scott Kelly, Angkasawan Paling Lama Tinggal Di Angkasa

Selepas hampir setahun tinggal di ruang angkasa, angkawasan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Scott Kelly akhirnya kembali ke Bumi pada 2 Mac lepas.

Scott Kelly

Lelaki berusia 52 tahun itu mendarat bersama rakan sejawatnya, seorang angkasawan dari Rusia, Mikhail Kornienko di Dzhezkazgan, Kazakhstan selepas tiga jam penerbangan menaiki kapal angkasa Soyuz TMA-18M dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Pendaratan Kelly dan Kornienko turut disertai seorang lagi angkasawan Rusia, Sergey Volkov yang menyertai mereka di ISS pada 4 September 2015. Kelly dan Kornienko tiba di ISS pada 27 Mac tahun lalu.

Sepanjang setahun di angkasa, Kelly mengembara sejauh 143,846,525 batu (231,498,541 kilometer) dengan mengelilingi orbit sebanyak 5,440 kali dan menyaksikan 10,260 kejadian matahari terbit dan terbenam.

Namun, apa yang paling membanggakan, Kelly mencatatkan rekod baharu sebagai angkasawan warga Amerika Syarikat (AS) yang pertama meluangkan masa selama setahun di angkasa.

Beliau juga merupakan angkasawan AS paling lama berada di angkasa lepas dengan jumlah catatan keseluruhan selama 520 hari menerusi empat trip penerbangan.

Rekod paling lama berada di angkasa dipegang oleh angkasawan Rusia, Gennady Padalka dengan jumlah catatan keseluruhan selama 879 hari menerusi lima trip penerbangan.

Lebih tinggi

Scott Kelly [2]
Gambar bertarikh 28 Oct 2015 menunjukkan Kelly berjalan di luar Stesen Angkasa Antarabangsa.

Berada selama 340 hari di angkasa, Kelly mengakui masa yang terlalu lama di angkasa juga menyebabkan dia berasa sangat sunyi.

“Perkara paling sukar adalah apabila anda terpaksa berjauhan daripada orang-orang yang penting dalam hidup,” ujarnya seperti dipetik portal berita CNN.

Kelly turut berpeluang menyaksikan beberapa pemandangan Bumi yang menakjubkan sepanjang menjalankan misi itu.

“Saya dapat melihat Cahaya Utara atau Aurora Borealis melintasi Bahamas selain menyaksikan Taufan Patricia yang melanda Mexico dan Snowzilla yang melanda AS dari angkasa,” ceritanya.

Kelly dan Kornienko merupakan sebahagian daripada individu yang terpilih menyertai misi ke angkasa lepas yang antara lain bagi mempelajari kesan tinggal di angkasa dalam jangka waktu panjang terhadap tubuh.

Pentadbir NASA, Charles Bolden berkata, antara kajian itu termasuklah bagaimana tubuh manusia bertindak balas menyesuaikan diri kepada keadaan tanpa berat, pengasingan, radiasi dan tekanan sepanjang tempoh penerbangan kapal angkasa yang berdurasi panjang.

Para saintis akan turut membandingkan perkembangan Kelly dengan saudara kembar seirasnya, Mark Kelly yang juga merupakan bekas angkasawan NASA.

Scott Kelly - Ultra
Scott berpeluang menyaksikan fenomena Cahaya Utara dari angkasa lepas.

Kajian Twins Study NASA itu bagi mempelajari bagaimana dua individu yang seiras secara genetik memberi respons terhadap dua keadaan berbeza selama setahun.

“Kelly menunjukkan peningkatan sebanyak 5.08 sentimeter (cm) dalam ketinggiannya. Pasangan kembar itu sebelum ini memiliki ketinggian yang sama.

"Ia bagaimanapun tidak lama. Ketinggian Kelly akan kembali normal selepas tubuhnya menyesuaikan diri dengan graviti di Bumi.

“Di angkasa, ketiadaan graviti menyebabkan tulang belakang boleh meregang sehingga tiga peratus dan membolehkan ketinggian seseorang bertambah sehingga 7.6cm,” lapor NASA.

BACA INI JUGA: Kisah Sedih Angkasawan Pertama Yang Terkorban Dalam Misi Ke Bulan

Sumber: Kosmo

Mahathir Lupa Sejarah - Awang Selamat

Mahathir Lupa Sejarah - Awang Selamat

Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno dan bekerjasama dengan pembangkang disifatkan sebagai 'satu kesilapan besar' dalam sejarah politik pemimpin veteran itu.

Mahathir Lupa Sejarah

Menerusi ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, akhbar itu mendakwa Dr Mahathir sebagai lupa sejarah politik beliau dengan pimpinan DAP dan PKR yang begitu tebal permusuhannya.

"Meskipun dalam politik segala-galanya berkemungkinan namun realiti untuk padamkan episod hitam bukanlah mudah. Mereka akan terus dihantui rasa curiga dan waspada termakan jerat muslihat politik.

"Apatah lagi Dr Mahathir, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR (Datuk Seri) Anwar Ibrahim makin dimamah usia. Dimalukan dan gagal besar pada penghujung usia lagi sakit rasanya," tulisan Awang dipetik daripada akhbar edisi mingguan itu.

Malah, Awang juga mendakwa, selama ini Dr Mahathir merupakan pemimpin yang bertanggungjawab menjadikan DAP 'jijik' pada kaca mata orang Melayu.

"Lim tidak kurang dahsyatnya menghina, mentohmah dan mempersoalkan Dr Mahathir sepanjang perseteruan mereka.

"DAP menjadi hidup kerana anti Dr Mahathir yang dilabelkan zalim, menerajui kerajaan rasuah dan sebagainya.

"Malah DAP yang beliau kuasai mahu menangkap dan memenjarakan Dr Mahathir jika berkuasa satu hari nanti," katanya.

Perseteruan Mahathir - Anwar

Dalam ruangan pojok berkenaan, Awang turut mengungkit perseteruan Dr Mahathir dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjarakan atas tuduhan liwat.

Beliau membangkitkan persoalan adakah bekas presiden Umno yang baru meninggalkan parti itu akan menarik kembali segala kenyataan dan label terhadap bekas ketua umum PKR itu.

Katanya, Dr Mahathir juga terlupa, disebabkan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau menang dalam percaturan dengan pasukan B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah ketika kemuncak krisis pertama yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Pada masa sama, beliau turut memuji pimpinan PAS terutama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana 'tidak termasuk dalam perangkap DAP'.

BACA INI JUGA: Undi Tidak Percaya Dipanggil Pemindahan Politik, Bukannya 'Guling Kerajaan'!

Sumber: Malaysiakini

Teks Penuh Tuntutan Deklarasi Rakyat

Teks Penuh Tuntutan Deklarasi Rakyat

Berikut adalah teks penuh Deklarasi Rakyat yang dibaca oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis deklarasi anti-Najib Jumaat lalu:

Deklarasi Rakyat [2]

1. Kami, warga Malaysia seperti nama-nama berikut ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

2. Kami ingin menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap kerosakan yang telah dilakukan kepada negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak.

3. Di bawah pentadbirannya negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga Indeks Persepsi Rasuah 2015, dari 50 ke 54.

4. Ini adalah kerana dianya percaya yang wang tunai boleh memastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya bahawa duit adalah segala-galanya - "Cash is King".

5. Peruntukan kepada semua Kementerian dan institusi awam termasuk universiti telah dikurangkan kerana ketandusan kewangan. Walaupun telah diperuntukkan, tidak ada sumber kewangan.

6. Pada tahun 2009, beliau telah menubuhkan satu Dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Fund) bertujuan untuk menjana pendapatan bagi Kerajaan.

7. Dia menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudiannya dibebani hutang sebanyak RM42 bilion yang tidak dapat ditanggung. Ia tidak lagi menjadi Dana Kekayaan. Sebaliknya Dana Hutang Negara.

8. 1MDB telah meminjam RM20 bilion untuk membeli tiga janakuasa elektrik pada harga RM12.1 bilion, melebihi harga pasaran. Walaupun diberi kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang hampir tamat, syarikat-syarikat janakuasa 1MDB ini telah dijual pada harga RM9.83 bilion dengan kerugian berjumlah RM2.27 bilion.

9. 1MDB juga telah melabur atau meminjamkan sebanyak US$1.83 bilion kepada Petrosaudi International (PSI) Limited diantara 2009 dan 2011 di dalam projek-projek dan aset yang tidak wujud. Bank Negara Malaysia telah meminta supaya 1MDB membawa pulang semula wang tersebut ke Malaysia kerana kebenaran yang diberi untuk pelaburan berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat. Daripada jumlah ini, sebanyak US$1.45 bilion telah secara langsung atau tidak langsung disalurkan kepada syarikat Good Star Limited dan lain-lain syarikat dibawah penguasaan Low Taek Jho.

10. Untuk menutup kehilangan wang tersebut, 1MDB telah melupuskan pelaburan dan Pinjaman ke PSI untuk US$2.318 bilion, dengan mendakwa yang ianya telah membuat keuntungan sebanyak US$488 juta. Bagaimanapun, tidak ada sesen pun daripada jumlah ini yang dipulangkan ke Malaysia. Sebaliknya 1MDB mendakwa yang wang tersebut telah dilabur di dalam dana di Kepulauan Caymans, yang kemudiannya telah di bongkar sebagai sebuah firma pengurusan pelaburan tidak berlesen. KPMG telah disingkir sebagai juruaudit 1MDB kerana enggan mengesahkan nilai pelaburan dana Caymans yang penuh misteri.

11. 1MDB mendakwa juga yang pelaburan di Kepulauan Caymans ini telah pun ditebus sepenuhnya. Sebanyak US$1.22 bilion telah dilaporkan ditebus pada 5hb November 2014, tetapi telah digunakan pada hari yang sama untuk membayar ganti rugi kepada Aabar Investments PJS. Ini merupakan gantirugi kerana menamatkan opsyen yang diberi kepada Aabar untuk membeli 49 peratus saham di dalam syarikat-syarikat janakuasa 1MDB. Ini merupakan satu penipuan kerana, syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), tidak pun menyebut tentang penerimaan pembayaran tersebut di dalam akaunnya yang diaudit dan tersiar di London Stock Exchange. Sebaliknya akaun IPIC menyebut bahawa 1MDB terhutang sejumlah US$481 juta kepadanya kerana penamatan opsyen tersebut.

12. 1MDB juga telah mengambil hutang berjumlah US$975 juta daripada konsortium Deutsche-Bank pada bulan September 2014, untuk tujuan yang sama iaitu membayar ganti rugi kepada Aabar. Akhbar the Wall Street Journal membongkar bahawa wang tersebut telah digunakan untuk membayar pihak lain di British Virgin Islands yang mempunyai nama yang lebih kurang sama iaitu, "Aabar Investment PJS Limited", yang dimiliki oleh pihak yang tidak ada kena mengena dengan IPIC. Penipuan licik ini telah berjaya memperdayakan juruaudit 1MDB, Deloitte Malaysia yang mempercayai bahawa bayaran telah pun diterima Aabar kepunyaan IPIC.

13. 1MDB mengumumkan bahawa ia telah membuat tebusan kedua dan terakhir berjumlah RM1.1 bilion daripada pelaburan di Kepulauan Cayman pada bulan Januari 2015. Pada mulanya Perdana Menteri memaklumkan kepada Parlimen bahawa jumlah tersebut telah dimasukkan ke dalam Bank BSI di Singapura. Dua bulan kemudian, pada bulan Mei 2015, dia memberitahu Parlimen bahawa, ianya bukanlah di dalam bentuk wang tunai, tetapi aset. Kemudian, dijelaskan pula yang aset-aset ini merupakan "unit" yang bermakna bahawa ianya tidak pun ditebus. Ini membuktikan yang 1MDB dan Perdana Menteri telah berulang-kali menipu rakyat Malaysia. Ianya juga bermakna bahawa wang yang dilaburkan di dalam Petrosaudi yang kemudiannya dilabur semula di Kepulauan Caymans, masih lagi hilang dan tidak dapat diperakukan.

14. Seorang bekas naib ketua bahagian UMNO Batu Kawan telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan sejumlah wang yang besar oleh 1MDB. Tiada sebarang siasatan dilakukan polis. Sebaliknya pengadu telah disoal-siasat polis, ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana mensabotaj ekonomi negara. Peguam beliau juga ditahan dan didakwa dibawah Akta yang sama. Ini menakutkan sesiapa sahaja yang ingin melapor pada Polis berkenaan dengan 1MDB.

15. Akhbar Wall Street Journal melaporkan yang Najib mempunyai US$681 juta Dolar di dalam akaun peribadinya di Ambank.

16. Najib pada mulanya menafikannya, tetapi kemudian mengakui bahawa dianya mempunyai sejumlah wang yang banyak di dalam akaun peribadinya. Dia mendakwa menerima derma dari seorang Arab, kemudian ianya menjadi derma untuknya memenangi Pilihanraya Umum ke-13, kemudian pula menyatakan ianya adalah kerana dedikasi beliau menentang keganasan. Dia kemudiannya mendakwa menerima duit berkenaan daripada seorang Putera Raja Arab Saudi, dan kemudian daripada Raja Arab Saudi yang telah mangkat.

17. Kemudian seorang Menteri Arab Saudi menyatakan bahawa tidak terdapat apa-apa rekod berkenaan sebarang hadiah daripada Arab Saudi. Beliau mencadangkan bahawa wang tersebut mungkin merupakan pelaburan. Tetapi jumlahnya kecil.

18. Najib menyatakan hasrat untuk menyaman Wall Street Journal di mahkamah tetapi dia tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya dia meminta peguamnya bertanya kepada Wall Street Journal kenapa akhbar itu menyiarkan laporan tersebut.

19. Hingga ke hari ini WSJ berterusan mengeluarkan laporan demi laporan dengan fakta terperinci berkenaan dengan duit sejumlah US$681 juta yang terdapat di dalam akaun peribadinya. Dianya masih tidak mengambil tindakan saman terhadap WSJ, sesuatu yang boleh dilakukan di negara di mana WSJ diterbitkan.

1MDB+Money+Trail

20. Khuatir dan syak dengan jumlah wang banyak dalam akaun peribadi Najib, satu pasukan petugas ditubuhkan di Malaysia untuk menyiasat sumber wang tersebut. Empat institusi Kerajaan terlibat, Polis Di Raja Malaysia, Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

21. Belum pun pasukan petugas berjaya selesaikan tugasan mereka, Peguam Negara disingkir oleh Najib atas alasan beliau sakit dan tidak mampu meneruskan tugasannya. Secara terang Najib telah memberi gambaran yang tidak benar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Tuanku bagi menggantikan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dilumpuhkan apabila pengerusi serta beberapa ahlinya dipindahkan oleh Najib bagi menghalang penyiasatan keatas 1 MDB. Pengerusi baru, kenalan Najib dilantik dan beliau secara spontan menyatakan yang Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

22. Najib kemudian melantik Peguam Negara baru. Peguam Negara baru menolak cadangan Bank Negara untuk tindakan diambil sambil mendakwa yang tidak ada apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan bahawa Najib melakukan kesalahan.

23. Rayuan Bank Negara tidak diendahkan.

24. Peguam Negara yang baru juga menolak lagi satu laporan daripada SPRM. Kandungan laporan tidak didedahkan dan ancaman dibuat terhadap pendedahan laporan tersebut.

25. Peguam Negara baru juga tanpa penjelasan yang munasabah menolak cadangan dari dua institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran dalam bidang mereka.

26. Penolakan ini juga menghalang perkara tersebut dibawa ke mahkamah di mana semua bukti dapat diketengahkan dan dibicarakan. Dengan ini Peguam Negara memain peranan sebagai pendakwa dan juga hakim. Proses undang-undang terhalang.

27. Timbalan Perdana Menteri yang disingkir kemudian mendedahkan yang peguam Negara yang lama telah menunjuk bukti kesalahan yang dilakukan Najib bersangkutan skandal-skandal tersebut. Di masa yang sama, beberapa agensi Kerajaan asing, iaitu Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Britain, telah memulakan siasatan ke atas 1MDB.

28. Akhbar di Malaysia ditapis menyebabkan rakyat lebih bergantung kepada laporan media asing. Tetapi apabila rakyat berbincang atau menulis berdasarkan laporan media asing, Kerajaan menerusi Ketua Polis Negara menjemput sesiapa sahaja untuk membuat laporan polis agar polis dapat menjalankan soal siasat terhadap orang itu.

29. Ini bercanggah dengan kegagalan polis menyiasat laporan polis yang dibuat terhadap Najib, Jho Low dan laporan Bank Negara dan SPRM kepada Peguam Negara. Peguam Negara juga mengugut untuk jatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan terhadap sesiapa yang bertindak membocor maklumat Kerajaan. Ini bermakna yang kesalahan jenayah di dalam pentadbiran Kerajaan pun akan dilindung daripada pengetahuan awam.

30. Peguam Negara mengumumkan bahawa sebahagian daripada sejumlah RM2.6 bilion (sebanyak RM2.3 bilion) telah dipulangkan kepada Arab Saudi. Selain daripada kenyataan ini tiada bukti lain yang dikemukakan.

31. Rakyat juga semakin menderita.

32. GST yang dikenakan Najib, kenaikan kadar tol lebuhraya, kesemuanya mengakibatkan kenaikan kos sara hidup, memaksa perniagaan ditutup, menyebabkan industri kepunyaan asing menghentikan operasi dan berpindah kepada negara lain. Ini mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.

33. Walaupun rakyat membantah, Najib tetap menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) Amerika yang mengikis hak kita untuk membuat dasar dan undang-undang yang sesuai bagi negara kita.

34. Hari ini imej Malaysia amat buruk sekali. Selain diklasifikasikan antara 10 negara terburuk mengamalkan rasuah, Malaysia juga dianggap tidak demokratik. Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan rakyat hidup dalam ketakutan ditangkap dan ditahan. Akta Majlis Keselamatan Negara digubal untuk memberikan Perdana Menteri dan bukan Yang di-Pertuan Agong kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan dimana sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan tanpa bicara dan didakwa dibawah prosidur yang melanggar batas keadilan yang diterima.

35. Sebaliknya pula jika berlaku kesilapan datam penggunaan Akta ini oleh pegawai Kerajaan, atau di mana terdapat salahguna kuasa, rakyat tidak boleh mengambil apa bentuk tindakan terhadap mereka. Whistleblowers, atau pemberi maklumat, diganggu dan dihukum, dan bukannya diberi perlindungan. Undang-undang lain digunakan yang menyekat kebebasan bersuara menegur salahlaku. Hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan persekutuan tidak lagi membawa apa-apa makna.

36.0leh kerana sebab-sebab ini, kami rakyat Malaysia seperti yang tertera bersetuju dan menyokong

a) Penyingkiran Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.

b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya.

c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang Jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan

d) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.

37. Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Dato Seri Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integrity institusi-institusi nasional.

BACA INI JUGA: Hebatnya Tun Mahathir Kerana Tak Usik Perut Rakyat

Sumber: Malaysiakini

Mampukah Dosa Mahathir Dipadamkan?

Mampukah Dosa Mahathir Dipadamkan?

Ulasan Tun Mahathir sekali lagi membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara apabila mengambil keputusan bersama barisan pembangkang dalam usahanya 'menggulingkan' perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Deklarasi Rakyat [3]

Langkah yang diambil Mahathir mengejutkan sesetengah orang, sama ada di kalangan pendukungnya atau pembencinya sendiri. Namun bagi mereka yang memahami realiti dan sepak terajang politik, kemunculan Mahathir untuk duduk semeja dengan pemimpin pembangkang bukanlah suatu perkara aneh.

Seperti ungkapan Inggeris, in politics, there is no permanent friends or enemy. Only permanent interests.

Tidak ada musuh yang kekal di dalam politik, yang kekal hanya kepentingan bersama. Hari ini boleh menjadi kawan, esok boleh menjadi lawan dan begitulah sebaliknya.

Lama dahulu, Mahathir juga pernah melakukan perkara sama apabila berada sepentas dengan PAS dalam menggasak perdana menteri pertama ketika itu, Tunku Abdul Rahman melepaskan jawatannya.

Mahathir sekali lagi dilihat 'bersetuju' dengan pembangkang ketika mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak dinaikkan.

Maka tindakannya keluar Umno baru-baru ini bukan perkara baru bagi tokoh yang mempunyai pengalaman politik dan pernah menerajui negara selama lebih dua dekad itu.

Tetapi tidak seperti Abdullah, Najib nampaknya terlalu liat untuk dikalahkan Mahathir. Asakan demi asakan Mahathir terhadap skandal menyelubungi Najib - daripada isu 1MDB sehingga kepada derma politik RM2.6 bilion seakan-akan tidak lut kepada batang tubuh Najib.

Tindakan Najib terhadap pengkritiknya dilihat keras dan drastik, bahkan ada yang berpendapat meniru gaya pemerintahan Mahathir sendiri.

Dengan penukaran Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, tekanan terhadap penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Gabenor Bank Negara, Najib dianggap terlalu kebal daripada tindakan.

Tiada cara lain bagi Mahathir

Maka Mahathir tidak mempunyai cara lain untuk 'menggulingkan' Najib melainkan bersama-sama gerakan pembangkang, bermula dengan mengisytiharkan dirinya keluar Umno. Ramai melihat ini kemuncak kemarahan Mahathir selepas anaknya Mukhriz dipaksa berundur sebagai menteri besar Kedah.

Manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang 'sekapal' dengan Mahathir juga menerima nasib yang sama apabila digantung jawatannya sebagai orang nombor dua dalam Umno.

Kejutan-kejutan politik terus berlaku kemudiannya.

Seruan Mahathir untuk 'Selamatkan Malaysia' disambut pula oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin ironi bagi Anwar untuk memberikan sokongan kepada individu yang pernah menyebabkan dia didakwa dan dipenjarakan.

Namun, Anwar mungkin mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian. Dalam kenyataan dari penjara, Anwar menegaskan sokongannya kepada parti politik, masyarakat sivil dan Mahathir yang menuntut peletakan jawatan perdana menteri.

Beliau menggariskan penolakan terhadap Najib perlu disertakan dengan reformasi total terhadap institusi negara yang disifatkan sudah retak dan parah. Lantaran itu termeterailah deklarasi rakyat yang ditandatangani Jumaat lalu.

Berbeza pula bagi pemimpin Umno, tindakan Mahathir 'bersekongkol' dengan pemimpin pembangkang khususnya DAP dan PKR dilihat sebagai suatu pengkhianatan terhadap 'Umno, bangsa dan negara'.

Apa kaedahnya?

Deklarasi yang ditandatangani 58 individu itu menyenaraikan beban kesilapan Najib dalam mengendalikan negara, khususnya skandal kewangan besar yang terpalit dengannya.

Bagaimanapun ia tidak menjelaskan secara holistik tentang kaedah dan bagaimanakah Najib akan diundurkan. Apakah strategi dan mekanisme yang digunapakai. Siapakah pula yang akan menggantikan Najib. Dan adakah ia akan sekali lagi melalui proses demokrasi selepas cubaan undi tidak percaya gagal di parlimen.

Justeru itu deklarasi itu dilihat tidak lebih sekadar menggembeleng kekuatan dan sokongan pembangkang terhadap Mahathir semata-mata, sekurang-kurangnya buat masa ini, dengan apa yang dinamakan sebagai agenda bersama 'demi menyelamatkann Malaysia'.

Umum masih tidak dapat melihat dengan jelas bagaimanakah Najib boleh disingkirkan menerusi deklarasi itu. Cengkaman Najib terhadap kabinet dan Umno (termasuk MT dan ketua-ketua bahagian) dilihat terlalu kuat dan bukan mudah untuk dipatahkan.

Pada masa ini peluang Mahathir (dan pembangkang) untuk menyingkirkan Najib hanyalah melalui beberapa cara, iaitu dengan mendesak perdana menteri mencadangan kepada Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen atau membuktikan perdana menteri hilang majoriti dalam Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya.

Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memecat Najib.

Mampukah dosa Mahathir dipadamkan?

Bagi kalangan pengkritik deklarasi ini, mereka menuntut Mahathir mengakui kesilapan lalu dengan melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem yang telah dirosakkan, bukan semata-mata memenuhi keinginan dan dendam peribadi terhadap Najib.

Mereka mengungkit dosa-dosa lalu Mahathir seperti campur tangan terhadap badan kehakiman, penggunaan akta drakonian untuk menangkap pengkritiknya, juga amalan kronisme yang didakwa diamalkan sepanjang memegang jawatan itu.

Di kalangan pengkritik Mahathir, 'dosa-dosanya' meruntuhkan institusi utama negara inilah yang diteruskan legasi Najib pada masa ini.

Justeru apabila menyebut 'reformasi total' ia berbalik semula kepada deklarasi bersama yang dibacakan Mahathir sendiri, Jumaat lalu.

Antara lain, deklarasi itu menyebut pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Selain itu ia juga merumuskan untuk pemansuhkan semua undang-undang baru yang didakwa melanggar perlembagaan di bawah pentadbiran Najib.

Justeru pandangan kini sudah pasti tertumpu kepada Mahathir, parti pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil bagi merealisikan deklarasi berkenaan.

Ujian terbesar Mahathir pastinya bagi meyakinkan rakyat dan ahli Umno, apakah beliau benar-benar jujur untuk melakukan perubahan, atau sekadar mahu menjatuhkan kepimpinan perdana menteri.

Ujian bagi pembangkang pula adalah meyakinkan penyokongnya, bahawa pemilihan Mahathir mengetuai perubahan itu adalah tepat pada waktunya sebelum meminta mereka melupakan segala kesalahannya yang lampau.

Apapun, rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa umumnya sudah pasti ternanti-nanti lanjutan daripada episod politik yang sedang ditayangkan kepada mereka.

BACA INI JUGA: Tun Mahathir Mengaku Pernah Simpan Duit Umno Dalam Akaun Peribadi

Sumber: Malaysiakini

Sunday, March 06, 2016

Deklarasi Rakyat

Deklarasi Rakyat

Deklarasi yang dinamakan ‘Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.

Deklarasi Rakyat

Deklarasi itu mengandungi empat tuntutan:

1. Penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia tanpa menggunakan kekerasan dan undang-undang yang dibenarkan

2. Menyingkirkan semua orang yang bekerjasama dengannya

3. Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian yang dibuat baru-baru ini yang melanggar hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan pilihan dasar

4. Mengembalikan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM , Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Deklarasi itu ditandatangani 58 pemimpin dan bekas pemimpin.

Berikut senarai mereka yang menandatangani deklarasi tersebut:

1. Tun Dr Mahathir Mohamad
2. Tun Dr Ling Liong Sik
3. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
4. Tan Sri Muhyiddin Yassin
5. Tengku Razaleigh Hamzah
6. Datuk Seri Mukhriz Mahathir
7. Mohamad Sabu
8. Lim Kit Siang
9. Mustafa Ali
10. Datuk Ambiga Sreenivasen
11. Datuk Seri Zaid Ibrahim
12. Nurul Izzah Anwar
13. Datuk Mahfuz Omar
14. Tan Sri Sanusi Junid
15. Datuk Kamaruddin Jaafar
16. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib
17. Tan Sri Samsuri Arshad
18. Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
19. Tan Sri Abu Talib Othman
20. Tan Sri Aziz Yassin
21. Ariff Sabri
22. Teresa Kok
23. Anthony Loke
24. Tian Chua
25. Datuk Seri Ahmad Said
26. Datuk A. Kadir Jasin
27. Salahuddin Ayub
28. Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
29. Datuk Husam Musa
30. Dr Hatta Ramli
31. Rafizi Ramli
32. Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Ghazali
33. Dr Mariah Mahmud
34. Datuk Raja Kamarul Bahrin
35. Dr Dzulkifli Ahmad
36. Datuk Saifudin Nasution Ismail
37. Datuk fauzi Andul rahman
38. Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin
39. Al-Fadhil Ustaz Hassanudin Haji Yunus
40. Haji Mohamad Anuar Mohamad tahir
41. Maria Chin Abdullah
42. Cynthia Gabriel
43. Dr Syed Azman
44. Tommy Thomas
45. Datuk Hamidah Osman
46. Kamarul Azman Habibur Rahman
47. Datuk Omar Osman
48. Syed Saddiq Syed Abdul rahman
49. Zaid Mat Arip
50. Tamrin Tun Ghafar
51. Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan
52. Puan Anina Saadudin
53. Tun Daim Zainuddin
54. Datuk Seri Shafie Apdal
55. Tan Sri Zaman Khan
56. Matthias Chang
57. Hishammudin Rais

Antara bekas pemimpin kanan yang hadir adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Sementara itu, antara pemimpin pembangkang yang hadir pula adalah penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar.

BACA INI JUGA: 'Kami Sekarang Diambang Krisis 1998 Yang Tun Berjaya Tangani'

Sumber: Astroawani.com