Sunday, July 12, 2020

5 Pemenang Jackpot Paling Lumayan Di Dunia

5 Pemenang Jackpot Paling Lumayan Di Dunia

Jika anda bermain loteri atau nombor ekor, ia semata-mata bergantung kepada nasib dan di Malaysia, hadiah paling lumayan dimenangi adalah pada tahun 2017 di mana seorang wanita berusia 40 tahun telah memenangi wang tunai bernilai RM69.6 juta melalui Grand Toto 6/63.

Namun, nilai ini tidaklah setanding dengan hadiah jackpot lumayan yang dimenangi dalam senarai ini.

Nota: Artikel ini bukan untuk menggalakkan anda berjudi yang ternyata merugikan, hanya sekadar perkongsian.

1. Mavis Wanczyk - RM3.09 bilion

Pemenang Jackpot Paling Lumayan

Seorang pekerja hospital dari Masschusetts, Mavis Wanczyk, telah memenangi hadiah loteri paling tinggi di dunia, iaitu RM3.09 bilion, jackpot Powerball pada Ogos 2017.

Wanita ini serta-merta memberitahu majikannya bahawa dia ingin berhenti kerja disebabkan kemenangan itu.

Menurut Mavis, dia menggunakan gabungan angka tarikh lahir untuk membeli tiket loteri.

Mavis memilih pilihan bayaran wang tunai sekali gus bernilai RM1.95 bilion, atau RM1.37 bilion.

Pemenang yang ingin menerima wang tunai penuh perlu memilih pilihan pembayaran yang mengambil masa beberapa dekad, yang dibayar setiap tahun.

Kebarangkalian untuk memenangi jackpot Powerball adalah 1 dalam 292,201,338.

2. Gloria Mackenzie - RM2.4 bilion

Pemenang Jackpot Paling Lumayan

Berusia 84 tahun, seorang warga emas dari Florida, AS telah memenangi jackpot Powerball paling tinggi dalam sejarah, bernilai RM2.4 bilion pada tahun 2013.

Ketika ditemui di ibu pejabat loteri, Gloria memberitahu bahawa kemenangannya itu hanyalah disebabkan nasibnya yang baik.

"Ketika sedang beratur, seorang pemain loteri yang baik hati telah membenarkan saya memotong barisannya untuk membeli tiket Quick Pick."

Gloria kemudiannya membeli 5 tiket dengan harga berjumlah RM40 dan oleh kerana usianya yang sudah lanjut, Gloria memilih untuk mendapatkan bayaran sekali gus, bernilai RM1.5 bilion sebelum cukai.

3. Wanita dari New Hampshire - RM2.28 bilion

Wanita dari New Hampshire

Pada 6 Januari 2018, seorang wanita yang tidak diketahui identitinya telah memenangi jackpot Powerball bernilai RM2.28 bilion.

Namun, wanita tersebut tidak mahu identitinya didedahkan kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti pemenang jackpot yang lain di mana menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, undang-undang negeri memerlukan nama dan alamat pemenang untuk memastikan dia tidak mempunyai kaitan dengan loteri tersebut.

Hadiah yang dimenanginya dituntut oleh peguamnya ketika kes mahkamah untuk menyembunyikan identitinya masih berlangsung.

Hadiah dituntut dengan pilihan wang tunai sekali gus bernilai RM1.43 bilion.

4. Pemenang dari California (masih belum menuntut hadiah) - RM2.21 bilion

Pemenang dari California

Pada Julai 2018, pihak California Lottery telah menyerahkan cek simbolik bernilai RM4 juta kepada pemilik kedai minuman keras yang menjual tiket loteri Mega Millions yang bernilai RM2.21 bilion.

Namun, pemenang loteri ini masih belum muncul untuk menuntut hadiah dan tempoh 1 tahun diberikan kepadanya.

Pemenang boleh memilih pilihan wang tunai lump sump sebanyak RM1.3 bilion, atau hadiah penuh RM2.21 bilion yang dibayar dalam tempoh 29 tahun.

Pemilik kedai tersebut, Kewal Sachdev, 65, sedang tidur ketika pekerja loteri menelefonnya dan memberitahu kedainya menjual tiket yang memenangi Mega Millions.

"Saya masih cuba untuk menghadam apa yang berlaku. Saya tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi," kata Kewal.

5. Pasangan suami isteri dari Indiana - RM2.18 bilion

Pasangan suami isteri dari Indiana

Pada Julai 2016, tiket yang dibeli oleh seorang pemenang telah ditabalkan sebagai memenangi jackpot Mega Millions bernilai RM2.18 bilion.

Namun, beberapa minggu kemudian, pemenang ini masih tidak muncul untuk menuntut hadiahnya, sehinggalah hampir sebulan, pasangan suami isteri dari Indiana telah memunculkan diri dan mengesahkan bahawa mereka adalah pemenang tersebut.

Ketika memenangi jackpot ini, ia merupakan kemenangan terbesar dalam sejarah Mega Millions dengan satu tiket.

Pasangan tersebut yang tidak mahu dikenali memberitahu bahawa, mereka terlupa yang mereka telah membeli tiket loteri.

Mereka kemudiannya terjumpa tiket tersebut, memeriksa nombor dan menyedari bahawa mereka adalah pemenangnya.

Tidak percaya dengan apa yang berlaku, mereka mematikan dan menghidupkan semula komputer bagi memastikan ia benar-benar berlaku.

Pasangan ini memutuskan untuk menerima bayaran lump sump bernilai RM1.54 bilion sebelum cukai atau RM1.10 bilion selepas cukai.

Kebarangkalian untuk memenangi jackpot Mega Millions adalah 1 dalam 258,890,850.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi


Wednesday, February 05, 2020

5 Negara Yang Paling Taksub Menjalankan Hukuman Mati

5 Negara Yang Paling Taksub Menjalankan Hukuman Mati

Hukuman mati telah lama dilaksanakan, namun ada negara tidak lagi melaksanakannya, tetapi terdapat juga yang kelihatan seperti gemar untuk menjatuhkan hukuman mati. Malah ada yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa pemerintahan bagi menjalankan hukuman mati.

Negara dengan Hukuman Mati

Kami kongsikan 5 negara paling terkenal dengan hukuman mati.

1. China

Apabila bercakap mengenai rakyat China yang dihukum mati, Amnesty International sudah berputus asa terhadap angka dan hanya meletakkan simbol "+".

Ini kerana pelaksanaan hukuman mati di China sangat bergantung kepada hukuman rahsia, pengakuan paksa dan perkara-perkara lain yang menimbulkan beberapa persoalan serius mengenai sistem keadilan negara.

Sesetengah laporan juga menunjukkan bahawa pengambilan organ juga berlaku.

China mengklasifikasikan hukuman mati sebagai rahsia negara. Mereka tidak mendedahkan nama-nama pesalah yang dihukum mati dan dengan ini pihak luar tidak dapat menganggarkan jumlah dengan tepat.

Malah, ahli keluarga pesalah juga hanya mengetahui tentang hukuman ini setelah ia dilaksanakan.

Anggaran sangat konservatif mengatakan bahawa China melaksanakan hukuman mati terhadap kira-kira 2,000 orang setiap tahun dan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Hanya satu perkara yang pasti iaitu, China membunuh lebih ramai orang setiap tahun, berbanding gabungan negara-negara lain di seluruh dunia.

2. Korea Utara

Tidak ada yang mengetahui dengan tepat berapa ramai rakyat Korea Utara dihukum mati setiap tahun tetapi mungkin anggaran yang paling hampir adalah "ramai".

Namun, perkara ini lebih menyeramkan apabila anda tidak hanya fokus kepada jumlah mereka yang dihukum mati, tetapi juga kepada cara hukuman dilaksanakan.

Walaupun negara ini secara teknikalnya menyenaraikan kaedah tali gantung dan ditembak sebagai cara paling umum, undang-undang Korea Utara membenarkan hampir semua cara asalkan ia membunuh, termasuk diletupkan dengan artileri anti-pesawat!

Walaupun kebanyakan hukuman mati di Korea Utara tidak diketahui dunia luar, negara ini terkenal dengan hukuman mati di khalayak ramai.

Banduan yang melarikan diri telah melaporkan bahawa sesebuah penjara boleh melaksanakan sehingga 20 hukuman mati setiap tahun untuk menjadi contoh kepada orang lain.

3. Iran

Iran boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang "sangat gembira" dengan pelaksanaan hukuman mati, dengan lebih daripada 500 hukuman mati pada 2017 sahaja yang menyumbang kepada 51% daripada hukuman mati di dunia.

Negara ini lebih suka hukuman gantung sebagai kaedah pelaksanaan utamanya, dan Amnesty International melaporkan bahawa aspek hukuman yang paling malang tentang hukuman mati Iran adalah ia dapat diterapkan khususnya terhadap warga belia.

Pesalah remaja seusia 9 tahun bagi perempuan dan 15 tahun bagi lelaki boleh dijatuhi hukuman mati dan Iran tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya.

Di antara tahun 2005 dan 2015, sekurang-kurangnya 73 pesalah muda berhadapan dengan tali gantung.

Ketika ini, PBB menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 160 rakyat Iran yang berusia di bawah 18 tahun sedang didakwa atas jenayah dilakukan, menunggu masa untuk dihukum mati.

4. Arab Saudi

Arab Saudi melaksanakan hukuman mai terhadap 146 orang pada tahun 2017 dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikannya.

Selama 4 bulan pertama tahun 2018, negara ini memenggal kepala 48 pesalah.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara yang masih menjalankan hukuman pancung di khalayak ramai.

Antara kesalahan dan jenayah orang yang dijatuhi hukuman mati termasuklah rompakan, dadah, rompakan bersenjata dan juga berzina.

5. Iraq

Iraq menjatuhkan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya 125 orang pada tahun 2017, walaupun hukuman mati secara besar-besaran dan lesapnya rejim Saddam Hussein adalah perkara lepas, namun negara ini masih meneruskan hukuman mati.

Skop jenayah yang tertakluk kepada hukuman mati menjadi semakin luas selama 20 tahun kebelakangan ini dan beberapa pemerhati telah menuduh Iraq dengan dasar "pembersihan penjara", iaitu menggunakan hukuman mati untuk membersihkan penjara dari ribuan tahanan.

Hukuman mati di Iraq boleh dilaksanakan dengan sangat cepat terutamanya jika jenayah yang disyaki adalah cukup berat.

Seorang wanita berusia 42 tahun tanpa penasihat undang-undang dibicarakan pada tahun 2018 dan hanya diberikan 2 minit untuk mempertahankan dirinya sebelum dihukum mati dengan tali gantung.

Sekumpulan wanita yang disyaki terlibat dengan ISIS dan hakim hanya mengambil masa 2 jam untuk membicara dan menjatuhkan hukuman mati terhadap 14 wanita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, November 05, 2019

5 Negara Paling Kotor Di Dunia

5 Negara Paling Kotor Di Dunia

Di seluruh dunia, isu kebersihan adalah topik utama terutamanya bagi memastikan tahap kesihatan rakyat dinegara masing-masing sentiasa terjaga, seterusnya menjamin keyakinan pelancong untuk datang melawat ke negara tersebut.

Negara yang diletakkan dalam senarai negara terkotor adalah kebanyakannya terdiri daripada negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi.

Disini kami kongsikan 5 negara terkotor di dunia.

5. China

China pollution

China terkenal sebagai antara negara yang mempunyai popolasi yang tinggi di dunia, maka tidak hairanlah jika setiap aktiviti di China sinonim dengan kesesakan dan padat.

Malah, China juga mempunyai masalah sampah dan pelbagai jenis pencemaran lain.

Walau bagaimanapun, penduduk China harus dipuji kerana pandai menjadi rezeki dan telah menjadikan ekonomi negara China, kedua terbesar dunia. Yakin isu ini pasti akan ditangani kelak.

4. Bangladesh

Dhaka river

Aliran sungai Bangladesh merupakan antara yang paling kotor di dunia menyebabkan Bangladesh mengalami krisis air bersih.

Jumlah penduduk yang ramai juga mungkin salah satu penyebab mengapa krisis ini masih lagi berlarutan.

3. Somalia

Somalia dirty

Somalia merupakan antara negara paling miskin di dunia dan mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi.

82% rakyat Somalia berada pada tahap kemiskinan yang teruk dan terjejas dari sudut kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

Somalia juga telah dilanda konflik perang saudara dan juga kemarau berpanjangan semenjak 1990-an lagi.

2. Pakistan

Pakistan dirty

Pakistan terkenal dengan keindahan gunung-ganang, lembah dan tasik yang indah namun diletakkan sebagai negara kedua terkotor dunia.

Mungkin kekotoran ini juga dilihat dengan kekurangan insfrastruktur yang baik di negara itu.

Fakta menarik mengenai Pakistan adalah, ia negara ke 6 yang mempunyai penduduk teramai di dunia dan negara ke 2 yang mempunyai penduduk beragama Islam teramai di dunia selepas Indonesia.

1. India

Ganga River

India merupakan negara yang penuh dengan tradisi. Keagungan Sungai Gangga yang merupakan elemen penting peradaban India adalah antara yang mengagumkan dalam sejarah.

Namun, disebalik kemahsyuran Sungai Gangga, filem Bollywood, barisan pelakon yang cantik manis, India telah diletakkan sebagai Negara terkotor di dunia.

Peminat setia filem Bollywood lazimnya dipaparkan pemandangan gunung-ganang dan aksi kejar mengejar disebalik pokok-pokok seperti taman yang indah.

Hakikatnya, mungkin realiti sebenar adalah seperti dalam cerita Slamdog Millionaires?

Kesimpulan

Pelbagai kajian telah dilakukan mengenai kekotoran, sampah dan pencemaran dunia.

Secara asas, kita sebagai rakyat harus terus menyokong semua usaha yang dilaksanakan ini seperti kempen mengitar semula.

Nampak kecil namun sebenarnya memberikan impak yang besar kepada masa depan kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bawangputih

Wednesday, October 30, 2019

5 Negara Termiskin Di Dunia

5 Negara Termiskin Di Dunia

KDNK per kapita sering dianggap penanda taraf hidup sesebuah negara kerana ia mencerminkan kekayaan purata setiap penduduk yang tinggal di negara tersebut dan merupakan kaedah standard yang digunakan untuk membandingkan betapa miskin atau kaya sesebuah negara.

Negara Termiskin

Di Malaysia, KDNK per kapita pada tahun 2017 adalah sebanyak RM38,977.

Kali ini kami ingin berkongsi maklumat tentang 5 negara paling miskin di dunia berdasarkan KDNK per kapita.

1. Republik Demokratik Kongo

Walaupun republik ini kaya dengan sumber alam semula jadi minyak dan pertanian, malangnya KDNK per kapita 2018 yang diunjurkan hanyalah pada kadar RM1,858 per kapita, menjadikannya negara termiskin di dunia disebabkan sistem politik yang tidak stabil.

Terdapat rusuhan politik yang sangat teruk sejak kebelakangan ini kerana Presiden Joseph Kabila yang mengambil alih kuasa selepas pembunuhan bapanya pada tahun 2001 semakin menjadi-jadi.

Majoriti populasi republik ini kekal hidup di bawah garis kemiskinan dan menganggur.

2. Republik Afrika Tengah

Ekonomi Republik Afrika Tengah sangat bergantung kepada industri berlian yang dieksport, merangkumi antara 40 hingga 55% daripada pendapatan eksport negara.

Malangnya, dianggarkan separuh daripada berlian-berlian ini dijual di pasaran gelap yang telah menafikan hasil cukai kerajaan dan telah membantutkan usaha ahli perniagaan yang rajin dan berusaha melakukan perkara dengan cara yang betul.

Selain itu, perbalahan merebut sumber dan juga kawalan membawa kepada kemiskinan dan penderitaan yang luar biasa di negara ini.

Hasilnya, republik ini menjadi negara kedua paling miskin di dunia dengan KDNK hanya sebanyak RM2,605 per kapita.

3. Burundi

Terletak di rantau Great Lakes di Afrika, Burundi mempunyai sejarah perselisihan etnik dan rampasan kuasa tentera yang secara konsistennya menggelincirkan prospek jangka panjang dalam pembangunan negara.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), lebih daripada 80% populasi negara ini hidup di bawah garis kemiskinan.

Pergolakan politik sekali lagi menggegarkan negara ini sepanjang tahun 2015, walaupun terdapat peningkatan yang dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

KDNK per kapita Burundi adalah sebanyak RM3,249, antara yang paling rendah di dunia.

4. Liberia

PBB telah mengisytiharkan Liberia adalah negara defisit makanan, terletak di bahagian selatan Afrika, negara ini telah terkesan dengan teruknya oleh perang saudara yang berlangsung selama 14 tahun dan telah memecah-belahkan negara ini.

Selain itu, ekonomi negara ini hancur disebabkan wabak Ebola namun, sebelum ini ekonomi Liberia bergantung kuat terhadap bantuan asing.

Dan walaupun Liberia bergantung kepada industri pertanian, namun harga beberapa produk telah menurun membuatkan sukar untuk mendapat keuntungan.

Sebanyak 70% penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan dan KDNK per kapita adalah sebanyak RM3,503.

5. Niger

Niger adalah negara paling besar di Afrika barat yang bersempadan dengan Nigeria, dan sebahagian besar daripada kawasannya merangkumi Gurun Sahara.

Ini membuatkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan penduduknya menjadi sangat terhad.

Negara ini terkurung antara daratan dan miskin dari segi sumber alam, walaupun begitu, negara ini mempunyai rizab minyak namun disebabkan rasuah dan konflik dalaman, membawa kepada masalah ekonomi yang sangat teruk.

20% daripada negara ini tidak diliputi oleh padang pasir namun tetap mengalami kemarau berkala, perubahan iklim yang menguatkan lagi kesan ancaman gabungan daripada desertifikasi tanah pertanian dan bekalan air minuman.

Jumlah KDNK per kapita bagi Niger adalah sebanyak RM4,420.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, September 24, 2019

5 Individu Yang Memenangi Loteri Dengan Menipu

5 Individu Yang Memenangi Loteri Dengan Menipu

Sepanjang dekad ini, ramai orang telah cuba menipu loteri untuk memenangi hadiah yang tersangat banyak dan sesetengah daripada mereka melakukannya secara sah, ada juga yang melanggar undang-undang dan taktik lain dikatakan tidak dapat ditentukan sama ada salah atau tidak.

Menang Loteri Dengan Menipu
Gambar hiasan.

Salah satu taktik yang tidak melanggar undang-undang adalah dengan membeli tiket loteri dalam jumlah yang banyak namun ada syarikat loteri yang tidak membenarkan ini dilakukan.

Oleh itu, sesetengah pakar matematik, ahli statistik dan ahli ekonomi telah mengkaji loteri dengan terperinci dalam menentukan peluang terbaik untuk mereka menang.

Kami kongsikan 5 individu yang memenangi loteri dengan cara menipu.

1. Stefan Mandel

Menang Loteri Dengan Menipu

Pada tahun 1960-an, ahli ekonomi Romania, Stefan Mandel menghasilkan algoritma yang membenarkannya meramalkan lima daripada enam nombor tiket loteri yang menang dalam loteri Romania dengan tepat. Dia menggelar kaedahnya sebagai "combinatorial condensation".

Dia mengumpulkan wang daripada rakan dan ahli keluarganya untuk membeli beribu-tibu tiket yang mengandungi 5 nombor dan nombor rawak lain.

Dengan cara ini, Stefan memenangi hadiah bernilai RM81,000, yang kemudian dibahagikan kepada mereka yang terlibat dan memberikannya pulangan RM16,000.

Wang tersebut digunakannya untuk berhijrah ke Australia di mana dia mula menipu loteri sekali lagi.

Stefan sedar boleh memenangi loteri Australia jika dia membeli semua tiket yang ada. Ini kerana loteri Australia hanya membenarkan pemain untuk memilih enam nombor antara 1 dan 40.

Mandel pasti akan menang jika dia membeli setiap kombinasi nombor iaitu 3,838,380 tiket dengan harga $1 setiap satu.

Ini akan memberikan keuntungan selagi mana hadiah jackpot adalah melebihi $ 3,838,380 (RM16 juta).

Stefan berjaya meyakinkan beberapa pelabur yang berminat dan memenangi beberapa kali sebelum loteri Australia mengubah undang-undangnya bagi menutup kelemahan ini.

Stefan yang tidak putus asa beralih kepada loteri Virginia di Amerika Syarikat, di mana ia mempunyai kombinasi nombor antara 1 dan 44.

Ini bermakna terdapat 7,059,052 kombinasi nombor, yang mana jauh lebih rendah berbanding 25 juta kombinasi nombor bagi loteri lain di seluruh Amerika Syarikat.

Dia kemudiannya menubuhkan Dana Lotto Antarabangsa di bawah syarikatnya iaitu Pacific Financial Resources dan menjual saham kepada 2,524 pelabur.

Setiap pelabur melaburkan sekurang-kurangnya RM12,000 ke dalam skim itu yang mana digunakan Stefan untuk membeli beberapa komputer dan pencetak dan mengambil 16 orang pekerja untuk mencetak lebih daripada 7 juta tiket.

Namun, dia hanya mampu menghantar 5.5 juta tiket sebelum loteri tersebut tutup pada Februari 1992. Ini mengurangkan kemungkinannya untuk menang daripada 100% kepada 78%.

Nasib menyebelahi Stefan apabila dia memenangi hadiah jackpot bernilai RM113 juta dan lebih daripada RM3.8 juta untuk hadiah sampingan.

Loteri Virginia enggan membayar wang kemenangan tersebut dan memulakan penyiasatan yang melibatkan 14 agensi berlainan termasuk CIA, FBI dan Suruhanjaya Sekuriti Australia, namun siasatan mengesahkan bahawa Stefan tidak melakukan sebarang kesalahan atau penipuan.

Dia membayar kepada dirinya RM6.8 juta yuran perundingan dan memberikan hanya RM5,600 sahaja kepada setiap pelabur.

Hari ini, beberapa negeri di Amerika Syarikat mempunyai undang-undang yang menghalang orang ramai daripada meniru taktik ini.

2. Nick Perry

Menang Loteri Dengan Menipu

Pada tahun 1980, Nick Perry telah didedahkan sebagai rakan sejenayah dalam salah satu skandal paling buruk yang pernah melanda loteri AS. Ketika itu, Nick menjadi hos di studio televisyen di mana nombor-nombor pemenang dipilih.

Bola bernombor dimasukkan ke dalam mesin yang berputar dan memutarkan bola sebelum 3 bola rawak dipilih oleh mesin tersebut.

Nombor-nombor pada bola dianggap sebagai nombor yang menang dan ia secara langsung di televisyen yang mana Nick telah menjadi hos sejak tahun 1977.

Tanpa pengetahuan penonton, Nick bersama beberapa pekerja pejabat loteri dan televisyen telah berkomplot dengan Marago bersaudara untuk menipu rancangan tersebut.

Mereka mengecat semua bola kecuali dengan cat lateks yang menjadikannya lebih berat daripada biasa, kecuali bola bernombor 4 dan 6.

Ini bermakna bola yang akan menang adalah gabungan '4' dan '6'.

Pada 24 April 1980, mereka memenangi RM14.7 juta selepas mesin itu memilih nombor 666.

Namun, mereka tidak pernah menerima wang kemenangan itu kerana pegawai-pegawai loteri menjadi curiga di atas banyak tiket yang dibeli di seluruh negeri yang merupakan gabungan nombor 4 dan 6 sahaja.

Siasatan tidak lama kemudian mendedahkan hubungan jenayah antara Nick dan Marago bersaudara.

Marago bersaudara tidak menerima sebarang hukuman penjara dengan memberitahu pihak berkuasa tentang Nick dan pegawai loteri yang lain.

Nick dijatuhkan hukuman 7 tahun penjara, manakala pekerja loteri yang lain dihukum penjara 2 tahun dan kurang.

Nick Perry menafikan bahawa dia bersalah sehingga kematiannya pada tahun 2003.

3. Remmele Mazyck

Menang Loteri Dengan Menipu

Pada tahun 2009, Remmele Mazyck, seorang timbalan pengarah keselamatan di Arkansas Lottery memulakan skim untuk menipu loteri yang merupakan tempat dia bekerja.

Penganjur loteri sering memberikan beberapa tiket secara percuma untuk tujuan promosi.

Namun, Remmele mengumpul tiket-tiket tersebut dan tidak pernah memberikannya secara percuma, sebaliknya dia menggores untuk melihat sama ada tiket tersebut memenangi loteri atau tidak.

Remmele hanya menuntut hadiah di bawah RM2,000 kerana kemenangan yang tinggi memerlukan dirinya untuk hadir ke pejabat loteri.

Penipuan ini hanya diketahui 3 tahun kemudian iaitu pada Oktober 2012 apabila dia cuba menuntut hadiah loteri yang mana sepatutnya dijual oleh kedai yang tidak lagi wujud.

Penyiasat mendedahkan bahawa Remmele telah menuntut lebih daripada 22,000 kemenangan yang bernilai sekitar RM2 juta di antara tahun 2009 dan 2012.

Walau bagaimanapun, peguamnya mendakwa ini hanyalah nilai tiket yang diperolehi secara fraud dan tidak semuanya telah menang.

Mazyck dihukum penjara 37 bulan dan diperintahkan untuk membayar lebih daripada $482,000 dalam pembayaran balik.

Remmele dihukum penjara 37 bulan dan diperintahkan membayar balik wang yang dituntutnya.

4. Zhao Liqun

Menang Loteri Dengan Menipu

Pada tahun 2005, Zhao Liqun, seorang lelaki Cina yang mengendalikan tiga kedai loteri untuk Loteri Kebajikan Cina, menemui satu kelemahan yang membolehkannya membeli tiket dengan nombor yang menang dalam masa lima minit ketika pengumuman nomber tersebut dibuat.

Zhao mengeksploitasi kelemahan ini untuk memenangi hadiah RM15.7 juta dalam tempoh 2 tahun.

Dia sering menggunakan kawan-kawan dan jiran-jirannya menuntut hadiah kemenangan supaya dia tidak membangkitkan syak wasangka.

Walau bagaimanapun, Zhao ditangkap pada Januari 2007 selepas pegawai loteri mendapati bahawa penuntut hadiah loteri bukanlah orang yang sama membeli tiket itu.

Zhao menerima hukuman penjara seumur hidup dan semua hartanya dirampas oleh kerajaan.

5. Eddie Tipton

Menang Loteri Dengan Menipu

Pada 23 Disember 2010, seorang lelaki berpakaian baju sejuk masuk ke sebuah kedai QuikTrip di Iowa, Amerika Syarikat dan membeli tiket loteri Iowa Hot Lotto.

6 hari kemudian, dia diisytiharkan sebagai pemenang hadiah jackpot bernilai RM69 juta selepas tekaan keenam-enam nombornya adalah tepat.

Hadiah itu tidak dituntut sehingga November 2011, apabila seorang peguam bernama Philip Johnston menelefon pejabat loteri tersebut untuk menuntut hadiah.

Philip memberitahu nombor siri tiket dengan tepat namun apabila ditanyakan pakaian yang dipakai oleh pemenang ketika membeli tiket, dia menjawab dengan salah.

Dia kemudiannya mengaku bahawa cuba untuk menuntut hadiah tersebut bagi pihak anak guamnya yang tidak mahu identitinya diketahui.

Pejabat loteri enggan memberikan hadiah tersebut kerana peraturan loteri Iowa mewajibkan pemenang datang sendiri.

Cubaan kedua untuk menuntut hadiah dibuat menggunakan firma guaman untuk satu amanah gagal apabila pihak syarikat mendapat tahu bahawa Phillip Johnston merupakan presiden amanah tersebut.

Mereka menjadi curiga dan melakukan siasatan. Pihak berkuasa mempunyai video CCTV ketika lelaki tersebut membeli tiket namun tidak dapat mengenalinya, jadi mereka mengeluarkan rakaman itu, dengan harapan orang ramai akan membantu.

Akhirnya lelaki identiti lelaki tersebut didedahkan sebagai Eddie Tipton.

Eddie merupakan pekerja di pejabat loteri itu yang mana telah menghasilkan satu perisian yang memilih nombor yang menang.

Pihak berkuasa kemudiannya mendapati bahawa Eddie telah memprogramkan perisian ke dalam salah satu daripada dua buah komputer yang menentukan nombor yang menang.

Ketika Eddie sedang dalam perbicaraan, seseorang yang tidak dikenali memberitahu kepada polis bahawa abang Eddie iaitu Tommy Tipton pernah memenangi loteri yang sama 10 tahun sebelum itu.

Pada tahun 2007, salah seorang kawannya, Robert Rhodes, juga memenangi RM3.3 juta dari loteri Wisconsin.

Eddie dibicarakan atas dua tuduhan penipuan dan menerima hukuman 25 tahun penjara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, August 25, 2019

5 Syarikat Insurans Terbaik Di Dunia

5 Syarikat Insurans Terbaik Di Dunia

Syarikat insurans menawarkan kepastian terhadap kesakitan ekonomi yang kita alami, seperti menampung kos belanja perubatan jika sesuatu buruk berlaku dan tahukah anda, dalam banyak-banyak syarikat insurans yang wujud di dunia, berikut adalah yang terbaik kerana mampu memberikan perlindungan terhebat kepada pemegang polisi.

Syarikat Insurans Terbaik

Banyak kriteria untuk syarikat-syarikat ini terpilih termasuklah kutipan premium, pendapatan, keuntungan, permodalan pasaran, aset dan banyak lagi. Susunan kedudukan adalah secara rawak.

1. Prudential plc

Syarikat insurans yang berasal dari British ini berpangkalan di London, United Kingdom.

Prudential plc diasaskan di London pada tahun 1848 dan beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kepada 24 juta pelanggan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Asia dan baru sahaja melebarkan sayap ke Afrika.

Dengan kakitangan seramai 22,308 di seluruh dunia, ia menjadi salah satu syarikat insurans terbaik di dunia dengan asset sebanyak RM2.8 trilion.

Antara anak syarikat Prudential plc dan menjadi bisnes utama dalam kumpuan ini adalah Prudential Corporation Asia, Prudential U.K, Jackson National Life Insurance Company dan juga M&G Investment.

Prudential U.K merupakan antara salah satu pembekal utama pencen manakala Jackson National Life Insurance Company adalah syarikat insurans utama di Amerika Syarikat.

Prudential plc juga disenaraikan dalam bursa saham London, Hong Kong, Singapura dan juga New York.

Prudential plc merupakaan antara 3 pembekal insurance hayat terbaik di Malaysia, Hong Kong, India, Indonesia, Singapura, Filipina dan juga Vietnam.

Pada tahun 2016, Prudential plc menjana keuntungan sebanyak RM394 billion.

2. Berkshire Hathaway

Syarikat konglomerat dari Nebraska, Amerika Syarikat ini diasaskan pada tahun 1889 dan dikaitkan dengan Warren Buffet, orang yang bertanggungjawab menjadikan Berkshire Hathaway sebagai salah satu syarikat terbesar di dunia.

Warren Buffet juga merupakan Presiden, Pengerusi Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat insurans ini.

Selain daripada insurans, syarikat yang berpangkalan di Omaha ini juga merupakan peneraju dalam pengurusan pelaburan dan terlibat dalam beberapa industri lain termasuk kewangan, utiliti dan tenaga, pembuatan, servis dan juga peruncitan, melalui anak-anak syarikatnya.

Syarikat-syarikat di bawah Berkshire Hathaway termasuklah GEICO, BNSF, Dairy Queen, FlightSafety International, Lubrizol, Fruit of the Loom, Helzberg Diamonds dan NetJets.

Ia juga merupakan pemegang saham sebanyak 26% syarikat Kraft Heinz. Sebanyak RM1.23 trilion keuntungan dikaut oleh syarikat ini pada tahun 2016.

3. AXA

AXA merupakan sebuah syarikat insurans Perancis yang boleh dikatakan sebagai syarikat insurans nombor 1 di dunia.

Ia diasaskan 200 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1817 melalui gabungan beberapa syarikat insurans dan juga merupakan antara syarikat insurans tertua di dunia.

Beroperasi di 56 buah negara dan mempunyai kakitangan seramai 157,000 orang, syarikat ini berjaya memenangi hati 102 juta pelanggan di serata dunia.

Insurans harta dan kecederaan, insurans hayat, simpanan dan pengurusan aset adalah merupakan perniagaan utama oleh AXA.

Syarikat ini berpangkalan di Paris, Perancis dan berurusan di beberapa benua termasuklah benua Amerika, Afrika dan Eropah serta negara-negara di Asia Pasifik dan Timur Tengah.

AXA berjaya memperoleh 51% operasi insurans daripada syarikat Colpatria Seguros di Colombia, dan juga memperoleh 50% daripada syarikat Tian Ping (syarikat hartanah dan insurans kecederaan), membuatkan AXA menjadi pembekal insurans antarabangsa terbesar di China.

Keuntungan oleh syarikat AXA pada tahun 2016 adalah sebayak RM503 billion.

4. Zurich Insurance Group - Switzerland

Syarikat Zurich Insurance Group beroperasi di lebih 170 negara di serata dunia yang menawarkan produk dan servis insurans.

Diasaskan di Switzerland pada tahun 1872, ia mempunyai 55,000 kakitangan di seluruh dunia dan teras utama kepada syarikat ini termasuklah insurans am, kehidupan global dan juga insurans petani.

Zurich Insurance Group menjana keuntungan sebanyak RM289 billion pada tahun 2016.

5. China Life Insurance

Syarikat insurans ini adalah syarikat termuda dan merupakan satu-satunya syarikat yang diasaskan pada abad ke-20 dalam senarai ini.

China Life Insurance adalah syarikat insurans dan servis kewangan terbesar yang dimiliki oleh kerajaan China.

Walaupun masih baru, ia mampu bersaing dengan syarikat-syarikat yang berusia ratusan tahun.

Antara salah satu faktor adalah disebabkan populasi rakyat China yang hampir mencecah 1.4 billion orang.

Diasaskan pada tahun 1949, syarikat ini melalui proses penstrukturan pada tahun 2003 dan mempunyai 7 anak syarikat.

Perniagaan China Life Insurance berteraskan insurans hayat, pelan pencen, pengurusan aset, hartanah dan kecederaan, pegangan pelaburan dan juga operasi luar negara.

China Life Insurance disenaraikan di bursa saham New York, Hong Kong dan Shanghai.

Dengan aset RM1.56 trilion, syarikat ini merupakan syarikat insurans hayat awam terbesar dari segi permodalan pasaran di dunia.

Syarikat Insurans Hayat Terbaik Di Malaysia

Menurut laman sesawang Health Family, berikut adalah 9 syarikat insurans hayat terbaik di Malaysia pada tahun 2016:
  1. Great Eastern Life Assurance
  2. Prudential Assurance Malaysia Berhad
  3. Mayban Life Assurance
  4. Manulife
  5. AIA (American International Assurance)
  6. Allianz Life Insurance Malaysia Berhad
  7. Tokio Marine Life Insurance
  8. Zurich Insurance Malaysia
  9. Hong Leong Assurance

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, August 20, 2019

5 Gaya Hidup Orang Jepun Yang Sangat Teruk Untuk Dicontohi

5 Gaya Hidup Orang Jepun Yang Sangat Teruk Untuk Dicontohi

Tidak dapat dinafikan, Jepun mempunyai banyak budaya dan adat yang unik, serta berupaya mendidik orang ramai dengan cara yang tidak formal malah boleh berlaku secara semulajadi namun, pernahkah anda terfikir selain daripada budaya positif, adakah budaya negatif masyarakat Jepun yang tidak sesuai untuk dijadikan panduan moral masyarakat kita? Ada.

Gaya Hidup Orang Jepun
Gambar hiasan.

Ini 5 budaya dan gaya hidup yang kami rasakan sangat tidak sesuai namun diamalkan oleh masyarakat Jepun.

1. Layanan terhadap banduan hukuman mati

Dalam sistem Jepun, wujud perbezaan di antara banduan biasa dan banduan yang sudah disahkan bakal berdepan hukuman mati.

Mereka yang bakal dihukum, akan diasingkan dalam penjara-penjara khas di lokasi berbeza yang digelar pusat tahanan.

Segala hal ehwal kebajikan mereka di situ, hanya bergantung kepada budi bicara pengelola pusat tahanan. Semua tahanan tidak diberikan kebebasan seperti banduan biasa dan dilarang berbual sesama mereka.

Setiap banduan hukuman mati hanya dibenarkan keluar beriadah dua kali seminggu serta tidak dibenarkan bersenam dalam penjara sendiri. Tidak ada televisyen dibenarkan dan hanya 3 buku dibenarkan dalam simpanan mereka.

Apa yang menyedihkan, banduan hukuman mati tidak mengetahui tarikh akhir mereka. Selepas kelulusan hukuman dikeluarkan, hukuman wajib diselesaikan dalam tempoh 5 hari.

Setiap banduan hanya akan mengetahui bila mereka akan digantung pada awal pagi hari hukumannya dan diberikan makanan terakhir.

Selepas selesai hukuman, barulah waris akan diberitahu hukuman sudah dijalankan.

2. Pecat pekerja dengan cara menyeksa jiwa

Di Jepun, syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja berhadapan kesukaran undang-undang untuk membuang pekerja yang bermasalah.

Mereka mungkin akan disiasat atas pemecatan pekerja tersebut atau perlu melangsaikan pampasan pada kadar yang tinggi.

Bagi memastikan pekerja itu berjaya dipecat, kebanyakan syarikat di Jepun mencipta sebuah bilik khas untuk menempatkan pekerja ini.

Jangan terkejut, syarikat gergasi seperti Hitachi, Sony dan Panasonic turut sama mengamalkan amalan ini!

Pekerja yang ingin dibuang akan ditempatkan dalam sebuah bilik yang hanya mempunyai sebuah komputer beserta kerusi dan meja, dengan komputer tersebut biasanya mengandungi perisian ringkas.

Pekerja itu akan diberikan kerja-kerja leceh seperti perlu memeriksa video CCTV berjam-jam lamanya atau melakukan kemasukan data, sehinggalah mereka sendiri tidak tahan dan mohon berhenti.

Ada juga yang diwajibkan menonton skrin bagi mencari keganjilan dalam rancangan televisyen.

Panasonic misalnya, menubuhkan divisyen khas 'Business and Human Resources Development Center' bagi menempatkan golongan ini.

Daripada 450 orang yang diletakkan dalam divisyen tersebut, 35 orang berhenti selepas tidak tahan dan 29 lagi minta ditukarkan secara suka rela.

3. Gila pachinko

Pachinko adalah sebuah mesin di mana pemain perlu memasukkan bola ke dalam sasaran.

Siapa berjaya akan mendapat lebih banyak bola yang boleh ditukarkan kepada hadiah di pusat permainan.

Sekiranya pemain berjaya mendapat tiga simbol serupa pada mesin, 10,000 biji bola akan dihadiahkan kepada pemain.

Terdapat tiga tahap mesin pachinko, Hanemono, murah tetapi hadiahnya biasa-biasa saja. Deji-Pachi pula, mesin pachinko dalam versi elektronik yang lebih moden dan bagi mereka yang benar-benar serius bermain pachinko, mereka biasanya bermain di mesin yang digelar Kenrimono, yang mempunyai peraturan tertentu untuk menang.

Walaupun begitu, ramai orang sebenarnya bermain pachinko untuk berjudi walaupun realitinya, judi merupakan satu jenayah di Jepun.

Selepas mengumpulkan bola-bola yang dimenangi dengan hadiah, pemain kebiasaannya akan menukarkan hadiah itu kepada duit di kaunter-kaunter tersembunyi yang dibuka di bahagian belakang kedai pachinko.

4. Hikikomori

Golongan anak muda gemar mengasingkan diri mereka di dalam bilik, kerap berlaku di mana-mana.

Bagaimanapun, di Jepun tabiat itu menjadi satu fenomena yang membimbangkan.

Hikikomori membawa maksud 'memencilkan diri' sering menjadi pilihan anak muda Jepun, dengan anggaran lebih 700 ribu orang anak muda Jepun menyembunyikan diri mereka dalam bilik. Purata umur mereka 31 tahun.

Kes-kes yang diklasifikasikan sebagai hikikomori memerlukan seseorang memencilkan diri selama sekurang-sekurangnya 6 bulan dan tempoh tersebut bukanlah sesuatu yang jarang didengari.

Ada yang senyap bertahun-tahun lamanya, duduk seorang diri jauh daripada hidup bermasyarakat.

Kebanyakan kes hikikomori berpunca daripada masalah yang dihadapi individu itu, menyalahkan diri sendiri atas sesuatu kejadian yang berlaku.

Masalah tekanan pendidikan di Jepun yang terlalu mementingkan kedudukan dan persaingan juga menjadi antara penyebab masalah ini terus berleluasa.

5. Kodokushi

Sekiranya hikikomori memilih untuk memencilkan diri, kodokushi pula adalah fenomena mati sendirian yang kerap berlaku di Jepun, tak kiralah melibatkan orang tua ataupun anak muda.

Statistiknya juga semakin meningkat, dengan jumlah kes menaik melibatkan semakin banyak golongan tahun ke tahun.

Dalam tahun 2005, dianggarkan hampir 5 peratus pengebumian jenazah melibatkan individu kodokushi.

Fenomena ini dikatakan berlaku disebabkan oleh perubahan sistem hidup masyarakat Jepun yang kini tidak lagi hidup bersama, walaupun tinggal satu keluarga.

Warga tua yang ditinggalkan anak-anak sendirian terpaksa berseorangan menempuh hidup dan akhirnya meninggal dunia sendiri tanpa diketahui.

Dalam satu kes pada tahun 2000, seorang warga tua telah meninggal dunia, hanya ditemui selepas 3 tahun.

Itupun kerana baki wang dalam akaunnya tidak lagi mencukupi dan pemotongan khidmat utiliti air dan elektrik perlu dijalankan.

Yang menjadi isu sekarang, fenomena ini mula melibatkan orang muda dan pada tahun 2017, dilaporkan bahawa jumlah kes kodokushi melibatkan orang muda semakin tinggi, dengan 238 kes dilaporkan pada tahun 2015 melibatkan individu berusia 20-an dan 30-an. 80 peratus daripadanya melibatkan individu lelaki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi