Thursday, June 25, 2020

Kisah Bagaimana Starbuck Bangkit Selepas Hampir Muflis!

Kisah Bagaimana Starbuck Bangkit Selepas Hampir Muflis!

Starbucks adalah antara jenama yang selalu mendapat tempat di hati peminat kopi kerana itulah ramai yang sanggup membayar sehingga RM20 untuk secawan kopi yang diadun dengan penuh perasaan dan nikmat.

Howard Schultz Starbuck
Howard Schultz.

Tetapi, tahukah anda pada tahun 2007/2008, Starbucks pernah dilanda krisis kewangan sehingga mereka hampir diisytiharkan muflis.

Pada tahun 2008, saham Starbucks jatuh sehingga 28% dan terpaksa menutup 600 cawangan pada tahun yang sama dan menutup 300 cawangan lagi pada tahun 2009, juga dilaporkan telah memberhentikan 6,700 pekerja.

Tidak mahu isu ini terus berpanjangan, langkah awal yang diambil oleh Starbucks adalah dengan melantik kembali Howard Schultz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks menggantikan Jim Donald.

Di bawah kendalian Schultz, dia menemui beberapa masalah yang dihadapi:

Pertama, dia mendapati Starbucks terlalu mementingkan birokrasi berbanding pelanggan. Kedua, dia mendapati bahawa Starbucks terlalu menyalahkan keadaan ekonomi serta kenaikan harga susu untuk menaikkan harga kopi.

Starbucks juga menghadapi persaingan dari McDonald's, yang pada tahun 2008 telah mula memasuki perniagaan membuat kopi.

Schultz mempunyai pandangan yang berbeza. Dia telah mengambil inisiatif dengan mengirim surat kepada para pekerja dengan menyatakan bahawa "Syarikat mesti mengalihkan fokus mereka dari birokrasi kepada pelanggan".

Dia juga menambah bahawa pentingnya untuk Starbucks 'menjalinkan hubungan emosi dengan para pelanggan'.

'My Starbucks Idea'

Setelah berjaya mencari pucuk akar yang rosak, Schultz telah melancarkan kempen 'My Starbucks Idea', kempen bertujuan untuk membuang dinding yang menghalang Starbucks dan para pelanggan.

Starbucks meraikan perbezaan pendapat dengan bertukar idea di antara para pelanggan dan juga syarikat.

Pelanggan boleh memberi pandangan mengenai segala hal melibatkan Starbucks; produk, perkhidmatan, susun atur kedai, iklan, tanggungjawab sosial, bahkah muzik di dalam kedai juga turut dialu-alukan.

Hasilnya? Starbucks telah menerima lebih daripada 93,000 pandangan yang dikongsikan oleh 1.3 juta pengguna di media sosial. Selain itu juga, impression terhadap Starbucks juga telah meningkat kepada 5.5 juta sebulan.

Starbucks kini lebih fokus untuk menjalankan perniagaan dalam bentuk komuniti, bermula dengan kempen 'Free Wi-Fi', 'Soy Lover' dan lain-lain.

Selain itu, Starbucks turut menyedari bahawa mereka harus menghasilkan pemasaran berasaskan media sosial dan tidak boleh dilihat putus asa atau terlalu ingin untuk meningkatkan jualan.

Oleh itu, Starbucks telah mengambil inisiatif dengan mengurangkan iklan yang berasaskan produk dan lebih memberi tumpuan dalam membina hubungan di antara syarikat dan pelanggan.

Ciapan spontan dari Starbucks yang hanya membuat emoji senyuman juga pernah mendapat pujian dari para pelanggan.

Manakala hantaran lain di media sosial seperti 'keep calm and make coffee' juga adalah antara usaha baharu yang dihasilkan oleh Starbucks dalam membina hubungan dengan para pelanggan.

Beberapa tahun lalu, Starbucks pernah dilanda kontroversi apabila syarikat itu dikaitkan menggunakan keuntungan mereka bagi membiayai tentera Israel.

Sekali lagi, media sosial berjaya membuatkan Starbucks keluar daripada masalah tersebut dengan membina mesej yang kuat bahawa, 'Starbucks adalah organisasi yang cintakan kedamaian'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Monday, February 25, 2019

Kenapa Starbucks Gagal Di Australia?

Kenapa Starbucks Gagal Di Australia?

Starbucks boleh dianggap sebagai rangkaian kedai kopi paling terkenal di dunia yang mempunyai lebih daripada 28,000 cawangan di 76 buah negara, manakala di Malaysia terdapat di 242 lokasi dan negara yang paling banyak cawangannya adalah Amerika Syarikat, lebih daripada 13,000 cawangan diikuti oleh China dengan lebih daripada 3,000 cawangan.

Starbucks Australia

Malah, cawangan baru Starbucks di China dibuka setiap 15 jam dan walaupun mendapat sambutan hangat di pelbagai negara, terdapat sebuah benua atau lebih tepat sebuah negara yang tidak berminat dengan Starcbucks dan negara dan benua tersebut adalah Australia.

Australia telah terbukti sebagai salah satu pasaran di dunia yang paling sukar untuk dipecahkan.

Tutup 2 per 3 cawangan di Australia

Tersangat sukar sehinggakan Starbucks terpaksa menutup 2 per 3 cawangannya di negara ini pada tahun 2008. Jadi, apa yang tak kena dengan Starbucks di Australia?

Untuk menjawab persoalan itu, jom kita patah balik ke Julai 2000, apabila Starbucks membuka cawangan pertamanya di Australia iaitu di Sydney, syarikat ini berkembang dengan begitu pantas.

Menjelang tahun 2008, Starbucks mempunyai 87 cawangan di seluruh Australia.

Menurut Nick Wailes, seorang profesor dan timbalan dekan di University New South Wales, masalah Starbucks adalah mereka sudah berjaya di pelbagai buah negara dan mereka beranggapan bahawa model perniagaan mereka boleh berjaya begitu sahaja di persekitaran yang baru tanpa perlu menyesuaikan diri.

Berkembang terlalu pantas

Itulah masalahnya, apabila Starbuck cuba untuk membangunkan empayar di Australia dengan terlalu pantas.

Mereka membuka cawangan baru di pelbagai lokasi dan bukannya mengintegrasikan kewujudan mereka ke dalam pasaran Australia.

Menurut seorang penganalisis penyelidikan, Thomas O'Connor, ketika Starbucks dilancarkan, ia dilakukan dengan terlalu pantas dan tidak memberikan peluang kepada pengguna Australia untuk benar-benar mewujudkan rasa teringin terhadap jenama ini.

"Mereka juga bergerak ke kawasan serantau ke kawasan luar bandar di bandar-bandar besar. Dengan ini rakyat Australia berasakan mereka boleh dengan mudah mendapatkan produk Starbuck, membuatkan tiada perbezaan dengan kedai kopi lain.

"Ia bukanlah satu pertumbuhan yang organik yang mana dilihat berlaku di Amerika Syarikat," jelas Thomas O'Connor.

Oleh sebab itu, dalam 7 tahun pertama Starbucks bertapak di Australia, mereka mengalami kerugian RM426 juta.

Menjelang tahun 2007, Starbucks Australia berada dalam situasi genting dan tak menentu, membuat pinjaman dari Amerika Syarikat sehingga RM220 juta.

Dan pada tahun 2008, Starbucks mengumumkan penutupan 61 cawangan, dan ia berlaku ketika mana dunia mengalami krisis kewangan.

Gagal memberi impak seperti di AS

Mengalami nasib yang sama bersama-sama penutupan Starbucks Australia adalah 600 cawangan di Amerika Syarikat yang tidak menguntungkan.

Walaupun begitu, penarikan diri di Australia adalah sesuatu yang sangat memalukan bagi jenama gergasi dunia ini.

Ketika Starbucks seolah-olah menarik diri daripada pasaran Australia, pengguna Australia seolah-olah tidak kisah, disebabkan oleh rakyat Australia mempunyai pilihan kopi yang sangat banyak.

Pasaran kopi Australia adalah antara yang terbesar di dunia dan industri ini menganggarkan memperoleh pendapatan sebanyak RM24 bilion pada tahun 2018.

Budaya kopi di Australia

Australia diselubungi dengan budaya kafe sejak pertengahan abad ke-20 apabila pendatang dari Itali dan Greece mula berpindah ke negara ini.

Migran-migran ini kemudiannya memperkenalkan espresso kepada warga Australia dan menjelang tahun 1980-an, budaya kafe di Australia menjadi tular sehinggakan terciptanya menu istimewa seperti kopi "Flat White" dan "Australian Macchiato".

Kafe-kafe terhasil daripada budaya Itali di mana ia menjadi tempat bertemu dengan rakan-rakan dan mengenali barista-barista tempatan. Hasilnya, budaya ini menjadi sangat kuat di Australia.

Namun, Starbucks datang ke Australia dengan budaya kopi Amerika yang menjadikan kopi semata-mata sebagai satu komoditi.

Starbucks mempunyai menu asas dan menawarkan minuman yang tinggi gula, sesuatu yang tidak digemari oleh rakyat Australia.

Harga yang lebih mahal

Malah, harga yang dikenakan oleh Starbucks jauh lebih mahal daripada kafe-kafe tempatan, membuatkan rakyat Australia memilih untuk membayar dengan harga lebih rendah kepada barista tempatan yang mereka percaya.

Namun, terdapat satu syarikat kopi Amerika Syarikat yang berkembang maju di Australia. Ditubuhkan di Chicago dan kini berpangkalan di Australia, Gloria Jean's mendapat sambutan yang gagal diperoleh Starbucks.

Gloria Jean's mempunyai lebih daripada 400 buah cawangan di seluruh Australia dan dikunjungi oleh lebih daripada 35 juta pengguna Australia setiap tahun.

Apa dilakukan Gloria Jean's yang gagal dilihat Starbucks?

Kejayaan syarikat ini disumbangkan oleh dua orang warga Australia yang membawa masuk francais ini ke negara mereka pada tahun 1996.

Rahsianya? Menu mereka.

Gloria Jean's menawarkan pelbagai jenis pilihan espresso dan kopi istimewa. Kegagalan Starbucks untuk menyesuaikan diri dengan budaya kopi Australia terbukti menjadi kesilapan terbesar mereka.

Walau bagaimanapun, Starbucks masih belum menyerah kalah di negara kanggaru ini. Mereka merancang untuk membuat kemunculan semula.

Pada tahun 2014, Starbucks Australia telah diambil alih oleh Withers Group yang juga pemilik francais 7-11 di Australia.

Kini terdapat 40 cawangan Starbucks di Brisbane (6), Melbourne (13), Gold Coast (5) dan Sydney (16) tidak ditujukan kepada warga tempatan.

Sebaliknya mereka berharap untuk menjadi tarikan kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi destinasi-destinasi di Australia.

Pada tahun 2017, seramai 9 juta pelancong mengunjungi Australia dan membelanjakan lebih daripada RM120 bilion.

Jadi, para pelancong mungkin menjadi kunci kepada kejayaan Starbucks untuk terus berada di bumi Down Under dan mengelak krisis yang sama berulang semula.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, December 19, 2018

Kisah Kejayaan Starbucks Sebagai Kedai Kopi Utama Dunia

Kisah Kejayaan Starbucks Sebagai Kedai Kopi Utama Dunia

Starbucks Coffee, nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat dunia, termasuklah yang ada di Malaysia kerana kopinya yang segar dengan aroma enak sememangnya menjadi kegemaran ramai namun, adakah anda tahu bagaimana syarikat kedai kopi ini bermula? Siapa yang bertanggungjawab menaikkan nama Starbucks sehingga dikenali ramai?

Minum Kopi

Umum tahu bahawa Starbucks Corporation adalah syarikat kedai kopi terbesar di dunia. Sehingga tahun 2016, Starbucks memiliki lebih daripada 28,000 rangkaian kedai merentasi 76 buah negara di seluruh dunia, di mana 13,000 daripadanya adalah di Amerika Syarikat.

Dari segi statistik, Starbucks berjaya menjana pendapatan sekitar $USD21.1 bilion untuk tahun 2015 sahaja, yakni 10 kali ganda lebih banyak berbanding pencabar terdekatnya, Costa yang hanya menjana $USD1.8 bilion.

74 peratus daripada pendapatan Starbucks diperolehi daripada jualan minuman, manakala sejumlah 19 peratus lagi adalah daripada penjualan barangan makanan termasuklah muffin, sandwich dan lain-lain.

Sehingga September 2018, Starbucks mempunyai seramai 300,000 pekerja, di mana sekitar 157,000 daripadanya bekerja di Amerika Syarikat.

Sejarah Kedai Kopi Starbucks

Starbucks sebenarnya diasaskan oleh 3 orang bekas pelajar University of San Francisco iaitu Jerry Baldwin, Zev Siegl dan Gordon Bowker.

Pelan awal mereka adalah untuk menjual biji kopi berkualiti tinggi bersama dengan peralatan pemanggang kopi, namun sama sekali tidak menyangka syarikat mereka itu bakal mencapai sebuah kejayaan yang luar biasa.

Kedai kopi Starbucks yang pertama telah dibuka pada 30 Mac 1971 di Seattle, Washington, terletak di 2000 Western Avenue dan hanya menjual biji kopi dan peralatan berkaitan sehingga tahun 1976.

Mereka kemudiannya berpindah ke 1912 Pike Place Market di mana mereka mula menjual kopi espresso pada tahun 1986.

Penglibatan Howard Schultz

Kisah Kejayaan Starbucks

Pada tahun 1981, Howard Schultz buat pertama kalinya memasuki kedai Starbucks dan pengalaman pertama merasai kopi Starbucks yang enak membuatkan beliau ingin mengetahui lebih lanjut tentang syarikat tersebut.

Tahun berikutnya, beliau menyertai Starbucks sebagai seorang pekerja biasa dan pada tahun 1983, Howard telah mengembara ke Itali dan berasa tertarik dengan kedai kopi di sana, yang mempunyai suasana yang indah, membuatkan pengalaman menghirup segelas kopi menjadi lebih romantis.

Pengalaman tersebut memberi idea yang bakal mengubah hidupnya, iaitu untuk membawa budaya kedai kopi Itali pulang ke Amerika Syarikat.

Sekembalinya ke Amerika Syarikat, beliau memulakan perniagaan kedai kopinya sendiri, iaitu Il Giornale.

Pada Ogos 1987, beliau telah membeli Starbucks daripada pemilik asal, melalui bantuan kewangan daripada para pelabur tempatan.

Howard secara agresif telah mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka lebih banyak outlet di luar Seattle.

Sehingga tahun 1989, Starbucks mempunyai sebanyak 46 kedai dan perlu memanggang sehingga 2 juta pound (sekitar 907,000 kilogram) kopi setahun demi memenuhi permintaan pelanggan.

Disebabkan populariti Starbucks yang semakin meningkat dengan pantas, Howard merasai tekanan untuk membuka lebih banyak outlet secepat mungkin bagi memenuhi permintaan yang ada.

Strategi Howard Mengembangkan Empayar Starbucks

Kisah Kejayaan Starbucks

Sehingga tahun 1992, Starbucks memiliki lebih daripada 135 outlet dan menjana pendapatan tahunan sehingga $USD72 juta.

Tahun yang sama, Howard membuka Initial Public Offering (IPO) bagi Starbucks di dalam NASDAQ Stock Exchange untuk meningkatkan lebih banyak pelaburan awam sebagai salah satu strateginya untuk berkembang dengan lebih pantas.

Nilai pasaran syarikat tersebut telah dianggarkan sekitar $USD271 pada waktu itu dan Howard telah menjual sebanyak 12 peratus saham syarikatnya pada nilai USD25 juta bagi mengumpul lebih banyak dana untuk menggandakan jumlah outletnya untuk 2 tahun berikutnya.

Pada tahun 1996, Starbucks akhirnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa (di luar Amerika Utara) dengan membuka outlet pertamanya di Tokyo, Jepun, kemudian dalam tahun yang sama di Singapura.

2 tahun berikutnya, Starbucks telah membeli sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kindom, iaitu Seattle Coffee Company dengan harga $USD83 juta.

Mereka menukar nama kesemua 65 outlet syarikat tersebut kepada Starbucks dan memulakan kemasukan kedai kopi tersebut ke pasaran United Kingdom.

Sekali lagi pada tahun 2003, Starbucks telah membeli Torrefazione Italia dan Seattle's Best Coffee dengan bayaran bernilai $USD72 juta.

Pengambil alihan ini memberi outlet tambahan sebanyal 150 kedai kepada Starbucks. Pada tahun 2007, Starbucks telah membuka outlet pertamanya di Rusia.

Pada tahun 2012, Starbucks telah membeli sebuah syarikat kedai minuman teh, Teavana pada harga $USD620 juta.

Sehingga tahun 2013, Starbucks mula mensasarkan pasaran seluruh dunia dengan fokus baharu untuk membuka lebih banyak outlet di negara-negara di Asia Selatan dan Amerika Selatan.

Kesimpulan

Starbucks bukan sahaja terkenal dengan minuman kopi yang bervariasi, malah mereka turut dikenali dengan produk-produk lain seperti sandwic, pastri, bekas minuman dan sebagainya.

Bermula dengan menjual biji kopi sejak tahun 1970an, kini Starbucks memperolehi keuntungan berbilion dolar setahun hasil kebijaksaan Howard Schultz dalam mengaplikasikan strategi perniagaan yang berkesan demi memenuhi permintaan pelanggan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi