Sunday, June 21, 2020

Maksud Setiap Nombor Dalam Budaya Cina Dan Kaitannya Dengan Kehidupan

Maksud Setiap Nombor Dalam Budaya Cina Dan Kaitannya Dengan Kehidupan

Masyarakat Cina percaya dengan memiliki nombor pendaftaran tertentu yang popular, sesuatu tuah boleh diperoleh, dan disebabkan itu juga mereka sanggup membelanjakan wang yang sangat banyak untuk sesetengah nombor yang dianggap bertuah.

Maksud nombor budaya cina

Kuasa dan pengaruh nombor ada penceritaan mengenainya, dan setiap nombor ada maksud tertentu yang orang Cina sangat percaya kepadanya.

Jom kita ketahui tafsiran nombor-nombor mengikut kehidupan masyarakat Cina.

MAKNA NOMBOR Dalam NUMEROLOGI CINA

Nombor 1
  • Nombor 1 memberi maksud kuasa dan kekayaan kepada pemiliknya, menjadikan nombor ini antara yang menjadi rebutan setiap kali tender nombor pendaftaran dibuka.
  • Tafsiran nombor 1 ialah satu, saya, diri sendiri.

Nombor 2
  • Angka atau nombor 2 pula membawa maksud kebahagian dan kasih sayang. Lebih kepada berpasang-pasangan.
  • Contohnya, "double happiness", "double prosperity", jualan berganda dan sebagainya.
  • Tafsiran nombor 2 ialah mudah, senang.

Nombor 3
  • Nombor 3 membawa maksud mengangkat sesuatu kedudukan seseorang ke satu tahap yang lebih tinggi.
  • Tafsiran nombor 3 ialah mendapatkan, hidup.

Nombor 4
  • Kebanyakan orang Cina menyifatkan nombor 4 sebagai lambang kematian dan kurang digemari.
  • Tafsiran nombor 4 ialah mati, miskin, susah.

Nombor 5
  • Sememangnya nombor 5 membawa maksud keterujaan dan kejayaan segera tetapi ia mungkin tidak bertahan lama.
  • Namun, tidak ramai yang ambil kisah semua itu, yang penting cepat kaya.
  • Tafsiran nombor 5 ialah tidak akan, tidak pernah.

Nombor 6
  • Sebenarnya nombor 6 adalah angka yang kurang baik kerana ianya membawa kesusahan.
  • Meskipun begitu ini tidak selamanya kerana dipercayai akan meraih kekayaan selepas sesuatu tempoh.
  • Tafsiran nombor 6 ialah akan, menuju.

Nombor 7
  • Nombor 7 pula membawa maksud kestabilan dalam kehidupan. Sungguhpun makna angka 7 nampak positif, ianya juga boleh membawa erti pergi atau keluar.
  • Sudah tentu ini tidak bagus untuk rumah atau kedai sebab macam menghalau keluar atau pergi dari situ.
  • Tafsiran nombor 7 ialah pasti, tepat.

Nombor 8
  • Bagi orang Cina, nombor 8 paling popular kerana ia membawa pengaruh yang sangat tinggi di samping kejayaan dalam kehidupan.
  • Tafsiran nombor 8 ialah kaya, makmur.

Nombor 9
  • Nombor 9 mempunyai maksud yang sama dengan nombor 1 iaitu kuasa dan kekayaan kepada pemiliknya.
  • Selalunya jika tak dapat nombor 1, pilihan yang lain adalah nombor 9. Cuma pengaruhnya kurang jika dibandingkan dengan angka 1.
  • Tafsiran nombor 9 ialah lama, panjang, kuasa.

Nombor 0
  • Pada kebiasaannya nombor 0 atau kosong akan digabungkan dengan mana-mana nombor lain untuk memperkukuhkan maksud atau tuah sedia ada.
  • Tafsiran nombor 0 ialah tiada.

Gabungan Nombor Yang Membawa TUAH

Contoh-contoh kombinasi nombor dan maksudnya mengikut kepercayaan orang Cina:
  • 168 – Saya akan kaya
  • 998 – Lama-lama kaya
  • 3889 – Dapat kaya, kaya selamanya

Dalam pada itu, ada juga makna nombor yang sedikit berbeza dan berikut senarainya:
  • Nombor 1 – satu, dijangka
  • Nombor 2 – lapar
  • Nombor 3 – hidup
  • Nombor 4 – mati
  • Nombor 5 – tidak
  • Nombor 6 – guling
  • Nombor 7 – terus, lurus
  • Nombor 8 – kaya
  • Nombor 9 – lama
  • Nombor 0 – tiada

Kalau mengikut tafsiran nombor di atas, 6674 membawa maksud; guling-guling terus mati. Kah kah.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: ppim

Saturday, January 05, 2019

Asal-usul Tahun Baru Cina Dengan Haiwan Dan Unsur

Asal-usul Tahun Baru Cina Dengan Haiwan Dan Unsur

Simbol haiwan dan unsur pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina diasaskan oleh astrologi Cina berdasarkan kitaran enam puluh tahun sejak dinasti Shang. Kitaran asas ini telah dibina daripada dua kitaran: 10 Batang Samawi (lima unsur dalam bentuk yin dan yang masing-masing) dan 12 Dahan Duniawi, atau kitaran 12 tahun haiwan dalam zodiak Cina.

ZODIAK CINA

Zodiak haiwan cina juga membentuk kitaran bulanan dan waktu seharian dan kitaran 60 tahun ini terdiri daripada dua kitaran berasingan yang saling berinteraksi.

Kitaran yang pertama ialah kitaran 10 Batang Samawi, iaitu Lima Unsur (dalam urutan: Kayu, Api, Tanah, Logam, dan Air) dalam bentuk Yin dan Yang.

Yang kedua ialah kitaran 12 bintang haiwan zodiak (生肖 shēngxiāo) atau Dahan Duniawi, iaitu (mengikut urutan): tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing, dan babi.

Gabungan 5 unsur × 12 haiwan menghasilkan kitaran 60 tahun ini yang semestinya bermula dengan Tikus Kayu dan berakhir dengan Babi Air.

Oleh sebab kitaran 12 haiwan zodiak ini boleh dibahagi menjadi dua, setiap satu bintang zodiak ini hanya tergolong dalam kelompok Yin atau Yang: naga sentiasa yang, ular sentiasa Yin, dan sebagainya.

Kitaran sekarang bermula pada tahun 1984 (seperti ditunjukkan dalam “Jadual kalendar 60 tahun” di bawah).


UNSUR ZODIAK 60 TAHUN
UNSUR ZODIAK 60 TAHUN
UNSUR ZODIAK 60 TAHUN

Apabila cuba menghitung tahun yang berkaitan, satu pedoman yang mudah diikuti ialah bahawa tahun yang berakhir dengan angka genap adalah Yang, manakala yang angka ganjil adalah Yin.

Oleh sebab zodiak Cina (tradisional) mengikuti kalendar Cina (lunisolar), maka tarikh peralihan ialah Tahun Baru Cina, bukannya jatuh pada 1 Januari seperti dalam kalendar Gregory.

Maka itu, seseorang yang lahir sebelum Tahun Baru Cina pada tahun tertentu tergolong di bawah bintang zodiak tahun sebelumnya.

Contohnya, bagi seseorang yang lahir pada Januari 1970, unsurnya adalah Tanah Yin, bukan Logam Yang.

Begitu juga, meskipun tahun 1990 ialah Tahun Kuda, sesiapa yang lahir antara 1 dan 26 Januari 1990 sebenarnya lahir pada Tahun Ular (bintang tahun sebelumnya), kerana Tahun Kuda 1990 hanya bermula pada 27 Januari 1990.

Apakah maksud lima unsur haiwan ini?

Zodiak Cina

Yin atau Yang dipecah menjadi Lima Unsur (Kayu, Api, Tanah, Logam, dan Air) di samping kitaran haiwan. Ini merupakan pengubah yang mempengaruhi sifat-sifat setiap 12 bintang haiwan.

Maka itu, setiap bintang haiwan ini bernaung di bawah satu unsur serta satu arah Yin-Yang.

Imbangan Yin dan Yang serta lima unsur dalam pembentukan seseorang banyak mempengaruhi apa yang berfaedah dan berkesan untuknya dari segi feng shui, iaitu bentuk Cina bagi ramalan.

Ini adalah kerana setiap unsur dihubungkan dengan arah dan musim tertentu, serta jenis Qì atau daya hidup yang berbeza.

Unsur kayu mempunyai sifat murah hati, mesra, mayakinkan, bekerjasama, mahu berkembang, idealistik, beretika, ghairah, suka meneroka.

Unsur api membawa sifat dinamik, kemanusiaan, bertenaga, berkobar-kobar, berdaya usaha, suka mengembara, tidak mudah puas hati, berdaya saing, berkemahiran dalam memimpin, kuat, sepenuh jiwa raga, suka jenaka.

Unsur tanah pula disifatkan sebagai seorang yang sabar, ketenteraan, cermat, stabil, boleh dipercayai, rajin, bercita-cita, degil, penuh tenaga, berdisiplin, kuat, lojik, sedia berkhidmat untuk orang lain.

Unsur logam ialah seseorang yang tekun, berdikari, keras hati, kuat, kuat, tegas dan bersemangat, berat mulut, memerlukan ruang bersendiri, sofistikated, suka mncari keseronokan, prihatin, menghormati orang lain.

Yang terakhir ialah unsur air yang mempunyai sifat berahsia, menawan, intuitif, belas kasihan, peka, kreatif, fleksibel, patuh, petah, intelek.

Walau bagaimanapun, adalah satu tanggapan salah umum bahawa seseorang cuma ada satu bintang iaitu berdasarkan tahun, walhal juga terdapat bintang yang berasaskan bulan, hari, dan waktu kelahiran.

Gabungan lengkap tahun, bulan, hari dan waktu kelahiran ini membentuk ’empat tunggak’ astrologi Cina untuk menilik nasib seseorang.

Contohnya, jika anda lahir pada 22 Februari 1988, pukul 2.36 pagi, maka anda lahir pada tahun Naga, bulan Harimau, hari Kambing dan waktu Lembu.

ZODIAK 2019

Khinzir atau Babi ialah bintang haiwan yang terakhir dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina dan dilambangkan oleh dahan duniawi manakala dalam budaya Cina, khinzir dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan.

Melahirkan anak pada tahun khinzir dianggap amat bertuah kerana anak-anak itu akan menjadi periang dan jujur.

Dalam versi Jepun, zodiak ini hanya dimaksudkan sebagai babi hutan (猪 inoshishi) sahaja dan bukan khinzir ternakan.

Tahun-tahun dan Lima Unsur
  • 30 Januari 1911 - 17 Februari 1912: Khinzir Logam
  • 16 Februari 1923 - 4 Februari 1924: Khinzir Air
  • 4 Februari 1935 - 23 Januari 1936: Khinzir Kayu
  • 22 Januari 1947 - 9 Februari 1948: Khinzir Api
  • 8 Februari 1959 - 27 Januari 1960: Khinzir Tanah
  • 27 Januari 1971 - 14 Februari 1972: Khinzir Logam
  • 13 Februari 1983 - 1 Februari 1984: Khinzir Air
  • 31 Januari 1995 - 18 Februari 1996: Khinzir Kayu
  • 18 Februari 2007 - 6 Februari 2008: Khinzir Api
  • 5 Februari 2019 - 24 Januari 2020: Khinzir Tanah
  • 2031 - 2032: Khinzir Logam
  • 2043 - 2044: Khinzir Air

Sifat Zodiak Khinzir
  • Kedudukan zodiak: Ke-12
  • Waktu naungan: 9 – 11 malam
  • Mata angin: Barat laut-Utara
  • Musim dan bulan Musim sejuk: November
  • Bulan qamariah: 8 November hingga 6 Disember
  • Zodiak Barat yang bersamaan: Scorpio
  • Polariti: Yin
  • Unsur: Air

Sifat
  • Sifat positif: Penyayang, bertoleransi, peka, optimis, patuh, jujur, altruistik, senang menerima tetamu.
  • Sifat negatif: Materialistik, mudah terpengaruh, mudah terpedaya, boros, ragu-ragu, naif.

Pasangan
  • Paling serasi: Kambing, Arnab, Anjing
  • Sederhana serasi: Tikus, Lembu, Naga, Kuda, Harimau.
  • Tidak serasi: Monyet, Ayam, Ular.

Semoga memberi manfaat.

P/s: Artikel ini adalah untuk pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, February 17, 2018

12 Haiwan Zodiak Dalam Kalendar Lunar Cina

12 Haiwan Zodiak Dalam Kalendar Lunar Cina

Dalam astrologi zodiak Cina, terdapat satu kitaran 12 tahun yang terdiri daripada dua belas ekor haiwan yang melambangkan dua belas jenis personaliti berbeza dan secara tradisi, zodiak ini sentiasa bermula dengan bintang Tikus.

12 zodiak cina

Terdapat juga banyak cerita mengenai asal-usul zodiak ini yang menerangkan sebab tikus menerajui zodiak.

Berikut ialah kesemua 12 haiwan zodiak dalam urutan betul serta sifat-sifatnya.

Asal-usul Zodiak Cina

Terdapat banyak legenda yang menerangkan permulaan zodiak, antaranya cerita yang diringkaskan seperti berikut:

Sang tikus ditugaskan menjemput para haiwan untuk melapor diri menghadap Maharaja Jed untuk satu jamuan dan juga pemilihan bintang zodiak. Mula-mula, sang kucing dan sang tikus berkawan baik, tetapi sang tikus memperdaya sang kucing dengan berkata bahawa jamuan diadakan pada hari kemudian. Maka sang kucing terus tidur dan terlepas majlis jamuan kerana menyangka jamuan itu diadakan pada hari kemudian. Setelah menyedari cerita sebenar, sang kucing bersumpah untuk menjadi musuh semulajadi tikus untuk selamanya.

Bagaimanapun, kucing ada mengambil tempat di zodiak Vietnam, menggantikan tempat arnab.

1. Zodiak Tikus

Unsur: Air
Tahun: 1936, 1948, 1960, 1972, 1984, 1996, 2008, 2020, 2032

Sifat baik

Terus terang, berdisiplin, sistematik, cermat, berkarisma, rajin, menawan, petah, suka bergaul dan pintar.

Sifat buruk

Memanipulasi, kejam, suka memerintah, tegar, mementingkan diri, degil, kritis, bercita-cita terlalu tinggi, tidak berhati perut, tidak bertoleransi dan licik.

Pasangan

Paling serasi: Naga, Monyet, Lembu
Sederhana serasi: Ular, Babi, Tikus, Anjing, Harimau
Tidak serasi: Arnab, Kambing, Ayam, Kuda

2. Zodiak Lembu

Unsur: Tanah
Tahun: 1937, 1949, 1961, 1973, 1985, 1997, 2009, 2021, 2033

Sifat baik

Boleh diharapkan, tenteram, berperaturan, sabar, rajin, bercita-cita, konvensional, tenang, sopan, lojik, tegas dan kuat.

Sifat buruk

Degil, berfikiran sempit, materialistik, tegar dan suka mendesak.

Pasangan

Paling serasi: Tikus, Ular, Ayam, Kuda
Sederhana serasi: Babi, Anjing, Naga, Harimau
Tidak serasi: Lembu, Monyet, Kambing, Ayam

3. Zodiak Harimau

Unsur: Kayu
Tahun: 1938, 1950, 1962, 1974, 1986, 1998, 2010, 2022, 2034

Sifat baik

Sukar diduga, suka melawan, berwarna-warni, sangat berkuasa, berkobar-kobar, berani, mengikut gerak hati, penuh bersemangat, merangsang, ikhlas, pengasih, berperikemanusiaan dan murah hati.

Sifat buruk

Mudah gelisah, semberono, tidak sabar, cepat berang, degil dan mementingkan diri.

Pasangan

Paling serasi: Kuda, Anjing
Sederhana serasi: Naga, Arnab, Harimau, Tikus, Kambing
Tidak serasi: Lembu, Ular, Ayam, Monyet, Babi

4. Zodiak Arnab

Unsur: Kayu
Tahun: 1939, 1951, 1963, 1975, 1987, 1999, 2011, 2023, 2035

Sifat baik

Baik budi, baik hati, peka, lemah lembut, ramah, berbudi bahasa, berat mulut, berwaspada, berjiwa seni, teliti, manis, yakin pada diri sendiri, panjang akal, belas kasihan dan fleksibel.

Sifat buruk

Ada angin, menyendiri, cetek pemikiran, suka mengurut nafsu, oportunis dan pemalas.

Pasangan

Paling serasi: Babi, Kambing
Sederhana serasi: Anjing, Arnab, Ular, Kuda
Tidak serasi: Naga, Tikus, Ayam, Lembu, Monyet, Harimau

5. Zodiak Naga

Unsur: Tanah
Tahun: 1940, 1952, 1964, 1976, 1988, 2000, 2012, 2024, 2036

Sifat baik

Baik hati, penuh bersemangat, kuat, yakin pada diri sendiri, megah, terus terang, penuh hasrat, bersemangat, berapi-api, berkobar-kobar, tegas, perintis, bercita-cita, murah hati dan setia.

Sifat buruk

Sombong, zalim, suka mendesak, eksentrik, dogmatik, suka menguasai orang lain, terburu-buru dan kasar.

Pasangan

Paling serasi: Tikus, Monyet, Ular, Ayam
Sederhana serasi: Naga, Babi, Lembu
Tidak serasi: Kuda, Harimau, Kambing, Arnab, Anjing

6. Zodiak Ular

Unsur: Api
Tahun: 1941, 1953, 1965, 1977, 1989, 2001, 2013, 2025, 2037

Sifat baik

Berfikir panjang, bijaksana, mistik, lemah lembut, lemah lembut, sensual, kreatif, cermat, pintar, bercita-cita, berbudi bahasa, berwaspada, bertanggungjawab, tenteram, kuat, setia dan tekad.

Sifat buruk

Penyendiri, komunikasi teruk, cemburu, hedonis, ragu diri, sentiasa menaruh kesangsian terhadap orang lain dan pendusta.

Pasangan

Paling serasi: Lembu, Ayam, Naga
Sederhana serasi: Tikus, Anjing, Kambing, ular
Tidak serasi: Arnab, Kuda, Monyet, Harimau, Babi

7. Zodiak Kuda

Unsur: Api
Tahun: 1942, 1954, 1966, 1978, 1990, 2002, 204, 2026, 2038

Sifat baik

Periang, popular, tajam akal, bertukar-tukar, biasa dan berterus terang, perseptif, suka bercakap, lincah, cerdas, kuat daya penariknya, cerdik, panjang akal, fleksibel dan berfikiran terbuka.

Sifat buruk

Tidak tetap hati, cemas, biadab, mudah terpedaya, degil, kurang stabil dan kurang tabah.

Pasangan

Paling serasi: Anjing, Harimau, Kuda, Kambing
Sederhana serasi: Ayam, Monyet, Babi, Arnab
Tidak serasi: Tikus, Lembu, Naga, Ular

8. Zodiak Kambing

Unsur: Tanah
Tahun: 1943, 1955, 1967, 1979, 1991, 2003, 2015, 2027, 2039

Sifat baik

Soleh, ikhlas, bersimpati, lemah lembut, pemalu, berjiwa seni, kreatif, lembut, belas kasihan, bertimbang rasa, keibuan, tekad, mencintai kedamaian, murah hati dan mencari perlindungan.

Sifat buruk

Ada angin, tidak tegas, terlalu pasif, perisau, pesimis, mudah tersinggung dan suka merungut.

9. Zodiak Monyet

Unsur: Logam
Tahun: 1944, 1956, 1968, 1980, 1992, 2004, 2016, 2028, 2040

Sifat baik

Pencipta, pendorong, suka mengimprovisasi, tajam akal, suka ingin tahu, fleksibel, inovatif, penyelesai masalah, yakin pada diri sendiri, suka bergaul, sopan, menimbulkan rasa hormat, suka bersaing, objektif, faktual dan intelektual.

Sifat buruk

Egoistik, angkuh, mementingkan diri, licik, iri hati dan mudah sangsi.

10. Zodiak Ayam

Unsur: Logam
Tahun: 1945, 1957, 1969, 1981, 1993, 2005, 2017, 2029, 2041

Sifat baik

Tajam, kemas, cermat, terurus, yakin pada diri sendiri, tegas, konservatif, kritis, mementingkan kesempurnaan, berjaga-jaga, bersemangat, praktis, saintifik dan bertanggungjawab.

Sifat buruk

Terlalu fanatik dan kritis, bagaikan pendakwah, egoistik, kasar dan terlalu yakin akan pendapatnya.

11. Zodiak Anjing

Unsur: Tanah
Tahun: 1946, 1958, 1972, 1982, 1994, 2006, 2018, 2030, 2042

Sifat baik

Jujur, cerdik, terus-terang, setia, penegak keadilan, menarik, ramah, tidak menunjuk-nunjuk, suka bergaul, berfikiran terbuka, idealistik, moralistik, praktis, pengasih dan gigih.

Sifat buruk

Sinis, pemalas, dingin, judgmental, pesimis, perisau, degil dan suka bergaduh.

12. Zodiak Khinzir

Unsur: Air
Tahun: 1947, 1959, 1971, 1983, 1995, 2007, 2019, 2031, 2043

Sifat baik

Jujur, sederhana, gagah berani, tegap, suka bergaul, mencintai kedamaian, sabar, setia, rajin, mudah percaya, ikhlas, tenteram, bertimbang rasa, prihatin, berkobar-kobar dan cerdik.

Sifat buruk

Naif, terlalu bergantung kepada orang lain, suka mengikut nafsu, mudah terpedaya, fatalistik dan materialistik.

ZODIAK DI NEGARA LAIN

Zodiak Cina juga digunakan di beberapa negara Asia lain yang pernah dipengaruhi budaya Cina, namun adanya haiwan zodiak yang berbeza antara negara.

Asia Timur

Zodiak Vietnam hampir seiras dengan zodiak Cina kecuali bahawa bintang kedua ialah kerbau dan bukannya lembu, dan bintang keempat ialah kucing di tempat arnab.Zodiak Jepun menempatkan babi hutan di tempat khinzir, sementara zodiak Thai pula menempatkan sejenis ular besar legenda (yang juga dipanggil "naga") di tempat naga Cina.

Orang Turki

Orang Hun Eropah memakai zodiak Cina lengkap dengan "naga", "khinzir" dan lain-lain.

