Thursday, November 24, 2022

5 Bola Paling Mahal Di Dunia!

5 Bola Paling Mahal Di Dunia!

Nilai bola sememangnya berbeza-beza bergantung pada perlawanan bola sepak, tempat pemain menggunakan bola, jika ia ditandatangani oleh seseorang yang terkenal atau jika ia mempunyai warisan sejarah.

Kami kongsikan senarai 5 bola paling mahal di dunia dengan sesetengah daripada bola ini sememangnya bola sebenar yang boleh digunakan dalam permainan bola sepak profesional sementara ada segelintir daripadanya mempunyai nilai tinggi kerana ciri unik padanya.

Namun, dengan harganya yang tidak masuk akal dan bahan binaannya itu, kita tahu bahawa bola ini dibuat sebagai koleksi semata-mata dan bukannya dibuat untuk perlawanan sebenar.

1. Bola Berlian Shimansky
Harga: $2,500,000

Bola Berlian Shimansky

Bola yang diperbuat dari berlian 3,500 karat ini, menjadikan ia bola bola paling mahal di dunia.

Bola bertatahkan berlian ini mempunyai 6,620 berlian putih dan 2,640 berlian hitam dipisahkan ke dalam tompok bola yang sesuai. Ia mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Bola ini direka untuk Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan. Pereka barang kemas Yair Shimansky mencipta bola ini untuk meraikan kejohanan itu.

Replika bola ini yang diperbuat dari kristal pula telah dilelong di mana hasil lelongan didermakan ke badan kebajikan.

2. Bola Berlian milik Benzema
Harga: $250,000

Bola Berlian Benzema

Bola kedua termahal dunia ialah bola bertatahkan berlian, bernilai suku juta dolar yang dibeli oleh pemain bola sepak Perancis, Karim Benzema.

Menurut tukang emas Dave Bling dan pasukannya, Benzema menghubungi mereka dengan permintaan untuk mencipta bola 1,250 karat.

3. Bola Piala Dunia Louis Vuitton 1998
Harga: $3,500-$5,500

Bola Piala Dunia Louis Vuitton 1998

Salah satu bola termahal ialah bola keluaran Louis Vuitton Edisi Terhad yang dibuat untuk Piala Dunia Perancis pada tahun 1998.

Bola itu diperbuat daripada kulit, dalam corak monogram Louis Vuitton "LV" dan Louis Vuitton/Paris/Made in France dicap pada bahagian bawah bola.

Bola LV berwarna coklat sebagai warna utamanya ini mempunyau beberapa corak butiran persegi emas.

Apabila jenama ini mengumumkan pengeluaran bola mahal ini, peminat terkejut dengan tanda harga, seolah-olah anda membayar untuk nama jenama dengan populariti besar di dunia moden.

Tengok jenama LV sahaja pun kita boleh agak bola ini dijual kerana jenamanya dan untuk dijadikan sebagai koleksi semata-mata.

4. Bola Ditandatangani 12 Pemain Barcelona
Harga: $2,300

Bola Ditandatangani 12 Pemain Barcelona

Satu lagi bola yang ditandatangani ialah Bola Nike Barcelona 2021/2022 dengan pelbagai tandatangan.

Bola itu ditandatangani tangan oleh pemain FC Barcelona Adama Traore, Dani Alves, Ferran Torres, Jordi Alba Ramos, Nico Gonzales, Ronald Araujo dan Xavi Hernandez, sekadar memberikan beberapa nama.

Bola tandatangan berbilang pemain Barcelona ini dijual di laman web Sports Memorabilia dengan harga $2,300 dalam keadaan sangat baik.

Bola ini telah dilesenkan secara rasmi, dengan reka bentuk 12 panel yang licin dan belon getah di dalamnya untuk membantu tekanan udara apabila bola ditendang atau dibaling.

Bola keluaran Nike ini boleh digunakan untuk permainan sebenar, walau bagaimanapun kerana harganya yang begitu mahal, ia sememangnya barang koleksi untuk peminat Barcelona.

5. Bola Liga Juara-Juara Eropah Ditandatangani Lionel Messi
Harga: $1,900

Bola Liga Juara-Juara Lionel Messi

Bola yang ditandatangani ini telah meningkatkan nilainya kerana Lionel Messi dan tandatangan tulisan tangannya di sisi.

Bola sepak ini telah ditandatangani semasa Liga Juara-Juara UEFA 2021, di mana Lionel Messi bermain untuk Paris Saint-Germain.

Pasukan Messi tidak bermain di perlawanan akhir, tetapi memandangkan Messi digelar "Maradona baharu" kerana kejayaannya, tandatangannya itu dianggap lebih bernilai daripada pemain lain.

Musim 2021/2022 pasukannya dianggap mengecewakan kerana mereka tewas pada Pusingan ke-16 kejohanan Juara UEFA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, May 25, 2022

Salahkan Menteri Punca Pencapaian Buruk Sukan SEA, Jangan Tuding Atlet Negara!

Salahkan Menteri Punca Pencapaian Buruk Sukan SEA, Jangan Tuding Atlet Negara!

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, harus dipersalahkan dan bukannya atlet negara berhubung prestasi hambar negara di Sukan Asia Tenggara (SEA) tahun 2022, kerana di bawah teraju Ahmad Faizal, atlet bergelut dengan pemotongan peruntukan yang tinggi.

SUKAN SEA 2022

Kenyataan Faizal bahawa dia berasa kecewa kerana kontinjen Malaysia tidak berada di kedudukan lebih tinggi di Sukan Sea Hanoi mencerminkan kegagalan berterusan pihak menteri untuk memimpin sektor sukan negara, katanya.

Malah, kenyataan itu tiada beza dengan sikap menyalahkan atlet Malaysia.

Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas prestasi paling buruk Malaysia di Sukan SEA dalam 40 tahun ialah Menteri Belia dan Sukan sendiri, bukan para atlet Malaysia yang terpaksa berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan kepimpinan menteri.

