Friday, May 12, 2017

Benarkah Catatan Amalan Ditutup Pada Malam Nisfu Sya'ban?

Benarkah Catatan Amalan Ditutup Pada Malam Nisfu Sya'ban?

Tiada dalil mahupun keterangan ulama bahawa buku catatan amal ditutup di malam nisfu Sya’ban atau ketika bulan Sya’ban namun, mungkin ramai yang salah faham dan membuat tafsiran yang salah terhadap hadis.

Nisfu Sya'ban

Dari Usamah bin Zaid, beliau bertanya, “Wahai Rasulullah, saya belum pernah melihat anda berpuasa dalam satu bulan sebagaimana anda berpuasa di bulan Sya’ban?”

Nabi SAW bersabda, “Ini adalah bulan yang sering dilalaikan banyak orang, bulan antara Rejab dan Ramadhan. Ini adalah bulan dimana amal-amal diangkat menuju Rab (Tuhan) semesta alam. Dan aku ingin ketika amal aku diangkat, aku dalam keadaan berpuasa.” (HR. An Nasa’i 2357, Ahmad 21753, Ibnu Abi Syaibah 9765 dan Syuaib Al-Arnauth menilai ‘Sanadnya hasan’)

Dalam hadis tu, Nabi SAW mengatakan, bahawa amalan para hamba-Nya dilaporkan ketika bulan Sya’ban, dan sebab itu, baginda memperbanyak puasa di bulan Sya’ban.

Rasulullah SAW tidak menentukan bila tarikh peristiwa pelaporan amal itu terjadi. Bahkan zahir hadis menunjukkan, itu terjadi selama satu bulan.

Sebab tu, puasa yang dilakukan Rasulullah SAW di bulan Sya’ban tidak pada tarikh-tarikh tertentu. Baginda juga tidak menganjurkan agar kita memilih pertengahan Sya’ban untuk puasa, yang beliau lakukan adalah memperbanyak puasa selama Sya’ban.

Untuk itu, siapa yang beranggapan dianjurkan memperbanyak ibadah ketika pertengahan Sya’ban, dengan anggapan bahwa ketika itu terjadi pelaporan amal, maka dia harus mendatangkan dalil. Tanpa dalil, bererti dia menyangka perkara ghaib. Dan tentu saja, pendapatnya wajib ditolak.

Dalam hadis itu sedikitpun tidak menyebutkan adanya penutupan buku catatan amal. Baginda hanya menyampaikan ketika bulan Sya’ban terdapat pelaporan amal dan bukan penutupan catatan amal.

Tidak ada istilah penutupan buku amal dalam Islam, kerana kaum muslimin dituntut untuk selalu beramal sehingga ajal menjemputnya.

Allah berfirman, “Beribadahlah kepada Tuhanmu sampai datang kepadamu Al-Yaqin.” (QS. Al-Hijr: 99)

Para ulama tafsir sepakat bahawa makna Al-Yaqin pada ayat di atas adalah kematian. Kerana setiap manusia dituntut beramal dan beribadah selama akalnya masih berjalan.

Nabi SAW menasihatkan agar kita selalu menjaga iman, dengan istiqamah beramal. Ada seorang sahabat yang meminta nasihat kepada beliau, yang nasihat ini akan selalu dia jaga selama hidupnya.

Nasihat yang beliau sampaikan sangat ringkas, katakan, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqmahlah.” (HR. Ahmad 15416 dan sanadnya shahih).

Dan yang namanya istiqamah, tentu saja tidak akan ada putusnya.

Al-Imam Ahmad pernah ditanya, ‘Bila waktu untuk istirehat?’ beliau menjawab, “Ketika pertama kali kita menginjakkan kaki kita di surga.”

Sekali lagi tidak ada istilah istirahat beramal atau buku catatan amal ditutup sementara. Amal kita yang dihisab tidak hanya ketika nisfu Sya’ban, namun juga di bulan-bulan lainnya. Semoga Allah meringankan kita untuk terus istiqamah meniti jalan kebenaran. Amin..

Kesimpulan

Tiada istilah buku amalan ditutup dan digantikan dengan buku baru kerana tiada dalil sahih berkaitan dengannya.

Amalan kita sentiasa dihisab oleh Malaikat Raqib dan Atid dan dilaporkan kepada Allah. Amalan kita hanya akan berakhir apabila kita mati.

Amalan yang paling baik ialah ISTIQAMAH, bukannya pada bulan tertentu atau hari-hari tertentu sahaja.

Semoga semua faham, dan tidak lagi menyebarkan hadis-hadis palsu dan berita yang dibuat-buat dalam agama.

Sesiapa yang mendapat info-info berkaitan agama terutama yang disertakan hadis Nabi SAW tolonglah cari dan tanya dulu status hadis tu sebelum sebarkan.

Nabi s.a.w pernah bersabda, 'Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempat duduknya di Neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)

Jadi, berhati-hatilah menyebarkan sesuatu berita.

Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki kebenarannya supaya kamu tidak menyampaikan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” [Al Hujarat ayat 6.]

Amalan-Amalan manusia di angkat dan bukan ditutup. Bila amalan manusia di angkat?

Catatan Amalan

Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi saw.

Hadith-hadith yang sahih, thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang)

2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)

3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban)

Hadith-hadith sahih, thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut:

1. Amalan diangkat, dibentang 2 kali setiap hari

Rasulullah saw bersabda, maksudnya, "Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yang menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu, walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hamba-Nya: 'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba-Ku itu?' Jawab para malaikat, 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.' (Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar) -Hadith Sahih-

Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai." (Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadith Sahih-

3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Sya'ban (Bukan Nisfu Syaaban)

Usamah bin Zaid ra mengatakan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah SAW, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa." (Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

Maka disini jelaslah bahawa amalan manusia tidak ditutup dan tidak dibuka baru, cuma amalan kita diangkat.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, May 05, 2017

Kelebihan Dan Keistimewaan Bulan Sya'ban

Kelebihan Dan Keistimewaan Bulan Sya'ban

Perkongsian ini dipetik dari blog Dr.Asri yang menjawab persoalan penting mengenai sebilangan umat Islam yang menyatakan tentang kelebihan dan keistimewaan bulan Sya'ban.

Sya`ban

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan? -Anisah, Bangi.

Jawapan Dr MAZA:

Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf.

Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam.

Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut.

Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.

2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H), “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban.

Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab, “Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.

6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, “Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah, “Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).

7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut, “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci.

Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya, “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum.

Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri.

Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya.

Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki.

Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Cuma, penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Kelebihan Di Bulan Rejab

sumber: drmaza