Friday, May 15, 2020

Kisah Florence Nightingale Pelopor Bidang Kejururawatan Moden

Kisah Florence Nightingale Pelopor Bidang Kejururawatan Moden

Tahukah anda bahawa tarikh 12 Mei adalah tarikh lahir bagi seorang tokoh wanita yang mengasaskan bidang kejururawatan moden? Ya, nama wanita legenda ini adalah Florence Nightingale, dilahirkan pada 12 Mei 1820 di Florence, Itali. Beliau adalah adik bongsu dalam keluarga dua adik-beradik.

Florence Nightingale 1860
Florence Nightingale pada tahun 1860.

Kehidupan keluarga Nightingale amat mewah dengan status keluarganya sebagai golongan sosial elitis.

Ibunya, Frances Nightingale berasal dari keluarga peniaga dan amat mementingkan hubungan dengan golongan elit lain bagi memperlihatkan status elitis keluarganya.

Namun, Florence merasa kekok untuk menjalani kehidupan keluarganya yang serba mewah itu. Dia cuba sedaya-upaya untuk tidak menjadikan dirinya sebagai perhatian orang lain.

Dia sentiasa bertengkar dengan ibunya kerana menganggap ibunya kuat mengawal kehidupanya.

Tidak bermaksud Florence adalah anak derhaka kerana dia seperti anak perempuan lain, berusaha mengembirakan ibunya.

Pernah suatu ketika, Florence menulis sesuatu bagi meredakan hubungan dengan ibunya yang semakin renggang:

"Saya rasa saya menemui sesuatu yang baik dan patut dipatuhi."

William Shore Noghtingale, ayah Florence adalah tuan tanah yang kaya, mempunyai dua buah tanah estat dari Lea Hurst, Derbyshire, dan Hampshire, Embley Park.

Florence dibesarkan di estat Lea Hurst dan memperoleh pendidikan klasik dari ayahnya dengan tambahan mempelajari Bahasa Jerman, Itali, dan Perancis.

Pada usia muda, Florence aktif dalam urusan kebajikan, menjaga pesakit dan warga miskin dalam perkampungan di estat keluarganya.

Pada umur 16 tahun, dia menemui kerjaya yang sesuai dengan dirinya, iaitu menjadi jururawat.

Apabila memberitahu cita-citanya, ibubapanya tegas menghalang niat anak perempuannya itu, malah memaksa Florence melupakan kerjaya itu.

Pada zaman Victoria di Eropah, apabila anak perempuan dari keluarga berada dalam usia remaja, dia wajib dijodohkan kepada seorang jejaka dari status yang sama, juga tidak boleh mengambil kerjaya yang dipantang hina oleh para elitis.

Pada umurnya 17 tahun, Florence membantah perancangan jodohnya kepada seorang jejaka yang dipilih keluarganya dan menjelaskan penolakan kepada pasanganya itu.

Pada tahun 1844, Florence tekad untuk mengambil jurusan kejururawatan di Lutheran Hospital of Pastor Fliedner yang bertempat di Kaiserwerth, German.

KERJAYA

Pada awal tahun 1850-an, Florence berhijrah ke London dengan jawatan sebagai jururawat dan berkhidmat di Middlesex Hospital.

Kerjaya beliau memberangsangkan dan mendapat perhatian majikannya sehingga beliau dilantik sebagai pengurus hospital walaupun hanya setahun berkhidmat.

Jawatan ini mencabar bagi Florence sehingga beliau terpaksa mengurus kehadiran pesakit wabak kolera dengan keadaan hospital yang tidak terurus dan berupaya terjangkit penyakit lain.

Dari situ beliau mempertingkatkan praktik kebersihan bagi mengurangkan kadar kematian di hospital.

Pada Oktober 1853, Perang Krimea berlaku, antara Empayar British dengan Empayar Rusia bagi kawalan terhadap Empayar Turki Uthmaniyyah yang semakin rapuh.

Beribu-ribu tentera British dihantar ke Laut Hitam dan pada masa yang sama bekalan perang semakin berkurangan.

Pada tahun 1854, lebih 18,000 anggota tentera British memenuhi hospital ketenteraan, namun pada masa itu tidak ada seorang jururawat wanita bertugas di hospital Krimea.

Kerana reputasi jururawat wanita yang teruk sebelumnya, pegawai perang menghentikan khidmat tersebut.

Lewat tahun 1854, Florence menerima surat dari Setiausaha Perang, Sidney Hberbert, meminta Florence mengurus sekumpulan jururawat perang yang sedang merawat para tentera di Krimea.

Florence menerima panggilan itu kemudian merekrut 34 orang jururawat dan beberapa hari kemudian mereka berangkat ke Krimea.

Setibanya di Scutari, sebuah hospital British yang bertempat di Konstantinopel (Istanbul), keadaan hospital itu amat teruk dan memilukan.

Sumber air yang tercemar, pengurusan hospital yang tidak teratur, para pesakit terlantar memenuhi setiap ruang hospital dan lebih jijik tikus dan lipas membiak pantas dan lalu-lalang di setiap sudut bilik pesakit.

Barangan asas seperti pembalut luka dan sabun semakin sukar didapati seiring peningkatan pesakit perang.

Tambahan pula, anggota tentera yang meninggal dunia oleh penyakit thyphoid dan kolera meningkat berbanding anggota tentera yang cedera.

Tanpa berlengah, Florence meneruskan kerjanya. Tidak pedulikan keadaan sekeliling, beliau mengambil berus luka dan meminta para jururawat untuk merawat para pesakit yang memenuhi ruangan hospital.

Setiap minit Florence melawat setiap pesakit tanpa lelah. Waktu malamnya, beliau melalui ruangan gelap menggunakan lampu, memeriksa pesakit demi pesakit.

Florence Nightingale rawat pesakit

Para pesakit yang selesa dengan layanan Florence menggelar beliau sebagai "Wanita dengan lampunya" atau "Bidadari Krimea".

Kesungguhan beliau mendapat keputusan yang baik iaitu merendahkan kadar kematian di hospital sebanyak 2/3.

Untuk menambahbaik kebersihan hospital, Florence memperkenalkan perkhidmatan pesakit sebagai cara meningkatkan kualiti layanan hospital.

Beliau juga memperkenalkan "dapur segera" dengan menyediakan makanan kepada para pesakit dengan diet yang digariskan. Dobi juga ditubuhkan untuk kebersihan pakaian pesakit.

Tambahan lagi perpustakaan dan kelas mengajar dibina untuk pendidikan dan hiburan pesakit.

Melalui pengalaman beliau di Krimea, Florence menulis laporan analisa bertajuk "Notes on Matters Affecting the Health, Efficiency and Hospital Administration of the British Army", sebanyak 830 muka surat yang merangkumi pengalaman dan membentangkan pembaharuan infrastruktur di hospital ketenteraan lain yang juga buruk kondisinya.

Laporan itu kemudian mencetuskan penstrukturan semula jabatan pentadbiran perang, termasuklah penubuhan Suruhanjaya Diraja Kesihatan Tentera (Royal Commission for the Health of the Army) pada 1857.

Florence tinggal di Scutari selama 1 tahun setengah dan setelah tamat Perang Krimea, beliau kembali ke tanah kelahirannya pada tahun 1856.

Apa yang dia tidak sangkakan adalah, sambutan meriah rakyat akan kepulangannya sebagai seorang hero.

Ratu England menghargai jasa Florence dan menghadiahkan beliau sebuah kerongsang yang digelar sebagai "Nightingale Jewel" serta wang sebanyak $250,000 dari kerajaan British.

Florence berhasrat menggunakan duit tersebut untuk kerjaya jangka masa panjang dan pada tahun 1860, Florence menubuhkan Hospital St. Thomas dan Sekolah Latihan Kejururawatan Nightingale, yang kini menjadi Fakulti Kejururawatan Florence Nightingale, sebahagian dari King's College London.

Dari usaha beliau, dia menjadi figura kebanggaan masyarakat. Banyak puisi dan lagu dicipta khas untuk Florence.

Manakala para remaja wanita ketika itu teringin menjadi heroin itu sehingga para wanita dari kelas elitis pergi belajar di sekolah jururawat.

Dan dengan berkat usaha Florence, jururawat kini dipandang sebagai kerjaya yang amat mulia.

AKHIR KEHIDUPAN

Bersama jururawat St Thomas
Bersama jururawat St Thomas.

Ketika di Scutari, Florence menghidap "Crimean fever" yang tidak dapat disembuhkan segera dan pada umur 38, kesakitan Florence semakin parah namun beliau tetap menahan diri demi kesembuhan para pesakit dan pembaharuan penjagaan kesihatan.

Pada usia tuanya, ketika menetap di Mayfair, dan kekal sebagai seseorang yang berpengaruh dalam bidang penjagaan kesihatan.

Florence meneruskan pembaharuan dengan menemuramah ahli politik dan menerima kunjungan pelawat ketika beliau terlantar di katil.

Pada tahun 1859, beliau menerbitkan buku Notes on Hospitals, fokus kepada pengurusan hospital awam.

Apabila berlaku Perang Saudara di Amerika Syarikat, Florence muncul untuk berunding bagi berbincang pengurusan terbaik terhadap hospital lapangan.

Beliau juga berkhidmat sebagai seseorang yang berpengaruh bagi berbincang tentang isu kebersihan awam di India walaupun beliau tidak pernah pergi ke India.

Pada tahun 1908, Florence dalam umur 88 tahun diberikan penghargaan dan kehormatan oleh Raja Edward.

Kemudian, pada Mei 1910, beliau mendapat surat berucap tahniah dari Raja George ketika sambutan hari lahir ke 90 tahun.

Pada Ogos 1910, Florence Nightingale merasa sakit namun sembuh semula dan dikatakan beliau masih bertenaga.

Seminggu kemudian, iaitu pada hari Jumaat bersamaan 12 Ogos 1910, beliau mendapat beberapa gejala penyakit yang mengganggu.

Pada keesokannya iaitu 13 Ogos, beliau meninggal dunia secara mengejut pada 2 petang di rumah kelahirannya.

Pada mulanya, Florence inginkan majlis pengebumian yang biasa saja dan tidak perlu sebarang perhatian walaupun orang ramai ingin menghormati kematiannya.

Demi menghormati permintaannya, suadara-maranya menolak pengebumian khas dari kerajaan.

Si "Wanita dengan Lampunya" telah dikebumikan bersama para keluarga di Westminster Abbey.

Disebelah Sekolah Latihan Kejururawatan Noghtingale, terbinanya Muzium Florence Nightingale yang menempatkan 2,000 buah artifak merangkumi kisah hidup dan karier Bidadari Krimea ini.

Pada hari ini, Florence Nightingale tetap dikenali ramai sebagai pelopor bidang kejururawatan moden.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, February 07, 2020

11 Nasihat Jack Ma Jika Anda Mahu Berjaya Dalam Bisnes

11 Nasihat Jack Ma Jika Anda Mahu Berjaya Dalam Bisnes

Siapa sangka, Jack Ma yang nama sebenarnya adalah Ma yun ternyata kurang cemerlang dari segi akademiknya dan permohonan beliau ditolak oleh banyak kolej dan akademi pengajian. Beliau juga selalu ditolak ketika memohon pekerjaan. Akhirnya beliau menamatkan pengajiannya di university yang tidak berprestij dan berkerja sebagai guru Bahasa Inggeris.

Nasihat Jack Ma
Jack Ma.

Jika anda mengamalkan pesanan beliau ini ketika anda miskin, walaupun tidak menjadi seorang jutawan, sekurang-kurangnya anda pasti tetap akan Berjaya.

Biasanya anda melakukan suatu kaedah dengan cara yang salah, maka sebaliknya inilah yang perlu anda lakukan:

Ketika miskin, kurang luangkan masa anda di rumah, perbanyakkan kegiatan di luar. Apabila sudah kaya, perbanyakkan waktu di rumah, kurangkan kegiatan anda di luar rumah. Ini adalah “Seni Kehidupan.”

Ketika miskin, gunakanlah wang ringgit anda untuk orang lain, ketika kaya gunakanlah wang ringgit anda untuk keluarga dan orang-orang yang anda sayangi! Ramai orang yang mengamalkan hal ini tetapi dengan cara terbalik.

Ketika miskin, berbuat baiklah terhadap orang lain, ini barulah namanya orang miskin tetapi bijak. Ketika kaya, harus belajar membuatkan orang lain baik terhadap anda dan anda harus lebih baik terhadap orang lain. Ini adalah cara hidup yang sangat indah, tapi tidak ramai orang yang memahami.

Ketika miskin hiduplah dalam kesederhanaan, tapi ketika kaya, jangan menunjuk-nunjuk. Hidup anda akan kembali menjadi sederhana, hidup anda akan menjadi tenang.

Masa muda adalah kekayaan paling besar, hargailah setiap waktu dalam kehidupan, jangan takut pada kemiskinan! Yang penting anda harus tahu bagaimana untuk melatih diri, perkara apa yang perlu diutamakan, apa yang harus dilaburkan dan bila masanya anda perlu berjimat.

Jangan sewenang-wenang membeli pakaian, anda boleh beli sedikit, tapi belilah yang tinggi kualitinya. Perbanyaklah makan dengan orang luar, anda harus berani mengeluarkan wang ringgit dan belanja orang-orang yang lebih banyak berkhidmat dan berkerja keras daripada anda.

Ketika wang simpanan untuk kehidupan anda sudah cukup, kebahagiaan terbesar adalah menggunakan wang hasil kerja keras anda sendiri untuk mencapai impian anda! Lebarkanlah sayap anda, kejar impian anda dan biarkan hidup anda melalui perjalanan hidup yang berbeza.

Kebahagiaan pasti akan hadir dalam kehidupan semua orang, selalulah muhasabah diri serta perbaiki kesalahan diri, maka anda akan perlahan-lahan melupakan bagaimana orang lain menjalani kehidupan mereka.

Tolong jangan sewenang-wenangnya mengkritik saya, kerana anda hanya tahu nama saya, tapi tidak tahu kisah hidup saya. Anda hanya mendengar apa yang saya lakukan, tapi tidak pernah tahu apa yang saya lalui.

Seseorang yang sangat kuat, tidak akan pernah menghabiskan waktu untuk mengambil hati orang lain. Mengenai perhubungan, itu semua hanyalah pelengkap, perkara yang paling penting adalah bagaimana anda meningkatkan kemampuan dalam diri sendiri. Orang hanya akan datang kepada anda setelah anda memperbaiki diri sendiri. Contohnya, anda sudah menjadi pokok yang rimbun, barulah burung-burung akan datang. Anda sudah menjadi lautan, barulah segala aliran akan berkumpul pada anda. Anda harus mencapai suatu tingkat terlebih dulu, baru boleh mendapatkan perhubungan yang berbaloi, bukan sebaliknya!

Tidak ada sesiapa yang boleh menemani anda seumur hidup, maka anda perlu biasakan diri dengan hidup berdikari. Tidak ada sesiapa yang boleh membantu anda seumur hidup, maka anda perlu selalu berjuang.

***

Sejak awal lagi, Jack Ma sedar bahawa Alibaba seperti harta karun. Penggaliannya memerlukan masa bertahun-tahun sehingga hasilnya boleh dinikmati sekarang ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Thursday, February 06, 2020

Gadis Miskin Si 'Coco Chanel' Yang Berjaya Mengubah Sejarah Fesyen

Gadis Miskin Si 'Coco Chanel' Yang Berjaya Mengubah Sejarah Fesyen

Bermimpi itu percuma. Tetapi untuk merealisasikan impian memerlukan belanja. Inilah perkara yang sering menghalang seseorang dari berusaha menjadikan impian mereka menjadi nyata. Anda takut tidak mampu mencapai mimpi yang dianggap terlalu tinggi namun begitu, Tuhan menentukan segalanya.

Sejarah Coco Chanel

Kita sebagai manusia, sebaiknya terus berusaha mencapai impian. Paling tidak, demi masa depan yang lebih baik dari sekarang. Jika anda sanggup berusaha untuk mencapai impian, nescaya tiada yang mustahil.

Lihatlah kisah perjalanan kejayaan Coco Chanel, seorang pereka fesyen terkenal yang juga memiliki jenama CHANEL.

“Kejayaan sering dikecapi oleh mereka yang tidak tahu bahawa kegagalan tidak dapat dielakkan.” ~ Coco Chanel

Coco Chanel yang nama asalnya Gabriella Bonheur Chanel hanya seorang gadis miskin dari keluarga penjual sayur di sebuah pasar kecil di Perancis. Ketika berusia 6 tahun, ibu Coco meninggal.

Selepas kematian ibunya, Coco dihantar menuntut di sekolah berasrama Katolik dan di asrama itulah, bermulanya kisah kejayaan wanita yang dilahirkan di Perancis pada 19 Ogos 1883.

Ketika musim panas, Coco belajar menjahit di asrama, aktiviti yang dia gemari dan beliau akan menjahit sendiri baju-baju yang akan dipakai.

Lama kelamaan, Coco turut mereka topi wanita, baju wanita dan banyak produk lain untuk dijual.

Dalam setiap rekaannya, Coco selalu mengutamakan kebebasan dan aspek praktikal dalam kehidupan harian para wanita dan siapa sangka, hasil rekaannya disukai ramai wanita di masa itu.

Bersama bapa saudaranya, Coco telah membuka kedai pakaian di luar kota Paris.

Tidak puas menjadi tukang jahit kelas bawahan, Coco mengembangkan rekaan pakaiannya dengan menggunakan renda, mutiara dan aksesori cantik yang lain.

Perniagaannya semakin maju pada tahun 1910 ketika dia membuat topi trim kecil yang sesuai dipakai di kawasan terbuka dan topi itu kemudiannya menjadi trend fesyen di seluruh dunia.

Tahun 1914 mencatat sejarah kerana pada tahun tersebut Coco membuka dua butik rasmi Chanel.

Pada tahun 1929, ketika golongan berada sahaja yang memakai seluar panjang, Coco melawan arus mainstream dengan mencipta trend wanita memakai seluar panjang dan pakaian sukan untuk wanita.

Beliau sentiasa membuat rekaan baru dan mendapat perhatian dan kreativiti Coco bukan setakat dalam dunia rekaan pakaian.

Pada tahun 1932, Coco Chanel melancarkan minyak wangi bernama Chanel No. 5 yang laris di pasaran.

Minyak wangi tersebut merupakan yang pertama daripada jenama pereka fesyen pakaian.

Selepas itu, ramai pereka lain yang mengikuti jejak langkah wanita cantik ini, dengan mengeluarkan jenama minyak wangi menggunakan jenama perekanya.

Coco Chanel sudah pasti pernah mengecapi kepahitan dalam hidup. Beliau yang dilahirkan ke dalam keluarga miskin pernah bersumpah akan membuatkan orang ramai mengagumi hasil rekaannya, sekali gus merangkak di bawah kakinya.

Impiannya tercapai hasil kerja keras dan tekad untuk menjadikan seorang wanita tampil bergaya melalui pakaiannya.

Amazing Sunset

Perjalanan Coco Chanel berakhir pada usia 87 tahun. Beliau meninggal dunia pada tarikh 10 Januari 1971 akibat serangan jantung di Hotel Ritz Paris.

Di akhir hayatnya, empayar perniagaan jenama Chanel yang dibangunkan dengan susah payah telah menjana pendapatan sebanyak lebih dari 160 juta dolar setahun.

Impian gadis miskin yang kemudian menjadi socialite dengan hasil rekaan yang menjadi pujaan kaum wanita seluruh dunia memberi kita pengajaran yang berharga.

Kejayaan bukan hanya milik mereka yang berasal dari keluarga yang kaya. Ia milik sesiapa sahaja yang gigih, bijak dan yakin dengan kemampuan yang dimiliki.

Jangan gentar dengan cabaran atau rintangan yang ada. Kegagalan tidak dapat dielak, tetapi ia boleh dihadapi dengan penuh keyakinan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Sunday, January 05, 2020

Guru Nanak: Pengasas Agama Sikh

Guru Nanak: Pengasas Agama Sikh

Guru Nanak Dev (15 April 1469 – 22 September 1539) ialah pengasas agama Sikh dan guru yang sulung antara sepuluh guru aliran agama Sikhisme, muncul pada abad ke 16 semasa berlakunya konflik diantara penganut agama Islam dan Hindu.

Pengasas agama Sikh
Gambar hiasan.

Perkataan ‘Sikh’ dalam bahasa Punjabi, bermaksud ‘Pengikut’ ataupun ‘Pelajar’, diasaskan oleh Guru Nanak dan sembilan orang pengikutnya yang turut digelar sebagai Guru di daerah Punjab.

Agama Sikh merupakan sebuah agama termuda berbanding agama-agama lain dan muncul sekitar 500 tahun yang lalu di India.

Perkataan Sikh merujuk kepada orang ataupun golongan yang menganut agama Sikhisme, berasal dari bahasa Sanskrit iaitu Shishya yang bermaksud pelajar.

Pada masa kini, jumlah penganut agama Sikh melebihi 23 juta orang di seluruh dunia dengan kadar 0.32 peratus penduduk dunia.

SGPC

Selain itu, antara definisi ‘Sikh’ yang diterima pakai oleh orang Sikh pada hari ini ialah definisi yang ditetapkan oleh Shiromani Gurdwara Parbandhak Committee (SGPC) iaitu; "Orang Sikh ialah wanita atau lelaki yang mempercayai Tuhan yang satu, 10 orang Guru Sikh iaitu dari Guru Nanak hingga Guru Gobind Singh, percaya kepada Guru Granth Sahib, menjalani amrit dan tidak menerima agama-agama lain."

SGPC merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah melibatkan penganut Sikh di seluruh dunia.

Pada 16 November 2003, Institute of Sikh Studies (IOSS) dalam seminar tahunannya telah meluluskan resolusi supaya SGPC mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah badan tertinggi yang mewakili semua organisasi Sikh dari seluruh dunia.

Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan krisis-krisis yang dihadapi oleh penganut Sikh di seluruh dunia, antaranya ialah perpecahan, masalah identiti dan peristiwa orang Sikh yang keluar dari agama Sikh dan memeluk agama lain.

SGPC ini bertanggungjawab menguruskan gurdwara, keselamatan, kewangan, kemudahan penyelenggaraan serta menjaga artifak suci Sikh seperti senjata, pakaian, buku-buku dan tulisan-tulisan Guru Sikh.

PERBEZAAN AGAMA

Sikhisme lahir apabila Guru Nanak bergelut dengan realiti kehidupan beragama itu sendiri – bagaimana agama, kaum dan status sosial yang berbeza telah memisahkan masyarakat.

Ianya dipengaruhi oleh pergerakan reformasi agama Hindu dan pergerakan Sufi di India.

ASAL-USUL KELAHIRAN AGAMA SIKH

Dari segi sejarah, agama Sikh diinspirasikan oleh dua orang tokoh reformis agama Hindu iaitu Ramanand (1400-1470 Masihi ) dan Kabir (1440-1518 Masihi).

Ramanand merupakan seorang penganut agama Hindu dan juga seorang penyair yang dilahirkan dalam keluarga Brahmin.

Beliau juga dikenali dengan nama Jagadguru Ramanandacharya, namun disebabkan beliau tidak bersetuju dengan sistem kasta yang terlalu ditekankan oleh golongan Brahmin, beliau telah mengasaskan satu aliran dalam agama Hindu yang dikenali sebagai Gerakan Hindu Bhakti.

Diantara kandungan ajarannya ialah beliau sangat mencela penyembahan berhala.

Kebanyakan syair yang dikarang beliau mengajar bahawa tuhan itu esa, kebenaran merupakan sahabat yang paling rapat kepada manusia dan hidup bersederhana itu merupakan jalan terbaik untuk mencapai Nirwana.

Keadaan ini memberitahu kita bahawa, ajaran yang dibawa oleh Ramanand masih terikat dengan ajaran Hindu yang mana berpegang bahawa Nirwana merupakan balasan terhadap perbuatan baik.

HUKUM KARMA DAN KELAHIRAN SEMULA

Selain itu, Ramanand juga masih mempercayai hukum Karma dan Reinkarnasi.

Hukum Karma bermaksud balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia sepanjang hidupnya.

Manakala Reinkarnasi pula merupakan penjelmaan kembali makhluk yang telah mati untuk menerima balasan diatas kejahatan yang dilakukannnya.

Manakal Kabir pula merupakan seorang lelaki miskin daripada kasta paling rendah agama Hindu.

Ayah kabir meninggal dunia sewaktu Kabir masih kecil dan beliau dibesarkan oleh ibunya sehingga berumur setahun.

Disebabkan kesempitan hidup, ibu Kabir telah mengambil keputusan untuk menghanyutkannya ke sungai Gangga di daerah Banares.

Beliau bernasib baik kerana telah dijumpai oleh sepasang suami isteri bernama Niru dan Nima yang beragama Islam.

Apabila dewasa, Kabir telah dihantar oleh kedua ibu bapa angkatnya untuk mempelajari ilmu di Varanasari.

Pada usia 16 tahun, beliau telah mempelajari ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Islam dan Hindu.

Di samping itu Kabir juga sangat meminati syair-syair yang dihasilkan Ramanand.

Walaupun Kabir mempunyai ilmu pengetahuan tentang ajaran-ajaran di dalam agama Islam dan Hindu, beliau masih tidak berpuas hati terhadap keduanya malah lebih tertarik kepada karya-karya Ramanand.

Kabir akhirnya telah membentuk ajarannya sendiri yang dikenali sebagai Kabir Panthis yang bermaksud pengikut jalan Kabir.

Beliau juga telah menulis ajarannya yang digubah dalam bentuk syair dan mendakwa semua agama mempunyai kebenaran dan hanya ada satu tuhan sahaja.

Akhirnya, idea yang dicetuskan Kabir ini telah dikembangkan oleh Guru Nanak yang menjadi pengasas kepada agama Sikh.

Pada asasnya, Guru Nanak telah menentang segala jenis ritual dan beliau tidak bertujuan untuk membentuk ajaran baru.

Ajaran beliau adalah lebih berbentuk kepada peraturan kemasyarakatan yang mana masyarakat ketika itu mengalami kekeliruan diantara kepercayaan tradisi agama Hindu dan ajaran tauhid dari penyebaran agama Islam.

Percubaan menyebarkan Islam ke India telah dimulakan sejak zaman Khulafa al-Rasyidin lagi.

Usaha murni ini telah diteruskan di bawah pemerintahan kerajaan Umaiyah terutamnya pada pemerintahan khalifah al-Walid bin Abd al-Malik.

Sekitar tahun 711-712 Masihi, melalui ekspedisi yang dipimpin oleh panglima Muhammad bin al-Qasim yang telah mengetuai angkatan tentera menuju ke India dan memulakan perkembangan peradaban Islam di India.

GERAKAN BAKHTI

Pada abab ke 15, telah berlakunya Gerakan Bakhti yang diasaskan oleh Ramanand di India.

Gerakan ini bertujuan untuk mengkritik amalan-amalan yang melibatkan tatacara dalam upacara keagamaan dan tahyul pada zaman tersebut.

Para pendokong gerakan ini menegaskan bahawa tujuan dari Hinduisme dan Islam adalah sama.

Segala perbezaan diantara keduanya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam agama. Pada zaman ini jugalah Guru Nanak dilahirkan.

Latar belakang

Guru Nanak di lahirkan pada 15 April 1469 di sebuah perkampungan bernama Talwandi yang kini diberi nama ‘Nankana Sahib’ berdekatan Lahore, Pakistan dan meninggal dunia pada 22 September 1539.

Ayahnya bernama Mehta Kalu manakala ibunya bernama Tripta. Beliau berketurunan bangsawan beragama Hindu.

Beliau juga amat tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Ramanand dan Kabir Panthis.

Pada tahun 1488, beliau telah berkahwin dengan Sulakhani pada usianya 19 tahun dan dikurniakan dua orang putera.

Keadaan hubungan diantara agama Hindu dan Islam pada waktu tersebut diselubungi pelbagai permasalahan dan persengketaan.

Pada masa awalnya, Guru Nanak kelihatan mempunyai sifat ingin tahu yang penuh dengan pertanyaan dan menolak pemakaian benang "suci" ritual yang dipanggil Janeu.

Sebaliknya, Guru Nanak mengatakan bahawa beliau akan memakai nama benar Tuhan dalam hatinya sebagai perlindungan kerana benang boleh putus, menjadi kotor, terbakar, atau hilang dan sama sekali tidak dapat memberikan sebarang keselamatan.

Sebagai seorang yang bukan sami, Guru Nanak meneruskan misi hidupnya untuk:

"Memimpin orang-orang ke laluan benar Tuhan, serta mengikut ajaran kitab Bani secara langsung tanpa keperluan untuk sebarang sami; melenyapkan kepercayaan karut; mengajar orang-orang memberhentikan amalan upacara amal, dan menjauhkan diri daripada " Lima Pencuri."

Guru Nanak berkahwin dengan Sulakhni yang merupakan anak perempuan Moolchand Chona, seorang pedagang dari Batala.

Mereka dikurniakan dengan dua anak lelaki, Sri Chand dan Lakshmi Das. Abang iparnya, Ram yang merupakan suami kepada kakaknya (Nanki), telah mendapatkan pekerjaan untuknya di Sultanpur sebagai pengurus untuk sebuah jabatan kerajaan.

Pada suatu pagi ketika Guru Nanak berumur 28 tahun (atau 30 tahun), beliau pergi seperti biasa ke Sungai Veeyin untuk mandi dan bertafakur.

Beliau dikatakan hilang dan dianggap mati lemas di Sungai Kali Bein selama tiga hari dan ketika kemunculannya, beliau dikatakan "dipenuhi dengan roh Tuhan."

Sifat yang tepat untuk peristiwa ini terbuka untuk tafsiran peribadi, dan dapat ditafsirkan sebagai "ketuhanan mitos" atau "pemahaman yang amat mendalam."

Beliau muncul tiga hari selepas itu dan membuat pengishtiharan bahawa, "Tiada Hindu dan tiada Muslim, jadi jalan milik siapa yang harus aku ikuti? Aku bakal mengikuti jalan Tuhan."

Kata-katanya yang pertama selepas kemunculan semula adalah: "tiadanya orang Hindu, tiadanya orang Muslim."

Dengan prinsip kemanusiaan ini, beliau memulakan kerja-kerja mubaligh.

PENGEMBARAAN

Sepanjang kehidupan beliau, Guru Nanak telah melakukan empat pengembaraan yang besar – perjalanan yang pertama ke arah timur iaitu menghala ke Bengal dan Assam, kedua ke arah selatan iaitu menghala ke Andhra dan Tamil Nadu, ketiga ke arah utara menghala ke Kashmir, Ladakh, dan Tibet, keempat ke arah barat menghala ke Baghdad dan Mekah.

TIGA TUNGGAK SIKHISME

Di Sultanpur, Guru Nanak menformalkan tiga tunggak Sikhisme yang penting:
  • Mengamalkan Simran dan Naam Japna — bertafakur tentang Tuhan dan membaca serta mengulangi sebutan Waheguru , nama Tuhan;
  • Mengamalkan hidup berumah tangga serta Kirat Karni, iaitu memperoleh pendapatan yang jujur melalui usaha fizikal dan mental semasa menerima rezeki dan rahmat Tuhan;
  • Berkongsi kekayaan dalam komuniti dengan mengamalkan Wand kay Shako, iaitu "Berkongsi dan berbelanja bersama-sama."

KISAH

Terdapat sebuah cerita yang menyokong tunggak kedua itu. Dalam salah satu perjalanannya, Guru Nanak tiba di sebuah kampung dan bermalam di sana.

Di kampung ini tinggal dua orang, iaitu seorang kaya dan seorang petani miskin. Oleh sebab Guru Nanak memilih untuk tinggal di rumah orang miskin walaupun diberikan kemewahan rumah orang kaya, orang kaya itu berang dan mendesak penjelasan.

Guru Nanak menyuruh kedua-dua orang untuk membawa sekeping roti capati daripada rumah masing-masing.

Ketika beliau memicit kedua-dua roti capati itu, susu mengalir daripada roti capati orang miskin tetapi darah mengalir daripada roti orang kaya.

Pengajaran daripada cerita ini adalah, orang kaya itu menggunakan cara yang tidak beretika untuk memperoleh kekayaan (iaitu eksploitasi), sedangkan orang yang miskin memperoleh pendapatannya yang walaupun hanya sedikit, merupakan cara yang jujur dan rajin.

KEPERCAYAAN DAN SUMBANGAN LAIN

Guru Nanak dihormati oleh kedua-dua golongan Hindu dan Muslim. Beliau mempunyai banyak kepercayaan yang tidak popular pada masanya tetapi kini diterima secara meluas;

Kesamaan Manusia

Ketika pengabdian dan diskriminasi ras masih merebak di dunia Barat dan penghormatan antara kelas dan kasta adalah pada aras yang paling rendah, Guru Nanak berkhutbah terhadap diskriminasi dan prasangka yang disebabkan oleh ras, kasta, taraf, dan sebagainya.

Beliau berkata: "Nampak persaudaraan antara semua manusia sebagai tahap yogi yang tertinggi; taklukkan pemikiran kamu dan menaklukkan dunia." (SGGS m.s. 6)

"Terdapat hanya satu kesedaran antara semua makhluk." (m.s. 24)

"Sesiapa yang mengenal pasti Satu Tuhan antara semua makhluk tidak akan bercakap tentang keakuan." (m.s. 432).

Guru Nanak menegaskan kepada semua orang di dunia tentang keperluan untuk "menaklukkan" pemikiran masing-masing terhadap amalan-amalan yang jahat.

Semua manusia mempunyai cahaya Tuhan dan adalah sama — hanya dengan menahan keangkuhan dan keakuan bahawa seseorang dapat melihat cahaya ini pada keseluruhannya.

Kesamaan Wanita

Pada sekitar 1499 ketika dunia masih tidak memberikan status atau kehormatan kepada wanita, Guru Nanak mengangkat kedudukan wanita melalui perutusan ini: "Dari perempuan, lelaki dilahirkan; dalam perempuan, lelaki jadi; melalui perempuan, generasi-generasi hadapan akan datang. Ketika isterinya mati, dia mencari perempuan lain; kepada perempuan, dia terikat. Oleh itu, mengapa mengatanya buruk? Dari perempuan, raja-raja dilahirkan. Dari perempuan, perempuan dilahirkan; tanpa perempuan, tidak akan terdapat sesiapa pun. Ya Nanak, hanya Tuhan Benar tidak mempunyai perempuan." (m.s. 473).

Dengan itu, beliau mempromosikan kesamaan wanita sejak abad ke-15.

PERUTUSAN SEJAGAT

Adalah adat resam pada masa itu bagi pemimpin-pemimpin agama untuk berucap hanya kepada jemaah mereka dan untuk mengasingkan agama-agama lain.

Guru Nanak menyimpang daripada tradisi ini dan berucap kepada semua manusia.

Kepada orang-orang Islam, beliau berkata: "Dan ketika, ya Nanak, dia menaruh belas kasihan terhadap semua makhluk, hanya kemudian bahawa dia boleh dipanggil orang Islam." (m.s. 141)

Kepada orang-orang Hindu, beliau berkata: "Ya Nanak, tanpa Nama Benar, apakah gunanya tanda dahi orang-orang Hindu, atau benang suci mereka?" (m.s. 467)

Dan kepada semua orang, beliau berkhutbah: "Mengambil harta orang adalah serupa sahaja dengan orang Islam memakan daging babi, atau orang Hindu memakan daging lembu." (m.s. 141).

EMPAT PERJALANAN

Sejarah mengatakan bahawa Guru Nanak membuat empat perjalanan yang utama ke seluruh kawasan di India, serta ke Arab Saudi dan Parsi.

Beliau melawat Mekah dan Baghdad, dan berucap kepada penganut-penganut Hinduisme, Jainisme, Budhisme, Zoroastrianisme dan Islam.

Beliau memberi ucapan di dalam kuil dan masjid, serta di pelbagai tempat ziarah. Di mana-mana Guru Nanak pergi, beliau bersuara menentang upacara amal yang kosong, penziarahan, sistem kasta, pengorbanan balu, pergantungan kepada buku-buku untuk membelajari agama yang benar, serta rukun-rukun lain yang mentakrifkan ajarannya.

Tidak pernah beliau menyuruh sebarang pendengar untuk mengikutnya.

Beliau menyuruh orang Islam untuk menjadi orang Islam yang benar, dan orang Hindu untuk menjadi Hindu yang benar.

Selepas perjalanan utamanya yang terakhir, Guru Nanak menetap di bandar Kartapur (di Punjab) yang terletak di tebing Sungai Ravi dan mengajar selama lima belas tahun lagi.

Pengikut-pengikut dari seluruh tempat datang untuk menetap di Kartapur supaya dapat mendengar, bernyanyi dan hidup bersama dengannya.

Pada masanya, walaupun pengikut-pengikutnya masih mengekalkan agama masing-masing, mereka dikenali sebagai pengikut Guru, atau orang Sikh.

Adalah di sini bahawa pengikut-pengikut Guru Nanak merujuk kepadanya sebagai guru.

Beliau memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa, mereka tetap merupakan orang berumah tangga dan dan tidak boleh hidup berasingan daripada dunia — tidak adanya pendeta atau pertapa.

Sini adalah tempat di mana Guru Nanak memperkenalkan Langar yang memerlukan orang kaya dan miskin, orang Hindu dan Muslim, serta orang berkasta tinggi dan rendah, untuk duduk bersama-sama semasa makan.

Sini juga merupakan tempat di mana Lehna, kemudian Guru Angad, datang untuk tinggal bersama-sama dengan Guru Nanak.

KEMATIAN

Guru Nanak dengan Mardana (kiri) dan Bala Turisan kayu berwarna, Amritsar atau Lahore, pada sekitar 1875.

Guru Nanak menghabiskan tahun-tahun terakhirnya di Kartarpur. Beliau akan bangun pada setiap waktu fajar untuk berdoa dan kemudian pada waktu subuh, Guru Nanak akan berucap kepada pengikut-pengikutnya.

Beliau bekerja di bilik dalam dapur yang kini masih dikenali sebagai 'langar'.

Makanan yang disediakan dimakan oleh semua orang, baik orang Hindu atau Muslim, orang kaya atau miskin dan orang berkasta tinggi atau rendah.

Beliau mengerjakan ladang dan memperoleh punca pendapatan dengan hasil pencarian sendiri.

Pada 22 September 1539, ketika berumur 70 tahun, Guru Nanak meninggal dunia selepas beliau meminta pengikut-pengikutnya untuk menyanyi Sohila (pujian kepada Tuhan).

Pada suatu masa, ketika Guru Nanak ditanya mana satu agama, Hinduisme atau Islam, merupakan laluan yang benar ke Tuhan, beliau menjawab bahawa cara yang benar untuk mencapai Tuhan ialah untuk menyembah kepada-Nya yang abadi dan terdapat di seluruh Alam Semesta.

BUDAYA RAKYAT

Legenda mengatakan bahawa ketika kematian Guru Nanak, pengikut-pengikutnya hendak membakar mayatnya sedangkan pengikut-pengikut Muslim hendak mengebumikan mayatnya mengikut tradisi Islam.

Bagaimanapun, ketika mereka menaikkan kafan Guru Nanak, mereka melihat bunga segar yang kemudiannya dibahagikan kepada pengikut-pengikut masing-masing.

Orang Hindu membakar bunga itu, sedangkan orang Islam mengebumikan bunga mereka.

10 GURU

Selepas kematian Guru Nanak, peranan Guru diambil alih dan diteruskan lagi dengan sepuluh guru.

Guru yang terakhir, Guru Gobind Singh meninggal pada 7hb Oktober 1708.

ASAS AGAMA SIKH

Konsep asas agama Sikh adalah sama seperti agama Islam, Kristian dan juga Judaism iaitu berasaskan monotheisme.

Tetapi konsep tuhan agama sikhisme berbeza dengan agama lain. Ianya dikenali sebagai ‘Ik Oknar’ yang bermaksud ‘Satu Realiti Tertinggi’.

Menurut Guru Nanak, proses memahami Tuhan menjangkaui kebolehan akal manusia tetapi pada masa yang sama, Tuhan itu dapat dikenali.

Sama seperti pemahaman Sufisme, Tuhan wujud dan dapat dikenali melalui kesemua benda yang wujud dan dapat dilihat oleh manusia yang telah mencapai kemuncak pencerahan.

Mengikut ajaran Guru Nanak, penebusan dosa tidak bermaksud memasuki syurga setelah penghakiman yang terakhir, tetapi melalui persatuan dan penyerapan ke dalam Tuhan.

Para penganut Sikh tidak mempercayai syurga ataupun neraka.

KITAB AGAMA SIKH

Sumber utama kitab kepada agama Sikhisme adalah Gurū Granth Sāhib, versi terakhir kepada Ādi Granth yang dicipta oleh Guru Arjan pada tahun 1604.

Kitab Ādi Granth ditulis di dalam huruf Gurmukhī, diguna secara meluas di daerah Punjabi, berasal daripada istilah Punjabi lama “gurumukhī” yang bermaksud “daripada mulut si guru”.

Antara kitab-kitab lain yang utama bagi agama Sikh adalah kitab Dasam Granth dan Janamsakhis.

Janamsakhis merupakan buku yang menceritakan kisah tentang Guru Sikh yang pertama, sebuah buku biografi tentang Guru Nanak.

SISTEM LANGAR

Konsep ‘Langar’ merupakan konsep makanan/kantin percuma yang terbuka kepada semua orang secara adil dan saksama, menjangkaui batasan kaum, agama, ataupun status sosial.

Pada abad ke-16 di India, ianya merupakan suatu konsep yang revolusioner, dimana masyarakat pada masa itu masih bersendikan tahap kasta yang berbeza.

Melalui aktiviti Langar, hanya sayuran sahaja yang diberikan, untuk memastikan bahawa kesemuanya dapat makan secara adil dan saksama, tanpa menghiraukan batasan diet.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Friday, December 20, 2019

Zarathustra: Nabi Penganut Majusi Pengasas Agama Zoroaster

Zarathustra: Nabi Penganut Majusi Pengasas Agama Zoroaster

Ketika zaman kerajaan Parsi lama, mereka menganut agama pagan. Selepas agama Zoroastrianism diperkenalkan oleh Zarathustra, mereka kemudian meninggalkan amalan penyembahan berhala dan memeluk agama Majusi.

Agama Zoroaster
Gambar hiasan.

Agama ini mula disebarkan di sekitar tempat yang sekarang dikenali sebagai Iran oleh seorang tokoh agama yang dianggap sebagai nabi oleh penganut agama ini, iaitu Zarathustra.

Penganut Zoroastrianism boleh dijumpai di negara India, Iran, dan negara-negara sekitar seperti Pakistan, United Kingdom, Kanada, Australia, German, dan New Zealand.

LATAR BELAKANG

Zoroastrianism boleh dikira sebagai antara agama tertua yang mengamalkan ajaran monotheism. Agama ini menampilkan Ahura Mazda, sebagai tuhan yang satu dan layak disembah, Avesta sebagai kitab agama mereka, dan Gathra sebagai ‘hymn’ atau puisi mulia bagi agama mereka.

Semestinya pengenalan agama baru ini mencabar institusi keagamaan Parsi lama yang masih menganut agama pagan, dan mereka menentang agama baru ini sehingga beliau mendapat perlindungan dari King Vishtāspa, raja Bactria semasa beliau berumur 40 tahun.

Akhirnya ajaran beliau tersebar tanpa halangan besar, dan ketika kematiannya ketika beliau berumur 77 tahun, agama Majusi telahpun tersebar ke seluruh tanah Persia.

BIOGRAFI

Zarathustra, atau Zoroaster bagi Yunani, atau Zarathushtra Spitama bagi Parsi, merupakan seorang tokoh agama penting bagi Parsi lama. Beliau merupakan pengasas kepada agama Zoroastrianism, atau Majusi.

Tidak dapat dipastikan bila Zarathustra lahir dan menetap. Berdasarkan catatan dari teks Avesta, beliau lahir pada 628 S.B. di ibu negara kerajaan Achaemenian, Persepolis.

Para sejarahwan mempunyai perbezaan pendapat berkenaan tarikh sebenar kelahiran nabi penganut Majusi ini. Apapun, mereka bersetuju bahawa tarikh kelahiran beliau adalah sekitar 1500 dan 500 S.M.

Menurut kepercayaan penganut Majusi, nabi mereka lahir di ‘Airyanem Vaejah’. Ramai sejarahwan berpendapat bahawa beliau lahir di timur laut Persia.

Menurut Gathas, Zarathustra lahir di dalam Keluarga Spitama. Bapanya bernama Purushaspa dan ibunya bernama Doghdova. Beliau adalah anak ketiga dari 5 orang beradik.

Lagenda Majusi mengatakan bahawa ketika kelahiran beliau, beberapa malaikat dari syurga datang melawat bagi memberi penghormatan kepada beliau, dan beliau ketawa ketika dilahirkan, tidak seperti bayi lain.

Dalam bahasa ibunda beliau, beliau digelar sebagai ‘Zaraϑuštra’ atau ‘pengembala kambing’, dimana ia ditransliterasikan sebagai Zōroastrēs bagi lidah Yunani, dan terkemudian dipanggil Zoroaster.

Ketika beliau berumur 7 tahun, beliau mula mempelajari ilmu agama dan menamatkan pembelajarannya ketika umur 15 tahun.

Pada umur 20 tahun, beliau meninggalkan rumahnya bagi meneruskan pengajian beliau dengan guru lain, dimana beliau mengembara ke pelbagai negara, melawat bandar-bandar, kawasan pergunungan dan hutan belantara demi meningkatkan pengalaman beliau. Beliau juga gemar bermeditasi atau bertapa.

Zarathustra mula mendapat wahyu ketika berumur 30 tahun, semasa perayaan musim bunga, dimana beliau terlihat sebuah sinaran, yang memperkenalkan dirinya sebagai Vohu Manah, atau ‘Makhluk bertujuan baik’.

Berikutan wahyu itu, beliau pun diangkat menjadi nabi dan memutuskan untuk menyebar ajaran baru ini kepada orang-orangnya.

Tak lama selepas ajaran ini diperkenalkan, para pendeta yang takut kedudukan mereka terancam mula menentang ajaran beliau. Berikutan gangguan yang hebat beserta cubaan membunuh beliau, akhirnya beliau berhijrah ke Persia timur, dimana ajaran beliau diterima oleh Raja Vishtaspa.

Antara pengikut terawal beliau ialah saudaranya, Maidhyoi-madnha, Raja Vishtaspa, Ratu Hutaōsa, dan adik-beradik raja, iaitu Frashaoshtra dan Jamaspa.

Zarathustra membina keluarga bersama isterinya, Hvōvi merangkap anak kepada salah seorang adik beradik Raja Vishtaspa, iaitu Frashaoshtra.

Beliau dikurniakan 3 orang anak lelaki, iaitu Isat Vastar, Uruvat-Nara, dan Hvare Ciθra, serta 3 orang anak perempuan, iaitu Freni, Pourucista, dan Triti.

Catatan lain mengatakan bahawa beliau mengahwini 3 orang isteri. Beliau mendapat 6 orang anak dari isteri pertama dan kedua, namun tiada anak dari isteri ketiganya. Kesemua anaknya memeluk agama Majusi sehingga akhir hayat mereka.

Zarathustra meninggal dunia ketika berumur 77 tahun. Sewaktu peperangan dan pertempuramn sedang berlangsung antara Persia dan Turan, negara yang memusuhi ajaran Zarathustra, beliau dibunuh oleh orang Turan bernama Bratrok-resh ketika sedang bersembahyang di kuil Nush-Adar.

AJARAN DAN PENINGGALAN

Ajaran Zarathustra yang juga dikenali sebagai Zoroastrianism, Mazdayasna, atau Majusi, boleh dikatakan melawan arus kepercayaan orang Parsi lama ketika itu, dimana mereka menyembah banyak berhala.

Beliau mengatakan bahawa tiada tuhan selain Ahur Mazda, tuhan yang layak disembah. Entiti lain yang digelar sebagai Daevas ialah semangat jahat dan tidak layak disembah.

Beliau memperkenalkan konsep Ahura Mazda atau ‘Semangat yang Bijaksana’ 5 semangat yang menyala, kewujudan Angra Mainyu, iaitu semangat jahat, perihal berkenaan Asha atau kebenaran, dan Druj atau kebatilan, dan tujuh entity suci yang dikenali secara kolektif sebagai Amesha Spenta, merangkap tujuh nyalaan Ahura Mazda, tuhan yang maha esa. Nyalaan tersebut digambarkan melalui api, menjadikannya sebagai simbol suci bagi penganut Majusi.

Beliau juga menentang amalan dan upacara agama Parsi lama, penggunaan jus Haoma, korban binatang, dan sistem kasta, dan memperjuangkan tentang kebebasan dalam memilih dan menyeru orangnya untuk mengikut jalan kebenaran yang lurus.

Menurut beliau, setiap orang mempunyai hak untuk memilih antara kebaikan dan kejahatan. Oleh itu, seseorang wajib meninggalkan jalan yang salah dan menurut jalan yang benar. Beliau juga menekankan kewajiban ibu bapa bagi mendidik anak-anak mereka ke jalan yang benar.

Selain menjadi penulis kitab Avesta, iaitu kitab orang Majusi, beliau juga menjadi pengarang Gathas yang ditulis dalam bentuk puisi agama lama. Ia kemudian dimasukkan sekali ke dalam kitab Avesta.

Ajaran Zoroastrianism telah tersebar ke seluruh Kerajaan Parsi, dimana mereka mengamalkan agama ini sehingga Kerajaan Sassanid, dimana akhirnya ia hampir dihancurkan sepenuhnya semasa zaman Khulafa ar-Rasydin.

Namun, agama Majusi masih diamalkan oleh segelintir orang, iaitu di negara-negara yang disebut sebelum ini, dimana kuil-kuil Zoroastrianism boleh dijumpai di sana. Hal ini berikutan kerana terjemahan kitab Avesta oleh pakar indologi Perancis, Abraham Anquetil-Duperron sekitar abad ke-18.

Ajaran agama Zoroastrianism juga telah mempengaruhi beberapa agama yang diasaskan di sekitar Iran, seperti Ahmadiyah, Bahai, da Manichaeism.

Pada hari ini, hanya terdapat kira-kira 200,000 orang sahaja yang masih menganut agama Zoroastrianism.

RUMUSAN

Zarathustra telah mengubah kepercayaan pagan orang Parsi lama dari menganut agama politheism kepada ajaran monotheism iaitu Zoroastrianism, atau Majusi.

Ajaran ini telah bertahan sekian lamanya sejak awal era Parsi lama, iaitu Empayar Achaemenid, Dinasti Parthian, Empayar Sasanid, sehingga kebangkitan Islam ketika zaman Khulafa ar-Rasyidin.

Pada hari ini, kita boleh mencari dan menemui peninggalan ajaran Zoroaster melalui kuil-kuil api yang terdapat di beberapa negara yang berdekatan dengan lokasi kelahiran agama Zoroastrianism, seperti Iran, Pakistan, dan lokasi-lokasi jauh seperti Kanada, New Zealand, Jerman, dan United Kingdom.

Salah seorang individu terkenal yang menganut agama Majusi ialah mendiang Freddie Mercury, vokalis unggul dari kumpulan rock lagenda, Queen. Begitu juga dengan nama-nama terkenal, seperti Alexander Bard, Homi Jehangir Bhabha, dan Sam Manekshaw.

Zoroaster telah berjaya meletakkan agama beliau, Zoroastrianism atau Majusi, sebagai antara agama yang berasaskan ajaran monotheism yang tertua di dunia, sebaris dengan agama Atenism, Judaism dan Kristian, iaitu sekitar 10,000 ke 7,000 S.B.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, August 27, 2019

Menjadi Jutawan Selepas Gagal 348 Kali!

Menjadi Jutawan Selepas Gagal 348 Kali!

Pandora merupakan aplikasi saranan muzik online yang dilancarkan sejurus sebelum terletusnya dot-com bubble pada bulan March 2000, sewaktu krisis yang melihat banyak perusahaan online ditutup dan walaupun ketika ini Pandora merupakan penyedia servis muzik digital yang paling berjaya di dunia, kisah kejayaan Pandora tidak berlaku dalam masa sehari.

Tim Westergren Pandora
Tim Westergren.

Menurut Tim Westergren, salah seorang pengasasnya dan CSO perniagaan tersebut, pada mulanya ketika Pandora dikenali sebagai Savage Beast Technologies, para pengasasnya menghabiskan lebih daripada empat tahun bekerja keras tetapi sentiasa menemui kegagalan.

Usahawan berjaya ini pernah ditolak lebih 300 kali dan beliau tetap tidak mengalah sehingga berjaya!

“Kami gagal dan gagal. Seumpama kaki judi yang berjalan keluar dari kasino dengan seluar dalamnya.”

Jadi apakah tindakan Tim Westergren dan perusahaannya yang baru bermula ketika itu? Sebelum nasib berubah, empat tahun berlalu dengan pantas.

“Kami terus menrus melakukan perubahan untuk menjadi semakin bagus selama beberapa tahun,” kata Tim Westergren.

”Kami hanya berpegang erat dengan nyawa kami. Wang habis selepas setahun berlalu dan kami bekerja tanpa ganjaran.”

Beliau mengatakan bahawa demi mempertahankan perniagaan pada tahun-tahun awal, para pekerja bertahan hanya dengan “rasa tanggung jawab dan kepercayaan di antara satu sama lain.”

Pada saat inilah para eksekutif harus mempunyai kebolehan memberi motivasi kepada pekerja mereka dengan semangat bisnes yang kuat. Ketika itu, nasib mereka di hujung tanduk.

Mereka telah memaksimumkan penggunaan 11 kad kredit, mengumpul hutang peribadi sebanyak $500,000 dan hampir-hampir diusir dan bagi mencukupkan modal, Westergern bekerja tanpa gaji dan meyakinkan pekerja yang lain mengikut jejak langkahnya.

50 orang pekerja syarikat bekerja selama beberapa tahun tanpa gaji. Lima di antara mereka kemudian memegang syarikat.

Tim Westergren ingat bahawa beliau pernah memohon pelaburan daripada para pelabur dan venture capital sebanyak 348 kali tanpa hasil ketika zaman kegelapan itu. Ini kerana ketika itu para pelabur lebih berhati-hati dalam memberi komitmen setelah letusan dot-com bubble dan kerana industri muzik online yang tidak stabil.

Ketika itu, isteri Tim Westergren turut menggesa beliau untuk berhenti daripada menjadi usahawan dan ini merupakan nasihat terbaik yang pernah beliau terima: “Sebagai usahawan, seseorang akan selalu meminjam wang, kecualilah seseorang amat bernasib baik.”

Nasib berubah pada tahun kelima. Pada tahun 2004, hanya berbekal kecekalan, Pandora berjaya mengumpul dana $9 juta di bawah pimpinan Pengarah Urusan Walden Venture Capital, Larry Marcus.

Larry sendiri merupakan seorang ahli muzik yang pernah menolak Tim Westergren sebanyak lima kali dan sehari setelah berjaya mendapat dana, pihak pengurusan mengadakan mesyuarat besar.

Mereka memulakan mesyuarat dengan membahagikan sampul berisi $100 kepada para pekerja yang tinggal, kemudian mengagihkan pembayaran berjumlah $1.5 juta pada hari yang sama.

Sekarang, Pandora telah mengasaskan model bisnes paling berjaya dan berkembang menjadi perkhidmatan radio digital yang diminati ramai.

Setelah selesai versi pertama Radio Pandora, semua ahli team berkata pada diri sendiri, "Ini benar-benar hebat."

“Kami memang sentiasa yakin bahawa produk ini akan menemui "rumahnya" (finds its home),” kata Tim Westergren. Keyakinan inilah yang membuatkannya terus bertahan.

“Sehingga ke hari ini, kami mengirim ratusan ribu e-mail setiap bulan kepada pendengar. Kami menjawab setiap pertanyaan mereka secara peribadi dan kebanyakannya untuk menunjukkan rasa terima kasih kami kepada mereka."

Jika anda pernah gagal sekali, ingat, usahawan berjaya ini pernah gagal sebanyak 348 kali!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Friday, August 09, 2019

Kisah Kejatuhan Sultan Abdul Hamid II (1842 - 1918), Khalifah Terakhir Empayar Uthmaniyyah

Kisah Kejatuhan Sultan Abdul Hamid II (1842 - 1918), Khalifah Terakhir Empayar Uthmaniyyah

"Anakku, ayah melihat orang-orang di sini sudah mulai memuji paras rupa dan kecantikanmu. Maka mulai hari ini ayah ingin kamu mengenakan hijab dengan sempurna, kerana kamu sudah menjadi wanita dewasa sekarang."

Kejatuhan Sultan Abdul Hamid II

Ungkapan kata penuh kasih sayang itu dituturkan dengan suara lembut oleh Sultan Abdul Hamid II kepada anaknya Aishah saat mereka melintasi hadapan Masjid Hamidiye Yildiz yang terletak tidak jauh dari pintu masuk istananya.

Di hadapan masjid ini, terlalu banyak kisah yang memilukan hati menimpa diri dan keluarga Sultan.

Percubaan pembunuhan dengan meletakkan bom di dalam kereta kuda Sultan. Pengeboman itu terjadi selang beberapa saat seusai solat Jumaat.

Allah masih menghendaki Sultan Abdul Hamid tetap bertakhta memimpin umat. Usaha khianat untuk menamatkan nyawa orang nombor satu di dunia Islam itu telah gagal.

Di hadapan istana ini, Sultan sering melaksanakan solat dan keluar menemui rakyat yang selalu dekat di hatinya.

Di situ juga, Sultan sesekali menunggang kuda ditemani anaknya Aishah, sambil menitahkan erti pentingnya menegakkan syariah bagi muslimah.

Sejak saat itu anaknya mutahajibah (berhijab) sempurna, ini menandakan puterinya Aishah Osmanuglu telah memasuki usia aqil baligh.

Istana Yildiz yang diperbuat dari kayu ini adalah tempat tinggal pilihan Sultan Abdul Hamid II, setelah beliau meninggalkan segala bentuk kemewahan kaum keluarganya yang sebelum ini di Istana Dolmabahce.

Pembohongan Sejarah

Selepas menaiki takhta pada tahun 1876, Sultan Abdul Hamid II, telah melakukan pelbagai transformasi khususnya perundangan.

Baginda telah memperkenalkan Perlembagaan Baru dengan format Parlimen yang lebih tersusun dan semasa (First Constitution Era 1876-1877M).

Krisis antara baginda dan Midhat Pasha selaku Perdana Menteri ‘durjana’ yang sangat berkuasa, hutang negara yang begitu membebankan serta pelbagai masalah tempatan, ‘regional‘ dan antarabangsa meletakkan Sultan Abdul Hamid II dalam keadaan yang amat sukar untuk menyelamatkan Daulah Uthmaniah.

Namun, kebijakan beliau mendapatkan kerjasama Midhat Pasha, golongan Uthmaniah Muda (Young Ottoman) serta mengusir campur tangan Barat secara yang sangat diplomatik tetapi tegas, baginda berhasil menggerakkan momentum yang diperlukan.

Akan tetapi, peperangan yang tercetus antara Daulah Uthmaniah dan Rusia telah memaksa Sultan Abdul Hamid II tunduk dan menandatangani perjanjian San Stefano (Yesilkoy) pada tahun 1878. Situasi ini telah memburukkan keadaan.

Rusia memperoleh banyak wilayah di timur Anatolia, juga penyerahan daerah-daerah Aegean kepada Bulgaria, kuasa autonomi buat Bosnia Herzegovina dan terlepasnya Serbia daripada wilayah Uthmaniah, baginda berada dalam keadaan yang amat tertekan.

Pada masa itulah Sultan Abdul Hamid II telah bertindak menggantung Parlimen, dengan tujuan meningkatkan efisyensi ‘chain of command‘ yang sangat sukar dicapai melalui persidangan yang caca merba.

Tindakan baginda menggantung Parlimen itulah titik penting yang menyebabkan Sultan Abdul Hamid II difitnah sebagai DIKTATOR, SULTAN MERAH, OTOKRATIS dan pelbagai gelaran yang seumpama dengannya.

Benarkah beliau seorang diktator?

Sultan Abdul Hamid II berlapang dada dengan kecaman itu. Baginda seperti memekakkan telinga terhadapnya.

Sultan Abdul Hamid II bertegas melakukan satu demi satu transformasi dengan melancarkan kempen Pan Islamism ke seluruh dunia Islam, menjayakan projek keretapi Hijaz serta berusaha menyelamatkan Palestin daripada konspirasi Zionis dan pelbagai tindakan yang kelihatannya seperti ‘one man show‘.

Di keliling Sultan Abdul Hamid II ada ramai pengkhianat termasuk Midhat Pasha sendiri.

Oleh itu, Sultan Abdul Hamid II banyak bertindak berpandukan maklumat-maklumat keselamatan peribadi yang tidak diketahui umum.

Tetapi Sultan Abdul Hamid II masih berterusan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang diyakininya boleh membantu.

Pembacaan secara menyeluruh terhadap sikap Sultan Abdul Hamid II akan memahamkan kepada kita bahawa Baginda bukan seorang diktator, apatah lagi dengan berulang kali pendakwa hanya berhujah pada tindakan menggantung Parlimen itu tadi.

Selama berpuluh tahun selepas mangkatnya baginda, masyarakat menerima bulat-bulat tuduhan yang dilemparkan terhadap Sultan Abdul Hamid II hingga buku-buku sejarah di negara kita juga turut memetik baginda sebagai seorang diktator.

Hanya selepas diari beliau (Muzakkirat) ditemui, dikaji bersama surat-menyurat antara beliau semasa dalam buangan di Salonika dengan murabbinya, dan analisis dokumen lanjutan yang dibuat terhadap polisi-polisi Sultan Abdul Hamid II, kita menginsafi betapa ada kalanya seorang pemimpin terpaksa bertindak seperti tindakan Sultan Abdul Hamid II.

Jika kita hanya ada satu pengertian terhadap diktator dan otokratik, bagaimana kita menafsirkan Rasulullah SAW yang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kesemuanya berada di tangan baginda? Adakah Muhammad itu seorang diktator?

“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku,” Sultan Abdul Hamid II menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.

Rahmat Allah ke atas Sultan Abdul Hamid II dan semoga Allah membantu pemimpin-pemimpin kita yang dimomok sebagai ‘diktator’.

Kelahiran

Sultan Abdul Hamid II, lahir pada hari Rabu, 21 September 1842. Dengan nama lengkapnya, Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan. Sultan adalah putera Abdul Majid dari isteri kedua beliau.

Ibunya meninggal saat Abdul Hamid berusia 7 tahun. Sultan menguasai bahasa Turki, Arab, dan Parsi. Gemar membaca dan bersyair.

Sebelumnya, kekhalifahan dipimpin bapa saudaranya iaitu Abdul Aziz yang berkuasa cukup lama.

Sultan Abdul Aziz digulingkan kemudian dibunuh oleh musuh politik Khilafah Utsmaniyyah. Khalifah setelah Abdul Aziz adalah Sultan Murad V, putera Abdul Aziz.

Namun, kekuasaannya tidak berlangsung lama dan digulingkan setelah 93 hari berkuasa kerana dianggap tidak berupaya menjadi khalifah.

Sultan Abdul Aziz mewarisi negara dalam keadaan hiruk pikuk dan tidak terurus. Tunggakkan hutang luar negara, parlimen yang tidak berfungsi, campur tangan asing di dalam negeri, tarik menarik antara pelbagai kepentingan Dewan Negara dan Dewan Menteri serta para ahli politik yang korup.

Pada 14 Ogos 1876 (1293 H), Sultan Abdul Hamid dibai'at sebagai Khalifah. Saat itu usianya 34 tahun.

Dia menyedari bahawa pembunuhan bapa saudaranya serta perubahan-perubahan kekuasaan yang terjadi saat itu merupakan konspirasi global melawan Khilafah Islamiyah.

Namun, Sultan Abdul Hamid II dapat menjalankan pemerintahannya dengan baik, sering berbicara dengan pelbagai lapisan masyarakat, baik kalangan ahli politik, intelektual, rakyat jelata mahupun dari kelompok-kelompok yang kurang disukainya (lihat Shaw, 1977:212).

Kebijaksanaannya mengurusi urusan seluruh kaum Muslimin membuatkan dia semakin popular. Namanya sering disebut dalam doa-doa di setiap solat Jumaat di seantero bumi.

Sokongan padu kaum Muslimin dan kesetiaan mereka terhadap Sultan Abdul Hamid II ini berhasil mengurangi tekanan Eropah terhadap Utsmaniyyah.

Abdul Hamid mengembangkan amanah dengan memimpin sebuah kerajaan yang luasnya membentang dari timur dan barat.

Di tengah situasi negara yang genting dan kritis, beliau menghabiskan 30 tahun kekuasaannya sebagai Khalifah dengan dikelilingi konspirasi, mehnah, fitnah dari dalam negeri sementara dari luar negeri ada perang, revolusi dan ancaman globalisasi serta tuntutan pelbagai perubahan yang senantiasa terjadi.

Termasuk usaha jahat yang sistematik yang dilakukan kaum Yahudi untuk mendapatkan tempat tinggal tetap di tanah Palestin yang masih menjadi sebahagian dari wilayah kekhalifahan Utsmaniyyah.

Pelbagai langkah dan strategi dilancarkan oleh kaum Yahudi untuk menembus dinding khilafah Utsmaniyyah, agar mereka dapat memasuki Palestin.

Usaha Jahat Yahudi

Pertama, pada tahun 1892, sekelompok Yahudi Rusia mengajukan permohonan kepada Sultan Abdul Hamid, untuk mendapatkan keizinan tinggal di Palestin.

Permohonan itu dijawab Sultan dengan ucapan, "Pemerintan Ustmaniyyah memaklumkan kepada seluruh kaum Yahudi yang ingin hijrah ke Turki, bahawa mereka tidak akan diizinkan menetap di Palestin", mendengar jawapan seperti itu kaum Yahudi amat kecewa, sehingga duta besar Amerika turut campur tangan.

Kedua, Theodor Hertzl, penulis Der Judenstaat (Negara Yahudi), pengasas negara Israel sekarang, pada tahun 1896 memberanikan diri menemui Sultan Abdul Hamid sambil meminta izin mendirikan perniagaan di al Quds.

Permohonan itu dijawab Sultan:

"Sesungguhnya jajahan Utsmani ini adalah milik rakyatnya. Mereka tidak akan menyetujui permintaan itu. Sebab itu simpanlah kekayaan kalian itu dalam kantung kalian sendiri".

Melihat keteguhan Sultan, mereka kemudian membuat strategi ketiga, iaitu melakukan Konferensi Basel di Switzerland, pada 29-31 Ogos 1897 dalam rangka merumuskan strategi baru menghancurkan Khilafah Ustmaniyyah.

Oleh kerana peranan dan aktiviti Yahudi Zionis yang terlalu mendesak dan semakin menjadi-jadi, akhirnya Sultan pada tahun 1900 mengeluarkan keputusan pelarangan atas rombongan penziarah Yahudi di Palestin untuk tinggal di sana lebih dari tiga bulan, pasport Yahudi harus diserahkan kepada petugas khilafah yang berkaitan.

Dan pada tahun 1901 Sultan mengeluarkan keputusan mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi di Palestin.

Pada tahun 1902, Hertzl untuk kesekian kalinya mengadap Sultan Abdul Hamid untuk melakukan penyogokan (rasuah).

Di antara sogokan yang Hertzl tawarkan kepada Sultan adalah:
  1. 150 juta pound sterling Inggeris khusus untuk Sultan.
  2. Membayar semua hutang pemerintah Ustmaniyyah yang mencapai 33 juta pound sterling Inggeris.
  3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan biaya 120 juta Frank.
  4. Memberi pinjaman 5 juta pound sterling tanpa bunga.
  5. Membangunkan Universiti Ustmaniyyah di Palestin.

Semuanya ditolak, bahkan Sultan tidak mahu menemui Hertzl, diwakilkan kepada Tahsin Basya, Perdana Menterinya, sambil menberikan pesanan:

"Nasihati Mr Hertzl agar jangan meneruskan rancangnya. Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka. Jika Khilafah Utsmaniyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup."

Sejak saat itu kaum Yahudi dengan Zionisme melancarkan gerakan untuk menumbangkan Sultan.

Dengan menggunakan pelbagai kempen dan istilah seperti "liberation", "freedom", dan sebagainya, mereka menyebut pemerintahan Abdul Hamid II sebagai "Hamidian Absolutism" dan sebagainya.

"Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa?

"Aku adalah Khalifah yang bertanggungjawab atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!"

Tetamu Tidak Diundang

Pada malam 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya didatangi beberapa orang tetamu yang tidak di undang.

Kedatangan mereka ke Istana Yildiz menjadi catatan sejarah yang tidak akan pernah dilupakan, datang atas nama perwakilan 240 anggota Parlimen Utsmaniyyah-di bawah tekanan dari Turki Muda-yang setuju penggulingan Abdul Hamid II dari kekuasaannya.

Senator Sheikh Hamdi Afandi Mali mengeluarkan fatwa tentang penggulingan tersebut dan akhirnya dipersetujui oleh anggota senat yang lain.

Fatwa tersebut didapati sangat aneh dan setiap orang pasti mengetahui perjuangan Abdul Hamid II bahawa fatwa tersebut bertentangan dengan realiti sebenar yang berlaku di Turki dan empayar kerajaan Islam.

Keempat utusan itu adalah Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Utsmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz.

Turut bersamanya adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga panglima Ketenteraan Utsmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan.

"Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?"

Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tiba-tiba dan mendesak. Tidak ada simpati di raut wajah mereka.

"Negara telah memecat Anda!"

Esat Pasha memberitahu kedatangannya dengan nada angkuh. Kemudian satu persatu wajah anggota rombongan itu diperhatikan dengan saksama oleh Sultan.

"Negara telah memecatku, itu tidak ada masalah, tetapi kenapa kalian membawa bersama Yahudi ini masuk ke tempatku?"

Secara spontan Sultan murka yang amat sangat sambil menudingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dialah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika ingin mendapatkan keizinan menempatkan Yahudi di Palestin.

Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tempat pemukiman Yahudi di Tanah Suci itu.

Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermukim di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk.

Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta dan Khilafah disembelih agar tamat riwayatnya.

Jelas terlihat bahawa saat tersebut adalah pembalasan paling dinanti oleh Yahudi, di mana Abdul Hamid II yang telah menolak menjual Palestin pada mereka, telah mereka tunjukkan di depan muka Abdul Hamid II sendiri bahawa mereka turut serta dalam penggulingannya dari kekuasaan.

Mendung menyeluputi wajah Abdul Hamid II dan wajah Khilafah Islamiyah.

"Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menyampaikan berita penggulinganku malam itu."

Sultan Abdul Hamid meluapkan derita hatinya di dalam catatan hariannya. Perancangan menggulingkan Sultan sebenarnya sudah dilaksanakan lama sebelum malam itu.

Beberapa Jumaat sebelum peristiwa hitam itu, nama Sultan sudah tidak disebut lagi di dalam khutbah-khutbah.

"Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami," Esat Pasha menyambung pembicaraan.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puterinya yang terpaksa menyaksikan pengkhianatan terhadap dirinya.

Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian yang memilukan malam itu.

"Bawa adik-adikmu ke dalam," Sultan Abdul Hamid menyuruh Amir Abdul Rahim membawa adik-adiknya ke dalam kamar.

"Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma satu hal yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai ayah perlu menyekolahkan mereka."

Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Sultan sedar tidak ada gunanya membantah keputusan yang dibawa rombongan itu. Itulah kerisauan terakhir Sultan Abdul Hamid.

Membayangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan. Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat orang itu.

Malam itu juga, Sultan bersama para anggota keluarganya dengan hanya mengenakan pakaian yang di pakai pada malam tersebut di angkut di tengah gelap gelita menuju ke stesen kereta api Sirkeci.

Mereka diusir pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana milik Yahudi di Salonika, tempat pengasingan negara sebelum seluruh khalifah dimusnahkan di tangan musuh Allah.

Khalifah terakhir umat Islam dan keluarganya itu dibuang ke Salonika, Yunani.

Angin lesu bertiup bersama gerimis salju di malam itu. Pohon-pohon yang tinggal rangka, seakan turut sedih mengiringi tragedi memilukan itu.

Di Eminonu, terlihat Galata di seberang teluk sedih. Bukit itu pernah menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang telah menarik 70 kapal menyeberangi bukit itu dalam tempoh satu malam.

Mereka menerobos teluk Bosphorus yang telah dirantai pintu masuknya oleh Kaisar Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Tidak akan pernah hilang.

Terhadap peristiwa pemecatannya, Sultan Abdul Hamid II mengungkap kegundahan hatinya yang dituangkan dalam surat kepada salah seorang gurunya Syekh Mahmud Abu Shamad yang berbunyi:

"...Saya meninggalkan kekhalifahan bukan kerana suatu sebab tertentu, melainkan kerana tipu daya dengan pelbagai tekanan dan ancaman dari para tokoh Organisasi Persatuan yang dikenali dengan sebutan Cun Turk (Jeune Turk), sehingga dengan berat hati dan terpaksa saya meninggalkan kekhalifahan itu.

"Sebelumnya, organisasi ini telah mendesak saya berulang-ulang agar menyetujui dibentuknya sebuah negara nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin.

"Saya tetap tidak menyetujui permohonan tersebut yang datang bertubi-tubi tanpa ada rasa malu. Akhirnya mereka menjanjikan wang sebesar 150 juta pounsterling emas. Saya tetap dengan tegas menolak tawaran itu.

Saya menjawab dengan mengatakan, "Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menerima tawaran itu. Tiga puluh tahun lebih aku hidup mengabdi kepada kaum Muslimin dan kepada Islam itu sendiri.

"Aku tidak akan mencoreng lembaran sejarah Islam yang telah dirintis oleh nenek moyangku, para Sultan dan Khalifah Uthmaniah. Sekali lagi aku tidak akan menerima tawaran kalian."

Setelah mendengar dan mengetahui sikap dari jawapan saya itu, mereka dengan kekuatan gerakan rahsianya memaksa saya meninggalkan kekhalifahan dan mengancam akan mengasingkan saya di Salonika.

"Maka terpaksa saya menerima keputusan itu daripada menyetujui permintaan mereka. Saya banyak bersyukur kepada Allah, kerana saya menolak untuk mencoreng Daulah Uthmaniah dan dunia Islam pada umumnya dengan noda abadi yang diakibatkan oleh berdirinya negeri Yahudi di tanah Palestin. Biarlah semua berlalu.

"Saya tidak bosan mengulang rasa syukur kepada Allah Ta'ala, yang telah menyelamatkan kita dari aib besar itu.

"Saya rasa cukup di sini apa yang perlu saya sampaikan dan sudilah anda dan segenap ikhwan menerima salam hormat saya. Guruku yang mulia. mungkin sudah terlalu banyak yang saya sampaikan.

"Harapan saya, semoga anda beserta jama'ah yang anda dapat memaklumi semua itu. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh."

~22 September 1909. Pelayan Kaum Muslimin (Abdul Hamid bin Abdul Majid)

Deru langkah tentara kedengaran melangkah menuju istana. Meriam ditembakkan sebagai tanda Sultan Mehmed V dinobatkan menjadi penguasa Utsmaniyyah.

Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V menjadi Khalifah ke 99 umat Islam sejak Abu Bakr al-Siddiq ra.

Tetapi khalifah yang satu ini sudah tidak memiliki kekuasaan apa-apa. Hanya boneka pengumpan yang hanya akan mempercepatkan pemberontakan untuk pembubaran Khilafah Utsmaniyyah.

"Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku merasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini mengendap di dadaku, ketika diangkat terasa lega!" keluh Sultan Abdul Hamid Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis.

Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika Yunani penuh misteri.

"Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua."

Sultan Abdul Hamid memberi motivasi kepada seluruh kerabatnya saat keretapi sedang meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Utsman, berakhir malam itu.

Balutan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali. Di tengah suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas bangku kereta api sambil dipicit-picit oleh anaknya Fatimah.

"Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini."

Sultan mengusap wajahnya yang berlinangan air mata. Terlalu lama Sultan dan keluarganya dikurung di istana milik Yahudi itu.

Mereka dikurung dalam kamar tanpa perabot sama sekali. Pintu dan jendela dilarang dibuka. Hari demi hari, adalah penantian kematian sebelum mati bagi Sultan dan keluarganya.

Akhirnya, pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dihantar pulang ke Istanbul, akan tetapi anak-anaknya dipisah-pisahkan, bercerai berai. Dibuang ke Perancis menjadi pengemis yang hidup meminta-minta di lorong jalan.

Keadaan semasa di pembuangan Salonika atau di istana tua Beylerbeyi Istanbul sama saja bahkan lebih teruk.

Sultan dan beberapa anggota keluarganya yang masih tinggal tidak dibenarkan keluar sama sekali hatta sekadar pergi ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar istana, tentunya dengan penjagaan yang amat ketat.

Makanan untuk Sultan dan putera puterinya disukat sedemikian rupa, dengan kualiti makanan yang sangat rendah bahkan seluruh hartanya dirampas habis oleh tentera Ataturk.

Hari-hari yang dilalui Sultan dalam pembuangan dan pengasingan sangat menyedihkan. Dia dan keluarganya sentiasa diancam akan dibunuh, istana tua itu akan diledakkan.

Pada suatu pagi selesai solat Subuh, Sultan memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah ahli waris terpenting setelah ketiadaan Sultan nanti.

"Kita akan memberikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana mereka memaksa kita menyerahkannya," keluh Sultan kepada Abdul Rahman dengan nada sedih.

Puteranya itu menangis teresak hebat. Dia menjadi amat takut dengan para tentera yang bengis itu.

Beberapa hari kemudian di lobi Deutche Bank, Istanbul, terjadi peristiwa penyerahan secara paksa semua harta Sultan, termasuk seluruh simpanan Sultan kepada pihak tentera.

Sultan tinggal di istana tua sebagai penjara di Beylerbeyi selama 6 tahun dalam situasi yang sangat mengaibkan.

Tubuh kurus kering dan mengidap penyakit paru-paru yang semakin parah. Sultan benar-benar dikuarantin dari dunia luar, sehinggakan untuk mengubati penyakit disukarkan oleh pihak tentera.

"Maafkan saya Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal," doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid sambil berbisik.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asmanya semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Empayar Turki Uthmaniyah

Empayar Turki Uthmaniyah (Ottoman Empire) bertahan selama 623 tahun dari 1299 hinggalah 1922, menguasai kawasan yang sangat luas di sekitar Laut Mediterranean.

Pada masa yang berlainan ketika kewujudannya selama lebih 6 abad, empayar ini pernah menguasai kawasan di sepanjang Lembah Sungai Nil dan Pantai Laut Merah.

Kuasanya juga tersebar di utara ke Eropah, hanya terhenti kerana mereka gagal menakluki Vienna. Ke barat daya, pengaruh Empayar Uthmaniyah turut sampai sejauh Morocco.

Penaklukan oleh Empayar Uthmaniyah mencapai kemuncak pada sekitar tahun 1700, pada ketika pengaruh empayar meliputi kawasan yang paling luas sepanjang kewujudannya.

Fakta Ringkas Tentang Empayar Turki Uthmaniyah
  • Diasaskan pada tahun 1299.
  • Penaklukan diganggu oleh Timur the Lame (Tamerlane) - 1402 hingga 1414.
  • Kesultanan Uthmaniyah dihapuskan pada November 1922.
  • Bahasa Rasmi: Turki.
  • Bahasa Minoriti: Albania, Arab, Assyria, Bulgaria, Croatia, Jerman, Greek, Hebrew, Itali, Kurdish, Parsi, Somali dan lain-lain.
  • Bentuk Kerajaan: Kerajaan Berkalifah. Kuasa sekular dipegang oleh Sultan, yang menerima nasihat daripada seorang wazir utama. Kuasa berkaitan agama terletak pada Khalifah.
  • Agama Rasmi: Islam Sunni.
  • Ibu Negeri: Sogut (1302-1326), Bursa (1326-1365), Edirne (1365-1452), Constantinople (kini Istanbul: 1453-1922).
  • Kawasan Taklukan Ketika Kemuncak: sekitar 5.2 juta kilometer persegi iaitu pada tahun 1700. Antara negara yang dikuasai termasuklah Greece, Bulgaria, Mesir, Hungary, Macedonia, Romania, Jordan, Palestin, Lubnan, Syria, sebahagian tanah Arab dan sebahagian benua Afrika.
  • Populasi: Dianggarkan lebih daripada 35 juta pada tahun 1856. Menurun kepada 24 juta ketika Perang Dunia Pertama akibat kematian.

Wafatnya Pemerintah Islam Terakhir

Sultan Abdul Hamid II menghembuskan nafas terakhir dalam penjara Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918.

Pemergiannya diratapi seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, akibat kebodohan membiarkan Khalifah Utsmaniyyah dilumpuhkan setelah pelucutan jabatan khilafahnya, 10 tahun yang lalu.

Menangislah. Tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu. Wa Islama!

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2