Wednesday, December 25, 2019

Tragedi Hari Natal, Kenapa Charlie Bunuh Mereka?

Tragedi Hari Natal, Kenapa Charlie Bunuh Mereka?

Charlie Lawson sudah berkahwin dengan Fannie Manring selama 18 tahun, dikurniakan lapan orang anak, empat lelaki dan empat perempuan namun, anak ketiga mereka meninggal dunia semasa kecil. Pasangan keluarga golongan petani ini hidup bahagia membesarkan anak-anak mereka.

Charlie Lawson 1927

Pada tahun 1927, Charlie membeli sebuah ladang berdekatan Germanton di utara Carolina, Amerika Syarikat, dan membawa keluarganya tinggal di situ. Tetapi, tidak lama untuk mereka menikmati hidup di atas tanah sendiri.

Tanggal 24 Disember 1929, sehari sebelum perayaan hari Natal, Charlie membawa isteri dan anak-anaknya ke pekan untuk membeli pakaian baru.

Keesokan paginya, mereka mengambil gambar keluarga dengan memakai pakaian baru yang dibeli.

Jika dilihat pada gambar keluarga hitam putih di atas, berdiri dari kiri ialah anak lelaki sulung, James Arthur, 16, Marie, 7, Charlie dan disebelahnya adalah Fannie yang mendukung anak bongsu mereka, Mary Lou, berusia empat bulan. Duduk dihadapan dari kiri ialah James, 4, Maybell, 7, Raymond, 2 dan Carrie, 12.

Gambar terakhir

Rupa-rupanya, itulah potret terakhir keluarga tersebut. Hanya beberapa jam setelah mereka bergambar sekeluarga, tamatlah riwayat kesemua ahli keluarga itu kecuali anak lelaki sulung bernama Arthur.

Selepas bergambar sekeluarga, Arthur yang berusia 16 tahun disuruh oleh Charlie ke pekan untuk membeli peluru senapang patah. Tidak diketahui apa motif Charlie menyuruh anaknya berbuat demikian.

Sebaik kembali ke rumah, Arthur begitu terkejut apabila disajikan pemandangan mayat ibu, kakak dan adik-adiknya bergelimpangan berlumuran darah.

Ada diantara mayat ditembak dan dipukul dengan objek keras. Sebahagian mayat berada di dalam rumah dan ada juga yang berdekatan bangsal tembakau.

Ketika itu jiran-jiran sudah mula datang menyiasat apabila mendengar beberapa bunyi das tembakan dari rumah Charlie.

Sewaktu orang ramai sudah mula berkerumun di rumah ladang tersebut dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan dari arah hutan.

Siapa yang menembak?

Bunyi tembakan itu datangnya daripada Charlie yang membunuh diri. Hasil siasatan mendapati, Charlie telah membunuh isteri dan anak-anaknya sebelum melarikan diri ke dalam hutan sebelum meragut nyawanya sendiri.

Siapa yang dibunuh terlebih dahulu oleh Charlie tidak diketahui tetapi menurut siasatan pakar forensik, jalan ceritanya begini.

Kronologi

Pada petang hari Krismas itu, dua anak Charlie iaitu Carrie, 12, dan Maybell, 7, ingin pergi ke rumah ibu saudara mereka. Kedua-duanya keluar berjalan kaki.

Malangnya, Charlie sudah menunggu berdekatan bangsal. Semasa dua anaknya lalu di situ, Charlie melepaskan tembakan.

Selepas rebah tidak bernyawa, Charlie memukul kedua-dua anaknya itu bagi memastikan kedua-duanya sudah tidak bernyawa.

Charlie kemudian menyembunyikan mayat dua anaknya itu berdekatan bangsal tembakau.

Kemudian, Charlie berjalan pulang membawa senapang patahnya sebelum menembak isterinya, Fannie, sehingga mati.

Seterusnya, Charlie masuk ke dalam rumah lalu membunuh empat anaknya yang lain, satu persatu.

Dia menembak anak gadisnya, Marie, 17. Turut menerima nasib sama ialah James dan Raymond yang berusia empat dan dua tahun.

Yang paling menyedihkan, Charlie memukul anak bongsunya, Mary Lou, yang baru berusia empat bulan sehingga mati. Kejam!

Selesai membunuh semuanya, Charlie melarikan diri ke dalam hutan sebelum membunuh diri.

Teori punca pembunuhan

Mengapa? Semua orang terkejut dengan tindakan Charlie mengakhiri hidupnya sekeluarga dengan cara yang paling sadis. Adakah kerana masalah kewangan? Mungkin tidak.

Walaupun Charlie bukan keluarga kaya, namun dia bukannya dihimpit kemiskinan, tidak juga dilanda masalah hutang.

Hendak kata kerana kepercayaan ekstrem agama pun tidak juga kerana Charlie bukan seorang yang terlalu alim.

Charlie juga tidak pernah menunjukkan sebarang perangai yang aneh atau menganuti sebarang kepercayaan pelik. Malah, Charlie merupakan seorang jiran yang disenangi penduduk.

Ada juga teori mengatakan mungkin otak Charlie 'rosak' kesan kecederaan kepala semasa bekerja di ladang beberapa bulan sebelum itu, namun pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman pada otak yang menyokong teori itu.

Muncul juga teori mengatakan Charlie mungkin terlibat dalam organisasi jenayah dan tidak mahu keluarganya menjadi buruan, tetapi juga tiada bukti kukuh menyokong teori ini.

Skandal

Kemudian, muncul satu teori yang lebih dipercayai. Kononnya Charlie telah melakukan hubungan haram dengan anak gadisnya sendiri, Marie, sehingga hamil.

Bagi menutup skandal terlarang ini daripada terbongkar, Charlie mengambil jalan mudah dengan membunuh semua keluarganya.

Fannie dilaporkan pernah menceritakan bahawa dia mengesyaki suaminya ada hubungan terlarang dengan anak gadisnya. Pengakuan itu dibuat beberapa bulan sebelum tragedi hitam itu berlaku.

Malah, salah seorang rakan baik Marie, Elly May juga mendedahkan, seminggu sebelum Charlie membunuh keluarganya, Marie mengaku sedang mengandung hasil benih ayahnya sendiri.

Mungkin Charlie membunuh semua ahli keluarganya kerana mahu menutup malu berhubung skandal itu.

Yang menjadi tanda tanya, mengapa Charlie membiarkan Arthur seorang sahaja yang terselamat? Adakah kerana dia tidak mahu keturunannya lenyap begitu saja?

Arthur, satu-satunya anak yang masih hidup dan terselamat dari tragedi 1929, akhirnya mati pada tahun 1945 dalam satu kemalangan.

Arthur berusia 31 tahun ketika itu, sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Mayatnya dikebumikan berdekatan anggota keluarganya yang terkorban dalam peristiwa berdarah angkara ayahnya sendiri.

Misteri pembunuhan

Jika ada kajian saintifik terhadap mayat Marie yang boleh mengesahkan dia hamil dan janin itu ada kaitan DNA dengan Charlie, teori pembunuhan ini mungkin boleh dirungkai.

Jika tidak, nampaknya hanya Charlie yang tahu kenapa dia bertindak kejam sebegitu rupa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, October 10, 2019

Tragedi Pos Dipang

Tragedi Pos Dipang

Tragedi Pos Dipang adalah bencana banjir lumpur yang berlaku pada 29 Ogos 1996, berlaku pada lewat petang lebih kurang jam 6 petang di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang yang terletak di sebuah kawasan pedalaman dalam daerah Kampar, Perak.

Tragedi Pos Dipang

Kejadian ini berlaku dua hari sebelum menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara Malaysia kali ke-39.

Tragedi Pos Dipang sudah lama berlalu, namun bagi mereka yang terlibat secara langsung, detik-detik penuh debaran sewaktu menghadapi banjir lumpur itu masih segar dalam ingatan.

Banjir lumpur yang berlaku telah meragut sebanyak 44 nyawa dan daripada jumlah itu, hanya 39 mayat yang berjaya ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Perkampungan Orang Asli Pos Dipang mempunyai kira-kira 60 rumah yang dibina dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan mempunyai kira-kira 1,500 orang penduduk.

Penempatan itu dibuka pada 1978 apabila dusun buah-buahan yang mereka usahakan di situ mengeluarkan hasil.

Sebelumnya, penduduk kampung tersebut tinggal di Batu 19 Jalan Cameron Highlands yang berada tidak jauh dari situ.

Pada hari kejadian, hujan turun terlalu lebat sejak kira-kira jam 12 tengahari sehingga ke petang dan walaupun setelah 6 jam berlalu, hujan masih juga tidak berhenti.

Tiba-tiba kedengaran satu dentuman kuat yang berselang-seli dengan derauan hujan dari arah bukit di belakang kampung berkenaan.

Penduduk kampung yang terkejut, tertanya-tanya apakah bunyi aneh itu. Beberapa minit kemudian mereka sekali lagi mendengar satu bunyi pelik.

Belum sempat mereka memikirkan apa-apa, dinding rumah mereka terus pecah dan air bercampur lumpuh menerjah ke dalam.

Rempuhan arus yang deras menyebabkan ada penduduk tercampak keluar dari rumah masing-masing manakala beberapa rumah yang terletak di tebing Sungai Dipang terus runtuh dan dihanyutkan.

Sebaik menyedari banjir lumpur mula membaham perkampungan Orang Asli itu, penduduk mula panik, jeritan mula kedengaran di mana-mana dan ada antara mereka mula meluru keluar daripada kediaman untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, dengan pantas juga arus deras menyambar. Ramai penduduk dibawa bergulungan sambil timbul tenggelam bersama arus, beberapa kali badan mereka terhentak dan tercucuk dahan kayu.

Keadaan berlaku tanpa diduga. Sebelum itu, tiada sesiapa menyangka bahawa sungai yang mengalir tenang, boleh bertukar menjadi teramat ganas.

Hentaman balak yang hanyut dan rempuhan banjir menyebabkan 30 buah rumah musnah, manakala 20 lagi rosak dan puluhan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Asli hilang dalam tragedi itu.

Selain masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan sepanjang Sungai Dipang, turut menjadi mangsa ialah sebuah keluarga berketurunan Tionghua yang tinggal di kampung berdekatan.

Apabila menyedari tragedi buruk berlaku di kawasan berkenaan, pasukan penyelamat segera bergegas ke lokasi kejadian walaupun petang mula beranjak ke malam dan suasana sekitar mula menjadi gelap yang menyebabkan pandangan dihijab kelam.

Secara amnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 400 anggota penyelamat membabitkan polis daerah Kinta, pasukan bomba pusat, pasukan 2 Briged Rejimen Renjer Diraja Ipoh, Pasukan 69 Komando Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Batalion Ketiga PPH Bidor, kakitangan Pejabat Daerah Kampar dan Pasukan Pertahanan Awam dari Ipoh serta pihak-pihak lain memulakan gerakan mencari mangsa banjir lumpur.

Kira-kira jam 1.30 pagi, mayat pertama iaitu seorang wanita Orang Asli berusia dalam lingkungan 30 tahun ditemui.

Operasi mencari terus dijalankan walaupun pasukan penyelamat menyedari operasi mencari bukanlah sesuatu yang mudah dijalankan lebih-lebih lagi apabila arus masih mengalir deras dan cuaca yang amat gelap berikutan terputusnya bekalan elektrik.

Mereka tetap menjalankan tugas mencari dan menyelamat dengan sedaya-upaya sementara menunggu malam bertukar siang bagi meneruskan kerja mencari mangsa.

Sebaik sahaja fajar menyinsing pada keesokan paginya, maka terpampanglah pemandangan yang begitu menggerunkan.

Selepas 24 jam berlalu, hujan lebat telah menukarkan landskap Perkampungan Orang Asli Pos Dipang menjadi sebuah kawasan bencana.

Dalam kesukaran, pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari. Mereka terpaksa menggali timbunan tanah yang bercampur lumpur setebal kira-kira 1.5 meter dan mengalihkan pokok yang tumbang untuk mencari kemungkinan mayat mangsa berada di bawahnya.

Keadaan tempat kejadian yang berselerak dipenuhi kesan runtuhan rumah dan pokok tumbang menyebabkan kerja mencari lebih sukar dilakukan sementelah pihak penyelamat hanya menggunakan tenaga manusia untuk mencari mayat mangsa.

Jambatan di Sungai Dipang yang menghubungkan kampung itu dengan Kampar pula roboh dilanda arus menyebabkan bantuan sukar disampaikan.

Keadaan ini membuatkan pasukan bantuan terpaksa melalui jalan jauh iaitu Chenderiang dari Tapah.

Sehingga berakhirnya hari kedua kejadian iaitu pada 30 Ogos 1996, tragedi banjir lumpur itu telah mencatatkan penemuan sebanyak 15 mayat mangsa manakala 27 lagi dipercayai masih hilang dihanyut banjir lumpur.

Operasi mencari yang dijalankan kemudiannya terus mencatatkan penambahan jumlah mangsa yang maut.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir lumpur ini terdiri daripada bayi berusia seawal tujuh bulan sehingga ke penduduk warga emas berusia 70 tahun.

Mengikut laporan, terdapat satu daripada mayat mangsa tragedi banjir lumpur itu ynag hanyut sehingga ke Sungai Kinta, Malim Nawar, kira-kira 48 kilometer dari tempat kejadian.

Selepas 13 hari berlalu iaitu pada 11 September 1996, operasi mencari mangsa dihentikan dengan jumlah angka korban tragedi banjir lumpur Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, dicatatkan kepada 39 orang, manakala lima lagi masih hilang dan gagal ditemui.

Di sebalik kejadian luar jangkaan itu, ia telah membuka mata banyak pihak. Kerakusan manusia terhadap khazanah alam pasti akan membawa padah kepada sesiapa sahaja.

Tragedi Pos Dipang yang mencatatkan korban terbesar akibat banjir lumpur itu dilaporkan berkait rapat dengan aktiviti pembalakan yang berleluasa oleh pihak-pihak tertentu di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, dalam masyarakat Orang Asli, mereka percaya bahawa bencana buruk yang memusnahkan penempatan mereka dalam sekelip mata adalah isyarat kemurkaan Tuhan.

Mengikut kepercayaan orang asli, Dewa Dipang yang tinggal di atas pergunungan di kawasan itu telah mengamuk akibat dari kegiatan pembalakkan yang dilakukan secara berleluasa dan telah menganggu kediaman dewa itu.

Ini telah mengakibatkan Dewa Dipang marah dan terjadinya banjir lumpur yang dasyat dan mengorbankan nyawa ini.

Apa pun, tragedi Pos Dipang telah menuntut pelbagai agensi untuk bekerja keras melaksanakan tugas masing-masing.

Sejak cerita kejadian banjir lumpur yang dahsyat itu tersebar, pelbagai pihak mula membuka mata dan memberi tumpuan terhadap isu penempatan Orang Asli di negara ini.

Antara yang tidak dapat dipisahkan dengan masalah Orang Asli ialah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau kini lebih dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Selepas tragedi itu juga, hampir semua kerajaan negeri yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk mengenal pasti penempatan masyarakat itu yang terdedah kepada bahaya terutamanya banjir lumpur.

Berikutan bencana yang memusnahkan hampir keseluruhan Perkampungan Orang Asli Pos Dipang itu, sebuah penempatan baru dibina untuk mereka tidak jauh daripada penginapan asal.

Penempatan baru Orang Asli Pos Dipang itu juga menjadi penempatan contoh berikutan kajian kerajaan negeri mendapati penempatan itu sesuai dan selamat diduduki.

Penempatan baru seluas 1.5 hektar itu menempatkan 53 rumah dengan kos pembinaan setiap satu sebanyak RM7,000.

Banjir lumpur Pos Dipang ini mengorbankan 44 mangsa dan lima yang lain hilang gagal ditemui.

Semua mangsa, kecuali enam orang dari keluarga Cina yang tinggal di Bah Hon Hin kira-kira enam kilometer dari Perkampungan Orang Asli Pos Dipang merupakan penduduk Orang Asli.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: orangperak

Sunday, May 05, 2019

Tragedi Kematian Omayra Sanchez, Gambar Menyedihkan Yang Memenangi Anugerah Foto Terbaik

Tragedi Kematian Omayra Sanchez, Gambar Menyedihkan Yang Memenangi Anugerah Foto Terbaik

Pada tahun 13 November 1985, Gunung Berapi Nevado del Ruiz meletup mengakibatkan letusan lahar gunung berapi yang mengalir merentasi pekan Armero, Colombia, yang kali terakhir meletus secara kecil-kecilan pada tahun 1845, membuatkan tidak ada sebarang amaran dapat dikeluarkan kepada penduduk sekitar kawasan Armero.

Tragedi-omayra-sanchez
Omayra Sanchez.

Jika ada amaran pun, mesej itu sampai lambat kerana tidak ada jalinan hubungan yang wujud, kerana ketika hari kejadian bekalan elektrik telah terputus terlebih dahulu akibat hujan lebat.

Sehari sebelum berlakunya letusan besar itu, sudah terdapat tanda-tanda awal tragedi akan berlaku apabila asap hitam mula keluar dari kawasan gunung. Penduduk hanya diberitahu supaya tidak bimbang.

Amaran pengkaji bumi yang sudah mengesan berlaku pergerakan sejak September tidak diendahkan oleh kerajaan Colombia. Tepat pada jam 9:09 malam, Gunung berapi Nevado del Ruiz meletus menyebabkan kematian lebih 22 ribu penduduk di situ.

Omayra yang pada ketika itu berada di rumahnya bersama keluarga yang semakin bimbang akibat batu-batu arang yang semakin kerap menimpa atap rumah mereka.

Mereka dapat mendengar dari jauh bunyi yang semakin menghampiri dan dalam sekelip mata, tiba-tiba sahaja segalanya musnah dibawa arus lahar yang panas.

Ayah dan makciknya meninggal di tempat kejadi sementara Omayra terselamat tetapi badannya tersekat di siling rumah mereka. Ibunya pula bernasib baik pada waktu itu bekerja di luar kawasan.

Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan itu bagi menyelamatkan mangsa, kerana lahar itu dipenuhi lumpur yang membuatkan suasana pesrsekitaran menjadi amat sukar untuk dinavigasi tanpa tersekat.

Bagaimanapun, Omayra berjaya ditemui tetapi pasukan penyelamat tidak berjaya mengeluarkan dia dari celahan batu dan konkrit yang menyepit beliau.

Penyelam yang memeriksa mendapati hanya dengan memotong kaki beliau yang pada ketika itu dalam keadaan melutut, Omayra dapat dibebaskan tetapi, dengan situasi yang kurang sesuai, besar kemungkinan Omayra akan mati jika kakinya dipotong kerana jangkitan kuman.

Cubaan untuk menarik Omayra keluar juga tidak berjaya kerana setiap kali ditarik, air berlumpur akan kembali bertakung pantas yang mampu membuatkan beliau lemas.

Tidak pula dipastikan sama ada Omayra tahu atau tidak, dia sedang memijak makciknya sendiri yang tenggelam dalam lumpur di bawahnya.

Pihak perubatan mengambil keputusan, jalan terbaik adalah dengan membiarkan saja Omayra di situ serta berharap agar bantuan peralatan datang untuk menyelamatkan beliau.

Omayra pun terus hidup di dalam lumpur dengan hanya kepala dan tangannya kelihatan. Sepanjang dia masih hidup, Omayra kekal positif, menyanyi, makan serta mahu ditemubual oleh wartawan, bagaimanapun, ada kalanya beliau jadi takut, kemudian menangis dan meminta pertolongan Tuhan.

Sifat Omayra mula berubah pada hari ketiga sehingga mengalami halusinasi, meracau-racau hendak ke sekolah kerana mahu mengambil peperiksaan matematik.

Wajah Omayra pada ketika itu bertukar. Matanya menjadi merah, kulitnya membengkak dan tangannya bertukar keputihan.

Pada jam 10:05 pagi, selepas hampir 60 jam Omayra meneruskan hidup menunggu penyelamat datang, beliau meninggal dunia pada 16 November 1985 kerana penyakit gangrene dan hypothermia, akibat terlalu lama berada di dalam air.

Banyak pihak meletakkan beban kesalahan pada kerajaan Colombia yang gagal menyediakan fasiliti amaran dan keselamatan yang lengkap. Kemudahan asas seperti alat bantuan penyelamat juga tidak diperolehi, menyukarkan sebarang kerja menyelamat apatah lagi dalam situasi di kelilingi lumpur.

Kerajaan Colombia pula mengakui kelemahan mereka pada ketika itu diburukkan lagi ketika itu kerajaan mereka terpaksa menghadapi serangan pemberontak kerajaan, yang membuatkan wakil kerajaan terpaksa memfokuskan kepada perihal keselamatan negara.

Frank Fournier, seorang jurugambar Perancic sempat menemui Omayra sehari sebelum dia meninggal dan merakamkan detik-detik akhir Omayra Sanchez yang diterbitkan 6 bulan kemudian dalam satu siri gambar yang diberikan tajuk "The Agony of Omayra Sanchez." Gambar itu memenangi anugerah World Press Photo of The Year bagi tahun 1986.

Tragedi-omayra-sanchez-yang-menyedihkan

Tragedi itu telah membunuh hampir 75% penduduk (22 ribu) daerah Armero dan penduduk pekan Armero yang masih hidup, memulakan semula kehidupan mereka ke sebuah lokasi lain di bahagian utara beberapa kilometer dari Armero yang dinamakan sebagai Armero Guayabal.

Bandar Armero ditinggalkan dengan sesetengah lokasi masih lagi diselimuti lumpur. Gunung berapi Nevado del Ruiz dikhabarkan masih aktif dan jika pemanasan global terus berlaku, dianggarkan tragedi serupa mampu berulang sekali lagi.

Omayra Sanchez kini menjadi simbol masyarakat Colombia, sebagai peringatan kepada kecuaian kerajaan Colombia dalam menangani krisis yang sebenarnya mampu dielakkan.

Begitulah kisah tragedi kematian manusia terbesar melibatkan insiden lahar gunung berapi yang berlaku satu masa dulu pada tahun 1985.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, April 13, 2019

Rahsia Kezaliman China 'Mencuri' Organ Uyghur Yang Mengejutkan Dunia

Rahsia Kezaliman China 'Mencuri' Organ Uyghur Yang Mengejutkan Dunia

"Saya dipanggil oleh ketua pakar bedah untuk pergi ke sebuah bilik berhampiran kawasan pelaksanaan hukum di Urumqi (China) untuk mengeluarkan hati dan 2 buah pinggang dari seorang banduan yang dibunuh. Banduan itu tidak mati kerana mereka (pasukan eksekusi China) menembaknya melalui dada kanan (dengan sengaja) untuk membuatkannya tidak sedar (tanpa membunuh). Ini supaya saya mempunyai masa untuk mengeluarkan organ-organnya," kata Enver Tohti, seorang pakar bedah onkologi Uyghur.

China curi organ

Lebih dahsyat, pembedahan itu diarahkan oleh ketua pakar bedah tanpa memberikan suntikan bius kepada banduan tersebut. Enver melihat jantung banduan tersebut masih berdegup ketika dia mengeluarkan hati dan buah pinggang lelaki malang itu.

Pelaksanaan hukuman mati yang dijalankan secara sengaja untuk tidak membunuh banduan Uyghur ini berlaku pada tahun 1995 dan menjadi penglibatan secara paksa yang pertama oleh Enver dalam program penuaian organ China.

Enver menceritakan kisah ini kepada akhbar United Kingdom pada tahun 2013, bahawa dia tidak menyedari terlibat dalam beberapa tahun.

Amalan ini telah menjadi begitu meluas dan begitu sistematik di wilayah yang mana penduduknya adalah majoriti Uyghur Islam.

Tiga tahun kemudian, Enver melarikan diri dari China selepas mendedahkan bagaimana sebuah kemudahan ujian senjata nuklear di Xinjiang menyebabkan kenaikan kadar kanser dalam kalangan Uyghur.

Organ dijual kepada hartawan Arab Saudi

Pada tahun 1998, dia membantu sebuah syarikat pengeluaran media British menghasilkan dokumentari mengenai radiasi nuklear di wilayah itu yang bertajuk "Death of Silk Road' (Kematian Jalan Sutera).

Pada Mac 2019, Enver Tohti memberitahu Radio Free Asia bahawa dia percaya para pelanggan utama organ Uyghur Muslim adalah penerima pemindahan organ dari Arab Saudi yang kaya.

Lebih mengejutkan, China secara tidak langsung memasarkan bahagian badan yang dikeluarkan secara paksa ini sebagai "Organ halal", walaupun sebenarnya tidak ada perkara sebegini dalam Islam.

Apabila didesak mengenai dakwaan ini, Enver mengakui tidak mempunyai bukti secara langsung, hanya mendengar cerita yang tidak disahkan tentang China menjual atau memasarkan organ "halal" kepada penerima organ Saudi yang kaya.

Dia menegaskan bahawa ia adalah sesuatu yang "sebaiknya tidak dibincangkan sehingga ia disahkan".

Namun, apabila ditanya mengapa tidak teguh dengan pendirian yang dinyatakan, Enver mengalihkan cerita dengan menyatakan rasa bimbang terhadap keselamatan ibunya, yang masih berada di Xinjiang, China.

Aktivis Uyghur, Arslan Hidayat, yang merupakan menantu kepada pelawak terkenal Adil Mijit yang hilang tanpa dikesan, memberitahu bagaimana China mengugut ahli keluarganya yang tinggal di luar negara terutamanya mereka yang bercakap secara terbuka tentang jenayah di Xinjiang itu.

Menurut Enver Tohti, permintaan terhadap organ Uyghur adalah melebihi bekalan.

Jenayah terancang oleh Parti Komunis China

Ini sekali gus menerangkan mengapa pihak berkuasa Parti Komunis China di Xinjiang melaksanakan pungutan sampel darah wajib dari umat Islam Uyghur melalui Pemeriksaan Perubatan Kesihatan Nasional, dengan matlamat mewujudkan "pangkalan data pemadanan organ hidup."

Dr Faisal Shaheen, pengarah Pusat Transplantasi Organ Arab, memberitahu bahawa seramai 410 orang Arab Saudi telah membeli organ dalam tempoh 2 tahun dari tahun 2012 hingga 2014 melalui pasaran gelap di China, Mesir dan Pakistan

Beliau juga menambah bahawa seramai 7,000 orang pesakit di Arab Saudi memerlukan pemindahan buah pinggang.

Jawatankuasa Kesihatan Awam Parlimen Eropah dan Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia berkata buah pinggang yang diambil secara haram boleh dijual dengan harga mencecah RM675,000 setiap satu.

Sehubungan ini, penggubal undang-undang United Kingdom memberi amaran kepada rakyat yang terdesak untuk menjalani operasi pemindahan yang mereka mungkin tidak mengetahui terlibat dalam "memainkan peranan dalam mengukuhkan kekejaman terhadap penghuni dalam rangkaian kerajaan Komunis di kem penjara dan tahanan."

Dengan lebih daripada 2 juta umat Islam Uyghur yang ditahan dalam rangkaian kem-kem tahanan dan penjara di seluruh Xinjiang dan China, amalan kejam China menuai organ-organ hidup orang Islam ini adalah tidak dapat dibayangkan.

Malah, ia menjadi jumlah tahanan minoriti agama terbesar sejak pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi pada pertengahan abad ke-20.

Pada tahun 2016, Parlimen United Kingdom mendengar satu pembentangan bertajuk "Bloody Harvest/Slaughter," nama yang diambil dari dua buku oleh penulis Ethan Gutmann; dan David Kilgour dan David Matas.

Pelbagai bukti didedahkan

Ia memberikan bukti yang boleh dipercayai di mana China telah menubuhkan "rantaian industri yang lengkap" untuk menuai organ-organ tawanan politik.

Ini melihatkan bagaimana golongan minoriti telah disasarkan secara khusus, termasuk orang Uighur Muslim, Tibet, House Christian dan pengamal Falun Gong.

Malah, laporan ini menyebut nama Enver Tohti, pakar bedah Uyghur yang disebutkan di atas, menganggapnya sebagai "kes penuaian organ hidup yang pertama diketahui".

Ini sekali gus menyokong pengakuan Enver bahawa dia telah mengeluarkan buah pinggang dan hati dari seorang tahanan yang telah ditembak di dada.

Para penulis terbabit juga membuat pemerhatian tentang bagaimana saksi perubatan lain yang digambarkan dipaksa untuk mengendalikan ujian darah tahanan politik Uyghur bagi pihak beberapa pegawai Parti Komunis China berpangkat tinggi, yang memerlukan organ-organ sepadan.

Dan oleh kerana pegawai-pegawai ini telah mengembara ke Urumqi khususnya untuk pembedahan organ, ini dapat dilihat sebagai salah satu kes "pelancongan organ" yang pertama walaupun ia berlaku dalam sempadan China.

Mereka juga menggariskan bahawa Parti Komunis China secara jelas terlibat dalam penuaian organ paksa para tahanan politik dan agama sejak awal lagi.

Bukti terhadap jenayah kejam oleh China ini bukan hanya sekadar bukti, tetapi juga "bidang pengetahuan" dengan haknya sendiri, dengan beberapa buku yang diterbitkan mengenai isu itu, termasuklah State Organs: Transplant Abuse in China (2012); The Slaughter: Mass Killings Organ Harvesting, and China’s Secret Solution to Its Dissident Problem (2014); Bloody Harvest (2009), The Slaughter (2014); Bloody Harvest (2009), The Slaughter (2014).

Bersama-sama dengan ini, puluhan artikel telah diterbitkan dalam jurnal yang bertauliah dan juga beberapa dokumentari dihasilkan.

Malah, sebuah NGO diwujudkan yang berdedikasi untuk menamatkan amalan penuaian organ-organ dari tahanan politik oleh China, iaitu -  Doctors Against Forced Organ Harvesting (DAFOH) ("Doktor Menentang Penuaian Organ Paksa").

Seperti yang didakwa, China mengeluarkan organ-organ hidup dari orang Islam Uyghur yang ditembak dan memasarkannya sebagai "halal", lalu mengedarkannya melalui rangkaian kepada pelanggan Arab yang kaya.

Kita tahu bahawa China telah mengambil data biometrik dari 2 juta orang Uyghur yang ditahan di kem tahanannya, bersama-sama dengan berjuta-juta orang lain di Xinjiang.

Kita juga tahu bahawa sebanyak 100,000 pemindahan organ dijalankan setiap tahun di China, menurut penulis Bloody Harvest/Slaughter.

Pengeksportan organ keluar China diberi laluan khas

Dalam temu bual dengan Uighur Times pada Mac 2019, Enver Tohti mempamerkan gambar Human Organ Transportation Green-Path (HOTGP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Urumqi, yang didakwa menyediakan saluran untuk sejumlah besar organ manusia dihantar dari China ke penerima di seluruh dunia.

Dakwaan ini disokong oleh gambar yang menjadi tular di media sosial yang menunjukkan laluan khas yang tertulis "Penumpang Khas, Laluan Eksport Organ Manusia", diberikan kepada pegawai yang ditugaskan mengeksport organ-organ tersebut.

China Southern Airlines telah melaporkan lebih daripada 500 pengangkutan organ dilakukan sejak dakwaan yang dibuat oleh Enver Tohti.

Namun, China Daily yang dimiliki oleh kerajaan China mengumumkan bahawa syarikat penerbangan itu telah melancarkan "Laluan hijau" untuk menghantar apa yang didakwa sebagai organ "derma".

Jenayah kejam terhadap kemanusiaan ini adalah sangat mengerikan dan perlu diberikan perhatian serius.

Tetapi, memandangkan gambaran yang diberikan oleh aktivis Uyghur dan beberapa yang lain tentang bagaimana umat Islam Uyghur yang ditahan di kem tahanan terdedah kepada rogol berkumpulan, program pensterilan, penyeksaan sistematik, perkahwinan paksa dengan warganegara Cina Han, kehilangan tak dapat dikesan dan eksekusi, maka tidak dapat disangkal bahawa program penuaian organ hidup ini sebagai "pembunuhan besar-besaran umat Islam di zaman moden".

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, March 15, 2019

Tragedi Pembunuhan Umat Islam Di Christchurch, New Zealand

Tragedi Pembunuhan Umat Islam Di Christchurch, New Zealand

Wisma Putra mengesahkan dua cedera namun tiada rakyat Malaysia yang menjadi terbunuh dalam serangan pengganas ketika sebahagian umat Islam sedang mengerjakan solat Jumaat di Christchurch, New Zealand dan sekurang-kurang 40 orang terkorban dalam tembakan rambang yang berlaku di dua buah masjid dan daripada jumlah tersebut, dianggarkan 30 kematian direkodkan daripada salah satu masjid tersebut.

Brenton Tarrant pembunuh jemaah Islam
Brenton Tarrant.

Salah seorang pengganas disahkan merupakan individu berkulit putih, kelahiran Australia, bertindak melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan melepaskan tembakan terhadap semua jemaah di dalam masjid.

Apa Yang Telah Berlaku?
  • Insiden tembakan rambang mensasarkan dua masjid, masjid Al Noor dan masjid Linwood di Christchurch.
  • 40 mangsa meninggal dunia dan lebih 20 cedera.
  • Ada mangsa berpura-pura mati semasa penyerang menerjah masjid dan melepaskan tembakan.
  • PM New Zealand menyifatkan insiden sebagai serangan pengganas dan tahap keselamatan ditingkatkan ke peringkat tertinggi.
  • Maklumat mengenai penyerang: warga Australia, berkulit putih, berusia 28 tahun dan ekstremis berhaluan kanan.
  • Penyerang merupakan ekstremis anti-imigran dan anti-Islam. Dia ada manifesto 87 muka surat.
  • Datuk Bandar Christchurch, Lianne Dalziel menyifatkan situasi masih aktif dengan pihak berkuasa mengawal semua masjid.
  • 4 individu, tiga lelaki dan seorang wanita telah ditahan.
  • PM New Zealand menyifatkan serangan sebagai 'hari paling gelap buat NZ'.
  • Polis telah meminta pengguna media sosial untuk tidak berkongsi video serangan yang tular.
  • Sekitar 300 orang dilaporkan berada di dalam masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

THE GREAT REPLACEMENT

Brenton Tarrant with friends
Brenton Tarrant.

Satu manifesto berlatarbelakangkan perasaan anti-pendatang berjudul ‘The Great Replacement’ sepanjang 73 muka surat dikongsi secara berleluasa di media sosial selepas ia dikaitkan dengan penembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand pada Jumaat (15/3/2019).

“Krisis penghijrahan warga luar ke dalam negara secara besar-besaran merupakan serangan terhadap orang-orang Eropah yang, jika tidak dihentikan, akhirnya akan menyebabkan bangsa Eropah diganti dan hilang sepenuhnya," antara nota yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Manifesto itu yang ditulis oleh Brenton Tarrant, warga Australia yang sudah dikenali sebagai salah seorang penembak di masjid berkenaan, menceritakan kebimbangan mengenai kehilangan kaum dan bangsa Eropah akibat daripada penghijrahan warga luar ke New Zealand.

“Ia semua berlaku melalui penghijrahan. Ini penggantian etnik. Ini penggantian bangsa. Ini penggantian kaum,” tegas Brenton.

Penduduk di New Zealand merangkumi lebih 200 kumpulan etnik.

Namun, jika melihat kepada statistik penghijrahan ke New Zealand, angka berkenaan telah menurun pada tahun 2018 dan 2017 berbanding 2016.

Berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh StatsNZ, pendatang luar negara menurun daripada 58,400 ke 56,230 pada hujung Disember 2018.

Bagaimanapun, perasaan anti-pendatang itu kian meningkat bukan sahaja bagi individu-individu seperti Brenton, namun juga boleh dilihat dalam undang-undang bawah kerajaan Parti Nasional.

Sekatan Kerajaan NZ Keatas Pendatang

Brenton Tarrant FB Live
Brenton Tarrant FB Live.

Pada tahun 2017, kerajaan New Zealand memperkenalkan beberapa sekatan terhadap kemasukan pendatang luar antaranya menaikkan gaji minimum untuk mendapatkan visa serta menyukarkan peluang untuk lulus peperiksaan Bahasa Inggeris.

Serangan ngeri pada skala ini belum pernah dialami oleh penduduk New Zealand, selain insiden tembakan pada tahun 1990 apabila seorang lelaki menembak mati 13 orang, termasuk dua kanak-kanak berusia 6 tahun.

Berikutan itu, undang-undang senjata diketatkan sekali gus menjadikan kes pembunuhan menurun terutamanya kes melibatkan senjata.

Akhbar NYTimes melaporkan, terdapat hanya 35 kes bunuh yang berlaku pada tahun 2017.

Sejak 2007, kes bunuh menggunakan senjata kekal bawah 10 kes, selain pada tahun 2009 yang merekodkan 11 kes.

Walau bagaimanapun, tahun 2017 merekodkan pemilikan senjata sebanyak 1.2 juta di seluruh negara itu, menurut laporan Small Arms Survey.

Serangan itu, yang menurut polis telah dilakukan oleh empat orang suspek, turut dirakam oleh Brenton dalam video yang disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera badan dan boleh digambarkan seolah-olah menyerupai gaya permainan menembak PUBG.

Buat masa ini, polis telah menangkap tiga suspek dan masih mencari seorang lagi suspek yang melarikan diri.

Kebencian Terhadap Islam

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini jelas menunjukkan sikap dan reaksi serta tindak balas hasil pemikiran Islamiphobia yang dibawa dan dihasut oleh Barat supaya orang bukan Islam membenci orang Islam.

Kita semua berdukacita atas peristiwa hitam yang berlaku dan mendoakan mereka yang terbunuh matinya diterima sebagai syahid dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amiin.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, March 13, 2019

Tragedi Runtuhnya Kondominium Highland Towers

Tragedi Runtuhnya Kondominium Highland Towers

Tragedi Highland Towers merupakan malapetaka runtuhnya 1 dari 3 blok kondominium di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, pada 11 Disember 1993, yang telah meragut nyawa seramai 48 orang dalam kejadian yang menyayat hati.

Tragedi Highland Towers Runtuh

Highland Towers merupakan tiga blok pangsapuri 12 tingkat yang dinamakan Blok 1, Blok 2 dan Blok 3. Tragedi tersebut adalah satu-satunya kejadian bangunan runtuh yang pertama dan terburuk setelah Malaysia mencapai kemerdekaan.

Highland Towers terdiri daripada tiga blok 12 tingkat, dibina secara berperingkat antara tahun 1974 dan 1982 di pangkalan barat bukit curam yang kemudiannya teres meluas pada awal 1980an.

Setiap blok telah masing-masing bernama:
  • Blok 1 (dibina 1977, paling selatan).
  • Blok 2 (dibina 1979, utara-barat laut blok 1, sedikit tinggi daripada dua yang lain, lebih dekat masuk ke bukit).
  • Blok 3 (dibina 1981, barat laut blok 1, barat blok 2).

Sebuah kolam renang terletak di antara barat laut Blok 2 dan timur laut belakang Blok 3.

Blok 1 runtuh selepas hujan berterusan selama 10 hari yang membawa kepada tanah runtuh selepas tembok penahan di belakang tempat letak kereta Menara gagal bertahan.

Highland Towers adalah kediaman kepada keluarga kelas pertengahan mewah; sebahagian besar penduduk adalah ekspatriat.

Highland Towers terkenal pada 1980-an dan awal 1990-an sebagai tempat yang popular untuk orang-orang kaya menyembunyikan perempuan-perempuan simpanan mereka.

KAJIAN GEOLOGI

Pelbagai pihak melakukan kajian terhadap tanah runtuh khususnya di Bukit Antarabangsa yang melibatkan Highland Towers.

Antaranya ialah Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Hampir setiap universiti mempunyai pusat penyelidikan dan kepakaran berkaitan alam sekitar malah lebih mengkhusus lagi kepada tanah runtuh antaranya seperti Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara (Nasec) di UiTM dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) di UKM.

MANGSA YANG TERKORBAN

Angka kematian rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah 48, walaupun sumber-sumber lain memberi angka lebih besar kepada seramai 55 orang.

Mangsa kebanyakannya rakyat Malaysia, dengan 12 warga asing (1 Britain, 1 Jepun, 2 India, 2 Korea, 3 Filipina dan 3 Indonesia).

Antara mangsa adalah;
  1. Carlos Abdul Rashid (anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam) dan isterinya, Rosina Datuk Abu Bakar.
  2. Rohana Bano Mushtak Ahmad.
  3. Mohammad Budi Abdullah @ Robin Williams Wharton.
  4. Mohammad Adam, 6 bulan.
  5. Wanita Korea, Bahk Jung Soon, 45, dan anak perempuannya, Bahk Hee Won.
  6. Koh Yuet Met.
  7. Gene Koh Wai Keong, 15.
  8. Brandon Koh Wai Hong, 6.
  9. Daryl Koh Wai Kin, 3.
  10. Yap Kien Seng, 18.
  11. Yap Woei Ning.
  12. Yap Hsiao Mei, 18 dan emaknya - Wong Mee Thai, 35.
  13. Datin Milly Lee, 55.
  14. Teo Tea.
  15. Ong Yong, 53.
  16. Douglas Ong Tee Ming, 17.
  17. Fatimah Abdul Majid, 66.
  18. Che Mariam Abdul Majid, 76.
  19. Noranira Mohamed Nor, 15.
  20. Nik mohamed baharudin bin nik wan mahmood, 41.
  21. Shizue Nakajima, 50.
  22. Dr Anne George.
  23. Debbie George.
  24. Sharon George.
  25. Majnawiyah Masnawi, 25.
  26. Amirah Nor Hamzah, 15.
  27. Fergus Phang Thien Liang, 26.
  28. Emak Phang, Ivy Lim Ai Bee.
  29. Nenek Phang, Cheng Kim Tai.
  30. Trimah Ngarijo.
  31. Yusna Anuar.
  32. Farah Aruzi.
  33. Lee Mun Lin
  34. Tony Lou Yoke Yong.
  35. Adrian Lou Chung Wei.
  36. Barry Lou Ka Wei.
  37. Sajjive Chandran.
  38. Prakash Chandran.
  39. Radha Chandran.
  40. Quah Li Jun.
  41. Chiew Poh Wah.
  42. Goh Fong Kiew.
  43. Judith Mosquiter.
  44. Suharti Kusban.
  45. Aribinda Datta.
  46. Rita Datta.
  47. Mohan Raj.

Penyelamat mendengar ketukan dan suara sehingga ke hari ketujuh selepas runtuhan, tetapi hanya tiga orang, termasuk bayi, telah berjaya ditarik keluar dari runtuhan hidup-hidup dalam tempoh 24 jam. Salah seorang daripada mereka kemudian meninggal di hospital.

PUNCA TANAH RUNTUH

Tragedi Highland Towers Runtuh

Tengkujuh

Musim tengkujuh di Malaysia iaitu bulan November dan Disember membawa hujan lebat melampau setiap tahun dan boleh menyebabkan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.

Blok 1 Highland Towers runtuh selepas hujan yang turun 10 hari berturut-turut menyebabkan gelongsoran tanah selepas tembok penahan tempat meletak kereta kondominium itu runtuh.

Kadar air yang luar biasa menyebabkan tahap kelembapan tanah, kekuatan struktur tanah, keseimbangan kandungan bendalir di dalam tanah dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan.

Hutan Hujan Khatulistiwa yang padat memenuhi Banjaran Titiwangsa dengan daunnya yang lebar serta berakar tunjang, sekali gus mampu menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah.

Apabila tidak ada tanaman tutup bumi, air akan meresap ke dalam tanah dan menjadi pelincir kepada gelongsoran tanah dan bangunan di atasnya.

Kesilapan Rekabentuk

Kesilapan dalam rekabentuk tembok penahan yang dibina di belakang Blok Satu Kondominium Highland Towers mungkin antara punca berlakunya tanah runtuh di situ.

Perunding jurutera geoteknikal, Prof Noel Edward Simons menyalahkan rekabentuk tembok penahan yang tidak sempurna.

Jurutera Perunding Geoteknikal, Dr Alan George Weeks menyatakan pangsapuri Highland Towers runtuh hasil daripada pergerakan bawah tanah yang bermula dari kawasan runtuhan lereng bukit milik Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB) di belakang pangsapuri itu.

Beliau menolak kesimpulan oleh pakar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Prof Noel Edward Simons, tanah runtuh kerana runtuhan besar dan bukan beberapa siri keruntuhan seperti dakwaan MPAJ.

Saliran Tidak Sempurna

Sistem saliran tidak sempurna di kawasan pangsapuri mewah di Hulu Klang dan sistem perparitan yang tidak dikendalikan dengan sistematik.

Proses pembersihan dengan menebang pokok membabitkan sebahagian kawasan di situ menyebabkan ia membentuk sasaran saliran dari atas bukit terus ke kawasan berhampiran dan pangsapuri berkenaan.

Rakaman video 10 minit pada tahun 1992 menunjukkan air mengalir turun dari lereng bukit ke keliling kondominium Highland Towers ketika hujan lebat, setahun sebelum tragedi.

Air membuak dari lereng bukit menuju ke arah Blok C kondominium dan tingkat paling bawah tempat letak kereta blok itu telah dibanjiri tanah lumpur.

Longkang untuk mengalirkan air daripada paip pembentung di lereng bukit ke parit utama di hadapan blok Highland Towers tidak dibina.

Ahmad Zaini Mohd Yusof selaku bekas pegawai daerah menyatakan Majlis Daerah Gombak (MDG) tidak menghentikan kerja pembinaan kondominium Highland Towers walaupun pemaju gagal mengemukakan pelan saliran untuk mengalirkan air dari kawasan itu ke Sungai Ulu Klang.

Pemilik lot kosong di belakang kondominium Highland Towers, Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB), tidak mengadakan sistem saliran sementara kerana ia menunggu sistem induk yang akan dibina untuk keseluruhan kawasan itu.

Bukit Tanah Pasir

Topografi kawasan itu yang berbukit, keadaan geologi dan jenis tanah yang tidak stabil juga menggalakkan berlaku tanah runtuh. Pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ibrahim Komoo menyatakan tanahnya bukan batu yang kuat tetapi tanah bercampur pasir.

Ini termasuklah Bukit Antarabangsa, Taman Tun Abdul Razak, Taman Hillview dan Bukit Indah.

Gaya hidup mereka yang memiliki taraf ekonomi dan sosial yang tinggi berbangga menghuni di kawasan lereng, cerun dan tanah tinggi.

Mereka membeli dan membina kediaman mewah di kawasan tersebut walaupun nampak hebat sama ada disedari atau tidak seperti pelaburan jangka panjang untuk membunuh diri dan ahli keluarga sendiri.

Apabila permintaan tinggi maka pihak pemaju sebagai golongan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan berlumba-lumba membina kawasan perumahan di tanah tinggi.

Manipulasi Undang-undang

Pembinaan bangunan rancak dan tiada pemantauan cerun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Pemaju perumahan melobi hendak memajukan cerun skala 3 dan skala 4 dengan alasan akan menggunakan teknologi penampan cerun yang terkini.

Cerun bukit ditarah secara melampau, pokok-pokok yang menjadi pasak bumi dan rumput tutup bumi tidak dijaga dengan rapi.

Kerajaan negeri Selangor tidak boleh membatalkan kontrak pembangunan yang telah diberikan kepada pihak pemaju kerana ia membabitkan implikasi undang-undang.

Pemaju yang kerugian dari segi kos tanah, kos arkitek dan bahan binaan tentu akan menyaman pihak berkuasa.

Mereka juga melobi ahli politik agar menekan pegawai daerah, pegawai pejabat tanah dan sebagainya.

Mereka lupa bahana yang pasti bakal menimpa 10-20 tahun lagi. Contoh terbaik ialah Taman Pertanian Bukit Cerakah seluas 3,000 ekar di Seksyen U10, Shah Alam telah diagih-agihkan kepada lebih 30 pemaju sedangkan kawasan ini adalah bukit-bukit tinggi dan kawasan tadahan air.

KRONOLOGI PERISTIWA

11 Disember 1993

Pangsapuri Blok A Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang.

Dr Hui Chan Peng, yang tinggal selama 14 tahun di tingkat empat Blok A kondominium 12 tingkat itu menyatakan dia kembali dari kerja pada jam 1.30 petang, lima minit sebelum tragedi itu berlaku.

Dia yang sedang berbual dengan Puan Abraham, terdengar bunyi gegaran dan tiba-tiba batu besar bergolek ke arahnya.

Surirumah Leela George, menyatakan dia mendengar bunyi kuat seperti `dentuman logam' jam 1.30 tengah hari dari arah belakang blok A.

124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari.

Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sukarelawan PBSMM datang lebih awal.

Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan begoyang.

Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50, wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam.

Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam yang teruk.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri kabinet datang menjenguk.

12 Disember

Penghuni Blok B dan C Highland Tower di Taman Hillview, Hulu Kelang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat.

Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

13 Disember

Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi. Mereka menggunakan teknologi pengesan degup jantung dan menebuk lubang sedalam 4.5 meter.

Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

15 Disember

Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu.

Antara yang dijumpai, lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang.

Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan.

Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

16 Disember

Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

17 Disember

Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

18 Disember

Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

19 Disember

Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga dipercayai lelaki jam 10.15 malam.

20 Disember

25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita yang memakai sari dan sedang memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers.

Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

22 Disember

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan.

Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers. Kondominium itu dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd.

14 Oktober 1997

Bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat.

Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak melebihi dua tingkat.

14 November 1997

Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh. Ia "bukan satu bencana alam semula jadi".

Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong.

Saman terhadap pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga RM35 juta.

Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab- Malaysian Finance Berhad, Tropic Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd.

Gambar yang dirakam oleh Bruce Aaron Mitchell, bekas juruterbang Tentera Marin Amerika yang mengambil 8 keping gambar dari tingkap bilik pangsapuri kawannya di Blok C menjadi bukti dalam kes saman terhadap 10 pihak.

Gambar itu menunjukkan tanah runtuh dan runtuhan kondominium Blok A di saat-saat tragedi itu.

Pengurus Projek Micheal Patrick Rickard, penghuni di Blok C mendakwa rompakan bermula ketika operasi menyelamat mangsa yang pada masa itu dipercayai masih hidup dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan Blok C yang runtuh pada 11 Disember, 1993.

Padahal bangunan yang dikosongkan itu dikawal oleh tentera dan polis. Bekalan air dan elektrik terputus selepas blok satu runtuh.

8 Ogos 2002

Hakim Datuk James Foong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Wisma Denmark, Jalan Ampang memutuskan 7 daripada 10 pihak yang disaman 60 penghuni, waris dan keluarga mangsa tragedi Highland Towers sebagai cuai.

Laporan penghakiman 162 muka surat itu mengembirakan Dr Benjamin George selaku pengerusi Persatuan Penduduk dan Pemilik Highland Towers.

4 Disember 2002

Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB) merayu kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mokhtar Sidin dan Datuk Mohd Saari Yusoff berkaitan pampasan yang perlu dibayar.

Di Mahkamah Rayuan, 3 hakim diketuai Datuk Gopal Sri Ram bersama Datuk Richard Malanjum dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff memerintahkan 3 pihak yang cuai supaya membayar gantirugi.

Iaitu MPAJ 15%, jurutera Wong Yuen Kean 10%, Arab-Malaysian 30% , Metrolux Sdn. Bhd. dan MBF Property Services Sdn. Bhd. 20%.

2004

Akhirnya diluar mahkamah, AmFinance Bhd setuju membayar RM52 juta kepada 139 plaintif yang diketuai oleh Dr Benjamin George.

18 Februari 2006

Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Daerah Gombak (MDG) atau mana-mana kerajaan tempatan mempunyai kekebalan dan dilindungi Seksyen 95 (2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 daripada sebarang tuntutan sebelum runtuhan.

Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Arifin Zakaria memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap kerugian sebelum dan selepas kondominium itu runtuh.

Kerajaan tempatan ditugaskan menjalankan beberapa tanggungjawab termasuk menyedia dan menyelenggara tempat rekreasi, memungut sampah, menyediakan kenderaan awam, menyedia rumah untuk setinggan dan banyak lagi serta harapan orang ramai adalah tinggi.

Ini adalah tanggungjawab sosial kepada pembayar cukai di kawasan mereka dan sumber kewangannya hanya melalui cukai taksiran dan bayaran lesen.

Keadaan semasa

Pada tahun 1995, terdapat perancangan untuk membaikpulih Blok 2 dan 3 untuk didiami semula namun pemeriksaan mendapati bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami.

Maka satu-satunya pilihan yang ada adalah merobohkannya. Pihak berkuasa menyatakan 2 blok lain iaitu Blok 2 dan Blok 3 tidak selamat diduduki, akan roboh bila-bila masa dan mereka mesti pindah ke lokasi lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Saturday, July 14, 2018

Tragedi Pembunuhan Parit Sulong Tentera Jepun

Tragedi Pembunuhan Parit Sulong Tentera Jepun

Pembunuhan beramai-ramai Parit Sulong berlaku pada 23 Januari 1942 yang dilakukan oleh anggota Division Pengawal Imperial (Imperial Guards Division) dari Tentera Imperial Jepun terhadap Tentera Berikat dari pasukan Division ke 8 Australia (Australian 8th Division) dan Brigade Infantri ke-45 India (Indian 45th Infantry Brigade) semasa penaklukan Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.

Tragedi Pembunuhan Parit Sulong Tentera Jepun

Beberapa hari sebelumnya, tentera Berikat telah menyerang hendap tentera Jepun berhampiran Gemas dan meletupkan jambatan di situ dalam pertempuran Jambatan Gemencheh.

Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu, anggota pasukan Division ke 8 Australia dan Brigade Infantri ke-45 India, sedang berundur sambil bertempur apabila mereka dikepung berhampiran dengan jambatan di Parit Sulong.

Pasukan Berikat bertempur dengan pasukan Jepun yang lebih besar selama dua hari sehingga mereka kekurangan bekalan peluru dan makanan.

Setelah gagal berunding di bawah bendera putih untuk membenarkan mereka yang tercedera untuk lalu, pemerintah pasukan Tentera Berikat mengandaikan bahawa pihak Jepun akan mematuhi Perjanjian Geneva (Geneva Convention) mengenai tawanan perang dan memerintahkan kesemua mereka yang sihat dan mampu diperintahkan untuk berpecah ke dalam hutan, satu-satunya jalan bagi mereka kembali menyertai barisan pihak Berikat.

Bagi sekitar 110 tentera Australia dan 40 tentera India yang cedera teruk untuk melarikan diri, pilihan mereka yang ada hanyalah untuk menyerah diri.

Tahanan perang yang cedera ditawan dan mereka telah diseksa dengan ditendang dan dihentak dengan buntut senapang oleh Pengawal Imperial dan ditahan dalam bangunan kayu.

Mereka kemudian dikumpulkan dan diperiksa oleh Ketua Pegawai Pemerintah, Leftenan General Nishimura Takuma, Division Pengawal Imperial yang memberikan arahan untuk “menghapuskan” tahanan yang tercedera.

Dalam perbicaraannya di Makhamah Tentera Autralia, Nishimura mendakwa bahawa tindakannya bermaksud “memindahkan mereka yang tercedera ke belakang” – tetapi Chief of Staff, Kolonel Imai Kamerjiro – yang tidak terselamat dalam perperangan – menambah, “Mayat tahanan hendaklah dibakar selepas selesai pembunuhan itu”.

Teks penuh arahan tersebut diberikan kepada Lt. Fujitayang ditugaskan bagi menghapuskan tahanan.

Pada petang 22 Januari 1942, mereka diperintahkan untuk berkumpul di belakang baris kedai yang rosak berdekatan.

Mereka yang tercedera dipapah oleh mereka yang mampu berjalan, setelah dijanjikan rawatan perubatan dan makanan.

Tentera Jepun telah mengiringi tawanan perang untuk pergi ke belakang deretan kedai, kononnya konvoi perubatan akan tiba di sana untuk memberi bantuan.

Namun, sebenarnya tawanan tersebut telah diperdaya. Tiga laras mesingan telah diletakkan di penjuru berlainan dan dihalakan ke arah tawanan-tawanan tersebut.

Sementara menunggu ditempat perkumpulan, sama ada duduk atau terbaring lemah, tiga mesingan, tersorok di bilik belakang.

Selepas tentera Jepun meninggalkan mereka di situ, bertalu-talu tembakan dilepaskan ke arah mereka.

Sejumlah tahanan yang masih hidup di tikam dengan bayonet. Selepas itu baris rumah kedai tersebut dirobohkan dan mayat tahanan diletakkan di atasnya. Enam puluh galon minyak dituang ke atas timbunan itu dan api dihidupkan.

Menjelang tengah malam, timbunan kayu dan mayat membentuk abu setinggi dua kaki sebelum diisikan kedalam kawah bekas letupan bom di jalan berhampiran.

Menurut keterangan Russel Baddon, saksi lain yang menyatakan kisah berlainan, “Sesetengah daripada mereka diikat dengan kawat di tengah jalan sebelum ditembak dengan mesingan dan dicurah dengan petrol dan dibakar dibakar hangus, sebelum digelek ke hadapan dan ke belakang secara teratur dengan lori yang dipandu oleh tentera Jepun.”

Tragedi Pembunuhan Parit Sulong Tentera Jepun

Kenyataan penduduk tempatan turut melaporkan bahawa tahanan perang (POWs) diikat beramai-ramai dengan kawat dan dipaksa berdiri di atas jambatan, sebelum seorang tentera Jepun menembak seorang, menyebabkan yang lain jatuh ke dalam sungai Simpang Kiridan dan lemas.

Tiga orang tentera Australia terselamat dan dua daripadanya masih hidup sehingga tamat perang.

Dua tentera Australia yang tercedera dan sempat melarikan diri dari pembunuhan beramai-ramai itu dan menjadi saksi mengenai layanan Jepun terhadap tahanan perang.

Rekod rasmi menunjukkan seramai 150 orang yang tercedera dibunuh.

Leftenan General Takuma Nishimura kemudiannya disabitkan terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh Mahkamah Tentera Australia (Australian Military Court) dan digantung hingga mati pada 11 Jun 1951.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Monday, July 02, 2018

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Sudah puluhan tahun berlalu, namun sejarah hitam peristiwa Bukit Jenalik yang melibatkan kekejaman anggota kumpulan Al-Maunah masih segar dalam ingatan sesetengah masyarakat di Malaysia.

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Kumpulan Al-Maunah merupakan sebuah organisasi militan yang berasal daripada sebuah pertubuhan persilatan.

Namun, objektif kumpulan ini salah apabila ketuanya, Mohd. Amin Razali memimpin kumpulan Al-Maunah termasuk seorang pegawai Tentera Darat Malaysia berpangkat Mejar, bertindak mahu menggulingkan kerajaan Malaysia dengan melancarkan peperangan.

Dalam peristiwa tersebut, empat orang telah menjadi tebusan iaitu tiga anggota keselamatan dan seorang orang awam.

Dua daripada mereka terselamat iaitu Sarjan Detektif (B) Mohd. Shah Ahmad dan seorang lagi anggota keselamatan telah dibunuh dengan kejam oleh kumpulan ini.

Kematian dua anggota keselamatan ini disaksikan sendiri oleh Mohd. Shah yang terselamat.

Bagaimana dia terselamat? Ikuti perkongsiannya.

***

Saya ingat lagi. Awal pagi 2 Julai tahun 2000, saya menerima arahan untuk melakukan tinjauan di Sauk.

Ketika itu, saya berkhidmat sebagai Detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Perak.

Saya dimaklumkan pihak polis menerima laporan orang kampung yang terdengar bunyi tembakan dari atas Bukit Jenalik.

Pada masa yang sama kami juga menerima laporan sebuah kumpulan yang menggunakan helah berpakaian pegawai kanan tentera telah merompak senjata di Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak.

Saya diminta menyiasat kejadian tembakan di bukit tersebut. Adakah ia sekadar latihan pihak tentera, polis atau sebaliknya.

Sekiranya pihak tentera atau polis sedang melakukan latihan, saya perlu memaklumkan supaa latihan dihentikan kerana akan merisaukan penduduk kampung dengan kes rompakan senjata yang telah berlaku.

Tanpa berlengah, saya menunggang motosikal ke kawasan terbabit, seorang diri dengan berpakaian preman, menyamar sebagai penduduk kampung bersama sepucuk pistol yang diselitkan di pergelangan kaki.

Sampai di tempat kejadian, sahabat saya, Detektif Abdullah sudah menanti di kaki bukit.

"Datang dengan siapa?" tanya saya.

"Dengan Sanghadevan," jawabnya.

"Mana dia?" tanya saya lagi.

"Tu, dah naik ke atas," tunjuk Abdullah ke arah bukit.

Dari bawah saya nampak Detektif Sanghadevan sedang menunggang motosikal melalui kebun getah memanjat naik ke atas.

Saya cuba memanggilnya tapi panggilan saya tenggelam dek bunyi enjin motor yang sedang mengaum.

Lalu saya memecut mengejar Sanghadevan, sebabnya kami hanya diminta menyiasat dan bukan masuk ke kawasan itu.

"Berhenti!" jerit saya apabila memintas Sanghadevan.

Belum sempat dia menjawab, tiba-tiba bergema satu letupan. Tanah-tanah di depan saya bertebaran akibat terkena peluru yang dilepaskan.

Serentak kami mencari perlindungan di belakang motosikal apabila mendapati kami sedang ditembak.

Dalam keadaan terkejut itu, muncul beberapa seorang lelaki berpakaian tentera dengan serban putih di atas kepala dari sebalik belukar sambil mengacu sepucuk M16 ke arah kami.

"Kenapa masuk sini?" tanyanya dengan wajah bengis.

"Korang dah masuk ke kawasan latihan tentera sulit!" sambungnya lagi.

Waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa. Fikir saya, benarlah ada pihak tentera sedang menjalankan latihan berdasarkan kelengkapan tentera pada badannya.

Saya dan Sanghadevan kemudian ditahan lalu dibawa masuk ke dalam hutan.

Apabila sampai di lokasi, baru saya sedar mereka ini merupakan kumpulan yang merompak senjata apabila melihat ramai yang sedang berkumpul di situ.

Kesemuanya lengkap bersenjata tapi penampilan mereka tidak menggambarkan tentera.

"Buat apa masuk sini?" sergah seorang lelaki yang merupakan ketua kumpulan itu. Namanya Mohd. Amin.

"Saya datang kebun," jawab saya berdalih.

"Bohong!" jerkah Mohd Amin sebelum mengarahkan anggotanya memeriksa tubuh badan saya dan menjumpai kad kuasa yang mengesahkan saya anggota polis.

"Cari senjata!" kata Mohd. Amin yang mula menyinga.

Badan saya diperiksa, tapi tiada senjata yang ditemui. Begitu juga dengan Sanghadevan, namun Mohd. Amin belum puas hati.

Dia mengarahkan anggotanya menanggalkan pakaian kami. Habis dilondeh semuanya hingga mereka menemui pistol yang terselit di kaki.

"Aku dah kata, dia ni tali barut kerajaan" tengking Mohd. Amin yang semakin berang sebelum menghalakan M16 hinggap di belakang badan kami.

Saya dan Sanghadevan dibelasah separuh mati. Sakitnya waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Kami tidak mampu melawan, hanya mengerang kesakitan.

Akibat dibelasah teruk, saya tersembam ke tanah. Anggota militan belum berpuas hati.

Tiga anggotanya naik berdiri di atas belakang sambil menginjak-injak. Terasa bagai mahu patah tulang belakang saya.

Dalam keadaan tersembam ke tanah, seorang anggota militan meletakkan muncung M16 ke tepi telinga kemudian, DAMMM! DAMMM!

Dia melepaskan dua das tembakan. Telinga saya berdesing. Gegendang telinga seakan mahu pecah. Kulit terasa pijar akibat bahang percikan api dari muncung M16.

Pagi itu kami menjadi tawanan kumpulan Al-Maunah.

Kami diikat pada sebatang pokok dalam keadaan hanya berseluar dalam. Pada masa yang sama kami terus disiasat.

Pukul 2 petang, Mohd. Amin mengarahkan anggotanya melepaskan ikatan kami.

"Aku nak engkau berdua gali lubang," arah Mohd. Amin dengan wajah bengis.

Arahan itu terpaksa kami turutkan sambil dikawal ketat anggota yang lengkap bersenjata.

Pada mulanya, saya fikir lubang itu sebagai kubu pertahanan mereka. Jadi saya hanya menggali separas pinggang.

Apabila Mohd. Amin tengok, dia naik angin.

"Aku nak kamu gali dalam lagi. Sampai paras kepala. Lepas tu baring, ukur sama panjang dengan engkau," jerkah Mohd. Amin.

"Ini kubur korang!" sambung Mohd. Amin.

Mendengar kata-kata itu, tubuh saya longlai kerana bermakna bila-bila masa kami akan mati dibunuh oleh militan Al-Maunah.

Sedang menggali, tiba-tiba anggotanya membawa masuk seorang lagi lelaki.

"Syeikh, kita dapat tawan seorang lagi musuh," kata anggotanya sambil mengiringi seorang lelaki ke dalam kem mereka.

Pun sama, apabila sampai lelaki itu terus diarahkan untuk menggali lubang kuburnya.

Dari pagi sampai ke petang, itulah yang kami buat tanpa henti dan apabila siap lubang kubur, kami diarah menggali lubang lain pula sebagai kubu pertahanan.

Dalam keadaan tidak berdaya, kami hanya turutkan semua arahan. Makanan pula hanya dua keping biskut tentera dan air dari parit.

Menjelang malam, kami diikat semula pada pokok dengan dikawal ketat.

Semasa diikat pada malam itu, barulah saya tahu, tahanan ketiga merupakan penduduk kampung, namanya Jaafar Puteh.

Dia datang ke kebunnya untuk mengutip durian sebelum ditahan anggota militan Al-Maunah.

Pada hari kedua, tugas kami masih sama, diarah menggali lubang sebagai kubur. Jam berapa saya tidak pasti.

Sedang sibuk menggali, saya ternampak seorang lelaki berceloreng tentera dibawa masuk.

Anggota militan lain mengekori dari belakang sambil mengacu senjata ke arahnya.

Melihat pada pakaian, saya tahu anggota itu daripada unit Komando Tentera. Tertera di dadanya, Matthews.

Saya yakin anggota keselamatan sudah mula masuk untuk menyelamatkan kami.

Apabila sampai di depan Mohd. Amin, anggota tersebut terus disiasat.

"Masuk dengan siapa? Berapa orang?" tanya Mohd. Amin dengan suara lantang.

"Datang seorang," jawab tentera itu.

Tapi Mohd. Amin tidak percaya.

"Tipu! Mana boleh datang seorang!" tengking Mohd. Amin yang mula menyinga.

Akibat tidak memberi kerjasama, Mohd. Amin mula bertindak gila.

Di depan mata saya, dia melepaskan tembakan ke kaki tentera tersebut. Darah mula mengalir keluar. Kaki Matthews menggeletar menahan sakit akibat bisa peluru.

"Bagi tau aku, masuk dengan siapa? Berapa orang?" soal Mohd. Amin lagi.

Tapi Matthews tetap dengan pendiriannya. Jawapannya sama, masuk seorang diri.

Itu membuatkan Mohd. Amin bertambah berang dan melepaskan tembakan ke sebelah kaki lagi. Darah memercik membasahi celoreng.

Pun begitu, anggota tentera tersebut masih tegap berdiri dalam keadaan kaki yang menggeletar menahan kesakitan.

"Tembak! Bunuh dia!" arah Mohd. Amin.

DAMMM!

Satu das tembakan dilepaskan dalam jarak dekat. Kali ini tepat mengenai dada. Matthews hilang imbangan sebelum tersembam ke tanah. Kemudian, dia kaku tidak bernyawa.

Pantas saya dan Sanghadevan mengangkat mayat Matthews yang sudah kaku berlumuran darah dan dalam keadaan sedih, kami masukkan ke dalam kubur yang kami gali.

Apabila hari semakin gelap, kami bertiga diikat semula pada sebatang pokok durian dan pada lewat malam itu, Sanghadevan berbisik mengajak saya melarikan diri tapi saya menolak.

Saya tahu kami akan gagal kerana berada dalam kepungan mereka.

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Esoknya pada hari ketiga, tugas kami masih sama, menggali lubang tetapi kali ini sebagai kubu pertahanan mereka pula sekiranya diserang anggota keselamatan.

Mohd. Amin pula berada di puncak bukit iaitu kem utama mereka.

Entah pukul berapa tiba-tiba saya nampak kelibat Mohd. Amin turun ke bawah untuk membasuh muka di sebatang parit.

"Bos, tolong lepaskan kami," rayu Sanghadevan semasa Mohd. Amin lalu di depan kami.

Tapi rayuan itu tidak diendahkan, sebaliknya Mohd. Amin marah serta mula menengking dan ketika itulah tiba-tiba bergema satu letupan.

Seorang anggota militan yang bertugas sebagai pengawal Mohd. Amin jatuh terkena tembakan.

"Musuh! Musuh!" jerit Mohd. Amin berlari mencari perlindungan.

Keadaan mula kelam kabut. Bunyi tembakan membuta tuli dilepaskan oleh anggota Al-Maunah bertalu-talu. Mereka terus menembak secara rambang, tanpa arah.

Kami yang masih terikat di pokok hanya mampu berharap tiada peluru sesat yang mengenai kami.

Apabila keadaan mula tenang, Mohd. Amin keluar dari kubu. Dia mula melenting, tidak senang duduk disebabkan marah.

Mohd. Amin menghampiri dan mula menyeksa Sanghadevan yang terikat di pokok membelakangkan saya. Saya tidak nampak apa yang dilakukannya sebelum, DUMM! DUMM!

Dua das tembakan bergema. Terasa ada cecair terpercik melekat di belakang badan saya yang tidak berbaju.

Selepas itu, Mohd. Amin bergegas naik ke kubu utamanya di puncak bukit diiringi orang-orang kanannya.

"Devan.. Devan.." saya memanggil rakan saya itu tetapi tidada sahutan.

Kemudian, datang salah seorang anggota Al-Maunah meleraikan ikatan saya, "Ambik dia, tanam!" arah anggota tersebut.

Sewaktu melihat Sanghadevan, saya jadi kaku. Ngeri! Tubuhnya bermandi darah. Kepalanya hampir hancur sehingga sukar mengecam wajahnya kerana ditembak dari jarak dekat.

Bukan itu sahaja, serpihan otaknya bertebaran. Kepalanya terkopek menampakkan bahagian dalam tempurung kepala yang berkilat.

Dalam keadaan menggeletar, saya dan Jaafar Puteh mengangkat mayat Sanghadevan lalu dimasukkan ke dalam kubur yang sama dengan Matthews sebelum mengambusnya.

Selesai mengebumikan rakan saya itu, kami terus diarahkan menggali lubang lain.

Petangnya, saya dan Jaafar diarah membersihkan diri. Kami kemudiannya diberikan pakaian baru. Selepas itu, kami disuruh melakukan solat sunat taubat. Itu tandanya mereka bakal menamatkan nyawa kami.

Malam itu. saya dan Jaafar dibawa naik ke kem utama yang menempatkan Mohd. Amin.

Sesampai di atas, saya terdengar dia mengarahkan anggotanya memasang trip flare atau suar sebagai langkah berjaga-jaga jika pihak keselamatan masuk ke kawasan mereka.

Tengah malam itu, tiba-tiba trip flare meletup. Anggota Al-Maunah berlari mencari perlindungan. Mohd. Amin percaya ada musuh sudah masuk ke dalam kawasan mereka.

Pada waktu itu, anggota Al-Maunah melepaskan tembakan rambang bertalu-talu, secara melulu.

Saya yang risau terkena peluru sesat meniarap di bawah Pajero mencari perlindungan, tapi sampai ke Subuh, tiada apa yang berlaku. Tiada anggota tentera yang masuk.

Esoknya, pada hari keempat, saya mula terdengar bunyi pengumuman dibuat oleh anggota keselamatan supaya anggota Al-Maunah menyerah diri melalui pembesar suara sekolah berdekatan.

Kemudian, ia disusuli dengan lagu-lagu yang menyentuh hati, antaranya lagu dendangan P. Ramlee.

Tidak lama kemudian, terdengar pula suara keluarga anggota Al-Maunah yang terdiri daripada isteri dan anak mereka merayu-rayu supaya mereka menyerah diri.

Ketika ini, saya melihat ada anggota Al-Maunah mula termakan dengan perang psikologi ini. Ada yang menangis, ada yang mahu menyerah diri.

Moral anggota kumpulan Al-Maunah mula jatuh. Keadaan ini membuatkan Mohd. Amin semakin berang.

"Macam mana nak berjuang. Baru macam ni dah kalah," lebih kurang begitulah Mohd. Amin mengherdik anggota-anggotanya.

Padahal, saya nampak wajah Mohd. Amin sendiri berubah. Moralnya turut goyah apabila terdengar rayuan keluarganya.

Menjelang tengah hari, saya diarahkan menggali kubu dibahagian atas dan ketika sedang menggali, telinga saya terdengar seseorang memberi salam.

Apabila memandang keluar, seorang lelaki berpakaian seragam 69 Komando PDRM dari sebalik belukar.

Melihat anggota komando itu, sambil menarik nafas lega kerana saya tahu masih berpeluang hidup lagi.

Dengan keberaniannya, ASP Abdul Razak Mohd. Yusoff melangkah masuk ke kubu musuh seorang diri untuk berjumpa dengan Mphd. Amin.

Ketika itu, berlaku perbincangan dan perdebatan ilmiah antara ASP Razak dengan Mohd. Amin dan anggota-anggota Al-Maunah.

Dengan kebijanksanaan, hujah-hujah bernas yang dilontar oleh ASP Razak, membuatkan hati para militan ini mula kendur.

Setelah hampir dua jam berlaku perundingan dan perdebatan, akhirnya Mohd. Amin dan pengikut-pengikutnya bersetuju melakukan gencatan senjata.

Selepas pada itu, barulah tugas tersebut diserahkan pula kepada Lt. Gen Dati Zaini, Panglima Medan TD Malaysia untuk proses seterusnya.

Saya betul-betul bersyukur dan tidak menyangka akan terselamat daripada maut yang sudah berada di depan mata.

Semasa diiringi berjalan turun dari bukit, saya terasa seperti berjalan di awangan. Bagai mendapat nyawa kedua untuk hidup.

Sampai di bawah, semua rakan-rakan setugas terkejut dan tidak percaya saya masih hidup dan ketika itulah baru saya tahu cerita sebenar.

Mereka memang menyangka saya telah terkorban dibunuh anggota kumpulan Al-Maunah. Sebabnya?

Begini. Pada malam yang kedengaran trip flare meletup itu, ia bukanlah disebabkan oleh anggota keselamatan, sebaliknya oleh anggota Al-Maunah sendiri.

Semasa anggota diatas memasang perangkap tersebut, mereka tidak memaklumkan kepada anggota kem di bawah, jadi anggota mereka telah terpijak alat itu sehingga meletup.

Ketika suasan kelam kabut kerana menyangka kem mereka diserang, pihak keselamatan berjaya menawan dua anggota Al-Maunah.

Ketika soal siasat dijalankan, pihak musuh memaklumkan dua tawanan telah dibunuh.

Jadi, pihak keselamatan fikir yang mati itu adalah saya dan Sanghadevan sebabnya, pasukan tentera tidak tahu ada anggotanya iaitu truper Matthews telah ditawan dan dibunuh.

Pun begitu, saya bersyukur kerana terselamat dan rancangan kumpulan Al-Maunah yang terdiri daripada 29 ahli untuk menggulingkan kerajaan berjaya dipatahkan.

"Sekarang, saya sudah pencen dan baki-baki sisa hisup ini saya mahu habiskan bersama keluarga.

"Semua yang berlaku akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila," ujar Sarjan (B) Mohd. Shah Ahmad, 66.

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2001 telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohd. Amin selepas mendapati dia terlibat untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan atas nama jihad.

Mohd. Amin digantung sampai mati pada 4 Ogos 2006 di penjara Sungai Buloh, manakala tiga lagi ahli kumpulan iaitu Zahit Muslim, Jamaludin Darus dan Jemari Jusoh, turut dihukum gantung sampai mati.

Nota editor: Artikel ini dipetik dari majalah mastika edisi Mei 2018.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, June 16, 2018

Tragedi Letupan Lombong Arang Batu Dhanbad 1965

Tragedi Letupan Lombong Arang Batu Dhanbad 1965

Pada hari itu, seperti biasa suasana di sebuah kawasan lombong arang batu yang terletak berdekatan bandar Dhanbad, kira-kira 362 kilometer ke arah barat laut Calcutta, India, sibuk dengan ratusan pelombong yang sedang bekerja.

Tragedi Letupan Lombong Arang Batu Dhanbad 1965

Kelihatan para pelombong begitu tekun menjalankan tugas masing-masing tanpa mengetahui bahawa tapak perlombongan itu bakal menjadi sebuah kawasan perkuburan besar yang meragut ratusan nyawa pada hari tersebut.

Pada tanggal 28 Mei 1965, satu letupan besar telah menggegarkan kawasan lombong arang batu itu yang berpunca daripada satu percikan api yang berlaku di lombong berkenaan kira-kira pukul 1 pagi.

Lombong arang batu itu yang terdedah dengan gas metana yang terkumpul telah menyebabkan satu letupan kuat berlaku dan mengakibatkan seluruh kawasan lombong itu runtuh sepenuhnya.

Ekoran letupan tersebut, kawasan di sekitar lombong telah diselubungi dengan debu tebal selain dihujani dengan batu-batu yang berterbangan.

Tertimbus

Akibatnya, kira-kira 375 pekerja yang berada di dalam kawasan lombong itu dilaporkan terbunuh dengan hampir kebanyakan mangsa maut akibat tertimbus.

Bahkan, letupan kuat itu turut membunuh kira-kira 100 pekerja lain yang berada di kawasan sekitar selain mengakibatkan beberapa buah rumah di kawasan berhampiran turut musnah.

Menurut laporan akhbar tempatan, Times of India, api yang terhasil akibat daripada letupan besar itu hanya dapat dikawal beberapa hari selepas kejadian.

Lombong yang menjadi sumber rezeki kepada beratus-ratus pekerja miskin itu musnah dan meragut banyak nyawa, ujar seorang pekerja yang terselamat.

Di kebanyakan kawasan perlombongan, ia memang biasa terdedah dengan kehadiran gas metana secara semula jadi.

Sifatnya yang ringan daripada udara menyebabkan gas metana mudah untuk naik dari kawasan lombong dan berada di merata-rata kawasan. Gas itu yang bercampur dengan habuk arang batu akan menjadikan ia lebih mudah terbakar.

Pengudaraan

Biasanya, setiap lombong akan menggunakan alat pengesan gas untuk mengukur tahap gas me­tana selain usaha menambah habuk batu kapur yang dicampur dengan habuk arang batu untuk mengelak berlakunya letupan.

Namun, penggunaan teknologi yang mundur ketika itu menyebabkan berlakunya banyak kemalangan terutama di kawasan lombong di India.

Berhubung kejadian itu, timbul dua teori yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak-pihak yang terbabit.

Mengikut teori oleh Jabatan Pertahanan, terdapat pengumpulan gas mudah terbakar dalam lombong arang batu pada bacaan 15 yang dianggap tinggi untuk mencetuskan letupan kuat.

Letupan dikenal pasti selepas seseorang yang tidak dikenali te­lah memasuki lombong dengan membawa api dan menyebabkan berlaku letupan, kata penyiasat yang mendakwa terdapat unsur sabotaj dalam kejadian tersebut.

Siasatan yang dijalankan selama 45 hari itu akhirnya menemui tiga jawapan mengenai punca kejadian iaitu kurangnya sistem peng­udaraan yang sempurna, penggunaan api yang dibakar pada buluh sebagai lampu di lombong dan habuk arang batu yang berterbangan di udara.

Hasil daripada penemuan itu, Mahkamah Siasatan te­lah mewajibkan semua pekerja di lombong bawah tanah harus diberikan topi lampu elektrik.

Selain itu, para pekerja lombong juga mesti dilatih untuk mengesan kehadiran gas metana di kawasan lombong dan menguji kehadiran gas tersebut di setiap kedalaman 100 meter bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Seramai 375 orang pekerja terbunuh selepas satu letupan berlaku akibat percikan api di kawasan diselubungi debu arang batu yang bercampur gas metana.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Thursday, June 07, 2018

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Pada suatu petang yang hening, tanggal 6 Jun 1976 di Sembulan, Sabah, penduduk di sekitarnya dikejutkan dengan satu bunyi dentuman yang kuat pada pukul 3.50 petang, hasil daripada bunyi letupan sebuah pesawat yang terhempas.

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Pesawat dari Labuan itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Sejurus pesawat tersebut menjunam di kawasan air cetek, lokasi berkenaan menjadi tumpuan orang ramai kerana ketika terhempas, ia dikatakan menggegarkan kawasan itu.

Malapetaka tersebut kemudiannya dikenali sebagai peristiwa Double Six sempena tarikh kejadian itu iaitu 6/6/1976.

Mangsa Peristiwa Double Six

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Pesawat jenis GAF Nomad itu membawa hampir keseluruhan anggota Kabinet Sabah termasuk Ketua Menterinya, Tun Mohd. Fuad Stephens bersama 11 anggota rombongannya.

Senarai mangsa Peristiwa Double Six
  1. Tun Mohd Fuad Stephens (Ketua Menteri Sabah).
  2. Datuk Peter Mojuntin (Menteri Kerajaan Tempatan Negeri).
  3. Datuk Chong Tahin Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya).
  4. Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Negeri).
  5. Darius Binion Pembantu (Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri).
  6. Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan).
  7. Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah).
  8. Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah).
  9. Koperal Said Mohammad (Pengawal peribadi kepada Tun Fuad).
  10. Gandhi J Nathan ( Juruterbang).
  11. Johari Tun Fuad Stephens (Anak kepada Tun Mohd Fuad).

Tun Fuad Stephens atau nama asalnya Donald Aloysius Marmaduke Stephens kemudian menukar namanya selepas memeluk agama Islam.

Tuan Fuad adalah tulang belakang dan penggerak kepada penyatuan Sabah di dalam Malaysia.

Pada tahun 1963, beliau terpilih sebagai Ketua Menteri sehingga tahun 1964 kemudian terpilih sekali lagi pada tahun 1976 sebagai Ketua Menteri sehingga berlakunya tragedi Double Six.

Punca Nahas Masih Misteri

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Punca di sebalik kemalangan itu masih tidak diketahui dan sejurus selepas kemalangan, terdapat dakwaan perbuatan khianat kerana keadaan politik yang tidak menentu pada masa itu.

Kerajaan Australia menghantar empat pasukan penyiasat bagi membantu mencari punca kemalangan.

Terdapat juga spekulasi yang menganggap kegagalan teknikal dan lebihan muatan merupakan faktor utama yang menyebabkan kemalangan.

Namun, punca sebenar bagi kemalangan itu masih belum diketahui sehingga sekarang dan laporan asal mengenai kejadian itu masih diklasifikasikan.

YM Tengku Razaleigh Hamzah Terselamat Dari Nahas

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

YM Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya menaiki kapal terbang yang sama tetapi pada saat-saat akhir telah di ajak turun daripada pesawat oleh Timbalan Ketua Menteri pada masa itu iaitu Datuk Harris Mohd. Salleh untuk merasmikan projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat.

Tengku Razaleigh yang juga menaiki jenis pesawat yang sama telah diarahkan untuk menjauhi pesawat sebaik sahaja mendarat di Kudat kerana dikhuatiri pesawat mengalami masalah yang sama.

Sebaik sahaja mereka mendapat berita buruk ini, mereka telah di terbangkan oleh helikopter tentera ke Kota Kinabalu.

Persoalan Daripada Peristiwa Double Six

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Berikut antara persoalan yang berlegar di fikiran kebanyakan yang kekal menjadi persoalan tanpa jawapan.

Rombongan ini sedang menuju ke Kota Kinabalu untuk menandatangani perjanjian 10% hasil minyak akan diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Sebelum menaiki pesawat tersebut, Alahyarham Tun Fuad ada menyatakan bahawa jumlah 10% itu adalah terlalu kecil dan ada yang mengatakan kemungkinan Tun Fuad tidak akan bersetuju jumlah tersebut.

Tengku Razaleigh Hamzah telah pun duduk dalam pesawat tersebut bersama-sama rombongan lain, tetapi di saat-saat akhir Datuk Harris (Ketua Menteri Sabah selepas kematian Tun Fuad) mengajak Tengku Razaleigh turun dari pesawat tersebut dengan alasan ingin menjemput Tengu Razaleigh merasmikan Kandang Lembu di Kudat.

Sedangkan ketika itu Tengku Razaleigh dalam perjalanan untuk melihat sejarah besar negara ketika itu iaitu sesuatu yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia Perkara-20.

Kenapa beliau memilih untuk melawat kandang lembu di saat akhir?

Punca kemalangan ialah kerana pesawat Nomad itu terlebih muatan. Sepatutnya 6 penumpang sahaja tetapi dinaiki 11 orang.

Juruterbang gagal menaikkan sayap pesawat untuk diselaraskan dengan tekanan minyak dan akhirnya menyebabkan kemalangan.

Sejak itu, kerajaan tidak menggalakkan VIP menaiki pesawat sama pada waktu serentak terutama membabitkan jumlah yang ramai.

Adakah logik golongan VIP sanggup bersesak macam sardin dalam satu pesawat? Tiadakah bajet untuk menaiki pesawat yang lebih besar?

Kertas Siasatan di Buka Semula?

Peristiwa Double Six, Tragedi Atau Konspirasi?

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menggesa kerajaan supaya membuka fail nahas pesawat Nomad 6 Jun 1976 itu untuk sisatan terperinci dan kajian beterusan punca nahas pesawat tersebut.

Timbulnya gesaan untuk dibuka fail siasatan semula tragedi ini adalah ekoran daripada nastolgia Tengku Razaliegh Hamzah di Sabah dengan menyatakan bahawa beliau keluar dari pesawat itu pada minit akhir dan tindakan itu telah menyelamatkan nyawanya setelah pesawat itu terhempas di Sembulan.
"Biasanya, adalah wajar untuk membuka semula siasatan ke atas kejadian lama jika ada maklumat baru.

"Dalam hal ini, maklumat baru itu adalah versi kejadian itu menerusi Razaleigh yang diletakkan dalam rekod umum buat pertama kalinya."

Apa yang dinyatakan oleh Datuk Yong Teck Lee dalam petikan di atas, dengan jelas pendiriannya berhubung isu itu supaya pihak kerajaan menyiasat semula perkara itu kerana yakin kenyataan Tengku Razaleigh itu merupakan maklumat terbaru yang boleh membantu dalam siasatan.

Datuk Yong Teck Lee begitu berminat dengan peristiwa ini dengan berhujah bahawa pada kebiasaannya ahli pengkaji sejarah dan ahli forensik akan menyiasat semula kemalangan, jenayah dan kejadian lama yang tidak dapat dijelaskan.

Beliau mengambil contoh kes pembunuhan Kennedy, Martin Luther King dan Benazir Bhutto yang menjadi kajian berterusan sehingga menemuai bahan bukti yang memuaskan.

Mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman pula telah mempersoal motif sebenar Yong Teck Lee dalam perkara ini kerana selama 30 tahun ahli keluarga yang terlibat dalam nahas double six ini tidak pernah meminta supaya kes ini disiasat semula dan beliau khuatir apa yang dilakukan oleh Yong Teck Lee itu hanya bermotifkan poltik.

Dakwaan terbuka oleh Datuk Yong ini juga mendapat reaksi daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh, yang mengganggap gesaan membuka semula siasatan keatas nahas kapal Nomad itu adalah berniat jahat;

“Ia berniat jahat dan disasarkan untuk memperlekeh dan memfitnah saya. Dengan itu saya mencabar Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Naib Presiden Parti Keadilan Datuk Dr Jaffrey Kitingan untuk mengulangi kenyataan dan tuduhan mereka lebih khusus dan secara terbuka.”

Datuk Harris juga menyifatkan dakwaan Tengku Razaliegh dikeluarkan dari pesawat malang itu dalam minit akhir adalah tidah benar dan bercanggah dengan fakta.

Dalam soal ini Datuk Harris menjelaskan;

“Tengku Razaliegh tidak pernah dijadual terbang bersama-sama dengan Tuan Fuad Stephen ke Kota Kinabalu. Tengku Razaliegh bersama-sama dengan Tun Rahman Yaakub dijadual terbang ke Kudat...”

Anak kepada salah seorang daripada 11 mangsa nahas udara 6 Jun 1976 iaitu Donald Peter Mojuntin yang merupakan ADUN Moyog, mempersoalkan motif kenyataan Datuk Yong Teck Lee berhubung siasatan semula ke atas Tragedi Double Six.

“Sekiranya ia merupakan satu propaganda poltik, maka dari sudut pandangan keluarganya, ia adalah salah dan tidak wajar.

Bagi keluarga saya, walau apapun yang telah terjadi dan siapa yang bertanggungjawab, biarlah Tuhan yang menghakiminya. Kami tidak boleh terus hidup dalam kehidupan yang penuh dengan kesangsian dan kemarahan.”

Sehingga ke hari ini kertas siasatan ke atas peristiwa yang penuh dengan misteri dan teori konspirasi ini yang terus mencetuskan pelbagai persepsi ini tidak di buka semula.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: dailyrakyat