Sunday, July 12, 2020

Kenapa Kita Menghayunkan Tangan Apabila Berjalan?

Kenapa Kita Menghayunkan Tangan Apabila Berjalan?

Pernahkah anda terfikir kenapa kita menghayunkan tangan ketika berjalan, padahal anda berjalan menggunakan kaki, jadi mengapa ia perlu? Untuk memastikannya, cuba anda berjalan sekarang tanpa menghayunkan tangan?

Kenapa jalan hayun tangan

Ternyata, anda sedar boleh melakukannya dengan mudah dan selagi anda menumpukan perhatian untuk tidak menghayunkan tangan.

Namun, selepas beberapa ketika, anda berjalan dan berfikir tentang hal lain, tanpa sedar, anda mula menghayunkan tangan seperti biasa.

Mengapa kita cenderung untuk menghayunkan tangan?

Jawapan kepada soalan ini diterangkan dengan satu aspek mudah, iaitu biomekanik.

Saintis sebelum ini mempercayai bahawa perlakuan menghayunkan tangan ini bermula daripada evolusi daripada perubahan manusia yang dahulunya berjalan menggunakan kaki dan tangan.

Namun, kajian terbaru telah menyangkal dan menerangkan teori ini dengan lebih baik.

Jurutera biomekanikal dari Universiti of Michigan telah menemui bahawa tindakan menghayunkan tangan adalah salah satu proses berjalan menggunakan dua kaki.

Mereka menemui teori yang berjalan sambil menghayunkan tangan adalah cara pergerakan yang paling menjimatkan.

Bagaimana dan menjimatkan apa?

Apabila anda berjalan sambil menghayunkan tangan, otot anda memerlukan tenaga yang lebih rendah untuk berjalan dan ianya tidak didorong oleh otot.

Dalam satu eksperimen, mereka mengkonklusikan bahawa mereka yang berjalan dengan tangan yang kaku memerlukan lebih usaha untuk berjalan. Jadi, orang yang berjalan sambil menggerakkan tangan berjalan 20% lebih laju.

Menghayunkan tangan terjadi secara semulajadi sehinggakan membiarkan tangan anda bergerak sebenarnya memerlukan tenaga yang lebih rendah daripada mengekalkan ia kaku.

Graf-graf ini menunjukkan bagaimana pergerakan tangan normal memerlukan masa dan sudut momentum yang lebih rendah berbanding tangan kaku di sisi dan pergerakan tangan melawan arah.

Disebabkan jumlah masa yang rendah, tenaga yang digunakan juga adalah rendah.

Cuba fikirkan tentang bandul. Apabila kaki anda bergerak, badan anda juga akan turut bergerak. Pergerakan ini memaksa tangan anda untuk terhayun, sama seperti bandul.

Tangan anda bergerak dengan tidak sengaja kesan daripada pergerakan ini dan dengan cara ini, otot-otot anda tidak memerlukan usaha.

Tenaga yang sangat rendah digunakan oleh otot-otot anda untuk mengawal pergerakan ini juga, menghayunkan tangan ketika berjalan memudahkan kerja kaki anda.

Tenaga yang mana kita kenakan pada permukaan tanah bertambah sebanyak 63% jika tangan kita bergerak. Ini mengurangkan tenaga yang penggunaan tenaga untuk berjalan dengan ketara.

Lagipun, menggerakkan tangan anda selari dengan kaki, contoh, melangkah kaki kiri dan menggerakkan tangan kiri ke hadapan secara serentak, adalah lebih sukar untuk dilakukan oleh badan anda dan ia memerlukan 26% lebih tenaga daripada gaya jalan biasa.

Jadi, jika anda membaca artikel ini dengan memegang telefon pintar anda menggunakan kedua-dua belah tangan sambil berjalan, maka anda telah membuatkan badan bekerja dengan lebih kuat daripada biasa.

Lagipun, berjalan sambil menggerakkan tangan telah dilakukan sejak kita mula berjalan sehinggalah kini, jadi ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, July 07, 2020

Maksud Warna Yang Sering Digunakan Dalam Kehidupan Seharian

Maksud Warna Yang Sering Digunakan Dalam Kehidupan Seharian

Wanita sering dikaitkan dengan warna merah jambu atau pink dan lelaki dengan warna biru. Emoji didatangkan dalam warna kuning. Bagaimana pula dengan kebanyakan papan tanda amaran yang berwarna merah?

Warna-warni kehidupan
Gambar hiasan.

Ini bermakna warna ternyata membawa pengaruh psikologi yang serius kepada kita sekaligus menjadi penjenamaan yang berkesan.

Mari kita lihat kaitan warna dan sesebuah produk atau amalan.

1. Kenapa Teksi Berwarna Kuning?

Walaupun teksi di Malaysia kini diperkenalkan dalam pelbagai warna, merah dan biru misalnya, tetapi asalnya ia berwarna kuning dan hitam.

Di luar negara khususnya negara barat, kenderaan pengangkutan awam ini dicat dengan warna kuning atas sebab tertentu.

Pada 1907 seorang penjual kereta, John Hertz mengasaskan perniagaan perkhidmatan teksi yang mengecat keretanya dengan warna kuning.

Menurutnya, warna tersebut menarik perhatian dan mudah dilihat. Kajian University of Chicago juga mengesahkan kuning sebagai warna yang mudah dikesan.

2. Restoran Makanan Segera Guna Warna Merah

Merah menjadi warna pilihan kebanyakan makanan segera. Psikologi warna mengesahkan merah sebagai warna penstimulasi, penyebab kelaparan, meningkat nafsu makan dan menarik perhatian.

Manakala kombinasi warna kuning pula menambah elemen keriangan dan kemesraan.

3. Kalau 'Smiley' Kenalah Kuning

Salah satu imej yang popular di laman-laman sosial iaitu smiley atau emoji dengan pelbagai ekspresi juga didatangkan dalam warna kuning.

Menurut pereka smiley, mereka lazimnya memilih warna kuning kerana ia terang, jelas dan merupakan warna yang memberi kedalaman.

Sama seperti warna kuning matahari yang ceria, smiley juga dipercayai membawa keceriaan serupa.

4. Papan Tanda, Papan Amaran Guna Warna Merah

Apa-apa papan tanda amaran dan larangan, pastinya berwarna merah. Selain bertona terang, merah juga mempunyai jarak gelombang yang jauh di mana ia dapat menarik perhatian kita.

Selain itu lampu merah juga menjadi pilihan dalam kecemaran kerana partikel warna tersebut merayap secara baik dalam atmosfera.

Seorang pakar biologi berkata, merah kelihatan lebih jelas dan terang dalam latar hijau.

5. Komunikasi Biru Di Media Sosial

Perasan tak, kebanyakan logo sosial media berwarna biru? Kebanyakan syarikat telekomunikasi di Malaysia juga berwarna biru.

Ia kerana biru adalah warna yang menenangkan walaupun tergolong dalam tona panas.

Biru menjadi warna yang mengalu-alukan, mesra, efektif dan boleh bergantung pada. Jadi, warna ini banyak digunakan dalam komunikasi serta dunia media sosial.

6. Pink Untuk Perempuan!

Ingat, warna merah jambu dan perempuan dibawa ke perhatian dunia selepas perang dunia ke-2 dan ia mula menjadi popular selepas 1980an.

Jadi sebelum itu, tiada stereotaip warna dalam kalangan pengguna.

Ada beberapa teori mengenai penggunaan warna pink, antaranya teori yang mengaitkan Hitler dan teori agama Kristian, tetapi mari kita lihat teori yang lebih terkini dan lebih rasional.

Syarikat korporat mahu membezakan produk mereka khususnya pakaian bayi dan penjagaan kulit mengikut warna.

Amerika Syarikat memperkenalkan penggunaan pink dengan bayi perempuan dan biru untuk lelaki. Ia kemudiannya menjadi ikutan.

7. Hijau Itu Tanda Selamat, Mesra Alam

Papan tanda "Keluar" dan "Pintu kecemasan" lazimnya berwarna hijau kerana ia menandakan rasa selamat.

Kalau merah itu tanda amaran kerana merujuk kepada warna darah, hijau pula warna aman yang merefleksi kehidupan, flora.

Jadi secara psikologi, penggunaan warna hijau memberi ketenangan dan keselamatan khususnya pada waktu krisis.

Lampu hijau trafik juga memberi anda kebenaran bergerak secara selamat selepas ditahan oleh lampu merah.

8. Berkabung, Bersedih Pakai Baju Hitam

Dalam kebanyakan budaya dan agama, hitam adalah warna menyambut kesedihan, keperitan dan kehilangan.

Walaupun stereotaip terhadap warna itu sudah berubah tetapi banyak budaya mengamalkan pakaian hitam ketika mengunjungi pengebumian atau ketika berkabung.

Hitam menandakan ketidakhadiran cahaya dan warna yang dekat dengan kematian.

Ia juga secara tidak langsung menunjukkan si pemakai tidak berminat untuk bertata rias, tetapi hanya mahu memberi perhatian kepada upacara yang bersedih itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

Tuesday, May 12, 2020

Siapa Pencipta Roti Gardenia?

Siapa Pencipta Roti Gardenia?

Berbeza dengan roti lain, jenama Gardenia telah mempopularkan rasa roti yang unik dikenali sebagai 'resipi Pakcik Slocum' atau 'Uncle Slocum recipe', yang dikatakan enak dimakan begitu saja, kerap kali ditonjolkan sebagai kekuatan jenamanya.

Sejarah Roti Gardenia

Jika selama ini anda tertanya-tanya siapa sebenarnya Uncle Slocum yang dimaksudkan, kali ini kami ingin berkongsi beberapa persoalan tentang jenama Gardenia selain beberapa misteri tentang jenama tersebut.

Kedatangan Pakcik Slocum ke Sabah

Sejarah bagaimana bermulanya roti Gardenia di Malaysia sebenarnya bermula sejak tahun 1969 di negeri Sabah, namun hanya mula popular sekitar tahun 1986 di Semenanjung Malaysia. Ada sebabnya kenapa itu berlaku, yang akan diceritakan kemudian.

Untuk menceritakan tentang sejarah Gardenia, kita perlu mengetahui tentang IESC terlebih dahulu.

IESC Milik Keluarga Rockefeller

International Executive Service Corporations atau IESC merupakan sebuah badan pembangunan ekonomi yang berpusat di Amerika Syarikat dan diasaskan oleh salah seorang ahli keluarga Rockefeller iaitu David Rockefeller.

Penubuhan IESC adalah bertujuan untuk membangunkan firma-firma perniagaan milikan persendirian di seluruh dunia bagi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dunia.

Salah satu idea yang diajukan adalah untuk membangunkan cabang perniagaan roti di Malaysia pada tahun 1969, yang pada ketika itu baru saja beberapa tahun tertubuh.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Horatio Sye Slocum, seorang tukang roti berpengalaman yang telah bergiat lama dalam bidang pembuatan roti serta pasteri sebelum bekerja sebagai salah eksekutif bersama IESC, dihantar ke Malaysia bagi memulakan perniagaan roti.

Untuk memulakan perniagaan, Slocum yang hadir dengan bantuan dana IESC telah menjalinkan kerjasama dengan warga tempatan dan seorang ahli perniagaan terkenal Sabah bernama Wong Tze Fatt, sebagai rakan kongsi.

Mereka berdua bersama seorang lagi kenalan Slocum, pakar pembuat krim pasteri bernama Jim Humphries, menjadi 3 orang pengasas utama jenama yang kita kenali sebagai Gardenia sekarang.

Resepi roti yang merupakan salah satu kemahiran utama Slocumm menjadi kekuatan utama produk makanan hasil kerjasama itu.

Syarikat mereka iaitu Gardenia Food Industries terus berkembang dari Sabah ke Singapura dengan pembukaan Gardenia International Pty. Ltd. (Singapura), yang diharapkan dapat membantu mengembangkan pasaran mereka ke seluruh Asia Tenggara.

Tiba di Semenanjung Malaysia

Satu perkara yang perlu anda tahu, tidak jelas apa sebenarnya yang menghalang Gardenia Food Industries daripada melebarkan perniagaan mereka ke Semenanjung Malaysia.

Apa yang diketahui, jenama Gardenia yang ada di Semenanjung Malaysia dimulakan bermula daripada pembukaan sebuah kedai roti kecil di Plaza Bukit Timah, Singapura, pada tahun 1978, berasaskan kepada resepi sama yang dibawa oleh Sloccum.

Apa yang berlaku antara Gardenia International Pty. Ltd. (Singapura) dengan Gardenia Food Industries dalam perjanjian mereka, menjadi misteri yang sukar untuk dijelaskan.

Berikutan permintaan yang tinggi, keperluan untuk membesarkan perniagaan mula dilakukan sekitar tahun 1983 dan pada ketika inilah konsep mahu menjadikan roti putih sandwich sebagai identiti utama diperkemaskan Gardenia.

Kaedah pemasaran dengan pemfokusan kepada resipi Slocum mula digunakan, juga ditambah baik melalui kaedah pembuatan yang mampu menghasilkan produk lebih lembut dengan rasa lebih enak.

Dalam masa 2 tahun dibangunkan, jenama Gardenia berjaya mengambil alih pasaran, seterusnya menjadi pilihan utama warga Singapura.

Pada tahun 1986, sebuah syarikat baharu yang tiada hubung kait dengan Gardenia Food Industries di Sabah, selain daripada hanya berkongsi jenama yang sama, dibuka atas nama Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd sebagai cabang kepada pecahan perniagaan yang bermula di Singapura bagi memasuki pasaran Semenanjung Malaysia pula.

Mungkin atas faktor pelesenan atau perjanjian di antara kedua-dua syarikat, kedua-dua entiti yang beroperasi atas nama Gardenia ini sehingga kini beroperasi dalam pasaran yang berbeza.

Gardenia Food Industries terus menjalankan perniagaan di Sabah dan Sarawak, Brunei dan Indonesia, sementara Gardenia Bakeries pula menjalankan operasi di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Pelik kan?

Dalam tahun yang sama, Gardenia di Singapura berjaya membuka kilang pertama mereka di republik itu sebelum memecah masuk pasaran Thailand setahun kemudian.

Pada tahun 1991, kilang roti Gardenia pertama dibuka di Kuala Lumpur bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

Sejarah Yang Mengelirukan

Roti Gardenia Uncle Slocum

Oleh kerana jenama Gardenia berpecah dua dan kedua-dua syarikat tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain, kisah tentang syarikat roti ini pasti akan menyebabkan kekeliruan.

Apatah lagi apabila wujud perbezaan di antara produk di Semenanjung Malaysia dan Sabah, khasnya.

Namun, ramai mengatakan roti Gardenia di Semenanjung Malaysia lebih sedap dan lembut berbanding roti Gardenia di tempat asalnya, selain rangkaian produk kedua-dua syarikat juga berbeza.

Gardenia di Semenanjung Malaysia memfokuskan kepada penghasilan produk roti serta mee sebagai produk mereka, sementara di Sabah, Gardenia memasarkan produk roti dan pastri serta produk unik seperti minuman dalam tin.

Perkara ini menimbulkan kekeliruan besar apabila pada tahun 2015, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bagaimana hubungkait kedua-dua syarikat ini hanyalah pada jenama semata-mata.

Ini berlaku apabila kilang Gardenia Food Industries di Sabah diarahkan menutup premis selama 2 minggu akibat masalah kebersihan.

Apa yang jelas daripada sejarah jenama Gardenia ini adalah, kedua-duanya berkongsi resipi Slocum tetapi dijalankan oleh dua entiti atau syarikat yang langsung tiada kaitan. Bagaimana ini berlaku?

Kemungkinan ada pihak menjual lesen resipi Slocum kepada pihak ketiga untuk digunakan bagi penghasilan produk yang serupa, tetapi kenapa jenama dan logo yang sama dikekalkan? Entahlah.

Legasi Slocum

Slocum meninggal dunia pada 30 September 1982 ketika berusia 78 tahun dan namanya sehingga kini terus kekal menjadi rujukan resepi roti putih yang berkualiti tinggi.

Mendiang selamat dikebumikan di Forest Hill Cemetery yang terletak di Alabama, Amerika Syarikat.

Nasib seorang lagi pengasas jenama Gardenia iaitu Wong Tze Fatt pula agak kurang baik.

Selepas kejayaan demi kejayaan yang ditempa meletakkannya sebagai seorang 'taikun' perniagaan yang sangat disegani, Datuk Wong Tze Fatt dan isterinya, Datin Lee Bee Hee, ditemui mati dibunuh di kediaman mereka yang terletak di Kota Kinabalu, pada 10 Disember 2004.

Tze Fatt yang berjaya membangunkan kumpulan perniagaan Tong Hing selain menjadi pemilik utama Gardenia Food Industries, ditemui mati dengan kesan hentakan di kepala dengan objek tumpul.

Pembunuh pasangan itu kemudiannya membakar bilik yang didiami kedua pasangan itu dan ketiga-tiganya, termasuklah pembunuh mereka mati dalam kebakaran itu.

Jenama Gardenia terus berkembang di seluruh Asia, menjadi pilihan utama mereka yang gemarkan roti putih sebagai santapan harian.

Namun, jenama hebat ini akan terus dihantui kisah sedih nasib yang menimpa pengasasnya, serta kekeliruan terhadap penggunaan jenamanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, October 11, 2019

Maksud Pada Rekaan Setiap Bahagian Baju Melayu

Maksud Pada Rekaan Setiap Bahagian Baju Melayu

Biarpun dibanjiri dengan rekaan baru yang telah banyak diubah suai, namun hakikatnya masih ramai yang berpegang teguh dengan rekaan baju Melayu tradisional kerana lebih segak serta menyerlahkan ciri-ciri pemakainya.

Maksud Rekaan Baju Melayu

Namun, dalam pada kita berbangga dengan baju Melayu tradisional ini, pasti ramai yang tidak tahu baju melayu yang direka sebenarnya mempunyai maksud tersendiri.

Malah, anda mungkin tidak percaya setiap bahagian pada baju melayu mempunyai maksud tersirat. Ini antara maksud di setiap rekaan baju Melayu.

1. 5 Butang Baju Melayu Melambangkan Rukun Islam

Lima butang pada baju melayu melambangkan kesemua rukun islam termasuklah mengucapkan dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengerjakan haji bagi mereka yang mampu.

2. 3 Saku Baju

Kebanyakan baju Melayu mempunyai tiga saku di hadapan. Ketiga-tiga saku ini melambangkan akidah atau kepercayaan, Islam dan Ihsan.

3. Sampin

Melambangkan kesungguhan menjaga syahwat, aurat dan maruah, manakala memakai sampin dibawah lutut bermaksud anda telah berkahwin dan di atasnya bermaksud anda masih bujang.

Jika anda sudah berkahwin tetapi masih memakai sampin di atas lutut, maka mungkin anda sedang mencari isteri kedua.

4. Baju Melayu Butang Satu

Melambangkan tauhid yang mempercayai bahawa Tuhan itu hanya satu. Anda boleh lihat rekaan ini dalam baju Melayu teluk belanga.

5. Asal Usul Baju Melayu

Rekaan ini bermula 700 tahun yang lalu apabila Sultan Muhammad Shah, Sultan Melaka kedua mahukan satu pakaian diraja.

Baju Melayu kemudian dikatakan banyak dipengaruhi daripada pakaian Arab iaitu jubah manakala seluar pula membawa pengaruh daripada Turki.

Secara ringkasnya, baju Melayu banyak membawa pengaruh Islam yang sangat kuat dan sehingga kini menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Sunday, September 29, 2019

Berapa Ramai Manusia Pernah Wujud Di Dunia?

Berapa Ramai Manusia Pernah Wujud Di Dunia?

Menganggarkan jumlah manusia yang pernah hidup di bumi merupakan satu perkara yang sukar kerana kita perlu mengambil kira dua faktor penting iaitu tempoh masa manusia hidup di bumi dengan purata saiz populasi manusia mengikut zaman mereka hidup.

Manusia di dunia
Gambar hiasan.

Untuk mendapatkan tempoh masa manusia wujud merupakan sesuatu yang sangat sukar, kerana masih banyak perkara yang tidak kita ketahui secara jelas tentang keturunan manusia sejak era manusia purba yang kita gelar hominid, sehinggalah tiba zaman kita yang dianggarkan sudah berlaku sejak beribu tahun lamanya.

Bagaimanapun, penyelidikan yang dilakukan perlu mewujudkan satu garis masa bagi mengenal pasti bila tempoh sesuai yang dianggap sebagai permulaan kepada bermulanya perkiraan anggaran populasi manusia.

Atas sebab itulah Population Reference Bureau (PRB), sebuah firma yang bertanggungjawab membangunkan penyelidikan terhadap populasi manusia meletakkan era permulaan homo sapiens, dianggarkan bermula pada tahun 50,000 BCE (Sebelum Masihi) sebagai garis permulaan bagi membantu kita meramal jumlah keseluruhan manusia yang pernah hidup di atas muka bumi.

Kajian menganggarkan populasi manusia sejak mula

Kajian PRB yang telah dilakukan beberapa kali, dengan kali pertama dilakukan pada tahun 1995 cuba menjawab persoalan yang sangat kerap kita tanyakan, berapa ramai orang pernah hidup dan meninggal dunia sepanjang wujudnya tamadun manusia?

Dengan mengambil standard daripada United Nations Determinants and Consequences of Population Trends, tamadun manusia ketika ini diramalkan bermula pada tahun 50,000 BCE.

Sekitar tahun 8,000 BCE di mana aktiviti pertanian sangat rancak dijalankan, PRB menganggarkan jumlah populasi bumi ketika itu berada pada tahap 5 juta orang.

8,000 tahun berikutnya ketika bermulanya kalendar moden pada tahun pertama, populasi manusia dianggarkan berada pada tahap 300 juta, dengan peningkatan populasi pada kadar 0.051 peratus sahaja setiap tahun, selama 8 ribu tahun.

Harus diingatkan, ini hanyalah satu anggaran. PRB melaporkan agak sukar untuk meramalkan jumlah populasi bumi pada tempoh ini disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan makanan, wabak yang melanda haiwan ternakan, permusuhan di kalangan manusia, serta perubahan cuaca dan iklim.

Kadar jangka hayat orang ramai ketika itu juga sangat pendek, secara puratanya pada tahap 10 ke 12 tahun sahaja, terlalu rendah namun dibantu oleh kadar kelahiran sangat tinggi yang mengekalkan kesinambungan tamadun manusia pada kadar 82 kelahiran untuk setiap 1,000 orang.

Kenapa kadar jangka hayat purata terlalu rendah ketika itu? Ini kerana kes-kes kematian semasa kelahiran melibatkan bayi terlalu tinggi.

Dianggarkan untuk setiap 1,000 kelahiran 500 daripadanya meninggal dunia semasa kecil dan itu hanyalah anggaran kasar.

Usaha mengira populasi manusia yang dimulakan orang Rom

Dalam zaman moden, PRB menganggarkan pada tarikh permulaan kalendar baru tahun pertama, wujud 300 juta orang manusia yang hidup.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh orang Rom pada zaman tersebut melaporkan angka yang jauh lebih rendah, sekitar 45 juta orang pada rekod tahun 14 AD (Selepas Masihi).

Angka ini meningkat sedikit dalam tempoh 1600 tahun, apabila populasi manusia dianggarkan berada pada tahap 500 juta pada tahun 1650.

Kenaikan populasi yang rendah ini dipercayai disebabkan oleh kes-kes kematian yang berlaku secara besar-besaran melibatkan beberapa negara Asia dan Eropah.

Jumlah populasi manusia dianggarkan mencecah jumlah 1 bilion kali pertama pada abad ke 19 dan terus meningkat dengan mendadak ke tahap 7.5 bilion yang kita nampak sekarang.

Semua ini dibantu oleh kemudahan kesihatan yang lebih baik, memanjangkan jangka hayat purata kita serta kejayaan mengurangkan kes-kes kematian bayi semasa baru lahir.

Dengan mengekalkan kadar jangka hayat serta kadar kelahiran yang ada sekarang, tanpa mengambil kira faktor-faktor luar seperti bencana dan sebagainya, jumlah populasi manusia di bumi dianggarkan akan mencecah 8.5 bilion pada tahun 2030 dam 9.8 bilion orang pada tahun 2050.

Harus diperjelaskan bahawa kadar kelahiran populasi manusia semakin menurun bermula pada awal abad ke 20, bermula dengan 40 kelahiran baru untuk setiap 1,000 orang, sebelum jatuh ke 19 kelahiran baru untuk 1,000 orang pada tahun 2017.

Ini adalah penyebab utama kenapa diramalkan jumlah populasi manusia akan berkembang pada tahap lebih perlahan dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Jadi, berapa ramai manusia pernah lahir sehingga kini?

Untuk menganggarkan jumlah populasi manusia sejak bermulanya zaman homo sapiens, beberapa perkara yang tidak kita ketahui secara tepat perlu digantikan dengan andaian.

Antara perkara yang perlu diandaikan adalah pola perkembangan populasi yang sudah pastinya tidak sekata.

Jadi, PRB terpaksa menggunakan kadar perkembangan sekata dan penurunan kadar kelahiran juga sekata dalam mendapatkan anggaran.

Dengan mengambil kira semua faktor yang ada, dianggarkan seramai 108.4 bilion manusia pernah bernafas di muka bumi ini secara keseluruhannya dan jumlah kita ketika ini, merangkumi hanya 6.9% daripada jumlah keseluruhan populasi yang dilaporkan.

Harus diingatkan, anggaran ini dibuat berdasarkan kepada:

1. Spesis manusia bermula lebih 50,000 tahun dahulu dengan dua orang, dipercayai Adam dan pasangannya.

2. Angka ini tidak mengambil kira apa yang berlaku semasa banjir besar yang melanda bumi sehingga menurunkan jumlah populasi manusia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, September 25, 2019

Siapa Pencipta Ajinomoto?

Siapa Pencipta Ajinomoto?

Sudah berdekad-dekad lamanya kita diberitahu bahawa MSG berbahaya dan mendatangkan banyak kesan sampingan kepada tubuh yang boleh menyebabkan keguguran rambut, dahaga, sakit kepala atau migrain, tekanan darah tinggi dan kanser.

Fakta Ajinomoto

Dakwaan terbabit sebenarnya mitos kerana tiada bukti yang menyokongnya. Sebaliknya selepas dikaji secara menyeluruh, klinikal dan saintifik oleh pelbagai organisasi antarabangsa bebas, semuanya membuat kesimpulan sama, MSG selamat setiap masa.

Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat turut mengklasifikasi MSG di bawah kategori Secara Umumnya Diiktiraf Selamat (GRAS).

Malah, di Malaysia MSG dikategorikan sebagai bahan perisa makanan umum yang sama dengan garam dan lada sulah mengikut Akta dan Peraturan Makanan 1985.

Mungkin segelintir kita tidak setuju bahawa MSG selamat dimakan kerana tanggapan buruk yang diterapkan sejak kecil, namun sebelum menyangkal fakta sebenar mengenai MSG adalah lebih baik kita memahami dulu apa sebenarnya bahan perisa ini.

MSG adalah garam natrium asid glutamik yang dijadikan penambah rasa makanan dan digunakan secara efektif sejak sekian lama untuk menonjolkan rasa terbaik masakan.

Apabila MSG ditambah ke dalam masakan, ia memberikan fungsi rasa mirip seperti glutamat yang ada secara semulajadi dalam makanan.

Komponen terkandung dalam MSG tulen adalah 10 peratus air, 12 peratus natrium dan 78 peratus glutamat.

Apabila dimakan, MSG diasingkan oleh badan kepada jumlah kecil natrium dan glutamat.

Glutamat

Glutamat pula adalah asid amino yang boleh didapati secara semula jadi dalam makanan berprotein seperti sayur-sayuran, daging lembu, ayam dan itik juga susu ibu.

Glutamat kebanyakannya terikat iaitu bercantum dengan asid amino yang lain bagi membentuk molekul protein, manakala bentuk pula tidak bercantum dengan protein. Hanya glutamat bebas yang efektif dalam mempertingkatkan rasa makanan.

Makanan yang sering digunakan dalam masakan seperti tomato dan cendawan mempunyai tahap glutamat bebas semulajadi yang tinggi.

Tubuh manusia pula mengandungi kira-kira 10 gram (g) glutamat bebas. Otak manusia mengandungi 2.3 g glutamat, sebanyak 6 g ada dalam otot, 0.7 g masing-masing dalam hati dan buah pinggang, manakala 0.04 g lagi dalam darah.

Menurut graf ditulis pakar rasa makanan, Kumiko Ninomiya, yang diterbitkan dalam Food Review International 1998, glutamat menyumbangkan lebih separuh keseluruhan kandungan asid amino dalam susu ibu pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi.

Malah, bayi juga terlebih dulu mengenal penambah rasa sejak dalam kandungan apabila air ketuban mengandungi kira-kira 2.2 miligram (mg) dalam setiap 100 mililiter (ml) glutamat.

MSG selalunya diperbuat melalui proses penapaian yang sama dengan pembuatan kicap, cuka dan dadih.

Proses bermula dengan memeram jagung, bit gula atau tebu dan produk yang terhasil adalah hablur putih murni yang mudah larut dan sebati dalam kebanyakan makanan.

Natrium

Menurut Pakar Pemakanan dan Pensyarah Kanan Jabatan Nutrisi dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zulfitri Azuan Mat Daud, natrium adalah unsur penting yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam jumlah kecil untuk mengawal jumlah air dalam badan (elektrolit), mengawal fungsi otot dan saraf, serta mengekalkan sistem peredaran darah supaya berfungsi dengan baik.

Tubuh kita memerlukan natrium untuk mengawal tekanan darah dan melindungi darah daripada membeku serta berperanan penting bagi mengawal kontraksi otot jantung menjadikan unsur ini penting dalam keseluruhan kesihatan sistem kardiovaskular.

Malah, natrium juga berperanan dalam sistem penghadaman dengan membantu proses metabolisme makanan.

Sumber utama natrium adalah garam (natrium klorida), apabila ada kira-kira 40 peratus mineral itu dalam garam biasa.

Sumber lain natrium ialah pelbagai bahan yang kita tambah dalam makanan seperti MSG, natrium bikarbonat, natrium nitrit, natrium sakarin dan natrium benzoat, manakala bahan semula jadi seperti daging dan susu.

Fungsi natrium dalam makanan sebagai bahan pengawet untuk menghalang pertumbuhan patogen bawaan makanan, natrium juga diguna untuk mengubah suai rasa, mengikat ramuan, menambah warna dan penstabil.

Orang dewasa disaran mengambil tidak lebih daripada satu sudu kecil garam sehari bersamaan dengan 5 g garam atau 2,000 mg natrium mengikut panduan pengambilan garam yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012.

Jumlah ini merangkumi natrium yang wujud secara semulajadi dalam makanan dan juga yang ditambah sewaktu pemprosesan atau memasak makanan.

Bahaya Garam Berlebihan

Walaupun garam penting untuk metabolisme tubuh, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.

Penyakit terbabit juga adalah faktor risiko mendapat strok, serangan jantung, kegagalan jantung, buta dan kegagalan buah pinggang.

Data yang dipetik daripada Global Burden Disease pada 2010 menyatakan, kematian disebabkan angka tekanan darah tinggi lebih tinggi dibandingkan dengan merokok dan diabetes serta kolesterol tinggi.

Hampir 70 peratus penyedia penjagaan kesihatan menasihatkan pesakit mereka untuk mengelakkan penggunaan garam biasa dan mengurangkan garam dalam masakan tetapi bagi kebanyakan orang, tabiat ini tidak mungkin mengakibatkan pengurangan garam utama.

Beberapa langkah untuk mengurangkan pengambilan natrium (garam biasa) termasuk memakan makanan segar, kurangkan pergantungan pada makanan proses, baca label maklumat nutrisi, ambil tahu saiz hidangan, tegas ketika memilih makan di luar, gunakan perisa semula jadi herba dan rempah serta guna penambah rasa menggantikan natrium dalam masakan.

Jawatankuasa Strategi Mengurangkan Pengambilan Natrium di Amerika Syarikat mencadangkan pengurangan garam dengan menggantikan garam dalam makanan dengan sebatian bahan perisa lain atau menerusi teknik perisa lain.

Contoh sebatian tambahan yang paling menonjol sebagai pengganti membabitkan asid glutamik iaitu asid amino.

Menggabungkan asid glutamik dengan natrium mewujudkan sebatian perisa MSG. Penambah rasa ini memberikan rasa enak sebagaimana rasa garam biasa dalam makanan.

Beberapa kajian menunjukkan tidak mustahil untuk mengekalkan keenakan makanan dengan menurunkan keseluruhan tahap natrium dalam makanan apabila MSG digantikan dengan garam.

Mengurangkan pengambilan natrium boleh menurunkan tekanan darah dan merendahkan risiko penyakit.

Hyponatremia

Penambah rasa juga bukan saja mengenakkan makanan, malah ia murah. Pengurangan natrium jangan sampai tidak diambil langsung kerana boleh mengakibatkan masalah hyponatremia.

Hyponatremia adalah tahap garam dalam darah terlalu rendah sedangkan garam adalah elektrolit yang membantu kawalan jumlah air dalam sel tubuh.

Akibatnya, pesakit akan berasa loya dan muntah, sakit kepala, keliru, tidak bertenaga, otot kejang, sawan dan koma.

Sejarah Ajinomoto

Penambah rasa daripada asid amino dikenali secara saintifik sebagai rasa asas kelima selain manis, masam, masin dan pahit.

Rasa asas kelima ini yang membuka selera, ditakrifkan seperti sup atau semacam daging, dipanggil umami yang diambil daripada perkataan Jepun iaitu umai dan mi bermaksud rasa yang menyelerakan.

Umami awalnya ditemui saintis Jepun, Profesor Kikunae Ikeda, pada 1908. Ketika itu, beliau tertanya-tanya apa yang memberikan rasa menakjubkan pada sup rumpai laut, Dashi, sebelum melakukan penyelidikan.

Hasilnya, Profesor Ikeda menemui sejenis bahan dalam rumpai laut yang memberikan rasa enak berkenaan. Itulah asid glutamik atau glutamat dalam bentuk hablur seperti garam biasa.

Setahun kemudian, Profesor Ikeda menghasilkan MSG daripada garam natrium asid glutamik secara komersial dan menjualnya sebagai penambah rasa masakan untuk kegunaan harian dengan jenama Ajinomoto.

Beliau juga percaya dapat menambah baik kandungan zat makanan penduduk Jepun melalui umami selepas mendapati jasmani mereka lebih rendah berbanding orang Barat yang tinggi disebabkan pengambilan zat makanan.

Selepas penemuan Profesor Ikeda, beberapa kajian lagi mengenai umami dijalankan dan hasilnya, dua lagi bahan utama pada rasa asas kelima ini ditemui dua lagi saintis Jepun.

Pada 1913, Shintaro Kodama menemui sumber umami dalam ikan tuna kering iaitu nucleotide inosinate, manakala Dr Akira Kuninaka menemui nucleotide guanylate dalam cendawan shitake pada 1957.

Umami terhasil melalui kehadiran protein berikutan rasa bahannya diperoleh daripada asid amino bebas iaitu glutamat atau nucleotida yang biasanya ditemui dalam makanan berasaskan protein.

Perasa umami berupaya menghasilkan gabungan penuh sensasi rasa, memuaskan tekak dan mengasah selera untuk makan terutama sayuran.

Penggunaan penambah rasa MSG memberikan manfaat apabila ia mengurangkan pengambilan natrium sehingga 30 peratus.

Dengan hanya menggunakan sejumlah kecil MSG tulen atau perasa umami ini, pengambilan natrium boleh dikurangkan antara 20 hingga 30 peratus dan pada masa sama mengekalkan kelazatan makanan.

Dalam MSG, hanya ada 12 peratus natrium berbanding garam biasa yang mengandungi 40 peratus natrium.

Selain melazatkan makanan, umami membantu meningkatkan selera makanan dan menggalakkan pengambilan nutrien dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

Pengurangan natrium disebabkan pengambilan umami mengurangkan risiko mengalami tekanan darah tinggi dan masalah kesihatan lain.

Reseptor (sel dalam tubuh yang peka terhadap rangsangan tertentu) umami bukan saja ada pada lidah, malah dalam perut.

Kajian terkini menunjukkan reseptor umami dalam perut kita berupaya mengenal pasti makanan yang mengandungi umami dan seterusnya menggalakkan penghadaman makanan berprotein.

Ini bermaksud, makanan yang berasa umami termasuk makanan yang ditambah dengan penambah rasa Ajinomoto bukan saja menyelerakan, malah memperbaiki penghadaman makanan berprotein dan meningkatkan pengambilan nutrien untuk kehidupan sihat.

MSG boleh digunakan dalam banyak makanan berperisa termasuk daging, ikan, ayam, itik, pelbagai jenis sayur-sayuran serta dalam sos, sup dan bumbu.

MSG mempertingkatkan rasa masin dan masam tetapi hanya berkesan sedikit atau tidak langsung terhadap makanan yang manis atau pahit.

Tiada had penggunaan bagi MSG kerana badan saintifik dan penguat kuasa seperti Jawatankuasa Pakar Bersama Bangsa-bangsa Bersatu (JECFA) meletakkan MSG dalam kategori paling selamat iaitu Pengambilan Harian Boleh Diterima (ADI) tidak dikhususkan berdasarkan data saintifik yang menyeluruh.

Bagaimanapun, MSG adalah bahan yang terhad dengan sendirinya dan apabila jumlah yang mencukupi digunakan, penggunaan tambahan hanya menyumbang sedikit atau tidak langsung kepada perisa makanan.

Malah, menambah terlalu banyak MSG boleh menyebabkan makanan kurang enak dan membazir.

Tiada kajian merumuskan bahawa MSG menyebabkan rambut gugur dan sakit kepala atau migrain.

Banyak punca yang diketahui bagi sakit kepala termasuk diet dan stres serta teori lain termasuk keturunan, masalah otak neuro dan masalah saluran darah. MSG hanyalah glutamat, asid amino yang paling biasa dalam bentuk garam natrium.

Glutamat dan natrium tidak memiliki sebarang ciri karsinogen oleh itu ia tidak menyebabkan kanser.

Walaupun dengan pelbagai kajian yang dilakukan, masih tiada bukti saintifik atau klinikal yang menyokong tuntutan palsu bahawa MSG menyebabkan kanser.

Malah, MSG juga tidak menyebabkan dahaga sebaliknya rasa kekurangan air ini disebabkan oleh garam yang berlebihan dalam makanan. Sekiranya natrium, komponen utama dalam garam adalah berlebihan kita akan berasa dahaga.

Bagaimanapun, saintis berpendapat simptom yang timbul selepas mengambil makanan mengandungi MSG disebabkan oleh sebilangan manusia sebenarnya mempunyai alahan terhadap bahan penambah rasa itu, sama dengan mereka yang alah pada makanan laut atau telur.

Bahaya MSG Terlalu Banyak

MSG dikatakan berbahaya, beracun dan bertoksik selepas berlaku Sindrom Restoran Cina (CRS) iaitu ketidakselesaan sementara yang dialami sesetengah orang selepas mengambil makanan dan minuman tertentu.

Pada 1968, doktor dari Amerika Syarikat menulis dalam New England Journal of Medicine, menyatakan beliau mengalami rasa kebas di belakang leher dan merasa tekanan pada muka dan otot atas dada yang dinamakannya sebagai CSR.

Tanpa sebarang kajian atau bukti, beliau menyatakan simptom yang dialaminya disebabkan oleh MSG yang banyak digunakan di restoran Cina.

Sejak itu reputasi MSG menjadi buruk dan ramai berpendapat MSG menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti lelah, darah tinggi, sawan dan gangguan neurologi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Friday, September 20, 2019

Kenapa Buah Zakar Lelaki Terletak Di Luar Badan?

Kenapa Buah Zakar Lelaki Terletak Di Luar Badan?

Ia mungkin kelihatan bertentangan dengan logik tentang hakikat bahawa organ-organ pembiakan lelaki yang sangat penting terdedah kepada unsur-unsur di luar tubuh, namun saintis mempunyai beberapa teori mengenai persoalan yang sangat penting ini. Mengapa buah zakar tidak disimpan dengan selamat di dalam tubuh badan lelaki?

Buah Zakar
Gambar hiasan.

Menurut pakar, kawalan suhu adalah jawapan yang paling jelas untuk persoalan membingungkan ini.

Penghasilan sperma oleh buah zakar yang paling berkesan adalah pada suhu 35 ° Celcius, iaitu 2° C lebih rendah di bawah suhu yang dikekalkan di dalam tubuh manusia.

Organ yang berfungsi dalam keadaan paling baik pada suhu 37 ° C dilindungi oleh tulang di dalam rongga badan, termasuk otak dan buah pinggang.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ketidaksepakatan dalam komuniti saintifik mengenai tesis berkenaan dengan suhu ini.

Tidak jelas sama ada buah zakar "turun" atau keluar daripada badan kerana ia perlu lebih sejuk daripada tubuh badan atau sama ada ia berkembang untuk berfungsi dengan lebih baik pada suhu tersebut kerana ia berada di luar.

Tesis tentang penyejukan buah zakar ini berasal dari Universiti Cambridge pada tahun 1890-an.

Saintis tersebut, Joseph Griffiths, melakukan satu eksperimen terhadap anjing, menolak buah zakar haiwan ini masuk kembali ke dalam perut dan menjahit organ tersebut agar tidak terkeluar.

Kurang daripada seminggu kemudian, Joseph mendapati bahawa organ itu telah merosot, dengan tiub di mana penghasilan sperma berlaku menjadi sempit dan sperma tidak muncul.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan suhu yang lebih tinggi di dalam badan membuatkan teori ini terhasil.

Kajian ini telah disemak pada tahun 1920 oleh Carl Moore dari University of Chicago.

Menggunakan hasil kerja Charles Darwin, Carl berhujah bahawa apabila mamalia telah beralih daripada haiwan berdarah sejuk kepada berdarah panas, suhu dalaman menghalang pengeluaran sperma.

Spesis jantan yang dilahirkan dengan buah zakar di luar badan menjadi "penternak" paling berjaya dan melepaskan bahan genetik, serta mengekalkan sifatnya.

Walau bagaimanapun, mereka yang menentang teori ini menggunakan contoh mamalia yang masih mengekalkan buah zakar di dalam badan dan terus berjaya membiak.

Banyak mamalia dengan buah zakar dalaman seperti gajah dan burung, mempunyai suhu teras yang lebih tinggi daripada manusia dan primat, yang dikatakan boleh menafikan teori tentang suhu ini.

Sesetengah ahli akademik percaya bahawa suhu yang lebih sejuk ini mungkin untuk menghentikan DNA daripada bermutasi, manakala yang lain percaya bahawa sperma di bawah suhu badan membolehkan kehangatan faraj berfungsi sebagai isyarat mengaktifkan sperma.

Adalah mungkin kedudukan buah zakar luaran dapat dijelaskan oleh teori suhu, yang mana jika spesies betina terpaksa memilih antara dua jantan yang telah menewaskan semua persaingan lain, ia akan memilih jantan yang terpaksa mengatasi halangan terbesar.

Ini adalah kerana kerana ia merupakan petunjuk kepada kekuatan yang lebih hebat.

Sebagai contoh, memanjat Gunung Everest adalah sesuatu yang sangat mengagumkan, tetapi memanjat ke puncak dengan satu tangan diikat di belakang anda adalah lebih hebat, bukan?

Teori kontroversi memainkan beberapa cara untuk menjelaskan beberapa fenomena evolusi yang bermasalah, seperti warna bulu burung jantan yang berwarna-warni dan siulan burung yang kelihatan direka untuk menarik pemangsa.

Apa pun teori tentang buah zakar di luar badan ini, ia tetap membingungkan kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi