Monday, February 13, 2017

Hukum Menyambut Hari Kekasih, Valentine's Day

Hukum Menyambut Hari Kekasih, Valentine's Day

Kenapa sambut Hari Valentine hukumnya Haram? Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Valentines Day

Maka, pada 14hb Februari setiap tahun, pasangan-pasangan kekasih ini akan menyambut Hari Valentine dengan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah, lalu lahirlah anak-anak haram selepas itu.

Maka terjadilah perbuatan-perbuatan haram dan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Dan dengan sebab itulah, para ulama menegaskan bahawa haram sambut Hari Valentine bagi umat Islam kerana kerosakan berbanding kebaikan yang ada padanya.

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang disepakati oleh generasi awal umat Islam, hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Anas bin Malik r.a berkata, "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959)

Hadis ini mengingatkan umat Islam agar hanya menyambut sesuatu sambutan yang selaras dengan Islam serta syariatnya.

Sambutan yang tidak berdasarkan syariat, apatah lagi jika ia mendedahkan umat Islam kepada pembaziran, pergaulan bebas, amalan syirik serta khurafat, sememangnya dilarang oleh agama.

Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512)

Sambutan Hari Valentine's Day merangsang ke arah perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran serta membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah SWT memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan.

Firman-Nya, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al-Israa’:32)

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar sebelum ini, kes remaja hamil anak haram luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac.

Sebahagian besar remaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day.

Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.

Oleh itu barat telah mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutan hari kekasih sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka.

Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa.

Firman-Nya, “Iblis berkata, ‘Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan dari sebarang syirik.” (al-Hijr:39-40) -wanwma

1. Keputusan Fatwa Majlis Kebangsaan Hukum Sambut Hari Kekasih

Bersandarkan kepada hujah-hujah yang jelasa, para ulama telah merumuskan bahawa hukum sambutan Hari Valentine's Day adalah HARAM bagi seluruh umat Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan, “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan bahawa, ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Keterangan dan Hujah

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi merai dan menyambut kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol.

Oleh itu, ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’ dan bukannya menggalakkan perkara-perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.

Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari senagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.

2. Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day), Johor

Tarikh Keputusan: 27 Disember, 2005

Huraian Tajuk dan Isu: Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day)

Pengenalan

Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

“Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam.

Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbang kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.

Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran.

Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

Keputusan Fatwa

Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah.

Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut:

“Amalan merayakan hari kekasih (Valentine Day) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut.” -shafiqolbu

3. Hukum Menyambut Hari Kekasih Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang

Oleh: Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada14-15 Mac 2012

Keputusan: Hukum menyambut hari kekasih adalah haram dan dilarang untuk menyambutnya kerana mempunyai kaitan dengan agama lain.

Keterangan dan Hujah

Sejarah Valentine’s Day tidak ada dalam ajaran Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam

Valentine’s asal nama sebenarnya St.Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang yang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol.

Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakan seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitik beratkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah sambutan hari kasih sayang

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana-kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam

Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi unutk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’.

Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang menolong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat. -mufti.pahang

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Asal Usul Sambutan Valentine's Day atau Hari Kekasih

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, January 13, 2014

Asal Usul Sambutan Valentine's Day atau Hari Kekasih

Asal Usul Sambutan Valentine's Day atau Hari Kekasih

Hari Valentine, dalam sebutan bahasa Inggeris, Valentine's Day atau disebut juga sambutan hari kekasih disambut pada tanggal 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih.

Valentines Day

Hari yang dikenali sebagai Valentine's Day atau Hari Memperingati Kekasih ini dianggap sebagai masa untuk menyambut dan mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah berwarna merah, bertukar-tukar hadiah bersama sejambak bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan kekasih Valentine's Day ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang konon tidak ternilai harganya.

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah dan asal-usul sambutan Valentine's Day, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengan sejarah hari kekasih ini.

Pendapat pertama

Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia.

Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak.

Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak secara rawak dan nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala dan pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing.

Kemudian, mereka akan memilih dua orang pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana menganggap amalan itu akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat kedua

Permulaan sambutan Valentine's Day juga dikaitkan dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama

Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta diseksa.

St. Valentine, sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan, St. Valentine walaupun dipenjarakan, tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri.

Perbuatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentine dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya.

Malah, St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, St. Valentine telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut dengan tandatangan, From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka, orang-orang Kristian mengambil tarikh 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua

Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu, Cladius II melarang tenteranya dari berkahwin.

Namun demikian, St.Valentine menentangnya malah beliau telah melakukan upacara perkahwinan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara rahsia.

Aktiviti St. Valentine ini akhirnya diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat ketiga

Valentine's Day dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dan St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu.

Disebabkan sumbangan beliau, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat.

Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Pendapat keempat

Sambutan hari Valentine disambut bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. -utusan

Hari Valentine's era moden

Esther

Di Amerika Syarikat, kad Valentine pertama yang dicetak selepas tahun 1847 oleh Esther A. Howland (1828 - 1904) dari Worcester, Massachusetts.

Ayahnya memiliki sebuah kedai buku dan peralatan pejabat yang besar lalu dia mendapat ilham untuk mencetak kad berdasarkan kad valentine yang diterimanya dari Britain.

Sejak tahun 2001, The Greeting Card Association setiap tahun akan mengeluarkan penghargaan "Esther Howland Award for a Greeting Card Visionary".

Di Amerika Syarikat sahaja, sekitar 190 juta kad ucapan Hari Kasih Sayang dikirim setiap tahun.

Jepun

Di Jepun, Hari Valentine juga disambut secara besar-besarandimana Valentine's Day dianggap sebagai hari di mana wanita memberikan lelaki yang mereka suka dengan hadiah coklat.

Namun, ianya tidak dilakukan secara sukarela melainkan menjadi sebuah kewajipan, terutama bagi mereka yang bekerja di pejabat.

Mereka memberi coklat kepada rakan sekerja lelaki mereka, kadangkala dengan belanja yang besar dan coklat ini disebut sebagai giri-choko, dari kata giri (kewajiban) dan choco (coklat).

Lelaki Jepun pula akan memberikan coklat kepada wanita ketika Hari Kasih Sayang dan wanita akan mengembalikan coklat yang diberikan pada Hari Putih.

Taiwan

Di Taiwan, sebagai tambahan sambutan Hari Valentine dan Hari Putih, masih ada satu hari lain yang mirip dengan kedua hari ini iaitu "Hari Raya Anak Perempuan" (Qi Xi). Hari ini disambut pada hari ke 7, bulan ke 7 menurut kalender Tionghua.

Malaysia

Ulama di Malaysia mengingatkan umat Islam agar tidak menyambut Hari Kasih Sayang kerana terdapat unsur Kristian. Perayaan ini "tidak sesuai" untuk umat Islam.

Pihak berwajib Malaysia biasanya akan menangkap ramai pasangan Muslim pada malam sambutan Hari Kasih Sayang kerana berkhalwat.

Arab Saudi

Di Arab Saudi pada tahun 2002 dan 2008, tokoh agama mengharamkan penjualan segala barang-barang untuk menyambut Hari Valentine kerana disebut sebagai sebahagian dari budaya Kristian.

Larangan ini menyebabkan timbulnya pasaran gelap yang menjual bunga ros dan kad ucapan.

Pakistan

Parti Jamaat-e-Islami mendesak supaya Hari Valentine dilarang di Pakistan. Walau bagaimanapun, perayaan ini semakin popular sehinggakan penjual bunga meraih keuntungan berganda ketika Valentine's Day. -wikipedia

BACA INI JUGA: Sejarah Asal Usul Permainan Dam Ular

-SENTIASAPANAS.COM