Wednesday, January 28, 2015

6 Rahsia Orang Berjaya

6 Rahsia Orang Berjaya

Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Success Secret

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.

Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku “Tough Times Never Last, But Tough People Do” oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.

1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah

Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap.

Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja.

Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua.

Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah?

Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.

2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain.

Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda

Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja.

Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa dia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini dia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat dia sangat marah hingga tekad untuk terus berusaha hingga berjaya.

5. Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.

6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang sukar. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau bahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang.

Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Pendek kata “Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya”.

Baca ini juga: Jika Tidak Mengambil Risiko Anda Akan Menyesal Seumur Hidup

Sumber: iluvislam.com

Isu Kalimah Allah, Jaga Hati Jangan Mati

Isu Kalimah Allah, Jaga Hati Jangan Mati

Walaupun kita gembira dengan Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan la­rangan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu untuk penganut Roman Katolik terutama di Sabah dan Sarawak, jangan pula kita terlalu selesa.

Jaga Hati Jangan Mati

Masih banyak cabaran dan halangan yang bakal dihadapi dalam mempertahankan kesucian Islam walaupun sudah jelas dan nyata agama itu disebut sebagai agama bagi negara dalam Perlembagaan.

Untuk itu, tidak ada cara lain bagi kita mempersiapkan diri mendepani hal ini melainkan dengan menambah ilmu dan menjaga hati atau hakikatnya adalah iman.

Sebabnya, hanya mereka yang hatinya sejahtera akan merasa gelisah dan bimbang apabila Islam diusik atau dipermain-mainkan.

Malangnya, kita berhadapan dengan cabaran hebat untuk menjaga hati ini. Cabaran itu sudah tersedia di rumah kita lagi.

Sumber utamanya adalah program hiburan televisyen yang lagha (sia-sia). Cuba kita perhatikan, apakah rancangan atau program yang menjadi kegilaan masyarakat terutama remaja masa kini?

Jawapannya, antara kegilaan mereka adalah program hiburan seperti Raja Lawak, Akademi Fantasia, American Idol dan yang seangkatan dengannya (sekadar menyebut beberapa contoh).

Ini bukan bermakna Islam itu rigid sehinggakan nak berhibur pun dilarang. Yang dilarang oleh agama apabila hiburan itu melalaikan dan melanggar batas yang ditetapkan.

Mengenai bergelak ketawa pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam satu lagi hadis daripada Aisyah isteri Nabi SAW, bahawa beliau berkata, "Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW tertawa terbahak-bahak hingga kelihatan tenggorok beliau, beliau biasanya hanya tersenyum". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Demikian juga apabila terlalu banyak menonton program hiburan yang lagha, maka hati juga akan mati.

Apabila hati mati, penindasan yang berlaku ke atas umat Islam waima isu Charlie Hebdo di Perancis hanya jadi kuman di mata.

Apabila sampai ke tahap itu, seseorang itu tidak ada perasaan dan tidak rasa apa-apa terhadap apa juga yang berlaku ke atas umat Islam.

Sebab itu, amat penting bagi kita menjaga hati. Ia menjadi penentu kepada baik atau buruknya perilaku seseorang.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika daging itu baik, maka seluruh tubuh akan baik. Jika ia rosak, maka seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah, se­gumpal daging itu adalah hati". (riwayat Muslim)

Justeru, sebaik-baik perkara adalah yang sederhana dan pertengahan. Tatkala Islam mensyariatkan untuk banyak tersenyum, maka Islam juga melarang banyak tertawa. Sebabnya, segala sesuatu yang berlebih-lebihan dan melampaui batas akan membuat hati jadi mati.

Seperti juga banyak makan dan banyak tidur boleh mematikan hati dan melemahkan tubuh, maka demikian pula ba­nyak tertawa akan mematikan hati dan melemahkan tubuh.

Apabila hati sudah mati, maka ia tidak akan terpengaruh dengan peringatan al-Quran dan tidak mahu menerima nasihat.

Yang dibimbangkan, umat Islam hilang sensitiviti apabila agama suci itu dihina dan diperkotak-katikkan.

Salah satu daripadanya termasuk bersikap tidak apa terhadap apa juga perbuatan orang bukan Islam waima dalam bab penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang dituntut oleh Gereja Roman Katolik.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/jaga-hati-jangan-mati-1.51255

Tuesday, January 27, 2015

Gef, Misteri Cerpelai Yang Boleh Bercakap

Gef, Misteri Cerpelai Yang Boleh Bercakap

Pada september 1931, keluarga Irving - pasangan James, Margaret dan anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun, Voirrey - mendakwa terdengar bunyi bising seakan desiran dan cakaran keras di belakang dinding kayu pondok petani milik keluarga itu.

Cerpelai Yang Boleh Bercakap

Pada mulanya mereka sekeluarga menyangka yang ia hanyalah seekor tikus, sebelum makhluk yang tidak dapat dilihat bentuknya itu mula mengeluarkan pelbagai bunyi berbeza; kadang-kala meludah seperti seekor musang atau mengeram seperti seekor anjing atau berdeguk ketawa seperti bayi.

Makhluk itu kemudiannya mendedahkan abilitinya untuk bercakap! Memperkenalkan dirinya sebagai seekor cerpelai bernama Gef.

Dia mendakwa lahir di New Delhi, India pada tahun 1852 - namun tidak pula diberitahu dari mana dia belajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menurut Voirrey - yang mana satu-satunya manusia yang boleh melihat Gef dengan baik, makhluk itu cuma sebesar tikus kecil, dengan bulu kekuningan dan ekor yang lebat bulunya.

Realitinya, cerpelai yang wujud di India lebih besar berkali ganda berbanding tikus dan tidak mempunyai ekor dengan bulu yang lebat.

Menurut keluarga itu, Gef dikatakan beberapa kali membuat dakwaan berbeza tentang dirinya.

'Seekor cerpelai yang terlalu cerdik', 'roh ikatan tanah' dan 'hantu dalam bentuk seekor musang'.

Pernah sekali dia berkata, "Saya sangat pelik - ada tangan dan kaki dan kalu kamu melihat saya, pasti kamu akan pengsan atau keras membatu kerana terkejut, atau terus menjadi batu, ataupun terus menjadi tiang kayu.

Pernah ada siasatan dilakukan untuk mengesahkan kewujudan Gef.

Nondor Fodor, pengkaji fizik untuk Institut Kajian Fizikal Antarabangsa - juga adalah seorang pelopor kepada teori bahawa roh jahat dan hantu merupakan penjelmaan luaran dari konflik yang mempunyai minda sendiri.

Untuk mengkaji kewujudan Gef, Fodor tinggal dengan keluarga Irving selama seminggu, namun gagal melihat atau mendengar apa-apa dari Gef.

Pun begitu, dia menemuramah keluarga itu dan penduduk setempat sebelum meninggalkan tempat itu dengan percaya bahawa kisah tersebut adalah benar.

Fodor membuat keputusan tersebut selepas melihat kejujuran dan cara hidup keluarga itu menyebabkan dia tidak percaya mereka mampu menipu.

Voirrey, Margaret and Jim Irving
Voirrey, Margaret dan Jim Irving.

Menolak kemungkinan keluarga itu gila, dia juga tidak menganggap Gef sebagai hantu mahupun roh kerana tiada kuasa paranormal ditunjukkan makhluk itu.

Tiada sebarang bukti fizikal yang ditinggalkan Gef selain beberapa kesan tapak kaki yang tidak dikenalpasti adakah ianya tapak kaki musang - kewujudan makhluk itu menjadi satu misteri yang tidak terungkai hingga ke hari ini.

Voirrey Irving meninggal dunia pada tahun 2005 dan dalam temubual di akhir usianya Voirrey tetap menegaskan yang Gef bukan rekaan beliau.

BACA INI JUGA: Kesagake, Pemangsa Paling Ganas Dalam Sejarah Jepun

-Sentiasapanas.com

Artis-artis Malaysia Yang Pernah Terlibat Dengan Dadah

Artis-artis Malaysia Yang Pernah Terlibat Dengan Dadah

Seperti artis-artis di barat yang tidak lari daripada pengaruh dan penggunaan dadah, artis-artis Malaysia juga tidak terkecuali daripada gejala ini.

Artis-Dadah

Beberapa hari yang lepas, kita dikejutkan oleh penyebaran video bekas vokalis sebuah kumpulan popular tahun 90an, berusia 43 tahun yang ditahan bersama wanita berusia 33 tahun di Keramat, dipercayai positif dadah jenis heroin.

