Saturday, June 01, 2019

Yubitsume: Tradisi Potong Jari Yakuza Sebagai Tanda Setia

Yubitsume: Tradisi Potong Jari Yakuza Sebagai Tanda Setia

Yakuza sememangnya terkenal dengan seni tatu pada badan ahlinya namun, perubahan zaman yang semakin skeptikal dengan Yakuza telah memaksa ahlinya tidak bertatu, untuk mengelak daripada dikesan pada zaman moden ini.

Yubitsume tradisi potong jari yakuza
Yubitsume.

Setakat ini, bukan penggunaan tatu sahaja yang terkesan dengan dunia moden, budaya dan tradisi Yubitsume juga nampaknya menemui jalan penamat serta tidak lagi popular di kalangan Yakuza.

Apa itu Yubitsume?

Yubitsume yang juga dikenali sebagai potong jari amat popular di kalangan ahli Yakuza suatu ketika dahulu.

Yubitsume bertitik tolak dari sejarah lampau kumpulan Bakuto. Sesiapa yang tidak berjaya membayar hutang akan dipotong jarinya.

DNA budaya ini masuk ke dalam kumpulan ini tetapi dalam versi yang berbeza.

Yubitsume di dalam Yakuza dikenakan sebagai satu tindakan permohonan maaf ataupun hukuman kerana melanggar undang-undang Yakuza.

Perkara yang lebih memeritkan adalah, apabila tuan punya badan sendiri yang akan memotong jarinya dan hal ini sangat menyukarkan serta hasrat seseorang untuk mengkhianati Yakuza menjadi berkurangan.

Ia juga bukan hukuman berbentuk sekali sahaja sudah cukup. Ia akan diulangi jika kesilapan masih diteruskan.

Satu kesilapan, satu jari hilang. Kesilapan kedua dilakukan, maka bahagian sambungan jari seterusnya menjadi taruhan.

Yubitsume punca sukarnya kehidupan bekas Yakuza

Satu survei pada tahun 1993 mendapati bahawa hanya 45% Yakuza moden yang pernah menghadapi hukuman Yubitsume.

Sekalipun nampak ganas dan kejam, ahli yang dikenakan hukuman akan pergi mendapatkan bantuan perubatan selepas hukuman itu untuk mengelakkan penyakit seperti haemorrhaging dan jangkitan.

Dilakukan sendiri

Keperitan Yubitsume sebenarnya tidaklah terhenti selepas mendapatkan perubatan. Ia jauh lebih perit jika seseorang ahli Yakuza itu sudah insaf.

Dalam masyarakat sosial Jepun memang ada sekumpulan atau organisasi sivik yang menyediakan program mendapatkan pekerjaan bagi bekas Yakuza.

Tetapi, nampaknya, organisasi yang menguruskan mengakui bahawa program ini tidak berjaya.

Terdapat beberapa faktor antaranya: Ahli bekas Yakuza tidak mahu membuat kerja-kerja orang biasa, Kesihatan fizikal yang kurang memuaskan dan Kekurangan kemahiran kerja yang sesuai.

Selain tiga di atas ini, terdapat satu lagi faktor program ini tidak berjaya iaitu tatu pada badan serta kesan jari yang cacat atau dipotong menjadi sebab penting kenapa syarikat di Jepun sering menolak mereka ini.

Tiada lagi yubitsume

Memang benar bahawa hukuman ini tidak lagi popular kerana operasi kerja Yakuza yang ingin dilakukan dengan cara yang kurang diragui.

Maka, hukuman seperti mencukur rambut, denda dalam bentuk kewangan, dipenjarakan sementara dan pengusiran sementara menjadi keutamaan.

Namun, jika kesilapan itu terlalu serius, Yubitsume adalah satu-satunya pengajaran yang menjadi pilihan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, May 02, 2019

Yakuza Dan Sisi Gelap Industri Hiburan Jepun

Yakuza Dan Sisi Gelap Industri Hiburan Jepun

Pada Ogos tahun 2011, dunia komedi dikejutkan dengan media-media yang memaparkan kepada umum mengenai persahabatan antara pelawak popular, Shimada Shinsuke dan Hashimoto, ketua kumpulan yakuza Kyokushin Rengo-kai di Osaka, menyebabkan Shimada mengumumkan persaraannya dari dunia hiburan.

Yakuza Japan Entertainment

Kenapa jika ada hubungan dengan Yakuza, hatta pelawak komedi terkenal pun terpaksa melepaskan jawatannya?

Persoalannya hanya boleh dijawab dengan melihat kembali kepada salah satu kes popular yang berlaku dalam industri dunia hiburan Jepun.

Rola, kontrak hamba seks dan dadah

Rola, seorang model dan artis yang meningkat naik dengan jayanya, ditambah pula dengan kacukan Bengali-Jepun serta mempunyai susur galur Rusia, menjadikan Rola selebriti tarento (selebriti luar Jepun) yang terkenal di Jepun.

Kehebatan kariernya mencerminkan betapa inilah kejayaan yang diidam-idamkan oleh ramai artis yang sedang meniti tangga untuk ke puncak.

Namun, tidak semuanya baik disebalik kejayaan luar biasa ini. Majalah mingguan, Shukan Bunshun melaporkan bahawa Rola telah dikunci dengan kontrak yang nampaknya seperti kontrak perhambaan dengan agensinya, Libera Production.

Rola memberitahu bahawa dia diperas ugut, kewangannya disekat dan penggunaan dadah dalam kariernya.

Rola juga melaporkan dalam media bahawa dia mempersoalkan mengenai ke mana hilangnya wang yang sepatutnya diterima, termasuklah wang kebajikan amal.

Perkara seperti ini, iaitu agensi mengambil kesempatan terhadap wanita muda dalam dunia hiburan adalah tidak mengejutkan, kerana mereka adalah sasaran yang paling mudah diperkotak katikkan.

Dalam kes Rola, jika dia mahu berhenti dari agensi tersebut agak sukar kerana agensinya dari awal lagi telah memegang segala aset dan maklumatnya.

Bila-bila masa sahaja maklumat buruk mengenainya boleh disebarkan serta agensi lain diminta menyekat dia daripada diterima masuk oleh mereka semua.

Hakikatnya, pihak polis memang sedaya upaya menghalang operasi yakuza, namun dalam sektor hiburan, ia adalah operasi polis paling gagal untuk dikawal.

Tugas ejen dalam Agensi Bakat di Jepun

Rola Yakuza Jepun
Rola.

Dunia hiburan Jepun sekali lagi pernah digemparkan apabila wanita Jepun pertama yang dinobatkan sebagai Miss International sejak 5 dekad yang lalu, Ikumi Yoshimatsu mengeluarkan suatu kenyataan akhbar.

Kenyataan itu menyatakan bahawa syarikat produksi yang pernah dia tolak tawaran untuk berkhidmat itu terkait dengan yakuza, telah buat pelbagai perkara kepadanya.

Ia termasuklah diganggu oleh seorang pengurus sewaktu berada dalam sesi rakaman rancangan televisyen.

Pihak produksi itu juga dilaporkan menghantar pengintip ke rumahnya dan surat ugutan kepada keluarganya.

Pendedahan Ikumi Yoshimatsu ini telah mendapat sokongan ramai termasuk isteri Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun.

Apa yang mengejutkan lagi, salah seorang ketua Yakuza yang pernah terlibat dalam kerja-kerja agensi bakat ini telah mendedahkan satu dokumen dan temu ramah mengenai kerja-kerja kotor yang dibuat oleh penjenayah dalam agensi seperti ini.

Satu temu ramah telah dibuat antara media, The Daily Beast bersama Kazuo Kasaoka, ketua kumpulan Matsurua-Gumi (Kobe).

Dalam temu ramah itu, dia telah mendedahkan segala tindakan ejen agensi bakat termasuklah ejen yang pernah menarik Miss International Jepun tadi. Ejen tersebut bernama Ikuo Suho.

Menurut Kasaoka, Suho adalah “kepala besar bagi industri hiburan Jepun” ada melakukan tiga perkara ini:

1. Suho akan menggunakan mana-mana kumpulan yakuza untuk membantunya menyelesaikan masalah.

2. Suho akan bekerjasama dengan pengintip, untuk mempergunakan kumpulan yakuza atau kumpulan bersayap kanan bagi menghancurkan karier selebriti yang menentang mereka.

3. Suho sendiri pernah terlibat dalam menjalankan aktiviti parti liar yang dipenuhi seks dan dadah untuk syarikat produksi dan penaja.

Sisi gelap industri hiburan Jepun

Industri hiburan Jepun termasuk J-Pop sentiasa berkembang sehingga semakin merapati kehebatan industri anime.

Ia menawarkan impian kepada anak muda untuk menjadi idola namun, impian ini telah ditunggang oleh kumpulan jenayah termasuk yakuza hingga mereka terpaksa menjadi hamba seks, dadah dan jenis-jenis perhambaan yang lain.

Pihak berkuasa sudah cuba membendung perkara ini sebaik mungkin. Undang-undang anti-intipan sudah pun dilaksanakan.

Mungkin ia mampu membendung budaya pengintipan ejen agensi bakat terhadap selebriti yang bekerja dibawahnya.

Namun, undang-undang masih terlalu lemah dan mempunyai ruang untuk dieksploitasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, January 13, 2019

Kenapa Rakyat Jepun Menerima Yakuza?

Kenapa Rakyat Jepun Menerima Yakuza?

Seorang pengkaji, Uchiyama menjelaskan bahawa rakyat Jepun sendiri mempunyi sikap kurang negatif terhadap kumpulan yakuza, sekalipun mereka tahu ia adalah kumpulan sindiket jenayah atau pun kongsi gelap.

Yakuza Jepun

Bagi mereka, kumpulan ini masih diperlukan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Lagi pun, sejarah kemunculan yakuza sendiri adalah seperti cerita Robin Hood yang memperbaiki kehidupan masyarakat tapi hidup sebagai penjenayah bermaruah.

Walaupun teori asal-usul yakuza menunjukkan kumpulan ini bertitik tolak dari kumpulan bakuto dan tekiya, namun, mereka memandang perjuangan kumpulan zaman lampau, machi yakko sebagai penguat semangat mereka.

Seperti yang diterangkan sebelum ini, kumpulan bakuto dan tekiya telah mempengaruhi aktiviti kumpulan yakuza dari aktiviti perjudian, adat potong jari hinggalah mengutip wang perlindungan peniaga.

Apa pula sejarah machi yakko yang sangat diminati kumpulan yakuza hari ini?

Machi Yakko Dan Kisah Seorang Lelaki Bernama Chobei

Suatu masa duhulu, geng-geng samurai yang jahat sering kali melakukan serangan terhadap pekan-pekan sekitar Jepun.

Maka, satu kumpulan pemuda-pemuda pekan telah ditubuhkan untuk menghalang kecelakaan ini atau digelar machi yakko.

Penduduk pekan semestinya akan bersorak untuk mereka yang merupakan orang awam dan tak ketinggalan hamba yang bangkit melawan samurai-samurai yang mahu menganggu.

Mereka inilah yang dipandang sebagai wira-wira rakyat dan jaguh bagi golongan lemah.

Salah satu kisah mengenai machi yakko yang paling mendapat sambutan adalah penceritaan mengenai seorang lelaki bernama Chobei.

Beliau telah menjadi broker pekerja buruh yang merekrut pekerja-pekerja untuk pembinaan jalan raya di sekitar Tokyo.

Pekerja-pekerja yang diambil juga akan membaiki dinding-dinding batu di sekeliling istana shogun.

Kesempatan ini telah diambil untuk mewujudkan satu peluang menjana pendapatan lebih dengan menjalankan aktiviti judi.

Beliau berjaya menarik lebih ramai pekerja dan membolehkan dia mendapatkan semula gaji pekerja-pekerjanya dengan bermain judi.

Cerita Chobei ini seolah-olah ada persamaan dengan asal-usul kemunculan bakuto yang merupakan susur galur kumpulan yakuza.

Yakuza Cuba Buktikan Mereka Berguna Untuk Masyarakat

Pada zaman lampau di Jepun, memang banyak catatan sejarah yang membuktikan bahawa penjenayah yang membantu penduduk pekan atau kampung diangkat sebagai wira.

Begitu juga, sejarah asal-usul yakuza yang dikatakan ada terkait dengan peranan pahlawan-pahlawan agung Jepun yang melindungi nilai-nilai tradisi negara.

Oleh sebab itu, rakyat Jepun menganggap mereka ini sebagai salah satu kumpulan baik.

Menurut seorang pengkaji, Gragert menyatakan bahawa polis dan ilmuwan cuba memecahkan tanggapan baik orang awam terhadap yakuza.

Caranya adalah dengan mencabar kesahihan hubungan sejarah kumpulan dan pahlawan agung dahulu dengan yakuza masa kini.

Namun, rakyat Jepun tetap beranggapan yakuza mempunyai sejarah agung pada zaman lampau.

Pada zaman moden ini, kumpulan yakuza sendiri telah melawan banyak dakwaan polis yang mengatakan mereka sebagai kumpulan ganas.

Sebagai contoh, kenyataan yang dikeluarkan oleh Shinobu Tsukasa, ketua kumpulan Yamaguchi Gumi (kumpulan yakuza paling berkuasa di Jepun) bahawa kumpulan mereka adalah kumpulan bantuan kemanusiaan jika berlaku krisis atau bencana di Jepun.

Sewaktu gempa bumi Hanshin pada tahun 1995, kumpulan yakuza ini adalah pasukan pertama yang membantu mangsa di Kobe dan sekitarnya.

Kumpulan yakuza ini juga pernah terlibat menghantar bantuan dan bekalan kepada mangsa tsunami Jepun pada tahun 2011.

Mengikut sejarah juga, kumpulan yakuza telah banyak membantu rakyat Jepun ketika era pasca-perang Jepun.

Persepsi rakyat jelata dan kerajaan terhadap yakuza mula berubah

Sedikit demi sedikit, persepsi kurang negatif rakyat Jepun kepada yakuza akhirnya berubah.

Ini semua telah bermula selepas kerajaan Jepun memperkenalkan undang-undang Anti-Boryokudan (anti-kumpulan ganas) pada tahun 1991.

Itu yang menyebabkan kumpulan yakuza berkerja keras memberitahu bahawa mereka kumpulan bantuan kemanusiaan.

Tahun demi tahun, operasi dan perniagaan kumpulan yakuza terus ditekan dengan beberapa undang-undang baru seperti undang-undang anti-dadah (Anti-Drug Provision 1992), undang-undang Hukuman Organisasi Jenayah (Organized Crime Punishment Law 2000) dan undang-undang pemindahan kutipan jenayah (Transfer of Criminal Proceeds Privention Law 2007).

Disebalik ketegasan kerajaan dalam usaha membunuh karakter kumpulan yakuza dari segenap operasinya, sejarah terdahulu membuktikan hubungan benci dan cinta kerajaan Jepun dan kumpulan ini tidak berbelah bagi.

Pada tahun 1960, sewaktu Presiden Amerika Syarikat, Dwight D. Eisenhower melawat Jepun, pihak kerajaan telah meminta bantuan ketua-ketua yakuza untuk meminjamkan puluhan ribu ahlinya sebagai pengawal keselamatan.

Tak lupa juga, skandal rasuah yang melibatkan ahli parlimen dan penjenayah yakuza sepanjang tahun 1970 hingga 1980.

Persoalannya, mengapa dan bagaimana hubungan kerajaan dan yakuza boleh retak begitu sahaja beberapa tahun kemudian?

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, January 09, 2019

Asal-usul Yakuza Jepun

Asal-usul Yakuza Jepun

Dunia sering melihat Jepun sebagai sebuah negara yang serba lengkap dengan teknologinya dan banyak sisi baik yang disebarkan di media untuk tatapan umum namun, sisi gelap negara itu turut dibincangkan sama ada industri pornografi yang keterlaluan serta angka bunuh diri dalam kalangan rakyat Jepun yang semakin rencam saban tahun.

Asal-usul Yakuza Jepun

Jika diceritakan mengenai sejarah lampau negara ini merentas beberapa dekad, ia pasti berkisarkan era Perang Dunia Kedua dan zaman empayar Jepun yang menjajah banyak tanah negara asing.

Penceritaaan sejarah ini pastinya tidak lengkap jika kita mengenepikan sejarah kumpulan sindiket jenayah atau pun kongsi gelap negara ini iaitu Yakuza.

Pastinya perkataan Yakuza ini tidak mampu kita pisahkan dari lagi-lagi peminat filem Jepun.

Sedar atau tidak, kumpulan ini masih wujud di Jepun dengan puluhan ribu ahlinya yang masih aktif beroperasi serta menjalankan perniagaan. Ia juga telah berakar umbi ke dalam masyarakat Jepun yang serba moden dan maju ini.

Dalam artikel ini akan menerangkan asal-usul perkataan yakuza serta teori-teori kemunculan mereka.

Permainan hanafuda menimbulkan perkataan Yakuza

Kebanyakan jurnal kajian berkaitan yakuza berpendapat bahawa perkataan yakuza berasal dari sebuah permainan judi dari Jepun yang dikenali sebagai hanafuda.

Permainan ini mempunyai sembilan nombor iaitu nombor 1 hingga 9, yang pemain perlu mengambil tiga kad dan mencampurkan semua nombor dari tiga kad yang dimiliki. Daripada hasil tambah tersebut, nombor paling belakang akan dikira sebagai skor.

Maka, jika pemain itu mendapat hasil campur tiga kad berjumlah 19, maka dialah pemenang kerana nila skornya adalah 9.

Sebaliknya, jika pemain itu mendapat nombor 20 sekali pun, ia dikira tak berguna kerana skor yang diperolehinya adalah 0.

Maka, terhasilnya perkataan Yakuza ini adalah daripada perkataan y a (lapan), ku (sembilan) dan za (tiga).

Campuran nombor ya ku za akan menghasilkan nombor 20 dan seperti yang dikatakan tadi, nombor ini tidak berguna kerana nilai skornya adalah 0.

Akhirnya, perkataan ini digunakan di luar permainan judi dengan membawa maksud orang-orang jahat dan tak berguna.

Teori-teori asal usul pembentukan kumpulan Yakuza

Asal-usul pembentukan yakuza tidaklah diketahui secara keseluruhannya, tetapi ia dipercayai wujud ketika pertengahan era pemerintahan Tokugawa (1603-1868).

Ketika era ini, terdapat beberapa kumpulan yang wujud dalam sejarah lampau Jepun.

Dari beberapa kumpulan inilah dipercayai wujudnya kumpulan yakuza.

1. Bakuto, dari operasi perjudian ke gerakan politik

Menurut Ahli Kriminologi Tokyo, Hashino bahawa bakuto ini adalah kumpulan organisasi jenayah paling berpusat dalam kalangan orang Jepun. Apa aktiviti mereka?

Kumpulan ini bermula apabila kerajaan ketika itu menyediakan satu skim bergerak.

Tujuan skim ini adalah untuk mendapatkan semula gaji yang telah diberikan kerajaan kepada pekerja-pekerja binaan mereka. Maka, bakuto memulakan aktviti rekrut dari kalangan penjenayah hinggalah para petani.

Mereka ini diarahkan untuk bermain judi dengan pekerja-pekerja binaan tadi dan hasil keuntungan dari permainan itu akan dibahagikan kepada pemain-pemain judi lantikan bakuto.

Lama kelamaan, kumpulan ini melebarkan sayapnya dengan membina satu kem (seperti hotel) berdekatan dengan jalan raya yang sibuk.

Orang-orang yang singgah, bukan sahaja dapat tidur di sana, malah mereka berpeluang untuk bermain judi.

Oleh kerana rapatnya bakuto dengan aktiviti judi, maka kumpulan inilah bertanggungjawab yang mempopularkan tradisi berjudi, adat memotong jari (yubitsume) dan kumpulan pertama sekali menggunakan perkataan ya-ku-za.

Jika diambil kira terkaitnya perkataan ya-ku-za dengan kumpulan bakuto, para pengkaji yang merumuskan mereka ini adalah yakuza yang sebenar.

Jika dikembangkan lagi, kumpulan bakuto tidaklah hanya tertumpu kepada aktiviti perjudian sahaja.

Menurut para pengkaji, kumpulan ini mempunyai kepakaran dalam aktiviti keganasan.

Ianya bertepatan dengan sifat kumpulan ini yang mempunyai kawasan-kawasan tersendiri dan mereka akan bertarung dan mengganas bagi melindungi perniagaan dan harta mereka.

Berdasarkan sejarah, oleh kerana kumpulan ini bertempur lebih hebat berbanding samurai, maka mereka direkrut untuk bertarung dalam Perang Saudara Boshin (1868-1869).

Sekitar tahun 1880-an pula, ahli kumpulan bakuto mula menyertai dan memegang tampuk kepimpinan gerakan Kebebasan dan Hak Rakyat (Freedom & People’s Right).

Ketika itu jugalah merupakan fasa paling ganas gerakan itu sehingga mereka menyertai arena politik.

Penyertaan kumpulan ini ke arena politik telah mengubah operasi mereka daripada aktiviti perjudian kepada operasi lebih besar seperti kumpulan yakuza yang kita kenali hari ini.

Tekiya, dari penjaja jalanan kepada peniaga kepercayaan kerajaan

Asal-usul Yakuza Jepun

Salah satu teori lain kemunculan yakuza berakar dari sekumpulan penjaja jalanan yang dikenali sebagai tekiya.

Mereka ini bermula sebagai saudagar ubat sebelum bercambah dan mula menjual barangan lain serta terlibat dengan aktiviti jenayah.

Mereka ini bukanlah penjaja jalanan biasa, ada helah dalam aktiviti urus niaga yang dibuat.

Kumpulan ini seringkali menjual produk yang nampak bagus, hakikatnya tidak berkualiti.

Apabila menjual, mereka akan berlakon menjadi mabuk dan terus bersembang pasal produk yang dijual.

Aktiviti perniagaan mereka juga agak besar kerana mereka akan mengambil alih gerai di pasar.

Penguasaan kumpulan ini di sesebuah pasar sampai tahap boleh menentukan siapa yang dibenarkan menjual dan barang apa yang boleh dijual.

Caj lebih akan dikenakan untuk sewa tapak termasuklah wang perlindungan dan duit poket.

Melaui caj perlindungan ini, peniaga akan terselamat daripada diganggu dan jika gagal membayar, ahli kumpulan tekiya akan mencuri barang, menakut-nakutkan pelanggan atau boleh membawa ke tahap serangan fizikal.

Tidak seperti bakuto, tekiya lebih kepada aktivti kerja yang sah dan menyebabkan pihak kerajaan memberi lebih banyak kuasa kepada ketua-ketua kumpulan ini.

Kalau difikirkan semula, taktik tekiya ini saling tak tumpah seperti kumpulan-kumpulan mafia yang ada diseluruh dunia sautu ketika dahulu.

Bakuto dan tekiya hilang ditelan zaman?

Permainan Hanafuda
Permainan Hanafuda.

Bakuto dan tekiya muncul pada era yang sama, apa yang menarik mereka juga beroperasi pada kawasan yang sama.

Konflik di antara dua kumpulan ini kurang berlaku kerana mereka bergembira dengan perniagaan masing-masing.

Bakuto beroperasi di jalan raya dan pekan, tekiya pula melakukan perniagaan di pasar jalanan dan pesta-pesta.

Kajian membuktikan bahawa, kemunculan bakuto dan tekiya pada abad ke-18 dan hilang sedikit demi sedikit dari masyarakat ini sebenarnya tidaklah pupus begitu sahaja.

Mereka berkemungkinan muncul semula dan perlahan-perlahan membentuk kumpulan yakuza.

Maka, segala bentuk operasi kumpulan yakuza seolah-olah sama seperti yang dilakukan kumpulan bakuto dan tekiya.

Dari budaya potong jari kepada berjudi dan meminta wang perlindungan dari peniaga.

Sedikit demi sedikit, kumpulan yakuza ini berevolusi hingga satu tahap, masyarakat Jepun mengganggap kumpulan ini jahat tapi memerlukan mereka dalam kehidupan seharian.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, November 14, 2014

Gambar Anak Perempuan Ketua Yakuza Jepun

Gambar Anak Perempuan Ketua Yakuza Jepun

Dengan rambutnya yang panjang diwarnakan serta bergaya dengan seluar jeans, Shoko Tendo kelihatan seperti wanita biasa di Jepun. Sehinggalah dia membuka bajunya untuk mendedahkan tatu yang jelas meliputi belakang dan sebahagian besar badannya.

Shoko Tendo

Dia adalah anak perempuan kepada ketua kongsi gelap Yakuza di Jepun, Hiroyasu Tendo.

Shoko adalah anak ketiga dari empat beradik dan dibesarkan dalam lingkungan kehidupan Yakuza yang penuh dengan kekejaman dan kekerasan terhadap mereka yang lemah di Jepun.

Menurut Shoko dia terjebak dalam dunia Yakuza sejak di usia remaja dan kini dia merancang untuk mengubah kehidupannya menjadi wanita biasa walaupun bapanya adalah seorang ketua kongsi gelap terbesar di Jepun.

Kisah Hitam

Shoko Tendo [2]

Tubuh Shoko Tendo masih berparut kesan diseksa dan dirogol kejam rakan Yakuza, kumpulan kongsi gelap Jepun yang dianggotai bapanya sendiri ketika dia masih remaja.

Shoko Tendo [3]

Malah tanpa belas kasihan, ayahnya, Hiroyasu Tendu tergamak menjualnya dalam industri seks selama lima tahun sebelum wanita cekal itu berjaya melarikan diri.

Shoko Tendo [4]

Anggota Yakuza dipercayai mencecah 35,000 orang, malah dibandingkandengan kumpulan mafia di Itali, ia jauh lebih kejam. Kumpulan mafia di Amerika Syarikat cuma mempunyai 5,000 ahli ketika kemuncaknya tetapi geng Yakuza terbesar di Kobe saja, direkodkan dianggotai 23,000 orang.

Shoko Tendo [5]

Yakuza amat digeruni dan terkenal melaksanakan pembunuhan beramai ramai, menyeludup organ secara haram malah untuk menganggotainya satu ketika dulu memerlukan ahli baru mengerat sendiri jari kelengkeng, amalan yang kini dihapuskan kerana ia memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti mereka.

Shoko Tendo [6]

Amalan memotong jari kelengkeng ini digelar ‘yubitsume’ dilakukan sejak zaman samurai.Jari kelengkeng diperlukan untuk menggenggam pedang dengan kemas, tanpanya seseorang samurai lebih lemah dan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ketuanya.

Shoko Tendo [7]

Dalam buku mengenai pengalaman pahitnya, Shoko berkata, wanita langsung tiada taraf dalam Yakuza menyebabkan isteri dan anak perempuan ahlinya turut dilacurkan termasuk untuk membayar hutang.

Dia yang kini berusia 50-an mengaku pernah menjadi penagih dadah malah anggota Yakuza sendiri menyediakan bekalannya.

“Saya terpaksa melakukan pembedahan plastik beberapa kali akibat kecederaan dialami.

Namun, luka terhadap pada emosi saya masih kekal berparut,” katanya.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com