Saturday, October 28, 2017

4 Tips Menjadi Penumpang Lima Bintang Uber Dan Grab

4 Tips Menjadi Penumpang Lima Bintang Uber Dan Grab

Walaupun penumpang mempunyai hak menentukan 'rating' kepada pemandu Grab dan Uber, namun mereka perlu sedar implikasi yang timbul apabila kurangnya jumlah kenderaan 'ride-hailing' ini di lokasi mereka.

Uber Grab

Tempoh masa menunggu akan menjadi lebih panjang dan besar kemungkinan tiada langsung kenderaan yang mahu mengambil mereka.

Untuk itu, pemberian rating yang wajar dapat membantu meningkatkan perkhidmatan yang diberikan oleh pemandu.

Sepertimana anda mahukan yang terbaik sepanjang perjalanan ke destinasi, begitu jugalah yang diharapkan pemandu terhadap anda.

Tahukah anda yang pemandu ride-hailing juga boleh menetapkan rating kepada penumpang?

Penarafan penumpang yang terlalu rendah boleh mengakibatkan perjalanan anda jauh lebih sukar dan permintaan anda mungkin ditolak.

Bagi memastikan ‘rating’ anda sebagai penumpang adalah tinggi, berikut tip untuk menjadi penumpang yang 5-star.

1. Bersedia di lokasi ‘pick up’

Kebanyakan penumpang akan memasukkan alamat tepat pada aplikasi Uber atau Grab. Namun begitu, bagi mereka yang berada di bangunan besar, pusat beli-belah dan rumah yang terletak di tengah-tengah blok, adalah amat sukar untuk pemandu mengenal pasti lokasi sebenar anda.

Tip Pro:
  • Turunkan pin lokasi ‘pick up’ anda secara manual pada aplikasi Uber/Grab. Walaupun ia memerlukan sedikit usaha tambahan, langkah ini dapat menjimatkan masa dan mengelakkan kekeliruan apabila pemandu cuba mencari lokasi anda.

2. Beri ‘rating’ berdasarkan perkhidmatan, bukan jenama kereta

Adakah jenama kenderaan pemandu itu penting? Jangan berfikiran cetek dan hanya memikirkan kemegahan.

Terimalah hakikat yang kenderaan itu adalah hak milik pemandu yang digunakannya untuk mencari nafkah, dan bukan kereta anda.

Tip Pro:
  • Janji selesa dan sampai destinasi dengan selamat.
  • Berikan ‘rating’ berdasarkan kualiti perkhidmatan mereka.

3. Pakai tali pinggang keledar

Pemakaian tali pinggang keledar adalah untuk tujuan keselamatan dan penumpang yang didapati tidak memakainya akan dikenakan denda RM300.

Tip Pro:
  • Tiada undang-undang istimewa yang menyatakan penumpang Uber atau Grab tidak perlu memakai tali pinggang keledar. Jadi pakailah tali pinggang keselamatan yang disediakan.
  • Jangan memudaratkan pemandu anda yang mungkin akan dikenakan denda disebabkan oleh perbuatan anda yang tidak bertanggungjawab.

4. Hargai pemandu anda

Anda perlu ingat pemandu anda juga manusia biasa yang punya perasaan, dan sepertimana anda, masa mereka juga berharga.

Tip Pro:
  • Adakah pemandu anda sudah tiba? Jangan buat pemandu anda tunggu terlalu lama.
  • Bersopan-santun. Jangan tinggikan suara dan elak gunakan bahasa kasar.
  • Jangan hempas pintu.
  • Jaga kebersihan kenderaan. Makan, minum dan merokok adalah dilarang sama sekali!
  • Jangan bawa haiwan peliharaan kecuali dibenarkan

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Thursday, March 09, 2017

6 Jenis Pemandu Uber Di Malaysia

6 Jenis Pemandu Uber Di Malaysia

Bagi anda yang pernah menggunakan perkhidmatan Uber, pasti ada pengalaman menarik terutamanya berkaitan dengan pemandu Uber itu sendiri.

Macam-macam ragam yang kita boleh lihat. Kali ini kami senaraikan beberapa karakter pemandu Uber di Malaysia.

1. Profesor

Profesor

Percaya bahawa kewujudan teknologi di muka bumi perlu digunakan secara optimum. Baginya kehidupan dan teknologi tidak boleh dipisahkan. Cara tradisional dianggap ketinggalan zaman.

Tetap mahu menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps walaupun ‘rider’ mengatakan ada jalan pintas yang lebih menjimatkan masa perjalanan.

Teknologi hanya berfungsi sebagai panduan sahaja. Tidak semua perkara di dalam dunia kita tahu. Sudah tentu ‘rider’ lebih arif kerana jalan tersebut dilaluinya saban hari.

Namun, timbul juga masalah apabila ‘rider’ dan pemandu sesat. Pilihan bertanya kepada pihak ketiga mungkin boleh membantu.

Bak kata pepatah, ‘Malu bertanya, sesat jalan.’

2. Yang Berhormat

Yang Berhormat

Boleh berbual dalam apa sahaja topik; agama, politik, sukan, hiburan, kehidupan seharian dan sebagainya.

Mempunyai pengetahuan am yang sangat tinggi disebabkan oleh latarbelakang pendidikan, bahan bacaan dan pergaulan.

‘Rider’ yang sekepala akan menjadikan perjalanan ke destinasi lebih menyeronokkan. Pelbagai cerita boleh dikongsi bersama.

Tetapi dari satu lagi sudut ianya akan menimbulkan ketidakselesaan kepada ‘rider’ yang mahu berehat seketika sebelum kembali ke dunia sebenar yang memberikannya stress.

Ruang di dalam kenderaan itu sahajalah yang dia ada.

Ada juga orang yang tidak mahu berkongsi maklumat peribadinya dengan individu yang tidak dikenali.

Mereka hanya mahu sampai ke destinasi tanpa gangguan.

3. Pustakawan

Pustakawan

Memandu bagi dia adalah satu cara untuk menghilangkan tekanan. Dia hanya mahu mencari rezeki tanpa perlu melakukan tugas tambahan.

Memang sudah sejak kecil dilahirkan sebagai pendiam. Berkata apabila perlu sahaja. Lebih banyak menggunakan ‘bahasa badan’ untuk menyampaikan mesej.

Ucapan terima kasih yang keluar dari mulutnya seperti satu keajaiban.

4. Pelumba Kereta

Pelumba Kereta

Setelah memiliki lesen memandu puluhan tahun mendatangkan satu ilusi bahawa jalanraya ini dia yang punya.

Berkecenderungan untuk memandu laju, memotong sesuka hati, melanggar lampu merah dan kuning menandakan bahawa kelajuan perlu ditingkatkan.

Terdidik dengan ayat ‘masa itu emas.’ Setiap minit bermakna setiap sen sudah hilang.

Potensi untuk mengeluarkan kata-kata kesat, menunjukkan isyarat lucah dan bergaduh dengan pemandu lain amat tinggi ketika tekanan di jalanraya kian memuncak.

Memberi kelebihan kepada ‘rider’ yang mahu segera atau kelewatan ke satu-satu lokasi.

‘Rider’ yang punya sejarah sakit jantung dan darah tinggi disaran agar tidak memilih pemandu sebegini.

Melainkan telah diberi kebenaran oleh doktor dan ubatan telah dibawa bersama.

5. DJ Radio

DJ Radio

Memutar saluran radio dan memainkan CD lagu mengikut citarasa sendiri seolah-olah berada di konti radio.

Ada ‘rider’ yang tidak mahu bunyi bising mengiringi perjalanannya. Merasakan hanya dia sahaja yang berada di dalam kereta tersebut.

6. Doktor Cinta

Doktor cinta

Melayan ‘rider’ wanita bagaikan permaisuri kerana merasakan wanita perlu diberikan layanan kelas pertama. Setiap wanita perlu dibela. Hak wanita perlu ditegakkan. Bersama-sama berkongsi peranan rumahtangga.

Bagi pemandu yang berstatus bujang, setiap ‘rider’ wanita berpotensi untuk menjadi pasangan hidupnya.

Mengikut logik akal manusia, kebarangkalian untuk mendapat jodoh rendah dengan cara begini. Hampir mustahil.

Tetapi siapa tahu takdir Tuhan. Perbualan yang singkat mungkin boleh membawa ke jinjang pelamin.

Sekian.

BACA INI JUGA: Rahsia Jana Wang Dengan UBER Tanpa Perlu Menjadi Pemandu!

Sumber: thevocket

Monday, October 24, 2016

Rebat RM4,000 Proton Iriz Untuk Pemandu Uber

Rebat RM4,000 Proton Iriz Untuk Pemandu Uber

PROTON dalam satu kenyataan menghargai inisiatif kerajaan dan mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat perkhidmatan Ride-Sharing Aplikasi Uber dan GrabCar.

Rebat Proton Iriz

Menurut Proton, pihaknya teruja untuk menjadi sebahagian daripada industri perkongsian perjalanan kerana langkah itu dilihat sebagai visi untuk memacu Malaysia ke hadapan melalui inovasi teknologi dan mewujudkan peluang ekonomi bagi ramai rakyat di negara ini.

Kenyataan Proton itu adalah hasil maklum balas susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada Bajet 2017 yang menggalakkan rakyat Malaysia menjana pendapatan tambahan dengan menjadi pemandu Uber atau GrabCar.

Dalam pembentangan itu, Najib Razak mengatakan bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, kerajaan mengumumkan kebolehan membuat pembayaran pendahuluan untuk kenderaan melalui BR1M, dan rebat sehingga RM4,000 untuk pembelian Proton Iriz.

Rebat Proton Iriz

Individu yang layak menerima BR1M boleh menggunakannya sebagai wang pendahuluan bersama rebat tambahan sebanyak RM4,000 untuk menjana pendapatan tambahan dengan menjadi pemandu Uber atau GrabCar.

Tambah Najib, mereka terutamanya yang berpendapatan rendah mampu meraih sehingga RM1,500 sebulan bagi pemandu Uber dan GrabCar yang bekerja di antara 10 hingga 40 jam seminggu.

Manakala mereka yang memandu lebih 40 jam mampu menjana pendapatan sehingga RM4,300 dan ke atas sebulan.

BACA INI JUGA: Aplikasi Waze Bakal Saingi Uber, Kos Dan Tambang Lebih Murah!

Sumber: Mynewshub

Wednesday, October 19, 2016

Uber Malaysia Perkenal Tambang Tetap Untuk UberX

Uber Malaysia Perkenal Tambang Tetap Untuk UberX

Uber bakal memperkenalkan tambang tetap untuk perjalanan, sebelum pengguna mula mendapatkan servis UberX.

Uber-Malaysia

Hanya masukkan lokasi diambil dan destinasi, pengguna akan dapat melihat terus tambang UberX yang akan dikenakan secara tepat.

Perkara ini sama seperti yang digunakan Grab, sejak pertama kali ia diperkenalkan. Grab mempamerkan tambang tetap perjalanan kepada pengguna, sebelum pengguna mendapatkan servis Grab.

Paparan tambang tetap di UberX ini masih lagi menggunakan kiraan jarak, masa dan keadaan trafik semasa perjalanan. Ia juga mengambil kira permintaan dan kesediaan pemandu UberX di kawasan sekitar.

Uber-Malaysia

Bermakna, walaupun anda meletakkan lokasi diambil dan destinasi yang sama, ia mungkin akan memaparkan tambang berbeza pada masa yang berlainan.

Pengguna tidak akan lagi melihat logo kilat ‘Surge’ jika terdapat permintaaan tinggi di sesuatu kawasan, sebaliknya ia akan diterus dibuat dalam pengiraan dan dipamerkan sebagai tambang akhir kepada pengguna.

Cara begini dilihat lebih memudahkan pengguna untuk memilih servis mana yang sesuai untuk mereka, selain menyediakan bajet lebih awal dengan tepat sebelum menaiki UberX.

Uber-Malaysia

Tambah Uber Malaysia lagi, fungsi ini akan dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna di Malaysia dalam beberapa minggu.

Ia akan menggantikan sistem tambang anggaran yang digunakan UberX selama ini. -Theskop

Uber Sedia Lancar Trak Pandu Sendiri Seawal 2017

Otto

Sementara itu, Uber yang baru-baru ini telah membeli sebuah syarikat trak iaitu Otto dengan harga $680 juta tidak menunggu lama untuk mengumumkan kerjasama mereka untuk menyediakan servis trak pandu sendiri seawal 2017 ini. Futuristik betul.

Lior Ron selaku Otto co-founder menjanjikan servis yang pantas dengan kerjasama bersama Uber.

Menurutnya lagi, pengguna cuma perlu membuat pesanan melalui aplikasi dan trak dijangka tiba kurang daripada 30 minit ke kediaman anda.

Otto trak ini akan digunakan sebagai sebahagian daripada servis Uber namun bakal membawa barang-barangan pelanggan.

Lebih menarik, menggunakan teknologi pandu sendiri berdasarkan tracking daripada GPS.

Agak menarik untuk melihat servis seperti ini digunakan secara komersial.

Kemungkinan kebergantungan kepada tenaga kerja dapat dikurangkan sekaligus dapat mengurangkan kos operasi.

Untuk pasaran Malaysia, mungkin kita terpaksa menunggu sedikit lama untuk teknologi seperti ini.

Teknologi ini masih di dalam fasa pengujian dan bakal digunakan sekitar US. -Thevocket

BACA INI JUGA: Rahsia Jana Wang Dengan UBER Tanpa Perlu Menjadi Pemandu!