Wednesday, November 20, 2013

Banglo Berhantu, Villa Nabila Ditutup!

Banglo Berhantu, Villa Nabila Ditutup!

Segala cerita dan kisah tentang sebuah rumah banglo di Danga Bay, Johor Bahru bakal tinggal lagenda selepas kawasan rumah itu mula ditutup sepenuhnya bermula malam tadi.

Villa Nabila
Villa Nabila.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dalam sidang media pagi kelmarin berkata pihaknya akan berunding dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan pemilik tanah villa itu bagi menutupnya demi keselamatan orang ramai.

Menurut beliau, selain mungkin mengakibatkan kemalangan ke atas orang yang berkunjung ke rumah itu, kawasan itu juga dilihat bakal menyebabkan penularan wabak demam denggi ekoran air yang bertakung di dalam kolam renangnya.

Villa Nabila ialah sebuah banglo setinggi empat tingkat terletak di tepi jalan Skudai di Danga Bay dan bangunannya menghadap Selat Johor telah lama ditinggalkan dan dibiarkan kosong.

Rumah agam itu menjadi kejutan seluruh negara bermula Sabtu lalu apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu dengan mendakwa seramai 23 orang remaja hilang selepas gagal keluar daripada villa itu.

Mereka yang seramai 30 orang didakwa pada awalnya memasuki villa berkenaan namun kisah palsu itu mendakwa hanya tujuh orang remaja berjaya keluar sementara 23 orang lagi terperangkap.

remaja hilang di villa nabila
Gempar remaja dilaporkan hilang sebelum ini.

Polis Johor menafikan kisah kehilangan 23 orang sebaliknya mengesahkan hanya menerima satu laporan polis oleh seorang wanita yang melaporkan kehilangan anaknya Mohd Izzat Izzudin Hussin yang berusia 16 tahun.

Namun akhirnya, Mohd Izzat ditemui semula oleh polis di rumah rakan bersama dengan teman wanitanya.

Remaja itu pada tengahari kelmarin telah dijemput pulang oleh ibunya, Norhayati Mohammad.

Apapun kisahnya, hujung minggu lalu warga Johor pastinya gempar dengan cerita yang terjadi kepada Mohd Izzat.

Kawasan Villa Nabila dipenuhi ratusan manusia sehingga menyebabkan jalan Skudai sesak teruk kerana orang ramai yang datang ke Villa Nabila untuk melihat keadaan dalam rumah agam itu.

Malam tadi, keadaan di hadapan Villa Nabila kembali tenang dan trafik lancar.

Malam tadi juga, hanya kedengaran bunyi mesin para pekerja yang memasang pagar kekal bagi menutup Villa Nabila dan ia bakal tinggal kenangan.

Villa Nabila Haunted
Kerja-kerja memagar dilakukan pihak berkuasa.

Menurut beberapa laman blog, Izzat mencetuskan kebimbangan ibunya dengan tidak pulang ke rumah sebaliknya pergi ke rumah rakannya di Flat Desa Bukit Mutiara selepas meninjau villa itu bersama 30 orang rakannya.

Namun, bagi individu bodoh yang mahu menggemparkan orang ramai dan terus mencipta cerita palsu dengan menambah jalan cerita bahawa kononnya hanya tujuh remaja berjaya keluar dengan 23 orang lagi hilang di dalam rumah itu.

Hasilnya, seluruh Malaysia gempar dan Villa Nabila trending di Twitter serta popular di seluruh Johor.

Dengan cerita itu juga, kini rumah agam itu bakal ditutup 'hubungannya' dengan dunia luar untuk menjaga keselamatan orang ramai dari bahaya rumah agam itu.

Bukan bahaya dari puaka tetapi strukturnya yang sudah tidak stabil, kotor dan juga kemungkinan untuk runtuh pada bila-bila masa.

[Sumber][Edited by SP]

Tuesday, November 19, 2013

Villa Nabila Paranormal Video

Villa Nabila Paranormal Video

Di waktu Villa Nabila hangat diperkatakan sekarang, ia mungkin sudah kurang seram ketika dikunjungi kerana ramai orang yang sama-sama memasukinya.

Villa Nabila

Namun ketika ia dikenali sebagai kawasan keras dan tak ramai yang berani mendekatinya, ada beberapa kumpulan individu yang menyukai aktiviti paranormal telah mendatangi Villa Nabila bagi merasai sendiri pengalaman meremangkan roma.

Antaranya lima remaja lelaki dikenali sebagai Ikhwan, Jam, Mohsen, Faiz Longai dan jurukamera bagi video di bawah ini yang begitu berani menjelajah keempat-empat tingkat Villa Nabila.



Meskipun dirakamkan pada waktu siang, video ini masih agak seram ditonton apatah lagi dengan elemen audio yang berjaya membangkitkan mood menakutkan.

Apa-apa pun, kami percaya selain mereka yang berminat dengan aktiviti paranormal, ada juga manusia lain yang sudah memasuki Villa Nabila terlebih dahulu.

Mereka mungkin individu yang melakukan aktiviti salah seperti penagih dadah atau gelandangan yang memerlukan tempat berteduh. Ini dibuktikan menerusi contengan di dinding selain penemuan beberapa objek seperti plastik dan bantal.

Buat mereka yang berada di luar JB dan tidak dapat sama-sama ‘meriahkan’ Villa Nabila saksikan video di bawah untuk mengetahui apa ada di dalam rumah terbiar ini.

Sumber: Mynewshub

Villa Nabila, Tersenarai Antara Lima Tempat Berhantu Di Malaysia!

Villa Nabila, Tersenarai Antara Lima Tempat Berhantu Di Malaysia!

Pusat pembangunan Danga Bay mungkin lebih dikenali sebagai sebahagian daripada projek bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan oleh Iskandar Malaysia.

Villa Nabila

Tetapi, ramai termasuk penduduk tempatan di sini tidak mengetahui bahawa, portal pelancongan berpangkalan di Amerika Syarikat, Expedia menyenaraikan ia antara lima tempat berhantu di Malaysia.

Ia tersenarai menerusi sebuah banglo lama tinggalan, dikenali sebagai Villa Nabila, terletak di atas bukit yang menghadap Selat Johor.

Banglo tersebut menyimpan rahsia selama 40 tahun dan terdapat beberapa versi bagaimana ia memperoleh status tersebut.

Ia termasuk kes pembunuhan yang berlaku di kalangan keluarga Caucasian kaya yang tinggal di banglo itu.

Versi lain mendedahkan bagaimana pembantu rumah merupakan dalang pembunuhan itu dan membunuh keluarga tersebut termasuk seorang anak perempuan bernama Nabila dan mayatnya ditanam di suatu lokasi dekat kawasan banglo tersebut.

Salah satu cerita yang menarik perhatian adalah ahli keluarga tersebut dibunuh oleh dua lelaki yang diupah oleh saudara mereka kerana sikap tamak.

Antara kepercayaan karut di sekitar kawasan itu adalah pelawat perlu memasuki rumah tersebut dalam nombor genap.

Sekiranya mereka melawat dalam nombor ganjil, terdapat ‘individu lain’ dalam kumpulan itu apabila mereka meninggalkan banglo tersebut.

Tinjaun The Star mendapat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di kawasan sekitar walaupun mengetahui bahawa banglo tersebut mungkin berhantu.

Villa Nabila

Salah seorang daripada mereka, Azmirul Syafiq Azmadi, 12, berkata dia dan rakan-rakannya datang ke kawasan itu untuk melihat sendiri jika terdapat hantu di rumah tersebut.

“Saya pernah terdengar mengenainya dari rakan saya dan orang tua bahawa rumah itu berhantu.

“Kami mungkin akan kembali lagi pada waktu malam untuk mencuba nasib,” katanya sambil menambah mereka tidak melihat sesuatu yang pelik.

Expedia turut menyenaraikan Kellie’s Castle di Perak, Banglo di Jalan Turi, Bangar, banglo kolonial di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan Apartment Ria di Genting Highlands sebagai antara tempat-tempat lain untuk memburu hantu.

Penolong Pengarah Pelancongan Johor, Amirul Asyraf Ibrahim yakin menerusi penyenaraian itu akan menarik lebih ramai pelancong terutama mereka yang gemar melawat tempat-tempat menyeramkan.

“Di negara lain, terdapat beberapa pakej mengenainya untuk menarik pemburu hantu dan mereka yang mahukan sesuatu yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan ejen pelancongan bagi mempromosikan pakej aktiviti memburu hantu dan fenomena ghaib di Johor.

Sumber: The Star

Kisah Villa Nabila Yang Dikatakan Berhantu

Kisah Villa Nabila Yang Dikatakan Berhantu

Tiba-tiba nama Villa Nabila yang terletak berhampiran Danga Bay, Johor Bahru menjadi perhatian berikutan khabar angin kehilangan 23 orang remaja setelah mereka dilaporkan memasuki rumah terbiar itu pada Sabtu lalu.

Villa Nabila Berpuaka

Namun, pihak polis sudah pun mengesahkan hanya seorang sahaja yang dilaporkan hilang dan berharap pihak lain tidak membuat sebarang spekulasi dengan niat untuk menghangatkan lagi perkara tersebut.

Pastinya anda pun tertanya-tanya apakah kisah misteri yang pernah terjadi di sebalik rumah yang dibina di atas bukit itu.

Menurut sebuah laman blog, pelbagai versi kisah misteri banglo itu dikongsi oleh orang-orang lama yang menetap di situ yang disampaikan secara lisan kepada anak-anak mereka.

Versi pertama mengatakan nama asal villa ini ialah Christine Palace di mana ia merupakan nama isteri seorang ahli perniagaan yang berasal dari luar negara.

Dipercayai, sebelum membina villa tersebut, ahli perniagaan itu telah berjanji untuk membahagikan tanah tersebut dengan enam orang adik-beradiknya yang lain.

Namun, disebabkan sikap tamak yang menguasai dirinya, isterinya telah mati dibunuh oleh dua orang samseng yang diupah oleh adik-beradiknya itu.

Selepas nyawa isterinya melayang, si suami masih lagi berkeras enggan membahagikan tanah tersebut sehinggakan dirinya turut dibunuh oleh samseng tersebut.

Dan sejak kejadian itu, villa tersebut dipercayai telah dibiarkan tidak berpenghuni sejak 70 tahun lalu.

Sementara itu, versi kedua pula tidak pula menceritakan mengenai kisah pembunuhan sebaliknya villa ini dikatakan dimiliki oleh seorang yang berpangkat Datuk.

Villa Nabila Berpuaka

Namun, atas sebab-sebab tertentu status Datuk beliau telah dilucutkan dan kemudiannya Datuk tersebut mengambil keputusan tidak lagi menetap di villa itu.

Sebaliknya, villa itu dikhabarkan hanya dijadikan sebagai tempat untuk bercuti atau rumah singgah buatnya sekeluarga.

Versi ketiga pula lagi seram kisahnya.

Dikatakan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Nabila telah dibunuh oleh orang gajinya keluarganya dan mayatnya telah ditanam di dalam simen rumah tersebut.

Bermacam versi kisah yang diceritakan.

Namun, yang pasti kita tidak boleh menidakkan kehadiran makhluk halus di muka bumi ini.

Cumanya, janganlah kita mencari penyakit dengan mengunjungi tempat-tempat yang sudah lama ditinggalkan tanpa hala tujuan.

[Sumber]

Remaja Dilapor Hilang Di Vila Berhantu, Ditemui Menyorok Dirumah Rakan!

Remaja Dilapor Hilang Di Vila Berhantu, Ditemui Menyorok Dirumah Rakan!

Remaja yang dilaporkan hilang kelmarin selepas dikatakan masuk ke kawasan rumah banglo tinggal, Villa Nabila di Danga Bay di sini ditemui malam tadi dipercayai menyorok di rumah rakannya di Flat Desa Mutiara, di sini.


Remaja berkenaan bersama rakannya kemudian telah dibawa ke Balai Polis Bandar Dato’ Onn untuk direkod kenyataan.

Mengapa remaja itu bertindak demikian tidak diketahui tetapi pihak polis dijangka akan membuat sidang akhbar sebentar lagi.

Berita kehilangannya menggemparkan hampir seluruh negara selepas tersebarnya kisah bahawa 30 orang remaja masuk ke Villa Nabila namun hanya 7 yang berjaya keluar dan 23 lagi hilang.

Berikutan laporan polis yang dibuat keluarga berkenaan, polis telah mengadakan gerakan mencari di sekitar kawasan villa itu dan kejadian itu menarik perhatian masyarakat seluruh negara serta menjadi tajuk sensasi di media sosial sejak kelmarin.

Polis Sahkan Hanya Seorang Hilang Di Villa Berpuaka, Villa Nabila!

Villa Nabila Berpuaka

Berita sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, semalam apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini, sejak keluar pada Sabtu.

“Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai ‘Villa Nabila’.

“Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di sini, pada kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas gagal menemui remaja berkenaan,” katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, hari ini.

Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum menemuinya sehingga kini.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.

Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni perkarangan pintu masuk villa tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Skudai, pagi ini.

Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.

Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit berada di dalam bangunan itu.

“Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada pukul 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.

“Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain,” katanya.

Sumber: Bernama

Laporan Kanak-Kanak Hilang Di Banglo Berhantu, Villa Nabila Tidak Benar!

Laporan Kanak-Kanak Hilang Di Banglo Berhantu, Villa Nabila Tidak Benar!

Laporan mengenai kehilangan seramai 23 orang kanak-kanak di banglo berhantu, Villa Nabila yang tersebar di media sosial adalah tidak benar.

Villa Nabila Berhantu
Pintu masuk ke Villa Nabila.

Timbalan ketua Polis Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, polis hanya menerima satu laporan mengenai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang hilang sejak Sabtu lalu dan kononnya dilihat memasuki villa tersebut.

"Ia hanya khabar angin. Saya menasihati orang ramai supaya tidak mempercayainya dan berhenti menyebarkan khabar angin itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Khabar angin tersebar di Internet mengenai sekumpulan kanak-kanak bermain di rumah tinggalan itu dilaporkan hilang.

Abdul Samad berkata polis telah menerima satu laporan mengenai kehilangan seorang remaja lelaki.

Baru-baru ini, portal pelancongan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Expedia menyenaraikan Danga Bay sebagai antara lima destinasi berhantu di Malaysia kerana lokasi Villa Nabila.

Banglo itu terletak di atas bukit yang menghadap Selat Johor.

Terdapat beberapa versi bagaimana banglo berusia 40 tahun itu mendapat namanya termasuk kisah pembunuhan keluarga Caucasian kaya yang pernah tinggal di situ.

Versi lain mendedahkan bagaimana pembantu rumah merupakan dalang pembunuhan itu dan membunuh keluarga tersebut termasuk seorang anak perempuan bernama Nabila dan mayatnya ditanam di suatu lokasi dekat kawasan banglo tersebut.

Salah satu cerita yang menarik perhatian adalah ahli keluarga tersebut dibunuh oleh dua lelaki yang diupah oleh saudara mereka kerana sikap tamak.

Sumber: mStar