Friday, May 27, 2022

Kaedah Pengiraan Zakat Emas

Kaedah Pengiraan Zakat Emas

Dengan dijadikan emas sebagai barang perhiasan dan kegunaan peribadi, emas berkenaan tidak lagi bersifat subur dan berkembang. Manakala hukum asal sebarang bentuk pemakaian tidak diwajibkan zakat.

Pengiraan Zakat Emas

Namun, barang perhiasan tetap diwajibkan zakat sekiranya pemakaiannya terlalu banyak sehingga berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) dipakai.

Apa yang berlebihan dengan adat dan kebiasaan adalah dilarang atau tidak digalakkan oleh syariah.

Yusuf al-Qaradawi menyebut, perhiasan wanita yang diperbuat selain emas dan perak, seperti mutiara, berlian dan batu berharga dikecualikan zakat, kerana ia dikhaskan untuk kegunaan peribadi dan tidak dianggap sebagai aset yang berkembang.

1. Emas Perhiasan Dipakai

Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar uruf (kadar kebiasaan) emas perhiasan sebanyak 800 gram. Justeru sebarang pemakaian yang berulang ataupun sekali dalam tempoh setahun melebihi 800 gram wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.

Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas perhiasan yang dipakai dalam tempoh setahun ialah 900 gram:

= Berat emas dipakai (jika melebihi nilai uruf Nota 1) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat
= 900 gram x RM260 (contoh) x 2.5%
= RM5,850.00

2. Emas Yang Disimpan (Tidak Dipakai)

Emas yang disimpan adalah emas yang tidak dipakai, iaitu emas yang benar-benar menjadi simpanan dan tidak digunakan sebagai perhiasan walaupun fizikalnya sama seperti emas perhiasan. Ianya termasuk barang kemas yang tidak dipakai kerana sudah rosak atau lama.

Ianya juga termasuk barang perhiasan yang dimiliki oleh lelaki sungguhpun pemakaiannya haram disisi syarak. Jika jumlah berat emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi nisab 85 gram, serta melepasi tempoh masa 12 bulan atau setahun (cukup haul), maka wajib dikeluarkan zakat keatasnya sebanyak 2.5 peratus (%).

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tiada wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama." HR Abu Dawud

Formula Kiraan

Berat emas disimpan (jika melebihi nilai nisab Nota 2) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat

Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas yang disimpan dalam tempoh setahun ialah 200 gram maka,

= Berat emas dipakai x Harga emas semasa 1gram x Kadar Zakat 2.5%
= 200 gram x RM260 (contoh) x 2.5%
= RM1,300.00

3. Emas Pelaburan Patuh Syariah

Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu: Pelaburan dalam emas fizikal dan Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook).

Pelaburan Emas Fizikal

Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram.

Sebagai contoh, jumlah emas yang dimiliki diniatkan untuk pelaburan adalah sebanyak 400 gram maka:

Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)

= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 400 gram x RM260 (contoh) x 2.5%
= RM2,600

Akaun Emas (Passbook)

Terdapat bank menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan.

Pelaburan yang patuh syarak ialah fizikal emas itu wujud dan boleh dimiliki oleh pelabur. Wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram.

Sebagai contoh, jika jumlah emas yang dimiliki dalam passbook sebanyak 200 gram maka:

Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)

= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 200 gram x RM260 (contoh) x 2.5%
= RM1,300

4. Emas Pelaburan Tidak Patuh Syariah

Pelaburan emas yang tidak patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu; Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal dan Pelaburan emas melalui alam maya.

Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas

Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula Zakat Wang Simpanan.

Akaun Emas Maya

Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik.

Pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa dipaparkan di platform tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya.

Memandangkan jualbeli emas ini tidak melibatkan emas fizikal maka ia adalah tidak patuh syariah. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan. Ia dikategorikan sebagai bayaran Zakat Wang Simpanan.

Kaedah kiraan Zakat emas pelaburan tidak patuh syarak:

Zakat

= Pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat
= RM40,000 (contoh) x 2.5%
= RM1,000

Nota 1: Uruf Emas ialah kebiasaan pemakaian emas masyarakat setempat. Berat uruf emas di Wilayah Persekutuan bersamaan dengan 800 gram.
Nota 2: Nisab ialah nilai semasa 85 gram emas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, May 13, 2020

Adakah Sah Bayar Zakat Tanpa Akad Ijab Dan Qabul?

Adakah Sah Bayar Zakat Tanpa Akad Ijab Dan Qabul?

Zakat merupakan ibadah wajib dan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan pada tahun ke-2 hijrah, sepertimana hadis daripada Ibnu Umar r.a. yang maksudnya: "Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah iaitu satu gantang tamar atau satu gantang sya'ir pada bulan Ramadhan ke atas setiap orang Islam, sama ada yang bebas atau hamba lelaki atau perempuan." Hadis Muslim: (984)

Sah bayar zakat online

Para Fuqaha' menjelaskan, bahawa zakat merupakan sedekah yang wajib. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang maksudnya: "Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Taubah, 103)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha' berpendapat, yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat: Tafsir al-Wasit li Zuhaili: 1/913)

Begitu juga yang terdapat di dalam al-Mausu'’ah al-Fiqhiyyah menyatakan bahawa sedekah yang difardhukan di sisi syara' ke atas harta iaitu zakat harta. Sedekah yang diwajibkan ke atas anggota badan iaitu zakat fitrah. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaituyyah, 26/325)

Syarat Wajib dan Sah Zakat

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa syarat-syarat mengeluarkan zakat terdapat syarat wajib dan sah.

Oleh itu, diwajibkan ke atas seorang muslim yang merdeka, baligh, berakal, pemilikan harta yang cukup bilangannya (Nisab) dan cukup tempohnya (Haulnya) serta sah pemberian zakat dengan sekadar berniat bagi tertunai kewajipannya. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796)

Berniat merupakan penentuan sesuatu perkara itu sebagai ibadah dan ia membezakannya di antara ibadah-ibadah yang lain seperti zakat dan kafarah.

Ini sepertimana hadis daripada Saidina Umar al-Khattab r.a. Sabda Nabi SAW yang maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap perkara akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya." Hadis Riwayat Muslim (1907)

Mengikut pandangan Mazhab Imam Syafi'e, wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata seperti contoh, "Ini Zakat harta" walaupun tanpa berniat fardhu, ini kerana membayar zakat merupakan suatu kewajipan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)

Imam Nawawi berpendapat sedekah sama hukumnya dengan hadiah, dan ia tidak memerlukan lafaz ijab dan qabul. Cukup sekadar penyerahan dan penerimaan barang dan pendapat ini merupakan pendapat yang sahih di dalam mazhab Imam Syafi’e serta telah di naqalkan oleh fuqaha’ mazhab muta’akhirin. (Lihat: Raudah al-Thalibin,5/365-366)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan keterangan yang diberikan, pembayaran zakat sah sekiranya tidak disertakan akad ijab dan qabul.

Dan ini kerana syarat sah pemberian zakat adalah berniat dan mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta penyerahan dan penerimaan barang.

Namun, tidak menjadi sebarang masalah sekiranya melakukan akad ijab dan qabul bagi memastikan tujuan dan matlamat pemberian zakat itu tercapai. Justeru pemberian zakat memerlukan keredhaan dan keikhlasan demi mendapat keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Baiyyinah, 5)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Monday, May 11, 2020

Cara Bayar Zakat Fitrah Secara Online

Cara Bayar Zakat Fitrah Secara Online

Daripada Ibnu Umar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam."

Bayar zakat fitrah online

Mengeluarkan Zakat Fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya.

Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.

Terdapat dua jenis kategori zakat iaitu Zakat Fitrah dan Zakat Harta.

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan, yang dilakukan pada bulan Ramadhan.

Manakala Zakat Harta merupakan zakat yang dikenakan ke atas harta pemilik, contohnya:
  • Zakat Pendapatan
  • Zakat Perniagaan
  • Zakat Wang Simpanan
  • Zakat Emas/Perak
  • Zakat Saham
  • Zakat KWSP
  • Zakat Pertanian
  • Zakat Penternakan

Setiap jenis Zakat memiliki cara pengiraan yang berbeza.

Adakah sah membayar Zakat tanpa akad Dan secara Online?

SAH. Akad hukumnya Harus.

Asalnya, pembayaran zakat tidak disyaratkan padanya akad ijab dan kabul.

Syarat sah pemberian zakat adalah mesti berniat, mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang.

Islam adalah agama yang bersifat menyeluruh iaitu menerima perubahan dari semasa ke semasa. Dengan kewujudan teknologi dan inovasi ini banyak membantu kita melaksanakan ibadah dengan lebih mudah dan cepat.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang maksudnya: "..Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan ianya tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran.."

Tambahan lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke 116/2019 yang bersidang pada 01 April 2019 telah memutuskan bahawa dibolehkan untuk membayar zakat secara atas talian (online).

Mengikut pandangan Mazhab Imam Syafi'e, wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata seperti contoh; "Ini Zakat Fitrah" walaupun tanpa berniat fardhu, kerana membayar zakat merupakan suatu kewajipan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)

BAYAR ZAKAT SECARA ONLINE

Lafaz Akad Fitrah

1. Niat dan Lafaz Zakat Fitrah Untuk Diri Sendiri Dan Keluarga

"INI ZAKAT FITRAH SAYA DAN TANGGUNGAN SAYA SERAMAI .... ORANG, SEBANYAK RM... YANG WAJIB BAGI DIRI SAYA PADA TAHUN INI KERANA ALLAH TA'ALA."

2. Niat dan Lafaz Mengeluarkan Zakat Fitrah Bagi Pihak Orang Lain

"INI ZAKAT FITRAH .... (Sebut Nama Orang Yang Berwakil) DAN TANGGUNGANNYA SERAMAI .... ORANG YANG WAJIB BAGI DIRINYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM... YANG BERWAKIL KEPADA SAYA KERANA ALLAH TA'ALA."

Contoh bayaran adalah untuk jenis Zakat Fitrah menggunakan akaun APLIKASI Maybank2u:
  1. Log in ke akaun Maybank2u.
  2. Pilih PAY.
  3. Klik NEW PAYEE.
  4. Pilih pusat zakat mana yang anda mahu salurkan.
  5. Masukkan amaun bayaran zakat berdasarkan jumlah pengiraan yang telah dilakukan. Pilih jenis zakat dan masukkan nombor telefon anda kemudian klik continue.
  6. Klik 'request for TAC' kemudian sistem Maybank akan menghantar 6 digit kod TAC ke no telefon anda. Seterusnya klik confirm.

Selesai. Cepat, selamat dan mudah.

CARA BAYAR ZAKAT FITRAH ONLINE SETIAP NEGERI
NEGERIPAUTAN
SABAHMUIS | SnapNPay | MyEG
SARAWAKTabung Baitulmal Sarawak | Baitulmal Kamek | SnapNPay | MyEG
PERLISMAIPS | SnapNPay
KEDAHZakat Kedah | Zakat On Touch | Asnaf Care
PULAU PINANGZakat Penang | GoPayZ | SnapNPay
PERAKeZakat | GoPayZ | SnapNPay
SELANGORZakat Selangor | GoPayZ | Boost | MyEG
NEGERI SEMBILANZakat NS | SnapNPay | JomPAY
MELAKAiZakat
JOHORMAIJ | SnapNPay
PAHANGZakat Pahang | eZakat
TERENGGANUMAIDAM | SnapNPay
KELANTANe-Maik
Kuala Lumpur, WP Putrajaya, LabuanPPZ MAIWP | PayHalal | MyEG


Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah
  • Waktu Harus. Bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
  • Waktu Wajib. Selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
  • Waktu Afdhal. Selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.
  • Waktu Makruh. Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.
  • Waktu Haram. Selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Doa Fitrah

آجَرَكَ اللهُ فِيْمَا اَعْطَيْتَ، وَبَارَكَ فِيْمَا اَبْقَيْتَ وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُوْرًا

Semoga Allah memberikan ganjaran pahala di atas apa yang engkau sedekahkan, memberkati harta yang masih ada pada kamu dan menjadikannya kamu suci daripada dosa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur

Thursday, January 31, 2019

Anak Ada Simpanan Lebih RM13,968 Wajib Bayar Zakat

Anak Ada Simpanan Lebih RM13,968 Wajib Bayar Zakat

Setiap kanak-kanak yang mempunyai simpanan melebihi nisab yang ditetapkan wajib menunaikan zakat sama ada melalui ibu bapa mahupun penjaga namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat kurang kesedaran mengenai perkara tersebut kerana hanya mengetahui beberapa jenis zakat sahaja.

Zakat simpanan

Kebanyakan daripada mereka membuat tanggapan hanya zakat tertentu sahaja wajib ditunaikan sedangkan anak-anak mereka yang mempunyai simpanan melebihi nilai nisab juga perlu membayar zakat mengikut kadar 2.5 peratus.

Misalnya, pada tahun 2019 ini, pusat zakat menetapkan nilai nisab RM13,968.

Sekiranya simpanan anak-anak tidak melebihi nilai tersebut, maka tidak perlu membayar zakat simpanan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Saturday, June 10, 2017

Apakah Hukum Orang Yang Enggan Membayar Zakat?

Apakah Hukum Orang Yang Enggan Membayar Zakat?

Dijelaskan di sini jenis dan bahagian orang yang enggan membayar zakat berdasarkan niat hati masing-masing kepada dua bahagian.

Balasan tidak membayar zakat

Pertama: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat.

Oleh itu, ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad.

Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat merupakan perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.

Imam al-Nawawi Rahimahullah menukilkan di dalam kitab al-Khattabi dengan menyatakan, “Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma’.” Katanya lagi: “Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapapun membuat tafsiran (تأويل) sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumannya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain.” Syarah Muslim (1/205)

Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata, “Adapun dalil kefardhuan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.”

Kedua: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut

Orang yang enggan mengeluarkan zakat, sedangkan dia mengi’tiqadkannya wajib dan mengakui kefardhuannya, akan menyebabkan dia menjadi fasiq, berdosa dan dikenakan azab seksa di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang maksudnya, “Wahai orang –orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambal dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah al-Taubah: 34-35)

Ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.A. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya, ia bukanlah simpanan, dan setiap harta yang tidak engkau keluarkan zakatnya, ia adalah simpanan.” Riwayat al-Bukhari (4)

Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.” Riwayat al-Bukhari (1338)

Seterusnya, Rasulullah SAW membacakan firman Allah SWT yang maksudnya, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah ali-Imran: 180)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT sahaja yang memiliki apa yang diwarisi oleh makhluk di langit dan di bumi.

Oleh itu, mengapakah mereka mesti bakhil apabila memilikinya dan tidak mahu membelanjakan ke jalan Allah SWT?

Di dunia ini, zakat boleh diambil secara paksa daripada mereka yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya.

Jika mereka enggan memberi zakat dan menghalang ‘amil daripada mengambilnya, maka pemerintah Islam yang melaksanakan syariat Allah SWT hendaklah menentang mereka.

BACA INI JUGA: Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

sumber: muftiwp

Tuesday, May 30, 2017

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Dari Ibnu Umar r.a. katanya, “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan kepada semua orang Islam, laki-laki, perempuan, orang yang merdeka mahupun hamba, 1 (satu) Sha’ kurma atau gandum.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Syarat-syarat bagi Wajib Zakat Fitrah
  1. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

5 waktu dan masa mengeluarkan zakat fitrah

1. Wajib. Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

2. Afdhal. Sebelum sembahyang Hari Raya.

3. Sunat. Sepanjang bulan Ramadhan.

4. Makruh. Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

5. Haram. Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Untuk mengelakkan suasana yang sibuk dan kesukaran bagi amil-amil dan juga kelalaian bagi pembayar itu sendiri sehingga melepasi waktu afdhal, maka dinasihatkan supaya zakat fitrah dikeluarkan lebih awal, iaitu mulai hari pertama bulan Ramadhan.

Maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, “Maka sesiapa yang mengeluarkan (fitrah) sebelum sembahyang Hari Raya, maka itulah zakat yang diterima, dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari raya maka itu hanyalah merupakan sedekah sahaja.“

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

sumber: zakat-muib

Monday, May 29, 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017

Kadar bayaran zakat fitrah sepanjang Ramadhan 2017 di semua negeri seluruh negara menyaksikan tiada perubahan kecuali Johor yang melaksanakan penyeragaman.

Kadar Zakat Fitrah 2017 [2]

Kadar zakat fitrah di setiap negeri bagi bulan puasa tahun ini kekal dengan ditetapkan sama iaitu RM7 bagi seorang Muslim.

Perlis, Selangor, Terengganu, Sarawak serta Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; menjadi negeri terakhir mengesahkan secara rasmi kadar zakat pada Ramadhan kali ini tetap sama, RM7.

Negeri yang turut meletakkan nilai kekal RM7 sebagai kadar zakat fitrah tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Manakala Negeri Sembilan dan Melaka juga tiada perbezaan apabila menetapkan kadar kekal masing-masing sebanyak RM6.50 dan RM6.70.

Johor melakar sejarah apabila Ramadhan kali ini memperlihatkan kadarnya diselaraskan kepada RM7 berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM6 jika makan beras murah dan RM8 untuk beras premium.

Terengganu dan Perlis suatu ketika dahulu juga pernah menetapkan sehingga tiga kadar berbeza untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada jenis beras dimakan sebelum diseragamkan kepada satu kadar.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Singapura dalam satu kenyataan mengisytiharkan kadar zakat fitrah untuk Ramadhan tahun ini ialah S$5.10 (RM15.75) bagi kadar biasa dan S$7.00 (RM21.62) bagi kadar lebih tinggi.

Ia meningkat sedikit berbanding S$6.90 (RM21.31) pada Ramadhan tahun lalu untuk beras premium tetapi untuk jenis murah, kadarnya tidak berubah kecuali perbandingan pada 2015 apabila ia ditetapkan S$4.90 (RM15.14).

Kadar rasmi tersebut menurut pihak majlis berkenaan adalah berdasarkan kepada pengiraaan purata harga 2.3 kilogram beras mengikut ukuran berat Baghdad yang dimakan oleh masyarakat Islam tempatan.

Sejak tahun 2005, majlis tersebut mula memperkenalkan dua kadar zakat fitrah berbeza iaitu menyertakan kadar lebih tinggi bagi individu Muslim yang berhasrat membayar zakat fitrah dengan lebih tinggi daripada kadar biasa.

Ini kerana mereka dikatakan secara lazimnya lebih berkemampuan dan menggunakan gred beras lebih mahal.

Senarai Bayaran Zakat Semua Negeri Ramadhan 2017
  • Perlis - RM7.00
  • Kedah - RM7.00
  • Perak - RM7.00
  • Selangor - RM7.00
  • Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan) - RM7.00
  • Negeri Sembilan - RM6.50
  • Melaka - RM6.70
  • Johor - RM7.00
  • Pahang - RM7.00
  • Terengganu - RM7.00
  • Sabah - RM7.00
  • Sarawak - RM7.00

Selamat berpuasa dan jangan lupa bayar zakat.

BACA INI JUGA: Zakat Fitrah Patut Hasilkan 700 Jutawan Di Malaysia?

sumber: mynewshub