Zodiak bersama Cina-Turki ini pernah digunakan di Bulgaria Balkan sebelum orang Bulgar menggunakan bahasa Slavia dan memeluk agama Kristian ortodoks.

Kazakhstan

Di Kazakhstan, satu kitaran haiwan yang serupa dengan zodiak Cina juga digunakan, tetapi naga diganti oleh siput babi dan harimau pula merupakan harimau bintang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia | sirnacintaku

Thursday, February 02, 2017

Ramalan Tahun Ayam Api Masyarakat Cina 2017

Ramalan Tahun Ayam Api Masyarakat Cina 2017

Mengikut kalendar lunar Cina, tahun 2017 merupakan Tahun Ayam yang berunsurkan api dan menurut pengasas Good Feng Shui, Kenny Hoo, disebabkan oleh dua elemen yang bercanggah iaitu logam dan api, tahun ayam diramal lebih mencabar.

Tahun Ayam Api

"Apabila unsur logam terlalu kuat, ia akan menyebabkan dari segi emosi lebih ramai orang yang bersikap agresif, senang marah atau menimbulkan kekecohan. Jadi banyak perkara akan berlaku dari segi pertengkaran dan pergaduhan," katanya.

Turut terkesan katanya, adalah bidang berunsurkan logam seperti ekonomi dan industri perbankan.

"Unsur berhubung dengan logam ini seperti industri kewangan dan perbankan akan menghadapi tekanan dan persaingan yang kuat."

"Namun bagi industri berunsurkan air seperti pelancongan, logistik, pengangkutan dan minuman adalah sangat baik tahun ini," katanya.

Ini kerana katanya unsur yang penting adalah air bagi tahun ini.

Justeru, beliau mengalakkan pemakaian warna biru untuk menambah tuah pada Tahun Ayam Api ini.

"Contohnya, kita boleh menggunakan lebih banyak warna biru tahun ini dari segi pakaian atau aksesori."

"Selain itu, kita juga boleh mengecat sebahagian dinding rumah dengan warna biru khususnya di kawasan utara rumah atau pejabat," katanya.

Bagi beberapa zodiak, mereka bakal menemui tuah pada tahun ayam ini, khususnya mereka lahir pada tahun Naga.

"Zodiak paling bertuah adalah bagi mereka yang lahir dalam tahun harimau, kuda, anjing dan naga.

"Bagi harimau, kuda dan anjing, tahun ini adalah peluang untuk menjadi lebih masyur.

"Mereka akan dapat berjumpa dengan kenalan baru yang akan membantu mereka dari segi kerjaya."

"Naga terutamanya adalah sangat bertuah tahun ini. Mereka akan mendapati rezeki dari segi kerjaya dan kesihatan, semuanya baik.

"Apa yang mereka impi dan rancang boleh dicapai dengan lancar tanpa sebarang halangan," katanya.

Lebih manis, ramai juga diramal akan jatuh cinta dan berkahwin.

"Dari segi percintaan, bagi mereka yang dilahirkan pada tahun monyet, tikus dan naga, mereka akan mendapati bahawa dari segi percintaan ia adalah sungguh mewah dan manis pada tahun ini.

"Tahun ini juga diramal ramai akan berkahwin dan melahirkan anak," katanya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang lahir pada tahun ayam dan arnab pula tidak begitu bernasib baik.

"Bagi kedua zodiak ini, mereka mungkin menghadapi ketidakpastian dari segi kerjaya dan percintaan.

"Jadi bagi mereka yang lahir pada tahun ayam dan arnab dinasihatkan tidak membuat keputusan yang besar terutamanya bulan 3, 7 dan 9."

"Asalkan mereka tidak membuat sebarang keputusan yang drastik atau besar, secara keseluruhannya tahun ini masih ok bagi mereka," katanya lagi.

BACA INI JUGA: Ketahui Rahsia Maksud Garisan Tapak Tangan

Sumber: AA