Contohnya, atlet Malaysia terpaksa bertempur dalam keadaan kekurangan dana berikutan tindakan Menteri memotong hampir 80 peratus peruntukan untuk penyediaan sukan antarabangsa dalam Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2018.

Selain itu, elaun latihan untuk 253 atlet turut ditamatkan manakala mereka yang terus menerima elaun menyaksikan pemotongan drastik sehingga 60 peratus.

Kekecewaan yang kononnya disuarakan menteri tidak boleh diterima sama sekali, sedangkan banyak pihak telahpun memberikan amaran di Parlimen pada November 2021 bahawa sektor sukan negara bakal berdepan kemerosotan berikutan kegagalan kepimpinan menteri belia dan sukan serta pemotongan mendadak peruntukan sukan.

Malah, beberapa cadangan untuk menyelamatkan keadaan juga tidak didengari.

Menteri belia dan sukan sepatutnya memohon maaf kepada para atlet dan semua peminat sukan Malaysia.

Sudah tiba masanya menteri belia dan sukan mengakui kegagalan kepimpinannya dan mengambil langkah-langkah membina semula kekuatan sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet yang lebih baik bagi mencungkil dan mengekalkan lebih ramai bakat sukan Malaysia.

Ahmad Faizal sebelum ini berkata "semua rakyat Malaysia kecewa" selepas Malaysia menduduki tempat keenam dalam Sukan SEA walaupun mencapai sasaran negara untuk 36 pingat emas.

'Pencapaian terburuk sejak 63 tahun lalu'

Pencapaian diraih kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2022 disifatkan sebagai terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada tahun 1959, apabila mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Malaysia berada di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina, yang juga merupakan kedudukan terendah dalam tempoh hampir 40 tahun.

Walaupun berjaya melepasi sasaran 36 emas yang ditetapkan, namun pencapaian itu bukan sesuatu boleh dibanggakan kerana Malaysia dianggap menghantar kontinjen yang besar, terdiri daripada 589 atlet.

Sejak di perkenalkan pada tahun 1959 yang ketika itu dikenali Sukan SEAP sebelum ditukar kepada Sukan SEA pada tahun 1977, hanya Thailand dan Indonesia berjaya muncul juara keseluruhan apabila temasya berkenaan berlangsung di luar negara.

Thailand muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali dengan tujuh kali mendominasinya di luar negara, Indonesia pula merekodkan 10 gelaran juara keseluruhan berjaya memenanginya sebanyak enam kali bukan sebagai tuan rumah.

Malaysia hanya muncul juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah iaitu pada edisi 2001 dan 2017 masing-masing di Kuala Lumpur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Friday, January 28, 2022

8 Ahli Sukan Wanita Paling Kaya 2021

8 Ahli Sukan Wanita Paling Kaya 2021

Setiap tahun, majalah bisnes terkemuka, Forbes sentiasa mengemas kini senarai atlet yang menerima bayaran paling tinggi di dunia dan kebiasaannya ia sering berubah-ubah.

Kali ini, kami menyenaraikan lapan atlet wanita yang menerima bayaran tertinggi sepanjang tahun 2021 sama ada dari segi hadiah kemenangan mahupun hasil sebagai duta produk.

1. NAOMI OSAKA

NAOMI OSAKA KAYA

Umur: 25 tahun
Negara: Jepun
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$2.3 juta (RM9.64 juta)
Pendapatan luar padang: AS$55 juta (RM230.61 juta)

Hampir semua pendapatan Naomi Osaka berjumlah AS$57.3 juta (RM239.87 juta) datang daripada kerjasama yang dilakukan bersama lebih 10 jenama terkemuka dunia seperti Louis Vuitton, Sweetgreen dan Tag Heuer.

Walaupun mengharungi musim suram dalam saingan tenis pada 2021, namun dia tetap mengungguli carta atlet wanita yang menerima bayaran tertinggi sepanjang tahun lalu.

2. SERENA WILLIAMS

SERENA WILLIAMS KAYA

Umur: 41 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$900,000 (RM3.77 juta)
Pendapatan luar padang: AS$45 juta (RM188.69 juta)

Meskipun sekadar menyertai enam kejohanan WTA pada musim lalu, namun Serena Williams boleh diibaratkan seperti pisang goreng panas kepada syarikat-syarikat gergasi untuk melantiknya sebagai duta produk.

Tahun lalu, dia juga menjadi penerbit eksekutif untuk filem King Richard selain memiliki pelaburan dalam syarikatnya, Serena Ventures.

3. SIMONE BILES

SIMONE BILES KAYA

Umur: 25 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Sukan: Gimnastik
Pendapatan dalam padang: AS$1 juta (RM4.19 juta)
Pendapatan luar padang: AS$10 juta (RM41.93 juta)

Walaupun dia dikritik hebat pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu kerana menarik diri dalam lima acara, namun Simone Biles sudah pun memahat namanya sebagai legenda.

Dia bekerjasama dengan Autograph untuk mengeluarkan token NFTs pada Ogos lalu selain imejnya digunakan dalam Jelajah Gimnastik di Amerika Syarikat.

4. VENUS WILLIAMS

VENUS WILLIAMS KAYA

Umur: 42 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$300,000 (RM1.26 juta)
Pendapatan luar padang: AS$11 juta (RM46.12 juta)

Kelibat bekas pemain No. 1 dunia ini jarang-jarang dapat dilihat dalam kejohanan WTA sejak kebelakangan ini.

Pendapatan pemain biasa mungkin terjejas teruk sekiranya tidak banyak menyertai kejohanan, namun tidak bagi Venus Williams memandangkan dia memiliki jenama pakaian sendiri, EleVen yang berkolaborasi dengan K-Swiss.

Seperti adiknya Serena, dia juga merupakan penerbit eksekutif filem King Richard.

5. GARBINE MUGURUZA

GARBINE MUGURUZA KAYA

Umur: 29 tahun
Negara: Sepanyol
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$2.8 juta (RM11.74 juta)
Pendapatan luar padang: AS$6 juta (RM25.16 juta)

Dalam saingan antara 2018 sehingga 2020, prestasi Garbine Muguruza dianggap kurang memuaskan biarpun berjaya menjadi naib juara Terbuka Australia pada 2020.

Bagaimanapun, kebangkitan yang ditampilkan tahun lalu dengan memenangi tiga kejohanan selain berada pada ranking ketiga dunia membolehkan dia menerima bonus daripada penaja.

Selain itu, dia juga memiliki perjanjian penajaan dengan Jaguar, Nivea, Adidas dan Babolat.

6. KO JIN YOUNG

KO JIN YOUNG KAYA

Umur: 27 tahun
Negara: Korea Selatan
Sukan: Golf
Pendapatan dalam padang: AS$3.5 juta (RM14.68 juta)
Pendapatan luar padang: AS$4 juta (RM16.77 juta)

Ko Jin Young meraih hadiah wang tunai AS$1.5 juta (RM6.28 juta) selepas memenangi Kejohanan CME Group Tour pada November lalu walaupun akur status sebagai pemain No. 1 dunia hampir dua tahun dirampas Nelly Korda.

Walaupun tidak mendapat tajaan tetap untuk kelengkapan kayu golf, namun dia masih menjana pendapatan lumayan hasil perjanjian dengan LG Electronics, Korean Air, air mineral Jeju SamDasoo serta produk penjagaan kulit Rejuran.

7. P. V. SINDHU

P. V. SINDHU KAYA

Umur: 27 tahun
Negara: India
Sukan: Badminton
Pendapatan dalam padang: AS$200,000 (RM838,600)
Pendapatan luar padang: AS$7 juta (RM29.35 juta)

Nama P. V. Sindhu tidaklah terlalu popular dalam arena sukan dunia, namun dia adalah jaguh di gelanggang badminton selain pernah berada dalam carta ini pada 2018.

Selepas memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, perseorangan wanita India ini menerima empat tajaan baharu daripada Byju’s, Spinny, Li-Ning serta Bank of Baroda.

8. ASHLEIGH BARTY

ASHLEIGH BARTY KAYA

Umur: 26 tahun
Negara: Australia
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$3.9 juta (RM16.35 juta)
Pendapatan luar padang: AS$3 juta (RM12.58 juta)

Tidak ada pemain tenis wanita lain yang meraih hadiah kemenangan lebih tinggi daripada Ashleigh Barty pada musim 2021.

Malah, pemain No. 1 dunia ini baru sahaja menandatangani perjanjian penajaan dengan Marriot Bonvoy. Satu pencapaian menakjubkan apabila sebahagian besar pendapatannya musim lalu hadir menerusi hadiah wang kemenangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Monday, September 13, 2021

Di Sebalik 'Siiuuuu' Cristiano Ronaldo!

Di Sebalik 'Siiuuuu' Cristiano Ronaldo!

Kerinduan penyokong Manchester United terhadap Cristiano Ronaldo bukan sahaja terubat dengan dua gol yang diledak bintang Portugal itu ketika menumpaskan Newcastle 4-1, malah gaya 'siuuuu..' mewarnai Liga Perdana Inggeris.

Ronaldo

Ronaldo yang membuat kepulangan pertama selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford, meledak gol ke-119 dan 120 buat Red Devils.

Sejurus menjaringkan gol, dia berlari ke tepi padang, melompat sambil memusingkan badan dengan tangan merentang dan menjerit 'ssiuuuu...'

Mendedahkan maksud di sebalik aksi 'siuuuu' yang popular itu, Ronaldo berkata, trademark tersebut sebenarnya tidak pernah dilakukan ketika dia menyarung jersi United dari 2003 hingga 2009.

Ia hanya bermula selepas dia menyertai Real Madrid pada 2009.

"Pada mulanya saya berkata 'si', yang bermaksud seperti 'yes', ketika itu saya bersama Real Madrid.

"Saya berada di Amerika Syarikat dan kami menentang Chelsea (2013) dan saya tidak tahu dari mana gaya itu datang.

"Saya menjaringkan gol dan sejujurnya, secara spontan melakukan aksi tersebut. Sejak itu saya mula melakukannya dengan lebih kerap.

"Bila saya melakukannya, saya nampak penyokong sudah boleh mengagak dan mereka menjerit seperti 'Cristiano, siiiiiuuu!'.

"Saya macam, wow!! Orang ingat saya kerana gaya lompatan itu! Ia sangat bagus dan saya terus melakukannya," kata pemenang Ballon d’Or lima kali itu.

Ronaldo sendiri pun tidak percaya

Biarpun berusia 36 tahun, Cristiano Ronaldo melakukan kepulangan cukup sempurna bersama Manchester United di hadapan 76,000 penonton dengan aksi dipamerkan jelas membuktikan dia sememangnya layak memegang status pemain terbaik dunia.

"Saya tidak jangkakan untuk meledak dua gol. Saya fikir mungkin satu sahaja dan bukan dua. Saya perlu menghargai penyokong setelah apa dilakukan mereka kepada saya hari ini.

"Saya rasa sangat bangga apabila dapat melakukannya. Sudah tentu saya gembira menjaringkan gol, saya tidak menafikannya. Tetapi perkara paling penting adalah pasukan dan mereka bermain bagus.

"Ia sukar dipercayai. Ketika saya memulakan perlawanan saya sangat gementar, saya bersumpah. Saya tidak menjangkakan mereka akan menyanyikan nama saya sepanjang perlawanan.

"Saya sangat gementar, mungkin saya tidak menunjukkannya, tetapi ia benar. Sambutan menakjubkan tetapi saya di sini untuk menang dan membantu pasukan," katanya kepada BBC Sport.

Sementara itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer yang pernah bergandingan dengan Ronaldo dari tahun 2003 hingga 2009 bersama skuad Red Devils, cukup lega dengan persembahan pemain itu ketika membenam Newcastle United 4-1.

"Ini adalah kehebatan Cristiano dan adalah hari untuk dinikmati semua orang," ujarnya.

Dalam perlawanan itu, penyokong tuan rumah disajikan dengan 21 percubaan termasuk enam daripada Ronaldo, selain menyaksikan Red Devils melakukan serangan bertali arus ke atas lawan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Thursday, December 31, 2020

Cristiano Ronaldo Dinobat Pemain Terbaik Abad 21

Cristiano Ronaldo Dinobat Pemain Terbaik Abad 21

Mengalahkan Leo Messi dari Barcelona dan pemain Liverpool, Mohamed Salah, Ronaldo terpilih sebagai pemain terbaik abad ke-21 oleh 23 juri, pada Anugerah Globe Soccer di Dubai, termasuk jurulatih dan bekas pemain serta undian peminat dari seluruh dunia.

CR7

"CRISTIANO RONALDO dinobat PEMAIN ABAD 2001-2020 Anugerah Globe Soccer," kata Dubai Global Soccer Awards di Twitter.

Pemenang lima kali Liga Juara-Juara UEFA (empat bersama Real Madrid, satu bersama Manchester United) memimpin pasukan kebangsaan Portugal memenangi gelaran utama pertama mereka, UEFA EURO 2016.

Ronaldo, yang juga kapten Portugal, menjaringkan 102 gol untuk negaranya.

Beliau merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris bersama The Red Devils selama tiga tahun berturut-turut (2007, 2008 dan 2009).

Bersama Juventus sejak 2018, Ronaldo menjadi juara Itali dua kali ketika menjaringkan 81 gol dalam 103 perlawanan untuk kelab Itali itu.

Bintang sensasi itu turut meraih dua anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA, lima anugerah Ballon d'Or, dan tiga kali dipilih sebagai pemain terbaik UEFA di Eropah.

Dalam acara sama, Real Madrid dinobat sebagai Club of the Century, sementara pengurus Manchester City Pep Guardiola memenangi gelaran Coach of the Century dan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski menjadi Pemain Terbaik Tahun 2020.

Kekaguman Ronaldo Terhadap Cristiano Ronaldo

Ronaldo

Suatu ketika dahulu, Ronaldo Luiz Nazario De Lima ataupun Ronaldo Fenomeno pernah menzahirkan rasa kagum beliau kepada seorang lagi Ronaldo iaitu Cristiano Ronaldo.

2 pemain ini memiliki nama yang sama dan merupakan legenda untuk negara mereka serta kelab Real Madrid.

Ronaldo Fenomeno berkata, walaupun kedua-dua mereka memiliki keinginan yang tinggi dalam memburu gol, mereka tetap ada perbezaan dari segi beberapa perkara.

Menurut Ronado, "Walaupun objektif kami sama [untuk menjaringkan gol], namun kami berbeza dari segi posisi dan cara kami bermain di dalam padang. Tetapi Cristiano lebih banyak bermain di bahagian serangan tengah, dan ada cara lain untuk mencari gol – dengan hormat – beliau melakukan apa yang saya pernah lakukan."

Ronaldo juga mengakui satu perbezaan terbesar di antara mereka adalah bentuk badan pada usia 33 tahun, dengan para doktor perubatan di Juventus mengesahkan fizikal Ronaldo adalah seperti kebanyakan pemain yang baru berusia 20 tahun.

Bagi Ronaldo, Cristiano mendapat bentuk badan terbaik itu kerana usahanya dan bukannya kerana faktor semulajadi, sangat teliti dan cerewet dalam soal menjaga pemakanan dan rutin latihan seharian.

Cristiano berlatih kerana minat dan cintanya kepada apa yang beliau lakukan, manakala Ronaldo mengakui beliau dahulu berlatih kerana terpaksa, sebab ia adalah satu tanggungjawab, jadual latihan sudah ditetapkan oleh kelab. Jika tak datang latihan boleh dikenakan tindakan dan juga kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.

Ronaldo berkata, "Bukan satu kebetulan di mana Cristiano sudah berusia 33 tahun dan badannya masih semantap itu. Saya rasa tak ramai pemain yang mampu menjaga badan seperti beliau lakukan dengan banyak usaha dilakukan untuk memperbaikinya."

Menurut bekas penyerang Brazil itu lagi, beliau dan Cristiano disediakan tempat latihan serta rutin latihan yang hampir sama ketika bergelar pemain profesional, namun apa yang membezakan mereka adalah disiplin.

"Saya tidak kata konsep latihan kami dan keprihatinan dalam berusaha ketika latihan itu berbeza, namun perkara yang membezakan kami iaitu: Saya berlatih kerana terpaksa melakuknnya, manakala beliau berlatih kerana beliau menyukainya," tambah beliau lagi.

Ronaldo merasakan sukar untuk membandingkan dua zaman mereka, kerana evolusi bola sepak dan kualiti lawan mereka adalah berbeza. Lantas beliau menyatakan lebih selesa untuk bercerita tentang pengalaman bermain dahulu tanpa perlu membandingkannya dengan Ronaldo.

Beliau berkata, "Kami ada beza 9 tahun dalam era permainan kami. Era kami bermain adalah sangat berbeza. Saya tak maksudkan zaman saya dahulu lebih sukar, namun saya nak katakan kami berhadapan dengan situasi yang berbeza dengan pasukan yang berbeza."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Sunday, June 28, 2020

Bagaimana Analisis Komputer Berjaya Menjulang Liverpool Juara Liga Perdana?

Bagaimana Analisis Komputer Berjaya Menjulang Liverpool Juara Liga Perdana?

Pada Oktober 2010, John Henry berjaya membeli Liverpool FC dengan harga $480 juta dan sumber kekayaan beliau adalah melalui algoritma yang dibina sendiri untuk meramalkan harga turun naik pasaran kacang soya.

John Henry Liverpool FC
John Henry.

Setelah memperoleh Liverpool, budaya data analytics telah dibawa ke Liverpool dan Ian Graham, seorang saintis dan tidak meminati sukan bola sepak, dilantik menjadi Pengarah Bahagian Penyelidikan.

Pasukan Ian Graham terdiri daripada Tim Waskett, seorang pakar astrofizik, Dafydd Stelle, seorang bekas juara catur dunia yang juga pakar matematik dan Will Spearman, seorang pakar tenaga fizik tinggi dari Harvard University. Mereka berempat dikenali sebagai 'the laptop guys'.

Mereka telah membina beribu algoritma untuk menganalisis statistik pemain dan sehingga kini, pangkalan data mereka mempunyai lebih seratus ribu pemain dari seluruh dunia tanpa perlu mengenali setiap satu pemain tersebut secara peribadi.

Dengan hanya melihat statistik, mereka mampu mengenalpasti pemain terbaik di setiap posisi pada satu-satu masa dan nilai sebenar semasa setiap pemain.

Dari hasil analisis tersebut, mereka juga mampu menjangkakan nilai setiap pemain tiga hingga lima tahun akan datang, seperti nilai penjualan Phillipe Coutinho kepada Barcelona.

Berkenaan Phillipe Coutinho, Ian Graham telah diarahkan secara tiba-tiba untuk menyelidik seorang pemain kiri Inter Milan yang kurang dikenali — Phillipe Coutinho.

Namun, statistik Phillipe Coutinho amat memberangsangkan sehingga Liverpool segera membeli pemain itu dengan harga $16 juta secara senyap.

Menggunakan hasil algoritma yang dibina, pada ketika itu Phillipe Coutinho dilihat sebagai pemain kiri terbaik yang underated dan nilainya akan meningkat sehingga $160 juta dalam masa lima tahun akan datang.

Analisis mereka hampir tepat kerana akhirnya Barcelona membeli Coutinho dengan harga $170 juta pada tahun 2018!

Setakat ini, antara analisis yang membawa hasil kejayaan adalah Jurgen Klopp, Naby Keita, Mohamed Salah, Roberto Firmino, Sadio Mane, Phillipe Coutinho, Allison Becker, Fabinho dan Virgil van Dijk. Semuanya kritikal kepada kejayaan yang dikecapi Liverpool kini.

Pemain yang paling dikagumi oleh Ian Graham adalah pemain tengah Liverpool iaitu Naby Keita.

Scout lain hanya melihat Naby Keita sebagai versatile midfielder tetapi Ian Graham melihat Naby Keita sebagai satu fenomena luar biasa.

Ini kerana statistik Naby Keita menunjukkan bahawa setiap kali dia memegang dan menghantar bola, peratusan untuk Liverpool menjaring lebih tinggi berbanding pemain lain.

Dengan menggunakan kaedah Data Analytics ini, Liverpool akhirnya mampu bangkit semula dengan mendapatkan pemain terbaik dunia dengan harga yang lebih murah serta sesuai dengan ideologi permainan Liverpool yang sebenar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Monday, June 22, 2020

10 Ahli Sukan Paling Hebat Sepanjang Zaman

10 Ahli Sukan Paling Hebat Sepanjang Zaman

Siapa ahli sukan terbaik sepanjang zaman yang menjadi idola di seluruh dunia? Sebenarnya, sangat ramai ahli-ahli sukan yang hebat dari dahulu hinggalah sekarang, tetapi pasti ada yang bergelar paling hebat dan terbaik diantara yang terbaik kan?

Berdasarkan pemilihan Dewan Kemasyhuran oleh akhbar The Sun, berikut adalah 10 senarai legenda sukan sepanjang zaman, mereka digelar Best of The Best.

1. Muhammad Ali

Ahli Sukan Paling Hebat

Dia menggelarkan dirinya "Yang Terhebat" dan tidak ada sesiapa mampu menafikannya.

Ali adalah juara tiga kali tinju heavyweight yang memenangi beberapa pertarungan hebat - termasuk 'Rumble in the Jungle' menentang George Foreman dan "Thrilla in Manila' menentang Joe Frazier, serta kejutan ke atas Sonny Liston untuk merebut gelaran itu buat julung kalinya.

Berasal dari generasi hamba abdi di Kentucky, Ali menjadi lelaki paling terkenal di dunia, bukan saja berjuang di dalam gelanggang tinju, tetapi turut memperjuangkan kepercayaan agama dan politiknya.

2. Don Bradman

Ahli Sukan Paling Hebat

Pemain kriket Australia ini mungkin tidak sehebat legenda dalam sukan utama lain, tetapi rekodnya dalam sukan kriket melayakkannya berada di tangga kedua senarai ini.

Don Bradman mengakhiri karier antarabangsanya dengan membimbing Australia dalam jelajah England pada 1948.

3. Pele

Ahli Sukan Paling Hebat

Hanya ada tiga nama yang mampu menyaingi kehebatan Pele - Maradona, Messi dan Ronaldo.

Tetapi sumbangan besar Pele untuk kejuaraan Brazil pada Piala Dunia 1958 (pada usia 17 tahun) dan pada edisi 1970, serta rekod jaringannya, menjadikannya pemain bola sepak terulung.

Pele meledak 1,281 gol, walaupun rekod dalam perlawanan rasmi dikatakan hanya 767 gol.

4. Tiger Woods

Ahli Sukan Paling Hebat

Walaupun Jack Nicklaus masih mendahului dalam jumlah gelaran Major - 18 berbanding 15 - Woods masih merekodkan karier lebih gemilang berbanding mana-mana pemain golf.

Tidak ada pemain yang lebih dominan berbanding Tiger Woods di kemuncak kariernya, memenangi keempat-empat gelaran major serentak selepas menyarung jaket hijau Masters pada 2001.

5. Roger Federer

Ahli Sukan Paling Hebat

Berdasarkan rekod 20 kejuaraan Grand Slam perseorangan lelaki, termasuk lapan gelaran Wimbledon yang belum diatasi, Federer adalah legenda sepanjang zaman di gelanggang tenis.

Keupayaannya memenangi tiga gelaran Major pada usia 35 dan 36 tahun, selepas pulih daripada kecederaan lutut dan belakang, membuktikan kegemilangannya yang melangkaui usia.

6. Michael Jordan

Ahli Sukan Paling Hebat

Michael Jordan adalah pemain bola keranjang terhebat yang mampu mengubah mana-mana pasukan biasa kepada pasukan hebat, seperti Maradona dalam bola sepak.

Dia memenangi enam gelaran NBA dengan Chicago Bulls pada era 90-an, dengan lima anugerah Pemain Paling Bernilai dan 10 gelaran jaringan.

7. Jesse Owens

Ahli Sukan Paling Hebat

Tidak ada atlet dalam sejarah yang merakam kemenangan lebih besar berbanding Owen, apabila dia menggondol empat pingat emas di Berlin ketika era Adolf Hitler pada Olimpik 1936.

Atlet berkulit hitam Amerika Syarikat itu mengatasi kesombongan bangsa Aryan yang didakwa Nazi sebagai bangsa terulung apabila menguasai acara 100m, 200m, pecut berganti-ganti dan lompat jauh.

Pencapaian Owen itu hanya dapat diulangi oleh Carl Lewis pada 1984.

8. Lionel Messi

Ahli Sukan Paling Hebat

Seorang lagi bintang bola sepak Argentina dan mungkin pemain paling berbakat pernah wujud dalam sukan ini.

Tidak seperti Maradona, Messi belum pernah memenangi Piala Dunia dan hanya bermain untuk satu kelab, Barcelona.

Dia meledak 627 gol dalam 718 penampilan untuk kelab dan menjadi penjaring terbanyak La Liga sepanjang zaman.

Messi mengumpul 34 trofi utama bersama Barca, termasuk empat Liga Juara-Juara, dan memegang gelaran terbanyak Ballon d'Or sebanyak enam kali.

Walaupun dia bersaing hebat dengan Cristiano Ronaldo, Messi sentiasa menjadi pilihan berbanding pesaing dari Portugal itu.

9. Diego Maradona

Ahli Sukan Paling Hebat

Tidak ada pemain bola sepak lain dalam sejarah mampu menjulang pasukan seperti bintang Argentina ini.

Kemenangan Argentina pada Piala Dunia 1986 boleh dianggap hasil kelincahan Maradona dan gol keduanya ketika suku akhir menentang England dilabel sebagai gerakan solo terbaik dalam sejarah (selain hasil kerja tangannya untuk gol pertama).

Dia turut membantu Napoli menjuarai Serie A sebanyak dua kali ketika Itali dianggap sebagai liga terkuat di dunia.

10. Usain Bolt

Ahli Sukan Paling Hebat

Lapan pingat emas Olimpik dan 11 gelaran Kejuaraan Dunia meletakkan pelari pecut Jamaica ini sebagai atlet olahraga terbaik.

Rekod dunianya dalam acara 100 meter pada catatan 9.58 saat sudah bertahan lebih sedekad.

Lebih menarik lagi adalah, Usain Bolt juga mengatasi pelari pecut lain apabila tidak pernah dipalit skandal penggunaan steroid.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Saturday, June 20, 2020

5 Penggusti WWE Terbaik Sepanjang Zaman

5 Penggusti WWE Terbaik Sepanjang Zaman

Siapa bintang terhebat WWE sepanjang zaman? Apa yang membuatkan bintang gusti itu dilabel sebagai bintang? Adakah kerana perlawanan dan gerakannya? Perlawanan yang pecah panggung? Karisma atau semua di atas?

Berikut adalah senarai 5 bintang gusti terbaik WWE sepanjang zaman pilihan Sun Sports.

1. Stone Cold Steve Austin

Stone Cold Steve Austin

Dia memiliki gerakan penyudah paling popular - Stone Cold Stunner namun senjata terhebat Austin adalah intensitinya.

Intensitinya menyebabkan perlawanannya begitu laris dan popularitinya melonjak. Tiada bintang gusti yang lebih bersemangat seperti Austin dalam tempoh 1998 hingga 2001.

2. Hulk Hogan

Legenda Hulk Hogan

Watak yang penuh kontroversi tetapi dia adalah antara tarikan utama bagi gusti moden dan diminati segenap lapisan penyokong.

Gaya kartunnya mungkin ketinggalan zaman namun dia adalah 'raja' kemahiran penting dalam gusti iaitu manipulasi penyokong - dia membuatkan penyokong menentang The Rock pada WrestleMania X8.

3. Shawn Michaels

Legenda Shawn Michaels

Digelar 'The Showstopper' dan 'Mr WrestleMania' apabila dianggap bintang gusti terhebat di dalam gelanggang.

Ketika mempertahankan gelarannya pada 1996, dia meningkatkan lagi standard perlawanan utama ke tahap yang sukar dicabar dan walaupun bersara pada 2010, dia masih yang terbaik.

4. The Undertaker

The Undertaker

'The Deadman' ini masih karakter gusti terbaik sejak penampilannya 30 tahun lalu dan 'gergasi' yang hebat dengan ketinggian hampir tujuh kaki namun tetap pantas dan lincah.

Rekod tanpa kalahnya di Wrestlemania lebih berprestij daripada Kejuaraan WWE namun rekod tanpa kalahnya ditamatkan pada 2014.

5. The Rock

The Rock WWE

Bintang gusti paling berkarisma sepanjang zaman dan itu membuatkan dia menjadi bintang pecah panggung apabila menceburi bidang perfileman.

Dia juga seorang penggusti yang baik dan pernah berentap dengan Steve Austin, Triple H, Hulk Hogan, Mick Foley, serta memiliki hubungan yang begitu rapat dengan penyokong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, June 17, 2020

8 Pemain Yang Dianggap Pewaris Cristiano Ronaldo

8 Pemain Yang Dianggap Pewaris Cristiano Ronaldo

Persoalan yang bermain di fikiran peminat bola sepak dengan pemain Portugal ini sudah memasuki kemuncak kariernya, siapa pemain yang mampu menjadi pewaris atau pengganti bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo?

Cristiano Ronaldo

Malah, 'tanda' sebagai pengganti Ronaldo yang diletakkan ke atas pemain muda ketika ini kadang-kadang dianggap boleh menjadi beban susulan standard yang cukup tinggi dicipta pemain itu.

Berikut adalah 8 pemain yang menjadi perbandingan dengan Cristiano Ronaldo ketika di awal kariernya.

1. JOAO FELIX

Pewaris Cristiano Ronaldo

Nama Felix, 20, melonjak bersama Benfica pada 2018-19 dan membantu kelab itu memenangi liga.

Dia juga menjadi pemain termuda yang pernah meledak hatrik dalam Liga Eropah pada usia 19 tahun selepas tiga kali menentang Eintracht Frankfurt.

Ia mendorong pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone membayar £113 juta (RM609 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Memiliki tanda 'pengganti Ronaldo' menjadikan penyerang itu sebagai sasaran pemain lain di Sepanyol, dan dia diketepikan selama sebulan selepas cedera pergelangan kaki yang dialami ketika menentang Valencia.

Namun, itu bukan penamat buat Felix di Atletico jika dia tetap cergas dan hanya perlu mengatasi masalah masa sebelum memenuhi potensinya.

2. FEDERICO MACHEDA

Pewaris Cristiano Ronaldo

Menjadi rakan sepasukan Ronaldo pada 2009, menyebabkan dia tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan bintang Portugal itu.

Keadaan itu dilihat menjadi punca penyerang Itali itu mengakui dirinya mengalami histeria ketika beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United.

Kini, Macheda yang berusia 28 tahun sudah menemui semula sentuhan jaringan bersama Panathinaikos di Greece selepas menyertai beberapa kelab termasuk QPR, Doncaster dan Novara.

3. VINICIUS JUNIOR

Pewaris Cristiano Ronaldo

'Budak ajaib' dari Brazil ini belum mencapai tahap yang diharapkan di Real Madrid, sejak berpindah pada 2018.

Los Blancos membayar £39 juta (RM210 juta) kepada Flamengo untuk Vinicius Junior ketika dia berusia 16 tahun, sebelum secara rasmi menyertai kelab itu pada usia 18 tahun, usia minimum untuk perpindahan antarabangsa.

Setahun lalu, dia mempamerkan persembahan cemerlang bersama pasukan utama, meledak gol ketika menewaskan Barcelona 2-0 pada Mac.

Seakan sama dengan Ronaldo pada awal kerjayanya, pemain ini memiliki kepantasan dan pakar menggelecek.

4. ANTHONY MARTIAL

Pewaris Cristiano Ronaldo

Penyerang Perancis, Martial, 24, meletakkan dirinya sebagai orang yang paling dipercayai di Old Trafford dengan mengetuai barisan pilihan Ole Gunnar Solskjaer.

Malah, musim ini dia menunjukkan boleh menjadi lebih produktif, meledak 16 gol dalam semua pertandingan.

Dia mencipta nama bersama Monaco, sebelum menandatangani kontrak dengan United bernilai 58 juta pound (RM312 juta) pada 2015.

Jumlah itu bagaimanapun digambarkan oleh bekas pengurus Louis van Gaal sebagai bayaran yang "tidak masuk akal".

5. FRANCISCO TRINCAO

Pewaris Cristiano Ronaldo

Trincao dijangka menyertai Barcelona dan bergandingan dengan Lionel Messi pada Julai, selepas persetujuan perjanjian £28 juta (RM150 juta) dicapai pada Januari.

Memiliki ketinggian enam kaki, pemain antarabangsa Portugal bawah 20 (B-20) tahun itu berkongsi fizikal yang sama dengan Ronaldo dan mempunyai kemampuan terbaik dalam bola sepak.

Mampu bermain pelbagai posisi di bahagian serangan, dia juga memiliki kaki kiri yang istimewa dengan rembatan tepat dan kemahiran menggelecek.

Ketika kejuraan Eropah B-19 2018, dia memenangi anugerah kasut emas dengan Portugal menewaskan Itali 4-3 di pentas final selepas tambahan masa.

6. WILFRIED ZAHA

Pewaris Cristiano Ronaldo

Seakan tidak adil memanggil Zaha sebagai pemain yang gagal, memandangkan kedudukannya di Liga Perdana Inggeris ketika ini bersama Crystal Palace.

Namun, persembahannya di Manchester United dari 2013-15 adalah satu musibah.

Pemain terakhir yang ditandatangani Sir Alex Ferguson sebelum bersara, Zaha, 27, tidak pernah menjadi pemain yang benar-benar digemari David Moyes dan dihantar ke Cardiff City secara pinjaman sebelum dia kembali ke Selhurst Park.

Terdapat laporan Newcastle United merancang untuk menjadikan Zaha sebagai pemain pertama mereka yang menelan belanja besar selepas proses mengambil alih kelab itu selesai.

7. KYLIAN MBAPPE

Pewaris Cristiano Ronaldo

Bukan lagi dianggap sebagai 'pengganti Ronaldo', Mbappe adalah bintang yang mempunyai gaya tersendiri.

Pemain utama PSG berusia 21 tahun itu sudah menjaringkan 30 gol dalam 33 perlawanan musim ini, dan membantu Perancis memenangi Piala Dunia dilihat sebagai pewaris Ronaldo dan Messi untuk merangkul anugerah Ballon d'Or.

Namun, bekas penyerang Arsenal, Nicolas Anelka menganggap Mbappe mengingatkan dia kepada legenda Brazil, Ronaldo ketika Olimpik 1996.

"Dia mempunyai ciri-ciri pemain berkelas dunia dan dia harus menguruskannya dengan baik. Jika dia mengikuti karier Ronaldo, dia akan menjadi salah satu legenda yang melakar sejarah dalam sukan ini."

8. KAIO JORGE

Pewaris Cristiano Ronaldo

Chelsea, Juventus, dan Bayer Leverkusen antara kelab yang berpotensi buat bintang remaja sensasi Brazil, Jorge.

Pemain berusia 18 tahun ini dilaporkan adalah pemain terbaik yang pernah mereka lihat di Santos selepas Neymar, mempunyai kepantasan kaki yang hebat dan teknik luar biasa.

Pada Piala Dunia B-17 tahun lalu, dia menunjukkan memiliki kepakaran mencetak gol, menjaringkan lima gol untuk memenangi 'Kasut Gangsa'.

Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan adakah dia benar-benar akan berkembang menjadi pengganti Ronaldo di masa depan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Sunday, May 31, 2020

8 Penyerang Berbisa Yang Gagal Menyerlah Di EPL

8 Penyerang Berbisa Yang Gagal Menyerlah Di EPL

Mana-mana penyerang yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), mungkin perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada beberapa orang penyerang yang pada mulanya kelihatan amat berbisa menjaringkan gol.

Ini kerana, rekod cemerlang di Eropah atau Latin tidak menjamin perkara sama dapat diulangi di EPL, kerana tidak semuanya mampu menjadi Fernando Torres atau Sergio Aguero.

Berikut adalah 8 penyerang yang gagal menyerlah selepas menyertai EPL.

1. DIEGO FORLAN - Manchester United (2002-2004)

DIEGO FORLAN

Ia memerlukan 34 perlawanan untuk Forlan akhirnya membuka akaun jaringan di England, kemudian meledak gol kedua ketika menentang Southampton.

Dan ketika meraikan jaringan dengan membuka bajunya, dia mengalami kesukaran untuk memakainya semula sehingga terpaksa melakukan terjahan tanpa baju dan menanggalkan baju ketika meraikan jaringan akhirnya menjadi kesalahan kad kuning.

Forlan hanya menjaringkan 17 gol dalam 98 perlawanan untuk United.

2. FERNANDO MORIENTES - Liverpool (2005-2006)

FERNANDO MORIENTES

Bintang Sepanyol itu hanya semusim setengah di Anfield dan cuma sekadar meledak lapan gol dalam 41 penampilan Liga Perdana.

3. HERNAN CRESPO - Chelsea (2003-2008)

HERNAN CRESPO

Hernan Crespo pernah menjadi pemain termahal dunia tetapi mengalami kesukaran mendapatkan prestasi terbaiknya di Stamford Bridge.

Dia cukup menyerlah ketika bersama Parma dan Lazio, tetapi di Chelsea hanya mampu meledak 20 gol sepanjang tempoh lima tahun.

4. ANDRIY SHEVCHENKO - Chelsea (2006-2009)

ANDRIY SHEVCHENKO

Andriy Shevchenko menyertai Chelsea ketika kemuncak prestasinya bersama AC Milan, dan selepas hampir 200 gol diledak bersama gergasi San Siro itu, harapan tinggi diletakkan ke atas penyerang Ukraine ini.

Bagaimanapun, dia hanya menemui sasaran sembilan kali dalam 48 penampilan EPL.

5. ROBINHO - Manchester City (2008-2010)

ROBINHO

Perpindahan Robinho ke Manchester City mengejutkan dunia pada 2008. Dia membarisi skuad bintang Brazil dan bermain lebih 100 kali untuk Real Madrid sebelum disambar City yang mendapat suntikan dana besar daripada pemiliknya.

Namun, hanya 14 gol dijaringkan Robinho dalam dua musim sebelum dia menyertai AC Milan.

6. RADAMEL FALCAO - Manchester United (2014-2015) dan Chelsea (2015-2016)

RADAMEL FALCAO

Dua kelab Inggeris menjadi destinasi Falcao dan dia gagal di kedua-dua kelab itu.

Peledak Colombia itu tiba di England dengan reputasi sebagai penyerang elit, antara yang paling tajam di dunia ketika itu.

Hampir setiap perlawanan dia berjaya menjaringkan gol ketika di Porto dan Atletico Madrid, sebelum meledak 62 gol dalam 105 perlawanan untuk Monaco.

Namun di EPL, hanya lima gol dikutip dalam dua musim di Old Trafford dan Stamford Bridge.

7. ROBERTO SOLDADO - Tottenham (2013-2015)

ROBERTO SOLDADO

Bekas penyerang Real Madrid dan Sepanyol itu cukup tajam ketika bersama Valencia dan harapan tinggi diletakkan Spurs ke atasnya tetapi dia hanya membalasnya dengan tujuh gol dalam 52 aksi liga.

8. ALEXANDRE PATO - Chelsea (2016)

ALEXANDRE PATO

Bintang muda sensasi Brazil itu dijangka akan menguasai dunia, menjadi Ronaldo baharu dan mengukir nama dalam sejarah bola sepak.

Dia bermula baik di Internacional dan kemudian AC Milan, tetapi prestasinya menjunam dan dia kembali ke Brazil bersama Corinthians.

Chelsea menandatanganinya pada 2016 tetapi dia hanya bermain dua kali dan sekadar menyempurnakan satu gol penalti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian