Thursday, July 28, 2022

Seram Kipas Berputar Sendiri, Penyewa Cabut Lari!

Seram Kipas Berputar Sendiri, Penyewa Cabut Lari!

Walaupun soket sudah dicabut, tetapi sebuah kipas bergerak sendiri. Kipasnya masih lagi berputar seperti dihidupkan suisnya dan berpusing sebelum berhenti tepat menghadap seorang wanita yang merakamkan kejadian aneh itu.

Rumah sewa berhantu

Menerusi satu rakaman video yang tular, orang ramai boleh melihat soket yang tidak dipasang dililit pada kipas tersebut.

Wanita bernama Arina Yasmin Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi di rumah sewa lamanya di Kajang, Selangor.

Menurutnya, rakaman tersebut dibuat ketika dia sedang sarat hamil lapan bulan anak kedua pada tahun 2021 yang lalu ketika mahu berpindah keluar dari rumah sewa tersebut.

"Saya dan suami serta seorang anak lelaki masa tu baru berusia satu setengah tahun baru je berpindah ke rumah sewa tu di sebuah apartment lama di Kajang.

"Tapi kami hanya bertahan tinggal selama dua bulan je sebelum bertindak keluar dari rumah tu dan tinggal sementara di rumah kakak di Semenyih," katanya

Patung anjing

Pertama kali menjejakkan kaki meninjau di rumah sewa itu sebelum menghuninya sudah membuatkan Arina yang berusia 28 tahun berasa tidak sedap hati.

Siapa yang tidak terkejut apabila sewaktu tinjauan ke rumah kosong di tingkat satu itu, tiba-tiba terlihat sebuah patung anjing besar diletakkan di atas kabinet di salah sebuah bilik.

"Saya tertanya-tanya, kenapa patung anjing tu tidak dikeluarkan sedangkan rumah tu dah kosong dua bulan sebelum kami berpindah masuk.

"Kami tidak bertanya lanjut tentang patung anjing tu demi menghormati tuan rumah, tapi meminta tuan rumah membawanya keluar.

"Sebenarnya sebelum berpindah masuk lagi saya dah tak sedap hati untuk tinggal di rumah itu. Tapi suami kata rumah dekat dengan tempat kerja suami di Putrajaya.

"Kami pun baru nak bina hidup berkeluarga dengan kos rumah sewa yang rendah iaitu sebanyak RM600 sebulan," kata Arina yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Anak nampak 'kakak'

Mengenai rumah sewa dengan tiga bilik tidur itu, pada awalnya tiada kejadian pelik yang berlaku sehinggalah anaknya sering didatangi 'seseorang' menyerupai wanita.

"Tiada siapa di rumah kecuali kami bertiga. Tapi anak selalu cakap ada nampak 'kakak' dan tunjuk tempat di mana 'kakak' tu berada.

"Saya juga terdengar pintu grill rumah diketuk pukul 3 pagi, tapi tiada siapa pun di luar masa suami pergi periksa. Siapa ketuk pintu pukul 3 pagi?" katanya yang merupakan suri rumah.

Selain itu, Arina berkata, sebelum ini dia juga pernah mendengar bunyi daripada kereta permainan anaknya yang terletak di bilik hujung.

"Sehinggalah pada suatu tengah hari, masa tu suami tiada di rumah cuma hanya saya dan anak, saya terdengar pintu bilik belakang tertutup sendiri.

"Saya masuk bilik tu nampak mainan tu bergerak dan berbunyi sendiri. Saya menangis dan menggigil, saya call suami dan minta tolong kakak ambil saya dan anak bawa ke rumah dia.

"Sebelum ini pun kakak pernah cerita datang ke rumah saya suatu malam, dia rasa ada hembusan angin yang kuat ketika buka almari di bilik tetamu di bilik tengah, tapi tiada siapa ketika itu.

"Kami ambil keputusan berpindah keluar kerana saya sarat hamil dan mahu keadaan lebih selesa untuk berpantang," katanya yang kini ibu kepada dua cahaya mata sambil menambah kereta mainan itu ditinggalkan di rumah sewa tersebut ketika berpindah keluar.

Mulanya tak percaya

Sementara itu, suami Arina, Muhammad Safwan Ramli berkata, isterinya sebelum ini sering meluahkan tentang kejadian aneh di rumah sewa itu tetapi dia tidak mempercayainya.

"Pada hari isteri saya dah tak tahan tu sebab takut sangat, saya ambil isteri di rumah kakaknya dan pulang ke rumah di sebelah petang. Saya kemudian pergi tanggalkan bateri daripada mainan tu, saya anggap mungkin ada masalah wiring sebab saya mulanya tak percaya apa yang berlaku," katanya yang merupakan penjawat awam berusia 28 tahun.

Safwan yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, malam yang sama selepas pukul 10 malam, ketika mereka berada di ruang tamu, tiba-tiba terdengar bunyi kereta mainan dari bilik belakang.

"Pintu bilik belakang tertutup. Saya cuba positif mungkin bunyi jiran sebelah rumah atau bunyi bising motor. Tapi saya terkejut apabila nampak bakul kosong yang digunakan untuk menyimpan mainan tiba-tiba bergerak sendiri. Daripada ruang tamu saya boleh lihat.

"Saya baca ayat Kursi dan surah-surah al-Quran. Makin kuat saya baca, bakul tu bergerak ke kiri dan ke kanan. Bunyi kereta mainan pun makin kuat. Malam itu juga kami berpindah keluar dan tinggal di rumah kakak ipar.

"Masa tu barulah saya percaya apa yang diluahkan isteri. Kami berpindah ke Semenyih dan Alhamdulillah, sejak itu sampai sekarang tiada lagi gangguan atau kejadian aneh. Bila diimbas kembali, saya meremang menyaksikan kejadian tu sendiri dan sekarang bercerita pun meremang," katanya.

Semoga memberi manfaat.


BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, April 19, 2022

Misteri Asap Hitam Terakam Keluar Daripada Anak Patung!

Misteri Asap Hitam Terakam Keluar Daripada Anak Patung!

Seorang wanita di Kanada dilaporkan merakam klip video memaparkan objek dipercayai hantu yang keluar daripada sebuah anak patung dan mengejar kucing peliharaannya, lapor akhbar Metro UK.

Misteri asap hitam

Menurut Kathy Gallinger, meskipun dia kerap mengalami pelbagai kejadian misteri sejak berpindah ke rumah itu pada 2018, rakaman video tersebut benar-benar menakutkannya.

Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman itu, jelas kelihatan 'asap hitam' keluar dari sebuah anak patung dan seolah-olah menyerang kucing Gallinger.

Kucing bernama Salem itu pada awalnya dilihat merenung ke arah anak patung dari tahun 1950-an milik ibu Gallinger.

Asap hitam kemudian keluar dari patung tersebut dan menuju ke arah Salem sebelum kucing itu terkejut lantas berlari untuk bersembunyi.

Gallinger kemudian memanggil seorang ahli psikik yang memberitahu bahawa hantu itu tidak memberi ancaman kepada keluarganya.

"Dia (ahli psikik) berkata bahawa tiada sebarang petanda menunjukkan hantu itu mahu kami keluar dari rumah ini. Ia cuma mahu kami sedar akan kewujudannya," katanya.

Gallinger meletakkan kamera CCTV di ruang bawah tanah rumahnya selepas beberapa kali menemui bukti terdapat aktiviti paranormal di kediamannya.



Seram kan!

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Friday, December 17, 2021

Kisah Pengamal Ilmu Balan-balan!

Kisah Pengamal Ilmu Balan-balan!

Apa yang hendak diceritakan ini adalah berdasarkan pengalaman seorang kenalan. Kisah ini berlaku di Sabah sekitar tahun 1960-an dan ia diceritakan semula pada pertengahan tahun 1999 oleh Sanusi Udi, orang yang menyaksikan sendiri kejadian ini.

Kepala balan-balan
Gambar hiasan.

Begini cerita Sanusi. Suatu petang sewaktu dia dan kawan-kawannya sedang berborak di sebuah kedai kopi di Kinabatangan, seorang kawannya yang bernama Dusmin, tiba-tiba menjadi resah. Matanya merah, air liurnya meleleh dan dia memandang sekeliling dengan pandangan yang liar.

"Aku minta diri dulu!" kata Dusmin tiba-tiba, dan terus bergegas pulang.

Petang itu, Sanusi mendapat berita, ada penduduk kampungnya meninggal dunia dan selang beberapa hari kemudian, kejadian seperti itu berlaku lagi.

Dan seperti sebelum ini, tidak lama selepas Dusmin pulang, Sanusi mendapat berita seorang penduduk kampungnya meninggal dunia.

Sanusi mula tertanya-tanya, kenapa Dusmin tidak semena-mena berubah sikap dan tergesa-gesa pulang apabila ada penduduk kampungnya mati? Apa kaitan dengan Dusmin?

Setelah didesak, akhirnya Dusmin mengaku.

"Aku pulang untuk jadi balan-balan."

Apa itu balan-balan?

Di Semenanjung, balan-balan disebut penanggal, iaitu seseorang yang boleh menanggalkan kepalanya, lalu terbang ke tempat orang mati atau hendak bersalin dan menghisap darahnya.

Apabila terbang, yang kelihatan adalah kepala dan isi perut si penanggal yang terang menyala bagaikan api. Ia dilakukan menggunakan ilmu hitam bagi tujuan mendapatkan kekuatan diri.

Benarkah Dusmin menjadi balan-balan?

Apabila soalan itu Sanusi ajukan, Dusmin menyelak kolar bajunya. Lalu ternampaklah garisan parut panjang di sekeliling pangkal lehernya.

Bagi membuktikan pengakuannya itu, Dusmin menanggalkan kepalanya dan terbang ke rumah bapa Sanusi beberapa puluh kilometer dari situ.

Dia pulang menemui Sanusi tidak lama kemudian, dan memberitahu secara terperinci keadaan bapanya, rumahnya dan keadaan sekitarnya. Apa yang diberitahu Dusmin itu memang tepat, sedangkan dia tidak pernah sekalipun pergi ke sana.

Menurut Dusmin, balan-balan tidak akan dapat dilihat oleh mata kasar. Dalam keadaan halimunan itulah dia akan menukarkan mayat dengan batang pisang.

Mayat itu kemudian dibawa terbang ke tepi sungai, lalu digoyang-goyangkan di dalam perahu bersama dengan balan-balan lain, kebanyakannya lelaki.

Apabila digoyang-goyang, tubuh mayat itu akan berkecai dan dagingnya bertukar menjadi ikan, lalu dimakan oleh balan-balan berkenaan.

Ilmu balan-balan diceritakan amat popular di kalangan salah satu suku kaum di Sabah. Ia diamalkan agar mereka menjadi kuat dan digeruni lawan. Ilmu ini biasanya diwarisi daripada bapa atau datuk.

Ia boleh juga dituntut melalui bomoh ilmu hitam. Tempoh menuntut adalah seminggu.

Selain jampi mantera, kata Sanusi, orang menuntut ilmu balan-balan dikehendaki menggali sebuah perigi sebesar pemeluk dan berendam di dalamnya selama tujuh hari berturut-turut.

Setelah itu, bomoh akan meludah dan muntah di dalam mulut si penuntut tadi. Muntah dan ludahnya hendaklah ditelan tanpa tinggal walaupun setitik.

Bagaimana kita tahu adanya balan-balan?

Kehadiran makhluk itu boleh diketahui dengan lintasan api dan bunyi 'kwak' yang dikeluarkannya.

Dinding di bawah atap rumah manusia balan-balan pula boleh dibuka bagi memudahkannya keluar mencari mangsa.

Sanusi juga menceritakan, di kalangan satu lagi suku kaum di Sabah, hanya wanita saja yang menjadi balan-balan.

Apabila ada wanita bersalin, balan-balan itu akan menghirup darah yang keluar. Ia merasuk bayi sehingga mati. Apabila dikebumikan, balan-balan akan menyelongkar kuburnya dan memakan mayat bayi berkenaan.

Paling menakutkan ialah balan-balan Kaliawan. Untuk memiliki ilmu balan-balan kaliawan, seseorang itu hendaklah membunuh anak sulungnya sendiri. Ada juga balan-balan yang boleh mengubah dirinya menjadi haiwan seperti anjing dan kucing.

Bagaimanapun, kata Sanusi, ilmu hitam itu sudah lama ditinggalkan. Dengan berkembangnya Islam di Sabah, suku kaum terlibat mula menyedari bahawa ianya perbuatan syirik dan dosa besar.

Apa yang diceritakan di atas berdasarkan kisah yang diceritakan sendiri oleh Sanusi. Mungkin di tempat lain, berbeza pula versinya.

Namun, kisah balan-balan atau penanggal ini memang popular sehingga sekarang dan ramai yang pernah melihatnya.

Adakah anda juga pernah 'bertemu' balan-balan?

BACA INI JUGA:
sumber: utusantv

Monday, July 06, 2020

Misteri Kerusi Roda Berhantu Berjaya Di Rakam CCTV Di Thailand

Misteri Kerusi Roda Berhantu Berjaya Di Rakam CCTV Di Thailand

Penampakan satu video dari kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah hospital di Thailand mengejutkan ramai apabila ia merakamkan sebuah kerusi roda yang bergerak sendiri tanpa dikendalikan oleh sesiapa.

Hantu Kerusi Roda

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, kelihatan kerusi roda itu bergerak daripada tempat asal ia diletakkan di sebelah tiang, dan 'mundar-mandir' di kawasan berhampiran pintu masuk masuk hospital.

Pergerakan kerusi roda itu seolah-olah ada 'seseorang' yang sedang mengendalikannya.

Thanasak Pakdeenuan, Pengarah Hospital Ban Kham Doung mengesahkan bahawa ia adalah kerusi roda manual.

Menurutnya lagi, kerusi roda itu disumbangkan oleh seorang bekas pesakit di hospital tersebut, yang sudah pun meninggal dunia.

Hospital itu merancang untuk mengadakan upacara bagi menghormati roh pemilik kerusi roda itu.

Tonton video dibawah.

BACA INI JUGA:



sumber: mstar

Monday, March 09, 2020

Istana Drottningholm Sweden Berhantu!

Istana Drottningholm Sweden Berhantu!

Ratu Silvia dari Sweden menegaskan bahawa istana yang didudukinya berhantu, kerana didiami rakan-rakan kecil (hantu) yang peramah tetapi kadang-kadang menyebabkan anda tidak berasa berseorangan, katanya.

Istana Drottningholm Berhantu
Drottningholm Palace.

Istana Drottningholm, yang berada dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dibina pada 1600-an di pulau Lovon di Stockholm.

Ia adalah kediaman tetap Raja Carl XVI Gustaf dan Ratu Silvia, anak kepada ahli perniagaan Jerman dan wanita Brazil.

Iparnya, Puteri Christina, turut menyokong dakwaan Istana Drottningholm berhantu.

"Terlalu banyak tenaga dalam rumah ini. Ia pasti pelik jika tidak muncul dalam bentuk samaran.

"Ada kisah mengenai hantu dalam rumah lama. Mereka sudah mempengaruhi orang ramai sejak beberapa abad. Tenaga itu kekal," katanya.

The Old Vicarage

The Old Vicarage
Borgvattnet Vicarage.

Old Vicarage yang dibina pada tahun 1876 terletak di sebuah perkampungan kecil Borgvattnet mempunyai reputasi sebagai rumah paling berhantu di Sweden, apabila penemuan pertama hantu di situ dilaporkan oleh seorang paderi pada tahun 1927.

Ketika kejadian, paderi itu sedang naik ke loteng rumah untuk mengambil baju basuhannya namun mendapati kesemua pakaiannya telah dicabut dari tempat jemuran.

Banyak lagi kejadian yang dilaporkan berlaku di situ seperti penampakan lembaga wanita tua berpakaian baju perang dan bunyi-bunyi aneh yang tidak dapat dijelaskan.

Pernah seorang tetamu yang menginap di situ terkejut ketika terjaga dari tidur di tengah malam, apabila mendapati ada 3 wanita tua sedang memerhatinya.

Seorang lagi paderi lain yang pernah tinggal di situ mendakwa dia sering ditarik dari kerusi oleh sesuatu yang tidak kelihatan.

Peristiwa ghaib yang berterusan dalam dekad berikutnya dengan hampir setiap paderi baru atau keluarga atau tetamu yang mendakwa mengalami gangguan entiti paranormal.

Perkara itu yang telah menjadi bualan mulut, menyebabkan berlakunya jeritan histeria di kalangan gadis dan wanita disitu apabila telah mendengar bisikan, terlihat bayangan mahluk halus dan kerusi goyang yang mennyeramkan.

Legenda menceritakan asal-usul mengenai seekor hantu pembantu rumah yang sarat mengandung telah mati didera dan bayinya ditanam di belakang rumah.

Pada awal 1980-an, lokasi yang berhantu ini terkenal dan menarik perhatian ramai paderi termasuk pendeta bernama Tore Forslund, iaitu "ghostpriest", malangnya beliau tidak lama bermastautin di situ kerana dikatakan sakit teruk akibat gangguan yang dahsyat dari alam ghaib.

Sehingga kini, rumah itu dibiarkan dan menjadi tarikan pelancong yang ingin merasakan suasana seram didalamnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, July 09, 2019

3 Patung Berhantu Yang Benar-benar Wujud

3 Patung Berhantu Yang Benar-benar Wujud

Ramai kanak-kanak menjadikan anak patung sebagai teman dan rakan baik ketika mengharungi kehidupan yang penuh keriangan namun, terdapat anak patung yang mempunyai rupa bentuk yang buruk dan sangat menakutkan.

Malah, ada di antara anak patung ini seolah-olah mengalami sumpahan dengan kisah menyeramkan, walaupun bagi orang dewasa. Buktinya? Ramai yang terkucil ketika menonton filem Annabelle.

Berikut adalah 3 anak patung yang diyakini benar-benar berhantu di dunia.

1. Annabelle

Annabelle Doll

Seperti yang anda sudah jangkakan, anak patung Annabelle memang benar-benar telah wujud sebelum penghasilan filem Annabelle, yang dikatakan akan berubah posisi dan tempat, ketika pemiliknya seorang pelajar kejururawatan bernama Donna, berada di luar rumah.

Menurut Donna, Annabelle juga pernah berubah tempat hingga ke bilik yang lain dan pernah menerima mesej yang ditulis dengan pensel di atas kertas, seolah-olah ia mesej dari Annabelle.

Pada kertas itu tertulis, "Tolong kami".

Donna memberitahu bahawa beliau pernah terlihat titisan darah pada dada dan di belakang kepala Annabelle.

2. Joliet

Joliet Doll

Anak patung mengerikan yang mempunyai kening nipis dan halus ini dikatakan diserahkan secara turun temurun daripada seorang ibu kepada anak perempuan untuk beberapa generasi.

Dipercayai kini miliki seorang wanita bernama Anna, anak patung Joliet ini dikatakan menyumpah setiap anak perempuan untuk melahirkan dua anak, seorang anak perempuan yang akan menjadi pewaris anak patung ini dan seorang lagi anak lelaki yang dikatakan akan mati 3 hari selepas dilahirkan.

Namun, kematian bayi lelaki itu tidaklah sia-sia kerana didakwa rohnya akan masuk dan tinggal di dalam badan Joliet, serta akan menangis pada waktu malam.

3. Robert

Robert Doll

Dahulunya dimiliki oleh Robert Eugene Otto, seorang pelukis, anak patung yang diberi nama Robert ini dikatakan diberikan kepadanya pada tahun 1906 oleh satu keluarga hamba.

Keluarga hamba itu dikatakan mahir dalam ilmu hitam dan mahu menghancurkan keluarga Robert Eugene.

Menurut sumber, ibu bapanya pernah mendengar Robert Eugene berborak dengan anak patung tersebut.

Ketika tiada sesiapa di rumah, patung ini dikatakan berpindah bilik dan kejadian itu disaksikan oleh jiran mereka melalui tingkap.

Selepas kematian Robert Eugene, keluarganya berpindah dan rumah tersebut dihuni oleh keluarga baru yang mempunyai seorang anak perempuan.

Kanak-kanak perempuan tersebut memberitahu terlihat anak patung itu di dalam biliknya pada waktu malam dan cuba untuk membunuhnya.

Robert sering menjadi perbandingan kepada Annabelle, anak patung yang dirasuk.

Kini, anak patung Robert berada di Muzium Fort East Martello, Florida, Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, July 06, 2019

Misteri Di Ganggu Pontianak Di Banglo Mewah!

Misteri Di Ganggu Pontianak Di Banglo Mewah!

Pengalaman seorang lelaki warga Indonesia ini yang sudah 23 tahun bekerja sebagai buruh binaan di Malaysia membuatkan dirinya sudah lali berdepan situasi menyeramkan. Mana tidaknya, tidur di tapak binaan secara sendirian bukanlah satu perkara asing buat dirinya apatah lagi tempat yang baharu diterokai untuk projek pembangunan itu tidak diketahui asal-usulnya.

Di ganggu pontianak penunggu banglo
Di banglo inilah berlaku beberapa kejadian mistik.

Pengalaman itulah yang terpaksa dilalui Dhiya Ulhaq Abu Bakar yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia bagi mencari rezeki.

Namun, prinsip lelaki berusia 43 tahun ini mudah. Dia tidak perlu berasa gentar jika niatnya baik dan bukan untuk mengganggu sesiapa.

Adat menumpang tidur di tempat asing, sudah pasti ada 'penghuni' yang tidak senang dengan kehadiran Dhiya dan rakan-rakannya.

Sebelum pulang ke tanah airnya, Dhiya tidak dapat melupakan pengalaman ketika terlibat dengan kerja-kerja pembersihan dan ubah suai di tiga banglo lama yang terletak di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dari luar, ketiga-tiga banglo yang pernah menjadi pejabat sebuah syarikat pengeluar serbuk minuman teh itu kelihatan sangat usang dan dipenuhi dengan semak samun. Banglo itu merupakan bangunan pusaka turun-temurun milik keluarga hartawan teh yang siap dibina pada 1931.

Ketika Dhiya dan dua lagi pekerja mula membersihkan banglo tersebut, seorang daripada pekerja perempuan, Yuni tiba-tiba dirasuk.

Yuni mengamuk seolah-olah mahu memukul Dhiya dan seorang lagi pekerja sambil berteriak seperti orang hilang arah. Tidak lama selepas itu, Yuni kemudiannya tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Selepas kejadian tersebut, mereka bertiga masih bekerja seperti biasa kerana kerja-kerja pembersihan harus dibereskan segera. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Kastolan jatuh dari ketinggian tiga meter, seperti ada sesuatu yang menolak kawan saya jatuh.

Namun, belum sempat insiden Yuni dirasuk itu mahu dilupakan, berlaku pula kejadian mistik kedua yang lebih menyeramkan. Kali ini, rakannya yang bernama Kastolan pula menjadi mangsa gangguan makhluk halus.

"Ketika itu masih siang dan kami berdua sedang membuka atap zink di salah sebuah banglo tersebut.

"Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Kastolan jatuh dari ketinggian tiga meter, seperti ada sesuatu yang menolak kawan saya jatuh.

"Ketika dia jatuh tu, kepalanya yang terhempas di lantai dahulu. Saya pun bawa dia ke hospital untuk rawatan," cerita Dhiya.

Kejadian mistik di banglo tersebut tidak terhenti setakat itu. Kastolan sekali lagi diusik. Kali ini, pemuda itu diganggu oleh pontianak pula.

Ketika Kastolan ingin mandi di tandas banglo itu sewaktu hari sudah hendak masuk waktu Maghrib, kelihatan kelibat seperti seorang wanita berambut panjang berdiri kaku di depan pintu tandas tersebut.

Pada mulanya dia menyangka wanita itu adalah Yuni. Kastolan cuba menegur dan tiba-tiba teringat bahawa Yuni tiada di kawasan banglo itu, sebaliknya berada di rumahnya.

Wanita yang berdiri di depannya berpaling memandang tepat ke mata pemuda tersebut sambil senyum menyeringai.

Tubuh Kastolan seakan-akan kaku, wajahnya pucat melihat entiti yang berada di depan mata. Mujurlah pontianak itu hanya mengusik seolah-olah memberi amaran untuk tidak mengganggu tempat tinggalnya. Tidak lama selepas itu, pontianak tersebut terbang menghilangkan diri.

Tidak tahan terus diganggu, Dhiya meminta tolong seorang pawang Indonesia untuk datang menghalau semangat jahat yang mengacau mereka.

Menurut Dhiya, pawang tersebut memberitahu bahawa kawasan itu sangat keras kerana sudah lama tidak dihuni manusia.

"Terlalu banyak jin yang ada di banglo tersebut. Hantu-hantu itu mengamuk apabila kawasannya diganggu.

"Pawang yang dipanggil menghalau jin dan makhluk halus di situ bertindak memagar kawasan tersebut dengan ayat suci al-Quran," kongsi Dhiya.

Tambahnya, sejak itu tiada lagi kejadian menyeramkan yang mengganggu ketenteraman mereka. Tiada siapa yang tahu berapa lama keadaan itu akan kekal aman di banglo pusaka tersebut.

Namun, apa yang pasti, jika satu-satu kawasan itu tidak diduduki untuk suatu tempoh yang panjang, pasti ada yang menjadi penghuninya.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar