Friday, March 02, 2018

Apa Sebenarnya Perbezaan Tarian Singa Dan Tarian Naga?

Apa Sebenarnya Perbezaan Tarian Singa Dan Tarian Naga?

Tarian Naga adalah seni unik ketika sambutan Tahun Baru Cina yang berasal daripada budaya Dinasti Han dan sudah berusia kira-kira 2,000 tahun.

Apa Sebenarnya Perbezaan Tarian Singa Dan Tarian Naga?

Pada zaman kuno, rakyat berfikir naga boleh mengurniakan air hujan, maka rakyat sentiasa berdoa kepada naga supaya menurunkan air hujan ketika musim kemarau.

Ia kemudiannya menjadi aktiviti budaya dan rekreasi. Di samping itu, bangsa Cina sangat memuja naga sebagai simbol tuah.

Untuk Dinasti Tang dan Song, tarian naga telah menjadi aktiviti semasa perayaan penting.

Pada perayaan Tahun Baru Cina, kawasan bandar dan luar bandar di China telah ada adat bermain Tarian Naga.

Selepas beribu-ribu tahun, Tarian Naga telah menjadi tarian yang istimewa. Rakyat bukan sahaja berdoa untuk mendapat hujan dan hasil tuaian yang baik, tetapi juga mewujudkan suasana perayaan yang meriah dan menyampaikan perasaan gembira.

Bahan utama untuk membuat naga adalah rumput, buluh, kertas kayu, kain dan lain-lain. Selepas hiasan, naga akan mempunyai nilai seni yang tinggi menggunakan jalur buluh ditenun silinder untuk membentuk sangkar, kemudian dipakaikan pakaian membentuk naga yang cantik.

Orang ramai menyalakan lilin atau lampu minyak dalam sangkar naga, kemudian menunjukkan Tarian Naga pada waktu malam yang sangat menarik.

Adat bermain naga telah dibawa ke luar negara dan semasa perayaan tradisional dan perayaan utama orang Cina, mereka akan menari tarian naga untuk menunjukkan semangat orang Cina.

Tarian Singa

Apa Sebenarnya Perbezaan Tarian Singa Dan Tarian Naga?

Tarian Singa adalah tarian tradisional China, juga adalah aktiviti yang sangat popular. Rakyat bermain singa semasa perayaan Tahun Baru untuk menambah keseronokan.

Adat Tarian Singa ini telah berusia seribu tahun.

Di China, Tarian Singa boleh dibahagikan kepada dua bentuk: Singa Utara dan Singa Selatan. Bentuk, corak, warna dan banyak lagi adalah berbeza antara Singa Utara dengan Singa Selatan.

Mengapa orang ramai sangat suka bermain singa ketika Tahun Baru Cina?

Menurut legenda, pada awal Dinasti Ming di Guangdong, telah muncul seekor raksasa setiap kali tahun baru, yang akan keluar lalu merosakkan tanaman, memudaratkan manusia dan haiwan.

Penduduk tempatan sangat takutkannya kemudian, ada seseorang telah mencadangkan cara Tarian Singa untuk menakutkan raksasa itu.

Akhirnya, raksasa tersebut ketakutan lalu melarikan diri dari kawasan kediaman penduduk tempatan.

Oleh itu, penduduk percaya bahawa singa mempunyai kuasa ajaib dan boleh membawa nasib baik.

Selepas itu, setiap kali Tahun Baru menjelma, rakyat akan bermain Tarian Singa untuk meraikan Tahun Baru Cina.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kisah Warna Merah Dan Sambutan Tahun Baru Cina

sumber: diarikikbm

Saturday, February 04, 2017

Resepi Yee Sang, Makanan Wajib Tahun Baru Cina

Resepi Yee Sang, Makanan Wajib Tahun Baru Cina

Yee sang merupakan menu wajib setiap kali masyarakat Cina merai dan menyambut sambutan Tahun Baharu Cina.

Yee Sang

Masyarakat Cina percaya bahawa semakin tinggi yee sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.

Menu Yee Sang biasanya disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.

Dalam bahasa Cina, perkataan Yee bermaksud ikan yang turut membawa pengertian lain iaitu kekayaan berkekalan. Perkataan Sang pula merujuk kepada mentah dan turut mempunyai maksud lain iaitu hidup serta kebangkitan.

Pendek kata, hidangan yee sang ini melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur.

Inti yee sang biasanya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung (pomelo), jus limau, serbuk lima rempah dan keropok rangup.

Kesemua inti tersebut akan disusun secara rapi di atas sebuah pinggan bulat.

Sebelum proses menggaul yee sang dimulakan, sos plum yang mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan tindakan memicit jus limau pada ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu.

Selepas sos dituang, tibalah detik-detik yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu proses menggaul yee sang.

Proses menggaul yee sang mempunyai cara yang tersendiri kerana semua inti yee sang digaul bersama secara agresif menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di sekeliling meja bulat.

Jeritan Lo Hei

Mereka yang berkumpul di keliling meja bulat digalakkan untuk menjerit perkataan 'lo hei' dimana 'lo' bermaksud menggaul manakala 'hei' pula ialah naik.

Semakin tinggi yee sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.

Selain kemakmuran yang ingin dicapai, masyarakat Cina turut percaya bahawa perkataan 'lo hei' dijerit dengan harapan ia dapat memberi kesihatan lebih baik kepada seseorang.

Resepi Sedap Yee Sang

Bahan:
  • Sedikit timun, betik, seleri yang telah dijerukkan
  • Sedikit halia jeruk merah dan putih
  • Sedikit keladi rangup dan daun bawang
  • Rumpai laut merah dan putih
  • 50 gram obor-obor
  • Sedikit asam mandarin kering
  • Sedikit daun sup, daun limau kasturi, lobak putih, lobak merah
  • 50 gram Tobiko
  • 100 gram Uni

Perisa:
  • 150 ml sos pelam
  • 30 ml cuka lemon
  • 30 ml cuka buah
  • 30 ml minyak zaitun
  • 100 gram kacang
  • 50 gram bijan goreng
  • 100 gram kepingan badam
  • 1/2 sudu teh serbuk lada putih
  • 1/2 sudu teh serbuk rempah gabungan
  • 2 peket keropok yee sang

Cara Penyediaan:
  • Susun semua bahan dalam pinggan besar.
  • Lobak putih dan merah yang diparut diletakkan di bahagian tengah.
  • Perah jus lemon.
  • Gaulkan kesemua bahan segar dan perasa.
  • Sedia dihidangkan.

Selamat menjamu selera.

BACA INI JUGA: Yee Sang Sebagai Sajian Tahun Baru Cina, Apa Sebenarnya Sajian Imlek Ini?

Sumber: utusan

Thursday, February 02, 2017

Maksud Tahun Ayam Yang Disambut Masyarakat Cina

Maksud Tahun Ayam Yang Disambut Masyarakat Cina

Tahun Baharu Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di negara ini kerana ia melambangan kelahiran tahun baharu mengikut kalendar lunar.

Tahun Ayam

Tahun Baharu Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama zodiak masyarakat Cina (bulan lunar dinamakan mengikut nama haiwan).

12 haiwan yang menaungi kalendar lunar adalah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir (babi) dan setiap haiwan membawa pengertiannya yang tersendiri.

Tahun 2017 adalah Tahun Ayam Jantan, haiwan kesepuluh dalam kitaran kalendar itu.

Pada malam Tahun Baharu Cina, semua ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk jamuan makan besar bagi mengeratkan jalinan hubungan sesama ahli keluarga.

Ahli-ahli keluarga yang telah berumahtangga akan memberi 'Angpau' kepada saudara mara dan sahabat masih muda. Tradisi ini bermaksud kebahagian yang berpanjangan.

Sepanjang perayaan ini, tarian singa akan dimainkan dari rumah ke rumah untuk memberi berkat serta kesejahteraan kepada keluarga penganut.

Apa maknanya tahun Ayam?

Tahun baharu, menurut kalendar Cina, bermula pada 28 Februari 2017 dan berakhir pada 15 Februari 2018.

Mereka yang lahir pada tahun Ayam dipercayai mempunyai ciri-ciri seperti setia, pintar, berani dan berbakat.

Bagaimanapun, pakar astrologi Cina meramal bahawa tahun 2017 tidak akan menjadi tahun yang begitu baik kepada mereka yang lahir dibawah zodiak ini.

Sambutan

Menurut Wikipedia, Tahun Baharu Cina disambut di negara-negara dan wilayah-wilayah yang diduduki oleh ramai masyarakat berketurunan cina, seperti Tanah Besar China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, dan juga di pekan-pekan cina di merata dunia.

Larangan

Masyarakat cina percaya beberapa larangan perlu diamalkan ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Antaranya ialah;

1. Mengambil ubat pada hari pertama tahun lunar bermakna mereka akan mengalami kemudaratan kesakitan bagi tahun itu.

2. Bubur tidak boleh dimakan, kerana ia dianggap bahawa hanya orang miskin mampu makan bubur untuk sarapan. Penganut Buddha tidak mahu memulakan tahun baharu dengan makanan yang ‘miskin’ kerana ini dianggap sebagai satu petanda yang tidak baik.

3. Masyarakat Cina tidak akan mencuci pakaian pada hari pertama dan kedua perayaan, kerana kedua-dua hari dirayakan sebagai hari lahir Shuishen (Tuhan Air).

4. Rambut tidak boleh dibasuh pada hari pertama tahun lunar. Dalam bahasa cina, rambut mempunyai sebutan yang sama dan watak sebagai 'fa fa cai’, yang bermaksud 'untuk menjadi kaya’. Oleh itu, ia dilihat sebagai satu perkara yang tidak baik untuk "mencuci nasib seseorang" pada awal tahun baru.

5. Tidak boleh meyapu rumah kerana ia bermakna anda menyapu keluar kekayaan.

Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya.

BACA INI JUGA: Sejarah Dan Asal Usul Perayaan Tahun Baru Cina

Sumber: AA

Friday, January 27, 2017

Yee Sang Sebagai Sajian Tahun Baru Cina, Apa Sebenarnya Sajian Imlek Ini?

Yee Sang Sebagai Sajian Tahun Baru Cina, Apa Sebenarnya Sajian Imlek Ini?

Yee Sang atau Yusheng, adalah sejenis salad ikan mentah (kebiasaannya salmon) yang dicampur dengan potongan sayur-sayuran dan pelbagai sos serta perasa.

Yee Sang

Dalam bahasa Kantonis, yee bermaksud ikan dan ia juga bermaksud mudah (senang) dan sang pula bermaksud hidup.

Maka, yee sang diterjemahkan sebagai “ikan mentah (hidup)” atau “senang hidup” menjadi konotasi untuk kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.

Malaysia yang bermasyarakat majmuk, kaya dengan warisan kebudayaan termasuk warisan makanan yang unik dan pelbagai.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa yee sang telah diisytihar sebagai makanan warisan negara oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Dari keseluruhan 241 warisan negara, 151 adalah makanan warisan dan yee sang berada pada kedudukan 61 keseluruhan.

Bagaimana yee sang boleh duduk sebaris dengan makanan tradisi Malaysia yang lain seperti budu, cencaluk, tapai, wajik, lempeng, dodol, baulu, apam balik, onde-onde, cendol, muruku, putu mayam dan pelbagai lagi makanan lain yang telah disenaraikan?

Yee sang disenaraikan sebagai makanan warisan Malaysia di bawah warisan budaya Unesco pada tahun 2009.

Yee Sang Budaya Masyarakat Cina Malaysia

Jika ditanya kepada orang Cina di Hong Kong, misalnya, mereka tidak pernah mendengar apatah lagi mempraktikkan budaya ini.

Begitu juga masyarakat Cina di Taiwan dan tanah besar China serta komuniti Cina di bandar-bandar besar yang lain, mereka tidak pula memakan yee sang pada Tahun Baharu Cina.

Walaupun yee sang dikatakan bermula di negara China, yee sang versi Malaysia sangat berbeza dengan yee sang versi China kuno dari segi bahan, cara menghias dan cara memakannya maka, yee sang yang kita kenal hari ini, adalah yee sang “buatan Malaysia”.

Asal-usul Yee Sang

Yee sang Malaysia berasal dari Seremban, dipopularkan oleh Loke Ching Kee, datuk kepada Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, pada tahun 1940-an.

Loke Ching Kee menyediakan yee sang pada hari keempat hingga ketujuh Tahun Baharu Cina di kedainya di Jalan Kong Sang, Seremban. Mereka melakukan acara melambung yee sang sambil melaungkan “Lou Hei” yang bermaksud gaul naik.

Mereka juga mengucapkan kata-kata yang baik seperti “semoga bertambah rezeki”, “semoga panjang umur”, “semoga keluarga bahagia” dan sebagainya. Ia umpama doa.

Ritual ini adalah simbolik kepada permohonan dan pengharapan agar tuah dan rezeki akan bertambah pada tahun yang mendatang.

Makan ikan mentah merupakan kebiasaan bagi penduduk China suatu ketika dahulu bagaimanapun, setelah sekian lama, ia berkurangan kecuali di beberapa tempat di selatan China seperti Fujian dan Guangdong. Memakan yee sang semasa Tahun Baharu Cina merupakan tradisi etnik Kantonis.

Mitos Dewi Nu Wa

Kira-kira 1,500 tahun yang lampau, yee sang juga dikaitkan dengan sebuah legenda atau mitos. Ia berkenaan Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu.

Kaum nelayan dan pelaut China Selatan zaman silam memakan yee sang pada Tahun Baharu Cina untuk memperingati kisah ini.

Persamaannya dengan yee sang moden adalah dari segi ikan mentahnya sahaja, manakala bahan-bahan lain, cara menghias malah cara memakannya termasuk melambung yee sang, tidak dipraktikkan sama sekali oleh mereka.

Pada hari ini, tradisi memakan yee sang bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan, di mana semua ahli keluarga yang berkumpul akan bersama-sama melambung ramuan yee sang ke udara dengan penyepit. Tiada lagi kaitan dengan mana-mana legenda atau mitos.

Adat Turun Temurun

Malah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, di bawah siri Bayan Linnas-nya, telah menyatakan bahawa upacara yee sang adalah lebih kepada adat dan tidak bersangkut paut dengan persoalan akidah dan harus hukumnya bagi umat Islam yang diajak untuk menyertai upacara tersebut selagi mana tiada unsur maksiat.

Maka, walaupun ada pihak yang cenderung mengatakan bahawa ia boleh membawa kepada syirik, penulis berpandangan ia merupakan salah satu dari banyak perkara yang telah diistihalahkan (ditransformasikan) dengan mengambil kira maqasid syariah.

Perbuatan mengangkat ikan mentah adalah simbolik kepada menaikkan semangat juang kita dalam menghadapi hidup yang penuh dugaan dan cabaran sebagaimana ikan di lautan berjuang untuk hidup.

BACA INI JUGA: 9 Tertib Sebelum Makan Yee Sang Dan Signifikannya Di Tahun Baru Cina

Sumber: SH

Pantang Larang Ketika Sambutan Tahun Baru Cina

Pantang Larang Ketika Sambutan Tahun Baru Cina

Mengikut kepercayaan masyarakat cina, terdapat banyak pantang larang yang perlu diamalkan untuk mendapat lebih tuah dan kemakmuran ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina

Angpau dan limau mandarin amat sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina dan biarpun sudah lama diamalkan oleh masyarakat cina, masih ramai yang mungkin tidak mengetahui simbolik di sebalik setiap adat resam dan tradisi tersebut.

Serba Baru

Antaranya, Pengasas Good Feng Shui berkongsi bahawa keluarga kaum cina akan membersihkan rumah sebelum perayaan.

Sebelum masuk tahun baru, semua barang lama yang bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi dari segi fikiran dan pengalaman lama yang tidak baik, seperti sakit hati yang mampu membawa tuah kurang baik, akan dibuang pada hari itu.

Menyapu Rumah

Kaum cina juga dilarang menyapu rumah pada tahun baru cina kerana ia dipercayai akan menghalau tuah.

Memakai Pakaian Baru

Masyarakat Tiong Hua akan mengenakan pakaian baru pada hari berkenaan sebagai simbolik permulaan tahun baru.

Bahasa Kasar

Pada Tahun Baru Cina, masyarakat Cina akan mengelak daripada bercakap kasar atau kesat kerana ia dipercayai membawa malang.

Biasanya, budah nakal ahli keluarga tidak akan dimarahi atau kalau budak buat salah, ibu bapa mungkin cakap pecah itu tanda bagus untuk mencantikkan keadaan yang kurang baik hari itu.

Warna

Antara pantang-larang lain yang diamalkan adalah, tidak dibenarkan memakai warna hitam atau putih yang merupakan warna berkabung.

Angpau

Jumlah angpau yang diberikan pula mesti dalam angka genap.

Kalau ada orang memberi RM6 perlulah diberikan 1 keping RM5 dan 1 keping RM1. Bilangannya mesti genap. Genap membawa maksud yang lebih sempurna.

Limau Mandarin

Amalan memberi limau mandarin juga simbolik memberi tuah.

Buah limau mandarin yang dipanggil "kam" dalam bahasa Kantonis bermaksud emas adalah kewajipan setiap Tahun Baru Cina kerana ia melambangkan limpahan kekayaan kepada masyarakat Tiong Hua. Warna limau juga keemasan seperti memberi jongkong emas kepada orang lain.

Namun terdapat juga segelintir yang memberikan buah epal sebagai simbolik kesihatan yang lebih baik. Epal "ping kuo" bermaksud aman juga membawa maksud kesihatan yang baik.

Tema tahun baru cina, pastinya merah dipercayai membawa tuah malah kediaman juga akan dihiasi dengan warna merah.

BACA INI JUGA: Sambutan Festival Cap Go Meh Dan Maknanya Kepada Masyarakat Cina

Sumber: AA

Tuesday, January 24, 2017

Sambutan Chap Goh Meh, Tradisi Hari Kekasih Kaum Cina

Sambutan Chap Goh Meh, Tradisi Hari Kekasih Kaum Cina

Sambutan Hari Chap Goh Meh biasanya dikenali sebagai festival tanglung atau dalam dialek Hokkien disebut, Chap Goh Meh yang jika diterjemahkan bermaksud 'malam ke 15 Tahun Baru Cina'.

Sambutan Chap Goh Meh, Tradisi Hari Kekasih Kaum Cina

Sebelum Chap Goh Meh, sambutan Tahun Baru Cina bermula selama 15 hari pada bulan pertama kalendar masyarakat Cina, dengan setiap hari membawa makna berbeza dan disambut dengan cara tertentu.

Sebagai tanda berakhirnya perayaan 15 hari itu, ahli keluarga akan berkumpul bersama untuk makan malam, membunyikan mercun dan bermain mahjung selain upacara sembahan dilakukan dalam kadar yang lebih besar iaitu Chap Goh Meh.

Persembahan kebudayaan Cina juga akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina dan mengimbang bendera besar "Chingay".

SAMBUTAN HARI ISTIMEWA

Semasa zaman keemasan Baba dan Nyonya di Malaysia tidak lama dulu, Chap Goh Meh lazimnya disambut secara besar-besaran dengan cara istimewa khususnya di Pulau Pinang dan Melaka.

Masyarakat Pulau Pinang yang lebih berusia mungkin masih ingat betapa meriahnya hari Chap Goh Meh yang disambut dengan perarakan Chingay merentasi jalan-jalan di Georgetown.

Kini, kesesakan yang sentiasa teruk di jalan-jalan utama Georgetown antara sebab tradisi itu kurang sesuai diteruskan, namun ia masih diadakan di Esplanade atau Padang Kota Lama pada hari Chap Goh Meh setiap tahun.

Di Melaka pula, antara acara menarik tetapi telah pun pupus ditelan zaman ialah kumpulan-kumpulan Dondang Sayang yang berdendang dan berpantun mengelilingi bandar dari atas kenderaan berhias khas.

HARI MENCARI JODOH

Sambutan Chap Goh Meh, Tradisi Hari Kekasih Kaum Cina

Dikatakan bahawa pada zaman dahulu, hari Chap Goh Meh adalah satu-satunya hari di mana anak gadis yang sudah mencapai usia perkahwinan dibenarkan berjalan-jalan keluar dari rumah dengan dandanan dan pakaian paling cantik.

Pada hari yang sama, lelaki bujang yang mahu mencari pasangan hidup juga akan keluar berkumpul untuk mengerling gadis-gadis berkenaan dengan harapan dapat memilih dan meminang gadis yang diminati.

Menurut legenda, dewa dari langit akan turun pada hari berkenaan untuk mengikat kaki pasangan lelaki dan gadis yang berjodoh dengan benang merah di kaki agar mereka akan sentiasa bersama sehingga ke akhir hayat mereka.

Memandangkan hajat pada malam Chap Goh Meh dianggap makbul, gadis-gadis yang telah berdandan akan menuju ke tokong-tokong pinggir laut bagi melontarkan limau mandarin dan membuat hajat bagi mendapatkan suami yang baik.

Pada waktu itu, gadis-gadis tersebut juga akan ditemukan dengan telangkai (orang tengah), yang kemudian membantu mencari dan mengaturkan perkahwinan dengan lelaki dari keluarga bersesuaian.

CARA MODEN

Sambutan Chap Goh Meh, Tradisi Hari Kekasih Kaum Cina

Bagaimanapun kini, tiada lagi adat resam perkahwinan yang diatur telangkai, malah anak gadis boleh dilihat di merata tempat tidak kira siang atau malam.

Namun demikian, tradisi melontar limau masih lagi dilakukan untuk mengembalikan semula semangat kasih sayang dan perkahwinan Chap Goh Meh dalam bentuk acara tahunan yang menyeronokkan bagi golongan bujang lelaki dan wanita, selain mampu menarik pelancong asing.

Ribuan wanita akan menulis nama dan nombor telefon masing-masing untuk dilontarkan ke dalam tasik yang kemudian akan dikutip secara rawak oleh pengunjung lelaki.

Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, acara sambutan Chap Goh Meh menjadi lebih meriah apabila mereka memulakan tradisi pengunjung lelaki pula menulis dan melontar pisang untuk dikutip oleh kaum perempuan.

Di Malaysia, festival mencari jodoh sempena sambutan Chap Goh Meh pertama kali dianjurkan pada tahun 2000 dengan jumlah pengunjung hanya 350 orang dan terus meningkat beberapa kali ganda pada tahun berikutnya.

CHAP GOH MEH SIMBOLIK HARAPAN TAHUN BARU

Sambutan Chap Goh Meh, Tradisi Hari Kekasih Kaum Cina

Festival Chap Goh Meh di Malaysia, biasanya berlangsung di Taman Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, Cheras, sebagai simbolik harapan permulaan baru kepada mereka yang masih belum berkahwin, apatah lagi hari yang turut dikenali sebagai Festival Tanglung adalah malam bulan penuh yang pertama pada tahun baru.

Bezanya jika pada zaman dahulu, anak gadis akan menunggu dengan sabar dan penuh harapan agar limau yang hanyut selepas dilontar ke sungai atau laut akan dikutip orang supaya hajatnya termakbul.

Sebaliknya kini, peserta yang mengutip limau atau pisang, boleh terus menghubungi dan bertemu individu bujang yang bernasib baik serta menghayati bulan penuh pertama tahun baru bersama.

CHAP GOH MEH TRADISI KASIH SAYANG

Chap Goh Meh dikenali sebagai Hari Kekasih bagi kaum Cina, disambut pada hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina.

Chap Goh Meh juga dikenali sebagai Hari Kekasih bagi kaum Cina, merupakan hari di mana ramai gadis muda percaya bahawa dengan membuang limau mandarin ke dalam laut, mereka akan menemui seorang suami yang baik.

Pada zaman dahulu, pesta Chap Goh Meh memberi peluang kepada para kekasih untuk bertemu, manakala bagi mereka yang masih bujang, pesta ini merupakan peluang yang baik untuk berkawan dan berkenalan antara satu sama lain.

Pada zaman moden ini, unsur romantik dalam perayaan Chap Goh Meh diungkapkan dengan aktiviti melontar limau oleh perempuan dan lelaki bujang pada malam perayaan Chap Goh Mei dengan hasrat mendapat pasangan yang secocok.

Aktiviti melontar limau untuk mencari pasangan dalam perayaan Chap Goh Mei sebenarnya berasal daripada kata pepatah orang Hokkien iaitu "Dim gam ga ho ang, dim go chua ho bo" yang bermaksud melontar limau boleh mendapat suami yang baik manakala melontar buah boleh mendapat isteri yang baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal Usul Dan Adat Pemberian Ang Pau

sumber: mstar | astroawani

Sunday, January 22, 2017

Asal Usul Dan Adat Pemberian Ang Pau

Asal Usul Dan Adat Pemberian Ang Pau

Angpau, juga sering disebut ang pau, angpao atau ang pow, adalah sampul merah atau paket merah sebagai hadiah berbentuk wang yang ditukarkan ketika musim perayaan atau peristiwa khas dalam masyarakat Cina.

ang pau

Angpau sering diberikan pada majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Salah satu konteksnya adalah bahawa angpau dikenali sebagai yāsuì qián (Cina Tradisional: 壓歲錢, Cina Ringkas: 压岁钱) yang bererti "duit ditekan" atau "duit menahan umur".

Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian (Bahasa Cina: 帛金; pinyin: bó jīn; secara harfiah "wang sutera").

Jumlah wang yang diberi pada majlis perkahwinan biasanya adalah untuk melitupi perbelanjaan hadirin serta membantu pasangan pengantin baru.

Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.

Asal-usul Ang pau

Tiada sumber bertulis jelas yang menyatakan tarikh angpau julung kali digunakan. Ketika zaman Dinasti Qing, para warga tua menguntai syiling dengan benang merah. Benda ini dipanggil yāsuì qián dan dipercayai melindungi orang tua daripada keuzuran dan kematian.

Tradisi ini berubah menjadi sampul merah moden setelah mesin percetakan semakin laris di China setelah penubuhan Republik China pada tahun 1911.

Adat-adat lain berkaitan Ang pau

Dalam budaya-budaya Asia lain juga wujudnya adat-adat lain. Di Vietnam, angpau digelar lì xì, serupa dengan sebutan Kantonis laisee.

Di Jepun, sejenis hadiah wang dipanggil otoshidama diberikan kepada kanak-kanak oleh saudara-mara ketika sambutan Tahun Baru.

Namun, sampul putih digunakan di Jepun dan Korea, dengan nama penerimanya ditulis pada muka hadapan.

Di Thailand, orang Cina Thai menggunakan sampul merah bergelar Ang Pow atau Tae Ea.

Di Myanmar (Burma), orang Cina Burma menggunakan sampul yang dikenali sebagai "an-pao".

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Perbezaan Sambutan Tahun Baru Cina Di China Dan Malaysia

Sumber: wikipedia