Tuesday, September 20, 2016

Kenali Aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah Di Perlis

Kenali Aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah Di Perlis

Sejak tahun 30-an sebelum merdeka, Perlis melalui gerakan pembaharuan Kaum Muda yang dipengaruhi oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha telah memilih jalan menjadikan segala perbezaan pendapat dikembalikan kepada nas al-Quran dan as-Sunnah.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Namun, ada yang cuba mempertikaikan pegangan Perlis dalam beragama ini.

Pegangan para sahabat dijadikan rujukan. Di samping itu, penggunaan akal yang waras dan rasional yang kuat juga dijadikan panduan dalam beragama.

Justeru, pada tahun 1948, Perlis antara yang terawal memasukkan Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai pegangan rasmi negeri.

Di samping, atas dasar pemikiran yang luas, Perlis tidak mengikat diri dengan hanya satu mazhab, bahkan menerima kesemua mazhab-mazhab fekah yang berada dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah; Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafii, Mazhab Hanbali dan semua pandangan fekah lain yang ditarjih oleh Jawatan kuasa Fatwa rasmi Negeri Perlis.

Ini menunjukkan Perlis paling menerima keluasan Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Hendaklah diketahui bahawa fatwa rasmi negeri Perlis tidak akan dikeluarkan melainkan setelah mendapat perkenan DYMM Raja Perlis.

Pilihan Istana Perlis ialah pegangan yang tidak mengikat diri dengan mazhab fekah tertentu sebaliknya menerima kesarjanaan kesemua mazhab-mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Buat masa ini, hampir kesemua ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis memiliki doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengajian Islam pelbagai cabang.

Ada yang bermazhab tertentu khususnya mazhab Syafie dan ada yang cenderung kepada tarjih. Sebahagian besar mereka bukan orang asal Perlis. Inilah keterbukaan Perlis.

Atas dasar tarjih yang dipilih oleh fatwa Perlis, maka amalan rasmi negeri Perlis kadang kala ada perbezaan dengan amalan dalam mazhab Syafie, pun begitu amalan itu tidak lari nas-nas yang dipegang oleh mazhab-mazhab lain dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Antaranya:
  • Fatwa Perlis membenarkan membayar zakat fitrah dengan wang (akhirnya diikuti oleh negeri-negeri lain). Ini pandangan asal dari mazhab Hanafi.
  • Fatwa Perlis merupakan yang terawal membenarkan wanita menjadi hakim mahkamah. Ini setelah ditimbang dari pandangan pelbagai ulama. Dahulu fatwa ini dianggap satu dosa, hari ini sudah ada negeri lain yang mengikutinya.
  • Fatwa Perlis mewajibkan zakat tanaman selain makanan asasi iaitu zakat harum manis. Ini selaras dengan pandangan mazhab Hanafi.
  • Fatwa Perlis tentang Amanah Saham Bumiputera (ASB) dianggap paling menyeluruh dan dipuji oleh pelbagai pihak. Ini kerana mengambil kira ketegasan hukum, keluasan fekah dan situasi semasa.
  • Fatwa Perlis bahawa seseorang yang baru menganut Islam hendaklah tidak mengubah nama bapanya. Ini seperti diamalkan di seluruh dunia sejak zaman Nabi SAW (kecuali Malaysia dan Brunei). Hal ini lebih adil untuk keluarganya kerana Islam itu adil untuk semua sekalipun kepada bukan Muslim.
  • Amalan rasmi Perlis tidak berqunut subuh. Ini selaras dengan majoriti ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah.
  • Mahkamah Syariah Perlis memegang pandangan talak tiga sekaligus jatuh satu talak seperti yang diterima pakai di kebanyakan negara Arab khususnya negara-negara Teluk.
  • Amalan rasmi Perlis tidak menjaharkan basmalah semasa solat jahar. Ini perkara khilaf yang muktabar dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Perlis memilih tarjih yang demikian.
  • Perlis menolak amalan tidak ada asas yang kukuh dari segi al-Quran dan as-Sunnah seperti pembomohan yang berunsur khurafat, kenduri arwah yang dibantah oleh semua mazhab termasuk Mazhab Syafie, amalan menjual bahan-bahan komersial atas nama agama dan lain-lain.


Pun begitu, tiada fatwa rasmi Perlis yang pernah membidaahkan khilaf yang muktabar seperti qunut subuh, basmalah jahar, solat tarawih lapan ataupun 20 rakaat. Jika ada yang terdengar hal ini, adalah fitnah semata.

Walaupun ada amalan rasmi negeri Perlis, pun begitu seseorang tidak diambil tindakan undang-undang hanya kerana khilaf yang muktabar.

Seseorang awam tidak diambil tindakan kerana dia berqunut subuh ataupun menjaharkan basmalah ketika solat di masjid.

Bahkan, masih banyak masjid yang imamnya berqunut dan menjaharkan basmalah, mereka tidak diambil tindakan undang-undang.

Jika sesiapa menyatakan imam-imam di Perlis semua dipecat kerana tidak berqunut, mereka adalah pendusta yang akan menjawab di hadapan Allah nanti.

Soalan kita, apakah nasib imam-imam di negeri selain Perlis jika tidak berqunut? Di manakah kesederhanaan yang dikatakan itu?

Walaupun ada perbezaan pandangan dalam Perlis disebabkan pegangannya yang tidak fanatik kepada hanya satu mazhab, kita tidak pernah mendengar adanya perselisihan pendapat sehingga membawa kepada solat dua imam, tidak makan sembelihan sesama Muslim, bercerai suami isteri kerana berbeza aliran pendapat dan seumpamanya seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.

Sekalipun Perlis memakai fatwa pelbagai tokoh termasuk Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim, pun begitu tidak pernah berlaku peristiwa keganasan seperti Peristiwa Memali dan Lubuk Merbau di Kedah, kejadian serangan Kuil Kerling dan seumpamanya.

Bahkan ramai yang terlibat IS dari pondok Kedah yang berjiran dengan Perlis, juga dari negeri-negeri lain. Alhamdulillah, setakat ini belum ada dari Perlis.

Pandangan agama daripada Perlis juga sederhana. Saya masih ingat apabila bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib membaca fatwa Perlis tentang hak penjagaan anak, kata beliau kepada saya:

“Jika semasa saya menggubal undang-undang dahulu ada fatwa yang seperti ini, mungkin kekecohan sekarang tidak sampai sebegini.”

Fatwa-fatwa seperti mengafirkan sesama Muslim, mengafirharbikan orang lain yang boleh membawa kepada menumpahkan darah sesama rakyat seperti baru-baru ini, tidak kedengaran dari Perlis, alhamdulillah.

Juga Perlis tidak akan membenarkan penceramah yang suka mengafir dan memaki orang lain seperti menyebut: “mu lah kafir”, “hang nak masuk neraka ka”, “mufti anjing” dan yang seumpamanya seperti semua maklum yang berbau pengganas dan ektrimis.

Buku-buku Muhammad bin Abd al-Wahhab yang dikatakan sebagai pengasas wahabi, tidak pernah dijadikan rujukan rasmi di Perlis.

Pernah ada seminar tentang Muhammad Abd Wahhab anjuran bersama pihak yang lain di Perlis. Pun begitu, kesimpulannya pandangan beliau tidak dijadikan rujukan di Perlis.

Maka, tiada istilah Wahabi dalam fatwa Perlis. Pun begitu Perlis tidak menyesatkan aliran Muhammad bin Abd al-Wahhab bahkan menganggap beliau, seperti yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan Dr Wahbah al-Zuhaili, 'mempunyai sumbangannya yang tersendiri.'

Justeru itu, Perlis mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan Arab Saudi. Maka, Perlis menolak golongan ektrimis Syiah dan tarekat yang menyatakan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW itu tidak sah kerana imam-imam kedua masjid tersebut Wahabi.

Perlis menolak aliran ektrimis pelampau seperti itu. Perlis menyatakan, mereka itu dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Perlis sering menerima kedatangan imam-imam Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW dengan penuh ukhuwwah.

Maka, al-Syeikh Abdul Rahman as-Sudaisi dan selainnya sering datang ke Perlis atas dasar ini.

Maka, golongan fanatik yang cenderung kepada mengafirkan sesama Muslim seperti golongan Ahbash dan murid Syiah Hasan Saqqaf menuduh Perlis pusat Wahabi.

Jelas, Perlis menerima keluasan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Walaupun ada pendapat yang ditarjihkan, namun Perlis atas dasar wasatiyyah menerima keluasan tanpa mengafirkan ataupun menyesatkan sama ada aliran Salafi, Ashaari ataupun Maturidi.

Jika ada kritikan ilmiah dan bantahan pendapat terhadap pandangan aliran-aliran tersebut itu hanyalah dalam wacana ilmu tanpa pernah ada bukti fatwa Perlis mengafirkan ataupun menyesatkan.

Ya, Syiah memang ditolak di Perlis kerana ia boleh membawa kepada pertumpahan darah, khurafat yang dahsyat dan fitnah sesama Muslim.

Lihat sahaja ceramah anak murid Hasan Saqqaf yang perkataan “kafir”, “murtad”, “anjing” dan segala perkataan jelek tidak lekang di mulutnya.

Tarekat juga tidak diamalkan di Perlis. Ini kerana, ramai golongan tarekat sering terbabit dengan sikap melampau, mengambil kesempatan, khurafat serta merendahkan akal yang waras. Golongan tarekat sering menuduh Perlis Wahabi kerana hal ini.

Perlis menolak segala kelompok estrimis Ashairah, Maturidiah, Salafiah dan selain mereka.

Ekstrimisme tiada tempat di Perlis. Perlis adalah bumi untuk Muslim sederhana. Inilah wasatiyyah yang diamalkan di Perlis.

Sama ada hendak dilihat di sudut pro ataupun kontra, parti kerajaan sentiasa menang besar di Perlis. Di masa Kedah jatuh ke tangan pembangkang, Perlis masih kukuh dengan parti kerajaan Pusat.

Di Perlis, pusat-pusat PAS sering kali kelihatan tidak selari dengan pandangan fatwa Negeri Perlis dalam amalan.

Ertinya, majoriti penyokong kerajaan Pusat adalah dari yang menerima pendekatan Perlis. Hal ini boleh dilihat dari pelbagai sudut yang berbeza.

Maka, untuk menyatakan aliran Perlis antikerajaan, mungkin kurang tepat.

Jika menyatakan aliran Perlis tegas memberikan pandangan sekalipun berbeza dengan kerajaan pusat, mungkin lebih tepat.

Ada pertubuhan yang dianggotai oleh beberapa orang tarekat menyebut tentang ajaran di Perlis.

Saya melihat kenyataan pertubuhan yang menamakan mereka Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) melalui pengerusinya iaitu seorang pengamal tarekat Naqsyabandiah Khalidiyah bernama Abd Kareem Said Khadaeid tentang Perlis.

Saya dengan ini menjemput beliau berforum terbuka di Perlis tentang “Bahaya Ekstrimisme Agama” sesuai dengan apa yang beliau sebut.

Saya harap beliau akan membuat kenyataan persetujuan dengan kadar segera. Saya pasti beliau ada bahan yang hendak disampaikan.

Jika alasan beliau kukuh, kita boleh menerima pakainya. Jika tidak, andai beliau sebagai seorang insan yang ada nilai diri beliau wajar membetulkan kenyataannya.

Sekadar Perhatian: Pada 15 November 1984 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan keputusan tarekat Naqsyabandiah Khalidiyyah sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam).

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN mufti Perlis. Tulisan ini disediakan sebagai reaksi terhadap kenyataan Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) dibawah lapor MKini.

NGO giatkan lobi anti-Wahabi, hantar memo pada KDN

AMIN

Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) mendesak kerajaan supaya membanteras fahaman wahabi yang dilihatnya memberi ancaman terhadap keselamatan kepada negara.

Jurucakapnya Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata Wahabi yang dikaitkan dengan ilmuwan Ibnu Taimiyyah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana menjurus kepada gerakan militan ekstrim seperti Negara Islam (IS).

“Kita sekarang mahu menjaga ketulenan agama kita dan kita mahu supaya mendesak agensi agama yang masih dalam keadaan keliru untuk menghormati desakan ini yang datang dari akar umbi iaitu berasaskan dengan ilmu, fakta sejarah, nas-nas al-Quran dan hadis.

“Kita akan nyatakan perkara ini kepada pelbagai lapisan seperti pihak berwajib, jabatan mufti, jabatan agama pada bulan ini dan juga mengatur mengadap duli tuanku dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Villa Puteri Kuala Lumpur.

Katanya, pihaknya akan menghantar memorandum kepada kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri bagi mengharamkan buku karya Ibu Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab.

Ia bagi menyenaraikan serta memperbetulkan segala bentuk penyelewengan yang tersasar daripada fahaman Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar.

“Kami juga mendesak mengharamkan kitab-kitab karangan mereka dari penerbitan, jualan dan edaran kepada masyarakat termasuk buku karangan mereka mereka yang mengambil fahaman wahabisme,” katanya.

Sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pandangan Ibnu Taimiyyah yang kontroversi sering dirujuk hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Gesa Asri supaya lebih 'beradab'

Sementara itu, gabungan tersebut turut mendesak pihak berwajib supaya mengharamkan penceramah yang dilihat mengajar fahaman Wahabisme dalam apa jua bentuk di negara ini.

Desakan itu turut ditujukan kepada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang digesa supaya lebih ‘beradab’ dalam memberikan ceramahnya yang dilihat memihak kepada fahaman Wahabi.

Abdul Kareem berkata, Asri seharusnya menghormati Raja-raja Melayu serta tidak memberikan pendapat yang dilihat menjurus kepada fahaman tersebut kerana beliau adalah mufti di negeri itu.

“Agama Islam di tanah Melayu ini kuasanya adalah di tangan sultan kita, bukan di tangan Mufti Perlis. Perlis adalah di bawah Raja Perlis, mufti dia di bawah sultan dia. Kami tidak akan menyentuh Perlis kerana menghormati Raja Perlis.

“Kami minta Mufti Perlis Menghormati mufti-mufti lain. Janganlah pendapat kita nak pakai luar Perlis. Kamu nak sebar pendapat kamu dalam Perlis itu hak kamu, raja kamu membenarkannya itu kami tak nak kacau.

“Kami orang Melayu hormat pada Sultan. Kita bukan Hang Jebat jadi kita minta supaya dia juga hormat pegangan sultan-sultan lain. Beradablah sikit,” tegasnya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Asri berhubung dakwaan tersebut.

Dalam sidang media selama lebih satu jam itu kelihatan beberapa individu memakai pakaian Melayu lengkap bertanjak bagi menunjukkan penglibatan NGO Melayu dalam gabungan itu.

Gabungan itu terdiri daripada 105 NGO seperti Pertubuhan ASWAJA, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Veteran Umno, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Ilmuwan Sunni Malaysia (SUNNI) dan Kumpulan RABITAH lapor Mkini.

BACA INI JUGA:

Sumber: Malaysiakini

Friday, September 16, 2016

Di Mana Salahnya Fahaman Wahabi?

Di Mana Salahnya Fahaman Wahabi?

Realiti masa kini membuktikan bahawa fahaman Wahabi sudah mendapat tempat di kalangan mereka yang berada dalam pelbagai lapisan dan latarbelakang.

Aliran Wahabi

Apa Dan Kenapa Wahabi?

Apakah fahaman Wahabi? Jawapannya mudah sahaja, "Ia adalah pemikiran dan amalan Islam berdasarkan dalil dan hujah yang berbeza dengan kebiasaan masyarakat".

Soalan seterusnya, kenapa fahaman Wahabi mendapat tempat secara meluas di kalangan umat Islam? Terdapat beberapa jawapan bagi persoalan ini:

Pertama:

Fahaman ini memandang Islam sebagai suatu agama yang berdasarkan ilmu. Oleh itu ia tidak membicarakan Islam melainkan dengan metodologi ilmiah yang tinggi lagi berdisiplin.

Fahaman ini menolak bicara Islam yang berdasarkan mitos, khayalan, cerita-cerita dongeng dan apa-apa yang seumpama.

Dalam suasana umat Islam yang semakin meningkat taraf keilmuannya, mereka mula beralih kepada Islam yang berdasarkan ilmu, yakni dalil dan hujah.

Kedua:

Fahaman ini meningkatkan lagi penghayatan umat Islam terhadap agama Islam. Jika sebelum ini umat hanya mengenal Islam berdasarkan hafalan "fardhu ain", kini umat mula mengenal Islam berdasarkan dalil dan hujah.

Umat Islam mula mengenal kenapa mereka beribadah dengan tatacara sekian-sekian, hikmah di sebalik sesuatu ibadah, tujuan di sebalik sesuatu hukum dan objektif yang ingin dicapai oleh syari'at kepada manusia.

Ketiga:

Fahaman ini memberi penekanan kepada usaha tajdid, iaitu usaha membersihkan agama Islam dari pelbagai pencemaran sehingga ia kembali tulen.

Ketulenan ini adalah sesuatu yang benar-benar asing kepada masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah sesuatu yang baru, sekali pun ia sebenarnya sudah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Usaha tajdid memberi nafas baru kepada umat Islam. Mereka mula melihat keindahan, kemudahan dan kesyumulan Islam sebagaimana yang dilihat oleh generasi pertama yang menerimanya secara tulen daripada Rasulullah SAW.

Keempat:

Fahaman Wahabi menyentuh isu-isu terkini lagi relevan dengan suasana umat Islam. Sebagai contoh, apabila fahaman yang lain masih memberi perhatian kepada hukum berwudhu' dengan air perigi, fahaman ini memberi perhatian kepada hukum berwudhu' dalam kapal terbang.

Apabila fahaman lain memberi perhatian kepada cara berzikir di atas pokok, fahaman ini memberi perhatian kepada cara beribadah di atas kenderaan moden seperti LRT, Monorail, Komuter dan sebagainya.

Oleh itu tidak asing juga apabila didapati antara yang kehadapan dalam menangani isu-isu liberalisme, pluralisme, feminisme dan athiesisme adalah tokoh-tokoh yang disandarkan kepada fahaman ini.

Kelima:

Fahaman ini tidak membataskan ahli-ahlinya kepada jamaah tertentu. Tidak ada sistem mendaftar keahlian, berbai'ah kepada amir, perlantikan ahli jawatan kuasa tahunan dan lain-lain yang biasa ditemui dalam jamaah-jamaah Islam.

Seseorang itu boleh sahaja mengikuti fahaman ini dan pada waktu yang sama terus bergiat aktif dengan jamaah yang dianggotainya.

Hanya saja fahaman ini mengingatkan umat Islam agar membetulkan tujuan mereka bergiat aktif di dalam sesuatu jamaah.

Hendaklah tujuan tersebut demi kebaikan Islam dan umatnya, bukan demi memelihara maruah jamaah dan menjaga kedudukannya sebagai yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain.

Di Mana Salahnya Fahaman Wahabi?

Secara umum, tidak ada yang salah dengan fahaman Wahabi kecuali namanya. Memang, ada segelintir orang yang mengikuti fahaman ini dengan semangat yang mendahului ilmu dan kematangan sehingga mereka berlebih-lebihan dalam mengkritik dan mencela.

Namun tindakan segelintir tidak boleh dijadikan hujah untuk menghitamkan keseluruhan fahaman ini dan majoriti yang mengikutinya berdasarkan ilmu dan kematangan.

Fahaman Wahabi bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam atau terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Malah ia lebih mendekati Islam yang sebenar dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang tulen.

Terkecuali adalah nama "Wahabi" yang disandarkan kepada fahaman ini, ia adalah nama yang sengaja digunakan oleh sebahagian agamawan sebagai senjata untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka daripada fahaman yang murni ini.

Kenapakah perlu ditakut dan dijauhkan orang ramai daripada fahaman ini? Paling kurang ada dua sebab utama:

Sebab Pertama:

Apabila fahaman ini membicarakan Islam berdasarkan metodologi ilmiah, akan terbongkar kesilapan, kedongengan dan kepalsuan apa yang selama ini disampaikan oleh para agamawan tersebut.

Dalam menghadapi suasana ini, para agamawan terbahagi kepada dua kategori:

Pertama:

Adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama berdasarkan sikap jujur lagi amanah. Mereka membetulkan apa yang pernah disampaikan sebelum ini seandainya ia sememangnya tidak tepat.

Kedua:

Adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama kerana maruah dan status. Mereka sukar untuk mengakui bahawa apa yang mereka sampaikan sebelum ini adalah tidak tepat.

Maka mereka mencari helah untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka dari kebenaran tersebut.

Helah tersebut adalah, "Berhati-hatilah dengan fahaman Wahabi kerana ia terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah."

Sebab Kedua:

Fahaman ini benar-benar mendapat sambutan daripada umat Islam sehingga kuliah-kuliah pimpinan tokohnya dibanjiri oleh hadirin dari pelbagai latarbelakang.

Suasana ini bertolak belakang dengan kuliah-kuliah lain yang semakin lengang sehingga akhirnya dibatalkan oleh pihak penganjur.

Dalam menghadapi suasana ini, sekali lagi para agamawan terbahagi kepada dua kategori:

Pertama:

Adalah mereka yang memiliki sikap yang positif dimana dengan sikap tersebut mereka berusaha untuk mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan, selari dengan kehendak para hadirin.

Kedua:

Adalah mereka yang memiliki sikap yang negatif dimana mereka enggan mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan.

Pada waktu yang sama mereka tidak boleh berdiam diri kerana semua ini melibatkan sumber pendapatan mereka. Dengan berkurangnya jemputan, berkuranglah juga pendapatan.

Maka mereka perlu mencari helah untuk menjanakan kembali sumber pendapatan dengan berkata, "Berhati-hatilah dengan kuliah orang-orang Wahabi, mereka itu ditaja oleh pihak Barat."

Siapa Yang Sebenarnya Salah?

Diharapkan melalui penjelasan yang ringkas di atas, para pembaca sekalian dapat mengetahui kisah sebenar di sebalik gelaran atau tuduhan "Wahabi".

Tidak percaya? Cubalah mengkaji salah satu dari kitab Mazhab asy-Syafi'e yang muktabar dan pilih satu hukum atau amalan yang berbeza dari kebiasaan masyarakat. Nescaya anda akan dituduh "Wahabi" sekalipun rujukan anda ialah kitab muktabar Mazhab asy-Syafi'e.

Di sini ingin saya tambah, bahawa yang tidak benar bukan sekadar tuduhan "Wahabi", tetapi sikap orang yang menuduh itu sendiri adalah tidak benar.

Ini kerana Islam melarang umatnya daripada tuduh-menuduh, cemoh-mencemuh dan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang tidak baik. Allah SWT berfirman, maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

"Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." [al-Hujurat 49:11]

Akhir kata, apabila anda mendengar seseorang berkata, "Si fulan Wahabi", "Kumpulan itu Wahabi", "Ini majalah Wahabi" atau apa-apa tuduhan seumpama, maka ketahuilah bahawa kesalahan tidak terletak pada yang dituduh tetapi pada yang menuduh.

BACA INI JUGA: Aliran Wahabi Bukan Ajaran Sesat?

Sumber: Panduanpercuma