Wednesday, September 07, 2016

Boleh Gugurkan Kandungan Jika Janin Dijangkiti Virus Zika?

Boleh Gugurkan Kandungan Jika Janin Dijangkiti Virus Zika?

Menteri Kesihatan, S Subramaniam berkata, beliau menerima pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu yang dijangkiti Zika.

Bahaya Virus Zika

Beliau berkata, pandangan itu wajar dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan supaya boleh mencapai kata sepakat berhubung perkara tersebut.

"Menurut undang-undang sedia ada, kita hanya membenarkan pengguguran sekiranya ia membahayakan ibu yang mengandung.

"Saya menerima pandangan beliau (mufti). Namun perlu ada satu pendirian agama yang jelas kerana isu ini bukan sahaja melibatkan mereka yang dalam bidang perubatan tetapi agama juga," katanya kepada pemberita.

Beliau merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu 2016 di Kuala Lumpur.

Dr Zulkifli dilapor sebagai berkata, orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka jika dijangkiti virus Zika yang boleh memudaratkan kehidupan keluarga atau bayi itu sendiri.

Ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan wanita mengandung yang berada atau mengunjungi negara yang mengalami Zika membuat imbasan, Dr Subramaniam berkata, golongan tersebut boleh mendapatkan pandangan daripada doktor.

"Mereka boleh berjumpa doktor bagi mencari jalan yang selamat," katanya.

Dua kes Zika dikesan di negara ini setakat ini yang satu daripadanya mengakibatkan kematian.

Zika dan seks, ini fakta yang perlu anda tahu

Selain menerusi gigitan nyamuk Aedes, virus Zika juga boleh disebarkan melalui hubungan seks. Menurut kajian, virus Zika boleh berada dalam badan manusia dari 21 hari sehingga 6 bulan.

Sekiranya orang yang dijangkiti mengadakan hubungan seks pada tempoh berkenaan, ia mendedahkan risiko menjangkiti pasangan mereka.

Berikut merupakan penjelasan daripada Pengarah D1SC, MIMPA dan Malaysian Medical Gazette, Dr Mahesh Appannan.

Ini perkara yang anda perlu tahu:

1. Berapa lamakah virus Zika boleh bertahan dalam badan manusia?

Dr Mahesh: Ini soalan yang selalu ditanya oleh ramai akan tetapi ia masih dalam kajian sebenarnya.

Kalau kita berbincang pasal badan manusia, virus Zika boleh terkandung dalam darah, air kencing, air mani atau cecair faraj.

Ada kajian mengatakan virus Zika ini boleh bertahan dalam badan manusia dari 21 hingga 30 hari, ada kajian lain yang mengatakan selama lapan minggu dan ada kajian yang mengatakan virus Zika boleh berada dalam badan selama enam bulan.

2. Apa perbezaannya bagi virus Zika yang terkandung dalam badan lelaki dan wanita?

Dr Mahesh: Untuk lelaki, kita fokus kepada air mani atau seminal fluid. Virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan.

Untuk kaum wanita, virus Zika boleh terkandung dalam cecair faraj atau vaginal fluid sehingga dua bulan.

Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi.

Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini.

3. Apa langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Virus Zika boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan konteks seksual di sini termasuk hubungan seks biasa, melalui seks luar tabii dan seks oral.

Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks.

Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.

4. Apakah garis panduan WHO dalam mencegah jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika.

Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua bulan atau lapan minggu.

Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Bernama | Astroawani | Sentiasapanas

Thursday, September 01, 2016

Apa Itu Virus Zika, Simptom, Kesan, Rawatan Dan Langkah Pencegahan

Apa Itu Virus Zika, Simptom, Kesan, Rawatan Dan Langkah Pencegahan

Virus Zika dikesan kali pertama pada spesis monyet sekitar 1947 dan kemudiannya tersebar secara besar-besaran di Amerika, selepas jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun 2015 yang lalu.

Virus Zika

Berikut, tujuh perkara yang anda perlu tahu tentang Virus Zika:

1. Apakah virus Zika?

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV).

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.

Penyakit ini menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam.

Di Brazil, ia dilapor terdapat peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly) atau otak kecil dan buat masa ini belum lagi diketahui penyebab sebenar kejadian tersebut.

Namun, mereka percaya kecacatan ini mungkin ada kaitan dengan wabak Zika.

2. Simptom & Tanda-Tanda Demam Zika

Berikut dikongsikan simptom utama demam Zika yang memberikan tanda-tanda apabila pesakit telah dijangkiti:
  • Sakit sendi
  • Mata kemerahan
  • Sakit kepala
  • Ruam pada kulit

3. Bolehkah jangkitan Zika dirawat?

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika.

Menurut WHO, mereka yang dijangkati dinasihati untuk minum air dengan kuantiti yang banyak serta merawat kesakitan badan serta demam dengan ubat-ubatan yang biasa.

4. Bagaimanakah ia merebak?

Disebarkan melalui nyamuk aedes - bergantung kepada spesis. Aedes jenis aegypti, paling banyak menyebarkan Zika.

Aedes jenis ini ditemui di Florida, Gulf Coast dan Hawaii. Namun baru-baru ini, ia turut ditemui di Washington DC yang bercuaca panas.

Aedes jenis albopictus dikatakan turut mampu menyebarkan virus Zika tetapi tiada kajian kukuh mengenainya. Jenis ini boleh ditemui di utara New York dan Chicago pada musim panas.

Nyamuk aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan senja. Ia membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan masa seminggu untuk menjadi nyamuk dewasa.

5. Kesan Dan Bahaya Virus Zika, Siapa berdepan risiko paling tinggi?

Kesan Zika
Kepala bayi mengecil akibat virus zika.

Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika. Virus Zika yang merebak akan menyebabkan sejenis kecacatan otak dan boleh menyerang bayi dalam kandungan.

Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka.

6. Langkah-langkah Pencegahan Virus Zika

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan oleh KKM:
  • Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh
  • Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan jangkitan virus Zika di Malaysia.

Pada masa sama, orang ramai juga dinasihati untuk mempertingkatkan aktiviti mencari dan memusnah bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya.

7. Kes Pertama Jangkitan Virus Zika di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan seorang wanita Malaysia yang baru pulang dari Singapura sebagai kes pertama jangkitan virus Zika di Malaysia.

Wanita dari Klang itu telah berkunjung ke Singapura pada 19 Ogos 2016 yang lalu selama tiga hari dan mula menunjukkan tanda demam selepas seminggu.

Anak wanita berkenaan di Singapura dilapor turut dijangkiti virus Zika.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan sejurus selepas dia pulang ke Malaysia.

Ujian air kencing ke atas mangsa mengesahkan dia dijangkiti virus Zika, namun ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura didapati negatif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani

Wednesday, February 10, 2016

Syurga Nyamuk Di Hutan Zika

Syurga Nyamuk Di Hutan Zika

Igauan tentang penyebaran virus Zika terus-menerus menghantui penduduk dunia ekoran peningkatan kes bawaan virus Zika mula dikesan di beberapa buah negara lain terutama di bahagian Amerika Selatan selepas kali pertama ia ditemui di Hutan Zika, Uganda pada tahun 1947.

Zika Forest

Hutan Zika merupakan sebuah hutan tropika yang terletak tidak jauh dari bandar Entebbe iaitu kira-kira 23 kilometer dari ibu kota, Kampala di Uganda.

Menurut Institut Penyelidikan Virus Uganda (UVRI) di Entebbe, hutan seluas kira-kira 12 hektar itu merupakan hutan simpan yang dilindungi oleh pihak berkuasa Uganda untuk dijalankan proses kajian dan penyelidikan hutan.

Menurut pihak UVRI lagi, Hutan Zika dikenali sebagai kawasan yang menjadi habitat pembiakan nyamuk dengan anggaran kira-kira 60 spesies nyamuk boleh ditemui di hutan tersebut.

Sementara itu, perkataan Zika diberikan oleh penduduk setempat yang membawa maksud ‘tumbuh cepat’ di dalam bahasa Uganda kerana mereka mendakwa, hutan tersebut mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan dihuni oleh banyak serangga kecil termasuk nyamuk.

Penemuan virus Zika yang diambil sempena nama hutan tersebut ditemui secara tidak se­ngaja oleh penyelidik dari Amerika Syarikat dan Eropah sewaktu mereka menjalankan kajian untuk mencari punca kepada wabak demam kuning.

Selepas kajian itu dijalankan selama 10 tahun, penyelidik yang dibiayai oleh badan penyelidikan Rockefeller Foundation itu telah melakukan kajian terhadap vaksin pada kera jenis Regus yang dikaitkan dengan punca penularan wabak demam kuning sebelum mereka menemui mikroorganisme baharu yang dinamakan virus Zika.

Hasil kajian menyeluruh akhirnya mendapati, wabak demam kuning, demam denggi berdarah dan virus Zika adalah berpunca daripada gigitan nya­muk aedes jenis aegypti.

Walaupun virus Zika pertama kali ditemui di Uganda, hanya terdapat dua kes sahaja yang dilaporkan berlaku tentang penularan virus tersebut dalam kalangan penduduk di situ sejak 60 tahun lalu.

Menurut seorang penjaga Hutan Zika yang dikenali sebagai Mukisa, 60, dia yang bekerja selama tujuh tahun, baru sahaja mengetahui tentang virus tersebut beberapa minggu lalu ekoran tersebarnya beri­ta tentang penularan virus tersebut di beberapa buah negara di Amerika Selatan sejak akhir tahun 2015 sekali gus menimbulkan situasi panik kepada dunia.

Penularan virus Zika turut memberi mimpi ngeri kepada wanita me­ngandung selepas kajian oleh pakar perubatan dari Brazil mendedahkan, ia sangat berbahaya kepada bayi di dalam kandungan sehingga boleh menyebabkan berlakunya kejadian mikrosephaly iaitu kelahiran bayi dengan kepala dan otak mengecil.

Mikrosephaly
Bayi dilahirkan menghidap mikrosephaly akibat virus Zika.

Menurut laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sehingga kini lebih 3,700 bayi di Brazil telah dilaporkan menghidap masalah mikrosephaly yang dise­babkan oleh bawaan virus Zika dan ia dijangka akan terus mening­kat.

Ketika ini, beberapa buah negara di Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Ca­ribbean telah dikesan terdapat penularan virus Zika se­perti di Bolivia, Venezuela, Colombia, Paraguay, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Puerto Rico, Barbados dan Samoa.

Ekoran keadaan merun­cing berikutan penularan virus Zika yang semakin berleluasa di kebanyakan negara di Amerika Selatan, WHO baru-baru ini telah mengisytiharkan virus Zika sebagai darurat kesihatan global.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Pengerusi WHO sendiri, Margaret Chan beri­kutan peningkatan mendadak kes mikrosephaly terhadap bayi sehingga memerlukan perhatian antarabangsa.

Dalam pada itu, WHO menganggarkan sehingga empat juta orang akan dijangkiti virus Zika dalam masa beberapa bulan ekoran tahap penularan virus tersebut yang semakin berleluasa.

BACA INI JUGA: Garis Panduan Mencegah Virus Zika

Sumber: Kosmo

Thursday, February 04, 2016

Garis Panduan Mencegah Virus Zika

Garis Panduan Mencegah Virus Zika

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam telah mengeluarkan garis panduan langkah-langkah pencegahan virus Zika yang disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.

Mencegah Virus Zika

Langkah-langkah itu termasuk menangguhkan perjalanan ke 24 negara di rantau Amerika Selatan yang telah melaporkan jangkitan Zika, khususnya wanita yang mengandung.

Negara yang terlibat ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Curacao, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, Guiana Perancis, Guadaloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Surinam, Virgin Islands (Amerika Syarikat) and Venezuela.

Jika terpaksa juga melakukan perjalanan tersebut, perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit nyamuk Aedes seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan secara tetap.

Selain itu, jika terdapat rakyat negara ini yang menghidap gejala demam dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari negara yang ada rakyatnya dijangkiti, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta rakyat Malaysia juga perlu melakukan langkah-langkah pencegahan, antaranya memastikan kawasan persekitaran terutama tempat-tempat awam dan swasta bersih daripada tempat pembiakan nyamuk.

Orang ramai juga perlu melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mencegah berlakunya jangkitan kepada orang lain seperti menggunakan ubat pencegahan gigitan, memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan kelambu dan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa.

Masyarakat perlu melakukan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di premis masing-masing.

Disaran juga untuk memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi dan keadaan di negara ini adalah amat sesuai untuk berlakunya jangkitan virus Zika.

Oleh itu, jika jangkitan Zika tersebar ke negara ini, ia boleh menjadi wabak yang serius seperti wabak demam denggi.

Terbaru, virus Zika dilaporkan telah dikesan di Indonesia dan Australia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan penyakit itu sebagai "Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC)."

Virus Zika hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian, namun ia dikaitkan dengan kejadian mikrosefali iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre".

Mikrosefali merupakan kecacatan otak atau kepala kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa. -Bernama

BACA INI JUGA: Bahaya Virus Zika Kepada Bayi Dan Kesihatan

Thursday, December 03, 2015

Bahaya Virus Zika Kepada Bayi Dan Kesihatan

Bahaya Virus Zika Kepada Bayi Dan Kesihatan

Apa itu virus Zika? Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sejenis kecacatan otak yang menyerang bayi dalam kandungan adalah disebabkan oleh virus bawaan nyamuk Aedes, Zika, ejen yang sama untuk penyakit demam denggi.

Bahaya virus Zika

Kaitan antara virus Zika dengan kecacatan pada bayi tidak pernah dibuat sebelum ini. Virus Zika dikenal pasti sebagai penyakit baharu yang sebenarnya telah wujud kira-kira 50 tahun dahulu.

Virus Zika didakwa pernah merebak dan menyerang beberapa kawasan di Afrika, Amerika Selatan, Asia Tenggara dan sebilangan pulau di Kepulauan Pasifik sebelum ini namun ketika itu ia tidak dikenali.

Jangkitan kuman virus Zika antara lain boleh menyebabkan simptom seperti demam, sakit kepala, mengalami ruam pada kulit, sakit sendi dan mata menjadi kemerah-merahan.

Analisis awal menunjukkan virus Zika boleh disebarkan kepada janin dan janin paling berisiko diserang zika ialah ketika tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

Beberapa kajian juga menunjukkan adanya kemungkinan peyebaran virus ini di luar media nyamuk, seperti melalui proses hubungan seks, namun belum ada bukti yang sahih.

Sejarah virus Zika di Asia Tenggara

Virus Zika pertama kali di temui di Uganda pada tahun 1947, di tubuh seekor monyet yang hidup di hutan Zika Uganda dan kes manusia yang dijangkiti virus Zika pertama kali terjadi pada tahun 1954.

Virus Zika tersebar ke Asia Tenggara selepas wabak melanda Kepulauan Mikronesia tahun 2007. Pada tahun 2009, dikatakan bahawa virus Zika mampu menular melalui hubungan intim.

Kesan jangkitan virus Zika

Kesan jangkitan virus Zika
Akibat jangkitan virus Zika, mata merah dan gatal.

Kesan jangkitan virus Zika [2]
Timbul ruam di seluruh badan.

Kesan jangkitan virus Zika [3]
Jangkitan virus Zika pada kanak kanak.

Cara Menghalang Penularan Virus Zika?
  1. Hindari diri anda di gigit nyamuk aedes (jika boleh).
  2. Minum air putih secukupnya dan rehat yang cukup.
  3. Lengkapi rumah dengan jaring lubang jendela yang tidak boleh dimasuki nyamuk.
  4. Pastikan semua bekas yang boleh menakung air dibuang dengan betul.
  5. Tutup rapat semua bekas yang menyimpan air, atau masukkan bahan pembunuh jentik-jentik mengikut sukatan yang disyorkan pada label, atau tukar air dan sental bekas menyimpan air sehingga bersih, seminggu sekali.
  6. Tukar air dan bersihkan bekas bunga setiap minggu.
  7. Cuci dan sental hingga bersih piring alas pasu bunga untuk menghapuskan telur nyamuk Aedes setiap minggu.
  8. Periksa palong hujan (roof gutter) seminggu sekali dan pastikan air tidak bertakung.
  9. Hapuskan nyamuk Aedes dewasa menggunakan semburan racun serangga (aerosol).
  10. Tutup saluran overflow tangki pam tandas.

BACA INI JUGA: Aplikasi Android Terbaik Menghalau Nyamuk Aedes