Berikut ialah senarai artis-artis Malaysia yang pernah dikatkan dengan kesalahan penggunaan dadah:

Saleem - Iklim, penyanyi

Pada 12 Mac 2005, anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini didapati bersalah memiliki satu paket plastik yang mengandungi 0.06 gram campuran heroin dan monoacetlymorphine serta satu lagi paket plastik mengandungi 0.06 gram dadah yang serupa pada Julai 2004.

Saleem terpaksa menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 13 Disember 2004.

Shereen, pelakon/penyanyi

Pelakon dan penyanyi Noor Sheereen Mohamad Hadzim atau Shereen melahirkan rasa lega dan bersyukur setelah Mahkamah Majistret di sini melepas tanpa membebaskannya daripada tiga pertuduhan mengawal dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

Pada 23 Mac 2005 Shereen bersama teman lelakinya dan dua rakan mereka dituduh mengambil dadah methamphetamine.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah bernombor C1-1-C3, Pangsapuri Subang Villa Ehsan, Jalan PJS 10/11, Taman Sri Subang pada pukul 2 pagi 15 Mac 2005.

Samzy Fuzette, pelakon

Samzy Fuzette A. Samad, pelakon dan abang kepada Zizie Ezette dan Shahizy Sam didakwa memiliki syabu, ditahan di Bukit Antarabangsa pada 11 April 2005. Dadah tersebut disimpan di dalam 10 paket plastic lutsinar di dalam beg milik Samzy.

Samzy disabit kesalahan dan hukuman penjara 30 bulan serta tiga sebatan dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Baby Erin - Res2, penyanyi

Bekas penyanyi Kumpulan Res2, Lily Zarina Khalil atau Baby Erin ditahan bersama pelakon Samzy Fuzette Abdul Samad serta empat yang lain, mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dan menghisap dadah jenis syabu atau pun methamphetamine.

Ameng - Spring, penyanyi

Penyanyi terkenal dari kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, kini sedang menjalani hukuman di penjara.

Pada Oktober 2005, Ameng mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu atas tuduhan menagih dadah jenis methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September tahun tersebut.

Pada bulan Disember tahun yang sama, Ameng atas kesalahan yang diakuinya, dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Terengganu setelah mengaku salah menagih dadah pada awal September 2005.

Sekali lagi Ameng ditahan dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul, Kuala Lumpur.

12 April 2011, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan di Mahkamah Sesyen Melaka kerana kesalahan dadah manakala isterinya, Sabariah Zakariah pula dibebaskan.

Jamal Abdillah, penyanyi

Jamal Abdilah ditahan pada 18 Jan 2007 bersama dengan sepupunya di sebuah rumah rehat di Teluk Intan kerana disyaki memiliki dadah.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui satu tiub dadah dipercayai syabu di dalam bilik berkenaan.

Bagaimanapun, Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Teluk Intan dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,000.

Jamal pernah menjalani program rehabilitasi di Pengasih selama hampir lima tahun.

Zack - New Boyz, pemain bass

Zack atau nama sebenarnya, Radin Irwan Dzul Karnain Isagani, 32, didakwa mengedar 1.321kg ganja di K-11-9, Jalan PJU 6, Persiaran Pelangi Damansara, Petaling Jaya, jam 9.20 malam, pada 26 Januari 2010.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada awal 2013 pemain bass kumpulan New Boyz itu telah ditahan reman selama tiga tahun di Penjara Sungai Buloh, dilepaskan hukuman gantung apabila didapati tidak bersalah oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Benjy, pelakon

Khaeryll Benjamin atau Benjy, anak kepada Allayarham biduanita Azean Irdawaty juga terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

Benjy ditangkap bersama teman wanitanya di Segambut pada 11 Mac 2010 ditahan kerana disyaki memiliki 850 gram kokain dan 1.4 gram syabu dengan nilai rampasan bernilai RM650,000.

Dalam serbuan, polis menemui makmal memproses dan membungkus dadah.

Pada masa itu, Benjy sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun manakala teman wanitanya itu, telah disahkan positif methamphetamine ketika melakukan ujian air kencing.

Benjy terlepas hukuman gantung mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pada 27 Jun 2013, Benjy sekali lagi ditahan atas kesalahan menyalahguna dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di sini. Ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Saiful Apek, pelawak/pelakon

Saiful Apek didapati bersalah bersalah memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya pada 12 Jun 2010.

Pada 22 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelawak itu membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret membebaskan mereka daripada pertuduhan pada 25 Jun tahun sama.

Saiful Apek dan pekerjanya dibebaskan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Radhi - O, penyanyi

Bekas penyanyi kumpulah Old Automatic Garbage (OAG), Mohd Radhi Razali ataupun Radhi-O telah mengaku menjadi hamba dadah sejak berumur 15 tahun dan telah menjalani pemulihan dadah di Pengasih pada Januari 2011.

Radhi kini menjalani hidup bebas dadah.

Zarina Anjoulie, model/pelakon

Pelakon dan model, Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul ditahan kerana didakwa memiliki dua biji pil Eramin 5 dan positif dadah jenis ‘methampetamine’ bersama seorang rakan lelakinya di Armanee Condominium di Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 30 Disember 2013.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah memiliki dua pil Eramin 5 seberat 0.6gram ketika pertuduhan tersebut dibacakan oleh Majistret Nazri Omran. Mereka berdua boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dendan RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Zarina juga pernah ditangkap polis pada satu Ops Perayaan Tahun Baru Cina 2010 di LCCT kerana disyaki mengambil dadah.

Ezad - Exist, penyanyi

Ezad Exist yang berusia 35 tahun telah ditahan di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Selayang kerana memiliki satu peket dadah syabu pada 20 November 2014.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Muhammed Hasbullah Ali ketika dihubungi berkata, hasil pemeriksaan ke atas artis terbabit menemui satu peket lutsinar dadah jenis syabu seberat 0.3 gram dalam gengaman tangan kiri.

Ezad menjalani ujian air kencing dan disahkan positif dadah syabu.

BACA INI JUGA: Pesara CIA Mengaku Bunuh Marilyn Monroe!

sumber: astroawani

Monday, January 26, 2015

Senarai Barangan Yang Dikenakan Cukai GST 2015

Senarai Barangan Yang Dikenakan Cukai GST 2015

Seperti yang pengguna Malaysia sedia maklum, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST 2015) dengan kadar enam peratus akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula bulan April 2015.

GST-2015

Sebelum ini ada barangan yang dikenakan cukai SST 10 peratus yang dimasukkan dalam harga jualan. GST dengan kadar enam peratusakan menjadikan beberapa barangan pengguna ini dijangka lebih murah.

Antara barangan yang di jangka akan turun selepas pengenalan GST 2015 adalah:
  • Harga set televisyen
  • Peti sejuk
  • Pendingin hawa
  • Seterika
  • Pengering rambut
  • Lampin
  • Minuman ringan

Berikut pula antara barangan yang mungkin naik harga disebabkan ianya tidak dikenakan cukai sebelum ini:
  • Komputer
  • Komputer riba
  • iPad
  • Telefon bimbit
  • Jam tangan
  • Barangan kosmetik termasuk gincu dan pengilat kuku

Tidak akan ada GST untuk makanan keperluan seperti:
  • Ayam
  • Daging lembu
  • Daging kambing
  • Ikan
  • Itik
  • Ikan
  • Telur
  • Ikan bilis
  • Beras
  • Roti
  • Sayur-sayuran segar dan buah-buahan
  • Minyak kelapa
  • Minyak masak kacang tanah
  • Minyak kelapa
  • Susu bayi
  • Petrol RON95 dan diesel
  • Tol
  • Pengangkutan awam

Barangan makanan bukan keperluan walau bagaimanapun dikenakan GST seperti:
  • Sos tomato
  • Sos cili
  • Sos tiram
  • Mi cawan
  • Tempe
  • Keju
  • Marjerin
  • Telur puyuh
  • Minyak jagung
  • Minyak zaitun
  • Biskut
  • Donat
  • Croissant coklat

Jabatan Kastam telah mengeluarkan sebuah buku dengan menyenaraikan barangan yang dikenakan cukai dan tidak dikenakan cukai dan ia boleh dimuat turun dari laman web di SINI.

BACA INI JUGA: Senarai Barangan Yang Dikecualikan GST

Sumber:
http://rossacalla.blogspot.com/2015/01/panduan-senarai-barang-kena-gst-2015.html

Jamal Abdillah Sedia Bantu Zamani Pulih Ketagihan Dadah

Jamal Abdillah Sedia Bantu Zamani Pulih Ketagihan Dadah

Jika menyentuh tentang raja pop Malaysia Datuk Jamal Abdillah, pasti ramai masih ingat bahawa pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir ini pernah menggemparkan dunia hiburan dengan isu penyalahgunaan dadah suatu ketika dahulu.

Jamal Abdillah

Kini Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali tampil menyatakan hasrat bersedia membantu vokalis kumpulan Slam, Zamani untuk mendapatkan rawatan bagi memerangi masalah dadah yang dihadapinya.

Jamal dilaporkan berkata kepada Harian Metro, “Zamani boleh hubungi atau berjumpa saya pada bila-bila masa, saya akan kenalkan dia dengan tempat tertentu yang agak tertutup daripada pengetahuan ramai untuk pemulihan (ketagihan dadah).”

Tambah Jamal, Zamani dikenali ramai jadi dia mungkin tidak selesa jika beritanya mendapatkan rawatan di pusat pemulihan tertentu mendapat perhatian.

Atas dasar pernah mengalami masalah serupa, pelakon filem Azura ini memberitahu dia mengenali beberapa pihak tertentu yang boleh merawat ketagihan dadah dan lokasinya agak tertutup.

Bagus juga kalau Zamani boleh temui Jamal untuk berbincang cara terbaik selesaikan masalahnya.

Sebagai rakan seni, pasti Jamal mahukan yang terbaik buat Zamani agar dia tidak terus dibelenggu masalah dadah yang boleh menghancurkan karier dan masa depannya.

Sumber: Mynewshub.cc

Merotan Anak Bakal Jadi Satu Jenayah?

Merotan Anak Bakal Jadi Satu Jenayah?

Hukuman rotan untuk mendidik anak-anak sememangnya sudah sinonim dalam masyarakat kita sejak dulu lagi.

Merotan Anak

Namun, kenyataan terbaru oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 mungkin bakal mengubah kebiasaan tersebut.

Ia ekoran cadangan menjadikan hukuman rotan sebagai satu kesalahan dalam akta tersebut yang bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.

Menurut Rohani, kerajaan tiada pilihan kerana Malaysia adalah antara negara yang sudah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

CRC ditubuhkan untuk mempertahankan suara kanak-kanak dan akta yang melibatkan golongan itu perlulah selari dengannya.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta agar masyarakat mengambil iktibar dalam kes yang membabitkan pasangan Malaysia yang dikenakan hukuman di Sweden kerana kesalahan merotan sebelum ini.

Menerusi The Rakyat Post, Rohani memaklumkan bentuk hukuman terhadap ibu bapa yang merotan anak masih dalam perbincangan.

“Kalau kita tengok Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Jadi, kalau akta baru nanti mungkin lebih berat atau kita tambah untuk lakukan kerja kemasyarakatan untuk jadikan mereka lebih sedar serta insaf.

“Bagi Seksyen 33 pula, ibu bapa atau penjaga melakukan kesalahan dan jika sabit boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Walaupun merotan anak me­ru­­pakan sebahagian budaya ma­­syarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.

“Kita juga mengambil iktibar rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya

Setakat ini, hanya terdapat dua hukuman dalam Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Seksyen 31 dan Seksyen 33 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak.

Namun, ia dianggap masih tidak mencukupi dan disebabkan itu dalam penggubalan akta baharu tersebut, hukuman tambahan iaitu menjalani khidmat komuniti di pusat perlindungan kanak-kanak kepada individu yang didapati bersalah mendera dan mengabaikan anak turut dimasukkan.

Ini bertujuan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka.

Apapun, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan pastinya akta baru yang akan digubal nanti sudah mengambil kira setiap sudut positif dan negatifnya.-Utusan

Rotan Anak Cara Islam

Panduan dan tunjuk ajar Islam dalam cara memukul anak untuk tujuan mendidik seperti berikut:
  • Pukulan tersebut adalah pukulan ringan dan mendidik. Tidak melebihi tiga kali.
  • Rotan yang digunakan mestilah tidak terlalu keras, tidak pula terlalu lembut, basah dan lembab sehingga boleh meninggalkan bekas dan kerosakan yang teruk pada kulit.
  • Memukul di tempat yang berbeza, bukan pada satu tempat sahaja.
  • Tempat dibenarkan memukul: semua anggota badan kecuali kemaluan, muka serta seluruh kepala. Sebahagian ulama’ salaf mencadangkan agar dirotak di tapak tangan dan kaki.
  • Memanjangkan tempoh rotan pertama dengan yang seterusnya.
  • Tidak mengangkat tangan sehingga boleh kelihatan ketiaknya.
  • Tidak sampai mencederakan atau mendera anak.

Kita Pemusnah Generasi Akan Datang

Seperti kata rakan blogger Bin Muhammad di blognya (relaksminda), jangan salahkan anak-anak jika mereka tidak hormat orang tua dan guru!

Jangan salahkan mereka jika gejala sosial semakin berleluasa!

Jangan salahkan anak-anak jika mereka tidak tahu sembahyang dan mengaji!

Ini adalah kerana kesalahan kita yang tidak mengajar dan membimbing mereka mengikut cara yang betul!

Fikir-fikirkanlah..

BACA INI JUGA: Peraturan Kementerian Pendidikan, Guru Dilarang Berleter Kepada Murid!

-SENTIASAPANAS.COM

Zamani Maafkan Penyebar Video

Zamani Maafkan Penyebar Video

Orang kata, kalau kita memaafkan seseorang yang berbuat salah kepada kita, air muka kita tidak akan jatuh dan bukan dilihat sebagai mengalah.

Zamani Ibrahim

Mungkin itulah yang boleh dikatakan terhadap bekas vokalis Slam, Zamani yang namanya panas sejak beberapa hari lalu apabila video klip dia menyanyi lagu popularnya sambil bergari di sebuah balai tersebar.

Dia pada mulanya ditahan atas kesalahan berkaitan dadah.

Rata-rata peminat dan bukan peminat senada meluahkan rasa marah terhadap pasukan polis yang dikatakan dalang kepada tindakan merakam dan menyebarkan video itu.

Nasib baik Ketua Polis Negara bersikap terbuka dan pantas mengarahkan siasatan dilakukan terhadap pihak yang melakukan tindakan itu. Beliau tidak mengambil pendekatan mempertahankan anggotanya yang jelas salah dalam isu itu.

Umumnya orang ramai marah kerana aib dan maruah Zamani seolah-olah dipermainkan oleh anggota polis yang menahannya.

Malah ada yang melihatnya sebagai tindakan membuli tahanan.

Hakikatnya, apa yang berlaku mungkin budak polis yang menahan Zamani tu pun peminat dia dan meminta agar menyanyikan salah satu kegemarannya.

Silapnya benda itu dirakam dan menjadi kesilapan yang lebih besar sehingga ia tersebar.

Namun, yang hebat dalam isu ini adalah Zamani sendiri.

Mungkin dia ada isu dadah tetapi sikap dia yang lain memang harus dipuji.

Langsung tidak memperlihatkan rasa dendam.

Malah, kalau dilihat kepada kenyataan-kenyataan yang dibuatnya, ternyata Zamani begitu bersungguh bukan sekadar memaafkan bebudak polis yang merakam video itu, malah merayu mereka tidak dikenakan sebarang tindakan.

Kalau empunya tubuh (Zamani) sendiri tak mahu membesarkan isu itu dan berharap mereka tidak dikenakan tindakan, maka tidak ada keperluan pun untuk isu itu dilanjutkan.

Sikap pemaaf dan mulia hati Zamani sepatutnya menjadi titik noktah kepada episod panas itu.

Rasanya, dalam isu ini, yang menjadi hero dan juara pastinya Zamani. Penulis yakin, sikapnya itu sudah pasti menambah jumlah peminatnya menjadi berkali ganda.

Cuma kepada polis, ambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

Wujudkan satu garis panduan yang jelas dan perlu dikuatkuasakan dengan bersungguh yakni polis tidak boleh merakam apa satu perbuatan melibatkan mana-mana tahanan.

Jika tidak, kes Zamani pasti bukan yang pertama dan terakhir yang kita lihat menjadi panas. -Mynewshub.cc

Empat Anggota Polis Digantung Tugas

Empat anggota polis yang dikaitkan dengan rakaman dan penyebaran klip video tersebut, telah ditukarkan ke bahagian operasi pejabat atau digantung dari tugas asal.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata kesemua mereka masih bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tetapi tidak lagi terlibat dengan kerja berkaitan penyiasatan dan operasi.

“Mereka ditugaskan untuk kerja pejabat atau non-active task. Keputusan muktamad mengenai kedudukan mereka hanya akan dibuat selepas selesai siasatan,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

Abdul Samah berkata pihaknya masih menyiasat sekiranya ada lagi anggota yang terlibat dalam insiden yang mencuri perhatian ramai itu kerana klip video yang tersebar di laman sosial itu memaparkan penyanyi berkenaan disuruh menyanyi dengan tangannya bergari ketika dalam tahanan.

Ia mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan membuli dan menjatuhkan maruah penyanyi itu.

Abdul Samah berkata siasatan mengenai insiden itu tetap dijalankan walaupun Zamani telah mengeluarkan kenyataan memaafkan anggota yang melakukan kesalahan itu.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota kerana ini kesalahan serius yang bukan hanya memalukan individu berkenaan malah ia turut mencemarkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia,” tegasnya.

Penyanyi itu dan seorang wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat pada Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman empat hari terhadap mereka tidak disambung. -BERNAMA

-SENTIASAPANAS.COM

Kisah Benar ‘Keajaiban’ Tawakal Kepada Allah

Kisah Benar ‘Keajaiban’ Tawakal Kepada Allah

Yakinlah bahawa rezeki atau penyelesaian akan datang daripada Allah SWT, bezanya cuma cepat atau lambat sahaja.

Tawakkal-Kepada-Allah [2]

Jika anda yang membaca ini, sedang berada dalam keadaan sukar kerana dihimpit ujian hidup dan susah hati dengan masalah yang menimpa diri, jangan khuatir.

Ia juga datang dalam pelbagai cara dan bentuk yang adakalanya langsung tidak kita duga.

Sebaiknya, keraplah istighfar dan memohon supaya dilapangkan rezeki.

Percayalah, Allah SWT tidak akan membiarkan hamba-Nya menanggung beban melebihi kemampuan diri.

Kisah yang ingin kami kongsikan ini merupakan satu kejadian benar mengenai rezeki, diceritakan oleh saudari Pnut Syafinaz menerusi Facebooknya.

Kisah-benar-tawakal-kepada-Allah - Pnut Syafinaz
Kisah-benar-tawakal-kepada-Allah - Pnut Syafinaz [2]
Kisah-benar-tawakal-kepada-Allah - Pnut Syafinaz [3]

Sama-samalah kita ambil iktibar dan pengajaran melaluinya, insya-Allah.

BACA INI JUGA: Ujian Berat Hanya Untuk Insan Yang Hebat

Doa-murah-rezeki

Sumber: Mynewshub.cc

Saturday, January 24, 2015

Misteri Manusia Terbakar Secara Tiba-tiba

Misteri Manusia Terbakar Secara Tiba-tiba

Spontaneous Human Combustion (SHC) adalah antara fenomena yang sangat menggerunkan. Sangat misteri, hampir tidak masuk akal dan ia benar-benar pernah terjadi. Ia berlaku apabila seseorang itu secara tiba-tiba muncul api pada tubuh badannya tanpa sebarang sebab atau punca yang jelas.

Spontaneous Human Combustion (SHC)

Lebih mengejutkan, lebih keseluruhan tubuh badan akan terus terbakar hingga menjadi abu!

Sehingga kini, tiada bukti kukuh mengenai penyebab berlakunya fenomena misteri ini. Dalam kebanyakan kes, mangsa ditemui terbakar dan biasanya berpunca dari dalam badan yang kemudiannya merebak keluar dan kebiasaannya hanya 'sisa' tubuh mangsa ditemui.

Fenomena ini bukanlah hanya sekadar 'Hoax'.

Pada abad ke 19, Charles Dickens pernah menulis tentang fenomena ini. Salah satu karakter ciptaan di dalam novelnya, Bleak House turut digambarkan diserang fenomena misteri ini.

Apabila dia dikritik hebat kerana sengaja mewujudkan fenomena tidak masuk akal seperti itu, dia muncul dengan kenyataan bahawa segala yang digambarkan adalah benar wujud dan pernah terjadi melalui kajiannya terhadap fenomena SHC.

Apakah yang membezakan mangsa SHC dengan mangsa kebakaran dari api normal?

Pertama, jangkamasa tubuh manusia normal untuk hancur dalam kebakaran. Pakar biologi membuktikan bahawa tubuh kita mempunyai daya tahan yang agak tinggi dan agak sukar untuk hancur sepenuhnya menjadi abu.

Malah, 'oven' di krematorium direka khas untuk membakar mayat pada suhu beribu-ribu darjah centigrade untuk menghancurkan tulang temulang. Api dalam kebakaran normal biasanya tidak mampu untuk membakar tubuh manusia begini.

Dalam kes SHC, kebanyakan mangsanya 'vaporised' begitu saja. Contohnya, kes Mary Reeser, 1951, hanya sepasang kakinya tinggal bersama sisa tengkoraknya serta beberapa batang gigi. Keseluruhan badannya lenyap menjadi abu.

Mary Reeser
Mary Reeser.

Kedua, perkara pelik yang tidak dapat dirungkai dalam hampir kesemua kes SHC. Api misteri itu hanya 'membakar' tubuh mangsanya sahaja, namun tidak pula melibatkan keadaan sekeliling mangsa.

Merujuk kepada kes Mary Reeser sekali lagi, 'tinggalan mayat' Mary Reeser dijumpai diruang tamu rumahnya yang mana diruang tersebut turut terdapat karpet serta perabot yang boleh dilabel sebagai 'highly flammable' - sangat mudah terbakar.

Namun yang peliknya, hanya kerusi tempat sisa tinggalan mayat Mary Reese saja yang hangus bersama tubuhnya itu. Api itu tdak merebak dan membakar karpet serta perabot-perabot lain disitu!

Rentetan peristiwa misteri itu, beberapa teori telah dikemukakan, antaranya;

Charles Dickens mengemukakan teori dimana fenomena ini mungkin berlaku disebabkan sifat seseorang itu yang kurang menyenangi; bersikap kurang ajar, keji, berhati hitam, serta elemen-elemen 'evil' yang bercampur dalam diri seseorang itu mampu mewujudkan tindakbalas mudah untuk terbakar.

Charles Dickens SCH
Charles Dickens.

Dalam penjelasan yang lebih moden, tidak melibatkan komponen moral seseorang dan lebih masuk akal, fenomena ini mungkin terjadi akibat tindakbalas gas dari penghadaman dan perkumuhan dalam badan yang mana mungkin boleh mewujudkan potensi berlakunya kebakaran.

Ibu Dakwa Bayinya Terbakar Secara Tiba-Tiba Di India

K Rajeswari
K Rajeswari dakwa bayinya terbakar.

Dan yang terbaru di India, seorang ibu menceritakan keadaan seorang bayi yang baru berusia enam hari, dikatakan terbakar secara tiba-tiba di Chennai, India.

Bayi tersebut kini dimasukkan ke Kolej Perubatan dan Hospital Kilpauk, Chennai dan dipantau oleh petugas rawatan.

Menurut ibu bayi malang berkenaan, K Rajeswari, kaki anaknya terbakar secara tiba-tiba hingga melecur (15/1/2015).

Hal berkenaan menyebabkan sekumpulan doktar menjalankan pemeriksaan dan uji kaji terhadap sampel diambil daripada bayi berkenaan.

Dekan hospital Dr N Gunasekaran berkata, pihaknya sudah mengambil sampel kecederaan untuk menjalankan ujian di makmal dan keputusan akan diketahui beberapa hari lagi.

Sementara itu, menurut laporan dailymail.co.uk, ibu mangsa mendedahkan ini bukan pengalaman pertamanya kerana pada tahun 2013, anak sulungnya turut terbakar secara tiba-tiba pada usia tiga bulan.

Namun, doktor yang merawat anak sulung Rajeswari mendakwa kebakaran anaknya itu tidak berlaku tiba-tiba sebaliknya mungkin didera atau melecur akibat kebakaran yang tidak disengajakan.

Bagaimanapun, beberapa saintis berpndapat, kejadian elektrik statik mungkin menjadi punca kejadian pelik seumpama ini.

Teori

Dari sudut keagamaan, sesetengah orang percaya ia adalah balasan dari Tuhan.

Teori paling terkini dipanggil 'wick effect' antara yang mungkin boleh diguna pakai.

Menurut teori ini, lemak dalam badan manusia bertindak umpama lilin sementara pakaian bertindak sebagai pencucuh (elektrik statik), mungkin.

Walau bagaimanapun, penjelasan yang mungkin logik ini masih gagal untuk dibuktikan sejauh mana kebenarannya.

BACA INI JUGA: Pelbagai Cara Kematian Yang Sangat Pelik

-Sentiasapanas.com